Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

    GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

    Chery bukan sahaja melangkah agresif di Malaysia, bahkan juga di Indonesia. Malah pengeluar kereta dari China ini telah kembali ke pasaran Indonesia sebelum dilancarkan semula di Malaysia, malah turut mempunyai kilang pemasangan di republik berkenaan.

    Dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, Chery turut mempamerkan dua model SUV keluarannya yang telah dilancarkan di Malaysia iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Di pasaran Malaysia, kita menerima versi lama bagi Tiggo 8 Pro. Manakala untuk pasaran Indonesia, Chery telah mengumumkan SUV elektrik Omoda 5 EV kini telah pun dibuka untuk tempahan.

    Ketika muncul di Auto Shanghai 2023 pada April lalu, sewaktu Omoda 5 EV diperkenalkan secara rasmi, unit pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dipamerkan. Namun untuk GIIAS, unit pemanduan sebelah kanan (RHD) yang dipamerkan, ini bermakna transformasi antara LHD ke RHD telah pun selesai untuk tujuan dipasarkan di Indonesia dan Malaysia.

    GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

    Difahamkan Omoda 5 EV yang bakal memasuki pasaran Malaysia adalah dari unit import sepenuhnya (CBU) dari China, mengambil manfaat dari negara kita yang masih memberikan insentif cukai percuma untuk EV yang diimport dari negara luar.

    Omoda 5 EV ini memiliki bateri 61 kWh yang terletak di bawah lantai yang menjanakan motor 221 hp (165 kW). Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa penjimatan kuasanya mencecah 15 kWh bagi setiap 100 km.

    Dengan pengecas pantas DC, ia boleh dicas dalam tempoh 35 minit untuk mendapatkan status pengecasan 0-80%. Ia mampu memberikan jarak gerak hingga 450 km dalam pengecasan penut, mengikut kitaran domestik CLTC dari China.

    GIIAS 2023: Chery Omoda 5 EV kini dalam RHD, tempahan dibuka di Indonesia – tiba di M’sia pada 2024

    Berbanding dengan Omoda 5 dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), versi EV ini memiliki wajah yang berbeza. Imej yang diperagakan lebih ringkas dan konvensional. Tiada logo diberikan, sebaliknya perkataan Chery tertera pada hujung hadapannya. Roda aero dua-tona juga ditampilkan.

    Di dalamnya, ia diberikan skim warna yang menarik dengan rona biru sebagai warna utama, dikontraskan dengan jahitan kuning dan kemasan kayuan pucat. Roda sterengnya dipaparkan dengan logo Chery, dan papan pemuka yang tampil moden masih dikekalkan dengan skrin utama. Untuk versi ICE, tuil gear telah disingkirkan.

    Omoda 5 EV bakal tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Adakah ia mampu memberikan persaingan buat SUV EV yang telah pun diperkenalkan di Malaysia termasuk BYD Atto 3? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • KESAS, LDP, SPRINT laksana kerja penurapan semula jalan pada 11 malam-6 pagi sehingga 15 Jan 2024

    KESAS, LDP, SPRINT laksana kerja penurapan semula jalan pada 11 malam-6 pagi sehingga 15 Jan 2024

    Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad mengumumkan kerja-kerja penurapan jalan sedang dilaksanakan secara berperingkat di Lebuhraya KESAS, LDP dan SPRINT mulai 14 Ogos lalu sehingga 15 Januari 2024.

    Menurut syarikat pengendali lebuhraya terbabit, inisiatif ini bertujuan untuk menambah baik keadaan lebuh raya bagi memastikan kualiti pemanduan yang lebih selamat dan selesa untuk pengguna ketiga-tiga lebuh raya berkenaan.

    “Kerja-kerja penurapan semula jalan di ketiga-tiga lebuhraya berkenaan dilakukan pada jam 11 malam sehingga 6 pagi pada seiap hari Isnin hingga Sabtu

    “Untuk mengikuti maklumat terkini tentang lokasi kerja-kerja penurapan semula ini, pengguna lebuh raya dinasihati untuk mengikuti kami di laman sesawang dan saluran media sosial kami kerana nasihat perjalanan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa menerusi saluran ini,” kata syarikat berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sambungnya, memandangkan kerja-kerja ini dilaksanakan pada waktu malam, papan tanda pra-amaran akan diletakkan di lokasi untuk membantu pengguna lebuh raya.

    “Pengguna KESAS, LDP dan SPRINT dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, terutamanya apabila kerja-kerja ini sedang dijalankan, kerana kon trafik sementara akan diletakkan di lorong yang terlibat,”katanya lagi.

    Untuk peringkat pertama ini, mulai semalam (14 Ogos) sehingga 27 Ogos 2023, kerja-kerja penurapan jalan sedang dilaksanakan di KM1.8 (Plaza Tol Penchala) hingga KM8.0 (Persimpangan Damansara Utama) Lebuhraya LDP menghala ke Putrajaya.

     
     
  • PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

    PANDU UJI: BYD Dolphin 2023 – harga macam kereta enjin petrol, sesuai untuk jadi EV pertama anda?

    Selain dari kebimbangan berkenaan jarak gerak (range anxiety) dan juga fasiliti untuk mengecas yang masih belum betul-betul matang di Malaysia, harga merupakan satu lagi faktor mengapa kenderaan elektrik penuh (EV) masih lagi belum menjadi popular di kalangan rakyat tempatan.

