Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Care Seat — hingga berat 36 kg, dari RM680

    Perodua Care Seat — hingga berat 36 kg, dari RM680

    Perodua mengumumkan ketersediaan produk Care Seat keluarannya, yang djual pada harga RM680 di Semenanjung dan RM695 di Sabah & Sarawak dan kini mula dijual di semua cawangan rasmi Perodua di seluruh negara. Penawaran terbaru ini menggantikan kerusi bayi dan kanak-kanak GearUp Infant dan GearUp Toddler, yang masing-masing dijual pada harga RM785 dan RM975 di Semenanjung.

    Kerusi keselamatan kanak-kanak terbaru Perodua ini hadir dengan penggunaan Isofix, dan sesuai untuk kanak-kanak berusia hingga 12 tahun, atau berat 36 kg. Terdahulu, kerusi GearUp Infant tersebut hanya mampu menampung sehingga 13 kg besar sahaja, sementara GearUp Toddler antara 9 kg hingga 36 kg.

    Care Seat ini boleh dipasang ke arah depan atau belakang kenderaan, dan boleh dilaraskan kepada enam sudut atau direbahkan sedikit, sementara tali keledar padanya boleh juga dilaras mengikut posisi perehat kepala yang ada.

    Dua warna ditawarkan bagi Perodua Care Seat, kelabu dan biru. Care Seat ini juga datang dengan jaminan setahun, atau dua kali ganda tempoh jaminan yang diberikan untuk kerusi kanak-kanak sebelumnya, dan dijual pada harga yang boleh dikirakan sekali ke dalam pinjaman sewa-beli kenderaan baru Perodua.

    “Perodua Care Seat lebih menjimatkan kos, dan dalam masa yang sama boleh digunakan dan dimanfaatkan dari usia bayi hingga kanak-kanak tanpa perlu ditukar apabila usia bayi semakin meningkat,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia catat prestasi jualan tertinggi bagi April 2021 – 1,872 unit terjual, Xpander paling laris

    Mitsubishi Malaysia catat prestasi jualan tertinggi bagi April 2021 – 1,872 unit terjual, Xpander paling laris

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mencatatkan rekod sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya mencatatkan prestasi jualan tertinggi bagi April 2021, dengan sebanyak 1,872 unit kenderaan yang berjaya terjual. Momentum jualan syarikat ini berterusan meningkat sejak Januari lalu dan kini meletakkannya dalam posisi ketiga tertinggi bagi jenama bukan-nasional selama empat bulan berturut-turut.

    Xpander terus mendominiasi segmen MPV bukan-nasional sejak Januari lalu dan kini telah mencatatkan jualan yang memberangsangkan iaitu melebihi 10,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan pada November 2020. Model ini telah menyumbang sebanyak 982 unit atau 52% bagi jualan pada April lalu. Setakat ini, MMM telah menghantar 3,800 unit Xpander kepada pemiliknya di seluruh Malaysia.

    “Kami sangat gembira dengan pekembangan jualan Xpander dan permintaan terhadapnya juga melebihi jumlah unit yang dibekalkan. Walaupun terdapat banyak cabaran yang dihadapi susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini, namun kami terus berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan yang kukuh bagi Xpander, selain mempertingkatkan kapasiti produksi kami dan dalam masa yang sama mengekalkan tahap kualiti produk yang tinggi,” ujar CEO MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Malaysia catat prestasi jualan tertinggi bagi April 2021 – 1,872 unit terjual, Xpander paling laris

    Selain Xpander, trak pikap Triton turut menyumbang prestasi jualan yang memberangsangkan, dengan sejumlah 680 unit telah dihantar kepada para pelanggan pada bulan lalu, ini termasuklah dengan 142 unit daripadanya adalah varian Athlete yang merupakan barisan tertinggi dalam Triton yang dilancarkan baru-baru ini.

    “Walau pun terdapat banyak penurunan dalam sektor ekonomi dan sentimen sekeliling yang menyebabkan kerugian disebabkan pandemik COVID-19, namun kami tetap berasa lega melihat penjualan kami yang tetap optimis dan terus bergerak ke arah positif. Kami sedar bahawa sebilangan besar pelanggan membeli kereta baharu sebelum pengecualian SST berakhir pada akhir Jun ini. Walau pun terdapat kekurangan bekalan, namun Mitsubishi tetap berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi permintaan,” sambung Shinnishi lagi.

     
     
  • BMW dan Ford labur RM536 juta dalam syarikat pembuat bateri solid untuk bateri EV lebih murah

    BMW dan Ford labur RM536 juta dalam syarikat pembuat bateri solid untuk bateri EV lebih murah

    BMW Group, Ford dan syarikat modal usaha niaga Volta Energy Technologies telah menyuntik pelaburan sebanyak USD$130 juta (RM536 juta) ke dalam syarikat pembuat bateri solid, Solid Power. Langkah ini menyusul sebaik sahaja BMW mengumumkan bahawa mereka akan menampilkan teknologi bateri baharu yang mengujakan pada 2025, dalam ucaptama Neue Klasse yang dibuat pada April lalu.

