Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton Persona – Kini sudah terima 8,000 tempahan, 2,000 unit diserahkan; 45% pilih varian Premium

    Proton_Persona_Premium_Ext-3

    Susulan kepada laporan tempahan Proton Persona sebelum ini, Proton memaklumkan sudah menerima 8,000 unit tempahan bagi model berkenaan setakat hari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali turut menyatakan 2,000 unit model berkenaan sudah didaftarkan. Daripada jumlah itu, 1,500 unit diserahkan kepada pemilik, manakala 500 unit lagi didaftarkan untuk kegunaan Proton sendiri.

    Daripada jumlah keseluruhan tempahan setakat ini, 45% pemilik memilih varian Premium berbanding pilihan lain yang ditawarkan. “Kami menjangkakan varian Standard yang akan menjadi pilihan utama bagi Persona. Namun, berdasarkan data jualan semasa, khalayak sebaliknya lebih cenderung memilih varian Premium,” ulas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed. 5% daripada jumlah yang memilih varian Premium ini pula terdiri daripada mereka yang membeli versi SE, dengan tambahan bodykit bernilai RM1,000.

    Turut melangkaui jangkaan awal Proton ialah 35% daripada jumlah pembeli memilih warna terbaharu yang diperkenalkan khusus bagi Persona, Carnelian Brown sebagai warna pilihan. Bagi penawaran transmisi manual pula, ia hanya merangkumi 10% daripada jumlah serahan yang dilakukan.

    Proton bakal melancarkan model terbaharu ketiga tahun ini, Proton Saga 2016, hujung bulan ini.

    Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

     
     
  • Kia Rio 2017 – perincian penuh didedahkan, akan masuk pasaran Eropah suku pertama tahun hadapan

    new-kia-rio-exterior-dynamic-3-e1474255960668-850x566bm

    Bulan lalu, berita berkenaan kemunculan Kia Rio 2017 sudah tersebar akan dipertonton kepada umum semasa pameran permotoran Paris Oktober nanti. Walaubagaimanapun pada waktu itu, perincian tidak begitu jelas.

    Kini, Kia sudah mengeluarkan perincian kenderaan hatchback segmen B terbaharu itu dan ia dijangka berada di pasaran Eropah menjelang suku pertama tahun hadapan.

    Direka di Jerman dan California, Kia Rio 2017 berbeza berbanding model sebelumnya dengan bahagian hadapan yang lebih panjang dan profil yang konvensional. Jarak rodanya pula lebih panjang dan C-pillar lebih tegak.

    Lebih tepat lagi, Rio 2017 15mm lebih panjang (keseluruhannya 4,065mm), jarak roda bertambah 10mm menjadi 2,580mm, sementara lebarnya pula bertambah 5mm menjadi 1,725mm dan lebih rendah (1,450mm).

    new-kia-rio-exterior-dynamic-8-850x558bm

    Menyerlahkan lagi penampilannya, terdapat lampu nyalaan siang LED berbentuk-U dengan alis dan LED belakang triple 7.

    Pada bahagian dalam, Rio 2017 menggunakan rekaan yang lebih beralun dan ergonomik, dengan garisan melintang yang menerbitkan rasa luas. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

    Di bawahnya, jumlah butang sudah berkurangan dan pengawal pendingin hawa kini lebih ergonomik.

    Sistem informasi dan hiburan yang ditawarkan termasuk satu yang didatangkan dengan skrin sesentuh 5 inci serta sistem navigasi dengan skrin sesentuh 7 inci (yang mempunyai sistem Kia Connected Services, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto). Ia juga mempunyai soket USB di hadapan dan belakang.

    new-kia-rio-interior-2-850x558bm

    Ciri pilihan tambahan lain termasuk sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, pengelap cermin dan lampu utama automatik, pemanas tempat duduk dan stereng, Rear Park Assist dengan kamera pandang belakang, dan Automatic Cruise Control dengan pengehad kelajuan. Pembeli juga boleh mendapatkan Red Pack yang menambah kemasan kulit berwarna merah serta konsol tengah bersama perehat tangan.

    Bahagian dalam juga diperbaiki dengan lebih ruang, terhasil terutamanya melalui badan yang lebih besar, dan juga rekaan baharu pada trim pintu, kemasan bumbung, papan pemuka dan C-pillar lebih kurus. Ruang simpanan di bahagian belakang dipertingkat sebanyak 37 liter kepada 325 liter.

    Pilihan enjin pula termasuk 1.0 liter T-GDI turbo tiga silinder petrol berkemampuan 98hp pada 4,500rpm dan 172Nm pada antara 1,500 hingga 4,000rpm; varian yang dipertingkat pula mempunyai 118hp pada 6,000rpm.

    Kedua-dua enjin dijangka mengeluarkan emisi di bawah 100 gram untuk setiap kilometer dan diturunkan lagi dengan adanya sistem Idle Stop and Go (ISG).

    Turut akan ditawarkan adalah enjin empat silinder petrol 1.25 liter 82hp/122Nm tork dan varian 1.4 liter diesel turbo 69hp serta 88hp – kedua-duanya mensasarkan pengeluaran karbon di bawah 90 gram bagi setiap kilometer dengan ISG. Enjin 1.25 liter dan 1.0 liter 98hp akan dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan manakala enjin 1.4 liter dan 1.0 liter 118hp didatangkan dengan transmisi enam kelajuan.

    Kerangka Rio 2017 lebih keras dan suspensinya ditala semula dengan kadar spring dan penyerap berlainan yang mampu menggabungkan pengendalian lebih baik dan lebih selesa. Crossmember juga lebih keras dan torsion beam belakang ditinggikan untuk stabiliti di kelajuan tinggi.

    new-kia-rio-exterior-7-850x567bm

    Pada bahagian lain, terdapat penyerap tegak baharu di belakang dan penyerap hadapan diperlengkap dengan teknologi injap pre-loaded linear; memberikan kawalan dan tindak balas stereng yang lebih linear semasa di atas jalan kasar.

    Kotak gear stereng yang diubah posisinya juga meningkatkan rasa pengendalian bagi pemandu.

    Dari aspek keselamatan, Rio 2017 akan ditawarkan dengan sistem
    Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki (dikatakan yang pertama dalam segmennya) dan Lane Departure Warning System (LDWS). Badannya menggunakan 51 peratus besi (sebelum ini 33 peratus) berkekuatan tinggi (AHSS).