    Namun dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan kenderaan yang lebih mesra alam ini dengan pelbagai insentif dalam bentuk potongan cukai, dan sekarang kita boleh tengok harga EV dalam negara dijual jauh lebih murah dari sebelum ini. Lupakan pasal Tesla, kerana walaupun jenama dari Amerika Syarikat berkenaan menjual Model Y dengan harga yang murah tak masuk akal, tawaran RM199k untuk model paling asas itu sebenarnya tidak cukup marhean untuk sekurang-kurangnya dimiliki oleh golongan M40.

    Alihkan pandangan anda kepada jenama China iaitu BYD, pemilikan EV nampak lebih masuk akal. BYD melancarkan model pertamanya di Malaysia iaitu Atto 3 pada Disember 2022. Dijual dengan harga bermula RM149,800, SUV EV dengan dalam kelas segmen-C ini menampilkan harga dalam julat yang sama seperti SUV segmen-C berkuasa petrol.

    Dan kalau anda rasa Atto masih lagi belum berada dalam radar mampu milik mengikut poket anda, ini dia hatchback EV segmen-B BYD Dolphin yang mula dijual oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM) pada hujung bulan lalu, dengan harga serendah RM99,900 untuk varian asas Dynamic Standard Range, sehingga RM124,900 untuk varian spesifikasi tertinggi Premium Extended Range.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Sime Darby Motors buka akademi latihan khas untuk tenaga kerja bahagian runcit dan pengedaran

    Sime Darby Motors buka akademi latihan khas untuk tenaga kerja bahagian runcit dan pengedaran

    Sime Darby Motors (SDM) telah membuka Akademi Latihan Komprehensif untuk memperkasakan tenaga kerja syarikat dalam bahagian runcit dan pengedaran. Ia terletak di Sime Darby Motors City, Ara Damansara, Selangor, dengan menempatkan sembilan kelas dan boleh menampung sehingga 163 pelatih dalam satu masa.

    Ada dua teras utama untuk program pensijilan yang disediakan oleh SDM ini. Pertama, latihan teknikal dan bukan teknikal untuk memenuhi keperluan Pensijilan Prinsipal, manakala kedua adalah program latihan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan bakat untuk mempertingkatkan kemahiran berorganisasi serta juga pengetahuan.

    Sime Darby Motors buka akademi latihan khas untuk tenaga kerja bahagian runcit dan pengedaran

    “Sebagai pemain utama industri automotif, Sime Darby Motors sentiasa komited untuk mencapai kecemerlangan dalam usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada semua pelanggan. Retail & Distribution Academy baharu ini akan menjadi platform penting bagi inovasi dan meningkatkan kemahiran, membolehkan kami untuk menstrukturkan program latihan untuk menggalakkan pembelajaran berterusan,” kata Pengarah Urusan, Sime Darby Motors, Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.

    Untuk memastikan tenaga kerja berdaya maju dan berkemahiran tinggi untuk jualan EV serta khidmat lepas jualannya, akademi ini turut dilengkapi dengan kenderaan latihan, perkakas latihan, makmal komputer serta kelengkapan lain yang berkaitan EV untuk membolehkan pekerja membangunkan kemahiran mereka seiringan.

     
     
  • GIIAS 2023: Hyundai Stargazer X diperkenal – MPV 1.5L dengan gaya seperti SUV, sistem audio Bose

    GIIAS 2023: Hyundai Stargazer X diperkenal  – MPV 1.5L dengan gaya seperti SUV, sistem audio Bose

    Hyundai Stargazer sudah berada di pasaran Indonesia sejak bulan Julai lalu, tetapi kini di acara GIIAS 2023, muncul pula satu lagi versi yang dipanggil sebagai Stargazer X. MPV bajet ini akan bersaing dengan model seperti Honda BR-V, Mitsubishi Xpander Cross dan Toyota Rush/Daihatsu Terios.

    Versi baru ini nampak lebih tegap, hasil daripada penggunaan kemasan plastik hitam yang bermula dari lengkuk roda hadapan, pergi ke tepi, keliling roda belakang dan seterusnya ke belakang. Bampar belakang juga mendapat tambahan kemasan yang lebih tebal. Rim masih unit 17 inci dengan tayar 205/55.

    Muka MPV ini juga diperbaharui dengan gril yang lebih menonjol, sementara di atas bumbung terdapat rel nipis dengan kemasan berwarna perak. Spoiler belakang juga nampak lebih panjang dan melengkapkan perubahan luarannya adalah tambahan huruf X pada logo di belakang.

    Masuk ke dalam, tempat duduk Stargazer X mendapat balutan kulit tiruan baru dengan jahitan warna merah serta corak hiasan pada bahagian bahu. Varian paling tinggi Prime kini disediakan dengan pembesar suara Bose, sementara spesifikasi lain adalah sama seperti Stargazer biasa, termasuk panel instrumen digital, pengecas telefon tanpa wayar serta sambungan Android Auto/Apple CarPlay.

    Stargazer dipacu oleh enjin Smartstream 1.5 liter NA berkuasa 115 PS dan tork maksima 144 Nm, dengan kelulusan piawaian emisi Euro-4. Ia digandingkan dengan kotak gear IVT Hyundai (CVT yang berfungsi dengan rantai) bagi memacu hanya roda hadapan. Pakej ADAS SmartSense disediakan seperti biasa, dan pembeli juga boleh memilih tetapan enam atau tujuh tempat duduk.

