Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kia Sorento serba baharu kini dibuka tempahan

    Screen Shot 2016-05-17 at 3.23.02 PM

    Menerusi laman Facebook, Kia Malaysia telah mengumumkan tempahan bagi Sorento generasi ketiga telah pun dibuka. Malah ia juga dijangka akan dilancarkan pada penghujung Mei ini. Semalam penasihat jualan Naza Kia Malaysia telah membocorkan harga jualan bagi Sorento serba baharu ini.

    Dengan menawarkan tiga varian berbeza, ia dijangka akan dijual pada harga bermula RM158k untuk spesifikasi asas, RM168k bagi varian pertengahan dan RM178k untuk varian tertinggi.

    Malah model diesel juga dibawa masuk ke pasaran tempatan memandangkan memandangkan generasi Sorento XM terdahulu yang hanya hadir dengan enjin petrol di Malaysia. Namun difahamkan, ia akan diletakkan sebagai varian rendah, manakala model petrol sebagai varian tertinggi. Kedua-dua enjin diesel dan petrol tersebut bakal dipadankan dengan kotak gear automatik torque converter enam-kelajuan.

    Kia Sorento generasi ketiga mula diperkenalkan di Korea pada Ogos 2014. Ia mempunyai dimensi yang sangat besar berbanding SUV segmen-C yang lain. SUV ini memiliki ukuran 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm. Jika diambil Honda CR-V sebagai kayu ukur, Sorento adalah 190 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar dan mempunyai jarak roda 160 mm lebih panjang.

    GALERI: Kia Sorento 2016 yang diuji oleh Paultan.org di Jordan

     
     
  • SPYSHOT: Proton Persona 2016 varian tertinggi dilihat

    2016-Proton-Persona-3

    Tambahan dari gambar Persona yang berwarna perak tempoh hari, hari ini kami menerima pula gambar intipan Proton Persona 2016 tanpa apa-apa pelekat penyamaran. Gambar yang dihantar oleh pembaca kami, Jun Kit, sedan segmen-B terbaharu dari Proton tersebut dilihat sedang menjalani pengambaran iklan TV di The Strand, Kota Damansara.

    Walaupun imej tersebut kurang jelas berbanding imej sebelum ini, unit yang berwarna merah ini nampaknya menampilkan ciri-ciri yang lebih premium seperti roda aloi berdiameter lebih besar (berkemungkinan bersaiz 15-inci berbanding 14-inci yang dipasang pada unit berwarna perak dengan spesifikasi lebih rendah), cermin sisi dan pembuka pintu yang diwarnakan dengan warna badan, bersama kemasan bersalut krom di bahagian atas pemegang nombor pendaftaran belakang.

    Bahagian lain masih lagi kekal sama dengan apa yang telah dilihat pada unit sebelum ini. Proton Persona serba baharu ini merupakan sebuah sedan yang dibina berasaskan Proton Iriz hatchback dan direka dengan muka hadapan lebih tajam menampilkan lampu hadapan reflektor yang lebih tirus, gril hadapan krom seperti Honda Civic yang kelihatan seperti terapung, dan rekaan pada bahagian bawah bampar hadapan yang diberikan sentuhan semula.

    Garisan halus yang terhasil di atas ruang roda belakang mengalir terus ke lampu belakang berbentuk badam dan ditempatkan pada kedudukan yang tinggi, di but belakang yang pendek.

    Iriz dijangka akan dijana dengan enjin 1.3 liter dan 1.6 liter VVT sama seperti Iriz. Jadi, apa pendapat anda mengenai Persona 2016? Kongsikan komen anda bersama kami.

     
     
  • DBKL tidak akan menanggung kos pembaikkan kenderaan yang tenggelam dalam banjir

    Insurance cover note Malaysia

    Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Lembah Klang minggu lalu menyaksikan sekitar 100 buah kenderaan terperangkap dalam paras air yang naik secara mendadak pada beberapa jalan utama, termasuk Jalan Pantai Baru dan Jalan Tuanku Abdul Halim. Banyak kereta dilaporkan tenggelam di dalam air dengan kedalaman sekitar tiga hingga empat kaki, menyebabkan pemilik terpaksa meninggalkan kenderaan mereka.

    Pemilik kenderaan-kenderaan tersebut perlu bergantung kepada polisi insuran mereka – jika mereka mengambil pakej perlindungan untuk bencana alam tersebut – untuk menanggung kos pembaikan, kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatakan ia bukan prerogatif kerajaan atau DBKL untuk menanggung kos pembaikan kenderaan berkenaan, lapor The Sun.

    “Tidak, kami tidak akan menanggungnya melainkan mereka telah menambah perlindungan dalam insuran mereka. Selain itu, tiada,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz semasa memberi respon kepada The Sun berkenaan perkara tersebut.

    The Sun juga turut mendapatkan kepastian dari syarikat-syarikat insuran utama berkenaan aspek kerosakan disebabkan banjir, dan mereka mendedahkan syarikat insuran tidak akan menanggung kos kerosakan jika pelanggan tidak membeli perlindungan tambahan dalam polisi insuran mereka.

