Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Malaysia terbuka projek bina HSR dari KL ke Bangkok

    Malaysia terbuka projek bina HSR  dari KL ke Bangkok

    Pernah membayangkan ada perkhidmatan keretapi lagi dari Kuala Lumpur ke Bangkok. Sama macam cadangan untuk KL-Singapore High-Speed Rail (HSR) yang belum menjadi kenyataan? Yang menariknya, bukan hanya perbincangan tentang HSR KL-Singapura kini bersambung kembali, kerajaan juga sedang meneroka kemungkinan kajian untuk projek HSR KL-Bangkok.

    Perkara ini disentuh oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong di Parlimen minggu ini ketika menyentuh tentang KL-SG HSR. “Selari dengan kunjungan PM ke Thailand pada 25 Februari lalu, kementerian pengangkutan turut mempertimbangkan kemungkinan kajian awal HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” lapor The Star.

    Bagaimanapun, tiada sebarang huraian lanjut dibuat. Melalui Google, laluan darat dari KL Sentral ke Hua Lamphong di Bangkok hanya melibatkan jarak 1,500 km. Terbang dari KL ke Bangkok pula hanya mengambil masa dua jam 10 minit.

     
     
  • PACE 2022: Alami sendiri Ranger Life melalui program Ford Ranger Getaway, pelbagai hadiah menarik lain

    PACE 2022: Alami sendiri Ranger Life melalui program Ford Ranger Getaway, pelbagai hadiah menarik lain

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org kembali tahun ini, dengan akan berlangsung pada 19-20 Mac di Setia City Convention Centre (SCCC). Sepanjang dua hari ia berlangsung, anda akan dapat menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium bukan sahaja baru, tetapi juga terpakai.

    Ford adalah antara jenama premium yang akan berada di PACE, dan jika anda mempunyai perancangan untuk mendapatkan trak pikap Ranger, ada beberapa pengalaman pemanduan unik yang disediakan melalui program Ford Ranger Getaway.

    Ranger terbaru kini bukan setakat sebuah kenderaan belasahan, malah sudah berubah menjadi serba boleh dan berkemampuan, sambil mengekalkan DNA “Built Ford Tough.” Sama ada untuk kerja, keluarga atau berseronok, kemampuan Ranger kini boleh disesuaikan dengan pelbagai gaya hidup.

    Program Ford Ranger Getaway dibuat untuk mengetengahkan gaya hidup Ranger, dan meliputi pelbagai kategori minat untuk pelbagai latar belakang orang Malaysia – sama ada mereka yang gemarkan cabaran dalam jarak dekat, secara berseorangan, bersama keluarga dan kawan, atau mereka yang mahu bertemu orang yang mempunyai minat sama.

    PACE 2022: Alami sendiri Ranger Life melalui program Ford Ranger Getaway, pelbagai hadiah menarik lain

    Setiap aktiviti yang dianjurkan dalam program ini telah dirancang secara teliti, dan ia termasuk seperti ronda dalam bandar, penjelajahan mencari makanan, malah juga menaiki kapal terbang keliling Kuala Lumpur. Mereka yang mahu menguji kemampuan Ranger juga boleh menyertai aktiviti offroad terkawal di Sepang.

    Ada 15 jenis aktiviti yang boleh dipilih dan setiap satunya akan dirujuk semula dari masa ke masa untuk memastikan ia terus menyeronokkan. Bergantung kepada pakej yang dipilih, harganya boleh jadi antara RM98 bagi setiap orang, hinggalah RM2,133.

    Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Alami sendiri Ranger Life melalui program Ford Ranger Getaway, pelbagai hadiah menarik lain

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti Mercedes-Benz, BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover Ford Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!

     
     
  • PACE 2022: Nikmati penjimatan cukai, hadiah dan banyak lagi dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kona Electric

    PACE 2022: Nikmati penjimatan cukai, hadiah dan banyak lagi dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kona Electric

    Pameran Premium Auto Car Expo (PACE) akan bermula esok, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dan berlangsung selama dua hari dari 19-20 Mac 2022. Akan terlibat dalam pameran ini adalah barisan kenderaan elektrik terbaru, dan Hyundai tidak ketinggalan untuk membawakan peralihan itu ke PACE.

    Baru saja dilancarkan di sini, Hyundai Ioniq 5 merupakan satu daripada kenderaan elektrik sepenuhnya keluaran jenama itu yang akan dipertontonkan di PACE nanti. Ditawarkan dalam tiga varian, Lite, Plus dan Max, Ioniq 5 boleh dipilih daripada dua kapasiti bateri; 58 kWh lithium-ion polymer bagi Lite dan Plus, sementara Max menerima bateri 72.6 kWh dengan sistem penjana dwi-motor AWD.

    Dijual pada harga RM199,888 untuk Lite, RM229,888 untuk PLUS dan RM259,888 untuk Max, pembeli akan menikmati harga ini yang sudah termasuk harga atas jalan tanpa insuran dan dikecualikan sepenuhnya daripada duti import dan eksais ketika ini.

    Bagi Ioniq 5, jaminan dua tahun atau 50,000 km dan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri adalah standard. Dengan tambahan RM10k lagi, jaminan akan jadi lima-tahun atau 100,000 km serta pakej servis tiga-tahun atau 50,000 km dengan jaminan bateri yang sama.

    Hyundai Malaysia menawarkan dua pilihan untuk pengecasan. Satu pengecas 7 kW AC pada harga RM6k, dan yang kedua 22k W AC pada harga RM7k. Semua harga ini termasuk pemasangan, walaupun caj tambahan mungkin dikenakan sekiranya memerlukan penkabelan lanjutan. Jika semua pilihan tambahan dan yang paling mahal ini diambil kira, varian Max akan menjadi RM276,888.

    PACE 2022: Nikmati penjimatan cukai, hadiah dan banyak lagi dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kona Electric

    Tentang spesifikasi. Varian 58 kWh RWD mempunyai motor belakang dengan janaan 170 PS/350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara versi dwi-motor AWD pula dengan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Jarak WLTP dengan satu cas penuh ialah 384 km bagi versi 58 kWh dan 430 km bagi versi 72.6 kWh AWD. Laju maksimum adalah 185 km/j untuk kedua-duanya.