    Stargazer X ditawarkan di Indonesia dalam dua varian iaitu Style pada harga 325.6 juta Rupiah (RM98,093) dan Prime pada harga 336.2 juta Rupiah (RM101,287).

     
     
  • VIDEO: Honda City facelift 2023 — dari RM84,900

    VIDEO: Honda City <em>facelift</em> 2023 — dari RM84,900

    Honda City facelift 2023 telah pun diperkenalkan di Malaysia minggu ini. Ada banyak perbezaan dari aspek penampilan dan kelengkapan penawaran yang dilakukan. Sama seperti sebelum ini, lima varian ditawarkan, tetapi dengan sedikit perbezaan — buat pertama kali, model RS petrol ditawarkan, menggantikan varian V Sensing sebelum ini.

    Barisan varian yang ditawarkan adalah seperti berikut: S (RM84,900), E (RM89,900), V (RM94,900) dan RS (RM99,900). Varian hibrid pula diwakili oleh e:HEV RS yang dijual pada harga RM111,900 — harga atas jalan tidak termasuk insuran.

    Model petrol biasa dilengkapi enjin 1.5 liter NA empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC yang menjana sebanyak 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm, dengan kuasa disalurkan ke roda depan melalui CVT.

    Bagi varian hibrid pula, ia menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti sebelum ini. Untuk itu, roda depan dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 235 Nm. Kuasa untuk motor elektrik ini diraih dari bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan kepada enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC empat-silinder dengan kitaran Atkinson.

    Dari segi penampilan luaran, banyak juga perubahan. Rekaan bampar depan dan belakang baru, dan untuk model RS, ia lebih agresif dan sporty. Varian RS bukan hibridnya dilengkapi dengan brek cakera, yang mana model V Sensing sebelum ini tidak miliki. Ciri brek parkir elektronik bagaimanapun masih kekal eksklusif untuk model hibrid e:HEV RS sahaja — varian lain hanya menggunakan brek tangan biasa.

    Ada banyak lagi pembaruan yang diberikan untuk Honda City 2023. Untuk mengetahui lebih lanjut hal berkenaan, tonton video ringkas yang kami sediakan ini.

    Honda City e:HEV RS 2023

     
     
  • JPJ eBid: Siri AND dan VLD dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari WP Kuala Lumpur, VLD, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini 11 Ogos 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 Ogos 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perak pula, AND, bidaannya pula bakal dibuka mulai esok, 12 Ogos ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Ogos 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • JPJ Melaka keluarkan 436 saman warga asing tanpa lesen, 72 kenderaan disita dari Jan-Ogos 2023

    JPJ Melaka keluarkan 436 saman warga asing tanpa lesen, 72 kenderaan disita dari Jan-Ogos 2023

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengeluarkan sebanyak 436 saman sepanjang Januari hingga Ogos 2023 dalam Ops Khas PEWA yang dilaksanakan di sekitar negeri ini. Ops Khas PEWA yang dilaksanakan ini adalah bagi mengesan dan menyaman mana-mana pemandu warga negara asing yang memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.

    “Pihak JPJ ingin menegaskan bahawa pemandu warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan tanpa lesen memandu dan akan mengambil tindakan tegas termasuk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing menggunakannya mengikut peruntukkan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Untuk rekod, sebanyak 72 buah kenderaan telah disita dan sebanyak 436 notis telah dikeluarkan sepanjang Januari hingga Ogos 2023,” kata Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

    Kelmarin sahaja, sebanyak 92 notis dikeluarkan dalam Ops Khas PEWA yang dilaksanakan sekitar Melaka Sentral, di mana 25 buah kenderaan disita melibatkan dua buah motokar dan 23 buah motorsikal.

    “Operasi ini disertai seramai 24 orang anggota yang turut berpakaian preman telah mengeluarkan sebanyak 67 notis saman P (22) dan 25 notis penyitaan kenderaan Sek 64 (1). Semua pemandu yang ditahan terdiri daripada lapan orang warganegara Bangladesh, 16 orang warganegara Myanmar (Rohingya) dan seorang Pakistan yang melibatkan beberapa kesalahan,” katanya lagi.

    Sebarang aduan atau pelaporan boleh disalurkan ke e-Aduan@JPJ menggunakan aplikasi myJPJ atau di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JPJ menerusi pautan http://jpj.spab.gov.my.

     
     
  • GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam hot-hatch!

    GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam <em>hot-hatch</em>!

    Satu benda yang tak boleh dipisahkan dengan Honda sudah tentu budaya ubahsuai. Tak kira model apa yang dilancarkan, tak lama selepas itu pasti ada sahaja aksesori aftermarket yang dijual untuk menjadikan ia lebih sporty.

    Ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, reruai rasmi Honda sendiri telah mempamerkan sebuah WR-V yang bukan sahaja menerima kit badan lebih labuh, malah ia turut direndahkan dan nampak seperti sebuah hot-hatch.

    Unit yang diubahsuai ini diasaskan dari varian paling sporty iaitu WR-V RS, jadi bumbung hitam bersama rel bumbung (kedua-dua ini tidak ditawarkan untuk model pasaran Malaysia), warna badan Ignite Red Metallic, gril hadapan dengan logo RS adalah perincian standard dari kilang.

    GIIAS 2023: Honda WR-V yang direndahkan, ditambah dengan kit badan agresif, nampak macam <em>hot-hatch</em>!

