Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Stesen Petronas baharu dibuka di laluan Sungai Dua-Permatang Pauh arah selatan di Lebuhraya PLUS

    Stesen Petronas baharu dibuka di laluan Sungai Dua-Permatang Pauh arah selatan di Lebuhraya PLUS

    PLUS Berhad telah mengumumkan stesen Petronas bakal dibuka di laluan KM131.8 di antara Sungai Dua ke Permatang Pauh (arah selatan), Pulau Pinang. Stesen minyak berkenaan akan beroperasi sepenuhnya mulai esok, 10 Jun 2023, jam 10 pagi.

    Menurut PLUS, pembukaan stesen minyak ini diharapkan dapat memudahkan lagi urusan pengguna lebuhraya terutamanya yang memandu dalam perjalanan jarak jauh.

    Selain mengisi minyak kenderaan mahu pun menambah nilai kad Touch ‘n Go, anda juga boleh berhenti rehat di stesen minyak ini sambil membeli pelbagai juadah yang turut dijual, atau pun solat di surau yang disediakan. Tapi kalau hendak lelapkan mata seketika, seeloknya berhenti di kawasan Hentian Sebelah atau pun R&R berhampiran kerana kebiasaannya ruang parkir di stesen minyak agak terhad.

     
     
  • TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

    TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

    Kita biasa dengar model-model Nissan dengan lencana Z-Tune, R-Tune atau S-Tune iaitu versi istimewa talaan sayap perlumbaan rasminya, Nismo kan? Tapi anda pernahkah anda dengar model Nismo dengan lencana J-Tune seperti Nissan Skyline GT-R R34 yang sedang dipamerkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 ini?

    Kalau anda nak tahu, Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune ini adalah milik Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor (TPJ), dan ia adalah satu-satunya unit R34 J-Tune dalam dunia yang dihasilkan oleh Nismo Omori Factory di Jepun!

    Kereta ini dihasilkan di bawah program Nismo Restored Car, dan R34 J-Tune ini adalah unit pertama dalam dunia yang lahir menerusi program berkenaan. Nama “J-Tune” itu dipilih sendiri oleh Tunku Abdul Rahman untuk diabadikan pada R34 istimewa ini.

    Bagi mereka yang menghantar kereta ke Nismo Omori Factory untuk program ini, Nismo menawarkan khidmat restorasi bagi menjadikan kereta anda seperti baru keluar kilang, serta diberikan pilihan pelbagai pakej tingkat taraf.

    TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

    Jadi ketika R34 ini dihantar ke Omori Factory, Nismo membuka setiap komponen pada kereta berkenaan dan kemudian kerangka kosong tersebut dibaik pulih dan membuang segala karat yang ada. Selepas itu, proses sealing semula pada bahagian tertentu akan dilakukan seperti ia diproduksi dikilang dahulu dan Nismo akan pastikan kerangka berkenaan melepasi ujian ketegaran badan yang telah ditetapkan sebelum ia dicat semula.

    Enjin RB26DETT pada setiap Skyline GT-R yang menyertai program ini akan dileraikan untuk melakukan proses rombak rawat. Pelanggan bukan sahaja boleh memilih untuk menghasilkan semula enjin berkenaan dalam spesifikasi standard, malah turut boleh memilih pelbagai spesfikasi tingkat taraf seperti yang pernah diperkenalkan pada pelbagai model produksi tingkat taraf edisi terhad Nismo.

    Nismo menawarkan pelbagai siri talaan untuk enjin yang dirombak rawat ini seperti N2, N3 dan N4 menampilkan pelbagai angka kuasa dan keupayaan. Namun untuk J-Tune ini, spesifikasinya tidak diperincikan, tetapi ia dinyatakan diberikan talaan kuasa paling tinggi yang ditawarkan oleh Nismo dan kapasiti asal 2.6 liter dipertingkat kepada 2.8 liter.

    TASKL 2023: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor, hasil restorasi dari Nismo

    Selepas kesemua komponen tersebut dipasang, Nismo turut akan membuat ujian dyno statik bagi memastikan kuasa yang dihasilkan adalah optimum mengikut spesifikasi. Tidak cukup dengan itu, ujian prestasi turut dilakukan di litar dengan merekodkan masa lap yang dibuat oleh pemandu profesional.

    Apa yang isitimewa pada J-Tune ini, selain dari plat pada badan yang diberikan nombor siri “001”, Nismo turut meletakkan plat istimewa dengan tertera nama Tunku Abdul Rahman.

    Pada sebelah luar, R34 J-Tune ini hadir dengan kit aero Nismo terdiri dari bonet hadapan, fender hadapan, skirt sisi, dan diffuser belakang yang diperbuat dari gentian karbon. Ia turut diberikan bampar hadapan dari Nismo tetapi ia adalah komponen khas dengan “ukiran” J-Tune pada bahagian tapak plat pendaftaran hadapan.

    Badannya dicat dengan warna putih bersama grafik J-Tune pada bonet hadapan dan fender sisi hadapan, jalur serlahan merah pada bahagian sekeliling bawah badan, serta diberikan emblem J-Tune di belakang. Manakala untuk roda, ia diberikan rim BBS bersaiz 19-inci dengan tayar 275/30ZR19.

    Restorasi dan tingkat taraf turut dibuat pada bahagian kabin. Boleh dilihat papan pemuka telah dibalut semula dengan kulit dan diberikan jahitan benang merah, kerusi hadapan diganti dengan tempat duduk bucket perlumbaan gentian karbon dari Recaro dan disulam dengan logo J-Tune lengkap dengan tali pinggang perlumbaan, tempat duduk belakang dicabut serta dilengkapi dengan roda stereng Nismo balutan kulit dan Alcantara.

    Jadi kalau anda nak tengok kereta yang hanya ada sebuah dalam dunia ini (dan bukan selalu di bawa keluar!), anda boleh datang ke TASKL 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini hingga 11 Jun nanti, dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang hari penganjurannya.

     
     
  • Nissan Almera, X-Trail, Serena, Leaf Tokyo Auto Salon Edition di M’sia – satu unit setiap model untuk dijual

    Nissan Almera, X-Trail, Serena, Leaf Tokyo Auto Salon Edition di M’sia – satu unit setiap model untuk dijual

    Sempena dengan penganjuran acara pertunjukan automotif Tokyo Auto Salon (TAS) Kuala Lumpur 2023 yang telah membuka tirainya mulai hari ini, Nissan menerusi pengedar rasminya Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah memperkenalkan edisi khas TAS yang melibatkan empat modelnya di sini.

