Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Laporan siasatan plat pendaftaran klasik yang terkandung dalam JPJ Pandora Papers sudah tersedia

    Laporan siasatan plat pendaftaran klasik yang terkandung dalam JPJ Pandora Papers sudah tersedia

    Pada September lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan penubuhan pasukan untuk meneliti dakwaan yang dibuat dalam JPJ Pandora Papers, di mana terdapat kes salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkaitan pendaftaran plat kenderaan klasik.

    Dalam dokumen setebal 28 muka surat itu, yang dikeluarkan ke domain awam melalui kumpulan aplikasi Telegram, senarai nombor plat mengikut tahun sejak 2007 dan mengikut negeri telah dikeluarkan dan didakwa telah dihidupkan semula serta didaftarkan pemilikannya. Dokumen itu mendakwa plat pendaftaran berkenaan dijual pada harga mampu milik, sama ada kepada individu atau syarikat, dan aktiviti itu dikatakan didalangi oleh pegawai JPJ.

    Terkini, menteri MOT, Anthony Loke, berkata, laporan siasatan oleh pasukan khas yang menyiasat dakwaan terkandung dalam JPJ Pandora Papers itu akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha (KSU) MOT untuk dinilai dan diambil tindakan seterusnya.

    Jelasnya setakat ini memang diakui wujud beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam proses pendaftaran nombor klasik memandangkan nombor plat tersebut diperoleh mengikut kaedah sedia ada, namun ia perlu diperketatkan dan dikawal, laporan Bernama.

    “Ini kerana nombor-nombor klasik itu dahulunya didaftarkan tanpa satu proses sistem yang telus dan terperinci kerana pada zaman 50-an dan 60-an ia didaftar secara manual, tidak ada dalam sistem komputer atau aplikasi seperti MySikap.

    “Kerana itu kadang-kadang apabila nombor itu didaftarkan, mereka ingat tidak dimiliki sesiapa (nombor pendaftaran terbabit) tetapi suatu masa kemudian, pemilik sebenar datang dan tuntut kembali nombor tersebut. Jadi ia menimbulkan keraguan ke atas sistem kita dan bagi memastikan tiada pertindihan pemilikan pada masa akan datang, kita akan ketatkan dan kawal pendaftarannya,” tambah beliau.

     
     
  • Geng kereta tayang video masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak – janganlah buat begini!

    Geng kereta tayang video masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak – janganlah buat begini!

    Kadang kala dalam kita hendak ‘berkongsi kegembiraan’ atau pun nak show off buat sesuatu yang mungkin orang lain tak buat, hakikatnya tertunjuk pulak kedangkalan kita sendiri. Sedarkan anda bahawa apabila berada di stesen minyak, bukan sahaja tidak dibenarkan merokok, menggunakan pemetik api, menyalakan mancis, apatah lagi memasak menggunakan dapur mudah alih lagilah dilarang sama sekali. Ini kerana, perbuatan itu mungkin boleh mendatangkan bahaya yang tidak terduga termasuk mungkin berlakunya kebakaran.

    Untuk pengetahuan anda (bagi yang tak tahu atau pun pura-pura tak tahu), bahan api petrol merupakan cecair yang mudah meruap dan sangat mudah terbakar.

    Namun inilah yang dilakukan oleh sekumpulan geng kereta yang anda boleh saksikan menerusi video yang sedang tular di laman media sosial. Betapa gembira dan selambanya mereka memasak mi segera dengan menggunakan dapur mudah alih di sebuah stesen minyak Petron berhampiran Genting Highlands. Bagaikan sedang berpiknik di tepian pantai. Tanpa menghiraukan keselamatan sendiri dan sekeliling, mereka berjemaah memasak mi segera dan menjamu selera.

    Okay, ketika ‘peristiwa tersebut’ memang tidak terjadi sebarang musibah, masih dilindungi-NYA. Tetapi tidakkah mereka tahu atau pun buat-buat tak tahu, perbuatan tersebut ternyata menyalahi undang-undang dan mampu mendatangkan bahaya yang tidak terduga. Tolonglah, gunakan akal fikiran dan ketepikan kepentingan sendiri, jangan merisikokan nyawa orang lain kalau tidak sayangkan nyawa sendiri. Hendak bergembira tak salah, tapi biarlah sesuai pada tempatnya.

