Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Tesla telah pun memperkenalkan versi prestasi untuk Model 3 Highland, dan ia secara rasmi digelar sebagai varian Performance, bukan Model 3 Ludricous seperti yang dijangka sebelum ini. Pengguna di Malaysia turut sudah boleh menempah model ini menerusi laman web rasmi Tesla, dan ia disenaraikan dengan harga bermula RM242,000, tidak termasuk bayaran tempahan dan penghantaran.

    Tesla Model 3 Performance ini sudah tentu datang dalam konfigurasi dua motor, masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Performance Drive Unit berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 460 hp, bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 262 km/j.

    Sebagai perbandingan, varian Model 3 Dual Motor AWD Long Range biasa hanya boleh membuat pecutan yang sama dalam masa 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 201 km/j. Namun jarak gerak bagi versi Performance ini adalah lebih pendek iaitu 528 km dalam kitaran WLTP berbanding varian Long Range boleh dipandu sejauh 629 km dalam kitaran WLTP dengan satu cas penuh bateri.

    Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Bukan hanya aspek unit rangkaian kuasa sahaja dipertingkat, malah Tesla turut membuat talaan semula pada casis bagi memberikan prestasi pengendalian lebih baik. Ia diberikan suspensi adaptif bersama spring baharu, serta dipadankan dengan set bushing dan bar penstabil lebih sporty, serta sistem brek yang menampilkan cakera dan angkup lebih besar bersama set pad prestasi.

    Tesla juga memberikan fungsi Track Mode V3 pada Model 3 Performance ini di mana ia menampilkan pelarasan baharu pada unit rangkaian kuasa dan suspensi adaptif bagi “memberikan anda lebih pengawalan ketika memandu”, dakwa Tesla. Pemandu juga boleh melaras sendiri keseimbangan pengendalian, kawalan kestabilan dan karekter sistem regenerative braking mengikut selera masing-masing.

    Dari luar model ini boleh dikenali dengan pengayaan yang nampak lebih garang, menampilkan apron hadapan lebih agresif dengan penambah liang sisi, spoiler bawah bampar, dan juga komponen-komponen gentian karbon seperti diffuser di bawah bampar belakang dan juga spoiler but.

    Dengan tetapan suspensi baharu juga membolehkan badan Tesla Model 3 Performance lebih rapat ke permukaan jalan bagi memberikan stance yang lebih gagah, digandingkan bersama set rim aloi forged Warp berdiameter 20-inci.

    Sedan sports EV ini datang dengan kabin standard berwarna hitam, tetapi pembeli boleh memilih tema dalaman berwarna putih dengan tambahan RM5,000. Perincian standard lain yang diberikan termasuk tempatan duduk hadapan yang direka seperti kerusi bucket, dan kemasan gentian karbon pada papan pemuka.

    Tempahan atas talian untuk Tesla Model 3 Performance ini boleh dibuat dengan bayaran tempahan RM1,000 dan tambahan RM500 diperlukan sebagai bayaran penghantaran. Pelbagai perincian opsyen boleh anda pilih, sudah tentu melibatkan tambahan harga.

    Ketika artikel ini ditulis, Tesla Malaysia menyatakan dalam laman web rasmi tersebut bahawa pelanggan yang membuat tempahan bakal menerima kereta masing-masing seawal bermula suku kedua tahun ini.

     
     
  • Lotus Emeya EV dibuka tempahan di Malaysia, dari RM650k untuk varian asas; dilancarkan pada Q3

    Lotus Emeya EV dibuka tempahan di Malaysia, dari RM650k untuk varian asas; dilancarkan pada Q3

    Tempahan bagi Lotus Emeya EV telah pun mula dibuka untuk pasaran Malaysia, menjelang pelancaran rasminya yang direncana bakal berlangsung pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Difahamkan bahawa penghantaran unit yang ditempah oleh pelanggan akan bermula pada suku keempat (Q4) 2024.

    Pertama kali ditampilkan di peringkat global pada September lalu di New Yorl, Emeya four-door GT ini turut dipertontonkan dalam acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 bulan lalu, di mana ia memulakan jualannya di Thailand dengan menawarkan dua varian iaitu Emeya S dari 5,990,000 baht (RM777,600), dan Emeya R pada 6,890,000 baht (RM895,500).

