Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri JXC dan SWL bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXC dibuka bidaan bermula esok, 17 Mei 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Mei 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWL, dibuka bidaan mulai 24 Mei 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 28 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 29 Mei 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • MBSJ beri amaran parkir percuma di fasiliti, medan selera untuk pelawat saja – saman dan kapit tayar

    Untuk pekerja dan penduduk sekitar Subang Jaya dan Puchong, sila ambil maklum tentang notis ini. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan amaran bahawa kawasan parkir di fasiliti yang disediakannya adalah untuk kenderaan pelawat yang berkunjung ke premis yang berada di sekitar daerah ini.

    Ini termasuklah di medan selera, dewan serbaguna, balai masyarakat, kiosk, tadika, taman dan pusat rehabilitasi.

    MBSJ berkata bagi orang awam yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, akan berhadapan dengan saman dan kenderaan mereka juga boleh dikenakan tindakan kapit tayar atau ditunda. Kadar yang ditetapkan ialah RM50 untuk kereta dan RM200 bagi kenderaan berat, dan ini termasuk melibatkan yuran tunda, kapit tayar dan penyimpanan. Penguatkuasaan ini bermula sejak semalam (15 Mei 2024).

    Pastinya notis ini dikeluarkan disebabkan MBSJ menerima banyak aduan mengenai salah guna parkir oleh orang awam. Mungkin ada di antara orang awam yang sengaja ‘parkir percuma’ di fasiliti terbabit sampai menyusahkan pelawat lain yang berkunjung ke lokasi berkenaan memandangkan ruang parkir yang agak terhad. Memang patutlah kena saman, kapit tayar atau kenderaan kena tunda. Jangan sampai menyusahkan orang lain semata-mata nak menyenangkan diri sendiri okay!

     
     
  • PADU: Data sudah sedia untuk pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan, tunggu waktu sesuai – Rafizi

    PADU: Data sudah sedia untuk pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan, tunggu waktu sesuai – Rafizi

    Menteri ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu bahawa data di dalam Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah bersedia untuk pelaksanaan oleh kerajaan, pada bila-bila masa – lapor Bernama. Ia akan digunakan untuk pelbagai program termasuk subsidi bersasar, tetapi bila dan bagaimana ia akan dilaksanakan masih bergantung kepada kerajaan.

    “Kerajaan mencuba sehabis baik untuk mengelak spekulasi berkenaan inflasi, jadi adalah lebih baik untuk kami simpan dahulu penyusunannya. Rahsianya adalah bagaimana untuk menguruskan keseimbangan berkenaan bagaimana maklum balas pasaran dan masyarakat,” kata Rafizi kepada media semasa pelancaran program realiti tv Innovathon musim kedua semalam.

    Beliau menambah, terdapat kebimbangan kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan dalam situasi ini dengan menaikkan harga, untuk mendapatkan lebih keuntungan sekiranya pendedahan awal dibuat. Beliau berkata, kerajaan merasakan adalah lebih baik jika orang ramai diberikan informasi berkenaan data itu terlebih dahulu, manakala pelaksanaannya akan diberitahu pada masa yang sepatutnya, bersama mekanisme yang sesuai.

    PADU dilancarkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 2 Januari 2024, dan dikatakan dapat menyediakan satu pengkalan data utama negara yang lebih terjamin, lengkap dan menghampiri keadaan sebenar. Ia seterusnya dapat memberikan analisa data yang lebih tepat untuk digunakan bagi pelbagai program termasuk subsidi bersasar.

     
     
  • Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Honda Malaysia telah pun melancarkan barisan City Hatchback facelift baharu di pasaran tempatan, selepas tempahannya dibuka sejak 22 April lalu. Untuk barisan baharu model segmen-B ini, ia menawarkan lima varian iaitu paling asas adalah S berharga RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), varian baharu RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Bagi varian tanpa hibrid, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Manakala bagi varian e:HEV RS, ia dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm.

    Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson yang mampu menghamburkan kuasa hingga 98 PS (80 kW) pada 5,600 hingga 6,400 rpm dan tork cecah 127 Nm pada 4,500 hingga 5,000 rpm. Pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT).

