Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo C40 Recharge 2023 akan dilancar di M’sia bulan ini – pandu uji untuk orang awam pada 16-18 Dis ini

    Volvo C40 Recharge 2023 akan dilancar di M’sia bulan ini – pandu uji untuk orang awam pada 16-18 Dis ini

    Versi ‘coupe’ untuk SUV elektrik penuh Volvo XC40 Recharge iaitu C40 Recharge telah disahkan akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia sekitar dua minggu lagi. Dan sekiranya anda berminat untuk memandu uji model ini, anda boleh hadir ke acara pengalaman jenama yang diadakan oleh Volvo Cars Malaysia (VCM) di The International Gallery, KLGCC Resort bermula 16 hingga 18 Disember ini.

    Untuk menerima jemputan ke majlis berkenaan, anda perlu terlebih dahulu mendaftarkan minat pada PAUTAN INI. Dalam majlis tersebut, anda bukan sahaja berpeluang untuk memandu uji SUV coupe EV berkenaan, malah bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti lain serta mempelajari warisan sejarah jenama automotif dari Sweden tersebut.

    Volvo C40 Recharge ini membuat kemunculan sulung peringkat globalnya pada Mac tahun lalu. VCM akan memperkenalkan C40 Recharge ini terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), menjadikan ia model EV kedua Volvo dipasang di kilang Shah Alam selepas Volvo XC40 Recharge CKD yang telah dilancarkan pada Mac tahun ini.

    Volvo C40 Recharge 2023 akan dilancar di M’sia bulan ini – pandu uji untuk orang awam pada 16-18 Dis ini

    Model coupe ini masih berkongsi muka hadapan yang sama dengan XC40 dalam versi facelift. Apa yang berbeza, C40 menampilkan garis bumbung yang lebih sporty dan landai kebelakang, bagi disesuaikan dengan imej Coupe yang dibawa. Perbezaan tersebut menjadikan C40 ini 70 mm lebih rendah (1,582 mm) berbanding XC40.

    Rupa garis bumbung yang berbeza juga memerlukan bahagian dari tingkap sisi belakang C40 ini direka semula. Dengan pintu hatch yang lebih landai, C40 diberikan dua spoiler – satu pada bumbung dan satu lagi pada hujung bahagian but. Lampu belakang juga sudah tentu perlu dirombak bagi disesuaikan dengan bentuk baharu ini.

    C40 ini turut menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya P8 AWD sama seperti XC40 Recharge. Ia menampilkan dua motor elektrik untuk setiap gandar bagi memacu roda hadapan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan juga tork maksima 660 Nm. Ini membolehkan crossover tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima model ini turut dihadkan hanya pada 180 km/j.

    Volvo C40 Recharge 2023 akan dilancar di M’sia bulan ini – pandu uji untuk orang awam pada 16-18 Dis ini

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa yang disimpan dalam bateri lithium-ion 78-kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 420 km (kitaran ujian WLTP) dengan satu cas penuh. Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi penghubung AC Type 2, yang memerlukan masa sekitar tujuh hingga lapan jam untuk dipenuhkan menggunakan palam tiga-fasa 11 kW.

    Ia juga boleh dicas semula menggunakan sistem pengecas pantas DC yang menggunakan penghubung CCS. Sistem tersebut mampu menampung sehingga 150 kW, membolehkan ia dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya sekitar 32 hingga 37 minit.

    Model ini telah dilancarkan di Thailand dalam versi CBU yang diimport dari China, dijual pada harga 2.79 juta baht (RM352,891), sedikit lebih mahal berbanding XC40 Recharge yang dijual pada harga 2.69 juta baht (RM340,243). Buat masa sekarang XC40 Recharge dijual pada harga atas jalan RM278,888, dan C40 Recharge dijangka turut dijual pada harga sedikit lebih mahal.

     
     
  • PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet

    PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet

    Dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada 24 November lalu, ramai telah mengalihkan perhatian kepada jemaah menteri kabinet yang akan dibentuk. Akhirnya jawapan untuk perkara itu kini diketahui, dengan Anwar mengumumkan barisan menteri utama dalam kabinetnya susulan kunjungan menghadap Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

    Beberapa kementerian utama yang berperanan dalam menentukan hala tuju industri automotif dan mobiliti negara termasuklah Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Kewangan (MOF) serta diera perkembangan teknologi kenderaan elektrik ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

    MOT bertanggungjawab dengan hal-hal berkaitan lesen pemanduan, pengangkutan awam dan peraturan lalu lintas. MITI dan MOF pula bertanggungjawab menentukan bagaimana kenderaan akan ditentukan harganya di sini, sementara KKR menjalan kerja-kerja berkaitan jalan dan lebuhraya, sementara KASA menjadi sandaran ke arah Malaysia Mapan 2030, yang melibatkan EV.

    PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet

    Dalam kabinet baru ini, Anwar telah menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, sementara menteri lain yang berkait dengan automotif adalah:

  • Menteri Pengangkutan – Anthony Loke Siew Fook
  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
  • Menteri Kerja Raya – Alexander Nanta Linggi
  • Menteri Kewangan – Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Menteri Ekonomi – Rafizi Ramli
  • Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim – Nik Nazmi Nik Ahmad
  • Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup – Salahuddin Ayub
  • Senarai menteri penuh:

    PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet
    PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet
    PM10 Anwar Ibrahim umum barisan menteri kabinet

    Sebagai perbandingan, rujuk penyandang jawatan menteri kementerian yang dimaksudkan di dalam pentadbiran sebelumnya. Beberapa kementerian juga sempat ditukar namanya, maka ada penyusunan semula dalam senarai yang berikut.

