Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

    Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

    Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia tahun ini sekali lagi bakal memberikan cabaran dalam perlumbaan endurance tahunan negara, Sepang 1000KM (S1K) yang akan berlangsung pada hujung minggu ini. Walaupun boleh dikata ‘belum habis penat’ dengan perlumbaan pusingan terakhir Vios Challenge pada hujung minggu lalu, TGR Malaysia bakal turun ke S1K kali ini untuk berlumba dalam kategori utama Modified Production (MTC) dan juga SP2.

    Jika sebelum ini Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing, Akio Takeyama dibantu oleh bekas juara GT Jepun kelas GT500 dengan pasukan Esso Ultraflo Supra, Akira IIda untuk mengendalikan Toyota Vios MTC dalam S1K 2019, kali ini beliau akan bergandingan dengan bakat tempatan iaitu juara tiga kali Vios Challenge dalam kelas Super Sporting dan duta GAZOO Racing Malaysia, Tengku Djan Ley, serta juara kelas Rookie Vios Challenge yang baru dinobatkan, Naquib Azlan yang baru berusia 20 tahun.

    Perlumbaan S1K ini akan menjadi yang pertama buat Naquib yang setakat tahun lalu hanya berlumba secara dalam talian menggunakan simulator. Dia merupakan satu daripada enam pemandu yang direkrut untuk menyertai Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing dan kemudiannya diberikan peluang untuk bersaing dalam kelas Rookie untuk pemandu muda.

    Manakala untuk jentera Vios kelas SP2 pula akan dikendalikan oleh gandingan pemandu kelas Rookie dari Vios Challenge iaitu Mika Hakimi dan Jwan Hii serta pemandu kelas Promotional, naib juara Musim-4, pelakon Zizan Razak. Zizan boleh dikatakan bukan muka baharu dalam S1K kerana dia sebelum ini pernah bertanding dan menang dalam perlumbaan berkenaan pada edisi 2016.

    Sementara Mika dan Jwan yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dan keempat dalam Vios Challenge baru-baru ini, juga akan membuat penampilan sulung mereka dalam S1K. Sama seperti Naquib, kedua-dua pemandu juga merupakan graduan Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing — Mika yang berusia 17 tahun datang dari latar perlumbaan simulator, manakala Jwan sebelum ini berlumba go-kart.

    “Dua penyertaan dalam S1K ini adalah untuk memenuhi beberapa matlamat, jika anda melihat barisan yang ada ini dengan dekat. Ya, kami mensasarkan kedudukan juara dalam kelas berkenaan, tetapi ia juga satu permulaan untuk melebarkan sayap Gazoo Racing Malaysia dalam kancah sukan permotoran Malaysia. Penyertaan ini juga adalah untuk memberikan platform baru bagi bakat muda untuk berlumba dalam persekitaran lebih kompetitif melangkaui Vios Challenge,” ujar Takeyama.

    Toyota GR M’sia sertai S1K 2021 dengan Vios MTC dan SP2, dipandu Tg. Djan Ley, Zizan Razak dan lain-lain

    Apa yang menarik, S1K tahun ini turut akan dilangsungkan serentak dengan Piala Vios Enduro. Perlumbaan untuk merebut piala ini diwujudkan untuk membawakan jentera lumba Vios Challenge dan pemandunya keluar dari persekitaran biasa mereka. Piala berkenaan menawarkan hadiah pertama RM10,000, dengan hadiah kedua dan ketiga masing-masing sebanyak RM8,000 dan RM6,000. Hadiah tunai berjumlah RM4,000 dan RM2,000 juga ditawarkan kepada pemenang tempat keempat dan kelima.

    “Untuk ikut serta dalam siri perlumbaan berprestij seperti S1K ini adalah permulaan pengembangan kehadiran Gazoo Racing Malaysia dalam sukan permotoran tempatan. Setakat ini, perhatian kami diberikan kepada pembangunan dan memperkukuhkan siri perlumbaan Vios Challenge yang baru saja selesai musim keempatnya baru-baru ini.

    “Ini akan menjadi satu cara menarik untuk mengakhiri kalendar perlumbaan tahun ini yang berlangsung dengan cabaran tersendiri akibat pandemik. Sudah tentu, untuk muncul juara adalah satu hal yang manis! Kami akan cuba mensasarkan kejayaan keseluruhan, tetapi memandangkan ini baru kali kedua kami menyertai S1K, kami akan gembira sekiranya dapat menamatkan perlumbaan dalam kelompok teratas,” kata Takeyama lagi.

    Turut membuat penampilan sulung dalam kelas MTC kali ini ialah sebuah Toyota Yaris yang dipandu oleh juara kelas Sporting Vios Challenge Musim-3 yang berusia 16 tahun, Hayden Haikal, yang akan bergandingan dengan seorang lagi pemandu muda berbakat, Timothy Yeo, mewakili Wing Hin Motorsport.

    Pasukan yang juga pengedar kenderaan UMW Toyota tersebut turut turun dengan satu lagi jentera MTC, iaitu Toyota Vios yang akan dipandu oleh juara kelas Super Sporting Vios Challenge Musim-2, Boy Wong dan pemandu kelas Sporting Vios Challenge, Dannies Ng.

    Perlumbaan Sepang 1000KM ini akan bermula pada hari ini, 26 November dengan sesi latihan bebas pada sebelah pagi, dan sesi kelayakan bermula pada pukul 3.30 petang. Perlumbaan sebenar bakal berlangsung pada pukul 11 pagi hari Sabtu, 27 November, dengan 181 lap bagi melengkapkan jarak 1,000 km dan dijangka akan berakhir pada pukul 8 malam hari yang sama.

