Gentari, yang merupakan sebuah anak syarikat Petronas telah melancarkan pengecas pantas DC 350 kW pertama Asia Tenggara untuk kenderaan elektrik, di XPark Sunway Serene, Zon Perindustrian Bebas Cukai Sungai Way, Selangor.
Diperkenalkan sebagai salah satu hasil daripada kerjasama antara Gentari dengan EV Connection (EVC), tempat mengecas EV baru ini menempatkan 10 ruang mengecas, dengan pengecas DC 350 kW tersebut disambungkan kepada dua stesen berasingan yang masing-masing menggunakan soket CCS2 yang ditetapkan untuk 175 kW – ruang ketiga adalah tempat untuk menunggu.
Ruang mengecas selebihnya adalah terdiri daripada dua untuk pengecas pantas DC 180 kW, dua untuk pengecas AC 22 kW dan tiga lagi untuk pengecas AC 7 kW. Perlu diketahui juga bahawa tempat mengecas EV di X Park ini adalah yang pertama mendapat lesen Sistem Pengecas Kenderaan Elektrik (EVCS) daripada Suruhanjaya Tenaga, sekaligus menyatakan bahawa struktur dan operasi tempat itu adalah selamat.
Berkenaan harga, pengguna akan dikenakan bayaran mengikut kWh, dan bukannya masa. Jadi, anda akan membayar berapa banyak tenaga yang disalurkan kepada kenderaan. Bermula 1 Disember, harga untuk pengecas DC 180 kW adalah RM1 bagi setiap kWh dan pengecas DC 350 kW RM1.20 setiap kWh, sementara bagi kedua-dua pengecas AC 22 kW dan 7 kW pula adalah RM0.55 setiap kWh.
“Kami harap dengan terdapatnya pilihan meluas infrastruktur mampu milik dan mudah diakses di X Park, Bangi Golf Resort dan kemudahan lain akan datang akan membantu kadar penerimaan EV di kalangan rakyat Malaysia,” kata pengarah urusan EVC, Lee Yuen How.
Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas), syarikat pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah mengumumkan kutipan tol bagi lebuhraya berkenaan akan bermula pada 1 Disember 2022 (esok) jam 12.01 tengah malam.
Menurut Prolintas, kadar tol bagi kelas satu (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda – tidak termasuk teksi dan bas) telah ditetapkan sebanyak RM2.30 bagi setiap plaza tol yang terletak di sepanjang lebuhraya berkenaan iaitu Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara.
Manakala bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda (tidak termasuk bas) pula RM4.60 dan RM6.90 untuk kelas tiga (Kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas). Untuk kelas empat iaitu teksi pula dikenakan kadar tol sebanyak RM1.20 dan RM2.30 untuk kelas lima iaitu bas.
“Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID. Sehubungan itu, pengguna disarankan agar memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet adalah mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH.
“Bahagian Operasi Lebuhraya DASH akan sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan,” kata Prolintas menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Lebuhraya DASH telah mula dibuka sejak 14 Oktober lalu dan diberikan kadar tol secara percuma sehingga 30 November 2022. DASH dibina merentasi Puncak Alam menerusi Persimpangan Mokhtar Dahari dan berakhir di “Persimpangan Spagheti” yang menghubungkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Penchala Link dan Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) di Penchala, berhampiran Taman Tun Dr. Ismail dan juga kawasan tumpuan seperti Bandar Utama Damansara, Damansara Utama serta Mutiara Damansara.
Laluan utama jajaran DASH sepanjang ini adalah sejauh 20.1 km, namun jika diambil kesemua jarak termasuk susur persimpangan, keseluruhan jaraknya mencecah 55.4 km. Sama seperti SUKE, DASH juga menampilkan jalan tiga lorong dua hala, dengan setiap lorong berukuran 3.5 meter bersama lorong kecemasan selebar tiga meter, serta 90% adalah jalan raya bertingkat dan hanya 10% berada di atas tanah.
Bagi kemudahan akses yang lebih optimum, DASH menyediakan 13 persimpangan iaitu Persimpangan Puncak Perdana, Persimpangan Alam Suria, Persimpangan Denai Alam, Persimpangan Kampung Melayu Subang, Persimpangan Pinggiran Subang, Persimpangan Subang 2, Persimpangan Subang Airport, Persimpangan RRIM (Kwasa Damansara), Persimpangan Surian, Persimpangan Seksyen 5 Kota Damansara, Persimpangan Sunway Damansara, Persimpangan Damansara Perdana dan Persimpangan Penchala.
Bukan itu sahaja, lebuhraya ini juga akan menjadi penghubung antara bahagian timur dan barat Lembah Klang, dan merupakan laluan alternatif penduduk Shah Alam dan Puncak Alam untuk ke Persiaran Surian di Kota Damansara, Lapangan Terbang Subang, Damansara Perdana, Penchala dan menuju ke Bandaraya Kuala Lumpur. Bagi yang ingin ke utara tanah air, DASH turut dihubungkan dengan Lebuhraya Guthrie bagi membolehkan pengguna ke Lebuhraya Utara-Selatan menerusi susur keluar berhampiran Rawang.