    Dana yang disuntik berkenaan akan membolehkan Solid Power memproduksi bateri automotif dalam skala penuh, meningkatkan pengeluaran material yang berkaitan serta, mengembangkan kebolehan produksi sendiri untuk integrasi kenderaan masa hadapan. Operasi dijangka akan bermula pada awal 2022.

    “BMW dan Ford sekarang merupakan peneraju dalam perlumbaan menghasilkan bateri solid untuk menjana kereta elektrik. Solid Power kini merancang untuk memulakan produksi bateri berskala-automotif pada barisan produksi perantis syarikat pada awal 2022 kerana rakan kerjasama kami terus memberikan komitmen terhadap usaha pengkomersialan Solid Power,” kata CEO Solid Power, Doug Campbell.

    BMW Group dan Ford mensasarkan untuk menggunakan bateri solid berkuasa tinggi keluaran Solid Power yang lebih murah untuk model-model baharu mereka pada masa akan datang.

    Bateri berkenaan, yang turut boleh dihasilkan menggunakan infrastruktur penghasilan bateri lithium-ion sedia ada, mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, membolehkan ia menawarkan jarak gerak yang lebih jauh dengan kos lebih rendah berbanding bateri sel lithium-ion terbaik dalam pasaran buat masa sekarang. Malah bateri solid ini juga jauh lebih selamat untuk digunakan dengan risiko terjadi kebakaran yang lebih rendah.

    BMW dan Ford labur RM536 juta dalam syarikat pembuat bateri solid untuk bateri EV lebih murah

    Buat masa sekarang Solid Power menghasilkan bateri solid sepenuhnya pelbagai lapisan berkuasa 20 ampere jam (Ah) menerusi barisan pengeluaran secara berterusan. Ford dan BMW Group bakal menerima sel skala penuh 100 Ah untuk kegunaan ujian kelayakan automotif dan integrasi kenderaan mereka bermula pada 2022.

    “Teknologi bateri solid ini adalah mustahak untuk kenderaan elektrik akan datang, dan sebab itu mengapa kami buat pelaburan secara terus,” kata Ted Miller, pengurus subsistem elektrifikasi dan penyelidikan bekalan kuasa Ford.

    “Dengan meringkaskan rekaan bateri solid berbanding bateri lithium-ion, kami mampu untuk meningkatkan jarak gerak kenderaan, menambahbaik ruang dalaman serta ruang kargo, memberikan kos lebih rendah dan juga lebih nilai kepada pelanggan dan apa yang lebih efisien adalah integrasi teknologi bateri solid ini kedalam proses produksi bateri lithium ion,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, Toyota dijangka akan mendedahkan model prototaip yang dibekalkan dengan pek bateri solid pada tahun ini. Gergasi automotif Jepun berkenaan mempunyai lebih 1,000 paten berkenaan bateri solid, serta telah bergabung dengan Honda, Nissan, pembuat bateri dan juga kerajaan Jepun sendiri bagi mempercepatkan pembangunannya.

     
     
  • Pengeluar kereta mula kurangkan ciri canggih seperti meter digital dan GPS kerana kekurangan bekalan cip

    Pengeluar kereta mula kurangkan ciri canggih seperti meter digital dan GPS kerana kekurangan bekalan cip

    Umum mengetahui, pandemik Covid-19 telah menyebabkan satu lagi masalah besar kepada pembuat-pembuat kereta di seluruh dunia iaitu kekurangan bekalan cip semikonduktor. Perkara ini telah menyebabkan pelbagai masalah lain termasuk penangguhan dan pengurangan produksi, malah ada juga kilang yang terpaksa ditutup sementara kerana tidak cukup sumber komponen bagi menghasilkan sebuah kereta lengkap.

    Namun pengeluar-pengeluar ini tidak boleh hanya pasrah bagi menghadapi situasi sebegini dan mereka mula mengambil pelbagai langkah penyelesaian. Menurut laporan dari Bloomberg, Nissan mula tidak memadankan lagi sistem navigasi GPS pada beribu-ribu kereta baharu mereka, Renault pula tidak lagi menawarkan kluster instrumen digital sepenuhnya pada SUV Arkana, manakala Ram kini menghentikan sementara opsyen untuk sistem cermin pandang belakang pintar pada trak pikap 1500, semua ini hanya kerana untuk menjimatkan penggunaan cip.

    Kekurangan bekalan cip semikonduktor ini merupakan detik yang kritikal dan bersejarah, kerana ia melanda ketika pengeluar-pengeluar kereta sedang berlumba-lumba menghasilkan kenderaan yang lebih selamat dan pintar, yang sudah tentu memerlukan sistem komputer yang lebih berkuasa.

    Pengeluar kereta mula kurangkan ciri canggih seperti meter digital dan GPS kerana kekurangan bekalan cip

    Pengurangan produksi-produksi kenderaan ini akan menyebabkan kejatuhan jualan berjuta-juta kenderaan tahun ini, dan pakar-pakar dalam industri menjangkakan bahawa situasi ini tidak akan pulih sekurang-kurangnya sehingga tahun 2022.

    Mark Liu, pengerusi Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) iaitu syarikat pembuat cip terulung di dunia menyatakan bahawa syarikatnya hanya akan dapat memenuhi permintaan minimum untuk syarikat pengeluar kenderaan pada Jun ini. Liu memberitahu CBS dalam dalam satu temuramah bahawa masalah bekalan cip ini mungkin akan berlarutan sehingga awal 2022.

