Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sebanyak 4,169 saman dikeluarkan berkaitan kesalahan ‘rempit’ di Pulau Pinang dari Jan-April 2024

    Sebanyak 4,169 saman dikeluarkan berkaitan kesalahan ‘rempit’ di Pulau Pinang dari Jan-April 2024

    EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen mengesahkan sebanyak 4,169 saman dikeluarkan bagi kesalahan berkait ‘mat rempit’ dalam operasi di seluruh Pulau Pinang, dari bulan Januari hingga April tahun ini.

    Katanya, jumlah saman yang dikeluarkan itu adalah daripada 150 operasi yang dijalankan sepanjang tempoh itu dengan 14 lokasi panas (hotspot) dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan penunggang motosikal untuk berkumpul mempamerkan aksi berbahaya serta menyalahi undang-undang jalan raya, laporan Berita Harian.

    “Antara lokasi hotspot terbabit ialah Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Bulatan Bayan Baru, Jalan Tun Dr Awang, Padang Kota Lama, Lingkaran Luar Butterworth, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Sama Gagah dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

    “Selain itu, ia melibatkan Jalan Bukit Gambir, Jalan Mayang Pasir, Jalan Sultan Azlan Shah, Butterworth-Kulim Expressway (BKE), dan Taman Ilmu yang terletak di Seberang Perai Selatan. “Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab isu rempit serta perlumbaan haram yang dibangkitkan Phee Syn Tze (PH-Sungai Puyu) dan Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong), dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 semalam.

    Beliau turut menegaskan, semua pihak memandang serius serta komited berganding bahu dalam usaha mengekang dan membanteras kes ‘mat rempit’ atau samseng jalanan terbabit.

    “Ia termasuk melakukan pemeriksaan di kedai mengubah suai motosikal dan pelbagai tindakan penguatkuasaan lain mengikut peruntukan undang-undang, antaranya mengadakan operasi bersepadu pada setiap hujung minggu, rondaan trafik serta sekatan jalan raya,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB facelift 2024 bakal dilancar di Malaysia – akan dapat teknologi hibrid ringkas?

    Mercedes-Benz GLB facelift 2024 bakal dilancar di Malaysia – akan dapat teknologi hibrid ringkas?

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menunjukkan teaser menerusi laman media sosialnya mengenai GLB facelift baharu yang bakal tiba di negara ini tidak lama lagi. SUV yang dipertingkatkan ini mula diperkenalkan di peringkat global pada Mac tahun lalu, membawakan teknologi hibrid ringkas di samping perubahan kit kelengkapan dan penggayaan.

    Perubahan luaran yang jelas kelihatan ialah lampu nyalaan siang (DRL), yang kini menempatkan jaluran lampu di bahagian atas pada setiap kluster lampu utama. Pada model pre-facelift, DRL berada di bawah bahagian atas kanan dan kiri kluster.

    Di dalamnya pula, Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dikekalkan dengan dwi skrin lebar 10.25-inci bersama larasan konfigurasi yang lebih tinggi, tetapi menerima tema paparan baharu dengan Intelligent Voice Assistant dan beberapa pilihan mini-games.

    Untuk penjana kuasanya, semua varian petrol termasuk GLB180, GLB200, GLB220 4Matic dan GLB250 4Matic kini didatangkan dengan teknologi hibrid ringkas 48V. Untuk varian GLB180 dan GLB200 dipadankan dengan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu memberikan kuasa antara 136 dan 163 PS (134 hp/100 kW dan 161 hp/120 kW).

    Sementara itu, varian GLB220 4Matic danGLB250 4Matic pula menampilkan unit 2.0 liter yang mampu memberikan kuasa antara 190 dan 224 PS (188 hp/140 kW dan 221 hp/165 kW). Bergantung pada enjin, transmisi yang diberikan sama ada dwi-klac tujuh-kelajuan atau lapan-kelajuan.

