Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Modenas perkenal program keahlian baru dengan lebih faedah termasuk pelbagai diskaun dan tunda percuma

    Modenas perkenal program keahlian baru dengan lebih faedah termasuk pelbagai diskaun dan tunda percuma

    Modenas hari ini melancarkan program keahlian baru yang dapat memberikan lebih tawaran dan faedah kepada pelanggannya. Caj sebanyak RM60 akan dikenakan bagi pendafataran ahli baru, sementara untuk pembaharuan keahlian pula, cajnya adalah sebanyak RM40.

    Melalui program keahlian ini, setiap ahli antaranya boleh menikmati baucar pembelian alat ganti tulen, diskaun pembelian alat ganti tulen, diskaun khas pada hari kelahiran serta bantuan tundaan 24 jam untuk kerosakan di jalan raya percuma (dalam lingkungan 100 km pergi-balik dari pusat wakil servis MODENAS berdekatan dan sehingga empat kali bantuan setahun).

    “Kami sentiasa peka dan prihatin terhadap pelanggan kami. Dengan adanya program keahlian ini, serta tawaran menarik yang diberikan, kami meletakkan sasaran seramai 1,000 ahli baharu dalam suku kedua tahun ini. Dengan peningkatan jualan motosikal Modenas yang semakin rancak di pasaran serta rakan kongsi baharu, Kawasaki, tidak mustahil bagi syarikat untuk mencapai sasaran ini,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

    Pendaftaran ahli baru dan pembaharuan keahlian program keahlian dalam format baru ini dapat dilakukan di mana-mana pusat servis berdaftar Modenas di seluruh negara atau daftar dalam talian di laman www.modenas.my. Maklumat lanjut boleh hubungi talian Careline Modenas di 1-800-880-181.

     
     
  • Yamaha NMax diperkenal dalam warna baru – RM9.5k

    Yamaha NMax diperkenal dalam warna baru – RM9.5k

    Yamaha NMax yang berada dalam pasaran negara kita sekarang dilancarkan kali pertama pada Disember tahun 2020, dan kali terakhir ia diberikan pembaharuan warna adalah Jun tahun lalu. Kini selepas satu tahun, pilihan warnanya sekali lagi diubah, dan sekarang dijual dalam dua warna baru iaitu Matt Green dan Matt Blue.

    Bagi warna Matt Green, ia datang dengan rim warna emas, sementara warna Matt Blue datang dengan rim warna hitam. Harganya juga didapati sudah meningkat, menjadi RM9,498 (tidak termasuk insurans), berbanding RM8,998 pada tahun lepas. Selain warna, tiada perubahan lain yang diberi pada skuter ini.

    NMax dipacu oleh enjin Enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 155 cc VVA yang mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm, dan dipadankan bersama transmisi jenis automatik CVT.

    Model yang dipasarkan di Malaysia adalah antara yang paling ringkas jika dibandingkan dengan negara lain, dan ia tidak mempunyai Y-Connect, kawalan cengkaman, ABS, suspensi belakang dengan tabung gas serta sistem kunci pintar.

    Walaubagaimanapun, ia masih dilengkapi dengan sistem start/stop, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruang simpanan bawah tempat duduk 23.3 liter serta brek cakera depan dan belakang. Berat keseluruhan skuter ini adalah 130 kg dan ia menggunakan rim 13 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan Mercedes-Benz EQS secara rasminya pada Jumaat ini (22 Julai 2022), seperti mana yang diumumkannya menerusi laman web rasmi dan media sosial syarikat tersebut. Sedan elektrik sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di persada dunia pada April 2021 dan telah membuka pendaftaran minat untuk pasaran Malaysia sejak Mac lalu.

    Pada Jun lalu, EQS telah dikesan di stesen Petronas di R&R Gambang arah-timur di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Kereta berkenaan dilitupi balutan penyamaran, namun tidak sukar untuk mengenalinya.

    Buat masa ini, EQS dibarisi enam varian, termasuk EQS 350, EQS 450+, EQS 450 4Matic, EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic dan AMG EQS 53 4Matic+. Spesifikasi penjana kuasa untuk setiap varian adalah seperti di bawah:

    • EQS 350: bateri 90.6 kWh; jarak 638 km penilaian-WLTP; motor-tunggal RWD; 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan 565 Nm
    • EQS 450+: bateri 107.8 kWhy; jarak 785 km penilaian-WLTP; motor-tunggal RWD; 333 PS (329 hp atau 245 kW) dan 568 Nm
    • EQS 450 4Matic: bateri 107.8 kWh; jarak 685 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan 800 Nm
    • EQS 500 4Matic: bateri 107.8 kWh; jarak 685 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 449 PS (443 hp atau 330 kW) dan 855 Nm
    • EQS 580 4Matic: bateri 107.8 kWh battery; jarak 676 km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 855 Nm
    • AMG EQS 53 4Matic+: bateri 107.8 kWh; jarak 586 km km penilaian-WLTP; dwi-motor AWD; 658 PS (649 hp atau 484 kW) dan 949 Nm, atau 761 PS (751 hp atau 560 kW) dan 1,020 Nm dengan pilihan pakej AMG Dynamic Plus

    Untuk pengecasan, barisan EQS boleh menggunakan pengecas onboard AC 11-kW secara standard dan juga pengecas 22-kW. Bukan itu sahaja, model ini juga boleh menggunakan pengecas pantas DC sehingga 200 kW, yang berkeupaya membekalkan jarak tambahan cecah 300 km dalam 15 minit (varian dengan bateri yang lebih besar).