     
     
  • Audi akan mula memasang kenderaannya secara CKD di Malaysia dalam masa dua tahun akan datang

    audi_b9a4_sline_ext-2

    Antara jenama premium dari Jerman, Audi seringkali tewas dari segi harga berbanding BMW dan Mercedes-Benz kerana jenama berkenaan tidak mempunyai program pemasangan tempatannya (CKD) sendiri. Oleh itu, Audi telah mengumumkan akan memulakan operasi CKD mereka di Malaysia dalam masa lagi dua tahun.

    Bercakap kepada paultan.org pada pelancaran Audi A4 hari ini, pengarah pemasaran Audi Malaysia Rudi Venter berkata, “Anda boleh bayangkan perbincangan yang besar perlu dilakukan kerana ia melibatkan pelaburan. Jadi secara jelasnya tempoh masa tidak dapat ditetapkan, tetapi apa yang pasti dalam tempoh masa lebih kurang dua tahun berikutnya kami perlukan operasi tempatan.”

    Apabla ditanya adakah model A4 akan dipasang secara CKD, Venter menambah, “Kami sekarang ini sedang melihat empat model berbeza yang akan diproduksi secara tempatan, dan jika ia logik dari segi jumlah pengeluaran, jadi A4 berkemungkinan besar akan dibuat secara CKD.”

    Memandangkan Volkswagen Group Malaysia (VGM) sedang melihat semula operasi Audi di Malaysia, pemasangan tempatan untuk Audi mungkin akan beroperasi di kilang DRB-Hicom Pekan, Pahang, di mana model-model Volkswagen tempatan turut di pasang.

     
     
  • Audi Malaysia lebih agresif pada 2017 – A5 Sportback, A3 baharu, serta R8, Q2 dan RS dalam rancangan

    2017-audi-a5-bm

    Tahun hadapan menjanjikan sesuatu yang lebih bermakna buat Audi Malaysia. Di mana syarikat ini telah mengumumkan perancangan mereka untuk memperkenalkan model baharu bagi tahun 2017 dan juga membawa masuk lebih banyak model S dan RS ke pasaran tempatan. Pengumuman ini dibuat semasa pelancaran B9 Audi A4 petang tadi.

    Mendahului barisan model ialah R8 baharu. Malah laman web tempatan juga telah mengeluarkan teaser sejak akhir tahun 2015, namun ia disahkan hanya tiba di pasaran kita pada tahun 2017.

    Model generasi kedua ini dijanakan oleh enjin petrol 5.2 liter naturally-aspirated V10, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Selain itu, pada tahun 2017 juga, model A5 dan A3 baharu juga dirancang akan diperkenalkan. Audi Malaysia mengesahkan akan membawa masuk versi Sportback bagi A5, yang akan diperkenalkan di Paris Motor Show hujung bulan ini. Manakala bagi model A3 facelift pula dijangka diperkenalkan di pasaran Malaysia dalam versi sedan.

    Satu lagi berita gembira, model Q2 compact crossover yang diperkenalkan di Geneva pada Mac lalu, juga dirancang akan diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun hadapan. Di Eropah, sebanyak enam varian enjin ditawarkan, di mana ia diletakkan di bawah Q3, tetapi untuk pasaran kita, mungkin varian 1.4 TFSI empat-silinder yang akan dilancarkan.

    Malah Audi Malaysia juga merancang untuk membawa masuk lebih banyak varian S dan juga model RS bagi pasaran tempatan, dengan model RS pertama dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun 2017.

     
     
  • Honda Freed 2016 mula dijual dalam pasaran Jepun

    Print

    Honda Freed generasi baharu sudah pun mula dijual untuk pasaran domestik Jepun, dengan tiga versi iaitu Freed, Freed+ dan kenderaan kegunaan-khas. Honda mendakwa, secara keseluruhan sebanyak 16 varian berbeza bakal ditawarkan untuk pembeli di negara matahari terbit itu.

    Freed versi standard menampilkan tiga baris tempat duduk untuk memuatkan enam atau tujuh orang penumpang, manakala untuk Freed+ pula, hanya lima penumpang boleh dimuatkan kerana tiada tempat duduk baris-ketiga dilengkapkan bagi memberikan lebih ruang untuk isian kargo. Freed versi kegunaan khas pula dilengkapi dengan akses kerusi roda dan sama ada tempat duduk untuk mengangkat penumpang pada bahagian hadapan atau sisi.

    Freed baharu ini diukur dengan dimensi 4,265 mm panjang bagi versi standard, manakala untuk varian terpilih dalam siri Freed+, ia dipanjangkan lagi dengan tambahan 30 mm. Model Freed pacuan hadapan pula mempunyai ketinggian 1,710 mm, manakala versi pacuan empat roda pula adalah 25 mm lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kesemua versi Freed mempunyai kelebaran 1,695 mm dan jarak roda 2,740 mm.

    Rekaan Freed baharu ini menerapkan asas konsep rekaan “Dynamism and Functionality” Honda terkini. Lampu-lampu pada bahagian hadapan dan belakang Freed ini adalah baharu sepenuhnya. Begitu juga pada bahagian cermin hadapan yang kini mempunyai sudut pandangan lebih jelas dan pintu gelangsar belakang yang kini boleh dibuka sehingga 665 mm atau 20 mm lebih luas dari model terdahulu bagi memudahkan akses kebahagian berkenaan.

    Image converted using ifftoany

    Image converted using ifftoany

    Turut memudahkan pengguna pada bahagian tempat duduk barisan kedua berkenaan adalah lantai MPV ini yang kini 15 mm lebih rendah (390 mm). Ruang yang boleh dilalui pada kabin juga kini dilebarkan lagi iaitu 50 mm untuk tempat duduk baris pertama dan 25 mm untuk baris kedua, memudahkan untuk penumpang masuk ke dalam MPV ini.

    Kabin Freed juga kini lebih luas di mana garis bahu penumpang antara tempat duduk baris pertama dan tempat duduk baris ketiga ditingkatkan 90 mm berbanding model generasi sebelum ini. Untuk model tiga baris tempat duduk yang mempunyai tempat duduk kapten di baris kedua, tempat duduk berkenaan kini mempunyai jarak gelangsar lebih 120 mm kepada 360 mm.