    Walaupun masih berada dalam situasi pandemik, penonton dibenarkan untuk hadir ke litar Sepang untuk menyaksikan perlumbaan ini secara percuma. Namun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 seperti perlu memakai pelitup muka, kekalkan jarak sosial,tidak dibenarkan untuk berkumpul dan telah menerima dua dos vaksin yang lengkap tempoh matang masih perlu dipatuhi.

     
     
  • Toyota Yaris MTC Wing Hin Motorsport sedia gegar perlumbaan Sepang 1000km 2021 hujung minggu ini

    Toyota Yaris MTC Wing Hin Motorsport  sedia gegar perlumbaan Sepang 1000km 2021 hujung minggu ini

    Selepas setahun tidak diadakan kerana Pandemik Covid-19, perlumbaan endurance tahunan negara, Sepang 1000KM (S1K) untuk tahun 2021 bakal berlangsung di litar berkenaan pada hujung minggu ini. Bagi pengedar rasmi kelengkapan prestasi Toyota di Malaysia termasuk TRD dan GR, Wing Hin Motorsport, mereka bakal bertarung dalam kategori tertinggi Modified Production (MTC) dengan Toyota Yaris.

    Ya, ini bukanlah model prestasi sebenar GR Yaris, tetapi Yaris pasaran Asia Tenggara yang sama seperti ‘Yaris Janna Nick‘ yang boleh anda beli di bilik-bilik pameran UMW Toyota. Bertanding dalam kelas MTC juga bermaksud ia masih menggunakan enjin asal 2NR-FE dari kilang.

    Namun undang-undang MTC yang membenarkan pengubahsuaian ektensif persis kelas FIA Group A, sudah tentu enjin berkenaan telah rombak semula dan mungkin kapasitinya telah dibesarkan dari 1.5 liter kepada kapasiti maksima yang dibenarkan iaitu 1.6 liter. Manakala kotak gearnya turut telah ditukar menggunakan transmisi manual bagi menggantikan kotak gear CVT automatik asal.

    Wing Hin Motorsport tidak mendedahkan sebarang perincian teknikal berkenaan Toyota Yaris MTC ini. Namun boleh dijangka prestasinya tidak jauh berbeza dari jentera-jentera MTC yang dibangunkan oleh pasukan Proton R3 seperti Saga dan Iriz, di mana enjin S4PH 1.6 liter dalam perut kereta-kereta tersebut mampu menghasilkan kuasa sekitar 200 hp, tanpa bantuan pengecas turbo.

    Rupa luaran Yaris MTC ini juga dilihat tidak jauh berbeza dengan Yaris biasa, dengan hanya menerima splitter bawah bampar hadapan dan juga sayap GT bersaiz besar di belakang. Jentera ini akan dipandu oleh juara kelas Sporting Vios Challenge Musim-3 yang berusia 16 tahun, Hayden Haikal, yang akan bergandingan dengan seorang lagi pemandu muda berbakat, Timothy Yeo.

    Perlumbaan Sepang 1000KM ini akan bermula pada hari ini, 26 November dengan sesi latihan bebas pada sebelah pagi, dan sesi kelayakan bermula pada pukul 3.30 petang. Perlumbaan sebenar bakal berlangsung pada pukul 11 pagi hari Sabtu, 27 November, dengan 181 lap bagi melengkapkan jarak 1,000 km dan dijangka akan berakhir pada pukul 8 malam hari yang sama.

    Walaupun masih berada dalam situasi pandemik, penonton dibenarkan untuk hadir ke litar Sepang untuk menyaksikan perlumbaan ini secara percuma. Namun prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 seperti perlu memakai pelitup muka, kekalkan jarak sosial,tidak dibenarkan untuk berkumpul dan telah menerima dua dos vaksin yang lengkap tempoh matang masih perlu dipatuhi.

     
     
  • Polis tahan pelumba haram libatkan pertaruhan RM15k di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat selepas video tular

    Polis tahan pelumba haram libatkan pertaruhan RM15k di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat selepas video tular

    Polis diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa individu-individu yang terlibat dalam perlumbaan haram di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat (WCE) dan tular dalam video yang disebarkan di media sosial baru-baru ini sudahpun di tahan.

    Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM Perak, rakaman video yang tular tersebut telah dikesan dan dipercayai berlaku di susur keluar Sitiawan, Manjung di Lebuhraya WCE berkenaan.

    “Hasil siasatan yang dilakukan, pihak polis mengesahkan kejadian tersebut telah berlaku pada 16/11/2021 jam lebih kurang 5.00 pagi di lokasi terbabit dengan melibatkan pertaruhan sebanyak RM15,000.00,” kata ketua polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid dalam kenyataan tersebut.

    “Pihak Polis juga telah mengenal pasti perlumbaan tersebut melibatkan dua kumpulan yang dikenali dengan ‘Am Ulala’ dan ‘Kecik Super’. Dalam video yang tular tersebut turut terakam aksi merbahaya yang dilakukan oleh pelumba haram yang terbabit,” tambahnya lagi.

    Bertindak atas maklumat, pada tarikh yang sama Skuad 42 JSPT IPK Perak telah mengesan kedua-dua kumpulan berkenaan dan telah berjaya menahan tiga orang lelaki berumur lingkungan 22 hingga 24 tahun yang bertindak sebagai pelumba, mekanik malah penganjur perlumbaan haram berkenaan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

    Menerusi tangkapan itu juga pihak polis menyatakan bahawa mereka telah merampas dua buah motosikal Yamaha Y15ZR yang dipercayai digunakan dalam perlumbaan berkenaan – sebuah disorokkan di sebuah bengkel di Teluk Intan dan sebuah lagi disorokkan di rumah pejabat yang terletak di Pulau Pinang.