    Dibina menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) untuk EV, Ioniq 5 menyokong prasarana pengecasan 400V dan 800V tanpa perlu adapter atau komponen tambahan. Kereta ini juga boleh bertindak sebagai power bank, dengan soket vehicle-to-load (V2L) di bawah kerusi belakang yang membekalkan kuasa 3.6 kW untuk peralatan seperti basikal elektrik, skuter, kelengkapan perkhemahan dll.

    Jika inginkan model dengan penawaran lebih rendah, Hyundai Kona Electric juga ada, dijual pada harga RM150k hingga RM200k, juga dalam tiga varian e-Lite (RM149,888), e-Plus (RM169,888) dan e-Max (RM199,888). Dua varian yang pertama menggunakan bateri 39.2 kWh dengan motor 136 PS/395 Nm, sementara e-Max pula dengan bateri 64 kWh dengan janaan 204 PS. Bateri 39.2 kWh memberikan 305 km jarak, sementara 64 kWh dengan 484 km (WLTP).

    Sama seperti Ioniq 5, Kona Electric boleh dibeli dengan lanjutan jaminan dan pakej servis (jaminan lima-tahun/100,000 km, servis percuma tiga-tahun/50,000 km) selain jaminan standard dua-tahun/50,000 km, serta dua pilihan stesen pengecas.

    PACE 2022: Nikmati penjimatan cukai, hadiah dan banyak lagi dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kona Electric

    Membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • VW Tiguan Allspace 2022 dilancar dalam acara PACE 19 Mac ini; R-Line dan Elegance muncul dalam teaser

    VW Tiguan Allspace 2022 dilancar dalam acara PACE 19 Mac ini; R-Line dan Elegance muncul dalam teaser

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah menunjukkan model Tiguan Allspace facelift menerusi teaser yang dimuatnaik menerusi Facebook. Ini mengesahkan bahawa SUV tujuh-tempat duduk itu akan dilancarkan dalam acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org di Setia City Convention Centre (SCCC) esok.

    Seperti yang anda boleh lihat, terdapat dua varian yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia – R-Line dan Elegance (menggantikan varian Highline). Untuk pengetahuan anda, varian 1.4 TSI Highline buat masa ini ditawarkan pada harga RM165,031, manakala 2.0 TSI R-Line 4Motion pula berharga RM209,637.

    SUV ini menerima gaya rekaan terkini VW untuk sudut hujung hadapan, menambahkan lampu utama LED yang lebih nipis dengan gaya belakang ala Golf Mk8 dan juga gril besar dengan jaluran iluminasi. Kedua-dua varian juga menerima rekaan bampar berbentuk tetulang dengan bukaan sudut berbentuk-C hitam berkilat, namun R-Line menerima rekaan yang lebih agresif dengan serlahan krom; sementara Elegance pula diberikan skid plate rona perak.

    Namun bahagian belakangnya tidak pula ditunjukkan. Walau bagaimana pun, dijangka ia menerima lampu belakang IQ.Light yang direka semula dengan grafik berbentuk-L dan lencana Tiguan di bahagian tengah tailgate, bersama jalur pemantul cahaya sepanjang bampar serta kemasan bawah bampar dengan muncung ekzos hiasan. Varian R-Line dijangka diberikan roda aloi Sebring 19-inci yang sama seperti model terdahulu, sebaliknya Elegance bakal diberikan roda aloi Frankfurt baharu 18-inci.

    Di dalamnya, Allspace dijangka akan menerima panel jenis sensitif sentuhan untuk butang kawalan pada stereng serta pendingin hawa. Selain itu, ia juga hadir dengan kelengkapan roda stereng tiga-jejari baharu, kawalan suhu dan juga tombol gear yang direka semula. Satu ciri yang jelas kelihatan pada kedua-dua varian ialah kamera pada cermin hadapan, bermakna ia mungkin hadir dengan bantuan kekal lorong.

    Allspace ini juga dijangka menggunakan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini iaitu enjin TSI pengecas turbo empat-silinder, dengan unit 1.4 liter 150 PS/250 Nm yang dipadankan bersama transmisi dwi-klac DSG enam-kelajuan dan pacuan roda-hadapan serta unit 2.0 liter 220 PS/350 Nm dengan DSG tujuh-kelajuan dan pacuan semua-roda 4Motion.

    GALERI: Foto rasmi global Volkswagen Tiguan Allspace facelift

     
     
  • Acura Integra 2023 – tempahan melebih jangkaan, 70% pelanggan pilih kotak gear manual enam-kelajuan!

    Acura Integra 2023 – tempahan melebih jangkaan, 70% pelanggan pilih kotak gear manual enam-kelajuan!

    Model produksi sebenar untuk Acura Integra generasi baharu telah pun didedahkan sepenuhnya di Amerika Syarikat minggu lalu, dan ia turut sudah boleh ditempah pada hari yang sama. Tidak seperti Honda Civic Si yang hanya ditawarkan dalam versi kotak gear manual, Acura Integra ini didatangkan standard dengan kotak gear CVT automatik tetapi pembeli diberikan pilihan untuk mendapatkan kotak gear manual, dengan bayaran tambahan.

    Apa yang menarik, selepas seminggu tempahan untuk model tersebut dibuka, 70% pelanggan yang menempah memilih Integra 2023 dalam varian tertinggi A-Spec bersama kotak gear manual!

    “Kami benar-benar teruja dengan sambutan dari pra-pelancaran Integra 2023. Jumlah tempahan telah jauh melebihi jangkaan kami dan yang paling menarik ialah kira-kira 70% daripada tempahan Integra memilih kotak gear manual enam kelajuan. Kami yakin Integra baharu ini akan memberi inspirasi kepada generasi baharu pembeli yang berminat dengan jenama Acura,” kata Emile Korkor, penolong naib presiden jualan Acura kepada Motor Trend.