    Selain dari kabin yang lebih luas, Freed juga kini dilengkapi dengan papan pemuka baharu yang lebih teratur berbanding model terdahulu. Menurut Honda, rekaan ini digelar sebagai konsep “Bahagian Dalaman Moden Natural, atau “Wonder Pack Interior” pada Freed+. Tiga warna dalaman ditawarkan iaitu beige, mocha, dan hitam dan dipadankan sama ada dengan tempat duduk balutan fabrik satu- atau dua-ton, serta kemasan akhir yang berbeza.

    Antara perlatan baru lain yang dipadankan adalah roda stereng pelbagai fungsi, suis-suis kawalan, pelantar kompas, serta tuil penukar gear. Paparan instrument dan sistem penghawa dingin turut menampilkan enam warna lampu yang boleh ditukar. Untuk paparan penghawa dingin, ia akan bertukar ke warna merah sekiranya suhu dinaikkan, manakala lampu akan bertukar ke warna biru sekiranya suhu diturunkan.

    Dua unit janakuasa ditawarkan (untuk model pacuan model hadapan dan pacuan semua roda) untuk Freed 2016 iaitu enjin 1.5 liter empat silinder suntikan bahan api terus DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear CVT, dan juga versi Hybrid i-DCD – menggabungkan enjin 1.5 liter kitaran Atkinson empat silinder DOHC i-VTEC, kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, dan juga motor elektrik.

    Penggunaan bahan api dalam kitaran ujian JC08 adalah berbeza mengikut unit janakuasa, dan ia dicatatkan dari 16.4 km setiap liter hingga 27.2 km setiap liter. Seperti dilaporkan sebelum ini, Freed Hybrid menggunakan magnet motor elektrik hibrid bebas bahan nadir bumi baharu iaitu magnet neodymium yang dihasilkan melalui proses pemanasan pada sistem unit janakuasanya. Menurut Honda lagi, Unit Kuasa Pintar (IPU) pada model hibrid juga kini lebih kecil dan diletakkan pada tempat duduk barisan pertama, berbanding di tempat duduk baris ketiga pada model generasi sebelumnya.

    Peralihan kedudukan berkenaan mewujudkan ruang tambahan dalam kabin MPV ini, dan membolehkan versi yang mampu diakses oleh kerusi roda ditambah dalam barisan model. Selain itu, unit IPU khas untuk Freed Hybrid berkenaan juga membolehkan MPV versi hibrid ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda, pertama kali untuk model van mini dalam pasaran Jepun.

    Menurut Honda, lebih banyak keluli berketegaran tinggi digunakan pada kerangka Freed untuk meningkatkan kekuatan badannya. Untuk varian tertentu, Freed turut dilengkapi dengan pakej keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari sistem-sistem seperti Amaran Keluar Lorong, Sistem Bantuan Kekal Laluan, Sistem Pengelak Keluar Jalan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Amaran Pelanggaran Hadapan dan Sistem Brek Anti-Pelanggaran.

    Freed generasi baharu dijual dalam pasaran Jepun dengan harga bermula 1,880,000 yen (RM76,055) hingga 2,748,200 yen (RM111,178). Dua warna baharu ditawarkan iaitu Blue Horizon Metallic dan Citron Drop bersama warna dari model terdahulu iaitu Cobalt Blue Pearl, Premium Deep Ross Pearl, Mandarin Gold Metallic, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl.

    Sebelum ini, Freed mula mendarat di Malaysia pada tahun 2010. Selepas itu, versi facelift pula dilancarkan pada tahun 2013 dengan dua varian dan dijual pada harga bermula RM99,800 hingga RM113,500. Honda Malaysia menghentikan penjualan Freed atas sebab kurangnya permintaan terhadap MPV ini. Setelah Toyota Sienta dilancarkan, adakah anda merasakan Freed perlu kembali dalam pasaran Malaysia untuk memberikan saingan?

     
     
  • Triumph Malaysia buka cawangan di Johor Bharu

    triumph-jb-bm-12

    Pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd membuka satu lagi cawangan pusat 3S, selepas Petaling Jaya dan Georgetown, Pulau Pinang iaitu di Johor Bharu.

    Terletak di Lot G-08, Nong Chik Riverside, Jalan Kolam Air 2, Triumph Johor Bharu ini adalah satu kerjasama dengan sebuah lagi syarikat iaitu Brit Bikes Sdn Bhd.

    Kemudahan satu tingkat ini menempatkan pusat jualan motosikal Triumph manakala bahagian servis dan alat ganti akan siap tidak lama lagi. Apabila lengkap nanti, ia akan dapat memberi khidmat penuh kepada pemilik dan penggemar motosikal jenama dari United Kingdom ini.

    triumph-jb-bm-4

    Majlis pembukaaan Triumph Johor Bharu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al-Malique dalam satu majlis ringkas namun dimeriahkan oleh pemilik motosikal Triumph dari seluruh negara serta dari Singapura.

    Selain itu, pengunjung yang berminat juga boleh menguji sendiri motosikal Triumph pada hari pelancaran tersebut dan dijamu dengan pelbagai makanan sepanjang ia berlangsung.

    Triumph Johor Bharu dibuka pada hari Isnin hingga Khamis dari jam 10 pagi hingga 7 malam manakala pada hari Jumaat dan Sabtu, jam 10 pagi hingga 5 petang. Pada hari Ahad dan cuti umum pusat pameran ini akan ditutup.

     
     
  • Audi A4 2.0 TFSI serba baharu kini di M’sia – bermula RM249k dan 1.4 TFSI, 2.0 TFSI Quattro bakal menyusul

    img_4013

    Mula mewar-warkan ketibaannya sejak awal tahun ini, Audi A4 B9 serba baharu akhirnya telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, Audi Malaysia mengambil keputusan untuk melancarkan varian 2.0 TFSI terlebih dahulu, dan akan menyusul dua lagi varian iaitu 1.4 TFSI dan 2.0 TFSI Quattro tidak lama lagi.

    Menggabungkan penampilan estetik yang agresif, enjin atletik dan teknologi tercanggih, model Audi paling laris sepanjang zaman ini dilihat sekali lagi menetapkan penanda aras untuk segmennya. Diproduksi di Jerman, Audi A4 2.0 TFSI serba baharu ini dilengkapi enjin 2.0 liter TSFI empat-silinder yang menawarkan kuasa mencecah 190 hp dan tork maksimum 320 Nm dari putaran enjin serendah 1,450 hingga 4,200 rpm.

