Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengutip sejumlah RM2,452,510 hasil bayaran saman trafik tertunggak dalam Program Madani Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada hujung minggu lalu. Mengikut info grafik di atas, pada hari terakhir program terbabit, PDRM berjaya mengutip jumlah bayaran saman trafik yang tertinggi menerusi acara berkenaan.

    Kutipan bayaran saman trafik yang tinggi itu pastinya disumbangkan dengan diskaun sebanyak 50% yang ditawarkan oleh PDRM. “Diskaun saman PDRM sebanyak 50% mendapat sambutan hangat serta memudahkan orang awam untuk melakukan semakan dan pembayaran saman. Tahniah kepada PDRM atas inisiatif ini dan terima kasih kepada pengunjung yang telah melunaskan saman,” kata KDN menerusi Facebook rasminya.

    PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    Adakah ini bermakna KDN akan terus memberikan ‘lampu hijau’ kepada PDRM untuk memberikan diskaun saman trafik? Pada kami, mungkin ada kebarangkalian. Apatah lagi dengan kempen penawaran diskaun ini sering kali mendapat sambutan hangat dari orang ramai bagi melunaskan tunggakan saman trafik ini. Malahan, PDRM sendiri acapkali menawarkan diskaun ini menerusi pelbagai acara di seluruh negara.

    Berbeza dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di mana Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tiada polisi pemberian diskaun saman oleh JPJ. Perkara ini pernah disuarakan oleh Menteri MOT, Anthony Loke yang berkata saman adalah bertujuan untuk mendidik, dan memberikan diskaun juga adalah tidak adil bagi mereka yang membayarnya lebih awal.

    Loke menambah JPJ sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk keselamatan jalan raya, tidak akan berkompromi dalam isu ini, dan kabinet serta Ketua Setiausaha Serajaan Tan Sri Mohd Zuki Ali telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

     
     
  • Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Kemalangan jalan raya yang melibatkan antara lori dan motosikal kerap terjadi di negara kita dan situasi ini sangat membimbangkan. Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, kemalangan itu terjadi apabila satu kenderaan berlanggar dengan kenderaan lain yang memasuki kawasan blind spot atau titik buta, laporan Berita Harian.

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata kemalangan itu terjadi apabila satu kenderaan berlanggar dengan kenderaan lain yang memasuki kawasan titik buta.

    “Kenderaan berat seperti lori dan treler mempunyai titik buta yang lebih banyak dan besar berbanding motosikal dan kereta. Hal ini membuatkan bayangan motosikal dan kereta tidak dapat dilihat pemandu kenderaan berat apabila memasuki titik buta terutama di selekoh tajam,” kata Dr Wong.

    Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Tambah beliau, penggunaan kamera papan pemuka atau dashcam bagi setiap kenderaan digalakkan bagi membantu siasatan polis berkaitan kes langgar lari.

    “Cari kamera papan pemuka yang mampu milik serta mempunyai kualiti video yang baik bagi memudahkan mengenal pasti ciri-ciri kenderaan terbabit. Bagi pemandu yang sudah lama mempunyai kamera papan pemuka, mereka perlu selenggara dari semasa ke semasa untuk mengelakkan perkara seperti kad memori rosak atau kualiti video teruk berlaku,” katanya.

    Jelas beliau lagi, kes langgar lari sukar dibendung jika masyarakat tidak dipupuk dengan sikap bertanggungjawab terhadap suatu masalah.

    “Langgar dan lari adalah pilihan individu kerana mereka ingin mengelak daripada terkena hukuman ataupun denda. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu mendidik masyarakat kita dengan sifat tanggungjawab, berani mengaku kesalahan yang telah dilakukan serta menghadapi hukumannya. Pihak kami sedang berusaha untuk syarikat dan komuniti membabitkan diri dalam mengatasi perkara ini,” katanya.

    Menurut Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Universiti Tun Hussien Onn, titik buta adalah kawasan di sisi kenderaan yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin belakang, cermin sisi atau peranti kamera kenderaan yang sedang dipandu. Titik buta ini terhasil dari had reka bentuk kenderaan, yang mana pada kedudukan tertentu, pemandu tidak akan dapat melihat aktiviti sekitar kenderaan tanpa bergerak dari posisi pemanduan biasa.

    Pemandangan pemandu akan terhalang oleh sudut pandangan yang terlindung. Walaupun hampir kesemua jenis kenderaan mempunyai had yang menyebabkan terhasilnya titik buta, terdapat juga kenderaan yang tidak mempunya titik buta iaitu basikal dan motosikal. Tetapi dua jenis kenderaan ini paling kerap juga terlibat dengan kemalangan yang disebabkan oleh titik buta kenderaan lain, atau dengan ringkasnya mereka ini tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan lain.

