Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua masuk pasaran Bangladesh – PHP pasang dan jual Axia, Myvi, Bezza dan Aruz; diikuti Ativa, Alza

    Perodua masuk pasaran Bangladesh – PHP pasang dan jual Axia, Myvi, Bezza dan Aruz; diikuti Ativa, Alza

    Perodua menambah satu lagi negara dalam senarai eksportnya apabila kini mengorak langkah ke Bangladesh. Bulan lalu, pengeluar tempatan ini menandatangani perjanjian dengan anak syarikat PHP Family, iaitu PHP Motors untuk memasang dan menjual kenderaan Perodua di negara tersebut.

    Menurut The Business Standard, PHP Motors melancarkan empat model Perodua di Dhaka hari ini. Modelyang dimaksudkan adalah Axia, Myvi, Bezza dan Aruz, dan semuanya akan dipasang di kilang Saraipara Halishahar syarikat itu di Chattogram.

    “Perodua mempunyai enam model. Kami sedang mengusahakan kesemuanya. Sebagai permulaan, kami akam memasang empat model ini di kilang kami dan menjualnya. Model lain (Alza dan Ativa) juga akan dipasang dan dilancarkan tidak lama lagi,” kata pengarah urusan PHP Motors Mohammed Akther Parvez.

    Jika ada yang merasakan nama PHP seperti biasa didengar, ini kerana ia adalah syarikat yang pernah menguruskan Proton. Sekarang, Proton diwakili oleh Rancon di Bangladesh, yang akan memasang X90 di negara itu hujung tahun ini.

    Meskipun sudah menamatkan perjanjian dengan Proton, PHP dikatakan masih akan menjaga perkara berkaitan jaminan kenderaan Proton sedia ada. “Semasa membuat perjanjian dengan Perodua, kami telah memasukkan sekali syarat ini supaya kami masih dapat menyediakan servis selepas jualan untuk kenderaan Proton yang dijual sebelum ini, dan mereka menghargai komitmen kami,” kata Akther.

    Kilang PHP sekarang ini mampu memasang 1,200 unit setahun. Dengan lebih 400 pekerja, kilang ini boleh memasang 36 buah kenderaan dalam tiga syif (12 setiap syif) sehari. Syarikat itu memberitahu kilang tersebut telah beroperasi dalam kapasiti penuh sejak tahun 2019.

     
     
  • Baru nak menceburi padel? Sertai trend sukan terkini di Volvo Padel Open dan rebut hadiah bernilai RM100k

    Baru nak menceburi padel? Sertai trend sukan terkini di Volvo Padel Open dan rebut hadiah bernilai RM100k

    Inginkan hobi yang mudah dipelajari dan menyertai trend sukan terkini? Volvo Car Malaysia ingin mempelawa anda untuk menyertai acara Volvo Padel Open. Dianjurkan dengan kerjasama semua gelanggang padel di Lembah Klang – ASCARO Padel & Social Club, Padelground dan PadelKu, kejohanan itu bakal menjadi pertandingan padel terbesar pertama di Malaysia. Dengan objektif untuk menggalakkan pemain baharu menceburi sukan padel – Volvo Padel Open menjanjikan masa yang baik sambil menggabungkan aspek kecerdasan dan keseronokan.

    Dengan hadiah yang ditawarkan bernilai sehingga RM100,000, jangan ketinggalan untuk mendaftar bermula sekarang hingga 24 Mei 2024 untuk menempah tempat anda dengan yuran sekali bayar RM200 bagi setiap pasukan. Sekiranya pasukan anda mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemilik kenderaan Volvo, anda akan menikmati kadar istimewa dengan membayar hanya RM100. Pemain padel yang berminat boleh ikut serta dalam satu daripada tiga kategori yang dipertandingkan — Intermediate, Open dan Women’s — dengan semua ini menawarkan hadiah berbeza bagi pemenang tempat pertama dan kedua.

    Menuju ke pusingan akhir pertandingan ini, turut akan diadakan ialah klinik kejurulatihan untuk mereka yang bertanding dalam kategori Terbuka dan Wanita di ketiga-tiga lokasi dari 1-2 Jun 2024, diikuti oleh kelayakan kategori Terbuka dari 8-9 Jun 2024. Finalis dari pusingan kelayakan Open itu akan menyertai kategori Intermediate dan Women’s untuk bersaing merebut hadiah utama yang akan berlangsung pada 15 Jun 2024 di ASCARO Padel & Social Club.

