Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran baharu melalui penggunaan kad debit atau kredit di semua kaunter khidmat pelanggan sejak 30 April lalu.

    Menurut Rapid Rail, pengguna LRT, MRT, Monorel dan BRT kini mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan kad debit atau kredit bagi transaksi membeli token, menambah nilai kad Touch ‘n Go, dan melanggan pas perjalanan My50 atau MyCity.

    Mod pembayaran baharu ini turut tersedia untuk Kaunter Pendaftaran Kad Konsesi Rapid KL di Hab Pasar Seni dan Stesen MRT Conlay.

    Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran kad debit/kredit di kaunter LRT, MRT, Monorel dan BRT

    “Ia adalah platform tambahan dari pembayaran sedia ada di kaunter stesen iaitu secara tunai dan melalui kod QR. Pembelian token juga masih boleh dilakukan di mesin tiket stesen.

    “Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembelian untuk pengguna Rapid KL. Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau untuk membawa wang tunai atau mencari mesin bank (ATM) kerana ia dapat memberi transaksi yang lebih selamat dan lancar,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, pengenalan mod pembayaran baharu ini sejajar dengan komitmen Rapid Rail untuk sentiasa menambahbaik sistem pembelian yang sedia ada dan memenuhi keperluan pengguna kerana ia dapat memberi pengalaman positif kepada penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Rapid KL.

    Sehubungan itu, Rapid Rail juga menggalakkan pengguna untuk memanfaatkan sepenuhnya mod pembayaran baharu ini supaya mereka dapat merasai kemudahan baru yang ditawarkan ini.

     
     
  • Jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat sudah dibuka semula – untuk kenderaan tidak melebihi 20 tan

    Jambatan Bailey di Jalan Kuantan-Segamat sudah dibuka semula – untuk kenderaan tidak melebihi 20 tan

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan telah memaklumkan bahawa Jambatan Panel Keluli Bermodular (Jambatan Bailey) di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat telah pun dibuka semula sejak jam 4 petang semalam. Sebelum ini, Laluan FT 12, Jalan Kuantan-Segamat ditutup bagi semua jenis kenderaan di Seksyen 102 (KM 63 Berhampiran Kawasan Burung Unta) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan Jambatan Bailey.

    Pada awalnya ia diumumkan tutup sehingga 6 Mei ini, namun kerja penyelenggaraan Jambatan Bailey siap sepenuhnya bagi memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya melaluinya.

    “Jambatan ini dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 20 tan. Pengguna jalan raya ini dinasihat berhati–hati ketika melalui laluan berkenaan dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan,” menurut JKR.

    Musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, Laluan FT 12 ini menjadi ‘kecaman’ pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh kesesakan sejauh hampir 27 km disebabkan kerosakan pada Jambatan Bailey, selain dikatakan jalan menjadi mendap dan berlekuk tinggi membuatkan para pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan. Ada pengguna laluan berkenaan berkata, mereka terpaksa mengambil masa antara dua hingga ke tiga jam bagi melepasi kawasan berkenaan.

    Sebelum itu, pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di kawasan terbabit sehingga menyebabkan jalan berkenaan berlubang dan hampir putus. Selepas selesai pembaikian, pada 27 Januari 2024, jambatan itu kembali dibuka secara dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 km/j.

     
     
  • Kedah rancang bina sistem LRT guna teknologi levitasi magnet di Langkawi – Dari Kuah ke Chenang

    Kedah rancang bina sistem LRT guna teknologi levitasi magnet di Langkawi – Dari Kuah ke Chenang

    Kerajaan negeri Kedah merancang untuk membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan teknologi levitasi magnet di Langkawi. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, semalam telah berlangsungnya majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan Royal Eco Train Development (RETD) dari Korea Selatan.

    Majlis menandatangani diwakili CEO RETD Co Ltd, Lee Changwook dengan Mohd Azad Jasmi selaku CEO PKB, disaksikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Selain RETD, projek ini juga mendapat kerjasama dari syarikat Q-Plex untuk mengkaji sudut teknikal, geografi dan impak projek itu kepada ekonomi setempat.

    Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, YB Dr Haim Hilman Abdullah berkata, MoU berkenaan merupakan satu inisiatif yang diusahakan oleh PKB dalam membina jaringan dengan syarikat-syarikat antarabangsa bagi pembangunan negeri Kedah. Ia juga sejajar dengan pembangunan Langkawi secara keseluruhannya sekaligus menyokong agenda KEDAH2035.

    Kedah rancang bina sistem LRT guna teknologi levitasi magnet di Langkawi – Dari Kuah ke Chenang

    Jelasnya, usaha itu akan membawa kepada satu kajian menyeluruh oleh RETD untuk pembangunan infrastruktur di Langkawi. Walau pun tidak mengulas lanjut mengenai rancangan ini, namun difahamkan sistem LRT berkenaan akan bermula di Terminal Feri Kuah hingga ke Pantai Chenang.

    “MoU ini adalah sebahagian daripada agenda ekonomi negeri seperti yang digagaskan oleh Menteri Besar Kedah dan syarikat Korea itu adalah syarikat yang berpengalaman dalam pembangunan infrastruktur. Kita mahu infrastruktur dibangunkan dan pada masa yang sama hub komersial turut dibangunkan. Inilah model yang sedang dikaji oleh RETD bagi membolehkan satu bentuk pembangunan baharu dapat dilakukan di negeri Kedah,” katanya.

    Tambah beliau lagi, berdasarkan kepakaran yang dimiliki syarikat Korea itu dijangkakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan mendapatkan gambaran sepenuhnya potensi yang ada di Langkawi bagi langkah seterusnya.

    Kedah rancang bina sistem LRT guna teknologi levitasi magnet di Langkawi – Dari Kuah ke Chenang

    Menurutnya, RETD merupakan sebuah syarikat yang mempunyai reputasi yang tinggi dan kerajaan negeri juga ingin membawa teknologi yang digunakan oleh Korea membangunkan bandar mereka.

    “Pada dasarnya kita akan melihat daripada jeti Kuah sampai ke destinasi pelancongan di Langkawi. Tapi ia akan berfasa-fasa. Akhirnya kita mempunyai rangkaian sistem yang terbaik di Asia dengan hasil pembangunan yang terancang ini.

    “Kita nak bawa perubahan besar ke pulau langkawi untuk meletakkan Langkawi kekal menjadi salah satu pulau terbaik di dunia,” katanya lagi

     
     
  • Gandar belakang tertanggal: Chery Malaysia panggil semula 600 unit Omoda 5 berpotensi terjejas

    Gandar belakang tertanggal: Chery Malaysia panggil semula 600 unit Omoda 5 berpotensi terjejas

    Susulan isu kimpalan gandar belakang yang tertanggal pada sebuah Chery Omoda 5 berlaku hujung minggu lalu, Chery Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan memanggil semula 600 unit model tersebut. Kenyataan rasmi yang dikeluarkan adalah seperti berikut:

    Gandar belakang tertanggal: Chery Malaysia panggil semula 600 unit Omoda 5 berpotensi terjejas

    Klik untuk besarkan

    Rumusannya, Chery Malaysia sudahpun menggantikan unit gandar belakang baharu untuk unit yang terlibat dalam insiden tempoh hari. Bukan itu sahaja, syarikat itu juga telah menghubungi vendor yang membekalkan komponen tersebut dan menjalankan analisis terperinci.

    Hasilnya syarikat berkenaan mendapati 600 unit Omoda 5 dalam satu kumpulan produksi mungkin berpotensi terjejas kerana masalah yang sama. Oleh itu, Chery Malaysia akan menghubungi kesemua pemilik Omoda 5 tersebut berdasarkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) bagi membolehkan setiap unit yang berpotensi bermasalah dapat diperiksa semula.