    Semakin jauh dan semakin besar sudut pandangan yang boleh capai ketika dalam kedudukan badan mengawal stereng dan pemanduan bermaksud semakin besar kebolehan kita untuk melihat bahaya yang mungkin menghampiri kita. Zon titik buta pula adalah yang sebaliknya, iaitu sudut atau kedudukan di sekeliling kenderaan yang tidak kelihatan melalui cermin pandang belakang serta cermin sisi kenderaan yang sedang dipandu.

    Dimensi dan reka bentuk kenderaan serta jarak kedudukan antara pemandu dan stereng boleh mempengaruhi saiz dan kedudukan titik buta. Semakin besar dan tinggi kenderaan contohnya, lori, bas dan van, semakin besar zon titik buta terhasil. Selain itu reka bentuk bahagian tiang yang memegang sisi cermin hadapan kenderaan juga turut sama mempengaruhi kedudukan titik buta. Tiang ini boleh menghalang penglihatan pemandu terutama ketika hendak membelok di persimpangan.

    Sebagai pemandu atau penunggang motosikal, apa yang boleh anda lakukan ialah sesuaikan kedudukan cermin sisi dan cermin pandang belakang agar dapat memberikan sudut pandangan yang lebih luas. Penggunaan cermin atau kamera tambahan boleh memberi manfaat keselamatan kepada anda di atas jalan.

    Jangan lupa untuk guna kedua-dua cermin sisi dan cermin pandang belakang setiap kali hendak menukar lorong. Selain penglihatan melalui cermin, sebaiknya ambil sedikit masa untuk pusingkan kepala dan badan untuk melihat sebelah kenderaan anda untuk betul-betul memastikan sekiranya ada objek yang mungin tidak dapat dilihat melalui cermin sebelum menukar lorong. Paling penting, ketahui dan sentiasa peka serta beri perhatian kepada zon titik buta kenderaan lain.

     
     
  • Shell dilapor bincang mahu jual semua rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco

    Shell dilapor bincang mahu jual semua rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco

    Shell dilapor kini sedang berbincang dengan syarikat petroleum dari Arab Saudi, Saudi Aramco bagi menjual semua rangkaian stesen minyak miliknya di Malaysia, lapor Reuters. Agensi berita berkenaan mendakwa perkara ini telah diberitahu sendiri oleh sumber yang rapat tentang isu tersebut.

    Menurut salah satu sumber berkenaan, perbincangan tersebut dikatakan telah bermula pada lewat 2023, dan perjanjian itu mungkin akan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang. Dua sumber lain yang diberi taklimat mengenai perkara itu mendakwa bahawa urusniaga tersebut dianggar berjumlah sekitar empat hingga lima bilion ringgit.

    Buat masa sekarang Shell mempunyai sekitar 950 stesen minyak di Malaysia bagi membolehkan ia menjadi rangkaian perniagaan bahan api kedua terbesar dalam negara selepas Petronas. Laporan Reuters itu turut menyatakan bahawa Shell dan Saudi Aramco enggan memberi sebarang komen tentang perkara ini, namun Shell ada menyebut bahawa Malaysia merupakan negara yang penting untuk syarikat tersebut.

    Selain dari rangkaian stesen minyak, Shell turut menjual produk pelincir industri, menghasilkan minyak mentah dan gas asli di luar pantai Sabah dan Sarawak, serta mempunyai dua rakan kongsi dalam projek-projek gas asli cecair (LNG).

    Shell dilapor bincang mahu jual semua rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco

    Laporan itu juga mengatakan bahawa penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha CEO Shell Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan, dan nampaknya peruncitan bahan api bukan salah satu daripadanya.

    Tidak diketahui sama ada rangkaian pengecasan kenderaan elektrik Shell Recharge DC dan AC serta ParkEasy -di mana Shell Malaysia mempunyai 50% kepentingan dalam perniagaan tersebut- adalah sebahagian daripada perjanjian pemerolehan yang berpotensi berkenaan.

    Menurut laporan berita itu lagi, Shell telah menyatakan bahawa ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen tahun ini dan berikutnya, serta kini sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura. Salah satu sumber memberitahu Reuters bahawa usaha syarikat itu untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual kilang penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan bahan api kepada rangkaian itu.

