Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru Levorg Layback 2024 diperkenal di Jepun – jarak kelegaan tanah kini 200 mm, 1.8T, 177 PS

    Subaru Levorg Layback  2024 diperkenal di Jepun – jarak kelegaan tanah kini 200 mm, 1.8T, 177 PS

    Subaru telah pun memperkenalkan model Levorg Layback di Jepun. Model baharu ini menampilkan penggayaan seperti crossover dan diposisikan di antara Crosstrek dan Legacy Outback dalam barisan Subaru di Jepun.

    Antara perubahan yang dibuat ialah meningkatkan jarak kelegaan tanah sebanyak 55 mm berbanding Levorg standard, iaitu kini 200 mm. Layback juga diberikan ciri standard roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55.

    Selain itu, ia diberikan lapisan badan dengan rona hitam dan bampar hadapan dengan garisan lebih lembut. Malah gril Layback juga lebih lebar, dilengkapi dengan kemasan seperti aluminium, disambungkan pada lampu utama dan sisipan jaring baharu. Pelanggan juga boleh menetapkan personalisasi Layback mereka dengan pakej aksesori termasuk Pakej STI Aero, Pakej Premium Urban dan Pakej Active Urban.

    Di dalamnya, Layback nampak mirip dengan Levorg, termasuk rekaan papan pemuka yang turut menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh format-potret 11.6-inci.

    Levorg Layback turut menerima sistem Subaru EyeSight versi terkini yang kini didatangkan dengan tiga kamera, termasuk kamera monokular ultra-wide-angle baharu. Penambahan kamera ini memberikan pandangan yang lebih luas untuk mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal apabila kenderaan memasuki simpang dalam kelajuan yang rendah – ciri ini turut diberikan pada Outback facelift.

    Untuk penjana kuasanya, Layback menggunakan unit CB18 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder flat petrol dengan hamburan kuasa 177 PS (174 hp atau 130 kW) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm. Penjana kuasa ini menyalurkan pacuan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Subaru Symmetrical All-Wheel Drive .

     
     
  • Subaru mungkin kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kata presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem

    Subaru mungkin kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kata presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem

    Ini mungkin berita yang akan menggembirakan peminat Subaru – presiden Persekutuan Automobil Dunia (FIA), Mohamed Ben Sulayem mendedahkan bahawa jenama dari Jepun berkenaan mungkin akan kembali bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC)!

    Menurut Mohamed, Subaru mungkin akan kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kerana gergasi automotif Jepun berkenaan kini turut memiliki sebahagian kepentingan dalam Subaru, dan perkara ini diberitahu sendiri oleh pengerusi Toyota, Akio Toyoda kepadanya.

    “Bukan lagi rahsia bahawa saya dan Encik Akio Toyoda sudahpun membuat satu mesyuarat yang baik, dan saya tanya dia apa yang dia boleh buat [berkenaan untuk membawa lebih banyak pengeluar ke WRC] dan saya mendengar dari seseorang yang begitu berminat. Dan dia memetik Subaru,” kata Mohamed kepada DirtFish di service park Acropolis Rally Greece 2023 semalam.

    “Mereka kini memiliki kepentingan dalam Subaru dan mereka akan menyokong inisiatif Subaru untuk masuk. Dan saya rasa seseorang seperti dia, bila dia bercakap, dia bercakap dengan yakin. Saya harap sebahagian dari itu akan berlaku. Saya rasa lebih banyak pengeluar adalah bagus,” tambahnya lagi.

    Subaru mungkin kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kata presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem

    Toyota GR Yaris Rally1

    Beliau menjelaskan Subaru tidak mempunyai masalah untuk menghasilkan kerangka badan untuk jentera WRC dengan undang-undang Rally1 terkini kerana ia menggunakan casis jenis spaceframe yang boleh dibentuk menjadi mana-mana model produksinya.

    Namun apa yang menjadi masalah ialah Subaru tidak mempunyai enjin yang sesuai untuk dipadankan pada jentera Rally1 berkenaan, dan ini yang boleh dibantu oleh Toyota.

    “Saya lihat petanda positif dari pengerusi Toyota dalam menyakinkan Subaru dan membekalkan enjin, di mana isu Subaru adalah berkenaan enjin. Ia bukan masalah kereta, ia masalah enjin yang mereka ada. Dan saya boleh tengok tanda yang optimis di situ, sungguh,” kata Mohamed.

    Subaru mungkin kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kata presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem

    Jentera-jentera WRC dalam kelas Rally1 kini menggunakan enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor berdiameter 36 mm pada unit pengecas turbo, bagi menghasilkan kuasa sekitar 380 hp. Ia digandingkan dengan modul plug-in hybrid binaan Compact Dynamics menampilkan bateri lithium ion 3.9 kWj dan motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm pada gandar belakang, memberikan kuasa keseluruhan 500 hp.

