Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • DBKL disyorkan beri tempoh sebulan tanpa saman bagi peralihan kaedah caj parkir di bahu jalan-Menteri

    DBKL disyorkan beri tempoh sebulan tanpa saman bagi peralihan kaedah caj parkir di bahu jalan-Menteri

    Dua hari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan kaedah pembayaran caj parkir di bahu jalan yang menggunakan mesin di sekitar Kuala Lumpur telah pun berakhir pada 30 September 2020 (semalam).

    Di mana bermula semalam, 1 Okt 2020, kaedah pembayaran caj parkir tersebut hanya menggunakan aplikasi terpilih seperti EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking atau M-Cash. Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan transaksi menerusi e-wallet untuk tujuan pembayaran caj parkir yang dinyatakan.

    Susulan perkara berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meminta DBKL supaya menimbangkan syor memberi tempoh sebulan tanpa saman bagi peralihan kaedah pembayaran tempat letak kenderaan di bahu jalan, laporan Berita Harian.

    DBKL disyorkan beri tempoh sebulan tanpa saman bagi peralihan kaedah caj parkir di bahu jalan-Menteri

    Beliau juga meminta DBKL menimbangkan beberapa syor berkaitan yang dikemukakan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

    “Saya berpandangan syor ini wajar dipertimbangkan DBKL. Saya juga menerima syor yang hampir sama daripada UMNO Wilayah Persekutuan. Banyak syor yang sama diterima daripada pelbagai pihak, ..harap DBKL beri perhatian,” katanya menerusi Twitter.

    Kenyataan itu dilampirkan bersama syor dikemukakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur yang antara lain mencadangkan tempoh sebulan bagi Oktober tanpa tindakan saman kepada pengguna tempat letak kereta di bahu jalan bagi peralihan ke aplikasi baharu yang diperkenalkan DBKL.

    Turut dicadangkan penyelesaian baki akaun dalam aplikasi JomParking yang digunakan sebelum ini bagi pembayaran tempat letak kenderaan.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Okt – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga tiga sen, diesel turun sebanyak satu sen

    Harga minyak 3-9 Okt – Petrol RON97 dan RON95 naik sehingga tiga sen, diesel turun sebanyak satu sen

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 3 hingga 9 Oktober 2020, harga runcit bagi petrol dilaporkan mengalami kenaikan sebanyak tiga sen seliter. Ini bermakna harga runcit bagi petrol RON 97 bakal menjadi RM2.01 seliter berbanding RM1.98 seliter pada minggu sebelumnya.

    Manakala harga bagi petrol RON 95 pula, daripada RM1.68 seliter, bakal menjadi RM1.71 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel pula turun sebanyak satu sen seliter, iaitu diesel gred Euro 2M menjadi RM1.70 seliter manakala bagi diesel Euro 5 pula seperti mahal 10 sen daripada harga itu, menjadi RM1.80 seliter.

    Semua harga baharu berkenaan efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 9 Oktober 2020.

     
     
  • Hyundai i20 N Line – gaya lebih garang, enjin NA dan turbo, kotak gear manual iMT dengan hibrid ringkas

    Hyundai i20 N Line – gaya lebih garang, enjin NA dan turbo, kotak gear manual iMT dengan hibrid ringkas

    Selepas hatchback segmen-B Hyundai i20 generasi baharu didedahkan pada Februari lalu, kini ia tampil pula dalam kemasan N Line dengan gaya yang lebih garang. Untuk versi ini, ia datang dalam dua pilihan enjin iaitu 1.2 liter NA MPI berkuasa 84 PS, dan juga pilihan lebih berkuasa 1.0 liter tiga-silinder Turbo GDI dengan dua talaan; 100 PS dan 120 PS.

    Model 1.0L T-GDI berkuasa 120 PS didatangkan standard dengan sistem hibrid ringkas 48-volt, manakala untuk versi 1.0L T-GDI 100 PS pula sistem tersebut ditawarkan secara opsyen. Juga, sistem hibrid ringkas 48-volt berkenaan juga disertakan dengan kotak gear manual pintar iMT Hyundai yang menawarkan lebih penjimatan bahan api. Manakala untuk model i20 standard pula, ia boleh dipilih dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual.

