Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • KTM Komuter Link, MyRailLife tidak lagi menerima kad konsesi – daftar, pindah baki nilai ke aplikasi KITS

    Ada makluman buat pengguna KTM Komuter, jika anda terlepas pandang perkara ini. Untuk pengetahuan anda, kad Komuter Link kini tidak lagi diterima kerana sistem pembelian tiket sedang dalam proses penambahbaikan. Jadi buat masa ini, anda perlu menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS) untuk pembelian tiket dan menggunakan telefon bimbit anda untuk sentuh (tap) masuk/keluar.

    Jika anda masih mempunyai baki nilai di dalam kad Komuter Link, anda boleh memindahkannya ke aplikasi KITS. Pertama, anda perlu memuat turun dan mendaftar akaun aplikasi berkenaan. Kemudian pergi ke kaunter Komuter Link di Tingkat 2, KL Sentral untuk urusan selanjutnya. Jangan lupa bawa sekali MyKad anda.

    Waktu operasi kaunter Komuter Link adalah pada setiap Isnin hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari, dan 2 petang hingga 5 petang. Untuk Jumaat pula, ia bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari, dan 2.45 petang hingga 5 petang.

    Klik untuk besarkan

    Sama juga untuk pengguna kad konsesi Komuter Link. Di mana kad fizikal terbabit tidak lagi boleh digunakan dan anda perlu mendaftar KITS untuk terus menikmati kadar diskaun. Bagi penumpang warga emas dan OKU boleh terus ke stesen kaunter KTM Komuter untuk mendapatkan bantuan.

    Begitu juga dengan kad fizikal MyRailLife yang tidak lagi boleh digunakan dan pengguna perlu menggunakan KITS. Pas MyRailLife yang dilancarkan pada Februari lalu sebagai pas perjalanan tanpa had diberikan secara percuma untuk pelajar dan golongan OKU.

    Walau bagaimana pun, kad Touch ‘n Go boleh digunakan di pintu automatik baharu di stesen KTM Komuter di Lembah Klang dan KTM Komuter Utara sejak 2 Oktober lalu. Hanya sentuh kad TnG anda dan tunggu bunyi ‘beep’ sebelum memasuki pintu berkenaan.

     
     
  • Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

    Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

    Seminggu dua ini Proton dilihat giat menjalankan ujian jalan raya awam untuk sedan baharunya yang dikhabarkan akan di lancarkan bulan hadapan. Dan sebelum sepatutnya ia didedahkan, ini dia sedan pengganti Preve berkenaan dilihat sedang menjalani penggambaran iklan tanpa sebarang penyamaran!

    Video ini dihantar oleh pembaca paultan.org, Ilyas Othman yang terserempak dengan sedan baharu Proton berkenaan yang diekori oleh sebuah Porsche Cayenne berwarna hitam yang dijadikan sebagai kereta kamera, serta diiringi beberapa kenderaan lain termasuk sebuah motosikal peronda polis.

    Apa yang menarik, Proton seakan masih mahu menyembunyikan nama sebenar sedan ini kerana pada bahagian nombor plat, ia tertulis ‘PROTON S 0’ dengan nombor selepas abjad ‘S’ digelapkan. Namun sekiranya anda lihat pada emblem pada but belakang, ia tertulis ‘S70’ dan bukan ‘S50’!

    Sebelum ini media-media melaporkan sedan baharu ini akan dinamakan sebagai ‘S50’ kerana Proton telah dilihat mendaftarkan nama tersebut di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Malah disebabkan model ini diasaskan dari sedan segmen-B Geely Emgrand dan menggunakan platform BMA yang sama dengan SUV segmen-B X50, ramai yang menjangkakan bahawa Proton akan menggunakan nama S50 pada sedan baharu ini.

    Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

    Unit yang menjalani pengambaran tersebut menampilkan warna badan hitam, dan ia dilihat mengenakan kit badan yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang lebih agresif dan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but. Model yang diambil untuk iklan biasanya merupakan dalam versi varian paling tinggi, dan kit badan berkenaan mungkin hanya ditawarkan pada varian paling mahal untuk sedan ini kelak.

    Dan pada bahagian muka, unit berkenaan mengenakan rekaan pin krom seakan model-model Mercedes-Benz yang sama seperti SUV segmen-D Proton X90. Pada X90, Proton memberitahu bahawa rekaan tersebut adalah diispirasikan dari rekaan kain songket tradisi Melayu.

    Sebelum-sebelum ini unit ujian S50/S70 ini dilihat ada yang menerima gril hadapan infinite weave seperti Proton X50 dan X70 – mungkin gril berkenaan akan dipadankan pada model-model dengan varian lebih rendah. Baru-baru ini juga tiga buah sedan berkenaan dilihat diuji sehingga ke Pulau Pinang, dengan dua daripadanya diberikan lampu hadapan reflektor LED dan sebuah lagi dengan lampu projektor.