    Yang menjadi masalah kepada Subaru adalah jentera-jentera Rally1 ini turut perlu dipadankan dengan kotak gear dan sistem pacuan semua roda dari pembekal yang telah diluluskan oleh FIA, yang memerlukan enjin diletak secara melintang dalam ruang enjin, berbeza dengan enjin jenis boxer pada model-model produksi Subaru yang perlu diletakkan secara menegak.

    Apa yang boleh dibantu oleh Toyota, mungkin akan ada enjin Toyota yang sesuai untuk digunakan dalam WRC bakal diberikan pada model produksi dengan lencana Subaru. Sebagai contoh, jentera rali Proton Iriz R5 yang menggunakan enjin 4B11 bukan diambil dari Mitsubishi, tetapi fail homologasi menunjukkan ia adalah dari Proton Inspira.

    Subaru mungkin kembali ke WRC dengan bantuan Toyota kata presiden FIA, Mohamed Ben Sulayem

    Apa pun kita tunggu sahaja perkembangannya yang mungkin akan didedahkan sendiri oleh Toyota dan Subaru. Atau mungkin akan ada lagi model prestasi yang bakal dihasilkan oleh kedua-dua jenama ini seperti Toyota GR86 dan Subaru BRZ selepas ini?

    Subaru memulakan penyertaan penuhnya dalam WRC pada musim 1990 dengan pasukan dan jentera yang dibangunkan oleh firma kejuruteraan British iaitu Prodrive. Namun disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan, operasi Subaru World Rally Team terpaksa ditutup pada tahun 2008.

    Sepanjang 18 tahun pembabitannya dalam kejohanan tersebut, Subaru berjaya meraih tiga gelaran juara kategori pengeluar (1995, 1996, 1997) dan juga tiga gelaran juara kategori pemandu (Colin McRae 1995, Richard Burns 2001 dan Petter Solberg 2003).

     
     
  • Jimat hingga RM23k dengan Volkswagen Gemilang Deals – Tiguan, Golf GTI, Arteon R-Line 4Motion

    Jimat hingga RM23k dengan Volkswagen Gemilang Deals – Tiguan, Golf GTI, Arteon R-Line 4Motion

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sedang menganjurkan kempen Gemilang Deals, dan anda berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM23,000 untuk model Volkswagen terkini yang kini ditampilkan dengan IQ.DRIVE.

    Gemilang Deals yang dianjurkan sempena dengan sambutan Merdeka dan Hari Malaysia, melibatkan model SUV tiga-barisan tempat duduk Tiguan Allspace Elegance dan Tiguan Allspace R-Line, hot hatch Golf GTI, dan Arteon R-Line 4MOTION dengan penjimatan hingga RM23k, manakala Tiguan R-Line dengan diskaun RM15k. Sementara Tiguan Allspace Elegance dan Golf GTI, masing-masing diberikan rebat RM10k.

    Kesemua model Volkswagen ini turut didatangkan dengan penyelenggaran percuma selama tiga-tahun serta waranti pengilang lima-tahun dan lima-tahun bantuan tepi jalan. Promosi bagi Gemilang Deals berlangsung sehingga 31 Oktober ini.

    VPCM juga sedang menganjurkan siri jelajah yang berlangsung di pusat membeli-belah One UTama sehingga 10 September ini, dan kesemua model yang disebut di atas turut dipamerkan. Malah ia juga mempertontonkan model Golf R versi CKD yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Super hatch ini didatangkan dengan Pakej R Performance dan ekzos titanium Akrapovic, yang merupakan ciri standard dari kilang.

     
     
  • Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya Ahad ini, 10 Sept

    Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya Ahad ini, 10 Sept

    MBSJ telah mengumumkan Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya bakal berlangsung pada Ahad ini, 10 September 2023. Acara akan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir hingga 11 pagi.

    Seperti biasa, Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya akan diadakan di hadapan Subang Parade dan Aeon Big di SS15. Kalau mengikut acara yang terdahulu, sebahagian Jalan Kemajuan akan ditutup dari kegunaan trafik, iaitu dari persimpangan Jengka hingga ke persimpangan Persiaran Kewajipan.

    Selain itu, seperti sebelum ini juga ia melibatkan Jalan SS16/1 yang ditutup iaitu laluan sekeliling Subang Parade, Aeon Big dan barisan bangunan Mesianiaga. Walau bagaimana pun ia tidak melibatkan penutupan penuh.