    Setakat ini, apa yang diketahui model EQS bakal dilancarkan di sini, dengan senarai kit dan harga rasmi yang akan diumumkan. Selain EQS, MBM juga dijangka akan memperkenalkan dua lagi model EV di bawah barisan EQ, iaitu EQB dan EQC. Menerusi e-mel yang dihantar untuk sesiapa yang telah mendaftar minat, dua SUV elektrik tersebut turut kelihatan dalam gambar bersama EQS, walau bagaimana pun, setakat ini tiada pengesahannya.

    Sebelum ini, EQC pernah dipertontonkan di Malaysia pada Jun 2019 sempena dengan pelancaran S-Class PHEV (S 560 e). Pada waktu itu, MBM berkata EQC 400 4Matic – varian tunggal setakat ini – dibuka untuk tempahan dan harga jangkaannya sekitar RM600,000.

    Manakala berkenaan EQB pula iaitu model baharu di bawah barisan EQ, ia pertama kali didedahkan pada April tahun ini. Pada asasnya, versi semua-elektrik bagi GLB itu telah pun dijual di sini, ia diberikan konfigurasi tujuh-tempat duduk dan tiga pilihan penjana kuasa.

    Mercedes-Benz EQS 2022 dilancarkan di Malaysia pada 22 Julai – EQB, EQC juga akan diperkenalkan?

    Varian pertama ialah EQB 250 yang diberikan motor elektrik yang dipasang di hadapan, dengan kuasa 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan 385 Nm. Diikuti dengan EQB 300 4Matic yang digandingkan dengan dwi-motor dan pacuan semua-roda dengan kuasa 228 PS (225 hp atau 168 kW) dan 390 Nm, serta EQB 350 4Matic dengan 292 PS (288 hp atau 214 kW) dan 520 Nm. Ketiga-tiganya didatangkan dengan bateri lithium-ion 66.5 kWh yang memberikan jarak hingga 452 km untuk EQB 250 dan 412 km bagi kedua-dua varian 4Matic.

    Sehingga kini, hanya model EQA di bawah barisan EQ dilancarkan di pasaran tempatan pada Mac lalu dengan varian tunggal EQA 250 AMG Line yang ditawarkan pada harga RM286,888 (termasuk cukai SST), tetapi masih menerima insentif dari kerajaan untuk EV.

    Buat setakat ini, EQS telah disahkan akan dilancarkan pada 22 Julai ini, tapi kita kena tunggu adakah MBM turut akan memperkenalkan model EQ yang lain pada hari yang sama.

    GALERI: Mercedes-Benz EQS yang dikesan di Malaysia

    GALERI: Mercedes-Benz EQS

     
     
  • Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan amaran agar pemilik kenderaan tersadai di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara supaya mengalihkan kenderaan terbabit dalam tempoh 14 hari, atau berdepan dengan tindakan penundaan dan pelupusan.

    Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail, tindakan berkenaan diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

    Tambah beliau, DBKL melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penguatkuasaan (JPK) bagi menangani aduan yang diterima berkaitan kenderaan usang yang tersadai di kawasan kediaman berkenaan.

    Alihkan kenderaan anda yang tersadai di kawasan PPR dan Perumahan Awam atau berdepan tindakan – DBKL

    “JPKKB bertanggungjawab menyediakan senarai kenderaan usang yang tersadai di lot tempat letak kereta di PPR atau PA DBKL dan dipanjangkan kepada JPK untuk tindakan selanjutnya. JPK hanya akan melakukan tindakan tunda terhadap pemilik kenderaan yang masih ingkar selepas Notis Penguatkuasaan dikeluarkan kepada pemilik supaya kenderaan itu dialihkan dalam tempoh tiga, tujuh atau 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

    “Sekiranya kenderaan berkenaan masih tidak dituntut oleh pemilik selepas sahaja tamat tempoh Notis Pemakluman, kenderaan itu akan disyorkan untuk proses pelupusan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Osman turut berkata, sepanjang 2021, sebanyak 1,346 kenderaan buruk atau tersadai di sekitar Kuala Lumpur sudah ditunda, manakala 129 buah bagi Januari hingga April lalu.

