Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sistem VEP akan dilaksana sebelum 2016 berakhir

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Pada akhir Julai lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) belum bersedia untuk dilaksanakan, namun dalam masa yang sama menyangkal dakwaan ia akan dibatalkan.

    Semalam pula, timbalannya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, sistem VEP bagi kenderaan asing yang masuk ke negara ini melalui Singapura akan dilaksanakan sebelum tahun 2016 berakhir, laporan Bernama.

    Katanya, semua sistem dan prosedur pelaksanaan VEP tersebut telah diuji dari pelbagai aspek dan didapati memuaskan, namun sedang melalui tempoh ‘matang’ sebelum diaplikasi sepenuhnya pada masa yang tepat.

    “Bukan sahaja di Singapura, ia juga akan dilaksanakan di sempadan Thailand, Kalimantan (Indonesia) dan Brunei. Kita mulakan dulu dengan Singapura dan setelah sistem berkenaan stabil barulah diaplikasi ke fasa seterusnya melibatkan sempadan yang lain,” katanya kepada pihak media.

    Ab Aziz turut memaklumkan tempoh percubaan sistem VEP dikendalikan oleh JPJ sejak 1 Jun sehingga 17 Julai lepas berjalan lancar. Ia adalah bagi memastikan keberkesanan dan ketahanan sistem berkenaan.

    “JPJ telah menggerakkan seluruh kakitangannya untuk sistem berkenaan termasuk mendapatkan pertambahan anggota bagi memastikan operasi VEP itu mampu berjalan lancar sebaik ia dilaksanakan tidak lama lagi,” katanya.

    Sehingga kini, lebih 120,000 kenderaan dari Singapura mendaftar dengan sistem VEP dan dianggarkan 60 peratus daripada satu juta kenderaan yang keluar masuk Malaysia melalui dua pintu keluar masuk dalam tempoh sebulan merupakan kenderaan dari Singapura.

    VEP yang dicadangkan pada 2006, sepatutnya bermula pada 16 Julai dengan mengenakan bayaran RM20 bagi kenderaan asing memasuki Johor, tetapi telah ditangguhkan sebanyak empat kali sebelum ini.

     
     
  • KTMB umum perkhidmatan komuter dilanjutkan sempena Citrawarna 2016 pada 25 Sept ini

    ktm-komuter-2

    Sempena sambutan Citrawarna 2016 di Dataran Merdeka pada 25 September iaitu Ahad ini, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan melanjutkan perkhidmatan komuter.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB, pada Ahad dan Isnin ini, waktu operasi di lima stesen iaitu di stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral dan Bandar Tasik Selatan, akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi, laporan Bernama.

    Di mana jadual tren tambahan adalah dari Putra ke Pelabuhan Klang (12.49 tengah malam dari stesen Putra), Putra ke Sungai Gadut (12.54 tengah malam dari stesen Putra) dan KL Sentral ke Rawang (1 pagi dari stesen KL Sentral). Ia dilanjutkan khusus bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai yang ingin menyaksikan pelbagai acara sempena sambutan Citrawarna 2016 di Dataran Merdeka.

    Dalam masa yang sama, pengguna juga dinasihatkan membeli tiket dua hala atau menggunakan kad Touch n Go bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari Twitter @ktmkomuter.

     
     
  • MAA umum prestasi jualan, produksi bagi Ogos 2016

    Honda Civic drive-official 148

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan kenyataan media mengenai prestasi jualan dan produksi bagi Ogos 2016. Di mana secara keseluruhannya, rekod yang dicatatkan bagi Ogos 2016 adalah menurun kepada 52,312 unit berbanding 53,459 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Rekod prestasi produksi untuk bulan Ogos 2016 bagi kenderaan penumpang, ia mencatatkan sejumlah 39,987 unit, iaitu menurun sebanyak 4,825 unit pada bulan yang sama tahun lalu (dengan sejumlah 44,812 unit). Penurunan ini juga memberikan kesan pada rekod tahunan bagi Januari hingga Ogos 2016 iaitu 315,940 unit berbanding 384,605 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Malahan bagi kenderaan komersial juga, ia menunjukkan penurunan iaitu hanya 3,465 unit bagi Ogos 2016 berbanding 4,523 unit pada tempoh yang sama tahun lalu. Sekaligus turut memberikan catatan yang kurang memberangsangkan pada rekod tahunan bagi Januari hingga Ogos 2016 iaitu 29,572 unit berbanding 33,049 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    production_record_maa_august16