    Bagi Saudi Aramco, ia kini memiliki 50% daripada 300,000 tong minyak sehari menerusi fasiliti penapisan di Pengerang, Johor yang dioperasikan bersama Petronas, namun masih tiada sebarang perniagaan peruncitan di sini. Syarikat itu mempunyai rangkaian stesen minyaknya di Arab Saudi, yang baru diwujudkan pada 2019. Aramco turut mempunyai rangkaian stesen minyaknya di pasaran lain dengan kerjasama TotalEnergies dari Perancis dan S-Oil Corp dari Korea Selatan.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bergerak perlahan dari stesen Bandaraya ke Masjid Jamek – 7-10 Mei

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bergerak perlahan dari stesen Bandaraya ke Masjid Jamek – 7-10 Mei

    Makluman buat pengguna LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Rapid KL telah mengumumkan bahawa tren akan bergerak perlahan dari stesen Bandaraya ke Masjid Jamek. Ia adalah disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan trek dan dilaksanakan mulai hari ini (7 Mei) hingga 10 Mei 2024.

    Pada Februari lalu, tren LRT antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya telah dibuka semula selepas ditutup lebih setahun, susulan kerosakan pada struktur jejambat dan trek berhampiran stesen Bandaraya.

    Dengan pembukaan semula stesen terbabit, Rapid Rail menyasarkan jumlah penumpang harian bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mencecah 200,000 penumpang menjelang akhir 2024, berbanding 155,000 penumpnag sepanjang penutupan trek terbabit.

    Kekerapan trek sepanjang waktu puncak juga kembali normal, dengan waktu menunggu sekitar tiga minit untuk lokasi pusat perniagaan(CBD) dan enam minit di luar kawasan CBD, dengan sejumlah 37 tren beroperasi.

     
     
  • Hyundai Tucson 1.6T Max 2024 di Malaysia – ADAS, kawalan suhu dwi-zon, instrumen digital; RM196k

    Hyundai Tucson 1.6T Max 2024 di Malaysia – ADAS, kawalan suhu dwi-zon, instrumen digital; RM196k

    Hyundai Tucson generasi ke-empat telah pun dilancarkan pada November tahun lalu, membawakan tiga varian iaitu 2.0 Lite, 1.6T Plus dan 1.6T Max. Kini kami bawakan galeri imej penuh untuk varian 1.6T Max.

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM195,888 tanpa insurans, Tucson 1.6T Max merupakan SUV versi jarak roda panjang, yang telah dilancarkan di Amerika Syarikat. Berbanding model terdahulu, model baharu ini lebih besar dan mempunyai dimensi berukuran 4,630 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,665 mm tinggi serta jarak roda 2,755 mm. Kapasiti ruang penyimpanan barangnya mencecah 582 liter, atau boleh mencapai 1,903 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Menjadi varian tertinggi dalam barisannya, penjana kuasanya menampilkan unit 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris Smartstream G.16 T-GDI petrol dengan output 180 PS pada 5,500 rpm dan puncak tork 265 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,500 rpm. Hamburan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan, membolehkan SUV ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.8 saat, dan kelajuan maksimum cecah 201 km/j.

    Antara kit kelengkapan luaran untuk 1.6T Max ini termasuklah penderia parkir hadapan, lampu belakang kombinasi LED dan rel bumbung aluminium, serta roda aloi 19-inci yang dibaluti tayar 235/55.

    Sementara itu, untuk ruang dalamanya pula diberikan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, kluster instrumen digital 10.25-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong tempat duduk belakang, cermin pandang belakang electrochromic, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan dan juga pengecas tanpa wayar.

    Seperti mana varian Tucson yang lain, 1.6T Max juga menerima tujuh beg udara secara standard, bersama ABS, bantuan mula mendaki dan cagak Isofix. Ia juga diberikan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), yang tidak diberikan untuk varian 2.0 Lite dan 1.6T Plus.

    Untuk ADAS ini, ia merangkumi Kawalan Kelajuan Pintar (SCC) dengan fungsi stop & go, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan Sokongan Persimpangan (AEB), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Kepekaan Ketibaan Kenderaan Hadapan (LVDA), Bantuan Lampu Tinggo (HBA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA) dan juga penderian pergerakan untuk Kepekaan Penumpang Belakang.

    Sebagai varian tertinggi dalam barisannya, Hyundai Tucson 1.6T Max yang berharga RM195,888 menjadi antara pesaing SUV segmen-C termasuk Honda CR-V e:HEV RS (RM195,900) dan Mazda CX-5 2.5T AWD High (RM191,170). Mana satu yang menjadi pilihan anda?

