Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Direct Shift-CVT – penjelasan cara ia berfungsi

    Hujung Februari lalu, Toyota mendedahkan barisan teknologi baru yang akan digunakan pada kenderaan akan datang yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Satu daripada teknologi itu ialah Direct Shift-CVT, yang menampilkan gear pemula atau gear berlepas (launch gear) yang akan meningkatkan kecekapan sistem yang menggunakan tali sawat itu.

    Untuk memahami bagaimana cara ia berfungsi, Jason Fenske dari Engineering Explained telah memuat naik video untuk menjelaskan tujuan gear pemula itu, dan bagaimana ia membantu menambahbaik CVT.

    Pada transmisi baru Toyota itu, CVT beralih ke gear pemula yang lebih rendah ketika ingin mula bergerak dari keadaan berhenti. Ini menyediakan pacuan gear secara langsung, sama seperti memulakan pemanduan dengan gear satu dengan transmisi manual.

    Bagaimanapun, ketika kelajuan bertambah, gear pemula berkenaan akan di”gugur”kan dan sistem akan beralih pula kepada pacuan tali sawat (belt drive) dan berfungsi seperti CVT biasa.

    Gear pemula berkenaan memberi kelebihan pada pecutan yang lebih baik ketika mula memandu, dan membantu untuk mengurangkan rasa tersengguk yang dirasai ketika memandu dengan sistem CVT biasa.

    Dengan tambahan gear rendah berkenaan yang menggalas tugas memulakan pecutan dari keadaan pegun, Toyota telah berhasil untuk menggunakan komponen pulley dan tali sawat yang lebih kecil, serta sudut tali sawat yang lebih sempit (9 darjah berbanding 11 darjah). Ini memberi kesan kepada kelajuan peralihan gear yang lebih pantas sebanyak 20%.

     
     
  • Malaysia bakal keluarkan tag VEP bagi kenderaan asing yang masuk dari Singapura tidak lama lagi

    Malaysia bakal keluarkan tag VEP bagi kenderaan asing yang masuk dari Singapura tidak lama lagi

    Semua kenderaan berdaftar dari negara asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua, bakal dipasang tag Permit Kemasukan Kenderaan (VEP). Tag tersebut akan dikeluarkan secara berperingkat setelah ujian aplikasi yang sedang dijalankan selesai dijangka pertengahan April ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, tag berkenaan menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) dan akan diintegrasikan dengan sistem pembayaran tanpa menggunakan wang tunai yang dibangunkan Touch n Go, pengendali kutipan caj jalan raya itu, laporan Bernama.

    “Sistem Permit Kemasukan Kenderaan ini akan menghalang kenderaan asing daripada diklon dan dijual di negara ini. Ia juga akan membolehkan kami menghalang kenderaan yang mempunyai saman tertunggak daripada meninggalkan negara ini,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, kementerian berkenaan kini dalam proses memperkenalkan sistem VEP itu secara berperingkat di sempadan Malaysia-Thailand dan sempadan Sabah/Sarawak-Indonesia/Brunei.

    Menurutnya, pelaksanaan sistem pembayaran tanpa menggunakan wang tunai di Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua itu adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mempercepatkan kelahiran ekosistem pembayaran digital yang cekap dan terjamin keselamatannya.

    “Ini akan menjadi pemangkin dalam usaha kami untuk memperkenalkan penyelesaian tanpa menggunakan wang tunai di Malaysia dan mewujudkan suatu perubahan budaya dalam usaha berterusan kami untuk melahirkan sebuah negara Malaysia masa depan melalui pendigitalan dan teknologi,” katanya.

    Pada pertengahan Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan VEP ini bagi menyeragamkan pelaksaan laluan di kedua-dua laluan pintu masuk utama Malaysia – membabitkan sempadan Malaysia-Singapura dan Malaysia-Thailand.

     
     
  • FIM Enel MotoE 2019 – senarai penuh pasukan disiar, turut disertai Tech3, LCR dan Sky Racing Team VR46

    FIM Enel MotoE 2019 – senarai penuh pasukan disiar, turut disertai Tech3, LCR dan Sky Racing Team VR46

    Mulai tahun hadapan, satu siri perlumbaan motosikal elektrik akan dianjurkan oleh Dorna Sports dan dikenali sebagai FIM Enel MotoE World Cup. Februari lalu motosikal yang akan digunakan telah pun ditunjukkan kepada umum, dan kini, senarai penuh pasukan yang akan menyertainya pula disiar.

    Keseluruhannya akan ada 11 pasukan yang menyertai siri perlumbaan ini dan ia terdiri daripada Tech 3 Racing, LCR Team, Marc VDS Racing Team, Pramac Racing, Angel Nieto Team, Esponsorama Avintia Racing, Gresini Racing, Sky Racing Team VR46, Pons Racing, Dynavolt Intact GP dan SIC58 Squadra Corse.

    Ada di antara pasukan ini akan mempunyai dua motosikal yang berlumba serentak, menjadikan keseluruhannya terdapat 18 buah motosikal di atas litar. Motosikal yang digunakan pula kesemuanya adalah daripada Energica, namun kuasanya masih belum didedahkan.