    Malah untuk pemilik Omoda 5 yang gusar sama ada unit mereka terlibat atau tidak dalam panggilan semula ini, Chery Malaysia turut akan menyediakan satu laman web bagi memudahkan pemilik-pemilik Moda 5 membuat semakan.

    Isu ini telah hangat diperkatakan oleh warga net selepas pemilik Omoda 5 berkenaan memuatnaik gambar-gambar insiden berkenaan di akan Facebook miliknya Ahad lalu. Menurut hantaran yang dibuat, sambungan pada sebelah kiri gandar belakang tersebut telah tertanggal sendiri ketika SUV itu dipandu.

     
     
  • KTM Komuter Utara tawar tambang percuma dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth pada 4-5 Mei ini

    KTM Komuter Utara tawar tambang percuma dari Padang Besar dan Ipoh ke Butterworth pada 4-5 Mei ini

    Sempena Program Madani Rakyat Zon Utara yang bakal berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada hujung minggu ini, KTM Berhad (KTMB) menawarkan tambang percuma untuk semua penumpang KTM Komuter Utara.

    Menurut KTMB, tambang percuma tersebut untuk semua pengguna KTM Komuter Utara dari laluan Padang Besar dan Ipoh ke Stesen Butterworth sahaja pada 4 hingga 5 Mei ini.

    “Tambang percuma ini boleh dinikmati dengan semua mod pembelian tiket KTM Komuter iaitu KTM Wallet, kad Komuter Link, tiket QR, Touch ‘n Go, kad debit dan juga kad kredit,” kata KTMB menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.

    Dalam acara yang sama juga, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menawarkan diskaun saman sebanyak 50% untuk kesalahan trafik terpilih. Kaunter saman trafik akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 4 petang di tapak acara berkenaan.

    Jadi, penduduk sekitar Ipoh dan Padang Besar juga boleh mengambil kesempatan ini untuk melangsaikan samna trafik tertunggak di samping menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan menerusi Program Madani Rakyat Zon Utara ini. Jom naik KTM Komuter beramai-ramai!

     
     
  • PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

    PANDU UJI: Toyota Vios 1.5 G 2023 – guna platform DNGA, mampu atasi ‘Vios asli’ generasi sebelum ini?

    Toyota Vios generasi keempat membuat kemunculan sulung global pada Ogos 2022, dan kemudian mendarat di Malaysia kira-kira 7 bulan selepas itu. Model generasi baharu ini menggantikan Vios generasi ketiga yang telah diperkenalkan sejak 2013, dan menerima beberapa facelift bagi membolehkan ia dijual dalam pasaran selama lebih 10 tahun.

    Bagi model generasi keempat ini, Toyota memanfaatkan kerjasama dengan anak syarikatnya iaitu Daihatsu yang telah ditandatangani sejak 2016, di mana pakar penghasilan model K-Car itu akan membantu Toyota membangunkan model-model kompak bagi pasaran penting baharu termasuk Asia Tenggara.

    Jadi adakah model generasi baharu ini dapat menggantikan model asli keluaran Toyota yang mampu dijual selama satu dekad dengan relevan serta tanpa masalah? Mari ikuti ulasan pandu uji kami terhadap Vios ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Hujan lebat petang ini akibatkan banjir di beberapa kawasan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur

    Hujan lebat petang ini akibatkan banjir di beberapa kawasan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur

    Hujan lebat di Lembah Klang petang ini telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan. Trafik Radio Astro melaporkan air naik di beberapa kawasan di Petaling Jaya, Selayang, Gombak dan Kuala Lumpur.

    Gambar yang dikongsikan oleh Jabatan Penerangan WPKL di Facebook juga menunjukkan kawasan di sekitar OUG dan Kuchai Lama agak teruk terjejas, dengan air naik jelas kelihatan di Jalan Awan Besar, Jalan Kuchai Lama dan susur masuk ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE). Ini menjadikan aliran trafik perlahan di semua kawasan terlibat.