    PM7 – Tun Dr Mahathir Mohamad (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020)

  • Menteri Pengangkutan – Anthony Loke Siew Fook
  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Datuk Ignatius Darell Leiking
  • Menteri Kerja Raya – Baru Bian
  • Menteri Kewangan – Lim Guan Eng
  • Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim – Yee Bee Yin
  • PM8 – Tan Sri Muhyiddin Yassin (1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021)

  • Menteri Pengangkutan – Datuk Seri Wee Ka Siong
  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
  • Menteri Kerja Raya – Datuk Seri Fadillah Yusof
  • Menteri Kewangan – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
  • Menteri Tenaga dan Sumber Asli — Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah
  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi — Khairy Jamaluddin
  • Menteri Alam Sekitar dan Air — Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
  • PM9 – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (27 Ogos 2021 hingga 24 November 2022)

  • Menteri Pengangkutan – Datuk Seri Wee Ka Siong
  • Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
  • Menteri Kerja Raya – Datuk Seri Fadillah Yusof
  • Menteri Kewangan – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
  • Menteri Tenaga dan Sumber Asli – Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan
  • Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – Datuk Seri Adham Baba
  • Menteri Alam Sekitar dan Air – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
  •  
     
  • Corvette akan dijadikan sub-jenama Chevrolet, bakal hasilkan EV sedan dan SUV, muncul pada 2025

    Corvette akan dijadikan sub-jenama Chevrolet, bakal hasilkan EV sedan dan SUV, muncul pada 2025

    Sebut sahaja Corvette, sudah tentu kita akan terbayang sebuah kereta sport dua pintu dengan muncung yang panjang, bersama logo ‘bowtie’ Chevrolet, dan dijana enjin V8 seperti muscle car Amerika. Pada 2019, Corvette memecah tradisi konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang, apabila model generasi ke-lapan dengan kod C8 dijelmakan sebagai kereta sport enjin tengah.

    Dan selepas ini, General Motors (GM) akan membawa nama Corvette ke arah perubahan lebih drastik – menurut laporan Car and Driver, Corvette akan dipisahkan dari Chevrolet untuk berdiri sebagai sub-jenama menjelang 2025. Jadi selepas itu, lencana Corvette bukan hanya ditampal pada kereta sport, malah ia juga bakal menghasilkan model elektrik (EV) lain termasuk coupe empat pintu dan juga SUV, diasaskan dari platform Ultium yang dibangunkan oleh GM.

    Menurut laporan tersebut, sumber yang mengetahui berkenaan cadangan sub-jenama itu untuk model-model elektrik Corvette selepas ini menyifatkan ia sebagai unik, dan “bukan salinan dari mana-mana” model lain.

    Corvette akan dijadikan sub-jenama Chevrolet, bakal hasilkan EV sedan dan SUV, muncul pada 2025

    Sumber itu juga menambah bahawa antara perincian awalan yang diketahui termasuk penggunaan pek bateri dengan ketumpatan tenaga yang tinggi, konsep sistem penyejuk yang dipatenkan, perisian khas yang berkuasa, komponen-komponen yang dikecilkan, pakej topografi berperingkat, sistem elektrikal 800V yang boleh mengecas sehingga 350 kW, transmisi dua kelajuan, sistem brek-dengan-wayar, stereng semua roda pelbagai mod dan sistem torque vectoring.

    Oleh itu, model-model EV Corvette ini bakal dihasilkan dengan kebolehan setara model-model lain yang menggunakan sistem elektrikal 800V seperti Porsche Taycan dan Kia EV6.

    “Sasarannya bukan untuk mengalahkan [Porsche] Taycan dan Cayenne dalam kelasnya tetapi untuk menghasilkan tiga legenda Amerika yang mampu untuk menghasilkan sesuatu yang baharu dengan asas Corvette yang boleh diskalakan semula. Untuk melaksanakannya, asas tersebut perlu sentiasa berada dalam keadaan fluks,” kata sumber tersebut.

     
     
  • BYD kalahkan jualan Volkswagen di China untuk November 2022 – catat jualan 152,863 unit, naik 83%

    BYD kalahkan jualan Volkswagen di China untuk November 2022 – catat jualan 152,863 unit, naik 83%

    Menurut laporan Automotive News, BYD merupakan jenama kenderaan paling laris di China untuk bulan November 2022, mengalahkan jumlah jualan yang dicatatkan oleh Volkswagen yang sudahpun mendominasi pasaran negara berkenaan sejak sekian lama.

    Data dari China Merchants Bank International (CMBI) mendedahkan bahawa BYD telah menjual sebanyak 152,863 kenderaan untuk empat minggu pertama pada bulan lalu, atau kenaikan sebanyak 83% berbanding bulan sama tahun 2021.

    Angka berkenaan jelas lebih tinggi berbanding jualan Volkswagen yang mencatatkan jualan 143,602 unit. Walau bagaimanapun, jumlah tersebut tidak termasuk jualan Audi (yang juga sebenarnya di bawah Volkswagen Group) yang mencatatkan jualang 36,847 unit.

    Jika digabungkan angka jualan untuk kedua-dua jenama tersebut, Volkswagen Group masih berada di hadapan BYD dengan jumlah keseluruhan 180,449 unit. Laporan tersebut turut menyebut bahawa jualan Volkswagen dan Toyota pada bulan November masing-masing jatuh 0.3% dan 0.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Namun untuk pembuat kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla menunjukkan peningkatan jualan hampir sekali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu selepas harga Model 3 dan Model Y dapat diturunkan dan ditawarkan insentif.