    Acura Integra 2023 – tempahan melebih jangkaan, 70% pelanggan pilih kotak gear manual enam-kelajuan!

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Acura Integra 2023 ini dihasilkan dari Honda Civic generasi ke-11 dan berkongsi asas serta banyak sistem mekanikal antara kedua-duanya. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama seperti Civic produksi generasi terkini paling berkuasa dalam barisan model pasaran Amerika Syarikat buat sekarang iaitu Civic Si, menghasilkan 200 hp dan tork maksima 260 Nm.

    Bagi model manual, kotak gear yang digunakan juga adalah sama seperti Civic Si, iaitu unit enam-kelajuan nisbah pendek dengan LSD, bersama tuil penukar gear short shifter, bersama sistem rev-match yang membolehkan anda menurunkan gear secara agresif tanpa kemahiran heel & toe.

    Manakala untuk versi automatik, kotak gear CVT yang dipadankan pada Integra ini telah ditala secara spesifik untuk enjin turbo berkuasa tinggi berkenaan, dan ia memberikan input pendikit yang cepat serta diberikan program Step Shift yang memberikan tukaran gear maya ketika memecut. Malah pemandu turut diberikan pedal penukar gear pada roda stereng secara standard bagi membolehkan mereka memilih gear seakan gear manual pada transmisi CVT ini.

    Acura Integra 2023 – tempahan melebih jangkaan, 70% pelanggan pilih kotak gear manual enam-kelajuan!

    Bagi jika pembeli memilih model spesifikasi tertinggi A-Spec bersama Technology Package, Acura Integra 2023 mereka turut akan dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif menerusi Adaptive Damper System (ADS). Dengan suspensi ini, karekter penyerap hentak turut akan berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

    Acura Integra 2023 ini dijual di pasaran Amerika Syarikat dengan harga bermula sekitar USD30,000 (RM125,760) untuk model asas dengan kotak gear CVT secara standard. Pelanggan terawal yang menempah bakal menerima kereta mereka bermula musim bunga nanti. Ia bakal diproduksi di fasiliti di Marysville, Ohio, iaitu barisan produksi yang sama menghasilkan Acura TLX, dan ia juga merupakan Integra pertama yang dihasilkan di AS.



     
     
  • Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

    Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

    Hampir satu tahun selepas Audi memperkenalkan A6 e-tron Concept kepada dunia di Shanghai, kini pengeluar Jerman itu menunjukkan pula A6 Avant e-tron Concept. Versi wagon ini memberi petunjuk kepada model produksi yang akan dikeluarkan pada masa hadapan.

    Apa yang mereka lakukan adalah mengambil model sedan (juga dipanggil sebagai Sportback), dan memanjangkan garis bumbungnya sehingga ke belakang. Ini menjadikan ia lebih praktikal dan mesra pengguna, dengan bahagian bumbungnya yang berwarna hitam mempunyai garis di tepi dan bersambung sehingga ke spoiler belakang.

    Antara konsep rekaan sama yang digunakan pada versi wagon ini adalah seperti gril “singleframe” yang tertutup sepenuhnya, lampu utama terpisah dua (unit yang lebih nipis di atas dan projector yang besar di bawah), lampu belakang OLED penuh dari kiri sehingga ke kanan serta diffuser yang besar di belakang.

    Walaubagaimanapun, masih ada beberapa bahagian yang ditukar, seperti bucu bampar hadapan dengan kemasan berbentuk L, corak gril baru serta warna kelabu Neptune Valley yang lebih gelap. Di bahagian belakang, diffuser dijadikan lebih menonjol dengan lekuk warna perak yang lebih besar sementara rim pula menggunakan unit 22 inci.

    Audi telah memberikan perhatian yang lebih kepada lampu utama kereta ini, di mana ia menampilkan teknologi LED matriks digital. Tiga projector resolusi tinggi yang berada di atas bukan sahaja boleh menghasilkan memantulkan kesan pencahayaan dinamik ke atas lantai apabila pintu dibuka, tetapi juga boleh memancarkan simbol amaran.

    Kemudiannya terdapat empat lagi projector yang tersembunyi di bahagian bukaan udara di penjuru, untuk lampu penunjuk arah. Lampu utama boleh dilaras mengikut keperluan atau kelulusan sesebuah negara, dan ia juga boleh memancarkan permainan video ke dinding apabila kereta sedang dicas.

    Satu lagi bahagian yang diberikan fokus adalah aerodinamik, di mana Avant e-tron Concept ini boleh menghasilkan kecekapan angin 0.24 cd – cuma sedikit lebih berbanding 0.22 cd yang dihasilkan oleh versi Sportback. Selain bentuk badan yang serba licin, turut membantu adalah kamera tepi yang menggantikan cermin sisi – pertama kali digunakan pada SUV e-tron.

    Audi masih belum mendedahkan sebarang gambar sebenar bahagian dalam kereta ini, tetapi pernah menunjukkan lukisan sewaktu pengenalan versi Sportback, menampakkan rekaan papan pemuka yang bersih, serta panel instrumen dan infotainmen yang besar. Versi produksi dijangka menggunakan rekaan yang sama.

    Audi A6 Avant e-tron Concept diperkenal – wagon elektrik dengan kuasa 476 PS, jarak gerak 700 km

    Di sebalik panel badannya, kedua-dua versi Avant dan Sportback e-tron Concept ini menggunakan platform Premium Platform Electric (PPE), yang dibangunkan bersama Porsche dan menampilkan jarak rodak yang panjang serta pek bateri di bawah lantai. Model Audi yang menggunakan platform ini akan menggunakan sama ada satu motor di belakang, atau dua motor di hadapan dan belakang. Model konsep ini menggunakan dua motor dan boleh menghasilkan kuasa sehingga 350 kW (476 PS) dan tork maksimum 800 Nm.