    GLB pertama kali dilancarkan di sini pada September 2020 sebagai model import sepenuhnya (CBU) yang menawarkan tiga varian, termasuk dua varian tujuh-tempat duduk (GLB200 dan GLB250 4Matic) dan varian tunggal lima-tempat-duduk (GLB35 4Matic). Kita akan mengetahui lebih banyak perincian mengenai GLB facelift ini apabila ia dlancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

     
     
  • Yamaha XMax 250 tiba dalam warna baru – RM24,498

    Yamaha XMax 250 tiba dalam warna baru – RM24,498

    Selepas hampir satu tahun Yamaha XMax 250 versi dipertingkat diperkenalkan di Malaysia, ia kini diberikan pembaharuan warna, dengan melibatkan dua pilihan, iaitu Icon Black dan Ruby Red. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor adalah RM24,498 tidak termasuk insurans.

    Harga ini jika dibandingkan dengan harga sewaktu ia dilancarkan pada tahun lepas, menyaksikan peningkatan sekitar RM500, dan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Pembeli juga akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

    XMax 250 2024 dipacu oleh enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api yang sama seperti sebelum ini, mampu menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm, dan disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.

    Yamaha XMax 250 tiba dalam warna baru – RM24,498

    Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT 4.2 inci berwarna penuh yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi YConnect untuk memaparkan notifikasi panggilan, mesej, status bateri serta navigasi berasaskan Garmin. Di atasnya pula terdapat satu lagi skrin LCD 3.2 inci untuk tahap laju dan bahan api.

    Kelengkapan lain pada skuter ini masih sama termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua helmet, brek cakera depan dan belakang dengan ABS, rim padanan 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, tangki bahan api 13 liter, tinggi tempat duduk 795 mm serta berat keseluruhan 183 kg. Suspensi menggunakan fork teleskopik biasa serta dua penyerap di belakang.

     
     
  • Harga minyak 30 Mei-5 Jun – Masih dikekalkan

    Harga minyak 30 Mei-5 Jun – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 30 Mei hingga 5 Jun 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Manakala pada 27 Mei lalu pula, MOF mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi yang dibuka sejak kelmarin. Ia terbahagi kepada kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.

     
     
  • EMOS pasang dan eksport Kawasaki ZX-6R ke China – lancar dalam negara awal tahun depan, sekitar RM70k?

    EMOS pasang dan eksport Kawasaki ZX-6R ke China – lancar dalam negara awal tahun depan, sekitar RM70k?

    Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) yang kini semakin mendapat kepercayaan daripada Kawasaki untuk memasang motosikal berkuasa tinggi di kilangnya di Gurun, Kedah menambah satu lagi model dalam portfolionya iaitu Kawasaki ZX-6R.

    Model ini bagaimanapun dibuat untuk pasaran eksport ke China terlebih dahulu, dengan penghantaran pertama sudah bermula Mac lalu sebanyak 28 unit, diikuti penghantaran kedua pada bulan Mei sebanyak 140 unit dan semalam, penghantaran ketiga mula bergerak dari kilang sebanyak 112 unit.

    Melihat kepada sejarah EMOS sejak tahun 1997, mereka pernah mengeksport ke 10 buah negara, tetapi buat masa ini, yang aktif cuma ada tiga iaitu Timur Tengah, Thailand dan China. Untuk Timur Tengah, model yang dieksport adalah Kawasaki Z250, Ninja 250, ZX-25RR, Versys X 250, KX250 dan ZX-25R.

    EMOS pasang dan eksport Kawasaki ZX-6R ke China – lancar dalam negara awal tahun depan, sekitar RM70k?

    Sementara itu untuk negara jiran, Thailand pula, EMOS menghantar model Bajaj, yang terdiri daripada Pulsar NS200, Pulsar NS160, Dominar D250, Pulsar RS200 dan Dominar D400. Sehingga April 2024, 1,795 unit motosikal sudah dihantar ke Thailand (sejak Ogos 2020), dan 1,036 unit ke Timur Tengah (sejak Julai 2023).

    Di dalam kilang EMOS, Kawasaki mempunyai barisan pengeluarannya yang sendiri dan kini sudah berjumlah tiga baris dan mempunyai kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 130,000 unit setiap tahun. Model Kawasaki yang dipasang sekarang adalah termasuk Ninja 250, Z250, Versys X 250, Vulcan S 650, Z900, ZX-25R, Ninja 650, Z650, Versys 650 dan ZX-6R.

    Meskipun ZX-6R dikeluarkan untuk pasaran eksport terlebih dahulu, kami menerima berita ia juga bakal diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada awal tahun hadapan. Masih terlalu awal untuk harganya disiarkan sekarang, tetapi kami menjangkakan ia berada pada sekitar RM70k.

