Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS umum projek perintis gabungan laluan RFID dan Smart Tag di Jambatan Pulau Pinang telah bermula

    PLUS umum projek perintis gabungan laluan RFID dan Smart Tag di Jambatan Pulau Pinang telah bermula

    Untuk pengguna Jambatan Pulau Pinang, sila ambil maklum. PLUS telah mengumumkan Laluan 25 di Plaza Tol B jambatan berkenaan telah menggabungkan laluan bagi RFID dan Smart Tag. Sebelum ini, ia adalah eksklusif untuk pengguna Smart Tag, tetapi kini laluan terbabit menerima kedua-dua pengguna Smart Tag dan juga RFID. Manakala Lane 26 yang paling kanan pula masih eksklusif sebagai laluan RFID.

    Syarikat konsesi berkenaan berkata projek perintis terbabit bermula malam semalam dan objektifnya adalah bagi menguji keberkesanan untuk gabungan berkenaan. Papan tandanya juga telah dibuka, di mana papan tanda kuning bagi Smart Tag kini adalah separuh saiznya, sama seperti gambar ilustrasi di atas. Untuk pengguna Smart Tag jangan panik ya kerana peranti tag anda masih boleh digunakan untuk pembayaran tol.

     
     
  • Polis akan singgah ke rumah yang banyak kereta raya ini, kesan mereka yang rentas negeri, langgar SOP

    Polis akan singgah ke rumah yang banyak kereta raya ini, kesan mereka yang rentas negeri, langgar SOP

    Seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengumumkan mereka akan terus melakukan rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika raya tahun ini bagi mengesan mereka yang merentas negeri tanpa kebenaran.

    Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dalam laporan Astro Awani, rondaan itu juga dilakukan bagi memastikan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 berada pada tahap baik serta mengurangkan risiko jangkitan wabak pada musim perayaan.

    Beliau menjelaskan pematuhan SOP ada kalanya diingkari segelintir pihak dengan mengambil peluang merentas negeri ketika cuaca yang tidak mengizinkan pihak berkuasa melakukan kawalan dan pemeriksaan.

    “Kadang-kadang bukannya disebabkan surat rentas negeri dan sebagainya, mereka yang terlepas (pemeriksaan) oleh kerana hujan lebat, anggota kita tidak dapat bertugas waktu itu (hujan) kerana membahayakan mereka, jadi mereka berlindung di pondok-pondok (keselamatan).

    Polis akan singgah ke rumah yang banyak kereta raya ini, kesan mereka yang rentas negeri, langgar SOP

    “Ketika itu (hujan), mereka (orang ramai) ambil kesempatan untuk melepas pemeriksaan,” kata beliau.

    Abd Rahim turut menyatakan PDRM akan menggunakan strategi yang sama seperti tahun lalu dengan mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

    “Kalau kita tengok banyak sangat kereta dekat sesebuah rumah, maka anggota kita akan mengadakan pemeriksaan, ada surat kebenaran untuk balik atau sebagainya,” jelas beliau lagi.

    Dalam kesempatan yang sama, Abd Rahim meminta agar rakyat tidak keliru dengan arahan berkenaan pergerakan rentas negeri yang dinyatakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, baru-baru ini.Beliau menjelaskan walaupun pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja, namun ia terkecuali sekiranya berlaku sebarang kecemasan ataupun urusan kerja yang mendesak.

     
     
  • Harga minyak 22-28 April – RON 97 naik 4 sen seliter

    Harga minyak 22-28 April – RON 97 naik 4 sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 22 hingga 28 April 2021, harga bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak empat sen seliter. Ini menjadikan harganya kini RM2.58 seliter, berbanding RM2.54 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga bagi petrol RON 95 pula masih kekal pada paras harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel yang turut kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan RM2.25 seliter bagi Euro 5 (B7).

    Kesemua harga itu efektif mulai 12.01 tengahmalam ini, 22 April, sehinggalah Rabu hadapan, 28 April 2021.

     
     
  • Yamaha YZF-R15 2021 — pilihan warna baru, RM11,988

    Yamaha YZF-R15 2021 — pilihan warna baru, RM11,988

    Turut menerima kemaskini untuk tahun 2021 ia Yamaha YZF-R15 yang datang dalam pilihan warna baru dan dijual pada harga RM11,988. Harga tetap sama seperti sebelumnya (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Motosikal ini juga datang dengan jaminan dua-tahun atau 20,000 km.

    Pilihan warna baru yang dimaksudkan ialah perak, melengkapi pilihan lain yang ada sebelum ini iaitu Yamaha Racing Blu dan hitam. Tiada perubahan mekanikal, ia menggunakan unit 155 cc, silinder-tunggal, sejukan cecair dengan variable valve actuation (VVA).

    Yamaha YZF-R15 2021 — pilihan warna baru, RM11,988

    Janaan kuasa didakwa mencapai 19.3 hp dengan 15 Nm tork, disalurkan melalui kotak gear manual enam-kelajuan. Lain-lain kelengkapan, motosikal ini hadir dengan konfigurasi fork terbalik dalam warna emas. Di belakang pula menggunakan suspensi jenis monoshock dengan pra-larasan beban. Brek pula melalui cakera 282 mm hidraulik di depan dan 220 mm di belakang.

    Kapasiti tangki minyak ialah 11-liter, sementara beratnya pula ialah 137 kg. Paparan meter kokpit digital digunakan. Selebihnya, lampu LED digunakan sekelilingnya, dan lampu amaran penukaran gear juga tersedia. Motosikal ini menggunakan tayar saiz 100/80-17 di depan dan 140/70-17 di belakang.