    Di Malaysia, harganya dijangka bermula dari RM650,000 untuk varian asas. Emeya S dilengkapi dengan enjin yang mampu menghamburkan kuasa hingga 612 PS dan tork 710 Nm, membolehkan grand tourer elektrik ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.15 saat dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j. Bagi spesifikasi tertinggi Emeya R yang dijual di Thailand, dengan penjana kuasa 918 PS/985 Nm, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 2.78 saat dan kelajuan maksimum cecah 256 km/j.

    Diproduksi di Wuhan, China, Emeya dibina dengan platform Electric Premium Architecture (EPA) oleh Lotus, sama seperti model Eletre, dan turut menggunakan binaan 800-voltan yang sama dengan SUV tersebut.

    Mengikut spesifikasi model negara jiran, Emeya diberikan pek bateri 102 kWh, kurang sedikit berbanding Eletre yang diberikan unit 112 kWh. Dengan kapasiti bateri tersebut, Emeya S mampu capai jarak gerak hingga 610 km dalam pengecasan penuh mengikut ujian protokol WLTP, sementara Emeya R pula dengan output motor yang lebih tinggi dan sekadar capai jarak gerak hingga 485 km (WLTP).

    Untuk pengecasannya, ia dilengkapi dengan pengecas on-board 22 kW yang mampu capai status 0-100% dalam 5.8 saat, dan jika menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW pula, ia mampu capai status 0-100% dalam 18 minit.

    Ciri kelengkapan yang ditampilkan termasuklah roda 22-inci dengan balutan tayar 265/35 di hadapan dan 305/30 di belakang, sistem suspensi udara kawalan elektronik (yang sama dengan Eletre), aerodinamik aktif, diffuser belakang aktof dan juga spoiler belakang dwi-lapisan aktif bersama unit selebar 280 mm (100 mm pada Eletre) dan menawarkan daya berat 215 kg bagi downforce.

    Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan ruang sentral ‘terapung’ skrin LED-penuh OLED, 15 unit pembesar suara atau 23-unit untuk pilihan yang lebih high-end, dengan sistem bunyi sekeliling 3D Dolby Atmos.

    GALERI: Lotus Emeya R di BIMS 2024

     
     
  • Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Selepas setahun model facelift bagi Porsche Cayenne generasi E3 didedahkan, kini varian yang dihasilkan dengan lebih aspek keseronokan memandu iaitu Cayenne GTS kini diperkenalkan, dan ia terus ditawarkan dalam bentuk badan lima-pintu biasa dań juga Coupé.

    Varian GTS, atau Gran Turismo Sport ini diasaskan dari versi Cayenne S. Jadi ia menerima enjin V8 4.0 liter turbo berkembar, menghasilkan 500 PS dan tork maksima 660 Nm tau 40 PS/40Nm lebih berkuasa dari versi pre-facelift sebelum ini. Manakala sistem pacuan semua rodanya pula kini menampilkan litar penyejukkan cecair bebas yang diadaptasi dari Cayenne Turbo GT, yang mampu “menstabilkan kapasiti beban secara berterusan” ketika dalam pemanduan lasak seperti dalam litar atau jalan pergunungan.

    Enjin tersebut dipadankan bersama kotak gear tiptornic lapan kelajuan automatik, yang turut ditala semula bagi mendapatkan respon dan tukaran gear lebih pantas dalam mod Sport dan Sport Plus. Gandingan ini membolehkan Cayenne GTS facelift tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 275 km/j – 0.1 saat lebih pantas dan 5 km/j lebih laju dari versi pre-facelift.

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Selain dari angka kuasa dan prestasi, keseronokan memandu bagi Cayenne GTS ini turut disumbangkan dari talaan semula pada sistem suspensi. Model ini menerima penyerap hentak adaptif udara secara standard yang merendahkan badannya 10 mm lebih dari biasa, serta diberikan galas gandar hadapan dari Turbo GT bagi memberikan sudut kamber -0.58 pada roda hadapan berbanding Cayenne biasa. Menurut Porsche, talaan ini memberikan pengendalian yang lebih tangkas dan dinamik pada SUV tersebut.

