Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Golf R CKD 2024: harga diumum RM334,012 dengan VAP; ekzos Akrapovic, mod Drift

    Volkswagen Golf R CKD 2024: harga diumum RM334,012 dengan VAP; ekzos Akrapovic, mod Drift

    Selepas spesifikasinya ditunjukkan pada Ogos tahun lalu, hari ini harga bagi Volkswagen Golf R untuk versi pemasangan tempatan (CKD) 2024 secara rasmi diumumkan oleh Volkswagen Passengger Cars Malaysia (VPCM), di mana ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM334,012.

    Harga tersebut adalah termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun. Sekiranya pelanggan mahukan hot-hatch ini tanpa VAP, harga jualan atas jalannya adalah RM317,434 dan waranti yang diberikan hanya dua tahun tanpa had perbatuan bersama bantuan tepi jalan selama lima-tahun.

    Golf R yang dipasang di Pekan, Pahang ini merupakan versi pertama yang diproduksi di dunia luar dari Jerman. Dan walaupun ia dijual pada harga lebih murah berbanding versi CBU sebelumnya yang dijual pada harga RM356,412, Golf R CKD ini menampilkan beberapa tingkat taraf lebih baik.

    Yang pertama, ia kini datang terus dengan pakej R Performance. Ini bermakna ia menerima set ekzos titanium Akrapovic yang tujuh kilogram lebih ringan berbanding ekzos biasa, bersama tambahan mod pemanduan Drift dan Special, spoiler belakang khas serta rim Estoril 19 inci – kssemuanya diberikan secara standard menerusi pakej R Performance tersebut.

    Volkswagen Golf R CKD 2024: harga diumum RM334,012 dengan VAP; ekzos Akrapovic, mod Drift

    Bagi mod Drift yang dibekalkan, ia boleh diakses melalui butang R pada stereng bagi menutup fungsi Electronic Stability Control (ESC) dan kuasa akan dihantar lebih kepada roda belakang, membolehkan pemandu membuat aksi drift. Manakala untuk Special pula ia adalah untuk pemanduan lebih pantas dengan memberikan lebih kuasa cengkaman.

    Sistem keselamatan pada Golf R CKD ini turut dipertingkat menerusi pemandanan sistem bantuan pemanduan Volkswagen IQ.Drive, yang memberikan fungsi termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Emergency Assist.

    Beberapa perubahan juga dapat dilihat pada bahagian kabin Golf R CKD ini, antaranya ia kini sudah dipadankan dengan paparan head-up, pengecas telefon tanpa wayar serta lampu tinggi automatik.

    Walau bagaimanapun, ia masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter TSI EA888 berkuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi DSG klac berkembar tujuh kelajuan. Selari dengan tradisi lencana R, kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semda roda 4Motion. Ini bukan sahaja membantunya mendapat pengedalian lebih baik, malah dapat melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Volkswagen Golf R CKD 2024: harga diumum RM334,012 dengan VAP; ekzos Akrapovic, mod Drift

    VPCM juga mengesahkan bahawa Golf R CKD ini ditawarkan dalam tiga warna untuk pasaran Malaysia iaitu Lapiz Blue, Deep Black dan Pure White.

    “Golf R membuktikan keupayaan sebenar pasukan Volkswagen R. Model-model R berpaksikan kepada jentera paling berkuasa dan terbaik. Golf R ialah model paling sporty dan menjentik emosi daripada Volkswagen yang memberi inspirasi buat para peminat hatchback bergenerasi lamanya,” kata Pengarah Urusan VPCM, Denyu Bostandzhiev

    “Memasang hatchback berprestasi tinggi seperti ini secara tempatan sememangnya satu pencapaian besar buat kami. Tambahan pula, kami sungguh gembira dapat memperkenalkan model yang mencatat sejarah ini pada harga yang sangat kompetitif. Stok adalah terhad, jadi saya sarankan supaya para peminat untuk membuat tempahan pada hari ini!” tambahnya lagi.

    Bagi mereka yang mahu melihat sendiri Golf R CKD 2024 ini, ia akan dipamerkan pada acara Malaysia Autoshow yang berlangsung pada 22 hingga 26 Mei 2024 di MAEPS Serdang. Turut dipamerkan di ruang pameran Volkswagen yang terletak di Hall 2 ialah Touareg 3.0TSI V6 R-Line 4MOTION baharu dan Arteon 2.0TSI R-Line 4MOTION.

    VPCM turut akan menawarkan lebih banyak ganjaran kepada pelanggan yang menghadiri Malaysia Autoshow tersebut dengan menawarkan promosi istimewa iaitu penjimatan sehingga RM36,000. Mereka yang membeli Arteon juga akan menikmati penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun.

    Malah pelanggan yang menempah mana-mana model Volkswagen pada acara Malaysia Autoshow berpeluang untuk memenangi percutian mewah yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang ke The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, Perak. Promosi ini juga ditawarkan ke seluruh negara sehingga 31 Mei 2024.

    GALERI:Gambar rasmi Volkswagen Golf R 2024 CKD

     
     
  • JPJ Sabah sita Porsche 911, Nissan Silvia S15, Audi R8 dalam Ops Khas Kenderaan Mewah Jenis Sport

    JPJ Sabah sita Porsche 911, Nissan Silvia S15, Audi R8 dalam Ops Khas Kenderaan Mewah Jenis Sport

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah memaklumkan bahawa pihaknya telah menahan dan menyita pelbagai model berprestasi tinggi menerusi Ops Khas Kenderaan Mewah jenis Sport yang dijalankan semalam, 19 Mei 2024 di sekitar daerah Kota Kinabalu.