    Jika anda ingin memandu, rancang dulu laluan yang terbaik dan rujuk aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk mendapatkan maklumat semasa. Jika boleh, tangguhkan dahulu perjalanan anda untuk mengelakkan diri terperangkap dalam kesesakan trafik dan banjir tersebut.

    Selain itu, jangan lupa untuk mengambil pelindungan insurans daripada bencana alam untuk kenderaan anda. Sekiranya kenderaan anda terlibat dalam keadaan sedemikian, sekurang-kurangnya beban kewangan akan sedikit lebih ringan — dan tambahan kos yang terlibat juga tidak terlalu besar berbanding kos baik pulih kenderaan akibat banjir.

    Jabatan Statistik Malaysia menyatakan tahun lalu bahawa kerugian kenderaan akibat banjir pada 2022 adalah bernilai RM18.8 bilion. Dan, selain kos kewangan, kenderaan yang ingin dibaik pulih selepas banjir memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan.

    Jadi, jangan lupa untuk mengambil perlindungan insurans khas untuk kereta anda akibat bencana alam.

     
     
  • Jaecoo J6 sah masuk Malaysia – EV versi pemanduan kanan akan dibawa ke Malaysia Autoshow Mei ini

    Jaecoo J6 sah masuk Malaysia – EV versi pemanduan kanan akan dibawa ke Malaysia Autoshow Mei ini

    Semasa berada di China, rakan sekerja kami sempat mendekati Jaecoo J6, iaitu sebuah SUV elektrik penuh (EV) yang juga dijual di negara itu menggunakan nama iCar 03. iCar ini adalah satu lagi jenama di bawah Chery.

    Menariknya, SUV ini sekarang sudah disahkan akan dibawa ke Malaysia, dan model pemanduan sebelah kanan akan dipamerkan di acara Malaysia Autoshow bulan hadapan. Bagi yang mencari SUV berbentuk kotak dan ranggi, ia mungkin boleh dijadikan sebagai pilihan.

    Berkenaan saiznya, J6 mencatat panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm dan tinggi 1,715 mm. Jarak rodanya boleh dikatakan panjang bagi sebuah SUV saiznya, dengan catatan 2,715 mm. Sebagai perbandingan, ia sedikit pendek berbanding J7 (4,500 mm), tetapi J6 adalah lebih lebar (+45 mm) dan lebih tinggi (+35 mm).

    Apabila dijual dengan nama berbeza, model ini turut menerima perincian rupa yang lain, dengan terdapat perbezaan pada gril (logo i menyala) serta kotak simpanan di belakang, antara J6 dan 03. Model yang akan dipamerkan di Malaysia diberitahu akan mempunyai kotak belakang tersebut, bersama gril iCar 03.

    Di China, iCar 03 ditawarkan dalam pilihan tetapan motor elektrik dengan pacuan dua roda belakang atau semua roda. Menurut laporan media tempatan China, versi dua motor boleh menghasilkan kuasa sehingga 279 PS, boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan mencapai kelajuan 150 km/j. Dengan penggunaan bateri lithium iron phosphate (LFP) 69.8 kWh, jarak geraknya boleh mencapai 501 km (CLTC).

    Kelengkapan lain yang ada pada J6 adalah seperti pintu ruang barangan belakang buka ke tepi, pembuka pintu sama rata dengan badan, skrin sesentuh untuk infotainmen yang besar, panel instrumen digital bersepadu, pembuka pintu elektrik serta pemilih mod pemanduan kristal. Turut disediakan adalah panel solar atas bumbung yang boleh membantu mengecas bateri kenderaan serta kamera ADAS daripada DJI.

    GALERI: Jaecoo J6 dan iCar 03 di China

     
     
  • Jetour bakal tampil perdana di M’sia bulan depan — Dashing, SUV 7-tempat duduk CKD dilancar H2 2024

    Jetour bakal tampil perdana di M’sia bulan depan — Dashing, SUV 7-tempat duduk CKD dilancar H2 2024

    Satu lagi jenama kenderaan dari China akan diperkenalkan di Malaysia, dikenali dengan nama Jetour. Ada dua modelnya yang dijangka akan dipamerkan sempena pengenalan tersebut — Dashing dan SUV Jetour 7-tempat duduk. Kedua-dua model berkenaan ketika ini bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun in dalam bentuk CKD.

