Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo V60 generasi baharu didedahkan secara rasmi – turut tampil pilihan hibrid plug-in T6 Twin Engine

    Volvo V60 generasi baharu didedahkan secara rasmi – turut tampil pilihan hibrid <em>plug-in</em> T6 Twin Engine

    Setelah hampir setahun SUV XC60 generasi baharu diperkenalkan, kini tiba masa pula versi wagon model ini didedahkan – Volvo V60 2018. Kereta ini akan membuat kemunculan sulung awam pertamanya di Geneva Motor Show yang akan berlangsung bulan hadapan, dan sebelum itu perincian awalnya disiarkan oleh Volvo terlebih dahulu.

    Model ini diletakkan dibawah model wagon flagship V90 yang telah diperkenalkan pada September 2016 dan tiba di Malaysia Mac tahun lalu. Ia juga berkongsi platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama dengan V90 tetapi dibina sedikit kecil. Dengan dimensi 4,761 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,427 mm tinggi dan jarak roda 2,872 mm, V60 sebenarnya 175 mm lebih pendek dan 48 mm lebih rendah dari V90.

    Untuk rupa, muka V60 ini masih kekal dengan rekaan signatur Volvo terkini – menampilkan sepasang lampu hadapan tirus dengan lampu nyalaan siang LED “Thor Hammer” dan gril “iron mark” dengan elemen jalur menegak. Namun, bampar standard V60 direka lebih agresif dari V90 walaupun bukan dari pakej R-Design, sesuai dengan badannya yang lebih kecil dan kelihatan lebih atletik.

    Volvo V60 generasi baharu didedahkan secara rasmi – turut tampil pilihan hibrid <em>plug-in</em> T6 Twin Engine

    Walaupun dengan saiz yang lebih pendek, V60 masih direka kekal dengan bayangan sisi menampilakan hud panjang, serta bumbung tirus yang rendah, bersama garis bahu yang kelihatan tegap. Lampu belakang wagon ini pula direka seiras seperti abangnya, V90 dan SUV XC90.

    Masuk ke kabin, anda disajikan rekaan yang seiras dengan XC60. Papan pemuka wagon ini diberikan skrin sesentuh menegak untuk sistem infotainmen Sensus, diletakkan pada bahagian tengah dan diapit dengan liang penghawa dingin juga direka menegak. Ia turut disokong dengan fungsi Apple Carplay dan Android Auto serta broadband tanpa wayar 4G.

    Sejak dari zaman Volvo Duett, 122 Amazon wagon, 245, 945, 855 hingga kini, ruang kargo wagon keluaran Volvo tidak pernah mengecewakan. V60 generasi baharu ini menampilkan ruang kargo dengan kapasiti 529 liter, sedikit lebih kecil dari V90 (560 liter), tetapi masih lagi lebih besar dari Mercedes-Benz E-Class Estate (490 liter) dan BMW 3 Series Touring (495 liter). Jika anda perlukan ruang lebih besar, hanya perlu lipat tempat duduk belakang dan ruang sebesar 1,364 liter sedia untuk digunakan.

    Volvo V60 generasi baharu didedahkan secara rasmi – turut tampil pilihan hibrid <em>plug-in</em> T6 Twin Engine

    New Volvo V60 exterior

    Volvo V60 2018 ditawarkan dengan satu pilihan enjin petrol, dua enjin diesel berbeza serta dua varian unit janakuasa hibrid plug-in. Untuk model janaan petrol sepenuhnya, V60 hadir dengan versi T6 AWD menampilkan enjin empat-silinder Drive-E 2.0 liter yang disuap dengan pengecas turbo serta supercharger berkuasa 310 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,200 hingga 4,800 rpm.

    Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Penggunaan bahan api gabungan pula dicatatkan antara 8.1 hingga 9.0 liter untuk setiap 100 km mengikut prosedur ujian Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP) baharu.

    Untuk versi diesel pula, V60 diberikan pilihan sama ada dalam versi D3 atau D4. Kedua-duanya diberikan enjin 2.0 liter turbodiesel tetapi diberikan talaan berbeza. Versi D3 ditala bagi membolehkan ia mengerah 150 hp/320 Nm dan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat dan penggunaan bahan api gabungan antara 5.2 hingga 6 liter untuk 100 km.

    Volvo V60 generasi baharu didedahkan secara rasmi – turut tampil pilihan hibrid <em>plug-in</em> T6 Twin Engine

    Manakala D4 pula boleh mengekstrak 190 hp/400 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 dalam 7.9 saat serta penggunaan bahan api antara 5.1 hingga 5.9 liter untuk 100 km. Kedua-dua enjin diesel ini digandingkan dengan pilihan kotak gear automatik atau manual enam-kelajuan, serta hadir dengan hanya versi pacuan hadapan.

    Bagi versi hibrid plug-in, pilihan diberikan dalam versi T6 Twin Engine atau T8 Twin Engine. Versi T6 Twin Engine menggabungkan enjin 2.0 liter Drive-E yang hanya disuap dengan pengecas turbo berkuasa 253 hp/350 Nm. Ia digandingkan kotak gear automatik lapan kelajuan, penghidup/generator bersepadu dengan aci engkol (CSIG), sepasang motor berkuasa 117 hp/240 Nm pada gandar belakang dan suapan bateri lithium-ion 10.4 kWj. Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa maksima gabungan 340 hp/590 Nm.

    Model T8 Twin Engine pula dijana enjin petrol 2.0 liter Drive-E, tetapi desakan pengecas turbo pada enjin ini turut dibantu dengan sebuah lagi unit supercharger, menghasilkan kuasa 303 hp/400 Nm (berbanding T8 pada XC60, XC90 dan V90 berkuasa 320 hp/400 Nm). Sistem hibrid plug-in pada versi ini masih sama dengan versi T6 Twin Engine dan menghasilkan jumlah kuasa keseluruhan 390 hp/640 Nm.