     
     
  • Perodua bawa teknologi hibrid ke Malaysia Autoshow?

    Perodua bawa teknologi hibrid ke Malaysia Autoshow?

    Minggu depan akan berlangsung Malaysia Autoshow 2024 dan gambar promosi yang dikeluarkan oleh penganjur acara itu menampakkan seakan Perodua bakal mempamerkan teknologi penggerak hibrid mereka di sana.

    Meskipun dalam barisan model Perodua sekarang sudah ada model hibrid, iaitu Ativa Hybrid, ia sebenarnya cuma model Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid yang ditukar logo dan masih dalam fasa penggunaan ujian (ditawarkan secara langganan) di negara kita.

    Sebelum ini Perodua pernah memberitahu bahawa model hibrid pertama mereka akan dilancarkan sebagai satu varian dalam model yang ditukar sepenuhnya, sekaligus menolak keluar Ativa sebagai salah satu calonnya. Myvi juga masih lagi baru diberikan facelift, iaitu pada tahun 2021, sementara Axia pula lagi lah baru.

    Perodua bawa teknologi hibrid ke Malaysia Autoshow?

    Penggunaan bentuk hatchback dalam gambar tersebut mungkin lebih kepada bentuk umum dan bukannya model sebenar. Jika mahu mengambil sesuatu daripada gambar tersebut, mungkin kita boleh mengatakan bahawa teknologi yang akan dipamerkan nanti adalah satu sistem yang mempunyai pek bateri besar di lantai, tidak seperti bateri Rocky e-Smart Hybrid.

    Satu lagi kemungkinan adalah SUV segmen B D66B yang mempunyai kaitan rapat dengan Toyota Yaris Cross dan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Model ini pernah dijangka akan dilancarkan di Malaysia April tahun ini, tapi ia tidak berlaku.

    Di Indonesia, Yaris Cross ada ditawarkan dalam varian hibrid, yang menggunakan enjin empat silinder NA 1.5 liter 2NR-VEX 91 PS (90 hp atau 67 kW) pada 5,500 rpm dan tork 121 Nm antara 4,000 ke 4,800 rpm dengan padanan motor elektrik 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

     
     
  • AXCR 2024 – laluan ke Malaysia batal atas sebab keselamatan, Team Malaysia terus berlumba

    AXCR 2024 – laluan ke Malaysia batal atas sebab keselamatan, Team Malaysia terus berlumba

    Penganjur Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 mengumumkan bahawa laluan rali tersebut yang sepatutnya berlangsung dari Thailand ke Malaysia bagi edisi tahun ini dibatalkan, dan ia hanya dibuat di sekitar Thailand.

    “Dengan perkembangan terbaharu terjadi di sempadan, pihak berkuasa Thailand telah mengenalpasti bahawa keselamatan konvoi mungkin berisiko. Memastikan keselamatan dan sekuriti untuk semua peserta, penonton, kakitangan dan pihak berkuasa yang terliabt dalam AXCR adalah keutamaan pihak penganjur”, kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh penganjur baru-baru ini.

    Tidak dinyatakan dengan jelas berkenaan masalah keselamatan yang dimaksudkan, namun kami difahamkan ia adalah berkenaan insiden pengeboman yang berlaku di Selatan Thai pada 6 Mei lalu.

    Sebelum ini AXCR 2024 disahkan akan melibatkan laluan perlumbaan yang bermula dari Surat Thani, Thailand sehingga ke Kuala Lumpur, Malaysia. Perlumbaan selama enam hari dengan perjalanan sejauh 2,000 km berkenaan akan dibahagikan kepada enam Leg, dan ia akan bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024.

    AXCR 2024 – laluan ke Malaysia batal atas sebab keselamatan, Team Malaysia terus berlumba

    Namun dengan perkembangan terbaharu ini, ia masih akan dilangsungkan pada tarikh sama tetapi laluan perlumbaan berkenaan diubah bermula dari Surat Thani menuju ke Hua Hin, dan berakhir di Kanchanaburi.

    Ini juga bermakna hasrat penganjur untuk membawa semula AXCR ke Malaysia tidak kesampai tahun ini. Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.

