Bulan April ini, pasaran motosikal Malaysia menjadi meriah dengan ketibaan dua motosikal yang menarik. Pertamanya adalah kapcai VF3i 183 cc daripada SYM, dan satu lagi adalah Dominar 400 yang dilancarkan oleh Modenas bersama rakan kongsinya, Bajaj Auto dari India.
Dominar 400 ini dibawa ke Malaysia selepas kedua-dua syarikat melihat penerimaan baik melalui model Bajaj yang diperkenalkan sebelum ini iaitu NS200, RS200 dan V15. Melalui ketiga-tiga model tersebut, jualan keseluruhan Modenas telah meningkat 11% dan prestasi lebih baik disasarkan dengan ketibaan Dominar 400.
Sebenarnya, Malaysia antara pasaran yang boleh dikira lambat menerima Dominar 400 ini. Ia telah dipasarkan di lebih 17 negara di seluruh dunia dan di Filipina juga ia telah dijual di bawah nama Kawasaki. Bermaksud, Dominar 400 ini bukanlah model yang begitu baru, dan menurut Bajaj, ketahanannya telah diuji.
Pelancaran Dominar 400 di Malaysia dianggap sebagai mencetus satu fenomena baru kerana harganya cuma RM14,615, sedangkan motosikal lain yang menggunakan enjin kapasiti lebih rendah daripadanya juga ada yang dijual lebih mahal seperti Yamaha R25 pada RM20,630 dan Honda CBR250R RM21,940.
Jika dibandingkan pula dengan motosikal yang mempunyai enjin sama dengan Dominar 400, iaitu KTM Duke 390, harganya juga berbeza hampir separuh, di mana Duke 390 dijual pada RM28,800. Sebagai maklumat, Bajaj juga memiliki sebahagian besar pegangan dalam syarikat KTM.