    Apa yang ditambah adalah lips hadapan dan skirt sisi yang sangat labuh, serta diffuser udara yang sangat agresif pada bawah bampar belakang yang turut menempatkan dua tip ekzos bersaiz besar. Spoiler belakang juga nampak lebih besar dari standard bagi disepadankan dengan kit yang lebih agresif ini.

    Rim aloi 17-inci asal sudah tidak lagi digunakan, dan digantikan dengan Work Emotion yang masih berdiameter 17-inci. Namun rim baharu ini dibalut dengan tayar dengan profil lebih rendah dan lebih lebar Michelin Primacy 4 yang bersaiz 225/50R17, berbanding tayar dengan spesifikasi asal 215/55R17.

    Suspensi juga nampaknya telah diubahsuai – dari jarak antara fender dengan tayar sebelum ini boleh memuatkan seekor kucing dewasa tidur, kini ia lebih rendah dengan jarak yang boleh memuatkan hanya sekitar tiga jari. Dengan suspensi yang lebih rendah dan juga kit badan lebih labuh, jarak kelegaan tanah WR-V ini berkurang dengan drastik serta memberikan stance yang nampak lebih garang dan stabil.

    Indonesia merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima Honda WR-V ini, dilancarkan pada November tahun lalu. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC NA yang menghasilkan 121 PS dan tork maksima 145 Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Ia turut diperkenalkan dalam versi dengan kotak gear manual enam-kelajuan selepas itu, tetapi hanya dalam varian asas E.

    Kita di Malaysia baru sahaja menerima WR-V yang dilancarkan pada Julai lalu. Di sini WR-V ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas 1.5 S ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, 1.5 V berharga RM99,900 dan varian spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula dijual pada harga RM107,900.

     
     
  • GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Mazda CX-60 telah pun dipamerkan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang sedang berlangsung, selepas beberapa hari ia mula dijual di sini. Foto yang dipaparkan ini merupakan dua versi bagi SUV ini, iaitu Kuro Edition dalam rona Deep Crystal Blue dan Elite Edition dalam Platinum Quartz.

    Kedua-duanya dijual pada harga yang sama iaitu 1.1888 bilion rupiah (RM357,400) tetapi diberikan ciri luaran yang berbeza. Untuk permulaan, gril pada Kuro diberikan kemasan paten sarang lebah, manakala Elite pula dengan palang menegak kecil. Selain itu, Kuro diberikan serlahan krom gelap, perumah cermin sisi hitam dan aloi hitam berkilat 20-inci berbanding Elite yang menerima serlahan lebih cerah dan roda potongan berlian 20-inci.

    Di dalamnya, Elite diberikan upholstery kulit Nappa dan kemasan kayuan maple. Sementara Kuro pula menerima kulit Nappa quilted dengan warna tan yang kontras dengan kemasan gelap. Untuk warna luarannya pula, Kuro ditawarkan dengan Deep Crystal Blue, Rhodium White dan Soul Red Crystal. Manakala Elite pula boleh didapati dengan warna Platinum Quartz, Jet Black, Machine Grey dan Rhodium White.

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Bagi ciri kelengkapan standard, CX-60 didatangkan dengan dua paparan 12.3-inci, dengan salah satunya merupakan kluster instrumen digital, dan satu lagi sistem infotainmen. Ia juga diberikan Active Driving Display, warna sepenuhnya, paparan unit utama projektor yang dipancarkan ke cermin hadapan, lampu utama LED adaptif, bumbung suria panoramik, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, kawalan suhu dwi-zon dengan corong di belakang, pengecas telefon tanpa wayar dan tailgate berkuasa dengan akses bebas-tangan.

    SUV ini turut diberikan sistem bantuan pemandu dan keselamatan yang sama, termasuk tujuh beg udara, kamera 360-darjah, kawalan turun bukit dan ciri pasif (ABS, DSC, bantuan mula mendaki, dan lain-lain), Sokongan Brek Pintar (AEB) hadapan dan belakang, amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dan hadapan, sistem pemantauan pemandu dan kepekaan perhatian pemandu.

    GIIAS 2023: Mazda CX-60 dipamer – dua versi; 3.3L hibrid ringkas turbo 6-silinder sebaris; dari RM357k

    Untuk penjana kuasanya, CX-60 menampilkan unit e-Skyactiv G 3.3 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol yang digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Ia juga disepadukan dengan sistem hibrid ringkas M Hybrid Boost 48-voltan dengan motor elektrik antara enjin dan kotak gear. Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 0.33-kWH, dengan keseluruhan sistem mampu menyalurkan kuasa sebanyak 284 PS (280 hp atau 209 kW) dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm.

    Dengan terjualnya CX-60 di Filipina, Singapura dan Singapura, ada kebarangkalian kita juga bakal menerima SUV lima-tempat duduk ini pada masa hadapan. Walau bagaimana pun, harga yang ditetapkan mungkin tinggi, sama seperti pasaran negara jiran.

     
     
  • GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

    GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

    Indonesia telah pun menerima kemasukan Toyota RAV4 GR Sport PHEV, yang dilancarkan sempena penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung. Ditawarkan pada harga 1.15 bilion rupiah (RM345,899), SUV ini merupakan model elektrifikasi ketiga termahal dalam barisan model tempatan selepas versi hibrid bagi Alphard dan bZ4X.