    Polis Perak mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat dan kerjasama dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara, dalam masa yang sama menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

     
     
  • Volvo XC60 facelift 2021 dilancar untuk pasaran M’sia – dua varian termasuk PHEV, harga dari RM292,266

    Volvo XC60 facelift 2021 dilancar untuk pasaran M’sia – dua varian termasuk PHEV, harga dari RM292,266

    Volvo Car Malaysia telah melancarkan XC60 facelift 2021 untuk pasaran Malaysia, dengan harga yang bermula RM292,266.50 untuk varian B5 Momentum dan RM325,449 untuk varian plug-in hybrid Recharge T8 Inscription Plus. Harga ini adalah untuk Semenanjung Malaysia tanpa insurans, dan dikira sekali dengan pengecualian cukai yang diberikan sehingga 30 Jun 2022.

    Untuk membezakan keduanya, varian T8 Inscription datang dengan kemasan krom pada beberapa bahagian termasuk gril serta rel bumbung, dan lampu LED penuh dengan Active High Beam serta fungsi membelok. Varian B5 pula menggunakan rel bumbung berwarna hitam dan lampu LED biasa, tetapi masih mempunyai Active High Beam. Untuk pasaran Malaysia, kedua-dua varian mendapat rim 19 inci, tetapi dengan rekaan yang berbeza – kedua-duanya dibalut tayar 235/55R19.

    Peningkatan ringkas di bahagian luar ini disertai oleh sistem infotainmen baru dengan Android Automotive OS yang sebelum ini pertama kali digunakan pada XC40 elektrik. Ia sekaligus memberikan XC60 Digital Services Package yang termasuk penggunaan Google Assistant dengan kawalan suara.

    Fungsi ini boleh mengawal aplikasi dalam kereta seperti Google Maps tanpa sentuhan, dan disertai oleh Volvo Car App dan servis ketersambungan untuk kawalan beberapa fungsi lain seperti suhu pendingin hawa, memeriksa status kenderaan, mengunci pintu dan pelbagai lagi.

    Kedua-dua enjin varian B5 Momentum dan Recharge T8 Inscription Plus menggunakan unit petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang berkuasa 249 hp pada 5,500 rpm dan 350 Nm antara 1,500 hingga 4,800 rpm, tetapi varian T8 ditambah dengan supercharger serta motor elektrik dan bateri 11.6 kWh untuk menjadikan kuasa keseluruhan 407 hp dan 640 Nm. Varian PHEV ini boleh bergerak dengan kuasa bateri sahaja sehingga 45 km.

    Transmisi yang digunakan pada kedua-dua varian juga adalah sama, iaitu automatik lapan kelajuan, membolehkan varian B5 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sementara varian T8 mencatat 5.2 saat. Penggunaan bahan api yang dicatat adalah 7.6 l/100 km bagi B5 dan 2.2 l/100 km bagi T8.

    Volvo XC60 facelift 2021 dilancar untuk pasaran M’sia – dua varian termasuk PHEV, harga dari RM292,266

    Dalam keadaan standard, kedua-dua varian XC60 facelift ini datang dengan tempat duduk yang dibalut kombinasi kulit serta vinyl coklat dan lapik bumbung gelap, tetapi pengguna diberikan pilihan kemasan Iron Ore Aluminium untuk B5 atau Driftwood Decor untuk T8, dan dipadankan bersama tempat duduk balutan Charcoal Moritz dan lapik bumbung Blond.

    Sistem infotainmen datang dengan skrin sesentuh sembilan inci pada XC60 facelift ini, manakala untuk audio, varian B5 mendapat sistem bunyi Harman Kardon serta 14 pembesar suara, dan varian T8 menggunakan sistem Bowers & Wilkins dan 15 pembesar suara.

    Sistem keselamatan aktif Intellisafe pada kedua-dua varian B5 dan T8 XC60 facelift ini lengkap dengan pakej City Safety yang termasuk Collision Avoidance and Mitigation dengan sokongan di simpang untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan binatang bersaiz besar, City Safety dengan sokongan stereng dan membrek, amaran perlanggaran belakang, AEB depan dan belakang, Driver Alert Control serta Lane Keeping Assist.

    Kemudiannya, ia ditambah lagi dengan Run-off Road Mitigation dengan pengesan pinggir jalan, Oncoming Lane Mitigation, Blind Spot Information System dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert dengan brek automatik, Emergency Stop Assist, ABS serta Brake Assist.

    Bagi sistem keselamatan pasif pula, pakej Intellisafe termasuk Run-off Road Protection, beg udara pemandu dan penumpang hadapan dua tahap, Side Impact Protection System (SIPS), beg udara bidai penuh, perlindungan whiplash untuk tempat duduk hadapan serta Post Collision Auto Braking.

    Empat warna ditawarkan bagi XC60 facelift 2021 di Malaysia, iaitu Crystal White Pearl, Dawn Silver Metallic, Onyx Black Metallic dan Denim Blue Metallic. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, dan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri PHEV pada varian Recharge T8 Inscription Plus.