    Menurut kenyataan yang dinaikkan dalam hantaran Facebook jabatan tersebut, operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu oleh Unit Operasi, Unit Falcon, Unit Kejuruteraan Automotif, Unit Kesalahan Teknikal dan Unit Pengurusan Aduan dan Siasatan, semuanya dari Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah.

    JPJ Sabah sita Porsche 911, Nissan Silvia S15, Audi R8 dalam Ops Khas Kenderaan Mewah Jenis Sport

    “Sebanyak tiga buah kenderaan jenis sport telah disita antaranya Porsche Carrera 911, Nissan Silvia S15, Audi R8 dan sebuah Suzuki Hardtop atas pelbagai kesalahan antaranya Lesen Kenderaan Motor tamat tempo, siada perlindungan Insuran dan ubahsuai secara ekstrim menukar kabin tanpa kebenaran.

    “Kesemua kenderaan tersebut di bawa ke Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah untuk tindakan selanjutnya,” tulis hantaran itu lagi.

     
     
  • Bendix anjur program pemanduan defensif bersama Kegani Racing sempena sambutan ulangtahun ke-100

    Bendix anjur program pemanduan defensif bersama Kegani Racing sempena sambutan ulangtahun ke-100

    FMP Automotive Malaysia iaitu syarikat yang menguruskan jenama komponen brek terkemuka, Bendix telah menganjurkan program pemanduan defensif pada 16 Mei lalu sempena ulang tahun ke-100 jenama tersebut. Program berkenaan dijalankan bersama Kegani Racing Academy, iaitu akademi yang telah melahirkan ramai pelumba tempatan yang dipimpin oleh duta Bendix Malaysia, Kenny Lee.

    Program yang diadakan di perkarangan tempat letak kereta Stadium Shah Alam ini dibuka untuk disertai oleh pelanggan-pelanggan dan juga pengedar Bendix di Malaysia, malah beberapa media tempatan turut dijemput untuk menyertai program tersebut.

    Dalam program ini, peserta bukan sahaja didedahkan dengan teknik pemanduan betul dan selamat, serta teknik-teknik bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dalam satu kelas teori, malah diteruskan dengan kelas amali di mana tenaga pengajar yang terdiri jurulatih pemanduan dan pelumba profesional dari Keegani Racing Academy memberikan tunjuk ajar terus terhadap peserta yang masing-masing memandu kereta sendiri.

    Antara aktiviti yang dibuat termasuk latihan slalom bagi memperbaiki teknik memutar stereng dan menekan pedal pendikit, latihan mengubah haluan sewaktu kecemasan, serta latihan membrek dengan teknik yang betul sama ada menggunakan sistem brek ABS atau tanpa ABS.

    Dalam sesi yang sama, penganjur turut menyediakan dua buah Suzuki Swift yang dipadankan dengan dua jenis pad brek Bendix iaitu Bendix General CT dan Bendix Metal King, bagi membolehkan peserta merasai prestasi berbeza yang ditampilkan pada pad brek tersebut.

    Bendix General CT merupakan pad brek yang dihasilkan menggunakan material organik bukan asbestos dan lebih sesuai untuk kegunaan setiap hari, manakala Metal King pula adalah pad brek bagi kegunaan tugas lebih berat, dihasilkan menggunakan material separa-metalik.

    “Sebagai jenama dengan kualiti premium dalam industri teknologi brek global, perniagaan kami secara asasnya dipusatkan pada menyediakan pelanggan kami dengan jaminan keselamatan tertinggi. Keghairahan dan tujuan untuk terus berinovasi inilah yang telah mengangkat Bendix hari ini pada kedudukan peneraju produk brek dalam segmen sederhana dan premium,” kata pengurus jualan dan pemasaran FMP Automotive Malaysia, Seow Kok Loi.

    “Sama seperti Bendix hadir dalam arena sukan permotoran global dan tempatan untuk menguji produk kami, peluang untuk memperkenalkan program pemanduan defensif adalah satu lagi lanjutan semangat untuk berinovasi ini. Program ini mengetengahkan elemen terpenting dalam keselamatan pemanduan iaitu individu di belakang roda stereng! Gabungan pemandu yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul bersama perlindungan yang ditawarkan produk kami, secara eksponen meningkatkan tahap keselamatan untuk kenderaan dan penumpangnya,” kata Seow lagi.

    Beliau juga menambah bahawa dalam program ini Bendix turut dapat mendidik peserta berkenaan banyak salah faham tentang pemilihan pad brek dalam pasaran. Menurutnya cara memilih pad brek yang betul bukan untuk memilih pad brek paling mahal dalam pasaran, tetapi pengguna perlu memilih berdasarkan jenis dan tugas kenderaan yang digunakan, keadaan jalan raya, berat kenderaan dan juga rasa pada pedal brek.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VMP dan PRH bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari WP Kuala Lumpur, VMP, bakal dibuka bidaan mulai 19 Mei 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 23 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 24 Mei 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PRH, bidaannya pula bakal dibuka mulai 20 Mei dan akan berakhir jam 10 malam pada 24 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 Mei 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Yinson GreenTech meriahkan Malaysia Autoshow 2024

    Yinson GreenTech meriahkan Malaysia Autoshow 2024

    Sebagai pelopor bagi mobiliti mapan, Yinson GreenTech (YGT) bakal terlibat dan memeriahkan Malaysia Autoshow 2024 pada 22-26 Mei ini. Buat pertama kalinya, lima perniagaan yang bernaung di bawah YGT, iaitu driveEV, chargEV, rydeEV, digitalEV dan marinEV akan berpameran bersama dalam satu acara, dengan tema “Positively Charged – Energising the Electric Transition.”