    Walau bagaimanapun dalam kenyataan yang sama, penganjur mengesahkan bahawa pasukan dari Malaysia yang membariskan pelumba-pelumba rali lagenda negara akan terus menyertai AXCR 2024, dan meminta agar peminat-peminat tempatan terus memberikan sokongan.

    Ketika diumumkan pada awal tahun ini, pasukan Malaysia bakal membariskan tiga jentera, di mana dua daripadanya dipandu oleh pelumba negara yang pernah berlumba dalam Safari Rally di Kenya untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Saladin Mazlan dan Karamjit Singh, dan sebuah lagi akan dipandu oleh atlit sukan permotoran wanita negara iaitu Leona Chin.

    Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.

     
     
  • 2,288 unit pengecas EV dipasang setakat Mac 2024, sasaran pengecas DC dinaikkan ke 1,500 stesen – MITI

    2,288 unit pengecas EV dipasang setakat Mac 2024, sasaran pengecas DC dinaikkan ke 1,500 stesen – MITI

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan, setakat Mac 2024, pertambahan sebanyak 268 stesen pengecas kereta elektrik (EV) telah beroperasi, menjadikan jumlah terkumpul Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) kini mencecah 2,288 unit.

    Katanya, MITI juga masih lagi mengekalkan sasaran 10,000 stesen pengecas baharu tetapi sasaran Pengecas Pantas arus terus (DC) dinaikkan dari 1,000 stesen pengecas ke 1,500 stesen.

    “Semasa Mesyuarat JK Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang dipengerusikan TPM, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, mesyuarat dimaklumkan bahawa pasaran EV di dalam negara terus mencatatkan perkembangan yang pesat bagi tiga bulan pertama pada tahun ini. Sehingga bulan Mac 2024, hampir 11,000 unit kenderaan BEV dan hibrid telah dijual,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya baru-baru ini.

    2,288 unit pengecas EV dipasang setakat Mac 2024, sasaran pengecas DC dinaikkan ke 1,500 stesen – MITI

    Tambah beliau, NEVSC turut membincangkan konsep Paspot Bateri EV di mana semua bateri EV perlu mempunyai ID agar kita dapat memastikan semua bateri yang telah tamat hayatnya dapat dikesan dan dikitar semula selaras dengan konsep ekonomi kitaran. Kenderaan EV juga perlu menjadi sebahagian daripada ekonomi kitaran.

    “Masih banyak lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi menambahbaik ekosistem EV sedia ada. Insya-Allah, kita akan bersama-sama menggerakkan pembangunan industri dan ekosistem EV negara secara progresif,” katanya lagi.

    Pada Mac lalu. MITI mengumumkan untuk kekalkan sasaran pemasangan 10,000 pengecas EV yang tersedia di seluruh negara menjelang tahun 2025 seperti yang digariskan pada 2021 di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

     
     
  • Lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang ditutup dari 13-17 Mei, 11 malam-5 pagi

    Lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang ditutup dari 13-17 Mei, 11 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia memaklumkan bahawa lorong motosikal di laluan masuk Plaza (A) Tol Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara bermula hari ini (13 Mei) sehingga 17 Mei 2024 (Jumaat) dari jam 11 malam hingga 5 pagi. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan di lorong motosikal sedia ada.

    “Pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan masuk paling kiri di Plaza (A) Tol Jambatan Pulau Pinang sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan. Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jika anda menggunakan laluan berkenaan, sila lebih fokus dan berhati-hati dalam pemanduan. Terutamanya untuk pemandu kereta atau lori, bimbang juga sekiranya tidak perasan ada motosikal di laluan masuk paling kiri disebabkan titik buta. Jangan main melencong masuk ke kiri saja tau dan jangan lupa bagi isyarat membelok.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor pendaftaran FFF dibuka untuk bidaan – sempena ulangtahun JPJ ke-78

    JPJ eBid: Siri nombor pendaftaran FFF dibuka untuk bidaan – sempena ulangtahun JPJ ke-78

    Sempena dengan ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ke-78 yang disambut hari ini, agensi kerajaan ini telah mengumumkan siri nombor pendaftaran kenderaan FFF boleh dibida menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri FFF tersebut dibuka bidaan bermula hari ini, 11 Mei 2024 dan akan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 15 Mei ini. Keputusan untuk bidaaan FFF akan dikeluarkan pada 16 Mei 2024. Seperti kebiasaannya, keseluruhan proses dilakukan secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Jadi, sekiranya anda berminat dengan siri FFF ini untuk dipadankan dengan kenderaan baharu yang bakal anda terima tidak lama lagi, jangan lepaskan peluang untuk membidanya menerusi JPJ eBid. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI. Selamat membida!