    GALERI: Volvo XC60 facelift 2021

     
     
  • Proton Saga 2022 dijumpai sedang di uji! Ada kit badan, guna logo baru seperti Iriz & Persona facelift

    Proton Saga 2022 dijumpai sedang di uji! Ada kit badan, guna logo baru seperti Iriz & Persona <em>facelift</em>

    Proton Saga generasi sedia adasudah pun berada lima-tahun dalam pasaran, termasuk fasa facelift pada 2019 yang bukan sahaja menyaksikan ia diberikan sedikit rombakan pada rupa dan sistem infotainmen, malah telah menerima pertukaran sistem transmisi dari CVT kepada kotak gear 4AT konvensional.

    Tapi nampaknya Proton masih ‘nak pakai lama’ model berkenaan – pembaca kami, Putra Kamrin Azran telah terserempak dengan versi baharu Saga berkenaan yang sedang diuji oleh Proton di atas jalan raya awam!

    Berdasarkan gambar tersebut, Proton Saga 2022 berkenaan masih menggunakan rekaan gril serta bampar hadapan dan belakang yang sama seperti model sedia ada. Namun rupa logo yang disembunyikan disebalik pelekat penyamaran berkenaan membayangkan ia akan menerima logo bulat baharu Proton sama seperti Persona dan juga Iriz facelift 2022 yang telah dilancarkan pada Ogos lalu.

    Proton Saga 2022 dijumpai sedang di uji! Ada kit badan, guna logo baru seperti Iriz & Persona <em>facelift</em>

    Rim yang digunakan juga diberikan pelekat penyamaran, berkemungkinan turut akan menerima rekaan baharu. Namun apa yang membuatkan Saga ini nampak sedikit sporty berbanding model 2019 adalah ia menerima kit badan yang terdiri dari spoiler di bawah bampar hadapan dan juga skirt sisi yang nampak agak labuh. Cermin sisi juga nampak diberikan warna hitam.

    Tiada perincian lain termasuk bahagian dalaman yang dapat kita lihat menerusi set gambar ini. Apa agaknya perubahan yang Proton buat? Mungkin perehat tangan tengah untuk tempat duduk hadapan akan ditambah seperti pada model Saga pasaran Pakistan yang baru diumumkan baru-baru ini. Iriz dan Persona pun dah dapat perehat tangan kan?

    Bagi model sedia ada, Saga dijana oleh enjin 1.3 liter empat silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada takat 4,000 rpm. Kotak gear manual lima-kelajuan masih ditawarkan pada varian asas Standard, manakala varian tertinggi Premium hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan yang dibekalkan oleh Hyundai – gandingan ini mungkin kekal pada model 2022 nanti.

     
     
  • EICMA 2021: Honda Hornet Concept 2022 – petunjuk model naked baru kelas pertengahan, enjin rev tinggi

    EICMA 2021: Honda Hornet Concept 2022 – petunjuk model naked baru kelas pertengahan, enjin rev tinggi

    Selain daripada ADV350, Honda juga ada membawa sebuah model konsep ke pameran EICMA. Menariknya, model ini membawa nama yang sudah lama digunakan oleh pengeluar Jepun itu pada pelbagai model, iaitu Hornet. Walaupun sudah lama nama Hornet tidak digunakan pada model berkapasiti tinggi, ia bagaimanapun masih lagi digunakan hingga sekarang pada model 200 cc di pasaran India.

    Tiada sebarang perincian yang didedahkan berkenaan Hornet Concept ini, tetapi dalam laman web rasmi Honda Eropah, ia dikatakan adalah sebuah motosikal kelas pertengahan yang dipasang dengan enjin revolusi tinggi.

    Bentuknya pula menggunakan rekaan sebuah motosikal naked, dengan panel badan lebih tajam termasuklah ekor belakang runcing seperti model superbike CBR1000RR. Kerangka serta lengan ayun pula nampak seperti unit aluminium seperti pada CB650R dan bukannya besi ringkas seperti CB500F.

    Meskipun Honda mempunyai model naked CB650R yang menggunakan enjin empat silinder 649 cc, ia mungkin tidak akan digunakan sebagai asas untuk Hornet ini kerana di dalam video teaser yang disiar, terdapat gambaran dua piston. Jadi, kita antaranya boleh menjangkakan khidmat enjin dua silinder 471 cc daripada CB500F.

    Ataupun, jika mengikut media daripada Jepun, mereka menjangkakan penggunaan enjin dua silinder 750 cc yang mungkin diambil daripada skuter X-ADV ataupun Forza 750, tetapi sudah tentu dipadankan dengan transmisi manual.

    Pendaftaran minat untuk model ini sudah dibuka melalui laman web Honda Eropah, dan ini juga bermakna Honda serius untuk memperkenalkan versi produksi model ini tidak lama lagi.

     
     
  • Lancia Delta Evo-e RX – jentera lumba ‘bangkit dari kubur’ untuk sertai Kejohanan Rallycross Dunia!

    Lancia Delta Evo-e RX – jentera lumba ‘bangkit dari kubur’ untuk sertai Kejohanan Rallycross Dunia!

    Ya, memang sebelum ini Stellantis sudahpun mendedahkan rancangan mereka untuk menghidupkan semula jenama Lancia, dan mereka akan menghasilkan model generasi baharu Lancia Delta sebagai sebuah kereta elektrik sepenuhnya. Tapi berita yang anda bakal baca ini tiada kaitan langsung dengan rancangan Stellantis berkenaan.

    Firma kejuruteraan perlumbaab dari Perancis, GCK Motorsport mengumumkan mereka bakal menyertai Kejohanan Rallycross Dunia (WRX) tahun hadapan, dan memilih jentera klasik Lancia Delta Integrale untuk bertanding dengan jentera-jentera terkini!