    Menurut pengarah perlumbaan ini, Nicolas Goubert, FIM Enel MotoE World Cup akan berlangsung sebanyak lima pusingan, tetapi kesemuanya adalah di dalam Eropah sahaja. Ia akan menjadi sebahagian daripada acara dalam MotoGP, dan semasa perlumbaan di Qatar hujung minggu lalu, motosikal elektrik tersebut telah muncul melakukan pusingan demonstrasi.

     
     
  • Porsche Cayenne 2018 ditampilkan lagi di Malaysia

    Porsche Cayenne 2018 ditampilkan lagi di Malaysia

    Porsche Cayenne generasi ketiga telah pun membuat penampilan serantau di Malaysia selepas pertama kali ia dipertontonkan di sini pada Januari lalu. Seperti yang pernah dilaporkan, ia akan didatangkan dengan dua varian iaitu model asas Cayenne dan versi yang paling berprestasi Cayenne S.

    Bagi varian paling asas iaitu Cayenne, ia hadir dengan enjin 3.0 liter turbo-tunggal V6 bersama hamburan kuasa sehingga 340 hp antara 5,300 hingga 6,400 rpm iaitu lebih 40 hp berbanding model terdahulu, dan tork 450 Nm antara 1,340 hingga 5,300 rpm. Dengan pacuan 0-100 km/j hanya 5.9 saat dan mampu dipacu dengan kelajuan maksimum sehingga 245 km/j (+15 km/j berbanding model terdahulu). Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan antara 9.2-9.0 liter per 100 km, dan emisi CO2 pula pada 209-205 g/km. Model ini seberat 1,985 kg.

    Manakala Cayenne S yang dijanakan oleh enjin 2.9 liter V6 biturbo, hadir dengan hamburan kuasa sehingga 440 hp (+20 hp) antara 5,700-6,600 rpm dan tork 550 Nm antara 1,800-5,500 rpm. Dengan pacuan 0-100 km/j hanya 4.9 saat dan mampu mencapai kelajuan sehingga 265 km/j (+6). Bagi penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan antara 9.4-9.2 liter per 100 km, manakala emisi CO2 pula pada 213-209 g/km. Cayenne S memiliki berat 2,020 kg.

    Porsche Cayenne 2018 ditampilkan lagi di Malaysia

    Kedua-dua varian turut dipadankan dengan kotak gear Tiptronic S lapan-kelajuan baharu. Ia dibina atas platform MLB Evo (juga digunakan untuk Audi Q7 dan Bentley Bentayga) dan turut dilengkapi dengan Sport Chrono Package yang bakal dikurangkan 0.3 saat daripada masa pacuan penuh. Pakej pilihan ini termasuk butang PSM Sport Mode dan Sport Response, yang mengoptimakan Cayenne untuk maklumbalas berketahanan tinggi selama 20 saat.

    Bagi pengendaliannya, kedua-dua varian menampilkan independent aluminium multi-links pada kedua-dua gandar. Model asas Cayenne pula dipadankan dengan kaliper empat-omboh pada hadapan dan dua unit omboh di belakang. Manakala Cayenne S pula menerima enam-omboh di hadapan dan empat unit omboh di belakang. Varian yang paling berkuasa juga menerima cakera yang paling besar (dengan 390 mm berbanding 350 mm)

    Elemen pengendalian lain yang turut ditampilkan termasuk Porsche 4D Chassis Control, suspensi udara tiga-chamber, stereng gandar belakang dan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC). Selain itu, ia turut menampilkan
    Porsche Active Suspension Management (PASM), Porsche Active Aerodynamics dan pilihan Porsche Surface Coated Brake (PSCB), iaitu didatangkan dengan 10-omboh di hadapan dan empat-omboh bagi kaliper belakang.

    Porsche Cayenne 2018 ditampilkan lagi di Malaysia

    Walau pun Cayenne hebat di litar, namun ia turut menawarkan keupayaan di laluan off-road yang juga berdinamik. Ia memiliki lima mod off-road, dengan jarak kelegaan tanah mencecah 240 mm, sudut tanjakan sehingga 21 darjah dan kedalaman mencecah 524 mm.

    Selain itu, Cayenne turut didatangkan dengan Porsche Advanced Cockpit, yang menempatkan dua paparan bersaiz tujuh-inci disebelah analogue tachometer pada kluster instrumen. Turut ditampilkan termasuklah sistem infotainmen Porsche Communication Management terkini yang disambungkan dengan paparan skrin sesentuh 12.3-inci.

    Lain-lain elemen termasuk lampu utama LED, antara muka Direct Touch Control pada konsol tengah, kulit upholstery, tempat duduk larasan kuasa dan Bantuan Parkir. Buat masa ini, kami dimaklumkan model asas Cayenne dijangka berharga RM790k, sementara Cayenne S pula RM940k, kedua-duanya dengan cukai. Walau bagaimana pun harga rasminya hanya akan diumumkan pada tarikh yang ditetapkan kelak.