     
     
  • Beijing 2024: BAIC X55II, BJ40 Plus dipamer — SUV versi CKD yang dijangka tiba di Malaysia pada 2025

    Beijing 2024: BAIC X55II, BJ40 Plus dipamer — SUV versi CKD yang dijangka tiba di Malaysia pada 2025

    Ini dua model dari pengeluar China, BAIC yang dipamerkan ketika pameran Auto China 2024, dan bakal masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. Dua model yang dimaksudkan ialah X55 II dan BJ40 Plus — lebih menarik, untuk pasaran di Malaysia, memang sudah ada perancangan untuk pemasangan CKD di Melaka bagi kedua-duanya.

    Unit yang dipamerkan bagi X55 II ini mungkin lebih hampir kepada model yang akan tiba di sini nanti, memandangkan ia model pemanduan sebelah kanan, manakala BJ40 Plus yang ditunjuk ini pula ialah versi pemanduan sebelah kiri untuk pasaran di sana.

    Antara perubahan yang akan dilakukan untuk model X55 II masuk ke Malaysia adalah nama dan lencana yang akan digunakan — nama Beijing akan ditukar kepada BAIC sebagai penjenamaan utamanya. Sebagai SUV segmen B, ia akan bersaing dengan model lain seperti Proton X50 dan Chery Omoda 5.

    BJ40 Plus pula ialah sebuah SUV gaya off-road yang mirip model Jeep Wrangler dengan rekaan lebih berkotak. Nama pula seolah-olah meniru kod nama model SUV keluaran Toyota yang sangat dikenali sebelum ini.

    Beijing 2024: BAIC X55II, BJ40 Plus dipamer — SUV versi CKD yang dijangka tiba di Malaysia pada 2025

    Di China, X55 II menggunakan enjin 1.5 liter turbocas petrol dengan janaan 188 PS/305 Nm dan diganding bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Bagi BJ40 Plus pula yang turut dijual di pasaran lain seperti UAE menerima enjin 2.3 liter turbocas petrol dengan janaan 250 PS dan 350 Nm, serta transmisi automatik enam-kelajuan.

    Sudah disahkan sebelum ini, untuk Malaysia, kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka sedang didirikan dengan kos pelaburan sebanyak RM100 juta akan dibelanjakan untuk projek berkenaan.

    Siap nanti, kilang berkenaan akan mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 30,000 kenderaan setahun, dan dijangka mewujudkan 1,000 pekerjaan baru di negeri itu. Selain dua model BAIC ini, kilang berkenaan juga dijangka akan memasang kenderaan dari Great Wall Motor.

    BAIC X55 II

    BAIC BJ40 Plus

     
     
  • Aston Martin Vantage 2024 dilancarkan di Malaysia – coupe dua pintu enjin V8 4.0L 665 PS, RM2.4 juta

    Aston Martin Vantage 2024 dilancarkan di Malaysia – coupe dua pintu enjin V8 4.0L 665 PS, RM2.4 juta

    Aston Martin Vantage 2024, yang menerima pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, pada harga RM2.37 juta dalam keadaan asas tidak termasuk barangan tambahan atau personalisasi lain.

    Tetapan enjin hadapan, pacuan roda belakang masih dikekalkan pada model dua pintu ini, dengan penggeraknya terdiri daripada enjin petrol V8 4.0 liter biturbo bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF, mampu menghasilkan kuasa 665 PS dan 800 Nm – 155 PS dan 115 Nm lebih tinggi berbanding sebelum ini. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

    Selain perubahan di bahagian luar, Vantage 2024 ini juga menerima naik taraf teknikal termasuk profail cam dan nisbah mampatan yang diubah, pengecas turbo lebih besar serta sistem penyejukan yang ditambah elok, demi mencapai kuasa yang dinyatakan tadi.

    Casis kenderaan ini turut dinaik taraf untuk menjadi lebih tegap, sementara sistem kawalan dinamik mendapat input daripada pelbagai sensor termasuk pada enjin, transmisi, brek, differential elektronik serta IMU six-axis, untuk dihantar kepada program pengurusan stabiliti elektronik kenderaan.