    Jika anda belum pernah tahu tentang padel, ia merupakan sukan yang paling pesat berkembang di dunia yang telah menarik lebih 25 juta pemain di 110 negara. Tanah kelahiran Volvo, Sweden juga tidak terkecuali, dengan ribuan pemain di Sweden terlibat dalam sukan tersebut.

    Sebelum pengenalan Volvo Padel Open, Volvo Car Malaysia adalah pendorong terawal sukan ini ketika ia menganjurkan acara sukan Koppla pertama tahun lalu — sebuah pertandingan mesra padel untuk pemilik kenderaan Volvo — bertempat di kelab padel dari Sweden yang pertama di Malaysia, ASCARO Padel & Social Club, sebagai meraikan pertumbuhan pesat sukan padel di sini.

    “Kami di Volvo Car Malaysia melihat sinergi yang besar sukan ini disebabkan fokusnya terhadap manusia, pengalaman yang dipacu oleh gaya hidup serta inovasi teknologi yang berterusan. Kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sukan yang sedang pesat berkembang ini, yang turut mempunyai akar sejarah panjang serta masa depan moden sama seperti cita-cita kami terhadap kenderaan elektrik kami,” ujar Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam, Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw.

    Sama ada anda pemilik kenderaan Volvo atau peminat padel, daftar di sini untuk menjadi sebahagian daripada sukan yang sedang rancak berkembang di Malaysia ketika ini!

     
     
  • BNM kekalkan OPR di tahap 3%, kadar pinjaman sama

    BNM kekalkan OPR di tahap 3%, kadar pinjaman sama

    Susulan daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Kewangan (MPC) hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) di tahap 3%. OPR 3% ini telah kenakan sejak Mei 2023 ketika ia dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.75%.

    Pinjaman kenderaan antara yang akan terkesan dengan perubahan OPR — jika bank menanggung kos pinjaman yang lebih tinggi, maka ia akan memindahkannya kepada pengguna dengan cara kadar yang lebih tinggi bagi pinjaman sewa-beli, menjadikannya lebih mahal serta piawai kelulusan yang ketat. Maka, dalam keadaan ini, keadaan akan kekal seperti biasa, dengan jualan kenderaan juga tidak akan terkesan.

    Menurut BNM, tahap OPR ketika ini adalah selari dengan kesihatan ekonomi dan kekal menyokong pertumbuhan serta menstabilkan inflasi. Mesyuarat MPC BNM ini akan berlangsung setiap dua bulan, dengan mesyuarat seterusnya akan berlangsung pada Julai 2024 nanti.

     
     
  • Beijing 2024: Hyundai Santa Fe generasi kelima dipamer — SUV rekaan berkotak, saiz lebih besar

    Beijing 2024: Hyundai Santa Fe generasi kelima dipamer — SUV rekaan berkotak, saiz lebih besar

    Antara model SUV terkini yang turut membuat penampilan di Auto China 2024 ialah Hyundai Santa Fe generasi kelima. Dengan reka bentuk yang lari jauh daripada model generasi sebelumnya, saiz keseluruhannya juga bertambah — dengan kini kembali menerapkan lebih banyak elemen bersegi dan berkotak.

    Dalam penampilan generasi terbarunya ini, Santa Fe mempunyai ukuran dimensi 4,831 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,770 mm tinggi serta jarak roda 2,814 mm.

    Antara sentuhan rekaan yang unik bagi Hyundai Santa Fe ini ialah bentuk H yang ada pada lampu depannya, sementara riang gelap memberikan imej bumbung terapung untuk SUV besar ini. Lengkung tayarnya juga lebih bersegi dan bukannya dengan lekuk seperti kebiasaannya. Di belakang pula, kedudukan ekzos yang kemas di bawah bampar.

    Ketika pengenalan sulungnya di pentas global pada Julai tahun lalu, lencana “2.5T” yang digunakan mencadangkan bahawa model ini dilengkapi dengan enjin Smartstream G2.5 T-GDI yang menjana 281 PS dan 422 Nm. Namun, unit yang dipamerkan di Beijing ini tidak datang dengan lencana tersebut. Apa yang ada dinyatakan ialah HTRAC, yang merupakan sistem pacuan semua roda untuk Hyundai.