    Buat masa sekarang, pengeluar-pengeluar kenderaan agak bertuah untuk menerima bekalan yang hanya cukup untuk digunakan pada model-model popular dan menghasilkan keuntungan. Peugeot misalnya, telah mengumumkan akan menggantikan instrumen digital pada model 308 dengan panel meter analog konvensional.

    General Motors pula kini terpaksa memproduksi trak pikap Chevrolet Silverado tanpa berberapa modul penjimatan bahan api, menyebabkan pemilik trak berkenaan terpaksa memandu dengan penggunaan bahan api setinggi satu batu untuk setiap gelen.

    Pengeluar kereta mula kurangkan ciri canggih seperti meter digital dan GPS kerana kekurangan bekalan cip

    Kerana masalah ini juga, Nissan dilaporkan terpaksa mengambil bekalan cip mereka yang sudah berada di India, diterbangkan ke Amerika Syarikat bagi memastikan produksi untuk kilang-kilang di Amerika Utara terus berjalan.

    Satu lagi jalan yang boleh diambil oleh pengeluar-pengeluar kenderaan ini adalah untuk mencari apa sahaja sumber cip yang boleh didapatkan, termasuk cip-cip yang telah dihasilkan tetapi tidak mematuhi spesifikasi kualiti standard. Menurut Bloomberg, cip-cip yang dibuat di bawah standard sepatutnya ini tidak akan mengorbankan sistem keselamatan kereta, tetapi ia mungkin akan menyebabkan sistem infotainmen atau sistem pemantau emisi tidak berfungsi dalam cuaca buruk.

    Sig Huber, konsultan di Coway MacKenzie dan bekas ketua pembelian di Fiat Chrysler menyatakan bahawa pengeluar-pengeluar kenderaan boleh membeli cip baharu dan kemudian menggantikan perisian di dalamnya bagi melakukan fungsi yang dimahukan. Minggu lalu Tesla mendedahkan bahawa mereka mengatasi masalah ini dengan cara mencari pembekal cip baharu, dan kemudian memasukkan perisian baharu dalam cip-cip tersebut.

     
     
  • Yamaha Eropah keluarkan video teaser model baru – sportsbike siri R dengan enjin dua silinder MT-07?

    Yamaha Eropah keluarkan video teaser model baru – sportsbike siri R dengan enjin dua silinder MT-07?

    Yamaha Europe, melalui saluran media sosial mereka telah mengeluarkan satu video teaser yang memberi petunjuk ketibaan model baru tidak lama lagi. Video ini cuma sepanjang 28 saat tetapi menimbulkan keterujaan kepada penggemar motosikal.

    Sebabnya, di dalam video ini dinyatakan ia adalah sebuah motosikal siri R (ditunjukkan dengan logo R/World), dan diterapkan dengan kemampuan yang boleh dibawa atas jalan biasa serta litar. Sepanjang video itu kita dibawa melalui jalan-jalan berliku.

    Video ini mempunyai lagu latar yang kuat tetapi pada penghujungnya, bagi yang lebih teliti, anda akan dapat mendengar bunyi enjin yang dikerah sepenuhnya. Kami menjangka ini adalah bunyi enjin sebenar model baru yang bakal didedahkan tersebut.

    Melalui pengalaman dan penelitian kami, ini bukanlah bunyi enjin berkapasiti tinggi seperti 1,000 cc empat silinder ataupun tiga silinder seperti MT-09. Kemungkinan besar ia adalah bunyi enjin dua silinder ataupun kurang daripada itu.

    Di negara luar juga ramai yang menjangkakan ini adalah model sports R dengan enjin MT-07 kerana sebelum ini sudah ada khabar angin yang tersebar. Jika benar, ia tentunya menarik kerana asas daripada MT-07 yang menggunakan enjin dua silinder ini lebih mampu milik berbanding R6 yang menggunakan enjin empat silinder.

     
     
  • GALERI: Mercedes-Benz GLC200 AMG Line facelift

    GALERI: Mercedes-Benz GLC200 AMG Line facelift

    Jika ada pemilik yang mahu menukar SUV sedia ada atau pun yang mengimpikan SUV premium, bolehlah mempertimbangkan untuk mendapatkan Mercedes-Benz GLC. Ini adalah SUV premium pilihan terbaik, selain pesaing terdekatnya, BMW X3, sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

    Selepas mendapat tempat di sini, GLC X253 telah diberikan peningkatan pada tahun 2019, dan melancarkan varian GLC 200 dan GLC 300 AMG Line. Kemudian Mercedes-Benz Malaysia memberikan peningkatan pada model GLC 200 dan AMG Line pada Oktober 2020, di mana model paling bawah GLC kini memiliki imej yang lebih bergaya, seperti GLC 300.