     
     
  • Hafizh Syahrin raih dua mata pertama di MotoGP Qatar

    Hafizh Syahrin raih dua mata pertama di MotoGP Qatar

    Penunggang Malaysia pertama di dalam MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya menamatkan perlumbaan sulungnya di dalam kejuaraan itu di MotoGP Qatar yang berlangsung di Litar Losail semalam. Untuk itu, Hafizh juga berjaya memungut dua mata yang cukup bermakna.

    Beliau yang memulakan perlumbaan ditempat ke-15 kemudiannya menamatkan saingan ditempat ke-14 dan berada 20.299 saat di belakang pendahulu perlumbaan, Andrea Dovizioso dari Itali yang menunggang untuk pasukan Ducati, lapor Bernama.

    “Saya rasa sangat baik sepanjang perlumbaan. Terima kasih kepada pasukan saya di atas kerja yang mengkagumkan ini. Saya menamatkan perlumbaan sulung ini dan dapat meraih mata; itu saja sudah melangkaui jangkaan awal saya. Tetapi, jika kita meletakkan tumpuan sepenuhnya, tidak mustahil untuk melakukan yang terbaik dan di luar jangkaan,” ulas Hafizh.

    “Ketika tinggal tujuh pusingan ke garisan penamat, saya menukar kuasa pada jentera. Empat pusingan kemudian, saya tukarkannya kembali sekali lagi. Ini juga merupakan satu pengalaman dan pelajaran berguna untuk saya lebih memahami kendalian elektronik pada jentera. Memang saya agak gementar di dalam perlumbaan ini, dan tak mahu terkandas atau membuat kesilapan hingga terjatuh,” ujarnya.

    Hafizh Syahrin raih dua mata pertama di MotoGP Qatar

    Doha, Qatar 15 Mac — Pelumba muda Hafizh Syahrin Abdullah mencatat sejarah menjadi pelumba pertama negara menyertai Grand Prix (GP) Qatar bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar yang bermula Jumaat (esok).?–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

    Dovizioso mengunggguli perlumbaan dan berjaya menamatkannya dalam masa 41 minit 34.654 saat, dan diikuti pula oleh Marc Marquez (Repsol Honda) dan Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) dengan masing-masing +0.027 saat dan +0.799 saat di belakang Dovizioso.

    Bagi rakan sepasukan, Johann Zarco dari Perancis, nasib bagaimanapun tidak begitu menyebelahinya. Memulakan perlumbaan di petak teratas dan mendahului dari awal lagi, Johann semakin ketinggalan sebaik perlumbaan tinggal lima pusingan. Ini meletakkannya di kedudukan kelapan ketika tiba digarisan penamat, dengan masa +7.112 saat dibelakang pendahulu.

    Selepas Qatar, MotoGP akan berlangsung pula di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina pada 6-8 April nanti. Semoga Hafizh dapat memberikan persembahan yang lebih memberangsangkan dan menjadi kebanggaan kita semua rakyat Malaysia.

     
     
  • KTM Duke 790 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi? Pengedar sudah mula buka tempahan, RM60k?

    KTM tahun ini mempunyai model baru yang cukup menarik iaitu Duke 790. Ia sudah diperkenalkan di Eropah dan menerima banyak maklum balas positif daripada wakil media yang sudah mencubanya. Duke 790 ini juga adalah sebuah model yang penting bagi KTM sendiri kerana ia adalah pertama kali mereka menggunakan tetapan dua silinder bagi enjin bawah 1,000 cc.

    Enjin tersebut dinamakan sebagai unit LC8c, mempunyai kapasiti 799 cc dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp dan 86 Nm tork. Padanan kotak gear pula adalah unit enam kelajuan yang mempunyai klac slipper PASC. Head enjin ini menggunakan sistem DOHC lapan injap, satu palam pencucuh untuk setiap silinder, dan rantai cam ditegangkan secara automatik melalui sistem hidraulik. Untuk mengurangkan gegaran, terdapat dua batang pengimbang (counter balance shaft); satu di depan crankshaft dan satu lagi di antara dua camshaft.

    Selain melihat kepada spesifikasi, melihat kepada penampilan Duke 790 ini juga boleh membuatkan ramai yang tertarik. Berita baik bagi yang sudah tidak sabar, kelihatannya seperti salah satu pengedar terbesar motosikal KTM di negara kita iaitu CA Cycle sudah membuka tempahan untuk motosikal yang digelar sebagai “The Scalpel” ini. Tidak cukup dengan itu, laman Facebook rasmi KTM Malaysia juga seperti memberi ‘usikan’ dengan menukar gambar utama kepada gambar Duke 790.

    KTM Duke 790 2018 akan tiba di Malaysia tidak lama lagi? Pengedar sudah mula buka tempahan, RM60k?

    Selepas menghubungi CA Cycle, kami diberitahu Duke 790 akan tiba dalam masa beberapa bulan lagi, dan harganya akan berada di sekitar RM60,000. Tempahan boleh dibuat dengan bayaran serendah RM1,000 dan sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan harga sebenar apabila dilancarkan nanti, mereka boleh mengambil semula wang tempahan.