    Beijing 2024: Hyundai Santa Fe generasi kelima dipamer — SUV rekaan berkotak, saiz lebih besar

    Dalam kabin, SUV ini dilengkapi dengan Paparan Lengkung Panoramik yang menggabungkan panel instrumen 12.3-inci dengan skrin infotainmen, yang disudutkan lebih kepada pemandu. Tuil gear pula tidak lagi berada di konsol tengah, sebaliknyadi kolum stereng. Di konsol tengah kini lebih lapang, dan diganti dengan ciri pengecasan tanpa wayar.

    Banyak ruang simpanan kecil tersedia di dalam kabin. Selain itu, sama juga seperti rekaan di luar, bahagian dalam juga banyak menerapkan unsur garisan lurus di dalam — tiada lagi garis lengkung seperti yang pernah dilihat untuk model generasi keempat.

    Penggunaan skim warna yang cerah juga menambahkan lagi rasa ruang yang luas kabinnya. Material yang digunakan juga adalah dari jenis kitar semula dan mesra alam, seperti plastik dan lapik bumbung suede. Hyundai Santa Fe kini nampak lebih matang, kan?

     
     
  • EPMB mula pasang kenderaan di kilang Melaka pada Q3, sasar keluarkan 6,000 unit menjelang hujung tahun

    EPMB mula pasang kenderaan di kilang Melaka pada Q3, sasar keluarkan 6,000 unit menjelang hujung tahun

    EP Manufacturing (EPMB) mensasarkan untuk mula memasang kenderaan dari kilangnya di Taman Perindustrian Hicom Pegoh di Melaka pada suku ketiga tahun ini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Razlan Mohamed, syarikat itu meletakkan sasaran pengeluaran sebanyak 6,000 unit menjelang hujung tahun, lapor Malaysian Reserve.

    Pengeluaran tersebut yang akan dilakukan oleh anak syarikatnya, Peps-JV Melaka (PJVM) akan dimulakan dengan pemasangan daripada dua jenama kenderaan China. Yang pertama ialah oleh Beijing Automotive Group (BAIC), yang mana kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian pemasangan selama 10 tahun, April lalu. Model terawal yang bakal dikeluarkan ialah SUV BJ40 Plus dan X55II, dengan model CKD dijangka diperkenalkan pada tahun 2025.

    EPMB akan bertindak selaku pemasang kenderaan, sementara BAIC akan menyediakan sokongan teknikal, latihan, panduan, nasihat yang berkaitan proses pemasangan dan pengeluaran. Pengeluar China itu akan bertanggungjawab terhadap jualan dan pemasaran kenderaan di rantau ini.

    EPMB mula pasang kenderaan di kilang Melaka pada Q3, sasar keluarkan 6,000 unit menjelang hujung tahun

    Syarikat itu juga akan memasang kenderaan untuk Great Wall Motor (GWM), dengan EPMB yang melalui PJVM telah dilantik sebelum ini sebagai pemasang kenderaan kontrak untuk jenama itu di Malaysia bagi tempoh lapan tahun. EPMB akan memasang Haval H6 Hybrid dan Haval Jolion di Malaysia untuk GWM.

    Pada Oktober tahun lalu, EPMB umumkan yang lebih RM100 juta akan dilaburkan untuk pembinaan kilang di Melaka. Kemudahan itu dijangka akan mewujudkan sekitar 1,000 pekerjanaan baru dan mampu mengeluarkan 30,000 unit kenderaan setahun dalam fasa pertama operasinya. Menjelang 2028, syarikat ini sasarkan mampu mengeluarkan sebanyak 20,000 unit kenderaan.

     
     
  • Volkswagen sasar jadikan Malaysia hab eksport serantau, rancang pasang EV di sini – Zafrul

    Volkswagen sasar jadikan Malaysia hab eksport serantau, rancang pasang EV di sini – Zafrul

    Tidak lama lagi, kewujudan Volkswagen di dalam negara kita mungkin menjadi lebih besar. Itupun jika apa yang dikatakan oleh menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjadi kenyataan.