    Model terbabit iaitu Almera, Leaf, Serena dan X-Trail, yang dipertontonkan di MITEC ini dilengkapi dengan lencana “Tokyo Auto Salon KL Edition” dan menurut ETCM, hanya satu unit sahaja bagi setiap model dibuka untuk jualan. Jadi, ia berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.

    Bagi Almera TAS KL Edition, ia berdasarkan varian 1.0L Turbo VLT, yang ditawarkan pada harga RM105,888 (lebih RM10k berbanding varian standard VLT). Sedan segmen-B ini menerima sentuhan gaya ‘ala-Shinjuku’ dengan dua-tona warna Storm Grey dengan padanan bumbung hitam. Menyerlahkan lagi imej luarannya dengan menampilkan Tomei Aerokit yang merangkumi spoiler bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler bampar belakang bersama GT Wing.

    Selain itu, ia juga menampilkan gril hadapan hitam berkilat dan roda aloi Nismo 17-inci yang dibaluti tayar Goodyear 215/45. Terdapat juga pelekat kecil “TAS KL Edition” yang ditampal pada wing hadapan dan bahagian but. Untuk bahagian dalamnya pula, Almera TAS KL Edition menerima tempat duduk balutan kulit Nappa hitam dengan jahitan merah. Papan pemuka juga dibaluti dengan material kulit hitam bersama jahitan merah, selain ditampilkan pelindung pemegang pintu “Tango”.

    Model elektrik Leaf juga menerima sentuhan khas TAS KL 2023, menyingkirkan imej ‘kawaii’ (comel), sebaliknya memberikan gaya yang sedikit garang. Ia diserlahkan dengan gaya ‘ala-Akihabara’ bersama dua tona warna Stealth Grey dengan bumbung Super Black dan serlahan merah pada lip hadapan dan skirt sisi. Ia tidak diberikan kit badan khas, namun ditampilkan dengan pelekat TAS KL dan juga pelindung pemegang pintu “Tango”. Leaf TAS KL 2023 ini ditawarkan pada harga RM168,888, sama harga dengan unit Leaf biasa.

    Serena TAS KL Edition pula berasaskan varian tertinggi Premium Highway Star. Unit tunggal TAS KL Edition bagi MPV ini diserlahkan dengan warna luaran Diamond Black dengan bumbung Silver. Imej luarannya tampak lebih garang dengan gaya ‘ala-Ginza’ bersama penampilan kit badan J-Impul Aerokit, roda IMPUL 18-inci dengan tayar 225/40, logo Impul dan pelekat TAS Edition.

    Untuk ruang kabinnya, MPV ini diberikan sentuhan kulit Nappa dengan kombinasi dua tona hitam-burgundy serta pelindung pemegang pintu “Tango”. Serena TAS KL Edition ini ditawarkan pada harga RM172,888, iaitu lebih RM10k berbanding versi asalnya.

    Model keempat dengan sentuhan TAS KL Edition ialah SUV X-Trail yang cukup bergaya ‘ala-Roppongi’, yang diberikan dua tona warna Diamond Black dan bumbung Silver. Menyerlahkan lagi imej sporty SUV ini dengan Tomei Aerokit, gril hadapan hitam berkilat, spoiler bumbung, dan roda aloi Nismo LMX6 18-inci dengan tayar 235/55.

    Untuk kabinnya, ia diberikan tempat duduk balutan kulit Nappa rona maroon, papan pemuka balutan kulit juga rona maroon, pad lutut, pelekat TAS KL dan pelindung pemegang pintu “Tango”. Harganya pula mence ah RM161,888.

    Selain mempamerkan model TAS KL 2023 ini, ETCM turut menjual kelengkapan aksesori dan komponen yang dikeluarkan oleh Impul, Tomei dan Nismo.

     
     
  • TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

    TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

    Hari ini kami bersiaran langsung dari Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sempena berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023. Mungkin ada yang bertanya, apa yang best ada di sini? Nissan Skyline GT-R R32 milik Garage Active dari Jepun ini adalah satu sebabnya.

    Seperti yang anda boleh lihat, R32 yang diberi nama Carbon-R ini bukan hanya disumbat dengan enjin yang begitu berkuasa, malah ia juga dibina semula dengan menampilkan panel-panel badan sepenuhnya yang diperbuat dari bahan ringan gentian karbon!

    Kit badan ini dibina sepenuhnya oleh Garage Active dan ia melibatkan bahagian luaran yang komprehensif terdiri dari bampar hadapan dan belakang, bonet hadapan dan but belakang, cermin sisi, lips spoiler belakang, bumbung, pintu, dan kesemua fender yang telah dilebarkan – pendek kata, tiada langsung panel logam atau plastik pada bahagian luar R32 ini dan kesemuanya telah digantikan dengan panel gentian karbon sebenar.

    TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

    Ini secara tidak langsung mengurangkan berat GT-R R32 berkenaan dari 1,430 kg kepada hanya 1,395 kg, walaupun telah menerima pelbagai lagi kelengkapan ubahsuai. Apa yang lagi menarik, panel-panel karbon berkenaan turut disembur dengan warna ikonik Skyline GT-R iaitu Midnight Purple – atau lebih spesifik Midnight Purple III dari Skyline GT-R R34 – tetapi ia masih mendedahkan dengan jelas corak tenunan gentian karbon tersebut.

    Dalam bonet hadapan, ia tidak lagi menempatkan enjin asal RB26, tetapi dia telah diganti dengan versi yang dibina semula sepenuhnya oleh HKS dikenali dengan dengan nama RB30. Seperti namanya, enjin tersebut masih menampilkan konfigurasi asal enjin siri RB Nissan iaitu enam silinder sebaris, namun kapasitinya telah meningkat dari 2.6 liter kepada 3.0 liter!

    Segala isi perut enjin RB30 tersebut seperti omboh, aci engkol, aci sesondol, injap, spring injap dan sebagainya adalah komponen yang dibina oleh HKS. Dengan digandingkan bersama pengecas turbo HKS75115BB, enjin berkenaan kini bernafas dengan 1,000 hp.

    TASKL 2023: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R; satu badan karbon, RB30, turbo besar pasu!

    GT-R ini masih mengekalkan sistem pacuan semua roda, tetapi transmisinya telah menerima sentuhan semula bagi membolehkan ia menampung kuasa sekitar empat kali ganda dari jumlah asal. Ia menggandingkan kotak gear sequential enam-kelajuan OS-88 dari OS Giken bersama set klac karbon ATS Max. Manakala pada gandar hadapan dan belakang unit-unit LSD asal telah ditukar kepada LSD karbon juga keluaran ATS.