    Semua varian tanpa hibrid boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam 10.7 saat, manakala varian e:HEV RS pula dengan 9.7 saat. Manakala kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh varian S dan E ialah 195 km/j, tetapi untuk V pula hanya 194 km/j dan 193 km/j untuk RS. Bagi e:HEV RS, kelajuan tertingginya sekitar 177 km/j sahaja.

    Bagi penggunaan bahan api pula, kesemua varian tanpa hibrid dianggarkan menggunakan sekitar 5.6 liter untuk setiap 100 km, berbanding e:HEV RS yang pasti lebih menjimatkan dengan 3.7 liter bagi setiap 100 km.

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Barisan City Hatchback 2024 ini juga masih mengekalkan sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan palang torsion di belakang. Manakala Sistem breknya pula menggunakan cakera Ventilated di hadapan. Untuk bahagian belakang pula, dram digunakan untuk dua varian paling rendah dan tiga varian tertinggi diberikan cakera solid.

    Tiada perubahan dimensi untuk City Hatchback 2024, masih mengekalkan ukuran yang sama iaitu 4,350 mm panjang (dua varian RS dengan 4,369 mm), 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak roda pula 2,600 mm. Manakala ruang but juga kekal dengan kapasiti 289 liter dengan kedudukan tempat duduk normal.

    Untuk penggayaan luarannya, ia diberikan sentuhan yang lebih segar di mana rekaannya berbeza berbanding City sedan yang menerima kemaskini pada Ogos lalu. Untuk varian RS dan e:HEV RS, ia menampilkan rekaan yang lebih dinamik dan sporty termasuk palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril. Selain itu, bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus LED yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara.

    Lampu utama automatik dengan unit halogen projektor diberikan untuk varian S dan E, manakala tiga varian tertinggi ditampilkan dengan unit LED. Varian RS turut menerima kemasan pada ambang sisi. Di bahagian belakang, lampu kombinasi LED baharu dan bampar dengan hiasan di bawah diberikan untuk kesemua varian. Ciri luaran lain untuk kesemua varian termasuk lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan juga antena shark fin.

    Untuk dua varian paling rendah, ia diberikan rim aloi 15-inci yang dibaluti dengan tayar 185/60R 15 dengan kemasan Sparkle Silver untuk S dan Shark Gray bagi E. Manakala untuk tiga varian teratas menerima rim aloi 16-inci dengan tayar 185/55R 16 dengan kemasan Sparkle Silver untuk V dan dua varian RS menerima gaya yang lebih agresif dengan Berlina Black yang juga antara ciri baharu untuk City Hatchback ini.

    Honda City Hatchback 2024 dilancar di M’sia – varian baharu RS, Honda Sensing standard; dari RM86k

    Menjengah bahagian kabinnya, tidak banyak perubahan yang dilakukan, sama juga dengan City Sedan. Ada sedikit sahaja bahagian yang berubah iaitu soket pengecas yang ditukar kepada unit USB-C (e:HEV sahaja), dan terdapat poket kecil di bahagian belakang tempat duduk hadapan (e:HEV sahaja). Manakala dua varian RS diberikan kemasan merah termasuk pada tempat duduk.

    Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah walk away auto lock, kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, pedal penukar gear (varian e:HEV RS dengan Decelaration Selector Paddle), meter kluster TFT 4.2-inci (tujuh-inci untuk RS dan e:HEV RS) dan pendingin hawa tunggal automatik (larasan manual untuk S). Ia juga diberikan suis kawalan audio untuk roda stereng, konsol tengah dengan perehat tangan, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto (wireless untuk dua varian RS).

    Hanya varian S sahaja tidak menerima ciri tambahan Remote Engine Start dan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang. Selain itu, roda stereng, tombol gear dan tempat duduk empat varian tertinggi dibaluti material kulit.