    Menurut beliau, pengeluar Jerman tersebut mempunyai perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat eksport bagi jenamanya. Dalam satu muatan di X, Zafrul berkata, perkara ini didedahkan oleh syarikat tersebut sewaktu pertemuan beliau dengan eksekutif Volkswagen Group Malaysia (VGM), sebagai satu jawapan kepada soalan yang beliau berikan.

    Volkswagen sasar jadikan Malaysia hab eksport serantau, rancang pasang EV di sini – Zafrul

    Dalam muatan itu juga beliau berkata, sebagai tambahan kepada model konvensional, syarikat itu turut mempunyai perancangan untuk mengeluarkan EV di Malaysia, tetapi perincian berkenaan nama model atau waktu pengeluaran bermula tidak didedahkan.

    Pemasangan tempatan sudah menjadi perkara biasa bagi Volkswagen di Malaysia dengan pada masa ini, Arteon R-Line, Golf GTI, Tiguan Allspace dan Touareg R-Line semuanya dipasang di kilang Hicom di Pekan, Pahang. Bagi Touareg, ia adalah pertama kali model tersebut dipasang di luar Eropah.

     
     
  • Beijing 2024: Leapmotor C01 sedan, SUV C10, C11, C16 dipamer; EV kompak T03 bakal masuk Malaysia?

    Beijing 2024: Leapmotor C01 sedan, SUV C10, C11, C16 dipamer; EV kompak T03 bakal masuk Malaysia?

    Ketika pameran Auto China 2024 yang baru berlangsung, ada banya model yang bakal masuk ke pasaran Malaysia turut dipamerkan kepada umum. Dan ini satu daripada jenama berkenaan, yang akan tiba buat pertama kali ke sini — Leapmotor, yang bernaung di bawah kumpulan Stellantis.

    Diumumkan sebelum ini bahawa Stellantis Malaysia merancang untuk memperkenalkan jenama tersebut dalam tahun 2024. Ia akan diposisikan sebagai jenama yang dengan model dalam segmen EV mampu milik sebagai satu daripada tiga jenama yang berada di bawah perancangan Stellantis Malaysia.

    Daripada barisan produk yang dipamerkan oleh Leapmotor di Beijing, model T03 nampak sesuai untuk dikelompokkan sebagai EV mampu milik. Model ini merupakan sebuah hatchback lima-pintu dan mempunyai ukuran panjang 3,620 mm.

    T03 menggunakan sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 70 kW (95 PS), yang ditawarkan dengan tiga mod pemanduan dan tiga mod stereng dengan jarak perjalanan 280 km (kitaran WLTP). Ciri lain yang ada termasuklah brek parkir elektrik dengan Auto Hold, bumbung panoramik, pelindung matahari elektrik, serta kawalan dari jauh untuk pra-pemanasan bateri, pendingin, parkir sendiri dan lokasi kenderaan.

    Selain T03, turut dipamerkan oleh Leapmotor ialah sedan C01, serta SUV C10, C11 dan C16. Memandangkan semua ini merupakan model yang lebih besar dan lebih mahal, berkemungkinan ia tidak akan menjadi yang bakal ditawarkan di Malaysia, memandangkan Leapmotor dikatakan bakal menjadi jenama EV mampu milik untuk Stellantis Malaysia.

    Leapmotor T03

    Leapmotor C01, C10, C11, C16

     
     
  • Isuzu D-Max 2024 facelift dilancar di M’sia pada 14 Mei

    Isuzu D-Max 2024 <em>facelift</em> dilancar di M’sia pada 14 Mei

    Isuzu D-Max facelift terbaru akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 14 Mei ini. Ini dikongsikan menerusi laman rasmi Isuzu Malaysia sekaligus mula mengambil pendaftaran bagi mereka yang berminat (ROI) untuk mengetahui lebih lanjut tentang trak pikap tersebut.

    Antara pembaharuan yang dilakukan untuk versi terbaru ini ialah rekaan gril depan yang lebih segar, begitu juga dengan rekaan bampar depan yang diberi kelainan di bahagian lampu kabusnya. Selain itu, lampu utama juga diberi bentuk baru dengan menampilkan jalur DRL bentuk baru.