    ZX-6R adalah sebuah motosikal sport yang dipacu oleh enjin empat silinder 636 cc dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa sehingga 124 PS pada 13,000 rpm dan tork 69 Nm pada 10,800 rpm.

    Motosikal ini dibuat untuk tunggangan yang agresif dan didatangkan dengan kelengkapan berprestasi yang termasuk suspensi Showa boleh laras sepenuhnya di depan dan belakang, brek cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, empat mod tunggangan, meter TFT serta quickshifter.

     
     
  • Yamaha Ego Avantiz tiba dalam warna baru – RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz tiba dalam warna baru – RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz yang sudah berada dalam pasaran Malaysia hampir lapan tahun sekali lagi diberikan penampilan baru, dengan kini melibatkan tiga warna baru iaitu biru muda, biru gelap dan ungu. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor masih adalah sama, iaitu RM5,998 tidak termasuk insurans.

    Sejak dilancarkan pada tahun 2016 di pasaran kita, Avantiz tidak pernah diberikan sebarang peningkatan teknikal atau perubahan besar, dan hanya warnanya sahaja yang ditukar hampir setiap tahun.

    Ciri teknikal dan spesifikasi skuter ini tidak berubah dan ia masih dipacu oleh enjin BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan adalah 96 kg.

     
     
  • Bilik Pameran ETCM Sandakan, Sabah dilancarkan – pusat 1S Nissan dengan konsep baharu NRC-NEXT

    Bilik Pameran ETCM Sandakan, Sabah dilancarkan  – pusat 1S Nissan dengan konsep baharu NRC-NEXT

    Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) telah pun memperkenalkan konsep NRC-NEXT di bilik pameran
    Nissan baharunya di Sandakan, Sabah. Menurut ETCM, Konsep Runcit Nissan (NRC) bertujuan bagi mengubah pengedar Nissan untuk perkhidmatan bertaraf dunia yang mencerminkan nilai jenama Nissan sepanjang perjalanan pelanggan, di mana setiap titk sentuh direkabentuk untuk menyampaikan keterujaan dan kepuasan kepada pelanggan.

    “Pelanggan kami ialah teras kepada semua yang kami lakukan. Dengan komitmen kami untuk terus menaik taraf dan meningkatkan bilik pameran, kami berjanji untuk menyediakan pelanggan dengan pengalaman yang luar biasa dari melayari, pembelian, dan pandu uji sehingga memiliki sepenuhnya melalui perkhidmatan selepas jualan oleh rakan kongsi sah Nissan.

    “Dengan usaha menaik taraf dan peningkatan yang berterusan, ETCM dengan bangganya merasmikan ETCM Sandakan di Sabah baru-baru ini. Dengan berpindah ke lokasi strategik baru dengan keterlihatan dan kemudahan pelanggan yang dipertingkatkan, bilik pameran Nissan 1S baharu ini bertujuan untuk memenuhi keperluan automotif komuniti Sandakan sambil mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan tertinggi yang sinonim dengan jenama Nissan,” kata Cheong Kim Seong selaku Ketua Jualan bagi Malaysia Timur.

    Bilik pameran ini mampu menempatkan tiga model baharu Nissan di ruang pameran, selain menyediakan
    ruang menunggu pelanggan yang selesa dengan sambungan Internet. Ia juga menawarkan menawarkan rangkaian kenderaan pandu uji. Untuk kemudahan pelanggan, pandu uji boleh juga diaturkan di rumah atau di pejabat pelanggan, hanya dengan membuat perjanjian dengan penasihat jualan yang mesra.

    ETCM Sandakan ini terletak di Lot 16, Taman Nasalim, Phase 7A, Jalan Lintas Utara, 90000, Sandakan, Sabah dan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari jam 9 pagi hingga 7 malam, manakala Ahad dan cuti umum pula dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang.

    Selain dari memberi tumpuan pada jualan, ETCM Sandakan juga memastikan keperluan pemilik Nissan sedia ada dipenuhi melalui perkhidmatan selepas jualannya. Pelanggan boleh terus menikmati perkhidmatan unggul yang disediakan oleh Pusat Servis Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) yang sedia ada terletak lebih kurang 4 km dari bilik pameran di Batu 3, Jalan Utara, Kawasan Perindustrian Jalan Ming Huat, Sandakan.