    Untuk suspensi, komponen utama yang digunakan juga dari HKS, menampilkan penyerap hentak HKS Hipermax IV SP Drag. Manakala kesemua ruang roda yang telah dilebarkan menerima set roda yang terdiri dari rim SS-Active RC-V1 bersaiz 1-inci dengan lebar 12-inci, dibalut dengan tayar 295/30/R18.

    Pengaruh jentera lumba jelas kelihatan dalam kabin R32 Carbon-R ini dimana semua upholsteri kulit telah digantikan dengan Alcantara. Tempat duduk belakang telah dicabut keluar manakala tempat duduk hadapan pula diganti dengan kerusi perlumbaan Recaro RMS yang juga diperbuat dari karbon kering.

    Selain itu, roda stereng asal turut telah dicabut bagi digantikan dengan roda stereng “deep dish” dari Renown, manakala barisan meter “tiga beradik” dari Defi diletak pada konsol tengah papan pemuka. Kabin R32 ini turut dilindungi oleh set rollcage yang dibina oleh Garage Active.

    Walaupun ia kelihatan seperti kokpit jentera lumba sebenar, Skyline GT-R R32 Carbon-R ini masih dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Sistem berkenaan adalah kit yang dibangunkan sendiri oleh Garage Active khas untuk R32, digelar sebagai Active R134 Air Conditioner kit.

    Jadi kalau anda nak tengok jentera yang pernah dipamerkan di acara SEMA 2021 di Amerika Syarikat ini, jangan lupa datang ke TASKL yang berlangsung di MITEC bermula hari ini sehingga Ahad, 11 Jun nanti. Ia dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari penganjurannya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRM dan VKY dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRM, telah pun dibuka bidaan sejak 7 Jun lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 11 Jun. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Jun 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, VKY, bidaannya mula dibuka hari ini, 9 Jun. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 13 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Jun 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Jualan Proton naik 40.9% pada Mei 2023 – X50, Exora kekal sebagai model terlaris segmen masing-masing

    Jualan Proton naik 40.9% pada Mei 2023 – X50, Exora kekal sebagai model terlaris segmen masing-masing

    Proton telah mengumumkan bahawa jualannya untuk bulan Mei meningkat semula selepas permulaan yang perlahan pada suku kedua tahun 2023. Menerusi gabungan bagi pasaran domestik dan eksport, pengeluar kereta nasional ini telah menjual sebanyak 13, 268 unit pada bulan lalu, sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 40.9% berbanding bulan April, serta 35.5% lebih tinggi daripada yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi lima bulan pertama tahun ini, Proton telah mencatatkan jualan mencecah 62,970 unit, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 38.9%, sekaligus mencatatkan penumbuhan tertinggi bagi mana-mana jenama dalam pasaran automotif Malaysia.

    Sementara itu, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan meningkat semula sebanyak 32.2% pada bulan Mei, dengan jualan 61,600 unit dan hasilnya, pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 21.5% untuk bulan tersebut dan 20.9% untuk tahun ini.

    Jualan Proton naik 40.9% pada Mei 2023 – X50, Exora kekal sebagai model terlaris segmen masing-masing

    Proton turut berkata, pada bulan lalu juga, pihaknya telah memasuki pasaran eksport baharu iaitu pasaran pertamanya untuk tahun 2023 dan ke-12 secara keseluruhan, dengan memasarkan SUV X70 dan X50 di Mozambique.

    Selain memasuki pasaran baharu, bulan Mei juga merupakan bulan terbaik untuk jualan eksport setakat ini untuk tahun 2023 dengan 217 unit dihantar kepada pengedar antarabangsa, yang didahului oleh model Saga. Sorotan pasaran eksport lain untuk bulan itu termasuk jualan 50 unit di Brunei, yang merupakan bulan jualan terbaik di pasarannya, melebihi 43 unit yang dijual pada bulan April 2021

    Bagi jualan keseluruhan, Saga turut mengekalkan kedudukannya sebagai model terlaris dengan 5,819 unit terjual pada bulan Mei. Pencapaian itu meletakkannya di tempat kedua secara keseluruhan untuk sedan segmen A dengan 27,214 unit terjual setakat ini, peningkatan yang luar biasa sebanyak 51% berbanding tahun sebelumnya.

    Tambah Proton, terdapat tiga modelnya yang masih menerajui jualan keseluruhan segmen iaitu
    X50 yang terus mendahului segmen-B dan keseluruhan SUV dengan 2,801 unit terjual pada bulan Mei. Selain itu, Persona pula kekal di tangga teratas sedan segmen-B, walaupun is menduduki tempat kedua untuk jualan dengan 2,290 unit. Manakala MPV Exora pula mencapai 440 jualan untuk kekal di tangga teratas pasaran MPV segmen-C.

    Pertumbuhan jualan YTD bagi tiga peneraju segmen ialah 31% untuk X50, Persona mencapai 78% dan 39% bagi Exora, membuktikan permintaan untuk model Proton kekal kukuh walaupun ada saingan daripada pesaing baharu. Selain itu, Iriz pula mencatatkan jualan sebanyak 732 unit pada bulan lalu, sekaligus membantu Proton mencapai peningkatan sebanyak 47% dalam jualan YTD.

    Bagi X70 pula, ia telah mencatatkan jualan sebanyak 929 unit pada Mei lalu, manakala X90 yang serba baharu menamatkan tiga minggu pertamanya dengan 257 unit terjual, yang meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran SUV segmen-D.

    Jualan Proton naik 40.9% pada Mei 2023 – X50, Exora kekal sebagai model terlaris segmen masing-masing

    “Bulan Mei tidak dapat dilupakan oleh Proton bukan sahaja dari segi pencapaian jualan tetapi juga kerana kami melancarkan Proton X90 dan meraikan ulang tahun ke-40 pada bulan yang sama. Kami berasa rendah diri dengan angka yang dipaparkan dan peningkatan 40% dalam jualan adalah ganjaran yang adil untuk usaha kami, tetapi masih ada tujuh bulan lagi bagi tahun 2023 dan syarikat sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak lagi.

    “Syarikat juga akan mengadakan lebih banyak pelancaran produk baharu dan memperkenalkan kemas kini kepada model kami yang sedia ada serta membuat penampilan pertama kami dalam pasaran EV melalui anak syarikat kami Pro-Net, jadi terdapat banyak aktiviti untuk sepanjang tahun 2023,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

     
     
  • Volvo EX30 diperkenalkan di Eropah – SUV elektrik dengan kuasa sehingga 422 hp, jarak gerak 480 km

    Volvo EX30 diperkenalkan di Eropah – SUV elektrik dengan kuasa sehingga 422 hp, jarak gerak 480 km

    Awal hari ini Volvo secara rasminya telah mendedahkan Volvo EX30 di Milan, di mana ia adalah model elektrik penuh kedua jenama itu (selepas EX90), yang tidak didatangkan bersama padanan enjin pembakaran dalaman (seperti XC40).