    Jetour merupakan sub-jenama kepada Chery selain Jaecoo yang sudah berada di Malaysia. Syarikat ini sudah membuka pejabatnya di Malaysia beberapa bulan lalu, dan akan beroperasi secara berasingan daripada Chery Malaysia dengan pasukannya sediri yang khusus — serta akan bersaing juga dengan dua jenama itu.

    Dashing merupakan SUV lima-tempat duduk yang menjadi model pertama dibangun menggunakan platform Kunlun daripada pengeluarnya itu. Mempunyai ukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,770 mm. Saiznya berada di antara Honda HR-V dan CR-V.

    Jetour bakal tampil perdana di M’sia bulan depan — Dashing, SUV 7-tempat duduk CKD dilancar H2 2024

    Di China, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin turbocas petrol empat-silinder sebaris. Yang pertama ialah unit 1.5 liter dengan janaan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 230 Nm tork yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar enam-kelajuan, pacuan roda depan. Kedua ialah unit 1.6 liter dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 290 Nm, dengan gandingan transmisi DCT tujuh-kelajuan, juga pacuan roda depan.

    SUV ini juga hadir dengan sistem plug-in hybrid i-DM (intelligent-Dual Motor) dan menggunakan enjin 1.5 liter yang sama. Motor elektriknya menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan 315 Nm untuk memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 326 PS (322 hp atau 240 kW) dan 545 Nm.

    Kuasa untuk motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri lithium ternari berkapasiti 19.27 kWh, yang memberikan jarak elektrik penuh sejauh 80 km mengikut kitaran WLTC. Sama seperi varian bukan PHEV, model i-DM menggunakan pacuan roda depan, tetapi dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga-kelajuan.

    Jetour bakal tampil perdana di M’sia bulan depan — Dashing, SUV 7-tempat duduk CKD dilancar H2 2024

    Jetour 7-tempat duduk pula ialah SUV tiga baris tempat duduk untuk tujuh penumpang. Ia lebih besar berbanding Dashing dengan ukuran 4,749 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,720 mm tinggi dengan jarak roda 2,745 mm. Ini menjadikan saiz CR-V lebih kecil.

    SUV besar ini juga datang dengan beberapa pilihan enjin — pertama, 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 230 Nm. Ini digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau DCT pacuan roda depan. Turut ditawarkan ialah unit 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris dengan janaan 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan 390 Nm, dengan gandingan 7DCT.

    Dashing dan SUV Jetour 7-tempat duduk dipilih untuk diperkenalkan di Malaysia kerana ia sudah tersedia dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang ketika ini sudah dipasang dan dijual di Indonesia. Kemudian, model T2 (atau Traveller) turut dijangka akan dibawa masuk.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 3-5 Mei sempena Program Madani Rakyat 2024 di Pulau Pinang

    Polis beri 50% diskaun saman pada 3-5 Mei sempena Program Madani Rakyat 2024 di Pulau Pinang

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 3 hingga 5 Mei 2024. Ia adalah sempena penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dari jam 9 pagi hingga 4 petang pada tarikh berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Pulau Pinang atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Selain itu banyak acara menarik turut diadakan khas untuk para pengunjung termasuk cabutan bertuah, pameran Jabatan PDRM dan agensi kerajaan, jualan produk dan pemeriksaan kesihatan.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE450 AMG Line facelift kini di M’sia – hibrid ringkas 3.0T, 381 PS/500 Nm, RM528,888

    Mercedes-Benz GLE450 AMG Line facelift kini di M’sia – hibrid ringkas 3.0T, 381 PS/500 Nm, RM528,888

    Enam bulan selepas GLE Coupe facelift diperkenalkan di sini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sekarang mengumumkan ketibaan GLE facelift, yang ditawarkan dalam versi GLE 450 AMG Line, sama seperti model sebelum facelift ini. SUV yang dipasang dalam negara ini (CKD) dijual pada harga RM528,888 tidak termasuk insurans.

