Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Selepas diperkenalkan di Malaysia buat pertama kali pada Februari 2022, kemudian menerima tingkat taraf sistem bantuan pemanduan IQ.Drive tahun lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumumkan bahawa Volkswagen Golf GTI Mk8 kini diberikan kemaskini bagi versi 2024, menampilkan pelbagai peningkatan dari segi kelengkapan.

    Menerusi model kemaskini ini 2024 ini VPCM sudah pun memadankan sistem bunyi premium 480-watt Harman Kardon dengan 10-pembesar suara, berbanding hanya tujuh-pembesar suara tanpa jenama pada sistem model terdahulu. Ia masih disambungkan kepada sistem infotainmen Discover Media dengan skrin 10-inci yang memberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay sambungan tanpa wayar.

    Selain itu Golf GTI 2024 ini juga ditambah dengan paparan head-up yang dipancarkan pada cermin bagi memudahkan pemandu memantau maklumat pemanduan penting tanpa mengalihkan pandangan. Maklumat lain masih dibekalkan menerusi paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 10.25-inci.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Model 2024 ini juga masih dibekalkan dengan kelengkapan sama dengan versi sebelumnya, antaranya rim aloi ‘Richmond’ 18-inci, lampu hadapan LED dengan lampu isyarat membelok dinamik, sistem pendingin hawa tiga-zon, sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, lampu suasana kabin dan upholsteri kulit Vienna untuk tempat duduk.

    Unit rangkaian kuasa juga kekal dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Kotak gear tersebut juga menerima sistem differential lock elektronik XDS yang berfungsi berasaskan sistem ESC bagi memberikan lebih cengkaman roda hadapan ketika mengambil selekoh. Manakala sistem Vehicle Dynamics Manager bersama Dynamic Chassis Control juga dibekalkan bagi membantu pengedalian.

    Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 kini di Malaysia – RM253k, sistem bunyi Harman Kardon, HUD

    Manakala bagi sistem bantuan pemanduan IQ.Drive, ia terdiri dari fungsi seperti Travel Assist dengan cruise control adaptif (ACC), Bantuan Sisi dengan amaran lintasan trafik belakang (RCTA), Front Assist (brek kecemasan automatik), Emergency Assist dan juga Lane Assist.

    Dengan perincian yang telah dikemaskini, Volkswagen Golf GTI Mk8 2024 ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM252,990. Harga tersebut juga merangkumi versi terbaharu Volkswagen Assurance Package (VAP) yang menawarkan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis selama lima tahun, 75,000 km.

    Berbanding versi sebelumnya yang dijual pada harga RM246,012, model 2024 ini adalah RM6,978 lebih mahal. VAP versi terdahulu juga hanya menawarkan pakej servis selama tiga tahun/45,000 km. VPCM masih belum memberikan harga model 2024 ini tanpa VAP (hanya dengan waranti standard dua-tahun), dan kami akan mengemaskini laporan ini sekiranya maklumat tersebut diberikan kelak.

     
     
  • Lebuhraya WCE: Kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa bermula 3 Januari 2024, kadar RM5.05 untuk kereta

    Lebuhraya WCE: Kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa bermula 3 Januari 2024, kadar RM5.05 untuk kereta

    Bermula jam 12.01 tengahmalam ini, 3 Januari 2024, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan memulakan kutipan tol di Plaza Tol Assam Jawa, selepas ia beroperasi secara percuma selama 42 hari sejak dilancarkan pada 21 November 2023.

    Menurut syarikat konsesinya, West Coast Expressway Sdn Bhd, kadar tol untuk setiap kelas kenderaan adalah berdasarkan nilai yang telah ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Di mana untuk kenderaan Kelas 1, kadar tolnya ditetapkan sebanyak RM5.05 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM4.12 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Manakala untuk kenderaan Kelas 2, pengguna perlu membayar sebanyak RM10.11 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM8.24 bagi persimpangan Bandar Bukit Raja Utara.

    Untuk kenderaan Kelas 3 pula, kadar tol ditetapkan pada RM15.16 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM12.36 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Manakala kenderaan Kelas 4 (teksi), kadar tolnya sebanyak RM2.53 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM2.06 di persimpangan Bandar Bukit Raja Utara. Bagi kenderaan Kelas 5 (bas) pula, kadar tolnya sebanyak RM3.79 di persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan dan RM3.09 untuk persimpangan Bandar Bukit Raja Utara.