Seong Hoe Premium Motors, pengedar BMW bertauliah paling lama di Melaka iaitu sejak tahun 1979 telah membuka kembali bilik pamerannya selepas menjalani pengubahsuaian. Kini bilik pameran ini bukan sahaja menjual model BMW tetapi juga menampilkan barisan kenderaan MINI.
Dengan bangunan seluas lebih 7,100 kaki persegi, bilik pameran ini mampu menempatkan sehingga 10 unit kenderaan BMW dan tiga unit model MINI di tingkat mezzanine di mana bilik pameran MINI turut ditempatkan.
“Kami terhutang budi dengan sokongan padu para pelanggan setia sepanjang empat dekad ini dengan menawarkan pengalaman pemilikan premium. Sehingga kini, kami telah berjaya menghantar lebih 400 unit kenderaan setiap tahun. Seong Hoe Premium Motors menjangka untuk menghantar lebih 1,000 unit kenderaan BMW dan MINI dalam tempoh tiga tahun akan datang,” kata Loy Suan Chiow, pengurus besar Seong Hoe Premium Motors.
Bilik pameran yang telah diubahsuai dan dipertingkatkan ini turut menempatkan fasiliti dan perkhidmatan premium termasuk BMW Service, BMW Lifestyle, BMW Financial and Insurance Services, Fast Lane Service, Roadside Assistance bersama Pickup and Delivery Service. Selain itu, ia turut menempatkan MINI Service, Lifestyle and Accessories.
Selain memberikan kemudahan WiFi secara percuma, fasiliti yang turut ditampilkan termasuklah New Car Handover Lounge, Isetta Bar, ruang RATC (reception at the car) dan stesen pengecasan BMW AC dan DC. Pengecas pantas DC 30 kW turut ditampilkan, dengan pengecas AC berkapasiti 22 kW.
Stesen pengecasan ini dibuka untuk kegunaan awam dan pemilik kenderaan elektrik BMW dan MINI yang boleh menempah penggunaan pengecas menerusi aplikasi chargEV. Pengecas DC dikenakan kos penggunaan sebanyak RM0.40 bagi setiap minit untuk pemilik kenderaan BMW dan MINI dan RM0.60 setiap minit untuk kegunaan awam. Untuk pengecas AC pula, kos penggunaannya sebanyak RM2 bagi setiap 10 minit.
Bagi yang berminat dengan kenderaan dari BMW Premium Selection, bolehlah berkunjung ke bilik pameran Seong Hoe Premium Motors yang dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari Isnin hingga Sabtu, dan 10 pagi hingga 3 petang pada setiap Ahad dan cuti umum. Bilik pameran ini terletak di Lot 2020, Jalan Semabok, Taman Sinn Semabok, 75050, Melaka.
Jika anda mempunyai saman trafik yang masih belum dibayar, ini adalah peluang terbaik untuk anda melangsaikan saman tertunggak tersebut dengan kadar diskaun yang menarik yang sedang ditawarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), tetapi hanya untuk kesalahan trafik terpilih sahaja.
Polis Kontijen Kuala Lumpur telah mengumumkan tawaran diskaun saman trafik sempena dengan acara ‘Kebudayaan Negeri Serumpun Melayu Sumatera Barat Padang dengan Malaysia’ yang sedang berlangsung di Malaysia Grand Bazaar, BBCC, Lalaport KL. Kaunter trafik telah pun dibuka mulai hari ini sehingga esok, 1 Disember 2022, dari jam 9 pagi hingga 5 petang untuk orang ramai membayar saman trafik dengan diskaun sehingga 50%.
Untuk yang berada di Negeri Bawah Bayu pula, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontijen Sabah juga sedang menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% untuk kesalahan terpilih. Ia adalah sempena dengan program World Tourism Conference 2022 dan penawaran diskaun saman ini telah pun bermula sejak 28 November lalu sehingga 4 Disember ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) dan seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Negeri Sabah. Menurut Polis Sabah, bayaran saman boleh dilakukan mengikut tempat disediakan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada tempoh yang dinyatakan tersebut.
Walau bagaimana pun, diskaun saman berkenaan tidak boleh digunapakai bagi kesalahan Saman Kemalangan Tahun Semasa, Saman Berstatus Bicara Mahkamah, Kesalahan Op Selamat Tahun Semasa (enam kesalahan utama termasuk memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu), Saman Berstatus Waran Tangkap Semasa, Saman Berstatus Non Compaund (NC), Saman Berkaitan Ekzos dan Saman Berkaitan Lori.
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah mengumumkan pihaknya bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membina tanjakan (ramp) khas di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA). Ia adalah untuk kegunaan penduduk sekitar khususnya di Taman Sri Muda mengalihkan kenderaan sebelum ditenggelami banjir selain mempercepat kerja-kerja menyelamat mangsa bencana itu.
