Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS umum Hentian Sebelah Serdang (utara), Sungai Buloh (selatan) ditutup mulai 10 Mei untuk naiktaraf

    Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa pihaknya akan menutup dua hentian sebelah bermula 10 Mei ini hingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Dua hentian terbabit ialah Hentian Sebelah Serdang (arah utara) dan Hentian Sebelah Sungai Buloh (arah selatan). Penutupan kedua-dua hentian sebelah itu adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan.

    Bagi penutupan Hentian Sebelah Sungai Besi di KM306.2, pengguna digalakkan untuk menggunakan kemudahan surau dan tandas di Plaza Tol Sungai Besi atau di hentian seterusnya, ujar PLUS.

    Berkenaan dengan penutupan Hentian Sebelah Sungai Buluh di KM454 pula, kemudahan di stesen minyak Petronas, parkir kenderaan berat dan tandas sementara masih beroperasi seperti biasa. “Pengguna digalakkan untuk menggunakan kemudahan surau dan tandas di kawasan berhampiran seperti Restoran Jejantas Sungai Buloh,” kata PLUS lagi.

     
     
  • Empat stesen Monorel tutup, bas perantara disediakan

    Empat stesen Monorel tutup, bas perantara disediakan

    Susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap landasan Monorel petang semalam, Rapid KL telah bertindak segera dengan menggantung perkhidmatan Monorel antara KL Sentral dan Medan Tuanku, serta menyediakan beberapa bas perantara untuk stesen yang terbabit.

    Menurut Rapid KL, mulai hari ini (8 Mac), empat stesen Monorel ditutup sehingga tempoh yang akan diumumkan. Stesen yang terbabit ialah Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi.

    Ini bermakna tren dari KL Sentral akan tiba di stesen Hang Tuah sebelum kembali ke Platform 2, dengan kekerapan 24 minit. Manakala tren dari Titiwangsa akan kembali ke Medan Tuanku, dengan kekerapan sekitar 15 minit.

    Selain itu, Rapid KL juga menyediakan 10 bas perantara yang akan beroperasi di laluan yang terlibat dengan penutupan stesen. Bas perantara tersebut tidak mengenakan sebarang kadar tambang dan akan bergerak dalam kekerapan sekitar 30 minit, bergantung pada keadaan trafik. Rapid KL juga menyarankan agar penggunanya menggunakan perkhidmatan awam lain termasuk LRT dan MRT.

    Tambah Rapid KL, buat masa ini kerja-kerja pembersihan dan pemulihan sedang dilakukan dengan bantuan DBKL. Pasukan operasi dan jurutera struktur juga sedang membuat semakan terperinci untuk memastikan operasi penuh dapat disambung semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.

     
     
  • Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Susulan berita yang tersebar tentang Shell mungkin menjual seluruh rangkaian stesen minyaknya di Malaysia kepada Saudi Aramco tempoh hari, Shell telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab persoalan tersebut.

    Apa yang menarik, kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat itu sangat ringkas dan padat hanya dalam dua ayat yang menyatakan “Malaysia sangat penting buat Shell. Kami masih terus komited kepada perniagaan mobiliti dalam negara.”

    Berita tentang ura-ura Shell mahu menjual perniagaan peruncitannya di Malaysia kepada Saudi Aramco dilaporkan oleh Reuters awal minggu ini, dengan menyatakan perbincangan tentang urusniaga itu telah bermula pada lewat 2023 dan ia mungkin akan dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang. Sumber yang rapat dengan perkara tersebut juga menyatakan perjanjian tersebut mungkin bernilai sekitar empat hingga lima bilion ringgit.

    Shell tegaskan Malaysia adalah pasaran penting, komited dengan perniagaan mobilitinya di sini

    Buat masa sekarang Shell mempunyai sekitar 950 stesen minyak di Malaysia bagi membolehkan ia menjadi rangkaian perniagaan bahan api kedua terbesar dalam negara selepas Petronas. Ia juga mempunyai rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) Shell Recharge DC dan AC serta ParkEasy di sini.

    Salah satu sumber memberitahu Reuters bahawa usaha syarikat itu untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual kilang penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan bahan api kepada rangkaian itu.