    BYD kalahkan jualan Volkswagen di China untuk November 2022 – catat jualan 152,863 unit, naik 83%

    Jualan kereta di China turun 7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, di mana ia telah dijangka untuk berlaku kerana insentif-insentif yang telah dikurangkan serta langkah sekatan pergerakan agresif yang masih dibuat oleh kerajaan bagi memerangi wabak Covid-19.

    Kejayaan yang dicatatkan oleh BYD ini merupakan petunjuk bahawa jenama automotif China kini telah mencapai tahap dimana ia sudah mampun bersaing dengan jenama-jenama legasi. Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News, pembuat kereta tempatan di China kini mampu menawarkan pelbagai jenis kenderaan elektrik mampu milik dan penuh teknologi (China merupakan pasaran EV terbesar) untuk menarik pengguna dari jenama luar yang lebih popular.

    Ini telah memberi banyak tekanan kepada jenama seperti Volkswagen, General Motors, Ford dan Hyundai di mana kilang-kilang mereka di China mencatatkan penurunan produksi antara 30-50% dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

    Malah ada jenama luar yang terpaksa gulung tikar seperti pengumuman yang dibuat oleh Stellantis pada Oktober lalu, di mana kerjasama jenama Jeep dan Guangzhou Automobile Group (GAC Group) akan memfailkan muflis, menjadi usahasama jenama luar pertama yang gagal dalam era EV di negara berkenaan.

     
     
  • Perodua capai jualan lebih 250k unit setakat Nov, lepasi sasaran 2022 — rekod bulanan 28,592 unit

    Perodua capai jualan lebih 250k unit setakat Nov, lepasi sasaran 2022 — rekod bulanan 28,592 unit

    Setakat bulan November, Perodua telah mencapai tanda aras baru bagi pengeluaran serta jualan bulanan dan jualan tahunan setakat ini dan kini dalam usaha untuk merancakkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang ada.

    Dari sudut jualan, Perodua telah menjual 250,795 unit antara Januari dan November tahun ini — angka yang telah melepasi sasaran penuh tahun ini yang ditetapkan awalnya, iaitu 247,800 unit. Ini rekod jualan tertinggi yang dicatatkan oleh syarikat itu dengan 50% peningkatan daripada 167,250 unit yang terjual dalam tempoh sama tahun lalu.

    Perodua juga mencatatkan rekod jualan bulanan tertinggi bagi November 2022 melibatkan 28,592 unit. In mewakili peningkatan sebanyak 40.9% berbanding jualan 20,299 unit yang dicapai pada November 2021. Angka itu juga menunjukkan peningkatan 10.6% berbanding 25,849 unit yang dijual pada Oktober 2022.

    Perodua capai jualan lebih 250k unit setakat Nov, lepasi sasaran 2022 — rekod bulanan 28,592 unit

    Tiga model teratas yang paling laris daripada Perodua bagi November lalu ialah Bezza dengan jualan 8,089 unit, diikuti Myvi dengan 6,624 unit dan Axia dengan 5,812 unit. Perodua mengaitkan lonjakan tersebut berbanding tempoh sama tahun lalu adalah disebabkan PKP yang dikenakan pad Jun hingga Ogos 2021. Selain rekod jualan, Perodua turut mencatatkan rekod baru bagi pengeluarannya.

    “Pencapaian jualan berkenaan mampu dilakukan kerana didukung oleh pengeluaran yang melibatkan 258,960 unit. Kami juga mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat ini sejak mula dengan 29,149 unit,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    “Kami juga kini sedar bahawa kami boleh meningkatkan output — jualan dan pengeluaran — tanpa perlu melabur dalam kilang baru atau tanpa perlu memperoleh lebih banyak tanah untuk operasi pengilangan,” tambah beliau.

    Perodua capai jualan lebih 250k unit setakat Nov, lepasi sasaran 2022 — rekod bulanan 28,592 unit

    Walaupun begitu Perodua tidak ingin merasa selesa dengan apa yang sudah dicapai dan akan terus melabur untuk menaiktaraf operasinya dengan memberi penekanan terhadap pengetahuan dan pembangunan kemahiran. Syarikat itu juga bekerja sama erat dengan pembekal dan pengedar untuk memastikan operasinya mampu memenuhi permintaan dan menghadapi cabaran di masa hadapan.

    “Kami ingin meneruskan momentum jualan dan pengeluaran ini untuk memastikan pelanggan kami menerima kenderaan mereka lebih cepat. Kami juga ingin memastikan semua pelanggan yang membuat tempahan dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kenderaan mereka sebelum 31 Mac 2023,” tambah beliau.

     
     
  • Kerajaan Johor galakkan PBT di kawasan Greater JB tambah penggunaan EV pada masa hadapan

    Kerajaan Johor galakkan PBT di kawasan Greater JB tambah penggunaan EV pada masa hadapan

    Kerajaan Johor akan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Greater Johor Bahru untuk menambah penggunaan kenderaan elektrik (EV) pada masa depan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri ke arah masyarakat rendah karbon, laporan Bernama.

    Kawasan Greater Johor Bahru itu termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).

    “Kita sedia maklum bahawa untuk projek akan datang, kita akan galakkan PBT menggunakan EV kerana kita tahu, Singapura sekitar 10 hingga 20 tahun akan datang, akan gunakan 100% teknologi EV ini.

    Kerajaan Johor galakkan PBT di kawasan Greater JB tambah penggunaan EV pada masa hadapan

    Setakat ini, penggunaan kenderaan elektrik hanya sedikit, iaitu lima buah kenderaan bagi setiap PBT ini. Kita sasarkan lebih lagi pada masa akan datang tetapi jumlah sasaran masih belum ditetapkan,” katanya.

