Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Rapid KL memperluaskan waktu lorong khas bas di Jalan Ampang – 6 pagi-9 pagi, Isnin-Jumaat

    Rapid KL memperluaskan waktu lorong khas bas di Jalan Ampang – 6 pagi-9 pagi, Isnin-Jumaat

    Rapid KL telah mengumumkan lorong khas bas di Jalan Ampang telah diperluaskan sejak 17 Februari lalu. Ia melibatkan bas Rapid KL laluan 300 (Pandan Indah-Lebuh Ampang) dan 303 (Taman Mulia Jaya-Lebuh Ampang). Laluan bas ini akan beroperasi pada waktu puncak pagi iaitu dari jam 6 pagi hingga 9 pagi, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat (kecuali hujung minggu dan cuti umum).

    Sebelum ini, pada 15 November tahun lalu, lorong khas bas yang melibatkan laluan bas yang sama telah diperkenalkan untuk waktu puncak petang iaitu dari jam 4.30 petang hingga 7 malam.

    Buat pertama kalinya konsep ini diperkenalkan di Malaysia dan dimulakan pada 3 Januari 2023 yang melibatkan bas Rapid KL yang melalui Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak. Ia merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengurangkan kesesakan trafik di tengah ibu kota KL khususnya pada waktu puncak pagi dan petang.

     
     
  • Kamax Cub-X 150 bakal masuk Malaysia suku ketiga tahun ini – kapcai cross enjin 150 cc Fi, sekitar RM9k

    Kamax Cub-X 150 bakal masuk Malaysia suku ketiga tahun ini – kapcai cross enjin 150 cc Fi, sekitar RM9k

    Selepas Super Pro 125, Kamax khabarnya akan melancarkan sebuah lagi model baru iaitu Cub-X 150 untuk pasaran Malaysia, dengan dijangka tiba pada bulan Ogos atau September tahun ini dan dijual pada harga sekitar RM9k. Di negara kita, Kamax diuruskan oleh KTNS Holdings Sdn Bhd.

    Cub-X 150 adalah sebuah kapcai yang mempunyai gaya retro tetapi dipasang dengan kelengkapan yang membolehkannya berhadapan dengan jalan sedikit lebih lasak termasuk rim 17 inci spoked tanpa tiub dengan tayar pelbagai guna, serta ekzos lebih tinggi.

    Suspensinya masih sama seperti Super Pro 125, terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, tetapi kedudukan tempat duduknya adalah lebih tinggi, menjadi 780 mm, dengan jarak kelegaan dari tanah 130 mm.

    Menggerakkan Cub-X 150 adalah enjin satu silinder empat strok penyejukan udara, suntikan bahan api 147.5 cc, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac di sebelah kiri pemegang. Tork maksimum yang mampu dihasilkan adalah 10.5 Nm pada 5,000 rpm.

    Walaupun mempunyai rupa klasik, motosikal ini datang dengan kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, sistem kunci pintar serta meter digital LCD, dan ia boleh datang dalam beberapa variasi dengan pilihan brek ABS/CBS dan satu atau dua tempat duduk. Spesifikasi untuk model yang dijual di Malaysia dapat dilihat apabila ia dilancar nanti.

     
     
  • MG4 EV Standard dapat pilihan leatherette dengan naik taraf tempat duduk suede – kos tambahan RM1.6k

    MG4 EV Standard dapat pilihan leatherette dengan naik taraf tempat duduk suede – kos tambahan RM1.6k

    MG Motor Malaysia telah mengumumkan penawaran pilihan naik taraf untuk varian Standard bagi MG4 EV. Dengan hanya kos tambahan RM1,600, pemilik baharu atau sedia ada varian ini boleh menggantikan balutan tempat duduk fabrik hitam dengan kemasan baharu dalam leatherette (kulit buatan) bersama sentuhan suede.

    Varian Standard pada masa ini dijual dengan harga atas jalan RM104,629 tanpa insurans, dengan naik taraf ini menjadikan jumlah keseluruhan cecah RM106,229.

    Bagi varian Standard, ia diberikan motor tunggal dengan kuasa 125 PS (170 kW) dan tork 250 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 51 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 350 km mengikut WLTP.

    Bagi pengecasannya, MG4 Standard boleh menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti hingga 117 kW, dan mengambil masa sekitar 37 minit untuk capai status penuh dari 10-80%. Jika menggunakan pengecas AC, ia mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk mencapai status pengecasan dari 10-100% dengan sokongan kapasiti maksimum 7 kW.

    MG4 Standard menerima ciri kelengkapan termasuk roda aloi 17-inci, lampu utama LED, kluster instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sistem audio dengan empat-pembesar suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, enam beg udara, brek kecemasan autonomous, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong, lampu tinggi automatik, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kesesakan trafik dan kepekaan perhatian pemandu.

    GALERI: MG4 Standard di Malaysia

     
     
  • Volvo sah tidak lagi menghasilkan model wagon baharu, hanya tumpu kepada model sedan dan SUV

    Volvo sah tidak lagi menghasilkan model wagon baharu, hanya tumpu kepada model sedan dan SUV

    Semalam Volvo baru sahaja mendedahkan sedan EV baharunya iaitu ES90. Kebiasaan pada model-model tradisi Volvo, setiap sedan pasti ada versi wagon – jadi adakah ‘EV90’ bakal diperkenalkan dalam pasaran selepas ini? Malangnya, CEO Volvo Cars Jim Rowan mengesahkan bahawa syarikatnya tidak lagi akan menghasilkan model-model wagon baharu.

    Perkara ini disebut oleh Rowan selepas AutoExpress bertanyakan soalan, adakah kita akan lihat masa hadapan tanpa model-model Estate atau wagon tradisi Volvo selepas ini? “Ya. Kerana saya rasa [pasaran] sudah berubah, kan?” Jawab Rowan.

    Menurut beliau selepas ini Volvo akan fokus hanya kepada SUV dan sedan, berbanding melestarikan lagi barisan modelnya termasuk untuk menambah model wagon baharu atau bentuk-bentuk badan yang lain.

    Volvo sah tidak lagi menghasilkan model wagon baharu, hanya tumpu kepada model sedan dan SUV

    Antara wagon Volvo yang ikonik – 850 Estate yang dijelmakan sebagai jentera lumba British Touring Car Championship

    “Agak mahal untuk membawa model-model berbeza ke dalam pasaran, dan agak mahal untuk mengekalkan model-model tersebut dalam pasaran,” jelasnya.

    “Jadi kami perlu membuat pilihan: berbanding menghasilkan V90 [baru] misalnya, lebih baik untuk memposisikan kereta itu dengan cara berbeza. Jadi kami ada Black Edition, kami ada edisi Cross Country – sekarang kami ada edisi-edisi berbeza untuk satu kereta asas yang sama.