    Kadar bayaran tol yang ditetapkan untuk setiap kelas kenderaan; klik untuk besarkan

    “Kutipan tol Lebuhraya WCE adalah secara elektronik sepenuhnya dan kami menasihatkan pengguna untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch n Go anda mencukupi. Sila pastikan anda menggunakan lorong pembayaran yang betul. Rujuk infografik berikut (di atas) atau muat turun Aplikasi WCE untuk maklumat lebih lanjut,”kata syarikat konsesi lebuhraya ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jajaran Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya WCE ini adalah sepanjang 21.8 kilometer yang menghubungkan secara terus pengguna lebuh raya dari Kapar ke Assam Jawa, Selangor.

    Laluan ini dibina menggunakan standard R6 dengan dua lorong dua hala yang mampu mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor.

    Iai dikatakan dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar ke Assam Jawa (Ijok) yang akan mengambil masa hanya 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuhraya.

    Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini juga mempunyai sambungan secara terus dengan Lebuhraya LATAR yang menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna.

    Empat seksyen pertama Lebuhraya WCE telah dibuka sebelum ini pada tahun 2019, melibatkan tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang–Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir–Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas), manakala satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan-Bandar Bukit Raja Utara).

     
     
  • Promosi Honda M’sia Jan 2024 sempena Tahun Baru Cina – semua model ada diskaun, RM30k untuk Accord

    Honda Malaysia baru sahaja menamatkan promosi jualan akhir tahunnya yang bermula November hingga Disember tahun lalu. Dan bagi yang tak sempat mengambil kesempatan sempena promosi tersebut, jangan risau kerana syarikat tersebut kini mengumumkan pula promosi sempena Tahun Baharu Cina 2024.

    Promosi ‘Ride Into Prosperity’ dari Honda Malaysia ini bermula pada Januari 2024 dan menawarkan potongan harga sehingga RM30,000. Anda boleh memilih stok kenderaan dari tahun buatan 2023 sehingga tahun buatan 2024 yang baru keluar dari kilang di mana kedua-duanya ditawarkan dengan diskaun, namun sudah pasti model tahun buatan 2023 menerima potongan lebih besar.

    Promosi ini juga ditawarkan untuk semua model CKD Honda Malaysia, kecuali Honda CR-V generasi terkini yang baharu sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan Disember lalu.

    Diskaun paling besar diberikan untuk pembeli Honda Accord tahun buatan 2023, dengan potongan harga sebanyak RM30,000. Ini merupakan stok akhir Accord di Malaysia kerana produksinya telah dihentikan dan Honda Malaysia tidak akan melancarkan Accord generasi baharu di sini.

    Klik untuk besarkan

    Semua varian Civic tahun buatan 2023 yang turut diberikan diskaun bermula RM2,500 untuk varian RS sehingga RM3,500 untuk varian E dan V. Manakala Civic Hybris RS tahun buatan 2023 pula diberikan potongan harga sebanyak RM5,000. Semua barisan model City Hatchback tahun buatan 2023 menerima diskaun sebanyak RM4,000, sementara City sedan pula diberikan diskaun RM3,500 untuk S dan RS serta RM5,500 untuk varian E.

    Bagi yang berminat dengan Honda WR-V yang baru dilancarkan Julai tahun lalu, diskaun turut menanti anda dengan keempat-empat varian model tahun buatan 2023 diberikan diskaun sebanyak RM3,000. Manakala untuk HR-V, tiga varian dengan enjin petrol penuh tahun buatan diberikan diskaun sebanyak RM3,000, sementara varian Hybrid RS e:HEV pula diberikan diskaun sebanyak RM4,000.

    Jika anda mahukan model-model dengan tahun buatan 2024, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan pada semua varian City Hatchback, Civic dan WR-V; dan RM1,500 untuk HR-V. Manakala untuk City sedan yang dibuat pada tahun 2024 akan diberikan diskaun RM1,000 untuk varian S, E dan Hybrid RS serta potongan RM1,500 untuk varian V dan RS.

    Promosi sempena Tahun Baharu Cina 2024 ini akan diberikan untuk semua pelanggan yang berjaya mendaftarkan kenderaan baharu masing-masing bermula sekarang sehingga 31 Januari.

     
     
  • PADU dilancarkan — data penentu kelayakan subsidi minyak, kemaskini info anda sebelum 31 Mac

    PADU dilancarkan — data penentu kelayakan subsidi minyak, kemaskini info anda sebelum 31 Mac

    Kerajaan telah melancarkan secara rasmi Pangkalan Data Utama (PADU) yang sempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya hari ini.