     
     
  • Porsche Panamera 2021 akan dilancarkan malam ini — tonton secara langsung di Facebook dan Youtube 8pm

    Porsche Panamera 2021 akan dilancarkan malam ini — tonton secara langsung di Facebook dan Youtube 8pm

    Porsche Panamera facelift 2021 akan membuat penampilan rasmi pertama untuk pasaran Malaysia malam ini. Dengan pendekatan kelaziman baru, sama juga seperti beberapa pengenalan model Porsche sebelum ini, acara berkenaan akan berlangsung secara maya menerusi saluran Facebook dan Youtube Porsche Malaysia. Jadi, jangan ketinggalan untuk menyaksikannya pada jam 8 malam nanti.

    Panamera generasi kedua yang dipertingkatkan ini didedahkan di peringkat global pada Ogos tahun lalu. Sama seperti sebelumnya, model ini datang dengan tiga gaya badan berbeza — sedan fastback biasa, Sport Turismo dan Executive dengan jarak antara roda panjang.

    Mendahului barisan model ialah varian Turbo S, datang dengan enjin 4.0 liter biturbo V8 yang menjana 630 PS dan 820 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 3.1 saat, sementara 0-200 km/j dalam masa 11.2 saat. Varian Turbo S Sport Turismo memecut dengan kelajuan sama, tetapi lambat 0.3 saat untuk pecutan 0-200 km/j.

    Porsche Panamera 2021 akan dilancarkan malam ini — tonton secara langsung di Facebook dan Youtube 8pm

    Barisan varian lain juga telah dipertingkatkan, termasuk Panamera 4S E-Hybrid. Model ini menggunakan enjin V6 2.9 liter biturbo yang dibantu dengan motor elektrik, menawarkan output keseluruhan 560 PS dan 750 Nm tork. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat, sementara kapasiti bateri yang lebih besar juga menawarkan sehingga 54 km jarak elektrik sepenuhnya.

    Penggayaan pula tidak terlalu ketara perunahan yang diberikan. Bampar depan dan belakang diberi rekaan baru yang minimal, dan jalur lampu LED di belakang kini mengikut lekuk pintunya. Lampu belakang LED juga diperkemas dengan unit kelam turut disediakan, dan ada tiga set baru rim aloi 20 dan 21-inci untuk dipilih, menjadikannya keseluruhan 10 rekaan berbezaa.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia untuk Mac 2021 naik 49.3%

    Jualan kenderaan di M’sia untuk Mac 2021 naik 49.3%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan Mac 2021, dan menurut statistik terbabit, sebanyak 63,878 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, iaitu lebih 21,094 unit (atau 49.3%) berbanding 42,784 unit yang dicatatkan pada Februari 2021.

    Bahkan jumlah jualan pada bulan lalu juga adalah 201% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2020. Iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 42,636 unit berbanding 21,242 unit yang dicatatkan pada Mac 2020, di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberikan impak terhadap jualan pada bulan tersebut. Untuk jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tiga bulan pertama 2021, ia juga mendahului catatan pada 2020 iaitu sebanyak 34,246 unit (atau 32.5%).

    MAA turut berkata peningkatan jualan pada bulan lalu dipengaruhi beberapa faktor, termasuk pengenalan model baharu, serta penghantaran pantas oleh syarikat kereta yang tahun fiskalnya berakhir pada 31 Mac.

    Untuk bulan April 2021, MAA mensasarkan jumlah jualannya adalah lebih kurang sama seperti Mac, ditambah dengan kempen promosi agresif yang dilaksanakan oleh syarikat kereta dan juga pelepasan cukai jualan (SST) sehingga 30 Jun ini,

     
     
  • Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

    Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

    Tiba-tiba, pengedar Renault di Malaysia iaitu TC Euro Cars (TCEC) telah meletakkan sebuah kereta sport yang sangat rare iaitu model kelahiran semula jentera WRC lagenda, Alpine A110 di bilik pameran dan ibu pejabat mereka di Petaling Jaya. Adakah ini petanda bahawa model berkenaan bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tak lama lagi?

    Jika anda peminat dunia rali, atau sukakan kereta-kereta klasik, tak perlu lagi kami perkenalkan siapa sebenarnya Alpine. Yang lain mesti ingat Alpine ini ada kaitan dengan pengeluar sistem audio bukan? Tak, dua jenama ini tiada kaitan pun sebenarnya.

    Alpine ditubuhkan pada 1955 oleh seorang juruterbang dan ahli perniagaan Perancis, Jean Rédélé. Bermula dengan menala semula Renault 4CV untuk berlumba, Rédélé kemudiannya menghasilkan kereta sport sendiri dengan jenama berkenaan tetapi masih menggunakan sistem mekanikal dan enjin dari Renault.

    Antara model Alpine yang paling diingati tentulah Alpine A110 Berlinette, yang sangat popular dalam SS rali sekitar Eropah pada era 70’an. Namun, atas pelbagai krisis yang dihadapi, Alpine diambil alih sepenuhnya oleh Renault pada tahun 1973, kemudian syarikat berkenaan membawa nama Alpine dan A110 menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim pertama pada tahun tersebut.

    Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

    Alpine A110 mendominasi kejohanan berkenaan dengan memenangi kebanyakkan pusingan dan membolehkan Alpine mencatatkan satu rekod yang tak boleh dipadam iaitu bergelar juara dunia pertama WRC dalam sejarah perlumbaan tersebut. Namun, jenama ini sekali menghadapi kesukaran dan ditutup dengan Alpine terakhir yang diproduksi adalah model A610 pada tahun 1995, serta berjaya menjual lebih dari 30,000 unit kereta sport sepanjang operasinya.

    Namun pada 2007, Renault membuat pengumuman untuk menghidupkan semula jenama Alpine, tetapi terpaksa dibekukan pada tahun 2009 kerana krisis yang dihadapi syarikat tersebut. Cahaya muncul pada 2012 apabila pembuat kereta sport British iaitu Caterham (ketika itu dimiliki oleh usahawan Malaysia, Tony Fernandes) telah membeli 50% kepentingan Alpine dari Renault dan projek baharu akan melibatkan kerjasama kedua-dua jenama berkenaan.

    Walau bagaimanapun, Renault membeli semula keseluruhan kepentingan tersebut dari Caterham pada 2014, dan menjadi pemilik tunggal Alpine sehingga sekarang. Pada 2016, Renault mula membayangkan mereka akan menghasilkan model kelahiran semula Alpine A110 dengan mendedahkan model konsep yang digelar Alpine Vision.

    Model produksi sebenar Alpine A110 ini muncul pada 2017, dan ia dihasilkan dalam jumlah yang kecil di kilang Dieppe di Perancis iaitu tempat asal kelahiran Alpine itu sendiri. Sebelum memproduksi Alpine A110 generasi baharu ini, kilang Dieppe berkenaan turut menghasilkan kereta-kereta berprestasi Renault Sport seperti hot-hatch Megane R26 dan Clio RS.

    Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

    Model generasi baharu Alpine A110 ini dilihat sebagai pencabar terus kepada Porsche Cayman. Ia masih mengekalkan kedudukan enjin tengah pacuan belakang; dibekalkan dengan enjin 1.8 liter empat silinder turbo berkuasa 252 PS dan tork maksima 320 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan dari Getrag. Enjin tersebut sebenarnya adalah unit yang sama dalam perut Renault Megane RS generasi terkini, tetapi ditala dengan kuasa lebih rendah.

    Alpine A110 ini menampilkan badan aluminium sepenuhnya membolehkah berat keseluruhannya hanya mencapai 1,080 kg. Ya, memang kuasa enjin yang dihasilkan kurang dari Megane RS, tetapi ia sudah cukup untuk memberikan nisbah berat kepada kuasa 233 PS untuk setiap tan. Ini membolehkan A110 memecut 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Sebagai perbandingan, Megane RS yang dijana enjin sama tetapi menerima talaan lebih berkuasa dengan 300 PS/420 Nm hanya mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Manakala Porsche Cayman 718 dengan enjin 2.0L empat-silinder turbo berkuasa 300 hp/380 Nm pula mencatatkan pecutan pada jarak sama dalam masa 4.7 saat.

    Tiada pilihan kotak gear manual pada Alpine A110 ini, dan transmisi DCT yang dipadankan juga tidak disertakan dengan tuil gear tradisional – butang ‘D’, ‘N’ dan ‘R’ diletakkan pada konsol terowong, manakala tukaran gear mod manual pula boleh dibuat menerusi pedal penukar pada roda stereng.

    Alpine A110 dipamerkan di TCEC PJ – lawan Porsche Cayman yang lebih eksotik ini akan dilancarkan?

    Ia juga diberikan mod pemanduan Road, Sport dan Track bagi memberikan talaan optimum pada rangkaian kuasa, stereng dan suspensi mengikut pilihan mod yang dipilih, dan juga kluster intstrumen digital untuk pemandu.

    Unit berwarna putih yang dipamerkan di TC Euro cars ini merupakan model dari varian Pure, iaitu varian yang lebih sporty berbanding varian Legende yang lebih bersifat GT mewah. Ia juga tampil dengan berberapa ciri opsyen seperti rim “Serac” 18-inci (standard hanya 17-inci), angkup brek Bleu Alpine, logo krom pada fender hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur dan juga sistem bunyi dari Focal.

    Perincian standard lain yang dilengkapkan pada A110 Pure ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, tempat duduk bucket ringan dari Sabelt bersama balutan kulit dan Dinamica, kemasan dalaman juga dengan kulit dan Dinamica serta trim gentian karbon matte serta skrin sesentuh infotainmen bersaiz tujuh-inci.

    Walaupun ia adalah model yang sangat ringan, A110 ini bukanlah model yang dihasilkan ‘kosong’ seperti model-model kereta sport hardcore seperti Lotus. Ia masih lagi diberikan pelbagai perincian untuk keselesaan seperti kawalan elektrik dan elektronik untuk pelbagai fungsi, sistem cruise control, port pengecas dan lain-lain.

    Tiada sebarang kenyataan rasmi dari TCEC berhubung status model ini, selain mesej “hanya untuk pameran” yang diletakkan di sebelah kereta tersebut. Namun tidak mustahil ini adalah proses untuk menilai minat orang ramai sebelum mereka mengambil keputusan untuk melancarkannya di Malaysia atau tidak.

    Jadi agak-agak berapa harga Alpine A110 ini jika ia di bawa ke pasaran tempatan? Mungkin kita boleh ambil Porsche Cayman sebagai kayu ukur – Alpine tidak dihasilkan secara besar-besaran seperti Cayman, dengan badan aluminium yang lebih ringan serta lebih laju, jadi tidak mustahil ia juga akan menjadi lebih mahal dari Porsche tersebut.