    Sama seperti versi Coupe, bahagian luar tidak melibatkan banyak perubahan, dengan yang ditukar antaranya bampar hadapan serta lampu hadapan Multibeam LED yang kini mempunyai pencahayaan DRL baru. Melalui pakej AMG Line, SUV ini mendapat gril dengan corak Mercedes-Benz krom, apron hadapan AMG dengan kemasan krom serta plet tepi pintu AMG.

    Turut diberi adalah apron belakang AMG dengan kemasan seakan diffuser, rim AMG 21 inci, pemijak kaki tepi berlampu dengan pad getah serta bumbung panoramik boleh buka. GLE facelift ini juga dipasang dengan sistem suspensi udara Airmatic bersama penyerap adaptif ADS+.

    Mercedes-Benz GLE450 AMG Line facelift kini di M’sia – hibrid ringkas 3.0T, 381 PS/500 Nm, RM528,888

    Di dalam, beberapa bahagian menerima perubahan termasuk kemasan keliling corong pendingin hawa yang sekarang berwarna krom serta roda stereng yang dibalut dengan kulit Nappa dan mempunyai pad kawalan sesentuh.

    Perincian lain di bahagian dalam antaranya termasuk balutan kulit tiruan Artico pada tempat duduk, pepan pemuka serta panel tepi pintu, lapik bumbung fabrik hitam, kemasan kayu anthracite, lapik kaki AMG serta pengecas tanpa wayar.

    Skrin digital pada SUV ini masih mempunyai saiz 12.3 inci, tetapi Mercedes-Benz User Experience (MBUX) padanya telah dipertingkat dengan sistem NTG7 generasi kedua yang mempunyai pengenalan suara lebih baik serta sistem sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Sistem bunyi menggunakan pembesar suara daripada Burmester.

    Sama seperti sebelum ini, penggerak GLE facelift masih lagi adalah enjin enam silinder 3.0 liter turbo M256, tetapi sekarang mampu menghasilkan 381 PS (375 hp atau 280 kW) pada 5.800 rpm dan tork 500 Nm antara 1,800 ke 5,000 rpm. Dilengkapi transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, GLE 450 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sama seperti GLE 53 Coupe, GLE 450 ini juga mendapat sistem hibrid ringkas 48 volt dengan integrated starter-generator (ISG) generasi kedua. ISG ini selain membenarkan kenderaan meluncur lancar dan mempunyai fungsi start/stop, ia juga boleh memberikan tambahan kuasa 23 PS (20 hp atau 15 kW) dan 200 Nm.

    Antara sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang terdapat pada SUV ini adalah seperti Driving Assistance Package Plus, Distronic Active Distance Assist, beg udara bidai, belakang dan kaki, Pre-Safe Impulse Side pakej bantuan letak kenderaan dengan kamera 360 darjah serta Parktronic Active Parking Assist.

     
     
  • Mitsubishi Xpander masih MPV bukan nasional paling laris di Malaysia untuk tahun kewangan 2023

    Mitsubishi Xpander masih MPV bukan nasional paling laris di Malaysia untuk tahun kewangan 2023

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa MPV segmen-B jenama tersebut iaitu Xpander masih lagi mengekalkan status sebagai MPV paling laris di Malaysia untuk tahun fiskal 2023, dengan terjual sebanyak 11,384 unit dari April 2023 hingga Mac 2024.

    “Kami sangat teruja untuk menyaksikan penguasaan berterusan Xpander di Malaysia. Pencapaian ini adalah bukti komitmen kami untuk memberikan kenderaan berkualiti tinggi yang sesuai dengan keperluan dan keutamaan pelanggan Malaysia. Tempat No. 1 juga menyerlahkan bahawa Xpander adalah pilihan utama dalam kalangan keluarga Malaysia yang mencari MPV serba boleh,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.