     
     
  • Perodua sasar eksport naik 79% pada 2024 berbanding 2023; Alza dan Axia kini sudah dijual di Brunei

    Perodua sasar eksport naik 79% pada 2024 berbanding 2023; Alza dan Axia kini sudah dijual di Brunei

    Perodua mensasarkan jualan eksportnya akan mencecah 1,960 unit untuk tahun ini, berbanding 1,094 unit yang direkodkan pada 2023. Jika sasaran itu berjaya dicapai, ini bermakna jenama automotif dari Rawang berkenaan bakal menyaksikan kenaikan untuk jualan eksportnya mencecah 79%.

    Menurut Perodua dalam kenyataan yang dikeluarkan, sasaran tersebut dibuat selepas Alza dan Axia generasi baharu dilancarkan di Brunei baru-baru ini, di mana sebanyak 12o unit Alza AV dan H serta 40 unit Axia AV dan G telah dieksport ke Brunei pada 3 Mei lalu. Malah Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan adalah sebanyak 460 unit.

    “Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Beliau turut menjangkakan pertumbuhan yang berterusan akan berlaku di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.

    Perodua sasar eksport naik 79% pada 2024 berbanding 2023; Alza dan Axia kini sudah dijual di Brunei

    “Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami. Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.

    “Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat
    ganti,” katanya lagi.

    Dua model yang disebutkan tadi baru sahaja dilancarkan di Brunei di mana Alza AV dijual pada harga B$30,900 (RM108K), Alza H berharga B$27,900 (RM98k), Axia AV berharga B$21,900 (RM77k) dan Axia G berharga B$17,900 (RM63k). Perodua Bezza 1.0L G pula dijual pada harga B$16,900 (RM59k) di sana.

     
     
  • Geely akan masuk semula pasaran Australia dengan jenama sendiri, bukan dengan Proton walaupun RHD?

    Geely akan masuk semula pasaran Australia dengan jenama sendiri, bukan dengan Proton walaupun RHD?

    Menurut laporan CarExpert, Geely kini dilihat sedang mencari staf baharu di laman LinkedIn untuk jawatan pengarah pemasaran nasional bagi pasaran Australia. Bukan itu sahaja, jenama automotif China itu juga sebelum ini memfailkan tanda dagang di negara tersebut pada Januari lalu.

    Nampaknya rancangan yang diumumkan Geely ketika mula-mula menjadi rakan kongsi Proton pada 2017 mungkin berubah. Ini kerana sebelum ini Geely pernah menyatakan bahawa menerusi Proton, Malaysia akan menjadi hab untuk penghasilan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dieksport keluar. Dengan langkah terbaharu yang dibuat oleh Geely ini nampaknya seperti ia akan masuk ke Australia dengan logonya sendiri, bukan melalui Proton walaupun negara berkenaan menggunakan konfigurasi RHD.

    Walau bagaimanapun, masih belum jelas model mana yang akan dibawa oleh Geely ke Australia. Malah selain Proton, Geely turut mempunyai pelbagai sub-jenama lain yang mungkin lebih sesuai digunakan di sana seperti Geometry (EV mampu milik), Galaxy (model-model premium), Radar Auto (EV gaya hidup termasuk trak pikap) dan pelbagai lagi.

    Buat masa sekarang memang sudah ada beberapa jenama di bawah payung Zhejiang Geely Holding Group yang sudah bertapak di Australia iaitu Volvo, Polestar dan Lotus, serta bakal disertai oleh Zeekr pada separuh kedua 2024, diikuti Lynk & Co dijadualkan pada 2025 nanti.

    Geely sebelum ini pernah masuk ke pasaran Australia menerusi kumpulan John Hughes, dengan pelancaran Geely MK sedan dan hatchback pada 2010. Walau bagaimanapun penjualan model yang hanya boleh didapati pada pasaran Australia Barat itu tidak bertahan lama kerana tahap undang-undang keselamatan di negara tersebut dipertingkat, menyaksikan Geely terpaksa angkat kaki terlebih dahulu.

     
     
  • Proton X70 diberi kemas kini – 1.5 TGDi Premium X hitam guna rim lama, tiada lagi enjin 1.8TGDi

    Proton X70 diberi kemas kini – 1.5 TGDi Premium X hitam guna rim lama, tiada lagi enjin 1.8TGDi

    Proton memberikan kemas kini kepada model X70, dengan varian 1.5 TGDi Premium X khususnya yang berwarna hitam kini dipasang dengan rim 19 inci rekaan lama seperti pada model sebelum MC. Unit yang menggunakan warna badan lain bagi varian ini masih lagi menggunakan rekaan rim sama seperti sedia ada.