    “Ia adalah lebih, lebih murah, dan kos lebih berkesan untuk kami bagi memacu lebih volum menerusi platform sama dan faktor bentuk yang sama,” kata Rowan lagi.

    Volvo sah tidak lagi menghasilkan model wagon baharu, hanya tumpu kepada model sedan dan SUV

    Beberapa minggu sebelum Rowan mengeluarkan kenyataan ini, pengarah komersil Volvo United Kingdom Robert Deane berpendapat bahawa penghentian penawaran dua model wagon Volvo iaitu V60 dan V90 di pasaran tersebut pada 2023 merupakan langkah yang salah dan kemudian kedua-dua model berkenaan ditawarkan semula pada tahun lalu.

    “Apabila anda bagitahu pelanggan runcit model [estate] tidak lagi ditawarkan, mereka berlalu pergi dan membeli model estate jenama lain,” kata Deane.

    Tetapi Rowan menegaskan pendiriannya dan berkata: “Kami membuat pilihan yang sangat wajar tentang di mana kami mahu bermain permainan. Di mana kami membezakannya dengan SUV; ketinggian pemanduan tinggi yang bagus, sangat selamat – dan kami fikir kami boleh melindungi kekuatan itu daripada persaingan. Ia lebih mudah daripada kita menjadi terganggu oleh kerana terlalu banyak model.”

     
     
  • Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan Tuas, Woodlands di S’pura menjelang Raya, cuti sekolah

    Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan Tuas, Woodlands di S’pura menjelang Raya, cuti sekolah

    Aliran trafik dijangka sesak dan padat di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands di Singapura menjelang Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah di republik berkenaan, kata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) seperti yang dilaporkan Straits Times.

    Tahun Baharu Cina 2025 menyaksikan lebih tiga juta pengguna jalan raya menggunakan dua pusat pemeriksaan tersebut dari 24-30 Januari, dengan jumlah tertinggi mencapai 521,000 individu pada 24 Januari. Semasa tempoh puncak, pemandu kenderaan terpaksa menunggu selama tiga jam bagi proses imigresen disebabkan kesesakan dari Malaysia, kata ICA.

    Tempoh cuti sekolah di Singapuran bagi bulan Mac akan bermula dari 14 hingga 24 Mac, manakala tempoh cuti Hari Raya Puasa adalah dari 28 Mac hingga 1 April.

    Trafik dijangka sesak di pusat pemeriksaan Tuas, Woodlands di S’pura menjelang Raya, cuti sekolah

    Menurut ICA, orang ramai diingatkan untuk memastikan pasport mereka mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan jika ingin ke luar negara dan untuk tidak membawa barang yang dilarang atau terkawal. Bagi mereka yang menggunakan kenderaan atau motosikal, disarankan untuk menggunakan kod QR sebagai ganti pasport bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen.

    Dalam masa yang sama, pemandu juga dinasihatkan untuk memeriksa situasi trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan. Selain itu, orang ramai juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan sebagai alternatif. Waktu operasi boleh didapati di aplikasi MyTransport.SG kendalian Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat atau di laman sesawang yang disediakan.

    Bagi rakyat Malaysia yang masuk dan keluar Singapura dengan menggunakan kenderaan, bolehlah menggunakan kod QR berbanding pasport yang telah dilaksanakan sejak 19 Mac 2024. Kerajaan Malaysia kini dalam rancangan untuk melaksanakan cara yang sama bagi pengguna kenderaan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) tahun ini untuk penumpang bas dan penunggang/pembonceng motosikal.

     
     
  • Honda S7 EV 2025 dilancarkan di China – varian AWD sehingga 469 hp/770 Nm, 0-100 km/j dalam 4.6 saat

    Honda S7 EV 2025 dilancarkan di China – varian AWD sehingga 469 hp/770 Nm, 0-100 km/j dalam 4.6 saat

    Honda bersama rakan kerjasama Dongfeng Honda telah melancarkan kenderaan elektrik (EV) terbaharunya di China, diberi nama sebagai Honda S7. Ia adalah versi produksi dari model konsep Honda Ye S7 yang didedahkan pada April lalu, dan nampaknya tampil dengan rupa yang sama.

    SUV ini menampilkan dimensi panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm dan tinggi 1,625 mm, bersama jarak roda sejuh 2,930 mm. Jadi berbanding Tesla Model Y Juniper, Honda S7 ini adalah 47 mm lebih pendek, namun jarak rodanya adalah 40 mm lebih panjang.

    S7 menampilkan bahasa rekaan terbaharu daripada Honda yang menampilkan muncung tajam dengan pemadanan lampu hadapan utama berbentuk-Y, bersama jalur lampu nyalaan siang LED yang bersambung pada bahagian ‘gril’. Ia juga tampil dengan loga ‘H’ lebih ringkas tanpa kerangka yang rata dan tenggelam serta berlampu.

    Model ini turut diberikan rekaan bumbung rendah dan bersegi seperti HR-V generasi sedia ada, serta menampilkan panel overfender pada setiap ruang roda bagi memberikan imej yang lasak. Honda menawarkan pilihan set rim dari 19-inci dan 21-inci berdasarkan varian yang dipilih.

    Honda S7 EV 2025 dilancarkan di China – varian AWD sehingga 469 hp/770 Nm, 0-100 km/j dalam 4.6 saat

    Manakala di belakang, bentuk asas ‘Y’ pada lampu masih kelihatan, dan kedua-dua lampu dihubungkan menerusi bar lampu merentangi pintu tailgate belakang dengan pencahayaan dari jalur LED. Honda S7 ini juga hadir dengan pembuka pintu yang tenggelam, dan pembeli turut ditawarkan dengan pilihan kamera sisi bagi menggantikan cermin sisi konvensional.

    Dua konfigurasi unit rangkaian kuasa ditawarkan pada Honda S70 ini. Yang pertama adalah versi pacuan roda belakang menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp (200 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ia dibekalkan dengan pek bateri NMC berkapasiti 89.8 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 650 km untuk satu cas penuh berdasarkan ujian CLTC.

    Manakala varian tertinggi diberikan dua motor elektrik dengan kebolehan pacuan semua roda, di mana satu lagi motor elektrik diletak pada gandar hadapan berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 350 Nm. Secara keseluruhan Honda S7 AWD ini dibekalkan dengan kuasa 469 hp (350 kW) dan tork maksima 770 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

    Walaupun hadir dengan kuasa lebih besar, bateri yang dibekalkan pada varian AWD ini masih sama iaitu 89.8 kWj. Jadi dengan satu cas penuhi hanya boleh bergerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian CLTC. Manakala untuk mengecas, kedua-dua varian boleh menggunakan sistem AC di mana bateri boleh dipenuhkan dari 5-100% dalam masa 13.3 jam, dan sistem cas pantas DC membolehkan cas dari 30% mencapai 80% dalam masa 36 minit.