    Bagi yang belum mengetahui, WRX bakal menggunakan undang-undang baharu pada musim hadapan, menyaksikan kesemua jentera yang bertanding dalam kelas tertinggi adalah dijana dengan kuasa elektrik sepenuhnya, menggunakan undang-undang yang digelar RX1e.

    GCK Motorsport menggunakan asas Lancia Delta Integrale sebenar, dan bukannya sebuah jentera baharu yang kelihatan seperti kereta klasik tersebut. Sama seperti jentera-jentera RX1e yang lain, kereta lumba yang digelar sebagai Delta Evo-e RX dari GCK Motorsport ini turut menerima kit rangkaian kuasa dua motor elektrik pacuan empat roda yang dibangunkan oleh Kreisel Electric dari Austria, menghasilkan 500 kW atau 680 hp.

    Lancia Delta Evo-e RX – jentera lumba ‘bangkit dari kubur’ untuk sertai Kejohanan Rallycross Dunia!

    Ini bukan kali pertama GCK Motorsport menyertai Kejohanan Rallycorss Dunia berkenaan, malah telahpun bertanding dalam siri tersebut sejak 2017. GCK Motorsport juga sebenarnya turut terlibat dengan kerja-kerja restomod untuk pelanggan, iaitu merestorasi Lancia Delta dalam masa yang sama menukar enjin pembakaran dalaman jentera tersebut kepada unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    “Saya sangat teruja untuk GCK kerana kembali ke Kejohanan Rallycross Dunia FIA di bawah undang-undang elektrik baharu,” kata pemilik pasukan GCK Motorsport, Guerlain Chicherit.

    “Format perlumbaan itu sendiri telah sempurna untuk memberikan salah satu cara yang paling mengujakan dengan kereta elektrik setakat ini, dan kami pilih Lancia Delta Integrale kerana ia adalah kenderaan yang membuat kita semua bermimpi.

    “Ia adalah kereta rali yang cemerlang – tanpa ragu-ragu ia merupakan yang paling hebat di eranya – dan antara salah satu yang kekal sangat popular sehingga hari ini,” jelas Chicherit lagi

    Lancia merupakan jenama dari Itali dan sangat sinonim dengan dunia perlumbaan rali pada era 70’an dan 80’an, lebih-lebih lagi ketika era kegemilangan jentera Group B WRC. Selepas Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia sendiri (ketika itu menggunakan Lancia Delta S4) iaitu, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse, FIA telah menggantikannya dengan kategori Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

    Lancia Delta Integrale dilihat mendominasi era awal untuk Group A berkenaan dengan memenangi lapan gelaran juara dunia WRC antara 1988 hingga 1992 – lima gelaran juara untuk kategori pengeluar dan tiga gelaran juara dunia WRC kategori pemandu yang dirangkul oleh Juha Kankkunen dan Miki Biasion.

     
     
  • EICMA 2021: Royal Enfield SG650 Concept – petunjuk model masa depan, banyak barang CNC aluminium

    EICMA 2021: Royal Enfield SG650 Concept – petunjuk model masa depan, banyak barang CNC aluminium

    Royal Enfield juga tiba di pameran EICMA dengan membawa sesuatu yang istimewa. Ia bukanlah sebuah model produksi, tetapi adalah model konsep yang dimulakan oleh pasukan rekaannya, di bawah pimpinan ketuanya, Mark Wells. Mesej yang mahu disampaikan adalah “meraikan peralihan” dan memberi gambaran kepada bentuk motosikal jenama itu pada masa hadapan yang tidak terlalu jauh.

    Walaupun masih mempunyai bentuk asas seperti motosikal klasik – sesuatu yang mahu dikekalkan oleh Royal Enfield – model konsep ini sebenarnya menggunakan pelbagai komponen buatan khas, yang hanya boleh anda lihat apabila diperhatikan secara terperinci.

    Sebagai contoh, tangki bahan apinya dibuat secara CNC billet machined daripada satu blok aluminium mampat, dan begitu juga dengan rim, yang mempunyai sistem ABS bersepadu terus, serta angkup dan cakera brek.

    Jika anda lihat pula pada bahagian tapak pemegang fork, ia diikat sekali kepada perumah lampu hadapan, yang juga dibuat daripada aluminium secara CNC. Walaubagaimanapun, jika motosikal ini akan membawa kepada model produksi, bahagian tersebut mungkin akan ditukar kerana proses CNC billet machined bukanlah sesuatu yang murah.

    Kerangka belakang motosikal ini hanya sampai ke bahagian tengah motosikal, sementara dua penyerap hentak yang digunakan mempunyai tapak khas yang menyambungkan rangka tersebut kepada lengan ayun. Tempat duduk dibalut dengan kulit jahitan tangan, meter menggunakan jenis digital berwarna yang juga boleh memaparkan arah navigasi dan kemudiannya penampilan diserlahkan dengan corak digital.

    Untuk enjin, Royal Enfield telah mengambil unit dua silinder 648 cc sama seperti Interceptor 650 dan Continental GT, yang mana mengikut spesifikasi, boleh menghasilkan kuasa 46.8 hp pada 7,150 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,150 rpm.

     
     
  • Porsche beli saham majoriti pengeluar e-bike Greyp

    Porsche beli saham majoriti pengeluar e-bike Greyp

    Bagi meluaskan penawaran model elektrik dan digitalnya, Porsche telah membeli saham majoriti dalam syarikat pengeluar basikal elektrik atau e-bike Croatia, Greyp. Buat masa ini, Porsche telah memiliki 10% pegangan saham dalam Greyp dan 24% saham dalam syarikat pengeluar kereta sport elektrik Rimac Automobili, yang kini menjadi pemegang saham majoriti dalam Greyp.