    Walau pun imejnya tidak boleh lawan dengan penampilan GLC 200 dengan pek luaran Off-Road yang nampak lebih ranggi dan garang.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC200 AMG Line facelift

    GLC 200 AMG Line diberikan ciri yang nampak seperti “4×4” dengan hujung hadapan yang lebih sporty bersama corong pengambilan udara tiruan yang besar, elemen diffuser belakang yang menyerlah bersama gril berlian dengan pin krom yang turut menampilkan satu palang melintang berbanding dua unit sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, GLC 200 AMG Line tidak didatangkan dengan Night Package. Ini bermakna, gril, perumah cermin sisi, rel bumbung dan kemasan bampar tidak diberikan rona hitam. Kedua-dua model GLC 200 dan 300 diberikan roda 20-inci, manakala model yang lebih besar dengan roda lima-jejari berkembar berbanding rim pelbagai-jejari yang anda lihat menerusi foto ini.

    AMG Line diberikan ciri yang lebih menarik termasuklah alas lantai, roda stereng yang lebih sporty dengan sedikit leper di bahagian bawah dan kemasan kayuan oak.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC200 AMG Line facelift

    Seperti sebelum ini, GLC 200 didatangkan dengan upholstery kulit Artico buatan tangan, sistem pencahayaan ambien 64-warna, pedal penukar gear, kawalan suhu Thermatic dwi-zon, kluster instrumen digital 12.3-inci dan tempat duduk hadapan larasan elektronik dengan fungsi memori.

    Model asas GLC turut menerima lampu utama LED High Performance dan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan skrin sesentuh 10.25-inci. Ia juga diberikan Keyless-Go, jadi kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin disatukan.

    Tiada perubahan bagi bantuan pemandu dan keselamatan, masih diberikan tujuh beg udara, Bantuan Brek Aktif (atau pun brek kecemasan sendiri), Bantuan Titik Buta, Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic, kawalan kelajuan, Pre-Safe dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Klik untuk besarkan

    Di bawah hudnya juga tiada perubahan. Masih mengekalkan unit M264 2.0 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 197 PS dan tork 320 Nm dari 1,300 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan yang memacu roda belakang (4Maric hanya untuk GLC 300), membolehkan GLC 200 dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat dan kelajuan maksimum mencecah 217 km/j (258 PS, 370 Nm, 6.2 saat untuk GLC 300).

    GLC 200 AMG Line turut diberikan suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, menggantikan suspensi Comfort pada pek Off-Road dengan jarak kelegaan tanah sehingga 20 mm.

    Mercedes-Benz GLC 200 AMG Line ini ditawarkan pada harga atas jalan RM299,539 tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan sepenuhnya memandangkan ia adalah unit pemasangan tempatan (CKD). Menjadikannya lebih murah sedikit berbanding GLC 200 facelift 2019 dengan harga RM299,888, dengan cukai jualan.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 200 AMG Line 2021

     
     
  • Honda CB150R Streetfire 2021 diperkenal di Indonesia

    Honda CB150R Streetfire 2021 diperkenal di Indonesia

    Model Honda CB150R yang sudah berada di pasaran Indonesia sejak tahun 2012 telah diberikan pembaharuan dengan pengenalan model pengganti barunya. CB150R Streetfire 2021 kini tampil lebih moden dengan rekaan yang semakin menghampiri “naked big bike” dan semua lampunya menggunakan unit LED.

    Peningkatan utama lain, yang boleh dilihat terus kerana warna emasnya yang terang adalah fork hadapan, di mana ia menggunakan unit upside down (USD) yang dikatakan memberi pengendalian lebih mantap. Ini adalah unit daripada Showa berdiameter 37 mm, manakala di belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Bahagian lain yang dipertingkat adalah termasuk tangki bahan api lebih besar (12 liter), cakera brek hadapan dan belakang yang beralun, panel meter digital hampir sama seperti CB150R serta pemegang jenis tapered yang dapat memberikan keseimbangan antara keselesaan menunggang dan gaya sporty.

    Enjin model ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api DOHC 149.16 cc, bersama gabungan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 16.9 PS pada 9,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Berat keseluruhan motosikal naked ini adalah 134 kg.

    CB150R Streetfire ditawarkan pada harga bermula 29.7 juta rupiah (RM8,563) untuk versi biasa dan 30.7 juta rupiah (RM8,852) untuk versi Special Edition (SE) yang hadir dalam tiga warna khas iaitu Fury Matte Red, Raptor Matte Black dan Armored Matte Grey. Tiada sistem brek ABS pada model ini.

     
     
  • Citroen Mi Ami Cargo — direka untuk perkhidmatan hantar barang dalam bandar, motor 6 kW, jarak 75 km

    Citroen Mi Ami Cargo — direka untuk perkhidmatan hantar barang dalam bandar, motor 6 kW, jarak 75 km

    Citroen telah memperkenalkan sebuah model kenderaan komersial (LCV) baru, My Ami Cargo yang direka khusus untuk perkhidmatan penghantaran “jarak akhir” serta untuk kegunaan perniagaan yang beroperasi di kawasan urban Eropah, di mana had laju kerap dihadkan dan ruang juga sama terhad.

    Dengan panjang 2.41 meter, lebar 1.39 mter dan tinggi 1.52 meter, kenderaan elektrik sepenuhnya yang kecil ini mungkin nampak kompak dari luar, tetapi dalamannya cukup luas. Ia menggunakan asas yang sama dengan Ami dua-tempat duduk sedia ada. Namun, kali ini, tempat duduk penumpang telah digantikan dengan modul polypropylene tujuh bahagian yang boleh menampung sebanyak 260 liter atau 140 kg barangan. Keseluruhannya, My Ami Cargo menyediakan kapasiti barangan 400 liter.