    Proton S50/S70 ini juga dijangka bakal menampilkan kelengkapan mekanikal dan juga elektronik yang lebih baik dari Geely Emgrand yang telah pun dijual di pasaran China dan Filipina.

    Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate unit-unit ujian yang digunakan pada bahagian hadapan, ia mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50/S70 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50/S70 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Selain itu, S50/S70 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Oleh itu model ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla (sebab itulah ia mungkin diberi nama S70), kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Proton S50/S70 dilihat tanpa sebarang penyamaran – varian tertinggi ada kit badan, gril corak kain songket!

    Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Kami juga menjangkakan S50/S70 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S50/S70 ini akan dijual bermula RM70k untuk varian paling asas. Memandangkan harga jualan sedan segmen-B seperti Toyota Vios dan Honda City untuk varian tertinggi kini menghampiri RM100k, tak mustahil varian tertinggi bagi Proton S50/S70 ini juga akan dijual pada harga lebih kurang sama.

    GALERI: Geely Emgrand pasaran China dan Filipina

     
     
  • Proton X70 terbakar di Puspakom – kenyataan rasmi

    Proton X70 terbakar di Puspakom – kenyataan rasmi

    Proton telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkaitan video tular Proton X70 baru yang mengeluarkan asap daripada bahagian enjinnya di Puspakom Alor Gajah. Merujuk kepada kejadian itu sebagai satu “insiden suhu”, Proton telah mengambil tindakan segera dan kenderaan tersebut kini berada dalam pegangan mereka.

    “Jurutera Proton telah memulakan proses penyiasatan sambil bekerja rapat dengan pihak yang terlibat. Maklumat terkini akan dikeluarkan apabila semua informasi telah dikumpul. Sementara itu, kami ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa kenderaan Proton dibangunkan untuk mematuhi standard yang paling tinggi dan setiap unit melalui proses pemeriksaan dan kualiti yang ketat sebelum dihantar,” tertulis dalam siaran akhbar syarikat tersebut.

    Setakat ini itulah sahaja yang diberitahu, jadi kita perlu tunggu dan lihat bagaimana cerita selanjutnya. Paling tidak, kita tahu betapa pro aktif dan bersungguh-sungguhnya Proton dalam mengendalikan situasi ini, dan terbuka untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Tak banyak syarikat yang rela untuk berbuat sebegini.

     
     
  • Belanjawan 2024: Pelepasan cukai individu sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan kemudahan pengecas EV

    Belanjawan 2024: Pelepasan cukai individu sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan kemudahan pengecas EV

    Satu lagi berita yang akan memberi manfaat kepada mereka yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik diumumkan oleh perdana menteri Malaysia, merangkap menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Belanjawan 2024 sebentar tadi.

    Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai sehingga RM2,500 ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh empat tahun lagi (sehingga 2027), dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh dua tahun lagi.

    Melalui pelepasan cukai ini, pengguna EV antaranya dapat mengurangkan kos naik taraf atau ubah suai sistem elektrik di rumah untuk memasang pengecas kenderaan elektrik, sebagai contoh beralih dari single-phase kepada three-phase.

     
     
  • Belanjawan 2024: Projek LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai dianggar libatkan kos RM10 bilion

    Belanjawan 2024: Projek LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai dianggar libatkan kos RM10 bilion

    Ini ada lagi berita berkenaan pembangunan rangkaian kereta api daripada pembentangan Belanjawan 2024 sebentar tadi. Seperti yang dirancang oleh kerajaan negeri, projek Transit Aliran Ringan (LRT) untuk Pulau Pinang dianggarkan melibatkan jumlah RM10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).

    Projek LRT ini adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang akan menghubungkan Komtar dan Bayan Lepas, dengan 23 stesen di sepanjang laluan 26.8 km.

    Projek ini juga telah diumumkan pada tahun 2016 akan melibatkan laluan LRT Georgetown-Butterworth, yang akan menghubungkan pulau tersebut dengan bahagian utama Semenanjung, bersama sistem tram di Georgetown serta beberapa laluan monorail.

    Pada bulan Mei lalu juga, menteri pengangkutan, Anthony Loke telah memberitahu bahawa kerajaan persekutuan telah membuat keputusan secara prinsipnya untuk melaksanakan projek LRT Pulau Pinang ini.

     
     
  • Belanjawan 2024: Kerajaan akan guna EV sebagai kereta rasmi – Vellfire akan digantikan dengan Tesla?

    Belanjawan 2024: Kerajaan akan guna EV sebagai kereta rasmi – Vellfire akan digantikan dengan Tesla?

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024 petang tadi, perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunkan kereta elektrik penuh (EV) sebagai kenderaan rasmi bagi menggantikan kereta-kereta sedia ada.