    Namun menurut Volvo, walaupun T6 Twin Engine kurang berkuasa berbanding versi T8 Twin Engine, kedua-dua model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam catatan masa yang sama iaitu 4.8 saat, serta penggunaan bahan api yang juga sama iaitu 2.1 liter untuk 100 km perjalanan serta jarak perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 45 km dengan satu cas bateri penuh.

    Untuk keselamatan, V60 generasi baharu ini datang dengan kit bantuan pemanduan sama seperti XC60 dan juga model-model siri 90, termasuk City Safety bersama brek kecemasan automatik yang mampu mengesan pergerakan pejalan kaki, penunggang basikal dan juga kenderaan-kenderaan besar. Ia juga disertakan dengan sistem brek automatik yang bukan sahaja boleh menghentikan kenderaan, malah turut boleh mengawal stereng bagi mengelakkan pelanggaran dari berlaku – pertama seumpamanya di dunia.

    Wagon V60 ini turut diberikan sistem pemanduan separa-automatik Pilot Assist yang menampilkan prestasi meredah selekoh, pengelak keluar dari jalan, pengelak masuk ke laluan bertentangan serta ciri bantuan kawalan stereng lain yang diperbaiki. Sistem Amaran Lintasan Trafik dengan brek automatik pula ditawarkan sebagai opsyen.

    Untuk pasaran Eropah, V60 turut disenaraikan dalam servis Care By Volvo baharu yang diperkenalkan ketika pelancaran SUV kompak XC40. Servis ini membolehkan pelanggan memandu kenderaan-kenderaan dari Volvo menerusi bayaran sewa bulanan kadar rata berbandng sewaan atau belian secara terus. Menurut Volvo, servis ini menjadikan pemilikan kereta lebih telus, mudah dan tidak rumit, sama seperti untuk memiliki telefon pintar.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia panggil balik ASX, Lancer dan Outlander untuk penukaran geganti kawalan enjin

    Mitsubishi Malaysia panggil balik ASX, Lancer dan Outlander untuk penukaran geganti kawalan enjin

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), meminta semua pemilik Mitsubishi Lancer sedan dan Outlander yang diimport dari Jepun (CBU) serta ASX pemasangan tempatan (CKD) untuk segera menghantar kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah Mitsubishi berhampiran bagi penukaran geganti kawalan enjin (engine control relay).

    Lancer sedan yang terbabit adalah tahun buatan Dis 2014 hingga Feb 2016 dan Outlander pula yang dihasilkan pada Dis 2015-Jun 2016, manakala ASX melibatkan model tahun buatan Mac 2015-Nov 2016. MMM memaklumkan sebanyak 5,000 unit kenderaan yang terlibat dengan panggilan balik itu.

    Geganti bertindak melindungi ECU enjin dari voltan yang berlaku secara tiba-tiba. Jika tidak ditukar, bahagian dalaman geganti tersebut mungkin gagal bertindak sewajarnya dan seterusnya boleh mempengaruhi fungsi ECU enjin.

    Selain itu, MMM juga akan menganjurkan Kempen Panggilan Balik bagi model Pajero Exceed bagi menggantikan inflator beg udara sisi penumpang. Ia melibatkan 115 unit Exceed buatan Mac 2010 hingga Julai 2012. Di mana beg udara yang mengalami masalah itu kebarangkalian mampu menyebarkan serpihan logam sekiranya ia meletup dan ini boleh mendatangkan kecederaan buat penumpang di dalam kenderaan terbabit. Kempen ini adalah sebahagian daripada panggilan balik beg udara buatan Takata yang masih berlangsung di seluruh dunia.

    “Keselamatan adalah keutamaan kami. Justeru, kami mengambil inisiatif ini untuk memastikan keselamatan para pelanggan kami terjamin dan kesulitan yang dihadapi oleh para pelanggan amatlah kami sesesali,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO bagi MMM.

    MMM akan menghantar surat makluman kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang terlibat dan kos penukaran komponen terbabit akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini.

    Dalam masa yang sama, MMM turut menyeru semua pelanggan yang terlibat akan segera membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis bertauliah Mitsubishi berhampiran untuk penukaran alat ganti terbabit. Bagi mengetahui senarai pusat servis dan maklumat lanjut mengenai perkara ini, sila layari www.mitsubishi-motors.com.my or atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Mitsubishi di talian 1800 18 8161 (9 pagi – 5 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum).

     
     
  • GALERI: Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018 di Malaysia

    GALERI: Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018 di Malaysia

    Kami membawakan anda galeri penuh bagi Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018, varian tertinggi bagi barisan Harrier di Malaysia, selain turut menawarkan model asas 2.0T Premium. Varian tertinggi ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM259,900 tanpa insurans, iaitu RM21,900 lebih mahal berbanding model asas.

    Harrier dijanakan oleh enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbo (sama seperti Lexus NX) yang boleh menghasilkan kuasa 231 PS dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,650 dan 4,000 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan.

    Elemen luaran standard yang ditampilkan bagi kedua-dua varian termasuklah lampu utama LED dengan lampu membelok berturutan, lampu kabus LED, lampu nyalaan siang LED dan lampu membelok LED. Ia juga ditawarkan dengan roda aloi rekaan turbin lima-jejari, dwi-tona 18-inci yang dibaluti tayar profil 235/55 dan kemasukan tanpa kunci. Elemen ekstra yang ditawarkan secara eksklusif bagi varian Luxury termasuklah bumbung matahari panoramik, tailgate berkuasa dan bilah pengelap cermin dengan pengesan hujan.

