Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Terminal Bersepadu Gombak dilancarkan – 30 pengendali bas ekspres, purata 3,000 trip sebulan

    Terminal Bersepadu Gombak dilancarkan – 30 pengendali bas ekspres, purata 3,000 trip sebulan

    Hari ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah pun merasmikan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang merupakan hab pengangkutan darat moden bernilai RM307.4 juta yang menghubungkan bas ekspres, LRT Laluan Kelana Jaya dan bakal berintegrasi dengan Stesen ECRL Gombak.

    Selain itu, TBG juga disasarkan bakal menjadi hab utama pengangkutan awam ke Pantai Timur selepas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

    Walau pun telah mula beroperasi sejak Mac lalu, namun penggunaannya masih rendah kerana kerajaan belum mewajibkan bas ekspres ke Pantai Timur beroperasi dari situ, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menurut laporan Harian Metro.

    Terminal Bersepadu Gombak dilancarkan – 30 pengendali bas ekspres, purata 3,000 trip sebulan

    “Kita akan melihat semula perancangan dan memastikan bas ekspres, terutamanya ke arah Pantai Timur, bermula atau tiba di terminal ini. Harapan kita terminal ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian itu.

    Loke turut berkata, kelebihan TBG adalah lokasinya yang strategik dengan integrasi bersama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak bersebelahan terminal berkenaan.

    “Ia akan dihubungkan dengan eskalator dan walkalator supaya pengguna mendapat kemudahan lebih selesa, lancar dan selamat. Terminal ini juga bakal diintegrasikan dengan LRT. Seperti konsep UTC sebelum ini, terminal ini juga boleh menawarkan perkhidmatan agensi penting seperti Jabatan Imigresen untuk urusan pasport, Jabatan Pendaftaran Negara untuk MyKad serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kalau agensi kerajaan ditempatkan di sini, ia akan mudahkan orang ramai. Mereka boleh datang dengan LRT, berurusan dalam kawasan selesa tanpa perlu susah payah cari parkir,” katanya yang turut menambah perbincangan lanjut bersama pihak konsesi serta agensi kerajaan akan diadakan bagi merealisasikan cadangan itu.

    TBG ini mempunyai terminal tujuh tingkat dengan ruang komersial, 125 petak bas untuk ketibaan, pelepasan dan parkir. Sebanyak 30 pengendali bas ekspres sudah beroperasi di situ, serta mampu menampung sehingga 700 trip bas sehari dengan jangkaan 25,000 penumpang harian atau purata 3,000 trip dalam sebulan.

     
     
  • Budi95: MoF dan JPJ selesaikan semua isu teknikal sebelum subsidi RON95 bermula sepenuhnya esok

    Budi95: MoF dan JPJ selesaikan semua isu teknikal sebelum subsidi RON95 bermula sepenuhnya esok

    Kementerian Kewangan (MoF) sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyelesaikan isu teknikal berkaitan semakan kelayakan bagi program Budi Madani RON 95 (Budi95) menjelang pelaksanaan penuhnya esok. Di bawah inisiatif ini, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah layak menerima subsidi petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September.

    Berhubung isu tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata bahawa semalam kementeriannya telah menerima beberapa aduan daripada orang awam yang mendakwa mereka tidak disenaraikan sebagai penerima yang layak walaupun mempunyai lesen memandu dan MyKad yang sah, laporan Bernama.

    “Kami menerima beberapa aduan daripada individu yang mempunyai lesen memandu dan MyKad yang sah tetapi didapati tidak layak. Kementerian kini sedang berbincang dengan JPJ, dan kami akan menyelesaikan isu teknikal ini secepat mungkin sebelum 30 September,” katanya.

    Walaupun aduan tersebut merupakan kes terpencil yang melibatkan hanya sebilangan kecil individu, beliau berkata kementerian memandang serius perkara itu dan akan memastikan isu tersebut diselesaikan sebelum program bermula.

    “Saya ingin menegaskan bahawa selagi individu itu adalah rakyat Malaysia yang layak, mereka berhak sepenuhnya menikmati manfaat Budi95. Mungkin terdapat kelewatan atau masalah teknikal sesekali, tetapi kami akan memastikan isu-isu ini diselesaikan dengan segera,” katanya.

    Lim menasihati orang ramai agar tidak tergesa-gesa apabila inisiatif itu bermula. “Tidak perlu tergesa-gesa. Setiap individu yang layak telah diperuntukkan had sebanyak 300 liter sebulan, dan pembelian boleh dibuat pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

    Beliau menggesa orang ramai menyemak status kelayakan mereka di laman utama Budi Madani RON 95, dan mereka yang menghadapi masalah diminta segera membuat aduan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil. MoF turut menambah bahawa sejak 25 September, sejumlah 8.1 juta pengguna telah menyemak kelayakan mereka melalui laman web rasmi.

    Ketahui segala maklumat mengenai Budi95 melalui Soalan Lazim (FAQ) di sini.

     
     
  • Chery Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV sudah boleh ditempah, diuji di bilik pameran sebelum dilancar tak lama lagi

    Chery Tiggo 7 & Tiggo 8 PHEV sudah boleh ditempah, diuji di bilik pameran sebelum dilancar tak lama lagi

    Chery Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan bagi model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV kini sudahpun dibuka, dan pelanggan yang berminat boleh memandu uji kedua-dua model berkenaan di bilik pameran Chery terdekat. Model-model kemaskini tersebut bukan sahaja menerima rupa facelift terbaharu, malah ia bakal menampilkan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu Chery iaitu Chery Super Hybrid (CSH).

    Kedua-dua model ini sebenarnya telah pun dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang pada Mei lalu. Kedua-duanya juga berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menghasilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5% dan mampu menjana kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm.

    Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Berdasarkan spesifikasi yang ditunjuk oleh Chery Malaysia, Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC (tidak dinyatakan kapasiti) di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut.

    Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.

    Chery juga mengumumkan bahawa bateri LFP yang diberikan menampilkan perincian keselamatan tinggi, antaranya akan menyekat sistem bervoltan tinggi sekiranya berlaku kemalangan, ia kalis habuk dan kalis air dengan menerima penarafan IP68 membolehkan ia meredah laluan air pada kedalaman 500 mm, boleh bertahan dalam cuaca panas sehingga 95 darjah selsius, serta boleh beroperasi dalam sela suhu yang luas bermula -35°C hingga 60°C.

    “Chery Malaysia dengan bangganya memperkenalkan Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV ke pasaran Malaysia, dikuasakan oleh teknologi Chery Super Hybrid (CSH) kami yang canggih. Model-model ini memberikan rangkaian, keselamatan dan prestasi terkemuka kelas. Kami percaya kedua-dua model kenderaan akan menetapkan standard baharu untuk SUV hibrid plug-in di Malaysia,” kata Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Auto Malaysia.

    Sebelum ini Chery telah mengumumkan perincian kelengkapan pasaran Malaysia bagi kedua-dua model tersebut dengan Chery Tiggo 7 PHEV boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan Tiggo 8 PHEV pula boleh anda baca pada PAUTAN INI. Harga bagi kedua-dua model ini juga hanya akan diumumkan ketika pelancarannya yang dijangka akan dibuat dalam waktu terdekat.

    GALERI: Chery Tiggo 7 PHEV CSH di MAS 2025

    GALERI: Chery Tiggo 8 PHEV CSH di MAS 2025

     
     
  • Kawasaki KLX 230 S, 230 SM dilancar di Malaysia – enjin 233 cc suntikan bahan api 18 PS, dari RM23k

    Kawasaki KLX 230 S, 230 SM dilancar di Malaysia – enjin 233 cc suntikan bahan api 18 PS, dari RM23k

    Kawasaki KLX 230 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dengan pengenalannya dibuat sewaktu acara Kawasaki Megatrail di Jerantut, Pahang. Motosikal jenis pelbagai guna ini ditawarkan dalam dua versi, iaitu S pada harga RM23,000 dan SM pada harga RM23,600 (tidak termasuk insurans).

    KLX 230 baru ini membawa pembaharuan yang menyeluruh, termasuk di bahagian casis dan penampilan. Enjin juga adalah baru, iaitu unit satu silinder empat strok 233 cc, suntikan bahan api berkemampuan 18 PS pada 7,600 rpm serta 18 Nm tork pada 6,100 rpm.

    Transmisi menggunakan unit enam kelajuan, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk meter jenis digital yang boleh disambung kepada aplikasi Rideology, lampu hadapan LED, brek cakera hadapan dan belakang serta tangki bahan api 7.6 liter.

    Membezakan antara versi S dan SM adalah di bahagian roda, suspensi serta brek, dengan S menggunakan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, serta fork teleskopik bersama cakera brek 240 mm di hadapan. Versi SM pula mendapat rim 17 inci di hadapan dan belakang, fork USD 37 mm serta cakera brek 300 mm di hadapan.

    Secara keseluruhan, KLX 230 S mencatat berat 135 kg dan tinggi tempat duduk 830 mm, sementara varian SM pula mencatat 138 kg dan 845 mm. KLX 230 juga dilengkapi dengan sistem ABS dan ia boleh ditutup secara mudah dengan butang yang terdapat di bahagian kiri pemegang.

    GALERI: Kawasaki KLX 230 S

    GALERI: Kawasaki KLX 230 SM

     
     
  • Tiada lagi amaran bagi pesalah trafik mulai 1 Okt

    Tiada lagi amaran bagi pesalah trafik mulai 1 Okt

    Polis KL akan menguatkuasakan undang-undang trafik dengan lebih tegas mulai 1 Oktober 2025 di mana pesalah trafik akan dikenakan saman dan tidak lagi diberi amaran atau notis advokasi, laporan The Star.

    “Mulai 1 Oktober, kami tidak akan mengeluarkan sebarang amaran lagi. Sebaliknya, kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan segera terhadap pesalah trafik,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Fadil Marsus kepada akhbar berbahasa Inggeris itu.

    Polis KL telah mengeluarkan 60,596 notis amaran sejak Operasi Pematuhan Undang-Undang (Ops PUU) sejak 6 September hingga 25 September, termasuk bagi kesalahan menghalang lalu lintas (5,217), gagal mematuhi papan tanda trafik (2,489) dan melintas jalan secara sembarangan (1,139).

    Selain itu, sebanyak 927 notis amaran telah dikeluarkan bagi kesalahan menggunakan nombor plat fancy, tidak memakai topi keledar (407), berhenti melepasi garisan putih di lampu isyarat (389), tidak memakai tali pinggang keledar (325), berhenti di kotak kuning (219) dan pengubahsuaian motosikal secara haram (196).

    “Operasi khas ini bertujuan untuk memupuk kesedaran jangka panjang tentang kepentingan keselamatan jalan raya. Matlamat kami adalah untuk menjadikan masyarakat lebih patuh kepada undang-undang.

    “Kami memberi tumpuan di kawasan bertrafik tinggi di pusat bandar, termasuk Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee, Jalan Tun Razak dan beberapa kawasan panas lain di bawah bidang kuasa Polis KL,” katanya lagi.