    Bagi rekod jualan kenderaan penumpang untuk bulan Ogos pula, ia turut mencatatkan penurunan iaitu hanya 46,223 unit, berbanding 47,309 unit bagi tempoh yang sama tahun lalu. Malahan rekod jualan tahunan dari Januari hingga Ogos 2016 pula mencatatkan sebanyak 328,227 unit. Agak jauh ketinggalan berbanding yang tercatat pada Ogos 2015 iaitu 386,553 unit, dengan jurang perbezaa sebanyak 58,326 unit.

    Walau bagaimana pun, bagi rekod jualan kenderaan komersial, biar pun tidak banyak berbeza, namun Ogos 2016 juga mencatatkan penurunan iaitu hanya 6,089 unit, berbanding 6,150 unit pada tahun 2015. Malah perbezaannya juga tidak begitu ketara bagi rekod tahunan antara Januari hingga Ogos, di mana tahun 2016 mencatatkan sebanyak 42,015 unit, manakala tahun 2015 pula sejumlah 47,837 unit.

    august_sales_maa

    Menurut MAA, walau bagaimana pun, jualan bagi Ogos 2016 adalah lebih 23.2% atau pun 9,841 unit berbanding Julai tahun ini. Ini dipengaruhi oleh tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dan juga lebih banyak model baharu yang diperkenalkan termasuklah Honda Civic 2016 pada 9 Jun dan Perodua Bezza pada 21 Julai tahun ini.

    MAA juga menjangkakan rekod bagi September 2016 juga memberangsangkan dengan pengenalan lebih banyak model baharu termasuk Proton yang memperkenalkan Persona 2016 pada 23 Ogos lalu.

     
     
  • 1.2 juta rakyat Malaysia memandu tanpa lesen – JPJ

    malaysian driving license 001

    Seramai 1.2 juta rakyat Malaysia dikesan layak untuk mendapatkan lesen memandu, tetapi tidak berbuat demikian, ulas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron.

    Katanya, JPJ semakin giat mengadakan kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu kenderaan yang sah serta akan memastikan mereka mendapatkan lesen berkenaan. Ia adalah selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 yang menyasarkan pengurangan sehingga 50% kadar kemalangan maut di negara ini yang mana sebanyak 62% adalah membabitkan kemalangan motosikal, laporan Bernama

    “Belum dikenal pasti sama ada mereka ini langsung tidak mempunyai lesen kerana memang tidak mahu memandu, tidak memiliki kenderaan atau semata-mata bergantung kepada pengangkutan awam dan sebagainya. Walau bagimana pun, bilangan mereka ini perlu dikesan puncanya agar tidak berlaku sebarang masalah keselamatan di jalan raya lebih-lebih lagi jika mereka memandu tanpa lesen,” ujarnya kepada pihak media selepas Majlis Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat Kebangsaan 2016 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

    highway driving

    “Sebanyak 18.8 juta kenderaan berdaftar yang masih aktif di negara ini melibatkan 14 juta pemandu. Maka kerajaan perlu memastikan orang ramai dan generasi akan datang mempunyai sikap dan amalan pemanduan yang mengutamakan keselamatan serta mematuhi undang-undang,” katanya lagi.

    Mengikut statistik, 6,700 kemalangan maut direkodkan tahun lepas dan bilangan itu adalah membimbangkan, apatah lagi 30% daripada jumlah berkenaan membabitkan pelajar sekolah.

    Sehubungan itu, Nadzri berkata program perkhemahan kadet JPJ adalah antara usaha memperkasa disiplin serta jati diri peserta dalam mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya sejak di peringkat sekolah.

    “JPJ bekerjasama secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan institut memandu untuk kemudahan para pelajar bagi mendapatkan lesen motosikal (B2).

    “Pelajar berumur 17 tahun ke atas layak mendaftar di sekolah untuk proses mendapatkan lesen B2 di mana pegawai JPJ dan institut memandu akan mengendali kelas menunggang motosikal di sekolah-sekolah sebelum pelajar mengambil peperiksaan memandu di pusat ujian,” jelasnya.