    Pembelian saham bagi Greyp oleh Porsche ini sekaligus membuatkan pengasas Rimac, Mate Rimac dan pengasas Greys yang lain menjadi pemegang saham minoriti dalam syarikat terbabit. Proses keseluruhan pembelian saham ini dijadualkan selesai pada 18 Disember dan Mate Rimac berkata Greys akan dibayangi Rimac serta sukar untuk berpotensi sepenuhnya.

    Porsche beli saham majoriti pengeluar e-bike Greyp

    “Kini, kami memulakan lembaran baharu yang menarik dalam sejarah syarikat – dengan Porsche membeli pegangan majoriti dalam Greyp. Ia akan menjadi pemacu untuk sesuatu yang hebat dan besar, tetapi kita akan membicarakannya pada masa lain,” ujar Rimac. Pada awal tahun ini, Porsche telah mengembangkan barisan e-bike dengan eBike Sport dan eBike Cross untuk respons pasaran yang positif.

    Sehingga Mac tahun ini, Porsche telah melabur dengan lebih 20 syarikat start-up dan juga lapan dana kapital. Selain itu, ia juga mencari peluang untuk melabur lebih 15 bilion euro (RM70.85 bilion) dalam teknologi baharu dengan 6.5 bilion euro (RM30.7 bilion) dalam pembikinan kenderaan hibrid dan elektrifikasi, laporan laman web thedriven.io.

     
     
  • Petronas akan sediakan pengecas pantas untuk kereta elektrik bermula 2022; kerjasama MBM & JomCharge

    Petronas akan sediakan pengecas pantas untuk kereta elektrik bermula 2022; kerjasama MBM & JomCharge

    Ini berita baik buat mereka yang berkira-kira untuk membeli kereta elektrik sepenuhnya (EV) tahun hadapan sempena pengecualian cukai dan duti seperti yang disebut oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 tempoh hari – Petronas Dagangan berhad (PDB) telah mengumumkan bahawa mereka akan memasang pengecas pantas DC di stesen-stesen minyak terpilih Petronas pada separa pertama 2022 dengan kerjasama Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan pengendali jaringan stesen pengecaj JomCharge iaitu EV Connection (EVC).

    Memorandum Persefahaman (MoU) telahpun ditandatangani, menyaksikan Petronas akan menambah pengecas di lima stesennya yang terletak di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan dan sebahagian Lebuhraya Timur Barat dalam tempoh peringkat perintis.

    Menurut Petronas, kerjasama ini mensasarkan untuk menyelesaikan isu penegcaj pantas yang tidak cukup di Malaysia, dengan pengecas di lokasi yang telah ditetapkan berkenaan membantu pemilik EV untuk bergerak dalam jarak jauh menggunakan kereta elektrik mereka.

    Petronas akan sediakan pengecas pantas untuk kereta elektrik bermula 2022; kerjasama MBM & JomCharge

    “Kemampanan merupakan teras kepada semua perkara yang kami lakukan dan kerjasama strategik ini menandakan satu lagi langkah besar dalam usaha kami bagi menyediakan tenaga yang lebih bersih dalam memperkayakan kehidupan bagi masa hadapan yang lebih lestari,” kata naib presiden untuk pemasaran Petronas Ahmad Adly Alias.

    “PDB telah menyediakan fasiliti pengecas EV pada stesen-stesen kami sejak 2017 dan satu peluang yang telah kami kenal pasti adalah permintaan terhadapan fasiliti pengecas lebih pantas ketika perjalanan jarak jauh, terutamanya di sepanjang lebuhraya-lebuhraya utama. Menerusi kerjasama ini, pengecas pantas akan disediakan di lokasi strategik memanfaatkan jaringan stesen Petronas kami yang luas, menjadikan kehidupan pelanggan lebih ringkas dan lebih baik. Kami lihat pelaburan dalam fasiliti pengecas EV ini langkah yang perlu kearah mempromosikan penggunaan EV di Malaysia,” tambahnya lagi.

    Naib presiden jualan dan pemasaran MBM, Micheal Jopp mengesahkan bahawa syarikatnya akan memperkenalkan barisan model elektrik sepenuhnya Mercedes-EQ di Malaysia pada tahun hadapan. “2022 menandakan permulaan strategi ofensif model Mercedes-EQ kami. Mercedes-Benz Malaysia akan memperkenalkan barisan model premium elektrik sepenuhnya untuk mentaktrif mobiliti masa hadapan.

    Petronas akan sediakan pengecas pantas untuk kereta elektrik bermula 2022; kerjasama MBM & JomCharge

    “Ini adalah selari dengan strategi global Mercedes-Benz untuk beralih ke elektrik sepenuhnya pada akhir dekad di mana keadaan pasaran membenarkan. Oleh itu, kami komited sepenuhnya untuk melabur dalam infrstruktur tempatan kami bersama PDB dan EVC bagi menggalakkan penggunaan EV dikalangan pemandu di Malaysia,” katanya.