    Penjana kuasa plug-in hybrid bagi RAV4 ini terdiri daripada unit A25A-FXS 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan suntikan bahan api D45 (port & direct) yang boleh menghasilkan 185 PS (182 hp atau 136 kW) pada 6,000 rpm dan tork 227 Nm dari 3,200 hingga 3,700 rpm.

    Enjin ini juga digabungkan dengan E-CVT dan disertai oleh motor elektrik hadapan pada kadar 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 270 Nm. Sementara itu, motor elektrik kedua yang terletak di belakang menjana sistem pacuan semua-roda E-Four dan menghantar 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan 121 Nm. Keseluruhan sistem kuasa yang terhasil bagi penjana kuasa ini mencecah 306 PS (302 hp atau 225 kW).

    Kuasa dari motor elektrik menjana bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 18.1 kWh, dan pengecasan penuh menggunakan pengecas onboard AC 6.6-kW mengambil masa sekitar 2.5 jam. Bagi pengecasan penuh, SUV ini mampu dipacu dengan jarak gerak elektrik sepenuhnya hingga 75 km mengikut kitaran WLTP.

    Sebagai model GR Sport, RAV4 ini didatangkan dengan gaya yang menyerlah. Pada bahagian hadapannya, gril diberikan kemasan berbeza dengan lencana GR, sementara bampar hadapan dan belakang juga menerima rekaan yang berlainan, selain turut diberikan dua corong ekzos.

    Selain itu, ia juga diberikan lampu kabus, roda aluminium 19-inci dengan rona hitam berkilat serta suspensi talaan-GR. Dua warna luaran ditawarkan iaitu Platinum White Pearl dan Emotional Red 2, kedua-duanya kontras dengan bumbung hitam.

    Di dalamnya, lencana GR diposisikan di tempat duduk dan stereng balutan kulit. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dwi-zon, kluster instrumen digital 12.3-inci, dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.3-inci. Sistem telematik T Intouch juga sebahagian daripada kit standard yang disenaraikan, bersama dengan kelengkapan Toyota Safety Sense konprehensif bagi sistem bantuan pemandu termaju (kawalan kelajuan adaptif, lampu tinggi automatik, brek kecemasan sendiri dan banyak lagi).

    Difahamkan Toyota Astra Motor yang membawa masuk RAV4 GR Sport PHEV di Indonesia tidak menjangkakan jualan yang tinggi dan model ini termasuk dalam pesanan segera serta waktu menunggu sekitar tiga bulan. Malahan RAV4 PHEV ini juga antara model Toyota dalam barisan model masa kini yang ditawarkan dengan harga hampir sekali ganda berbanding versi hibrid termasuk Yaris Cross, Corolla Cross dan Kijang Innova Zenix.

     
     
  • GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Walaupun Honda Accord generasi ke-11 tidak akan masuk ke pasaran Malaysia, di Indonesia berbeza ceritanya: sedan segmen D berkenaan baru saja diperkenalkan untuk pertama kali bagi peringkat ASEAN di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung bermula hari ini.

    Unit Accord yang dipamerkan itu menggunakan lencana RS dengan sistem janaan hibrid e:HEV yang digerakkan oleh sistem i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive). Jika mengikut spesifikasi di AS, tetapan ini menggunakan enjin 2.0 liter petrol empat-silinder sebaris dengan kitaran Atkinson yang menghasilkan 148 PS (146 hp) pada 6,100 rpm dan 182 Nm tork pada 4,500 rpm.

    Enjin ini bertindak selaku generator, dengan sebuah motor elektrik yang disepadukan dalam E-CVT ia membekalkan pengecasan kepada bateri lithium-ion yang digunakan. Bateri berkenaan kemudiannya akan membekalkan kuasa kepada sebuah lagi motor elektrik dengan janaan 184 PS (181 hp) dan 335 Nm. Kunci klac juga memboleh enjin terus memacu kuasa ke roda dalam kelajuan tinggi untuk lebih cekap.

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Dari segi ukuran dimensi, Accord generasi ke-11 ini mempunyai 4,970 mm panjang, 1,862 mm lebar, 1,450 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,830 mm. Berbanding model generasi ke-10 yang ada di sini, Accord baru ini 69 mm lebih panjang, dengan ukuran lain kekal sama.

    Dari segi rekaan, Accord baru ini mengikut pendekatan yang dilihat pada CR-V dengan penampilan yang lebih ringkas. Gril baru kini berbentuk hexagon dan tiada lagi jalur krom bagi perincian di dalamnya, dan disertai juga oleh lampu yang lebih kurus lengkap dengan DRL.

    Ada pembahagi yang jelas antara bahagian atas gril dengan bukaan di bawah. Bukaan yang sama juga lebih luas dan lebar, hadir dengan perincian aliran udara berlawanan. Bahagian belakang lebih jelas perbezaannya dengan rekaan lampu melintang yang dihubungkan oleh jalur lampu yang bertemu di logo Honda.

    GIIAS 2023: Honda Accord RS Hybrid generasi ke-11 tampil — pertama kali di ASEAN; 2.0L i-MMD, 204 PS

    Di dalam, Accord baru ini sekali lagi menjadi mirip dengan CR-V dan Civic untuk rekaan kokpitnya. Corong udara pendingin diselindung di sebalik jaring mesh dalam kelebaran penuh papan pemuka. Ada juga kluster instrumen digital, skrin sentuh 12.3-inci dan kawalan fizikal untuk sistem pendingin tersebut.