    Pada bahagian luaran, Cayenne GTS ini menerima pakej penggayaan Sport Design yang meliputi kemasan pada cermin tingkap sisi dan juga pelindung tambahan pada ruang roda, kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan kemasan hitam yang sama pada skirt sisi dan gril bampar hadapan bagi memberikan rupa yang lebih agresif.

    Ia juga menerima perincian standard lain seperti bumbung kaca panaromik dan spoiler belakang adaptif. Bagi melengkapkan rupanya, SUV ini diberikan rim aloi RS Spyder 21-inci dalam kemasan Anthracite Grey. Manakala tip ekzos pula datang dalam kemasan gangsa gelap berbanding hitam pada model GTS sebelum ini.

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai opsyen bagi mendapatkan spesifikasi lebih baik untuk Cayenne GTS ini, antaranya sistem ekzos dengan paip tengah sports, dan juga pakej lightweight sports yang merangkumi bumbung dan diffuser belakang lebih ringan diperbuat dari gentian karbon serta pengurangan bahan penebat. Menurut Porsche, bergantung spesifikasi yang dipilih, pakej tersebut dapat mengurangkan berat sehingga 25 kg.

    Pada bahagian kabin pula, Cayenne GTS ini menerima perincian standard seperti roda stereng GT dengan pemanas, upholsteri Race-Tex pada bahagian seperti pelapik bumbung, perehat tangan dan panel-panel pada pintu, serta bahagian tengah temat duduk sports yang boleh dilaras dalam lapan-hala.

    Tempat duduk sport hadapan tersebut juga menerima sokongan sisi lebih baik bagi membantu pemandu mengekalkan kedudukan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Selain itu, ia juga menerima sistem bunyi surround dari Bose dan lampu suasana kabin, serta pakej perincian spesifik untuk varian GTS dalam kemasan Carmine Red dan Slate Grey Neo.

     
     
  • BRT Sunway beroperasi di aras jalan pada 27 April – trek bertingkat diguna untuk Under Armour Dual Race

    Ini ada makluman buat penduduk Sunway/USJ dan juga pengguna perkhidmatan BRT laluan Sunway. Laluan bas bertingkat ini akan beroperasi di aras jalan biasa pada malam Sabtu ini, 27 April 2024, dari jam 6 pagi hingga ke tengahmalam. Ia adalah bagi memberikan laluan kepada penganjuran acara larian Under Armour Dual Race yang bermula jam 11 malam.

    Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan akan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari dan Sunway Setia Jaya – senarai penuh seperti di atas.

    Acara Under Armour Dual Race melibatkan larian berganti-ganti sejauh 21.1 km dan akan menggunakan laluan trek bertingkat BRT sepenuhnya. Untuk peserta yang terlibat, anda boleh mengambil kit larian pada Jumaat ini (26 April) dari jam 10 pagi hingga 10 malam di butik Under Armour, Sunway Pyramid.

     
     
  • Laluan kontra di sebahagian Lebuhraya KL-Seremban mulai hari ini – Plaza Tol Sg Besi-KM5.2, 6 pagi-9 pagi

    Laluan kontra di sebahagian Lebuhraya KL-Seremban mulai hari ini – Plaza Tol Sg Besi-KM5.2, 6 pagi-9 pagi

    Bermula hari ini (24 April 2024), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula melaksanakan laluan kontra di sebahagian laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Laluan kontra berkenaan bermula dari Plaza Tol Sg. Besi sehingga KM 5.2. diaktifkan dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.

    Berdasarkan info grafik yang dikongsikan oleh DBKL, pengaktifan lorong kontra berkenaan kemungkinan untuk kelancaran kerja-kerja selenggara yang dilaksanakan di lokasi berkenaan.

    Untuk pengguna laluan berkenaan, sila patuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi. Amalkan pemanduan berhemah, tingkatkan fokus, sentiasa bersabar dan lebih bertimbang rasa.

     
     
  • Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Tayar Continental MaxConTact MC7 merupakan tayar yang direka khas untuk pasaran Asia Pasifik. Jadi, adakah ini bermaksud ia tidak mencapai kualiti dengan standard global? Bagi menunjukkan tanggapan tersebut salah, Continental Tyres telah menguji tayar berkenaan menggunakan salah satu jentera dengan tork gergasi iaitu Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1 yang dibekalkan dengan kuasa 750 hp dan tork maksima 900 Nm!

    Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1 merupakan model edisi terhad yang diasaskan dari Mercedes-AMG SL63, dihasilkan hanya 25-unit untuk pasaran seluruh dunia bagi mengabadikan nama pengasas badan penala dari Jerman berkenaan iaitu Bodo Buschmann.

    Ujian berkenaan dilakukan fasiliti ujian utama Continental Tyres iaitu di Contidrom yang terletak di Jerman, dengan tayar Continental MaxContact MC7 bersaiz 275/35R21 dipasang di bahagian hadapan dan 315/30R21 dipasang di bahagian belakang.

    Menurut Continental, MaxContact MC7 memberikan cengkaman yang maksimum dan kuasa pembrekkan terbaik walaupun dipadankan pada sebuah jentera yang mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 315 km/j.

    Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Tayar Continental MaxContact MC7 ini menerima rekaan Cornering Macroblocks yang unik bersama kompaun ReFlex yang didakwa dapat membantunya mencapai kebolehsesuaian yang luar biasa dan cengkaman teguh pada permukaan jalan.

    Rekaan tayar yang memaksimumkan kawasan sentuhan dengan jalan bagi menghasilkan jejak yang lebih luas itu juga dapat mengagihkan daya ke bahagian tayar yang lain untuk pengendalian yang lebih terkawal dan kestabilan yang luar biasa
    apabila pemandu mengambil selekoh lebih tajam walaupun pada kelajuan yang lebih tinggi, dakwa Continental lagi.

    Tayar ini juga didakwa memberikan cengkaman yang dipertingkatkan serta jarak membrek yang lebih pendek untuk memastikan pemanduan yang stabil dan selamat menerusi beberapa perincian. Antaranya adalah 3D Laser-cut Sipes yang dapat mengeluarkan air yang mengalir melalui alur tayar dengan cepat serta teknologi silika dalam sebatian ReFlex yang memberikan jarak membrek yang lebih pendek di jalan raya kering dan basah.

     
     
  • Jalan Kuantan-Segamat ditutup mulai 29 April-6 Mei – sila guna FT3 menerusi Pekan ke Muadzam Shah

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan, Pahang mengumumkan bahawa Laluan FT 12, Jalan Kuantan-Segamat akan ditutup bagi semua jenis kenderaan di Seksyen 102 (KM 63 Berhampiran Kawasan Burung Unta) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Jambatan Bailey) mulai 29 April hingga 6 Mei 2024.

    “Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan dari kedua-dua arah iaitu Kuantan/Gambang ke Muadzam melalui Laluan Persekutuan FT 03 (Kuantan – Endau melalui Bandar Pekan) dan Laluan FT 63 (Leban Condong – Muadzam Shah).

    “Semua pengguna adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal dan mematuhi arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa,” kata JKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jalan Kuantan-Segamat ditutup mulai 29 April-6 Mei – sila guna FT3 menerusi Pekan ke Muadzam Shah

    Musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, Laluan FT 12 ini menjadi ‘kecaman’ pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh kesesakan sejauh hampir 27 km disebabkan kerosakan pada Jambatan Bailey, selain dikatakan jalan menjadi mendap dan berlekuk tinggi membuatkan para pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan. Ada pengguna laluan berkenaan berkata, mereka terpaksa mengambil masa antara dua hingga ke tiga jam bagi melepasi kawasan berkenaan.

    “Jambatan Bailey ini mengalami kerosakan kerana kenderaan yang melebihi had muatan 20 tan menggunakan jambatan ini yang menyebabkan berlakunya mendapan. Oleh itu, saya menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi had muatan yang ditetapkan iaitu tidak lebih 20 tan bagi mengelak kerosakan berulang,” kata Pengarah JKR, Datuk Hafizah Zakaria.

    Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di kawasan terbabit sehingga menyebabkan jalan berkenaan berlubang dan hampir putus. Selepas selesai pembaikian, pada 27 Januari 2024, jambatan itu kembali dibuka secara dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 km/j.