    Pameran yang menyeluruh ini akan memberi gambaran komprehensif terhadap penyelesaian EV di bawah jenama ini, baik di darat, laut dan juga ekosistem digital EV bagi kedua-dua pengguna dan perniagaan.

    Dalam perjalanan ke ruang pameran, pengunjung boleh mencuba menaiki bas perantara autonomous yang dikendalikan oleh eMooVit, sebuah syarikat dengan pegangan majoriti oleh YGT, dari beberapa medan kereta terpilih untuk ke dewan pameran utama. Tiba di dewan, pengunjung boleh meneroka masa depan elektrifikasi di reruai YGT (Dewan A, Reruai A14) untuk mengetahui lebih lanjut penyelesaian untuk pengangkutan dan ekosistem logistik.

    Berikut apa yang boleh anda jangkakan di pameran YGT, yang turut akan menbawakan pengelaman sebenar yang menyeluruh:

    • driveEV: Pengunjung akan berpeluang mendekati kenderaan komersial dan penumpang elektrik terkini yang ditawarkan menerusi program pajakan drivEV.
    • rydeEV: Pengunjung boleh memunggang uji motosikal elektrik RYDER dan HYPER, yang menawarkan kemudahan sistem penukaran bateri. YGT juga akan mempamerkan kabinet penukaran bateri rydeEV di reruai mereka dan menyediakan maklumat berkaitan rebat kerajaan sehingga RM2,400 yang diberikan untuk motosikal mesra alam tersebut.
    • chargEV: Penyedia kemudahan penyelesaian pengecasan oleh YGT akan mempamerkan teknologi pengecasan canggih, menampilkan pengecas terkini Kempower dan Alpitronic. Selain itu, chargEV akan menawarkan kepada pengunjung peluang untuk ikut serta dalam kaji selidik ringkas. Sebagai imbalan kepada maklum balas tersebut, peserta akan menerima RM20 dalam bentuk kredit pengecasan yang boleh dituntut melalui aplikasi chargEV, yang boleh dimuat turun di reruai mereka.
    • digitalEV: Perniagaan YGT ini akan menunjukkan kemampuan pembangunan perisiannya, yang mana alat digital dibangunkan untuk memudahkan operasi dan mempertingkat kecekapan perniagaan.
    • marinEV: Pengunjung boleh mendapatkan bayangan masa depan dunia maritim mapan melalui prototaip daripada pemindah kru elektrik serta kapal kargo ringan marinEV.

    Wakil YGT akan berada di sepanjang cara untuk berhubung dengan perniagaan yang sedang mencari amalan mapan untuk dilaksanakan. Wakil tersebut boleh membincangkan tentang pendekatan holistik terhdap peralihan armada kenderaan EV, pilihan pajakan yang ada, penyelesaian kemudahan pengecasan dan alat pengurusan digital.

    Sertai YGT di Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS pada 22-26 Mei, dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari untuk mengetahui lebih lanjut tentang mobiliti masa depan yang mesra alam.

    Yinson GreenTech meriahkan Malaysia Autoshow 2024

     
     
  • Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

    Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

    Semasa taklimat perniagaan syarikat baru-baru ini, Honda menghuraikan inisiatif elektrifikasi serta strategi pelaburan mereka untuk tahun-tahun yang akan datang. Sebagai permulaan, syarikat itu menyatakan, ia masih tidak mengubah kepercayaan bahawa kenderaan elektrik (EV) adalah penyelesaian yang terbaik bagi kenderaan kecil seperti motosikal dan kereta.

    Oleh kerana itu, ia masih mengekalkan sasaran elektrifikasi untuk menjadikan EV dan kenderaan elektrik fuel cell (FCEV) sebagai 100% penyumbang kepada jualan kenderaan global mereka menjelang 2040. “Melihat kepada trend ini bagi jangka masa panjang, Honda yakin peralihan kepada EV akan diteruskan secara kukuh,” kata pengarah, presiden Honda, Toshihiro Mibe.

    “Tanpa terperangkap dalam perubahan semasa dalam situasi ini, Honda perlu memandang jauh ke waktu EV sudah diterima ramai, yang mana akan bermula pada separuh kedua tahun 2020-an dan membina jenama serta perniagaan EV yang kuat daripada perspektif pertengahan dan juga jangka masa panjang,” tambah beliau.

    Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

    Syarikat itu juga kekal dengan perancangan yang diumumkan tiga tahun lalu untuk menjadikan EV dan FCEV penyumbang kepada 40% daripada jualan automotif global menjelang 2030, dan mengeluarkan lebih daripada dua juta EV. Untuk menyokong rancangan pengeluaran ini, Honda akan mewujudkan rangkaian nilai EV dengan fokus kepada bateri di bahagian pusat.