    PADU merupakan pangkalan data sosio-ekonomi bersepadu yang menghimpunkan semua data individu dan isi rumah yang diperoleh daripada jabatan dan agensi kerajaan, dengan 70 daripadanya berada di peringkat Persekutuan.

    Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, pengecualian pengumpulan data ini hanyalah terhadap data perbankan, yang tidak dibenarkan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

    PADU dilancarkan — data penentu kelayakan subsidi minyak, kemaskini info anda sebelum 31 Mac

    Dalam masa terdekat, PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk perkara bagaimana kerjaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain, dengan metrik pendapatan boleh belanja isi rumah akan digunakan sebagai penentu sebagai gambaran yang lebih jelas dan adil bagi kedudukan sosio-ekonomi setiap isi rumah di Malaysia.

    Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini. Subsidi bersasar untuk elektrik juga sedang dalam perancangan. Majlis rasmi hari ini bagaimanapun hanyalah pelancaran pangkalan data berkenaan, dan kaedah pelaksanaan subsidi bersasar pula akan diumumkan kelak.

    Seperti yang dimaklumkan oleh Rafiz sebelum ini, PADU akan membolehkan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan pengkelasan B40-M40-T20 dalam menilai kelayakan penerima bantuan kepada kaedah yang bersasar yang lebih adil untuk menentukan siapa yang sepatutnya menerima dan siapa yang tidak.

    PADU dilancarkan — data penentu kelayakan subsidi minyak, kemaskini info anda sebelum 31 Mac

    Bagaimanapun, pangkalan data pusat ini, yang diuruskan oleh Jabatan Statistik, adalah lebih daripada sekadar alat untuk menentukan penerima subsidi. Terasnya adalah untuk menyediakan pangkalan data utama kebangsaan dalam bentuk digital yang selamat, menyeluruh dan hampir tepat dengan masa-nyata, melibatkan maklumat semua 32 juta rakyat Malaysia.

    Menurut Jabatan Statistik, ia ketika ini telah menyepadukan data melibatkan 29.8 juta orang, meliputi semua maklumat yang tersedia sejak “lahir hingga mati”. Mengandungi hampir 300 jenis data berkaitan kerajaan persekutuan, dengan lebih banyak dari peringkat negeri dan kerajaan tempatan akan dimasukkan secara berperingkat, PADU akan digunakan untuk memperbaiki kecekapan urusan kerajaan dalam menyediakan sokongan ekonomi.

    Dari segi keselamatan, pangkalan data berkenaan dilindungi oleh apa yang disifatkan sebagai keselamatan siber tahap tinggi. Untuk capaiannya, Rafizi memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang pengubahan data peribadi yang dimiliki oleh jabatan-jabatan kerajaan atau agensinya, serta undang-undang sedia ada akan mengawal selia semua penggunaan berkaitan PADU.

    Disebabkan pangkalan data ini mengandungi maklumat yang didapatkan daripada pelbagai agensi kerajaan, rakyat Malaysia telah diminta untuk mendaftar dalam PADU untuk mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka berdasarkan 39 pembolehubah yang ada untuk memastikan data mereka tepat.

    Pendaftaran bagaimanapun tidak diwajibkan, dan tiada sebarang tindakan yang akan diambil ke atas individu yang memilih untuk tidak mengemaskini data. Namun, dengan membuat pilihan tersebut, mereka mungkin terlapas peluang daripada menerima subsidi bersasar, dan orang awam digalakkan untuk mengesahkan maklumat mereka menerusi 39 pembolehubah tersebut agar ia tepat. Maklumat yang boleh disemak dan dikemaskini termasuklah isi rumah, alamat, kerja, pendapatan dan komitmen lain.

    Kerajaan menyatakan bahawa orang ramai mempunyai tempoh hingga 31 Mac untuk melakukan kemaskini maklumat dalam pangkalan data berkenaan, yang boleh dicapai secara atas talian melalui portal PADU, atau bagi mereka yang dikawasan pedalaman dan tiada akses internet boleh berbuat demikian menerusi pejabat daerah, MPKK dan kerajaan tempatan.

     
     
  • Cukai jalan digital di M’sia – pemilik kenderaan boleh kongsi e-LKM dengan pemandu lain via aplikasi MyJPJ

    Proses perkongsian cukai jalan digital menerusi aplikasi MyJPJ; klik untuk besarkan

    Selain mengumumkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) menerusi aplikasi MyJPJ, Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut memaklumkan mulai hari ini, orang ramai boleh berkongsi e-LKM atau cukai jalan digital sesama ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.