    Ukuran sebenar kenderaan terkecil Volvo itu tidak didedahkan, tetapi jika mengikut laporan sebelum ini, EX30 mencatat panjang 4,233 mm, lebar 1,837 mm dan tinggi 1,55) mm. Jarak roda pula adalah 2,650 mm.

    Rekaan EX30 ini memang mengikut konsep Volvo sekarang, dengan terdapat lampu hadapan Thor’s Hammer, lengkuk roda yang jelas serta lampu belakang terbahagi dua. Lima warna luaran ditawarkan, termasuk Cloud Blue dan Moss Yellow.

    Bagi memastikan pembeli dapat menyesuaikan diri mereka dengan EX30 baru ini, Volvo telah menyediakan tiga variasi penggerak, bermula dengan tetapan satu motor dan bateri lithium iron phosphate (LFP), yang mampu menghasilkan 268 hp (272 PS). Ini adalah untuk mereka yang tidak memerlukan jarak gerak jauh.

    Bagi yang mahukan lebih jarak gerak, mereka boleh mendapatkan versi Single Motor Extended Range, yang datang dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC), dan dipadankan dengan motor 268 hp yang sama. Melalui tetapan ini, pengguna boleh mencatat jarak perjalanan sehingga 480 km dengan sekali cas.

    Pilihan ketiga adalah Twin Motor Performance, yang menggunakan bateri NMC sama, tetapi dipadankan bersama dua motor elektrik. Tetapan ini dapat menghasilkan 422 hp (315 kW, or 428 PS) dan ia dapat diagihkan kepada semua tayar (AWD), seterusnya membawa kenderaan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat.

    Volvo EX30 diperkenalkan di Eropah – SUV elektrik dengan kuasa sehingga 422 hp, jarak gerak 480 km

    Berkenaan pengecasan, selain pengecas 11 kW AC yang diberikan secara standard, EX30 versi asas boleh menerima pengecasan pantas sehingga 134 kW, manakala versi Twin Motor boleh menerima input DC sehingga 153 kW (10-80% dalam masa lebih sedikit daripada 25 minit. Tahap pengecasan, ampere serta bila untuk mula cas boleh ditetapkan melalui skrin di papan pemuka dan juga aplikasi khas.

    Masuk ke dalam, EX30 menggunakan rekaan papan pemuka ringkas yang mempunyai corong pendingin hawa menegak, sementara di bahagian tengah tersergam skrin sesentuh 12.3 inci yang memberikan kawalan kepada semua fungsi kenderaan sambil memaparkan informasi penting lain.

    Sistem infotainmen kenderaan ini menggunakan Snapdragon Cockpit Platform (dengan sokongan 5G) dan perisian yang berasaskan Android Automotive Operating System (AAOS). Ini bermakna, ia juga datang dengan servis Google seperti Google Assistant dan Google Maps. Pengguna produk Apple masih tidak dilupakan kerana EX30 adalah model Volvo pertama yang diperlengkap dengan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Ciri simpanan serba boleh diketengahkan pada model ini, dan ia boleh dilihat melalui konsol tengah yang mempunyai sistem lungsur, jadi pemilik boleh memilih bagaimana mereka mahu menggunakan ruang tersebut. Penumpang belakang pula boleh meletakkan telefon mereka di poket khas yang terdapat pada bahagian belakang tempat duduk hadapan, sementara pada konsol tengah terdapat satu lagi bahagian yang boleh dilungsur ke belakang.

    Selain lampu suasana pelbagai warna, EX30 juga datang dengan fungsi kunci digital yang boleh disambungkan kepada pelbagai jenis telefon. Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, model ini didatangkan dengan Park Pilot Assist yang boleh digunakan untuk pelbagai keadaan apabila meletakkan kenderaan.

    Berkenaan harga, Volvo memberitahu, EX30 akan dijual di Eropah pada harga bermula 36,000 euro (RM177,350) dan juga boleh digunakan melalui pakej langganan yang bermula pada harga 599 euro (RM2,950) sebulan. Satu lagi yang menarik, pada tahun hadapan, EX30 akan ditawarkan dalam versi Cross Country dengan kemasan berkonsepkan lasak.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia sertai Tokyo Auto Salon KL 2023, pamer Xpander dan Triton yang diubahsuai

    Mitsubishi Motors Malaysia sertai Tokyo Auto Salon KL 2023, pamer Xpander dan Triton yang diubahsuai

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa ia akan turut serta dalam acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula esok hingga 11 Jun nanti. Dalam acara berkenaan, reruai MMM akan mempamerkan dua buah kenderaan ubahsuai iaitu sebuah trak pikap Triton dan juga sebuah MPV Xpander.

    MMM tidak menyatakan spesifikasi ubahsuai bagi kedua-dua kenderaan tersebut, namun untuk anda yang berminat untuk melihatnya bolehlah datang ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia yang terletak di Dewan 3, Lot C301 yang berada di Tingkat 1 MITEC.

    Mitsubishi Motors Malaysia sertai Tokyo Auto Salon KL 2023, pamer Xpander dan Triton yang diubahsuai

    Antara aktiviti yang boleh anda sertai di reruai MMM ini termasuk sesi pandu uji Triton dan Xpander, di mana pengunjung yang mengambil bahagian akan menerima cenderamata Mitsubishi, serta berpeluang untuk meyertai cabutan bertuah yang menyediakan hadiah berupa pin isi semula Touch N Go bernilai RM300 setiap satu, untuk lima individu bertuah.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung di dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi yang akan mula dibuka pada pukul 10 pagi esok, dan berakhir pada pukul 10 malam setiap hari sepanjang penganjurannya. Tiket sudah boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web rasmi TASKL, atau anda boleh terus membelinya di kaunter yang disediakan di MITEC esok.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Dengkil arah utara, Seremban arah selatan ditutup sementara untuk diselenggara

    Bagi pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Berhad telah mengumumkan penutupan sementara stesen Petronas di R&R Dengkil (arah utara) dan R&R Seremban (arah selatan) bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran.

    Menurut PLUS, stesen Petronas di R&R Dengkil (arah utara) ditutup mulai hari ini (8 Jun) sehingga 16 April 2023. Manakala stesen Petronas di R&R Seremban (arah selatan) juga ditutup hari ini sehingga jam 3 pagi esok (9 Jun).

    Penutupan sementara ini hanya melibatkan stesen Petronas sahaja dan bukannya keseluruhan kawasan R&R berkenaan. Di mana medan selera, tandas, surau dan kemudahan lain di R&R berkenaan masih beroperasi seperti sedia kala.