    Ia turut dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh-kelajuan, dan gabungan kuasa ini membolehkan Audi A4 2.0 TFSI memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.3 saat dengan kelajuan maksimum 240km/j.

    Di sebalik prestasi yang sporty itu, Audi A4 2.0 TFSI tetap mampu mengekalkan penjimatan bahan api yang mendahului kelasnya. Gabungan penggunaan bahan api cuma 5.0 liter bagi setiap 100km dengan catatan emisi CO2 114g/km.

    audi_b9a4_ext-16

    Menawarkan peningkatan ketara dari segi pemanduannya, Audi A4 bukan sahaja berorientasikan kepada prestasi, malah ia juga selesa dan mudah dipandu berbanding model sebelumnya. Dibina di atas platform MLB-Evo baharu yang turut digunakan pada model SUV Audi Q7, casis Audi A4 berfungsi secara harmoni dengan sistem stereng elektromekanikal dan suspensi adaptif lima sambungan bersama kawalan peredam untuk menyerap segala ketidaksempurnaan permukaan jalan raya. Pada masa sama menjanjikan maklum balas pemanduan yang optimum.

    Sama seperti semua kenderaan Audi, ciri Audi drive select hadir sebagai satu ciri standard. Ia membolehkan talaan suspensi, enjin dan rangkaian kuasa dibuat bagi disesuaikan dengan kecenderungan pemandu serta kondisi jalan raya.

    Audi A4 juga dilengkapi pelbagai ciri elektronik demi menawarkan pengalaman pemanduan yang efisien dan selamat. Ini termasuklah sistem start/stop dengan janaan semula tenaga, Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), bantuan parkir dengan pilihan paparan, ABS dan enam beg udara.

    Pastinya imej yang ditampilkan mampu menarik perhatian, Audi A4 serba baharunini yang diolah dengan gaya yang lebih sporty ditampilkan dengan kerangka pada bahagian hadapan yang lebar. Karekternya nyata menyerlah dengan garis-garis horizontal dan didominasi oleh gril signatur Audi, Singleframe bersama lampu utama LED yang tersendiri.

    Garis bahu yang tepat dan maskular menjalar di seluruh kenderaan. Sekali gus memberikannya penampilan yang atletik dan lebih panjang. Apatah lagi apabila dipadankan dengan rim aloi lima-jejari selari bersaiz 17-inci.

    Cermin sisi Audi A4 kini diletakkan di atas bahu kereta dan bukannya pada tiang A. Memberikannya gaya lebih sporty yang sebelum ini hanya boleh dilihat pada model Audi TT dan R8. Ia juga meningkatkan aspek aerodinamik dengan catatan pekali seretan hanya 0.23 yang mendahului kelasnya.

    Penambahbaikan dari segi aerodinamik serta beberapa ciri rekaan lain seperti garis nipis untuk meningkatkan aliran udara pada cermin sisi, reka bentuk bootlid belakang, bahagian bawah enjin yang ditutup dan gandar belakang dinaikkan secara minimum memastikan Audi A4 serba baharu mampu menawarkan akustik yang terbaik dalam kelasnya.

    audi_b9a4_ext-12

    Di bahagian belakang pula, lampu LED didatangkan dengan indikator dinamik sebagai satu ciri standard. Sekali gus memberikan impresi yang menawan ketika ia dipandu pergi atau tiba di satu-satu lokasi.

    Selain menjadi sebuah kereta serba boleh yang lebih besar dengan 25mm lebih panjang dan 16mm lebih lebar, Audi A4 bagaimanapun 120kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Ini adalah hasil gabungan bijak di antara reka bentuk dan material yang ringan, menjadikannya kenderaan paling ringan dalam kelasnya.

    Melangkah ke dalam kabin Audi A4 serba baharu, ia menampilkan ruang luas, berteknologi tinggi yang bukan sahaja lebih besar, malah jauh lebih bagus buatannya dan selesa berbanding sebelum ini. Bermula dengan kabin yang berpusat kepada pemandu, rekaan horizontal yang diserlahkan pada bahagian luar diteruskan ke ruang dalaman kenderaan bersama papan pemuka yang nipis dan seakan-akan terapung. Ia diserlahkan lagi dengan kemasan Aluminum Ellipse dan corong pendingin hawa yang ada pada konsolnya.

    Bahagian tengah papan pemuka dihuni oleh MMI® radio plus yang terdiri daripada skrin bersaiz tujuh-inci dan sistem bunyi Audi dengan amplifier enam-saluran serta 10 unit pembesar suara berkuasa 180 watt.

    audi_b9a4_int-1

    Pada tempat duduk pemandu, Audi A4 serba baharu dilengkapi stereng tiga jejari muti-fungsi sporty yang dibalut kulit serta paddle shifter sebagai ciri standard. Pelanggan juga boleh memilih sama ada dial analog standard yang digabungkan dengan TFT Audi Driver Information System (DIS) bersama paparan berwarna bersaiz tujuh-inci atau kokpit maya Audi yang didatangkan bersama pakej Technology sebagai pilihan. Ia akan menggantikan kluster intrumen standard yang terdiri daripada monitor TFT beresolusi tingi bersaiz 12.3 inci dan boleh diubah suai sepenuhnya.

    Tempat duduk hadapan juga ditampilkan bersama sokongan lumbar empat cara. Manakala tempat duduk belakang pula boleh dilipat dengan konfigurasi 40:20:40 yang eksklusif dalam kelasnya. Konfigurasi itu membolehkan ruang but ditingkatkan daripada 480 liter menjadi 965 liter.

    Pengarah Pemasaran Audi Malaysia, Rudi Venter berkata, “Dengan kehadiran A4, kami ingin memperkenalkan kereta yang lebih besar dalam semua aspek. Tetapi pada masa yang sama lebih ringan, lincah, berkuasa, seronok dipandu dan menjimatkan bahan api. Jentera ini juga sarat dengan teknologi dan ciri terbaru, namun lebih mudah digunakan berbanding sebelumnya. Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan Audi A4 serba baharu sememangnya mengagumkan.”

    Sambungnya lagi, Audi Malaysia juga akan memperkenalkan model asas 1.4 TFSI dan varian 2.0 Quattro yang berorientasikan kepada prestasi pada Januari 2017. Apabila diperkenalkan pada tahun 2009, Audi A4 generasi kelapan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan memberangsangkan jenama Audi di Malaysia.