    X70 1.5 TGDi Premium X diperkenalkan pertama kali pada Julai 2023, dan perubahan pada bahagian rim ini mungkin dilakukan kerana stok rim sedia ada semakin berkurang. Seperti yang kita tahu, X70 versi facelift akan keluar tidak lama lagi, dan ia akan menggunakan bentuk rim baru yang berbeza. Jadi perubahan yang dibuat pada X70 1.5 TGDi Premium X ini mungkin adalah langkah mengisi jurang antara pengeluaran rim sedia ada dan rim baru pada model facelift.

    Kemudiannya, Proton juga kini sudah menghentikan penawaran enjin petrol empat silinder 1.8 liter turbo pada X70, sekaligus menjadikan 1.5 TGDi Premium X sebagai varian paling tinggi bagi model ini. Selain daripada itu, spesifikasi varian 1.5 TGDi Premium X juga dijadikan lebih tinggi dengan kini menerima bumbung suria. Melihat di dalam laman web, X70 1.5 TGDi Premium X dijual pada harga RM126,800 tidak termasuk insurans.

    Proton X70 diberi kemas kini – 1.5 TGDi Premium X hitam guna rim lama, tiada lagi enjin 1.8TGDi

    Enjin 1.8 liter yang ditawarkan pada X70 sebelum ini diimport dari China, sementara enjin tiga silinder 1.5 liter pula dipasang di dalam negara, iaitu di Tanjung Malim. Dalam keadaan sekarang, enjin 1.5 liter ini boleh menghasilkan 177 PS dan 255 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan.

    Melihat kepada X70 facelift pula, Proton sebelum ini pernah mengesahkan bahawa ia akan datang dengan sistem pemanduan autonomous Level 2 dan besar kemungkinan dilengkapi Intelligent Cruise Control (ICC), yang menggabungkan AC dengan sistem stop and go, lane centring serta lane keeping assist. X70 facelift ini dijangka dilancarkan dalam tahun ini.

     
     
  • Harley-Davidson Road Glide dan Street Glide 2024 tiba di Malaysia – harga dari RM196k, pelbagai peningkatan

    Harley-Davidson Road Glide dan Street Glide 2024 tiba di Malaysia – harga dari RM196k, pelbagai peningkatan

    Harley-Davidson memperkenalkan dua model baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Street Glide dan Road Glide 2024, menyertai 21 lagi model yang sudah sedia dijual sebelum ini. Harganya masing-masing adalah bermula dari RM195,900 dan RM211,900.

    Street Glide dan Road Glide sebenarnya berkongsi asas yang sama, dan dipacu oleh enjin Milwaukee Eight 117 berkapasiti 1,923 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 107 hp pada 5,020 rpm dan tork 175 Nm pada 3,500 rpm.

    Penyampaian kuasa, yang dihantar kepada roda belakang melalui sistem rantai boleh dikawal oleh penunggang melalui empat mod tunggangan iaitu Road, Sport, Rain dan Custom. Model ini juga mendapat pelbagai sistem elektronik lain seperti Traction Control, ABS, Drag Torque Slip Control, Vehicle Hold Control serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Selain daripada penampilan yang sudah berubah, model tahun 2024 ini juga menerima peningkatan pada sistem hiburan, dengan kini dilengkapi skrin TFT berwarna 12.3 inci, yang dikawal oleh sistem Skyline OS. Melaluinya pemilik bukan sahaja boleh melihat informasi penting, tetapi juga menyambungkannya kepada telefon pintar, melihat navigasi dan pelbagai lagi.

    Kedua-dua Street Glide dan Road Glide 2024 ini datang dengan padanan rim 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan ia dipegang oleh fork 49 Dual Bending Valve di hadapan dan penyerap hentak 76.2 mm dengan pelarasan pra beban di belakang. Brek menggunakan tetapan cakera berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan satu cakera tunggal dengan angkup satu piston di belakang.

    Tangki bahan api Road Glide dan Street Glide kedua-duanya berkapasiti 22.7 liter, tetapi secara keseluruhannya berat motosikal adalah berbeza, iaitu 380 kg bagi Road Glide dan 368 kg bagi Street Glide. Seperti biasa bagi motosikal Harley-Davidson, pelbagai aksesori disediakan untuk dua model ini di dalam katalog bagi menyesuaikannya dengan pemilik.

     
     
  • Laporan berita asing mengenai k’jaan akan kurangkan subsidi bahan api mulai Jun 2024 tidak beretika – PM

    Laporan berita asing mengenai k’jaan akan kurangkan subsidi bahan api mulai Jun 2024 tidak beretika – PM

    Kerajaan menegaskan bahawa berita asing yang melaporkan Malaysia telah memutuskan kenaikan harga petrol dan diesel menjelang bulan hadapan adalah tidak benar. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan tersebut sekadar memetik sumber tidak diketahui dan ia adalah tindakan yang tidak beretika.

    Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad diputuskan kerajaan berhubung subsidi bahan api terbabit walaupun ada perbincangan awal bersama Jemaah Menteri, laporan Berita Harian.

    “Prinsipnya, apa sahaja penyasaran subsidi bagi saya, (pastikan) tidak akan membebankan rakyat. Bila media antarabangsa ini mempermainkan atau memanfaatkan isu, perlu tengok fakta. Kena rujuk dasar, mana boleh sumber. Kalau kerajaan nak umum, kita bagi tahu dengan bagi notis, bukan nak rahsia,” katanya.

    Hujung minggu lalu, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini dengan memetik sumber rasmi dan industri. Menurut laporan itu, harga diesel didakwa akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.

     
     
  • JPJ tidak pernah beri kelulusan kepada BJAK untuk perkhidmatan baharui cukai jalan, lesen memandu

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengenai promosi yang dikeluarkan oleh BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) melalui laman sesawang dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.

    “Jabatan ini ingin memaklumkan dan menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun JPJ tidak pernah memberikan kelulusan kepada pihak BJAK untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

    “Pihak JPJ juga ingin memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut JPJ lagi, pihaknya telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang terbabit namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini.

    JPJ tidak pernah beri kelulusan kepada BJAK untuk perkhidmatan baharui cukai jalan, lesen memandu

    “Pihak kami ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh syarikat terbabit. Dalam masa yang sama, pihak kami juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang mana perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan yang dikenakan oleh syarikat terbabit.

    “Ingin ditegaskan bahawa pihak MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang pengenaan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka. Malahan pengoperasian yang dilakukan oleh pihak BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran JPJ,” tambah JPJ lagi,

    Sehubungan itu, JPJ turut menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja.

    Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian, sebaliknya orang ramai dinasihatkan supaya merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Jualan Proton April 2024 naik 17.1%; X50 dan S70 paling laris dalam segmen masing-masing

    Jualan Proton April 2024 naik 17.1%; X50 dan S70 paling laris dalam segmen masing-masing

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 11,025 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport bagi bulan April 2024. Angka tersebut membolehkan syarikat itu merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 17.1% berbanding bulan sama tahun lalu yang mencatatkan jualan sebanyak 9,415 unit kenderaan.

    Dengan jumlah yang dicatat itu juga membolehkan jualan kumulatif tahunan Proton bagi tahun 2024 ini juga mencapai 50,175 unit, berbanding 49,702 unit bagi tempoh Januari hingga April 2023. Ia selari dengan pertumbuhan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia yang dianggar naik 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif kini mencapai 261,345 unit bagi tahun ini.

    Oleh itu, Proton menganggarkan pegangan bahagian pasarannya di Malaysia pada April 2024 berada pada jumlah 18.7%, manakala bahagian pasaran tahunan pula dianggar pada 19.2% bagi membolehkan ia kekal berada di tempat kedua. Manakala untuk eksport, ia melonjak lagi pada kadar 38.5% dari 603 unit kepada 835 unit sejak awal tahun hingga bulan April.

    Jualan Proton April 2024 naik 17.1%; X50 dan S70 paling laris dalam segmen masing-masing

    Dari jumlah jualan tersebut, X50 telah menyumbang jualan sebanyak 1,642 unit pada bulan April membolehkan ia kembali naik ke tangga teratas sebagai SUV segmen-B paling laris dalam pasaran tempatan. Manakala Proton S70 pula kekal sebagai sedan segmen-C paling laris di Malaysia untuk bulan keempat berturut-turut dengan mencatatkan jualan sebanyak 1,635 unit pada April, dan kini sudah mencapai 7,463 unit untuk empat bulan pertama tahun ini.

    Model paling mampu milik dari Proton iaitu Saga masih kekal menyumbangkan jualan paling banyak, mencatatkan 5,031 unit pada bulan April. Oleh itu jualan kumulatif tahunannya kini telah mencecah 23,278 unit, atau naik sebanyak 8.8%.

    Bagi lain-lain model, jualan untuk Proton X70 mencapai 552 unit, manakala sedan segmen-B Proton Persona, dan SUV segmen-D Proton X90, masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit. Hatchback segmen-B Proton Iriz pula terjual sebanyak 424 unit pada April, dan jualan empat bulan pertama tahun ini sudah mencapai 1,958 unit.

    Untuk pasaran eksport pula, Saga turut menjadi model paling popular dengan menyumbang sebanyak 427 unit, diikuti X50 di tempat kedua dengan 176 unit terjual di luar negara sejak Januari hingga April tahun ini. Proton S70 yang dijual di luar Malaysia pula telah terjual sebanyak 89 unit sepanjang bulan lalu, semuanya untuk satu-satunya pasaran eksport untuk sedan itu setakat ini iaitu di Brunei.