     
     
  • Mercedes-AMG GT63S E Performance C192 diperkenal – PHEV prestasi dengan dua pintu, kuasa 816 PS

    Mercedes-AMG GT63S E Performance C192 diperkenal – PHEV prestasi dengan dua pintu, kuasa 816 PS

    Semasa perlumbaan F1 di China minggu lepas, Mercedes-AMG telah memperkenalkan versi paling tinggi bagi kereta sports GT generasi kedua mereka, iaitu Mercedes-AMG GT63S E Performance C192. Nama ini mungkin familiar, tapi sebenarnya model sebelum ini mempunyai empat pintu, sementara model yang dipertonton ini adalah versi dua pintu.

    Sama seperti GT63 biasa, enjin yang digunakan untuk menggerakkan model prestasi ini adalah unit V8 4.0 liter twin turbo, tetapi ditala untuk menghasilkan 612 PS dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork 850 Nm antara 2,500 ke 4,500 rpm. Jika dibandingkan dengan GT63, ia adalah 97 PS dan 50 Nm lebih tinggi, tetapi dengan GT63S E Performance empat pintu, ia kurang 27 PS dan 50 Nm.

    Enjin yang sudah cukup berkuasa ini kemudiannya dibantu lagi oleh motor elektrik 204 PS/320 Nm yang terletak di belakang serta starter generator 14 PS di hadapan, menjadikan kuasa keseluruhan 816 PS. Dengan badan yang cuma mempunyai dua pintu, ia boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat, iaitu sedikit lebih cepat berbanding versi empat pintu. Laju maksimum juga meningkat menjadi 320 km/j.

    Mercedes-AMG GT63S E Performance C192 diperkenal – PHEV prestasi dengan dua pintu, kuasa 816 PS

    Sistem hibrid pada GT63S E Performance ini menggunakan bateri lithium ion 6.1 kWh yang mempunyai sistem inspirasi daripada F1. Disebabkan kapasiti rendah serta fokus yang lebih kepada penyampaian kuasa pantas, kereta ini hanya boleh bergerak menggunakan kuasa elektrik bagi jarak 13 km sahaja. Penggunaan bahan api pula dikatakan boleh mencatat serendah 8.2 l/100 km.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik multi-clutch sembilan kelajuan Speedshift MCT 9G AMG, kotak gear dua kelajuan untuk motor elektrik, sistem pacuan semua roda 4Matic+ serta limited-slip differential mekanikal di belakang. Sistem penjanaan semula kuasa brek pula mempunyai empat tahap dan boleh memberikan sehingga 100 kW kepada bateri.

    Turut diberikan adalah AMG Active Ride Control, yang menggunakan penyerap hidraulik berbanding anti-roll bar, seperti McLaren. Ciri standard lain adalah termasuk rear-wheel steering, brek karbon seramik dan sirip udara boleh kembung di hadapan – aktif pada kelajuan atas 80 km/j. Spoiler aktif di belakang dilaras semula untuk dipadankan dengan prestasinya.

    Penampilan model ini sama sahaja dengan GT63 biasa, dan antara cara untuk mengetahui ia adalah versi PHEV adalah dengan melihat kepada tempat mengecas Type 2 yang terdapat di bampar serta lencana E Performance. Ia hanya boleh dicas menggunakan sumber AC sehingga 3.7 kW manakala rim pula datang dalam saiz 20 inci.

    Bahagian dalam juga masih familiar dengan terdapat corong pendingin hawa bentuk turbin, skrin sesentuh infotainmen menegak 11.9 inci serta tempat duduk sports AMG Performance (pilihan tambahan). Sistem MBUX pada kenderaan ini telah dilaraskan kembali untuk mengeluarkan paparan serta fungsi yang bersesuaian dengan ciri hibridnya, termasuk gambaran aliran kuasa.

     
     
  • Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, overfender petak

    Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, <em>overfender</em> petak

    Selepas mengumumkan nama rasminya minggu lalu, Kia kini mendedahkan pula rupa sebenar trak pikap Kia Tasman, tetapi masih dibalut oleh pelekat penyamaran. Seperti yang diberitahu sebelum ini, nama ‘Tasman’ berkenaan diambil sempena nama Pulau Tasmania yang terletak di bahagian paling selatan Australia.

    Menerusi imej terbaharu yang didedahkan ini, dapat dilihat rekaan ‘berkotak’ Kia Tasman berkenaan bukan hanya pada bahagian-bahagian utama badannya, malah panel overfender yang biasanya berbentuk bulat pada trak pikap lain turut direka berkotak pada Tasman.

