Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Peugeot 408 2024 dilancar di Malaysia — enjin 1.6L turbo, 218 PS/300 Nm, tiga varian; harga dari RM146k

    Peugeot 408 2024 dilancar di Malaysia — enjin 1.6L turbo, 218 PS/300 Nm, tiga varian; harga dari RM146k

    Stellantis Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi model Peugeot 408 2024 serba baru versi pemasangan tempatan untuk pasaran di sini. Ini sekaligus menjadi model pertama syarikat itu yang kini mengendalikan jenama Peugeot di Malaysia.

    Tiga varian ditawarkan untuk model terbaru ini dengan harga masing-masing seperti berikut: Allure (RM146,055), Premium (RM166,055) dan juga GT (RM196,055). Semua ini merupakan harga atas jalan, belum termasuk insurans.

    Kesemua varian dipadankan dengan enjin PureTech pengecas turbo yang sama, dengan unit 1.6 liter empat-silinder berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm pada 2,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik EAT8 lapan-kelajuan. Janaan kuasanya membolehkan 408 mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

    Peugeot 408 2024 dilancar di Malaysia — enjin 1.6L turbo, 218 PS/300 Nm, tiga varian; harga dari RM146k

    Model ini menggunakan platform EMP2 (Efficient Modular Platform) multi-tenaga dan mempunyai dimensi 4,687mm panjang, 1,859mm lebar dengan tinggi 1,487mm. Dengan jarak roda pula ialah 2,787mm, dan jarak kelegaan tanah setinggi 189mm. Peugeot 408 ini juga tampil dengan rekaan unik ala fastback yang menerapkan elemen garis tajam untu keseluruhan badannya.

    Bahagian depan misalnya penuh dengan rekaan garis tajam berkenaan — termasuk rekaan jalur lampu LED-nya — serta perincian untuk grilnya yang turut dikenakan dalam warna badan. Untuk lampu, 408 dilengkapi dengan unit Peugeot Signature Light serba baru, manakala untuk varian GT ia dilengkapi dengan unit Matrix LED.

    Bahagian belakangnya juga menerapkan rekaan yang sama, dengan elemen tajam serta bahagian bampar yang nampak besar dan menonjol dengan garis dan lekuknya. rekaan lampu terdiri daripada tiga garis berasingan, dan mengisi keseluruhan lebar kenderaan tersebut. Untuk rimnya, varian Allure dilengkapi rim Granite Grey saiz 18-inci, manakala varian Premium menerima rim Granite Black 18-inci. Pelanggan boleh meningkatkan penampilan jentera ini dengan rim Monolithe Black bersaiz 20-inci yang hanya eksklusif untuk varian GT.

    Peugeot 408 2024 dilancar di Malaysia — enjin 1.6L turbo, 218 PS/300 Nm, tiga varian; harga dari RM146k

    Di dalam, ia dilengkapi dengan suasana Peugeot i-Cockpit. Papan pemukanya mempunyai kedudukan corong pendingin yang lebih tinggi untuk aliran udara dan penyejukan kabin yang lebih berkesan. Di depan pemandu pula ada paparan kluster instrumen digital dengan teknologi 3D bersaiz 10-inci untuk GT.

    Bahagian konsol tengan juga ringkas dan kemas dengan kendalian tuil gearnya hanya melibatkan satu sentuhan sahaj. Butang P pula diletakkan secara berasingan, sementara tiga pilihan mod pemanduan disediakan untuk pemandu — Eco, Normal dan Sport.

    Skrin infotainmen bersaiz 10-inci akan menarik perhatian di bahagian tengah, yang turut disudutkan lebih ke arah pemandu. Ia dilengkapi ciri i-Toggles boleh ubah yang bertujuan untuk memberikan pengendalian mudah dan intuitif. Ia adalah “shortcut” kepada pelbagai kawalan sistem, termasuk suhu, radio, tunjuk arah dan lain-lain. Ciri ketersambungan Peugeot i-Connect juga tersedia.

