Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TuneBoss perkenalkan ShiftBoss 2.0, harga RM250

    TuneBoss perkenalkan ShiftBoss 2.0, harga RM250

    Mengambil masa dua tahun untuk dibangunkan, pengeluar kit talaan prestasi motosikal anak tempatan, TuneBoss telah memperkenalkan quickshifter ShiftBoss TuneBoss 2.0, berharga RM250. Direka untuk digunakan bergandingan dengan TuneBoss ECU, ShiftBoss 2.0 lebih mampu milik berbanding sistem quickshifter motosikal tipikal yang menggunakan load cell.

    Lebih baik berbanding versi sebelumnya, ShiftBoss 2.0 juga boleh digunakan untuk beberapa model motosikal berbeza yang boleh dipasang dengan TuneBoss ECU, dari Yamaha FZ150i dan Y150ZR sebelum ini. Kini, TuneBoss ECU boleh dipasang untuk Yamaha R25, R15, MT-15, Y16ZR serta Honda RS150R, membolehkan penukaran gear lebih pantas.

    Pemasangan ShiftBoss 2.0 mesti digandingkan paling minimum dengan TuneBoss ECU Stage 1, dijual pada harga RM399 bagi modul ECU untuk Yamaha MT-15. Dengan gabungan pembelian berharga RM649, termasuk pemasangan yang hanya boleh dilakukan di 49 pengedar sah TuneBoss di seluruh negara, pengguna bersedia untuk pengalaman menunggang di litar dengan prestasi yang dipetakan untuk enjin standard yang diberi percuma.

    “Setakat ini, terdapat lebih daripada 30,000 pengguna TuneBoss ECU diseluruh dunia sejak ia dilancarkan tujuh tahun lalu, pada Oktober 2014. Dengan ShiftBoss 2.0, kami berbesar hati untuk memaklumkan lebih ramai pelanggan yang boleh menikmati teknologi ini, yang sebelum ini hanya tersedia untuk motosikal prestasi tinggi sahaja,” ujar CEO FSR Technology, Farhan Ali.

     
     
  • Mitsubishi Airtrek EV 2022 dilancarkan di China – jarak cas penuh 520 km, 224 PS/350 Nm; harga dari RM138k

    Mitsubishi Airtrek EV 2022 dilancarkan di China – jarak cas penuh 520 km, 224 PS/350 Nm; harga dari RM138k

    Mitsubishi Airtrek baharu telah pun dilancarkan secara rasmi di China dalam penganjuran Auto Guangzhou, beberapa bulan selepas SUV ini diperkenalkan pada Julai lalu. Dibangunkan oleh GAC Mitsubishi Motors (GMMC), hasil kerjasama antara Mitsubishi dan Guangzhou Automobile Group (GAC), Airtrek dilaporkan akan mula dijual pada musim bunga tahun hadapan, dengan harga antara 210,000 dan 240,000 yuan (RM137,665 dan RM157,332).

    Kelahiran semula Airtrek ini adalah amat berbeza dengan Outlander atau model lain yang berkaitan, dan ia adalah SUV elektrik sepenuhnya (EV), tanpa pilihan sebarang enjin konvensional dan khas untuk pasaran China sahaja. EV ini dilengkapi dengan motor yang dipasang pada bahagian hadapan, berkapasiti sehingga 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan tork 350 Nm.

    Pacuan e-Motor dari 70 kWh disalurkan dari bateri lithium 350-voltan, memberikan jarak cas penuh mencecah 520 km berdasarkan kitaran CLTC. Perincian pengecasannya adalah terhad, tetapi menurut GMMC, Airtrek mengambil masa sekitar 43 minit dari tahap 30-80% menggunakan pengecasan DC – yang juga boleh menggunakan pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan 11 kW.

    Airtrek EV ini diasaskan dari Aion V yang telah pun berada di pasaran China September lalu, memiliki dimensi 4,586 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,728 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,830 mm. Jadi dari segi saiz, Aion V adalah lebih kecil dari Mitsubishi Outlander terkini.

    Mitsubishi Airtrek EV 2022 dilancarkan di China – jarak cas penuh 520 km, 224 PS/350 Nm; harga dari RM138k

    Untuk imej luaran, Airtrek ini diberikan rekaan muka signatur Dynamic Shield Mitsubishi, terdiri dari lampu nyalaan siang LED yang terletak di atas bersama lampu utama berbentuk-L di bawah, memberikan rupa seakan model konsep Mitsubishi Mi-Tech. Disebabkan Airtrek ini dijana oleh tenaga elektrik sepenuhnya, tiada sebarang ruang aliran udara pada gril hadapan selain dari liang yang terletak di bahagian bawah.

    Ia juga kelihatan agak seiras dengan GAC Aion V termasuk garis-garis karekter badan dan juga pembuka pintu yang “tenggelam’. Apa yang berbeza adalah rekaan “bumbung terapung” pada tiang-C di mana kemasan pada Airtrek adalah lebih kecil dari Aion V, serta tidak diberikan kemasan hitam yang bersambung antara lampu belakang dan juga pembuka pintu belakang.

    Airtrek juga menerima lampu belakang lebih unik berbentuk-T, bersama pintu tailgate belakang direka dengan elemen heksagonal. Model Mitsubishi ini juga diberikan rekaan bampar berbeza dari Aion V, menampilkan bahagian kemasan hitam lebih besar.

    Mitsubishi Airtrek EV 2022 dilancarkan di China – jarak cas penuh 520 km, 224 PS/350 Nm; harga dari RM138k

    Untuk bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan papan pemuka yang minimalis, menampilkan skrin sesentuhb infotainmen besar 12.3-inci yang terletak di atas liang pendingin hawa tengah. Skrin tersebut diasingkan dari skrin paparan instrumen digital juga 12.3-inci, berbeza dengan rekaan pada Aion V yang dilihat bercantum sekali.

    Selain itu, kabin Airtrek turut diberikan suis putar pemilih gear, pemegang cawan, pengecas telefon tanpa wayar, serta pelbagai suis kawalan dan ruang simpanan yang kesemuanya terletak

    Ciri lain yang turut diberikan kepada Airtrek ini termasuklah lampu utama LED, roda aloi 19- atau 20-inci, sistem suhu dwi-zon, penapis udara PM2.5, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi pengaliran, haba, memori dan enam-pembesar suara, kamera 360-darjah, kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan AEB, pemantauan titik buta, bantuan kesesakan trafik dan peluncuran serta liftgate larasan kuasa.