     
     
  • VIDEO: HCCI – enjin pembakaran dalam paling efisien, teknologi yang bakal digunakan pada masa hadapan

    Teknologi enjin dalam industri automotif berkembang setiap masa. Enjin yang dibina semakin hari, semakin efisien – bermaksud jumlah bahan api yang digunakan dapat dibakar dan diubah hampir keseluruhannya menjadi tenaga dalam bentuk pergerakkan, membolehkan penjimatan bahan api dapat dicapai disamping menghasilkan kuasa yang lebih besar dan lebih mesra alam.

    Hari ini, trend binaan enjin dari kebanyakkan pengeluar untuk menghasilkan enjin pembakaran dalam yang efisien adalah dengan mengecilkan kapasiti serta suapan dari sistem induksi paksaan seperti pengecas turbo atau pengecas lampau (supercharger). Namun, adakah teknologi ini akan bertahan untuk selamanya? Nissan sebelum ini pernah menyiarkan konsep baharu untuk enjin mereka pada masa hadapan iaitu dengan teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI) dan dipercayai sebagai konsep enjin paling efisien untuk enjin pembakaran dalam.

    Berbanding enjin petrol konvensional yang memerlukan palam pencucuh (spark plug) atau enjin diesel yang memerlukan suntikan bahan api untuk memulakan pembakaran setelah campuran udara-bahan api dimampatkan dalam kebuk pembakaran, enjin HCCI ini sebaliknya hanya memerlukan titik pembakaran yang terjadi secara semula jadi dengan nisbah mampatan yang tinggi dan campuran udara-bahan api pada keadaan lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) .

    nissan-hcci_bm

    Ini membuatkan pembakaran berkenaan berlaku pada suhu yang lebih rendah berbanding enjin pembakaran lain. Oleh itu, selain dari menggunakan bahan api dengan jumlah yang lebih sedikit, suhu rendah berkenaan mampu untuk melenyapkan hampir keseluruhan penghasilan gas berbahaya Nitrogen Oksida (NOx).

    Namun, apa yang menjadi masalah untuk enjin ini untuk dijelmakan dalam bentuk produksi adalah bagaimana untuk mengawal pembakaran dalam kebuknya. Aspek ini tidak menjadi hal pada enjin konvensional dimana pemasaan untuk nyalaan palam pencucuh/suntikan diesel dapat dikawal sepenuhnya, tetapi untuk enjin HCCI ini, ia perlu dikawal menerusi suhu pada enjin berkenaan sendiri. Jika enjin terlalu sejuk, pembakaran tidak akan berlaku (misfire), manakala jika enjin terlalu panas pula, campuran udara-bahan api akan berlaku terlalu awal dan menghasilkan ketukan (knocking) dalam kebuk pembakaran.

    nissan-hcci_2_bm

    Oleh itu, dalam konsep yang didedahkan oleh Nissan, faktor ini boleh dikawal menerusi sistem pemasaan injap VVT dan VVL (anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan sistem ini pada ulasan pandu uji Honda Civic generasi kesepuluh), di mana kawalan pada bukaan injap berkenaan serta bantuan dari sistem edaran semula gas ekzos (EGR) membolehkan tekanan dan suhu dalam kebuk pembakaran dapat dikawal.

    Selain dari Nissan, Mazda sebelum ini juga telah mengumumkan akan membangunkan teknologi HCCI ini untuk enjin SkyActiv generasi datang. Tidak terikut-ikut dengan trend semasa pengeluar lain yang menumpukan pada teknologi pengecas turbo, enjin petrol NA SkyActiv-G Mazda akan datang dikhabarkan akan mempunyai nisbah mampatan setinggi 18:1 dan penggunaan bahan api 25-30% lebih jimat berbanding enjin sedia ada.

     
     
  • Chevrolet Trailblazer facelift bakal mendarat di Malaysia pada Q1 2017, diikuti SUV Trax dan Cruze

    chevy-trailblazer-cebu-01_bm

    Semasa pelancaran peringkat rantau ASEAN untuk trak pikap Colorado dan SUV Trailblazer yang berlangsung Filipina minggu lalu, Chevrolet turut mengumumkan berberapa perkara penting.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Colorado generasi kedua versi facelift bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Model berkenaan sebelum ini juga telah pun diprebiu ketika berlangsungnya Karnival Jualan Auto Merdeka di Naza Automall PJ. Trak berkenaan bakal dijual dalam versi 2.8 liter dan 2.5 liter, dimana versi 2.5 liter bakal menerima sistem pengecas turbo Geometri Bervariasi (VGT).