    Honda S7 EV 2025 dilancarkan di China – varian AWD sehingga 469 hp/770 Nm, 0-100 km/j dalam 4.6 saat

    Untuk casis, SUV ini menerima suspensi jenis double wishbone pada sebelah hadapan, dan juga multilink pada sebelah belakang. Manakala untuk varian AWD, ia turut dipadankan dengan penyerap hentak jenis adaptif.

    Dalam kabin, S7 menampilkan rekaan berbeza dari model-model Honda sedia ada. Papan pemukanya diberikan skrin gergasi 24-inci dalam posisi menegak pada konsol tengah, manakala pemandu menerima paparan instrumen dengan skrin LCD leper tanpa perumah bersaiz 9.9-inci, dan juga paparan head-up AR 41.9-inci.

    Tiada logo ‘H’ diberikan pada roda stereng dan ia digantikan dengan skrip ‘HONDA’. Manakala paparan dari kamera sisi dipancarkan pada skrin yang terletak pada panel pintu. Tiada tombol gear diberikan dan ia diganti dengan suis ‘PNDR’ pada konsol terowong yang dibina ‘terapung’ dengan bahagian storan tambahan diberikan di bawahnya.

    Ia turut diberikan tempat duduk hadapan larasan elektrik bersama fungsi memori, pemanas dan pengalir udara serta sistem penghawa dingin dua zon dengan penapis udara PM2.5 dan pewangi bina dalam. Varian pacuan roda belakang diberikan sistem bunyi dengan lapan pembesar suara, sementara varian AWD diberikan sistem bunyi premium dari Bose dengan 16 pembesar suara termasuk yang diletakkan pada perehat kepala.

    Ruang kargo Honda S7 ini menawarkan but dengan kapasiti 471 liter, dan ia boleh dibesarkan lagi menerusi tempat duduk belakang yang boleh dilipat dalam nisbah 60:40.

    Manakala untuk keselamatan, SUV EV Honda ini diberikan 11-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang memberikan fungsi seperti cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, batuan tukar lorong, pemantau titik buta, pemantau 360 darjah dan pelbagai lagi.

    Di China Honda S7 ini dijual pada harga bermula RMB259,900 (RM159k) untuk varian asas pacuan roda belakang sehingga RMB309,900 (RM190k) untuk varian AWD. Menurut laporan CarNewsChina, S7 ini sepatutnya dijual dengan jenama Honda Ye, namun tidak diketahui mengapa ia tidak digunakan untuk versi produksi ini. Malah selepas ini kembar S7 iaitu Honda P7 yang dihasilkan oleh kerjasama GAC-Honda pula akan diperkenalkan, menampilkan rupa muka yang berbeza.

    Tidak diketahui sama ada S7 atau P7 ini akan dibawa ke pasaran luar China atau tidak. Sebelum ini model EV Honda e:NS1 yang diperkenalkan di China telahpun dibawa ke pasaran global dikenali sebagai Honda e:N1, dan ia bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini.

     
     
  • Mitsubishi Triton Raya Rewards; diskaun hingga RM9k

    Mitsubishi Triton Raya Rewards; diskaun hingga RM9k

    Sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sedang menjalankan kempen Triton Raya Rewards yang berlangsung sekarang hingga hujung Mac nanti dengan tawaran yang sukar dilepaskan.

    Miliki Triton Athlete, yang dijual dengan harga RM165,980 atas jalan belum termasuk insurans dan pelanggan akan menikmati penyelenggaraan percuma selama tiga tahun termasuk rebat RM2,000 (atau RM5,000 tanpa servis percuma) yang boleh dipilih.

    Triton AT Premium pula diberikan tawaran yang lebih menarik — servis percuma selama dua tahun dengan rebat RM6,000 (atau 9,000 tanpa servis percuma). Berdasarkan harga jualannya RM145,980, diskaun maksimum akan menjadikan harga varian ini berada di bawah RM140k!

    Mitsubishi Triton Raya Rewards; diskaun hingga RM9k

    Trak pikap moden ini boleh dijadikan pilihan alternatif yang menarik juga, misalnya selain SUV. Triton menawarkan keselesaan untuk pemanduan seharian. Triton baru ini juga 55 mm lebih panjang, 115 mm lebih lebar dan 35 mm lebih tinggi berbanding model lamanya. Jarak roda 3,130 Nm pula ialah 130 mm lebih panjang — menjadikan ruang dalaman dan ruang barang kini lebih luas dan selesa.

    Triton terbaru ini dikuasakan oleh enjin Hyperpower 4N16 2.4-liter turbodiesel baru yang menjana 184 PS/430 Nm, dengan varian Athlete diberikan lebih output (204 PS/470 Nm). Ini 20 PS/40 Nm lebih kuasa berbanding varian paling lengkap sebelum ini, disumbangkan oleh tetapan turbo berkembar sequential yang ada kini. Ia juga lengkap dengan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. NVH juga lebih baik.

    Perincian lanjut berkaitan Mitsubishi Triton ketika pelancarannya di sini.

     
     
  • Audi Q7 CKD 2025 dibuka tempahan di Malaysia – 3.0 TFSI quattro, 340 PS; harga dijangka RM480k-RM530k

    Audi Q7 CKD 2025 dibuka tempahan di Malaysia – 3.0 TFSI quattro, 340 PS; harga dijangka RM480k-RM530k

    Audi Q7 telah pun sah bakal kembali ke pasaran Malaysia dengan versi pemasangan tempatan (CKD), dan menerusi Facebook penasihat jualan Audi Centre Glenmarie Muhammad Zarul Ashidil yang menyatakan bahawa model ini telah pun dibuka tempahan dan dijangka akan dilancarkan sekitar Mei ini.

    SUV tujuh tempat duduk ini dianggarkan berharga antara RM480,000 dan RM530,000 – jauh lebih tinggi daripada adik beradik berkongsi platform MLB Evo yang sama iaitu Volkswagen Touareg juga pemasangan tempatan. Kereta itu baru-baru ini diberi potongan harga besar-besaran RM69,300 dan kini dijual bermula dari RM384,972. Walau bagaimana pun harga Q7 jauh dijangka jauh lebih rendah berbanding model generasi kedua yang ditawarkan di pasaran tempatan iaitu RM599,900.

    Dengan harga jangkaan itu (dengan sekurang-kurangnya jaminan dua tahun), pastinya Q7 ini akan dibandingkan dengan pesaingnya di Jerman iaitu BMW X5 xDrive50e yang bermula dari RM494,800 dan Mercedes-Benz GLE450 (dengan jaminan empat tahun) berharga RM524,888.