    Rekaan asas untuk i20 yang dihasilkan dari prinsip rekaan ‘Sensuous Sportiness’ terkini Hyundai sebenarnya sudah pun cukup agresif. Pakej penggayaan N-Line ini pula menambah lagi imej garang berkenaan dengan elemen gril tersendiri berwarna hitam, skirt sisi lebih besar dan juga rim dua tona bersaiz 17-inci.

    Pada bahagian belakang, i20 N Line ini diberikan bampar yang direka diinsiparasikan dari sukan permotoran, bersama lampu kabus tunggal diletakkan di tengah, serta tip ekzos krom berkembar diserlahkan pada diffuser.

    Hyundai i20 N Line – gaya lebih garang, enjin NA dan turbo, kotak gear manual iMT dengan hibrid ringkas

    Dalam kabin pula, i20 N Line ini menerima roda stereng dan tempat duduk lebih sporty dengan logo N serta serlahan jahitan benang merah. Selain itu, imej sukan permotoran pada i20 N Line ini diserlahkan dengan pemadanan perincian seperti pedal aloi, tuil penukar gear dengan lencana N, serta serlahan-serlahan kemasan merah pada liang pendingin hawa serta panel pintu.

    Sama seperti model standard, i20 N Line ini turut menerima teknologo Bluelink terkini Hyundai, yang memberikan fungsi kenderaan terhubung seperti Hyundai Live Services, yang menawarkan informasi trafik masa-sebenar, harga bahan api terkini, cuaca, informasi parkir, dan juga fungsi kawalan jauh menerusi aplikasi telefon pintar Bluelink.

    Kereta ini juga dibekalkan dengan dua skrin 10.25-inci ‘visual digabungkan’ untuk sistem infotainmen dan juga paparan instrumen digital, sistem hubungan disokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar port USB kabin belakang dan sistem bunyi Bose dengan lapan pembesar suara.

    Hyundai i20 N Line – gaya lebih garang, enjin NA dan turbo, kotak gear manual iMT dengan hibrid ringkas

    Versi N Line ini juga dibekalkan sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense, terdiri dari fungsi seperti cruise control adaptif berasaskan sistem navigasi, pengenal tanda trafik, bantuan kekal di tengah lorong, pemantau titik buta dengan brek enjin, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, amaran lintasan belakang, bantuan parkir dan juga penderia parkir dengan brek automatik.

    Model ini bakal dijual pada pasaran Eropah bermula dari Hemisfera Utara pada 2021. Ia akan ditawarkan dalam warna Phantom Black, Aurora Grey, Polar White dan Brass, manakala untuk warna Polar White, ia turut boleh dipilih dengan bumbung kontras Phantom Black.

    Cukup garang? Seperti yang disebut tadi, model N Line ini hanya menerima penggayaan astetik yang lebih sporty. Hyundai juga bakal melancarkan model prestasi sebenar i20 N yang diispirasikan dari jentera WRC mereka, diberikan enjin yang jauh lebih berkuasa bersama suspensi yang lebih fokus untuk pemanduan prestasi; teaser dalam bentuk imej dan video untuk model tersebut telah pun disiarkan sebelum ini.

    GALERI: Hyundai i20 2021 standard

     
     
  • Volkswagen Malaysia perkenal kempen Trade-Up bagi pemilik, tambahan RM3k untuk sokongan ‘trade-in’

    Volkswagen Malaysia perkenal kempen Trade-Up bagi pemilik, tambahan RM3k untuk sokongan ‘trade-in’

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) umumkan pengenalan Das WeltAuto – sebuah program global jenama itu – untuk pasaran Malaysia. Aktiviti pertama program berkenaan ialah kempen Trade-Up, yang menawarkan kepada pemilik Volkswagen peluang untuk “trade-in” kenderaan semasa mereka dengan model terbaru Volkswagen – dengan sokongan tambahan.

    Kempen tersebut disasarkan kepada pemilik Touran, Cross Touran, Sharan, Passat CC dan Passat B7 sedia ada yang ingin menukar kenderaan mereka kepada model baru Volkswagen. Melalui program ini, pemilik bakal menikmati tambahan RM3,000 bagi sokongan “trade-in” bagi semua roda, termasuk bagi Arteon R-Line serba baru, Tiguan Allspace (R-Line dan Highline) serta Passat Elegance.