    GALERI: Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018 di Malaysia

    Di dalamnya pula, Luxury dihadirkan dengan bentangan Premium termasuk upholstery kulit Nappa (berbanding Ultrasuede), sistem pembersihan udara NanoE, cermin pandang belakang elektrokromik, dan scuff plate iluminiasi. Luxury turut menerima tempat duduk hadapan larasan-berkuasa dan pengaliran – lapan-hala pelarasan dengan memori untuk tempat duduk pemandu dan empat-hala untuk penumpang di sebelah.

    Elemen lain untuk kedua-dua varian termasuk sistem kawalan suhu dwi-zon, unit infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, stereng larasan-berkuasa dan butang penghidup enjin.

    Bagi keselamatan pula, kedua-dua varian bagi Harrier ini dilengkapi dengan kit yang lebih kurang sama, termasuk tujuh beg udara, VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan brek, brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek serta pengesan parkir.

    GALERI: Toyota Harrier 2.0T Luxury 2018 di Malaysia

    SUV ini turut menerima pakej Toyota Safety Sense termasuk Sistem Pra-pelanggaran (brek kecemasan sendiri), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).

    Harrier 2.0T Luxury yang berharga RM259,900 ini turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/perbatuan tanpa had. Pembeli boleh memilih empat warna bagi kedua-dua varian – White Pearl Crystal Shine, Sparkling Black Pearl Crystal Shine, Dark Blue Mica Metallic dan Silver Metallic – di mana dua warna yang pertama itu ditawarkan dengan kos tambahan bernilai RM848.

    Ia turut ditawarkan dengan aksesori tambahan, iaitu sistem infotainmen DVD-AVN dengan navigasi bernilai RM1,272. Selain penutup tonneau untuk but berharga RM1,590.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda CRF250 Rally mampu tunjuk lagak atas jalan offroad, santai atas jalan berturap

    TUNGGANG UJI: Honda CRF250 Rally mampu tunjuk lagak atas jalan <em>offroad</em>, santai atas jalan berturap

    Motosikal jelajah yang menggunakan asas daripada model offroad sudah wujud sekian lama, tapi sekarang ia seperti kembali menarik perhatian pengguna. Biasanya bagi motosikal jenis ini, penampilannya agak membosankan, dengan badan yang ringkas manakala lampu hadapannya pula berpetak biasa sahaja.

    Honda bagaimanapun cuba mengubah perkara ini, dengan mengeluarkan model CRF250 Rally, yang seperti anda boleh lihat, mempunyai gaya berbeza, dan sebenarnya mendapat inspirasi daripada jentera yang digunakan dalam perlumbaan Dakar.

    Model ini menggunakan asas daripada CRF250L, iaitu sebuah motosikal jenis trail/enduro tetapi diberikan gaya lebih garang, dengan hampir semua panel badannya adalah berbeza. Paling jelas adalah bahagian lampu hadapan, di mana ramai yang saya temui, mengatakan ia seperti mengenakan topeng atau goggle. Bahagian ini juga memainkan peranan penting yang membuatkan ia boleh jadi menarik atau sebaliknya, bergantung kepada individu.

    Lampu ini sebenarnya adalah unit LED, dan ini adalah satu lagi kelebihan model CRF250 Rally berbanding CRF250L. Selain daripada itu, lampu penunjuk arah juga adalah berbeza, dan ia menyala sama seperti lampu hadapan, sepanjang masa (kedua-dua belah). Apabila diaktifkan, barulah ia berkelip mengikut arah yang dipilih.

    Pergi ke bahagian tepi pula, panel atas, serta penghadang enjin dan ekzos juga berbeza. Semua bahagian ini diperbuat daripada plastik, dan saya tertarik dengan kualiti dan keteguhannya. Apabila diketuk-ketuk dengan tangan ia terasa tegap, dan disebabkan ia adalah plastik, apabila terjatuh mungkin ia boleh melentur dan tidak mudah pecah. Tapi untuk bahagian bawah enjin, jika anda mahukan lebih ketahanan, mungkin ia boleh ditukar dengan unit yang diperbuat daripada aluminium.

    Baca seterusnya di sini

     
     
  • Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

    Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

    Selepas pelumba dari Jerman, iaitu Jonas Folger mengumumkan tidak dapat berlumba pada musim ini atas sebab kesihatan, pasukan Yamaha Tech3 telah memulakan pencarian pelumba pengganti. Semasa sesi ujian di Litar Sepang, khidmat Yonny Hernandez digunakan, tetapi selepas itu, mula terdapat khabar angin beliau akan diganti oleh Hafizh Syahrin, pelumba negara yang berusia 23 tahun.

    Apabila sesi ujian seterusnya di Buriram, Thailand semakin hampir, pasukan yang berpusat di Perancis itu mengumumkan, memang benar Hafizh Syahrin telah dipilih untuk sesi ujian di Buriram, Thailand, tetapi pada waktu itu keputusan yang dibuat hanyalah untuk sesi ujian dan bukannya perlumbaan sebenar.

    Hari ini akhirnya teka-teki ditamatkan apabila pasukan Monster Yamaha Tech3 mengumumkan secara rasmi khidmat Hafizh Syahrin akan digunakan untuk keseluruhan musim 2018, mengendalikan jentera YZR-M1 dalam perlumbaan kategori premier MotoGP, bersama Johann Zarco.

    Hafizh Syahrin sah berlumba dalam MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3, ganti Jonas Folger

    “Saya ingin berterima kasih kepada Hervé, Yamaha Motor Corporation, Monster dan keseluruhan pasukan Tech3 kerana percaya pada saya dan memberikan peluang yang hebat untuk berlumba dalam musim penuh MotoGP ini. Terima kasih juga kepada keluarga saya, yang sentiasa menyokong untuk menjadikan mimpi ini satu kenyataan, terutamanya bapa saya, dan juga peminat serta tentu sekali Razlan. Saya tidak sabar untuk melakukan sesi ujian seterusnya di Qatar, dan saya rasa lebih bermotivasi,” kata Hafizh.