     
     
  • Sime Darby Auto Hyundai buka cawangan di Balakong

    Sime Darby Auto Hyundai buka cawangan di Balakong

    Sime Darby Auto Hyundai (SDAH) telah memperluaskan rangkaiannya di Lembah Klang dengan membuka bilik pameran baharu yang terletak di Balakong, disasarkan untuk pelanggan yang tinggal di kawasan berhampiran termasuk Cheras.

    Dengan bangunan 2.5 tingkat berkeluasan 7,200 kaki persegi, SDAH Balakong menampilkan bilik pameran, ruang lounge dan bilik konsultasi di tingkat bawah, sementara pejabat pula di bahagian atas. Cawangan jualan ini juga menyediakan pengecas AC 11-kW untuk kegunaan pemilik kenderaan elektrik (EV).

    “Kami sangat gembira mengalu-alukan cawangan Balakong baharu ke dalam keluarga Sime Darby Auto Hyundai, yang memenuhi peranan penting dalam mengukuhkan rangkaian kami di Lembah Klang,” kata Joey Lin selaku Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM).

    Tambah beliau, pihaknya komited dalam memenuhi permintaan pelanggan dan akan mempamerkan barisan model Hyundai yang terbaik dan bertaraf dunia untuk pasaran tempatan.

    SDAH Balakong terletak di 47 Jalan Tengah, Cheras Selatan 118, Cheras, 43200, Selangor dan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, manakala waktu operasi untuk Ahad dan cuti umum pula dari 10 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    RHB Invesment Bank (RHB Investment) menjangkakan pemotongan subsidi bahan api yang bakal dibuat tidak lama lagi mungkin akan memberikan kesan kepada sektor automotif, khususnya jualan untuk model-model segmen pasaran pertengahan.

    Dalam satu nota penyelidikan dari firma tersebut yang dilaporkan oleh DagangNews menyatakan bahawa, hal ini kerana kumpulan berpendapatan rendah masih dijangka menerima subsidi manakala golongan berpendapatan tinggi mungkin tidak begitu terkesan oleh penarikan subsidi.

    “Sentimen keseluruhan terhadap sektor automotif masih hambar ketika ini disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pemotongan subsidi bahan api,” kata badan penyelidikan tersebut.

    Walaupun belum disebutkan dengan jelas bila subsidi bahan api ini akan ditarik, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara.

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    Walau bagaimanapun, RHB Invesment positif terhadap semakan gaji untuk penjawat awam, kerana kenaikan melebihi 13% yang diberi cukup untuk menarik para pengguna untuk membuat perbelanjaan besar.

    “Biarpun begitu, tiada pindaan dibuat pada andaian perolehan kami buat masa ini, kerana sentimen keseluruhan terhadap sektor ini masih hambar disebabkan oleh ketidaktentuan yang timbul daripada langkah pewajaran subsidi,” tambah nota berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, RHB Investment menyatakan bahawa kadar kelulusan pinjaman untuk pembelian kenderaan YTD-2024 pula mencecah 58% berbanding 62-63% pada 2022-2023, sedangkan sedangkan pinjaman kasar buat pembelian kereta hanya menokok 2.7%, walaupun jualan kenderaan (TIV) menaik 5%.

    Firma itu menjelaskan bahawa hal ini mungkin menunjukkan syarat kelayakan untuk pemberian pinjaman sudah diperketat, di samping pengguna mula beralih kepada kenderaan yang lebih berpatutan harganya.

    Jualan kereta segmen M40 mungkin terjejas selepas subsidi bahan api dipotong – RHB Investment

    “Diburukkan lagi oleh tekanan inflasi yang terus meninggi, jualan kereta dipercayai akan terus merudum pada suku-suku mendatang apabila jumlah jualan kereta kembali ke paras biasa selepas tempoh pecah rekod tahun lalu.

    “Untuk 2Q24, kami selalunya meramalkan TIV semakin melemah QoQ susulan cuti perayaan Aidil Fitri dan penutupan sementara operasi kilang oleh syarikat pengeluar utama untuk tujuan penyenggaraan,” jelas RHB Investment dalam nota itu lagi dan menambah pihaknya yakin paras TIV sekarang tidak mampu dikekalkan berikutan kurangnya faktor pendorong untuk mencapai paras jualan baharu selepas memecah rekod jualan selama dua tahun.