    Pengarah urusan VPCM, Erik Winter, menyatakan, kempen berkenaan digerakkan oleh maklum balas yang menggalakkan terhadap barisan kenderaan R-Line. “Daripada maklum balas positif yang diterima, kami tahu keperluan untuk menawarkan kemudahan untuk pelanggan setia menaiktaraf kenderaan mereka dan dalam masa sama, kekal bersama Volkswagen,” jelasnya.

    Volkswagen Malaysia perkenal kempen Trade-Up bagi pemilik, tambahan RM3k untuk sokongan ‘trade-in’

    “Dengan sokongan Das WeltAuto, untuk memiliki kenderaan baru Volkswagen kini menjadi lebih mudah memandangkan semua proses diuruskan di cawangan pengedar kami. Kami yakin kempen ini akan menarik minat pemilik sedia ada model terdahulu Volkswagen untuk menaiktaraf kenderaan mereka model terbaru,” tambahnya.

    Program kereta terpakai Das WeltAuto ini ditawarkan di lapan rangkaian pengedar Volkswagen yang mengambil bahagian – Volkswagen Puchong, Volkswagen Gombak, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Juru, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Skudai. Untuk maklumat lanjut berkaitan, layari laman web DasWeltAuto.

     
     
  • Volkswagen Taos – teaser SUV bawah Tiguan baharu

    Volkswagen Taos – teaser SUV bawah Tiguan baharu

    Bulan lalu, Volkswagen telah memberitahu akan melancarkan sebuah SUV baru pada bulan Oktober dan kini satu lagi teaser ditunjukkan. Menurut VW, corak pelekat samaran yang digunakan ini dibuat oleh ketua bahagian rekaan Volkswagen Amerika Selatan, Jose Pavone menggunakan warna Blue Jewel dan Dark Shadow.

    Gambar ini memberikan kita petunjuk awal bentuk SUV baru yang akan diletakkan di bawah Tiguan ini, dan antara ciri rekaan menarik adalah jalur lampu di bahagian tengah gril, yang bersambung sehingga ke DRL pada lampu utama. Bampar pula menggunakan bukaan udara yang besar di bawah sementara yang di bucu nampak lebih agresif.

    Profail bahagian tepi lebih mirip kepada Skoda Karoq dan Seat Ateca yang dijual dan Eropah, ataupun Tharu yang dipasarkan di China. Bentuk lampu belakang juga hampir serupa. Bampar belakang mengikuti konsep bampar hadapan, dan diperkemaskan lagi dengan diffuser serta muncung ekzos di bucu.

    Volkswagen Taos – teaser SUV bawah Tiguan baharu

    Sama seperti Karoq, Ateca dan Tharu, Taos ini akan dibina atas platform MQB, dengan model pasaran Amerika Selatan akan dipasang di Argentina sementara model pasaran Amerika Utara akan dipasang di Mexico. Menurut laporan, model Amerika Utara akan menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo TSI berkuasa 158 hp dan 250 Nm tork, bersama padanan transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke dua roda hadapan.

    Bagi model pasaran Amerika Selatan pula, ia akan menggunakan enjin 1.4 liter TSI berkuasa 148 hp, yang digabungkan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan roda hadapan. Ia kemudiannya akan disertai oleh model yang menggunakan enjin 2.0 TSI. Taos akan ditunjukkan kali pertama 13 Oktober ini sementara pelancaran untuk pasaran Amerika Selatan dijangka berlaku pada suku kedua 2021, dan diikuti Amerika Utara beberapa bulan selepas itu.

     
     
  • Shell Lubes sudah ada gedung rasmi di Shopee Mall

    Shell Lubes sudah ada gedung rasmi di Shopee Mall

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah melancarkan gedung rasmi baharu di Shopee Mall, satu portal aplikasi khas yang menempatkan gedung rasmi oleh pelbagai jenama dan peruncit. Di mana dengan langkah ini secara tidak langsung dapat memberi ketenangan jiwa kepada para pelanggan yang bimbang dengan kewujudan banyak produk tiruan dan tidak sah dijual secara dalam talian.

