Dalam temubual bersama Tun Mahathir Mohamad semalam, kami sempat bertanyakan pengerusi Proton ini untuk mengetahui pendapat beliau mengenai Arena, model konsep trak pikap yang tampil dengan imej agresif seperti mana yang pernah dipamerkan di Alami Proton tahun lalu.
Proton Arena bukanlah sebuah model yang popular, namun ia menerima sambutan yang agak menggalakkan di pasaran eksport temasuk Australia, yang turut dikenali sebagai Proton Jumbuck. Walau pun Proton telah mengumumkan beberapa model baharu pada tahun ini, namun model konsep trak pikap ini perlu menanti masa yang lama untuk dihasilkan dalam bentuk produksi, menurut Tun Mahathir.
Tidak seperti Arena, pikap baharu Proton ini merupakan trak pikap sepenuhnya berbanding pikap utiliti coupe dua-pintu. Jika ia sah diproduksi, ini merupakan model pertama dari Proton yang menggunakan sistem pacuan empat-roda, satu teknologi baharu bagi pengeluar kereta nasional ini. Tun Mahathir turut berkata, beliau berkeyakinan bahawa model baharu ini mampu mendapat tempat di pasaran Australia seperti dahulu.
Pengerusi Proton ini turut menegaskan bahawa Proton harus dipacu lebih agresif untuk membangunkan kenderaan masa hadapan. Dengan perkembangan yang kencang dalam industri ini, Proton harus berusaha lebih gigih, biar pun tidak dapat menyaingi pengeluar lain, tapi sekurang-kurangnya turut maju ke hadapan.
GALERI: Model konsep Proton Pikap dipertontonkan di Alami Proton 2015