    Ketua pengarah eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali pula berkata: “Sesi ujian di Buriram sudah menjadi satu sejarah penting bagi Hafizh. Pengumuman rasmi Hafizh akan bertanding dalam musim penuh dengan pasukan Monster Yamaha Tech3 adalah satu pengumuman dan pencapaian yang besar bagi pelumba Malaysia, selepas menganjurkan MotoGP di Malaysia selama 26 tahun. Ia juga adalah satu berita hebat untuk benua Asia. Saya mesti berterima kasih kepada Hervé Poncharal untuk peluang, kepercayaan serta keyakinan beliau pada Hafizh.”

    “Yamaha lebih daripada gembira dengan prestasi Hafizh dan seluruh pasukan Tech3 pula rasa senang hati. Saya berasa sangat bertuah dan bangga untuk memberi beliau peluang ini, dan saya tahu ia akan menjadi sesuatu yang bersejarah, kerana ini adalah pertama kali pelumba dari Malaysia dapat berlumba dalam musim penuh menggunakan jentera MotoGP, dan kami tahu betapa popularnya sukan ini di negara sebelah sini,” kata pengurus pasukan Monster Yamaha Tech3, Hervé Poncharal

     
     
  • Harga bahan api 23-28 Feb 2018 – semua turun lagi

    Harga bahan api 23-28 Feb 2018 – semua turun lagi

    Minggu lalu rakyat Malaysia menikmati penurunan harga bahan api yang agak besar dari biasa, dan trend berkenaan nampaknya berterusan untuk minggu terakhir Februari 2018. Bermula tengah malam ini hingga 28 Februari 2018, petrol RON 95 turun 6 sen seliter, RON 97 turun 7 sen seliter dan diesel juga turun 6 sen seliter.

    Oleh itu, petrol RON 95 akan dijual pada harga RM2.17 seliter dan RON 97 pula 2.43 seliter. Manakala untuk diesel pula Euro 2M akan dijual pada harga RM2.13 seliter dan gred Euro 5 yang lebih tinggi dijual pada harga RM2.23 seliter.

    Minggu sebelumnya, RON 95 dijual pada harga RM2.33 seliter manakala RON 97 berharga RM2.61 (turun 10 dan 11 sen seliter dari minggu sebelumnya). Minggu yang sama juga, bahan bakar diesel Euro 2M dijual pada harga RM2.19 seliter dan Euro 5 pula RM2.29 seliter – kedua-duanya turun 12 sen berbanding minggu sebelum itu.

     
     
  • Ferrari 488 Pista bakal mewarnai Geneva Motor Show

    Ferrari 488 Pista bakal mewarnai Geneva Motor Show

    Ferrari 488 Pista pastinya menambahkan keterujaan peminat automotif global yang tidak sabar menantikan kehadirannya di Geneva Motor Show 2018 bulan hadapan. Model terkini bagi jentera siri istimewa enjin V8, termasuk 360 Challenge Stradale, 430 Scuderia dan 458 Speciale. Seperti model sebelumnya, 488 Pista dibina berdasarkan model Ferrari terdahulu iaitu 488 GTB, namun dengan peningkatan tambahan dari jentera lumba jenama ini.

    Kuasanya disalurkan dari enjin F154 CB yang pernah digunakan oleh 488 GTB, dengan 3.9 liter turbo berkembar V8 yang mampu menghasilkan 720 PS (710 hp) pada 8,000 rpm dan tork 770 Nm. Ia meningkat sebanyak 50 PS daripada 488 GTB, sementara tork juga sedikit tinggi sebanyak 10 Nm.

    Peningkatan yang boleh dikatakan agak besar ini adalah hasil adaptasi soulsi daripada 488 Challenge, termasuk Inconel exhaust manifolds, crankshaft dan flywheel yang lebih ringan, titanium con rods dan carbon-fibre intake plenums. Jentera lumba itu turut menyumbang turbo yang disambung dengan rev sensor serta rekaan bagi garisan corong pengambilan udara – yang dipindahkan dari sayap ke kawasan spoiler belakang.

    Ferrari berkata berat 499 Pista hanya 1,280 kg (kering), iaitu 90 kg lebih ringan berbanding 488 GTB, dengan enjinnya telah menyumbang ke pengurangan berat itu. Dengan enjin V8 yang lebih berkuasa, model baharu ini hanya mengambil masa 2.85 saat bagi pecutan 0-100 km/j, iaitu 0.15 saat lebih pantas berbanding 488 GTB. Untuk 0-200 km/j pula lebih kurang 7.6 saat berbanding 8.3 saat, dan kelajuan maksimum mencapai 340 km/j.

    Sistem Side-Slip Angle Control (SSC) versi ke-enam ciptaan Ferrari bakal menterjemahkan seluruh kuasa, dan termasuk sistem berikut: E-Diff3, F1-Trac, magnetorheological suspension (SCM) dan buat pertama kalinya, Ferrari Dynamic Enhancer (FDE) iaitu perisian yang digunakan untuk melaras tekanan brek pada kaliper.

    Jika perubahan luaran bukan tarikan utama, 488 Pista telah mereka prestasi aerodinamik yang lebih menguja. Ia ditampilkan dengan saluran-S yang diinspirasi dari F1, sementara diffuser hadapan pula ditampilkan dengan ramp angle (inspirasi oleh 488 GTE) bagi meningkatkan downforce.

    Selain itu, jentera ini juga ditampilkan dengan generator vortex yang telah direka semula untuk bekerja dengan diffuser belakang baharu, bagi menambahkan pengekstrakan dan downforce generation.