    Menurut Naza Quest, SUV tujuh tempat duduk yang berasaskan trak pikap iaitu Trailblazer versi facelift yang didedahkan di Thailand bulan lalu, turut bakal dibawa ke pasaran tempatan pada suku pertama tahun hadapan, ditawarkan dalam versi 2.5 dan 2.8 liter.

    Harga anggaran untuk SUV berkenaan adalah sekitar RM200k, tetapi Naza Quest berharap dapat menjualnya pada harga sekitar RM190k. Seperti juga Colorado, Trailblazer facelift ini turut menampilkan kabin yang dirombak semula bersama penggunaan meterial lembut.

    Ia bakal didatangkan bersama penghidup enjin kawalan jauh, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu hadapan automatik, tempat duduk larasan elektrik, sistem infotainmen MyLink 2 baharu bersama skrin sesentuh tujuh-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur serta cermin tingkap automatik untuk memudahkan ia ditutup (turut dipadankan pada Colorado).

    Untuk varian tinggi, ia turut dilengkapi dengan pengelap cermin automatik, penghawa dingin automatik, tujuh-pembesar suara, penderia parkir hadapan dan belakang serta sistem navigasi.

    Chevrolet_Trax-2

    Selain itu, Naza Quest turut mengumumkan akan memperkenal beberapa model Chevrolet baharu yang lain ke pasaran Malaysia tahun hadapan. Antara model berkenaan termasuk SUV segmen-B Trax dan juga Cruze 2017. Trax dibina di Korea dan telah dipamerkan di Indonesia semasa IIMS April lalu. Jika ia benar-benar akan dijual di Malaysia kelak, Naza Quest akan membawanya dalam bentuk semi-knocked down (SKD) pada suku kedua tahun hadapan.

    Di Indonesia, Trax dijana oleh enjin turbo empat silinder 1.4 liter EcoTec berkuasa 140 PS/200 Nm, dipadankan dengan kotak gear torque converter enam-kelajuan automatik bersama override manual.

    GALERI: Chevrolet Trailblazer generasi kedua facelift

    GALERI: Chevrolet Trax 2016 spesifikasi Indonesia

     
     
  • BMW Group Malaysia lancar Litar Pemanduan Premium Wheelcorp yang pertama di Malaysia

    bmw-04

    Wheelcorp Premium dan BMW Group Malaysia secara rasminya membuka Litar Pemanduan Premium Wheelcorp (Wheelcorp Premium Driving Circuit) pada hari ini. Ia merupakan litar pemanduan premium yang pertama dimiliki sepenuhnya oleh sebuah pengedar kenderaan di negara ini.

    Terletak di Pusat 4S BMW dan MINI di Jalan Setia Murni AH, U13/AH, Setia Alam, ia memiliki keluasan 1.5 ekar dan mampu melengkapkan semua aktiviti pemanduan yang kini dijalankan oleh Wheelcorp Premium melibatkan jenama BMW, MINI dan BMW xDrive Experiences.

    Bukan itu sahaja, litar pemanduan ini bertindak sebagai lokasi menguji tahap kelincahan, kelajuan serta koordinasi kenderaan BMW dan MINI. Ujian itu merangkumi pemanduan di atas jalan yang licin dan latihan membrek. Di samping latihan bagaimana untuk mengawal kenderaan sepenuhnya dalam situasi berbahaya dan ekstrem. Litar ini juga direka untuk menawarkan pengalaman pemanduan BMW xDrive di laluan berlumpur dan tidak rata melalui jalan berpasir, bercerun sisi, selain demonstrasi menaiki dan menuruni bukit.

    Sebagai tambahan, semua pelanggan yang membeli kenderaan BMW dan MINI baharu daripada Wheelcorp Premium layak menyertai Kursus Pemanduan Selamat dan Defensif di litar berkenaan.

    Ketika memperkenalkan liter tersebut, Ketua Pengedar dan Pengarah Eksekutif Wheelcorp Premium, Jayden Liew berkata, “Dengan kemudahan yang membolehkan pelanggan menikmati pengalaman dinamik dan sofistikasi jenama BMW dan MINI, kami lebih bersemangat untuk menawarkan kualiti pemilikan premium kenderaan daripada BMW Group.”