    Xpander sedia ada sudahpun ditawarkan pada pasaran Malaysia sejak Disember 2020. MPV dengan kebolehan seperti SUV ini menampilkan bentangan tujuh tempat duduk, dijana oleh enjin 4A91 1.5 liter MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

    Mitsubishi Xpander masih MPV bukan nasional paling laris di Malaysia untuk tahun kewangan 2023

    Ia ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang pemasangan yang terletak di Pekan Pahang, dan kini ia dijual pada harga atas jalan tanta insuran RM100,980.

    Dalam kenyataan yang sama, MMM turut mengumumkan bahawa sebanyak 8,636 unit trak pikap Triton berjaya dijual dalam tempoh tahun fiskal yang sama. Ini membolehkan Triton menjadi trak pikap kedua terlaris di Malaysia untuk tahun kewangan 2023.

    “Mitsubishi Motors Malaysia ialah tiga jenama bukan nasional teratas Malaysia. Menjelang tahun 2024, Mitsubishi Motors sentiasa memulakan perubahan ke arah yang lebih baik dan pengalaman pemilikan dengan standard tertinggi. Kami teruja untuk terus maju dan menghargai semua pelanggan kami atas sokongan setia mereka terhadap jenama Mitsubishi,” tambah Ikeda.

     
     
  • Laluan Batang Kali-Genting dijangka dibuka 1 Julai 2024 – kemajuan baikpulih 86.2% setakat ini – KKR

    Laluan Batang Kali-Genting dijangka dibuka 1 Julai 2024 – kemajuan baikpulih 86.2% setakat ini – KKR

    Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri AHmad Maslan mengesahkan projek baikpulih cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali–Genting yang telah runtuh pada awal pagi 16 Disember 2022, setakat ini telah mencapai kemajuan 86.2%.

    Berdasarkan kemajuan projek berkenaan, laluan tersebut dijangka akan dibuka semula pada 1 Julai ini, katanya selepas turun pandang meninjau lokasi terbabit semalam.

    “Terdapat sedikit kelewatan disebabkan pihak kontraktor mengalami isu pembekalan bahan binaan wall system yang tidak tiba di tapak mengikut jadual. Namun begitu, kontraktor telah memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.

    “Jangkaan tarikh siap realistik adalah pada akhir Jun 2024 bersekali dengan pembukaan semula laluan B66 Jalan Batang Kali – Genting kepada semua pengguna jalan raya. Laluan tersebut buat masa kini hanya dibuka kepada pengguna jalan raya yang berkerja di Kawasan Genting, Pahang dengan pengesahan surat majikan masing– masing,” katanya.

    Menurut KKR, projek pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Terralink Wall System secara Reka dan Bina dengan nilai projek sebanyak RM19 juta. Kontraktor telah memulakan kerja–kerja ditapak sejak 29 Mei 2023.

    Selepas insiden tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, satu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) telah ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan dan menyediakan laporan forensik bagi kejadian tersebut.

    Penghasilan Laporan Forensik Tanah Runtuh ini adalah hasil daripada gabungan/kerjasama daripada 14 Agensi (Kerajaan, NGO dan Universiti) di bawah JKKTR di mana JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun telah ditugaskan sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut. Laporan Akhir telah dikemukakan kepada NADMA pada 12 November 2023 di mana akses capaian dibuka kepada umum di portal NADMA bermula pada 18 November 2023.

     
     
  • Beijing 2024: Radar Horizon – trak pikap EV RD6 dengan ciri AWD, RHD tersedia, ganti Arena?

    Beijing 2024: Radar Horizon – trak pikap EV RD6 dengan ciri AWD, RHD tersedia, ganti Arena?

    Semasa Auto China 2024, jenama trak pikap di bawah Geely, iaitu Radar telah menunjukkan model terbaru mereka, Horizon. Ia sebenarnya adalah RD6 yang dipertingkat dengan tetapan dua motor serta pacuan semua roda.