    Bagi overfender hadapan, ia nampaknya bersambung terus pada bahagian muka dan menjadi sebahagian panel bagi menempatkan jalur LED dan juga lampu hadapan. Antara perincian lain yang turut dapat dilihat adalah bahagian cermin hadapan yang direka dengan saiz yang agak besar.

    Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, <em>overfender</em> petak

    Kia menyifatkan Tasman ini sebagai ‘trak pikap segmen-C’, namun ia bukanlah kembar kepada trak pikap Hyundai Santa Cruz yang kini dijual di pasaran Amerika Utara. Ini kerana Tasman adalah trak pikap dengan casis ladder frame sebenar bagi berhadapan dengan pesaing seperti Ford Ranger, Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, berbanding Santa Cruz yang dihasilkan dari kerangka monocoque seperti SUV.

    Namun berbeza dari pesaing-pesaing yang kebanyakkannya dibangunkan di Thailand, Tasman yang juga merupakan trak pikap dual cab pertama jenama tersebut dibangunkan oleh Kia di Korea Selatan dengan bantuan dari Kia Australia. Ia bakal dilancarkan pada 2025 di pasaran-pasaran utama termasuk Korea Selatan, Australia, Afrika serta Timur Tengah.

    Laporan sebelum ini menyebut Tasman akan menerima enjin turbodiesel 2.2 liter ketika dilancarkan di Australia kelak. Perincian berkenaan enjin tersebut masih belum diumum, namun ia berkemungkinan adalah unit yang sama seperti pada SUV Sorento dan MPV Carnival, iaitu enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel empat-silinder sebaris berkuasa 202 PS (199 hp) dan tork maksima 440 Nm.

    Menurut Kia, pelekat penyamaran yang membalut badan Tasman ini dihasilkan oleh artis New Zealand, Richard Boyd-Dunlop dengan bertemakan ‘Jalan yang tidak pernah dilalui’, bagi menggambarkan semangat Tasman untuk mengembara merentas Australia. Panjang lebar sebenarnya cerita Kia berkenaan grafik tersebut, kalau anda berminat nak tahu, ada video rasminya kami letakkan di bawah.



     
     
  • GALERI: Audi RS4 Avant 2024 di M’sia – 2.9L biturbo V6; 450 PS, 0-100 km/j dalam 4.1s; harga dari RM763k

    GALERI: Audi RS4 Avant 2024 di M’sia –  2.9L biturbo V6; 450 PS, 0-100 km/j dalam 4.1s; harga dari RM763k

    Audi RS4 Avant 2024 telah pun berada di pasaran Malaysia dan kami bawakan galeri foto penuhnya untuk tatapan anda. Dijual pada harga bermula RM762,990, yang turut didatangkan dengan Audi Assurance Package (AAP) yang merangkumi waranti lima-tahun dan tiga-tahun penyelenggaraan percuma. Tanpa AAP, hanya diberikan waranti dua-tahun tetapi harganya menjadi RM752,990.

    Diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2022, RS4 Avant djanakan enjin 2.9 liter biturbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 450 PS (444 hp) dari 5,700-6,700 rpm dan tork 600 Nm of tork dari 1,900-5,000 rpm. Kuasannya disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik tiptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan sports differential.

    Ia membolehkan jentera mewah ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 280 km/j. Ia juga digandingkan dengan RS sports suspension Plus bersama kawalan pengendalian dinamik serta sistem ekzos RS sports.

    Kit kelengkapannya termasuk logo dan lencana hitam berkilat, pakej penampilan hitam berkilat, lampu utama
    Matrix LED, lampu isyarat membelok dinamik, roda aloi evo lima-jejari 20-inci dengan kemasan matte titanium, upholstery kulit Nappa, Audi drive select, kokpit maya Audi, paparan utama, sistem bunyi Bang & Olufsen, infotainmen dan navigasi MMI, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori dan tailgate kuasa bebas-tangan.

    Untuk sistem bantuan pemandu, RS4 Avant didatangkan dengan pra-penderia Audi, kawalan kelajuan adaptif, amaran menukar lorong dan amaran ketibaan lorong. Ia juga diberikan lapan beg udara dan sistem pemantauan tekanan tayar secara standard.