    Ferrari 488 Pista bakal mewarnai Geneva Motor Show

    Selain itu, spoiler belakang umpama ekor ikan lumba-lumba yang lebih tinggi dan panjang berbanding yang ditampilkan pada 488 GTB, yang diperbuat daripada gentian karbon, turut dipadankan bagi jentera lumba ini. Elemen gentian karbon lain termasuklah penutup enjin dan bampar, dengan sedikit tambahan, Ferrari turut menawarkan roda gentian karbon 20-inci, dengan tayar Michelin yang dibina khas turut termasuk dalam pakej ini.

    Di dalamnya, 488 Pista tidak banyak perubahan daripada 488 GTB standard, namun masih mengekalkan beberapa elemen yang lebih ringan dan diinspirasikan daripada sukan permotoran. Hasilnya, elemen kulit telah digantikan sama ada dengan ALcantara atau pun gentian karbon, serta tiada alas lantai disertakan langsung, namun didatangkan dengan racing harnesses dan tempat duduk bucket.

    Menurut Ferrari, nama ‘Pista’ adalah bagi “Penghormatan langsung bagi warisan Ferrari yang terkenal dalam sukan permotoran”, dan diterjemahkan ke “litar”. 488 Pistaakan ditampilkan ke hadapan khalayak ramai di Geneva Motor Show 2018 Mac ini.

     
     
  • Porsche hentikan pengeluaran model-model diesel

    Porsche hentikan pengeluaran model-model diesel

    Setelah sembilan-tahun menjual model yang dijana enjin diesel, pembuat kereta sport dari Jerman, Porsche mengambil keputusan untuk menggugurkan kesemua model yang dijana bahan bakar berkenaan. Menurut laporan Autocar, keputusan ini diambil kerana permintaan pelanggan yang mula berubah serta ujian pencemaran udara yang kini semakin ketat.

    Oleh itu, dua model diesel yang kini berada dalam bilik-bilik pameran Porsche – Macan S Diesel dan Panamera 4S Diesel – akan dihentikan produksinya serta merta. Menurut Porsche, pelanggan kini lebih mahukan kenderaan yang dijana enjin petrol dan juga model yang diberikan unit janakuasa hibrid.

    Mengikut rekod, Panamera 4S Diesel hanya dijual sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan 11,000 unit Panamera yang dijual di seluruh dunia pada tahun 2017. Model Petrol pula dijual sebanyak 35%, manakala Panamera 4 E-Hybrid berjaya dijual sebanyak 50% dari angka berkenaan.

    Namun menurut sumber yang memberitahu Autocar, langkah ini bukan bermaksud Porsche akan menghentikan penghasilan model diesel buat selama-lamanya. CEO Porsche Oliver Blume juga pernah memberitahu portal berkenaan bahawa “diesel tidak terlalu penting untuk Porsche,” dan menjelaskan jualan model diesel hanya ditumpukan di Eropah dan hanya dijual sebanyak 15% dari jumlah jualan global.

    Porsche kini secara jelas sedang membangunkan unit janakuasa bersama teknologi elektrik dengan kemunculan Mission E yang dijangka pada tahun hadapan. Kereta sport ikonik Porsche 911 juga dikatakan akan diberikan sistem hibrid untuk model 2019 kelak.

     
     
  • Mitsubishi Outlander PHEV facelift – enjin 2.4L baharu, kapasiti bateri lebih tinggi dan output motor belakang

    Mitsubishi Outlander PHEV facelift – enjin 2.4L baharu, kapasiti bateri lebih tinggi dan output motor belakang

    Mitsubishi mengesahkan bakal memperkenalkan Outlander PHEV 2019 di Geneva bulan hadapan. Ia membabitkan beberapa peningkatan, dengan rekaan semula bagi penjana kuasanya.

    Kini, ia ditampilkan dengan enjin petrol 2.4 liter kitaran Atkinson, yang menggantikan enjin terdahulu 2.0 liter kitaran Otto, dan output bagi tork yang lebih tinggi dan operasi yang lebih lancar.

    Kapasiti bagi bateri lithium-ion juga telah dipertingkatkan ke 13.8 kWh (sebelum ini 12 kWh) dan terus menggunakan motor elektrik bagi kedua-dua gandar hadapan dan belakang.

    Tiada angka output yang didedahkan bagi enjin dan motor, namun output bagi generator dan motor belakang meningkat sebanyak 10%. Untuk model semasa, dua motor magnet segerak menawarkan output sebanyak 60 kW bagi setiap satu, jadi unit belakang mampu menghasilkan sekitar 66 kWh.

    Angka tork pastinya lebih meningkat, dengan hamburan dari motor belakang – buat masa ini, motor hadapan memberikan 137 Nm, manakala unit belakang pula menawarkan 195 Nm. Selain itu, sistem 4WD ini juga menerima dua mod pemanduan tambahan, dengan mod Sport dan Snow telah menyertai mod sedia ada, Normal dan 4WD.

    Di samping perubahan mekanikal, Outlander PHEV juga menerima pembaharuan rekaan luaran, begitu juga dengan ruang dalaman. Perubahan luaran melibatkan rekaan gril hadapan baharu, lampu belakang LED, lampu kabus segi empat tepat serta skid plate hadapan. SUV ini juga menerima spoiler belakang yang lebih besar dan rekaan dua-tona baharu bagi roda aloi pelbagai-jejari 18-inci.

    Di dalamnya pula, kabin kini ditampilkan dengan upholstery kulit quilted baharu dan sentuhan yang lebih segar bagi tempat duduk hadapan serta panel instrumen yang diberi gaya baharu. Bukan itu sahaja, suis gear dan kekemasan baharu juga ditampilkan, termasuk dengan corong pendingin hawa belakang.