     
     
  • Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

    Johor bakal perbanyakkan stesen pengecas EV, termasuk kawasan luar bandar tumpuan pelancongan

    Kerajaan Negeri Johor sedang merancang untuk membina lebih banyak stesen pengecas kende­raan elektrik (EV) dalam tempoh beberapa tahun lagi, bukan sahaja di kawasan bandar, malah turut mensasarkan kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan pelancong, lapor Utusan Online.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar, inisiatif berkenaan dibuat adalah untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri tersebut. Dan bagi merealisasikan perkara ini, pihaknya telah bekerjasama dengan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) untuk menjalankan kajian dalam tempoh 18 bulan.

    “Pada masa ini, jumlah stesen EV di Johor masih kecil. Jadi, kita bercadang untuk menambah bilangan stesen yang menawarkan perkhidmatan tersebut, khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tarikan pelancong,” katanya

    “Langkah ini juga selari dengan keputusan kerajaan Singapura yang sedang beralih menuju penggunaan kenderaan elektrik menjelang 2040. Jadi, adalah lebih baik untuk kita membuat persediaan awal. Ini kerana jika tiada persediaan, kita akan kerugian kerana kemudahan itu secara tidak langsung turut menyumbang kepada pendapatan dalam sektor pelancongan di negeri ini,” tambahnya dalam laporan berita semalam.

    Walau bagaimanapun, Raven menegaskan bahwa usaha ini turut memerlukan penglibatan daripada pelbagai pihak termasuk swasta, khususnya pemain industri yang berkepentingan.

    “Untuk menjayakan perkara ini, kita tidak boleh hanya berharap kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya pemain industri dan pelbagai sektor lain boleh turut melibatkan diri. Jika sesuatu lokasi tumpuan pelancongan menyediakan kemudahan stesen pengecas EV, itu pasti akan menjadi nilai tambah dalam menarik kehadiran pengunjung ke lokasi berkenaan,” jelasnya.

    Johor dilihat semakin proaktif dalam mempromosikan penggunaan EV di negeri berkenaan. Jun lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menggantikan lima kereta rasminya dengan kereta elektrik, dan bercadang untuk menambah penggunaan EV lain seperti van-van elektrik.

    Langkah berkenaan adalah sebahagian dari rancangan jangka masa panjang untuk mengurangkan jejak karbon, bagi menjadikan bandaraya di Johor tersebut sebuah tempat yang moden dan mesra alam.

    “Kita perlu bergerak ke arah itu memandangkan negara jiran kita Singapura sudah mengambil langkah proaktif untuk mengehadkan penggunaan kenderaan yang menggunakan diesel, sambil menggalakkan penggunaan EV. Untuk mendapat manfaat daripada ekonomi Singapura, kita perlu setanding dengan mereka. Pada masa ini, kami mempunyai beberapa stesen pengecas EV di kawasan Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Pasir Gudang tetapi kami memerlukan lebih banyak lagi,” kata pengerusi jawatankuasa perumahan dan kerajaan tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

     
     
  • JPJ eBid: QRR dan NDV bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Negeri Sembilan bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRR, akan boleh dibida mulai 22 Julai ini dan berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 26 Julai 2022. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Julai. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Turut bakal boleh dibida ialah siri nombor pendaftaran Negeri Sembilan, NDV. Bidaannya bakal dibuka bermula 24 Julai ini sehingga jam 10 malam pada 28 Julai 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 Julai.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton X50 kini boleh kemaskini gunakan ATLAS OS

    Proton X50 kini boleh kemaskini gunakan ATLAS OS

    ACO Tech dengan rasminya telah mengumumkan bahawa Proton X50 kini boleh menerima operasi sistem ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services) melalui kemaskini over-the-air (OTA). Kemaskini berkenaan mungkin mengambil masa sehingga 14 hari untuk diterima oleh semua kenderaan yang berkaitan.

    Pertama kali diumumkan September tahun lalu, sistem operasi infotainmen yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia itu dilancarkan pada Jun lalu, memberikan pelbagai penambah baikan berbanding sistem Geely Smart Ecosystem (GKUI) terdahulu.

    Antara ciri terbaru yang dibawakan oleh OS ATLAS ini adalah antaramuka baru, menambahbaikan kepada sistem pengesanan suara serta tunjuk arah, serta aspek berkaitan yang lain.

    Bantuan suara digital kini lebih baik untuk mengendalikan ucapan biasa, susulan kepada usaha sama antara ACO Tech dan platfrom penstriman muzik popular berkenaan. Servis penstriman lainnya — seperti Joox dan Syok oleh Astro — turut akan ditawarkan kepada pengguna ATLAS, dan dengan itu turut membolehkan kawalan fungsi seperti kawalan pendingin, ciri keselamatan dan untuk memeriksa status kenderaan.