    Menurut ETCM, selepas ini pihaknya akan terus menaik taraf bilik pameran di seluruh negara untuk memenuhi jangkaan pelanggan dan meningkatkan tahap kepuasan, ini untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pengalaman pelanggan dalam sektor peruncitan automotif.

     
     
  • Chery Omoda 5 recall — 92% unit telah siap diperiksa

    Chery Omoda 5 <em>recall</em> — 92% unit telah siap diperiksa

    Sedikit kemaskini berkaitan kes masalah gandar belakang Chery Omoda 5 dan panggilan semula unit yang terlibat. Setakat ini, Chery Malaysia telah menyelesaikan pemeriksaan ke atas 92% kenderaan pemilik yang terkesan itu.

    “Chery Malaysia sangat mementingkan keselamatan pelanggan. Setakat 24 Mei 2024, kami telah selesai memeriksa sebanyak 92% kenderaan pelanggan yang terkesan dengan masalah tersebut, melalui temujanji berjadual yang telah mereka lakukan di pusat servis sah kami,” jelas syarikat itu melalui satu hantaran di media sosial.

    Kemaskini terakhir sebelum ini dilakukan pada 17 Mei, yang mana Chery mengumumkan bahawa syarikat itu telah berjaya menghubungi semua 600 pelanggan yang terlibat dengan panggilan semula. Ketika itu, kadar penyelesaian pemeriksaan ialah 65%. Sebelum itu, Chery Malaysia telah juga berjaya menghubungi 60 pelanggan untuk menggantikan gandar belakang kenderaan mereka.

    Di Malaysia, keseluruhannya 60 unit Omoda 5 dikenal pasti menggunakan bahagian yang bermasalah tersebut, yang dikilangkan pada 15 Ogos 2023. Chery Malaysia kemudian memutuskan untuk melakukan panggilan semula untuk jumlah yang lebih besar, melibatkan unit dengan bahagian sama yang dikilangkan antara 14 dan 17 Ogos, menjadikan jumlah keseluruhannya 600 unit.

    Punca masalah sudah pun dikenal pasti: silap-kalibrasi kelengkapan kimpalan oleh sebuah vendor. “Menerusi siasatan komprehensif, vendor berkenaan melaporkan bahawa masalah tersebut disebabkan oleh naik taraf kemudahan yang mengakibatkan hujung pengimpal yang sudah haus bagi mesin kimpalan automatik terpaksa diganti dengan yang baru. Penggantian itu yang menyebabkan salah-kalibrasi kelengkapan tersebut,” jelas Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang awal bulan ini.

    Chery juga telah mewujudkan sebuah laman web khusus untuk semua pelanggan memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat dengan panggilan semula ini atau tidak.

     
     
  • Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    Malaysia berpotensi untuk menjadi hab utama bagi pembekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik (EV), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana, katanya, cip kuasa itu merupakan komponen penting dalam proses peralihan tenaga serta teknologi penyahkarbonan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024 yang berlangsung semalam.

    Katanya, EV misalnya mengandungi lebih daripada 3,000 cip yang juga dua hingga lima kali lebih banyak berbanding kenderaan dengan kapasiti enjin pembakaran dalaman, laporan Bernama.

    “Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kita sebenarnya telah mempunyai pengupaya dasar serta insentif yang tepat untuk syarikat yang mahu mengeluarkan cip itu di sini.

    Malaysia berupaya jadi hab utama bagi bekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik – Anwar Ibrahim

    “Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 40% campuran tenaga utama Malaysia daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2035. Inisiatif itu bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 10 juta tan setahun, selain mencapai 100 peratus TBB menjelang 2050,” katanya.

    Selain itu, tambahnya, kerajaan turut menyokong usaha pihak berkaitan yang meneroka teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan penyimpanan tenaga berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan memenuhi matlamat Perjanjian Paris 2015.

    “Bermula September ini, Akses Pihak Ketiga akan dibenarkan dalam industri bekalan elektrik negara yang membolehkan pihak lain membekal tenaga menggunakan saluran penghantaran Tenaga Nasional Behad, sekali gus mencerminkan minat pelabur asing yang tinggi terhadap Malaysia,” jelasnya lagi.