    Citroen Mi Ami Cargo — direka untuk perkhidmatan hantar barang dalam bandar, motor 6 kW, jarak 75 km

    Kereta ini dikuasakan oleh motor elektrik 6 kW, sementara bateri lithium-ion 5.5 kWh menyediakan jarak perjalanan 75 km untuk sekali cas. Menurut Citroen, bateri berkenaan boleh dicas penuh dalam masa tiga jam menggunakan soket domestik biasa. Kereta ini juga dikecualikan daripada larangan dan cas kesesakan di kebanyakan bandar Eropah.

    Perniagaan yang boleh memanfaatkan My Ami Cargo ini adalah seperti e-dagang dan penghantaran makanan di rumah, serta tukang paip, tukang elektrik, tukang pintu, pihak berkuasa tempatan serta perkhidmatan awam yang lain.

    Citroen Mi Ami Cargo — direka untuk perkhidmatan hantar barang dalam bandar, motor 6 kW, jarak 75 km

    Disebabkan ia sebuah kenderaan komersial, pemilik perniagaan boleh mengubah suai kenderaan ini untuk menempatkan logo dan slogan iklan mereka sendiri. Ada banyak juga aksesori yang ditawarkan seperti jaring pintu, pengalas lantai, storan tambahan, klip telefon dan sambungan telefon pintar.

    Harga bermula daripada 6,490 Euro (RM32k), kereta ini boleh ditempah bermula Jun nanti. Di Perancis, pembelian 10 kurang daripada 10 kenderaan ada kemungkinan untuk menambah logo pada kenderaan ketika membuat tempahan kelak. Pembelian dalam jumlah yang lebih besar pula boleh memilih untuk melakukan ubahsuai khas termasuk warna badan, tambahan logo dan grafik atau membalut keseluruhannya untuk mencerminkan imej syarikat juga mungkin akan ditawarkan.

     
     
  • Ford Explorer Timberline didedah — varian off-road dengan enjin 2.3L EcoBoost 300 hp, AWD dan LSD

    Ford Explorer Timberline didedah — varian off-road dengan enjin 2.3L EcoBoost 300 hp, AWD dan LSD

    SUV untuk off-road? Ford kini mula menunjukkan model SUV rugged keluarannya, dikenali dengan nama Explorer Timberline yang dipadankan dengan kemampuan untuk meredah pelbagai permukaan — sama seperti Subaru Outback Wilderness yang ditunjukkan bulan lalu.

    SUV saiz sederhana ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda boleh ubah sebagai ciri standard serta limited-slip differential baru Torsen, dan dipasangkan sekali Terrain Management System yang sebelum ini sebagai ciri pilihan sahaja. Ini menyediakan tujuh mod pemanduan, termasuk Trail dan Deep Snow/Sand. Ciri kawalan menuruni curam juga datang standard.

    Timberline juga menerima tambahan skid plate besi di sepanjang bahagian bawah badannya. Talaan casis yang lebih cenderung kepada kegunaan off-road melibatkan stereng yang disesuaikan semula untuk tujuan itu, spring unik dan talaan palang anti-olengan serta penyerap hentak lasak yang dipinjam dari Explorer Police Interceptor. Dengan tayar Bridgestone Dueler All-Terrain, ketinggiannya naik 20 mm.

    Ford Explorer Timberline didedah — varian off-road dengan enjin 2.3L EcoBoost 300 hp, AWD dan LSD

    Menurut Ford, Timberline mempunyai jarak kelegaan tanah yang minimum 221 mm dengan sudut depan dan belakang masing-masing 23.5 dan 23.7 darjah, diperoleh dengan rekaan bampar baru. Pakej Class III Trailer Tow standard juga menambah kapasiti menunda sehingga 2,400 kg. Enjinnya pula menggunakan unit 2.3 liter EcoBoost dengan janaan 300 hp/420 Nm, turbocas empat-silinder dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Membezakan Timberline daripada Explorer biasa ialah lampu utama depan dan belakang yang digelapkan, kemasan plastik sisi badan yang berotot, cangkuk tunda warna merah dan rim 18-inci hitam berkilat. Rekaan gril baru, dengan tambahan jalur LED, turut menampilkan pendawaian bagi memudahkan pemasangan lampu tambahan Ford Performance.

    Ford Explorer Timberline didedah — varian off-road dengan enjin 2.3L EcoBoost 300 hp, AWD dan LSD

    Timberline ditawarkan dalam warna pilihan baru Forged Green Metallic, melengkapi tema warna dalam kabin Deep Cypress ActiveX yang mudah dibersihkan. Lapik bumbung hitam, hiasan papan pemuka Stone Mesh, konsol tengan Satin Silver Twilight, kemasan pada stereng dan perehat lengan, jahitan Deep Tangerine serta lencana Timberline juga ada pada kerusi depan.