    “Kerosakan disebabkan banjir hanya akan dilindungi jika mereka membeli perlindungan tambahan pada polisi mereka yang turut melindungi bencana alam lain seperti banjir dan sebagainya,” kata seorang agen insuran. Laporan tersebut turut menambah, beberapa syarikat insuran utama yang lain juga turut menyatakan struktur polisi yang sama dalam laman web masing-masing.

     
     
  • Konsep teknologi pemanduan automatik Audi kini diperhalusi dan bersifat lebih seperti manusia

    A163931_large-e1463371611867_BM

    Audi kini membawa teknologi pemanduan automatik selangkah lagi menuju realiti dengan mengemaskini sistem pada Audi A7 yang dilengkapi dengan sistem konsep tersebut untuk menjadi lebih bersopan kepada pemandu jalan raya yang lain. Diberi nama ‘Jack’, kereta tersebut didakwa bersifat lebih semula jadi terhadap situasi dan menunjukkan “kebolehan sosial”nya.

    Beberapa pergerakan baharu yang di’pelajari’ dan diterapkan oleh ‘Jack’ termasuk memberikan sedikit ruang antaranya dengan lori semasa memotong, dan juga memberikan lampu isyarat membelok ketika mahu mengubah haluan dan terlebih dahulu mendekati garisan laluan, sama seperti yang pemandu manusia lakukan.

    ‘Jack’ juga kini mampu untuk membuat keputusan sama ada mahu memecut atau membrek apabila berhadapan dengan kereta lain yang masuk ke laluannya, bergantung pada profil pemandu yang dipilih dan tindakan yang mana paling sesuai diambil semasa menghadapi situasi sedemikian dalam adab yang paling harmoni untuk semua pengguna jalan raya. Sistem navigasi pada kereta tersebut juga kini akan memilih laluan yang lebih banyak bahagian yang membolehkan sistem pemanduan automatik ini digunakan, seterusnya membolehkan pemandu melepaskan tanggungjawab memandu tersebut dengan lebih kerap.

    Fungsi pemanduan automatik berkenaan kini dikawal oleh pengawal pembantu pemandu berpusat (zFAS), yang menggunakan pemproses canggih untuk menilai kesemua isyarat dari semua penderia pada masa sebenar, membina model persekitaran kereta tersebut. Model tersebut mewakili situasi trafik terkini, dan membolehkan sistem itu mengira pergerakan seterusnya lebih awal.

    Untuk membolehkan perkara ini dibuat, kereta dan infrastruktur perlu dihubungkan dalam satu modul informasi yang sama, untuk memaksimakan faedah pemanduan automatik di lebuhraya. Oleh itu, kementerian pengangkutan dan infrastruktur digital Jerman telah mengumumkan tapak ujian digital di Autobahn A9 bagi menyediakan kondisi yang ideal untuk menilai dan membina konsep dan ciri masa depan, bersama pengeluar automotif, industri IT dan pihak berkuasa Bavaria.

    Dengan ini, Audi boleh meneroka lagi kebolehan jaringan antara kereta dan infrstruktur, atau komunikasi kereta-ke-X, dalam masa yang sebenar di bawah kondisi jalan raya sebenar. Contohnya, informasi pada papan tanda trafik pelbagai mesej boleh dihantar terus kepada kereta untuk membantu aliran trafik, dan bahu jalan boleh dibuka sementara kepada kereta dengan teknologi pemanduan sendiri.


    Kilk untuk besarkan

    Komunikasi antara kereta, sebaliknya, akan membolehkan kereta yang menghala ke arah yang sama melaporkan halangan dan kemalangan pada masa sebenar, seterusnya akan melaras semula kelajuan pada kereta pemanduan automatik yang lain. Audi sekarang ini sedang menguji elemen dari komunikasi 5G standard masa hadapan bersama rakan kongsi IT mereka untuk sistem sedemikian.

    Infrastruktur itu sendiri juga turut memainkan peranannya. Rakan kongsi untuk tapak ujian digital di Autobahn A9, contohnya, telahpun berada di peringkat yang sangat jauh dalam menguji komposisi dalaman dan mengubahsuai struktur binaan pada pos-pos di tepi jalan untuk meningkatkan kadar reflektif gelombang radar dari kereta pada jarak yang sangat jauh, dan mengkaji tanda trafik khas yang membenarkan kenderaan ujian untuk menempatkan lokasi mereka dengan ketepatan yang tinggi pada garisan jalan.

    Audi juga sedang menjalankan penyelidikan dan membina tapak ujian baharu di persimpangan keluar Ingolstadt-Süd Autobahn, kerana kadar kompleks pada situasi trafik di situ meningkat antara persimpangan keluar lebuhraya dan kawasan bandar. Bersama dengan bandar itu sendiri, Audi akan menguji kaedah pembinaan seperti penggunaan penderia pelbagai jenis pada pelbagai tempat di kawasan persimpangan, bermula 2017 dan ujian akan bermula pada 2018.