    Perkara utama pada Horizon ini adalah penambahan motor di hadapan, untuk membantu motor 271 PS/385 Nm yang berada di belakang. Hasilnya, kuasa keseluruhan menjadi 428 PS (315 kW) dan 590 Nm. Ini cukup untuk menjadikannya lebih laju satu setengah saat apabila membuat pecutan 0-100 km/j, dengan catatan masa 4.5 saat – laju maksimum 190 km/j.

    Untuk Horizon ini, anda mendapat pilihan sama ada bateri lithium iron phosphate (LFP) 73 kWh atau nickel manganese cobalt (NMC) 86 kWh, dengan jarak gerak masing-masing antara 460 km ke 520 km mengikut ujian CLTC China.

    Beijing 2024: Radar Horizon – trak pikap EV RD6 dengan ciri AWD, RHD tersedia, ganti Arena?

    Radar menggembar-gemburkan kemampuan Horizon yang boleh pergi ke mana sahaja – sistem pacuan boleh ditukar daripada dua roda kepada empat roda sepantas 600 milisaat dan datang dengan tujuh mod pemanduan termasuk tetapan khas untuk salji, lumpur serta meredah air.

    Kemampuan trak ini untuk mengangkat barang telah diperbaiki menjadi 800 kg bagi semua varian. Selain model pacuan empat roda ini, Radar juga menambah baik kemampuan mengangkat barang model 2WD, yang kini menjadi 790 kg. Kemampuan menarik pula berada pada 3,000 kg.

    Sama seperti RD6, Horizon ini menggunakan asas daripada platform elektrik Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely. Ia mencatat ukuran panjang 5.26 meter, lebar 1.9 meter dan tinggi 1.88 meter – sedikit pendek berbanding Toyota Hilux tetapi ruang barangan belakangnya hampir sama saiz.

    Beijing 2024: Radar Horizon – trak pikap EV RD6 dengan ciri AWD, RHD tersedia, ganti Arena?

    Radar mendakwa, Horizon boleh memuatkan 1,200 liter kargo di belakang dan terdapat ruang tambahan 70 liter di hadapan. Satu kelebihan unik trak double cab ini adalah ia mampu membekalkan kuasa sehingga 22 kW kepada perkakasan lain melalui soket di beberapa bahagian kenderaan.

    Daripada aspek penampilan, Horizon ini nampak hampir sama seperti RD6 dan ini termasuklah gaya bahagian hadapan seperti X90. Satu bahagian yang diubah adalah lencana pada gril, yang kini mempunyai tulisan Radar berlampu serta pilihan bumbung berwarna hitam.

    Keadaan d bahagian dalam bagaimanapun adalah berbeza kerana papan pemuka serta panel pintu ditukar dengan rekaan serba baru, yang mempunyai kemasan corong pendingin hawa mendatar panjang, panel instrumen digital 10.25 inci, srkin sesentuh infotainmen 14.6 inci serta konsol tengah dengan pengecas Qi tanpa wayar.

    Beijing 2024: Radar Horizon – trak pikap EV RD6 dengan ciri AWD, RHD tersedia, ganti Arena?

    Ciri lain trak ini adalah seperti sistem bunyi lapan pembesar suara, integrasi pembayaran Alipay serta pemanduan semi autonomous Level 2 yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Monitoring dengan pencegah perlanggaran, Rear Collision Warning dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    Meskipun Radar sekarang cuma adalah jenama yang dijual di China, ia sedang bersedia untuk memasuki pasaran lain tidak lama lagi menggunakan nama Riddara atas isu tanda dagang. Syarikat ini malah sudah membangunkan versi pemanduan sebelah kanan dengan sasaran menjualnya di negara seperti Australia, Thailand dan mungkin juga Malaysia di bawah jenama Proton. Anda rasa bolehkah ia menjadi pengganti kepada Arena?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025