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Menerusi pengenalan Litar Pemanduan Premium, Wheelcorp Premium dilihat mengotakan janjinya untuk menawarkan keseronokan memandu (Sheer Driving Pleasure). Selain membolehkan para pelanggan jenama BMW dan MINI untuk meneroka segala aspek termasuklah kemahiran yang penting untuk menambah baik teknik pemanduan dan keselamatan mereka.”

    Bagi meraikan pembukaan Litar Pemanduan Premium Wheelcorp Premium, acara Jualan Hujung Minggu akan diadakan di Wheelcorp Premium mulai 23 hingga 25 September 2016. Ini termasuklah sesi Compact Performance Drive, BMW xDrive Experience dan MINI Driving Experience yang akan dianjurkan sepanjang hujung minggu tersebut. Malah dengan setiap pembelian sebuah kenderaan bahawa BMW atau MINI, pelanggan bakal menerima minyak percuma daripada Shell Malaysia selama 12 bulan.

     
     
  • VIDEO: Yamaha akan perkenal model kod R baharu di INTERMOT Oktober ini; kemungkinan adalah R6

    Satu video teaser dikeluarkan oleh Yamaha memperlihatkan sebuah motosikal jenis sport dengan fairing dan penggambaran dilakukan di litar lumba.

    Pada penghujungnya, satu tarikh diberikan iaitu 4 Oktober 2016. Daripada sedutan-sedutan dalam video ini, ramai yang menjangkakan ia adalah Yamaha R6 dan akan membuat penampilan semasa pameran motosikal INTERMOT yang akan berlangsung di Cologne, Jerman 5 hingga 9 Oktober ini.

    Ini kerana Yamaha R6 sudah sekian lama tidak diberikan pembaharuan iaitu kali terakhir pada tahun 2010, dan itupun tidak begitu ketara.

    Masih tiada sebarang perincian tentang motosikal ini, tetapi penggemar dunia motosikal menjangkakan Yamaha R6 baharu akan diperlengkap dengan peralatan terkini seperti R1 termasuk rekaan agresif, lampu utama berasingan, lampu berhenti LED, enjin crossplane, suspensi yang dinaik taraf serta mod tunggangan.

    Sebaik INTERMOT bermula nanti, kita akan ketahui lebih lanjut.

     
     
  • Subaru XV – generasi baharu ikut formula sedia ada

    subaru-xv-concept-3-1-front-bm

    Seperti yang dijangka, model Subaru XV generasi baharu akan ikut formula daripada model semasa tetapi menampilkan versi lebih bergaya apabila ia diperkenalkan pada pertengahan tahun 2017.

    Seperti yang dilaporkan oleh CarAdvice, menurut pengurus kanan projek jabatan perancangan produk dan portfolio, Masahiko Inoue, model XV 2017 akan terus menggunakan model hatch bagi segmen-C sedia ada sebagai asas, namun akan ditambah ketinggian kerangkanya, lapisan plastik yang membaluti badannya dan lebih banyak warna sebagai pilihan.

    “[Ia akan] sama tahap dengan model semasa Impreza dan XV. Ideanya tetap sama iaitu Impreza generasi akan datang, XV generasi akan datang,” katanya. ” Sama konsep, berketerampilan, road clearance yang lebih tinggi dan sedikit lapisan serta warna yang lebih menarik.”

    subaru-xv-concept-8-1-rear-bm

    Inoue turut menambah, model tersebut tidak akan menampilkan sebarang perubahan sheetmetal kepada Impreza baharu, dan setakat ini, ia lebih menonjolkan aspek rekaan. Ia akan terus menjadi sebuah jentera yang mempunyai “rekaan lucu pada rodanya yang berwarna terang,” katanya, tetapi “kali ini pada gril hadapan, lebih kurang sama, tetapi bagi XV baharu ia nampak lebih agresif.”

    Namun ada sesetengah elemen akan dipengaruhi model XV Concept. Tetapi agak tidak keterlaluan seperti mana yang ditunjukkan pada model konsep, ini termasuk dengan gril baharu, penambahan lapisan badan, skid plate, roda yang lebih besar dan kekemasan berwarna jingga.