    Sebelum ini, Audi telah menunjukkan kebolehan sistem pemanduan automatik mereka dengan Audi TTS tanpa pemandu ‘memanjat’ sendiri bukit Pikes Peak dan Audi RS7 yang berjalan sendiri dengan kelajuan sepenuhnya mengelilingi litar Hockenheim pada 2014 dan litar Sonoma Raceway tahun lalu. Audi juga turut menunjukkan ‘Jack’ yang beraksi di jalan raya awam, berjalan sejauh 885 km tanpa pemandu dari Silicon Valley ke Las Vegas pada 2015.

    Audi mendakwa pemanduan sendiri akan meningkatkan keselamatan, lebih efisien dalam penggunaan infrastruktur pengangkutan dan memberikan pemandu lebih masa untuk berehat. Dalam menguji sistem ini juga membolehkan Audi menawarkan beberapa sistem untuk kereta produksi buat masa sekarang seperti fungsi bantuan pemanduan kesesakan trafik pada A4 dan Q7. Teknologi pemanduan sendiri ini dijangka akan ditampilkan pada Audi A8 generasi seterusnya yang akan dilancarkan pada 2017.

     
     
  • ETCM tawar bantuan untuk pemilik Nissan yang terjejas akibat banjir di Kuala Lumpur minggu lalu

    AlmeraFL_Nismo_Ext_04

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dengan kerjasama Tan Chong Express Auto Service Centre (TCEAS) telah mengumumkan Program Bantuan Banjir Nissan untuk semua pelanggan yang kenderaannya terlibat dengan banjir kilat di Lembah Klang pada Khamis lalu.

    Program ini bagi membantu para pemilik yang kenderaan Nissan mereka mengalami kerosakan akibat banjir kilat yang berlaku di beberapa jalan utama di ibu kota iaitu di Jalan Duta, Jalan Pantai Bahru, Jalan Semantan, Jalan Bangsar dan Jalan Pudu.

    Ia berlangsung serta merta sehingga 30 Jun ini dengan menawarkan 25% diskaun untuk semua alat ganti tulen Nissan, 25% diskaun bagi kos buruh, khidmat tunda percuma sehingga RM150 dan pemasangan upholstery dengan kadar istimewa iaitu RM1,590 (termasuk GST).

    “Beribu penduduk di sekitar Lembah Klang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada Khamis lalu. Kami di ETCM berusaha untuk membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mangsa. Kami menyeru para pemilik kenderaan Nissan yang terbabit dengan bencana alam ini segera menghantar kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah Nissan untuk pembaikian,” ujar Tan Keng Meng, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Banjir Nissan ini, para pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Honda panggil balik lagi 21 juta kenderaan di seluruh dunia ekoran masalah beg udara Takata – laporan

    Honda airbag

    Honda dalam perancangan untuk memanggil balik lagi 21 juta kenderaan di seluruh dunia untuk menukar beg udara yang dibekalkan oleh Takata. Ia diumumkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Jalan Raya Negara Amerika Syarikat (NHTSA), di mana program panggil balik itu adalah disebabkan kegagalan pengepam beg udara buatan Takata.

    Dengan peningkatan jumlah kenderaan yang terlibat dalam program balik ini, setakat ini ia telah melibatkan sehingga 51 juta unit. Pembuat kereta berkenaan juga sedang dalam proses mengenalpasti semua beg udara yang terjejas yang dibekalkan oleh Takata. Malah Honda turut telah menggugurkan pembekal beg udara tersebut untuk semua model sejak November 2015.

    Dalam laporan yang disiarkan oleh The New York Times, Tetsuo Iwamura, timbalan eksekutif presiden dan pegawai eksekutif Honda, bagaimana pun tidak mendedahkan jumlah kenderaan yang terlibat di Amerika Syarikat atau lain-lain negara. Sementara itu, laporan Australia Drive berkata Honda Australia juga akan mengumumkan lebih banyak panggilan semula ini jika diperlukan.

    Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia. Takata dijangka akan melaporkan jumlah kenderaan yang terjejas, dalam masa terdekat ini, laporan BBC.

     
     
  • Nissan GT-R akan datang mungkin tampil dengan penjana kuasa pengelektrikan – laporan

    nissan_ny2016_09-e1458787586373-1

    Ketua Pegawai Kreatif Nissan, Shiro Nakamura, telah mendedahkan GT-R serba baharu bakal ditampilkan dengan penjana kuasa yang dihibridkan atau yang dikacukkan.

    Dilaporkan menerusi autonews.com, kerja-kerja pembinaan bagi model facelift GT-R 2017 yang dipertontonkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 telah pun berjalan lancar buat setakat ini. Ia akan menampilkan gaya yang direka semula sepenuhnya dengan peningkatan ciri aerodinamik, menurut Nakamura.

    Malah beliau turut memberitahu, Nissan telah memodifikasi ketinggian dan kelebaran jentera itu bagi memberikan ciri yang lebih baik. Bukan itu sahaja, setiap perubahan yang dilakukan adalah untuk mempertingkatkan lagi prestasi supercar tersebut.