    Malah menurut sumber kami yang terlibat dalam membawa unit yang dipamerkan ini ke Malaysia, Alpine mungkin boleh dijual pada harga RM320k tanpa cukai sekiranya anda membeli kereta ini di Langkawi, dan boleh mencecah sehingga RM700k dengan cukai penuh.

     
     
  • Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV range extender dengan jarak hingga 1,000 km!

    Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

    Nama Huawei biasanya lebih sinonim sebagai pengeluar telefon pintar dan juga peranti elektronik lain. Bagaimanapun, jenama tersebut juga sudahpun memperkenalkan kenderaan pertama rekaannya di Auto Shanghai 2021, yang digelar dengan nama Seres Huawei Smart Selection SF5. Dibangun dengan kerjasama syarikat dari California, Seres, crossover berkenaan kini boleh ditempah melalui platform e-dagang Vmall Huawei dengan bayaran 1,000 yuan (RM633).

    Bermula 21 April, pelanggan boleh memandu uji model SF5 ini di Huawei Experience Stores di China. Dari laman web syarikat, SF5 ditawarkan dalam dua varian, dengan versi paling murah dengan pilihan motor tunggal yang dijual pada harga 216,800 yuan (RM137,287) serta varian dengan dua motor pada harga 246,800 yuan (RM156,334).

    Dari segi rekaan, Huawei SF5 tampil dengan rekabantuk yang hampir sama dengan model SF5 yang dipersembahkan oleh Seres pada 2019 — perbezaan kecil misalnya hanya melibatkan bukaan udara pada bampar depan. Kereta ini masih kekal dengan rekaan lampu utama unik, DRL bentuk L, pemegang pintu tersorok, garis tingkap berbentuk sayap, bumbung tirus serta lampu belakang kelebaran penuh.

    Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

    Begitu juga dengan ukuran dimensinya; SF5 mempunyai 4,700 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,625 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,875 mm.

    Di dalam, rekaan papan pemuka minimalistik diterapkan, menampilkan corong udara lebar dengan sebuah skrin sentuh menegak yang menjadi antaramuka kepada semua fungsi pada kenderaan ini, serta satu kluster instrumen. Konsol tengah juga tampil ringkas, dengan menempat hanya ruang untuk cawan, sementara tuil gear diletak berdekatan perehat lengan.

    Walaupun reka bentuk kekal sama, Huawei turut memainkan peranan dalam membangunkan teknologi yang dimuatkan dalam kereta ini, termasuklah sistem janaan kuasanya. Model ini menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder yang bertindak sebagai “range extender” untuk mengecas bateri.

    Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

    Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada motor elektrik asynchronous SEP200 di depan, sementara di belakang pula menggunaan sistem pacuan elektrik all-in-0ne DriveOne oleh Huawei. Siste Huawei ini menyepadukan tujuh komponen mekanikal dan kuasa ke dalam satu unit, termasuk unit kawalan mikro, motor, reducer, pengubah DC, pengecas dalaman, unit pengagihan kuasa dan unit kawalan bateri.

    Konfigurasi dengan dua motor dan pacuan semua roda ini menyediakan output keseluruhan sebanyak 551 PS (543 hp atau 405 kW) dan 820 Nm tork, yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

    Huawei bagaimanapun tidak menyediakan perincian penuh berkaitan bateri pada SF5. Bateri ini didakwa mampu menyediakan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 180 km bagi kitaran NEDC, dan sehingga 1,000 km jika mengambil kira enjin sebagai “range extender”. Perincian tentang tempoh mengecas dan bagai mana konfigurasi motor tunggal masih belum dikongsi setakat ini.

    Skrin sentuh besar di dalam disambung kepada sistem HiCar Huawei, sebuah eko-sistem sambungan yang sama seperti ditawarkan oleh Apple dan Google. Pengguna boleh menyambung telefon mereka ke kereta dan selaraskan keduanya dengan mudah, dan boleh juga mengawal peranti pintar terus dari skrin sentuh berkenaan.

    SF5 juga menampilkan sistem Huawei Sound, dengan 11-pembesar suara dalam kabin untuk memberikan kualiti audio terbaik. Pembesar suara berkenaan turut berfungsi untuk membatalkan kebisingan lain yang tidak diingin dari luar, disertakan juga dengan kaca kedap bunyi dua-lapisan serta ciri kedapan lain untuk menjadikan tahap NVH rendah — dalam kedudukan pegun, ia mencatatkan 38 dB.

    Aspek keselamatan, SF5 dilengkapi dengan radar gelombang milimeter berketepatan tinggi, radar ultrasonic, kamera keliling dan sensor lain untuk membolehkan operasi autonomous Tahap 2. Ia datang standard dengan bantuan kesesakan trafik, kawalan melayar adaptif, amaran pelanggaran depan, brek kecemasan autonomous dan lain-lain.

     
     
  • Volkswagen ID.4 dinobat World Car of the Year 2021

    Volkswagen ID.4 dinobat World Car of the Year 2021

    Pemenang bagi World Car Awards 2021 telah diumumkan, dan tidak seperti tahun lalu, pemenang bagi lima kategori menyaksikan pemilihan lebih meluas, dengan jenama berbeza dinobatkan sebagai pendahulu kategori masing-masing.

    Volkswagen ID.4 meraih anugerah paling besar dengan dinaboatkan sebagai World Car of the Year 2021. SUV elektrik sepenuhnya itu muncul teratas dalam pusingan akhir undian, yang turut menyaksikan tiga calon yang telah disenarai pendek. ID.4 memperoleh 798 mata daripada juri untuk mendahului Honda e (742) mata dan Toyota Yaris (732 mata).