     
     
  • Semak sebut harga baiki kereta, elak ditipu – TPPM

    Hyundai models parked at service bays @ Hyundai's Authorised Service Centre

    Isu ditipu oleh pemilik bengkel kenderaan termasuk menggunakan alat ganti tiruan bukanlah soal baharu. Malah menurut rekod Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), setakat 31 Julai lalu, sebanyak 85 tuntutan berkaitan kes penipuan pihak bengkel kenderaan telah difailkan dan ia melibatkan tuntutan sebanyak RM446,000.

    Justeru, pemilik kereta disaran agar mendapatkan sebut harga daripada pengusaha bengkel terlebih dahulu sebelum kenderaan mereka dibaiki.

    Pengerusi TPPM, Wan Rufaidah Wan Omar berkata, “Ia adalah penting bagi mengelakkan pemilik kenderaan ditipu. Bengkel kereta perlu diminta menyediakan sebut harga yang lengkap berkaitan pembaikan yang hendak dilakukan, anggaran kos termasuk kos tenaga manusia serta anggaran masa yang perlu diambil untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.”

    Katanya lagi menerusi program ‘Dalam Radar’ terbitan Radio Bernama, adalah menjadi hak pengguna untuk meminta maklumat daripada pengusaha bengkel tentang kerosakan yang dikenal pasti sebelum bersetuju membenarkan kereta mereka dibaiki.

    “Pemilik juga sepatutnya mendapat penjelasan terperinci berkaitan komponen yang telah ditukar sama ada ia adalah tulen, baharu, terpakai atau dikitar semula,” ujarnya lagi.

    Apabila menerima sebarang aduan atau pun laporan, pihak TTPM akan memfailkan kes yang nilai tuntutan barangan atau perkhidmatan tidak melebihi daripada RM25 ribu dan kesnya tidak melebihi tiga tahun dari tarikh kejadian kes, laporan Bernama

     
     
  • Ketua pembangunan teknikal Audi ditahan untuk siasatan skandal emisi enjin V6 turbodiesel 3.0 liter

    VW diesel engine

    Skandal diesel yang melanda Volkswagen Group nampaknya belum lagi berakhir. Reuters memetik akhbar dari Jerman Bild am Sonntag, melaporkan ketua pembangunan teknikal Audi, Stefan Knirsch, telah ditahan untuk siasatan terhadap perisian untuk menipu yang digunakan pada enjin diesel 3.0 liter jenama berkenaan.

    Akhbar Jerman berkenaan turut menyatakan siasatan yang dijalankan oleh Jones Day tersebut menunjukkan Knirsch, yang juga merupakan ahli lembaga Audi, mengetahui penggunaan perisian untuk menipu tersebut yang dipadankan pada enjin diesel 3.0 liter serta memberikan janji palsu di bawah sumpah yang dibuat. Laporan itu turut menyatakan Knirsch telah diminta untuk melepaskan jawatannya.

    Knirsch yang sebelum ini ketua untuk pembangunan enjin di Audi, menggantikan Ulrich Hackenberg pada 1 Januari. Hackenberg telah pun meletak jawatan selepas beliau dan dua eksekutif lain yang berkait rapat dengan pembangunan enjin EA 189 digantung dari perkhidmatan. Jurucakap Volkswagen Group dan Audi enggan mengulas lanjut berkenaan isu tersebut.

    Bulan lalu, Bild am Sonntag melaporkan bahawa lebih banyak peranti untuk penipuan dijumpai pada enjin diesel 3.0 liter tersebut. Perisian yang tidak diluluskan berkenaan membolehkan sistem kawalan emisi untuk enjin turbodiesel itu dimatikan selepas lebih kurang 22 minit beroperasi. Ujian rasmi sistem emisi yang dijalankan itu mengambil masa 20 minit untuk dilengkapkan.

    Enjin turbodiesel V6 3.0 liter yang terlibat dengan penggunaan peranti penipuan ini digunakan untuk model seperti Volkswagen Touareg, Porsche Cayenne, Audi A6 quattro, A7 quattro, A8 dan Q5.

     
     
  • KL MRT: Jalan Bukit Bintang ditutup pada 22, 23 Sept

    MRT_CHERAS

    MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah mengumumkan penutupan sepanjang Jalan Bukit Bintang pada malam 22 dan 23 September ini. Ia adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan stesen MRT di kawasan berkenaan.