    2017_nissan_gtr_29-e1458787640448-1

    Malah rekaan gayanya juga diberi keutamaan, malah Nakamura percaya GT-R sedia ada iaitu sejak 2007 lalu, sudah nampak agak ketinggalan, walau ia tidak dipengaruhi oleh model lain. Nakamura turut berkata, jika Nissan tidak tampil dengan rekaan yang lebih “menarik perhatian untuk mencipta trend terbaharu, ia akan nampak ketinggalan”. Jadi pastinya GT-R baharu ini akan menampilkan kelainan.

    Selain itu, salah satu matlamat utamanya ialah mempertingkatkan penjimatan bahan api bagi enjin biturbo 3.8 liter V8, di mana menurut Nakamura, ia mungkin akan ditampilkan dengan enjin pengelektrikan bagi membuatkan GT-R baharu ini lebih berprestasi. Walau bagaimana pun, pastinya enjin tersebut masih mengikut standard emisi yang ditetapkan.

    Mungkin juga terdapat perkakasan tambahan termasuk pengurangan ukuran dimensinya bagi mencapai matlamat tersebut. Namun begitu, Nakamura tidak memaklumkan, bilakah generasi akan datang GT-R akan didedahkan sepenuhnya. Apa pun, kena nantikan kesahihan dan perincian lebih lanjut daripada Nissan mengenai ini.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Nissan Navara dan Mitsubishi Triton generasi seterusnya akan berkongsi platform, tetapi dibangunkan secara berasingan – laporan

    Navara-Triton-2016

    Selepas perjanjian pembelian saham Mitsubishi sebanyak 34% oleh Nissan, dijangkakan lebih banyak usaha sama antara kedua-dua jenama tersebut bakal dilaksanakan. Laman portal dari Australia, CarAdvice, melaporkan antaranya Nissan Navara dan Mitsubishi Triton bagi generasi seterusnya akan dibina dengan menggunakan platform yang sama.

    Pengerusi dan CEO Nissan Carlos Ghosn menjelaskan, ia merupakan sebahagian daripada perancangan utama di bawah perjanjian usaha sama tersebut, di mana kedua-dua trak pikap terbabit akan berkongsi senibina yang sama, tetapi akan dibangunkan secara berasingan bagi menepati profil pembeli yang berlainan.

    “Kebarangkalian yang agak besar di mana kami akan menggunakan platform yang sama, tetapi kami akan membangunkannya secara berasingan kerana pelanggan juga tidak sama,” ujarnya. “Berbanding menggunakan platform yang berbeza, kami lebih berminat menggunakan platform yang sama tetapi produk yang berbeza. Malah kos bagi pembangunannya juga dijangka lebih rendah.”

    Nissan-Mitsubishi

    Buat masa ini, belum ada perincian mengenai platform atau penjana kuasanya. Walau bagaimana pun, memandangkan NP300 Navara dan Triton generasi terbaharu baru sahaja dilancarkan pada tahun 2014, maka generasi akan datang tidak akan muncul dalam masa terdekat ini sehingga 2020.

    Malah kedua-dua pikap ini juga telah mempunyai inisiatif perkongsian platform yang tersendiri. NP300 Navara adalah bentuk asas bagi trak akan datang oleh Mercedes-Benz dan rakan sekutunya Renault, di mana ia telah dipertontonkan menerusi model konsep Renault Alaskan. Sementara Triton sedia ada pula telah dilancarkan dengan menggunakan logo lain ((rebadged) iaitu Fiat Fullback di Amerika Selatan.

    Ini bukanlah kali pertama kedua-dua syarikat ini mengumumkan perancangan untuk perkongsian platform bagi Nissan Navara dan Mitsubishi Triton. Pada tahun 2010, Nissan dan Mitsubishi telah menyertai kerjasama yang sepatutnya menyaksikan kemunculan model baharu yang yang dibangunkan bersama, tetapi usaha sama tersebut gagal dan kedua-duanya membangunkan NP300 Navara dan Triton secara berasingan.

     
     
  • Mazda CX-9 SkyActiv-G 2.5T bakal tiba di Malaysia pada Q4 2016, hanya satu varian dengan harga jangkaan di bawah RM250k – pengedar

    Menurut status yang dimuat naik menerusi laman Facebook ‘Mazda – Sales Promo & News’, Mazda CX-9 SkyActiv-G 2.5T serba baharu dijangka tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Seberapa cepat? Tidak pula dinyatakan menerusi status tersebut, tetapi SUV tujuh-tempat duduk yang juga baru tiba di pasaran Australia boleh dijadikan sebagai petunjuk.

    Walau bagaimana pun, menurut pengedar Mazda tersebut, generasi kedua CX-9 ini mungkin akan tiba di Malaysia pada suku ke-empat 2016 ini, iaitu antara bulan Oktober, November atau Disember.

    Malah menurut pengedar yang sama, tempahan bagi CX-9 itu telah pun dibuka, cuma kita belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada Mazda Malaysia mahu pun Bermaz. Bagi spesifikasi untuk Malaysia juga, belum ada perincian rasmi mengenainya.

    Buat masa ini, CX-9 generasi pertama yang masih dijual hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja, dan menurut pengedar terbabit, ia juga sama dengan model generasi kedua ini. Di mana varian spesifikasi tertinggi yang akan ditawarkan. Berkenaan dengan harganya, dijangkakan antara RM230,000 hingga RM250,000. Di mana bagi CX-9 generasi pertama masa kini dijual pada harga RM288,380.91 (harga atas jalan tanpa insurans).