    “Kini aplikasi MyJPJ sudah menambah satu fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM” yang membolehkan pemilik kenderaan berkongsi cukai jalan digital dengan sesiapa yang memandu kenderaan miliknya. Di mana pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

    “Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM tersebut untuk mengaktifkan perkongsian. Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

    Sambungnya, “Sebagai contoh, Encik Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik ayahnya dalam tempoh satu minggu. Sebelum menggunakan kenderaan tersebut, ayahnya boleh membuat perkongsian e-LKM kepada anaknya melalui fungsi ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ.”

    Harian Metro pula melaporkan, menurut Loke, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ berkenaan dapat menyelesaikan persoalan apabila pengguna e-LKM memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga. Katanya lagi, sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul justeru, penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna.

     
     
  • Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui via aplikasi MyJPJ mulai 1 Feb, rebat RM5 hingga 31 Dis

    Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui via aplikasi MyJPJ mulai 1 Feb, rebat RM5 hingga 31 Dis

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan format baharu bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) (atau lebih dikenali sebagai cukai jalan) dan juga Lesen Memandu Malaysia (LMM). Di mana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa mulai 1 Februari 2024, orang ramai boleh memperbaharui LKM dan lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ.

    “Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa di mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara). Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter JPJ,” katanya dalam sidang media di JPJ Padang Jawa, Shah Alam, pagi tadi.

    Menurutnya lagi, bagi mengalakkan penggunaan e-LMM, mereka yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5.

    Cukai jalan baharu (kiri), slip lesen memandu (kanan)

    “Rebat ini boleh dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024. Inisiatif ini terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).

    “Inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana- mana pemegang pas/permit jangka masa panjang, kad MyKAS dan kad MyPR,” kata Loke lagi.

    Jelasnya, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat. Walau bagaimanapun bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

    “Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan. Sebelum ini LKM fizikal merupakan pelekat disk LKM dan LMM fizikal berbentuk kad plastik.

    Proses pembaharuan lesen memand dan cukai jalan menerusi aplikasi MyJPJ; klik untuk besarkan

    “Selepas ini, pengeluaran LKM dan slip LMM fizikal adalah dalam bentuk kertas keselamatan sahaja. LKM yang baharu ini tidak perlu dilekat atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini. Sebaliknya, ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam. Slip LKM ini adalah tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital,” jelas Loke.

    Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dijalankan terhadap mana- mana pihak yang memandu kenderaan tanpa mempunyai LKM atau LMM yang sah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

    Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan atau berhubung terus di talian khidmat pelanggan JPJ.

     
     
  • Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi lead car untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi <em>lead car</em> untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Chery Omoda E5 bakal berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Terkini, Chery Malaysia telah mengumumkan SUV janaan elektrik itu akan dilancarkan pada Mac 2024.

    Selain itu, Chery Malaysia juga mengumumkan bahawa Omoda E5 bakal menjadi lead car bagi acara Chery Eco Run. Acara larian berkenaan dengan tema ‘A new journey to a new green life’ bakal berlangsung pada Ahad ini, 7 Januari 2024, di Dataran Wawasan, Putrajaya. Ia melibatkan kategori larian santai 5KM dan 10KM, malah Chery menyasarkan acara ini bakal disertai 3,000 peserta.

    Dipertontonkan pada November 2023, Omoda E5 untuk pasaran Malaysia akan menerima unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Omoda E5 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km. Bateri LFP ini akan menjanakan motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 340 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat.

    Chery Omoda E5 dilancarkan pada Mac 2024 – akan menjadi <em>lead car</em> untuk Chery Eco Run pada Ahad ini

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Antara ciri kelengkapannya termasuk pemanduan pedal-tunggal, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin automatik, lampu utama projektor LED, rim aloi 18-inci, tempat duduk balutan kulit rona hitam, kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci yang dikuasakan oleh Qualcomm 8155 SoC. Sama seperti Omoda versi enjin pembakaran dalaman (ICE), Omoda E5 ini turut dilengkapi dengan pek ADAS lengkap, dengan sistem pemantauan pemanduan.

    Chery telah pun mula menerima pendaftaran minat sejak Disember lalu, namun buat masa ini harganya masih belum didedahkan. Sebagai pengetahuan, Omoda 5 dijual dari RM108,800 hingga RM118,800, dan harga bagi versi EV akan lebih tinggi sedikit dari itu. Omoda 5 versi EV ini juga bakal bersaing dengan BYD Atto 3 yang popular sejak kebelakangan ini, dengan varian Extended Range dijual pada harga RM167,800.