    Sasaran yang dibuat untuk inisiatif ini adalah termasuk mengurangkan kos bateri yang dihadapi di Amerika Utara kepada lebih 20% berbanding sekarang, menjelang 2030. Ia kemudiannya akan disokong oleh kerjasama dengan LG Energy Solution, yang akan menyaksikan sebuah kilang bateri EV dengan kapasiti tahunan 40 GWh mula beroperasi pada tahun 2025.

    Syarikat ini juga mempunyai kerjasama dengan GS Yuasa di Kanada untuk membangunkan bateri EV yang boleh dikeluarkan sendiri. Honda kemudiannya akan meneruskan pengeluaran dengan mengeluarkan bahan cathode bersama POSCO Future M, dan separator dengan Asahi Kasei.

    Honda akan lancar tujuh EV global ‘O Series’ – sasaran elektrifikasi penuh menjelang 2040 dikekalkan

    Berkenaan produk, Honda 0 Series (siri EV global) akan terdiri daripada tujuh model, yang akan dilancarkan secara global menjelang 2030 dalam beberapa segmen. Kenderaan-kenderaan ini akan mengikuti konsep M/M (Man Maximum, Machine Minimum) dan dijangka menjadi 100 kg lebih ringan berbanding EV asalnya.

    Model pertama 0 Series ini akan diperkenalkan pada separuh kedua 2020 dan datang dengan UX (User Experience) digital, system-on-chip (SOC) untuk AI, ADAS dan beberapa ECU untuk keseluruhan kenderaan.

    Untuk pasaran China, secara keseluruhannya 10 EV jenama Honda akan diperkenalkan menjelang 2027, dengan EV dirangka menyumbang 100% kepada jualan kenderaan jenama tersebut di China menjelang 2035. Sekarang ini, model siri Ye sudah diperkenalkan, untuk menyertai siri e:N yang sudah sedia dijual.

    Di Jepun, EV kegunaan komersial, N-Van e: akan mula dijual tidak lama lagi, sementara motosikal elektrik yang dipacu oleh Honda Mobile Power Pack e: (MPP) pula juga akan dilancarkan tahun ini. Menjelang tahun kewangan 2026, dua lagi kenderaan dengan MPP akan dilancar.

    Berkenaan kenderaan elektrik hibrid (HEV), Honda memberitahu masih terdapat permintaan yang kuat untuk model tersebut dalam pasaran, jadi mereka akan terus memperbaharui prestasinya, serta menambah baik barisan model tersebut di seluruh dunia.

    Semua perancangan ini memerlukan pelaburan yang besar, dan disebabkan itu Honda mempunyai perancangan untuk melabur sekitar 10 trilion yen (sekitar RM300 bilion) dalam sumber-sumber berkaitan untuk tempoh 10 tahun, sehingga 2031.

     
     
  • Ironman 4X4 hasilkan barisan aksesori off-road untuk Mitsubishi Triton generasi baharu; tempahan dibuka

    Ironman 4X4 hasilkan barisan aksesori off-road untuk Mitsubishi Triton generasi baharu; tempahan dibuka

    Pembuat aksesori untuk kenderaan pacuan empat roda dari Australia, Ironman 4X4 telah mendedahkan barisan aksesori untuk Mitsubishi Triton generasi ke-enam yang direka bagi memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik terhadap trak pikap tersebut. Pilihan aksesori berkenaan adalah terdiri dari set bampar besi dan Bull Bar hadapan, bampar besi belakang, overfender dan juga suspensi.

    Bagi set bampar besi dan Bull Bar, Ironman telah menyediakan tiga rekaan berbeza untuk pelanggan, di mana masing-masing mempunyai fungsi tersendiri iaitu Commercial Bull Bar berharga AU$1,934 (RM6k), Deluxe Bull Bar berharga AU$2,561 (RM8k) dan Raid Bar berharga AU$2,299 (RM7.2k).

    Commercial Bull Bar merupakan model entry-level yang lebih ditumpukan untuk kegunaan kerja. Ia disalut sepenuhnya dengan cat jenis powder coat dan menyediakan cagak-cagak untuk memasang kelengkapan lain. Deluxe Bull Bar pula menampilkan rekaan asas yang sama seperti versi Commercial, namun ia menerima perincian tambahan seperti pelbagai lampiu LED, cangkuk menyelamat dan juga dua cagak untuk antena.

    Manakala Raid Bar adalah pilihan paling premium yang direka bagi memberikan rupa lebih garang, tetapi tidak mempunyai bahagian pelindung untuk lampu hadapan dan hud.

    Untuk bampar besi belakang pula ia bukan sahaja lebih tahan lasak, malah set dari Ironman 4X4 yang dijual pada harga AU$1,411 (RM4.4k) ini direka bagi mendapatkan sudut berlepas yang lebih baik serta menyediakan dua cagak menyelamat. Bagi yang memadankan set rim dan tayar off-road yang lebih lebar, Ironman turut menyediakan set overfender untuk Triton baharu ini, dijual pada harga AU$4,99 (RM1.5k).

    Bagi melengkapkan pilihan aksesori ini, Ironman 4X4 menawarkan dua jenis set suspensi iaitu Nitro Gas yang memberikan keseimbangan antara keselesaan di atas jalan raya serta penggunaan off-road biasa, dan juga jenis Foam Cell yang memberikan prestasi redaman hentakan di atas laluan lebih lasak.