    Di belakang, lampunya juga hadir dengan penampilan baru, serta garisan tambahan diberikan di bahagian pintu ruang barangannya. Namun, walaupun bahagian luaran banyak diberikan sentuhan rekaan baru, di dalam D-Max ini masih kekal menggunakan papan pemuka yang sama.

    Isuzu D-Max 2024 <em>facelift</em> dilancar di M’sia pada 14 Mei

    Untuk pasaran Thailand di mana model ini sudah pun dilancarkan pada Oktober tahun lalu, varian paling tinggi di sana menerima paparan multi-info tujuh-inci yang lebih besar, ada juga paddle shifter, serta ciri ADAS yang turut menghadirkan fungsi AEB, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan lampu tinggi automatik.

    Berdasarkan laman ROI Isuzu Malaysia tersebut, D-Max terbaru ini akan ditawarkan dalam beberapa varian dan konfigurasi sistem janaan kuasa. Ini termasuklah enjin turbodiesel 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder sebaris (190 PS/450 Nm) dan juga unit RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder sebaris (150 PS/350 Nm). Pilihan transmisi termasuklah manual dan automatik enam-kelajuan, serta ciri pacuan empat roda adalah standard untuk hampir kesemua varian.

    Berikut yang disenaraikan di laman berkenaan:

      Single Cab

    • 1.9L 4×4 MT
    • 3.0L 4×4 MT
    • Standard

    • 1.9L 4×4 MT
    • 1.9L 4×4 AT
    • Auto Plus

    • 1.9L 4×2 AT
    • Premium

    • 1.9L 4×4 AT
    • V-Cross 3.0L 4×4 AT
    • X-Terrain

    • 3.0L 4×4 AT

    Perincian lain seperti harga dan spesifikasi masih belum didedahkan sehingga tiba pada hari pelancarannya tak lama lagi.

     
     
  • VMoto TCMax, CPX Pro tiba di Malaysia – motosikal elektrik dengan tork sehingga 258 Nm, dari RM20k

    VMoto TCMax, CPX Pro tiba di Malaysia – motosikal elektrik dengan tork sehingga 258 Nm, dari RM20k

    Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech) hari ini melancarkan dua buah motosikal elektrik jenama VMoto untuk pasaran Malaysia, iaitu TC Max dan CPx Pro. Harganya masing-masing adalah RM19,900 dan RM25,900 dan diberikan dengan jaminan selama dua tahun.

    TC Max adalah sebuah motosikal yang membawa gaya naked dengan lampu LED bulat di hadapan dan dipacu oleh motor elektrik yang mampu memberikan kuasa maksimum 5.1 kW/6.8 hp dan tork 160 Nm. Memberi kuasa kepadanya adalah bateri lithium polimer 72V 45 Ah 3.24 kWh.

    Ia hanya boleh dicas melalui sumber AC menggunakan pengecas yang diberikan sekali bersama motosikal, sama ada dengan membawa keluar bateri ataupun membiarkan sahaja bateri di dalam motosikal. Dari kosong, ia akan mengambil masa 4.5 jam untuk penuh.

    Motosikal yang mempunyai berat 101 kg ini boleh memecut sehingga kelajuan 95 km/j dan memberikan jarak gerak sehingga 130 km dengan setiap kali cas penuh. Daripada motor yang berada di tengah, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Kelengkapan lain pada TC Max adalah seperti rim jejari saiz 17 inci hadapan dan belakang, brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem CBS, fork USD, monoshock di belakang meter gabungan analog dan LCD yang boleh memaparkan baki jarak perjalanan.

    CPx Pro pula adalah sebuah motosikal elektrik yang berbentuk lebih kepada skuter, dengan di bawah tempat duduknya terdapat dua bateri 60V 45Ah (2.7Kwh) yang boleh dibawa keluar jika mahu. Dengan pakej bateri yang lebih besar berbanding TC Max, CPx Pro boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 220 km dan memerlukan masa 3.5 jam (AC) untuk memenuhkan setiap satu baterinya.

    Menggerakkan motosikal ini adalah motor elektrik yang berkuasa 8 kW/10.7 hp dan tork 258 Nm, yang boleh membawanya mencecah kelajuan maksimum 105 km/j. Memudahkan lagi pengguna, CPx Pro turut menyediakan fungsi undur yang boleh diaktifkan menggunakan butang pada pemegang.