     
     
  • Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

    Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

    Model kembar kepada Perodua Aruz dan Toyota Rush, iaitu Daihatsu Terios kini diberikan facelift untuk pasaran Indonesia. MPV tujuh tempat duduk ini pertama kali diperkenalkan di negara itu pada tahun 2017 dan pembaharuan ini sememangnya ditunggu-tunggu.

    Memandangkan acara pelancarannya baru sahaja berlaku, gambar yang kami sertakan ini adalah tangkap layar daripada siaran langsung yang dibuat, dan melaluinya anda boleh melihat ia sekarang menggunakan gril atas lebih nipis serta lampu dengan bahagian dalam smoked. Pembahagian antara lapisan gril di tengah juga dijadikan lebih jelas manakala bahagian bawah menggunakan warna perak.

    Bersama bampar baru ini, perumah untuk lampu kabus juga telah dibentukkan semula dan diletakkan betul-betul di bucu, dengan jalur LED menegak di tepi lampu kabus berbentuk bulat. Bagi varian R, ia mendapat jalur warna merah pada bahagian gril atas, serta kemasan plastik hitam dan krom di bahagian tepi kenderaan.

    Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

    Rekaan rim juga adalah baru – bersaiz 17 inci dengan warna dua tona pada varian R Custom, dan 17 inci gunmetal bagi pakej ADS – boleh ditambah kepada varian asas X dan R (pertengahan). Pakej ADS ini boleh dianggap sebagai pakej kemasan krom dan rim seperti GearUp oleh Perodua. Ia boleh dikenali secara mudah dengan melihat gril atas berwarna krom serta rim kelabu.

    Pada bahagian dalam, Terios sekarang datang dengan tema serba gelap – tempat duduk kombinasi kulit, panel pintu serta lapik bumbung hitam. Tempat duduknya mempunyai jalur merah di bahagian tengah dan beberapa bahagian lain turut menggunakan jahitan merah bagi menampakkan ciri sporty. Varian R Custom turut mendapat pelapik lembut di bahagian papan pemuka bertentangan penumpang hadapan, serta perehat tangan di pintu. Varian ini juga datang dengan pengecas tanpa wayar serta fungsi mirroring kepada telefon.

    Untuk ciri keselamatan, Terios facelift pasaran Indonesia kini datang dengan enam beg udara dan VSC masih dikekalkan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021. Secara keseluruhannya ada pilihan enam warna untuk Terios facelift ini, termasuk dua warna baru iaitu Silver Metallic dan Greenish Gun Metal.

    Daihatsu Terios facelift 2023 dilancar untuk Indonesia

    Tiada perubahan mekanikal dibuat, dan model ini masih dipacu oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter Dual VVT-i dengan kuasa 104 PS dan 136 Nm. Kesemua varian boleh didapati dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Harga bermula Rp 236,050,000 (RM73,146) untuk X MT dan pergi sehingga Rp 303,250,000 (RM93,970) untuk R Custom AT. Pakej ADS boleh ditambah kepada varian X dan R pada harga Rp 10 juta (RM3,100).

    Jadi apa pendapat anda dengan Terios facelift ini? Adakah patut Perodua Aruz juga diberikan pembaharuan sama? Sejak dilancarkan pada Januari 2019, Aruz masih kekal sama dan hanya diberi sedikit peningkatan kelengkapan pada tahun 2021. Versi facelift mungkin akan keluar tidak lama lagi, tapi ia mungkin tidak akan kelihatan seperti Terios ini kerana Perodua mempunyai konsep rekaannya sendiri.

     
     
  • BMW R18 100 Years Edition tiba di Malaysia – harga RM159,900, kemasan istimewa, hanya 10 unit

    BMW R18 100 Years Edition tiba di Malaysia – harga RM159,900, kemasan istimewa, hanya 10 unit

    Hujung tahun lalu, BMW Motorrad telah memperkenalkan R nineT 100 Years, yang dibuat untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-100. Kini, model tersebut sudah tiba di Malaysia, dengan harga jualan RM159,900 tidak termasuk insurans.

    Model ini dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 1,923 unit untuk seluruh dunia, dan hanya 10 akan tiba di Malaysia. Nombor 1923 itu digunakan oleh BMW sebagai memperingati tahun BMW Motorrad mula mengeluarkan motosikal untuk pasaran.

    Keistimewaan model ini terletak pada kemasan, bermula dengan penampilan yang menggunakan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih dan lencana “100 Years.” Konsep warna ini digunakan pada seluruh motosikal termasuk fender hadapan dan belakang, serta panel tepi.

    Kemudiannya ia ditambah dengan tempat duduk Option 719, yang berwarna hitam/oxblood dan mempunyai jahitan timbul bercorak berlian. Bahagian utama enjin diwarnakan hitam Axus Black, sebagai peringatan kepada litar lumba legenda di Berlin, tempat BMW Motorrad pernah mencatat kegemilangan pada zaman dahulu.

    Kemasan krom turut digunakan untuk menyerlahkan motosikal ini, termasuk pada bahagian pemegang, penukar gear, pedal brek, hujung pemegang, cermin sisi, takung minyak brek dan klac, angkup brek, penutup head enjin, penutup enjin utama serta intake manifold.

    Melengkapkan ciri istimewa R18 100 Years ini adalah ekzos Akrapovic dengan hujungnya terdapat penutup yang berbentuk kipas, seperti logo BMW. Barangan standard yang diberi pada motosikal ini adalah termasuk lampu membelok adaptif, pembantu undur, cruise control serta pemanas tangan.

     
     
  • Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 dilancar di M’sia – sedan EV dengan 687 PS/ 1,000 Nm, dari RM650k

    Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 dilancar di M’sia – sedan EV dengan 687 PS/ 1,000 Nm, dari RM650k
    Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memperkenalkan sedan elektrik Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 untuk pasaran tempatan. Pengenalan varian sedan elektrik penuh ini adalah selepas model standard EQE iaitu EQE 350+ dilancarkan di negara kita pada Disember lalu. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM649,888 tanpa insurans.

    Varian tunggal EV bagi EQE ini didatangkan dengan sistem pacuan empat-roda dengan motor elektrik yang ditempatkan pada setiap gandar. Ia mampu memberikan keseluruhan sistem outpun mencecah 625 hp atau 460 kW dan tork 950 Nm. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 220 km/j.