    MBSJ menyarankan tiga lokasi parkir iaitu Subang Parade, Aeon Big dan di sepanjang Jalan SS15/1A. Walau bagaimana pun jika anda memilih untuk parkir di Jalan SS15/1A, tolong jangan halang trafik atau laluan untuk ke kawasan perumahan berhampiran.

    Untuk yang bakal menyertai Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya ini, banyak aktiviti menarik menanti anda termasuklah bola sepak jalanan, Pasar Karloot, sukan memanah, pemeriksaan kesihatan secara percuma termasuk ujian ECG, kaunter pembayaran bergerak, rekleksiologi, demostrasi unit K9 PDRM, kempen kesedaran denggi, dan banyak lagi. Edisi bulan ini juga melibatkan perarakan Merdeka dan Hari Malaysia yang disertai oleh agensi kerajaan dan sektor swasta.

     
     
  • Jalan Sg Besi dan Bulatan Loke Yew ditutup secara berperingkat selama setahun mulai 30 Sept 2023

    Jalan Sg Besi dan Bulatan Loke Yew ditutup secara berperingkat selama setahun mulai 30 Sept 2023

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan Jalan Sungai Besi menghala ke Sungai Besi/Petaling Jaya (berhadapan Fraser Business Park) dan Bulatan Loke Yew akan ditutup kepada semua lalu lintas secara berperingkat mulai 30 September 2023 selama setahun. Di mana penutupan jalan itu bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pelebaran, pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew dijalankan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pentadbiran DBKL telah melantik Tetuan Pertama Makmur Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan pelebaran Jalan Yew yang bermula pada Oktober 2021 dan dijangka siap pada 31 Dis 2025, dan kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan di lokasi yang dinyatakan.

    Justeru, bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan tersebut, laluan terbabit ditutup untuk lalu lintas dan pengguna jalan raya boleh menggunakan beberapa lencongan trafik yang disediakan.

    Klik untuk besarkan

    “Pengguna jalan raya yang datang dari Bulatan Kampung Pandan untuk ke Sungai Besi/Petaling Jaya akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu satu laluan melalui jalan bersebelahan Federal Bakery dan satu laluan memasuki laluan kontra di lorong bersebelahan.

    “Bagi yang datang dari arah Sungai Besi/ Petaling Jaya untuk ke Bulatan Kampung Pandan akan dilencongkan kepada dua bahagian iaitu satu laluan akan susur ke kiri melalui Bulatan Loke Yew dan satu laluan akan kekal di jajaran yang sama,” kata DBKL.

    Manakala yang datang dari arah Jalan Loke Yew dari Cheras pula dibenarkan untuk membuat pusingan U sahaja menghala Jalan Loke Yew ke arah Cheras semula dan pengubahsuaian laluan trafik ini adalah kekal. Dan laluan alternatif trafik dari Cheras menuju ke Jalan Sungai Besi pula melalui Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga.

    Klik untuk besarkan

    “Bagi pengguna yang datang dari Cheras dan menuju ke Jalan Yew pula hendaklah menggunakan pusingan U di persimpangan jejambat di Jalan Maharajalela dan ini juga sama untuk trafik yang datang dari Cheras dan menuju ke kawasan persekitaran Jalan Yew.

    “Untuk yang datang dari arah Jalan Loke Yew dari Jalan Kinabalu dan Jalan Sungai Besi akan dilencongkan ke Jalan Yew menghala ke Bulatan Pudu sahaja. Laluan alternatif adalah melalui pusingan U di Sekolaah Menengah Kebangsaan (P) Pudu dan pengubahsuaian laluan trafik ini juga kekal,” sambungnya lagi.

    Dalam masa yang sama, DBKL menasihati semua pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kesulitan.

    Sebelum ini, penutupan laluan berkenaan sepatutnya dilaksanakan mulai 5 Ogos lalu, namun ia ditangguhkan seketika tanpa memaklumkan alasan penangguhannya.

     
     
  • Stesen Petron di R&R Seremban arah utara ditutup sementara untuk kerja penyelenggaran – PLUS

    Stesen Petron di R&R Seremban arah utara ditutup sementara untuk kerja penyelenggaran – PLUS

    Bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Berhad telah mengumumkan penutupan sementara stesen Petron di kawasan Rehat dan rawat (R&R) Seremban (arah utara) bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran. Penutupan stesen minyak berkenaan adalah mulai hari ini sehingga tarikh yang diumumkan kelak.

    “Stesen minyak yang terdekat adalah Stesen Minyak SHELL di Kawasan R&R Seremban (arah utara). Pengguna lebuhraya ini diminta untuk merancang perjalanan anda dan berhati-hati ketika memandu,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Penutupan sementara ini hanya melibatkan stesen Petron sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan R&R berkenaan. Di mana medan selera, tandas, surau dan kemudahan lain di R&R berkenaan masih beroperasi seperti sedia kala.