     
     
  • Proton, Maxis bawakan teknologi 5G ke kilang Tanjung Malim — sekuriti pintar, sokongan jarak jauh

    Proton, Maxis bawakan teknologi 5G ke kilang Tanjung Malim — sekuriti pintar, sokongan jarak jauh

    Proton bekerjasama dengan Maxis untuk memperkenalkan penggunaan 5G di kilang Tanjung Malim, dengan kerja-kerja pemasangan sudah bermula sejak awal Oktober lalu. Kerjasama ini menyokong pembangunan berterusan Bandar Proton untuk menjadi model bagi bandar pintar, dan dalam masa yang sama menjayakan komitmen Maxis untuk menyediakan inovasi 5G terbaik untuk perniagaan.

    Maxis akan menguruskan perkhidmatan menyeluruh bagi beberapa penyelesaian IoT (Internet of things) di
    Proton Tanjung Malim, dengan kes penggunaan bergantung pada rangkaian 5G yang dibina khas.

    Antara penyelesaian yang disediakan termasuk sistem keselamatan pintar untuk menjejak dan memastikan keselamatan kenderaan yang meninggalkan fasa pengeluaran serta sistem sokongan dan penyelenggaraan jarak jauh realiti maya. Ini membolehkan jurutera Proton untuk berkomunikasi dengan rakan niaga antarabangsa dalam masa nyata untuk menyelesaikan masalah teknikal dan memastikan kualiti pengeluaran.

    “Sebagai jenama automotif utama negara, Proton terus mencari dan memanfaatkan teknologi baru yang selari dengan slogan “Inspiring Connections” yang digunakan, untuk memajukan lagi kepakaran dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan,” jelas CEO Proton, Li Chunrong.

    Proton, Maxis bawakan teknologi 5G ke kilang Tanjung Malim — sekuriti pintar, sokongan jarak jauh

    “Melaksanakan teknologi 5G di kilang utama kami merupakan langkah penting untuk strategi pertumbuhan. Melalui kerjasama strategik dengan Maxis, kami ingin meneroka peluang baru yang boleh diterjemah kepada sekuriti yang lebih maju, persekitaran lebih selamat, kecekapan ditambahbaik, dan akhir sekali untuk mengeluarkan kereta lebih bagus,” tambahnya.

    “Maxis berbangga untuk dipilih menjadi rakan teknologi untuk menyediakan kes penggunaan 5G yang sangat penting ini untuk industri automotif tempatan. Kerjasama dengan Proton ini akan menjadi bukti kepada peranan utama kami yang sudah pun dimainkan dalam memupuk ekosistem digital untuk industri melalui inovasi,” ujar CEO Maxis, Gokhan Ogut.

    “Sebagai penyedia penyelesaian tertumpu utama di Malaysia, Maxis komited untuk menawarkan inovasi 5G terbaik melalui kepakaran dan sumber kami, untuk membolehkan negara ini sentiasa di depan dalam dunia yang kian berubah,” tambah beliau.

    Proton melihat teknologi 5G sebagai mempunyai potensi untuk merevolusikan industri automotif dan mengubah sektor pengangkutan. Dengan teknologi yang mampu menyediakan pindahan data berkelajuan tinggi, Proton akan mampu memperluaskan R&D dalam teknologi cellular vehicle-to-everything (C-V2X), merintis jalan untuk mencipta dan membangunkan kenderaan yang serasi dengan teknologi autonomous untuk masa depan.

     
     
  • Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

    Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

    Kejuaraan Rali Dunia (WRC) untuk musim 2021 secara rasmi melabuhkan tirainya semalam selepas berakhir pusingan terakhir di ACI Rally Monza, Itali. Pertarungan sengit bukan sahaja sehingga akhir musim, malah hingga ke babak-babak terakhir semalam menyaksikan pemandu Perancis, Sebastien Ogier merangkul gelaran juara dunia kejohanan tersebut buat kali ke-lapan!

    Tambah manis, pasukan yang diwakili Ogier, Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT) turut dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori pengeluar bagi WRC 2021. Malah pertarungan merebut takhta juara pemandu pada pusingan terakhir di Itali hujung minggu lalu juga menyaksikan pertarungan hebat antara Ogier dan rakan sepasukannya, Elfyn Evans.

    Sebelum ACI Rally Monza ini bermula Ogier telah pun mendahului carta pungutan mata dengan kelebihan 17 mata berbanding Evans. Kedua-dua pemandu berkenaan bersaing sengit sepanjang tiga hari rali tersebut berlangsung di mana pendahulu perlumbaan telah bertukar sebanyak enam kali.

    Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

    Pelbagai drama terjadi pada hari terakhir rali yang berlangsung di sekitar litar ikonik Monza dan di kaki bukit pergunungan Alps Itali ini. Sebastien Ogier hampir-hampir terkeluar dari perlumbaan berkenaan tanpa sebarang pungutan mata apabila tayar hadapan sebelah kanannya terlanggar tembok batu laluan chicane – mujur geseran kuat yang menyebabkan percikan api yang cukup besar tersebut hanya menyebabkan calar pada bahagian rim dan dinding tayarnya terkopek sedikit.

    Bagi Elfyn Evans pula, sedikit kesilapan yang dibuat ketika mengambil selekoh membuatkan enjin Toyota Yaris WRC yang dipandu termati dan menyebabkan dia kehilangan berberapa saat berharga. Perlumbaan ini berakhir dengan Ogier mendahului 7.3 saat berbanding Evans.

    “Sangat sukar untuk menggambarkan emosi seperti ini. Entah bagaimana anda rasa kosong kerana ia merupakan musim yang memenatkan seperti selalu, di mana anda perlu letakkan banyak usaha untuk memenangi kejuaraan. Tetapi kami lakukan untuk saat seperti ini. Beribu terima kasih diucapkan kepada ahli pasukan: Tanpa mereka kami tiada apa-apa dan hari ini kami semua adalah juara dunia, jadi mari raikannya,” kata Ogier.

    Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

    Ini musim penuh terakhir bagi Ogier dalam WRC. Bagi musim 2022, beliau mengesahkan akan ‘separa bersara’ dan hanya berlumba di pusingan-pusingan tertentu dengan pasukan Toyota, sementara juru arahnya, Julien Inggrasia mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya.

    “Sepanjang musim, sentiasa ada sekurang-kurangnya salah satu dari kru kami berada di atas podium – termasuk Takamoto (Katsuta). Terima kasih kepada mereka, saya dapat menonton kesemua acara dengan teruja menjangkakan seseorang dari pasukan kami akan menang. Kemudian dalam pusingan terakhir ini, Seb dan Julien, yang mensasarkan gelaran kelapan mereka, serta Elfyn dan Scott, yang masih berpeluang untuk memenangi gelaran pertama, mempersembahkan pertarungan sengit sehingga ke saat akhir. Sebagai peminat setia rali, saya berasa sangat teruja melihat mereka,” kata presiden Toyota yang juga pengasas TGR WRT, Akio Toyoda.

    “Yaris WRC kami berlumba dalam situasi yang begitu mengujakan pada peringkat tertinggi pertandingan…Ia seakan mimpi bagi kami di Toyota. Saya mahu berterima kasih untuk kedua-dua kru dari hati kerana membolehkan kami mengalami perasaan sedemikian,” tambah Toyoda lagi.

    Sebastien Ogier dan Toyota juara WRC 2021!

    Kemenangan 1-2 Toyota minggu ini juga membolehkan pasukan Jepun tersebut terus berada di kedudukan paling atas bagi kejohanan ketegori pengeluar sehingga ke akhir musim, sekaligus merampas kejuaraan berkenaan dari Hyundai yang menyandang gelaran itu dua tahun berturut-turut sejak 2019. Toyota bergelar juara dunia kategori pengeluar tahun ini dengan kelebihan 59 mata berbanding Hyundai.

    Pemandu Hyundai yang mempamerkan aksi terbaik pada Rali Monza ini adalah Dani Sordo yang menduduki tangga ketiga, ketinggalan 14 saat di belakang Elfyn Evans. Pemandu utama Hyundai, Thierry Neuville yang sekali lagi tidak bernasib baik kerana terlanggar pembahagi jalan pada SS ke-9 hanya berpuas hati di tangga ke-empat.

    Namun bintang muda Hyundai yang sedang meningkat naik, Oliver Solberg adalah antara yang diberi tumpuan dalam ACI Rally Monza kali ini. Anak kepada bekas juara WRC 2003, Petter Solberg berkenaan diletakkan dalam pasukan setelit Hyundai 2C Competition oleh prinsipal pasukan Hyundai, Andrea Adamo dan berjaya mencatatkan keputusan terbaiknya dalam WRC dengan menamatkan rali tersebut di kedudukan kelima.

    Musim hadapan kesemua pasukan bakal menampilkan jentera baharu masing-masing kerana undang-undang WRCar yang telah digunakan sejak 1997 akan digantikan dengan kategori baharu yang digelar Rally1. Ini merupakan era baharu buat kejohanan ini kerana FIA bukan sahaja memberikan kebebasan untuk setiap pengeluar menggunakan kerangka badan jenis space frame seperti era Group B dahulu, malah kesemua jentera perlu dipadankan dengan sistem hibrid elektrik dengan motor berkuasa 134 hp diletakkan pada gandar belakang.

    Menerusi undang-undang baharu ini, setiap jentera tersebut bukan sahaja perlu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan enjin pembakaran dimatikan terus ketika bergerak di jalan raya awam (dari SS ke SS atau ke service park), malah dalam situasi-situasi tertentu ketika berlumba, ia mampu menghasilkan kuasa maksima sekitar 500 hp.

     
     
  • Polis cari ‘marshal’ yang hentikan kenderaan di lampu isyarat bagi beri laluan konvoi motor besar di PD

    Tindakan pengiring (marshal) konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat di jalan raya lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang, Port Dickson, telah menerima banyak kecaman dari netizen selepas video mengenai isu ini tular di laman media sosial sejak semalam.

    Bahkan, perkara ini turut mendapat perhatian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan ia telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed yang berkata rakaman video berdurasi satu minit 10 saat yang dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Epul Adam Helmet Bajet yang menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong.

    “Ketika kejadian, lampu isyarat jelas berwarna merah dan tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motorsikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.

    Polis cari ‘marshal’ yang hentikan kenderaan di lampu isyarat bagi beri laluan konvoi motor besar di PD

    “Pergerakan motorsikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui Lampu Isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Tambahnya lagi, polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan dan sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD PORT Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222.

    “Peserta konvoi kenderaan tidak boleh membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Sekyen 79(2)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Proton serah 30 unit X70 kepada polis Kenya

    Proton serah 30 unit X70 kepada polis Kenya

    Proton Kenya yang diuruskan oleh Simba Corporation (Simba) mengumumkan bahawa sebanyak 30-unit SUV segmen-C Proton X70 telahpun diserahkan secara rasmi kepada perkhidmatan polis di negara berkenaan untuk digunakan oleh pihak berkuasa tersebut.

    “Proton X70 akan memberikan gaya yang menarik, kestabilan yang terbaik dan keselesaan kepada Perkhidmatan Polis Negara ketika mereka menjalankan tugas,” tulis Proton Kenya di laman Facebook rasmi mereka.

    Di Kenya, Proton X70 dijual hanya dalam satu varian iaitu X70 1.5L. Ia menerima konfigurasi enjin yang sama seperti X70 pasaran Pakistan yang dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder Turbo GDI (sama seperti X50 pasaran Malaysia) berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan yang hanya memacu roda hadapan.

    Versi yang dijual di pasaran Kenya ini juga menampilkan perincian-perincian seperti X70 Premium X di Malaysia, termasuk rim 19-inci, upholsteri kulit Nappa, bumbung panaromik, kamera pemantau sekeliling, sistem arahan suara “Hi Proton”, pintu tailgate dengan penderia kaki, sistem bantuan pemanduan seperti pengelak pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran titik buta dan pelbagai lagi.