    Penutupan jalan bermula jam 9 malam hingga 6 pagi bagi merungkai gantri, iaitu keluli yang mendokong kren di bawah tanah tapak pembinaan Stesen MRT di Bukit Bintang. Ia membabitkan penutupan di laluan sepanjang 140 meter, iaitu di antara restoran McDonalds dan KFC.

    Sepanjang penutupan jalan terbabit, laluan alternatif akan disediakan untuk kegunaan pengguna. Bagi penunggang motosikal, dinasihatkan mengikut papan arahan yang disediakan.

     
     
  • Volkswagen Jetta facelift diumum sudah mula boleh ditempah – harga dari RM110,000 hingga RM130,000

    open-for-booking-jetta

    Sebelum pelancarannya yang dijangka pada minggu hadapan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan tempahan untuk Volkswagen Jetta baharu kini telah dibuka. Model yang diperkenalkan buat pertama kali di New York Auto Show 2014 ini dianggarkan akan dijual pada harga di antara RM110,000 hingga RM130,000. Ia didatangkan dalam empat warna – putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).

    Bahagian luaran model facelift ini hanya mengalami sedikit perubahan gaya untuk membezakannya dengan model sedia ada. Gril hadapan dirombak semula, bampar hadapan dan belakang juga diberi sedikit gaya berbeza serta lampu hadapan dan lampu belakang yang dipertingkatkan dan dilengkapi set rim baharu.

    Begitu juga dengan bahagian dalamannya yang turut diberi sedikit suntikan yang lebih segar dengan menampilkan roda stereng, kluster instrumen dan butang kawalan penghawa dingin auto yang dipertingkatkan, dan kesemua elemen itu sama seiras dengan model Golf Mk7.

    Jetta baharu akan ditawarkan dalam tiga varian – Trendline, Comfortline and Highline. Ia dijana oleh enjin 1.4L TSI dengan pengecas turbo berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500rpm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh kelajuan baharu. Enjin berkenaan juga membolehkan Jetta diiktiraf secara rasmi sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan dilengkapi dengan fungsi start/stop automatik dan brek janaan semula.

    Untuk keselamatan, Jetta facelift dilengkapi dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control.

    Jika anda ingin menerima perkembangan secara lebih eksklusif mengenai Volkswagen Jetta facelift ini, klik di sini untuk daftarkan diri anda.

    GALERI: Volkswagen Jetta facelift (di lain-lain pasaran)

     
     
  • Global NCAP: Honda Mobilio dapat 0-bintang untuk model asas, 3-bintang bagi pilihan 2 beg udara pada varian spesifikasi tertinggi; Renault Kwid 1-bintang

    honda-mobilio-no-airbags-e1474281517975

    Kereta tahunan India, Renault Kwid, tidaklah mencapai keputusan yang baik dalam penilaian Global NCAP awal tahun ini. Malah versi terkini bagi Kwid dengan tahap keselamatan tertinggi – beg udara tunggal untuk pemandu dan pra-tekanan tali pinggang keledar untuk tempat pemandu – hanya mendapat penarafan satu-bintang bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan satu-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP).

    Ketika ujian dilakukan, varian tertinggi masih menunjukkan pengkadaran pesongan bahagian dada yang tinggi, memberikan satu-bintang untuk pemandu. Manakala bagi varian asas pula, tidak ditampilkan dengan beg udara, hanya memungut kosong-bintang bagi AOP, dengan ketegaran kerangka Kwid pada tahap “tidak stabil”.

    Sementara itu, Honda Mobilio yang diuji bagi varian asas dan spesifikasi tertinggi yang dilengkapi dengan dua beg udara. Bagi varian asas tanpa beg udara, Mobilio turut menerima kosong-bintang bagi AOP hadapan, dan satu-bintang bagi COP. Manakala dengan pilihan dua beg udara pula, Mobilio meneri atiga-bintang bagi AOP dan dua-bintang untuk COP.