    Pelanggan boleh memilih kedua-dua jenis suspensi ini sama ada dalam tetapan penggunaan ringan, sederhana dan tugas berat. Set suspensi ini dijual pada harga bermula AU$ 2,184 (RM6.8k) sehingga AU$ 3,008 (RM9.4k).

    Pelanggan yang berminat sudahpun boleh membuat tempahan untuk barisan aksesori ini, namun ia hanya akan mula diedarkan bermula pada bulan Julai 2024. Ironman 4X4 turut mengumumkan bahawa ia akan membangunkan aksesori-aksesori lain untuk Triton baharu ini seperti set kanopi, rak bumbung, pelindung-pelindung bawah badan dan pelbagai lagi pada masa akan datang.

     
     
  • Sebahagian Hentian Sebelah Juru arah selatan di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 30 Okt 2024

    Sebahagian Hentian Sebelah Juru arah selatan di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 30 Okt 2024

    PLUS Malaysia telah memaklumkan bahawa sebahagian daripada kawasan Hentian Sebelah Juru (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sejak semalam (16 Mei) sehingga 30 Oktober 2024. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan di lokasi berkenaan.

    “Kerja-kerja penambahbaikan ini akan dijalankan dalam tiga fasa bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada aliran trafik. Seluruh kemudahan termasuklah tandas awam, surau, kedai makan dan stesen minyak di hentian sebelah ini akan beroperasi seperti biasa.

    “Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Lebuhraya WCE – Jajaran Tanjung Karang-Assam Jawa dijangka siap Jun 2026, sepanjang 29.5 km

    Lebuhraya WCE – Jajaran Tanjung Karang-Assam Jawa dijangka siap Jun 2026, sepanjang 29.5 km

    Memandangkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk jajaran di Perak sudah beroperasi secara keseluruhannya, pasti ramai yang tertanya-tanya, bila pula jajaran untuk Selangor siap sepenuhnya?

    Petang semalam Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah meninjau kemajuan kerja pembinaan Seksyen 7, Jajaran Tanjong Karang – Assam Jawa di Lebuhraya WCE.

    Katanya, “Sehingga 25 April 2024, kemajuan kerja bagi Seksyen 7A telah mencapai sebanyak 91% manakala Seksyen 7B yang terlibat dengan penetapan jajaran adalah sebanyak 44%. Pembinaan Seksyen 7 ini akan memudahkan perjalananpengguna yang sebelum ini terpaksa menempuh kesesakan terutama sekali di hujung minggu dan musim perayaan apabila ia dijangka siap pada Jun 2026.”

    Jajaran Seksyen 7, Lebuhraya WCE bermula dari Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (Lebuhraya LATAR) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang, Jalan Persekutuan 5 (FT05) yang telah dinaiktaraf dengan jarak keseluruhan sepanjang 29.5 km.

    Jajaran Seksyen 7 ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian 1 (Seksyen 7A) bermula dari Persimpangan Assam Jawa sehingga ke Ladang Sg. Terap sepanjang 19.5 km. Manakala Bahagian 2 (Seksyen 7B) pula dari Ladang Sg. Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang dengan jarak sepanjang 10 km.

    Menurut KKR, lawatan kerja Menteri ini bagi menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia MADANI dalam membina infrastruktur yang selesa dan selamat demi kesejahteraan komuniti setempat dan dijangka dapat meredakan keresahan rakyat akibat kesesakan lalu lintas di kawasan Tanjung Karang dan Kuala Selangor.

    WCE merentasi dua negeri iaitu Perak dan Selangor melibatkan laluan 316 km di sepanjang pesisiran pantai barat. Di Selangor, WCE bermula daripada Jalan Banting – KLIA (818) dan berakhir di Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang sebelum memasuki negeri Perak. Jajaran di Perak bermula di Jalan Persekutuan (FR5) berdekatan dengan Jambatan Sungai Bernam di Hutan Melintang dan berakhir di sekitar plaza tol Changkat Jering Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

     
     
  • Enam lagi lebuhraya setuju laksana sistem pembayaran tol terbuka mulai Sept ini – Menteri KKR

    Enam lagi lebuhraya setuju laksana sistem pembayaran tol terbuka mulai Sept ini – Menteri KKR

    Enam lagi lebuhraya bersetuju untuk melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) bermula September ini. Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, enam lebuh raya tersebut bakal menyertai 12 konsesi lebuh raya yang melaksanakan SPT sejak sistem bertujuan memudahkan pengguna membuat bayaran di setiap lorong plaza tol itu dilancarkan pada September tahun lalu.

    Enam lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Linkedua, Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya Grand Sepadu dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).

    “Kalau dulu, pembayaran tol hanya terhad kepada penggunaan Touch n Go, Smart Tag dan RFID, namun dengan SPT, mereka turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan menggunakan kad kredit dan debit. Penyertaan enam lebuh raya ini menyaksikan sebanyak 35 lorong akan dibuka bagi kemudahan atau pengguna sistem SPT,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Enam lagi lebuhraya setuju laksana sistem pembayaran tol terbuka mulai Sept ini – Menteri KKR

    Sebelum ini, sistem SPT telah dilaksanakan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke), Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong Smart, Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (Mex), Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

    Sistem pembayaran tol terbuka yang bermula pada pertengahan September tahun lepas itu antara inisiatif kerajaan untuk memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain daripada menggalakkan kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.