    Peugeot 408 2024 dilancar di Malaysia — enjin 1.6L turbo, 218 PS/300 Nm, tiga varian; harga dari RM146k

    Sebagai varian yang paling tinggi, GT antara lain turut dilengkapi dengan ciri berikut: Lampu utama Matrix LED dengan ciri Automatic Beam; lampu belakang LED bersama 3D ‘Claw Effect’; kluster Meter Digital 3D Quartz ; ciri sentuhan i-Toggles yang boleh dikonfigurasikan; sistem Hi-Fi Premium FOCAL®; kamera 360°; tempat duduk dengan ciri memori untuk pemandu; serta fungsi urutan multi-spot untuk penumpang hadapan dan pemandu.

    Selain itu, tempat duduk pemandu 408 mempunyai larasan kuasa 10-arah dengan dua tetapan memori, manakala penumpang hadapan diberikan enam pilihan tetapan. Kedua-dua tempat duduk tersebut lengkap dengan sistem urutan udara lapan poket bersama lima program yang boleh dipilih. Ciri pemanas juga ada. Khusus untuk GT, ia hadir dengan kerusi balutan kulit Dynamic Black Nappa.

    Untuk pengecasan telefon, satu unit pengecas tanpa wayar diberikan di tengah, serta dua soket USB-C juga tersedia. Perahat lengan dan dua ruang simpanan botol berkapasiti 33 liter juga disediakan.

    Untuk ruang barangan, Peugeot 408 mempunyai ruang dengan kapasiti 536 liter, yang boleh dilanjutkan menjadi 1,611 liter. Untuk varian GT, kerusinya boleh dilipat melalui satu tuil mudah, dan ruang kargo maksimumnya sedikit lebih kecil dengan 1,583 liter — lebihan ruang seluas 36 liter untuk 408 terletak di bahagian bawah but. Pintu ruang kargo juga boleh dibuka tanpa kendalian tangan untuk memudahkan pengguna.

    Bagi aspek keselamatan, ia hadir dengan enam beg udara, ESP serta Active Hood untuk perlindungan pejalan kaki sebagai ciri standard. Varian Premium dan GT turut hadir dengan ciri keselamatan aktif seperti Adaptive Cruise Control dengan Stop/Go, Brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran, pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal siang dan malam (dari kelajuan 7km/j hingga 140km/j), amaran perubahan laluan aktif, amaran kepekaan pemandu, pemantau titik buta jarak jauh, amaran Trafik di belakang, Kamera undur 180° berdefinisi tinggi serta Bantuan parkir 360° dengan 4 kamera berdefinisi tinggi.

    Empat pilihan warna yang disediakan ialah Perla Nera Black, Okenite White, Artense Grey dan Obsession Blue. Tempoh jaminan pengeluar untuk Peugeot 408 2024 ini ialah selama tiga-tahun, ditambah dengan jaminan lanjutan selama empat-tahun atau perbatuan 200,000 km, yang mana dahulu.

    Peugeot 408 GT 2024

    Peugeot 408 2024 di Malaysia

     
     
  • Triumph Speed 400, Scrambler 400 dilancar di M’sia – enjin 398 cc, enam kelajuan, harga RM27k dan RM30k

    Triumph Speed 400, Scrambler 400 dilancar di M’sia – enjin 398 cc, enam kelajuan, harga RM27k dan RM30k

    Selepas tempahannya dibuka sejak November tahun lalu, Triumph Speed 400 dan Scrambler 400 akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia dengan harga masing-masing RM26,900 dan RM29,900, dan penghantaran pertama kepada pembeli dilaksana pada hari sama.

    Keseluruhan bahagian dua motosikal ini adalah serba baru dari Triumph, termasuk enjin, yang dipanggil sebagai siri TR, dengan kapasiti 398 cc. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC ini dipadankan bersama transmisi enam gear untuk menghasilkan kuasa sehingga 40 PS pada 8,000 rpm dan tork 37.5 Nm pada 6,500 rpm – dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya.

    Penampilannya pula mengikut penggayaan model yang lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 dan Scrambler 900/1200, dan mendapat kemasan berkualiti tinggi seperti powdercoat pada perumah enjin, fork anodised warna emas serta cat premium.

    Barangan untuk suspensi secara asasnya adalah sama, iaitu unit fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, tetapi jarak geraknya adalah berbeza dengan Speed 400 menyediakan 140 mm di hadapan dan 130 mm di belakang, manakala Scrambler 400 pula lebih panjang iaitu 150 mm untuk kedua-dua hadapan dan belakang. Dengan tetapan ini, tinggi tempat duduk juga menjadi masing-masing menjadi 790 mm dan 835 mm.

    Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan karekter yang dibawa dan sasaran penggunaannya, bahagian roda mendapat tetapan khas dengan Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300 mm di hadapan, sementara Scrambler 400 pula menggunakan rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320 mm. Saiz rim serta brek belakang kedua-duanya masih adalah sama, iaitu unit 17 inci (lebar 4 mm untuk Speed 400 dan 3.5 mm untuk Scrambler 400) dan cakera 230 mm.

    Sementara Speed 400 dijadikan lebih untuk kegunaan atas jalan biasa, Scrambler 400 pula dipersiapkan dengan kemampuan untuk meredah jalan lebih mencabar dengan tayar Metzeler Karoo berbunga lebih kasar, serta ergonomik yang lebih sesuai seperti pemegang lebih lebar, kedudukan menunggang lebih tegak, pedal brek lebih besar serta peletak kaki lebih mencengkam.

    Meskipun terletak sebagai model permulaan bagi Triumph, Speed 400 dan Scrambler 400 masih mendapat kelengkapan moden seperti semua lampu jenis LED, pendikit throttle-by-wire (tapi tiada mod tunggangan), immobiliser serta panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD.

    Pada bahagian keselamatan, sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman diberikan secara standard. Bagi ABS, hanya pada Scrambler 400 sahaja ia boleh ditutup, manakala untuk kawalan cengkaman, kedua-dua model menyediakan pilihan untuk ditutup secara mudah melalui butang pada pemegang.

    GALERI: Triumph Scrambler 400

    GALERI: Triumph Speed 400

     
     
  • Syarikat penyelenggara jalan diarah bayar ganti rugi RM721k kepada mangsa cedera rempuh jalan rosak

    Syarikat penyelenggara jalan diarah bayar ganti rugi RM721k kepada mangsa cedera rempuh jalan rosak

    Sebuah syarikat penyelenggara jalan diarah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM721,000 iaitu RM352,947.33 untuk ganti rugi khas dan RM368,000 untuk ganti rugi am kepada seorang lelaki yang cedera selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, tiga tahun lalu.

    Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim, Sazlina Safie di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, yang membuat keputusan itu selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan, laporan Berita Harian.

    Razali, 49 tahun, mengalami kecederaan selepas motosikalnya merempuh jalan berlubang berhampiran Taman Kota Masai kira-kira jam 10 malam pada 11 Februari 2021. Beliau memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya akibat kejadian itu.

    Syarikat penyelenggara jalan diarah bayar ganti rugi RM721k kepada mangsa cedera rempuh jalan rosak

    “Mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Feb 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi. Mahkamah mendapati isu jalan berlubang di tempat kejadian telah dibuktikan dan diakui oleh defendan.

    “Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” katanya dalam alasan penghakiman yang disiarkan di laman web kehakiman.

    Untuk pengetahuan anda, pengguna mempunyai hak menuntut ganti rugi am atau khas di mahkamah jika mengalami kecederaan mahupun kenderaan mereka rosak akibat halangan di jalan raya. Ini termasuklah mengalami kemalangan akibat lubang dan halangan seperti besi atau dahan pokok di jalan raya menyebabkan kecederaan mahupun sebarang bentuk kerugian, pengguna boleh menuntut ganti rugi am dan khas daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jalan itu. Anda boleh klik pautan laman web Jabatan Bantuan Guaman untuk mengetahui lebih lanjut mengenai prosedur tuntutan berkenaan.

     
     
  • Chery Tiggo 4 Pro sah akan masuk Malaysia 1H 2025

    Chery Tiggo 4 Pro sah akan masuk Malaysia 1H 2025

    Chery Tiggo 4 Pro kini sah akan masuk pasaran Malaysia, dan SUV segmen B ini akan diletakkan bawah Omoda 5 jika melihat kepada saiz serta harganya. Perkara ini diberitahu sendiri oleh Chery Malaysia semasa acara persidangan antarabangsa kepada wakil kami dan ia akan tiba pada separuh pertama tahun 2025.

    Ketibaan Tiggo yang lebih kecil ini sebenarnya bukanlah satu kejutan memandangkan ia sudah pernah dipertontonkan di Malaysia dan termasuk dalam rancangan produk Chery Malaysia sejak tahun 2022 lagi. Namun, itu beberapa tahun lepas, dan sekarang Tiggo 4 Pro sudah berbeza dan menerima pelbagai peningkatan.