    Walau bagaimanapun, unit-unit yang diserahkan kepada pihak polis Kenya berkenaan dilihat menampilkan perincian seperti varian Standard untuk pasaran Malaysia, hadir tanpa bumbung panaromik serta mengenakan set rim aloi 17-inci kemasan perak.

    Ia juga dilihat sudah diberikan pelbagai warna badan dua tona seperti biru-putih dan hijau-merah, yang seakan hanya menunggu pelekat-pelekat grafik lain dan juga lampu strob bagi melengkapkan penampilannya sebagai sebuah kereta polis.

    Selain dari X70, Simba turut menjual dua lagi model Proton di Kenya iaitu sedan Persona dan juga model paling mampu milik, Proton Saga. Bagi Saga, ia sudahpun mula dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di negara berkenaan menerusi kilang Associated Vehicle Assemblers (AVA) yang terletak di Miritini, Mombasa. Operasi tersebut telah pun dirasmikan oleh Presiden Kenya, Uhuru Kenyatta pada 10 Disember 2020.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Okt 2021 naik 43%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Okt 2021 naik 43%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi Oktober 2021, menyaksikan sebanyak 63,489 unit kenderaan baharu telah dihantar pada bulan tersebut. Ia meningkat sebanyak 19,214 unit berbanding 44,275 unit pada September, mewakili peningkatan sebanyak 43.4%.

    Ini merupakan kali kedua jumlah keseluruhan industri (TIV) bulanan mencecah lebih 60,000 unit pada tahun ini, kali pertama berlaku pada Mac lalu dengan sejumlah 64,875 unit (pada asalnya dilaporkan sebanyak 63,878 unit) telah dicapai. MAA berkata peningkatan jualan pada bulan lalu disumbangkan oleh tempoh operasi perniagaan yang lebih meluas di seluruh negara, dengan syarikat pengeluar kenderaan yang melonjakkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang tertangguh sebelum ini.

    Bagi tahun-ke-tahun, jumlah yang dicapai pada bulan lalu adalah lebih 5,794 unit (10%) berbanding tempoh yang sama pada Oktober 2020, dengan sejumlah 57,695 unit. Bagi angka setakat ini, TIV bagi 2021 masih di belakang 2020. Untuk 10 bulan pertama 2021 ini menyaksikan sejumlah 382,379 unit telah dicatatkan, kurang 19,335 unit (atau 4.8%) dari 401,714 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    MAA turut menjangkakan jualan pada November kekal seperti mana Oktober, memandangkan syarikat pengeluar kereta gigih mempromosikan kempen jualan akhir tahun untuk lonjakan jualan. Pembeli dijangka akan terus mengambil kesempatan dari pengecualian cukai jualan (SST) yang dilanjutkan sehingga Jun tahun hadapan.

     
     
  • Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

    Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

    Baru-baru ini kecoh dalam media sosial apabila ada orang yang dipanggil “pakar’ mahu mengharamkan kapcai di atas jalan raya. Motif sebenar orang ini tidak diketahui, tetapi apa yang beliau nyatakan, kapcai adalah penyumbang utama kematian atas jalan raya dan mengganggu produktiviti negara.

    Ini bukanlah kali pertama kita mendengar cadangan pengharaman kapcai di Malaysia, dan jumlah kemalangan yang tinggi di kalangan pengguna kapcai memang sudah jelas. Mengikut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), pengguna motosikal mempunyai 6.2 kali lebih risiko kemalangan berbanding pengguna kereta, dan 60% kemalangan maut atas jalan raya adalah melibatkan pengguna motosikal.

    Namun, ini hanya statistik dari satu sisi sahaja. Bagaimana pula dengan punca sebenar kemalangan? Soalan itu juga tidak boleh dijawab oleh JSPT dan mereka tidak mempunyai catatan berkenaan perkara itu. Seperti yang kita ketahui, kemalangan atas jalan raya boleh disebabkan oleh pelbagai perkara seperti keadaan jalan, pemandu yang tidak fokus dan pelbagai lagi.

    Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

    Untuk mendapatkan pendapat dari sisi penunggang, kami mendekati Shahrol Yuzy, yang merupakan bekas pelumba motosikal profesional, pengendali pasukan lumba dan presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Perkara pertama yang beliau utarakan adalah rasa kecewa dengan cadangan tersebut (mengharamkan kapcai). “Dia ni siapa nak haramkan kapcai tiba-tiba? Kapcai adalah bahagian penting dalam ekosistem pengangkutan dan ekonomi negara. Jadi, nak haramkan ini memang perkara yang tak patut,” kata Yuzy.

    “Jika mereka haramkan kapcai, bagaimana ekonomi dan perniagaan di Malaysia, terutamanya di kawasan padat nak berfungsi? Penunggang kapcai ini biasanya datang daripada golongan B40, dan mereka menggunakannya sebagai pilihan pengangkutan yang boleh diharap dan murah, untuk pergi kerja, servis penghantaran dan pelbagai tujuan lain. Kalau diharamkan, macam mana sektor ekonomi ini nak berfungsi?” tambah beliau.

    Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

    Yuzy turut menyatakan bahawa pengharaman kapcai hanya kerana kadar kematian yang tinggi di kalangan penunggang adalah sama seperti mahu mengharamkan telefon bimbit kerana banyak pemandu yang tidak fokus apabila menggunakan telefon. “Pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu lebih berisiko menyebabkan kemalangan. Adakah disebabkan itu kita patut mengharamkan terus telefon bimbit? kata Yuzy.

    Beliau juga bukan setakat membangkang pengharaman kapcai ini, tetapi juga ada menyatakan beberapa cadangan sebagai penyelesaian. “Banyak masalah dengan pemandu tidak berdisiplin atas jalan raya adalah disebabkan kurang didikan. Subjek pelajaran di sekolah memandu juga lebih banyak menekankan tentang tanda jalan dan bagaimana untuk melepasi ujian sahaja. Selepas dah dapat lesen, semua benda mereka lupa,” tambah Yuzy.

    Beliau sebaliknya mahukan pendidikan berkenaan peraturan dan etika atas jalan raya bermula dari sekolah rendah. Ia dikatakan boleh memberi manfaat kepada bukan sahaja penunggang motosikal, tetapi juga pemandu, pejalan kaki, penunggang basikal dan ramai lagi.