MBSA berkata, pelan tindakan banjir itu adalah hasil daripada sesi dialog yang diadakan pihaknya bersama dengan penduduk Taman Sri Muda yang menceritakan keadaan mereka yang tidak dapat menyelamatkan kenderaan masing-masing ketika peristiwa banjir besar tahun lepas.
Difahamkan tanjakan tersebut akan mula dibina secepat mungkin pada bulan hadapan dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu. Malah MBSA turut mengesahkan rekaan tanjak itu telah pun dihantar kepada Prolintas untuk dapat kelulusan (dari segi rekaan).
“Sebelum ini, apabila amaran banjir diberikan, penduduk memang meletakkan kenderaan mereka di atas lebuh raya itu dengan bantuan peronda LKSA. Tapi perjalanannya agak jauh kerana mereka perlu keluar dari laluan utama Taman Sri Muda.
“Kita akan menggunakan sebahagian daripada lebuh raya LKSA, dengan kira-kira 500 kenderaan boleh diletakkan di sepanjang lebuh raya itu,” kata Timbalan Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan.
Bagaimanapun, Mohd Rashidi memaklumkan laluan kecemasan berkenaan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh penduduk dan hanya boleh dibuka selepas mendapat arahan daripada Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang dan Ketua Polis Daerah Shah Alam.
Nissan telah memperkenalkan MPV Serena serba baru untuk pasaran Jepun dengan jualan versi enjin petrolnya akan dimulakan dalam masa terdekat, diikuti dengan model hibrid tahun depan. Harga pula berada antara 2.7 juta yen (RM87k) hingga 3.2 juta yen (RM104k) bagi model petrol. Bagi versi hibrid e-Power, harganya di antara 3.1 juta yen (RM100k) hingga 4.7 juta yen (RM152k).
Versi petrol menggunakan enjin 2.0 liter NA empat-silinder dengan janaan 150 PS dan 200 Nm. Turut ada pilihan 2WD dan 4WD ditawarkan bagi versi petrol, dengan kuasa disalurkan ke roda melalui kotak gear Xtronic CVT. Model e-Power hibrid pula menggunakan enjin 1.4L yang digandingkan dengan sebuah motor elektrik 163 PS dan 315 Nm tork. Sistem janaan terbaru ini disifatkan memberikan pecutan lebih lancar dan senyap.
Model e-Power berkenaan juga dikendalikan dengan hanya satu pedal, dengan pemacu utama sistem hibrid ini adalah motor elektrik, sementara enjin berfungsi sebagai generator elektrik untuk bateri.
Bergantung kepada varian, Nissan Serena C28 2023 ini mempunyai ukuran dimensi antara 4,690 mm dan 4,765 mm panjang, antara 1,695 mm hingga 1,715 mm lebar dan antara 1,870 mm hingga 1,885 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,870 mm. Sebagai perbandingan, Serena C27 mempunyai dimensi 4,770 mm panjang, 1,740 mm lebar dan 1,865 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,860 mm.
Semua varian Serena serba baru ini menggunakan enjin 16-inci dan lampu LED sepenuhnya serta dilengkapi ciri pintu penumpang tanpa kendalian tangan di kedua-dua sisi. Kit Autech turut ditawarkan untuk model ini, dengan perbezaan penampilan antaranya rekaan gril lebih menonjol serta rekaan bampar dan rim yang lebih sporty. Nissan memaklumkan binaan MPV ini telah dioptimumkan untuk mengalihkan angin lintang dan memperbaiki kestabilan dalam kelajuan tinggi.
Serena serba baru ini dibina dengan matlamat untuk mengurangkan mabuk kenderaan bagi sesetengah orang dan ini dicapai dengan menawarkan suspensi yang lebih keras bagi pergerakan dan kestabilan kenderaan yang lebih lancar. Kerusi juga diberi rekaan baru untuk mengurangkan pergerakan penumpang di tempat duduk ketika kenderaan bergerak.
Antara kelainan dalam kabin Serena serba baru ini adalah ia menggunakan suis pemilih gear serta cermin yang lebih lebar untuk memberikan penglihatan lebih baik. Ciri standard termasuklah brek parkir elektronik, paparan infotainmen tujuh-inci, slot USB-A dan USB-C, pendingin dwi-zon dan enam pembesar suara.
Serena ini juga mempunyai kabin paling luas dalam kategori minivan dengan tambahan ruang kaki sebanyak 120 mm di belakang berbanding model semasanya. Selain itu, model e-Power boleh dipilih untuk mempunyai sumber kuasa 100V AC untuk dimanfaatkan peranti elektronik lain. Serena serba baru ini juga pertama kali ditawarkan dengan varian Luxion yang berada lebih tinggi daripada Highway Star.