     
     
  • PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

    PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

    Memang ada banyak perkara yang menjadikan Honda CR-V 2024 generasi keenam — model yang terbaru dalam pasaran tempatan ketika ini — berbanding model generasi terdahulunya dan juga pesaing lain dalam segmen yang sama. Begitu juga, masih ada kekurangan yang dirasakan sepatutnya sudah diatasi bagi model generasi baru SUV paling popular di Malaysia ini.

    Honda CR-V mempunyai sejarah panjang di sini. Ia sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan — termasuk menjadi antara model CKD terawal Honda Malaysia — untuk pasaran tempatan sejak tahun 2002, ketika itu melalui model generasi kedua. Itu satu tempoh yang sudah melebihi dua dekad, dan tentunya sudah banyak yang dilakukan terhadap CR-V.

    20 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Ia cukup lama untuk menjadi tempoh matang bagi sesebuah model dalam sesebuah pasaran. Dan, tentu ada sebab mengapa CR-V mampu bertahan begitu lama dalam pasaran tempatan; tidak seperti model-model yang banyak kita pernah lihat yang tidak mempunyai kelangsungan hayat penawarannya di sini.

    Baca lanjut

     
     
  • Lebuhraya Dash – Susur keluar ke Persiaran Mokhtar Dahari ditutup pada 23 April, 12 t/malam-5 pagi

    Lebuhraya Dash – Susur keluar ke Persiaran Mokhtar Dahari ditutup pada 23 April, 12 t/malam-5 pagi

    Prolintas selaku syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) memaklumkan terdapat penutupan sementara sepenuhnya bagi susur keluar lebuhraya terbabit ke Persiaran Mokhtar Dahari pada lewat malam ini, 23 April 2024, dari jam 12 tengahmalam hingga 5 pagi.

    Penutupan susur berkenaan melibatkan laluan Ramp 1C ke arah Puncak Alam dan Ramp 1D ke arah Shah Alam, bertujuan bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan.

    “Pengguna dinasihatkan untuk keluar di susur Pulau Angsa dan membuat pusingan-U di Cahaya SPK bagi perjalanan ke Persiaran Mokhtar Dahari arah Puncak Alam,” kata Prolintas.

    Bagi pengguna yang terbabit, sila pandu lebih berhati-hati dan patuhi papan tanda serta arahan petugas di lokasi. Kalau tersilap atau terlepas susur, jangan pula memandu menentang arus dan sila cari laluan yang selamat untuk membuat pusingan-U.

     
     
  • Banjir kilat dilaporkan di Subang, PJ, Gombak, KL – rancang perjalanan anda, tangguh jika perlu

    Banjir kilat dilaporkan di Subang, PJ, Gombak, KL – rancang perjalanan anda, tangguh jika perlu

    Dilaporkan banjir kilat berlaku pada petang ini, 22 April, di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, menurut Jabatan Penerangan WPKL.

    Lokasi yang dinaiki air banjir termasuklah di Subang, Petaling Jaya (PJ), Gombak dan Kuala Lumpur (KL) susulan hujan lebat beberapa jam dan keadaan trafik turut dilaporkan sesak.

    Selain itu, laluan yang turut dilaporkan dinaiki air ialah lorong kiri di Jalan Damansara menghala ke Jalan Istana, menyebabkan kesesakan teruk berlaku dari Terowong Duta, menurut jabatan terbabit.

    Untuk yang perlu melalui lokasi yang terlibat, jika boleh, tangguhkan perjalanan anda, tetapi jika terpaksa, rancanglah perjalanan anda sewajarnya termasuk mencari laluan alternatif bagi mengelakkan anda terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk dan elakkan meredah laluan yang ditenggelami air banjir kerana kita tidak tahu risiko yang menanti.

    Mungkin banjir tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda, bahkan jika hujan lebat berserta dengan angin kuat, takut pula ada pokok yang tumbang dan terkena kenderaan anda. Ini juga memberikan bahaya terhadap keselamataan anda sendiri.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

    Kami juga pernah kumpulkan informasi mengenai bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Anda juga boleh membeli atau memperbaharui insurans kenderaan anda dengan kami menerusi PAUTAN INI.

    Adalah lebih baik mengambil insurans bencana alam berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan? Sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban kewangan anda sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan akibat banjir.