    Malah dijangkakan CX-9 generasi kedua ini adalah diimport sepenuhnya dari kilang produksi Mazda di Hiroshima, yang juga membekalkan model tersebut ke pasaran Australia.

    GALERI: Mazda CX-9 2017 (spesifikasi USA)

     
     
  • Imej dan brosur Mitsubishi Triton Knight White Limited Edition tersebar, dijual pada harga RM122k


    Klik untuk besarkan

    Imej “Mitsubishi Triton Knight Edition” telah disiarkan di Facebook. Imej yang menayangkan sebuah Triton berwarna putih dan dilengkapi pelbagai aksesori tersebut juga disertakan sekali dengan brosur dari Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan bertajuk “knight in shining armour“.

    Januari lalu, MMM telahpun melancarkan Triton Phantom Edition, yang dikeluarkan hanya 200 unit dengan warna tema hitam serta dilengkapi pelbagai ciri tambahan. Begitu juga Triton Knight Edition ini, ia dibina dengan konsep serupa tetapi dengan warna tema putih. Ia juga seharusnya diasaskan dari model varian tertinggi Trition 2.5 VGT 4×4 Adventure (178 PS/400 Nm), seperti Phantom.


    Klik untuk besarkan

    Ciri yang dilengkapi pada trak pikap ini termasuk roda aloi 17-inci, pemanjang bampar hadapan, gril dan bampar belakang matte black, pelekat badan sisi dan bar sports dengan kotak penuh. Kesemua tempat duduk dibalut dengan kulit berwarna hitam dengan perkataan ‘Knight’ disulam pada tempat duduk hadapan. Perkataan ‘Knight’ juga dilekatkan pada bahagian atas gril hadapan dan juga pintu tailgate belakang.

    Dua lagi ciri yang padankan adalah lampu hadapan HID dengan lampu nyalaan siang LED serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, yang mana ciri-ciri tersebut sebenarnya sudah pun dipadankan pada Triton varian tertinggi.

     
     
  • BMW Malaysia memperkenalkan Program Perlindungan Insurans Terbaik – liputan tambahan untuk kereta, pemilik dan pemandunya

    The Ultimate Protection Insurance Program

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan Program Perlindungan Insurans Terbaik (Ultimate Protection Insurance Program). Ia merupakan tawaran insurans bersifat menyeluruh daripada BMW Credit Malaysia yang menawarkan perlindungan tambahan bukan sahaja ke atas kenderaan BMW terpilih, malah kepada pemilik dan pemandunya.

    Ditawarkan ke atas kenderaan yang dibiayai oleh BMW Credit Malaysia, Program Perlindungan Insurans Terbaik ini merangkumi perlindungan Penjagaan Utama sehingga RM1,000, Perlindungan Banjir sehingga RM30,000, Perlindungan Rim sehingga RM1,000 dan perlindungan Jurang sehingga RM10,000.

    Selain itu, bagi pemilik kenderaan pula, program insurans ini menawarkan perlindungan dalam Kes Kemalangan Maut sehingga RM100,000, Kes Hilang Upaya Kekal sehingga RM100,000, Perlindungan Barangan Peribadi disebabkan oleh Insiden Pecah Kereta sehingga RM3,000, Bantuan Khas sehingga RM10,000 dan untuk maksimum selama enam bulan, bayaran bulanan sehingga RM2,500 sebulan, untuk pinjaman sewa beli mereka.

    Program Perlindungan Insurans Terbaik ini ditawarkan kepada semua kenderaan BMW yang menerima Insentif Status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) baru-baru ini iaitu BMW 118i Sport, BMW 120i M Sport, BMW 318i Luxury, BMW 320i Sport, BMW 330i M Sport, BMW 320d Gran Turismo, BMW 328i Gran Turismo, BMW 520d M Sport, BMW 520i M Sport, BMW 528i M Sport, BMW X3 xDrive20i dan BMW X3 xDrive20d.

    Sebagai tambahan, kenderaan BMW yang turut dilindungi oleh program ini termasuklah BMW 218i Active Tourer, BMW 320i M Sport, BMW 320d M Sport, BMW 730Li, the BMW 740Li, BMW X1 xDrive20i dan BMW X5 xDrive35i.

     
     
  • Kilang SUV Lotus mungkin dibina di China tahun ini

    lotus-apx

    Pembinaan bagi kilang pembuatan SUV bagi Lotus yang dikendalikan oleh Proton mungkin bakal dibina pada akhir tahun ini di Quangzhou, tenggara wilayah Fujian, China.

    Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Quanzhou, Wang Ke Si, berkata, Quangzhou dipilih sebagai pangkalan pembuatannya kerana terdapat kemudahan sokongan automotif yang kukuh. Malahan kerajaan tempatan turut memberikan bantuan serta sokongan sepenuhnya bagi merealisasikan perkara ini, laporan Bernama.

    Katanya lagi, dengan pelaburan sebanyak 10 bilion yuan, ia akan meliputi kos permbinaan kemudahan pembuatan, ibu pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan.