     
     
  • LVCHI Auto Venere – kereta elektrik sepenuhnya dari China berkuasa lebih 1,000 hp akan ke Geneva

    LVCHI Auto Venere – kereta elektrik sepenuhnya dari China berkuasa lebih 1,000 hp akan ke Geneva

    LVCHI Auto, pembuat kenderaan dari China telah menyiarkan teaser kereta elektrik sepenuhnya yang diberi nama Venere, bakal didedahkan di Geneva Motor Show bulan hadapan.

    Apa yang menarik, Venere bukanlah kereta elektrik biasa, tetapi menurut LVCHI Auto, ia adalah sebuah model empat-tempat duduk, dijana empat motor elektrik yang berupaya mengekstrak kuasa keseluruhan lebih dari 1,000 hp (992 bhp).

    Motor-motor berkenaan akan memacu kesemua empat roda kereta ini – dua diletakkan pada gandar hadapan dan dua lagi di gandar belakang serta kedua-dua gandar tersebut turut diberikan kotak gear dua-kelajuan setiap satu. Kuasa setiap motor berkenaan pula akan dibekalkan dari pek bateri Lithium-ion berkapasiti 100 kWj.

    Dengan segala kelengkapan tersebut, LVCHI Auto Venere mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3 saat. Ia juga dikatakan mampu mencatatkan kelajuan maksima lebih dari 250 km/j.

    Sukar untuk mentafsir bagaimana rupa sebenar kereta ini kerana dua imej teaser yang disiarkan berkenaan hanya menunjukkan rekaan pada lampu hadapan dan belakang – kedua-duanya direka tirus dan agresif.

    LVCHI Auto Venere – kereta elektrik sepenuhnya dari China berkuasa lebih 1,000 hp akan ke Geneva

    Menurut pengeluar dari China ini, Venere direka dengan panjang keseluruhan 5,118 mm dan mempunyai pekali geseran hanya 0.28Cd bagi membolehkan ia bergerak dalam jarak 500 km dalam satu cas penuh mengikut ujian NEDC.

    LVCHI Auto Venere direka oleh Institute of Development in Automotive Engineering di Itali dan ia diasaskan oleh casis yang diperbuat dari gentian karbon, membolehkan ia mencapai berat hanya 2,100 kg walaupun dilengkapi pelbagai perkakasan. Ia turut menampilkan dua sokongan casis aluminium pada unit janakuasa hadapan dan belakang.

    Tiada imej untuk bahagian kabin, namun menurut LVCHI Auto, kereta ini akan diberikan skrin sesentuh yang akan diletakkan pada terowong bahagian tengah antara pemandu dan penumpang hadapan.

    Kereta ini juga dikatakan akan didedahkan di Geneva sebagai sebuah model yang bersedia untuk diproduksi, namun LVCHI masih belum memngumumkan pada pasaran mana ia akan diperkenalkan dan berapa harga anggaran untuk kereta elektrik ini.

    LVCHI Auto merupakan syarikat yang telah ditubuhkan di Shaghai dua tahun lalu dan kini beroperasi dengan 400 orang pekerja. 75% dari kakitangan pengeluar automotif berkenaan kini ditumpukan dalam kerja-kerja R&D bagi membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik.

     
     
  • Peugeot 508 baharu – foto bocor sebelum ke Geneva

    Peugeot 508 baharu – foto bocor sebelum ke Geneva

    Beberapa imej bagi Peugeot 508 baharu telah pun dibocorkan, sebelum ia dipamerkan di Geneva Motor Show 2018 yang direncanakan bulan hadapan. Jenama ini tidak memberikan rekaan yang drastik terhadap 508 baharu ini, namun menampilkan imej yang lebih segar dan menarik pandangan.

    Walau bagaimana pun 508 baharu ini tidaklah sama dengan model sedia ada berkenaan dengan rekaannya, malah ia ditampilkan lebih besar dan lebih dinamik. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril Peugeot baharu seperti mana yang digayakan pada 3008 dan 5008, namun lampu utamanya diposisikan sedikit bawah seperti yang ditampilkan pada SUV berkenaan. Ia turut diberikan jaluran lampu nyalaan siang LED yang banyak menyerlahkan lagi imej hadapannya yang agak lebar itu.

    Malahan satu keunikan yang ditonjol ialah dengan logo 508 pada bahagian bonet, iaitu di atas logo singa. Ini bukanlah suatu idea baharu namun telah diberikan nafas baharu seperti mana yang pernah digayakan pada model 504 era zaman 70an.

    Peugeot 508 baharu – foto bocor sebelum ke Geneva

    Peugeot telah membuang bentuk bulat pada model semasa 508 dan menggantikannya dengan garisan yang lebih tajam, yang boleh dilihat pada bahagian sisi dan belakang. Lampu belakang LED “lion claw” turut diberikan, disambung dengan jaluran hitam yang memberikan sedan ini seperti rupa Lamborghini Huracan pula. Selain itu, ia turut menampilkan paip ekzos dan trunk spoiler yang menambahkan lagi sentuhan sporty model ini.

    Bercakap soal sporty, 508 baharu ini didatangkan dengan tingkap tanpa bingkai, yang selalunya digunakan pada model coupe.

    Kereta merah yang anda lihat menerusi foto ini adalah varian tertinggi 508 GT, yang memilik gril tersendiri dengan motif berkotak, rekaan roda yang lebih sporty, perumah cermin sisi berwarna hitam dan logo GT pada tiang-C.