     
     
  • Lancia Ypsilon HF – hot-hatch EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp untuk jentera rali kelas Rally4

    Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

    Lancia, jenama ikonik Itali yang kini berada di bawah kumpulan Stellantis ‘hidup semula’ selepas memperkenalkan model Ypsilon generasi baharu pada Februari lalu. Dan kini, Lancia mula kembali ke warisan sejarah sukan permotorannya – memperkenalkan hot-hatch Ypsilon HF dan juga jentera rali sebenar Ypsilon Rally4 HF!

    Menerusi pengenalan model ini, Lancia turut melancarkan kembali logo sayap perlumbaannya iaitu Lancia Corse HF. Dengan logo ‘gajah lompat’ bersama latar belakang tulisan HF (bermaksud High Fidelity) yang sama dengan versi klasik, ini bermakna Ypsilon HF ini merupakan model prestasi sebenar dari Lancia seperti Delta Integrale HF dahulu.

    Sama seperti versi standard Ypsilon yang didedahkan sebelum ini, Ypsilon HF masih lagi sebuah hatchback lima-pintu dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV), diasaskan dari Common Modular Platform (CMP) yang sama seperti Peugeot 208.

    Lancia Ypsilon HF – <em>hot-hatch</em> EV 240 hp untuk jalan raya, 1.2L turbo 212 hp  untuk jentera rali kelas Rally4

    Namun berbeza dengan model standard yang dibekalkan dengan motor berkuasa 156 PS (115 kW) dan tork 260 Nm, Lancia Ypsilon HF ini pula menerima motor tunggal lebih bertenaga dengan kuasa 240 hp. Tiada perincian lain didedahkan oleh Lancia untuk hot-hatch ini, namun ia disahkan masih hanya memacu roda hadapan dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

    Pada sebelah luar, Ypsilon HF ini menampilkan rekaan bampar hadapan lebih garang dengan gril yang lebih besar. Lancia juga menyatakan model HF ini diberikan tetapan suspensi yang lebih rendah bersama jarak trek roda yang lebih lebar.

    Tidak lengkap kalau Lancia tidak kembali berlumba selepas hot-hatch ini diperkenalkan bukan? Oleh itu, Lancia Ypsilon HF ini turut dijelmakan sebagai kereta rali yang mematuhi undang-undang Rally4 FIA, dikenali sebagai Lancia Ypsilon Rally4 HF.

    Rally4 merupakan antara kelas paling asas yang diwujudkan oleh FIA, dan ia disertai oleh pemandu-pemandu muda sebelum mereka beralih ke kelas lebih tinggi seperti Rally3, Rally2 dan Rally1. Oleh itu, versi rali ini tidak akan dipacu oleh motor elektrik, sebaliknya digantikan dengan enjin pembakaran dalaman dengan sesaran 1.2 liter tiga-silinder turbo berkuasa 212 hp.

    Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan lengkap dengan LSD, dan hanya memacu roda hadapan.

    Lancia Ypsilon HF ini akan mula dijual di Eropah bermula bulan Mei tahun hadapan. Menurut Lancia, barisan model HF turut akan berkembang selepas ini menerusi pengenalan Lancia Gamma HF, dan juga satu lagi nama konik yang ditunggu-tunggu iaitu Lancia Delta HF!

    GALERI: Lancia Ypsilon HF 2025

    GALERI: Lancia Ypsilon Rally4 HF

     
     
  • Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Peugeot Malaysia hari ini mengumumkan sudah mula menyerahkan kumpulan pertama bagi model Peugeot 408 kepada sembilan pemilik masing-masing, yang menjadi kelompok terawal menerima kereta tersebut di sini sejak membuat tempahan pada pertengahan April lalu.

    Sepanjang tempoh itu, sebanyak 300 tempahan telah diterima, dengan pecahan pemilihan varian seperti berikut — 60% pelanggan memilih varian GT, 22% yang lain memilih Premium dan baki 18% memilih varian Allure.

    Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata: “Hari ini menandakan titik permulaan kisah Peugeot 408 bersama pelanggan melalui serahan kelompok pertama yang dilakukan ini. Maklum balas yang diterima sangat positif, dan kami ingin mengekalkan momentum berkenaan untuk 408. Kami juga berbesar hati untuk meraikan 10 pemilik terawal dan mengalu-alukan mereka dan juga bakal pemilik 408 ke dalam keluarga Peugeot.”