    “Maka, ramalan TIV dan wajaran sektor NEUTRAL kami dikekalkan untuk masa sekarang. Kami lebih menyukai saham saham automotif yang bernilai murah selain yang turut memaparkan pertumbuhan perolehan kukuh yang jelas.

    “Bermaz AUTO dipilih sebagai Syarikat Utama kami kali ini,” kata badan itu lagi.

     
     
  • Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memperkenalkan warna baru untuk model naked MT-25, yang kini ditawarkan dalam warna Midnight Black dan Midnight Cyan. Bersama dengan warna baru ini, harga untuk model ini juga naik RM1k berbanding harga akhir pada tahun 2022, menjadi RM23,998 tidak termasuk insurans.

    Bagi warna baru Midnight Black ini, seperti yang dapat dijangka dari namanya, menggunakan hampir keseluruhan panel berwarna hitam manakala warna Midnight Cyan jadi lebih menyerlah dengan rim serta pelekat tepi berwarna terang.

    Bahagian lain motosikal ini masih tidak berubah, dengan enjin masih menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Yamaha MT-25 terima warna baru – harga naik RM1k

    Memegang rim 17 inci pada MT-25 adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang, manakala brek yang terdiri daripada unit cakera hadapan dan belakang dilengkapi secara standard dengan ABS.

    Kelengkapan lain MT-25 adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, meter LCD, semua lampu jenis LED, berat 167 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km serta kunci cakera brek yang bernilai RM100.

     
     
  • Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk facelift, model off-road ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Ketika di pameran Auto China 2024, ruang pamer jenama Jetour — sebuah lagi jenama China yang akan masuk ke pasaran Malaysia — menampilkan beberapa model terkini syarikat itu. Merupakan sub-jenama kepada Chery, Jetour akan memperkenalkan model Dashing dan SUV Jetour 7-tempat duduk di Malaysia pada separuh kedua 2024.

    SUV Jetour 7-tempat duduk

    Di China, SUV Jetour 7-tempat duduk telah menerima facelift yang ketara dengan wajah depan yang berbeza: gril besar dengan garis lintang. Lampu depannya juga kini dalam bentuk jalur yang terletak di bawah garisan bonet. Di belakang pula tidak terlalu besar pembaharuannya, menampilkan lampu dengan grafik baru, sementara bamparnya kini dengan elemen di bahagian sudut — kemasan krom di ekzos juga nampak jelas.

    Di dalam, SUV Jetour 7-tempat duduk yang dikemaskini ini mempunyai dua paparan yang lebih besar dengan papan pemuka yang corong pendinginnya luas. Skrin ketiga untuk sistem pendingin pula kekal sama, tetapi konsol tengah menerima tuil gear kaca yang menarik.

    Untuk kuasa, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empats-silinder sebaris yang menjana sebanyak 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 230 Nm untuk pasaran China. Ini digandingkan sama ada dengan transmisi manual enam-kelajuan atau DCT pacuan roda depan. Ada juga enjin 1.6 liter dengan janaan 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 290 Nm yang digandingkan dengan DCT tujuh-kelajuan, juga dengan pacuan roda depan.

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Jetour L6

    Tambahan model terbaru jenama ini ialah L6, yang menjadi sebahagian daripada siri tenaga diperbaharui (NEV) Shanhai untuk pasaran di sana. Dipertontonkan sebagai model konsep X-2 di Auto Shanghai tahun lalu, L6 akan ditawarkan sebagai model plug-in hybrid dan elektrik penuh, menurut laporan media China.

    Versi pertama dikatakan menggunakan sistem C-DM Chery dengan enjin 1.5 liter turbocas dan motor elektrik untuk memberikan jarak hibrid sejauh 1,400 km — versi EV pula belum ada maklumat lanjut. L6 bakal menjadi varian NEV terbaru bagi Dashing, dan mempunyai ukuran dimensi yang sama — 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,720 mm.

    Kabinnya juga mirip Dashing, dengan sebuah skrin sentuh besar mendominasi di tengah. Stereng juga nampak sama, sementara kluster instrumen digital kecil disepadukan di depan pemandu. Satu perbezaannya ialah di konsol tengah, yang bersambung dengan corong pendingin untuk L6, dan terpisah untuk Dashing.