    Peugeot 508 baharu – foto bocor sebelum ke Geneva

    Papan pemuka 508 baharu ini memang jelas dengan imej yang sering dipertaruhkan oleh Peugeot. Ini termasuklah dengan roda stereng, instrumen digital, tombol gear dan kekunci piano yang menjadi trademark, namun corong pendingin hawa diletakkan sedikit tinggi pada papan pemuka, berbanding yang kelihatan pada 3008. Malah ia juga menampilkan pencahayaan ambien, jahitan kontras, kekemasan kayuan dan sistem bunyi Focal.

    508 baharu ini nampak sungguh bergaya dan memiliki keunikan tersendiri, malah ia cukup menonjol bagi segmen-D. Apa pandangan anda mengenainya?

     
     
  • Malaysia Speed Festival 2018 – pusingan pembukaan akan bermula hujung minggu ini di Litar Sepang

    Malaysia Speed Festival 2018 – pusingan pembukaan akan bermula hujung minggu ini di Litar Sepang

    Siri perlumbaan Malaysia Speed Festival 2018 (MSF 2018) bakal memulakan aksi pertamanya untuk musim baharu bermula hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Ini merupakan musim kelapan kejuaraan tersebut, dan sebagai siri perlumbaan kereta paling besar dalam negara, MSF bakal menyajikan perlumbaan sengit yang mampu disertai oleh rakyat Malaysia; dan ia turut popular dikalangan pelumba dari negara-negara Asia lain. Siri MSF ini juga merupakan perlumbaan dengan kos rendah yang telah berjaya mewujudkan perlumbaan yang bukan sahaja mudah untuk disertai, malah dalam persekitaran yang selamat.

    Untuk musim 2018 ini, MSF akan berlangsung dalam enam pusingan:

    Pusingan 1 – 25 Februari, 2018
    Pusingan 2 – 8 April, 2018
    Pusingan 3 – 8 Julai, 2018
    Pusingan 4 – 31 Ogos, 2018
    Pusingan 5 – 14 Oktober, 2018
    Pusingan 6 – 2 Disember 2, 2018

    Malaysia Speed Festival 2018 – pusingan pembukaan akan bermula hujung minggu ini di Litar Sepang

    Tahun ini juga siri MSF ini akan memperkenalkan dua lagi disiplin perlumbaan yang popular dikalangan peminat suka permotoran iaitu MSF Superbike dan juga MSF Drift Gonzo – kedua-duanya akan bermula pada MSF pusingan kedua. Dengan adanya kedua-dua acara baharu ini, ia secara tidak langsung akan memberikan lebih keterujaan kepada penonton dan juga peminat MSF.

    Bagi perlumbaan pusingan pertama yang bakal berlangsung hujung minggu ini pula, perlumbaan kereta dalam siri MSF ini akan ditambah dengan dua kategori baharu – kategori Super Production untuk jentera NA sehingga 1,500 cc yang diproduksi bermula 2006, dan juga kategori Street 2000 untuk jentera produksi NA sehingga 2,000 cc.

    Dengan itu, penonton bakal disajikan dengan aksi dari Honda Jazz, Toyota Vios dan Perodua Myvi dalam kategori Super Production, manakala jentera-jentera lebih terkini seperti Toyota 86 ZN6, Toyota Altezza dan Proton Inspira dapat berlumba dalam kategori Street 2000.

    Perlumbaan paling menarik dalam MSF tentunya dari kategori Race Car Open, di mana antara jentera-jentera perlumbaan terhebat di Malaysia akan bertarung sengit untuk 10-lap dalam kelas ini. Jentera-jentera dari kategori tersebut diasaskan dari model-model produksi, diubahsuai bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Tetapi cabaran lebih getir dalam kategori ini adalah bagaimana untuk menghasilkan jentera yang berkuasa namun masih lagi dapat bertahan dalam tempoh yang lama serta mencatatkan masa yang konsisten pada setiap lap di Litar Antarabangsa Sepang berkenaan.

    Kategori Saga Cup juga akan terus dipertandingkan dalam MSF tahun ini. Namun berbeza dengan musim sebelumnya, Saga Cup dalam MSF 2018 akan diadakan dalam tiga kelas berbeza dengan kategori tertinggi “Saga Cup Pro” bakal menyaksikan pertembungan antara jaguh ternama tempatan seperti Damian Dielenberg, Faidzil Alang, dan Alif Hamdan yang akan berentap dengan ‘kereta rakyat’ Proton Saga diubahsuai dengan spesifikasi sama – pemenang akan ditentukan oleh kemahiran memandu masing-masing.

    Siri MSF musim ini juga bakal menyaksikan tayar baharu Hankook RS4 akan digunakan sebagai tayar rasmi. Tayar yang menerima maklum balas yang baik dari laporan-laporan luar negara berkenaan dijangka akan memberikan catatan masa lap terpantas yang lebih baik dari musim-musim MSF sebelum ini. MSF juga merupakan siri perlumbaan pertama di dunia yang menggunakan tayar RS4 tersebut sebagai tayar kawalan rasmi.

    Pakar suspensi tempatan Fawster Motorsport juga akan memberikan sokongan sebagai rakan rasmi untuk MSF 2018, serentak dengan barisan produknya yang kini semakin meluas serta jenamanya yang semakin dikenali sebagai pakar pengendalian prestasi tinggi. Siri MSF 2018 turut akan disokong oleh Fleet Battery, iaitu pengeluar bateri berkuasa tinggi tempatan yang mampu membekalkan kuasa mengengkol yang kuat dalam suhu rendah.

    Bagi mereka yang berminat untuk menonton perlumbaan ini secara langsung di SIC, tiket untuk akses ke paddock akan dijual pada harga RM35, manakala akses untuk ke grandstand adalah percuma. Untuk info lanjut, sila layari www.msfracing.com.
    Malaysia Speed Festival 2018 – pusingan pembukaan akan bermula hujung minggu ini di Litar Sepang

     
     
  • PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    PLUS Malaysia Berhad telah memaklumkan semua kerja-kerja perobohan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah bermula dan dijangka selesai sepenuhnya penghujung Mac yang akan datang.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Kerja-kerja perobohan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual kerja yang diluluskan.”