    Untuk pasaran tempatan, Peugeot 408 yang dipasang secara CKD di sini dilancarkan pada 29 April yang lalu dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga jualan seperti berikut — Allure (RM146,055), Premium (RM166,055) dan juga GT (RM196,055). Semuanya merupakan harga atas jalan, belum termasuk insurans.

    Peugeot 408 2024 di Malaysia — 300 tempahan sejak pelancaran, mula diserah kepada 10 pemilik terawal

    Selain itu, Peugoet 408 2024 turut diserahkan kepada Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau yang akan digunakan sebagai kenderaan rasmi kedutaan tersebut.

    Peugeot 408 2024 menampilkan penggayaan yang unik dan tajam, dan yang pertama juga menggunakan logo baru Peugeot, serta menampilkan ruang dalaman Peugeot i-Cockpit dengan senibina kedudukan corong pendingin yang tinggi.

    Enjinnya pula memanfaatkan unit 1.6 liter turbocas PureTech yang menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm pada 2,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik EAT8 lapan-kelajuan. Janaan kuasanya membolehkan 408 mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

     
     
  • Peugeot Landtrek SE dilancar di Malaysia – RM129k

    Peugeot Landtrek SE dilancar di Malaysia – RM129k

    Barisan Peugeot di Malaysia kini telah disertai Peugeot Landtrek Special Edition, seperti yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM129,124 tanpa insurans, Landtrek SE ini lebih RM5,000 berbanding varian 1.9D Allure, yang dijual pada harga RM124,124, meningkat dari RM120,072 ketika dilancarkan di sini, di mana sebelum ini jenama tersebut di bawah kendalian Bermaz.

    Penjana kuasa bagi Landtrek SE ini masih sama seperti varian Allure iaitu 1,910 cc empai-silinder sebaris turbodiesel dengan output 150 PS pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan pacuan empat-roda yang boleh ditukar dengan mod 2H, 4H dan 4L.

    Casis untuk Landtrek SE ini juga seperti varian Allure, dengan tetapan double-wishbone untuk suspensi hadapan dan spring dedaun di belakang, serta sistem brek terdiri daripada jenis cakera di hadapan dan dram di belakang. Ia juga diberikan roda aloi dua-tona potongan-berlian 18-inci, dibaluti tayar
    265/60R18. Roda simpanannya juga diberikan unit saiz penuh.

    Kelengkapan luaran yang diberikan termasuklah lampu utama LED automatik dengan lampu nyalaan siang LED, dengan unit-mentol bagi lampu kabus hadapan, lampu belakang dan lampu kabus belakang. Turut diberikan bilah pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan, indikator cermin sisi boleh lipat, rel bumbung, pemijak sisi dan dua penderia parkir di hadapan dan empat unit di belakang.

    Manakala perubahan lain dibuat untuk Landtrek SE berbanding varian Allure yang dilancarkan tahun lalu ialah tailgate dampers, dan cargo bed liner dengan perkataan Peugeot, berbanding ‘Kaicene’, di mana Landtrek dibangunkan dengan platform Changan Kaicene F70.

    Turut diberikan untuk Landtrek SE ialah sambungan gerbang roda hitam, dan pelekat hitam yang ditampal di sisi badan Lantrek SE yang membezakannya dari Allure, bezel hitam dan pemijak sisi tiub hitam.

    Di dalamnya, kelengkapan ketersambungan untuk landtrek LE termasuklah skrin infotainmen 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, bersama kamera 360-darjah bersama pandangan 3D untuk bantuan pergerakan.

    Manakala kit keselamatan untuk Landtrek SE merangkumi DSC, ASR, EBD, ESP, trailer swing control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, dan amaran ketibaan lorong, bersama enam beg udara dan cagak Isofix untuk kerusi keselamatan kanak-kanak.

    Di Malaysia, setiap pembelian Peugeot Landtrek didatangkan dengan waranti pengeluar tiga-tahun, 100,000 km dan ditawarkan dengan dua warna luaran iaitu Rockstone Grey, dan Ceramic White.