    Dengan pakej kuasa ini, A6 e-tron dikatakan mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah empat saat. Ia juga datang dengan kapasiti bateri sekitar 100 kWh, mampu menyediakan jarak gerak sehingga 700 km. Melalui struktur elektrikal 800 volt, model ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 270 kW, dan bateri boleh diisi dari kadar 5% ke 80% dalam masa bawah 25 minit dan memberikan jarak gerak 300 km apabila dicas selepas hanya 10 minit.

    A6 e-tron juga datang dengan sistem suspensi udara yang terdiri daripada penyerap adaptif, gandar five-link khas hadapan serta multilink di belakang. Setakat ini masih belum diberitahu bila versi produksi akan dikeluarkan, tetapi menurut Audi, model PPE pertama akan mula dijual pada tahun hadapan.

     
     
  • Hyundai buka kilang EV di Indonesia – bernilai RM6.5 bilion, hasilkan Ioniq 5, kapasiti produksi 250k unit

    Hyundai buka kilang EV di Indonesia – bernilai RM6.5 bilion, hasilkan Ioniq 5, kapasiti produksi 250k unit

    Selari dengan perancangan, kilang Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) kini secara rasminya telah pun dibuka selepas ianya diumumkan dua tahun lalu. Kilang berkenaan terletak kira-kira 40 km di timur Jakarta, iaitu di kompleks industri Deltamas berhampiran Cikarang.

    Fasiliti ini merupakan kilang skala penuh pertama Hyundai di Asia Tenggara, dan apa yang lebih penting ia juga mampu untuk menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya. Ia siap dibina pada Disember lalu, dan HMMI bakal memproduksi model Creta facelift dan juga model elektrik yang juga baru dilancarkan di Malaysia baru-baru ini iaitu Ioniq 5.

    Kilang ini mampu menghasilkan 150,000 unit kenderaan setahun, dan dalam laporan sebelum ini ada dinyatakan bahawa sekitar separuh dari kenderaan yang diproduksi tersebut akan dieksport keluar dari Indonesia.

    Hyundai merancang untuk menambah pelaburan lagi sebanyak US$1.55 bilion (RM6.5 bilion) terhadap kilang tersebut, bagi membolehkan ia menghasilkan sebanyak 250,000 unit kenderaan setahun. Ia juga menggunakan pelbagai teknologi mesra alam seperti panel solar serta rancangan untuk menggunakan cat berasaskan air.

    Menurut Hyundai, kilang HMMI ini menunjukkan komitmennya terhadap kereta elektrik di negara berkenaan, dengan Ioniq 5 akan menjadi EV pertamanya yang dihasilkan di ASEAN. Jenama automotif dari Korea Selatan itu juga akan membangunkan kilang sel bateri berhampiran Karawang bersama LG Energy Solutions, yang dijangka akan siap pada separa pertama tahun hadapan sebelum beroperasi pada 2024.

    Buat masa sekarang Hyundai dilihat mempamerkan prestasi yang baik dalam jualan segmen EV di Indonesia, dengan Ioniq Electric dan Kona Electric mewakili jualan sebanyak 87.3% dari jumlah keseluruhan jualan kereta elektrik penuh di negara berkenaan pada 2021.

    Selain dari Creta dan Ioniq 5, HMMI juga turut akan mula memproduksi Sante Fe pada separa pertama tahun ini, bersama MPV bersaiz kecil yang direka untuk pasaran ASEAN pada separa kedua 2022.

    Hyundai buka kilang EV di Indonesia – bernilai RM6.5 bilion, hasilkan Ioniq 5, kapasiti produksi 250k unit

    Dengan beroperasinya kilang yang besar di Indonesia ini, ia mungkin akan turut memberi manfaat kepada operasi pemasangan tempatan di Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, HMMI turut akan menghasilkan kit-kit complete knocked down (CKD) untuk pasaran ASEAN.

    Kit-kit berkenaan akan dihantar ke negara-negara di rantau ini, bagi membantu entiti-entiti mereka mengambil manfaat terhadap insentif-insentif pemasangan tempatan yang diberikan setiap negara. Buat masa sekarang, Hyundai-Sime Darby di Malaysia menerima kit-kit CKD mereka terus dari Korea, yang dikenakan tarif antara 5 dan 80%.

    Sekiranya Hyundai-Sime Darby menerima kit-kit CKD dari Indonesia, tarif berkenaan semestinya lebih rendah dengan mengambil manfaat dari Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). SUV CKD baharu dari Hyundai dijangka akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, mungkin Santa Fe facelift?

     
     
  • PACE 2022: Harley-Davidson baru dengan alat ganti percuma, baucar RM2k, tempahan cuma RM500

    PACE 2022: Harley-Davidson baru dengan alat ganti percuma, baucar RM2k, tempahan cuma RM500

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang akan berlangsung 19-20 Mac ini di Setia City Convention Centre (SCCC) bukan setakat melibatkan kereta, tetapi juga motosikal, termasuk daripada Harley-Davidson. Anda boleh mendekati pelbagai model termasuk Sportster S, Pan America dan bermacam lagi.

    Sportster S dan Pan America dikuasakan oleh enjin v-twin termaju yang pernah dihasilkan oleh Harley-Davidson, dipanggil sebagai Revolution Max 1250, dengan mempunyai kapasiti 1,250 cc dan mampu mengeluarkan kuasa sehingga 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Bagi Sportster, ia menggunakan rekaan tipikal sebuah dragster sambil mengingatkan kembali kepada siri cruiser VR mereka sebelum ini, dengan badan yang panjang dan rendah. Direka untuk meluncur di atas lebuh raya dan jalan-jalan bandar, Sportster dilengkapi dengan rim 17 inci yang dibalut tayar 160/70 di hadapan dan rim 16 inci dengan tayar 180/70 di belakang.

    PACE 2022: Harley-Davidson baru dengan alat ganti percuma, baucar RM2k, tempahan cuma RM500

    Turut berkongsi enjin yang sama adalah Pan America, sebuah cubaan pertama bagi Harley-Davidson dalam segmen motosikal adventure-touring. Ada dua varian yang disediakan melalui Pan America, iaitu versi asas dengan suspensi manual, sementara satu lagi adalah versi Special yang datang dengan suspensi semi aktif – setiap pembeleian Pan America di PACE akan diberikan terus dengan kotak barangan belakang secara percuma.