     
     
  • Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Hampir dua tahun lalu, kami telah membawakan hasil ‘karya’ pertama dari Dream Street Restortion, iaitu sebuah Proton Satria GTi yang diberikan tag DSR-001-C99. Ketika itu, DSR masih belum ada fasiliti sendiri, dan ‘menumpang’ di bengkel vendor mereka. Selain dari melakukan kerja-kerja restorasi dan blueprint enjin serta transmisi, waktu itu juga DSR telah memperkenalkan beberapa produk ringkas seperti set karpet kaki, tombol gear dan set padel aloi dengan logo mereka sendiri.

    Nampaknya apa yang diusahakan dua pengasas DSR ini iaitu Suriya Sankaran dan anaknya Dharveen Suriya bukan perkara main-main; mereka yang sebelum ini menetapkan matlamat DSR dengan membayangkan firma-firma restorasi luar negara seperti Singer Vehicle Design dan Built By Legends telah membuktikan kata-kata tersebut menerusi fasiliti sehenti Dream Street Restoration yang dibuka secara rasmi minggu lalu.

    Fasiliti yang terletak di No. 13, Jalan TS 6/4, Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor ini bukan sahaja menjadi pangkalan mereka untuk melakukan kerja-kerja restorasi, malah sekarang di bilik pameran yang digelar ‘Dream Hub’ dalam bangunan berkenaan sudah dipenuhi dengan pelbagai produk yang dibangunkan bersama vendor-vendor DSR secara serius, dari kelengkapan aksesori kosmetik, sehingga ke peralatan prestasi, elektronik malah untuk sistem infotainmen khas untuk model-model legenda Proton dari siri C99 (Wira 1.8 LE, Satria GTi, Satria R3 dan Putra) serta Satria Neo!

    Dalam Dream Hub, penulis tertarik dengan set cagak enjin dan juga set bushing suspensi lengkap untuk Proton C99 yang diletakkan dalam satu rak pameran. Menurut En.Suriya, ketika dia mula melakukan kerja-kerja restorasi untuk model-model Proton C99, alat ganti asli yang dikeluarkan oleh pengilang OEM sangat sukar untuk ditemui, manakala komponen yang banyak dijual kedai-kedai alat ganti pula tidak memberikan kualiti yang sama seperti komponen asli terutama pada karekter dan juga ketahanan getah yang digunakan.

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Jadi DSR perlu mencari penyelesaian, dan semua komponen cagak dan bushing yang anda boleh temui di Dream Hub DSR ini adalah dibangunkan bersama vendor mereka iaitu Lokco Automotive. Pembangunan untuk komponen-komponen berkenaan dilakukan dengan cukup serius. Setiap getah untuk komponen berbeza menggunakan adunan getah yang berbeza mengikut tugas masing-masing, yang menampilkan kualiti bukan sahaja hampir dengan alat ganti asli, malah lebih baik menggunakan teknologi pembuatan terkini.

    Malah untuk siri terbaharu set cagak enjin untuk Proton C99, Lokco Automotive telah menghasilkan set yang direka khas sesuai dengan kerekter enjin blueprint 4G93P 1.8 liter DOHC DSR yang sememangnya lebih stabil dan responsif dari enjin yang keluar dari kilang Proton.

    Satu lagi masalah yang menghantui pemilik-pemilik Wira/Satria/Putra adalah papan litar bercetak atau printed circuit board (PCB) untuk panel meter, yang kerap terbakar; bukan sahaja menyebabkan meter dan lampu tidak berfungsi, malah kadang kala mengganggu operasi enjin.

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Penyelesaiannya, DSR hadir dengan PCB yang diberi nama FRR PCB FR4 SMT Connectors. Berbanding PCB asli yang nipis dan lembut, PCB dari DSR ini jauh lebih kukuh dan tebal kerana diperbuat dari resin yang diperkuat gentian kaca, yang lebih tahan panas dengan penarafan tahan api tahap 4. Malah penyambung-penyambung wayar pada PCB ini juga diperbaharui dengan teknologi cagak permukaan (surface mount technology), yang membolehkan ia bertahan walaupun penyambung wayar berkenaan dibuka/pasang dengan kerap.

    Untuk meningkat kuasa enjin, DSR turut ada menghasilkan aci sesondol prestasi tinggi. Tetapi apa yang paling menarik, mereka turut membangunkan kotak komputer enjin berprestasi yang boleh anda gunakan, tanpa memerlukan lagi sokongan talaan dari komputer piggy back mahupun sistem pengurusan enjin stand alone.

    Ini kerana kotak komputer yang dibangunkan oleh DSR berasaskan kotak komputer VDO asal berkenaan telah pun diberikan pemetaan baharu yang lebih berprestasi. Malah talaan pada pemetaan kotak komputer istimewa tersebut turut boleh ditala semula mengikut keperluan ubahsuai mekanikal yang telah dibuat pada sesebuah enjin.