    Walau bagaimana pun, jika dirasakan kuasa tersebut belum cukup padu, dan inginkan prestasi yang lebih menguja, pengeluar kereta ini turut menawarkan pakej pilihan AMG Dynamic Plus yang mampu meningkatkan lonjakan kuasa hingga 687 PS (677 hp atau 505 kW) dan tork 1,000 Nm, dengan pecutan dari titik pegun ke 100 km/j kurang dua saat berbanding unit tanpa AMG Dynamic Plus dan kelajuan maksimum mampu dicapai mencecah 240 km/j.

    Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 dilancar di M’sia – sedan EV dengan 687 PS/ 1,000 Nm, dari RM650k

    EQE 53 4Matic+ dengan pakej AMG Dynamic Plus hanya boleh mendapatkan jumlah kuasa yang padu itu apabila sistem AMG Dynamic Select ditetapkan ke mod Race Start dengan mengaktifkan fungsi boost. Jika menggunakan Race Start tanpa fungsi boost dan mod Sport+, anda cuma mendapat kuasa sebanyak 460 kW sahaja. Mercedes-AMG juga berkata dengan mod Sport, Comfort dan Slippery, pemandu boleh mendapatkan jumlah keseluruhan kuasa masing-masing 90%, 85% dan 50%, dan ini diaplikasikan untuk kedua-dua varian.

    Model EV EQE ini turut menampilkan bateri lithium-ion 328-voltan dengan kapasiti tenaga 90.6 kWh. Mengikut standard WLTP, EQE 53 4Matic+ ini mampu menawarkan jarak pacuan antara 458 km hingga 527 km. Malahan ia juga dikatakan mampu memberikan penjimatan pacuan elektrik antara 22.7–20.2 kWh bagi setiap 100 km.

    Bateri boleh dicas menerusi pengecas onboard AC (sambungan Type 2) sama ada yang berkapasiti 11 kW atau 22 kW (dengan tambahan kos) yang mengambil masa pengecasan penuh selama 9 jam 15 minit. Selain itu, ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (sambungan CCS) sehingga 170 kW, dengan tahap 180 km boleh dicas dalam tempoh 32 minit.

    Mercedes-AMG EQE53 4Matic+ 2023 dilancar di M’sia – sedan EV dengan 687 PS/ 1,000 Nm, dari RM650k

    Jentera AMG EQE ini juga mempunyai kuasa pemulihan tenaga hingga 260 kW, yang boleh dilaras oleh pemandu dengan dua fasa sama ada menerusi suis pada roda stereng, one-pedal driving dan kombinasi brek hingga ke pegun bagi sesetengah mod pemanduan.

    Sistem pemanduan lain yang turut diberikan termasuklah suspensi udara AMG Ride Control+ dengan peredam boleh laras adaptif, yang bukan sahaja menyalurkan dinamik pemanduan, bahkan boleh melaras ketinggian pengendalian untuk memaksimumkan kecekapan bergantung pada program pemanduan terpilih.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem AMG Sound Experience yang mampu menghasilkan bunyi yang mempersona berdasarkan pemilihan profil spesifik – Authentic, Balanced, Sport dan Powerful. Jika inginkan bunyi yang lebih padu, profil Performance hanya didatangkan dengan pakej AMG Dynamic Plus.

    Untuk imej luarannya pula, ia juga menerima sentuhan gaya yang sangat menyerlah dan mempersona yang ditampilkan dengan gril panel hitam spesifik-AMG dengan palang menegak dalam rona krom, disepadukan dengan bintang Mercedes-Benz dan perkataan AMG. Ia juga dipadankan dengan roda aloi pelbagai-jejari AMG 21-inci dalam kemasan matt black dan brek kaliper merah.

    Selain itu, ia diberikan lampu utama Digital Light secara standard dan menampilkan unit projektor AMG apabila pemandu membuka dan menutup kunci kenderaan. Rekaan A-wing pada bahagian hadapan mirip dengan model biasa EQE dan ia dihiasi kemasan hitam berkilat dan krom serta splitter. Panel ambang sisi AMG dalam rona hitam berkilat juga diberikan, sementara bahagian belakangnya dilengkapi diffuser yang dioptimumkan secara aerodinamik serta spoiler belakang yang menyerlah.

    Di dalamnya, ia diberikan tempat duduk AMG dengan kombinasi kulit Artico dan upholstery gentian mikro Microcut, bersama jahitan merah, manakala kulit Nappa sebagai pilihan. Lencana AMG juga ditampilkan pada roda stereng, pedal dan alas lantai AMG Performance.

     
     
  • Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

    Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

    Selepas didedahkan pada September 2021 menerusi Munish Motor Show, akhirnya Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 tiba di pasaran negara kita. Malahan ia menjadi model kenderaan elektrik penuh pertama di bawah payung Mercedes-AMG. Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+ 2023 ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM798,888 tanpa insurans.

    Seperti model biasa EQS yang diperkenalkan pada April 2021, model EV bagi AMG EQS ini juga didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ sepenuhnya, hasil janaan dua motor elektrik diletakkan pada setiap gandar. Dalam bentuk asas, keseluruhan output bagi e-motor ini berjumlah 658 hp atau 484 kW dan tork 950 Nm, di mana ia lebih padu daripada yang dihasilkan oleh EQS 580 4Matic dengan hanya 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 855 Nm.

    Walau bagaimana pun, EQS 53 4Matic+ menawarkan kuasa pendikitan yang lebih padu, mengambil masa sekitar 3.8 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j berbanding EQS 580 4Matic dengan 4.3 saat. Malahan kelajuan maksimumnya juga sedikit tinggi iaitu 220 km/j berbanding 210 km/j.

    Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

    Bagi mendapatkan daya tarikan atau traction yang lebih optimum, sistem pacuan semua-roda ini akan berterusan memantau situasi permanduan (tork diperiksa 10,000 kali setiap minit) dan pengedaran tork bagi antara gandar. Dalam mod Comfort, sistem menyasarkan penjimatan yang paling maksima, tetapi dengan Sport dan Sport+, pacuannya lebih besar pada bahagian bekakang untuk “sisi dinamik yang lebih terbaik”.

    Jika anda mahukan lebih biasa, jenama ini juga menawarkan pakej AMG Dynamic Plus dengan ledakan kuasa yang lebih padu mencecah 761 hp atau 560 kW) dan 1,020 Nm, dan turut diberikan mod Race Start dengan fungsi boost. Di mana pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 3.4 saat dan kelajuan maksimum mampu cecah 250 km/j.

    Menurut Mercedes-AMG, output yang padu datangnya daripada e-motor spesifik untuk model ini dengan menampilkan winding baharu, arus yang lebih kuat dan penggerak baharu dengan perisian khas yang dibangunkan. Selain itu, syarikat ini turut mengimplementasikan konsep terma yang lebih mantap untuk memastikan prestasi lebih konsisten dengan kemuncak yang dipanggil “water lance” untuk menyejukkannya dalam aci pemutar (shaft of rotor).