    Meskipun menggunakan motor jenis hab yang berada pada roda belakang, motosikal ini masih didatangkan dengan brek cakera di kedua-dua rodanya dan ia dilengkapi dengan sistem CBS. Berat keseluruhan CPx Pro adalah 143 kg.

    GALERI: VMoto TC Max

    GALERI: VMoto CPx Pro

     
     
  • Perkhidmatan KL Monorel telah mula kembali beroperasi sepenuhnya, bas perantara ditamatkan

    Perkhidmatan KL Monorel telah mula kembali beroperasi sepenuhnya, bas perantara ditamatkan

    Rapid rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah memaklumkan bahawa perkhidmatan KL Monorel kini telah kembali beroperasi sepenuhnya sejak jam 5 petang tadi.

    “Kerja-kerja pembersihan dan baikpulih telah dijalankan oleh Rapid Rail dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan berjaya diselesaikan pada jam 5.55 pagi tadi.

    “Pihak operasi dan jurutera struktur juga telah selesai menjalankan beberapa pemeriksaan menyeluruh dan terperinci mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan. Ini untuk memastikan struktur landasan stabil dan selamat untuk beroperasi,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Rapid Rail turut berkata, serentak dengan pengoperasian semula laluan monorel, maka perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ditamatkan serta merta.

    “Kekerapan tren kembali normal iaitu di waktu puncak selang 7 minit dan luar waktu puncak sekitar 10 minit,” katanya lagi.

    Susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap landasan Monorel petang semalam, Rapid Rail telah bertindak segera dengan menggantung perkhidmatan Monorel antara KL Sentral dan Medan Tuanku, serta menyediakan beberapa bas perantara untuk stesen yang terbabit.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 9-15 Mei – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih tidak berubah untuk minggu bertarikh 9 hingga 15 Mei 2024.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada pertengahan April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

     
     
  • Pusat 3S Nissan Retail Concept dibuka di Cyberjaya

    Bagi memperluaskan lagi rangkaian jenamanya, kini pusat 3S Nissan telah pun dibuka di Cyberjaya. Dikendalikan oleh Evo Mobility, fasiliti dengan kos pelaburan sebanyak RM1.5 juta ini telah beroperasi sejak Januari lalu, untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pelanggannya yang berada di sekitar Cyberjaya, Sepang dan Putrajaya.

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) berkata Evo Mobility mempunyai pengalaman selama lebih dua dekad dalam memperkukuhkan perniagaan yang berasaskan pengedaran bahan api di rantau selatan dan kini menceburi bidang automotif pula.

    Bertempat di Jalan Autoville 2, Autoville Cyberjaya (hab bagi perniagaan baikpulih dan jualan automotif di bandar berkenaan) dengan fasiliti seluas 7,300 kaki persegi, pusat 3S ini mampu menempatkan lima kenderaan di ruang pameran, menyediakan ruang penyerahan kenderaan baharu, ruang lounge untuk pelanggan dan juga dua petak selenggara yang boleh menyelenggara sehingga 200 kenderaan sebulan.

    Cawangan Nissan terbaharu ini juga mengetengahkan Nissan Retail Concept (NRC) terkini, yang mengikut jejak langkah pusat 3S jenama ini di Petaling Jaya dan tiga lokasi lain.

    “NRC adalah untuk menginovasikan pengedar Nissan dan menyampaikan standard perkhidmatan bertaraf global kepada pelanggan Nissan di seluruh dunia. Fokusnya adalah mempamerkan nilai jenama Nissan merentasi keseluruhan perjalanan pelanggan di pusat pengedaran, sama ada untuk memandu uji model terbaharu atau menghantar kereta untuk diselenggara,” kata ETCM dengan menambah lebih banyak bilik pameran akan menjalani transformasi NRC.

    Pusat 3S Nissan di Cyberjaya ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam untuk bahagian ruang pameran (03-76142215/019-2917100). Manakala pusat servis (03-76142215) pula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin-Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 tengahari pada hari Sabtu.