    Tidak seperti Toureg dan Porsche Cayenne, Q7 ditawarkan dengan versi plug-in hybrid di kebanyakan pasaran. Kuasanya dijanakan dari enjin yang sama iaitu 3.0 liter pengecas turbo V6 dengan hamburan 340 PS (sama seperti Touareg) dan tork 500 Nm (mirip Cayenne). Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF dan pacuan semua-roda quattro.

    Q7 ini telah menerima naiktaraf kedua pada tahun lalu, diberikan rekaan bampar hadapan yang lebih bergaya, lampu utama matrix LED dan lampu belakang OLED serta sedikit perubahan pada ruang kabinnya (ia menerimapapak pemuka seperti Q8 serba baharu yang diperkenalkan pada 2019).

    Walau bagaimana pun, warna Chili Red seperti yang ditunjukkan menerusi video di bawah tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Di mana Zarul mengambil foto tersebut ketika dalam kunjungannya ke Audi Centre Perth di Australia awal bulan ini.

     
     
  • Insentif kerajaan bagi industri yang gunakan ECRL untuk kargo; akan kurangkan jumlah lori dari atas jalan

    Insentif kerajaan bagi industri yang gunakan ECRL untuk kargo; akan kurangkan jumlah lori dari atas jalan

    Kerajaan akan memberikan insentif kepada syarikat bagi menggalakkan penggunaan East Coast Rail Link (ECRL) bagi penghantaran kargo, sebaik sahaja projek itu siap dan beroperasi pada 2027 nanti.

    Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang menjawab pertanyaan di parlimen semalam berkaitan kaedah untuk mengurangkan jumlah kenderaan berat di jalan ketika waktu puncak, bagi mengurangkan kadar kemalangan, lapor Bernama.

    Anthony berkata, dengan industri menggunakan ECRL adalah satu daripada cara terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan berat di lebuh raya, yang juga akan berupaya mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan. “Kami melihat ini (ECRL untuk kargo barangan) sebagai alternatif yang baik, terutama bagi laluan kenderaan berat dari atau menuju Pantai Timur. Insentif ini akan diperkenalkan apabila ECRL siap nanti,” jelas beliau.

    Bulan lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata yang ECRL — yang menghubungkan Kota Bharu ke Port Klang, merentasi empat negeri — telah mencapai tahap 78.5% siap setakat Januari 2025, dan ia dijadualkan mula beroperasi pada 2027.

     
     
  • Rapid KL On-Demand bakal ke tujuh laluan baharu mulai 10 Mac – Bangi, Titiwangsa, Kinrara, OUG dll

    Rapid KL On-Demand bakal ke tujuh laluan baharu mulai 10 Mac –  Bangi, Titiwangsa, Kinrara, OUG dll

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid KL) bakal memperluaskan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau DRT) ke tujuh laluan baharu bermula 10 Mac ini.

    Laluan terbabit ialah Taman Melati-Gombak Setia (T202B), Bukit Antarabangsa-Setiawangsa (T255B), Bangi-UNITEN (T466B), Taman OUG-Kuchai Lama (T651B), Titiwangsa-Chow Kit (T254B), Bandar Kinrara-Jalan Puchong (T606B) dan LRT Wangsa Maju-Sri Rampai (T253B).

    Anda boleh menempah tempat duduk di dalam van ini sama ada menggunakan aplikasi Kummute (Kumpool), Trek atau Mobi bergantung pada lokasi, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang yang dikenakan ialah RM1 sehala, dan juga boleh dibayar menggunakan My50/MyCity/Pas Famili, Touch n Go, kad konsesi MyRapid dan juga pas OKU Smile.

    Pada pertengahan Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan ini yang akan beroperasi secara berperingkat sejak bulan lalu hingga Jun tahun ini. Ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.

     
     
  • Projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal bermula suku keempat 2025 – 17.4 km; siap tahun 2030

    Projek Lebuhraya Juru-Sungai Dua bakal bermula suku keempat 2025 – 17.4 km; siap tahun 2030

    Tidak lama lagi ada satu lebuhraya baharu yang bakal memulakan pembinaan di Pulau Pinang. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 dijadualkan bermula suku keempat tahun ini

    Menurut beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 bakal mengurangkan kesesakan teruk di jajaran antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua termasuk di beberapa persimpangan seperti Jambatan Pulau Pinang, Perai, Permatang Pauh dan Sungai Dua, laporan Harian Metro.

    “Lebuhraya sepanjang 17.4 km itu akan mempunyai jajaran bertingkat sejauh sembilan km melibatkan lapan fasa pembangunan. Ia juga akan merangkumi persimpangan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik,” katanya.

    Tambah beliau, kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pihak berkaitan bagi memastikan projek ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar. Menurutnya, konsep lebuhraya baharu itu akan memisahkan trafik tempatan dengan trafik aliran terus seperti yang dilaksanakan di Ipoh, Perak.

    “KKR memaklumkan persetujuan bersama PLUS sudah dicapai iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja fizikal bermula suku keempat tahun ini dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan. Jumlah kos sebenar akan dimuktamadkan, bagaimanapun saya difahamkan berlaku penjimatan iaitu lebih rendah daripada kos sebenar RM3 bilion seperti diumumkan sebelum ini,” katanya.

    Selain pembinaan lebuh raya, Zairil berkata, beberapa persimpangan kritikal turut akan dinaik taraf termasuk persimpangan bertingkat Juru Utara (Autocity), persimpangan Jambatan Pulau Pinang serta tambahan jejambat dari Jalan Tun Hussein Onn ke Lebuhraya Utara-Selatan.

     
     
  • FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    FGV Biotechnologies iaitu anak syarikat gergasi industri sawit tempatan, Felda Global Ventures (FGV) baru-baru ini melancarkan kempen Biodiesel B100 di Fraser Hill, Pahang. Jika B10 adalah bahan api diesel dengan campuran 10% minyak kelapa sawit, seperti namanya, Biodiesel B100 ini merupakan bahan api diesel yang diperbuat dari 100% minyak kelapa sawit.

    Menurut syarikat itu, usaha memperkenalkan bahan api ini bukan sekadar satu langkah ke hadapan dalam penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit, tetapi juga satu usaha yang signifikan dalam menyokong pekebun kecil dan memperkasa industri minyak sawit tempatan.

    “Dengan pelaksanaan B100, kita dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam penggunaan bahan api lestari, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi negara dan kelestarian alam sekitar,” kata FGV dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    FGV uji biodiesel B100 di Malaysia – diesel dari 100% minyak kelapa sawit tanpa campuran bahan api fosil

    Walau bagaimanapun syarikat tersebut tidak menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan sasaran dan parameter ujian berkenaan. Namun ia ada menjelaskan bahawa buat masa sekarang ujian yang dibuat adalah terhadap kenderaan penumpang biasa untuk tempoh setahun. Kenderaan yang dimaksudkan adalah sebuah Mazda CX-8, iaitu salah sebuah SUV untuk kegunaan harian yang ditawarkan dengan enjin diesel di Malaysia.