    Untuk sistem bantuan pemandu, semua varian bagi City Hatchback facelift ini didatangkan dengan kelengkapan Honda Sensing secara standard, termasuk dengan ciri baharu iaitu notifikasi ketibaan kenderaan hadapan. Ciri berkenaan menyertai fungsi sedia ada termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan di hadapan, amaran pelanggaran hadapan, sistem brek mitigasi pelanggaran, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong dan lampu tinggi automatik. Varian e:HEV RS juga menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.

    Ciri standard lain termasuk enam beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, ABS, EBD, penahan brek auto, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan, ISOFIX jenis I-Size, dua penderia undur dan penderia kamera pelbagai-sudut. Varian V, RS dan e:HEV RS menerima ciri tambahan yang lebih padu iaitu Honda LaneWatch Camera dan dua varian tertinggi juga diberikan Honda Connect.

    Penawaran warna luarannya juga dikekalkan iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Meteroid Gray Metallic untuk kesemua varian tetapi ada pertambahan satu lagi warna untuk varian bukan-hibrid iaitu Lunar Silver Metallic.

    Klik untuk besarkan imej spesifikasi penuh ini

    Honda Malaysia turut menawarkan pakej Modulo untuk City Hatchback 2024. Pakej Modulo penuh yang ditawarkan untuk semua varian termasuk kemasan bagi spoiler bawah untuk hadapan dan belakang, spoiler sisi dan tailgate, paip ekzos, fender hadapan, lencana rona hitam dan pedal sport. Manakala pakej Urban untuk semua varian yang merangkumi rear panel lining cover, foot light, pemijak tepi iluminasi dan visor pintu.

    Seperti yang telah diumumkan, harga atas jalan tanpa insurans bagi S ialah RM85,900, diikuti E (RM90,900), V (RM95,900), RS (RM100,900) dan e:HEV RS pula ditawarkan pada harga RM112,900. Kesemuanya didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan kos buruh percuma (terhad untuk lima kali servis dalam tempoh 100,000 km atau lima-tahun). Varian hibrid juga diberikan waranti lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya.

    Untuk mengetahui perincian penuh mengenai barisan Honda City Hatchback 2024 bagi pasaran Malaysia ini, sila layari Carbase.my.

    Honda City Hatchback facelift RS e:HEV 2024

    Honda City Hatchback facelift RS 2024

    Honda City Hatchback E 2024 dalam warna Phoenix Orange Pearl

     
     
  • Polis siasat geng kereta masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak di Genting Highlands

    Polis siasat geng kereta masak mi segera guna dapur mudah alih di stesen minyak di Genting Highlands

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kira-kira jam 12.35 tengahari semalam berhubung klip video yang memaparkan geng kereta memasak mi segera menggunakan dapur mudah alih di kawasan sebuah stesen minyak, di Genting Highlands baru-baru ini.

    Hasil siasatan pihak polis Bentong mendapati klip video berdurasi 50 saat itu telah dimuat naik di laman media sosial sebelum ia tular menerusi ‘X’ (terdahalu dikenali sebagai Twitter) pada 13 Mei 2024. Justeru, kata Zaiham, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

    “Mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan. Polis Bentong juga akan mengambil tindakan tegas dan membuat operasi bersepadu di sekitar lokasi stesen minyak berkenaan khususnya pada hujung minggu dan dan cuti umum kerana pihak polis menerima maklumat dan aduan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan pemilik kereta berkumpul dan melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam dan pengguna jalan raya lain,”kata Zaiham menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam ini.

    Harap-harap geng kereta yang buat onar di stesen minyak berkenaan tampilkan diri dan bekerjasama dengan pihak polis. Dah terang-terangan aktiviti korang itu tidak bersesuaian dilakukan di stesen minyak. Untuk pengetahuan semua, wap minyak boleh mengalir sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe. Malahan wap minyak juga dikatakan lebih berat dari udara, jadi ia mendap di kawasan rendah. Maka, apa-apa lepasan elektrostatik berisiko untuk menyebabkan kebakaran.