    Duke 790 adalah sebuah motosikal yang menarik, dan ada wakil media yang sudah mencubanya mengatakan ia lebih mengujakan berbanding Triumph Street Triple 765. Susah juga hendak mempercayai perkara ini kerana Street Triple sudah seperti “raja” dalam segmennya, apatah lagi Duke 790 tidak mempunyai kelengkapan seperti brek Brembo M50 ataupun fork hadapan yang boleh dilaras.

    Pada bahagian elektronik, dengan penggunaan sistem ride-by-wire, Duke 790 ini dapat didatangkan dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Street, Rain dan Track. Selain itu, ia juga datang terus dengan Motorcycle Traction Control (MTC) yang sensitif kepada kecondongan motosikal, brek ABS yang boleh ditutup dan mod Supermoto, Motor Slip Regulation (MSR) dan Quickshifter+.

     
     
  • BMW M5 F90 – risalah spesifikasi M’sia didedah, RM1j

    Klik untuk besarkan

    Awal bulan ini, BMW Malaysia telah menyiarkan video teaser bagi model M5 generasi F90 menerusi laman Facebook rasmi mereka. Menandakan model mewah terbabit bakal diperkenalkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Baru-baru ini, kami menerima risalah spesifikasi M5 terkini, hasil kiriman pembaca Peter Ambrose.

    Pasti ramai yang ingin mengetahui soal mekanikalnya. Di bawah bonetnya, akan menempatkan enjin 4.4 liter pengecas turbo-berkembar V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 600 hp dan tork 750 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik M Steptronic lapan-kelajuan dengan Drivelogic, yang menyalurkan kuasanya ke semya roda menerusi sistem M xDrive, Ia merupakan M5 yang pertama menampilkan pacuan semua-roda, dan dipadankan bersama Active M Differential.

    Bagi angka prestasinya, dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam masa 3.4 saat dan kelajuan tertinggi pula 250 km/j. Walau bagaimana pun pakej pilihan M Driver tidak disenaraikan dalam risalah spesifikasi ini.

    Namun, ia didatangkan dengan Pakej M Performance bernilai RM30,000 (penutup enjin M Carbon, tali pinggang keledar M dan Sistem Ekzos M Sport), Pek Keselamatan Termaju bernilai RM15,000 (Driving Assistant Plus) dan Pek Hiburan Premium bernilai RM55,000 yang didatangkan dengan Sistem Bunyi Sekeliling Diamond Bowers and Wilkins dan hiburan untuk tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, pakej keempat dan terakhir yang ditawarkan ialah Brek Seramik M Carbon bernilai RM95,000.

    BMW M5 F90 – risalah spesifikasi M’sia didedah, RM1j

    M5 F90 ini dijangka mampu mencecah harga RM1 juta (BMW M5 F10 dijual pada harga RM902k). Walau bagaimana pun, dengan nilai keseluruhan termasuk pakej yang ditawarkan, harganya mampu mencecah di bawah RM1.2 juta. Namun ia dilihat masih murah sebanyak 30% berbanding dengan harga yang ditawarkan di Thailand.

    Elemen standard yang ditawarkan termasuklah roda aloi M yang ringan 20-inci (275/35 di hadapan, 285/35 untuk belakang), kekemasan BMW Individual high-gloss Shadow Line, kit badan luaran pebuh spesifik-M, bumbung gentian karbon, ekzos M dengan flap control, brek M Compound dengan kaliper biru, suspensi M adaptif, dan BMW Display Key yang diimport sepenuhnya.

    Di dalamnya, ia menerima kekemasan antrasit, karbon aluminium dengan sentuhan krom gelap, tempat duduk balutan kulit Merino, kluster instrumen digital spesifik-M, roda stereng kulit M dan penukar gear M. Turut ditampilkan termasuklah tirai pelindung marahari belakang elektronik, kawalan suhu empat-zon, butang push-start merah dan pembuka tailgate dengan sistem access comfort.

    Bagi hiburan, M5 standard menerima sistem bunyi sekeliling Harmon Kardon dengan 16-pembesar suara bersama digital amplifier berkuasa 600 watt. Skrin infotainmen memiliki unit definisi tinggi 10.25-inci dengan BMW Gesture Control, navigasi GPS dan perkhidmatan BMW ConnectedDrive.

    Untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Kestabilan Automatik, M Dynamic Mode, Kawalan Brek Dinamik dan Kawalan Brek Selekoh. Ia turut didatangkan dengan sistem keselamatan aktif/pasif termasuk kawalan kelajuan aktif.

    M5 F90 ini dilihat mampu memberikan persaingan sengit dengan Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ yang dilancarkan di sini pada September lalu dan ditawarkan dengan harga dari RM998,888. Jadi antara BMW dan Merc-AMG, mana satu menjadi pilihan kalbu?