    “Renault hanya melakukan progres yang terhad, sepatutnya mereka menawarkan kereta dengan kedudukan satu-bintang bagi versi standard, bukan sebagai pilihan. Manakala Honda pula menunjukkan, kereta dengan dua beg udara mampu mencapai tiga-bintang. Sepatutnya sistem keselamatan ini bukan didatangkan secara pilihan. Renault dan Honda membuat model kereta yang selamat untuk pasaran lain, tetapi mereka perlu lebih tahu bagaimana hendak memastikan kereta bagi India juga selamat. Kami menjangkakan mereka sedang membuat sesuatu ke arah itu,” ujar David Ward, ketua setiausaha bagi Global NCAP.

    “Pengeluar automotif sepatutnya tidak meningkatkan tahap keselamatan sebagai pilihan, keselamatan sepatutnya tidak patut dikompromi sebagai standard,” tambah Rohit Baluja pula, selaku Presiden Institut Pendidikan Trafik Jalan Raya.

     
     
  • Toyota GT86 facelift tembusi pasaran Eropah

    toyota-gt86-e1474290433939_bm

    Setelah diperkenalkan buat pertama kali pada Mac lalu, Toyota 86 kini telah pun mendarat di pasaran Eropah. Dikenali sebagai GT86 di benua berkenaan, model ini akan mula menerjah masuk ke bilik pameran pada Oktober ini. Versi facelift untuk pasaran Eropah ini turut menerima mod baharu dalam sistem kawalan stabilitinya iaitu ‘Track Mode’, membolehkan pemandu bermain dengan satu lagi talaan sistem berkenaan selain dari ‘Active Mode’ pada sistem standard atau mematikan terus sistem berkenaan.

    Bahagian luaran model ini adalah seiras dengan model pra-facelift, tetapi Toyota menegaskan bahawa model ini telah dirombak secara komprehensif. “Kami merombak sepenuhnya – terutamanya hasil dari maklumbalas teknologi dari penyertaan 86 dalam perlumbaan Nurburgring 24 Jam – dan ujian berterusan kereta ini pada semua jalan raya di seluruh dunia kerana kami menghasilkan setiap satu komponen,” kata ketua jurutera Tetsuya Tada.

    toyota-gt86-rear-e1474263503753_bm

    Walau bagaimanapun, model pasaran Eropah ini tidak menerima peningkatan kuasa enjin seperti pada model facelift pasaran Jepun. Ia masih mengekalkan enjin boxer NA FA20 2.0 liter suntikan bahan api terus berkuasa 200 PS/205 Nm, berbanding enjin sama model pasaran Jepun yang kini berkuasa 207 PS/212 Nm. Namun, model pasaran Eropah ini turut menerima kerangka badan yang diperkuatkan terutamanya pada bahagian belakang menerusi komponen panel yang lebih tebal serta lebih banyak spot weld yang diberikan pada sambungan badan.

    Pada bahagian kabin, model ini dilengkapi dengan roda stereng tiga jejari berdimeter lebih kecil iaitu 362 mm. Takometer pada panel instrumen juga kini diatur semula dengan meletakkan kedudukan 7,000 rpm (tahap redline) pada kedudukan jam 12. Bahagian kanan takometer tersebut pula diletakkan paparan pelbagai info 4.2-inci baharu yang memberikan informasi ekonomi penggunaan petrol, jarak perjalanan, lengkok kuasa dan tork, jam randik serta paparan Daya-G.

    2017-toyota-gt-86-3-e1474263113830_bm

    GT86 versi facelift ini hadir dalam dua varian iaitu standard dan Pro. Model asas standard dilengkapi lampu hadapan LED adaptif, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin, bantuan mula mendaki, kawalan kelajuan, cermin sisi elektrik dengan pemanas serta pedal kawalan aluminium. Kesemua ciri ini turut diberikan pada varian Pro dan ditambah dengan spoiler belakang, pemanas tempat duduk hadapan, upholsteri kulit dan Alcantara, kemasan seperti sued pada panel pintu dan papan pemuka serta perehat tangan pemandu balutan kulit,

    Kedua-dua varian ini turut dilengkapi dengan sistem multimedia Toyota Touch 2 dengan skrin sesentuh 6.1-inci, pelaras DAB dan Bluetooth, serta ditawarkan dengan opsyen sistem Toyota Touch 2, ditambah dengan sistem navigasi serta akses kepada servis atas talian dan saluran media sosial. Toyota GT86 facelift ini bakal dijual dengan harga £25,495 (RM137,334), dan model Pro akan dijual pada harga bermula £27,095 (RM145,833).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025