    Audi A4 2.0 TFSI serba baharu hadir dalam sepuluh warna iaitu Glacier White, Floret Silver, Matador Red, Tango Red, Argus Brown, Scuba Blue, Monsoon Grey, Manhattan dan hitam. Sementara warna Daytona Grey mutiara ditawarkan untuk model yang dibeli bersama pakej S line.

    Audi A4 2.0 TFSI serba baharu boleh didapati bermula 20 September di semua pengedar sah Audi di seluruh negara. Ia ditawarkan pada harga bermula RM248,900 (tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti empat tahun/120,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah sebanyak 100 unit pertama akan ditawarkan dengan harga pengenalan RM239,000 seunit, sama seperti harga model terdahulu.

    Terdapat dua pakej pilihan ditawarkan untuk Audi A4 2.0 TFSI iaitu pakej S Line dan Technology. Pakej S line yang sporty terdiri daripada bampar hadapan dan belakang yang agresif, rim aloi dengan reka bentuk lima jejari bintang berkembar bersaiz 18 inci, kemasan sil pintu beriluminasi bersama kemasan aluminium, tempat duduk sports dibalut kulit Alcantara berwarna hitam, stereng sport S line dibalut kulit serta pelbagi ciri sporty yang lain dengan tambahan RM25,000.

    Sementara pakej Technology yang mula ditawarkan tidak lama lagi pula merangkumi lampu utama LED Matrix bersama indikator dinamik pada bahagian hadapannya. Selain MMI Navigation plus dengan papan sentuh MMI, kokpit maya Audi, antara muka telefon pintar Audi untuk Apple Carplay dan Android Auto, Audi Connect serta kamera undur.

    Untuk perincian lebih lanjut mengenai varian bagi Audi A4 B9 serba baharu, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Audi A4 B9 S Line

     
     
  • Anita Yusof pulang ke Malaysia lepas setahun kembara bermotosikal ke seluruh dunia secara sendirian

    anita-yusof-4

    Mungkin ramai yang sudah mendengar berkenaan pengembaraan mengelilingi dunia bermotosikal, sama ada berkumpulan ataupun individu tetapi kisah Anita Yusof adalah berbeza kerana beliau telah menjadi wanita muslim pertama yang melakukannya, secara solo.

    Setelah melepasi 40 buah negara dan 4 benua, Anita akhirnya tiba di Malaysia 16 September lalu, dan disambut meriah kumpulan penunggang motosikal serta mereka yang mempunyai minat sama dengan beliau.

    Merupakan seorang pensyarah dan ibu kepada dua cahaya mata yang berasal dari Ipoh, Perak, Anita merupakan seorang yang dahagakan cabaran dan kerap mengembara berseorangan secara backpack ke merata dunia.

    Sampai di satu tahap, Anita inginkan lebih dan beliau mula membuat keputusan untuk belajar menunggang motosikal kerana ia adalah salah satu jenis pengangkutan sendiri yang mudah dan jimat kos bagi membolehkan beliau mengembara ke pelbagai lagi tempat termasuk yang terpencil.

    Ini berlaku sekitar lima tahun dahulu dan individu yang mengajar beliau adalah rakan kepada anaknya. Selepas cukup yakin, beliau sudah mula mengembara.

    Tahun 2012 perjalanan beliau sekadar sekitar Asia Tenggara sahaja tetapi kemudiannya satu pengembaraan yang lebih besar dirancang, iaitu tunggangan solo Asia Tengah yang dipanggil ‘Stans Ride’ kerana ia melalui lima negara ‘stan’ iaitu Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Kazakhstan.

    Dalam masa sekitar 30 hari, Anita berjaya melengkapkan misinya dan sejak itu, beliau mula dikenali di kalangan penunggang motosikal.

    13692450_10154567056932345_3673115866577009983_n

    11 September 2015 adalah tarikh keramat bagi Anita kerana itu adalah hari beliau meninggalkan rumahnya di Ipoh dan memulakan pengembaraan bermotosikal secara solo ke seluruh dunia yang beliau panggil sebagai ‘Global Dream Ride’.

    Motosikal Yamaha FZ150i tajaan Hong Leong Yamaha Sdn Bhd yang digunakan oleh Anita diterbangkan ke Seattle Amerika Syarikat dan pengembaraan bermotosikal beliau bermula dari situ.

    Apabila ditanya kenapa motosikal 150cc itu yang dipilih untuk menggalas cabaran mengelilingi dunia, Anita memberitahu motosikal ini sudah terbukti tahan lasak dan jimat minyak seperti yang dialami sendiri semasa ‘Stans Ride’.

    Selain Hong Leong Yamaha, turut menaja Anita melalui barangan serta kelengkapan menunggang adalah GIVI.

    13592564_10154525159842345_6458406506434347471_n

    Dalam Global Dream Ride ini, Anita melalui 40 buah negara dalam 4 benua dan ini termasuklah negara yang cukup merbahaya seperti Mexico, Colombia, Chile Turkey dan Mongolia.

    Menurut Anita, perjalanan ini memerlukan perancangan yang rapi dan persiapan dilakukan lebih daripada enam bulan sebelumnya. Beliau juga tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada syarikat besar dan membelanjakan wang sendiri sekitar RM100,000 semata-mata untuk memenuhi impian mengelilingi dunia secara sendiri dengan menunggang motosikal ini.

    Perkara paling digemari sepanjang perjalanan ini adalah peluang untuk bertemu dengan ramai orang, dan menurut Anita, beliau sedar, masih ramai orang-orang baik di dunia ini.

    Paling mencabar pula, tentunya adalah cuaca tidak menentu dan berkongsi antara ceritanya, beliau berhadapan dengan angin lintang berkelajuan hampir 130km/j di Rio Grande. Ia bukan sesuatu yang mudah dan ada beberapa kali dalam perjalanan ini beliau terfikir itu mungkin hari terakhir beliau hidup di dunia.

    Baru sahaja pulang beberapa hari, Anita hanya menginginkan waktu berehat namun dalam masa terdekat ini beliau akan aktif untuk memberi ceramah berkenaan keyakinan diri, terutamanya kepada pelajar dan golongan muda. Melalui perjalanan ini, beliau membuktikan keyakinan diri boleh membuat seseorang itu mencapai matlamatnya dan dengan usaha yang berterusan, anda boleh tiba di tahap yang tinggi.