    Tiggo 4 Pro versi facelift 2024 mempunyai muka yang lebih garang dengan gril lebih besar, berpetak serta mempunyai kemasan krom di tengahnya. Lampu utamanya lebih nipis, sementara DRL pula dijadikan berbentuk menegak di bahagian bucu bampar.

    Chery Tiggo 4 Pro sah akan masuk Malaysia 1H 2025

    Profail serta rekaan bahagian belakang Tiggo 4 Pro juga sekarang nampak lebih sama dengan Tiggo yang lebih besar. Lampunya kini bersambung dari kiri ke kanan dan tempat nombor plet berada di kedudukan lebih tinggi. Rim walaupun nampak kecil, sebenarnya adalah unit 17 inci dengan tayar 215/60.

    Bahagian dalam Tiggo 4 ini menjadi antara kekuatan baginya yang terletak dalam segmen B, dengan mendapat skrin bersambung seperti SUV lain Chery serta corong pendingin hawa yang kelihatan tersembunyi dengan kemasan garis melintang sepanjang papan pemuka. Tombol gear kini lebih pendek dan kecil.

    Tiggo 4 Pro dipacu oleh enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 147 PS/210 Nm (sedikit lebih rendah berbanding Omoda 5), dan di pasaran tertentu ia boleh didapati dengan kotak gear manual.

    Melalui Tiggo 4 Pro ini, Chery mahu memberikan saingan kepada Perodua Ativa dan Honda WR-V yang masing-masing berharga RM63k ke RM73k, dan RM90k ke RM108k. Yang pasti, Tiggo 4 Pro ini akan lebih murah berbanding Omoda 5 yang dijual pada harga RM109k, jadi bermakna sekitar RM80k-RM90k? Anda berminat dengan harga sebegitu?

     
     
  • Ng Aik Sha catat sejarah takluk Kejohanan Auto Gymkhana Asia dan TIGP yang berlangsung di Taiwan!

    Ng Aik Sha catat sejarah takluk Kejohanan Auto Gymkhana Asia dan TIGP yang berlangsung di Taiwan!

    Pelumba wanita negara, Ng Aik Sha mencatatkan kemenangan besar dengan menakluk acara Taipei International Gymkhana Prize (TIGP) yang berlangsung di Taiwan pada 20 dan 21 April lalu dengan menguasai Kejohanan Asia Auto Gymkhana (AAGC).

    Ng atau lebih dikenali sebagai Akisha menjuarai AGCC bagi kategori wanita, dan juga menjadi juara dalam kategori beregu campuran untuk TIGP dan AAGC dengan bergandingan bersama Amaresh Malakar Choudhury. Ini membolehkan pasukan Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan untuk AAGC 2024.

    “Bertanding di TIGP dan AAGP merupakan pengalaman yang mengujakan dan mencabar. Keterujaan berlumba turut ditambah dengan pengalaman unik memandu pada sebelah kiri, mengikut undang-undang trafik Taipei. Menyesuaikan diri dengan aspek yang asing ini menambahkan kerumitan kepada persaingan yang sememangnya sengit. Namun, cabaran ini memberikan lebih kepuasan bagi mencapai kejayaan di pentas global,” kata Akisha.

    Di Malaysia Akisha merupakan antara pelumba yang bersaing sengit dalam siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF), pelbagai kejohanan Gymkhana tempatan dan juga baru sahaja dinobatkan sebagai juara kelas P10 pada Kejohanan Rali Sprint 2023 pada Disember tahun lalu.

    TIGP merupakan siri perlumbaan Gymkhana yang telah mula diadakan sejak 2019, dan kini ia dikenali sebagai perlumbaan auto Gymkhana premier antarabangsa serta menarik penyertaan dari 16 negara seluruh dunia. Bagi edisi tahun ini pasukan Malaysia berhadapan dengan cabaran sengit dari pasukan seperti Jerman, Slovakia dan Indonesia.

    Menurut pengurus pasukan Malaysia Jagjeet Singh, penyertaan pasukannya di TIGP kali ini adalah sebagai salah satu persediaan untuk bertanding di FIA Motorsport Games 2024 yang akan berlangsung di Sepanyol bermula 23 hingga 27 Oktober nanti.