    Terdapat juga penyejuk minyak transmisi tambahan yang bukan sahaja memastikan transmisi sejuk semasa pemanduan hardcore, tetapi juga memanaskan cecair jika diperlukan semasa pemanduan sejuk.

    Selain menyalurkan kuasa, sistem pacuan juga menawarkan pemulihan tenaga sehingga 300 kW apabila membrek, dengan pemandu dapat melaraskan tahap pemulihan. Terdapat tiga peringkat yang boleh dipilih melalui suis pada stereng, dan dengan pilihan Drive Pilot, nyahpecutan bertindak secara automatik sebagai tindak balas kepada kenderaan yang dikesan di hadapan sehingga ia terhenti, seperti ketika menghampiri lampu isyarat.

    Di mana tenaga yang dipulihkan akan dikembalikan kepada bateri lithium-ion 107.8-kWh dengan kuasa 400-voltan, yang menggunakan kandungan cobalt kurang 10%. Walaupun kandungan tenaga boleh guna adalah sama dengan EQS 580 4Matic, model AMG mendapat pendawaian khusus untuk menyokong keupayaan prestasi tingginya, yang mengikut mod pacuan yang dipilih.

    Mercedes-AMG EQS53 4Matic+ 2023 di M’sia – EV pertama famili AMG, 761 hp/1,020 Nm; dari RM799k

    AMG EQS turut diberikan pengecas onboard AC 11 kW, yang boleh dinaiktaraf hingga unit 22 kW. Ia mengambil masa sekitar 11 jam 15 minit untuk pengecasan penuh jika menggunakan unit AC. Selain itu, ia turut menyokong pengecas pantas DC sehingga 200 kW, yang mampu megecas untuk jarak pacuan sehingga 300 km dalam 15 minit. Dengan pengecasan penuh, ia mampu memberikan jarak pacuan antara 513 km hingga 571 km mengikut kadar WLTP, kurang berbanding EQS 580 4Matic yang mampu memberikan 676 km.

    Lain-lain ciri yang lebih kurang sama dengan model standard ialah larasan suspensi four-link pada bahagian hadapan dan multi-link untuk belakang, namun AMG EQS menerima sistem AMG Ride Control+ yang menggabungkan suspensi udara dengan adaptif dan peredam kawalan elektronik.

    Turut disertakan ialah stereng gandar belakang sehingga sembilan darjah, meningkatkan ketangkasan dan pusingan yang lebih ketara untuk sedan besar ini. Ia beroperasi pada kelajuan di bawah 60 km/j, kemudian roda belakang akan menghala ke arah yang sama dengan roda hadapan untuk jarak roda yang dilanjutkan.

    AMG EQS turut dilengkapi sistem brek dengan cakera 415 mm dan kaliper enam-omboh di hadapan, dan di belakang diberikan cakera 378 mm dan kaliper omboh-tunggal. Ia turut ditawarkan dengan pakej seramik, di mana cakera depan dipertingkatkan ke diameter 440 mm.

    Untuk aspek rekaannya, EQS 53 4Matic+ agak mirip dengan EQS biasa tetapi diberikan pakej AMG Line, yang membuatkannya lebih terserlah. Di hadapannya, rekaan Panamericana ditampilkan pada gril panel hitam, dengan perkataan AMG, sementara fender hadapan diberikan lencana 4Matic+. Ia turut diberikan sistem pencahayaan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

    Selain itu, ia juga diberikan splitter hadapan, corong udara pada bampar, panel ambang sisi AMG, bumbung suria gelangsang panoramik, diffuser belakang dengan enam sirip, spoiler belakang bersaiz besar, serta roda aloi-ringan cross-spoke AMG 21-inci.

    Di dalamnya pula, tempat duduk AMG dengan grafik individu ditampilkan bersama balutan kulit Artico, gentian mikro Microcut dan jahitan kontras merah. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa untuk balutan tempat duduk. Lain-lain ciri yang turut diberikan termasuklah roda stereng prestasi AMG, bersama pedal sport, alas lantai dan kemasan ambang pintu dengan pakej AMG.

    Ia juga masih diberikan Mercedes-Benz User Experience Hyperscreen (MBUX Hyperscreen) daengan tiga skrin ditempatkan merentasi papan pemuka, selain mod pemanduan AMG Dynamic Select , paparan OLED untuk penumpang hadapan, sistem multimedia MBUX, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengimbas cap jari dan sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D.

    Pemandu juga boleh memilih dua versi bagi AMG Sound ExperienceAuthentic dan Performance (ditawarkan dengan AMG Dynamic Plus) – untuk menghasilkan bunyi yang diingini mengikut status pemanduan semasa.

    Untuk aspek keselamatan, ia lengkap dengan pakej Driving Assistance Plus yang merangkumi Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive manoeuvre support,PRE-SAFE® impulse side, penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong, pakej parkir dengan fungsi Remote Parking, kamera 360°, dan Active Parking Assist.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Selepas sekitar lapan bulan Ford Ranger Raptor generasi baharu dengan enjin petrol EcoBoost 3.0 liter V6 Twin Turbo diperkenalkan di Malaysia, kini tiba masa varian lebih mampu milik trak pikap prestasi berkenaan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan – ini dia Ford Ranger Raptor 2023 dengan enjin 2.0L Turbodiesel!

    Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM248,888 dan ia lebih murah berbanding versi petrol V6 yang dijual pada harga RM259,888. Sama seperti versi petrol, Ranger Raptor turbodiesel ini turut dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana sampai dulu.

    Istimewa untuk 300 pelanggan pertama bagi Ranger Raptor Turbodiesel 2023 ini, pengedar Ford di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion menawarkan pemasangan dashcam GPS tanpa wayar Kenwood DRV-A700W WQHD dual channel secara percuma, bersama diskaun RM500 untuk program Ford Ranger Gateway.

    Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Enjin yang dibekalkan pada Ranger Raptor diesel 2023 ini adalah sama dengan model generasi terdahulu, iaitu unit EcoBlue 2.0 liter empat silinder yang disuap dengan dua buah pengecas turbo. Ia menghasilkan kuasa 210 PS pada takat 3,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,750 hingga 2,000 rpm.

    Sebagai perbandingan, versi yang dijana oleh enjin EcoBoost V6 menghasilkan kuasa maksima 397 PS pada takat 5,650 rpm dan tork maksima 583 Nm pada takat 3,500 rpm. Model turbodiesel pasaran Malaysia ini juga sebenarnya hanya sedikit kurang berkuasa dari versi EcoBoost V6 pasaran Eropah yang hanya ditala menghasilkan 288 PS dan tork maksima 491 Nm kerana undang-undang emisi lebih ketat di benua berkenaan.