     
     
  • BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    BMW telah mendedahkan M4 CS baru, yang menggunakan asas daripada model generasi kedua G82. Mampu melakukan catatan masa tujuh minit 21.989 saat untuk melengkapkan litar Nürburgring Nordschleife sepanjang 20.832 km, model datang dengan beberapa peningkatan serta pembaharuan gaya.

    Pertama sekali, enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo yang digunakan padanya mendapat tekanan boost yang lebih tinggi, iaitu 2.1 bar, membantunya mencapai kuasa maksimum 550 PS (543 hp atau 405 kW) dan tork 650 Nm. Jumlah ini adalah sama seperti M4 CSL yang diperkenalkan dua tahun lalu dan lebih tinggi 20 PS berbanding M4 Competition.

    Enjin M4 CS ini boleh memberikan tork puncak antara 2,750 ke 5,950 rpm, sementara kuasa maksimum pula dihasilkan pada 6,250 rpm. Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui transmisi M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic, serta sistem M xDrive dengan differential belakang Active M.

    Melalui tetapan ini ia boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j – M Driver’s Package diberikan secara standard. Sebagai perbandingan, M4 Competition melakukan pecutan sama dalam masa 3.5 saat dan laju maksimumnya dengan pakej sama adalah 288 km/j.

    BMW M4 CS 2024 diperkenal – enjin enam silinder 3.0L twin turbo 550 PS, transmisi M-Steptronic 8 kelajuan

    Menurut BMW, M4 CS ini dapat memberikan maklum balas enjin yang cemerlang hasil daripada pengunaan tapak enjin khas dengan kadar spring yang dipertingkat, untuk memberikan sambungan lebih tegar antara unit penggerak dengan struktur kenderaan. Sistem penyampaian minyak dan penyejukan juga dipertingkat supaya dapat bertahan dengan keperluan yang tinggi di dalam litar.

    Untuk sistem M xDrive, ia boleh dipilih dalam tetapan 4WD Sport, yang menyampaikan lebih tork kepada roda belakang, atau menjadikannya pacuan dua roda terus melalui mod 2WD, yang memerlukan DSC untuk ditutup sepenuhnya.

    Memandangkan M4 CS ini adalah sebuah model yang fokus kepada pemanduan dalam litar, bahagian casis turut mendapat perubahan termasuk kinematik gandar yang ditala secara berasingan serta tetapan camber roda, spring serta anti-roll bar khas. Suspensi adaptif M yang digunakan juga adalah khas untuk model ini, dan begitu juga dengan tetapan stereng elektromekanikal M Servotronic serta brek M Compound.

    Dalam keadaan standard, model ini datang dengan rim M bersaiz 19 inci dengan tayar 275/35 di hadapan, dan 20 inci dengan tayar 285/30 di belakang. Bagi yang memerlukan kekuatan kilas yang lebih, mereka boleh mendapatkan pendakap tapak atas penyerap hentak.

    M4 CS ini adalah 20 kg lebih ringan berbanding M4 Competition, hasil daripada penggunaan plastik yang diperkuat dengan gentian karbon (CFRP) pada bahagian seperti bumbung, bonet, splitter hadapan, bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser belakang serta spoiler. Di dalam, anda juga boleh menemui bahan sama pada konsol tengah, pedal penukar gear di stereng dan kemasan lain. Tempat duduk bucket M Carbon diberikan secara standard.

    Melihat kepada bahagian luar, lampu DRL M4 CS ini menggunakan pencahayaan berwarna kuning, manakala lampu utama Laserlight padanya pula menggunakan pencahayaan daripada diode laser untuk memberikan kesan 3D seperti yang dilihat kali pertama pada M4 CSL.