    Rim Vantage 2024 menggunakan unit 21 inci, dengan lebar 9.5J di hadapan dan 11.5J di belakang, dibalut masing-masing tayar 275/35R21 103Y dan 325/30R21 108Y. Dalam keadaan standard, brek yang diberi adalah cakera besi 400 mm di hadapan dan 360 mm di belakang, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada cakera karbon seramik yang 27 kg lebih ringan.

    Memandangkan model ini sudah lama tidak dinaik taraf, bahagian dalamnya juga diubah dengan susun atur baru Aston Martin, seperti yang digunakan pada DB12. Melengkapi senarai aksesorinya adalah skrin infotainmen 10.25 inci yang boleh disambung kepada Apple CarPlay tanpa wayar serta sistem bunyi 11 pembesar suara (boleh dinaik taraf kepada unit Bowers & Wilkins 15 pembesar suara).

     
     
  • Proton X70 facelift 2024 dijumpai tanpa penyamaran

    Proton X70 facelift 2024 dijumpai tanpa penyamaran

    Sebelum ini memang kita sudah pernah melihat gambar Proton X70 facelift tersebar, tapi kebanyakannya masih dilitupi dengan pelekat penyamaran. Bagaimanapun, gambar terbaru yang kami terima daripada Prince EL Rachid ini tidak.

    Ia menampakkan separuh bahagian hadapan SUV yang disegarkan semula ini, tanpa sebarang penyamaran mungkin semasa digunakan untuk penggambaran video komersialnya. Anda boleh melihat bampar yang lebih pendek, bentuk lampu yang lebih kecil serta gril baru dengan kemasan pin di dalamnya.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, model facelift ini mendapat rim baru, yang rekannya sama seperti yang digunakan pada GEely Boyue tahun 2022. Bahagian belakang masih tidak dapat dilihat dan kita masih perlu menunggu waktunya tiba nanti.

    Untuk bahagian dalam, kita boleh menjangkakan tiada perubahan rekaan utama, termasuk bentuk papan pemukanya. Bagaimanapun, teknologi padanya mungkin dinaik taraf, dengan menerima panel instrumen digital, skrin sesentuh 10.25 inci serta roda stereng daripada X50.

     
     
  • Beberapa jalan utama di KL ditutup pada 12 Mei sempena acara berbasikal Grand Fondo New York

    Beberapa jalan utama di KL ditutup pada 12 Mei sempena acara berbasikal Grand Fondo New York

    Sempena penganjuran acara sukan berbasikal bertaraf antarabangsa Grand Fondo New York (GNFY) yang akan berlangsung pada 12 Mei (Ahad ini), Polis KL telah mengumumkan penutupan beberapa jalan utama di sekitar ibu kota.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, semua laluan yang akan digunakan untuk acara itu akan ditutup secara berperingkat dan dilencongkan seawal jam 6.30 pagi hingga jam 11 pagi.

    “Acara bermula jam 6.45 pagi dan dijangka berakhir jam 11 pagi. Pertandingan ini diadakan secara dua peringkat iaitu 130 km dan 65.7 km. Laluan yang akan digunakan membabitkan 40 km dalam Pusat Bandar Kuala Lumpur manakala selebihnya melalui kawasan Selangor membabitkan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan IPD Hulu Selangor,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Berikut adalah laluan yang terbabit dengan acara berkenaan:

    • Dataran Merdeka
    • Jalan Raja
    • Jalan Raja Laut
    • Jalan Sultan Ismail ( dari persimpangan menggunakan Laluan Salah sehingga ke persimpangan Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail )
    • Jalan Tunku Abdul Rahman
    • Jalan Tun Perak
    • Jalan Raja Chulan
    • Jalan Conlay
    • Jalan Stonor
    • Jalan Kia Peng
    • Jalan Perak
    • Jalan P. Ramlee
    • Jalan Ampang
    • Jalan Putra
    • Jalan Tun Ismail
    • Jalan Sultan Salahuddin
    • Jejambat Wisma Tani
    • Lebuhraya Sultan Iskandar
    • Jalan Parlimen
    • Jalan Persiaran Tuanku Ja’afar
    • Jalan Damansara
    • Jalan Bukit Petaling
    • Jalan Hang Tuah
    • Jalan Imbi
    • pusingan U Lampu Isyarat Times Square
    • Jalan Istana
    • Jalan Sungai Besi
    • Bulatan Sg Besi
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Kuching
    • Bulatan Batu Caves

    Sehubungan itu, katanya polis menasihatkan seluruh warga kota Kuala Lumpur terutama pengguna jalan raya supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan khidmat e-hailing.