     
     
  • GWM Ora 5 didedah secara rasmi – SUV EV pesaing BYD Atto 3, luaran dan dalaman seperti Good Cat

    GWM Ora 5 didedah secara rasmi – SUV EV pesaing BYD Atto 3, luaran dan dalaman seperti Good Cat

    Selepas terdedah dalam dokumen rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) dua minggu lalu, model baru GWM Ora 5 kini diperkenalkan secara rasmi. Ia merupakan model pertama dalam barisan Ora sejak pelancaran Ora 07 pada tahun 2022 dan kehadirannya melengkapkan kekosongan besar dalam barisan kenderaan elektrik (EV) GWM.

    Dari luar, Ora 5 kelihatan seperti versi SUV kepada Ora Good Cat, dengan banyak elemen rekaan yang dikongsi. Antara ciri yang dikekalkan termasuk lampu hadapan bujur, permukaan badan yang lebih organik serta lampu belakang jenis “dawn” yang merentasi keseluruhan bahagian belakang dan disepadukan dalam cermin belakang. Model ini juga menampilkan rekaan gril hadapan lebar dengan corong udara menegak di penjuru – sama seperti pada Good Cat versi facelift.

    Walaupun begitu, bentuk badan Ora 5 kelihatan lebih tegak dan kurang membulat. Bahagian cermin juga direka lebih tinggi dan memanjang, lengkap dengan rel bumbung, menjadikannya jelas berbeza dengan badan hatchback Good Cat.

    Pada bahagian dalam, Ora 5 sekali lagi banyak mengambil inspirasi daripada Good Cat, khususnya pada bahagian papan pemuka. Walaubagaimanapun, rekaan konsol tengah pada Ora 5 lebih konvensional berbanding rekaan terapung pada Good Cat. Ia dilengkapi pemegang telefon pintar dengan pengecas tanpa wayar Qi, dua pemegang cawan, tempat rehat tangan, satu corong udara untuk penumpang belakang serta laci simpanan tambahan di bahagian belakang.

    Sama seperti Good Cat facelift, Ora 5 menggunakan sistem infotainmen terkini GWM yang dikenali sebagai Coffee OS. Ia hadir dengan paparan instrumen digital bersaiz 10.25 inci dan skrin sentuh tengah terapung berukuran 14.6 inci. Ciri tambahan lain termasuk bumbung panoramik, tempat duduk penumpang hadapan yang boleh direbahkan sehingga 128 darjah bersama tempat letak kaki (ottoman) serta 33 ruang simpanan di seluruh kabin.

    Menurut portal automotif China, Autohome, dimensi Ora 5 adalah sepanjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda sepanjang 2,720 mm – menjadikannya sekitar 250 mm lebih panjang daripada Good Cat dan hampir sama saiz dengan BYD Atto 3. Dari segi prestasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 204 PS (150 kW) yang disambungkan kepada bateri jenis lithium iron phosphate (LFP), namun kapasiti bateri belum didedahkan.

     
     
  • Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Model generasi kedua bagi SUV segmen-D Chery Tiggo 8 telahpun didedahkan di China, dan pelancarannya di sana djadualkan akan di buat pada suku keempat tahun ini. Di sana Tiggo 8 2026 ini akan ditawarkan dalam dua muka yang berbeza, dan salah satu daripadanya adalah seiras dengan Lepas 8, iaitu SUV keluaran satu lagi sub-jenama Chery yang baru dilancarkan pada peringkat global pada April lalu.

    Menurut laporan CarNewsChina, Tiggo 8 generasi baharu ini dihasilkan lebih besar berbanding model sebelum ini dengan ukuran panjang 4,749 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,710 mm dan jarak roda sejauh 2,825 mm. Jadi berbanding versi sebelumnya, Tiggo 8 2026 ini adalah 27 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar, jarak roda roda 115 mm lebih jauh. Namun ia 35 mm lebih rendah seterusnya memberikan stance yang nampak lebih sporty.

    Rupa versi utama Tiggo 8 ini menampilkan bentuk yang berevolusi dari model generasi sebelumnya. Ia masih diberikan lampu hadapan utama pada sebelah atas dengan jalur lampu nyalaan siang LED bina dalam, mengapit gril hadapan berbentuk heksagon bersaiz besar dengan elemen pin krom di tengahnya. Manakala kedua-dua sisi bampar hadapan menampilkan tirai udara dengan kemasan yang agak besar.

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Manakala bagi versi rupa kedua, ia adalah seiras sepenuhnya dengan Lepas 8, menampilkan lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu, manakala lampu utama terletak pada bahagian bampar. Ini kerana Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang.

    Selain dari muka, bahagian badan lain nampaknya dikongsi sepenuhnya antara Tiggo 8 dan Lepas 8. Bahagian sisinya tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.

    Begitu juga di belakang, kedua-dua versi tampil dengan rekaan sama menampilkan lampu belakang nipis dengan bar menyala merentangi sepenuhnya pintu tailgate, serta bampar dengan reflektor diletakkan pada kedua-dua sisi seakan liang aliran udara, bersama kemasan seakan diffuser di bawah yang turut menempatkan dua perumah tip ekzos berbentuk leper.

    Chery Tiggo 8 2026 didedah di China, bakal dilancar suku ke-4 2025; dua versi muka, kembar Lepas L8

    Tiada sebarang perincian teknikal SUV ini didedahkan buat masa sekarang, namun ketika pengenalan Lepas L8 sebelum ini mengesahkan ia berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama dengan Chery Tiggo 8 dengan menawarkan versi enjin petrol penuh serta Chery Hybrid System (CSH) yang menampilkan sistem plug-in hybrid (PHEV).

    Kita di Malaysia masih menunggu pelancaran bagi versi facelift Chery Tiggo 8 generasi sedia ada yang akan menampilkan unit rangkaian kuasa PHEV CSH yang akan dibuat tidak lama lagi. Mungkin masih lambat untuk kita menerima model generasi kedua berkenaan, tetapi versi yang menerima lencana Lepas mungkin akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    Ini kerana laman-laman media sosial termasuk Facebook dan Instagram Lepas Malaysia sudahpun diaktifkan bulan lalu, dan sebelum ini Lepas sudahpun memaklumkan bahawa Lepas L8 akan menjadi model pertamanya akan dijual pada pasaran global.