    Pengarah urusan EVC Ir Lee Yuen How menambah: “Untuk menyokong Bajet 2022 kerajaan Malaysia, EVC gembira untuk untuk menjalankan perkongsian strategik ini dengan PDB dan MBM dalam meluaskan jaringan pengecas pantas DC JomCharge dalam negara. Dengan polisi jelas dari kerajaan, kami percaya bahawa tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk penerimaan EV di Malaysia. Kerjasama tiga-pihak ini merupakan langkah kehadapan yang besar untuk menyokong Malaysia dalam peralihan kepada EV sebagai salah satu bahagian dalam Rangka Kerja Mobiliti Karbon Rendah (LCMB) kita.”

    Petronas bukan satu-satunya syarikat petroleum yang meneroka pasaran pengecas EV di Malaysia. Bulan lalu, Shell telah menandatangani kerjasama dengan BMW Group Malaysia, Greentech Malaysia dan Tenaga Nasional, bagi memperkukuhan kerjasama bersama Porsche sebelum itu untuk memasang stesen pengecas pantas di enam stesen Shell – juga di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan – menjelang pertengahan 2022.

     
     
  • EICMA 2021: Aprilia Tuono 660 Factory – kuasa 100 hp, 67 Nm, 181 kg dan ditambah dengan IMU six-axis

    EICMA 2021: Aprilia Tuono 660 Factory – kuasa 100 hp, 67 Nm, 181 kg dan ditambah dengan IMU six-axis

    Tidak sampai satu tahun Tuono 660 diperkenalkan kepada pasaran, Aprilia kini memperkenalkan Tuono 660 Factory. Sama seperti RSV4 dan Tuono V4, versi Factory ini menerima spesifikasi lebih tinggi dan menyediakan tunggangan yang lebih sporty.

    Bagi Tuono 660 Factory, peningkatan yang dibuat turut melibatkan enjin dua silinder 659 cc padanya, di mana ia kini mempunyai tambahan kuasa 5 hp menjadi 100 hp sementara tork pula masih kekal 67 Nm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan quickshifter yang diberikan standard. Aprilia menjanjikan pecutan yang lebih kuat pada Tuono Factory ini, dengan sprocket yang ditukar kepada 16/43.

    Selain daripada itu, berat motosikal ini turut dikurangkan menjadi 181 kg hasil daripada penggunaan bateri jenis lithium ion. Suspensi pula masih sama seperti Tuono 660 biasa, iaitu menggunakan fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs di belakang.

    Tuono 660 Factory juga masih menyediakan lima mod tunggangan, tetapi ia ditambah dengan IMU six-axis untuk memberikan input kawalan tambahan kepada Traction Control, Wheelie Control dan juga Cornering ABS. Turut disediakan adalah Engine Braking Control yang boleh dilaras serta cruise control.

    Kedua-dua brek bahagian depan dan belakang mendapat angkup Brembo bersama cakera masing-masing 320 mm berkembar dan 220 mm, manakala hos brek pula datang dengan jenis metal-braided. Satu lagi bahagian yang diubah pada Tuono 660 Factory adalah tempat duduknya, yang kini hanya ada satu dan datang dengan penutup di belakang seperti RS660.

     
     
  • EICMA 2021: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP terima peningkatan, pilihan versi istimewa ulang tahun ke-30

    EICMA 2021: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP terima peningkatan, pilihan versi istimewa ulang tahun ke-30

    Honda CBR1000RR-R Fireblade SP telah diberikan naik taraf untuk model tahun 2022 dan ia sekaligus menandakan nama Fireblade itu sendiri sudah memasuki tahun ke-30 pengeluarannya. Bagi menjadikan ia lebih bermakna, pengeluar dari Jepun itu turut memperkenalkan model keluaran khas, edisi ulang tahun, yang menggunakan warna putih/merah/biru seperti CBR900RR Fireblade tahun 90-an.

    Selain penampilan, naik taraf pada model ini banyak berada pada bahagian enjin, di mana unit empat silinder 999 cc itu dipasang dengan salur intake serta kotak udara baru, manakala ekzos pula datang dengan sistem 4-2-1 dan peredam Akrapovic. Sprocket belakang turut dibesarkan tiga mata. Semua ini menjadikan kuasa pada tahap rpm tengah lebih kuat, tetapi jumlah keseluruhan masih sama, iaitu 214 hp pada 14,500 rpm dan 112 Nm tork pada 12,500 rpm.

    Beban spring throttle-by-wire telah dikurangkan untuk memberikan maklum balas lebih baik dan linear apabila dipulas, sementara sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula ditala semula untuk memadankannya dengan kemampuan keluar selekoh yang telah meningkat.

    Tiga mod tunggangan disediakan, dan penunggang boleh melaras tahap kuasa enjin, wheelie control, engine brake serta kawalan cengkaman mengikut kesesuaian. Unit IMU six-axis akan mengawal sistem kawalan cengkaman, Wheelie Control, Cornering ABS serta steering damper elektronik HESD.

    Suspensi model SP tahun 2022 terus menggunakan unit Ohlins kawalan elektronik, yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di hadapan dan monoshock TTX36 di belakang sementara model asas pula menggunakan suspensi Showa. Brek menggunakan cakera 330 mm berkembar dengan angkup Brembo Stylema di hadapan dan cakera 220 mm serta angkup Brembo dua piston di belakang.

    GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 2022

    GALERI: Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary 2022

     
     
  • ERL tawar tambang tiket sehala RM1 pada 27-28 Nov

    ERL tawar tambang tiket sehala RM1 pada 27-28 Nov

    Express Rail Link Sdn Bhd membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersiar-siar menaiki tren Express Rail Link (ERL) pada Sabtu dan Ahad ini (27-28 Nov 2021) dengan hanya RM1 untuk tiket sehala ke mana-mana stesen ERL. Menerusi ‘ERL RM1 Joyride Weekend’ yang bakal dirasmikan Sabtu ini, program dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bertujuan untuk merangsang semula perjalanan riadah tempatan.