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Sebuah Satria Neo berwarna kuning yang anda lihat dipamerkan di dalam Dream Hub ini merupakan antara projek terbaharu dari DSR. Jika anda ingat balik, pada 14 Julai 2012, Proton telah mendedahkan model konsep Satria Neo S2000 Concept di Plaza Angsana Johor Bahru ketika berlangsungnya pusingan ke-4 Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2012.

    Ketika itu Proton bercadang untuk menghasilkan versi produksi model konsep berkenaan dalam jumlah hanya 300 unit dengan enjin CPS yang disuap supercharger secara standard, sebagai meraikan kejayaan jentera rali sebenar Satria Neo S2000 menyapu bersih gelaran juara APRC dalam kategori pemandu dan pengeluar untuk musim 2011.

    Namun projek berkenaan tidak jadi untuk direalisasikan – dan unit Satria Neo dengan kit badan S2000 Concept yang boleh anda temui di DSR Dream Hub ini adalah unit prototaip pembangunan sebenar Satria Neo S2000 Concept, dan ia telah lengkap menerima kit superchager dari Sprintex seperti yang dirancang oleh Proton R3 10-tahun lalu! Macam mana ia boleh berada di tangan DSR? Seperti yang telah kami beritahu sebelum ini, En. Suriya merupakan salah seorang ahli pasukan R3 ketika era berkenaan yang membangunkan model-model edisi terhad R3.

    Perincian penuh berkenaan Satria Neo S2000 Concept ini akan kami bawakan kepada anda selepas ia siap 100% nanti. Tetapi sebelum itu, bagi mereka yang berminat, DSR telah menghasilkan semula kit badan S2000 Concept ini untuk dijual kepada umum.

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Bukan itu sahaja, DSR turut telah menghasilkan bonet hadapan untuk Satria Neo yang diperbuat dari lapisan Karbon Basah tenunan berkembar (twin weave wet carbon) bersama lapisan gentian kaca, sama seperti bonet hadapan model edisi terhad Satria Neo R3 Lotus Racing.

    Bonet berkenaan telah melepasi ujian pembangunan CMSS (ujian komponen material) Proton yang sama seperti penghasilan bonet hadapan Satria Neo R3 Lotus Racing. Ujian CMSS tersebut terdiri dari tiga ujian utama iaitu ujian membengkok (bending test) untuk simulasi pelanggaran, ujian haba (heat test) untuk mengelakkan ia meleding dalam suhu tinggi, serta ujian semburan pasir (sand blast test) bagi memastikan kualiti dan kekuatannya.

    Berat keseluruhan bonet gentian karbon ini ditimbang hanya 6 kg, berbanding 12 kg untuk bonet logam asal. Sekali lagi diingatkan, ia sesuai untuk dipasang untuk semua varian Satria Neo.

    Selain dari bonet, DSR turut telah menghasilkan bumbung untuk Proton Putra dari material yang sama, yang bukan sahaja menyelesaikan masalah bumbung berkarat yang menghantui pemilik-pemilik Putra, malah ia turut lebih ringan dan juga lebih kuat. Kedua-dua produk ini boleh anda beli di DSR dan bawa pulang, namun anda perlu tahu bahawa untuk memasang bumbung karbon berkenaan bukan kerja mudah.

    Bumbung karbon ini tidak boleh dikimpal seperti proses pemasangan bumbung logam biasa, dan ia perlu menggunakan teknik rivet serta menggunakan bahan perekat gred industri penerbangan. Dan proses pemasangan ini ada disedia oleh DSR menerusi tenaga-tenaga pakar mereka.

    Misi DSR adalah untuk memastikan model-model lagenda Proton ini terus relevan untuk dipandu seperti kereta-kereta baharu buat masa sekarang. Jadi DSR turut membangunkan sistem infotainmen dan sistem bunyi yang canggih untuk Proton lama anda.

    Buat masa sekarang DSR hadir dengan skrin infotainmen Android dalam pilihan 8- dan 9-inci dari Dynavin khas untuk Satria Neo, dengan pilihan pelbagai pembesar suara dan subwoofer yang sesuai dengan hatchback berkenaan (plug & play, tanpa pengubahsuaian dan masih menggunakan pendawaian asal) dari Harmon Infinity.

    Dream Street Restoration – fasiliti sehenti restorasi model legenda Proton secara rasmi sudah dibuka

    Ketika kunjungan kami ini juga, DSR menunjukkan bahawa mereka kini sedang menghasilkan cermin pandang belakang digital untuk Satria Neo bersama Pro ICE Sales & Services (M) Sdn Bhd, yang bukan sahaja memberikan pandangan belakang yang lebih jelas (Satria Neo mempunyai tiang-C yang sangat tebal, menyebabkan titik buta yang agak besar), malah ia turut memberikan fungsi dashcam bina dalam.

    Anda juga boleh mendapatkan seleksi rim-rim yang agak ringan di fasiliti DSR ini, keluaran pengeluar rim tempatan iaitu Advanti. Kenapa Advanti? Kalau anda nak tahu, kebanyakkan rim ringan yang dijual oleh R3 di zaman kegemilangannya dulu adalah dihasilkan oleh Advanti, termasuk rim yang masih digunakan oleh kereta lumba Iriz dan Saga R3 buat masa sekarang.