     
     
  • Toyota henti operasi 14 kilang di Jepun bukan sebab serangan siber; ruang cakera pelayan tidak cukup

    Toyota henti operasi 14 kilang di Jepun bukan sebab serangan siber; ruang cakera pelayan tidak cukup

    Hujung bulan lalu Toyota terpaksa memberhentikan operasi kesemua 28 barisan produksinya di 14 kilang pemasangan di Jepun, dengan khabar angin menyatakan bahawa fasiliti gergasi automotif it sekali lagi mengalami serangan siber.

    Namun menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini, Toyota menyatakan bahawa insiden itu terjadi kerana sistem pesanan produksinya yang gagal berfungsi akibat kekurangan ruang storan cakera dalam pelayan.

    “Kegagalan fungsi sistem ini adalah disebabkan beberapa pelayar yang memproses pesanan komponen tidak dapat digunakan. Ia terjadi selepas kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat pada 27 Ogos, sehari sebelum kegagalan fungsi ini berlaku.

    “Ketika prosedur penyelenggaraan dibuat, data yang telah terkumpul dalam pangkalan data telah dipadamkan dan disusun, dan ralat berlaku disebabkan ruang cakera yang tidak mencukupi, menyebabkan sistem terhenti. Memandangkan pelayan ini berjalan pada sistem yang sama, kegagalan serupa berlaku dalam fungsi sandaran, dan pertukaran tidak dapat dibuat,” kata Toyota dalam kenyataan itu.

    Sistem ini dapat berjalan semula selepas Toyota memindahkan data kepada pelayan dengan kapasiti lebih besar pada 29 Ogos, manakala semua kilang dapat beroperasi semula pada hari berikutnya iaitu 30 Ogos. Syarikat itu juga telah membuat langkah-langkah pencegahan dengan meniru serta menilai situasi tersebut.

    Dalam kenyataan ini Toyota turut membuat permohonan maaf kepada pelanggan, pembekal serta pihak-pihak lain yang terjejas atas insiden ini serta turut menyatakan akan mengkaji semula prosedur penyelenggaraan sedia ada.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk9 hanya akan tampil dalam versi EV, harga mungkin tidak jauh beza dengan Golf Mk8

    Volkswagen Golf Mk9 hanya akan tampil dalam versi EV, harga mungkin tidak jauh beza dengan Golf Mk8

    Nampaknya Volkswagen Golf Mk8 sedia ada sudah sah sebagai Golf generasi terakhir yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman. Ini kerana CEO Volkswagen, Thomas Schäfer mengesahkan bahawa model generasi baharu Golf Mk9 akan muncul pada 2028, dan ia merupakan model yang hanya ditawarkan dalam versi rangkaian kuasa elektrik penuh (EV).

    Menurut Schäfer dalam laporan Autocar, Golf Mk9 akan menjadi model pertama Volkswagen yang akan menggunakan platform baharu SSP architecture, dan ia akan diletakkan antara hatchback ID.2 yang turut bakal diperkenalkan tidak lama lagi dan ID.3.

    Sebelum ini CEO Volkswagen Group Oliver Blume ada menyatakan bahawa SSP architecture ini “akan mengimbangi keperluan untuk skala dan penyeragaman dengan pembezaan dan kelajuan.” Oleh itu Golf Mk9 akan menjadi EV generasi baharu dari VW yang datang dengan pelbagai teknologi termaju termasuk asas sistem elektrikal 800-volt yang akan memberikan tahap pengecasan lebih berkuasa berbanding platform MEB dengan kapasiti 125 kW yang digunakan sekarang.

    Volkswagen Golf Mk9 hanya akan tampil dalam versi EV, harga mungkin tidak jauh beza dengan Golf Mk8

    Autocar menyatakan model-model yang diasaskan dari SSP architecture ini mampu untuk memenuhkan cas bateri dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 12 minit, berbanding sekitar 35 minit untuk model dengan platform MEB sedia ada. Platform baharu uni juga dibina bagi menyokong kebolehan pemanduan autonomous Tahap 4, membolehkan ia dipandu secara automatik dengan pemandu melepaskan tangan sepenuhnya dari roda stereng.

    Laporan ini turut menyatakan bahawa model dengan SSP architecture pertama sepatutnya mula diproduksi pada 2026, namun VW lebih mengutamakan agar Golf dapat dijual pada harga mampu milik kerana ia sudahpun dikenali antara model yang paling laris di dunia. Oleh itu Golf Mk9 ini mungkin akan dijual pada harga yang hampir sama dengan Golf Mk8 walaupun ia hanya ditawarkan dalam versi EV.