     
     
  • Penutupan lorong di Line M, CH 1.1-CH 1.9 arah Jambatan P.Pinang, Georgetown pada 23-24 April

    Penutupan lorong di Line M, CH 1.1-CH 1.9 arah Jambatan P.Pinang, Georgetown pada 23-24 April

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pelaksanaaan penutupan semua lorong di Line M, CH 1.1 – CH 1.9 (arah ke Jambatan Pulau Pinang) serta lorong kanan dan lorong tengah (arah ke Georgetown) pada 23 hingga 24 April ini, jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan lorong di lokasi berkenaan adalah bagi kelancararan kerja-kerja pembinaan oleh IJM Corporation Berhad sepanjang tempoh berkenaan.

    “Laluan kontra diaktifkan menghala ke Jambatan Pulau Pinang. Justeru, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya memandu berhati-hati dan mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit yang dikeluarkan oleh pihak IJM,” kata PLUS.

    Bagi anda yang melalui lokasi berkenaan, diharap dapat mempertingkatkan fokus pemanduan, lebih berhati-hati dan bertimbang rasa. Sentiasa amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

    Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

    Ada sesiapa yang tertunggu-tunggu bila sebenarnya model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual? HotWheels Malaysia baru sahaja memberitahu kami sebentar tadi bahawa anda boleh mula untuk membeli model ini di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan, kedai serbaneka dan juga di kedai-kedai stesen minyak seluruh negara bermula esok, 23 April 2024!

    Sekiranya anda berjaya mendapatkan model ini di outlet-outlet yang disebutkan tadi, bermakna anda boleh membeli sebuah Proton Saga HotWheels edisi terhad ini pada harga runcit yang disarankan RM9.90 sahaja. Walaupun ia dijual pada harga yang sama dengan versi mainline, kami difahamkan versi edisi terhad ini tidak terkandung dalam mana-mana kumpulan Dash/Case mainline 2024 dan ia hanya dijual di pasaran Malaysia sahaja.

    Seperti yang disebut sebelum ini, model edisi terhad ini masih menampilkan Proton Saga generasi pertama skala 1/64 seperti versi mainline Hot Wheels yang sudahpun mula dijual bermula Oktober tahun lalu. Saga berkenaan datang dalam kemasan badan berwarna merah, diberikan grafik logo asli ‘Saga’ bagi model 1985 pada pintu belakang dan logo HotWheels pada pintu hadapan, serta set roda plastik AeroDisc.

    Namun untuk versi edisi terhad ini ia akan menggunakan pakej kad blister istimewa rekaan kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Saw Jane Harn dari Pulau Pinang telah menjadi pemenang pertama pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition tahun lalu.

    Hern menghasilkan rekaan berkenaan dengan hanya lukisan tangan menampilkan unsur-unsur Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Bunga Raya, Harimau Malaya dan Burung Kenyalang pada kad blister tersebut. Hasil karya Hern dan peserta-peserta yang menyertai pertandingan ini turut dinilai oleh Azlan Othman, ketua pereka Proton yang dilantik sebagai salah seorang juri.

    Nama dan perincian rekaan yang dihasilkan oleh Hern juga nampaknya diabadikan oleh HotWheels menerusi perincian yang ditulis pada bahagian belakang kad blister berkenaan. Ini pastinya bakal memberikan kenangan yang cukup manis buat Hern bukan?

    Projek bagi menjelmakan Proton Saga generasi pertama ini diumumkan secara rasmi pada Disember 2022. Ia merupakan kerjasama rasmi pertama antara Proton dan HotWheels sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc), juga untuk menyambut ulangtahun Proton ke-40 tahun lalu.

    Kilang pertama Mattel di Malaysia yang tarletak di Pulau Pinang mula dibuka pada tahun 1981, dan buat masa sekarang kilang tersebut sememangnya kilang HotWheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan HotWheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

    Mattel bercadang untuk membesarkan lagi fasiliti tersebut bagi membolehkan jumlah pekerjanya naik 10% kepada hampir 4,300 orang. Pembesaran tersebut turut akan memanfaatkan Mattel Development and Tooling Sdn. Bhd. (MDT), iaitu kilang kedua Mattel di sini yang dibuka pada 1985, yang juga merupakan fasiliti untuk pembangunan produk, penghasilan model digital, rekaan acuan dan juga pengilangan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025