    Lepas juga sudah bertapak di Indonesia, dan model L8 tersebut telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang berlangsung Julai lalu. Di pasaran itu, Lepas L8 disahkan akan menerima unit rangkaian kuasa PHEV yang menampilkan enjin 1.5 liter turbo, dan hanya memacu roda hadapan.

    GALERI: Lepas L8 di GIIAS 2025

     
     
  • Muat turun aplikasi CaltexGO sekarang dan nikmati pembayaran mudah Budi95 tanpa gunakan MyKad

    Muat turun aplikasi CaltexGO sekarang dan nikmati pembayaran mudah Budi95 tanpa gunakan MyKad

    Bermula 30 September 2025, semua warga negara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah akan layak membeli petrol RON 95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter di bawah program subsidi Budi Madani RON 95. Jika anda tidak mahu menggunakan MyKad fizikal untuk tujuan pengesahan, maka cara yang lebih mudah adalah dengan menggunakan aplikasi digital seperti CaltexGO + Rewards yang akan menjadikan proses pembayaran lebih senang.
     
    Apa yang anda perlu lakukan hanyalah memuat turun aplikasi CaltexGO + Rewards, kemudian lengkapkan butiran pendaftaran dan pautkan ke akaun TNG eWallet anda — selepas itu anda sudah boleh menikmati kelebihan BUDI95 tanpa perlu mengeluarkan MyKad setiap kali di terminal pam atau perlu berjalan ke kaunter untuk tujuan itu.
     
    Ia sangat mudah, cepat dan selesa, serta membolehkan anda untuk mengisi minyak hanya melalui beberapa sentuhan di skrin telefon. Lebih menarik, anda turut akan menerima bahan api bernilai RM5*. Menggunakan aplikasi CaltexGO + Rewards juga akan membolehkan anda untuk menikmati manfaat lain.
     
    Satu daripadanya adalah anda akan menerima mata ganjaran berganda (mengikut jumlah liter), dan tidak perlu meletakkan duit di dalam e-wallet dengan cara memautkan kad kredit/debit anda kepada aplikasi berkenaan. Ini bermakna, anda juga akan menerima mata ganjaran daripada bank.
     
    Jadi, tak perlu berbaris di kaunter untuk pengesahan MyKad dengan cara memanfaatkan aplikasi CaltexGO + Rewards untuk pengalaman isian minyak yang lebih mudah dan pantas. Anda juga akan menikmati kelebihan yang ada bersama Caltex dengan Techron 95 yang akan menjadikan enjin lebih bersih serta memberikan jarak perjalanan lebih jauh! Muat turun aplikasi CaltexGO + Rewards dari Apple Store atau Google Play sekarang. Ketahui lebih lanjut tentang aplikasi CaltexGO + Rewards di sini.

     
     
  • Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Perkara yang dijangka sudah pun berlaku – produksi dan jualan model sedia ada Proton Saga (dikenali sebagai MC2) bakal berakhir. Sama seperti pengakhiran produksi Iriz tempoh hari, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Proton, tetapi ia mula tular internet menerusi hantaran-hantaran yang dibuat oleh staf kilang menunjukkan pemasangan badan terakhir Saga sudah disiapkan pada Jumaat minggu lalu, sebelum ia dilengkapkan dengan layangan cat serta dipasang dengan komponen-komponen lain.

    Saga merupakan model paling laris Proton, dan pengakhiran model MC2 ini akan disambung dengan model baharu yang sedang dibangunkan serta sehingga kini dirujuk sebagai MC3. Tahun lalu Proton sendiri telah mengesahkan bahawa produksi Proton Saga akan dipindahkan sepenuhnya ke fasiliti mereka di Tanjong Malim.

    Ini bermakna kilang pertama Proton yang bersejarah terletak di Hicom Shah Alam berkenaan juga bakal ditutup sepenuhnya tidak lama lagi. Buat masa sekarang kilang tersebut hanya memproduksi Saga selepas penghasilan MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora dihentikan di kilang berkenaan dua tahun lalu.

    Kilang tersebut mula beroperasi pada tahun 1985 di mana unit pertama Saga keluar dari barisan pemasangan fasiliti tersebut pada 9 Julai, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Sejak dari unit pertama tersebut sehingga bulan Mei tahun lalu, Proton telah merekodkan lebih dua juta unit Saga terjual. Sedan ini juga menjadi model nombor empat paling laris di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan jualan sebanyak 69,863 unit sepanjang 2024. Manakala untuk tahun ini, rekod Proton menunjukkan bahawa sebanyak 44,676 unit telah terjual sehingga Ogos 2025.

    Produksi Saga di Malaysia (ia juga ada dipasang di beberapa negara luar dengan kit CKD dihantar dari sini) kekal di Shah Alam tanpa di buat di fasiliti lain seperti di Pekan, Pahang mahupun di Tanjong Malim, Perak. Jadi sejarah mencatatkan bahawa kilang Proton Shah Alam ini bermula dengan Saga, dan ia turut berakhir dengan Saga sepanjang 40 tahun operasinya.

    Rancangan Proton untuk berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim bukan sesuatu yang baharu kerana perkara itu sudah disebut ketika 2017 lagi. Ketika proses berkenaan dirancang untuk dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2022, namun rancangan tersebut tergendala kerana berlakunya pendemik Covid-19 pada 2020.