    “Penurunan dalam jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac 2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti. Walau bagaimanapun, permintaan berterusan untuk model Proton diperkukuh lagi oleh usaha berterusan dalam penambahbaikan kualiti dengan skor Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang lebih baik sejak 2019, menanamkan keyakinan yang lebih tinggi dalam kalangan pemandu,” kata CEO Proton Edar Roslan Abdullah.

    “Jualan eksport kekal sebagai tonggak penting kepada matlamat jangka panjang Proton dan dengan Proton S70 meningkatkan jualannya dalam pasaran domestik serta eksport, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan eksport yang mampan tahun ini dan meningkatkan sumbangan jualan eksport kepada jumlah jualan tahunan kami. Tahun ini, kami telah menambah Trinidad dan Tobago ke dalam portfolio eksport kami dan mengukuhkan semula kedudukan kami di Bangladesh. Proton yakin pasaran akan melonjak kerana masih terdapat banyak permintaan daripada pembeli kereta. Ini adalah penting bagi kami untuk terus melakukan yang terbaik, memastikan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dijalankan,” tambahya lagi.

     
     
  • Polis keluarkan 619 saman, sita 234 kenderaan dalam operasi di KL – 13 pemandu ‘mabuk’ turut ditahan

    Polis keluarkan 619 saman, sita 234 kenderaan dalam operasi di KL – 13 pemandu ‘mabuk’ turut ditahan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) KL telah mengadakan operasi bersepadu dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN) di sekitar ibu kota yang bermula jam 10 malam pada 4 Mei sehingga 7 pagi semalam. Operasi terbabit telah diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Tun Razak (Shell), Jalan Sultan Azlan Shah (Sentul), Jalan Sultan Azlan Shah (Chow kit), Jalan Bangsar dan Jalan Kampung Pandan.

    Hasil daripada operasi berkenaan, sebanyak 619 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 171 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

    Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal. Manakala 63 buah kenderaan lain turut disita atas kesalahan ubah struktur kenderaan (ekzos dan enjin). Semua kenderaan yang disita akan menjalani pemeriksaan semula oleh pihak JPJ.

    “Seramai 13 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 53 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama.

    “Manakala tangkapan dua orang yang berumur 19 dan 21 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955. Seterusnya, tangkapan 10 orang yang berumur 19 hingga 35 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang terlibat bagi tindakan siasatan selanjutnya,” kata JSPT KL.

     
     
  • Chery Malaysia Omoda 5 — punca masalah kimpalan gandar dikenal pasti, laman web baru disediakan

    Chery Malaysia Omoda 5 — punca masalah kimpalan gandar dikenal pasti, laman web baru disediakan

    Chery Malaysia telah mengeluarkan satu lagi kenyataan berkaitan kes gandar yang melibatkan Omoda 5. Ini merupakan kenyataan ketiga yang dikeluarkan syarikat itu terhadap kes yang sama selepas kes berkenaan tular di media sosial pada 28 April lalu. Satu kenyataan dikeluarkan sehari selepas itu, dan kenyataan kedua menyusul pada 30 April, menyatakan panggilan balik untuk 600 unit Omoda 5.

    Kenyataan ketiga dikeluarkan hari ini dengan memaklumkan bahawa Chery Malaysia sedang bekerja sama dengan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan pembetulan terhadap semua kenderaan yang terkesan menepati piawaian keselamatan tertinggi. Syarikat itu juga telah mengadakan perjumpaan dengan kementerian berkenaan untuk menjelaskan perkara terbabit, jelas Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.

    Punca masalah juga sudah dikenal pasti. “Susulan daripada siasatan menyeluruh, vendor melaporkan bahawa masalah itu adalah disebabkan oleh naik taraf fasiliti ketika itu telah menyebabkan hujung mesin kimpalan automatik yang telah haus diganti dengan muncung baru. Penggantian tersebut telah mengakibatkan salah kalibrasi terhadap kelengkapan tersebut,” ujar Lee.

    Sebanyak 60 unit Omoda 5 di Malaysia telah dikenalpasti menggunakan bahagian yang bermasalah itu, yang dikilangkan pada 15 Ogos 2023. Chery Malaysia kemudian meluaskan lagi panggilan semula itu dengan melibatkan bahagian yang dikilangkan pada 14 dan 17 Ogos, menjadikannya 600 unit semua sekali. Setakat semalam, Chery Malaysia telah menghubungi 32 daripada 60 pemilik yang terkesan.