    Bagaimanapun, Honda e tidak pulang dengan tangan kosong, kerana telah diumumkan sebagai pemenang bagi World Urban Car taun ini bagi anugerah berkenaan. Hatcback kompak elektrik ini menerima (754 mata) yang telah meletakkannya di hadapan dua calon lain, Yaris (737 mata) dan Honda Jazz/Fit (719 mata).


    Bagi kategori World Luxury Car pula, Mercedes-Benz S-Class W223 telah dinamakan sebagai pemenangnya dengan 853 mata, mengatasi Polestar 2 yang meraih 815 mata serta Land Rover Defender dengan 774 mata.

    Sementara itu, Porsche 911 Turbo pula muncul pemenang bagi kategori Wolrd Performance Car, mengatasi pesaingnya Audi RS Q8 dan Toyota GR Yaris. Model generasi 992 berkenaan mengumpul 822 mata, mengatasi RS Q8 (792 mata) dan GR Yaris (773 mata).

    Pemenang kategori terakhir, World Car Design of the Year pula menyaksikan Defender telah muncul juara dengan 299 mata, mengalahkan Honda e (239 mata) dan Mazda MX-30 (197 mata).

     
     
  • GALERI: SUV Renault Koleos Signature 2021, RM201k

    GALERI: SUV Renault Koleos Signature 2021, RM201k

    Awal April lalu, TC Euro Cars telah mempekenalkan model facelift terbaru SUV Renault Koleos 2021 untuk pasaran tempatan. Pengenalan ini merupakan model facelift kedua dilakukan bagi SUV berkenaan. Walaupun aspek mekanikalnya kekal sama, senarai kelengkapan menyaksikan peningkatan.

    Tiga varian ditawarkan bagi model ini; model paling asas dijual pada harga bermula RM181,886 (tidak termasuk insurans), disusuli oleh varian Signature pada harga RM201,087 dan varian paling tinggi Signature Plus (yang ditampilkan ini) pada harga RM206,887.

    Berbanding sebelum ini, harganya menunjukkan peningkatan yang banyak, di antara RM8,685 hingga RM19,020. Ini bagaimanapun belum mengambil kira pengecualian cukai SST 50% yang diberikan sehingga 30 Jun, bersama jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: SUV Renault Koleos Signature 2021, RM201k

    Semua varian Renault Koleos dipacu oleh enjin empat silinder 2.5 liter NA yang sama — dipinjam daripada Nissan X-Trail — yang menghasilkan kuasa 171 PS pada 6,000 rpm dan 226 Nm tork pada 4,400 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi Xtronic CVT dengan purata penggunaan bahan api berada pada kadar 8.1 l/100 km.

    Antara perubahan yang dilakukan terhadap penampilannya yang terbaru ini ialah penerapan lampu projektor Pure Vision LED yang telah ditukar kepada unit reflektor dan didakwa menjimatkan 10% kuasa, disediakan secara standard untuk semua varian. Ini disertai juga dengan lampu belakang LED dan lampu isyarat jenis sequential.

    Di dalam, varian Signature dan Signature Plus mendapat tempat duduk depan baru yang mempunyai penyandar kepala lebih lebar serta ciri larasan kusyen, liang udara, fungsi mengurut dan memori bagi bahagian pemandu. Tempat duduk ini turut dibalut kulit Nappa Sand Grey (balutan kulit Riviera untuk varian asas) serta kemasan kayu di beberapa bahagian.

    GALERI: SUV Renault Koleos Signature 2021, RM201k

    Senarai kelengkapan lain masih dikekalkan dan ini termasuk rim Taika 18-inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kawalan pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, cermin pandang belakang malap sendiri, sistem infotainmen R-Link 2 dengan skrin sesentuh menegak 8.7 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lapan pembesar suara, kamera undur dan fungsi tanpa sentuh bagi pintu but belakang.

    Selain daripada kelengkapan ini, varian Signature ditambah lagi bumbung panoramik serta rim Kavea 19-inci. Bagi Signature Plus pula, ia boleh dikenali dengan kemasan bampar hadapan dan belakang yang berwarna kelabu, pemijak kaki tepi serta perakam video hadapan dan belakang.

    Selain boleh memilikinya melalui pinjaman sewa-beli konvensional, pelanggan juga boleh menggunakan khidmat langganan dengan bayaran bulanan bermula RM2,599 untuk varian asas, RM3,099 untuk Signature dan RM3,399 untuk Signature Plus. Ini adalah jumlah bagi tempoh penggunaan tiga tahun.

    Renault Koleos Signature Plus 2021

     
     
  • Kia Cerato facelift 2021 dilancar di Korea – penampilan diubah, tambahan kelengkapan, enjin masih sama

    Kia Cerato facelift 2021 dilancar di Korea – penampilan diubah, tambahan kelengkapan, enjin masih sama

    Kia Cerato facelift 2021 telah pun didedah beberapa minggu lalu, tapi kini barulah ia dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan, dengan dikenali sebagai K3. Sedan segmen C ini mendapat sedikit perubahan luar, dalam, serta penambahan beberapa ciri teknologi, tetapi mekanikalnya masih lagi sama.

    Seperti yang boleh dilihat dalam gambar sebelum ini, kita masih boleh mengenali ini adalah model Cerato dengan mudah meskipun nampak lebih moden. Gril “tiger nose” dijadikan lebih kecil dan lebar untuk ditemukan kepada perumah lampu dan di bawahnya terdapat kemasan krom.