    Anita juga memberitahu beliau akan mengeluarkan buku berkenaan pengalaman beliau dalam pengembaraan ini dan ia akan dibahagikan kepada empat buah; diasingkan mengikut benua. Buku pertama dijangka akan dikeluarkan sebolehnya sebelum akhir tahun ini.

    Anda yang berminat untuk mengetahui dan melihat lebih banyak gambar pengembaraan Anita boleh ke blog atau laman Facebook beliau.

     
     
  • LRT3: Pembinaan jajaran akan dipastikan beri kesan paling minimum kepada penduduk sekitar

    LRT3 Launch-03

    Projek Transit Aliran Ringan (LRT3) yang dilancarkan pada 24 Ogos lalu oleh Perdana Menteri, dikatakan bakal dimanfaatkan oleh kira-kira dua juta penduduk di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Projek yang bakal dimulakan oleh Prasarana Malaysia Bhd pada awal 2017 ini dijadualkan siap pada 31 Ogos 2020, menelan kos sebanyak RM9 bilion.

    Walau bagaimana pun, terdapat isu yang timbul di mana kira-kira 100 waris mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang, telah meminta agar jajaran projek LRT3 itu dialihkan kerana didakwa merentasi kawasan kubur tersebut.

    Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata adalah sukar bagi mengelakkan kawasan tertentu termasuk dalam jajaran LRT3 namun pihak terlibat akan terus berbincang dengan penduduk setempat bagi mendapatkan maklum balas lanjut, Bernama.

    LRT3

    “Pembinaan LRT3 ini akan terus dipastikan memberi kesan yang paling minimum kepada penduduk di sekitar projek berkenaan. Justeru, pemantauan akan terus dibuat pihak yang terlibat berikutan projek itu akan dilaksanakan di kawasan bertahap kepadatan penduduk yang tinggi,” ujarnya.

    Katanya lagi, projek ini di bawah seliaan pihak Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), namun segala keluhan rakyat berhubung impak pembinaan jajaran LRT3 ini akan tetap didengar.

    Laluan jajaran LRT3 akan bermula dari Taman Eng Ann, melalui Jalan Meru, stesen bas Klang Jalan Batu 3, Jalan Pasar, Jambatan Kota, persimpangan Simpang Lima dan berakhir di Johan Setia (berhadapan Bandar Parklands) dan dijangka siap pada 31 Ogos 2020.

    Projek itu merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Nasional Pengangkutan Awam Darat ke arah pembangunan sistem pengangkutan awam darat yang cekap, berkesan, bersepadu dan mampan bagi meningkatkan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup rakyat.

     
     
  • Volvo V90 Cross Country – wagon serba boleh generasi baharu kini diperkenalkan secara rasmi

    198297_new_volvo_v90_cross_country_studio-e1474248728247_bm

    Setelah diumumkan dan video ‘teaser’nya disiarakan dua minggu lalu, kini Volvo secara rasminya memperkenalkan siri Cross Country generasi terbaharu iaitu V90 Cross Country. Membawa tradisi dari generasi terdahulu, model baharu ini menggabungkan praktikaliti dan keselamatan dari model wagon V90 serta kebolehan untuk dipandu dalam apa jua bentuk permukaan jalan.

    Juga seperti model-model terawal, model terbaharu Cross Country dapat dibezakan dari wagon V90 menerusi kemasan pelindung badan plastik pada bampar hadapan dan belakang, bahagian sisi badan dan kesemua ruang roda, serta skid plate pada bahagian depan dan belakang. Tulisan Cross Country juga seakan terukir pada bampar belakang.

    Walau bagaimanapun, tiada sebarang perubahan dilihat pada bahagian dalaman yang mana ia masih berkongsi rekaan dengan model V90 standard, menampilkan rekaan ringkas gaya Scandinavia, skrin sesentuh dalam format potret, serta ruang but 560 liter (1,526 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat.

    198321_new_volvo_v90_cross_country_location-e1474249632450_bm

    Aspek yang paling penting – kelegaan tanah Cross Country telah dinaikkan sebanyak 65 mm kepada 210 mm, sekaligus meningkatkan sudut menghampiri dan berlepas (approach and departure angles) untuk mengelakkan bahagian hadapan dan belakang dari pada tersangkut pada permukaan muka bumi yang tidak rata.

    Selain dari mod Eco, Comfort, Dynamic dan Individual yang sedia ada pada V90, Cross Country turut ditambah dengan satu lagi mod pemanduan iaitu Rough Road, dan turut disertakan sekali dengan Kawalan Penurunan Bukit (Hill Descent Control)

    Untuk suspensi pula, Cross Coountry menampilkan sistem tulang selangka berkembar (double wishbone) pada bahagian belakang serta sistem integral rear link bersama spring daun komposit dan sistem suspensi angin pada bahagian belakang. Sistem serapan hentakan adaptif Four-C juga ditawarkan sebagai ciri opsyen.

    Interior

    Interior

    Pada pelancarannya nanti, V90 Cross Country akan dipadankan dengan enjin empat silinder 2.0 liter Drive-E. Ia ditawarkan dengan dua pilihan iaitu T5 dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 254 hp pada takat 5,500 rpm/tork maksima 350 Nm bermula 1,500 hingga 4,800 rpm; manakala versi T6 pula menerima bantuan pengecas turbo serta supercharger, menghasilkan kuasa 320 hp pada takat 5,700 rpm/tork maksima 400 Nm bermula 2,200 rpm hingga 5,400 rpm. Varian T8 Twin Engine plug-in hybrid (407 hp/640 Nm) walau bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada ia akan ditawarkan atau tidak.

    Model baharu ini turut ditawarkan dalam versi diesel dengan enjin turbo diesel empat silinder 2.0 liter. Varian D4 mampu menghasilkan kuasa 190 hp pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,500 rpm. Untuk enjin diesel varian D5 pula, ia dibantu dengan sistem PowerPulse, iaitu udara tambahan yang disuapkan ke sistem turbo menerusi pemampat udara dan tangki bertekanan yang dibekalkan, untuk memberikan respon enjin lebih baik dengan kuasa 235 hp dan tork maksima 480 Nm.

    Kesemua enjin ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, dan hanya varian D4 ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Sistem pacuan empat roda dari Borgwarner adalah standard untuk setiap varian di mana sistem ini akan memacu roda hadapan dalam pemanduan biasa, dan boleh menghantar sehingga 50% tork dengan segera pada roda belakang apabila diperlukan.