    Schäfer menerangkan bahawa ID.3 sedia ada bukanlah Golf dalam versi elektrik, dan menampilkan spesifikasi dan harga lebih tinggi dari Golf. Jadi ID.3 akan terus dijual walaupun selepas Golf Mk9 EV mula diperkenalkan kelak. Beliau juga menyatakan ID.3 mungkin akan dihasilkan dalam versi generasi kedua, tetapi masih tiada hala tuju jelas berkenaan posisinya kelak.

    Volkswagen Golf Mk9 hanya akan tampil dalam versi EV, harga mungkin tidak jauh beza dengan Golf Mk8

    Buat masa sekarang, VW memperkenalkan platform MEB+ yang menyokong tahap pengecasan bermula 175 kw hingga 200 kW, menggunakan bateri sel-unit generasi baharu yang menawarkan jarak gerak sejauh 700 km. Platform ini akan menjadi asas kepada 10 model EV baharu dari Volkswagen yang akan dilancarkan menjelang 2026.

    Baru-baru ini juga VW telah mendedahkan model konsep ID. GTI, iaitu hot-hatch EV pacuan roda belakang yang bakal dihasilkan dalam versi produksi menggunakan platform MEB Entry tidak lama lagi. Walaupun ia banyak menerima peincian yang diinspirasikan dari Golf GTI, ID. GTI Concept ini tampil dengan saiz lebih kecil yang menghampiri saiz Polo GTI.

     
     
  • GST perlu diperkenalkan semula, dakwa banyak perniagaan elak cukai dengan SST — Wee Ka Siong

    GST perlu diperkenalkan semula, dakwa banyak perniagaan elak cukai dengan SST — Wee Ka Siong

    Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyuarakan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu diperkenalkan semula, lapor The Star.

    “Kita tidak boleh menangguhkan pelaksanaan sistem cukai tersebut kerana ia akan membawa manfaat kepada kita dalam masa panjang. Kami berkongsi pandangan yang sama dengan dewan perniagaan lain bahawa kita perlu memperkenalkan semula GST,” jelasnya. Wee menambah, pengenalan semula GST boleh dilakukan bersekali dengan beberapa penambahbaikan seperti pengenalan senarai yang dikecualikan, bekalan dengan kadar sifar serta memberikan bantuan kewangan kepada warga miskin melalui pendapatan kerajaan yang meningkat.

    “Sebelum ini, kadar 6% yang dikenakan itu dirasakan terlalu tinggi. Tetapi perlu diingat, bahawa kadar itu boleh dikurangkan kepada 4% dan dinaikkan secara berkala selepas satu tempoh masa. Juga, perlu ada perancangan supaya mereka yang berada dalam industri boleh membuat persediaan,” ujar Wee selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat kebangsaaan bagi Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP) 2024.

    Satu daripada rungutan berkaitan GST ketika ia dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Barisan Nasional ialah kelewatan tuntutan bayaran, yang menurut Wee perlu ada kaedah yang lebih berkesan. “Tuntutan bayaran sangat penting agar aliran tunai perniagaan tidak terjejas,” tambahnnya.

    GST perlu diperkenalkan semula, dakwa banyak perniagaan elak cukai dengan SST — Wee Ka Siong

    Wee juga sedar yang GST pernah dikritik oleh kerajaan PH, tetapi sekarang adalah masanya untuk semua bergerak ke depan dan meletakkan perbezaan itu di belakang. “Jika tak suka nama GST, berilah nama lain. Bagi saya, cukai ini tetap cara yang terbaik,” jelas Wee.

    GST sebelum ini menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada April 2015, tetapi kemudiannya dibatalkan dan SST diperkenalkan semula pada September 2018 ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. Menurut Wee, banyak perniagaan mengelak daripada membayar cukai di bawah sistem SST ketika ini, mengakibatkan menyusutnya pendapatan kerajaan.

    “Dengan GST, perniagaan tiada jalan untuk lari daripada membayarnya,” tambah beliau. “Di seluruh dunia, 174 negara telah melaksanakan GST. Jadi kita mesti membuat keputusan tegas dan lupakan apa yang pernah berlaku sebelum ini,” ujarnya. Beliau menambah, GST perlu diperkenalkan semula tahun depan bersekali dengan pelaksanaan sistem invois elektronik (e-invoicing).

     
     
  • Royal Enfield Bullet 350 2023 diperkenal – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin dan casis

    Royal Enfield Bullet 350 2023 diperkenal  – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin dan casis

    Royal Enfield melancarkan Bullet 350 serba baru di pasaran India, menyaksikan model yang penuh dengan sejarah dan warisan lebih sembilan dekad ini mendapat pelbagai peningkatan termasuk pada bahagian enjin, casis serta kelengkapan.