    Galeri: Pra-tonton Chery Omoda E5 di Malaysia

     
     
  • Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2023 – polis

    Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada 2023 – polis

    Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga 30 Disember 2023.

    Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, daripada jumlah itu, sebanyak 5,984 kes melibatkan kemalangan maut, laporan Berita RTM.

    Tambahnya, secara keseluruhannya, seramai 6,433 mangsa dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya seluruh negara bagi tempoh yang sama.

    “Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sebanyak 173,129 kemalangan diikuti Johor (87,370), Kuala Lumpur (72,701), Pulau Pinang (53,289), Perak (41,578) dan Negeri Sembilan (28,822).

    “Selain itu, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 1,059 mangsa, diikuti Johor (1,045), Perak (683), Kedah (576) dan Sarawak (429),” katanya pada sidang media Op Ambang Tahun Baharu di ibu negara baru-baru ini.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

     
     
  • Toyota mahu rebadge Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    Toyota mahu <em>rebadge</em> Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    Kerjasama antara dua jenama Jepun iaitu Toyota dan Suzuki bukanlah perkara baharu, di mana kedua-dua jenama sudahpun tampil dengan model-model rebadge yang disadur antara satu sama lain.

    Bagi pasaran Afrika Selatan misalnya, Toyota telah menghasilkan model MPV Rumion dan hatchback Starlet yang direbadge dari Suzuki Ertiga dan Baleno. Manakala di United Kingdom, Suzuki pula tampil dengan SUV Across dan wagon Swace yang masing-masing direbadge dari Toyota RAV4 dan Corolla Touring Sport.

    Namun bagi Suzuki, bukan semua model yang mereka hasilkan akan diberikan kepada Toyota untuk ditukar logo walaupun ia berpotensi menghasilkan keuntungan. Menurut laporan Autocar India, baru-baru ini Toyota ada membuat permohonan bagi menghasilkan model rebadge menggunakan dua model ikonik Suzuki iaitu SUV Jimny dan hatchback kompak Swift, tetapi ia ditolak oleh Suzuki.

    “Toyota mahu membuat kejuruteraan lencana untuk Jimny dan Swift, tetapi kami tolak permintaan tersebut secara baik,” kata sumber dalaman dari Suzuki kepada portal automotif tersebut dan menegaskan bahawa kedua-dua model itu merupakan model yang melambangkan identiti Suzuki.

    Toyota mahu <em>rebadge</em> Jimny dan Swift, tetapi ditolak oleh Suzuki kerana kedua-duanya adalah model ikonik

    “Ia seolah-oleh seperti kami meminta Toyota untuk melakukakan kejuruteraan lencana terhadap Land Cruiser. Model-model yang menjadi jiwa bagi jenama tidak boleh kami kongsi dan kedua-dua syarikat perlu hormat perkara ini,” jelas sumber itu lagi.

    Autocar India pula menyatakan sekiranya Suzuki memberikan hak kebenaran kepada Toyota bagi menghasilkan Jimny, ia berkemungkinan dapat dijual dalam jumlah lebih banyak kerana Toyota dapat menawarkan sebuah SUV yang berkebolehan dipandu dalam laluan off-road dengan harga lebih murah dari Fortuner.

    Tambahan pula jualan Maruti Suzuki Jimny di India kini dilihat sedang menurun dengan dijual hanya 15,476 unit dalam tempoh Jun hingga November 2023, di mana ia merosot teruk pada bulan November dengan jualan hanya 1,020 unit, lapor portal itu lagi.

     
     
  • Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Sebuah kenderaan elektrik (EV) model Mercedes-Benz EQB didapati terbakar ketika sedang dicas di pusat pengecas wakil pengedar jenama terbabit. Menurut laporan Bomba Johor, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2.45 tengahari semalam, dan kebakaran tersebut berjaya dipadam oleh 10 anggota bomba bertugas.

    Menerusi foto yang tersebar di laman media sosial, kelihatan bomba sedang giat memadamkan kebakaran pada kereta berkenaan. Walau bagaimana pun, api berjaya dipadam dalm masa yang singkat, tidak seperti kebiasaan insiden kebakaran bateri EV yang berlaku di luar negara, di mana ia mengambil masa hampir 24 jam untuk dipadamkan sepenuhnya disebabkan kebakaran berterusan termasuk pada bahagian bateri.