    Jelas Mohd Jafni, dalam merealisasikan perancangan ini, kerajaan negeri akan turut membina lebih banyak stesen pengecas EV di kawasan Greater Johor Bahru. Di mana ia dijangka memerlukan kos yang tinggi kerana EV mempunyai kelainan dalam setiap modelnya.

    “Kita sedia maklum EV ini mahal kosnya tetapi kita perlu mulakan juga untuk kita lihat apa isu-isu berbangkit kerana palam soketnya berbeza-beza, jadi kita harap permulaan ini kita akan melihat ke arah yang lebih baik,” katanya.

     
     
  • BMW CE-04 dilancar di Thailand – skuter elektrik 42 hp, jarak gerak maksimum 130 km, harga RM109k

    BMW CE-04 dilancar di Thailand – skuter elektrik 42 hp, jarak gerak maksimum 130 km, harga RM109k

    Skuter elektrik BMW CE-04, yang didedah kali pertama kepada awam tahun 2021 kini sudah tiba di rantau kita apabila dilancarkan di negara jiran, Thailand pada harga bermula 859,000 baht (RM108,518). Ia datang bersama jaminan serta servis percuma selama lima tahun.

    Spesifikasi asas CE-04 pasaran Thailand ini adalah sama sahaja seperti model yang dipasarkan di Eropah, dengan kuasanya datang daripada bateri lithium ion 8.9 kWh, untuk memberi tenaga kepada motor elektrik berkemampuan 31 kW (42 hp) dan tork 62 Nm.

    Melalui pakej ini, CE-04 boleh memecut 0-50 km/j dalam masa 2.6 saat, sementara laju maksimum pula dihadkan kepada cuma 120 km/j. Jarak gerak maksimum yang disediakan adalah sehingga 130 km dengan setiap cas penuh baterinya.

    BMW CE-04 dilancar di Thailand – skuter elektrik 42 hp, jarak gerak maksimum 130 km, harga RM109k

    Skuter elektrik ini boleh dicas menggunakan sama ada soket rumah, wallbox ataupun stesen pengecas awam. Apabila menggunakan input pengecas 2.3 kW, baterinya mengambil masa empat jam 20 minit untuk penuh, tetapi apabila menggunakan pengecas 6.9 kW, kuasa baterinya boleh naik dari 20% ke 80% dalam masa cuma 45 minit sahaja.

    Kabel pengecas Mode 2 berkapasiti 2.3 kW untuk soket domestik diberikan secara standard bersama skuter ini, sementara kabel pengecas pantas Mode 3 untuk wallbox atau stesen pengecas awam pula dijual secara berasingan.

    Kelengkapan lain yang diberikan pada CE04 adalah brek cakera berkembar di hadapan serta cakera tunggal di belakang, lengkap dengan ABS. Pemilik juga boleh menaik taraf kepada sistem Cornering ABS yang dipanggil sebagai ABS Pro, sementara rim pula adalah unit 15 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Ada tiga mod tunggangan yang disediakan pada skuter elektrik ini, iaitu Eco, Rain dan Road untuk memberikan penunggang pilihan menyesuaikan tunggangan dengan keadaan sekeliling. Mod yang lebih berkuasa juga ditawarkan sebagai pilihan tambahan, dipanggil sebagai Dynamic dan memberikan maklum balas lebih pantas apabila memecut.

    Maklumat penting dipaparkan kepada penunggang melalui skrin TFT-LD 10.25 inci, yang turut boleh disambungkan kepada peta navigasi serta telefon pintar. Semua lampu pada motosikal ini menggunakan LED, dengan unit Adaptive Headlight Pro disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Melihat sebagai perbandingan, CE-04 ini dijual pada harga sekitar dua kali ganda daripada C400 GT yang berharga 419,000 baht (RM52,932) di negara itu, dan hampir kepada S1000RR yang berharga 890,000 (RM112,434). Di negara kita, C400 GT dijual pada harga RM48,500 sementara S1000RR pula bermula RM121,500.

    GALERI: BMW CE-04

     
     
  • KTMB beri tambang percuma buat OKU pada 3-4 Disember – untuk KTM Komuter Lembah Klang, Utara

    KTMB beri tambang percuma buat OKU pada 3-4 Disember – untuk KTM Komuter Lembah Klang, Utara

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perjalanan percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan pengiringnya pada 3 hingga 4 Disember 2022, bersempena Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember.

    Menerusi program OKU “Free Ride” ini, ia hanya melibatkan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Utara sahaja. Menurut KTMB, program ini juga adalah sebagai tanda penghargaan KTMB kepada golongan OKU atas sokongan kerana menggunakan perkhidmatan tren, khususnya perkhidmatan KTM Komuter.

    “Program Free Ride ini boleh dinikmati individu OKU bersama seorang pengiringnya dengan hanya menunjukkan kad rasmi OKU yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berserta kad pengenalan di kaunter tiket KTM Komuter.

    “Hanya tiket perjalanan satu hala dan dua hala sahaja dibenarkan sepanjang tawaran ini. Pas mingguan dan pas bulanan tidak termasuk di dalam tawaran ini. Bagi medium penggunaan tambang percuma ini, individu OKU di Lembah Klang boleh menggunakan Kad Komlink OKU atau token manakala di Utara akan menggunakan tiket QR,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTMB turut berkata, statistik menunjukkan pada 2021, seramai 37,363 penumpang OKU menggunakan perkhidmatan KTM Komuter, manakala sehingga Oktober lalu, statistik menunjukkan peningkatan kepada 74,458 penumpang OKU.

     
     
  • Kia Sorento 2022 dikesan di Malaysia – bakal dilancar?