     
     
  • Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini telah menyiarkan ringkasan pelaporan yang mengesahkan bahawa semua kenderaan keluaran Perodua dan Toyota yang terlibat dalam skandal ujian keselamatan dilakukan oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC) yang dikesan Di Jepun sebelum ini adalah selamat digunakan di atas jalan raya, selepas ujian semula yang telah dibuat.

    Dalam pelaporan tersebut, JPJ menyatakan kesemua ujian dengan maklumat yang tidak tepat dan tidak mematuhi porsedur ditetapkan dalam Peraturan Bangsa-bangsa Bersatu (UNR) dibuat oleh DMC sebelum ini telahpun diuji semula di empat lokasi.

    Lokasi-lokasi berkenaan adalah di Pusat R&D Perodua, Rawang pada 7 Februari 2024, Pusat ujian UTAC di Perancis pada 11 hingga 27 Februari 2024, Pusat teknologi Applus IDIADA di Sepanyol pada 28 Februari 2024 dan di Pusat Pengujian Horiba-MIRA, United Kingdom pada 25 hingga 29 Mac 2024.

    Skandal Daihatsu – JPJ sahkan kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia selamat selepas ujian semula

    Untuk Perodua, sebanyak enam model terjejas yang melanggar enam peraturan UNR, menyebabkan sebanyak 12 ujian perlu dibuat semula. Model-model yang terlibat adalah Perodua Axia generasi kedua, Bezza, Myvi generasi ketiga, Ativa, Aruz dan juga Alza generasi kedua.

    Bagi Axia, DMC sebelum ini tidak melakukan ujian beban mendatar pada selak pintu sebelah kiri, dan kereta yang diuji tidak disertakan dengan nombor pengenalan identiifikasi kenderaan (VIN) dalam ujian pelanggaran pejalan kaki. Pada Bezza pula, Daihatsu telah menambah berat pada pintu hadapan belah pemandu tanpa persetujuan servis teknikal bagi menghasilkan keputusan ujian pelanggaran hadapan yang lebih baik.

    Pada Myvi generasi ketiga pula, sebanyak tiga kesalahan dibuat semasa ujian iaitu ujian brek pada kelajuan tidak sampai 140 km/j, kerusi hadapan tidak dilaras mengrkut standard ujian (dilaras pada posisi paling belakang) dalam ujian kesan inersia dan berat bahan api 80g melebihi had 90% yang ditetapkan dalam ujian pelanggaran sisi.

    Untuk Ativa, Daihatsu menggunakan model Rocky dalam ujian pelanggaran pejalan kaki. Dan dalam ujian tersebut, kesalahan had laju telah dibuat iaitu 36 km/j untuk kesan hentakan kepala (sepatutnya 34.30-35.64 km/j) dan 41 km/j untuk kesan hentaman kaki (sepatutnya 39.24-40.68km/j).

    Pada Aruz pula, kesalahan dikesan ketika ujian impak dari barangan ruang kargo terhadap tempat duduk belakang, dimana ujian dibuat pada kelajuan 53.3 km/j, melebihi had ujian yang ditetapkan pada kelajuan 48 hingga 50 km/j. Dan akhir sekali untuk Alza, kesalahan dikesan pada ujian hentaman sisi dimana kenderaan yang diuji ditimbang pada 1,275.6 kg, kurang dari berat sebenar yang sepatutnya adalah 1,285 kg.

    Untuk Toyota pula, satu-satunya model yang terjejas dalam skandal ini adalah Toyota Vios yang dibina oleh Daihatsu menggunakan platform DNGA. Kesalahan yang dikesan adalah pada ujian pelanggaran pejalan kaki, di mana ada tiga titik pengukuran pada penutup bonet hadapan diuji dengan kadar hentaman kepala yang melebihi had ditetapkan.

    Bagi ujian semula terhadap Vios ini, syarikat pensijilan dari Belgium iaitu VINCOTTE telah menjalankan penilaian dan pengujian semula dan MOW (MoT Belgium) telah meluluskan pembetulan dan mengeluarkan sijil Peraturan UN R127 yang baharu bertarikh 27 Februari 2024.

    Manakala pihak UMW Toyota sendiri juga telah menghantar surat notifikasi pemakluman tersebut bersama salinan pensijilan terkini yang bertarikh 29 Februari 2024, serta telah melantik Vehicle Certification Agency, United Kingdom (VCA) bagi pengujian semula di Pusat Pengujian Horiba-MIRA, Nuneaton, United Kingdom pada 25-29 Mac 2024.