     
     
  • Aliran trafik baharu di Jln Kemajuan Subang mulai hari ini – saman bagi kenderaan yang diparkir di bahu jalan

    traffic-flow-jln-kemajuan-sj-echo-fb

    Mulai hari ini, 19 September 2016, aliran trafik baharu dilaksanakan di Jalan Kemajuan, Subang Jaya selepas ia ditunda sejak beberapa bulan yang lalu. Aliran trafik baharu ini akan dilaksanakan dari jam 7 pagi yang melibatkan arah dari Persiaran Kewajipan dan persimpangan Jalan Kemajuan Subang (berhampiran persimpangan Mesiniaga) hingga ke Persiaran Jengka menghala kembali ke persimpangan Jalan Kemajuan.

    Menurut laman Facebook SJEcho, yang menyiarkan kenyataan dari ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata, pusingan U di hadapan Subang Parade akan dibuka mulai 7 pagi, sementara persimpangan Jalan Kemajuan-SS16/2 pula akan ditutup bermula jam 10 pagi.

    “Semua kenderaan yang datang dari Mesiniaga iaitu sepanjang Jalan Kemajuan tidak boleh membelok ke sebelah kanan menghala ke Jalan SS16/2 kerana persimpangan tersebut ditutup. Sementara kenderaan yang datang dari Jalan SS16/2 juga tidak boleh membelok ke Jalan Kemajuan menghala ke Subang Parade,” ujarnya.

    Yang Dipertua Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Dato Nor Hisham Ahmad Dahlan pula berkata, pegawai penguatkuasa tempatan termasuk polis trafik akan memantau jalan-jalan terbabit dan akan mengeluarkan saman bagi mana-mana individu yang terus memarkir kenderaan masing-masing di sepanjang jalan di hadapan Subang Parade.

    “Apabila ramai yang meletakkan kenderaan di bahu jalan ini, ia akan menyebabkan laluan menjadi sempit dan berlakunya kesesakan. Justeru, kami telah menguatkuasakan peraturan Tidak Boleh Parkir sepenuhnya di sepanjang jalan tersebut. Mana-mana yang masih berdegil dengan memarkir di kawasan berkenaan, akan disaman oleh pihak polis trafik,” tegas Nor Hisham.

     
     
  • Honda Civic hatchback 2017 bakal tampil perdana di Eropah – 1.0L, 1.5L VTEC Turbo dan 1.6 i-DTEC diesel

    2017-honda-civic-hatchback-for-europe-1-e1474252558124

    Berikutan pendedahan Honda mengenai Civic hatchback yang dibina di kilang Honda Swindon, UK, bagi model pasaran Eropah yang bakal melakukan penampilan perdana di Paris Motor Show hujung bulan ini, ia akan menampilkan dua enjin petrol pengecas turbo iaitu 1.5L empat-silinder dengan kuasa 180 hp (unit bagi Civic sedan di Malaysia mampu menghasilkan kuasa 173 PS dan 220 Nm) dan terbaharu, 1.0L tiga-silinder (127 hp).

    Sementara enjin sedia ada 1.6L turbodiesel juga masih dalam barisan yang akan diperkenalkan ini, namun dijangka prestasi dan emisinya akan mengalami peningkatan. Untuk Eropah, ia ditawarkan dengan pilihan manual enam-kelajuan dan CVT.

    Di bahagian dalamnya, Civic hatchback ini turut menampilkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara nisbah 60:40, dengan posisi ini, ia mampu memberikan lebihan kapasiti bagi ruang penyimpanan barang di belakang iaitu 478 liter. Ia juga menawarkan tiga pilihan sistem audio untuk dipilih, dengan empat, lapan atau 11-pembesar suara. Semua sistem audio ini akan dipadankan dengan unit infotainmen tujuh-inci termasuk dengan sambungan peranti mobiliti Apple CarPlay dan Android Auto.

    Antara fungsi bantuan pemanduan yang ditawarkan bagi Civic hatchback ini termasuklah kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran perlanggaran hadapan, informasi titik buta dan sistem brek elak perlanggaran.

    Civic hatchback binaan UK ini bakal dieksport ke lebih 70 buah negara di seluruh dunia, malah penghantaran pertamanya telah pun tiba di Amerika Utara. Model ini juga akan diproduksi di Thailand, iaitu untuk pasaran ASEAN.

    Pada akhir Ogos lalu, ia telah pun dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 dan mungkin juga akan dipasarkan di negara tersebut. Namun buat masa ini, Honda Malaysia belum lagi merancang untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan. Tetapi mereka menyatakan adalah tidak mustahil untuk membawa Civic hatchback ke Malaysia sekiranya terdapat permintaan yang tinggi dari orang ramai.

    Sementara menantikan debaran bagi menyaksikan galeri foto penuh dan perinciannya apabila ia dipamerkan di Paris tidak lama lagi, sila baca ulasan pandu uji kami mengenai model sedan Honda Civic 2016 yang dilenjan di Sabah baru-baru ini.

     
     
  • Menteri perjelas isu plat nombor pendaftaran khas

    KL_Plate

    Berikutan bantahan orang ramai terhadap bidaan sifar bagi beberapa nombor pendaftaran khas kenderaan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi menjelaskan, selain Yang di-Pertuan Agong dan Sultan, ia hanya diperuntukan untuk Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan para menteri Kabinet sahaja.

    Manakala hanya tujuh nombor pendaftaran khas diperuntukan untuk kerabat diraja, sementara dua untuk PM serta TPM, laporan The Sun.

    “Menteri Kabinet pula hanya sekali sahaja layak menerima faedah untuk memilih mana-mana nombor pendaftaran sepanjang jawatan dipegang. Manakala timbalan menteri tidak menerima faedah ini. Malah saya sendiri tidak layak menerimanya,” ujarnya sambil menambah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa memastikan prosedur dipatuhi apabila menganugerahkan nombor pendaftaran khas kepada individu.

    Beliau turut berkata, nombor pendaftaran khas ini diberikan kepada menteri Kabinet, PM dan TPM kerana mereka ini tergolong sebagai pegawai tertinggi pentadbiran kerajaan persekutuan.

    Kenyataan daripada Aziz ini adalah bagi memperjelaskan persoalan yang ditimbulkan oleh orang awam mengenai “Anggota Pentadbiran Kerajaan” bagi dua nombor pendaftaran “V 38” dan “V 6”, dengan sifar bidaan dalam senarai yang diedarkan oleh JPJ bulan lalu.