    GALERI: BMW M5 F90

     
     
  • Proton teruskan program untuk menambah baik kualiti

    Proton teruskan program untuk menambah baik kualiti

    Sejak usaha sama dengan Geely diumumkan, Proton telah melalui program penambahbaikan kualiti menggunakan sistem penilaian berdasarkan kriteria skor global Volvo. Pengeluar kenderaan nasional itu menjelaskan, sejak memulakan program berkenaan, ia sudah menampakkan hasil.

    Audit yang dijalankan oleh Geely pada Disember tahun lalu menunjukkan penambahbaikan sebanyak tiga kali ganda. Syarikat itu menyatakan dengan lanjutan penambahbaikan yang diperkenalkan secara berperingkat, mereka yakin akan dapat meraih skor yang lebih baik di dalam audit terbaru yang akan dilakukan hujung bulan ini.

    Selain soal kualiti, yang telah menyaksikan beberapa model spesifik dan perkara yang disasar untuk diperkemas, inisiatif lain turut diperkenalkan bagi jualan dan pemasaran, yang akan terus dilaksanakan selepas ini. Ujian terhadap SUV pertama Proton juga berjalan lancar dan sedang dipersiap untuk pelancarannya pada suku keempat tahun ini.

    Proton juga menyatakan, jualan bulan Februari 2018 syarikat itu bersamaan dengan 9.6% perkongsian dari keseluruhan pasaran automotif Malaysia. Majoriti jualan disumbangkan oleh model seperti Saga, Persona, Exora dan Iriz.

    Iriz juga menjadi tumpuan bagi kempen “My Style, My Drive” yang akan berlangsung bulan ini di semua premis jualan Proton seluruh negara. Pelanggan dijemput untuk mendekati model hatchback kompak ini dan memandu ujinya untuk mengetahui pembaharuan yang telah dilakukan terhadap versi terkini model itu.

     
     
  • VIDEO: Enjin Wankel Rotary dengan ‘dinding lutsinar’ – tunjuk rupa sebenar setiap lejang ketika beroperasi

    Sebelum ini, saluran Youtube Warped Perception ada membuat video menunjukkan sebuah enjin pembakaran empat lejang konvesional yang diberikan kepala silinder lutsinar, memberikan kita gambaran jelas apa yang berlaku pada kebuk pembakaran ketika enjin tersebut beroperasi.

    Menerusi video terbaharu saluran berkenaan, pemiliknya kini menghasilkan pula ‘dinding’ lutsinar pada sebuah enjin Wankel Rotary bagi memberikan gambaran bagaimana keadaan kebuk pembakaran enjin jenis tersebut ketika sedang bekerja.

    Seperti yang kebanyakkan ‘petrol head‘ tahu, enjin Wankel Rotary merupakan enjin yang sangat ringkas, tanpa omboh, tanpa aci sesondol, tanpa injap dan pelbagai lagi, dibina dengan saiz kompak, namun menghasilkan kuasa yang begitu tinggi dan menjadi pilihan Mazda untuk menjana kereta-kereta sport dari siri RX mereka.

    Tetapi enjin ini mempunyai kekurangannya tersendiri seperti penggunaan petrol yang sangat tinggi serta masalah yang melanda pada apex seal (komponen yang terletak pada setiap bucu rotor yang berfungsi seperti piston ring pada enjin omboh) yang selalu ‘bocor’ dan perlu ditukar.

    VIDEO: Enjin Wankel Rotary dengan  ‘dinding lutsinar’ – tunjuk rupa sebenar setiap lejang ketika beroperasi

    Untuk menghasilkan video ini, pemilik saluran tersebut tidak menggunakan enjin skala sebenar 12A atau 13B dari Mazda, sebaliknya menggunakan enjin replika yang lebih kecil dan selalunya menjana pesawat kawalan jauh. Walau bagaimanapun, enjin tersebut masih sama dengan enjin sebenar, dilengkapi komponen seperti rotor utama, port kemasukan dan ekzos pada perumah rotor, serta syaf eccentric pada bahagian tengah yang berfungsi seperti aci engkol pada enjin konvensional.

    Jika sebelum ini anda mungkin hanya melihat gambar dan mungkin CGI bagaimana keadaan dalam enjin tersebut semasa semua proses lejang berlaku, enjin dengan dinding lutsinar ini memberikan anda rupa sebenar setiap proses tersebut.

    Diakhir video ini, pemilik saluran berkenaan turut mengoperasikan enjin ini menggunakan bahan asetilena untuk menggantikan nitro, dan ia memberikan gambaran yang lebih jelas bagaimana pembakaran yang berlaku pada lejang kuasa. Dia juga ada menyebut, eksperimen yang akan dilakukan selepas ini turut akan menggunakan enjin Rotary, tetapi belum diumumkan enjin yang mana. Harap-haraplah enjin Mazda sebenar pula yang digunakan ya.

     
     
  • MyPUSPAKOM kini di beroperasi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis – proses temujanji menerusi dalam talian

    MyPUSPAKOM kini di beroperasi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis – proses temujanji menerusi dalam talian

    Bagi pelanggan Puspakom yang berada di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, mulai bulan Mac ini, anda boleh membuat temujanji bagi pemeriksaan kenderaan, menerusi dalam talian menerusi laman web www.mypuspakom.com.my atau melalui applikasi MyPUSPAKOM yang boleh dimuat turun dari Google Play.