Ciri khas bagi varian paling tinggi terbaru itu ialah paparan skrin sentuh 12.3-inci infotainmen, pengecasan tanpa wayar, head-up display dan sistem bantuan pemandu ProPilot 2.0 yang turut membolehkan pemanduan tanpa kendalian tangan pada 40 km/j ke atas. Varian lain hanya dilengkapi dengan ProPilot standard. Varian Luxion ini juga satu-satunya yang menawarkan tataletak tujuh tempat duduk, sementara yang lain lapan-tempat duduk.
ProPilot Standard antara lain hadir dengan ciri AEB, amaran perlanggaran depan, bantuan stereng menghindari perlanggaran dan kawalan melayar adaptif. ProPilot 2.0 menerima penambahan ciri ProPilot Park dengan fungsi memori dan ProPilot Remote Park.
Ketika dalam operasi, ProPilot 2.0 bekerjasama dengan sistem tunjuk arah NissanConnect untuk mengubah kelajuan, membrek dan operasi stereng kenderaan secara automatik berdaarkan papan tanda had laju serta maklumat peta untuk pengalaman lebih lancar.
Jabatan Pengairan dan Saliran yang berada di bawah seliaan Kementerian Alam Sekitar dan Air telah mengeluarkan makluman amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di seluruh Malaysia.
Kawasan yang dijangkakan bakal berlaku banjir kilat berkenaan adalah di Johor Bahru dan Pontian di Johor; Larut, Matang dan Selama di Perak; Bandar Baharu dan Kulim di Kedah; Temerloh dan Bentong di Pahang; Hulu Selangor dan Hulu Langat di Selangor; dan Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
Hujan agak lebat sejak tengah hari tadi dan beberapa makluman di media sosial memberi petunjuk kepada keadaan ini. Sebuah hantara daripada Jabatan Penerangan WPKL menunjukkan air mula naik di Jalan Tun Razak berhadapan dengan Shell — bagaimanapun kenderaan masih boleh melalui jalan berkenaan.
Jika anda berhadapan dengan situasi seperti ini, berhati-hati dan jangan cuba melepasi laluan yang takungan airnya sudah tinggi kerana itu boleh mendatangkan kerosakan kepada kenderaan anda. Selain itu, pastikan juga kenderaan anda telah diberikan pelindungan insurans daripada bencana alam (special perils) sebagai persediaan untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk sekiranya kenderaan rosak akibat banjir.
Setelah tiga tahun berehat kerana pandemik Covid-19, perlumbaan rali rentas negara Asia Cross Country Rally 2022 telahpun selamat dilangsungkan bermula 21 November di Buriram, Thailand, dan berakhir pada 26 November lalu di Angkor Wat, Kemboja. Dan pada kali ini, kategori utama empat roda di menangi oleh Mitsubishi Triton dari pasukan Mitsubishi Ralliart yang dipandu oleh pemandu Thailand, Chayapon Yotha bersama juruarahnya Peerapong Sombutwong.
Seperti yang telah diumumkan tempoh hari, ini merupakan perlumbaan pertama Mitsubishi Ralliart selepas pasukan berkenaan ‘dihidupkan semula‘ setelah ‘tidur’ selama 11 tahun. Ia dipimpin oleh juara Rali Dakar 2002 dan 2003 Hiroshi Masuoka sebagai prinsipal pasukan, dan selain Chayapon Yotha, dua lagi Triton pasukan tersebut dipandu oleh pemandu Indonesia Rifat Sungkar, dan seorang lagi pemandu Thai Sakchai Hantrakul.
Secara keseluruhan, AXCR 2022 ini melibatkan perjalanan sejauh 1,524 km, dengan ujian masa dalam 6 Special Stage (SS) dalam jarak 637 km. Mitsubishi Triton spesifikasi Group T1 yang dipandu Chayapon Yotha melengkapkan kesemua SS berkenaan dalam masa 8 jam, 22 minit dan 42 saat.
Yotha meninggalkan Toyota Hilux Revo dari pasukan Toyota Cross Country Team Thailand yang dipandu oleh Jaras Jaengkamolkulchai 5 minit 47 saat di belakang, manakala tempat ketiga milik pemandu Jepun Ikuo Hanawa yang memandu SUV Toyota Fortuner yang tertinggal hanya 5 saat di belakang Jaengkamolkulchai.
Pemandu sensasi Indonesia Rifat Sungkar walau bagaimanapun hanya menghabiskan rali ini di tempat kelima dengan masa keseluruhan 8 jam 39 minit 56 saat, atau 17 minit 14 saat lebih lambat berbanding Yotha. Manakala seorang lagi pemandu Mitsubishi Ralliart, Sakchai Hantrakul yang disahkan positif Covid-19 tidak dapat meneruskan perlumbaan selepas SS pertama.
Separa pertama rali ini berlangsung di Thailand, membabitkan laluan kering berkelajuan tinggi di atas permukaan off-road yang lasak. Namun untuk separa kedua rali ini yang berlangsung di Kemboja, laluan yang disediakan lebih mencabar dengan lebih banyak lecak disebabkan hujan lebat.