    Di dalam, terdapat beberapa tulisan dan huruf yang menandakan ini adalah model M4 CS. BMW Curved Display yang dipasang pada model ini (panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9 inci) datang dengan paparan khas M dan iDrive versi terbaru yang termasuk M Drive Professional dengan M Drift Analyser dan M Laptimer secara standard.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Mei – Masih dikekalkan

    Harga minyak 16-22 Mei – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 16 hingga 24 Mei 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih tiada perubahan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada pertengahan April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

     
     
  • SDAC bakal perkenal Ford Ranger edisi terhad pada 30 Mei ini — jaket istimewa percuma buat pembeli

    SDAC bakal perkenal Ford Ranger edisi terhad pada 30 Mei ini — jaket istimewa percuma buat pembeli

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah umumkan bakal melancarkan Ford Ranger edisi terhad dalam masa terdekat, dan akan dibuka untuk tempahan pada 30 Mei 2024. Orang awam juga boleh mendekati model ini dan memandu ujinya di acara pameran yang akan diadakan di kawasan Luxe, 1 Utama dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.

    Tiada perincian lanjut tentang model yang bakal diperkenalkan itu, selain memberi gambaran bahawa ia “direka untuk memperkaya pengalaman ketika aktiviti luar”. Bagaimanapun, ada sebuah video teaser dimuat naik ke akaun media sosial syarikat yang memberi petunjuk kepada peningkatan dan penampilan lebih ranggi yang diberikan.

    Dalam satu kenyataan, disebutkan yang tempahan hanya boleh dilakukan secara dalam talian, dan mereka yang membeli unit berkenaan akan turut menerima sehelai jaket edisi terhad Ranger percuma ketika menerima penyerahan trak pikap mereka nanti. Sebagai tambahan kepada Ranger istimewa itu, pengunjung juga akan berpeluang mencuba model biasa Ranger dan Everest di tapat acara yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

     
     
  • Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Bagi tahun 2024, penawaran bagi MPV Kia Carnival untuk pasaran tempatan diberikan beberapa kelainan. Masih model CKD pemasangan tempatan, kini hanya ada tiga varian ditawarkan (berbanding empat varian sebelum ini) — 2.2D 11-tempat duduk (RM198,500); 2.2D 8-tempat duduk High (RM245,888); dan 2.2D 7-tempat duduk High (RM259,888). Semua merupakan harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Varian yang sedang anda lihat ini ialah Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024. Walaupun bukan model facelift seperti yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu di peringkat global, penawaran Kia Carnival 2024 di sini tetap menerima peningkatan. Bagi dua varian teratas MPV ini, versi lapan dan tujuh tempat-duduknya, ia menerima rim 19-inci rekaan baru (terdahulu ia dilengkapi dengan rim 18-inci).

    Pilihan warna bagi Carnival ketika ini juga dikurangkan satu daripada sebelumnya, dengan yang tinggal hanya Astra Blue, Meteor Gray, Jet Black (gambar) dan Snowflake White Pearl — tiada lagi warna Sonic Silver. Di dalam pula, dua varian teratas itu diberikan balutan kulit hitam-kelabu.

    Kia Carnival 2.2D 8-tempat duduk 2024 — penampilan lebih jahat, tambahan ciri dan kemasan; harga RM246k

    Selain itu, kedua-dua varian High tersebut juga kini datang dengan sistem Blind-Spot View Monitor (BVM) baru — melibatkan paparan video dari kemara yang terletak di cermin sisi kiri dan juga kanan, dan bila aktif, paparannya akan keluar di kluster instrumen berhadapan pemandu — satu di setiap bulatan di meternya — bagi memudahkan pemandu untuk mengekalkan perhatian di jalanan. Kia Carnival 2024 datang dengan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej servis.

    Selebihnya, Kia Carnival 2024 ini masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 202 PS (199 hp) dan 440 Nm tork yang diganding bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan yang memacu roda depan.

    Antara dua varian High tersebut, yang membezakan hanyalah konfigurasi tempat duduk — lapan atau tujuh: versi tujuh-tempat duduk menggunakan captain seat untuk barisan kedua dengan konfigurasi 2-2-3, manakala versi lapan tempat duduk dengan 2-3-3.

    Kelengkapan standard lain MPV ini antaranya terdiri daripada lampu utama dan DRL LED, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, bumbung kaca luas, sensor parkir depan dan belakang, kluster instrumen digital 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.3-inci, kawalan pendingin tiga zon, penghadang matahari di tingkap barisan kedua dan ketiga, tempat duduk pemandu berliang dengan ciri pemanas, sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara, Apple CarPlay dan Android Auto serta pengecas telefon tanpa wayar.