    Versi dengan enjin Bi-turbodiesel ini juga, tidak diberikan sistem ekzos dengan injap aktif yang boleh mengawal bunyi. Jadi ia tidak ada mod Quiet yang memberikan bunyi enjin senyap dan juga bunyi lebih garang dan agresif pada mod Sport dan Baja – hanya bunyi sebuah enjin diesel biasa keluar dari corong ekzos.

    Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Kotak gear yang dibekalkan pada versi turbodiesel ini adalah sama dengan versi Ecoboost turbo dan model generasi terdahulu, iaitu transmisi automatik 10-kelajuan automatik dengan mod manual SelectShift. Ia turut menampilkan sistem pacuan 4X4 dengan gear 4A, 2H, 4H dan 4L, kesemuanya boleh ditukar ketika trak pikap ini sedang bergerak menerusi sistem Electronic Shift-On-the-Fly (ESOF).

    Gandar belakang trak pikap ini diberikan differential yang boleh dikunci secara elektronik, tetapi tiada LSD diberikan pada gandar hadapan seperti model petrol Turbo V6. Manakala mod pemanduan untuk permukaan jalan tar dan off-road masih disertakan – tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Slippery untuk jalan raya biasa, manakala untuk pemanduan off-road pula ia menampilkan mod Rock Crawl (cengkaman dan momentum maksima pada permukaan licin),Sand, Mud dan Ruts, serta mod “perlumbaan rali padang pasir” iaitu Baja.

    Ranger Raptor turbodiesel ini juga masih berkongsi sistem suspensi yang hampir sama dengan versi EcoBoost V6. Berbanding Ranger biasa, suspensi untuk Ranger Raptor ini adalah direka semula sepenuhnya, menampilkan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

    Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran. Walau bagaimanapun, penyerap hentak untuk versi diesel ini tidak diberikan injap aktif seperti pada model EcoBoost V6..

    Dengan sistem Bottom-Out Control yang progresif dari Fox, Ranger Raptor kini lebih stabil pada permukaan jalan tar. Sistem berkenaan akan memberikan daya menyerap hentak maksimum pada bahagian pergerakan 25% terakhir suspensi berkenaan, dan dapat mengelakkan bahagian belakang menjadi mendap ketika melakukan pecutan mendadak.

    Set roda untuk versi turbodiesel ini juga masih sama, menampilkan set rim 17-inci dan dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich KO2 bersaiz 285/70R17.

    Pada sebelah luar agak sukar untuk membezakan rupa model diesel ini dengan model petrol V6. Ini kerana kedua-duanya menampilkan kit Raptor yang sama terdiri dari lampu hadapan dengan teknologi LED Matrix jalur LED berbentuk-C bersama fungsi auto levelling, cermin sisi kawalan berkuasa dengan lampu puddle tulisan “FORD” pada gril hadapan serta fender flare yang lebih lebar untuk setiap ruang roda.

    Cara mudah untuk membezakan anatar model petrol dan diesel adalah pada bahagian tip ekzos – model V6 Ecoboost menampilkan dua tip ekzos yang keluar pada kira dan kanan, manakala model turbodiesel ini pula hanya diberikan tip ekzos tunggal pada sebelah kiri yang menghala ke bawah.

    Perincian istimewa lain yang turut dipadankan pada Ranger Raptor ini termasuk lampu belakang LED, pemijak sisi aluminium dengan logo Raptor serta plat pelindung bawah badan yang diperbuat dari logam berkekuatan tinggi setebal 2.3 mm.

    Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbodiesel 2023 dilancar di Malaysia – RM249k, 210 PS/500 Nm, suspensi Fox

    Plat pelindung berkenaan berfungsi untuk memberi perlindungan kepada komponen penting seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, takung minyak pelincir enjin dan juga differential hadapan ketika ia meredah laluan lasak.

    Perincian dalam kabin antara model diesel dengan petrol juga serupa di mana Ranger Raptor menerima paparan instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.4-inci, roda stereng sport balutan kulit dengan penanda pukul 12 kemasan oren dan logo Raptor di bawah, pedal penukar gear magnesium dan tombol gear elektronik.

    Tempat duduk hadapan Ranger Raptor ini direka dengan inspirasi dari jet pejuang F22, dan ia boleh dilaras secara elektrik dengan 10-hala untuk bahagian pemandu, serta manual 10-hala pada bahagian penumpang hadapan. Trak pikap ini diberikan sistem pendingin hawa automatik dua-zon.

    Manakala untuk sistem infotainmen, Ranger Raptor diberikan skrin sesentuh 12-inci yang diposisikan secara menegak, dengan hubungan SYNC 4A (Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar diberikan standard), bersama sistem bunyi dari Bang & Olufsen dengan lapan pembesar suara. Kabin trak pikap ini juga dilengkapi dengan lampu suasana serta empat slot pengecas USB dan pengecas tanpa wayar Q.

    Bagi sistem keselamatan pula, Ranger Raptor 2023 petrol dan diesel pasaran Malaysia ini diberikan tujuh-beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, pemantau tekanan angin tayar dan kamera pemantau 360-darjah.

    Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan seperti cruise control adaptif dengan fungsi Stop & Go ketika trafik sesak, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran titik buta dengan amaran dan bantuan brek lintasan trafik belakang, bantuan brek mengundur, bantuan stereng untuk mengelak dan bantuan parkir aktif serta tujuh-beg udara.

    Walaupun ia diiktiraf sebagai trak pikap prestasi, Ranger Raptor masih boleh berfungsi sebagai trak pikap yang digunakan untum membuat kerja. Oleh itu ia masih dibekalkan dengan, enam cangkuk untuk kotak kargo serta port kuasa 12V (maksimum 180 W) bersama plag tiga pin AC 230 V (400 W) di bed belakang.

    Pelanggan boleh memilih Ranger Raptor ini dalam lima warna berbeza iaitu Code Orange, Absolute Black, Arctic White dan Conquer Grey. Menerusi model turbodiesel ini juga, Ranger Raptor 2023 kini diperkenalkan dengan warna Lightning Blue.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Jun – Semuanya tiada perubahan

    Harga minyak 8-14 Jun – Semuanya tiada perubahan

    Bagi minggu kedua Jun 2023 bertarikh 8-14 Jun, Kementerian Kewangan menetapkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel. Harganya masih sama seperti mana minggu sebelum ini.

    Di mana petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter, selepas ia dinaikkan sebanyak 2 sen pada minggu sebelumnya setelah 23 minggu tidak mengalami sebarang perubahan harga.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025