    Sebelum ini, Alexander dilaporkan berkata, dari bulan Oktober 2023 sehingga Februari 2024, 6.25 juta transaksi pembayaran tol menggunakan kad debit/kredit direkodkan, mewakili 2.1 % daripada keseluruhan mod pembayaran tol di 11 lebuh raya yang terlibat. Ia merangkumi 68.17% pengguna kad debit dan 31.83% pengguna kad kredit.

     
     
  • PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

    PANDU UJI: smart #1 Brabus – EV pantas dan tangkas!

    Untuk mereka yang masih belum tahu, smart automobile merupakan subsidiari di bawah Mercedes-Benz, di mana jenama tersebut dengan dua model popularnya iaitu smart fortwo dan forfour telah pun dijual di pasaran tempatan oleh DaimlerChrysler Malaysia (sekarang dikenali sebagai Mercedes-Benz Malaysia) pada pertengahan era 2000.

    Penjualan kedua-dua model berkenaan kemudiannya dihentikan oleh Daimler, namun ia kemudiannya dihidupkan kembali pada 2019 apabila gergasi automotif China, Geely telah menandatangani perjanjian dengan Daimler bagi membangunkan semula jenama smart; kali ini ia bukan sahaja menghasilkan kereta kompak, tetapi hanya menampilkan unit rangkaian kuasa elektrik penuh. Model-model baharu dari smart akan dibangunkan oleh Geely, tetapi Mercedes-Benz masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek rekaan.

    Model konsep untuk kerjasama ini didedahkan di IAA Mobility Show di Munich, Jerman pada September 2021, digelar sebagai smart Concept #1, manakala versi produksi dengan rupa yang hampir sama membuat kemunculan sulungnya di Berlin pada April 2022.

    Dengan insentif yang diberikan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penggunaan EV di Malaysia, Geely dan Proton dilihat tidak mahu melepaskan peluang tersebut di mana smart #1 dilancarkan secara rasmi di sini pada November tahun lalu, di mana anak syarikat Proton iaitu Pro-Net bertanggungjawab untuk mengendalikan smart Malaysia.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    BAIC yang membuat pengenalan rasminya di Malaysia turut memperkenalkan model SUV X55. Ia merupakan SUV dalam segmen C yang akan bersaing antaranya dengan Proton X70 dan Honda CR-V. Untuk pasaran di sini, X55 akan ditawarkan dalam dua varian — Standard dan Premium (dengan harga anggaran dari RM12xk-RM14xk). Yang ditampilkan ini ialah model pra-produksi — versi CKD-nya akan mula beredar pada suku keempat tahun ini, yang akan dipasang di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka.

    Mengikut ukuran dimensinya, X55 berada dalam segmen C — 4,620 mm panjang, 1,886 mm lebar dan 1,680 mm tinggi. Model ini hampir 100 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding X70, manakala jarak rodanya pula 2,735 mm ialah 65 mm lebih panjang. Untuk itu, telahan awal kami bahawa SUV ini adalah dalam segmen B meleset.

    Ia juga bahkan hanya sedikit lebih kecil berbanding CR-V, yang mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,691 mm tinggi. Suspensi belakang X55 ini juga menggunakan jenis multi-link, yang kerap menjadi pilihan bagi SUV segmen C.

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    Kedua-dua varian ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder suntikan terus yang menghasilkan 188 PS pada 5,500 rpm dan 305 Nm tork dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh-kelajuan, yang membolehkan model ini memecut 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Kadar penggunaan minyak pula didakwa 7.2 liter bagi 100 km (kitaran WLTP).

    Rekaan luarannya tajam, dengan DRL LED bentuk L yang nipis, kedudukan lampu utama LED yang lebih rendah, rekaan tingkap yang tajam serta kemasan krom di kelilingnya. Wajah depan yang tertutup memperlihatkannya sebagai sebuah EV, ditambah pula dengan rekaan bampar dengan corak hexagon ala Lexus RX. Pemegang pintunya juga tersorok.

    Di belakang, spoiler terpisah yang ada memberikan imej sporty. Ini ditambah dengan empat muncung ekzos yang tiada pada model pra-produksi tetapi akan ada untuk model jualan nanti. Skim dua tona warna badan juga diberikan sebagai pilihan, dengan bumbung dan cermin sisi hitam. Lencana “Beijing” yang masih dilihat ini pula akan digantikan dengan “BAIC” kelak.

    BAIC X55 di Malaysia — SUV segmen C, 1.5T jana 188 PS, 7DCT, serahan Q4; anggaran RM12xk-RM14xk

    Di dalam pula menerapkan rekaan ringkas — papan pemuka tirus dengan corong pendingin di sudut berbentuk L. Konsol tengah juga terapung dengan pemilih gear rata, banyak ruang simpanan serta pengecas tanpa wayar Qi. Model Standard datang dengan kemasan balutan kulit buatan, manakala Premium dengan kulit sebenar dengan fungsi memori untuk kerusinya, berliang dengan ciri pemanas.

    SUV ini juga dilengkapi dengan paparan 10-inci berkembar untuk kluster instrumen dan infotainmen, serta kawalan pendingin dua-zon. Malangnya, tiada kelibat Apple CarPlay atau Android Auto. Yang ada ialah fungsi Bluetooth dengan enam-pembesar suara.