    Haramkan kapcai? Shahrol Yuzy bangkang keras

    Yuzy juga menyokong sekiranya proses mendapatkan lesen dijadikan lebih ketat dan penambahan kursus selepas mendapat lesen. “Cuba tengok proses ujian lesen di Jerman dan Jepun. Nak dapat bukannya senang, tetapi untuk ditarik semula memang mudah. Apabila dibuat begini, barulah mereka akan lebih menghargai lesen yang ada dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan jalan raya,” kata Yuzy.

    “Di Malaysia, ramai pengguna jalan raya rasa mereka boleh terlepas daripada kesalahan dengan mudah. Kalau ditangkap pun, mereka cuma perlu membayar RM150 atau RM300. Ini mudah sangat. Ia sepatutnya dijadikan lebih tinggi dan tegas,” tambah beliau.

    Menutup perbualan kami, Yuzy menyatakan pengharaman kapcai ini memang tidak masuk akal. “Daripada haramkan terus, mereka sepatutnya memberikan fokus kepada keselamatan jalan raya secara umum, pendidikan yang lebih baik kepada pengguna jalan raya dan penyediaan pengangkutan awam yang lebih cekap. Kalau kapcai diharamkan dan diganti dengan motosikal elektrik pun, perkara sama masih akan berlaku, kerana kesedaran terhadap keselamatan jalan raya masih sama kurang,” kata Yuzy.

     
     
  • Perodua tidak akan dapat capai sasaran jualan 214,000 unit bagi 2021, masalah bekalan cip belum selesai

    Perodua tidak akan dapat capai sasaran jualan 214,000 unit bagi 2021, masalah bekalan cip belum selesai

    Malam tadi Perodua Myvi facelift 2022 telah pun dilancarkan secara rasmi. Walaupun nampak masih lagi hampir sama pada sebelah luar dengan model sebelum ini, versi kemaskini Myvi berkenaan menampilkan perubahan yang begitu drastik pada aspek mekanikal dan elektronik, dan tidak mustahil akan melonjakkan jumlah Perodua.

    Malah pada Oktober, Perodua juga dilihat telah mencatatkan jualan sebanyak 27,858 unit kenderaan, sekaligus mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Record. Jadi, adakah Perodua bakal mencapai jualan tahunan yang disasarkan sebanyak 214,000 unit bagi tahun ini?

    Namun menurut presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika sesi prebiu untuk media sebelum pelancaran Myvi facelift, syarikatnya dijangka akan gagal untuk mencapai sasaran berkenaan. Malah sebenarnya angka tersebut telah dikurangkan dari sasaran awal 240,000 unit yang diumumkan sebelum itu.

    Menurutnya, cabaran besar ini adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, dan ia memberikan kesan besar terhadap produksi kenderaan yang kadang kala terpaksa dihentikan bagi mengelakkan penularan virus berkenaan. Selain dari Covid, masalah bekalan cip semikonduktor yang terjejas di seluruh dunia juga menambah buruk lagi situasi tersebut, tambahnya.

    Perodua tidak akan dapat capai sasaran jualan 214,000 unit bagi 2021, masalah bekalan cip belum selesai

    “Cabaran-cabaran ini telah menjejaskan jumlah produksi kami, dalam masa yang sama kami masih belum dapat mendedahkan jumlah sebenar impak berkenaan buat masa sekarang, cukuplah untuk mengatakan bahawa Perodua tidak akan dapat mencapai sasaran jualan 214,000 kenderaan yang ditetapkan sebelum ini,” katanya dan menambah bahawa sudah cukup baik sekiranya jumlah jualan berkenaan dapat mencapai lebih dari 200,000 unit.

    Jualan kumulatif Perodua sehingga Oktober lalu dicatatkan pada 146,951 unit, atau 14.5% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu. Bagi mencapai angka 200,000 unit Perodua perlu mendaftar secara purata 25,500 unit kereta sebulan bagi bulan November dan Disember.

    “Walau bagaimanapun, permintaan untuk kenderaan kami masih kuat dengan jumlah tempahan yang besar serta permintaan yang mampan yang dijangka terus bergerak ke hadapan berikutan pengecualian cukai jualan yang diteruskan. Oleh sebab itu kami menjangkakan pengeluaran dan jualan kedua-duanya akan mendapat pemulihan yang kukuh tahun depan,” jelas beliau lagi.

    September lalu, Perodua mengumumkan bahawa sasaran jualan tahunannya dikurangkan dari 240,000 unit yang ditetapkan pada awal tahun dikurangkan 10.8% kepada hanya 214,000. Sebelum itu, Perodua optimis dengan sasarannya 240k unit tersebut pada awal bulan Jun, sebelum impak sekatan pergerakan penuh yang menyaksikan produksi dan jualan kereta terpaksa dihentikan sekitar dua setengah bulan.

    Perodua tidak akan dapat capai sasaran jualan 214,000 unit bagi 2021, masalah bekalan cip belum selesai

    Bayangan model gantian Perodua Alza oleh Theophilus Chin, berasaskan Daihatsu Xenia dengan penggayaan dari Myvi facelift

    Sasaran awal 240k tersebut juga sebenarnya merupakan angka sasaran untuk tahun 2020 yang tidak dapat dicapai, selepas Covid-19 memaksa syarikat berkenaan menurunkan sasarannya kepada hanya 210k unit. Namun Perodua masih berjaya mencatatkan jualan sebanyak 220,163 unit sepanjang 2020.

    Perodua bakal menumpukan perhatian mereka untuk tahun 2022, bukan sahaja dengan Myvi facelift, malah dengan kehadiran MPV baharu yang akan menggantikan Perodua Alza (buat masa sekarang masih dipanggil D27A) yang dijangka akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.

    Walau bagaimanapun, semua perancangan ini masih perlu bergantung kepada situasi bekalan mikrocip, yang dilihat tidak akan reda dalam masa terdekat. “Kami secara berterusan berkomunikasi dan berbincang dengan pembekal kami dan mereka komited untuk membekalkan keperluan kami sehingga akhir tahun ini. Tetapi untuk suku pertama tahun hadapan, kami berada dalam keadaan tidak menentu dan kami tidak mendapat sebarang komitmen dari mereka (pembekal cip),” kata Zainal menerangkan bahawa pengeluar cip tidak memberikan sebarang komitmen untuk bekalan lebih dari tiga bulan kerana situasi yang dihadapi sekarang.