    Bukaan udara bawah pada bampar mempunyai bentuk lebih tajam, sementara di hujungnya terdapat lampu kabus LED yang diletakkan menyerong. Untuk lampu pula, unit utama yang lebih nipis kini mempunyai DRL dengan rekaan garis putus-putus di atas dan bawah, menggantikan rekaan empat bintik yang digunakan sebelum ini.

    Pada bahagian belakang, lampu K3 facelift ini telah diubah dengan rekaan pencahayaan garis putus-putus seperti DRL hadapan, dan ini termasuk sekali dengan jalur lampu di tengah. Kemasan di bahagian bawah bampar nampak seperti mempunyai bentuk sama dengan gril “tiger nose” di hadapan sementara di bucu pula terdapat kemasan trapezoid yang turut menempatkan lampu kabus dan pemantul cahaya yang lebih kecil berbanding sebelum ini.

    Sementara bahagian luar menerima perubahan yang jelas, bahagian dalam pula kebanyakannya masih dikekalkan. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa perubahan termasuk brek parkir yang kini menggunakan jenis suis elektronik, skrin infotainmen jenis sesentuh dengan butang kawalan yang terletak dalam satu unit, serta panel instrumen dan roda stereng baru.

    Kelengkapan bantuan lain yang ditambah pada model ini adalah termasuk pemula enjin kawalan jauh, kemas kini perisian atas talian, informasi navigasi, perkongsian kedudukan kenderaan serta servis Kia Pay untuk letak kereta dan minyak. Pada bahagian keselamatan, Cerato telah dipertingkat dengan ciri pemanduan semi autonomous Level 2 Highway Driving Assistance (HDA), yang memberikan Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, pengesan penunggang basikal dan brek kecemasan, Reverse AEB, amaran pintu buka dan amaran penumpang belakang.

    Kia Cerato facelift 2021 dilancar di Korea – penampilan diubah, tambahan kelengkapan, enjin masih sama

    Bahagian mekanikal model ini tidak diusik, dengan pilihan enjin biasa masih kekal termasuk unit empat silinder NA Smartstream G1.6 MPI yang mampu menghasilkan kuasa 123 PS pada 6,300 rpm dan 154 Nm tork pada 4,500 rpm, dihantar kepada dua roda hadapan melalui transmisi CVT.

    Untuk lebih kuasa, pelanggan boleh mendapatkan model hatchback lima pintu GT, yang menggunakan enjin turbo direct injection berkuasa 204 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm tork pada 1,500 hingga 4,500 rpm bersama padanan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Sedikit kemasan merah ditambah pada gril serta keliling lampu kabus model ini, sementara bahagian belakangnya tidak berubah.

     
     
  • Proton Saga R3 Pakistan – lebih 5,000 orang sertai cabutan bertuah untuk rebut beli 100 unit edisi terhad

    Proton Saga R3 Pakistan – lebih 5,000 orang sertai cabutan bertuah untuk rebut beli 100 unit edisi terhad

    Seperti yang telah kami laporkan ketika pelancarannya tempoh hari, Proton Saga pasaran Pakistan turut ditawarkan dalam versi edisi terhad R3, dibawa hanya sebanyak 100 unit, di mana pembeli yang layak untuk membelinya akan ditentukan secara undian cabutan bertuah bagi memastikan peluang yang adil untuk semua pelanggan.

    Dan selepas penyertaan cabutan bertuah tersebut ditutup pada 16 Apri lalu, semalam Proton Pakistan yang diuruskan oleh Al-Haj Automotive telah mengumumkan bahawa lebih 5,000 orang telah memohon untuk membeli Saga R3 berkenaan! Walau bagaimanapun, keputusan berkenaan siapa 100 orang yang bertuah dapat membeli kereta tersebut hanya akan diketahui pada 30 April 2021 nanti.

    Berbanding varian Saga standard dan Ace pasaran Pakistan yang diberikan enjin S4PE yang dikecilkan kepada 1,299 cc bagi mendapatkan insentif cukai yang lebih rendah dan dijual secara lebih kompetitif, Saga R3 pasaran Pakistan ini masih menampilkan enjin 1,332 cc yang sama seperti model pasaran Malaysia.

    Namun apa yang menarik lagi, Saga R3 Pakistan ini turut ditawarkan dalam versi transmisi manual lima-kelajuan selain varian automatik empat-kelajuan – di Malaysia sendiri ia hanya tampil dengan kotak gear 4AT. Penampilan luaran dan dalaman Saga R3 Pakistan ini masih sama dengan versi pasaran Malaysia dengan warna hitam bersama kit badan, serta serlahan-serlahan kuning di luar dan dalam bersama upholsteri kulit.

    Saga R3 varian manual dijual pada harga PKR2,175,000 (RM59,129), dan versi R3 automatik pula adalah PKR2,425,000 (RM65,925). Sebagai perbandingan, model paling rendah Saga MT dijual pada harga PKR1,975,000 (RM53,691), diikuti Saga AT berharga PKR2,125,000 (RM57,769), manakala varian biasa tertinggi Ace AT pula dijual pada harga PKR2,225,000 (RM60,488).

     
     
  • SYM Jet X 150 dan WMoto Xtreme 150i diperkenal – masuk pasaran bulan Jun, harga sekitar RM8k-RM10k

    SYM Jet X 150 dan WMoto Xtreme 150i diperkenal – masuk pasaran bulan Jun, harga sekitar RM8k-RM10k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini telah menunjukkan dua model baru yang akan berada di pasaran Malaysia sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini, iaitu SYM Jet X 150 dan WMoto Xtreme 150i . Harga untuk dua skuter ini masih belum didedah, tetapi diberitahu akan berada antara RM8k ke RM10k.