    Dengan menggunakan sistem MyPUSPAKOM, pelanggan bukan sahaja boleh membuat temujanji, malah boleh membuat bayaran secara dalam talian. Pelanggan yang membuat temujanji menggunakan sistem MyPUSPAKOM hanya perlu membayar caj pemprosesan sebanyak RM3.50. Menurut CEO Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata ia adalah susulan perlaksanaan sistem yang sama di Lembah Klang tahun lalu.

    “MyPUSPAKOM yang dilaksanakan di Lembah Klang sejak enam bulan lalu telah menerima banyak maklumbalas positif daripada pelanggan. Rekod kami menunjukkan hampir 30,000 pelanggan dan syarikat telah berdaftar dengan MyPUSPAKOM dalam tempoh enam bulan tersebut.

    MyPUSPAKOM kini di beroperasi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis – proses temujanji menerusi dalam talian

    “Pelanggan kini boleh membuat temujanji dan pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan hanya menggunakan peralatan mudah-alih atau telefon bimbit. Dengan memanfaatkan teknologi digital di era perniagaan baharu, pengenalan MyPUSPAKOM adalah sangat tepat di mana pelanggan boleh mengawal proses temujanji dengan memilih slot temujanji sehingga enam bulan ke hadapan,” ujar Shukor.

    Sistem ini membolehkan pelanggan menyusun temujanji secara lebih terancang, selain dapat mengetahui caj sebenar pemeriksaan. Ini akan mengelakkan pengaruh luar selain menghapuskan risiko dikenakan caj perkhidmatan yang tinggi oleh orang tengah ataupun pihak luar.

    Setiap transaksi yang berjaya akan diberikan satu kod QR, dan pada tarikh temujanji, pelanggan hanya perlu memandu ke lorong temujanji yang ditetapkan, imbas kod QR di tablet atau terminal pengimbas dan pemeriksaan akan dilakukan.

    Melalui sistem ini, pemeriksaan hanya mengambil masa kurang dari satu jam bermula dari masa mengimbas kod QR dan pelanggan-pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk pemeriksaan kenderaan mereka, membolehkan mereka mengurus masa dengan lebih baik dan berkesan.

    “Kami sentiasa berusaha menambahbaik perkhidmatan selaras dengan kehendak pelanggan dalam memberi kemudahan pemeriksaan kenderaan yang telus dan efisyen. Sehubungan itu, kami menggalakkan pelanggan agar menggunakan MyPUSPAKOM bagi memudahkan proses temujanji,” kata Shukor lagi.

     
     
  • Pininfarina HK GT 2018 – kelajuan maksimum 350 km/j

    Pininfarina HK GT 2018 – kelajuan maksimum 350 km/j

    Satu tahun selepas memperkenalkan sedan mewah H600, diikuti SUV K550 dan SUV K750, Pininfarina kini membawa pula HK GT 2018 ke Geneva Motor Show. Semua model yang disebutkan ini adalah model konsep yang dibangunkan oleh Pininfarina bersama syarikat teknologi dari Hong Kong, Hybrid Kinetic Group.

    Bahagian luar HK GT 2018 boleh digambarkan dalam tiga perkataan ringkas – keghairahan, kuasa dan elegan. Bonet hadapannya nampak panjang namun mempunyai garisan yang mengalir sehingga ke bahagian belakang, dan Pininfarina mahu mewujudkan kembali bentuk seperti Gran Turismo klasik. Dalam masa sama, intrepretasi tersendiri HK turut dimasukkan seperti gril krom seperti kelopak bunga dan lampu yang berteknologi tinggi.

    Untuk bahagian dalam, kenderaan ini menggunakan tetapan tempat duduk 2+2 dan semua tempat duduk dipisahkan dengan konsol tengah yang besar dan tinggi. Selain di stereng, tiada butang kawalan lain yang dapat dilihat pada kenderaan ini dan kebanyakan ciri berkemungkinan boleh dikawal menggunakan skrin sesentuh di konsol tengah. Berhadapan dengan penumpang hadapan juga terdapat satu lagi skrin yang lebih besar.

    HK GT ini adalah sebuah kenderaan yang mempunyai dua personaliti – Race dan Gran Turismo. Dalam mod Race yang lebih sporty, suasana bahagian akan dihiasi lampu merah, manakala panel instrumen pula hanya memaparkan informasi yang perlu sahaja. Dalam mod Gran Turismo yang lebih santai, lampu dalam kenderaan akan menjadi warna biru.

    Unit penggerak HK GT terdiri daripada motor elektrik permanent magnet (PM) yang mendapat kuasa daripada bateri 38 kW HK, dan dipadankan bersama transmisi dua kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh sistem ini adalah sebanyak 800 kW, membolehkan HK GT melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.7 saat dan laju maksimum 350 km/j.