    Sekali lagi kami beritahu, DSR bukan sahaja menyediakan perkhidmatan untuk membuat proses restorasi lengkap untuk sesebuah kereta. Malah anda juga boleh berkunjung ke fasiliti mereka ini untuk membeli komponen-komponen yang telah mereka bangunkan. Dengan fasiliti baharu ini juga, kereta-kereta yang telah siap menerima restorasi penuh boleh kembali ke DSR untuk membuat servis dan penyelenggaraan.

    Apa pun, kami ucapkan tahniah kepada DSR kerana tak sampai dua tahun, mereka telah mencapai tahap yang agak mengkagumkan!

     
     
  • Lorong kiri dan kecemasan di laluan Tapah-Bidor di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup hingga 22 Julai ini

    Lorong kiri dan kecemasan di laluan Tapah-Bidor di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup hingga 22 Julai ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong kiri dan kecemasan di antara KM335.70 hingga KM336.65 (arah selatan) bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan bermula hari ini hingga 22 Julai 2022 (Jumaat ini).

    Sepanjang tempoh tersebut, penggunaan lorong kecemasan secara berkala akan diaktifkan sekiranya perlu bergantung kepada keadaan trafik di laluan terbabit.

    Justeru, bagi anda yang menggunakan lebuhraya berkenaan untuk menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini. Dalam masa yang sama, anda juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • BMW 330i M Sport Runout Edition 2022 di Malaysia – bumbung suria, Harman Kardon; dari RM289k

    BMW 330i M Sport Runout Edition 2022 di Malaysia – bumbung suria, Harman Kardon; dari RM289k

    Selain BMW 320i M Sport Runout Edition, BMW Malaysia turut melancarkan satu lagi varian edisi terhad bagi 3 Series G20 iaitu 330i M Sport Runout Edition.

    Ia diasaskan dari model sedia ada 330i M Sport, namun diberikan kelengkapan ekstra untuk membuatkannya lebih menarik. Kelengkapan baharu yang diberikan termasuklah bumbung suria larasan elektrik serta sistem bunyi Harman Kardon.

    Untuk bahagian luarannya, Runout Edition ini turut diberikan roda jejari-berkembar M 791 19-inci, yang lebih besar berbanding 33i M Sport biasa dengan aloi M 790 18-inci. Selain itu, sedan eksekutif istimewa ini juga menerima empat pilihan warna (Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan M Portimao Blue), dengan kulit Vernasca Black untuk ruang dalaman.

    Dengan ciri baharu yang didatangkan secara premium ini, 330i M Sport Runout Edition dijual pada harga atas jalan RM288,680 tanpa isnurans, termasuk SST dan waranti standard dua-tahun. Harganya lebih RM5,000 berbanding model standard 330i M Sport yang berharga RM283,680.

    Selain bumbung suria, sistem bunyi Harman Kardon dan roda besar, ciri lain untuk 330i M Sport Runout Edition ini masih sama seperti varian standardnya. Kuasanya disalurkan dari enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan 258 PS (255 hp) dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 400 dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang.

    Ciri standard yang ditampilkan termasuklah lampu utama LED adaptif, pakej penggayaan M Sport, brek M Sport dengan caliper berwarna biru, suspensi M Sport, kemasan dalaman dengan Aluminium Tetragon dalam serlahan Pearl Chrome, BMW Live Cockpit Professional dengan kluster instrument digital 12.3-inci dan skrin sesentuh 10.25-inci, ConnectedDrive services, Comfort Access, kawalan suhu tiga-zone dan sistem pencahayaan ambien.

    Untuk ciri keselamatan dan bantuan pemandu juga tiada perubahan, masih mengekalkan Driving Assistant (amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadpaan dengan campur tangan brek, kepekaan trafik lintasan belakang dan pengelak pelanggaran belakang) secara standard. Ia turut disertai dengan Attentiveness Assistant, kawalan kelajuan dengan fungsi brek, Bantuan Parkir dengan Bantuan Mengundur dan juga kamera pandang belakang.

     
     
  • BMW G310RR dilancar untuk pasaran India, RM15k

    BMW G310RR dilancar untuk pasaran India, RM15k

    Selepas pelbagai teaser ditunjukkan sejak beberapa minggu lalu, BMW G310RR kini akhirnya dilancarkan secara rasmi di India, dengan harga 285,000 rupee (RM15,872). Model ini dibangunkan khas oleh TVS Motors India untuk BMW Motorrad, dan menggunakan asas daripada TVS Apache 310RR.

    Penggerak model sports ini adalah sama seperti model naked G310R dan adventure G310GS, iaitu enjin satu silinder DOHC empat injap, berkapasiti 313 cc dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dalam model Track/Sport dan 25.8 PS pada 7,700 rpm dalam mod Urban/Rain.