    “Elakkan daripada menggunakan semua laluan yang terjejas akibat penutupan untuk ke destinasi yang dituju.

    “Patuhilah arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan pengurusan lalulintas berjalan dengan lancar,” katanya.

    Rusdi berkata acara yang bermula serta berakhir di Dataran Merdeka membabitkan penyertaan 385 peserta daripada pelbagai negara.

    Katanya, pemenang yang memenangi pertandingan ini berkelayakan untuk menyertai pusingan akhir yang akan diadakan di New York pada Disember ini.

    Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline DBKL: 03-26179378, Hotline Trafik KL: 03-20719777 atau membuat rujukan di Facebook PolisKL dan Facebook TrafikKL.

     
     
  • KTMB umum tren ETS tambahan untuk cuti sekolah

    KTMB umum tren ETS tambahan untuk cuti sekolah

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan penambahan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) untuk laluan Padang Besar-KL Sentral dan KL-Sentral-Padang Besar sempena dengan musim cuti sekolah semester pertama ini, dari 24 Mei hingga 3 Jun 2024.

    Perkhidmatan ETS tambahan ini akan bergerak dari Padang Besar pada jam 11 pagi dan dijadualkan tiba di KL Sentral pada jam 4.36 petang. Sementara tren dari KL Sentral akan bergerak jam 5.05 petang dan tiba di Padang Besar jam 10.34 malam.

    Pengendali rel ini berkata perkhidmatan tambahan itu adalah untuk menampung permintaan yang tinggi semasa musim cuti sekolah. Jelasnya, tiket untuk perkhidmatan kereta api tambahan kini sudah boleh dibeli. Perkhidmatan tambahan itu menawarkan 630 tiket setiap hari, sekaligus meningkatkan jumlah tiket yang ditawarkan kepada 6,930, termasuk dalam koc kelas perniagaan.

    Dalam masa yang sama, KTMB turut menasihati para pengguna untuk membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan ‘terlepas pembelian’ dan ia boleh dibeli menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS) dan juga laman web KTMB.

     
     
  • UMW Toyota catat jualan 7,345 unit pada April 2024

    UMW Toyota catat jualan 7,345 unit pada April 2024

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mencatatkan jualan sebanyak 7,345 unit untuk bulan April 2024, termasuk 132 unit kenderaan Lexus. Menurut UMWT, ia adalah ‘prestasi positif yang berterusan’ walau pada saat pasaran yang perlahan, dan setakat ini, telah mencatatkan jualan cecah 30,789 unit untuk empat bulan pertama 2024.

    Walau bagaimanapun, tiada pecahan peratusan dikongsikan, tetapi menurut pengiraan kami, jualan untuk April 2024 turun sebanyak 24,18% berbanding Mac, tetapi 8.54% lebih tinggi jika dibandingkan dengan bulan yang sama tahun lalu.

    Bulan lalu, UMW telah memperkenalkan Toyota Yaris G Limited. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,600, namun ia dihasilkan terhad hanya sebanyak 600 unit. Bulan yang sama juga kenderaan komersil Toyota Hiace dengan varian Super Long Wheelbase (SLWB) Window Van telah dibuka tempahan.

    UMW Toyota catat jualan 7,345 unit pada April 2024

    “Bulan ini, kami terus menunjukkan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan dan keupayaan kami bagi menawarkan kepelbagaian segmen kenderaan untuk pengguna. Dengan Yaris G Limited, kami amat berbangga untuk memperkenalkan kenderaan yang sejajar dengan aspirasi dan gaya hidup pelanggan muda kami, mempamerkan pendekatan pemikiran ke hadapan kami terhadap reka bentuk dan fungsi automotif,” kata presiden UMWT Datuk Ravindran K.