     
     
  • Perodua nasihati orang ramai usah terpedaya dengan penipuan pembelian kereta baharu termasuk POV

    Perodua nasihati orang ramai usah terpedaya dengan penipuan pembelian kereta baharu termasuk POV

    Ekoran daripada penahanan seorang lelaki kelmarin berhubung dengan kes penipuan pembelian kenderaan Perodua, pihak Perodua Sales Sdn Bhd ingin menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kes-kes seumpama ini.

    Menurut kenyataan pihak berkuasa di dalam media tempatan hari ini, mereka telah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen syarikat Perodua sebelum menjual kenderaan keluaran Perodua di sebuah laman web jual-beli popular yang mana telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

    “Kes penipuan ini melibatkan jualan kenderaan baharu dan juga Kenderaan Pra-Milik Perodua (POV),” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin.

    “Perodua dan pihak yang terlibat telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Perodua ingin menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” katanya lagi.

    Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembayaran kepada mana-mana akaun individu kerana prosedur operasi standard adalah dengan membuat pembayaran terus kepada Perodua Sales Sdn Bhd atau wakil-wakil pengedar yang sah. Dato’ Dr. Zahari juga meminta semua pelanggan mendapatkan resit asal ketika membuat pembayaran.

    “Kami ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kereta POV yang diperakui Perodua hanya boleh dibeli di cawangan Perodua Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang,” kata Dato’ Dr. Zahari.

    Perodua POV secara rasminya dibuka untuk perniagaan pada Oktober 2017 dan beroperasi di Lot 18, Seksyen 86, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, menawarkan kereta Perodua terpakai sehingga tujuh tahun, yang mana kereta-kereta tersebut telah menjalani 165 poin pemeriksaan dan diperbaiki oleh Perodua sendiri. Untuk menambah ketenangan minda para pelanggan, kereta-kereta tersebut akan diberi jaminan sehingga 18 bulan bagi enjin dan transmisi. Perodua POV ini juga turut menjual model-model baharu Perodua.

    “Perodua adalah syarikat automotif yang sentiasa mengutamakan pelanggan. Kami telah menyediakan kenderaan mampu milik dan boleh dipercayai kepada orang ramai selama ini. Dengan POV, kami kini membuka lebih peluang kepada ramai lagi rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan, tanpa berkompromi isu keselamatan dan kualiti kenderaan kami,” kata Dato’ Dr. Zahari.

     
     
  • Grab, KTMB jalin kerjasama sedia khidmat perantara

    Grab, KTMB jalin kerjasama sedia khidmat perantara

    Grab Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu (KTBM) telah menandatangi memorandum persefahaman untuk menyediakan perkhidmatan perantara yang lebih mesra pengguna kepada pelanggan yang menggunakan rangakaian perkhidmatan keretapi utama di negara ini.

    Memetik laporan The Sun, ketua operasi Grab Malaysia, Sean Goh berkata kerjasama itu adalah berkaitan menyediakan perkhidmatan perhubungan dari stesen komuter/keretapi ke lokasi berdekatan dan sebaliknya kepada pelanggan KTMB.

    Menurut CEO KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, kerjasama dengan Grab yang telah dimulakan sejak setahun yang lalu menawarkan pilihan pengangkutan yang lebih mudah kepada pelanggannya. “Selain daripada mewujudkan kerjasama dan rangkaian perkhidmatan dengan pihak berkuasa tempatan serta pengusaha bas dan teksi, Grab memberikan satu lagi pilihan tambahan yang menarik dan memudahkan pengguna,” ujar beliau.

    Ia juga akan menyaksikan penawaran diskaun pada kadar tambang yang dikenakan oleh Grab bagi perjalanan dari stesen KTM Kuala Lumpur bagi acara KTMB Skypark Link Run yang akan berlangsung 15 April nanti. Acara berkenaan adalah sempena pembukaan stesen baru KTM yang dikenali sebagai Terminal Skypark, serta perkhidmatan tren baru, Skypark Link.

    Operasi perkhidmatan baru KTM ini dijangka bermula pada Mei 2018, dan merupakan perkhidmatan tren yang akan menghubungkan pengguna ke destinasi Subang Skypark Terminal.

     
     
  • BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini – tempahan sudah mula dibuka

    BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini –  tempahan sudah mula dibuka

    BMW Malaysia telah mengumumkan bakal melancarkan model X2, iaitu kenderaan Premium Compact Sports Activity Coupe yang pertama dilancarkan oleh pengeluar kenderaan berprestij ini, pada 21 Mac ini untuk pasaran tempatan. Difahamkan, kita bakal menerima X2 bagi model sDrive20i, dengan kulit Dakota berwarna Magma Red baharu.

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, “Kami berharap untuk terus memperkembangkan rangkaian BMW X melalui BMW X2 yang lebih ekstrovert. Kenderaan Premium Sports Activity Coupe kami yang terbaharu ini lebih menonjol dan akan mewujudkan impresi yang tersendiri di seluruh negara. BMW X2 adalah untuk golongan yang berani dan berbeza, iaitu individu-individu yang sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran.”