    Menurut pemerhatian media di Indonesia, belum ada petunjuk sahih sama ada Accord serba baru ini akan dilancarkan disana. Laporan sebelum ini menyebut model generasi ke-11 ini bukan disasarkan utnuk pasaran Asia Tenggara.

     
     
  • JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar kenderaan JMC di Malaysia, telah memperkenalkan Vigus Pro White Series, kenderaan pikap 4×4 automatik yang disasarkan untuk memenuhi permintaan komuniti perniagaan yang semakin meningkat, termasuk korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), trak pikap ini ditawarkan pada harga atas jalan RM99,888 tanpa insurans. White Series merupakan tambahan kepada Premium Series yang merupakan versi asal bagi Vigus Pro yang diperkenalkan di Malaysia pada Oktober 2021.

    Dengan kelengkapan seperti Premium Serius, ciri yang diberikan termasuklah roda aloi 16-inci (tayar profil 265/70), lampu utama projektor halogen automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, cermin sisi larasan automatik dengan lampu isyarat membelok, pemijak tepi, bampar pemijak belakang, palang sport dengan lampu brek ketiga, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan dan bed liner.

    Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan paparan pelbagai-info 3.5-inci di tengah meter analog, unit utama skrin sesentuh lapan-inci dengan Bluetooth, empat pembesar suara, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, pendingin hawa manual, pengunci pintu automatik dengan penderia kelajuan. Untuk aspek keselamatan, White Series turut diberikan aspek keselamatan yang sama dengan Premium Series termasuk dua beg udara, ABS, EBD, ESP, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta cagak Isofix.

    Walau pun ada beberapa persamaan antara White Series dan Premium Series, namun White Series tidak menerima pelindung pintu, plat ambang pintu, cermin gelap, bantuan tailgate dan perakam video digital. Namun sebagai tambahan, waranti bagi White Series ialah tiga-tahun/100,000 km berbanding lima-tahun/150,000 km.

    Selain perbezaan itu, White Series turut diberikan enjin yang sama diesel PUMA 2.0L TDI empat-silinder sebaris dengan variable geometry turbocharger dan intercooler. Penjana kuasa ini boleh menghasilkan 141 PS (139 hp atau 104 kW) pada 3,600 rpm dan tork 340 Nm antara 1,500 hingga 2,600 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan ZF.

    JMC Vigus Pro White Series 4×4 2023 kini di Malaysia – 2.0T dengan 141 PS, 340 Nm; harga dari RM100k

    Manakala sistem pacuan empat roda BorgWarner menawarkan fungsi julat kelajuan rendah untuk penggunaan off-road dan SUV. Sistem ini membolehkan pemandu membuat penukaran antara mod pemanduan dua roda dan empat roda, menawarkan daya cengkaman dan keupayaan off-road yang lebih baik. Pada julat kelajuan rendah, terdapat gear tambahan untuk nisbah gear yang lebih rendah, meningkatkan daya tork dan membolehkan kenderaan menempuhi laluan yang mencabar. Sistem BorgWarner menggunakan kawalan elektronik atau mekanikal untuk mengaktifkan atau memadamkan sistem pacuan empat roda demi prestasi yang lebih diyakini serta memberikan fleksibiliti dalam pelbagai situasi.

    Vigus Pro memiliki ukursan 5,305 mm panjang, 1,905 mm lebar, 1,835 mm tinggi dan jarak roda 3,085 mm. Trak pikap ini mempunyai jejari pusingan sekitar 6.5 meter, jarak kelegaan tanah mencecah 225 mm dan juga berat badan 1,995 kg.

    Angka-Tan Motor juga memperkenalkan warna baharu untuk JMC Vigus Pro Premium Series dengan kemasan luaran Metal Grey baharu, menyertai warna sedia ada Metallic Silver, Stylish Black. Tambahan untuk White Series ialah warna Arctic White. Ia juga menawarkan aksesori tambahan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan seperti penutup jendela gulung (roller shutter) demi kemudahan dan keselamatan kargo. Kanopi juga ditawarkan sebagai pilihan, memberikan kepelbagaian dan perlindungan. Semua aksesori disertakan dengan jaminan selama setahun.

    GALERI: Brosur JMC Vigus Pro 2023

     
     
  • Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Selain dari mendedahkan SUV segmen-B baharu Mitsubishi Xforce di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023, presiden dan CEO Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Takao Kato turut mengesahkan bahawa syarikatnya akan memproduksi dua model elektrik penuh di Indonesia tidak lama lagi.

    Menurut Kato dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi, dua model EV berkenaan adalah kei-EV Mitsubishi eK X EV dan juga kenderaan komersil bersaiz kei-Van iaitu Minicab MiEV. Kedua-dua model berkenaan turut dipamerkan di reruai Mitsubishi sepanjang berlangsungnya GIIAS 2023.

    Bagi eK X EV, ini merupakan kali pertama model berkenaan dipamerkan luar dari Jepun. Jadi sekiranya ia diproduksi di Indonesia kelak, ia bukan sahaja menjadi pasaran luar Jepun pertama menerima model tersebut, malah turut menjadi versi pertama yang dipasang luar dari negara matahari terbit itu.