    Mercedes-Benz EQB terbakar di pusat pengecas pengedar di Johor, punca kebakaran dalam siasatan

    Bomba Johor turut berkata, kebakaran tersebut menyebabkan 90% kereta mewah itu hangus dan ruang pameran premis terbabit turut terbakar hampir 5%, selain memusnahkan 20% ruang pengecasan EV. Bagaimanapun, mujur juga tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

    Ini bukan kejadian pertama yang melibatkan kebakaran EV, pada pertengahan Oktober lalu, sebuah Tesla Model Y yang dikatakan diparkir berdekatan Skypod di Puchong telah terbakar.

    Setakat ini, punca kebakaran Tesla Model Y terbabit masih belum didedahkan, dan kami juga menjangka kes EQB ini juga akan mengambil masa untuk disiasat.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VLW dan JWU dibuka untuk bidaan

    Bagi yang sedang mencari siri nombor plat nombor pendaftaran untuk dipadankan dengan kenderaan baharu, ini ada dua pilihan yang boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VLW mula dibuka bidaan sejak semalam, 1 Januari 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Januari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWU, bakal dibuka bidaan bermula 4 Januari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 Januari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaram yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Daihatsu dianggar rugi RM3.2 bilion kerana produksi dihentikan, k’jaan Jepun kini mulakan siasatan sendiri

    Daihatsu dianggar rugi RM3.2 bilion kerana produksi dihentikan, k’jaan Jepun kini mulakan siasatan sendiri

    Susulan langkah menghentikan sementara keseluruhan produksinya di Jepun kerana skandal ujian keselamatan yang dikesan, Daihatsu dilihat bakal berhadapan dengan masalah kewangan pula selepas ini. Menurut laporan Nikkei Asia, pembuat kereta kompak dari Jepun itu dianggar akan mengalami kerugian bernilai lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) bukan sahaja kerana penutupan kilang, malah melibatkan bayaran pampasan kepada pembekal-pembekalnya.

    Buat masa sekarang Daihatsu masih belum mengumumkan tarikh tepat bila produksi di Jepun berkenaan akan beroperasi semula, namun menerusi kenyataan sebelum ini ia menjangka penangguhan tersebut akan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga akhir Januari 2024. Namun di Indonesia dan juga Malaysia, produksi dan penghantaran kereta baharu kepada pelanggan dilaporkan telah bersambung semula.

    Di samping kehilangan jualan domestiknya sendiri, Daihatsu akan berunding dengan pembekal mengenai pampasan yang akan diberikan kepada mereka kerana kehilangan pendapatan, dan ia dijangka memakan kos yang tinggi. Selain itu, pelbagai perbelanjaan lain yang melibatkan penyiasatan dan ujian keselamatan tambahan turut akan dimasukkan ke dalam tambahan kos tersebut.

    Bagi tahun fiskal 2022, Daihatsu mengumumkan keuntungan operasi disatukan mencapai jumlah 141.8 bilion yen (RM4.6 bilion), manakala keuntungan bersih pula adalah sebanyak 102.2 bilion yen (RM3.3 bilion). Namun sekiranya beban kewangan yang terlalu tinggi menimpa syarikat tersebut disebabkan skandal ini, ia mungkin akan menyebabkan Daihatsu mencatatkan kerugian pertamanya dalam tempoh 30 tahun.

    Daihatsu mungkin tidak akan menghadapi sebarang masalah aliran tunai serta-merta kerana setakat akhir Mac, aset cair syarikat itu ditolak liabiliti yang perlu dibayar balik adalah berjumlah lebih 500 bilion yen (RM16.2 bilion).

    Namun ia mungkin akan menghadapi masalah dalam jangka masa panjang kerana pengeluaran dan jualan bukan satu-satunya perkara yang perlu dibimbangkan oleh Daihatsu. Skandal yang muncul semula selepas penyiasatan keselamatan yang dijalankan oleh panel bebas tersebut telah menemui isu yang melibatkan 64 model, seterusnya ia menarik lebih perhatian pihak pengawal selia.

    Kementerian pengangkutan Jepun kini sedang menjalankan siasatannya sendiri dan telah mengarahkan Daihatsu untuk menghentikan penghantaran sehingga keselamatan kenderaannya dapat disahkan, satu proses yang mungkin berlarutan selama berbulan-bulan. Selain itu, syarikat itu boleh menghadapi penalti lain, termasuk pembatalan pensijilan yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran.

     
     
  • Perkhidmatan rel, bas Rapid KL tertentu akan dilanjut sehingga 1.30 pagi pada malam tahun baru

    Perkhidmatan rel, bas Rapid KL tertentu akan dilanjut sehingga 1.30 pagi pada malam tahun baru

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa perkhidmatan rangkaian rel serta bas tertentu mereka akan dilanjutkan sehingga 1.30 pagi pada malam ambang tahun baru 31 Disember 2023, Ahad ini. Ia adalah bagi memudahkan perjalanan warga kota yang menyambutnya di sekitar pusat bandar.