    PACE 2022 juga adalah masa sesuai untuk anda mendapatkan motosikal Harley-Davidson kerana bayaran tempahan telah diturunkan menjadi RM500 sahaja. Baucar RM2,000 juga akan diberi kepada setiap tempahan motosikal tahun 2021 di PACE 2022, berserta baucar kedai RM1,000 dan tawaran diskaun sehingga 50% untuk aksesori seperti kelengkapan menunggang, jaket, baju dan pelbagai lagi.

    Selain Harley-Davidson, jenama motosikal lain yang turut akan berada di PACE 2022 adalah BMW Motorrad, manakala jenama kereta termasuk Mercedes-Benz (melalui Hap Seng Star), BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai.

    PACE 2022: Harley-Davidson baru dengan alat ganti percuma, baucar RM2k, tempahan cuma RM500

    Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga berpeluang untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

     
     
  • K’jaan bayar RM28 bilion untuk subsidi bahan api pada 2022, lima kali lebih tinggi dari peruntukan Bajet 2022

    K’jaan bayar RM28 bilion untuk subsidi bahan api pada 2022, lima kali lebih tinggi dari peruntukan Bajet 2022

    Kerajaan Malaysia mungkin terpaksa membelanjakan sejumlah RM28 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini sekiranya harga bahan api mentah kekal di atas paras US$100 (RM419) setong. Walaupun kerajaan berpeluang untuk memperoleh pulangan yang lebih besar untuk hasil minyak, jumlah subsidi bahan api tahun ini mungkin boleh naik lima kali lebih tinggi berbanding hanya RM5.3 bilion yang diperuntukkan di dalam Bajet 2022, menurut KAF Research dalam laporan The Star.

    “Berdasarkan analisis di atas, kerajaan akan menerima pendapatan dari hasil minyak yang lebih tinggi sekitar RM57 bilion tahun ini berbanding RM44 bilion yang dijangka di bawah Bajet 2022 pada harga semasa minyak sekitar US$109.20 (RM458) setong, iaitu 65.6% lebih tinggi berbanding jangkaan dalam Bajet 2022 iaitu US$66 (RM277) setong,” kata KAF Research.

    Walau bagaimanapun, ini bermakna kerajaan juga perlu menanggung subsidi berjumlah RM28 bilion, manakala peningkatan subsidi yang lebih besar daripada jangkaan sebanyak RM22.7 bilion akan jauh melepasi keuntungan RM13 bilion untuk hasil minyak. Oleh itu, harga minyak yang lebih tinggi mungkin memberi impak negatif bersih kepada kedudukan fiskal negara “sehingga setiap kenaikan AS$10 (RM42) setong dalam harga minyak meningkatkan defisit fiskal sebanyak 0.1% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” tulis laporan dari KAF Research tersebut.

    Harga Petrol gred tinggi kini dilihat naik pada setiap minggu. Untuk minggu bermula 17 hingga 23 Mac 2022, RON 97 kini dijual dengan harga RM4 seliter, manakala harga RON 95 yang diikat dengan subsidi pula kekal pada harga siling RM2.05 seliter; begitu juga harga runcit untuk diesel yang diikat RM2.15 seliter untuk Euro 5 B10 dan B20, serta RM2.35 seliter untuk diesel B7 Euro 5.

    K’jaan bayar RM28 bilion untuk subsidi bahan api pada 2022, lima kali lebih tinggi dari peruntukan Bajet 2022

    Menurut analisis sensitiviti oleh KAF Research, setiap kenaikan AS$1 (RM4.19) untuk harga minyak mentah Brent bermakna peningkatan RM300 juta dalam hasil kerajaan. Walau bagaimanapun, kenaikan yang sama juga akan meningkatkan jumlah subsidi sebanyak RM440 juta, yang diterjemahkan kepada “impak fiskal bersih tolak RM140 juta bagi setiap kenaikan AS$1 setong dalam harga minyak, selepas subsidi meningkat di atas titik pulang modal AS$55 (RM231) setong,” kata laporan itu.

    Apabila harga minyak purata AS$70.85 (RM297) setong tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan RM11 bilion subsidi; bulan lepas menyaksikan minyak mentah Brent melepasi AS$100 (RM419) setong, yang merupakan yang tertinggi sejak 2014, berikutan pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine bermula 24 Februari, lapor The Star. Rusia adalah pengeluar minyak ketiga terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

    Firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran defisit fiskal sebanyak 6% daripada KDNK untuk 2022, kerana kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk menampung kekurangan RM7 bilion hingga RM10 bilion berdasarkan anggaran purata harga minyak antara AS$90 (RM378) kepada AS $110 (RM462) setong, lapor The Star.

    K’jaan bayar RM28 bilion untuk subsidi bahan api pada 2022, lima kali lebih tinggi dari peruntukan Bajet 2022

    Kerajaan Malaysia mempunyai dua pilihan pada ketika ini, kata KAF Research; sama ada kembali kepada program subsidi yang disasarkan sebelum ini yang telah ditangguhkan, dan memansuhkan harga siling bahan api, atau menaikkan harga siling bahan api kepada “paras yang lebih boleh diterima iaitu RM2.80 hingga RM3.00 seliter,” cadang firma penyelidikan tersebut.

    “Sebelum pengumuman dibuat mengenai subsidi bahan api yang disasarkan, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mula menormalkan kadar pada separuh kedua tahun ini pada satu hingga dua kadar kenaikan,” tambah laporan firma penyelidikan itu.

    Program bantuan bayaran tunai sekali sahaja sehingga RM625 telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sebelum ini, bagi membolehkan harga bahan api diapungkan pada masa yang sama. Subsidi bahan api telah dimansuhkan pada 2014 dan selepas itu harga bahan api ditentukan berdasarkan mekanisme harga automatik. Namun subsidi tersebut diperkenalkan semula pada 2018 hanya untuk petrol RON 95 dan diesel, membolehkan kedua-dua bahan api berkenaan dijual pada harga masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter.