    Paling utama adalah enjin baru, dari siri J dengan kapasiti 350 cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan SOHC. Selain mampu memberikan tork lebih baik, enjin yang berkuasa 20.2 hp dan 27 Nm ini juga diberikan dengan counter balancer serta masih menghasilkan bunyi unik sebuah Bullet. Ia dipadankan bersama transmisi lima kelajuan.

    Casis Bullet 350 ini telah ditambah baik demi memberikan tunggangan yang lebih meyakinkan dan stabil sepanjang masa, dan ia dihubungkan kepada jalan melalui suspensi fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Royal Enfield Bullet 350 2023 diperkenal  – banyak bahagian dipertingkat termasuk enjin dan casis

    Pada bahagian brek, semua varian Bullet 350 ini dilengkapi sistem ABS, dengan varian permulaan yang menggunakan unit dram di belakang mendapat ABS single channel, sementara varian lebih tinggi yang menggunakan unit cakera 300 mm di hadapan dan 270 mm di belakang mendapat ABS dual-channel.

    Turut dipertingkat adalah panel meter, dengan sekarang menggunakan unit gabungan analog dan digital, sementara tempat duduk pula dibentukkan semula untuk menjadi lebih selesa. Memudahkan pengguna, model ini sekarang datang dengan pengecas USB. Tangki bahan api berkapasiti 13 liter.

    Bullet 350 dijual dalam tiga varian di India, dengan perbezaannya pada bahagian brek serta warna, dan harga jualannya bermula daripada 173,562 rupee (RM9,757) hingga 197,436 rupee (RM11,099).

     
     
  • Modenas Versys-X 250 2023 tiba di Malaysia – RM25k

    Modenas Versys-X 250 2023 tiba di Malaysia – RM25k

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) akhirnya melancarkan model touring Versys-X 250 untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM24,900 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam satu warna sahaja, iaitu Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green, dan didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Versys-X 250 adalah satu versi yang lebih lengkap berbanding Versys 250 biasa, dan ia datang terus dengan kelengkapan seperti beg barangan tepi 17 liter jenis keras, penghadang angin hadapan tinggi, lampu kabus LED, pelindung panel badan besi, soket pengecas 12V, tongkat tengah serta pelindung tangan.

    Bahagian lain adalah sama sahaja, bermula dengan enjin yang terdiri daripada unit dua silinder selari 249 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper untuk menghasilkan kuasa 34 PS pada 11,500 rpm dan tork 21.7 Nm pada 10,000 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal yang juga boleh dibawa menjelajah ke jalan tidak berturap, Versys-X 250 datang dengan kombinasi rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, manakala suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang menyediakan jarak gerak masing-masing 130 mm dan 148 mm.

    Bahagian brek terdiri daripada unit cakera hadapan dan belakang, lengkap bersama sistem ABS, sementara tangki bahan api pula menyediakan kapasiti 17 liter. Berat keseluruhan Versys-X 250 adalah 181 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 815 mm.

     
     
  • Tiada KLCFM dianjurkan Ahad ini, tapi beberapa jalan utama di sekitar KL ditutup untuk acara larian Coway

    Jawatankuasa kerja program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) telah mengumumkan acara berkenaan dibatalkan untuk Ahad ini, 10 September 2023. Pembatalan acara tersebut bagi memberikan laluan kepada penganjuran Coway Run 2023 yang diadakan pada tarikh dan laluan yang sama.

    Acara larian Coway Run 2023 ini akan bermula di Dataran Merdeka pada jam 4.30 pagi untuk kategori 21 km half marathon dan pada 6.15 pagi untuk jarak 10 km. Manakala untuk kategori 5 km, terdapat beberapa pilihan masa pelepasannya.

    Ini bermakna terdapat beberapa jalan utama di sekitar bandaraya KL akan ditutup pada pagi Ahad ini. Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Raja Laut, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Salahudin, Bukit Tuanku dan beberapa jalan lain yang akan diumumkan penutupannya oleh Polis KL.

    Jadi, kalau anda ada urusan di KL pada Ahad ini, sila rancang perjalanan anda dan seeloknya gunakan pengangkutan awam.

     
     
  • UMW Toyota Motor jual 10,275 unit pada Ogos 2023; YTD cecah 67, 283 unit, naik 9.2% berbanding 2022

    UMW Toyota Motor jual 10,275 unit pada Ogos 2023; YTD cecah 67, 283 unit, naik 9.2% berbanding 2022

    UMWT Toyota Motor (UMWT) telah mencatatkan jualan sebanyak 10,275 unit kereta Toyota dan Lexus sepanjang Ogos 2023, di mana ia melibatkan 10,033 unit dari Toyota dan 242 dari Lexus. Angka jualan tersebut mewakili kenaikan sebanyak 13% berbanding 9,091 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Malahan jumlah keseluruhan jualan tahunan (YTD) setakat ini telah mencecah 67,283 unit iaitu bagi lapan bulan pertama tahun 2023 , iaitu meningkat sebanyak 9.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 61,639 unit.