    CX-8 juga mewakili model dengan enjin diesel paling moden ditawarkan dalam pasaran, dipadankan dengan enjin 2.2 liter Skyactiv-D berkuasa 188 PS dan tork maksima 450 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan konvensional.

    Dalam kenyataan yang sama, FGV menjelaskan bahawa ia telah pun menjalankan ujian perintis penggunaan B100 selama empat bulan ke atas lori tangki. Ujian berkenaan mungkin telah berjaya, justeru ia dilanjutkan untuk diuji pada kenderaan penumpang biasa pula.

    Ini bukan kali pertama bahan api biodiesel B100 ini diuji di Malaysia. Pada 2023, Shell telah melancarkan ujian perintis biodiesel B100 terhadap lori-lori tangki Scania yang dioperasikan oleh Konsortium Port Dickson. FAME (asid lemak metil ester) merupakan istilah kimia generik untuk biodiesel yang dihasilkan dari sumber yang boleh diperbahrui, dan semua trak Scania sudahpun boleh menggunakan bahan api FAME sehingga B100 sejak 2019.

    Penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit ini memberikan kelebihan kepada negara-negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia dan Indonesia, di mana ia bukan sahaja boleh mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api diesel serta pemberian subsidi (ada lagi bahagian di Malaysia masih menerima subsidi tersebut), dan dalam masa yang sama meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit.

    Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) juga sebelum ini sudahpun mensasarkan untuk Malaysia agar beralih kepada biodiesel B30 menjelang 2030. Dalam pasaran buat masa sekarang, biodiesel yang ditawarkan masih lagi B10, manakala pengenalan untuk penggunaan biodiesel B20 telah beberapa kali ditangguhnkan.

     
     
  • JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    Selain versi diesel, JAC Malaysia juga turut melancarkan trak pikap T9 versi elektrik (EV) untuk pasaran tempatan. Sama seperti versi diesel, T9 EV juga diimport terus dari China (CBU) dan ditawarkan pada harga atas jalan RM199,888 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan dan enam-tahun atau 200,000 km untuk bateri. T9 EV ini merupakan trak pikap 4×4 elektrik bukan-komersil pertama yang diperkenalkan di Malaysia.

    Berkenaan dengan dimensinya, ia sama seperti T9 diesel dengan panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Begitu juga dengan ruang kargonya yang sepanjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm.

    Bagi versi EV ini, ia diberikan tetapan dua motor elektrik dengan yang di hadapan berkuasa 70 kW (95 PS), dan 160 kW (218 PS) dari motor belakang. Gabungan dua motor ini mampu menghasilkan tork keseluruhan 516 Nm dan bolehkan trak pikap ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum cecah 140 km/j.

    Motor ini dijanakan oleh bateri LFP 88 kWh yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 340 km mengikut ujian WLTP. Ia boleh dicas menggunakan sumber DC sehingga 88 kW melalui sambungan CCS2 dan boleh mencapai status pengecasan (SoC)30-80% dalam masa 35 minit. Apabila dicas menggunakan sumber AC dengan sambungan Type 2 sehingga 11 kW pula, baterinya akan naik 15-100% dalam masa enam jam 50 minit.

    JAC T9 EV dijual di Malaysia – dua motor, bateri 88 kWh, jarak gerak hingga 340 km, dari RM199,888

    Untuk rekaan luarannya, tidak nampak bezanya dengan versi diesel, namun untuk mengenali T9 EV ini, ia diberikan lencana JAC biru (rona merah untuk T9 diesel) yang terdapat pada gril hadapannya. Ia juga tidak mempunyai pengesan jarak hadapan serta rel bumbung, seperti mana yang diberikan untuk T9 diesel.

    Selain daripada itu, ciri kelengkapan lain masih sama seperti lampu hadapan, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang yang kesemuanya unit LED, rim 18-inci dengan tayar 265/60R18, brek cakera hadapan dan belakang, sports bar, pemijak tepi serta cangkuk penarik (towing hook) di bampar hadapan.

    Untuk bahagian kabinnya, ia juga mirip dengan versi diesel termasuk dilengkapi panel instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh 10.4-inci untuk infotainmen dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disediakan adalah pengecas tanpa wayar serta konsol tengah dengan fungsi penyejuk.

    Walau bagaimana pun, untuk tempat duduknya, hanya bahagian pemandu sahaja yang menerima fungsi pelarasan elektronik. sementara tombol pemilih gear transmisi dan 4WD diganti dengan tombol tunggal. Ia juga diberikan Intelligent Electronic Shift dengan lima mod pemanduan (ECO, Normal, Snow, Sport dan Off Road).

    Malah ciri keselamatan yang diperoleh T9 EV juga sedikit berbeza dengan versi diesel. Di mana versi EV hanya diberi ciri keselamatan asas yang terdiri tujuh beg udara, Passive Cruise Control, ABS, EBD, Brake Override, Hill Start Assist, Brake Assist, Traction Control, Stability Control dan Blind Spot Detection .

    Lima pilihan warna luaran yang ditawarkan untuk T9 EV ini iaitu merah, hitam, perak, kelabu dan putih, sementara warna balutan kulit dalam pula disediakan dalam rona hitam. Sekali lagi, T9 EV ini ditawarkan pada harga atas jalan RM199,888 tanpa insurans yang didatangkan dengan waranti enam-tahun atau 200,000 km untuk bateri.

     
     
  • JAC T9 diesel dilancar di Malaysia – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    JAC T9 diesel dilancar di Malaysia  – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    Selepas hampir lima bulan ia diperkenalkan di Malaysia, petang ini JAC T9 diesel, telah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Selain versi enjin pembakaran dalaman (ICE), Evolvelectric Motors Sdn Bhd selaku pengedar JAC untuk Malaysia turut melancarkan T9 EV yang merupakan trak pikap elektrik bukan-komersil pertama dipasarkan di sini.

    Trak pikap double-cab yang diimport terus dari China (CBU) ini hanya ditawarkan dengan satu varian sahaja iaitu Grand-ES. Ia ditawarkan dengan harga bermula RM119,888 dan didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had batuan dan 8-tahun (juga tanpa had perbatuan) untuk enjin (bagi pemilik pertama sahaja).

    T9 diesel ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter diesel turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 170 PS (125 kW) pada 3,600 rpm dan tork 410 Nm antara 1,500 rpm ke 2,500 rpm, dengan pacuan dihantar kepada semua roda melalui tranmsisi automatik lapan-kelajuan ZF, sistem 4WD separa masa BorgWarner serta differential belakang boleh kunci secara elektronik.

    Bagi sistem suspensi, ia diberikan tetapan double wishbone di hadapan, dan spring dedaun multi-link untuk belakang. Selain itu, ia juga menerima stereng kuasa elektrik seperti mana yang digunakan oleh persaingnya iaitu Ford Ranger dan Mitsubishi Triton Athlete.