     
     
  • Chery M’sia bakal ada kilang CKD di Shah Alam pada Q3 2024 – pemasangan di Inokom Kulim diteruskan

    Chery M’sia bakal ada kilang CKD di Shah Alam pada Q3 2024 – pemasangan di Inokom Kulim diteruskan

    Chery jenama automototif yang pantas berkembang di Malaysia bakal memiliki kilang sendiri di negara ini. Terletak di Shah Alam, Selangor, kilang ini disasarkan bakal sedia beroperasi pada suku ketiga (Q3) 2024.

    Perkara ini didedahkan oleh Chery Malaysia kepada wakil paultan.org ketika di ibu pejabat jenama ini di Wuhan, China, yang menganjurkan acara 2024 Chery International Business Conference untuk wakil pengedar dan pihak media.

    Buat masa ini, pemasangan unit CKD Chery dijalankan di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Dua model dipasang di sana iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Fasiliti ini berkongsi dengan beberapa jenama lain dan kapasiti tambahan sedang dirundingkan, tetapi akan mengambil sedikit masa untuk direalisasikan.

    Chery Malaysia memberitahu kami bahawa disebabkan permintaan yang baik untuk modelnya, pengeluaran kini berada pada kapasiti penuh di Kulim dan kilang Shah Alam yang akan datang akan bantu memenuhi permintaan, bukan menggantikan pengeluaran di Kulim.

    Chery Shah Alam juga akan melancarkan model yang akan datang untuk pasaran Malaysia, mungkin termasuk model peringkat permulaan ‘My first Chery’. Sub-jenama Chery iaitu Jaecoo juga sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan SUV J7 versi CKD. Chery turut berkata rancangannya juga untuk menjalankan kerja-kerja R&D di Shah Alam.

     
     
  • Laluan dua hala di persimpangan Jln Sultan Ismail-Jln Raja Chulan hingga Jln Bukit Bintang mulai 1 Mei 2024

    Klik untuk besarkan

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan akan melaksanakan penukaran laluan daripada sehala kepada dua hala di persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Raja Chulan hingga persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Bukit Bintang mulai 1 Mei 2024.

    Bagi pelaksanaan laluan dua hala ini, terdapat lorong sedia ada yang bakal ditutup iaitu susur sebelum Menara AIA dan juga susur sebelum Pavilion Bukit Bintang dari Jalan Sultan Ismail ke Jalan Bukit Bintang. Sila rujuk gambar rajah di atas sebagai panduan pelaksanaan laluan dua hala ini.

    Buat masa ini, DBKL tidak memaklumkan adakah pelaksanaan laluan dua hala ini akan dilakukan secara konsisten dan tetap atau pun ujian percubaan dalam tempoh tertentu.

     
     
  • Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Susulan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur semalam menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh sebuah trak pikap yang berhenti mengejut, polis mengesahkan bahawa seorang wanita yang menyebabkan insiden itu berlaku sudahpun ditahan, lapor Bernama.

    Kemalangan tersebut disahkan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Lanchang, Pahang pada pukul 4.45 petang semalam. Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu sebuah SUV Mitsubishi Pajero Sport telah berhenti di tepi jalan dan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.

    “Akibat perlakuan wanita itu, sebuah pikap telah membrek secara mengejut. Dalam masa sama datang sebuah motosikal dari arah belakang terus merempuh bahagian belakang pikup tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dan menambah bahawa penunggang motosikal itu terjatuh di lorong laju manakala motosikal mangsa tercampak ke atas bahagian belakang pikap.

    Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Mazlan turut menyatakan bahawa hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu wanita tersebut yang berhenti di bahu jalan dan melintas jalan. Beliau turut mengesahkan bahawa wanita tersebut direman selama dua hari, manakala penumpang Pajero Sport yang bersamanya, iaitu seorang lelaki warga China berusia 35 tahun turut direman selama tiga hari di Pejabat Trafik Temerloh.

    Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 itu merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mazlan menyatakan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

     
     
  • Persimpangan Ijok-Puncak Alam di Lebuhraya LATAR ditutup pada 29-30 April dan 2-3 Mei, 12.01 pagi-5 pagi

    Klik untuk besarkan

    Pengendali Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) mengumumkan bahawa penutupan jalan dari Persimpangan Ijok ke Persimpangan Puncak Alam akan dilaksanakan pada 29 hingga 30 April dan 2 hingga 3 Mei 2024, dari jam 12.02 pagi hingga 5 pagi. Di mana penutupan jalan tersebut melibatkan laluan dari KM0.0 hingga KM12.3 bagi kedua-dua arah di lebuhraya berkenaan.

    Ia adalah untuk memberi laluan pelaksanaan kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan (beam) bagi menyiapkan persimpangan ‘Eco Business Park V’ oleh pihak Eco World Development Group Berhad.

    Sepanjang penutupan itu, trafik dari arah Kuala Lumpur/Rawang/LATAR akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor melalui Persimpangan Puncak Alam untuk ke Ijok/Kuala Selangor/Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) manakala trafik dari arah Puncak Alam menghala ke Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor.

    Bagi trafik dari arah Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) pula akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor untuk ke Kuala Lumpur/Rawang. Papan tanda arah sementara juga akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi memberi panduan kepada pengguna.

    “Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda arah trafik sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan. Pihak kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi,” kata pengendali LATAR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) berhasrat untuk melaksanakan projek perkhidmatan KTM Komuter di bandaraya ini bagi mengintegrasikan dengan perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link), laporan Bernama.

    Menurut Menterinya, Anthony Loke, langkah memperkenalkan KTM Komuter itu adalah satu keperluan bagi menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar mudah diakses pengguna yang tinggal di pinggir bandaraya. Perkhidmatan RTS Link dijangka bakal beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2027.

    Dalam masa yang sama, kerajaan juga berhasrat menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar sebagai hab pengangkutan awam bersepadu sekali gus ia dihubungkan pelbagai mod pengangkutan. Selain itu, stesen ini juga menempatkan stesen Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-JB.

    “Perkhidmatan komuter sudah ada di Kuala Lumpur dan utara, di selatan belum ada. Kita (bakal) ada ETS antara Gemas dan Johor Bahru, kita sedang berbincang bagaimana untuk mengintergrasikan (laluan ETS) dengan RTS. Jadi, orang yang tinggal di Senai, Kluang dan Kulai boleh menggunakan perkhidmatan komuter hingga ke Bukit Chagar, kemudian mengambil RTS ke Singapura.

    Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    “Apabila landasan ETS antara Gemas dan Johor Bahru siap, kita tidak mahu ia hanya digunakan untuk satu perkhidmatan sahaja, alangkah baiknya jika digunakan untuk komuter sekali. Perkara ini sedang diteliti, kita akan kaji dengan mendalam untuk perkenalkan perkhidmatan ini di Johor Bahru,” katanya.

    Menurut Loke, setakat 31 Mac 2024 kerja pembinaan infrastruktur rel RTS Link mencapai 70.45%, manakala pembinaan superstruktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta penyuraian infrastruktur adalah 7.02%.

    “Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sedang membina kemudahan parkir bertingkat ‘Park ‘N Ride’ yang baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link merangkumi 1,000 ruang tempat letak kenderaan.

    “Selain itu, sebanyak 700 ruang tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link akan disediakan di Coronation Square yang terletak hanya 400 meter dari Bukit Chagar. Ini bermaksud sejumlah 1,700 ruang parkir disediakan untuk penumpang RTS Link kelak,” katanya.

    RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau 4KM dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

     
     
  • Royal Enfield Bullet 350 dilancarkan di M’sia – RM24k

    Royal Enfield Bullet 350 dilancarkan di M’sia – RM24k

    Royal Enfield hari ini melancarkan model Bullet 350 baru untuk pasaran Malaysia, dengan diperkenalkan dalam dua versi iaitu Bullet Standard dalam pilihan warna hitam atau emas, pada harga RM23,500 dan Bullet Black Gold berwarna hitam matte, pada harga RM23,900 (tidak termasuk insurans).

    Model yang tiba di Malaysia ini adalah daripada versi yang lebih tinggi, bermakna ia datang dengan brek cakera hadapan dan belakang (300 mm, 270 mm), serta sistem ABS dual channel secara standard. Rim menggunakan saiz 19 inci (tayar 100/90) di hadapan, dan 18 inci di belakang (tayar 120/80), dan ia dipegang masing-masing oleh fork 41 mm dan dua penyerap hentak.