Pada SS1 pertama, barisan Isuzu D-Max dari pasukan Isuzu Suphan Explorer mendominasi rali ini dengan berada di tempat pertama, ketiga dan keempat, manakala satu lagi D-Max dari pasukan Ayumi Racing Team berada di tempat kedua. Chayapon Yotha hanya mampu berada di tempat kelima, diikuti Rifat Sungkar di tempat keenam.
‘Taring’ Yotha dan Triton mula keluar pada SS kedua, iaitu SS paling panjang dalam AXCR 2022 dengan laluan sepanjang 203 km dengan mencatatkan masa terpantas 2 minit 50.18 saat, meninggalkan Ditsapoog Manein dari pasukan Isuzu Suphan Explorer lebih 4 minit di belakang. Ini membolehkan Yotha naik ke tempat pertama secara keseluruhan, dan terus berada di kedudukan tersebut sehingga ke garis penamat di Kemboja
Rifat Sungkar pula tidak begitu bernasib baik. Tayar Triton yang dipandunya pecah pada SS kedua, dan turut menyebabkan kerosakan pada casis. Insiden tersebut menyebabkan dia jatuh ke tempat ke lapan. Walau bagaimanapun, kerosakan berkenaan berjaya diperbaiki oleh pasukan membolehkan dia meneruskan perlumbaan pada hari seterusnya.
Dia berjaya mencatatkan masa keempat terpantas pada SS3, kelima pada SS4, keempat pada SS5 dan ketujuh pada SS6, membolehkannya berada di tangga kelima secara keseluruhan selepas habis perlumbaan.
“Untuk AXCR tahun ini, kami bangunkan Triton berasaskan tahap kebolehpercayaan dan ketahanannya dengan menala enjin serta casis, dan menyertai rali dengan spesifikasi yang hampir kepada model produksi biasa. Walaupun begitu, dua jentera rali Triton telah memberikan pemanduan yang berkuasa, dan saya bangga dengan pengakhiran pada kedudukan yang tinggi,” kata Hiroshi Masuoka.
“Prestasi yang luar biasa dipamerkan oleh pemandu, yang dapat mengekstrak prestasi Triton dan memberikan pemanduan yang hebat, jurutera yang bekerja setiap hari untuk memperhalusi jentera dengan sempurna, semua kakitangan yang memberikan sokongan, dan pengetahuan yang telah dikumpulkan oleh Mitsubishi Motors selama bertahun-tahun,” tambahnya lagi.
Masuoka turut memberikan bayangan bahawa Mitsubishi Ralliart mungkin akan menghasilkan semula peralatan prestasi untuk dijual dalam pasaran selepas kejayaan pasukannya dalam AXCR kali ini, selari dengan apa yang telah disebut sebelum ini.
“Kunci kepada semua itu adalah sokongan padu daripada penaja kami dan mesej sokongan yang penuh semangat yang kami terima daripada peminat di seluruh dunia. Kami ingin menyalurkan pengetahuan kami memperoleh hasil melalui penyertaan kami dalam AXCR kembali ke dalam pembangunan kenderaan produksi, dan membina kenderaan Mitsubishi yang lebih lasak, lebih berkuasa dan lebih dipercayai,” kata Masuoka.
Sebelum rali ini bermula, kami sempat merasai pengalaman sebenar menaiki Triton Group T1 tersebut ketika pasukan Mitsubishi Ralliart membuat sesi shakedown mereka pada awal September lalu di di Grand Prix Motor Park, Kanchanaburi, terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Bangkok. Nak tau mana rasa Taxi Ride Triton yang dipandu Chayapon Yotha tersebut? Anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.
Dengan model Ora Good Cat telah pun dilancarkan secara rasmi di Malaysia, Great Wall Motors (GWM) kini mengumumkan rancangan pengembangan syarikat, yang berkenaan dengan penawaran produk serta rangkaian pengedarnya.
Menurut presiden rantau Asia GWM, Zhang Jiaming, dalam masa tiga tahun akan datang, GWM akan memperkenalkan sembilan model untuk pasaran Malaysia, dan ini termasuk kenderaan dalam segmen sedan, SUV dan trak pikap dalam kategori kenderaan tenaga baru (NEV).
Syarikat itu juga meletakkan sasaran untuk menjadi pendahulu jenama EV di Malaysia. Berkenaan pembangunan rangkaian, GWM mempunyai perancangan untuk membuka 15 pusat perkhidmatan di sekitar Semenanjung Malaysia, dan kebanyakan daripadanya akan menjadi pusat 3S, dan 70% adalah di dalam kawasan bandar.