    Mitsubishi eK X EV dan Minicab MiEV bakal diproduksi secara tempatan dan dijual di Indonesia – CEO MMC

    Menurut Kato, buat masa sekarang MMC sedang menjalankan penyelidikan perintis berkenaan produksi pemasangan Minicab MiEV di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dan produksi tersebut dirancang untuk dimulakan pada tahun fiskal terkini syarikat itu. Beliau turut mengesahkan bahawa pelancaran dan pemasangan tempatan untuk eK X turut akan disusuli selepas itu.

    “Kami akan membuatkan penyelidikan kebolehterimaan dan mendapatkan maklum balas pelanggan sambil kami berusaha ke arah penggunaan EV yang meluas di Indonesia,” kata Kato.

    Mitsubishi eK X EV mula didedahkan di Jepun pada Mei tahun lalu. Model dengan kuasa elektrik ini menampilkan rupa yang sama dengan varian petrol eK X (X disebut sebagai ‘cross’), iaitu versi dengan penggayaan SUV berbanding eK Wagon biasa.

    Model ini digerakkan dengan motor elektrik MM48 yang menghasilkan kuasa 64 PS (63 hp atau 47 kW), iaitu had kuasa maksima yang dibenarkan oleh undang-undang Kei-Car Jepun, sama seperti model-model janaan petrol. Namun motor berkenaan menghasilkan kuasa tork yang agak tinggi iaitu 195 Nm (berbanding hanya 100 Nm pada eK X hybrid dengan enjin 660 cc tiga-silinder turbo dan sistem hibrid) bagi memacu terus roda hadapan.

    Motor tersebut menerima kuasa dari bateri litihium-ion 350-volt, 20 kWj yang diletakkan pada lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 180 km dalam standard WLTC dengan satu cas penuh. Bateri ini memerlukan lapan jam untuk dicas penuh 100% menggunakan pengecas AC 2.9-kW (sambungan Type 1).

    Manakala dengan pengecas 30-kW DC (sambungan CHAdeMO), ia boleh dicas sehingga mencapai 80% dalam hanya 40 minit. eK X ini juga menampilkan sokongan sistem caj dua arah kenderaan-ke-rumah (V2H) serta kenderaan-ke-beban bagi membolehkan eK X EV ini bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ untuk pelbagai peralatan elektrik apabila diperlukan.

    Bagi Minicab MiEV pula, ia sudah lama dijual di Jepun, dibekalkan dengan bateri lithium ion 16 kWj yang memberikan jarak gerak 180 km dalam kitaran WLTC. Ia turut dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 64 PS/195 Nm yang selari dengan undang-undang kei-car Jepun.

    GALERI: Mitsubishi eK X EV di GIIAS 2023

    GALERI: Mitsubishi Minicab MiEV di GIIAS 2023

     
     
  • Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi hari ini mendedahkan SUV segmen-B baharunya yang secara rasmi digelar Xforce ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023. SUV kompak yang direka khas untuk pasaran ASEAN berkenaan merupakan versi produksi untuk model konsep Mitsubishi XFC yang membuat kemunculan sulung di Vietnam Motor Show pada Oktober tahun lalu.

    Model ini dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu Mitsubishi Xforce ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm).

    Namun ia hanya dijana oleh unit rangkaian kuasa seperti model SUV segmen-B aras mula seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V kerana hadir dengan enjin NA 1.5 liter. Enjin yang dimaksudkan adalah unit 4A91 1.5L DOHC Mivec yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Kuasa dari enjin dihantar terus ke kotak gear CVT automatik dan hanya memacu roda hadapan, tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, Mitsubishi menegaskan bahawa Xforce mempunyai kemampuan pemanduan pada laluan lasak yang baik, termasuk ketika waktu banjir yang sinonim di Asia Tenggara.

    Xforce hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya memacu dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

    Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Mitsubishi turut menyatakan bahawa mod Wet merupakan mod yang baru diperkenalkan buat pertama kali menerusi Xforce ini, dan ia akan memberikan prestasi mengambil selekoh dan kestabilan yang lebih baik pada jalan basah ketika hujan, dan mengekalkan kawalan yang baik ketika meredah banjir.

    Untuk suspensi, Xforce diberikan sudut caster hadapan yang lebih besar bagi memberikan kestabilan kelajuan tinggi dan respon stereng lebih baik, serta menggunakan set bushing suspensi belakang yang dipertingkat. Saiz silinder penyerap hentak juga direka besar bagi memberikan kestabilan pada roda stereng serta keselesaan pemanduan walaupun dipandu pada permukaan tidak rata dan lasak, khususnya untuk jalan seperti di rantau ASEAN.

    Mitsubishi turut memberikan set roda bersaiz besar terdiri dari rim berdiameter 18-inci, yang menghasilkan jarak kelegaan 222 mm yang sama seperti Xpander, dan didakwa terbaik dalam kelasnya. Sebagai perbandingan, Honda HR-V hanya menampilkan jarak kelegaan tanah setinggi 196 mm, manakala Corolla Cross pula hanya 161 mm.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Tetapan suspensi dan juga set roda yang besar ini juga membolehkan Xforce mendapat sudut approach dan sudut departure antara yang terbaik dalam kelasnnya, masing-masing 21 dan 30.5 darjah. Ini membolehkan Xforce ‘memanjat’ laluan dengan sudut-sudut yang curam, dan ia juga mudah dikendalikan pada laluan sempit dengan radius pusingan minimum 5.2 meter, yang juga paling kecil dalam kelasnya.