    Kelengkapan standard yang lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, bumbung panoramik, cermin pandang belakang anti-silau, corong pendingin belakang, kamera undur, pintu ruang barangan belakang kuasa elektirk dan enam beg udara. Premium pula menerima tambahan lampu ambient 10-warna.

    Sistem bantuan pemandu pula belum jelas penawarannya. Unit pra-produksi ini tidak dilengkapi sistem tersebut, tetapi BAIC memaklumkan versi jualan nanti akan ada ciri seperti amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong dan amaran titik buta. Tiada ciri pengekalan lorong atau ke tengah lorong, begitu juga ciri AEB yang belum disahkan.

     
     
  • BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Beijing Automotive Group (BAIC) kini membuat penampilan rasmi di Malaysia, dengan mempamerkan dua model SUV sebagai pengenalan jenama tersebut di pasaran tempatan. Model yang dimaksudkan ialah BAIC X55, sebuah SUV segmen C yang akan bersaing dengan model seperti Proton X70 dan Honda CR-V.

    Yang kedua pula ialah model yang sedang anda lihat ini, BJ40 Plus yang merupakan sebuah SUV gaya off-road yang menampilkan reka bentuk yang pernah kita lihat: Jeep Wrangler. Namun, namanya pula meminjam daripada sebuah lagi popular dari kelas yang sama keluaran Toyota.

    Dengan ukuran 4,645 mm panjang, 1,925 mm lebar dan 1,871 mm tinggi serta jarak roda 2,745 mm, ia sama juga seperti ciri yang ada pada Wrangler — dengan panel bumbung dan pintunya boleh dicabut.

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Aspek utama rekaannya terdiri daripada rekaan gril depan dengan lima-lubang, penampan bawah bampar dan cangkuk tunda — yang ada empat kesemuanya di bahagian depan dan belakang. Kelengkapan standard luaran yang lain termasuklah lampu utama LED dengan DRL, serta lampu kombinasi LED di belakang.

    Di dalam, kabinnya diberi balutan kulit untuk kerusi dan stereng, kawalan pendingin dua-zon, panel instrumen LCD 12.3-inci dan paparan skrin sentuh di tengah bersaiz 10-inci serta lampu ambient. Kerusi pemandu pula datang dengan larasan elektrik empat-hala, dua slot USB, sistem audio dengan enam-pembesar suara dan kamera undur.

    BAIC BJ40 Plus dibuka untuk tempahan di Malaysia — 2.0T petrol, 221 hp/380 Nm, anggaran RM180k-200k

    Ketersediaan ruang baranga pula ialah 532 liter, dan boleh dilanjutkan menjadi 965 liter dengan kerusi direbahkan. Hanya ada satu varian SUV ini yang ditawarkan di sini. BJ40 Plus ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter turbocas yang menghasilkan 221 hp dan 380 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dan sistem pacuan sempat roda separuh masa Borg-Warner, dengan tiga mod pacuan — 2H/2L/4L.

    Sama seperti model X55 II ketika pelancarannya ini, kedua-duanya merupakan model pra-produksi (yang masing menggunakan jenama Beijing). Model CKD-nya, yang akan dipasang oleh EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka, akan menyusul pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Sepanjang tahun 2023, sekitar 600,000 kemalangan jalan raya telah direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 6,443 nyawa telah terkorban — ini diterjemahkan kepada purata 18 orang yang meninggal setiap hari akibat kemalangan jalan raya di Malaysia. 65% daripada jumlah kematian itu pula disumbangkan oleh penunggang dan pembonceng motosikal, yang mana melibatkan mereka yang dalam golongan usia 16 tahun hingga 35 tahun.

    Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sesi taklimat libat urus bersama media di ibu negara hari ini. Semua angka berkenaan sangat membimbangkan, kerana dalam setiap kes seperti itu, negara akan kerugian besar kerana kehilangan banyak sumber bernilai tinggi yang tiada gantinya.

    Sekian tahun — walaupun dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Kabinet berkaitan keselamatan jalan raya sejak puluhan tahun lalu — isu kematian dan kemalangan maut melibatkan kenderaan masih menghantui negara ini tanpa ada satu pun pendekatan yang berkesan dan cemerlang dapat diambil.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Seperti yang selalu kita dengar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini, dan semuanya saling berkait: sikap pengguna jalan raya, jumlah kenderaan yang makin meningkat saban tahun, kelemahan penguatkuasaan, kesungguhan politik serta ketidakcekapan rangkaian pengangkutan awam adalah punca utamanya.

    Anehnya, walaupun punca sudah diketahui, masih belum ada cara yang tuntas dan tegas untuk mengatasi masalah ini. Apa yang sedaya upaya dilakukan hanyalah untuk “meningkatkan kesedaran awam”, walau entah apa erti frasa itu sebenarnya, kerana tetap akan berulang lagi kejadian seumpama itu, dan kita seperti berada dalam kitaran yang tak berpenghujung.