    Ciri keselamatannya pula turut dilengkapi dengan High Beam Assist, Blind-Spot Collision Warning, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist (AEB) dengan sokongan keluar simpang, Lane Following Assist serta Smart Cruise Control (ACC).

    Kami pernah berkongsi pandangan melalui dua laporan pandu uji MPV ini — dalam penawarannya tahun-tahun sebelumnya. Satu bagi varian tujuh tempat duduk ketika awal pengenalannya di Malaysia pada tahun 2022, dan kedua bagi varian lapan-tempat duduk pada tahun 2023.

     
     
  • Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara di JB

    Pemandu mabuk langgar atlet kayak negara di JB

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian yang menimpa atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Elias, 22 tahun, yang dilanggar dan diseret sejauh 600 meter oleh seorang pemandu mabuk petang Sabtu lalu.

    Menurut Raub, kemalangan terbabit berlaku di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL), JB, di mana motosikal yang ditunggang oleh Siti Nurul Masyitah yang ketika itu menghala ke Kota Tinggi, telah dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang.

    Akibat kemalangan itu, Siti Nurul Masyitah mengalami kecederaan termasuk retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki, laporan Harian Metro.

    “Kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa. Polis sudah menahan pemandu lelaki itu. Ujian saringan pernafasan ke atas pemandu yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah. Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah,” kata Raub.

    Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan. Tambahnya, lelaki berkenaan telah ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

    “Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

     
     
  • Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengumumkan tarif cukai baharu terhadap barangan dari China yang masuk ke negara berkenaan, di mana tarif tersebut dilihat lebih tinggi, lapor The Guardian. Langkah itu difokuskan terhadap kereta elektrik (EV), dan ia nampaknya dibuat bagi melindungi pengeluar-pengeluar tempatan di AS dari model-model import yang lebih murah dan dikhuatiri akan meningkatkan tekanan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

    “Pekerja Amerika boleh keluar bekerja dan mengatasi sesiapa sahaja asalkan persaingan itu adil, tetapi sudah terlalu lama ia tidak adil,” kata Biden semasa ucapan di White House Rose Garden. “Kami tidak akan membiarkan China membanjiri pasaran kami,” tambahnya, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

    Dalam ucapannya, Biden mengumumkan bahawa duti EV akan dinaikkan empat kali ganda daripada 25% kepada 100%, dan ini sudah tentu melegakan CEO Tesla Elon Musk. Sementara itu, levi akan meningkat dari 7.5% kepada 25% untuk bateri litium, 0% hingga 25% untuk mineral kritikal, 25% kepada 50% untuk sel solar dan 25% kepada 50% untuk semikonduktor. Tarif ke atas keluli dan aluminium, yang berkisar antara 0% hingga 7.5%, juga akan dinaikkan kepada 25%.

    Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Buat masa sekarang tiada lagi jenama China yang menjual kereta pada pasaran AS, namun ada jenama seperti Buick, Lincoln, Lotus, Polestar dan Volvo membawa kereta-kereta mereka yang di pasang di China ke negara tersebut, menurut Autoblog yang memetik laporan Sam Fiorani dari AutoForecast Solution di Yahoo Finance.

    Walau bagaimanapun antara semua jenama tersebut, hanya Lotus dan Polestar di mana kedua-duanya milik Geely yang mengimport model-model EV dari China untuk dijual di AS. Lotus buat masa sekarang membawa unit-unit EV dari China ke AS dalam jumlah yang cukup terhad, manakala Polestar pula dalam rancangan untuk memasang model Polestar 3 di Carolina Selatan tahun ini, dijangka bakal mengelak cukai yang tinggi tersebut berbanding sekiranya ia diimport sepenuhnya dari China.