    Untuk kotak gear CVT yang dibekalkan, Mitsubishi menyatakan ia akan memberikan kelajuan maya seperti transmisi automatik konvensional jika pemandu mengerah pedal pendikit sepenuhnya. Namun sekiranya pedal pendikit ditekan secara lembut, kotak gear CVT ini “akan memaksimakan pretasi enjin bagi mencapai penggunaan bahan api lebih efisien serta pemanduan yang senyap unik untuk CVT”, dakwa Mitsubishi.

    Mitsubishi juga menyatakan dengan respon kotak gear CVT pada Xforce ini juga membolehkan ia memanjat bukit tanpa memerah pedal pendikit, dan ia juga memberikan engine braking yang lebih baik ketika menurun bukit, memudahkan lagi tugas pemandu tanpa perlu kerap menekan pedal brek.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Sesuai dengan kebolehannya, Mitsubishi memberikan “rupa elegan sebuah SUV yang bergaya dalam masa yang sama kelihatan lasak” pada Xforce ini, dengan konsep digelar “rakan baik untuk kehidupan yang mengujakan.”

    “SUV kompak ini dibangunkan sebagai jawapan kepada keperluan pemandu di rantau ASEAN dan telah ditala berulang kali di persekitaran jalan raya rantau berkenaan. Kami berharap Xforce serba baharu ini akan menjadi rakan terbaik untuk apa jua pengembaraan yang mahu dimulakan oleh pemandu, memberikan mereka kuasa tambahan untuk bergerak selangkah lebih jauh dan alami pengalaman baharu,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    Seperti juga Xpander yang menerima banyak rekaan sama dengan model konsepnya iaitu XM Concept, rekaan luaran pada Xforce ini juga hampir keseluruhannya diispirasikan dari XFC Concept. Pada bahagian muka Dynamic Shield Xforce ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang agak seiras dengan XFC.

    Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Pada bahagian kabin, Xforce menerima pada pemuka yang direka dengan elemen mendatar. Mitsubishi menyatakan bahawa rekaan ini memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.

    Paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci pula direka seakan bersatu dengan panel pintu menerusi kemasan fabrik melange, menghasilkan rasa yang lebih luas serta memberikan “rasa seperti duduk di ruang tamu”, dakwa Mitsubishi.

    Untuk sistem infotainmen, Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.

    Mitsubishi Xforce didedahkan di Indonesia – SUV segmen-B saingan Honda HR-V, Toyota Corolla Cross

    Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, juga pertama buat Mitsubishi. Sistem ini menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.

    Menurut Mitsubishi, bagi memaksimakan prestasi pembesar suara, pelbagai perkara diambil kira pada kereta, termasuk kadar volum dan kualiti bunyi ditala secara automatik berdasarkan kelajuan kereta. Pemandu turut boleh memilih empat jenis bunyi yang ditawarkan pada sistem bunyi Yamaha ini termasuk Lively, Signature, Powerful dan Relaxing.

    Tempat duduk hadapan Xforce ini menampilkan bahagian bahu yang lebar bagi memberikan lebih keselesaan, dan ia juga direka bagi mengelakkan pergerakan sisi pada badan ketika situasi seperti menukar lorong dan jalan yang tidak rata, “membolehkan penumpang duduk dengan selesa walaupun dalam kesesakan jalan raya”, kata Mitsubishi.

    Manakala untuk tempat duduk belakang, ia menawarkan ruang kaki yang luas serta menawarkan keselesaan walaupun tiga orang penumpang duduk di bahagian tersebut. Tempat duduk belakang ini juga boleh dilaras dalam lapan cara, membolehkan penumpang melaras kedudukan yang ideal dan juga bagi memaksimakan kapasiti ruang kargo.

    Pelbagai kemudahan lain turut dilengkapkan untuk keselesaan penumpang antaranya 15 pemegang botol minuman, penyejuk minuman pada konsol lantai, pengecas telefon pintar tanpa wayar pada konsol tengah, soket pengecas dan juga ruang letak telefon pintar untuk setiap baris tempat duduk.

    Mitsubishi mendakwa Xforce menawarkan ruang lantai pada but belakang dengan keluasan antara yang terbaik dalam kelasnya. Dengan lantai yang boleh dilaras ketinggiannya, serta tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 40/20/40, ruang kargo belakang SUV ini sangat versatil dan masih memberikan keselesaan pada penumpang belakang walaupun sedang membawa muatan kargo yang banyak. Namun kapasiti sebenar but belakang Xforce ini masih belum didedahkan.

    Tidak seperti Xpander yang hanya menawarkan dua beg-udara, Xforce ini pula ditawarkan dengan enam-beg udara. Ia juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCM), lampu Tinggi Automatik (AHB), Pemberitahu Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN), Amaran Titik Buta bersama Bantuan Tukar Lorong, sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan lain-lain.

    Mitsubishi Xforce ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia bakal mula dijual di negara berkenaan tidak lama lagi, dan turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

    Tak mustahil Xforce juga akan dilancarkan di Malaysia, dan mungkin akan dipasang secara pemasangan tempatan memandangkan Xpander juga diproduksi di sini menerusi kilang Hicom Automotive Manufacturers Sdn Bhd yang terletak di Pekan, Pahang.

    Apa pendapat anda? Sekiranya Mitsubishi Xforce ini dilancarkan di Malaysia kelak, adakah ia boleh memberikan cabaran kepada model-model ‘panas’ di pasaran tempatan seperti HR-V, Corolla Cross dan Proton X50?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025