    Beliau juga mengulangi bahawa tiada kakitangan awam diberi keistimewaan semasa proses pembidaan baru-baru ini iaitu yang melibatkan “F 1 hingga F 9999” (Putrajaya) dan “V 1 hingga V 9999” (Kuala Lumpur).

    Nombor pendaftaran kenderaan baharu, “V” telah menerima bidaan sejumlah RM22 juta sekaligus mencatatkan rekod baharu bagi JPJ. Di mana nilai itu dianggap luar biasa apabila 15,000 individu dan syarikat membidanya, melebihi jumlah 10,000 nombor pendaftaran ‘V’ yang ditawarkan. Manakala “F” pula mencatat bidaan sebanyak RM17 juta iaitu darupada 2,276 nombor yang berjaya didaftarkan.

     
     
  • Malaysia tempat memandu terbaik di Asean – Waze

    Johor road Bernama

    Mungkin ini suatu yang mengejutkan kerana negara kita, khususnya di sekitar Kuala Lumpur sering berlaku kesesakan trafik tanpa mengira waktu. Bahkan kebanyakan lebuhraya utama juga sering berhadapan dengan masalah kesesakan trafik khususnya ketika cuti panjang di hujung minggu mahu pun musim perayaan.

    Namun percayakah anda bahawa Malaysia telah diiktiraf sebagai tempat memandu terbaik di Asean? Menurut aplikasi pengemudian serta trafik masa sebenar, Waze, di peringkat global, Malaysia menduduki kedudukan ke-23 daripada 38 negara dan 235 bandar raya serta bandar yang dikaji menerusi Indeks Kepuasan Pemandu tahunan kedua yang menilai keseluruhan pengalaman pemandu.

    Malah antara 235 buah bandar raya dan bandar itu, Melaka Tengah menduduki kedudukan ke-94, kedudukan tertinggi bandar dalam negara ini, laporan Utusan Malaysia.

    Selain Melaka Tengah, jalan raya di Kuala Terengganu juga merupakan di antara tempat yang paling digemari pemandu dan menduduki kedudukan ke-97, manakala Kuala Muda, Kedah (105) dan Kota Bharu, Kelantan (124).

    Sementara itu, bandar raya Kuching berada di kedudukan ke-131, Kuantan (134), Kuala Lumpur (137), Kinta (138), Batu Pahat (139), Johor Baru (140), Kota Kinabalu (164) manakala Larut dan Matang (166).

    Bukan itu saja, Malaysia turut diangkat sebagai antara salah sebuah daripada empat negara Asean yang dipaparkan dalam indeks tersebut. Selain itu, Singapura, Indonesia dan Filipina masing-masing menduduki kedudukan ke-32, 34 dan 37.

    Mahu tahu tempat paling teruk untuk memandu di dunia? Nah! Jawapannya adalah Cebu yang terletak di Filipina. Walau pun merupakan antara lokasi percutian paling popular di negara itu, rata-rata yang pernah mengunjungi Cebu berpendapat adalah sangat menguji kesabaran untuk memandu di sana. Bukan setakat kota Manila yang sering mengundang kesesakan trafik, malah ia turut dialami di Cebu, bahkan lebih teruk daripada itu kerana lokasinya yang kecil tetapi cukup padat dengan pelbagai kenderaan.

    Negara jiran, Indonesia, turut mencatatkan kedudukan yang rendah dalam indeks ini dengan beberapa bandarnya dicatatkan sebagai tempat paling teruk memandu di dunia, iaitu Bogor (kedudukan ke-185), Denpasar (183), Bandung (182), Surabaya (181) dan Jakarta (178).

    Manakala tempat terbaik untuk memandu di dunia ialah Netherlands yang kekal di kedudukan yang sama sejak tahun lalu, diikuti oleh Perancis dan Amerika Syarikat.

    Menurut Waze, indeks itu fokus terhadap lebih 20,000 pengguna aktif aplikasi tersebut secara bulanan untuk memastikan ketepatan data dan perbandingan pasaran yang adil.

    Enam faktor yang diambil kira untuk indeks tersebut adalah kepadatan trafik, kualiti jalan raya dan infrastruktur, keselamatan jalan raya, ketersediaan perkhidmatan pemandu, sosio ekonomi dan tahap kepuasan hati pengguna Waze.

     
     
  • Lebuhraya LATAR ditutup secara berperingkat pada 25 Sept ini sempena ‘Kayuhan Sihat 99KM LATAR’

    LATAR-02

    KL-Kuala Selangor Expressway Berhad (KLSEB) iaitu syarikat konsesi Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) telah mengumumkan penutupan laluan di lebuhraya terbabit pada 25 September ini bagi menjayakan perlumbaan berbasikal ‘Kayuhan Sihat 99KM LATAR’. Penutupan tersebut akan dilaksanakan mulai jam 3 pagi sehingga 1 tengahari pada tarikh berkenaan.

    Ketua Pegawai Operasi LATAR Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, penutupan lebuh raya itu bertujuan memastikan acara berbasikal berkenaan berjalan lancar dan selamat, laporan Bernama.

    “Lebuh raya ini akan ditutup mulai pukul 3 pagi secara berperingkat dan pukul 5 pagi secara penuh sehingga 1 tengah hari.

    “Bagaimanapun semua kenderaan kecemasan yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai seperti ambulans, bomba dan polis dibenarkan melalui Latar sepanjang waktu penutupan, namun mereka harus berhati-hati dengan kehadiran pelumba di sepanjang laluan lebuh raya,” katanya kepada pihak media.

    Ahmad Fuad berkata, penutupan lebuh raya itu bermula di Kompleks Operasi LATAR sehingga ke tol plaza Taman Rimba Templer dan sebelum peserta perlumbaan membuat pusingan U di garisan penamat di kompleks operasi lebuh raya berkenaan.

    “Sebagai jalan alternatif, pengguna dari Ijok ke Kuala Selangor boleh menggunakan Jalan Bukit Badong menghala ke Jalan Rawang-Bestari Jaya dan terus ke Jalan Klang-Teluk Intan di pekan Kuala Selangor.

    “Pengguna dari Klang dan Kuala Selangor yang mahu menuju ke Ijok boleh melalui Jalan Rawang-Bestari Jaya di pekan Kuala Selangor menuju Jalan Bukit Badong untuk tiba ke pekan Ijok,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025