    Kia Sorento 2022 dikesan di Malaysia – bakal dilancar?

    Tahun 2022 bakal menutup tirai tidak lama lagi, namun masih ada masanya untuk pelancaran model kereta baharu, salah satunya ialah Kia Sorento generasi ke-empat yang dijangka tiba sebelum 2023 mengambil alih kalendar baharu.

    Baru-baru ini, kelihatan SUV tersebut dalam rona hitam dikesan berada di atas jalan di sini. Kelibatnya sempat dirakamkan oleh saudara Loh Kah Sing dan telah dimuat naik di laman facebook Kia Sorento Owners Club Malaysia. Model ini yang diperkenalkan di peringkat global pada Mac 2020, dijangka dilancarkan pada suku akhir 2022, seperti yang dilaporkan oleh RHB Investment Bank.

    Tahun lalu, Kia Malaysia telah mendedahkan rancangannya untuk melancarkan empat model pemasangan tempatan (CKD) termasuk Sorento di pasaran tempatan, dan akan menjadi model kedua yang dilancarkan pada tahun ini, selepas MPV Carnival yang terdahulu dilancarkan pada Julai lalu.

    Kia Sorento 2022 dikesan di Malaysia – bakal dilancar?

    Bermaz selaku pengedar rasmi Kia bagi pasaran tempatan juga telah mengesahkan SUV ini akan dijual di Malaysia dengan versi enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid dan plug-in hybrid. Dua penjana kuasa ICE akan ditawarkan iaitu 2.5 liter pengecas turbo petrol (281 PS) dan 2.2 liter turbodiesel (202 PS), kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac lapan-kelajuan.

    Manakala versi hibrid pula akan menerima enjin 1.6 liter turbo empat-silinder petrol yang diganding bersama motor elektrik 60 PS dan mampu menghasilkan keseluruhan kuasa cecah 230 PS. Bagi versi PHEV pula, ia diberikan motor elektrik lebih padu pada angka prestasi 91 PS. Ia dijanakan oleh bateri lithium-ion 13.8 kWH, dengan jarak elektrik sehingga 51 km mengikut kitaran WLTP. Kedua-dua versi hibrid dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Ciri kelengkapan yang bakal diberikan untuk Sorento generasi ke-empat ini termasuklah Highway Driving Assist 2 (HDA2) yang menawarkan Level 2 semi-autonomous driving, remote parking assist, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh tengah 10.25-inci dan sistem bunyi Bose. Selebihnya kita akan mengetahui apabila ia dilancarkan di pasaran tempatan kelak.

    GALERI: Kia Sorento Plug-in Hybrid 2022

     
     
  • Treler filem Transformers: Rise of The Beast – Optimus Prime dalam versi G1, Autobots ada Porsche 911 964!

    Treler filem Transformers: Rise of The Beast – Optimus Prime dalam versi G1, Autobots ada Porsche 911 964!

    Sebelum tayangan rasminya dijadualkan bermula pada Jun 2023, Paramount Pictures telah pun menyiarkan treler terbaharu untuk filem ketujuh Transformers iaitu Transformers: Rise of The Beast. Dan seperti yang telah diketahui sebelum ini, Optimus Prime muncul dalam versi yang sama seperti versi asal generasi pertama animasi Transformers (Transformers G1), iaitu dalam penyamaran sebagai trak Freightliner FL86.

    Garis masa filem baharu ini adalah tujuh tahun selepas babak terakhir filem spin-off Transformers sebelum ini iaitu Bumblebee. Jadi watak Bumblebee dalam filem sekuel ini sudah tidak lagi berselindung di sebalik Volkswagen Beetle tetapi telah berubah sebagai sebuah Chevrolet Camaro 1977 seperti pengakhiran filem sebelum ini.

    Dan apa yang menarik, Autobots dalam filem ini juga menampilkan sebuah Porsche 911 964 (dilihat pada spoiler belakang, ia mungkin model Carrera RSR), tetapi belum disahkan siapa sebenarnya watak berkenaan.

    Namun ada kemungkinan Autobot yang berubah sebagai Porsche 911 tersebut adalah Jazz. Ini kerana dalam Transformers G1 Jazz adalah sebuah Porsche 935 Turbo ‘Moby Dick’ lengkap dengan grafik perlumbaan Martini. Dalam filem aksi sebenar pertama Transformers arahan Micheal Bay pada 2007, Jazz adalah sebuah kereta sport Pontiac Solstice kerana ketika itu filem berkenaan terikat dengan kerjasama General Motors (GM).

    Dalam foto yang didedahkan oleh pengarah filem ini iaitu Steven Caple Jr di akaun Instagram miliknya tahun lalu, filem ini juga menampilkan sebuah Nissan Skyline R33 yang diberikan kit badan lebar dengan GT-Wing gergasi. Walau bagaimanapun, Skyline tersebut mungkin adalah watak dari ‘kumpulan jahat’ Decepticons, dan bukan Autobots.

    Filem Transformers: Rise of the Beasts ini dikatakan adalah berasaskan siri kartun Transformers: Beast Wars, jadi filem ini juga turut akan menampilkan watak Optimus Primal dan Rhinox dari pihak Maximals. Ia juga akan menceritakan bagaimana Optimus Prime mula berasa bertanggungjawab untuk melindungi manusia di bumi.

    Penggambaran filem berkenaan dibuat di Brooklyn, Amerika Syarikat dan juga dibeberapa bahagian di Peru. Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Anthony Ramos, Dominique Fishback, Luna Lauren Vélez dan Tobe Nwigwe. Peter Cullen akan kekal sebagai suara Optimus Prime manakala suara Ron Perlman akan digunakan bagi watak Optimus Primal.