    “Kilang tersebut akan memasang SUV Lotus yang akan dijual di seluruh China serta negara Asia yang lain. Ia masih dalam proses perancangan. Setakat ini kajian penggunaan tanah telah selesai dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada kementerian, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC) serta suruhanjaya berkaitan lain,” kata Wang kepada kepada kumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, selatan Suzhou dan Quanzhou.

    Pembinaan kilang SUV Lotus ini adalah hasil perjanjian usaha sama yang ditandatangani antara Proton, Lotus Group International Ltd dan Goldstar Heavy Industrial Co Ltd pada April tahun lepas. Di mana menerusi usaha sama ini, ia akan mengeluarkan dan menjual kereta penumpang berjenama Lotus serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkaitan dengan produknya di China.

    Proton dan Goldstar dilaporkan akan memegang 50% daripada modal berdaftar. Berdasarkan pelan perniagaan awal dipersetujui bersama yang meliputi tempoh 2015 hingga 2030, syarikat menjangkakan jumlah pelaburan sebanyak 10 bilion yuan (RM5.84 bilion).

     
     
  • Ford GT – 6,506 permohonan pembelian diterima untuk supercar yang dibina hanya terhad kepada 500 unit

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    GT Configurator: Triple yellow Ford GT front three quarter

    Ford melaporkan sejumlah 6,506 permohonan lengkap telah dihantar untuk pembelian Ford GT dari seluruh dunia. Tempoh permohonan dibuka selama sebulan, dan pemohon perlu menyertakan video supaya dapat memberikan peluang yang lebih cerah kepada mereka untuk menjadi seorang pemilik Ford GT.

    Ini bermaksud, dari beribu permohonan, hanya 500 daripada mereka akan layak untuk membeli supercar dengan warisan dari lagenda Ford tersebut. Menurut Ford lagi, hampir 200,000 orang telah melawat laman maya berkenaan dan 10,800 orang telah menunjukkan minat untuk membeli Ford GT terbaharu.

    Ford kini sedang meneliti kesemua 6,506 permohonan dan akan mula memberitahu bakal pemilik yag berpotensi dalam masa 90 hari akan datang. Video-video permohonan yang dihantar juga dikatakan turut menampilkan anak-anak, kesan lampu, rakaman perlumbaan, lawatan ke garaj, dan juga kisah hidup untuk memberitahu mengapa mereka perlu untuk menjadi pemilik kepada Ford GT terbaharu.

    All-New Ford GT bird's eye view, January 2015

    Ford GT yang dibina dengan bahan gentian-karbon bakal dijana dengan enjin EcoBoost paling berkuasa pernah dihasilkan. Enjin V6 3.5 liter EcoBoost yang diletakkan pada bahagian tengah kerangka Ford GT tersebut mampu menjana sejumlah 600 hp dan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Berdasarkan maklumat dari laman maya berkenaan juga menunjukkan Frozen White adalah warna yang paling digemari oleh peminat diikuti dengan Liquid Blue. Ford GT dijangka akan dihantar kepada pelanggan bermula pada hujung tahun ini.

    GALERI: Ford GT di Geneva


    GALERI: Ford GT untuk perlumbaan Le Mans

     
     
  • PANDU UJI: Hyundai Tucson 2.0 – bosan dengan sushi? Mungkin masanya untuk mencuba kimchi

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 004

    Hyundai Tucson generasi ketiga telah dilancarkan di Malaysia pada November tahun lalu oleh Hyundai-Sime Darby Motors dengan dua pilihan iaitu varian asas Elegance dan varian tertinggi Executive. Hadir dalam saingan pasaran SUV segmen-C bukanlah tugas mudah buat Tucson, ini kerana segmen tersebut semamangnya sudah dibanjiri dengan nama-nama gah seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail, dan juga Mazda CX-5.

    Adakah dengan status sebuah jenama dari Korea itu sendiri yang sering dikaitkan dengan permasalahan dari segi penyelenggaraan dan juga harga jualan balik yang rendah akan menenggelamkan Tucson dalam pasaran? Harus diingat, Korea juga terkenal sebagai penyedia teknologi alternatif, dalam teknologi telefon pintar misalnya, Samsung berjaya sebagai pesaing iPhone dengan menyediakan kebolehan yang hampir sama tetapi dengan harga yang lebih mampu milik.

    Begitu juga dalam sektor automotif. Ketika era rekabentuk kereta Jepun mula kelihatan bosan sekitar tahun 2010, Hyundai dan Kia mula membuka mata dunia dengan rekaan yang lebih segar seperti model Hyundai Elantra, Sonata, Kia Forte dan Optima selain dari menawarkan ciri-ciri seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan lampu LED pada harga yang lebih mampu milik.

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 010

    Tucson masih kekal dengan gaya Korea tersebut. Seperti dinyatakan tadi, model 2016 yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) ini hadir dalam dua varian. Elegance dan Executive dilengkapi dengan unit janakuasa dan konfigurasi mekanikal yang sama tetapi dibezakan aksesori, ciri-ciri dan kelengkapan elektronik yang berlainan. Kami menerima varian tertinggi Executive untuk sesi uji pandu kali ini.