    Walau bagaimanapun Anwar tidak memperincikan sama ada ia hanya akan membabitkan kereta-kereta rasmi menteri kabinet atau melibatkan kesemua kenderaan kerajaan. Buat masa sekarang, menteri-menteri kabinet menerima Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi. Mungkin ke semua Vellfire tersebut akan ditukar kepada Tesla tidak lama lagi?

    Juga buat masa sekarang tiada lagi sekatan hanya kenderaan pemasangan tempatan (CKD) boleh digunakan sebagai kenderaan rasmi. Banyak model-model EV mewah telah mula diperkenalkan di pasaran tempatan ketika ini, mungkin PM akan memilih Mercedes-Benz EQS untuk kereta rasminya kelak?

     
     
  • Belanjawan 2024: Tambah lorong di laluan Sedenak-Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS, RM931 juta

    Belanjawan 2024: Tambah lorong di laluan Sedenak-Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS, RM931 juta

    Buat setakat ini, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Ini bermakna hampir keseluruhan jajaran lebuhraya berkenaan di Johor hanya mempunyai empat lorong. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan pada waktu sibuk, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

    Justeru, mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, Kerajaan Madani bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor. Ia melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta di bawah Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim lewat petang ini.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah berkata Kementerian Kewangan telah mengadakan pembincangan dengan syarikat pengendali lebuhraya terbabit berhubung penambahan lorong daripada empat kepada enam lorong lebuh raya berkenaan membabitkan laluan antara Yong Peng hingga Skudai.

    Selain itu, ia turut menjadi menjadi fokus kerajaan Johor terutama dalam mengatasi kesesakan, akibat pertambahan kenderaan di Lebuhraya PLUS di negeri berkenaan. Malahan sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

     
     
  • Belanjawan 2024: RM1.63 bilion baiki jalan kampung, RM134 juta pasang dan selenggara lampu jalan

    Belanjawan 2024: RM1.63 bilion baiki jalan kampung, RM134 juta pasang dan selenggara lampu jalan

    Bagi mempertingkatkan kualiti keterhubungan dan mengurangkan jurang antara keselesaan pengguna luar bandar, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM1.63 bilion bagi tujuan pembinaan dan naik taraf jalan kampung dan pedalaman, termasuk di kawasan seperti Bachok, Kelantan; Tambun Tulang, Perlis; dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Selain itu, RM134 juta disediakan untuk pemasangan 60,000 lampu jalan kampung yang baru, serta untuk menyelenggara 500,000 lampu jalan kampung yang sedia ada.

    Peruntukkan RM57 juta lagi pula disediakan untuk melaksanakan 115 projek termasuk 54 projek baru untuk naik taraf jambatan uzur serta membina jambatan baru.

     
     
  • Belanjawan 2024: Lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini akan diteruskan dengan kos RM5.3 bilion

    Belanjawan 2024: Lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini akan diteruskan dengan kos RM5.3 bilion

    Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau pun LRT Laluan Shah Alam, yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024.

    Katanya, pengekalan stesen-stesen ini dijangka dapat melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan dua juta penduduk. Ia memperuntukkan kos tambahan sebanyak RM5.3 bilion untuk meneruskan pembinaan lima stesen berkenaan.

    Dengan pengumuman tersebut, kini hanya satu stesen sahaja yang dibatalkan daripada perancangan asal iaitu stesen bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.

    Pada tahun 2018, kerajaan ketika itu telah membuat keputusan untuk meneruskan projek LRT3 dengan pengurangan kos sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion. Ini termasuklah pembatalan lima stesen LRT3 berkenaan dan mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api enam-koc kepada 22 set kereta api tiga-koc.

    Perkhidmatan LRT3 sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Bandar Utama merupakan salah satu hentian bagi MRT Laluan Kajang, manakala salah satu stesen pertukarannya terletak di Glenmarie iaitu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.

     
     
  • Belanjawan 2024: Kerajaan terus tanggung bayaran MyLesen B2, e-hailing, teksi untuk golongan B40

    Belanjawan 2024: Kerajaan terus tanggung bayaran MyLesen B2, e-hailing, teksi untuk golongan B40

    Menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan sebahagian daripada pendapatan yang diraih hasil penjualan nombor pendaftaran plat khas akan digunakan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan iaitu B40.

    “Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 (MyLesen B2), e-hailing dan teksi untuk lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

    “Selain itu, sebahagian hasil penjualan nombor pendaftaran plat khas tersebut juga akan digunakan untuk membiayai 100,000 unit topi keledar termasuk untuk kanak- kanak yang akan diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu,” kata beliau.

    Dana yang sama juga akan digunakan untuk meneruskan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Ia bakal dimanfaatkan kepada hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang disediakan bagi ketiga-tiga perkara yang bakal direalisasikan yang menggunakan hasil sebahagian penjualan nombor pendaftaran plat khas.