    SYM Jet X adalah sebuah skuter yang sebelum ini juga sudah pernah dilancar di Eropah, dan di Thailand sebagai GPX Drone. Ia dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api satu silinder 149.6 cc, yang mampu menghasilkan kuasa 12.3 hp pada 8,000 rpm dan 12 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Selain bentuk badan yang sporty dan dinamik, Jet X juga didatangkan dengan kelengkapan canggih seperti sistem kunci pintar bersama penggera, semua lampu jenis LED dengan DRL di hadapan, penghadang angin hadapan jenis smoked, pengecas USB serta panel meter LCD digital penuh.

    Berat keseluruhan skuter ini adalah 140 kg dan ia didatangkan dengan tangki bahan api 7.5 liter dan ruang barangan bawah tempat duduk 18 liter (boleh memuatkan helmet fullface). Fork hadapan menggunakan jenis teleksopik biasa sementara di belakang pula terdapat dua penyerap hentak dengan tiga tahap pelarasan pra beban.

    Rim yang digunakan adalah bersaiz 14 inci, dengan tayar 100/90 di hadapan dan 110/80 di belakang, dan pada kedua-dua roda ini terdapat brek cakera yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 220 mm. Untuk unit awal yang bakal tiba, Jet X akan menggunakan brek jenis CBS sementara fungsi ABS pula hanya akan diusahakan pada model masa hadapan.

    Satu lagi skuter yang dilancarkan oleh MForce adalah WMoto Xtreme 150i. Ia menggunakan bentuk ala adventure seperti Honda ADV 150, dan digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 149.3 cc yang menghasilkan kuasa 12 hp pada 8,500 rpm dan 11.8 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Ukuran XTreme 150i adalah 1,925 mm panjang, 760 mm lebar dan 1,290 mm tinggi, manakala tinggi tempat duduk pula adalah 765 mm dan jarak kelegaan dari tanah adalah 180 mm. Berat keseluruhannya adalah 143 kg dan didatangkan dengan tangki bahan api 11 liter.

    Skuter ini juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti semua lampu jenis LED bersama DRL, sistem start-stop, meter LCD digital penuh, dua soket kuasa (satu 12V dan satu lagi USB) serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras.

    Kedua-dua rim yang digunakan mempunyai saiz 14 inci, dengan tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, sementara brek pula kedua-duanya adalah unit cakera yang dilengkapi dengan sistem ABS two-channel. Bahagian suspensi skuter ini juga boleh dianggap istimewa kerana menggunakan fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

    GALERI: SYM Jet X 150

    GALERI: WMoto Xtreme 150i

     
     
  • Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

    Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bersama Perodua dan Persona Energy Sdn Bhd hari ini mendatangani perjanjian kerjasama bagi menghantar empat orang jurutera perantis untuk menyertai pasukan Jota Sport Racing Team dalam perlumbaan Kejohanan Endurance Dunia (WEC) musim 2021 dalam satu program yang digelar Program Perantis Pemindahan Teknologi (TTAP).

    Menurut CEO MARii Dato Madani Sahari, program ini dirangka sebagai persediaan untuk industri automotif tempatan bagi menghasilkan kereta dengan kebolehan autonomi tahap 3 menjelang 2025, di mana dua model jenama nasional iaitu Perodua Ativa dan Proton X50 sudahpun mencapai kebolehan tahap 2. Kesemua jurutera muda yang dihantar untuk menyertai perlumbaan tersebut ditugaskan untuk mengutip data bagi digunakan bagi membangunkan teknologi berkenaan.

    MARii menyatakan bahawa teknologi di belakang penderia, telemetri dan pengurusan data dalam sukan permotoran adalah jauh lebih maju berbanding kenderaan produksi biasa, jadi data-data dalam perlumbaan termasuk semua sistem berkaitan yang dikumpulkan oleh pasukan jurutera ini bakal memberikan dimensi baharu untuk pembangunan tempatan bukan sahaja untuk Perodua, malah untuk peringkat OEM dan vendor.

    “Masa depan mobiliti terhubung bukan sahaja hanya bersandarkan data pada prestasi dan ketahanan kenderaan, tetapi turut bergantung pada teknologi pengumpulan data. Menerusi kerjasama ini, kita akan lihat dimensi baharu dari teknologi yang digunakan menerusi usaha dalam Kejohanan Endurance Dunia yang boleh diaplikasikan selari dengan pembangunan komponen kritikal yang telah dinyatakan dalam Dasar Automotif Negara 2020,” kata Madani.

    Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

    “Perodua gembira untuk menyokong usaha ini yang akan menambah nilai dan peluang dalam industri Malaysia. Kami lihat ini bukan sahaja pendekatan inovatif untuk pembangunan teknologi, tetapi ia juga selangkah lagi kehadapan bagi menghasilkan baka baharu bakat kejuruteraan menerusi pengalaman yang ditimba dan pendedahan antarabangsa,” tambahnya lagi

    Program ini menampilkan empat jurutera perantis yang baharu sahaja menamatkan pengajian masing-masing, yang bakal menyertai Jota Racing dalam perlumbaan kategori LMP2 dalam WEC bermula Jun ini, termasuk pusingan ke-4, iaitu pusingan paling mencabar Le Mans 24-Jam berlangsung di Circuit de la Sarthe, Perancis pada bulan Ogos.