    Kelengkapan standard lain termasuk lapik getah untuk lantai, dengan kerusi depan dengan pemanas serta stereng balutan kulit. Versi ini juga datang dengan teknologi keselamatan lengkap Co-Pilot360 dan Co-Pilot360 Assist+, yang menrangkumi fungsi kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan stereng dan pengesanan papan tanda trafik. Kamera 360-darjah juga ada.

     
     
  • PKP 3.0: Polis adakan empat sekatan jalan raya di PJ

    PKP 3.0: Polis adakan empat sekatan jalan raya di PJ

    Berikutan pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula hari ini di beberapa kawasan termasuk di Selangor, PDRM akan mengadakan sekatan jalan raya di empat lokasi sekitar Petaling Jaya, lapor Bernama.

    Sekatan jalan ini dilakukan di plaza tol Sungai Buloh, Kota Damansara, Damansara dan Subang, yang terletak dalam daerah Petaling di Selangor. Polis juga akan meningkatkan kehadiran di lokasi dan bekerjasama dengan Majlis Bandara Petaling Jaya (MBPJ) untuk memantau pematuhan SOP, ujar Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

    PKP 3.0 terbaru yang dikenakan bermula 6 Mei hingga 17 Mei di enam daerah dalam Selangor melibatkan ulu Langat, Gombak, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Sepang. Tiga lagi daerah di negeri ini, iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, akan kekal di bawah PKPB.

    Perjalanan rentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan ketika PKP, seperti dijelaskan oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media mengumumkan PKP 3.0 pada 4 Mei lalu. Langkah terbaru ini terpaksa diambil untuk mengekang jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di negeri terbabit.

    Semalam, kerajaan turut mengumumkan PKP 3.0 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula 7 Mei hingga 20 Mei 2021.

     
     
  • Honda Malaysia serah City RS kepada Invest Melaka

    Honda Malaysia serah City RS kepada Invest Melaka

    Bulan lalu, Honda Malaysia telah menyerahkan seunit City RS e-HEV hybrid kepada Invest Melaka Berhad (IMB). Penyerahan kenderaan itu, dibuat dengan kerjasama syarikat perkongsian kereta Socar, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Melaka State Development Corporation (PKNM).

    Kereta terbabit diserahkan oleh Presiden dan COO Honday Malaysia Sarly Adle Sarkum kepada CEO IMB Tuan Haji Ramli Mohd Ali dalam majlis yang berlangsung di Menara MITC, Melaka. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Sulaiman Md Ali yang juga merupakan jemaah eksekutif negeri.

    “Bagi pihak Honda Malaysia, kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada meraikan Invest Melaka Berhad dan berpeluang menyumbang kepada perkembangan industri automotif tempatan. Kami komited untuk pasaran Malaysia dan pertumbuhan industri automotif di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Melaka, Invest Melaka Berhad dan semua pelanggan kerana terus memberikan kepercayaan kepada kami,” ujar Sarly.

    Honda memulakan operasi di kilang Pegoh, Melaka pada tahun 2003, dan barisan produksi kedua telah ditambah pada tahun 2014. Buat masa ini, kapasiti pengeluaran mampu mencecah 100,000 unit kenderaan setahun dan fasiliti ini juga mempunyai 2.1 km trek ujian, fasiliti R&D, dan juga beberapa pusat pemeriksaan sebelum penghantaran.

     
     
  • Brembo New G Sessanta – angkup brek dengan lampu LED bersama hubungan kepada aplikasi telefon pintar

    Pembuat sistem brek terkemuka, Brembo, telah memperkenalkan angkup brek dengan konsep rekaan yang inovatif – ia mempunyai jalur LED yang bernyala! Angkup brek yang digelar sebagai New G Sessanta ini dihasilkan untuk motosikal, dan ia didedahkan sempena ulangtahun ke-60 Brembo.

    Oleh itu, rupa luaran angkup brek baharu ini dibuat diinspirasikan dari bentuk angkup brek pertama untuk motosikal yang diperkenalkan oleh Brembo pada tahun 1972. Menurut pengeluar dari Itali berkenaan, jalur LED pada angkup brek New G Sessanta tersebut bukan hanya sekadar cantik semata-mata, ia juga bertindak sebagai antaramuka bagi memberikan informasi kepada pemilik.

    Angkup brek berkenaan berhubung terus dengan aplikasi khas telefon pintar pemilik. Menerusi aplikasi tersebut, pemilik boleh membuat tetapan warna berdasarkan keadaan seperti sedang berhenti dan mengawal kadar cahaya untuk menunjukkan mood.

    Selain itu, warna-warna lampu pada angkup berkenaan juga boleh menghantar data dan informasi berkenaan motosikal dan juga angkup itu sendiri kepada pengguna – misalnya jika ia berkelip menandakan pad brek sudah perlu untuk ditukar, serta berfungsi sebagai lampu brek tambahan. Malah ia juga turut memudahkan pemilik untuk mencari semula motosikal yang diparkir dengan memancarkan cahaya.

    Walaupun buat masa sekarang New G Sessanta ini hanya dihasilkan untuk motosikal, laporan dari Motor1.com mengesahkan bahawa Brembo turut akan menghasilkan angkup brek dengan konsep yang sama bagi kegunaan aplikasi automotif yang lain selepas ini.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 6-12 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Mei 2021, harga bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak dua sen seliter. Ini menjadikan harganya kini RM2.60 seliter, berbanding RM2.58 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga bagi petrol RON 95 pula masih kekal pada paras harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel yang turut kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan RM2.25 seliter bagi Euro 5 (B7).