Tambah Zhang lagi, lima pusat khidmat pertama akan dibuka pada bulan Disember, merangkumi kawasan utara, selatan dan tengah Semenanjung Malaysia, sementara operasi pemasangan tempatan pula akan bermula tahun depan, seterusnya membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Great Wall Motors kembali ke pasaran Malaysia secara rasmi pada Julai lalu, melalui syarikat Great Wall Motor Sales Malaysia. Selain EV Ora Good Cat, kita juga boleh menjangka ketibaan Haval H6 serta Haval Jolion ke dalam negara, dan kedua-duanya telah pun pernah dilihat diuji atas jalan raya di sini.
Berkenaan dengan NEV pula, mungkin H6 atau Jolion versi elektrik yang akan dibawa masuk. Thailand juga sudah menerima H6, tetapi dalam versi PHEV yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 326 hp dan tork 530 Nm.
Baru-baru ini, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan bahawa beliau menolak menggunakan “Mercedes S600” sebagai kereta rasminya. Menurut beliau, Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah sebelum beliau memasuki pejabat. Namun disebabkan S600 tidak lagi dikeluarkan, apa yang dimaksudkan oleh Anwar kemungkinan besar adalah S580e plug-in hybrid terkini. Jadi, apakah kereta rasmi yang digunakan oleh PM10 kita ini jika bukan S-Class?
Nampak gayanya, beliau akan terus menggunakan Toyota Camry, buat masa ini. Semalam, Anwar menghadiri mesyuarat majlis Pakatan Harapan (PH) dan ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan kelihatan menaiki Camry berwarna hitam dengan plat pendaftaran WRN 222.
Beliau memuat naik kenyataan menerusi Facebook rasminya, “Saya membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat bagi kegunaan harian dan menolak Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh oleh JPM sebelum saya memasuki pejabat. Langkah tersebut diambil, kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas saya,” katanya.
Malah kelmarin beliau juga telah diajukan soalan yang sama oleh wartawan, dan beliau menjawab, “Kereta Mercedes tak sampai…saya pakai kereta ini (Camry) OK kan? Mana-mana kereta yang ada.”
Jika Anwar terus memilih untuk menggunakan Camry, jelas ia adalah salah satu langkah penjimatan kos yang efisien. Walau pun Camry dianggap sebagai sedan yang agak sederhana untuk kegunaan oleh seorang Perdana Menteri, apatah lagi sedan segmen-D tersebut digunakan secara meluas sebagai teksi di beberapa negara luar seperti Taiwan.
Camry facelift yang dibawa masuk dari Thailand, dilancarkan di pasaran Malaysia pada Februari lalu, menggunakan enjin 2.5L Dynamid Force dengan hamburan kuasa 209 PS/253 Nm, meningkat hingga 25 PS/18 Nm berbanding model terdahulu. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan, tambahan dua kelajuan berbanding model pra-facelift.
Namun pagi semalam sewaktu menyambut ketibaan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dalam siri lawatan khas baginda ke Malaysia, kelihatan Anwar menaiki BMW 7 Series G12 berwarna hitam dengan plat pendaftaran BEM 1. Walau bagaimana pun, sebaik sahaja tiba di Pengkalan TUDM Subang, Sultan Hassanal Bolkiah pula yang memandu kereta mewah tersebut dengan Anwar duduk di sebelahnya, menuju ke Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia, PHS Automotive telah mendedahkan bahawa model e-tron GT akan tiba ke dalam negara pada Q2 2023. Pengumuman ini dibuat selepas terdapat khabar yang mengatakan barisan model elektrik e-tron akan dijual di Malaysia tidak lama lagi.
Model yang dinamakan sebagai kereta prestasi terbaik dunia tahun 2022 ini akan ditawarkan dalam dua varian di negara kita, iaitu e-tron GT dan RS e-tron GT. Untuk masa sekarang, model RS lain yang ditawarkan oleh PHS Automotive antaranya termasuk Q8 RS, RS3 Sedan, RS5, RS7 Sportback, RS4 dan RS6 Avant.
Kedua-dua e-tron GT dan RS e-tron GT digerakkan oleh dua motor elektrik untuk menghasilkan pacuan semua roda, dan menggunakan sumber bateri lithium ion 85 kWh. Jarak gerak elektriknya adalah 487 km mengikut kitaran WLTP, sementara transmisi pula menggunakan unit dua kelajuan.
e-tron GT menghasilkan kuasa 476 PS (350 kW) dan tork 630 Nm dalam keadaan biasa, tetapi apabila menggunakan Launch Control, ia boleh meningkat menjadi 530 PS dan 640 Nm buat masa singkat 2.5 saat. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.1 saat, sebelum mencapai kelajuan 245 km/j.
Untuk RS e-tron GT pula, ia boleh menghasilkan 598 PS (440 kW) dan 830 Nm dalam keadaan biasa, dan meningkat menjadi 646 PS (475 kW) apabila menggunakan mod boost. Dengan kuasa ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, sebelum mencapai laju maksimum 250 km/j.