     
     
  • Malaysia laksana ujian rintis kod QR pelepasan imigresen di sempadan Johor-Singapura mulai Jun

    Malaysia laksana ujian rintis kod QR pelepasan imigresen di sempadan Johor-Singapura mulai Jun

    Pada Mac lalu, Singapura mengumumkan semua warga asing yang tiba dan keluar dari negara berkenaan dengan menaiki kereta sama menerusi pusat pemeriksaan Tuas atau pun Woodlands boleh menggunakan kod QR berbanding passport, untuk pelepasan imigresen yang lebih mudah dan pantas.

    Kini, Malaysia juga menyasarkan langkah yang sama, dan bakal melaksanakan ujian rintis kod QR bagi pelepasan imigresen di pintu masuk sempadan negara di Johor, laporan The Star. Projek rintis ini akan bermula Jun ini di kedua-dua fasiliti kuarantin, imigresen dan kastam di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

    “Perancangan awaluntuk projek perintis dijalankan bermula Jun. Bagaimanapun, ada kemungkinan perkara ini dilaksanakan pada tarikh yang lain. Ia bergantung kepada sama ada infrastruktur dan sistem yang dibangunkan untuk pelepasan kod QR sudah siap pada masa tersebut,” kata pengarah imigresen negeri Baharuddin Tahir kepada penerbitan akhbar terbabit.

    Katanya, pelepasan kod QR hanya akan digunakan untuk bas kilang yang melalui BSI dan KSAB dalam tempoh percubaan dijalankan. “Kami hanya akan menjalankan projek perintis ini melibatkan bas kilang. Jika semuanya berjalan lancar, ia kemudiannya akan diperluaskan merangkumi mod pengangkutan lain,” katanya.

     
     
  • Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Kali terakhir disegarkan pada tahun 2022, Yamaha MT-15 pasaran Malaysia kini diperkenalkan dengan warna baru Midnight Cyan, sebagai menggantikan warna Cyan Storm sebelum ini. Warna Icon Blue kini sudah tiada manakala Midnight Black masih disediakan sebagai pilihan.

    Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor untuk model naked ini adalah RM12,498 tidak termasuk insurans, dan ini melihatkan peningkatan berbanding harga RM12,298 sebelum ini. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Bagi kedua-dua warna yang ditawarkan sekarang, ia masih mendapat fork hadapan USD yang berwarna emas, sementara rim 17 inci yang masing-masing dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang dicat menggunakan warna sama seperti warna utama badan iaitu hitam untuk Midnight Black dan cyan untuk Cyan Storm.

    Yamaha MT-15 terima warna baru – harga RM12,500

    Bahagian lain motosikal masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Penukaran gear dijadikan lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper sementara lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Pada bahagian kokpit terdapat panel meter digital LCD.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera, sementara perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.

     
     
  • Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Pengedar kenderaan smart di Malaysia, Pro-Net, mengumumkan bahawa mereka telah mengembangkan lagi rangkaian pengecas kenderaan elektrik (EV) dengan meliputi pusat pengedar Proton Edar di seluruh negara. Pada masa sekarang, mereka mempunyai 36 ruang mengecas, merangkumi sembilan negeri dalam Malaysia.

    Sejak pengenalan pengecas DC di ibu pejabat Proton pada Oktober 2023, Pro-Net telah mengambil langkah memasang lebih banyak pengecas di pusat pengedar Proton Edar. Bersama dengan Gentari, syarikat itu telah berjaya memasang enam pengecas DC (12 ruang mengecas) yang terdiri daripada pengecas 50 kW, 100 kW dan 120 kW, serta tiga pengecas 60 kW.

    Pro-Net kembangkan rangkaian pengecas EV – 36 ruang mengecas di pusat pengedar Proton Edar, smart

    Ini adalah tambahan daripada jumlah pengecas yang sedia ada di pusat pengedar smart, di mana sekarang terdapat lima pengecas DC dan 13 pengecas AC di seluruh negara – 22 ruang mengecas. Banyak lagi pengecas akan dipasang, memandangkan smart telah mengumumkan pembukaan pengedar di Petaling Jaya dan Kota Kinabalu, Sabah.

    Pada masa ini, lebih 70% tempat mengecas awam boleh diakses melalui aplikasi Hello smart, hasil kerjasama dengan pengendali pengecas (CPO) seperti chargEV, JomCharge dan Gentari. Aplikasi ini dapat memberikan kemas kini langsung berkenaan pengecasan serta status ketersediaan pengecas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025