     
     
  • AirAsia Ride perkenalkan perkhidmatan LadiesONLY- dipandu oleh wanita, untuk penumpang wanita sahaja

    AirAsia Ride perkenalkan perkhidmatan LadiesONLY- dipandu oleh wanita, untuk penumpang wanita sahaja

    AirAsia Ride, perkhidmatan e-hailing di Malaysia telah pun memperkenalkan perkhidmatan baharu yang digelar LadiesONLY, khas untuk pelanggan wanita. Ia memberikan pilihan kepada penumpang wanita untuk memilih pemandu wanita bagi perjalanan yang lebih selesa.

    Perkhidmatan LadiesONLY bukan setakat membolehkan penumpang wanita memilih pemandu wanita, bahkan pemandu juga boleh memilih untuk mengambil penumpang wanita sahaja. Ia boleh dipilih menerusi AirAsia Super App, dan pemandu mempunyai ciri khas dalam aplikasi berkenaan untuk menolak permintaan daripada penumpang lelaki tanpa menjejaskan ranking mereka. Walau bagaimana pun, tambang bagi LadiesONLY adalah lebih tinggi berbanding kategori biasa.

    Bagi menyokong pemandu wanita yang tiada pengalaman dalam e-hailing atau pun tidak mempunyai lesen dalam e-hailing, syarikat ini juga menawarkan manfaat sehingga RM400 termasuk pengecualian yuran untuk kursus kenderaan perkhidmatan awam (PSV), ujian dan juga pemeriksaan perubatan percuma. Sementara itu, pemandu wanita bagi AirAsia Ride juga bakal menerima kamera papan pemuka (dashcam) di mana permohonannya boleh dilakukan menerusi atas talian atau pun Super App.

    AirAsia Ride perkenalkan perkhidmatan LadiesONLY- dipandu oleh wanita, untuk penumpang wanita sahaja

    Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata syarikat ini sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airasia Super App, pemandu dan rakan penghantar.

    “Malah, kami juga sentiasa memperkasakan pemandu dengan memberikan 85% daripada tambang bersih (tidak termasuk caj tol) sebagai bayaran kepada pemandu. Ia lebih tinggi daripada perkhidmatan e-hailing lain di pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju.

    “Tambang untuk perjalanan airasia ditetapkan berdasarkan harga yang berpatutan, mengambil kira kemampuan penumpang, di samping mengimbangi masa perjalanan tambahan berikutan kesesakan trafik,” katanya.

    Setakat ini AirAsia Ride mempunyai 500 pemandu wanita yang disasarkan untuk meningkat kepada 5,000 pemandu tahun ini.

     
     
  • myTukar umum pemenang hadiah Proton X70 – lebih banyak lagi kereta dan hadiah lain untuk tahun ini

    myTukar umum pemenang hadiah Proton X70 – lebih banyak lagi kereta dan hadiah lain untuk tahun ini

    Peraduan yang diadakan oleh myTukar sempena sambutan ulang tahun syarikat yang keempat kini sudah pun berakhir. Pemenangnya, iaitu Mohamad Ariff bin Mohamad Borhanud dari Kuala Lumpur berjaya membawa balik sebuah Proton X70 Executive 2WD tahun 2019, berharga lebih RM100k.

    Sepanjang dijalankan dari 1 Disember tahun lepas hingga 9 Januari 2022, peraduan ini telah menarik lebih 300 penyertaan dan nama Ariff terpilih sebagai pemenang setelah cabutan dibuat melalui sesi secara langsung di Facebook.

    “Saya sangat teruja dan terharu apabila mendapati saya telah menang. Hari saya terus berubah. Semasa diumumkan sebagai pemenang, saya sangat terkejut! Dengan bajet dan perancangan kewangan sekarang, saya cuma bercadang mahu membeli sebuah Proton Satria Neo, dan langsung tidak mengambil kira kemungkinan saya boleh menang sebuah kereta semewah Proton X70,” kata Ariff yang berusia 27 tahun.

    “Apa yang lebih menyenangkan hati adalah keadaan serta kualiti kereta tersebut. Ia sangat sedap dipandu dan rasa seperti kereta baru. Saya memang sarankan sangat-sangat untuk orang ramai membeli kereta daripada myTukar, kerana prosesnya senang, dan semua langkah dari A-Z diuruskan secara mudah dan telus,” kata isteri Ariff, Habibatun.

    Bercakap tentang pemberian hadiah kereta ini, CEO myTukar, Derrick Eng berkata: “Peraduan dengan hadiah Proton X70 ini adalah peraduan pertama kami, dan kami rasa kagum bagaimana ia dapat memberi galakan kepada lebih ramai orang untuk membeli kereta terpakai. Kami teruja untuk menyampaikan hadiah yang berkualiti seperti X70 ini kepada Ariff.”

    “Pelanggan yang membeli kereta daripada myTukar akan dapat melihat proses yang serba lancar, dari mendapatkan kelulusan JPJ, insurans, pilihan pembiayaan yang diuruskan oleh ‘Pakar Produk’ myTukar, sehinggalah pertukaran hak milik,” kata Derrick sambil menambah bahawa akan terdapat banyak lagi hadiah kereta percuma pada tahun 2022. “Kami juga mungkin akan memberikan servis kereta premium. Perincian selanjutnya berkenaan peraduan ini akan didedahkan apabila kempennya semakin hampir nanti,” kata beliau.

    myTukar umum pemenang hadiah Proton X70 – lebih banyak lagi kereta dan hadiah lain untuk tahun ini

    myTukar adalah tempat jual beli kenderaan terpakai digital yang kini semakin berkembang di Malaysia. Antara perancangan syarikat ini untuk tahun 2022 adalah untuk membuka enam lagi pusat pameran menjelang tengah tahun, dan ini merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan sasaran 25 pusat khidmat, termasuk pusat pameran dan pengalaman pelanggan, satu realiti. Satu aplikasi khas myTukar juga akan dilancarkan.