    Tentang kerugian negara, jumlahnya jika diterjemahkan dalam wang ringgit adalah bernilai RM3.1 juta kos bagi setiap seorang yang terkorban. Ini mengambil kira jika individu itu seorang pekerja yang cekap di tempat kerjanya, merupakan seorang tulang belakang untuk keluarga dan juga kos lain dari segi nilai yang disumbangkan olehnya dalam kehidupan orang sekiling dan juga dalam masyarakat. Dalam tempoh setahun, anggaran kerugian untuk negara yang disebabkan kematian atau kecederaan akibat kemalangan ialah RM9.28 bilion.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Jumlah kenderaan yang semakin bertambah di atas jalan juga menjadi pembolehubah kepada jumlah kes yang meningkat. Data menunjukkan, pada 2019, lebih daripada 31 juta kenderaan baru didaftarkan, termasuklah motosikal. Lima tahun kemudian pada 2023, jumlah berkenaan melonjak kepada lebih 36 juta kenderaan. Untuk mengurangkan kebarangkalian kemalangan jalan raya berlaku, satu daripada caranya adalah untuk mengurangkan kenderaan yang berada di atas jalan.

    Dari pihak kerajaan, setiap langkah yang difikirkan perlu telah dan sedang dijalankan. Misalnya mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam dan rangkaiannya yang menyeluruh (misalnya melalui bajet RM200 juta subsidi untuk pas perjalanan bulanan tren/bas yang kini sudah mencapai 200,000 pengguna), begitu juga dengan pemberian subsidi bersasar yang akan dijalankan nanti diharap akan mula mengalih lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan pengangkutan awam (yang bagi perjalanan penuh atau pun sebahagian daripadanya) dalam urusan seharian mereka.

    Begitu juga dengan tindakan tegas terhadap operator lori yang melanggar peraturan had muatan yang telah ditetapkan, yang antara lain menjadi antara penyumbang kepada jalan berlubang. Ini menurut Loke bukanlah satu tindakan popular oleh kerajaan, tetapi sudah dilakukan yang menyaksikan pihak berwajib bukan sahaja mengeluarkan saman, tetapi juga turut menyita lori-lori berkenaan. Ada lori yang membawa lebihan muatan sehingga 150% daripada sepatutnya: dengan menyita lori pesalah-pesalah ini daripada berada di jalan raya secara tidak langsung menyumbang kepada aspek keselamatan pengguna yang lain.

    Kemalangan di Malaysia — 600k kes direkod, 6,443 terkorban pada 2023; 65% penunggang motosikal

    Selain itu, sejak Mac lalu juga, pihak polis melalui laman Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM akan berkongsi data harian berkaitan jumlah kemalangan dan kematian jalan raya, yang dimaksudkan sebagai peringatan untuk semua agak mengambil iktibar. Logik ini menurut Loke dipinjam daripada pengalaman Malaysia ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 tiga tahun dahulu, yang dengan kerjasama dan liputan menyuluruh media telah berjaya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan membantu pengurusan wabak dengan lebih cekap.

    Namun, kita tahu, jika hanya usaha satu pihak sahaja yang diharapkan, maka ia akan menjadi sia-sia. Kita semua, tidak kira lapisan atau kelompok dalam masyarakat, perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perkara ini dapat diubah, dan kita berjaya menghapuskan kematian akibat kemalangan jalan raya. Tak ada jalan pintas.

     
     
  • Sapu bendasing pada brek untuk lepas pemeriksaan Puspakom – punca kemalangan kenderaan berat?

    Sapu bendasing pada brek untuk lepas pemeriksaan Puspakom – punca kemalangan kenderaan berat?

    Sudah banyak kali kita lihat kemalangan yang membabitkan lori atau kenderaan berat dan alasan yang kerap muncul adalah ‘brek tidak makan’. Beberapa kejadian yang berlaku baru-baru ini mungkin boleh memberikan anda idea apa yang dimaksudkan.

    Sekarang, timbul pula satu lagi isu berkenaan brek. Dalam satu gambar tangkap layar yang dimuat naik oleh Najmi Aiman di Twitter/X, seorang individu dilihat menyapu sesuatu yang kelihatan seperti krim pada bahagian pad brek dram sebuah kenderaan.

    Apabila kami pergi kepada sumber asal video tersebut, yang dimuat naik oleh “Apoi Garage” dalam satu lagi media sosial, ia sudah mencatat lebih 200k tontonan dan hampir 500 kongsian. Ruangan komen juga menampakkan banyak maklum balas daripada orang ramai.

    @fazli_apak Sape tau, utk apa nie.. cer komen 😊 #ApoiGarage #CarService #RepairEngineDLL #Senawang #Seremban #Fyp #Fyppp #Fypシ ♬ DJ Tenge Teng Get IMP ID RMX – IMP ID

    Kenyataan yang diberi untuk video itu memberikan soalan sama ada orang tahu atau tidak kenapa ia dilakukan. Ada yang memberi jawapan, ia untuk memberi lebih cengkaman pada brek, dan “Apoi Garage” nampaknya bersetuju.

    Kemudiannya, ada juga yang bertanya tentang krim yang disapu. Balasan yang dibuat oleh “Apoi Garage” adalah itu merupakan “simen kereta.” Setakat yang kami tahu, simen kereta ini merujuk kepada krim yang biasanya dicampur dengan pengeras untuk menutup kecacatan pada permukaan badan kenderaan sebelum dicat.

    Keberkesanan cara ini tidak diketahui, tetapi memandangkan ia menggunakan sesuatu yang bukan sepatutnya pada bahagian penting kenderaan, ia menimbulkan keraguan. Jika cara ini sudah menjadi kebiasaan, adakah ia antara punca alasan “brek tidak makan” yang selalu digunakan oleh pemandu lori atau kenderaan berat apabila kemalangan? Pendapat anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025