    Tidak semua, lanjutan operasi ini melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran masa (MRT) dan Monorel KL; 3 Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.

    Berikut adalah stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang beroperasi sehingga jam 1.30 pagi malam itu:

  • Laluan Kelana Jaya: KLCC, Masjid Jamek
  • Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya,Maluri
  • Laluan Monorel: Bukit Bintang
  • Laluan Kajang: Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri
  • MRT Laluan Putrajaya: TRX
  • BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash
  • Stesen-stesen yang tidak termasuk dalam senarai ini akan beroperasi mengikut waktu biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan. Semua stesen pertukaran rel turut dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Rapid KL turut memberitahu mereka akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi pada hari itu, sementara pengguna pula disaran menggunakan kad Touch n Go bagi membantu melancarkan perjalanan. Mereka yang menggunakan token pula digalakkan untuk membeli token pergi dan balik.

     
     
  • BYD bakal bina kilang EV pertamanya di Eropah

    BYD bakal bina kilang EV pertamanya di Eropah

    BYD telahpun mengumumkan bahawa ia akan membuka kilang produksi pertamanya di Eropah bagi menghasilkan kenderaan elektrik penuh (EV). Ia akan dibina di Szeged, Hungary dan bakal menjadi jenama automotif pertama dari China yang mempunyai kilang pengeluaran kereta penumpang di benua berkenaan.

    Menurut laporan Drive.com.au, walaupun sebelum ini MG dan GWM telahpun membuka kilangnya di Eropah, namun kilang milik kedua-dua jenama China itu hanya memasang kit Complete Knock-Down yang di bawa dari negara asalnya. Sementara untuk fasiliti baharu milik BYD ini dilaporkan akan memasang kereta dengan komponen yang dibekalkan oleh pembekal komponen juga dari Eropah.

    BYD menyatakan bahawa kilang itu akan dibina secara berperingkat dan dijangka bakal mewujudkan ribuan pekerjaan untuk warga tempatan, meningkatkan ekonomi setempat dan menyokong rantaian bekalan tempatan. Namun syarikat itu tidak mendedahkan bila pembinaan kilang tersebut akan bermula atau jumlah jangkaan kapasiti pengeluaran setahun, tetapi butiran ini dijangka akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

    Kilang tersebut menandakan peralihan kepada peringkat seterusnya strategi BYD di Eropah selepas ia mula menjual kereta penumpang di pasaran tersebut. Ia juga menyatakan bahawa dalam tahun pertama masuk ke rantau tersebut, sebanyak 230 outlet peruncitan telah diwujudkan di 19 negara dan lima model merangkumi segmen C hingga E telah dilancarkan.

    Ini termasuk model seperti Han, Tang, Atto 3, Seal dan Dolphin, bagi menawarkan pilihan model hatchback, sedan dan SUV yang diminta oleh pengguna. Dalam tempoh 12 bulan akan datang, syarikat itu akan melancarkan tiga lagi model baharu kepada barisan modelnya di Eropah.

     
     
  • Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Tidak seperti kategori tertinggi dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Rally1 yang kini sudah pun menggunakan kerangka space frame yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan model produksi jalan raya, kategori satu tangga lebih bawah, WRC2 yang menggunakan undang-undang Rally2/R5 masih lagi menggunakan asas badan yang sama seperti model yang dijual di bilik pameran.

    Jadi adakah model produksi yang bagus akan menghasilkan kereta rali yang kompetitif walaupun enjin, sistem pacuan dan juga suspensi yang digunakan adalah berlainan? Untuk itu, pengeluar automotif dari Republik Czech, Škoda menerangkan apa yang sama dan apa yang tidak sama antara dua kereta yang dibina dengan dua tujuan berbeza antara satu sama lain tersebut.

    Untuk jentera Rally2 terbaharu dari Škoda Motorsport, ia dibina berasaskan dari model produksi Škoda Fabia generasi keempat dan diberi nama sebagai Skoda Fabia RS Rally2. Dengan platform MQB-AO tersebut, ia secara tidak langsung memberikan potensi prestasi yang lebih baik dan lebih kompetitif berbanding jentera rali Skoda Fabia Rally2 Evo sebelumnya.