    JAC T9 diesel dilancar di Malaysia  – 2.0L diesel turbo, AT 8-kelajuan ZF, 170 PS/410 Nm, CBU; dari RM119,888

    Seperti kebiasaan bagi sebuah trak pikap, JAC T9 diletakkan atas kerangka ladder frame dan hampir separuh daripada binaan badan T9 ini dibuat daripada besi berkekuatan tinggi, dan bahagian tepinya diperkuat untuk menahan impak. Di hadapan pula terdapat sepasang cangkuk yang boleh menarik sehingga 3,100 kg setiap satu.

    T9 diesel ini berukuran panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak roda 3,110 mm. Berat keseluruhan trak pikap ini adalah 2,055 kg, dan boleh membawa berat sehingga 1,000 kg, dengan kapasiti menarik 3,500 kg. Ruang kargonya mencatat ukuran panjang 1,520 mm, lebar 1,590 mm dan tinggi 470 mm.

    Untuk kelengkapan luarannya, T9 ini ditampilkan dengan rekaan gril hadapan yang garang, lampu utama LED yang langsing, lampu belakang LED menegak dan lampu nyalaan siang (DRL) LED persegi, lampu kabus hadapan dan belakang, pengesan jarak hadapan dan belakang, rel bumbung, sports bar serta pemijak kaki tepi. Ia juga diberikan rim aloi pelbagai-jejari 18-inci yang dibaluti tayar 265/60R18, manakala brek pada semua roda pula adalah daripada jenis cakera.

    Menjengah bahagian kabinnya, kelengkapan yang diberikan boleh dikatakan agak canggih juga. Bahagian papan pemukanya diberikan panel instrumen digital tujuh-inci, skrin sesentuh 10.4-inci untuk infotainmen (dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto). Ia juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Snow.

    Selain itu, kelengkapan yang turut diberikan termasuklah pengecas tanpa wayar, pemilih gear elektronik, brek parkir elektronik serta stereng yang boleh dilaras ketinggiannya. Turut diberikan adalah kamera 360 darjah berserta kamera undur dan soket pengecas USB-A (18W), USB-C (60W) serta 220-volt (150W) untuk pelbagai kegunaan lain. Untuk kedua-dua tempat duduk hadapan, ia didatangkan dengan larasan kuasa serta pemanas. Tempat duduknya juga dibaluti kulit dengan paten berlian.

    Bagi sistem bantuan pemandu ADAS, ia merangkumi Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Emergency Lane Keeping, Blind Spot Detection, Rear Cross-Traffic Alert, Forward Collision Warning, Door Opening Warning, Traffic Jam Assistant, Driver Monitoring dan Autonomous Emergency Braking (depan dan belakang).

    Kelengkapan keselamatan pula terdiri daripada ABS, EBD, Brake Override, Hill Start Assist, Brake Assist, Traction Control, Stability Control serta pemerhati tekanan angin tayar. T9 diesel juga diberikan tujuh beg udara dan menjadi satu-satunya trak pikap di Malaysia yang mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) mengikut protokol terkini.

    T9 diesel ini ditawarkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu merah (dengan kemasan dalaman kulit rona hitam), hitam (kemasan dalaman coklat), kelabu (kemasan dalaman hitam), perak (kemasan dalaman coklat) dan putih (kemasan dalaman hitam atau coklat).

     
     
  • Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka akan menjalankan operasi percubaan pada 15 Mac sebagai hentian pusat bagi penumpang yang tiba dari Pantai Timur, jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Terletak di lokasi strategik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan berdekatan dengan tol plaza Gombak serta stesen LRT Gombak, TBG akan menjadi gerbang pengangkutan utama ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

    Beliau turut maklumkan jika TBG akan mula beroperasi sepenuhnya hujung bulan ini, ia akan membantu mengurangkan kesesakan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS). TBG juga akan memulakan perkhidmatan mengambil penumpang seminggu kemudiannya, dan tiket bas boleh dibeli di TBS memandangkan kaunter tiket TBG belum dibuka.

    “Kementerian bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemeriksaan akhir sebelum hujung minggu depan,” jelasnya kepada wartawan selepas memeriksa terminal berkenaan dan ketersambungannya dengan perkhidmatan LRT serta East Coast Rail Link (ECRL).

    Terminal Bersepadu Gombak akan mula operasi percubaan pada 15 Mac — gerbang baru Pantai Timur

    “Selain bas ekspres, terminal berkenaan juga disambungkan dengan perkhidmatan bas dalam bandar serta bersepadu dengan stesen LRT Gombak. Selain itu, pembinaan stesen ECRL Gombak juga sedang berlangsung,” tambah beliau. Pembinaan ECRL ketika ini sudah 79% selesai.

    TBG akan turut menempatkan kedai runcit, kedai makanan dan minuman ringan, dewan serba guna dengan kapasiti 2,000 dan 1,200 ruang parkir. Terminal tujuh tingkat ini terdiri daripada tiga tingkat bagi perkhidmatan bas dan empat tingkat untuk jualan dan beli-belah. Turut disediakan ialah platform bagi golongan kelainan upaya (OKU).

    “Ketika pelanggan membeli tiket, ada ciri yang membolehkan mereka untuk memaklumkan sekiranya mereka OKU. Sistem akan merekodkan maklumat ini, dan memastikan pas yang ditugaskan nanti akan mengambil penumpang di platform mesra OKU,” tambahnya.

     
     
  • Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Susulan pelancaran Xpeng X9 semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Group, Datuk Francis Lee Kok Chuan turut berkongsi maklumat berkaitan adakah kemungkinan pemasangan CKD bagi model-model Xpeng di Malaysia.

    Dari aspek perkembangan serantau, minggu ini Xpeng mengumumkan bakal menjalankan CKD bagi dua modelnya, G6 dan X9 di Indonesia bermula separuh kedua tahun ini. Jadi, bagaimana dengan Malaysia? X9 yang dilancarkan semalam adalah unit CBU dari China. Adakah selepas ini model yang dipasarkan di sini datangnya dari Indonesia?

    Menurut beliau, Xpeng Malaysia sentiasa mempertimbangkan kemungkinan itu, bahkan sejak pengenalan model G6 pada Ogos tahun lalu. “Adalah lebih baik sekiranya kerajaan boleh menyatakan dengan jelas arah tuju polisi Malaysia selepas ini bagi memudahkan sebarang pertimbangan oleh pemain industri untuk menentukan sama ada Malaysia boleh dijadikan sebagai hab automotif rantau ASEAN atau sebaliknya,” ujarnya.