    Sebuah laman web baru juga telah diwujudkan untuk pemilik mengesahkan sama ada kereta mereka terkesan atau tidak dengan panggilan semula ini. Chery Malaysia juga memberi komitmen untuk mengeluarkan kemaskini mingguan kepada umum berkaita hal ini untuk menyalurkan maklumat semasa berkaitan status program panggilan semula tersebut.

     
     
  • BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Selepas muncul di Thailand Mac lalu, model tingkat taraf bagi SUV EV dari China iaitu BYD Atto 3 2024 kini sudahpun mendarat ke pasaran Malaysia pula. Secara rasmi, model ini dijual pada harga yang tidak berubah iaitu RM149,800 (RM150,430 atas jalan tanpa insuran), dan ia kini hanya ditawarkan varian Standard Range (SR) tanpa kehadiran varian Extended Range (ER) dengan jarak gerak lebih jauh.

    Versi kemaskini ini masih lagi menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sebelumnya iaitu dilengkapi dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 204 PS (150 kW) dan tork maksima 310 Nm, digerakkan oleh bateri Blade litium logam fosfat (LFP). Ini membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat, dan bergerak sejauh 410 km dalam kitaran NEDC atau 345 km dalam kitaran WLTP.

    Atto 3 ini menyokong input AC (Type 2) dengan kadar maksimum 7 kW untuk mengecas. Sistem pengecas pantas DC (CCS2) juga diberikan dengan kadar maksimum 70 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 0-80% dalam masa 45 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik lain juga masih dibekalkan.

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Model 2024 ini boleh dikenali dengan kemasan perapi tiang paling belakang yang kini berwarna hitam berbanding perak pada model sebelum ini. Seiring dengan pengumuman yang dibuat oleh jenama tersebut tahun lalu, tulisan ‘Build Your Dream’ pada pintu tailgate belakang juga kini sudah digantikan dengan hanya logo BYD.

    Pelanggan masih boleh memilih warna badan Surf Blue, Ski White dan Boulder Grey bagi model 2024 ini, namun warna Forest Green dan Parkour Red telah digugurkan dan digantikan dengan warna Cosmos Black baharu. Bagi warna badan Cosmos Black dan Boulder Grey, ia akan dipadankan dengan dalaman dengan tema warna Hitam/Biru Gelap menggantikan pilihan Eclipse Blue/Hazy Grey sebelum ini. Manakala warna badan Ski White dan Surf Blue pula akan menerima tema warna kabin Biru Gelap/Kelabu Cerah.

    Perubahan lain yang turut diberikan pada bahagian dalaman Atto 3 SR 2024 ini termasuk skrin utama yang boleh diputar kini bersaiz 15.6-inci berbanding 12.8-inci sebelum ini, serta diberikan perincian dari varian ER iaitu lampu suasana kabin pelbagai warna dań pengecas tanpa wayar.

    BYD Atto 3 2024 di M’sia – tempahan dibuka, hanya varian SR, RM149,800, skrin dan logo belakang baru

    Perincian lain masih lagi serupa dimana Atto 3 SR 2024 ini diberikan rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED dengan fungsi adaptif, lampu belakang LED, bumbung panaromik, instrumen digital dengan paparan skrin lima-inci, upholsteri kulit sintetik, sistem pendingin hava automatik, sokongan Android Auto menggunakan wayar dan Apple CarPlay tanpa wayar, enam pembesar suara dan penapis udara kabin N95.

    Manakala untuk keselamatan, Atto 3 ini masih menerima enam-beg udara bersama tambahan beg udara tengah untuk pemandu, bantuan menurun celrun, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, brek auto-hold, brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, amaran pelanggaran belakang, pemantau titik buta, amaran buka pintu dań amaran lintasan trafik belakang.

    Pembelian BYD Atto 3 2024 ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama enam tahun/150,000 km, bersama waranti bateri Blade selama lapan-tahun/160,000 km. Manakala motor elektrik, pengawal motor dan pemasangan kawalan elektrik pada modul pemanduan SUV EV ini pula menerima perlindungan waranti selama lapan tahun/150,000 km.

    Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah pakej servis yang disediakan dalam dua pilihan, iaitu pakej Standard berharga dari RM1,688 sehingga RM4,888 untuk tempoh tiga-tahun/60,000 km hingga lapan-tahun/160,000 km, atau pakej Plus berharga dari RM11,688 sehingga RM17,688 dengan tempoh penyelenggaraan lebih lama iaitu dari enam-tahun/120,000 km sehingga lapan-tahun/160,000 km, serta diberikan lebih banyak barangan servis.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025