    Pada bahagian luaran keseluruhan, rekaan Tucson menerapkan rekabentuk Fluid Sculpture 2.0 terbaharu Hyundai. Rekaan tersebut menampilkan bahagian hadapan menerima sepasang lampu hadapan LED tirus mengapit gril berbentuk hexagon bersalut krom yang besar. Ia turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus pada setiap sisi bampar hadapan (varian Elegance hanya menerima lampu projektor halogen, gril dengan kemasan silver, tanpa DRL dan lampu kabus). Kombinasi tersebut membuatkan muka Tucson ini agak seiras dengan Mazda CX-5 jika dilihat sekali imbas.

    Bahagian sisi SUV ini pula menyaksikan ia dilengkapi dengan cermin sisi boleh-lipat berkuasa dengan lampu isyarat membelok dan lampu puddle bersepadu, serta kesemua pemegang pintu dilengkapi dengan kemasan krom (juga varian Elegence hanya dilengkapi dengan cermin sisi biasa dan pemegang pintu dengan warna badan). Roda aloi berdiameter 17-inci lima-jejari berkembar dengan tayar bersaiz 225/60R17 adalah standard untuk semua varian Tucson.

    Lampu belakang juga direka dengan bentuk yang tirus. Sebuah spoiler dengan lampu brek ketiga dipasang pada bahagian atas. Lampu kabus pula ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang, manakala di bahagian bawah turut dilengkapi dengan sepasang perumah tip ekzos walaupun hakikatnya Tucson hanya mempunyai sebuah tip ekzos sebenar yang terletak di bahagian kanan.

    Dimensi Tucson diukur dengan panjang 4,475 mm, lebar 1,850 mm, 1,655 mm tinggi dan jarak roda keseluruhan 2,670 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz sebenar SUV dari Korea ini, ambil SUV segmen-C paling popular dalam pasaran – Honda CR-V – sebagai perbandingan, Tucson 115 mm lebih pendek, 30 mm lebih lebar, 30 mm lebih rendah dan jarak roda 50 mm lebih panjang. Walaubagaimana pun ruang kargo Tucson yang berkapasiti 488 liter adalah 101 liter lebih kecil dari CR-V yang berkapasiti 589 liter.

    Ruang kargo ini juga dapat diakses dengan bukaan pintu tailgate 1,098 mm serta ruang kargo tambahan dengan kapasiti keseluruhan 1,478 liter jika tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya.

    Masuk kebahagian kabin, anda akan disapa dengan skrin instrumen Super Vision 4.2 inci TFT LCD yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan SUV ini. Bahagian konsol tengah pula dilengkapi dengan skrin unit infotaiment dan navigasi yang diletakkan di bahagian atas konsol suis kawalan penghawa dingin manual zon tunggal dan diapit oleh sepasang liang penghawa dingin.

    Apa yang menarik dengan sistem pemain utama unit infotainmen ini adalah, ia dibina dengan sistem berasaskan sistem Android Kitkat 4.4 yang membolehkan anda melayari internet dan menggunakan aplikasi sama seperti telefon pintar seperti Youtube, Waze, Facebook, Google Chrome mahupun permainan-permainan yang boleh dimuat naik dari Google Play Store.

    Untuk nota, varian Elegance hanya dilengkapi dengan skrin TFT mono biasa 3.3-inci dan pemain utama skrin sesentuh dengan fungsi pemain DVD. Sambungan AUX, USB dan Bluetooth diletakkan di bahagian bawah panel suis penghawa dingin, sebaris dengan dua unit soket kuasa 12V dan turut diberikan cahaya lampu agar ia mudah untuk digunakan pada waktu malam.

    Tombol gear diletakkan sebaris dengan tuil suis brek parkir eletronik (hanya pada varian Executive),suis brek auto hold, suis mod pemanduan (ECO, Normal dan Power) dan suis kawalan brek turun bukit, kesemuanya bersebelahan dengan dua buah pemegang cawan. Walaupun dengan dilengkapi dengan mod manual, saya jarang menggunakan ciri tersebut kerana kedudukan tombol gear yang terlalu kebelakang dan siku diganggu dengan perehat tangan, membuatkan saya tidak selesa menggunakannya.

    Varian Executive juga dilengkapi dengan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, cermin pandang belakang kromik elektronik dengan kompas, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin dan juga kamera perakam keselamatan.

    Roda stereng pelbagai fungsi dan upholstery balutan kulit berwarna hitam yang agak selesa adalah standard untuk semua varian, namun pembeli diberikan opsyen balutan kulit berwarna merah (RM1,288) dan white nappa (RM1,988).

    Material yang digunakan untuk bahagian dalaman adalah setaraf dengan SUV buatan Jepun saingannya, tetapi agak hairan, balutan kulit pada panel pintu agak keras dan berbunyi seperti plastik tanpa balutan apabila diketuk.

    Kadar kedapan bunyi juga agak baik, membolehkan pemanduan Tucson boleh dinikmati pada kadar NVH yang rendah. Ketika mencapai kelajuan sekitar 150-160 km/j, penumpang masih lagi boleh mendengar radio tanpa menaikkan suara dan juga berbual dengan ton suara biasa.