    Menurut myTukar, platform digital mereka telah berjaya merebut sehingga 50% pasaran dan mereka mensasarkan segmen jualan mereka akan meningkat 10-20% lagi setiap bulan, manakala bahagian runcit pula dijangka berkembang sekitar 30-50% setiap tahun.

    Syarikat pakar dalam jual beli kenderaan terpakai ini juga akan berada di acara PACE 2022 hujung minggu ini di Setia City Convention Centre. Jika anda ada perancangan mahu membeli kereta baru tetapi perlu menjual kereta sedia ada terlebih dahulu, myTukar boleh menguruskannya. Dekati mereka di PACE.

     
     
  • Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Ini ada perkembangan terbaru berkenaan harga Tesla Model Y di Malaysia. SUV elektrik tersebut, yang merupakan antara model Tesla yang dibawa masuk oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), kini dijual pada harga permulaan lebih murah hasil daripada laluan import dan kiraan yang baru.

    TERKINI: Nampaknya risalah jualan yang dihantar sebelum ini oleh PEKEMA sebenarnya bukanlah yang terbaru, dengan harga yang telah dirujuk semula. Persatuan itu baru sahaja menghantar senarai harga sebenar yang telah dikemas kini, dan ia menyaksikan harga untuk semua Model Y diselaraskan semula. Versi Standard Range AWD yang sebelum ini dilaporkan dijual pada harga RM329,800 sekarang berharga RM345,800. Tengok juga senarai harga yang telah dikemas kini di bawah.

    Dalam risalah jualan yang dikeluarkan untuk tahun ini, Model Y kini dijual pada harga bermula RM345,800 (tidak termasuk SST), dan dibawa masuk daripada Hong Kong. Disember tahun lepas, harga bagi Model Y versi pacuan semua roda diletakkan pada RM417,528, sekaligus menjadikan harga model permulaan baru ini berkurangan sehingga RM73k.

    Sebab utama perbezaan harga ini adalah model yang dibawa dari Hong Kong (seperti dalam gambar) ini adalah versi Standard Range pacuan roda belakang (RWD), di mana ia cuma mampu memberikan jarak gerak 455 km (WLTP) berbanding 542 km yang mampu disediakan oleh versi Long Range AWD. Catatan prestasi bagi versi asas ini adalah 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j.

    Tesla Model Y kini dijual pada harga bermula RM346k

    Spesifikasi sistem infotainmennya juga mempunyai beza, atau lebih spesifik lagi pada bahagian perisiannya – Model Y dari Hong Kong mengikut peraturan lebih ketat yang dikenakan oleh China untuk aplikasi tertentu, yang membawa makna ada antara aplikasi pada skrin tersebut tidak boleh diakses.

    Meskipun Model Y sebenarnya disediakan dalam tetapan tujuh dan lima tempat duduk, unit RWD dari Hong Kong ini cuma adalah versi lima tempat duduk – satu-satunya tetapan tempat duduk yang disediakan di negara itu. Model yang ditunjukkan di dalam gambar ini sekarang sedang dipamerkan di Vision Motorsports yang terletak di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya.

    Dengan pengenalan versi Standard Range RWD ini, bermakna sekarang PEKEMA menawarkan lima versi Model Y, iaitu:

    Model Y Standard Range RWD (HK) – dari RM345,800
    Model Y Long Range AWD (HK) – dari RM423,800
    Model Y Long Range AWD (UK) – dari RM418,800
    Model Y Performance AWD (HK) – dari RM486,900
    Model Y Performance AWD (UK) – dari RM481,900

    Putih adalah warna standard yang disediakan tanpa sebarang tambahan bayaran, sementara warna hitam, perak dan biru gelap pula dijual dengan tambahan RM6,000 sementara warna merah pula memerlukan tambahan RM12,600. Anda juga disediakan dengan pilihan rim 20 inci pada harga RM12,600.

    Sama seperti model Tesla lain yang dibawa masuk oleh PEKEMA, Model Y ini datang sekali dengan jaminan antarabangsa oleh Tesla, yang termasuk empat tahun untuk kenderaan itu sendiri dan lapan tahun untuk bateri atau motor elektriknya.

     
     
  • Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Michelin hari ini telah melancarkan tayar motosikal sports touring baru untuk menggantikan Road 5, iaitu Road 6. Sementara Road 5 sebelum ini sudah memang dikenali dengan prestasinya di atas jalan basah, melalui Road 6 pula, Michelin telah meningkatkan lagi ketahanan serta cengkamannya di atas jalan basah melalui corak bunga simetrik.

    Dengan itu, Road 6 kini mampu memberikan 15% lebih cengkaman atas jalan basah berbanding Road 5, dan antara penyebab utamanya adalah penggunaan bahan silika 100% yang dapat panas dengan lebih cepat dalam keadaan cuaca sejuk.

    Menambahkan lagi prestasinya adalah corak bunga tayar Water Evergrip khas rekaan Michelin. Apabila tayar semakin haus, alur pada tayar tersebut akan jadi lebih kembang, sekaligus meningkatkan nisbah alur serta mengeluarkan air dengan lebih mudah.

    Michelin Road 6 dilancar – tayar motosikal sports touring dengan 15% lebih cengkaman atas jalan basah

    Berkenaan tempoh hayat tayar itu sendiri, Michelin menggunakan bahan campuran dengan teknologi 2CT+ pada Road 6, di mana ia dikatakan dapat memberi tempoh hayat 10% lebih lama berbanding Road 5. Lapisan bawah yang lebih keras mengekalkan ketahanan tayar waktu mengambil selekoh sementara lapisan atas lebih lembut yang bersentuhan dengan jalan pula memberikan cengkaman yang baik.