Tetapan elektrik 800 volt pada e-tron GT membawa makna ia boleh menggunakan sistem pengecas pantas sehingga 270 kW, dan pengecas AC 22 kW. Apabila menggunakan pengecas pantas, tahap bateri e-tron GT boleh naik sehingga 80% dalam masa cuma 22.5 minit. Dengan hanya mengecas selama lima minit sahaja, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 100 km.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pengendali bagi Lebuhraya Utara Selatan telah memaklumklan penutupan sementara bagi laluan Ipoh Utara-Ipoh Selatan (arah selatan) di lebuhraya terbabit pada 30 November 2022, mulai jam 10 pagi hingga 2.30 petang bagi tujuan latihan simulasi kecemasan.
Menurut PLUS, sepanjang tempoh tersebut, pengguna daripada utara/Kuala Kangsar yang menghala ke selatan/Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Plaza Tol Ipoh Utara dan seterusnya dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) iaitu jalan susur Jelapang-Ampang sepanjang latihan simulasi tersebut berlangsung. Pengguna boleh meneruskan perjalanan ke Selatan dengan memasuki semula Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Plaza Tol Ipoh Selatan.
Latihan simulasi tersebut diadakan bagi menguji tahap kecekapan, masa tindak balas dan tindakan yang diambil oleh PLUS, pasukan penyelamat serta agensi yang terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan, mengkaji dan memeriksa aliran proses prosedur keselamatan di lebuh raya.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, “Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu, latihan seumpama ini dijalankan dari masa ke masa untuk mengukur tahap persediaan kakitangan PLUS dan agensi yang berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.”
Latihan kecemasan kali ini akan melibatkan agensi-agensi yang terbabit antaranya Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar, Angkatan Pertahanan Awam, MERS 999, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, MIROS, Edgenta Infrastructure Services (EIS) dan sebagainya.
Justeru, pengguna lebuhraya tersebut dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika latihan diadakan. Sila hubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
Minggu lalu, juara Formula 1 tujuh kali Lewis Hamilton memuat naik satu video di akaun Instagram peribadinya, memaparkan beliau memandu sebuah Nissan Skyline GT-R R34 di Jepun. Dalam video tersebut, Hamilton dilihat memandu R34 berkenaan di lebuhraya, dan kemudian membuat aksi ‘donut’ di tempat awam sehingga asap keluar dari celah-celah tuil penukar gear!
Hamilton tidak menyatakan milik siapa sebenarnya Skyline tersebut. Namun selepas video berkenaan tular, pemilik kereta berkenaan iaitu syarikat sewaan kereta Omoshiro Rent-A-Car menyatakan bahawa R34 itu adalah milik mereka dan apa yang Hamilton lakukan telah melanggar perjanjian sewaan kereta berkenaan.
“Ini adalah kereta dari Omoshiro Rent-A-Car, tetapi ia tidak diberi kebenaran daripada syarikat kami. Pemanduan sedemikian adalah dilarang sama sekali,” tulis syarikat berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya yang menggunakan nama info82262789.
Omoshiro Rent-A-Car merupakan syarikat kereta sewa di Jepun yang bukan menawarkan kereta-kereta biasa, tetapi ia hadir dengan pelbagai pilihan kereta sport dan eksotik. Menurut laman CarBuzz yang menghubungi Omoshiro berkenaan perkara ini, Skyline GT-R tersebut disewa oleh Hamilton atau pihak yang berkaitan dengannya ketika berlangsungnya Grand Prix Jepun 2022 di Litar Suzuka bulan lalu.
Walau bagaimanapun, sehingga kini video tersebut masih dipaparkan di laman Instagram Lewis Hamilton, dan beliau masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Akhirnya, selepas beberapa kali perincian dan berita mengenainya berlegar sebelum ini, Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan di sini. Tempahan bagi kereta ini juga sudah mula dibuka pada pertengahan November lalu dan mencatatkan 100 unit tempahan bagi tempoh hujung minggu pertama ketika itu.
Ketika perlancaran yang berlangsung hari ini, dua varian yang diperkenalkan iaitu 400 Pro dan 500 Ultra, yang masing-masing dijual pada harga RM139,800 dan RM169,800. Ora Good Cat mempunyai ukuran dimensi 4,235 mm panjang, 1,596 mm tinggi dan 1,825 mm lebar.
Selain harga, kedua-dua varian berkenaan dibezakan oleh kapasiti bateri yang digunakan, dan dengan itu jarak perjalanannya juga berbeza. 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km.
Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ujian WLTP yang lebih dekat dengan penggunaan dunia nyata akan memberikan bacaan kurang 20% daripada itu. Di Eropah, model dikenali sebagai Funky Cat yang menggunakan bateri dengan kapasiti yang sama memberikan 310 km jarak WLTP bagi pek bateri 47.8 kWh yang sama.