    Kesemua harga itu efektif mulai 12.01 tengahmalam ini, 6 Mei, sehinggalah Rabu hadapan, 12 Mei 2021.

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Ingat lagi pada Mac lalu Mitsubishi UK telah mengumumkan bahawa semua kereta warisan sejarah yang disimpan hendak dilelong kerana mereka akan ‘tutup kedai’ dan keluar dari pasaran berkenaan? Kini kesemua kereta-kereta tersebut telah pun terjual, dan mereka berjaya mengutip sebanyak £627,100 (RM3.59 juta)!

    Menurut Mitsubishi UK, lelongan ini telah menarik sebanyak 1,287 bidaan untuk semua 51 lot yang ditawarkan. Manakala model yang terjual pada harga paling tinggi adalah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition – dengan harga jualan £100,100 (RM573k)!

    Unit Evo VI TME tersebut bukan sahaja menampilkan jarak perbatuan yang sangat rendah, malah ia juga mempunyai tandatangan Tommi Makinen sendiri pada bahagian bonet hadapannya. Menurut Mitsubishi UK lagi, harga lelongan kali ini juga telah memecahkan rekod bidaan satu lagi Evo VI TME di UK, terjual dengan harga £99,000 (RM567k) pada 2017.

    Unit kedua yang paling mahal terjual dalam lelongan ini adalah Mitsubishi Lancer Evolution IX MR FQ-360. Salah satu unit yang hanya dihasilkan sebanyak 200 unit khas untuk pasaran UK, dihasilkan bersama HKS tersebut terjual pada harga £68,900 (RM394k). Mitsubishi UK menyatakan ia adalah Lancer Evo ketiga paling mahal pernah terjual dalam lelongan setakat ini.

    Satu lagi model edisi terhad Lancer Evo siri MR FQ yang terjual dalam lelongan ini adalah Lancer Evolution X MR FQ-440. Model ini dihasilkan hanya 20 unit, dan ia adalah yang terakhir dalam siri edisi terhad untuk UK yang dibangunkan bersama HKS. Unit yang terjual kali ini mendapat bidaan akhir £58,100 (RM333k).

    Manakala Lancer Evo yang terakhir terjual dalam bidaan berkenaan adalah jentera rali Lancer Evolution IX Group N yang sebenar digunakan oleh juara Kejohanan Rali British dua kali iaitu Guy Wilkes bersama juruarahnya Phil Pugh. Jentera bersejarah ini terjual pada harga £61,700 (RM353k).

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Mitsubishi UK menayatakan bahawa keempat-empat unit Lancer Evo ini sahaja mewakili 60% dari hasil jualan keseluruhan dalam lelongan tersebut. Kereta pertama yang didaftarkan di UK iaitu Colt Lancer 1.4 Mk Standard 2-pintu 1974 terjual pada harga £15,000 (RM86k), manakala sebuah Colt Galant 2000 GLII juga keluaran tahun yang sama terjual pada harga £11,600 (RM66k).

    Model-model yang pernah dipopularkan oleh filem-filem lakonan Jackie Chan turut ada tersenarai dalam barisan unit yang dilelong ini iaitu kereta sport Mitsubishi Starion Turbo 1988 terjual pada harga £21,100 (RM121k) dan juga Mitsubishi 3000GT 1992 (juga dikenali sebagai GTO) terjual pada harga £24,500 (RM140k).

    Model-model lain yang turut terjual adalah seperti berikut; jentera rali replika Mitsubishi Galant GLSi (VR-4) Lombard RAC Rally 1989(£12,500, atau RM72k), Shogun/Pajero Mk1 (£16,000, atau RM92k), Jeep J27 (£20,600, atau RM118k), Shogun/pajero Mk2 V6 SWB (£9,600, atau RM55k), Outlander PHEV 2015 (£16,000 or RM92k) dan juga L200 Desert Warrior (£30,100 atau RM172k).

    Selain dari kereta-kereta sebenar, lelongan kali ini juga turut menyenaraikan sebuah model skala yang berfungsi, iaitu Mitsubishi Model A 1917, kereta pertama yang dihasilkan oleh Mitsubishi. Ia terjual dalam lelongan ini pada harga £13,700 (RM78k).

    “Kenderaan-kenderaan ini mewakili bukan sahaja sebahagian besar warisan dan sejarah Mitsubishi di UK, ia juga adalah kenderaan-kenderaan yang sangat istimewa dalam dunia masing-masing. Setiap satunya mempunyai cerita yang unik untuk diberitahu dan dihargai serta dijaga sejak hari pertama kami menerima setiap unit,” kata pengarah operasi Mitsubishi UK, Paul Bridgen.