     
     
  • Proton PJ lancar laman web baharu – jadual pandu uji, tempahan atas talian, hantar ke rumah dan banyak lagi

    Proton PJ lancar laman web baharu – jadual pandu uji, tempahan atas talian, hantar ke rumah dan banyak lagi

    Proton Petaling Jaya, pusat 3S yang dikendalikan oleh Regal Motors, telah pun melancarkan laman web baharu yang menawarkan lebih banyak kemudahan yang lebih menyenangkan buat para pelanggan yang tidak mahu berkunjung ke bilik pameran disebabkan Covid-19. Menerusi laman web ini, pelanggan boleh melihat model kereta yang mereka inginkan, memandu uji dan membelinya serta dihantar dengan selamat hingga ke depan pintu rumah.

    Laman web terbabit juga menyediakan spesifikasi dan perincian ciri untuk setiap model Proton, serta pelanggan boleh memuat turun semua brosur tersebut. Jika ingin merasai pengalaman memandu model yang diminati, pelanggan boleh menjadualkan sesi pandu uji, dan kereta itu akan dihantar terus ke rumah atau pejabat anda. Untuk keselamatan tambahan, unit pandu uji tersebut akan disanitasi sebelum dan selepas setiap kali sesi pandu uji, dan semua penasihat jualan telah dilengkapi vaksinasi dan juga memakai facemask dan face shield.

    Bukan itu sahaja, anda juga boleh membuat tempahan menerusi dalam talian, dan penasihat jualan akan membantu anda untuk proses pembelian yang selanjutnya – dan jika mahu, kereta yang ditempah itu boleh dihantar terus ke pintu rumah anda. Pelanggan juga boleh menikmati promosi dalam talian rasmi yang sama memandangkan pusat 3S ini adalah pengedar konvensional.

    Tetapi jika anda mahu berkunjung terus ke bilik pameran, bolehlah ke Proton Petaling Jaya yang terletak di Jalan Bersatu 13/4, Section 13, Petaling Jaya.

     
     
  • Perodua Alza D27A di’render’ lagi — muka Myvi 2022

    Perodua Alza D27A di’render’ lagi — muka Myvi 2022

    Selepas mengenakan wajah depan Ativa kepada Daihatsu Xenia sebelum ini, Theophilus Chin kembali lagi dengan interpretasi lain terhadap Perodua Alza D27A generasi baru dan memberi bayangan apa rupa MPV tersebut kelak. Kali ini, wajah depan Myvi terbaru pula dikenakan kepada Xenia.

    Antara elemen penting pada Myvi 2022 ialah gril depan yang lebih besar dan ketara, dengan rekaan krom melintang yang bertemu dengan logo Perodua. Dapat juga dilihat rekaan atau lekuk X yang ada pada bampar dan bahagian atas wajahnya, dengan DRL LED menegak terletak di sudutnya.

    Bagi Myvi varian atas H dan AV, lip hitam pada bamparnya mempunyai seksyen warna perak, dengan lampu utama juga diberi rekaan baru serta jalur menegak di bampar belakang untuk mengimbangi elemen sama di depan untuk DRL. Bagi imej render ini, Xenia berkenaan hanya diberikan gril depan dan bampar Myvi untuk diserasikan dengan wajah depan MPV berkenaan yang lebih tinggi.

    Perodua Alza D27A di’render’ lagi — muka Myvi 2022

    Memang, rekaan adalah subjektif, jadi antara dua imej bayangan Alza baru ini yang dihasilkan Theo, yang mana satu anda rasakan lebih menarik? Atau, lagi elok kekalkan wajah Xenia sahaja untuk Alza juga? Atau mungkin wajah Avanza/Veloz baru?

    Pengeluaran Alza sedia ada dikhabarkan bakal dihentikan Januari tahun depan, dengan model tersebut akan mula diakhiri jualannya bermula Februari 2022. Maksudnya, pengganti Alza ini hanya akan muncul selepas itu, walaupun masih samar-samar tempoh waktunya untuk masuk pasaran.

    Alza generasi baru dijangka bakal menggunakan asas yang sama seperti Avanza/Veloz/Xenia, yang semuanya menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jika betul, MPV Perodua ini akan jadi model kedua menggunakan paltform tersebut selepas Ativa, walaupun mungkin tidak diberikan enjin turbo yang sama. Di Indonesia, semua MPV berkenaan menggunakan enjin NR.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 — Perbandingan spesifikasi setiap varian; apa yang ada pada 1.3G, 1.5X, 1.5H dan 1.5AV

    Perodua Myvi 2022 facelift versi terbaru sudahpun diperkenalkan semalam, sekaligus menandakan bab baru bagi model kereta popular di Malaysia berkenaan. Sejak 2005, Perodua sudah mengeluarkan sebanyak 1.3 juta unit “kereta rakyat” ini. Bagi model generasi ketiga ini pula, ia sudah mencatatkan angka 277,329 unit dalam tempoh empat tahun.

    Memang sudah tiba masanya untuk diberikan kemaskini pertengahan hayat, tetapi berbanding hanya melakukan perubahan kecil, Myvi 2022 ini menerima banyak peningkatan dan penambahbaikan — pelaburan untuk ini sahaja mencecah RM50 juta dan menelan 137,000 jam kerja. Lihat kepada pembaharuan yang diberikan, baru anda akan faham kenapa.

    Perubahan wajah depan yang dilakukan agak banyak. Antaranya lampu utama rekaan baru, dengan DRL LED turut membuat penampilan sulungnya. Bahagian dalaman juga menerima panel meter baru, serta kemaskini kecil lain berdasarkan maklumbalas pengguna (misalnya butang OFF untuk pendingin hawa), dan varian AV dengan tema hitam-merah yang ketara.