     
     
  • Belanjawan 2024: Rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik – pendapatan bawah RM120k

    Belanjawan 2024: Rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik – pendapatan bawah RM120k

    Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pengumuman rebat sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik.

    Peruntukan yang dipanggil sebagai Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik ini diberikan kepada mereka yang berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dan diperkenalkan demi mempromosi penggunaan motosikal kuasa elektrik bagi golongan B40.

    Mereka yang berminat dengan kenderaan elektrik (EV) juga dapat menikmati beberapa lagi peruntukan lain seperti pengecualian cukai sehingga Rm2,500 untuk perbelanjaan berkenaan pengecasan EV serta pengurangan cukai untuk sewaan EV selama dua tahun.

     
     
  • Belanjawan 2024: TNB, Gentari dan Tesla labur lebih RM170 juta untuk pasang 180 pengecas EV

    Belanjawan 2024: TNB, Gentari dan Tesla labur lebih RM170 juta untuk pasang 180 pengecas EV

    Dalam usaha untuk pemperkukuh dan memperluas rangkaian prasarana bagi menyokong penggunaan dan pertumbuhan industri EV di negara ini, kerajaan turut mengalu-alukan pelaburan lebih daripada RM170 juta daripada TNB, Gentari dan Tesla.

    Ini adalah bagi memperluas rangkaian kemudahan pengecasan ke seluruh negara dengan melibatkan pemasangan sebanyak 180 stesen pengecas. Ini kemungkinan akan melibatkan campuran antara pengecas pantas DC dan juga pengecas AC.

    Hal ini adalah penting, antaranya untuk mempergiat penerapan penggunaan EV dalam kalangan rakyat teramai yang sekaligus akan menjadi pemangkin kepada ekosistem pengeluaran dan penggunaannya ke tahap lebih meluas dalam masa terdekat.

     
     
  • Belanjawan 2024: LRT3 bakal menerima 150 bas elektrik dan tiga depoh bas dengan kos RM600 juta

    Belanjawan 2024: LRT3 bakal menerima 150 bas elektrik dan tiga depoh bas dengan kos RM600 juta

    Bagi menyokong keperluan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3, menerusi Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik yang bakal dijadikan sebagai bas perantara.

    Selain itu, sebanyak tiga depoh bas akan dibina bagi perkhidmatan berkenaan. Justeru, untuk merealisasikan keperluan ini, sebanyak RM600 juta peruntukan disediakan.

    Menurut Anwar, ia merupakan salah satu cara untuk menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan kenderaan elektrik (EV), selain membantu melonjakkan lagi pembangunan industri EV tempatan.

     
     
  • Belanjawan 2024: Cukai Perkhidmatan naik dari 6% kepada 8% pada 2024, kos servis kenderaan naik

    Belanjawan 2024: Cukai Perkhidmatan naik dari 6% kepada 8% pada 2024, kos servis kenderaan naik

    Dalam Belanjawan 2024 yang sedang dibentangkan oleh perdana menteri Malaysia merangkap menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai perkhidmatan yang kini berada pada kadar 6% kepada 8%.

    “Untuk tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penjajajaminan dan karaoke”, kata Anwar.

    Oleh itu kenaikan cukai perkhidmatan ini sudah tentu akan melibatkan kos upah untuk servis menyelenggara dan pembaikkan kenderaan. Jadi jangan terkejut ya kalau bil servis kereta tahun depan naik!

     
     
  • Belanjawan 2024: RM8.2 bilion perbaiki jalan rosak seluruh negara, RM100 juta tukar lampu jalan LED

    Belanjawan 2024: RM8.2 bilion perbaiki jalan rosak seluruh negara, RM100 juta tukar lampu jalan LED

    Bagi mempertingkatkan tahap kualiti prasaranan dan menggerakkan ekonomi kontraktor terlibat, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM8.2 bilion secara keseluruhannya untuk tujuan memperbaiki semua jalan dan jambatan yang mengalami kerosakan di seluruh negara.

    Daripada jumlah tersebut, pecahan peruntukkan berkenaan terbahagi kepada dua, iaitu sebanyak RM5.4 bilion untuk jalan-jalan negeri, sementara RM2.8 bilion lagi untuk penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan.

    Selain itu, sebanyak RM100 juta lagi turut diperuntukkan bagi tujuan menukar lampu jalan, dari jenis bulb biasa kepada jenis LED.

    Selain itu, peruntukan sebanyak RM50 juta turut diberikan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan yang sama. Lagi RM50 juta juga akan diberikan untuk menjadikan kawasan yang tinggi kadar kemalangannya agar menjadi lebih selamat melalui pemasangan lampu isyarat pintar bagi aliran trafik lebih lancar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025