    Pada Bullet 350 ini, antara peningkatan utama yang dibuat berbanding Bullet sebelumnya adalah enjin baru, iaitu dari siri J dengan kapasiti 350 cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan SOHC. Selain mampu memberikan tork lebih baik, enjin yang berkuasa 20.2 hp dan 27 Nm ini juga diberikan dengan counter balancer serta masih menghasilkan bunyi unik sebuah Bullet. Ia dipadankan bersama transmisi lima kelajuan.

    Panel meter menggunakan unit gabungan analog dan digital, sementara tempat duduk pula dibentukkan semula untuk menjadi lebih selesa. Demi memudahkan pengguna, model ini sekarang datang dengan pengecas USB pada bahagian pemegang dan tangki bahan api mempunyai kapasiti 13 liter.

    Perbezaan antara versi Standard dengan Black Gold boleh dilihat pada kemasan cat serta lencana, dan Black Gold juga menerima enjin serta ekzos yang digelapkan. Untuk menyesuaikan motosikal dengan penggunaan, pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi keluaran Royal Enfield untuk Bullet 350.

     
     
  • Toyota catat rekod jualan tahun fiskal tertinggi dalam sejarah pada 2023; lepasi 10 juta unit buat pertama kali

    Toyota catat rekod jualan tahun fiskal tertinggi dalam sejarah pada 2023; lepasi 10 juta unit buat pertama kali

    Selepas tamat tahun kewangan 2023 pada hujung Mac lalu, Japan Times yang memetik sumber dari Bloomberg melaporkan bahawa Toyota telah sekali lagi mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah, dan kali ini buat pertama kali ia berjaya menjual lebih dari 10 juta unit kenderaan setahun.

    Laporan itu menyebut berdasarkan data yang disiarkan pada Khamis, jualan global Toyota termasuk dua jenama di bawah naungannya iaitu Daihatsu dan Hino telah berjaya menjual sebanyak 11.1 juta unit kenderaan diseluruh dunia sepanjang tahun fiskal 2023 (Mac 2022-Mac 2023), atau naik sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.

    Akhbar itu menyatakan bahawa kejayaan ini didorong oleh faktor isu bekalan cip semikonduktor yang kini semakin pulih. Ini membolehkan produksi di Amerika Utara, Eropah dan India naik 4.5% kepada 11.2 juta bagi memenuhi permintaan pasaran.

    Produksi di Jepun juga mencatatkan angka yang baik diperingkat awal, namun ia terganggu apabila Daihatsu dikesan terpalit dengan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang menyaksikan produksinya di negara itu terpaksa dihentikan pada Disember lalu.

    Jualan Toyota di China juga naik sebanyak 1.4%, walaupun ia kini disaing hebat oleh jenama tempatan yang sedang meningkat naik khususnya dalam pasaran EV iaitu BYD. Toyota juga dilaporkan telah berjaya menjual sebanyak 116,654 unit EV untuk peringkat global.

    Divisi mewah Toyota iaitu Lexus turut mencatatkan peningkatan prestasi di mana jualannya meningkat sebanyak 7.3%, manakala produksinya pula naik sebanyak 9.2%

     
     
  • Seorang pemilik stesen minyak di Rawang didenda RM30k kerana jual RON95 kepada kenderaan Thai

    Seorang pemilik stesen minyak di Rawang didenda RM30k kerana jual RON95 kepada kenderaan Thai

    Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap seorang pemilik sebuah stesen minyak kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand, tiga bulan lalu, laporan Bernama.

    Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Naziruddin Abu Hassan, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Di mana Mohammad Naziruddin didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel, gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menjual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada kenderaan berkenaan, yang melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Rawang, Selangor jam 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) acapkali mengeluarkan peringatan kepada para pengusaha stesen minyak di negara ini agar mematuhi larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan asing. Ia adalah bagi mengelak berlaku ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

     
     
  • Beijing 2024: Mazda EZ-6 diperkenalkan sebagai EV bagi ganti Mazda 6 di China – PHEV turut ditawarkan

    Beijing 2024: Mazda EZ-6 diperkenalkan sebagai EV bagi ganti Mazda 6 di China – PHEV turut ditawarkan

    Kelahiran Mazda EZ-6, sedan baharu yang terhasil dari kerjasama antara Mazda dan Changan ini adalah bagi menggantikan model Mazda 6 di China. Setakat ini, tidak dapat dipastikan adakah ia juga akan dipasarkan ke negara lain, termasuk untuk versi pemanduan sebelah-kanan.