    Xpeng Malaysia masih teroka perancangan CKD, memandangkan polisi kerajaan belum jelas

    Ketika ini, EV CBU diberikan pengecualian cukai import dan duti eksais hingga penghujung tahun ini, manakala EV CKD pula akan menikmati pengecualian cukai jualan dan duti eksais sehingga 31 Disember 2027.

    “Walaupun begitu, saya pasti kami akan menjalankan beberapa bentuk CKD di Malaysia, dan mungkin akan melakukan bertukaran dan timbal balik dengan negara jiran: ini adalah penyelesaian yang terbaik. Jika sebuah negara melakukan semua CKD (untuk satu jenama), dan mengeksportnya ke negara lain yang tidak melakukan CKD (untuk jenama yang sama itu), tetapi merupakan negara CKD juga, maka akan ada banyak perkara yang perlu ditangani,” tambahnya.

    Beliau juga menyatakan bahaawa Bermaz Xpeng Sdn Bhd, selaku pengedar jenama itu di Malaysia, ketika ini sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk menjalankan program CKD. “Untuk model yang mana, kami masih belum tentukan kerana bagi tempoh setahun ke hadapan, akan ada model baru yang dilancarkan. Kami boleh memilih model mana yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia bagi tujuan program CKD tersebut,” jelasnya.

     
     
  • Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Selepas beberapa kenderaan elektrik (EV) yang dihasilkan dalam bentuk SUV dan MPV, akhirnya Volvo mendedahkan sedan EV pertamanya – ini dia, Volvo ES90! Model ini bukan sahaja sedan EV pertama Volvo, malah ia sebenarnya EV pertama jenama automotif Sweden itu yang menggunakan asas seni bina elektrikal 800-volt yang membolehkan ia dicas lebih cepat.

    Seperti SUV EV flagship EX90, ES90 juga masih diasaskan dari platform SPA2, iaitu platform EV evolusi dari platform SPA yang menjadi asas kepada model-model dengan enjin pembakaran dalaman Volvo seperti XC90 dan S90. Dan walaupun ES90 ini merupakan alternatif EV untuk sedan S90, ia menampilkan rupa yang lebih sporty dan bertenaga seperti S60.

    Ini kerana ES90 diberikan siluet badan seperti sebuah fastback dengan muncung hadapan panjang serta bahagian but yang tinggi dan pendek. Malah bahagian but berkenaan turut dibuka bersama cermin belakang seperti sebuah fastback sebenar. Selain itu Volvo turut memberikan unsur-unsur SUV pada S90 ini dengan memadankan set roda bersaiz besar bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang tinggi, dengan pilihan rim aloi bermula 20- hingga 22-inci.

    Pada bahagian muka, S90 menampilkan rekaan signatur model-model khusus EV Volvo iaitu dengan lampu hadapan LED bersama grafik lampu nyalaan siang membentuk ‘Tukul Thor’ yang lebih jelas, palang dan logo ‘iron mark’ Volvo tanpa gril di belakangnya. Untuk bahagian bampar hadapan pula, inspirasi dari EX90 masih kuat dengan jalur LED menegak pada kedua-dua sisi bersama gril bawah berbentuk trapezoid.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Manakala pada sebelah belakang, bukan hanya bentuk but, malah bentuk lampu belakang berbentuk-C juga direka menyerupai S60. Bagi menguatkan rekaan fastback, turut boleh dilihat nyalaan LED pada lampu belakang turut disambung pada kedua-dua sisi cermin belakang.

    Namun menerusi lakaran-lakaran rekaan yang ditunjukkan, Volvo seolah-olah mahu memberitahu bahawa bahagian muka dan juga belakang S90 ini dihasilkan dari inspirasi Volvo 780, iaitu versi coupe untuk Volvo siri 700 pada era 80’an (seperti 740, 760) yang direka oleh firma rekaan Itali iaitu Bertone. Secara keseluruhan, bentuk S90 ini memberikan pekali geseran hanya 0.25.

    Untuk saiz, sedan ini menampilkan dimensi yang agak besar iaitu panjang 5,000 mm, lebar 1,942 mm, dan jarak roda sejauh 3,102 mm. Manakala tinggi kereta ini berdasarkan sama ada ia menerima suspensi udara atau tidak dan juga jenis unit rangkaian kuasa yang dibekalkan. Jadi untuk ES90 dengan suspensi udara ia mencatatkan tinggi 1,547 mm untuk versi pacuan belakang dan 1,546 mm untuk versi pacuan semua roda. Manakala model dengan spring gegelung biasa dan AWD, tingginya adalah 1,553 mm.

    Ini juga menjadikan jarak kelegaan tanahnnya juga berbeza-beza. Volvo ES90 dengan suspensi udara menampilkan jarak kelegaan tanah 181 mm untuk versi pacuan belakang dan 177 mm mm untuk versi pacuan semua roda. Manakala model dengan spring gegelung biasa dan AWD, jarak kelegaan tanahnya adalah 184 mm. Menurut Volvo, kesemua versi ini mampu untuk mengharungi air pada kedalaman 2.5 meter.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Tiga unit rangkaian kuasa berbeza ditawarkan untuk ES90 ini iaitu Single Motor, Twin Motor dan Twin Motor Performance. Varian Single Motor diberikan hanya satu motor elektrik berkuasa 333 PS (245 kW) dan tork maksima 480 Nm bagi memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/ dalam masa 6.9 saat.

    Manakala varian Twin Motor pula diberikan dua motor elektrik dengan kemampuan pacuan semua roda. Motor yang memacu roda belakang mengahasilkan kuasa 272 PS (200 kW)/405 Nm, manakala satu lagi motor yang memacu roda hadapan pula berkuasa 177 PS (130 kW)/265 Nm. Secara keseluruhan varian ini dibekalkan dengan kuasa 449 PS (330 kW) dan tork maksima 670 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat.

    Sementara bagi model Twin Motor Performance, ia masih menerima dua motor bagi memacu semua roda, tetapi motor yang dibekalkan adalah lebih berkuasa – motor belakang menghasilkan 381 PS (280 kW)/480 Nm, dan motor hadapan menghasilkan 299 PS (220 kW)/390 Nm. Secara keselurhan ES90 Twin Motor Performance ini dibekalkan dengan kuasa 680 PS dan tork 870 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat.

    Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima untuk kesemua varian ES90 ini hanya dihadkan pada 180 km/j sejajar dengan matlamat Volvo bagi mengurangkan kadar kematian di atas jalan raya.

    Volvo ES90 2025 didedah – sedan EV asas elektrikal 800-volt, sehingga 680 PS/870 Nm, jarak gerak 700 km

    Volvo ES90 Exterior

    Untuk bateri, model Single Motor diberikan bateri berkapasiti 92 kWj (88 kWj boleh digunakan), memberikan jarak gerak sejauh 650 km mengikut kitaran ujian WLTP dan 700 km untuk kitaran ujian standard CLTC di China. Varian Twin Motor dan Performance menerima bateri dengan kapasiti 106 kWj (102 kWj boleh digunakan) memberikan jarak gerak 700 km dalam standard WLTP dan 740 km dalam standard CLTC.