    Tarikh rasmi pelancaran Saga MC3 masih belum diumumkan oleh Proton, namun ia dijangka akan dibuat sebelum berakhirnya tahun ini. Ketika pelancaran kilang EV Proton di Tanjung Malim awal bulan ini, Proton telah menyiarkan video berkenaan Saga MC3 tersebut sebagai teaser rasmi pertamanya dengan mendedahkan pembangunan serta beberapa perincian dan juga rekaan sedan mampu milik yang dipertingkat itu.

    Saga MC3 ini sah diasaskan dari platform AMA, iaitu platform yang diasaskan dari model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini dan diberikan pelbagai penambahbaikkan untuk kekal relevan dengan standard keselamatan serta teknologi model-model terkini dalam pasaran.

    Dalam video tersebut, Proton mendedahkan bahawa pembangunan Saga ini bukan hanya di buat di Malaysia, malah ia turut dibangunkan bersama Geely menerusi Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) yang terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding. Video tersebut turut memaparkan unit prototaip Saga MC3 yang diuji dalam cuaca bersalji di China, dan pembangunan keseluruhannya melibatkan 240 tenaga kerja dari Malaysia.

    Beberapa rekaan Saga MC3 juga terdedah dalam video ini, antaranya rekaan lampu LED hadapan dengan gril baharu, lampu baharu belakang dengan lensa albino bersama grafik jalur LED serta bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang diinspirasikan dari Proton S70, serta papan pemuka dengan skrin infotainmen dan juga skrin paparan instrumental digital sepenuhnya yang bersambung.

    Produksi Proton Saga MC2 berakhir, MC3 dibuat di Tanjong Malim – kilang Shah Alam tutup sepenuhnya?

    Proton juga mengesahkan bahawa Saga MC3 ini akan dijana oleh enjin baharu yang dibekalkan oleh Geely. Perincian berkenaan enjin itu tidak disebut, tetapi sebelum ini ada tertiris maklumat bahawa Saga MC3 akan dibekalkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter NA, digandingkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian.

    Kami menjangkakan enjin yang digunakan tersebut adalah enjin 1.5 liter NA beroperasi dengan sistem suntikan bahan api port (PFI) dikenali dengan kod BHE15PFI, iaitu enjin Geely yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin ini telahpun digunakan oleh Proton pada X50 facelift 2025 tetapi dalam varian suntikan bahan api terus dan disuap pengecas turbo, dikenali dengan kod BHE15TD. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Model Saga yang dipertingkatkan ini juga disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Dalam video ini juga nampaknya Saga MC3 telah mula diproduksi.

     
     
  • JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan peningkatan ketara transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara sebanyak sebanyak 53% setakat 25 Sept 2025 susulan pengumuman Subsidi BersasarPetrol Budi Madani RON95 (Budi95) oleh Kerajaan pada 22 Sept lalu.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berdasarkan rekod pihaknya, sejumlah 23,125 transaksi telah dicatatkan pada 23 Sept di seluruh negara dan ia meningkat sedikit iaitu 0.15% kepada 23,160 transaksi pada 24 Sept, sebelum melonjak secara signifikan kepada 33,714 transaksi pada 25 Sept, menerusi saluran JPJ sedia ada dan rakan-rakan strategik JPJ seperti Pos Malaysia dan MyEG. Di mana purata harian bagi pembaharuan lesen memandu adalah sekitar 17,000 transaksi.

    Sementara itu, setakat 26 Sept, negeri-negeri yang bercuti hujung minggu pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah merekodkan jumlah urusan pembaharuan lesen memandu yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. Peningkatan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembukaan kaunter pada hari cuti memberi impak positif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

    JPJ catat peningkatan pembaharuan lesen memandu sebanyak 53% di seluruh negara setakat 25 Sept

    “Trend ini membuktikan bahawa semakin ramai pemegang lesen memandu mengambil langkah proaktif untuk memperbaharui lesen masing-masing bagi menikmati manfaat Budi95, selain mencerminkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap kewajipan memiliki lesen memandu yang sah seperti termaktub di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “JPJ komited untuk memastikan keberkesanan pengurusan operasi di seluruh negara dengan memantau keperluan lapangan secara berterusan bagi mengekalkan tahap kecekapan yang optimum. Langkah ini turut disokong melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan bagi memastikan setiap proses pembaharuan lesen memand dan pelaksanaan subsidi Budi95 berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan di seluruh negara,” katanya.

     
     
  • Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    Program subsidi bersasar Budi95 telah bermula tengah malam tadi untuk fasa pertama, melibatkan anggota perkhidmatan awam tentera dan polis, melibatkan sekitar 300,000 orang yang layak menerima subsidi berkenaan. Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican. “Setakat tinjauan saua pagi ini di kem Sungai Besi, semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

    Beliau hadir dalam satu acara taklimat dan demonstrasi berkaitan Budi95 yang diadakan di Stesen Petron Taman Tun Ismail, pagi ini. Untuk stesen Petron, pengguna hanya perlu meneruskan langkah pembayaran seperti biasa di pam atau di kaunter, dengan tambahan satu langkah pengesahan yang ringkas dan cepat terlebih dahulu. Jika penerima layak, paparan baki penggunaan bulanan akan tertera dan mereka boleh meneruskan proses pembayaran serta pengisian. Resit juga akan memaparkan maklumat penggunaan dan baki daripada kuota 300 liter tersebut.

    Budi95 fasa pertama bermula hari ini — untuk anggota tentera dan polis, proses di stesen minyak lancar

    “Semakan kelayakan ini juga boleh dilakukan lebih awal melalui laman web Budi95 untuk mengetahui kelayakan mereka,” jelas Johan, dan mencadangkan pengguna melakukan hal tersebut terlebih dahulu bagi menyemak status mereka sebelum ke stesen minyak nanti.