    Perodua Myvi 2022 — Perbandingan spesifikasi setiap varian; apa yang ada pada 1.3G, 1.5X, 1.5H dan 1.5AV

    Paling utama ialah peralihan transmisi dari 4AT kepada D-CVT dari Ativa. Ini memberi kelebihan penjimatan minyak lebih baik sebanyak 5% dan 20% lebih pantas, dengan tahap kebisingan yang lebih rendah. Ini ditambah dengan ciri keselamatan yang lebih baik — bayangkan ini; ciri kawalan melayar adaptif dan bantuan mengekalkan lorong untuk Myvi, yang bahkan tidak mempunyai kawalan melayar biasa sebelum ini. Ciri pemanduan autonomous Tahap 2 juga disertai oleh ASA 3.0 (versi terbaru, seperti Ativa), peninjau titik buta dan lampu tinggi automatik. Semua ini ada pada kereta yang berharga bawah RM60k.

    Kami telah pun perincikan semuanya dalam laporan pelancara Myvi 2022 ini dan juga video tinjauan awal untuk rujukan anda. Di sini, kami ingin bawakan pula perbandingan penawaran antara spesifikasi setiap varian Myvi 2022 yang ada. Semuanya ada lima varian 1.3 G, 1.3 G dengan PSDA (ciri keselamatan termasuk ASA), 1.5 X, 1.5 H dan paling tinggi 1.5 AV — dengan harga bermula RM45,700 hingga RM58,800, atas jalan tanpa insurans dan SST.

      Perodua Myvi 1.3 G 2022 — RM45,700 (tanpa PSDA), RM47,700 (dengan PSDA)

      Kelengkapan standard:

      Mekanikal

    • 1.3L Dual VVT-i (1NR-VE) dengan Eco Idle
    • 1,329 cc, empat-silinder petrol
    • 94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm
    • Kotak gear automatik D-CVT
    • 22.2 km/l gabungan penggunaan minyak
    • Tangki minyak 36 liter
    • 3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar, 1,515 mm tinggi, 2,500 mm jarak antara roda
    • 160 mm jarak kelegaan tanah
    • Stereng Kuasa Elektrik (EPS)
    • Radius pusingan 4.8 meter
    • Jaminan lima-tahun/150,000 km
    • Luaran

    • Lampu utama dengan Auto Off dan fungsi Follow-Me-Home
    • Larasan lampu manual
    • Lampu belakang LED dengan panduan lampu
    • Cermin sisi hitam larasan elektrik dengan lampu isyarat LED
    • Penggilap cermin jenis bilah aero dengan kepantasan mengikut kelajuan
    • Sensor undur
    • Rim 14-inci aloi, tayar 175/65
    • Tayar ganti saiz penuh
    • Gril depan perak metalik
    • Dalaman

    • Sistem tanpa kunci dan butang Push Start
    • Kunci pintu sensitif terhadap kelajuan
    • Cermin depan akustik
    • Tingkap kuasa, naik/turun automatik untuk pemandu
    • Head unit 2-DIN dengan radio dan input USB, empat pembesar suara
    • Kawalan pendingin hawa digital (dengan dua tetapan memori)
    • Stereng dengan larasan ketinggian
    • Kerusi pemandu boleh laras ketinggian
    • Balutan fabrik kerusi baru
    • Kerusi belakang lipatan 60:40 dengan perehat kepala
    • Ruang but 277 liter (832L jika kerusi dilipat)
    • Poket sisi untuk tempat duduk depan
    • Cangkuk tambahan anti-ragut
    • Keselamatan

    • Empat beg udara (dua di depan, dua sisi depan)
    • ABS, EBD, VSC
    • Lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS)
    • Bantuan mula mendaki
    • ASEAN NCAP lima-bintang
    • Pengingat tali keledar untuk semua kerusi
    • Dua cangkuk Isofix untuk kerusi belakang
    • ASA 3.0 dengan Amaran Pra-Perlanggaran (PCW)
    • Brek Pra-Perlanggaran (AEB)
    • Makluman Pergerakan Depan (FDA)
    • Kawalan Salah-operasi Pedal (PMC)
    • Lampu tinggi automatik (AHB)
    • Amaran Penukaran Lorong (LDW) dan Penghindaran Penukaran Lorong (LDP)
    • Perodua Myvi 1.5X 2022 — RM49,900

      Tambahan:
      Mekanikal

    • 1.5 litre Dual VVT-i (2NR-VE) dengan Eco Idle
    • 1,496 cc, empat-silinder petrol
    • 102 hp pada 6,000 rpm, 136 Nm pada 4,200 rpm
    • 21.1 km/l penggunaan minyak gabungan
    • Radius pusingan 5.1 meter
    • Luaran

    • Roda 15-inci, tayar 185/55
    • Lampu utama LED dengan fungsi Follow-Me-Home
    • Cermin sisi lipatan automatik, larasan elektrik
    • Dalaman

    • Kemasan corong pendingin hawa warna perak berkilat
    • Kemasan pintu dengan penyudah warna perak
    • Fungsi Bluetooth
    • Pembesar belakang lebih besar (16 cm)
    • Butang stereng untuk audio dan panggilan
    • Butang PWR di stereng
    • Perodua Myvi 1.5 H 2022 — RM53,900

      Tambahan:
      Luaran

    • Lampu nyalaan siang LED
    • Gril depan hitam berkilat
    • Lip depan dan skirting sisi
    • Bampar belakang dua-tona
    • Spoiler belakang
    • Pemegang pintu krom
    • Sensor parkir depan
    • Dalaman

    • Tombol gear dengan penyedah warna perak
    • Pemegang pintu krom
    • Fabrik tempat duduk corak honeycomb
    • Perehat kepala kerusi belakang boleh laras/cabut
    • Pengimbas tol binaan dalam
    • Head unit dengan skrin sentuh 6.9 inci dan USB, Bluetooth, SmartLink, HDMI
    • Stereng balutan kulit
    • Kawalan pengesan suara
    • Filem penapis haba dan solar
    • Keselamatan

    • Enam beg udara (depan, sisi dan tirai)
    • Perodua Myvi 1.5 AV 2022 — RM58,800

      Tambahan:
      Dalaman

    • Panel instrumen merah gaya Optitron
    • Paparan multi-info berwarna TFT
    • Kemasan corong pendingan hawa merah
    • Kerusi balutan kulit merah-hitam
    • Butang stereng ACC, LKC, MID
    • Dashcam depan
    • Kamera undur
    • Keselamatan