     
     
  • Porsche Cayman GT4 RS 2022 di Malaysia — 4.0L NA, 500 PS/450 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat, dari RM1.55 juta

    Porsche Cayman GT4 RS 2022 di Malaysia — 4.0L NA, 500 PS/450 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat, dari RM1.55 juta

    Sime Darby Auto Performance selaku pengedar kenderaan Porsche di Malaysia telah melancarkan model 718 Cauman GT4 RS untuk pasaran tempatan. Ia dijual pada harga RM1.55 juta. Ini merupakan kali pertama model Cayman diberikan lencana RS, yang sebelum ini hanya digunakan untuk model Porsche 911.

    Porsche Cayman GT4 RS dikuasakan oleh enjin sama yang digunakan oleh 911 GT3, iaitu unit 4.0 liter NA enam-silinder yang mampu di rev hingga 9,000 rpm. Sebagai perbandingan, enjin sama dalam 911 GT3 menghasilkan 510 PS dan 470 Nm.

    Dibandingkan dengan Cayman GT4 standard, versi GT4 RS ini menghasilkan lebih 80 PS dan lebih 30 Nm tork. Enjinnya dipadankan dengan transmisi PDK klac berkembar tujuh-kelajuan dengan nisbah lebih pendek untuk pecutan lebih pantas. Cayman GT4 standard dilancarkan untuk pasaran tempatan pada 2020, dengan harga RM999k.

    Porsche Cayman GT4 RS 2022 di Malaysia — 4.0L NA, 500 PS/450 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat, dari RM1.55 juta

    Dari sudut prestasi, GT4 RS ini memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (0.5 saat lebih pantas dari Cayman GT4), dan laju maksimum 315 km/j. GTR RS hanya didatangkan dengan kotak gear PDK tanpa pilihan kotak gear manual.

    Peningkatan casis yang dilakukan termasuk untuk ball-joint suspension mounting, gegelung dan palang anti-olengan yang lebih keras, serta penyerap hentak Bilstein yang menjadikannya 30 mm lebih rendah. Pembeli boleh memilih untuk menetapkan larasan yang lebih tinggi, sekiranya mahu.

    Rim yang digunakan pula ialah bersaiz 20-inci dari aluminium yang diperkukuh dengan cakera brek logam di belakangnya. Ditawarkan sebagai pilihan ialah brek karbon seramik Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

    Porsche Cayman GT4 RS 2022 di Malaysia — 4.0L NA, 500 PS/450 Nm, 0-100 km/j 3.4 saat, dari RM1.55 juta

    GT4 RS dikatakan memberikan 25% lebih downforce berbanding Cayman GT4 standard disebabkan bahagian splitter depan yang digunakan, serta diffuser depan boleh laras dan wing belakang ala GT3 yang digunakan. Laluan udara turut disediakan di bonet untuk tujuan penyejukan brek, sementara lengkung fender depan membantu mengurangkan tekanan udara di dalam lengkung roda.

    Lagi bukaan udara disediakan di bahagian tingkap belakang, bertujuan untuk bukan sahaja memperbaiki aliran udara masuk tetapi turut menghasilkan bunyi yang khas dari bahagian penumpang depan. Dari segi berat, GT4 RS adalah 35 kg lebih rendah berbanding Cayman GT4 dengan transmisi PDK, dengan berat 1,415 kg.

    Ini dicapai dengan penggunakan karpet lebih ringan, kurang bahan penebat dan panel pintu lebih ringan. Di luar, bonet dan wing depan diperbuat daripada plastik gentian karbon yang diperkukuh (CFRP), sementara cermin belakang diperbuat daripada bahan lebih ringan.

     
     
  • Lamborghini Huracán Sterrato – supercar enjin V10 di tengah dengan kemampuan off-road, dari RM1.21 juta!

    Lamborghini Huracán Sterrato – supercar enjin V10 di tengah dengan kemampuan <em>off-road</em>, dari RM1.21 juta!

    Baru sahaja bulan lalu Porsche melancarkan 911 Dakar, iaitu sebuah 911 yang ditinggikan bagi membolehkan ia dipandu laju pada permukaan off-road sebagai memperingati jentera rali 911 yang memenangi Rali Paris-Dakar 1984. Kalau anda mahukan kenderaan dengan konsep sama tetapi bukan dari Porsche, ini dia – Lamborghini Huracán Sterrato!

    Seperti namanya, ia masih lagi sebuah supercar Lamborghini Huracán, tetapi diberikan pelbagai perincian termasuk sistem suspensi lebih tinggi bagi membolehkannya beraksi pantas pada laluan jalan yang tidak di tar; Sterrato itu sendiri bermaksud jalan tanah dalam bahasa Itali. Ia sebelum ini pernah tampil sebagai model konsep, dan siapa sangka Lamborghini benar-benar menghasilkannya sebagai model produksi sebenar?

    Menurut Lamborghini, Huracan Sterrato ini merupakan kereta super sporty untuk kegunaan semua permukaan jalan yang dijana oleh enjin V10 serta pacuan semua roda pertama seumpamanya. Model ini juga merupakan varian terakhir untuk Huracan, dan ia juga model terakhir Lamborghini yang menggunakan enjin V10 petrol penuh tanpa sebarang bantuan elektrifikasi.

    Enjin V10 5.2 liter NA pada Huracan Sterrato ini menghasilkan 610 PS (602 hp atau 449 kW) pada takat 8,000 rpm serta tork maksima 565 Nm pada takat 6,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan, dan kuasa diagih ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Haldex, menampilkan LSD mekanikal pada gandar belakang.