    Struktur dalaman Road 6 menggunakan teknologi Radial X Evo, yang dapat memastikan sentuhan permukaan lebih luas, serta meningkatkan cengkaman, kedua-dua waktu jalan lurus dan juga condong mengambil selekoh. Bahagian tepi tayar pula menggunakan lipatan lapisan khas yang dapat memberikan lebih fleksibiliti dan lebih keselesaan waktu kelajuan tinggi.

     
     
  • PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Jangan terlepas untuk berkunjung ke pameran Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) pada 19-20 Mac, hujung minggu ini. Banyak model kenderaan terbaru akan dipamerkan di bawah satu bumbung untuk anda dekati.

    Banyak jenama lain ketika pameran ini, seperti Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    Di acara ini nanti, Volkswagen antara lain akan mempamerkan Golf GTi generasi kelapan; sebuah hatchback pelopor yang kembali sekali lagi mempertemukan kualiti, praktikaliti dan prestasi. Lebih menarik, kini ia hadir dengan kelengkapan teknologi yang banyak.

    Bahagian kokpit model Mk8 ini segar dan baru. Selain panel instrumen digital 10.25-inci turut ada sistem skrin sentuh Discover Media 10-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Tombol yang kelihatan hanyalah untuk cermin sisi; bahkan tombol gear juga sangat kecil di konsol tengah.

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Kelengkapan khusus untuk GTI adalah kerusi sport kulit (automatik dengan ciri lumbar dan memori untuk pemandu) gauge merah khas GTI, perincian merah dan logo GTI di stereng (dengan paddle shift), jahitan merah pada kerusi gelap dan perincian honeycomb mesh untuk papan pemuka. Di luar, ada jalur merah pada gril dan juga honeycomb mesh bahagian bawah gril, paip ekzos berkembar dan rim Richmond 18-inci.

    Dari segi prestasi, ia datang dengan enjin 2.0 TSI dengan janaan 245 PS dan 370 Nm tork dari 1,600 hingga 4,300 rpm. Ini melibatkan tambahan 15 PS/20 Nm berbanding GTI Mk7.5, dan sama dengan versi Performance Pack kereta berkenaan. Digandingkan dengan DSG klac basah berkembar tujuh-kelajuan, 0-100 km/j boleh dicapai dalam 6.4 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dan, untuk kali pertama, Golf GTI dipasang di Malaysia, menjadikan harga jualannya sangat menarik, RM212,711.

    Membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Tinjau Volkswagen Golf Mk8 GTI dari dekat

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ di pamer di Royal Automobile Club Rotunda, London dari 15-27 Mac ini

    Proton Saga 1.5 GL ‘Black Knight’ di pamer di Royal Automobile Club Rotunda, London dari 15-27 Mac ini

    Selepas menang hadiah utama di Concours de l’Ordinare Hagerty Festival of the Unexceptional tahun lalu, Proton Saga 1.5 GL Black Knight 1989 yang dimiliki Jon Coupland, pegawai polis berumur 30-tahun dari Boston, Lincolnshire kini dipamerkan di Club House milik Royal Automobile Club Rotunda di London, England.

    Saga berkenaan di bawa ke ditempat yang agak berprestij tersebut oleh Hagerty Insurance, dan ia dipamerkan bermula 15 Mac lalu sehingga 27 Mac ini.

    Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition merupakan model edisi terhad yang hanya dihasilkan untuk pasaran United Kingdom. Jika Saga Knight di Malaysia hanya hadir dalam versi Aeroback, model Black Knight di UK ini pula turut ditawarkan dalam versi sedan. Proton hanya menghasilkan sebanyak 201 unit Black Knight untuk dijual, dan dipercayai unit milik Coupland ini adalah satu-satunya yang masih lagi wujud.

    Menurut Coupland, pemilik asal kereta ini menyimpannya di dalam garaj sejak tahun 1993 dengan jarak perbatuan hanya sekitar 3,600 batu (5,794 km) kerana jatuh sakit. Ia hanya keluar dari garaj berkenaan pada 2017 selepas dibeli oleh pemilik kedua dan kemudian dipandu sehingga meter perbatuan mencatatkan sekitar 10,000 batu (16,093 km). Jon Coupland merupakan pemilik ketiga Saga GL Black Knight berkenaan, dibeli pada 2019.

    Model Black Knight ini dihasilkan dari model asas Saga 1.5 GL pasaran UK yang dijana oleh enjin 1.5 liter 8 injap karburator. Seperti namanya, ia hadir dengan warna badan hitam, serta diberikan perincian unik seperti jalur pelekat badan dengan tulisan ‘Knight’ serta grafik pahlawan berkuda, penutup rim untuk menutup rim besi 13-inci dengan grafik pahlawan yang sama serta spoiler but belakang yang diperbuat dari getah.

    Namun disebabkan model GL ini adalah model dengan spesifikasi asas, ia tidak dilengkapi dengan stereng berkuasa, tiada bumbung suria, serta hanya diberikan tingkap manual yang memerlukan anda memulas tuil bagi menurunkan atau menaikkan cermin tersebut. Ia juga menerima radio manual Blaupunkt Bristol 27 yang boleh memainkan kaset.

    Kebanyakkan acara-acara perhimpunan permotoran klasik biasanya akan mengangkat model-model eksotik, sport dan rare. Namun berbeza dengan acara Hagerty Festival of the Unexceptional yang diadakan di United Kingdom setiap tahun bermula 2014, ia adalah acara untuk meraikan kereta-kereta keluarga klasik yang masih gagah dipandu di negara berkenaan.

    Lebih 3,000 peserta yang hadir ke Concours de l’Ordinare, dan antara kereta-kereta lain yang ditewaskan oleh Proton 1.5 GL Black Knight Edition dalam Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 adalah termasuk Peugeot 106 XN Graduate special edition 1991, Kia Pride 1990, Fiat 128 1977, Triumph Toledo 1971, Volkswagen Polo C Formel E 1986, Nissan Bluebird 1989, Volvo 340 DL 1986, Ford Escort 1978 serta banyak lagi.

    GALERI: Proton 1.5 GL Black Knight Edition di Hagerty Festival of the Unexceptional 2021

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025