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    “Undang-undang untuk kategori kereta rali kami adalah jelas dan ia memerlukan badan kereta lumba sama dengan kereta produksi biasa. Satu-satunya pengecualian ialah kebenaran untuk mengembangkan kereta pada bahagian fender dan bampar. Kami boleh mengubahsuai spoiler dan kami boleh membina terowong untuk sistem pacuan semua roda pada bahagian lantai,” kata Aleš Rada, ketua teknologi kereta lumba Škoda Motorsport.

    Menurut Škoda, berbanding model generasi sebelumnya, kerangka asas bagi model generasi keempat ini adalah lebih keras membolehkan ia menjadi kereta antara yang paling selamat dalam kelasnya. Fabia baharu ini juga menampilkan jarak roda yang lebih jauh, membolehkan ia mencapai keseimbangan dan pusat graviti lebih baik ketika dibangunkan sebagai kereta rali.

    Skoda juga mendakwa perincian aerodinamik asas pada model jalan raya biasa juga memberikan kelebihan kepada jentera Fabia RS Rally2 ini. Salah satunya adalah rekaan liang udara pada bampar hadapan model produksi biasa dibawa terus pada kereta rali kerana ia mampu untuk menenangkan aliran udara yang menuju ke ruang roda hadapan.

    Bagi menambahbaik lagi aerodinamik pada kereta rali ini, rekaan skup udara pada bumbung bukan hanya untuk menyejukkan pemandu dan juru arah dalam kabin, malah bentuknya turut membantu downforce dihasilkan oleh spoiler belakang yang direka lebih besar dari spoiler Fabia biasa.

    Fabia RS Rally2 ini turut menerima cermin sisi yang lebih aerodinamik diperbuat dari gentian karbon, kunci mandatori untuk pintu hatch di belakang, semua cermin tingkap kaca diganti dengan cermin polikarbonat yang lebih ringan dan tidak boleh diturunkan serta diberikan liang udara dengan penutup gelangsar bersaiz kecil.

    Untuk model produksi jalan raya paling berkuasa iaitu Škoda Fabia Monte Carlo, ia hanya dijana oleh enjin petrol 1.5 liter turbo TSI Evo empat-silinder menghasilkan 150 PS dan tork maksima 250 Nm. Namun bagi kereta rali Fabia RS Rally2, ia disumbat dengan enjin EA888 TSI yang diambil dari Skoda Octavia.

    Skoda jelaskan persamaan dan perbezaan antara kereta Rally2 Fabia RS dan Fabia produksi biasa

    Namun kapasiti enjin 2.0 liter turbo berkenaan diturunkan kepada hanya 1.6 liter bagi mematuhi undang-undang Rally2/R5 – sama seperti Proton Iriz Rally2 yang menggunakan enjin Proton Inspira yang dikecilkan kapasiti. Enjin EA888 1.6 liter tersebut menerima unit restrictor turbo berdiameter 32 mm mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh FIA, menghasilkan kuasa sekitar 289 hp dengan tork maksima 430 Nm.

    Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear sequential 5-kelajuan (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan differential terkunci pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif. Menurut Škoda Motorsport, nisbah gear rapat yang diberikan pada transmisi Fabia RS Rally2 ini masih membolehkan ia mencapai kelajuan maksima sekitar 200 km/j.

    Untuk suspensi, kereta rali ini masih menggunakan konfigurasi Topang McPherson. Namun pada bahagian belakang yang kini turut menerima gandar untuk memacu roda, konfigurasi Torsion Beam asal telah diubah menggunakan sistem Topang McPherson.

    Dalam hieraki model produksi Škoda, Fabia merupakan model Skoda yang paling kecil dan paling murah ditawarkan di bilik pameran. Namun dengan segala perubahan yang dibuat bagi dijelmakan sebagai kereta rali, Škoda Fabia RS Rally2 pula berharga sekitar 10-kali ganda lebih mahal, dan ia merupakan kereta paling mahal yang dijual oleh Škoda buat masa sekarang.

    Ya, anda boleh membeli Škoda Fabia Rally2 ini dari Škoda Motorsport kerana ia dibangunkan menerusi program perlumbaan pelanggan seperti yang disyaratkan oleh FIA. Selain dari WRC, Škoda Fabia Rally2 ini juga boleh digunakan dalam Kejohanan Rali Eropah (ERC), Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) dan juga perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional yang menggunakan regulasi homologasi dari FIA atau yang diluluskan oleh badan permotoran tempatan.

    GALERI: Skoda Fabia RS Rally2

    GALERI: Skoda Fabia generasi keempat

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025