    Beijing 2024: SUV Jetour 7-tempat duduk <em>facelift</em>, model <em>off-road</em> ringan T2 versi PHEV, SUV L6 dipamer

    Jetour T2

    T2, atau turut dikenali sebagai Traveller bukanlah model baru dalam barisan kenderaan Jetour, namun unit yang dilihat ini ialah versi plug-in hybrid. Dilancarkan ketika pameran tersebut dengan harga antara 179,900 dan 209,900 yuan (sekitar RM118k dan RM138k), versi PHEV ini juga sebahagian daripada model siri Shanhai.

    T2 dilengkapi enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 PS (154 hp atau 115 kW) dan 220 Nm dan digandingkan bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT) tiga-kelajuan dan motor elektrik, yang menjana 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 390 Nm untuk memberikan output keseluruhan 381 PS (375 hp atau 280 kW) dan 610 Nm.

    Dua kapasiti bateri lithium iron phosphate (LFP) ditawarkan sebagai pilihan: unit 26.7-kWh yang memberikan 100 km jarak elektrik sepenuhnya mengikut kitaran WLTC, serta laju maksimum 197 km/j; dan pilihan kedua, unit 43.24-kWh yang memberikan jarak elektrik 161 km (WLTC), dengan laju maksimum 210 km/j. Dalam mod hibrid, jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 1,300 km.

    Perincian pengecasan tidak dinyatakan, tetapi T2 menyokong pengecasan AC dan DC, serta ada fungsi V2L sehingga 6.6 kW, dengan satu lagi soket luaran di bahagian barangan tersedia dengan output 2.2 kW.

    SUV Jetour 7-tempat duduk

    Jetour L6

    Jetour T2

     
     
  • KL Monorel antara Stesen Hang Tuah-Medan Tunku dihenti sementara ekoran insiden pokok tumbang

    KL Monorel antara Stesen Hang Tuah-Medan Tunku dihenti sementara ekoran insiden pokok tumbang

    Rapid KL telah memaklumkan semua stesen Monorel di antara Stesen Hang Tuah dan Medan Tunku tidak dapat beroperasi buat sementara waktu susulan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde sebentar tadi.

    Menurut Rapid KL, walau bagaimana pun pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan alternatif termasuk menggunakan perkhidmatan LRT dari/ke stesen KL Sentral, Hang Tuah, Dang Wangi dan Titiwangsa. Atau pun menaiki tren MRT dari/ke stesen Muzium Negara, Bukit Bintang dan juga Titiwangsa.

    “Penumpang juga boleh menaiki bas perantara percuma di antara stesen KL Sentral ke stesen Medan Tuanku bernombor WVH 9625, WUW 4146 dan PJH 4872. Kekerapan bas adalah setiap 10 hingga 15 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa. Sila dapatkan bantuan pegawai stesen atau polis bantuan jika perlu,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook rasminya.

    Kira-kira jam 2.30 petang tadi, pokok tumbang terbabit telah menghempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku ketika hujan lebat sedang melanda sekitar ibu kota. Ekoran insiden tersebut, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Buat masa ini, belum ada perincian penuh dari pihak berkuasa termasuk jumlah mangsa yang terlibat.

     
     
  • Pokok tumbang hempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde

    Pokok tumbang hempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde

    Jabatan Penerangan WPKL melaporkan terdapat insiden pokok tumbang dan telah menghempap beberapa buah kenderaan di Jalan Sultan Ismail, berhampiran Hotel Concorde KL. Kejadian berkenaan dipercayai berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika hujan lebat melanda sekitar ibu kota.

    Ekoran insiden tersebut, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara. Setakat ini pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur sudah menggerakkan beberapa jentera dan anggotanya ke lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBPM KL, setibanya di lokasi berkenaan, pihaknya mendapati 17 buah kenderaan telah dihempap oleh pokok terbabit dan landasan monorel di sebelah atas juga terhalang dek dahan-dahan pokok itu.

    “Insiden tersebut turut merosakkan fasiliti awam iaitu perhentian bas di tepi jalan. Terdapat dua orang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat. Mangsa pertama seorang lelaki Melayu berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia, manakala mangsa kedua lelaki Melayu berusia 26 tahun mengalami kecederaan.