    Melihat pula kepada tork, dalam mod Track/Sport ia boleh menghasilkan 27.3 Nm pada 7,700 rpm manakala dalam mod Urban/Rain ia menghasilkan 25 Nm pada 6,700 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem rantai. Menurut BMW, motosikal ini boleh mencatat laju maksimum 160 km/j.

    Selain empat mod tunggangan, G310RR juga datang dengan sistem ABS two-channel yang disambungkan kepada brek cakera dengan angkup Bybre di roda hadapan dan belakangnya. Bahagian hadapan menggunakan padanan cakera 300 mm dengan angkup empat piston, sementara bahagian belakang menggunakan cakera 240 mm dengan angkup satu piston.

    Sistem suspensi menggunakan padanan fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Jarak geraknya masing-masing adalah 140 mm dan 119 mm. Rim bersaiz 17 inci, dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Perincian lain G310RR adalah tinggi tempat duduk 811 mm, tangki bahan api 12 liter, berat 174 kg dan panel instrumen TFT yang juga boleh memaparkan statistik tunggangan. BMW G310RR ditawarkan dalam dua warna iaitu Motorrad Sport dan Black Storm Metallic.

     
     
  • BMW 320i M Sport Runout Edition – edisi terhad dengan pakej M Sport, suspensi dinaik taraf, RM263k

    BMW 320i M Sport Runout Edition – edisi terhad dengan pakej M Sport, suspensi dinaik taraf, RM263k

    Bagi yang sentiasa mahukan BMW 320i G20 dalam versi M Sport, ini dia BMW Malaysia perkenalkan, 320i M Sport Edition, atau dipanggil sebagai 320i M Sport Runout Edition. Nama Runout itu digunakan kerana ini mungkin adalah edisi penutup sebelum model LCI (facelift) yang sudah diperkenalkan kepada dunia Mei lalu tiba di Malaysia tidak lama lagi.

    Sejak dilancarkan di pasaran kita, model asas G20 ini dijual hanya dalam versi Sport, dan jika ana mahukan pakej M Sport, anda perlu membayar lebih dan mendapatkan model 330i, 330Li atau 330e (PHEV). Sekarang, model G20 permulaan juga boleh didapati dengan pakej sporty tersebut.

    Seperti yang mungkin sudah anda ketahui, pakej M Sport ini memberikan bampar hadapan dan belakang lebih agresif, rim M 790 18 inci, roda stereng M dibalut kulit serta lapik bumbung serba hitam. Bersama dengan pakej M Sport dan M Aerodynamics ini, turut diberi adalah suspensi M Sport serta Variable Sports Steering.

    Pilihan warna yang diberi untuk 320i M Sport adalah Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan M Portimao Blue. Ia dijual pada harga RM262,800 tidak termasuk insurans dan diberikan sekali dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan dan program servis berkala percuma, bantuan tepi jalan, BMW Group Loyalty+ Mobile App dengan BMW Privileges Card dan BMW Service Online.

    Untuk harga paling rendah, anda boleh mendapatkan 320i M Sport ini pada harga RM246,680, tetapi jaminan yang diberi hanya selama dua tahun dan tiada servis percuma. Melalui Easy Drive Financing Plan daripada BMW Group Financial Services, ia juga boleh dimiliki dengan bayaran bulanan bermula RM2,663, berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 80% dan tempoh langganan selama lima tahun.

     
     
  • JPJ eBid: AMP dan PQK bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor AMP dan PQK bakal dibuka bidaan menerusi platform JPJ eBid.

    Siri nombor terkini Perak, AMP, akan dibuka bidaan bermula esok, 19 Julai. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, berakhir jam 10 malam pada 23 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Julai. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Turut bakal dibuka bidaan menerusi JPJ eBid ialah siri nombor terkini Pulau Pinang, PQK. Tempoh bidaannya bermula 22 Julai ini akan tamat jam 10 malam pada 26 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Julai 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Mac lalu, sayap perlumbaan Mitsubishi iaitu Mitsubishi Ralliart telah mendedahkan jentera rali Triton yang akan digunakan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, menandakan bahawa mereka akan berlumba semula secara rasmi selepas jenama Ralliart ‘dihidupkan’ semula tahun lalu.

    Dan sekarang, spesifikasi untuk Triton AXCR tersebut telah pun didedahkan, dan ia dilihat melalui ujian ketahanan di Thailand pada 27 hingga 28 Jun lalu, sebelum perlumbaan sebenar yang bakal berlangsung pada November 2022.