    Menurut JPJ, tiada sebarang panggilan semula perlu dibuat oleh Perodua dan UMW Toyota di Malaysia bagi model-model yang terjejas dengan isu skandal ujian keselamatan Daihatsu tersebut. Ini kerana selepas semua ujian semula yang dilakukan, model-model itu telah mematuhi sepenuhnya ketetapan di bawah Peraturan UN yang berkenaan seperti dikehendaki oleh prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).

     
     
  • JPJ buka penawaran baki siri nombor pendaftaran FFF mulai 1 Jun 2024 – hanya di kaunter JPJ sahaja

    JPJ buka penawaran baki siri nombor pendaftaran FFF mulai 1 Jun 2024 – hanya di kaunter JPJ sahaja

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penawaran baki siri nombor pendaftaran istimewa siri FFF bakal dibuka mulai 1 Jun 2024. Di mana penjualan baki siri tersebut akan dilaksanakan di kaunter JPJ Ibu Pejabat Bahagian Pelesenan Kenderaan atau di semua Pejabat JPJ Negeri.

    Menurut JPJ, penawaran baki siri FFF ini adalah sehingga ia habis dijual, bermakna tiada tempoh tertentu bagi penjualan yang ditetapkan. Selagi masih ada baki nombor, maka ia akan terus dibuka untuk dijual.

    Walau bagaimana pun, terdapat syarat pembelian iaitu ditetapkan harga berjumlah RM510 termasuk fi perkhidmatan, hanya terhad kepada tiga permohonan sahaja, dan permohonan perlu disertakan dengan borang JPJeBid 02 serta MyKad, SSM atau pasport pemohon.

    Sebelum ini, JPJ telah membuka bidaan untuk siri FFF ini menerusi platform dalam talian JPJ eBid selama lima hari iaitu bermula 11 Mei 2024 sempena dengan ulangtahun agensi penguatkuasaan ini yang ke-78 yang disambut pada tarikh berkenaan.

     
     
  • Polis laksana Op Khas Trafik Samseng Jalanan di Plaza Tol Gombak – 28 saman trafik dikeluarkan

    Polis laksana Op Khas Trafik Samseng Jalanan di Plaza Tol Gombak – 28 saman trafik dikeluarkan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah melaksanakan sekatan jalan raya besar-besaran pada Ahad lalu di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Karak, dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), laporan New Straits Times. Ini merupakan sebahagian daripada Operasi Khas Trafik Samseng Jalanan.

    Banyak kereta dan motosikal dilihat cuma untuk membuat pusingan-U dan dipandu melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya tersebut selepas mendapati pihak berkuasa telah menyekat sepenuhnya laluan terbabit. Rakaman video dari laman media sosial juga menunjukkan pegawai penguatkuasa telah menahan ramai pemandu dan memeriksa kenderaan di stesen BHPetrol arah timur sejurus selepas Plaza Tol Gombak, iaitu port popular untuk Genting touge-ers.

    Operasi yang bermula pada 7 pagi itu, menyaksikan sebanyak 28 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, laporan NST lagi. “Kesalahan tersebut termasuk tiga daripadanya memandu tanpa lesen, satu kes melibatkan lesen memandu tamat tempoh, tiga kes modifikasi ekzos, satu kes tidak mempamerkan pelekat L, 16 kes untuk nombor plat fancy atau kurang jelas dan selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain,” kata Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar.

    Tambahnya lagi, dalam operasi berkenaan, sebanyak 80 kenderaan membabitkan 44 kereta dan 36 motosikal telah diperiksa. Malahan pihak JPJ turut mengeluarkan 18 notis saman termasuk 16 kenderaan diarah periksa.

    Jelas beliau, objektif operasi sebagai advokasi kepada pengguna jalan raya tentang keutamaan keselamatan semasa menggunakan lebuh raya. “Kita mahu memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang termasuk kenderaan yang digunakan mengikut spesifikasi yang betul berikutan banyak aduan awam diterima di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur,” katanya.

    Beliau turut berkata, tindakan penguatkuasaan diambil hanya kepada yang ingkar dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain seperti kenderaan diubah suai dan spesifikasi kenderaan tidak lengkap, laporan Sinar Harian pula.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025