    “Operasi Kerja-kerja menyelamat dan pemotongan serta pembersihan sedang giat dilakukan oleh anggota Bomba dalam mengenal pasti mangsa yang masih terperangkap,” kata Komander Operasi, PBK II Muhammad Amirudin bin Mohd Hassan.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau mengalami kerosakan teruk akibat pokok tumbang atau sebagainya.

     
     
  • Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    EON mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di ibupejabatnya di Glenmarie, hari ini. Kesempatan itu turut digunakan untuk mengumumkan pemenang bagi cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024.

    Pemenang hadiah utama ialah Siti Khairunadia Mohd Sharifuddin Paloh, yang berusia 21 tahun dari Johor Bahru dan membeli Proton Saga 1.3 Standard ketika acara EON & Sahabat Autofest 2024 yang diadakan pada 1-3 Mac lalu. Beliau membiayai pembelian kereta tersebut melalui platform pembiayaan digital baru EON. Hadiahnya? Sebuah Proton S70 Flagship.

    “Saya tidak pernah membayangkan akan terpilih sebagai pemenang hadiah utama ini ketika membuat tempahan Saga tempohari. Saya sangat gembira dengan ganjaran yang diterima ini,” ujar Siti Khairunadia.

    CEO EON, Akkbar Danial menyerahkan Proton S70 Passion Red yang dimenangi Siti Khairunadia dan empat lagi hadiah cabutan bertuah kepada pemenang lain, dengan barangan seperti pembersih hampagas Dyson dan iPad. Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan ialah RM100,000.

    Pemenang cabutan bertuah EON & Sahabat Autofest 2024 bawa pulang sebuah Proton S70 Flagship

    “Kami berbesar hati dengan kejayaan EON & Sahabat Autofest 2024. Kami mencatatkan rekod jualan sebanyak 650 unit, yang mana angka tersebut 30% melebihi sasaran. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dan berharap pelanggan akan terus memberikan sokongan kepada kami sebagai pengedar kenderaan pelbagai jenama terbesar di negara ini,” ujar Akkbar.

    EON merupakan sebuah anak syarikat DRB-Hicom mungkin sinonim dengan jenama Proton. Tetapi syarikat itu juga turut mengedarkan kenderaan lain seperti Mitsubishi Motors, Audi, Volkswagen, smart, Isuzu, Daihatsu, Honda, Modenas dan Kawasaki.

     
     
  • smart #3 – Pendaftaran minat SUV EV dibuka di M’sia

    smart #3 – Pendaftaran minat SUV EV dibuka di M’sia

    Pendaftaran minat atau registrations of interest (ROI) untuk smart #3 telah pun dibuka di Malaysia, selepas ia dipertontonkan menerusi acara KL Car Free Morning di Kuala Lumpur baru-baru ini. Difahamkan SUV elektrik (EV) ala coupe ini juga akan dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.

    smart #3 merupakan model kedua dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz, dengan model pertamanya ialah #1. Baru-baru ini smart Malaysia mengumumkan bahawa smart #1 kini merupakan model ketiga paling laris dalam kelasnya iaitu untuk segmen SUV EV premium yang dijual pada harga lebih dari RM180,000. Mampukah #3 mengikut jejak abangnya itu apabila dilancarkan di sini kelak?

    Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berukuran 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.

    Model ini dikatakan mampu bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP yang lebih realistik. Untuk bentangan unit rangkaian kuasa pula adalah sama seperti yang ditawarkan pada #1 di mana versi asas hanya memacu roda belakang dengan motor tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala varian paling berkuasa dengan lencana Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW).

    Imej rasmi sebelum ini mendedahkan #3 menampilkan reka bentuk papan pemuka yang seiras dengan #1, namun dengan sedikit perincian berbeza termasuk corong pendingin hawa bulat pada konsol tengah dan unit bujur pada bahagian sisi.

    Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh ‘ala terapung’ sentral 12.8-inci, sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara serta bumbung suria panoramik yang menambahkan pencahayaan ke dalam kabin.