    • Kawalan Melayar Adaptif (ACC)
    • Kawalan Mengekalkan Lorong (LKC)
    • Peninjau Titik Buta (BSM)
    • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
    • Pilihan warna bagi Myvi 2022

    • Cranberry Red (AV sahaja)
    • Electric Blue
    • Lava Red (tiada untuk AV)
    • Glittering Silver
    • Granite Grey (tiada untuk 1.3G)
    • Ivory White (solid)

     
     
  • Polis saman anggota polis yang tular langgar undang-undang; nombor plat fancy dan tiada cermin sisi

    Polis saman anggota polis yang tular langgar undang-undang; nombor plat <em>fancy</em> dan tiada cermin sisi

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan bahawa pihaknya telahpun mengeluarkan saman terhadap seorang anggota polis yang menunggang motosikal tanpa cermin sisi dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

    Menurut laporan Harian Metro, kesalahan anggota tersebut telah dimuat naik dalam akaun Tik Tok milik @haikaliskandr, kemudian ditularkan oleh orang ramai. Video berdurasi 21 saat tersebut menunjukkan rakaman dipercayai daripada dua lelaki yang menaiki kenderaan memaklumkan seorang anggota ronda Balai Polis Ampang menunggang motosikal tanpa cermin sisi serta menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi pada 5.30 petang, semalam.

    “Susulan itu, kami mengambil tindakan berlandaskan undang-undang terhadap anggota terbabit dengan mengeluarkan saman trafik bagi kedua-dua kesalahan berkenaan.

    “Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya kepada akhbar berkenaan.

    Dalam satu lagi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh IPD Ampang Jaya menyatakan bahawa tindakan berlandaskan undang-undang telah diambil terhadap anggota tersebut dengan mengeluarkan saman trafik bernombor F2242G000721 bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy, dan saman trafik bernombor F2242G000720 bagi kesalahan tiada cermin pandang belakang.

     
     
  • Polis keluarkan 14,407 saman nombor pendaftaran fancy, modifikasi dalam 15 hari pertama Op Khas

    Polis keluarkan 14,407 saman nombor pendaftaran fancy, modifikasi dalam 15 hari pertama Op Khas

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara telah menggerakkan Op Khas untuk nombor pendaftaran kenderaan bermula 1 hingga 30 November lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman, untuk15 hari pertama operasi berkenaan, sebanyak 40,139 saman pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan.

    Di mana 4,617 daripadanya melibatkan kenderaan yang menggunakan plat nombor pendaftaran fancy dan 8,645 saman lagi untuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Manakala 1,145 saman melibatkan individu yang memandu kenderaan tanpa plat pendaftaran.

    Bagi 14,407 kesalahan plat nombor, ia melibatkan 49.9% untuk penunggang motosikal (7,193 saman) dan pemandu kereta pula sebanyak 42.3% (6,089 saman). Manakala 25,732 saman lain dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan trafik.

    Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah beberapa kali mengeluarkan amaran berhubung dengan penggunaan nombor pendaftaran kenderaan yang mengelirukan, kabur atau fancy adalah menyalahi undang-undang. Justeru, orang ramai dinasihati agar memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika didapati melanggar peraturan tersebut, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) APJ 1987.

     
     
  • KTM 1290 Super Duke R EVO 2022 diperkenal – dapat suspensi WP-APEX semi aktif, kuasa 177 hp, 140 Nm

    KTM 1290 Super Duke R EVO 2022 diperkenal – dapat suspensi WP-APEX semi aktif, kuasa 177 hp, 140 Nm

    Tahun lepas, KTM 1290 Super Duke R telah diberi peningkatan yang agak ketara dengan enjinnya mendapat lebih kuasa dan beratnya menjadi lebih ringan. Kini bagi model tahun 2022, model yang juga dikenali dengan nama The Beast itu ditawarkan dengan pilihan warna baru serta tambahan versi baru Super Duke R EVO.

    Kelebihan utama Super Duke R EVO adalah di bahagian suspensi, di mana ia dilengkapi dengan unit semi aktif WP-APEX generasi kedua yang terdiri daripada fork USD 48 mm di hadapan dan monoshock di belakang.

    Dalam keadaan standard, suspensi elektronik ini menawarkan tiga mod iaitu Comfort, Street dan Sport (boleh dipilih melalui butang di pemegang) manakala pra beban spring monoshock belakang boleh dilaras dalam 10 tahap (sehingga 20 mm) melalui pilihan dalam skrin TFT.

    KTM 1290 Super Duke R EVO 2022 diperkenal – dapat suspensi WP-APEX semi aktif, kuasa 177 hp, 140 Nm

    Jika ini masih tidak mencukupi, pemilik boleh mendapatkan pakej Suspension Pro, di mana mereka akan diberikan tiga lagi mod tambahan iaitu Track (paling keras dan sesuai untuk dalam litar), Advanced (membenarkan pelarasan sendiri oleh penunggang) dan Auto (pelarasan automatik untuk pelbagai keadaan).

    Melalui pakej ini juga pra beban monoshock belakang boleh dilaras secara automatik bergantung kepada berat penunggang dan menyediakan tiga geometri iaitu Standard, Low dan High. Satu lagi pilihan tambahan yang disediakan dalam pakej ini adalah tetapan anti-diving, yang dapat mengekalkan kedudukan suspensi hadapan apabila membrek secara kuat.

    Selain suspensi, KTM juga telah menambah baik maklum balas pendikit model ini dengan unit pemulas pantas yang dapat mengurangkan sudut pulasan sebanyak tujuh darjah, menjadi 65 darjah. Menurut KTM, ia bukan sahaja dapat memberikan pendikit yang lebih responsif, tetapi juga mengurangkan sudut pergelangan tangan penunggang apabila memulas penuh pendikit.

    Ciri teknikal lain model ini masih sama seperti sebelumnya, bermula dengan enjin LC8 dua silinder V 1,300 cc yang mampu menghasilkan kuasa 177 hp dan 140 Nm tork, bersama padanan transmisi enam gear dan klac slipper PASC.

    Dalam keadaan standard, model ini menyediakan tiga mod tunggangan, dan ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Motorcycle Traction Control, mod ABS Supermoto, Cruise Control dan sambungan KTM My Ride.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025