    Menurut Azman, pada ketika ini, PLUS telah membuat persiapan kerja pelencongan jalan serta proses membawa masuk peralatan di lokasi perobohan. Kerja-kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga telah bermula semalam, 20 Februari, manakala bagi Plaza Tol Sungai Rasau akan bermula pada malam ini, 21 Februari sepertimana yang dijadualkan.

    “Kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain telah bermula 22 Januari lalu dan tamat pada 8 Februari,” katanya.

    PLUS memaklumkan kerja-kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah pun dimulakan

    Pada masa yang sama, PLUS menasihatkan semua pemandu yang melalui kedua-dua plaza tol tersebut supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.

    “Terdapat banyak papan tanda amaran disediakan di lokasi terutamanya melibatkan papantanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong, lencongan di hadapan dan sebagainya untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan terbabit setiap hari,” jelas Azman.

    Selain daripada itu, PLUS turut meletakkan kon-kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya di lokasi untuk membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong.

    “Lampu-lampu jalan (highmast) turut dinyalakan pada waktu malam untuk membantu orang ramai,” katanya.

    Pihak PLUS sentiasa prihatin atas keselamatan pengguna jalan raya dan juga pekerja kontraktor perobohan semasa kerja perobohan ini dijalankan.

     
     
  • Lexus UX – crossover bakal dipamerkan di Geneva

    Lexus telah menyiarkan iklan acah (teaser) rasminya bagi crossover baharu yang digelar UX, yang bakal dipamerkan di Geneva Motor Show 2018 bulan hadapan. Nama tersebut berkongsi dengan model konsep yang pernah dipertontonkan di Paris Motor Show 2016 lalu.

    Tidak seperti model konsep yang menerima rekaan yang sedikit pelik, namun model yang mungkin diproduksi ini tampil dengan imej yang lebih relevan. Imej teaser ini hanya menunjukkan bahagian belakang model tersebut, dengan jaluran lampu belakang yang kelihatan lebar serta “fins” dihujungnya dengan efek yang dinamik.

    Tanpa sebarang foto tambahan, kemungkinan imej keseluruhan yang diperaga oleh UX ini kelihatan mantap, termasuk gril “spindle” yang menjadi trademark jenama ini, dengan lampu hadapan yang agresif. Berdasarkan namanya, mungkin apa yang kita lihat ini memungkinkan ia model UX F Sport.

    Lexus belum mendedahkan lagi UX ini bakal diposisikan di antara barisan crossover/SUV, walau pun mungkin ia berada di bawah NX. Jika dikutkan dengan model konsep yang sama nama dengannya, ia dipertontonkan sebagai SUV konsep dengan jarak roda berukuran 2,640 mm, iaitu kurang daripada NX dengan 2,660 mm. Di mana kalau ikutkan jarak roda model konsep itu, ia lebih menghampiri persamaan dengan Toyota C-HR.

    Bagi penjana kuasanya, imej yang diberikan itu memungkinkan ia model hibrid, di mana terdapat logo ‘UX 250h’ pada bahagian kanan bawah. Seperti varian UX 200 dan UX 250, tanda dagang telah difailkan dengan United States Patent and Trademark Office. Dan mungkin juga Audi Q3, BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA diletakkan sebagai model persaingan bagi UX.

    GALERI: Lexus UX Concept

     
     
  • Kawasaki Rouser 160 dilancar di Filipina – RM6k, 160 cc, guna rangka sama seperti Modenas Pulsar NS200

    Kawasaki Rouser 160 dilancar di Filipina – RM6k, 160 cc, guna rangka sama seperti Modenas Pulsar NS200

    Selain KLX150, Kawasaki Motors Malaysia tidak menawarkan sebarang model jalanan yang menggunakan enjin di bawah 250 cc di negara kita. Tetapi di Filipina, jenama itu baru saja melancarkan sebuah model yang dinamakan sebagai Kawasaki Rouser NS160, pada harga 85,000 piso (RM6,340).

    Jika anda rasa seperti pernah melihat motosikal ini, ia sebenarnya menggunakan asas daripada Bajaj Pulsar NS160, di mana kalau di negara kita, ia dipasarkan dengan enjin berkapasiti lebih besar dan dikenali sebagai Modenas Pulsar NS200. Kerangka motosikal ini adalah sama, tetapi enjinnya lebih kecil iaitu unit satu silinder SOHC twin-spark 160.3 cc, dengan kuasa 15.2 hp dan 14.6 Nm tork.

    Di Filipina, Pulsar NS200 dan RS200 juga ada dijual di sana, tetapi seperti yang sudah diketahui, model ini mempunyai enjin 199.5 cc dengan kuasa 24.1 hp dan 18.2 Nm tork. Kemudiannya, model ini dilengkapi dengan kotak gear enam kelajuan dan brek cakera di depan dan belakang.

    Kawasaki Rouser NS160 pula mempunyai kelengkapan yang lebih ringkas, di mana kotak gearnya cuma adalah unit lima kelajuan, yang menyampaikan kuasa ke roda belakang melalui sistem rantai, kemudiannya brek cakera pula digunakan hanya di bahagian hadapan. Brek belakang adalah unit dram.

    Tiga warna yang ditawarkan untuk Kawasaki Rouser NS160 ini iaitu merah, perak dan biru. Di Filipina, model ini bersaing dengan antaranya Suzuki GSX-S 150, Honda CB 150R, Yamaha SZ 16 dan TVS Apache 200. Di Malaysia, Modenas Pulsar NS200 dijual pada harga RM9,222, manakala RS200 RM11,342.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025