    Untuk harganya di pasaran Malaysia masih belum didedahkan. Namun #3 yang dipertingkatkan di China berharga dari 164,900 yuan (RM109,200) untuk Standard Range, dan Dynamic Long Range pula berharga 184,900 yuan (RM122,400). Bagi Dynamic AWD pula berharga 219,900 yuan (RM145,600), dan varian Brabus ditawarkan pada harga 289,900 yuan (RM191,900).

    GALERI: smart #3

     
     
  • Geely Galaxy E5 didedah di China – EV baru guna platform GEA, petunjuk EV Proton pada tahun 2025?

    Geely Galaxy E5 didedah di China – EV baru guna platform GEA, petunjuk EV Proton pada tahun 2025?

    Geely secara rasminya telah mendedahkan gambar untuk E5, iaitu model elektrik penuh pertama bagi siri Galaxy keluaran jenama itu. Ia dijangka mula dijual di China suku kedua tahun ini, dengan harga jualan antara 150,000 ke 200,000 yuan (sekitar RM99k ke RM131k).

    Menurut laporan, E5 dibina atas platform Geely Electric Architecture (GEA), yang boleh menerima pelbagai jenis penggerak dan menggunakan merupakan evolusi daripada platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang digunakan untuk model seperti Polestar 4, Volvo EM90 dan Zeekr 001.

    Buat masa ini, perincian penggerak Galaxy E5 masih belum didedah tetapi Geely memberitahu, ia akan datang dengan sistem pemanduan pintar 11-dalam-1 serta sistem keselamatan bateri Shendun. Laporan yang dikeluarkan oleh CarNewsChina mengatakan, kementerian industri dan informasi teknologi (MIIT) China menunjukkan E5 akan ditawarkan dengan tetapan satu motor berkuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW), laju maksimum 175 km/j dan bateri lithium iron phosphate (LFP).

    Berkenaan dimensi, E5 mencatat ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak roda 2,750 mm. Catatan ini menggambarkan sebuah SUV saiz sederhana, dengan jejak seperti Honda CR-V yang dijual di negara kita. Ini juga bermakna, ia lebih besar berbanding Tesla Model Y.

    Untuk rekaan, E5 dilihat mendapat inspirasi daripada sedan Galaxy E8, dengan ciri rekaan sama, seperti lampu utama yang nipis serta jalur lampu di keliling kemasan di hujung bampar. Bahagian tepi mempunyai sedikit lekuk dan pembuka pintu menggunakan jenis yang rata dengan permukaan.

    Di bahagian belakang terdapat jalur lampu panjang yang bersambung dari kiri ke kanan dan di bahagian tengah terdapat lencana tulisan Geely. Atas penutup but terdapat spoiler pendek. Masuk ke dalam pula, kita dapat melihat skrin sesentuh sistem infotainmen yang besar pada papan pemuka serta panel instrumen digital.

    Di bahagian lain terdapat ciri seperti konsol tengah lebar dengan tombol kawalan di atasnya, head-up display, roda stereng berbentuk heksagon, pembesar suara atas papan pemuka serta pelbagai ruang simpanan barang.

    Seperti yang dilaporkan Mac lalu, Proton memberitahu EV yang mereka akan keluarkan adalah sebuah model baru yang dibangunkan bersama Proton dan Geely, dan ia bukanlah sebuah model semasa yang sekadar ditukar lencananya. Dengan harga jualan yang menarik, mungkinkah SUV ini akan menjadi asas kepada EV yang akan dikeluarkan oleh Proton nanti?

     
     
  • Jenama China kuasai 33% jualan kenderaan global

    Jenama China kuasai 33% jualan kenderaan global

    Kenderaan jenama China memegang 33% daripada jualan global kenderaan penumpang pada bulan Mac 2024, yang mana bersamaan dengan 8.15 juta unit. Perkara ini didedahkan melalui satu statistik yang dikeluarkan oleh China Passenger Car Association (CPCA), dan dilaporkan oleh CarNewsChina.

    Dalam suku pertama tahun ini, 21.05 juta kenderaan terjual di seluruh dunia, menunjukkan peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Di dalam kalangan pengeluar China, Geely adalah satu-satunya pengeluar dari negara itu yang berjaya masuk ke dalam senarai 10 teratas, dengan jualan 738,400 buah kenderaan. Ini bersamaan dengan 3.5% daripada jualan keseluruhan global, dan meletakkan syarikat itu di tempat ke-10.