    EZ-6 ini berkongsi platform dengan Deepal SL03 (satu lagi EV dari sub-jenama Changan) tetapi memiliki rekaan hadapan dan belakang yang unik. Penampilannya cukup terserlah dengan rekaan gril yang lebih besar, dan disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, sementara lampu utamanya diposisikan sedikit ke bawah.

    Terdapat kepingan menegak pada sisi bampar, sementara corong intake berbentuk trapezoidal berada di apron bawah. Di belakangnya, kelihatan lampu dan palang lampu yang tidak terdapat pada SL03, tetapi lekuk bampar belakangnya masih dikekalkan.

    Bagi dimensinya, EZ-6 berukuran 4,921 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,485 mm tinggi dan jarak rodanya mencecah 2900 mm. Ini menjadikan ia 56 mm lebih panjang, 50 mm lebar lebar dan 35 mm lebih tinggi berbanding model semasa Mazda 6 sedan, juga mempunyai jarak roda yang lebih panjang sebanyak 70 mm.

    Di dalamnya, EZ-6 menerima rekaan papan pemuka yang lebih minimalis, dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci yang diposisikan di atas corong udara tengah. Konsol tengah juga direka ringkas dan mempunyai tempat letak cawan dan storan yang sedikit kecil. Sementara roda stereng dan kluster instrumen digital 10.2-inci pula memang mirip dengan SL03.

    Spesifikasi penuh masih belum didedahkan, namun EZ-6 juga seperti SL03 yang akan ditawarkan dengan dua penjana kuasa. Kalau seperti SL03, ia diberikan larasan elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik yang dipasang di belakang dengan hamburan kuasa sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 258 PS (255 hp atau 190 kW). Kedua-duanya dengan puncak tork cecah 320 Nm. Pilihan bateri sama ada pek 58.9 kWh atau 66.8 kWh yang menawarkan jarak gerak antara 530 km hingga 610 km mengikut standard CLTC.

    Selain itu, ia juga menawarkan versi plug-in hybrid (PHEV) yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris petrol, sama ada dengan bateri 19 kWh atau 28.4 kWh, dan motor elektrik sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 238 PS (235 hp atau 175 kW), dengan puncak tork juga 320 Nm.

    Pek bateri yang lebih kecil menawarkan 135 km dalam mod EV sepenuhnya dan hingga 1,140 km dengan mod hibrid. Sementara bateri yang lebih besar pula menawarkan 200 km dalam mod EV sahaja, atau 1,200 km dalam mod hibrid. Secara rasminya, Mazda berkata model EV ini akan mempunyai jarak gerak kira-kira 600 km (mungkin mengikut piawaian CLTC), manakala versi PHEV dijangka mempunyai jarak lebih 1,000 km.

    EZ-6 ini merupakan model EV ketiga jenama ini selepas MX-30 dan CX-30 EV yang dihasilkan dengan kerjasama antara Mazda-Changan. Adakah ia cukup menarik sekiranya turut dipasarkan ke negara lain?

     
     
  • Hentian Sebelah Lagong arah utara di Lebuhraya GCE ditutup 4 bulan mulai 29 April untuk kerja baikpulih

    Hentian Sebelah Lagong arah utara di Lebuhraya GCE ditutup 4 bulan mulai 29 April untuk kerja baikpulih

    Pengendali Lebuhraya Guthrie (GCE), Prolintas, memaklumkan bahawa Hentian Sebelah Lagong arah utara di lebuhraya berkenaan ditutup sementara selama empat bulan bermula 29 April 2024 (Isnin ini) untuk kerja-kerja baikpulih.

    “Susulan itu, semua kemudahan seperti tandas dan surau akan ditutup sementara dalam tempoh berkenaan. Kerja-kerja membaikpulih ini adalah komitmen berterusan Prolintas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya.

    “Sebagai alternatif, pengguna Lebuhraya GCE disarankan untuk menggunakan kemudahan di hentian yang berdekatan seperti R&R Rawang Arah Utara (PLUS) atau R&R Kundang Arah Barat (LATAR),” kata Prolintas dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025