Janaan kuasa yang dihasilkan antara keduanya pula adalah sama, iaitu 105 kW (143 PS) dan 210 Nm. Waktu pengecasan penuh bagaimanapun berbeza. Jika dengan pengecas biasa (AC, sehingga 6.6 kW), 400 Pro memerlukan masa hingga lapan jam untuk baterinya penuh, manakala 500 Ultra memerlukan 10 jam. Namun, dengan pengcesan pantas DC (sehingga 60 kW), tahap 0-80% bagi 400 Pro boleh dicapai dalam masa 46 minit (32 minit jika dari 30-80%), sementara bagi 500 Ultra pula ialah 60 minit dari 0-80% (40 minit jika dari 30-80%).
Antara kelengkapan yang ada pada model ini ialah lampu utama LED pintar, lampu belakang LED dengan lampu kabus belakang, larasan lampu tinggi automatik, cermin sisi automatik pengilap cermin automatik dan bumbung panoramik. Rim bersaiz 18-inci dengan tayar 215/50.
Di dalam, selain menampilkan kemasan dua-tona warna, kedua-duanya dilengkapi dengan paparan kluster intrumen digital tujuh-inci dan skrin sentuh infotainmen 10.25-inci serta penukar gear elektronik. Pembesar suara bagi 400 Pro ada empat, manakala bagi varian paling tinggi ada enam kesemuanya. Ciri Apple CarPlay dan juga Android Auto juga tidak ketinggalan. Sistem pendingin dan pengudaraan dalam kabin juga dilengkapi dengan penapis udara PM 2.5. Kerusi pemandu juga ada ciri urutan, serta sistem memori.
Ora Good Cat juga lengkap dengan sistem keselamatan aktif yang canggih. Antara yang perlu disebutkan adalah bantuan tiga mod untuk parkir, Wisdom Dodge System yang membolehkan pemandu mengekalkan jarak selamat daripada kenderaan besar, Cornering Brake Control, AEB dengan bantuan di persimbangan dan ketika mengikut perlahan, kawalan melayar adaptif dengan Intelligent Turning dan Traffic Jam Assist. Ia dilengkapi dengan 12 radar sonic dan enam kamera untuk tujuan ini.
Ada dua kelompok pilihan warna yang ditawarkan, iaitu warna tunggal dan dua-tona. Warna tunggal didatangkan dalam Coral Blue, Hamilton White dan Sun Black. Bagi dua-tona pula datang dalam Verdant Green dengan bumbung putih, Hazel Wood Beige dengan bumbung hitam, Mars Red dengan bumbung hitam dan Hamilton White dengan bumbung hitam.
Pelanggan juga akan sediakan dengan pengecas mudah alih dan di rumah secara percuma. Kereta EV ini diberikan jaminan lima-tahun atau 150,000 km, manakala jaminan bateri pula adalah untuk lapan-tahun atau 180,000km, serta dengan upah buruh percuma selama lima kali. Ikuti juga pengalaman kami memandu uji kereta elektrik ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditawarkan.
Semalam negara menyaksikan satu peristiwa yang bersejarah – setelah berada di blok pembangkang selama 24 tahun, pengerusi Pakatan Harapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Dan hari ini, secara rasmi beliau telah pun memulakan tugasnya di Putrajaya.
Namun dalam rakaman video pergerakan konvoi DSAI dari rumah ke pejabatnya pagi tadi, ada sesuatu yang menarik perhatian warga net iaitu sebuah Volvo XC90 berwarna hitam yang mengetuai konvoi berkenaan. XC90 generasi pertama itu dilihat dilengkapi dengan peranti pelik berupa sebuah kotak besar berwarna hitam bersama antena-antena yang cukup tinggi di sekelilingnya.
Apa fungsi Volvo XC90 tersebut? Kami berhubung dengan sumber yang boleh dipercayai bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkara ini. Menurutnya, kenderaan itu adalah milik polis, dan ia digunakan untuk menjaga keselamatan VIP.
“Kenderaan itu mempunyai dua fungsi. Satu, ia adalah penyampai komunikasi antara kenderaan lain dalam konvoi, dengan membawa beberapa pemancar berkuasa tinggi dan biasanya beroperasi dalam gelombang UHF dan VHF. Ini membolehkan semua kenderaan dalam konvoi untuk kekal berada dalam jaringan komunikasi yang sama dan berkomunikasi dengan stesen lain dalam jaringan yang sama,” kata sumber kami.
“Satu lagi fungsi utama, selain daripada komunikasi, adalah fungsi kenderaan sebagai pengacau isyarat.” tambah sumber tersebut lagi. Dia juga menyatakan bahawa informasi yang disampaikan ini tidak didedahkan kepada umum dan diklasifikasikan sebagai “Rahsia” di Malaysia.
“Pengacau isyarat adalah untuk menghalang orang jahat daripada menggunakan telefon bimbit atau isyarat RF (frekuensi radio) untuk meletupkan bom, atau untuk menghalang isyarat keluar untuk melakukan serangan hendap,” jelasnya. “Ini biasa digunakan untuk operasi ketenteraan, terutamanya konvoi. Dalam kes ini, kenderaan awam digunakan untuk beroperasi di kawasan bandar.”