    “Saya telah melihat pembangunan sebahagian kenderaan-kenderaan ini secara peribadi jadi sangat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka tetapi nilai yang telah dicapai hari ini meyakinkan saya mereka akan dijaga oleh tuan baru yang bersemangat dan faham asal usul serta kepentingan kereta-kereta ini dan akan menghargainya dan mengekalkannya untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi

     
     
  • Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Perincian berkaitan Skoda Fabia generasi keempat kini telah didedahkan secara rasmi sepenuhnya. Sebagai permulaan, model baru itu datang dengan ruang dalaman dan barangan yang lebih besar, dengan ukuran 4,108 mm panjang, 1,954 mm lebar (termasuk cermin sisi), 1,459 mm tinggi serta jarak antara roda 2,564 mm.

    Ini menjadikan model generasi keempatnya 111 mm lebih panjang dan 48 mm lebih lebar berbanding model terdahulu, sementara jarak antara roda kini bertambah 94 mm. Kapasiti ruang barangan kini 380 liter, bertambah 50 liter berbanding yang lama. Dengan semua kerusi direbahkan, ruang tersedia ialah 1,190 liter.

    Lima varian enjin ditawarkan sebagai pilihan bagi Fabia terbaru ini. Bermula dengan unit 1.0 liter tiga-silinder MPI Evo petrol yang menghasilkan 65 PS/93 Nm dan juga 80 PS/93 Nm, kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Unit 1.0 liter TSI Evo turbocas dengan janaan 95/175 Nm juga dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Sementara itu, versi janaan output 110 PS/200 Nm bagi enjin turbo tiga-silinder pula datang dengan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan dan DSG tujuh-kelajuan. Unit enjin paling besar yang ditawarkan, 1.5 liter turbocas TSI Evo empat-silinder petrol dengan ciri nyah-aktif silinder yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm tork, diganding bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan sebagai standard. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan laju maksimum 225 km/j.

    Dilengkapi dengan pilihan kapasiti tangki minyak 50 liter (standard hanya 40 liter), versi enjin 1.0 tiga-silinder Fabia boleh memberikan lebih daripada 900 km jarak bagi satu tangki penuh berdasarkan kitaran WLTP. Menurut Skoda lagi, enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 6d.

    Kecekapan aerodinamiknya juga dipertingkatkan pada model terbaru ini, yang kini memberikan bacaan drag coefficient 0.28; berkurang daripada angka 0.32 pada model sebelumnya. Hal ini dicapai antaranya disebabkan melalui tetapan penutup bukaan penyejuk pada bampar depannya. Lain-lain bahagian yang turut diperkemas ialah tirai udara pada bampar depan yang menyalur udara ke sisi kenderaan, sementara perumah cermin sisi direka semula.

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Selain itu, Skoda juga menawarkan enam rekaan bagi rimnya, dari saiz 16-inci dan 17-inci; dua saiz ini datang dengan kemasan plastik khas untuk memperbaiki aerodinamik. Selain itu, rim Fabia juga datang dalam saiz dari 14-inci hingga 18-inci. Bahagian bawah badan juga dipasangkan dengan 12 panel sebagai penampan.

    Tiga tahap kemasan ditawarkan — Active, Ambition dan Style — dengan papan pemukanya boleh dipilih dari enam warna berbeza. Sebagai ciri standard, ruang dalaman Fabia menerima kemasan warna gangsa dan jahitan kelabu, dengan kemasan Style menerima lampu suasana LED dalam warna merah atau putih.

    Fabia juga menerima paparan digital buat pertama kali bagi instrumennya, dengan pemandu menerima paparan 10.25-inci dengan empat tataletak berbeza, sementara pek Dynamics menawarkan tataletak kelima iaitu Sport dalam tetapan Virtual Cockpit. Sebagai ciri standard, Fabia dilengkapi skrin paparan analog 3.5-inci, dan kawalan pendingin dua-zon ditawarkan sebagai pilihan.

    Infotainmen hadir dalam tiga sistem berbeza, yang menampilkan skrin bersaiz 6.5-inci, 8-inci dan 9.2-inci. Skrin paling besar menampilkan tetapan “Amundsen”, dengan paparan penunjuk arah dan sokongan data. Sambungan peranti pula melibatkan capaian Smartlink tanpa wayar serta Android Auto dan Apple CarPlay, lima slot USB-C termasuk satu di cermin pandang belakang sebagai sumber kuasa bagi dashcam.

    Bagi aspek keselamatan, Fabia generasi keempat ini menerima fungsi Travel Assist yang membantu stereng dan kawalan kelajuan pemandu. Ini termasuk ciri kawalan melayar adaptif yang berfungsi hingga 210 km/j, dan Lane Assist membantu membetukkan kedudukan stereng. Travel Assist juga akan mengesan sama ada pemandu bersentuhan secara fizikal pada stereng untuk memastikan kenderaan sentiasa dalam kawalan.

    Termasuk sekali ialah Side Assist, atau pengesan titik buta, serta Park Assist untuk membantu mengesan ruang parkir undur dan sisi dalam kelajuan 40 km/j dan boleh mengambil alih stereng untuk meletak kenderaan. Selebihnya Fabia datang dengan sembilan beg udara, Isofix dengan cangkuk atas di tempat duduk belakang serta kerusi penumpang depan.

    Ada sembilan warna badan ditawarkan sebagai pilihan, termasuk Phoenix Orange dan Graphite Grey yang pertama kali diperkenalkan untuk hatchback ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025