    Tambah beliau, “Di UMWT, kami komited untuk menyediakan solusi mobiliti kepada rakan komersil kami, di samping inovasi berpaksikan pelanggan. Dengan pengenalan Toyota Hiace SLWB, kami terus menunjukkan dedikasi kami untuk menyokong keperluan kepelbagaian dan dinamik sektor komersial, memastikan setiap organisasi mampu mencapai produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi.”

    Baru-baru ini UMWT mengalu-alukan kedatangan Laser Motor di Seremban sebagai rakan pengedarr baru. Bermula dengan pusat 1S, kini ia menampilkan fasiliti 3S baharu di Oakland, Seremban dengan mempunyai 10 petak penyelenggara di pusat servisnya. Sepanjang Mei ini, UMWT juga menawarkan rebat sehingga RM7,500 dan 100% pembiayaan bagi 13 model Toyota, untuk maklumat lanjut, sila ke pusat pameran terdekat.

     
     
  • Prasarana diarah kaji kawasan berisiko alami insiden pokok tumbang di laluan rel kendaliannya – MOT

    Prasarana diarah kaji kawasan berisiko alami insiden pokok tumbang di laluan rel kendaliannya – MOT

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diarahkan untuk mengkaji secara lebih mendalam berhubung kawasan berisiko mengalami insiden pokok tumbang di sepanjang laluan rel kendaliannya. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthone Loke, arahan tersebut telah dinyatakan secara terus kepada syarikat terbabit, selain itu, ia juga perlu mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk mengenal pasti lokasi-lokasi terbabit.

    “Kerja-kerja penyelenggaraan ini sebenarnya terletak bawah bidang kuasa PBT dan terdapat juga kawasan-kawasan persendirian, justeru kita tidak boleh sesuka hati masuk ke kawasan terbabit.

    “Namun sebagai operator, kita perlu lebih proaktif dan saya meminta Prasarana membuat satu siasatan (kajian) lebih terperinci dengan melihat kawasan-kawasan berisiko ini, seterusnya berbincang dengan DBKL atau PBT berkaitan mengenai perkara itu, terutama di sepanjang jajaran membabitkan laluan Monorel serta Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya menerusi laporan Bernama.

    Prasarana diarah kaji kawasan berisiko alami insiden pokok tumbang di laluan rel kendaliannya – MOT

    Tambah beliau, Monorel dan LRT merupakan sistem pengangkutan yang lebih berisiko terdedah kepada insiden tidak diingini seperti pokok tumbang dan sebagainya, berikutan landasannya berada di tengah pusat bandar.

    “Ia kerana kita punya sistem rel ini kebanyakannya rel bertingkat (above ground)… kalau di bawah tanah, itu tiada risiko begini, namun Monorel ini landasannya di tengah-tengah bandar raya. Memang penyelenggaraan pokok itu antara agenda utama… sebelum ini pun memang ada penyelenggaraan berkala tetapi dengan berlakunya kejadian-kejadian seperti ini, kita perlu melipatgandakan tumpuan,” katanya.

    Pada petang 7 Mei lalu, berlaku insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, berhampiran Hotel Concorde yang turut menghempap 17 buah kenderaan dan juga landasan KL Monorel. Insiden tersebut juga menyebabkan seorang pengguna jalan raya maut dan dua mangsa lagi cedera. Insiden berkenaan turut menjejaskan perkhidmatan monorel hingga memaksa Rapid Rail menutup beberapa stesen Monorel terlibat selama sehari.

     
     
  • Lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi Lebuhraya PLUS ditutup dari 11-26 Mei 2024

    Lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi Lebuhraya PLUS ditutup dari 11-26 Mei 2024

    PLUS Malaysia memaklumkan bahawa lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi akan ditutup sementara mulai 11 Mei (esok) sehingga 26 Mei 2024. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan di lorong motosikal sedia ada.

    “Penutupan lorong akan dilaksanakan selama 24 jam sepanjang tempoh tersebut. Pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan masuk paling kiri di Plaza Tol Jawi sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan.

    “Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jika anda menggunakan laluan berkenaan, sila lebih fokus dan berhati-hati dalam pemanduan. Terutamanya untuk pemandu kereta atau lori, bimbang juga sekiranya tidak perasan ada motosikal di laluan masuk paling kiri disebabkan titik buta. Jangan main melencong masuk ke kiri saja tau.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025