    “Selaras dengan visi menyeluruh Toyota untuk ‘Move Your World’, kami telah mengekal dan memperkukuhkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan model kereta yang didatangkan dengan ciri yang diperlukan buat pelanggan kami di Malaysia. Justeru, kami memperkembangkan lagi portfolio kami dengan kenderaan yang mampu mempertingkatkan pengalaman pemanduan dalam setiap cara,” kata presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran Kurusamy.

    Toyota Corolla GR Sport dilancarkan oleh UMWT pada akhir bulan lalu, dengan harga RM152,800 (atas jalan, tanpa insurans). Antara pakej kelengkapan tambahan yang diberikan termasuklah bampar rekaan GR Sport, roda aloi GR Sport 18-inci dengan tayar lebar, kemasan dalaman GR Sport dan talaan suspensi GR Sport.

     
     
  • Usah terperdaya kes penipuan secara dalam talian berhubung saman trafik – Ketua Polis Selangor

    Usah terperdaya kes penipuan secara dalam talian berhubung saman trafik – Ketua Polis Selangor

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengeluarkan kenyataan peringatan buat orang ramai agar usah terperdaya dengan aktiviti sindiket penipuan dalam talian berhubung saman trafik.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas polis menerima laporan daripada mangsa berusia 37 tahun baru-baru ini berkaitan kes penipuan secara dalam talian dengan menggunakan e-mel palsu dalam urusan pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Di mana mangsa terbabit menerima satu e-mel dari [email protected] yang menyatakan dia mempunyai satu saman trafik PDRM.

    “E-mel terbabit menyertakan portal rasmi MyBayar PDRM di pautan htps://mybayar.rmp.gov.my untuk mangsa membuat semakan. Mangsa membuat semakan melalui portal rasmi PDRM terbabit dan mendapati terdapat satu saman PDRM atas kenderaan mangsa,” katanya.

    Beliau menambah, e-mel palsu terbabit kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk segera membuat bayaran saman itu jika tidak tindakan lanjut akan diambil. Selain itu, e-mel berkenaan turut menyertakan satu laman My Bayar PDRM [email protected] untuk mangsa membuat bayaran secara dalam talian.

    “Mangsa kemudian menekan pautan ‘go to page payment’ dan dibawa masuk ke laman MyBayar PDRM palsu untuk membuat bayaran saman RM50 di mana mangsa mengisi butir-butir perbankan iaitu kata nama, kata kunci dan nombor OTP di dalam borang yang disediakan dalam pautan itu.

    Usah terperdaya kes penipuan secara dalam talian berhubung saman trafik – Ketua Polis Selangor

    “Setelah butiran perbankan dimasukkan, transaksi bayaran terbabit gagal dengan skrin laman sesawang palsu itu menyatakan nombor kod SMS yang diterima tidak sah,” katanya.

    Walau bagaimana pun, katanya, mangsa tidak menyedari sebenarnya scammer telah memperoleh butir rahsia perbankan mangsa melalui pautan palsu itu membolehkan scammer memindahkan wang mangsa secara dalam talian ke dalam akaun bank lain.

    “Mangsa kemudian menerima panggilan daripada pihak bank menyatakan wang dari akaun mangsa dipindahkan sebanyak tiga kali dalam masa singkat ke dalam akaun bank lain berjumlah RM31,638.85. Mangsa baru menyedari ditipu dalam urusan bayaran saman PDRM terbabit,” katanya.

    Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang emel yang dikatakan dari PDRM untuk membayar saman. “PDRM tidak menggunakan e-mel untuk berhubung dengan orang ramai dalam urusan membayar saman PDRM,” tambah Hussein lagi.

    Awal Ogos lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan amaran berhubung aktiviti scammer menggunakan taktik dengan menghantar e-mel palsu kepada orang ramai yang mendakwa kononnya dikenakan kompaun dan saman lalu lintas.

    Menurut Timbalan Pengarah JSPT, Datuk Mohd Nasri Omar, taktik itu dihantar secara meluas kepada e-mel individu dengan menggunakan logo rasmi PDRM bagi memperdaya masyarakat.

     
     
  • Jualan tahun 2023 Proton cecah 100,000 unit hanya dalam masa 8 bulan; jual 13,955 unit untuk Ogos

    Jualan tahun 2023 Proton cecah 100,000 unit hanya dalam masa 8 bulan; jual 13,955 unit untuk Ogos

    Proton mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 13,955 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport pada bulan Ogos 2023, menjadikan jumlah jualan tahunannya untuk 2023 kini sudahpun melebihi 100,000 unit iaitu pada angka 104,602 unit.