    Fiorani juga menegaskan bahawa jenama automotif China yang mempunyai fasiliti produksi di luar China, seperti di Mexico atau Korea Selatan, boleh mengelakkan kenaikan tarif baharu tersebut. “Kongres sedang mencari cara untuk mengawal pengimportan kenderaan oleh jenama China, tetapi ia akan menjadi sukar sekiranya ia tidak dibuat di China,” katanya.

     
     
  • BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Mexico menjadi negara pertama menerima trak pikap pertama daripada BYD, yang dipanggil sebagai Shark dan ia dilancarkan dalam dua varian iaitu GL berharga 899,980 peso (RM251,600) dan GS pada harga 969,800 peso (RM271,000).

    Menggunakan asas daripada SUV Bao Leopard 5, trak plug-in hybrid ini digerakkan oleh sistem Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid yang melibatkan enjin empat silinder 1.5L turbo 192 hp (143 kW) bersama dua motor elektrik – yang di hadapan berkuasa 228 hp (170 kW) dan 310 Nm, manakala yang di belakang berkuasa 201 hp (150 kW) dan 340 Nm. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah lebih 430 hp.

    Ini membolehkannya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j, manakala penggunaan bahan api pula berada pada kadar 7.5 km bagi setiap 100 km. Bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 29.58 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak elektrik 100 km, dan menyumbang kepada jarak perjalanan keseluruhan sejauh 840 km. Ia juga boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 40 kW, yang boleh menaikkan kuasa bateri dari 30 ke 80% dalam masa 20 minit.

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Sama seperti Leopard 5, Shark dibina atas kerangka ladder frame dengan bateri bersepadu, manakala bahagian suspensi terdiri daripada tetapan independent double wishbone di hadapan dan belakang. Ruang barangan di belakang mempunyai kapasiti 1,450 liter dan boleh membawa barang sehingga 2,665 kg. Kemampuan menarik pula adalah 2,500 kg.

    BYD mendakwa, Shark adalah model paling besar dalam kelas satu tan dengan mencatat ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm dan tinggi 1,925 mm. Ini menjadikan ia 132 mm lebih panjang, 71 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi berbanding Hilux yang menjadi pesaing utamanya. Ia malah lebih besar berbanding Tacoma.

    Melihat kepada rekaannya, Shark tampil seperti kebanyakan trak lain dengan bentuk berpetak dan tegap, dengan di hadapannya terdapat tulisan BYD besar di tengah dan lampu DRL berbentuk C yang kelihatan bersambung di tengah dengan kemasan pada bucu bonet. Rim menggunakan unit 18 inci.

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Di dalam, banyak bahagian diambil daripada Leopard 5, termasuk butang pilihan mod pemanduan yang berada di stereng, serta tombol gear dan pelbagai lagi suis di konsol tengah. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 12.8 inci yang boleh dipusing seperti Dolphin, manakala di hadapan pemandu terletak skrin instrumen 10.25 inci. Turut diberi adalah fungsi kawalan suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kunci digital, kamera 360 darjah dan head-up display 12 inci.

    Daripada aspek keselamatan, Shark datang dengan enam beg udara dan boleh dipilih dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Rear Collision Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    Trak ini sudah sah akan memasuki pasaran Australia serta Afrika Selatan, dan pernah dijumpai dengan stereng yang berada di sebelah kanan. Ini sekaligus meningkatkan kemungkinan ia juga akan memasuki pasaran Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia, tetapi syarikat itu perlu bersaing dengan model diesel lebih lasak yang sudah sedia popular.

     
     
  • Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Trem pintar prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak

    Kerajaan Johor telah memilih pembinaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bagi mengatasi masalah kesesakan di pusat bandar Johor Bahru. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ART di JB bakal membabitkan jarak hampir 50 kilometer dan melibatkan 32 hentian stesen.

    Menurut beliau lagu, terdapat tiga jajaran dicadangkan iaitu laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78 km, laluan Skudai (18.8 km) dan laluan Tebrau (14 km). Di mana, katanya, kajian sedang dijalankan dan dijangka siap pada Ogos tahun ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, laporan Bernama.