    Manakala untuk mengecas, platform 800-volt ini membolehkan bateri pada varian Single Motor dipenuhkan dari 10-100% dalam masa lapan jam menggunakan pengecas AC 11 kW, dan 10-80% dipenuhkan dalam masa 20 minit dengan pengecas pantas DC 300 kW.

    Bagi varian Twin Motor dan Twin Motor Performance pula, bateri dapat dipenuhkan dari 10-100% dalam masa 10 jam dengan pengecas AC 11 kW, dan 10-80% dalam masa 20 minit dengan pengecas pantas DC 350 kW.

    Untuk kabin, ES90 menampilkan rekaan papan pemuka yang sama seperti EX90. Oleh itu ia menerima paparan instrumen digital dengan skrin sembilan-inci dan paparan head-up. Ia juga menerima skrin infotainmen utama bersaiz 14.5-inci yang diletak menegak, diberikan sistem Google bina-dalam yang menawarkan servis seperti Google Maps, Google Assistant, dan pelbagai aplikasi lain yang boleh di muat turun menerusi Google Play.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk enam tema warna untuk lampu suasana kabin, bumbung panaromik yang boleh dipilih dengan fungsi elektrokromik, sistem penghawa dingin empat zon dengan penyegar udara. Manakala untuk sistem audio, Volvo menawarkan tiga peringkat termasuk sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara yang mempunyai mod istimewa bagi menghasilkan bunyi seakan berada di studio Abbey Road di London.

    Seperti yang disebut tadi, bahagian but ES90 ini boleh dibuka seperti sebuah fastback bagi memberikan praktikaliti lebih baik. Ruang yang diberikan pada bahagian tersebut adalah 424 liter, dan ia boleh meningkat kepada 733 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia juga diberikan bahagian but depan atau frunk dengan kapasiti 22-liter bagi menyimpan kabel pengecas.

    Untuk keselamatan, Volvo ES90 ini dibekalkan standard dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang merangkumi fungsi pengelak pelanggaran, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, pemantau titik buta, kamera 360 darjah, pemantau pemandu, amaran bukaan pintu, penderia penumpang penuh dan banyak lagi.

    Sejajar dengan langkah kemampanan Volvo, binaan ES90 ini menggunakan 29% aluminium dan 18% logam yang dikitar semula. Ia juga menggunakan 16% bahan polimer yang dikitar semula, material-material berasaskan bio, serta panel-panel kayu bahagian kabin yang diperbuat dari kayu yang diiktiraf FSC. “Battery Passport” pada kereta ini juga menggunakan teknologi rantaian blok bagi mengenalpasti pergerakan bahan mentah yang digunakan pada bateri.

    Volvo ES90 ini kini sudah boleh ditempah di pasaran Eropah dan juga United Kingdom. Manakala bagi pasaran lain, ia akan mula ditawarkan pada 2026.

     
     
  • MBSA tawar diskaun 80% untuk kompaun dan kadar tetap saman parkir hanya RM10 sepanjang Ramadan

    MBSA tawar diskaun 80% untuk kompaun dan kadar tetap saman parkir hanya RM10 sepanjang Ramadan

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 80% bagi kompaun sepanjang bulan Ramadan ini. Walau bagaimana pun, ia hanya melibatkan kompaun terpilih sahaja.

    Selain itu, dalam masa yang sama juga, MBSA melaksanakan kempen pengurangan saman tempat letak kereta berjumlah RM10 bagi Kompaun Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA 2007.

    “Kedua-dua kempen ini telah pun bermula sejak 2 Mac lalu dan bakal berakhir pada 30 Mac 2025. Ayuh rebut peluang ini untuk menyelesaikan kompaun tertunggak anda!” kata MBSA menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya.

    Untuk menyemak sekiranya nama anda tersenarai bagi kesalahan yang dikompaun dan disaman ini, anda boleh mengimbas kod QR yang terpapar menerusi poster di atas.

    Sebagai makluman, selain pembayaran secara dalam talian, ia juga boleh dibayar di kaunter MBSA yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum), namun kaunter ditutup untuk waktu rehat Jumaat dari jam 12.30 tengahari hingga 2.30 petang. Sebarang pertanyaan sila hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan, MBSA di talian 03-5513 3919.

     
     
  • Perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi

    Perkhidmatan Rapid KL On-Demand bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid KL) telah mula menghebahkan bahawa perkhidmatan Rapid KL On-Demand (sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau DRT) bakal diperluaskan ke tujuh lokasi baharu tidak lama lagi.

    Lokasi terbabit ialah Wangsa Maju, Titiwangsa, Taman OUG, Bangi, Bandar Kinrara, Bukit Antarabangsa dan Taman Melati. Walau bagaimana pun, syarikat berkenaan masih belum memperincikan laluan yang bakal terlibat dengan perkhidmatan ini.

    Pada pertengahan Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan ini yang akan beroperasi secara berperingkat sejak bulan lalu hingga Jun tahun ini. Ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.

    Anda boleh menempah tempat duduk di dalam van ini sama ada menggunakan aplikasi Kummute (Kumpool), Trek atau Mobi bergantung pada lokasi, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang yang dikenakan ialah RM1 sehala, dan juga boleh dibayar menggunakan My50/MyCity/Pas Famili, Touch n Go, kad konsesi MyRapid dan juga pas OKU Smile.

     
     
  • Cyclone RT3e tiba di Malaysia Jun ini – RM12,888

    Cyclone RT3e tiba di Malaysia Jun ini – RM12,888

    Satu lagi model yang dipertontonkan kepada media oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd di Chongqing, China adalah RT3e. Ia juga bakal tiba di pasaran Malaysia pada bulan Jun ini, dengan harga RM12,888 tidak termasuk insurans.

    RT3e adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder, suntikan bahan api, DOHC 247 cc, bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 26 hp pada 8,500 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm.

    Mempunyai badan panjang seakan model Lambretta moden, RT3e ini terletak di atas rim aluminium 12 inci hadapan dan belakang, dan ia dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Brek terdiri daripada unit cakera tunggal hadapan dan belakang, sementara informasi penting dipaparkan melalui meter digital lengkap dengan paparan kelajuan, rpm, serta tahap bateri. Pada bahagian keselamatan, skuter ini datang dengan sistem kawalan cengkaman serta ABS dual-channel.

    Kelengkapan lain pada skuter ini adalah termasuk semua lampu jenis LED, peletak kaki luas, cangkuk barangan, besi pelindung di bahagian tepi badan pemula enjin elektrik, rak barangan hadapan serta tangki bahan api 10 liter. Di bawah tempat duduknya hanya terdapat ruang barangan kecil.