    Ini bermakna Proton telah merekodkan jualan melebihi 100,000 unit untuk tahun kelima berturut-turut, dan ia dicapai sebulan lebih awal berbanding tahun lalu. Menurut Proton, jumlah jualan kumulatif tahunan yang dicatatkan pada tahun ini adalah 17,121 unit lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, atau naik sebanyak 19.6%.

    Proton menganggarkan pegangan pasarannya berada pada 18.8% untuk bulan Ogos dan keseluruhan 20.8% untuk lapan bulan pertama tahun ini dengan mengambil jumlah volum industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 74,200 unit. Ini bermakna pertumbuhan volum Proton kekal mendahului TIV, yang kini dianggarkan sebanyak 12.2% untuk 2023.

    Jualan tahun 2023 Proton cecah 100,000 unit hanya dalam masa 8 bulan; jual 13,955 unit untuk Ogos

    Bagi pecahan jualan mengikut model, Saga masih menjadi model paling laris Proton dengan jualan sebanyak 6,585 unit, iaitu angka jualan bulanan tertinggi dicatatkan untuk tahun ini.

    Ini membolehkan jumlah jualan tahunan Saga bagi lapan bulan pertama 2023 mencapai 45,836 unit, atau peningkatan sebanyak 34.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022. Walau bagaimanapun Saga masih berada di tangga ketiga untuk sedan segmen-A paling laris di Malaysia bagi bulan ketiga berturut-turut.

    Sedan segmen-B Proton Persona juga mencatatkan jumlah jualan yang baik bulan lalu dengan 2,028 unit diserahkan kepada pelanggan, dan jumlah jualan kumulatif tahunannya kini mencecah 16,561 unit. Angka ini adalah 72% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu dan membolehkan Persona terus kekal sebagai model terlaris dalam kelasnya tahun ini, tetapi ia hanya berada di tempat ketiga untuk carta jualan bulanan bagi Ogos 2023.

    Model-model SUV siri X Proton terus menjadi antara pemacu jualan jenama automotif nasional itu. SUV segmen B Proton X50 terus menjadi SUV paling laris dalam kelasnya dan pasaran SUV secara keseluruhan dengan jualan 2,558 unit bulan lalu, dan kini mencecah 22,750 unit untuk lapan bulan pertama tahun ini.

    Jualan tahun 2023 Proton cecah 100,000 unit hanya dalam masa 8 bulan; jual 13,955 unit untuk Ogos

    SUV segmen-D Proton X90 yang baru dilancarkan Mei lalu turut mendahului saingan dalam kelasnya dengan jualan 719 unit untuk bulan Ogos dan jumlah tahunan sebanyak 2,944 unit setakat ini. Momentum jualan SUV segmen-C Proton X70 pula kini dilihat sudah perlahan dengan 1,002 unit terjual bulan lalu dan berada ditangga ketiga dalam kelasnya, dan mencatatkan jumlah jualan tahunan sehingga kini dengan 7,999 unit.

    Manakala jualan untuk hatchback segmen-B Proton Iriz dilihat meningkat dengan jualan 654 unit untuk bulan Ogos 2023. Ini membolehkan jualan tahunannya sudah mencapai 5,362 unit, atau 50.3% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Tanpa sebarang saingan terus, MPV segmen-C Proton Exora masih mendahului segmennya dengan jualan 409 unit bulan lalu, dan kini jualan kumulatif tahunannya sudah mencecah 3,150 unit.

    “Selepas mencatat rekod volum baharu pada tahun sebelumnya, industri automotif Malaysia mencatatkan satu lagi rekod baharu bagi tahun 2023 akibat Proton dan jenama lain terus bersaing untuk mendapatkan jualan. Keyakinan dan pandangan positif pembeli dicerminkan melalui bilangan produk baharu yang diperkenalkan, dan dengan banyak lagi model bakal dilancarkan sebelum penghujung bulan Disember, kami menjangkakan keadaan pasaran akan kekal dengan daya saingan tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Bagi Proton, pertumbuhan jualan kami boleh dikaitkan kepada usaha syarikat menumpukan perhatian untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi serta pengalaman premium yang diberikan oleh 154 pengedar 3S/4S dalam rangkaian kami memberi kesan positif kepada pelanggan. Memandang ke hadapan, usaha ke arah produk dan perkhidmatan yang lebih baik ini akan diteruskan dan dirangsang oleh pengumuman baru-baru ini iaitu Proton Test Labs menerima akreditasi ISO 17025 serta kemasukan syarikat ke dalam ruang EV dengan smart Malaysia,” tambahnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025