    Selain tunai dan menggunakan kad, Touch n Go eWallet juga boleh digunakan. Namun untuk pilihan ini, pengguna perlu ke kaunter dan menunjukkan QR kod yang akan dijana dalam aplikasi berkenaan untuk diimbas oleh petugas. Imbasan kod ini tidak boleh dilakukan di pam, atas faktor keselamatan dan larangan penggunaan telefon berdekatan pam.

    Menurut beliau lagi, kerajaan juga sudah ada persetujuan dengan operator minyak sekiranya berlaku keadaan di luar jangka atau kecemasan, misalnya ketika sistem atau talian internet yang digunakan tidak berfungsi atau bermasalah dan pengesahan tidak boleh dilakukan dengan cara apa pun.

    Dalam situasi seperti itu, pengguna warganegara dengan MyKad akan diizinkan untuk mengisi petrol RON95 dengan harga subsidi walaupun pengesahan tidak boleh dilakukan. Sistem untuk semakan juga dikendalikan secara berpusat oleh kerajaan, membolehkan pengisian boleh dibuat di mana-mana stesen atau berbeza operator, tetapi rekod subsidi dan baki penggunaan akan tetap selari.

    Esok BUDI95 akan dimulakan pula untuk penerima STR dalam fasa kedua, dan sistem ini akan terbuka untuk semua pengguna warganegara Malaysia untuk fasa ketiga yang bermula Selasa hadapan, 30 September 2025.

     
     
  • Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    Sistem server atau pelayan bagi program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau turut berkata peningkatan kapasiti itu dibuat selepas kerajaan mengambil iktibar daripada masalah teknikal yang berlaku ketika pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini, laporan Bernama.

    “Ketika SARA dilaksanakan, kapasiti sistem hanya mampu proses 3,000 transaksi seminit kerana ia dirancang untuk kumpulan lebih kecil. Tetapi untuk Budi95, server ditingkatkan sehingga 10 kali ganda, iaitu 30,000 transaksi seminit. Ini membolehkan permohonan dan rayuan orang ramai diproses dengan lebih cepat dan lancar,” katanya.

    Dalam pada itu, Anwar berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 melalui Budi95 dilaksanakan bagi memastikan hanya rakyat tempatan menerima manfaat, sekali gus mengelak ketirisan kepada warga asing yang turut menikmati harga subsidi sebelum ini.

    Budi95: Sistem server mampu memproses hingga 30,000 transaksi seminit – Perdana Menteri

    “Bila kita turunkan harga untuk warganegara, kita perlu tentukan siapa warganegara. Kalau tidak, orang lain dapat. Warga asing bukan rakyat kita, tidak bayar cukai seperti kita. Jadi mereka tidak layak harga subsidi.

    “Warga asing di Malaysia maksudnya orang luar yang tinggal di sini dan daftar kenderaan Malaysia. Mereka masih dapat harga relatif murah (RM2.60) tapi bukan harga subsidi penuh. Kalau kenderaan (nombor plat) luar, mereka bayar harga RON97,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut meminta rakyat supaya tidak tergesa-gesa membuat pembelian RON95 pada harga subsidi mulai Selasa ini kerana harga terbabit adalah kekal.

    Pada 22 September lalu, Anwar mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter hanya untuk warganegara, berkuatkuasa 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah Budi95. Semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dengan kuota 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan. Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

     
     
  • Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Bagi penggemar kereta-kereta pelik, ini mungkin berita baik untuk anda – EV kecil yang direka seakan “bubble car” era zaman perang dunia kedua BMW Isetta iaitu Microlino kini sudah tiba di Malaysia. Kereta ini dibawa oleh Go Daddy Motorsport yang menguruskan Microlino Malaysia, namun ia masih belum dilancarkan kerana syarikat itu masih belum jelas berkenaan skim harga untuk tahun depan di mana insentif pengecualian cukai untuk EV bakal berakhir tahun ini.

    Harga dan jualan bagi Microlino ini dijangka akan bermula pada suku pertama 2026, namun anda boleh mencuba kereta kecil ini menerusi pakej sewaan pajakan yang disediakan oleh Flux dengan harga RM1,250 untuk lima hari. Microlino ini dihasilkan oleh Micro Mobility Systems iaitu syarikat dari Switzerland, tetapi ia dikilangkan di Turin, Itali. Ini bukan sahaja penampilan pertama Microlino di Malaysia, malah ia adalah yang pertama di Asia.

    Kereta ini dihasilkan dengan saiz panjang 2,519 mm, lebar 1,473 mm dan tinggi 1,501 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Microlino ini adalah 876 mm lebih pendek, 68 mm lebih lebar dan 86 mm lebih tinggi dari Perodua Kancil.

    Microlino kini di Malaysia – EV kecil dari Eropah, 17 PS/17.9 Nm, harga dan jualan bermula awal 2026

    Dengan saiz berkenaan, ia hanya menyediakan dua tempat duduk termasuk pemandu. Tiada pintu pada kiri dan kanan, kerana untuk masuk ke kabin anda perlu menggunakan satu-satunya pintu yang berada pada bahagian hadapan. Tiada lagi Microlino dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan, dan unit yang dijual di Malaysia ini masih dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri.

    Pintu berkenaan dibuka dibantu dengan peredam hidraulik dan ia membawa sekali “papan pemuka” yang menampilkan skrin kecil untuk sistem infotainmen, tetapi meninggalkan roda dan kolum stereng serta skrin paparan instrumen digital kekal ditempatnya. Tombol putar untuk memilih posisi ‘D’, ‘N’ dan ‘R’ pada sebelah kiri pemandu. Tuil brek tangan manual juga diletakkan di belakang konsol pemilih gear tersebut.

    Ia turut datang dengan bumbung suria fabrik manual, manakala ruang but belakang pula menyediakan ruang dengan kapasiti 230 liter. Tiada sistem pendingin udara diberikan dan hanya dibekalkan dengan penghembus udara, manakala tingkap juga perlu buka dan ditutup manual secara gelangsar.