    Melihat kepada statistik itu lagi, BYD berada hanya satu tempat di belakang Geely, dengan memegang 3.2% daripada jualan global, sementara Chery pula berada di tempat ke-12 dengan pegangan 3.0%. Melihat pula kepada pegangan jualan di dalam China sahaja, BYD berada di tempat pertama dengan 9%, manakala Geely memegang 2.0% dan Chery 3.0%.

    Jenama China lain yang termasuk dalam senarai 20 teratas global adalah Changan, iaitu di tempat ke-15 dengan pegangan jualan 2.6% (8% di China) dan SAIC yang berada di tempat ke-16 dengan menyumbang 1.7% daripada jumlah jualan global (4% di China).

    Melihat secara keseluruhan, jualan global paling banyak datang daripada Toyota, dengan pegangan sebanyak 10.6%, dan menjadikannya sebagai satu-satunya pengeluar yang mencatat lebih daripada 10%. Ia kemudiannya diikuti kumpulan Volkswagen (9.5%), Hyundai 7.4%, Stellantis 6.9%, Renault-Nissan-Mitsubishi 6.5% dan General Motors 5.4%.

    Statistik yang dikeluarkan juga mendedahkan lima jenama China yang mengeksport paling banyak kenderaan pada suku pertama tahun 2024, iaitu SAIC (126,053 unit), Chery (117,719 unit), Great Wall Motor (77,935 unit), BYD (51,138 unit) dan Geely (46,752 unit).

     
     
  • PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengutip sejumlah RM2,452,510 hasil bayaran saman trafik tertunggak dalam Program Madani Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada hujung minggu lalu. Mengikut info grafik di atas, pada hari terakhir program terbabit, PDRM berjaya mengutip jumlah bayaran saman trafik yang tertinggi menerusi acara berkenaan.

    Kutipan bayaran saman trafik yang tinggi itu pastinya disumbangkan dengan diskaun sebanyak 50% yang ditawarkan oleh PDRM. “Diskaun saman PDRM sebanyak 50% mendapat sambutan hangat serta memudahkan orang awam untuk melakukan semakan dan pembayaran saman. Tahniah kepada PDRM atas inisiatif ini dan terima kasih kepada pengunjung yang telah melunaskan saman,” kata KDN menerusi Facebook rasminya.

    PDRM kutip RM2.4 juta hasil bayaran saman trafik dalam Program Madani Zon Utara hujung minggu lalu

    Adakah ini bermakna KDN akan terus memberikan ‘lampu hijau’ kepada PDRM untuk memberikan diskaun saman trafik? Pada kami, mungkin ada kebarangkalian. Apatah lagi dengan kempen penawaran diskaun ini sering kali mendapat sambutan hangat dari orang ramai bagi melunaskan tunggakan saman trafik ini. Malahan, PDRM sendiri acapkali menawarkan diskaun ini menerusi pelbagai acara di seluruh negara.

    Berbeza dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di mana Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tiada polisi pemberian diskaun saman oleh JPJ. Perkara ini pernah disuarakan oleh Menteri MOT, Anthony Loke yang berkata saman adalah bertujuan untuk mendidik, dan memberikan diskaun juga adalah tidak adil bagi mereka yang membayarnya lebih awal.

    Loke menambah JPJ sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk keselamatan jalan raya, tidak akan berkompromi dalam isu ini, dan kabinet serta Ketua Setiausaha Serajaan Tan Sri Mohd Zuki Ali telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

     
     
  • Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Kemalangan jalan raya yang melibatkan antara lori dan motosikal kerap terjadi di negara kita dan situasi ini sangat membimbangkan. Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, kemalangan itu terjadi apabila satu kenderaan berlanggar dengan kenderaan lain yang memasuki kawasan blind spot atau titik buta, laporan Berita Harian.

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata kemalangan itu terjadi apabila satu kenderaan berlanggar dengan kenderaan lain yang memasuki kawasan titik buta.

    “Kenderaan berat seperti lori dan treler mempunyai titik buta yang lebih banyak dan besar berbanding motosikal dan kereta. Hal ini membuatkan bayangan motosikal dan kereta tidak dapat dilihat pemandu kenderaan berat apabila memasuki titik buta terutama di selekoh tajam,” kata Dr Wong.