    “ERL gembira dapat memainkan peranan dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menghidupkan semula industri perjalanan riadah dan sebagai pemain industri yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 yang masih berterusan, kami percaya semua pihak patut melaksanakan peranan mereka bagi menyokong pemulihan negara.

    “ERL turut bekerjasama dengan beberapa pemain industri untuk kempen tersebut, termasuk Tabung Haji, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), KL Hop-On Hop-Off, Perbadanan Putrajaya, Sukaseni, foodpanda, NU Sentral, Mitsui Outlet Park, komuniti pelancongan tempatan LOCCO and pengusaha makanan jalanan, TAPAK,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor seperti yang dilaporkan Bernama.

    ERL tawar tambang tiket sehala RM1 pada 27-28 Nov

    Tambahnya, beberapa stesen ERL juga akan menganjurkan aktiviti menarik seperti Stesen Sentral KL menawarkan pemberian percuma daripada foodpanda dan bertemu dengan pemain cosplay, manakala Stesen KLIA 2 menawarkan jualan murah Gateway@klia2 Giler Sale serta jualan akhir tahun Mitsui Outlet Park.

    “Kami harap orang ramai tidak akan melepaskan peluang ini untuk membawa keluarga dan rakan-rakan bersiar-siar di bandar raya dan membantu melonjakkan ekonomi, selain itu tidak perlu risau kerana semua tren dan stesen kami kerap dibersihkan dan menjalani proses disinfeksi, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

    Promosi istimewa tersebut hanya boleh didapati dengan pembelian menerusi aplikasi mudah alih KLIA Ekspress bermula 22 November ini.

     
     
  • Skim MyezyCover diperkenalkan untuk penjawat awam B40 beli/baharui insurans kenderaan secara ansuran

    Skim MyezyCover diperkenalkan untuk penjawat awam B40 beli/baharui insurans kenderaan secara ansuran

    Kerajaan telah memperkenalkan Skim MyezyCover buat 1.7 juta penjawat awam terutama daripada golongan B40 untuk membeli atau memperbaharui takaful (insurans) kenderaan mereka secara ansuran tanpa sebarang faedah.

    Perkara ini telah pun diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan yang berkata, skim patuh syariah itu dilaksanakan dengan pembiayaian RM100 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) dan A Tech Insure Sdn Bhd (ATECH), laporan Astro Awani.

    “Pada peringkat awal ini, program disasarkan kepada penjawat awam khasnya B40 sebelum diperluaskan kepada golongan pesara (kerajaan) dan syarikat swasta yang mana mereka boleh membeli insurans (takaful kenderaan) secara ansuran sama ada setiap bulan, setiap tiga atau empat bulan atau sekali gus.

    “Apabila mereka buat pembayaran sekali gus, mereka akan dapat 10% diskaun dengan pembayaran adalah menerusi potongan gaji oleh Angkasa,” katanya.

    Skim MyezyCover diperkenalkan untuk penjawat awam B40 beli/baharui insurans kenderaan secara ansuran

    Saravanan berkata, langkah ini diambil kerana kerajaan menyedari terdapat penjawat awam khususnya daripada golongan B40 berdepan dengan kedudukan kewangan yang sekadar “cukup-cukup” untuk membeli takaful kenderaan mereka.

    “Keadaan ini menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menunggu sehingga mendapat gaji untuk membeli takaful kenderaan sekiranya tempoh takaful kenderaan itu tamat pada pertengahan bulan. Ada juga kumpulan-kumpulan ini memiliki road tax dan insurans kerana meminjam Ah Long (peminjam wang tidak berlesen) selain melalui koperasi dan menggunakan kad kredit.

    “Jadi melihat pada kerugian aliran tunai melalui pinjaman ini, saya berbincang dengan syarikat sektor insurans dan diberitahu mereka tiada halangan untuk berikan ansuran selagi ada pihak ketiga boleh bayarkan dahulu. Jadi saya telah berbincang dengan Perkeso dan pihak lain kemudiannya untuk menyertai program sebagai pelabur,” katanya.

    Menerusi skim ini, penjawat awam terbabit boleh membuat bayaran ansuran serendah RM50 sebulan, dan dalam masa yang sama mereka dapat menguruskan pegangan tunai untuk digunakan pada perbelanjaan lain.

     
     
  • Pemuda nyaris digilis trelar – polis buat siasatan lanjut

    Pemuda nyaris digilis trelar – polis buat siasatan lanjut

    Semalam tular video berdurasi 23 saat di laman-laman sosial memaparkan seorang pemuda yang hampir digilis sebuah lori treler ketika sedang mengisi angin tayar motosikalnya di perkarangan sebuah stesen minyak. Lanjutan dari itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa satu siasatan lanjut berkenaan insiden berkenaan kini sudahpun mula dibuat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dalam laporan Sinar Harian, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman kira-kira jam 8.30 pagi semalam (Rabu).

    “Ketika kejadian, sebuah lori kontena yang dipandu seorang wanita berumur 35 tahun membuat pusingan U di dalam kawasan stesen minyak, sebelum melanggar mangsa yang sedang mengisi angin tayar motosikalnya.

    “Akibat pelanggaran tersebut, mangsa telah terjatuh dan hampir digilis lori berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    “Difahamkan, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun mengalami luka pada tangan dan sakit bahagian kaki serta badan,” katanya lagi dan menjelaskan kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan ia disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025