    Lamborghini Huracán Sterrato – supercar enjin V10 di tengah dengan kemampuan <em>off-road</em>, dari RM1.21 juta!

    Ini membolehkan Huracan Sterrato memecut dari kedudukan pegun hingga mencapai 100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat, dan 0-200 km/j pula hanya 9.8 saat. Kelajuan maksima Huracan Sterrato dihadkan pada 260 km/j, berbanding 325 km/j pada Huracan biasa. Ini kerana Sterrato diberikan tayar off-road Bridgestone Dueler All Terrain bersaiz 235/40R19 di hadapan dan 285/40R19 di belakang.

    Tayar yang dibalut pada rim 19-inci tersebut masih memberikan fungsi run-flat di mana ia masih boleh dipandu pada kelajuan 80 km/j ketika pancit dengan tekanan angin sifar. Ia juga menyebabkan jarak trek roda Huracan Sterrato ini lebih lebar 30 mm di hadapan dan 34 mm di belakang berbanding Huracan biasa.

    Lamborghini menyatakan bahawa suspensi yang diberikan pada Huracan Sterrato ini membolehkan jarak kelegaan tanahnya kini 44 mm lebih tinggi dari model biasa. Jarak strok suspensi yang lebih tinggi tersebut bukan sahaja memudahkan model ini melepasi halangan, malah ia membolehkan talaannya diberi lebih lembut.

    Manakala untuk brek, Huracan Sterrato menerima cakera karbon-seramik dengan angkup enam-omboh di hadapan dan empat-omboh di belakang. Ia sudah cukup membolehkan Huracan rali ini berhenti sepenuhnya dari 100 km/j dalam jarak hanya 39 meter.

    Lamborghini Huracán Sterrato – supercar enjin V10 di tengah dengan kemampuan <em>off-road</em>, dari RM1.21 juta!

    Dengan tayar yang lebih besar, Huracan Sterrato turut menerima overfender lebih lebar seperti SUV/trak pikap. Ia juga menerima bendul sisi dan juga diffuser belakang yang direka dengan gaya lebih lasak, pelindung bawah badan aluminium pada sebelah hadapan, serta lampu rali yang lulus ujian pelanggaran pejalan kaki dan rel bumbung yang mampu menampung beban seberat 30 kg, menurut laporan Car and Driver.

    Huracan Sterrato ini tidak menampilkan liang ambilan udara pada sisi badan seperti Huracan biasa. Ini untuk mengelakkan enjin menyedut udara kotor, dan ia telah digantikan dengan skup udara yang terletak di belakang bumbung. Faktor ambilan udara yang lebih kecil ini juga penyebab mengapa enjin V10 pada Huracan Sterrato ini sedikit lebih rendah berbanding Huracan biasa.

    Lamborghini turut membuat talaan semula pada mod pemanduan Strada dan Sport pada Huracan Sterrato ini, serta menambah satu lagi mod Rally. Mod tambahan tersebut dibuat untuk pemanduan ketika di atas permukaan cengkaman rendah sama seperti yang diberikan pada SUV Lamborghini Urus Performante.

    Foto-foto bahagian dalaman Lamborghini Huracan Sterrato ini masih lagi belum didedahkan. Namun pembuat supercar dari Itali itu menyatakan bahawa ia akan menampilkan upholsteri Alcantara Verde Sterrato yang eksklusif, bersama sistem infotainmen yang disertakan inclinometer digital, penunjuk pic dan olengan, kompas, penunjuk koordinat geografi, serta penunjuk sudut stereng.

    Produksi Huracan Sterrato ini akan bermula pada Februari tahun hadapan, dan ia hanya dibina sebanyak 1,499 unit. Model ini akan dijual pada harga 263,000 euro (sekitar RM1.21 juta) sebelum cukai.

     
     
  • Honda HR-V EV prototaip mula ditunjuk di Thailand — SUV elektrik penuh untuk ASEAN, Malaysia bila?

    Honda HR-V EV prototaip mula ditunjuk di Thailand — SUV elektrik penuh untuk ASEAN, Malaysia bila?

    Ketika acara Ekspo Permotoran Antarabangsa Thailand 2022 yang sedang berlangsung, Honda Thailand membawakan sebuah kereta sebagai kejutan dalam bentuk SUV e:Prototype, yang sebelum ini pertama kali membuat penampilan global di Auto Shanghai tahun lalu.

    Bertindak sebagai pra-tonton kepada versi elektrik sepenuhnya bagi HR-V generasi ketiga, kereta konsep berkenaan dilanjutkan sebagai produk konsumer ketika model kembar e:NS1 dan e:NP1 (satu oleh Dongfeng Honda dan satu lagi oleh GAC Honda) didedahkan di China pada Oktober lalu.

    Versi global bagi kereta elektrik berkenaan dipertontonkan awal tahun ini melalui pendedahan model e:Ny1 Prototype pada Mac, dan dijangka akan menggunakan asas sama dengan e:N Architecture F bagi kenderaan pacuan depan.

    Honda HR-V EV prototaip mula ditunjuk di Thailand — SUV elektrik penuh untuk ASEAN, Malaysia bila?

    Penampilannya nampak dikenali, kerana unit yang dipamerkan di Thailand ini menggunakan bentuk sama HR-V yang ada di sini, walaupun dengan rekaan gril tertutup yang ditempatkan sekali ruang pengecas tertutup, lampu melintang lanjutan dari lampu utama, cermin sisi ultra-kurus serta bahagian apron yang direka semula dengan pengalir udara. Dari perkara baru dari e:Ny1 Prototype adalah tiadanya lencana nama Honda di belakang.