    Menurut Mitsubishi, Triton yang diasaskan dari badan double cab pasaran Thailand ini dibangunkan dengan spesifikasi kereta rali Group T1 FIA (kenderaan prototaip cross-country), dan masih mengekalkan banyak kelengkapan asal model produksi sebenar.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Ia masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel, dan masih menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm sama seperti Triton di bilik pameran. Walaupun angka kuasa berkenaan dilihat sama, sebenarnya enjin berkenaan telah diolah semula oleh HKS, dengan pemadanan komponen yang lebih ringan serta kurang geseran bagi memberikan respon lebih baik pada takat rpm pertengahan yang selalu digunakan dalam perlumbaan rali.

    Trak pikap ini juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. Ubahsuai lain yang dibuat pada sistem penghantaran kuasa Triton rali ini termasuk penggunaan unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang.

    Konfigurasi asal suspensi double wishbone dengan spring gegelung di hadapan dan gandar hidup bersama spring dedaun di belakang masih kekal, tetapi ia kini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    Brek trak pikap rali ini juga dipertingkat dengan dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless. Manakala untuk roda, ia menerima set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

    Badan Triton ini juga diringankan lagi dengan pemadanan hud penutup enjin dan juga kesemua pintu yang diperbuat dari material gentian karbon. Ia juga menerima kelengkapan tipikal sebuah jentera rali cross country termasuk set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, set snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

    Pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR ini diuruskan oleh pasukan persendirian iaitu Tant Sports dari Thailand, tetapi lagenda Mitsubishi sendiri – juara Rali Dakar dua kali (2002 dan 2003) dengan Pajero – Hiroshi Masuoka telah dilantik sebagai pengarah pasukan.

    Mitsubishi Triton AXCR 2022 – spesifikasi jentera rali didedah; guna enjin 2.4L MIVEC Turbodiesel asal

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Ujian kali ini dibuat di litar rali sejauh 10-km di Thailand, yang menggandingkan laluan kelajuan tinggi, permukaan gravel yang lasak serta jalan sempit dan berliku di dalam hutan, menyerupai laluan sebenar AXCR nanti. Sasaran ujian ini adalah untuk menguji tahap ketahanan casis dan juga enjin jentera rali Triton tersebut.

    “Memandangkan Triton mempunyai kerangka casis yang tahan lasak dan pretasi pengendalian yang cemerlang, kami mengambil keputusan untuk mengurangkan berat kenderaan pada kadar minimum untuk modifikasi rali dalam masa yang sama menggunakan kelebihan kekuatan asalnya sebanyak yang boleh,” kata Masuoka.

    “Selepas meredah laluan lebih dari 800 km dalam masa dua hari, kereta rali ini menampilkan prestasi yang hebat sepanjang ujian ketahanan yang sukar ini seperti yang kami jangka, dan sekarang kami yakin bahawa persediaan kami adalah pada laluan yang betul,” tambahnya lagi.

    Rali ini dilangsungkan secara tahunan bermula pada 1996, dan turut pernah menampilkan laluan merentas negara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Myanmar sehingga ke China. Namun ia dihentikan sementara pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19, dan bakal diadakan semula pada tahun ini.

    Untuk AXCR 2022, ia akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

     
     
  • Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Susulan berakhirnya pengecualian cukai juaral (SST) bagi kenderaan pada 30 Jun 2022, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengemaskini senarai harga bagi semua model Nissan yang dijual di Malaysia. Seperti dijangka, harga barisan kenderaannya kini lebih tinggi.

    Bagi Almera misalnya, sedan dengan enjin turbcas berkenaan kini naik RM4,578 bagi tiga varian yang ditawarkan (VL, VLP dan VLT). Sementara itu, X-Trail pula kini dijual bermula RM136,888 bagi varian paling asas 2.0 2WD — ini RM8,258 lebih mahal berbanding sebelumnya.

    Varian pertengahan 2.0 Mid 2WD pula naik RM10,245 menjadi RM149,888, sementara varian 2.0 Hybrid 2WD kini dijual pada harga RM159,888 (+RM2,437). Perlu juga dinyatakan yang senarai harga ini juga lebih tinggi daripada sebelum pengecualian SST — melainkan varian hibridnya — dan kelihatan seperti varian 2.5 4WD telah digugurkan.

    Harga SST Nissan 2022 — Almera naik RM4.6k, X-Trail naik hingga RM10k sementera Leaf EV naik RM7k

    Beralih kepada Serena S-Hybrid facelift yang baru saja diperkenalkan, ia memang sudah diberikan harga dengan SST bagi dua varian yang ditawarkan — Highway Star (RM149,888) dan Premium Highway Star (RM162,888). Model kereta penumpang terakhir ialah Nissan Leaf, dengan kenaikan RM7,088 menjadi RM175,888.

    Navara dan NV200 diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, jadi kedua-duanya tidak diberikan pengecualian SST sebelum ini. Trak pikap berkenaan dijual pada harga bermula RM92,050 untuk versi Single Cab, dengan varian tertinggi Double Cab 2.5 Pro-4X dijual pada harga RM148,600. Bagi van NV200, ia dijual antara RM79,888 dan RM85,888.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025