    Dari segi rekaan, Microlino sememangnya diispirasikan terus dari bentuk ‘buih’ BMW Isetta. Ia diberikan jalur lampu nyalaan siang bersama lampu isyarat membelok nipis pada hujung kiri dan kanan yang nampak seperti jalur krom kereta klasik, manakala lampu hadapan utama LED berbentuk bulat disekalikan dengan cermin sisi pandang belakang. Lampu belakang juga direka dengan jalur LED nipis yang merentangi bahagian bampar.

    Manakala untuk tayar, kereta ini hanya dipadankan dengan rim berdiameter 13-inci dan dibalut dengan tayar bersaiz 145/70R13. Jarak trek roda hadapan direka lebih lebar dari belakang, membolehkan sebahagian tayar belakang disorokkan dalam ruang roda.

    Bagi model pasaran Malaysia ini ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 17 PS (12.4 kW) dan tork maksima 17.9 Nm, membolehkan kereta dengan berat hanya 530 kg ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa 5 saat. Untuk pasaran global, kelajuan maksima Microlino ini hanya mampu mencapai 90 km/j, namun untuk pasaran Malaysia ini kita menerima peningkatan kelajuan maksima sehingga 105 km/j.

    Bagi menggerakkan motor elektrik berkenaan, kereta ini dibekalkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 15 kWj, cukup untuk membolehkan ia bergerak sejauh 228 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Untuk mengecas, ia hanya menggunakan sistem AC 2.2 kW, di mana ia boleh dipenuhkan dalam masa 2 jam dengan pengecas 5.5 kWj, 4 jam dengan pengecas 10.5 kWj dan 5.5 jam untuk pengecas 15 kWj.

    Buat masa sekarang hanya ada dua unit Microlino yang telah mendarat di Malaysia, dan seperti anda boleh lihat ia sudahpun mempunyai nombor pendaftaran dan sah digunakan di jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Anda masih memerlukan lesen memandu kelas ‘D’ seperti kereta biasa untuk memandu kereta ini.

    Sedikit latar belakang berkenaan Microlino ini, model konsepnya muncul buat pertama kali di Geneva Motor Show 2016. Namun ia berhadapan dengan masalah perundangan, kemudian menerima kejuteraan semula dan muncul dengan prototaip baharu digelar sebagai Microlino 2.0. Versi produksi sebenarnya hanya muncul pada September 2021.

    Di Eropah, ada negara-negara yang membenarkan Microlino dalam varian Lite yang hanya dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 8 PS dan kelajuan maksima 45 km/j dipandu oleh remaja berumur 14-tahun tanpa lesen memandu seperti Citroen Ami.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia lantik Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shinya Ikeda

    Mitsubishi Motors Malaysia lantik Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shinya Ikeda

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pelantikan Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu berkuatkuasa hari ini. Sakamaki menggantikan Shinya Ikeda yang sebelum ini memegang jawatan yang sama sejak Oktober 2021 yang mencatatkan beberapa kejayaan termasuk pelancaran Triton generasi keenam serta Xpander yang dipertingkatkan.

    CEO baharu MMM berpengalaman luas di peringkat antarabangsa lebih daripada 20 tahun dalam industri automotif, termasuk dalam strategi perniagaan, operasi eksport dan pembangunan pasaran di pasaran utama seperti China, Indonesia dan Mexico. Sebelum memegang jawatan baharu ini, Sakamaki pernah menyandang beberapa jawatan kanan yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan, pengurusan eksport CBU dan pengembangan bekalan OEM bersama pengeluar kenderaan global.

    “Adalah satu penghormatan untuk memimpin Mitsubishi Motors Malaysia dalam masa yang begitu dinamik bagi industri automotif. Dengan warisan kukuh Mitsubishi Motors di Malaysia dan dedikasi pasukan berbakat kami, saya yakin kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran baharu yang muncul dan merebut peluang yang ada.

    “20 tahun yang lalu, MMM memulakan usaha untuk mentakrifkan semula mobiliti di Malaysia. Hari ini, kami meraikan bukan sahaja perjalanan kami, tetapi juga kepercayaan setiap pemandu yang memilih Mitsubishi. Ketika kami melihat ke hadapan, komitmen kami tetap teguh – untuk menyediakan keselamatan, perlindungan dan keselesaan yang boleh dipercayai oleh pelanggan dan komuniti kami,” katanya.

    Tambah Sakamaki, pihaknya akan terus berusaha untuk menawarkan gaya hidup mobiliti yang memuaskan dan membangkitkan semangat pengembaraan, semuanya dibina berasaskan teknologi yang boleh dipercayai.

     
     
  • Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Firma jualan kereta-kereta lumba klasik dari Christchurch, New Zealand iaitu High Performance Classic kini sedang mengiklankan untuk menjual lima unit kereta lumba Proton Waja yang pernah digunakan oleh pasukan Petronas Syntium Proton (Team PSP) di Kejohanan Touring Car British (BTCC).

    Menurut High Performance Classic, dua dari lima buah Waja tersebut merupakan unit awalan yang dibina bagi berlumba ketika musim pertama Team PSP dalam BTCC iaitu pada tahun 2002 dan 2003 yang dipandu oleh dua orang pemandu Britain iaitu David Leslie dan Phil Bennett.

    Manakala tiga unit selebihnya adalah versi tingkat taraf bagi perlumbaan BTCC musim 2004, dipandu oleh pelumba Afrika Selatan iaitu Shaun Watson-Smith, dan juga pelumba Malaysia pertama yang berjaya melangkah ke perlumbaan Touring Car ulung tersebut iaitu Farique Hairuman yang berasal dari Johor.