    Masuk kawasan blind spot jadi penyumbang utama kemalangan antara lori dan motosikal – MIROS

    Tambah beliau, penggunaan kamera papan pemuka atau dashcam bagi setiap kenderaan digalakkan bagi membantu siasatan polis berkaitan kes langgar lari.

    “Cari kamera papan pemuka yang mampu milik serta mempunyai kualiti video yang baik bagi memudahkan mengenal pasti ciri-ciri kenderaan terbabit. Bagi pemandu yang sudah lama mempunyai kamera papan pemuka, mereka perlu selenggara dari semasa ke semasa untuk mengelakkan perkara seperti kad memori rosak atau kualiti video teruk berlaku,” katanya.

    Jelas beliau lagi, kes langgar lari sukar dibendung jika masyarakat tidak dipupuk dengan sikap bertanggungjawab terhadap suatu masalah.

    “Langgar dan lari adalah pilihan individu kerana mereka ingin mengelak daripada terkena hukuman ataupun denda. Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu mendidik masyarakat kita dengan sifat tanggungjawab, berani mengaku kesalahan yang telah dilakukan serta menghadapi hukumannya. Pihak kami sedang berusaha untuk syarikat dan komuniti membabitkan diri dalam mengatasi perkara ini,” katanya.

    Menurut Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Universiti Tun Hussien Onn, titik buta adalah kawasan di sisi kenderaan yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin belakang, cermin sisi atau peranti kamera kenderaan yang sedang dipandu. Titik buta ini terhasil dari had reka bentuk kenderaan, yang mana pada kedudukan tertentu, pemandu tidak akan dapat melihat aktiviti sekitar kenderaan tanpa bergerak dari posisi pemanduan biasa.

    Pemandangan pemandu akan terhalang oleh sudut pandangan yang terlindung. Walaupun hampir kesemua jenis kenderaan mempunyai had yang menyebabkan terhasilnya titik buta, terdapat juga kenderaan yang tidak mempunya titik buta iaitu basikal dan motosikal. Tetapi dua jenis kenderaan ini paling kerap juga terlibat dengan kemalangan yang disebabkan oleh titik buta kenderaan lain, atau dengan ringkasnya mereka ini tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan lain.

    Semakin jauh dan semakin besar sudut pandangan yang boleh capai ketika dalam kedudukan badan mengawal stereng dan pemanduan bermaksud semakin besar kebolehan kita untuk melihat bahaya yang mungkin menghampiri kita. Zon titik buta pula adalah yang sebaliknya, iaitu sudut atau kedudukan di sekeliling kenderaan yang tidak kelihatan melalui cermin pandang belakang serta cermin sisi kenderaan yang sedang dipandu.

    Dimensi dan reka bentuk kenderaan serta jarak kedudukan antara pemandu dan stereng boleh mempengaruhi saiz dan kedudukan titik buta. Semakin besar dan tinggi kenderaan contohnya, lori, bas dan van, semakin besar zon titik buta terhasil. Selain itu reka bentuk bahagian tiang yang memegang sisi cermin hadapan kenderaan juga turut sama mempengaruhi kedudukan titik buta. Tiang ini boleh menghalang penglihatan pemandu terutama ketika hendak membelok di persimpangan.

    Sebagai pemandu atau penunggang motosikal, apa yang boleh anda lakukan ialah sesuaikan kedudukan cermin sisi dan cermin pandang belakang agar dapat memberikan sudut pandangan yang lebih luas. Penggunaan cermin atau kamera tambahan boleh memberi manfaat keselamatan kepada anda di atas jalan.

    Jangan lupa untuk guna kedua-dua cermin sisi dan cermin pandang belakang setiap kali hendak menukar lorong. Selain penglihatan melalui cermin, sebaiknya ambil sedikit masa untuk pusingkan kepala dan badan untuk melihat sebelah kenderaan anda untuk betul-betul memastikan sekiranya ada objek yang mungin tidak dapat dilihat melalui cermin sebelum menukar lorong. Paling penting, ketahui dan sentiasa peka serta beri perhatian kepada zon titik buta kenderaan lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025