    Empat jurutera berkenaan adalah Anderson Kent Robert, Luqman Bin Othman, Muhammad Amzar Danish Bin Chairil dan Muhammad Taufiq Bin Mohd Zin. Mereka turut akan diselia oleh pengasas bersama Persona Energy, iaitu bekas pelumba F3 negara, Jazeman Jaafar. Malah, Jazeman sendiri turut ditugaskan sebagai pemandu simpanan dan pembangunan untuk Jota Sport dalam WEC musim 2021 ini.

    Selain Le Mans, kesemua jurutera ini akan tampil dalam lima perlumbaan Jota Sport dalam WEC 2021; Portimao di Portugal, Fuji di Jepan dan pusingan terakhir di Bahrain. Dalam tempoh antara perlumbaan, kesemua mereka akan berada di ibu pejabat Jota Sport di UK untuk sesi latihan.

    Menurut Jazeman, perlumbaan memerlukan pelumba mengawal kereta mereka pada setiap masa dalam litar, jadi sistem dan fungsi pemanduan autonomi tidak akan diteroka oleh kumpulan jurutera ini dalam perlumbaan. Namun dalam perlumbaan endurance, pelbagai senario akan ditempuhi, membolehkan pelbagai data yang dapat dikumpulkan, jelasnya.

    Perodua, MARii hantar jurutera perantis ke perlumbaan WEC 2021, termasuk Le Mans 24 jam untuk kutip data

    Jazeman turut menambah bahawa pemindahan teknologi dari sukan permotoran kepada pengeluar seperti Perodua perlu bermula dengan mendapatkan dan mentafsir data dari perlumbaan sebanyak yang mungkin, dan kemudian mengenal pasti data yang mana boleh digunakan untuk situasi di jalan raya, dengan simulasi dalam dua senario; sama ada dalam situasi boleh diagak atau tidak boleh diagak.

    Contoh situasi yang boleh diagak termasuk jangkaan kehausan tayar, serta berhadapan dengan trafik lebih laju atau lebih perlahan dari kereta berlainan kelas. Manakala contoh situasi yang tidak boleh dijangka pula termasuk bendera kuning, safety car keluar dan juga pelbagai insiden yang menyebabkan perlumbaan dihentikan.

    Data dari senario-senario pada litar perlumbaan ini kemudiannya boleh dibandingkn dengan senario dalam jalan raya sebenar seperti perubahan kelajuan kerana aliran trafik dan juga insiden yang berlaku – ia parameter-parameter yang boleh digunakan untuk komunikasi dan tafsiran data dalam sistem V2i (kenderaan-kepada-infrastruktur) atau V2V (kenderaan ke kenderaan).

    Jazeman turut menyatakan lebih banyak data dapat dikumpul sekiranya satu-satu perlumbaan berkenaan penuh dengan insiden, kerana ia akan melibatkan pelbagai situasi, dengan perubahan rentak serta keadaan litar, dan sebab itu perlumbaan endurance adalah perlumbaan paling sesuai untuk menghimpunkan data berkenaan.

     
     
  • Jaguar I-Pace Black edisi istimewa 2021 kini di UK

    Jaguar I-Pace Black edisi istimewa 2021 kini di UK

    Jaguar telah memperkenalkan model I-Pace Edisi Khas terbaru untuk pasaran UK. Ia menggunakan asas dari versi SE dan HSE yang lebih mahal, dengan tambahan ciri seperti rim aloi hitam berkilat 20-inci, bumbung panoramik, kaca privasi dan kemasan dalaman hitam berkilat untuk tampil lebih sporty.

    Kelengkapan lain adalah sama seperti kemaskini yang dilakukan pada tahun 2020. Untuk itu, model ini juga akan dilengkapi dengan sistem infotainmen terkini Jaguar Pivi Pro, merangkumi kluster instrumen definisi tinggi 12.3-inci serta paparan skrin sentuh 10-inci. Turut tersedia sebuah skrin sentuh kecil lima-inci dengan dail bulat bagi kawalan HVAC di bawah.

    Jaguar I-Pace Black edisi istimewa 2021 kini di UK

    Tambahan lain termasuklah eSIM dua-modem, pelantar pengecas tanpa wayar pilihan di bawah konsol tengah, ionisasi kabin dengan penapis PM2.5 serta sambungan serentak untuk dua telefon.

    Tiada sebarang perubahan pada sistem janaan dilakukan. Ia kekal memanfaatkan dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) yang menghasilkan keseluruhannya 400 PS dan 696 Nm tork. Sistem pacuan semua roda adalah standard, membolehkan kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Jaguar I-Pace Black edisi istimewa 2021 kini di UK

    Kemaskini terbaru itu juga turut melibatkan pengecas dalaman 11 kW sebagai standard untuk pengecasan lebih pantas. Jaguar memaklumkan pek bateri 90 kWh boleh dicas pada kadar 53 km per jam jika disambungkan pada outlet 11 kW, sementara cas penuh memerlukan 8.6 jam. Melalui Wallbox 7.4 kW, proses berkenaan mengambil masa 12.75 jam.

    Dengan pengecas pantas DC pula boleh menikmati kadar pengecasan 100 kW, yang menyediakan jarak perjalanan 125 km dalam masa hanya 15 minit. Satu cas penuh menyediakan 450 km jarak. Harga bagi Jaguar I-Pace edisi khas ini bermula dari £72,445 (RM417k).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025