    Selepas diperkenalkan di peringkat global pada hujung Oktober lalu, ini merupakan model pertama X2 yang berdasarkan versi sporty bagi F48 X1, yang bakal menyertai barisan SUV coupe seperti X4 dan X6. Namun tidak seperti dua model tersebut yang lebih besar berbanding model SUV biasa X3 dan X5, bagi X2 ini juga kelihatan berkongsi sedikit gaya daripada X1. Malah BMW turut menggambarkannya sebagai model kendiri baharu.

    BMW X2 bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 21 Mac ini –  tempahan sudah mula dibuka

    Dua elemen signifikan bakal ditampilkan iaitu gril ‘kidney’ BMW trapezoid yang dipertingkatkan dan juga kekemasan M Sport X baharu. Di mana grilnya telah diposisikan sedikit ke atas, dan lebih lebar dari atas ke bawah, sementara pakej unik gabungan dengan elemen rekaan daripada barisan BMW M dan X.

    Bentuk X2 juga pastinya menjadi tarikan, biar pun bahagian belakangnya tidaklah landai seperti X4 dan X6, namun ia memiliki “garisan bumbung dengan gaya-coupe serta grafik tingkap yang menarik”. Malah ia juga nampak pendek dan tujuh sentimeter lebih rendah berbanding X1.

    Di dalamnya, X2 juga berkongsi binaan kejuruteraan seperti papan pemuka X1. Namun ia memang cukup bergaya, dengan penampilkan konsol tengah dan beberapa penampilan premium termasuk jahitan kontras dan material yang digunakan (Sensatec, gentian-mikro dan Alcantara). Bahagian but masih kekal seluas 470 liter.

    Dibina dengan platform BMW UKL pacuan roda-hadapan, ia turut memiliki jarak roda yang sama seperti X1 (2,670 mm). Tiga pilihan enjin bakal ditawarkan iaitu sDrive20i, xDrive20d dan xDrive25d – dengan lebih varian yang bakal ditambah pada tahun hadapan termasuk sDrive18i tiga-silinder.

    Bagi X2 sDrive20i, yang bakal diterima pasaran Malaysia kelak, dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm, yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat, dengan penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 5.9 liter setiap 100 km.

    Selain itu, varian diesel pula bakal menerima pacuan semua-roda secara standard, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Kedua-dua varian xDrive20d dan xDrive25d turut berkongsi unit 2.0 liter turbodiesel, yang ditala bagi masing-masing mendapatkan 190 hp/400 Nm (0-100 km/j dalam 7.7 saat, 4.6 l/100 km) dan 231 hp/450 Nm (6.7 saat, 5.1 l/100 km).

    BMW Malaysia turut memaklumkan, BMW X2 yang pertama boleh ditempah melalui app.bmw.com.my/x2 bermula hari ini, 16 Mac hingga 20 Mac 2018 dengan yuran tempahan sebanyak RM 3,000. Pemohon yang berjaya menempah kenderaan tersebut juga akan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah ekslusif daripada BMW Malaysia seperti kunjungan ke BMW Alpine xDrive Driving Experience di New Zealand, slot di BMW M Track Day di Litar Antarabangsa Sepang, dan slot Advanced Module Course oleh BMW Driving Experience juga di Litar Antarabangsa Sepang.

    GALERI: F39 BMW X2 xDrive20d M Sport X

    GALERI: F39 BMW X2 sDrive20i M Sport

     
     
  • Ford Mustang Shelby GT500 – muka pula ditunjukkan

    Ford Mustang Shelby GT500 – muka pula ditunjukkan

    Selepas menyiarkan sebuah video teaser Januari lalu, kini Ford mendedahkan pula muka hadapan untuk Mustang Shelby GT500, iaitu sebuah Mustang lebih berkuasa dengan lencana penala lagenda, Caroll Shelby. Walaupun mempunyai kuasa dan prestasi tinggi, kereta ini masih boleh digunakan atas jalan biasa.

    Daripada gambar ini, bahagian paling jelas yang menjadikan kereta ini cukup garang adalah bukaan udara yang besar dan di tengahnya terdapat lambang ular tedung yang sudah menjadi tanda unik sebuah model Shelby Cobra. Bahagian tepi bamparnya pula lebih berpetak, dengan jalur tegak manakala lampunya masih lagi mempunyai lampu nyalaan siang tiga garis.

    Tiada informasi tambahan yang dikeluarkan bersama gambar ini, tetapi melalui video sebelum ini, diberitahu bahawa Mustang Shelby GT500 terbaru ini nanti akan mempunyai kuasa lebih 700 hp. Khabar angin yang tersebar pula menyatakan kuasa ini datang daripada enjin asal Coyote V8 5.0 liter yang dipasang dengan supercharger.

    Model ini juga mempunyai kit badan yang lebih agresif termasuk splitter pada bampar hadapan, diffuser lebih besar pada bampar belakang dan juga sayap GT pada but belakang. Kelengkapan prestasi lain yang akan diberi adalah penutup hud enjin, ‘sayap’ pada skirt sisi, rim aloi berwarna hitam dan juga kit brek yang lebih besar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025