    Kedua-dua varian Tucson dijana oleh enjin petrol 2.0 liter MPi “Nu” berkuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin memacu kedua-dua tayar hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik yang dibina oleh Hyundai sendiri.

    Walaupun tanpa sistem pacuan empat roda yang kebiasaannya memberikan sekitar 150 kg beban tambahan pada SUV lain, Tucson agak ‘malas’ ketika memecut dan memotong terutama pada rpm pertengahan. Mujur kotak gear enam-kelajuan automatik tersebut mampu memberikan penukaran gear yang agak baik dan penyampaian kuasa dari enjin ke kotak gear juga dapat dirasakan dengan cepat.

    Hyundai mendakwa Tucson mencatatkan pengunaan bahan api 7.9 liter untuk setiap 100 kilometer untuk kitaran perjalanan gabungan. Ketika memandu uji Tucson, saya memperolehi perjalanan sejauh 530 km dengan petrol penuh pada tangki yang berkapasiti 62 liter atau sekitar 11.7 liter untuk setiap 100 kilometer dengan laluan 40% di dalam bandar dan selebihnya di lebuhraya.

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 031

    Untuk sistem suspensi pula, Tucson dilengkapi dengan Topang McPherson di bahagian hadapan dan sistem suspensi bebas jenis multilink di belakang. Suspensi ini ditala dengan lembut bagi membolehkan pemandu dan penumpang menikmati keselesaan yang maksima. Suspensi ini memang selesa dalam erti kata sebenar, dengan memberikan serapan hentakan yang begitu baik.

    Namun, talaan keselesaan tersebut terpaksa mengorbankan keseronokan memandu SUV ini terutamanya ketika dihidangkan dengan jalan berliku. Suspensi yang lembut membuatkan pengedalian SUV ini tidak tajam dan lincah. Ditambah dengan sistem stereng kuasa elektrik (MDPS) yang terlalu ringan, menyukarkan saya mengagak laluan ketika mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi.

    Tetapi anda tidak perlu bimbang kerana setiap varian Tucson dilengkapi Kawalan Stabliti Elektronik (ESC) dan Sistem Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM) secara standard untuk memastikannya kekal melekat pada permukaan jalan.

    Sistem keselamatan lain yang dilengkapkan secara standard pada kedua-dua model termasuklah sistem brek ABS dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Brek Turun Bukit (DBC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) serta kamera undur. Varian Executive dilengkapi dengan enam-unit beg udara dan penderia parkir pada bahagian hadapan dan belakang manakala varian Elegence hanya menerima dua-unit beg udara pada bahagian hadapan dan penderia parkir hanya pada bahagian belakang.

    Tujuh warna ditawarkan untuk Tucson kedua-dua varian iaitu Pure White, Sepia Topaz, Pepper Grey, Platinum Silver, Ruby Wine, Ara Blue dan Phantom Black. Panel perlindungan di sekeliling badan kereta yang berwarna silver seperti unit yang kami uji ini adalah didatangkan secara opsyenal dengan harga RM1,988.

    Hyundai Tucson 2.0 Executive dijual pada harga RM142,632 manakala untuk varian 2.0 Elegence yang lebih rendah ia dijual pada harga RM129,990. Semua harga yang disebut adalah harga atas jalan termasuk GST tanpa cukai jalan. Setiap pembelian disertakan sekali dengan waranti lima tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Kesimpulan yang boleh dibuat, walaupun disaing hebat dengan SUV segmen-C buatan Jepun yang lain, Tucson masih mempunyai kekuatannya tersendiri seperti keselesaan,rupa bentuk keseluruhan dan juga unit infotainmennya. Jadi, untuk mereka yang bosan dengan pilihan stereotaip masyarakat Malaysia yang setia dengan SUV dari negara matahari terbit, Tucson mungkin adalah jawapannya.

     
     
  • Rapid Rail guna tren generasi baharu dengan teknologi terkini untuk LRT laluan Kelana Jaya

    lrt-depot

    Tren generasi baharu akan digunakan pada laluan LRT Kelana Jaya tambahan, yang akan mula beroperasi pada 13 Jun ini dengan sistem penghawa dingin yang lebih baik, tingkap yang lebih besar dan carta pengurusan penumpang elektronik, lapor The Star.

    Menurut Ketua Pegawai Esekutif Rapid Rail Sdn Bhd Ahmad Nizam Mohamed Amin, tren Bombadier Innovia Metro 300 yang diimport dari Kanada itu dilengkapi dengan spesifikasi yang ditingkat taraf dan terkini berbanding tren yang sedang digunakan sekarang, selari dengan permintaan industri yang sedang membangun.

    “Kami akan mengesan beberapa masalah kecil pada model sedia ada supaya kami tidak akan menghadapi masalah yang sama pada masa hadapan,” kata beliau.

    Ahmad Nizam turut memberitahu 14 tren dengan empat gerabak tersebut akan diperkenalkan pada Jun ini manakala lapan lagi set tren akan dibawa lagi kemudian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024