    Di China, kedua-dua e:NS1 dan e:NP1 ditawarkan dalam dua konfigurasi penjanaan: satu dengan motor elektrik di depan dengan janaan 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 310 Nm tork yang dikuasai oleh bateri 53.6-kWh ternari lithium-ion, dengan jarak sehingga 420 km mengikut ujian CLTC tempatan.

    Pilihan satu lagi ialah dengan motor elektrik lebih berkuasa, 204 PS (201 ho atau 150 kW) dan jumlah tork yang sama (310 Nm). Kapasiti baterinya adalah lebih besar dengan 68.8 kWh, menjadikan jarak yang mampu dicapai ialah 510 km — laju maksimum kedua-duanya ialah 150 km/j.

    Untuk pengecasan, Honda memaklumkan sekitar sembilan jam untuk satu cas penuh dari 5% dengan input AC yang tidak dinyatakan bagi bateri kapasiti lebih kecil itu, dan 9.5 jam bagi bateri yang lebih besar. Kedua-dua bateri boleh mencapai dari 30-80% kapasiti dalam masa 40 minit dengan pengecasan pantas DC, yang juga tidak dinyatakan input kuasanya. Angka ini (kecuali jarak kerena perlu mengikuti piawaian WLTP) dijangka sama bagi versi produksi e:Ny1 Prototype bila dikeluarkan nanti.

    Kehadiran SUV e:Prototype itu memberi petunjuk bahawa Thailand mungkin akan menerima HR-V dalam bentuk elektrik penuh di masa depan. Ini kemungkinan yang berasas, memandangkan negara itu sangat rancak mendorong pertumbuhan ekosistem EV mereka. Jadi, ada kemungkinan HR-V EV ini juga akan jengah pasaran Malaysia? Persoalannya, bila?

     
     
  • Lelaki bakal berdepan hukuman penjara di Itali kerana modifikasi Toyota MR2 jadi Ferrari F430 ‘celup’

    Lelaki bakal berdepan hukuman penjara di Itali kerana modifikasi Toyota MR2 jadi Ferrari F430 ‘celup’

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah pepatah yang paling tepat untuk seorang lelaki berusia 26 tahun di Itali kerana memodifikasi Toyota MR2 miliknya menjadi Ferrari F430 ‘celup’.

    Tindakan lelaki itu terbongkar selepas pasukan penguat kuasa Itali, Guardia di Finanza mengesan tindakan tersebut dalam pemeriksaan rutin di bandar Asti, sebelum merampas kereta terbabit, menurut laporan News Italy24.

    Menurut Guardia di Finanza, ekoran tindakan tersebut, lelaki berkenaan didakwa atas pertuduhan memalsu dan melanggar cap dagangan serta jika disabit kesalahan, dia juga bakal berdepan dengan hukuman penjara.

    Walau pun jika dilihat dengan mata kasar, jentera itu memang saling tak tumpah dengan Ferrari F430 ‘original’ pada bahagian luar dan dalamnya, tambahan dengan elemen ikonik F430 yang ditampilkan termasuk logo jenama itu pada bonet, penggunaan rim, brek dan lampu utama jentera ikonik itu, namun pasukan pakar yang membuat pemeriksaan lanjut berjaya membongkarkan bahawa ia adalah Toyota MR2 yang dimodifikasi.

    Menurut pakar yang mengesahkan pemalsuan itu, jentera itu juga menampilkan alat ganti dan aksesori Ferrari asli, menjadikannya lebih sukar dikenalpasti hakikatnya ia adalah model Toyota. Badan penguatkuasaan tersebut turut memaklumkan, ini bukanlah kes pertama yang dikesan, namun kes ini boleh dianggap sebagai tahap pemalsuan yang cukup cemerlang.

    Media berita Itali turut melaporkan, kereta itu telah disita dan laporan dibuat kepada Pejabat Pendakwa Raya Asti kerana penggunaan tanda dagangan berdaftar tanpa kebenaran.

     
     
  • Benelli Panarea 125 tiba di Malaysia – harga RM6,888

    Benelli Panarea 125 tiba di Malaysia – harga RM6,888

    MForce Bike Holdings melancarkan skuter baru untuk pasaran Malaysia, dipanggil sebagai Panarea 125. Bentuknya mirip kepada satu lagi skuter jenama terkenal dari Itali, dan ditawarkan dalam pilihan empat warna, iaitu hitam, kuning, merah dan putih, pada harga RM6,888 tidak termasuk insurans. Jaminan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Menggerakkan Panarea 125 ini adalah enjin satu silinder empat strok 124 cc, dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik (EFI), mampu menghasilkan kuasa sehingga 8.44 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.2 Nm pada 6,000 rpm.

    Enjin ini boleh dihidupkan menggunakan butang elektrik ataupun penendang, dan dipadankan bersama transmisi automatik yang menggunakan tali sawat. Maklumat utama motosikal boleh dilihat melalui skrin yang menggabungkan paparan analog serta skrin LCD di hadapan penunggang.

    Memegang badan skuter ini ke atas jalan adalah fork teleskopik serta rim 12 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan, sementara belakang pula menggunakan satu penyerap dan rim 12 inci yang dibalut tayar 110/90. Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera 190 mm di hadapan dan di belakang menggunakan dram.

    Kelengkapan lain yang disediakan oleh Panarea 125 adalah termasuk ruang simpanan boleh memuatkan helmet di bawah tempat duduk (12 liter), tangki bahan api 4.6 liter, lampu hadapan dan belakang LED, suis pemati enjin, lampu kecemasan serta tinggi tempat duduk 760 mm. Berat keseluruhan skuter ini adalah 104 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025