    Malah berdasarkan dari pelekat-pelekat yang masih ada pada badan Waja berkenaan, ada unit-unit yang pernah dibawa untuk berlumba di Kejohanan Touring Car Asia (ATCC) bagi musim 2005 dan 2006, serta melibatkan seorang lagi pelumba Malaysia iaitu Mashlino Buang.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    OULTON PARK CIRCUIT, UNITED KINGDOM – MAY 23: Fariqe Hairuman, Petronas Syntium Proton, Proton Impian during the Oulton Park at Oulton Park Circuit on May 23, 2004 in Oulton Park Circuit, United Kingdom. (Photo by Malcolm Griffiths / LAT Images)

    Proton Waja BTCC ini merupakan jentera lumba yang dibina pada era kejohanan berkenaan menggunakan undang-undang BTC-Touring bagi kategori utama. Jadi ia diasaskan dari badan Waja sebenar yang diproduksi di kilang Proton Shah Alam. Namun projek ini sebenarnya tidak melibatkan Proton, jadi Team PSP yang ketika itu berpengkalan di UK membeli Waja berkenaan dari pengedar Proton di sana (Waja dikenali sebagai Proton Impian pada pasaran tersebut) bagi ditranformasikan sebagai kereta lumba.

    Untuk tampil sebagai sebuah jentera lengkap dihomologasikan dengan regulasi BTC-Touring tersebut, semua komponen kabin telah dibawa keluar dan kerangka badan dikeraskan termasuk pemadanan roll cage yang memenuhi spesifikasi.

    Bahagian luaran Waja ini masih kekal sama seperti Waja dan masih menampilkan panel-panel badan, lampu-lampu, bampar dan sebagainya yang sama seperti kereta di bilik pameran, namun ia dibenarkan untuk menerima kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan, fender hadapan dan belakang serta skirt sisi lebih lebar, dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

    Enjin Renault F4P yang dibekalkan sebagai enjin standard produksi untuk Waja varian 1.8 liter masih lagi dikekalkan, namun ia telah dibina semula oleh firma pembangunan enjin perlumbaan UK iaitu Montune, termasuk kapasitinya dipertingkat kepada 1,996 cc. Enjin ini masih beroperasi sebagai enjin Naturally Aspirated (NA) dan menghasilkan kuasa sekitar 280 PS.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Kemudian ia menerima kelengkapan sama yang wajib digunakan oleh semua pasukan bertanding dalam kelas BTC-Touring yang ditetapkan oleh penganjur perlumbaan tersebut iaitu TOCA, termasuk kotak gear perlumbaan manual enam-kelajuan dari Xtrac bersama set klac karbon AP Racing, hub roda TOCA dan set brek karbon AP Racing, set rim perlumbaan OZ 17-inci yang menggunakan hanya satu nat pengikat, kotak komputer unit pengurusan enjin TOCA dan lain-lain.

    High Performance Classic menyatakan bahawa tiga unit Waja berkenaan masih lagi dalam keadaan asal selepas dari perlumbaan terakhir masing-masing. Manakala ada satu unit dimana semua komponennya telah ditanggalkan sehingga kerangka kosong, bersedia untuk direstorasi semula.

    Dan untuk unit terakhir, ia juga telah ditanggalkan semua komponen, namun kerangka badannya telah melalui proses pembersihan media blast, dicat semula dan komponen-komponen utama juga telah dipasang semula, cuma tinggal beberapa pemasangan yang perlu disiapkan bagi melengkapkan kereta tersebut.

    Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

    Bersama-sama kereta-kereta ini, High Performance Classic turut menyimpan dua set lengkap komponen-komponen bagi membina semula enjin (termasuk komponen seperti omboh, rod penghubung, galas utama, spring injap dan pelbagai lagi).

    Firma itu turut mempunyai alat-alat ganti lain yang boleh digunakan pada kereta spesifkasi 2004 termasuk cakera brek AP Racing, set jek udara, paparan instrumen Pi yang telah direstorasi, komputer riba yang lengkap dengan perisian yang boleh berinteraksi dengan kotak komputer enjin, dua tangki bahan api perlumbaan Premier baru, set galas roda baru, pelbagai klac dan dua kotak gear yang telah dibina semula.

    Malah High Performance Classic turut mempunyai set keseluruhan lukisan kejuruteraan asli untuk semua komponen yang telah difabrikasi dan dibina untuk kereta-kereta lumba Waja berkenaan, yang semestinya diperlukan untuk sebarang kerja-kerja baik pulih atau restorasi. Semua sejarah perlumbaan jentera-jentera ini juga telah lengkap didokumenkan.

    Harga dan kondisi setiap Waja BTCC tersebut adalah seperti berikut:

    • Kereta nombor #20 spesifikasi 2002 dipandu Phil Bennett tiada transmisi dan penukar gear dan kotak komputer enjin berharga NZD$35,000 (RM85k)
    • Kereta nombor #15 spesifikasi 2002 dipandu David Leslie tiada kotak komputer enjin dan kotak gear berharga NZD$42,000 (RM102k)
    • Kereta nombor #115 spesfikasi 2003 tiada kotak komputer enjin dan panel suis utama berharga NZD$53,000 (RM129k)
    • Kereta spesifikasi 2004 lengkap tetapi semua komponen sudah ditanggal serta diberikan dengan banyak alat ganti baharu berharga NZD$65,000 (RM158k).
    • Kereta spesifikasi 2004 yang telah dicat semula serta 80% komponen yang dibina semula telah dipasang berharga NZD$76,000 (RM185k)

    Harga yang dinyatakan tidak termasuk kos penghantaran dan juga cukai-cukai yang akan dikenakan bergantung negara pembeli. High Performance Classic boleh menguruskan penghantaran ke mana-mana negara di dunia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025