    “ART Bertingkat ini tidak gunakan jalan biasa seperti yang dicadangkan di Sarawak. Kita menggunakan sistem yang macam Sarawak tapi infrastruktur lain. Sarawak bina di atas jalan raya. Kita atas (elevated).

    Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Kita memilih ART Bertingkat sebab boleh disiapkan dalam tempoh masa lebih pendek berbanding Transit Aliran Ringan (LRT). Kita nak melengkapi Rapid Transit System Link (RTS). RTS dijangka siap Disember 2026 mula beroperasi bulan Januari 2027,” katanya.

    Selain itu, pembinaan ART Bertingkat meliputi 90% kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia. Ia juga akan dilengkapi dengan pakej pengangkutan awam seperti bas yang akan disambungkan dengan stesen. Ia akan melibatkan kos pembinaan bagi sistem pengangkutan awam itu dianggarkan hampir RM7 bilion.

    Pada 16 April lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata kerajaan negeri berhasrat membangunkan sistem ART bertingkat di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan di bandar raya itu dan cadangan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail untuk dibawa ke kerajaan Persekutuan bagi diperhalusi.

     
     
  • Lebuhraya WCE ditutup pada 19 Mei bagi acara berbasikal; Lekir-Taiping Selatan, 2 pagi-5 petang

    Lebuhraya WCE ditutup pada 19 Mei bagi acara berbasikal; Lekir-Taiping Selatan, 2 pagi-5 petang

    Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal ditutup sementara pada 19 Mei (Ahad ini) bagi memberikan laluan kepada acara berbasikal RHB WCE Century Ride 2024 yang akan berlangsung pada hari tersebut. Penutupan sementara laluan terbabit adalah dari Persimpangan Lekir hingga Persimpangan Taiping Selatan, di kedua-dua arah, dari jam 2 pagi hingga 5 petang.

    “Lencongan jalan akan dilaksanakan bermula di antara WCE/Jalan Persekutuan FT5 di Batu 14 Lekir serta di antara WCE/Jalan Persekutuan FT50/PLUS Changkat Jering. Pengguna disaran untuk menggunakan laluan alternatif dan rancang perjalanan dengan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata pengendali WCE.

    RHB WCE Century Ride 2024 merupakan acara basikal dengan laluan terpanjang di lebuhraya di Malaysia yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 160 km. Ia dijangka menerima 3,000 penyertaan, dengan tiga kategori yang dibuka iaitu 28 km, 90 km dan 160 km. Sesi flag-off dijangka berlangsung pada jam 6.45 pagi di Plaza Tol Lekir.

     
     
  • Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Pastinya ini menjadi khabar gembira buat warga Segamat, Johor, kerana telah pun memiliki stesen keretapi baharu. KTMB telah pun mengumumkan pemindahan operasi dari stesen sementara Segamat ke stesen Segamat (Baharu) yang bermula sejak jam 7 pagi tadi (15 Mei 2024).

    Pemindahan operasi Stesen sementara Segamat Ke Stesen Segamat (Baharu) ini adalah bagi migrasi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru. Stesen keretapi baharu ini terletak di Jalan Stesen, berhampiran dengan stesen bas – rujuk peta di atas untuk gambaran lebih tepat.

    Bulan lalu, KTMB telah mengeluarkan teaser berkenaan dengan perkhidmatan tren ETS di Segamat, Johor yang akan bermupa pada 1 Julai ini. Buat masa ini, perkhidmatan ETS adalah dari Padang Besar di utara ke Gemas, Negeri Sembilan di Selatan, jadi inilah pertama kali ETS akan beroperasi di Johor.

    Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Pada September tahun lalu, dilaporkan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada April 2025.

    Perkhidmatan ETS ini menghubungkan laluan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor. Untuk laluan Gemas-JB, ia melibatkan jarak sepanjang 192 kilometer dan akan melalui 11 stesen, antaranya Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

    Ia akan dilengkapi dengan tren berkuasa 25,000 voltan yang bergerak selaju 140 kilometer sejam. Anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah tiga jam 30 minit. Manakala dari stesen Segamat ke JB Sentral memakan masa sejam 30 minit.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025