    Antara pilihan minyak pelincir premium Shell ditawarkan ialah rangkaian baharu kelikatan rendah 0W iaitu Shell Helix Power, Shell Helix Protect dan Shell Helix ECO. Shell juga menggalakkan lebih ramai pemilik kereta untuk memilih minyak pelincir ini yang menawarkan penggunaan bahan api lebih ekonomi dan emisi karbon rendah demi kelestarian yang lebih baik.

    Semua minyak pelincir Shell dijual melalui Gedung Rasmi Shell Lubes di Shopee Mall dijamin 100% tulen dan didatangkan dengan polisi pemulangan percuma selama 15 hari serta penghantaran percuma ke seluruh negara. Sebagai tambahan, dengan adanya ciri Jaminan Shopee, bayaran kepada Shell Malaysia hanya akan dibuat selepas para pembeli yang terima barang mengesahkan ia tulen dan berada dalam keadaan baik.

    Gedung dalam talian ini akan menawarkan lebih banyak produk selain minyak pelincir tulen kereta berpenumpang Shell Helix dan minyak enjin motosikal Shell Advance dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’. Tidak lama lagi, gedung ini akan meluaskan tawaran termasuk pelbagai produk runcit seperti barangan Shell serta produk Shell SELECT.

    “Situasi semasa kini semakin jelas ke arah penerimaan e-dagang dalam kalangan pengguna Malaysia. Ramai pelanggan setia percaya dengan jenama Shell dan menikmati pengalaman bermakna di stesen peruncitan Shell kami dan bengkel-bengkel terkenal. Kami mahu meneruskan tawaran pengalaman sama melalui Shopee Mall di mana mereka boleh membeli produk Shell secara online dengan lebih mudah dan lebih yakin,” kata Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants Malaysia dan Singapura, Nyon Kam Yew.

    Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee pula berkata, “Kami tidak sabar untuk menjayakan satu kerjasama bermakna dengan Shell kerana kami akan menggunakan keunikan jaminan ketulenan 100 peratus Shopee Mall dan polisi pemulangan percuma sebagai ketenangan jiwa kepada pengguna semasa membuat pembelian online.

    “Kami juga akan menyokong pelancaran gedung rasmi Shell dengan sistem integrasi penuh pembayaran dan penyelesaian logistik, medium pemasaran dalam aplikasi, pendedahan melalui kempen seperti Festival Jenama Shopee 10.10 dan banyak lagi untuk menyokong perniagaan dan objektif e-dagang mereka.”

     
     
  • Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

    Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

    Empat tahun selepas Lynk & Co dilancarkan, kini syarikat itu bakal menembusi pasaran Eropah dengan membawa produk pertama iaitu SUV 01 versi facelift, serta cara menarik bagi pengguna di sana memilikinya.

    Rupa 01 facelift ini pernah bocor Julai lalu dan kereta yang ditunjukkan ini menggunakan peningkatan yang sama, termasuk rekaan bampar yang lebih menyerupai model coupe 05. Gril hadapannya kini lebih nipis di bahagian tengah dan bahagian dalamnya menggunakan corak baru. Lampu yang terletak di bawah juga nampak lebih nipis, menggunakan bentuk lebih berpetak dan mempunyai bahagian dalam yang gelap.

    Bukaan udara yang terdapat pada bucu bampar menggunakan rekaan petak menegak, sementara yang di tengah lebih besar dan keduanya disambungkan dengan kemasan plastik warna hitam. Bampar belakang juga menggunakan rupa hampir sama, dengan pemantul cahaya menegak, dua muncung ekzos bulat dan diffuser. Rekaan rim 20 inci itu juga adalah baru.

    Lynk & Co 01 facelift bakal masuk pasaran Eropah

    Pada bahagian dalam, rekaan kabin direka semula, dan sekali lagi ia menghampiri rekaan 05 dengan jalur corong pendingin hawa yang panjang, roda stereng baru, konsol tengah lebih bersih, panel instrumen digital 12.3 inci serta skrin sesentuh yang lebih besar (12.7 inci) di tengah. Menurut Lynk & Co, sistem kenderaan ini akan dilengkapkan dengan sambungan serta navigasi atas talian, sokongan untuk aplikasi luar serta “kamera media sosial.”

    Semua ciri serta kelengkapan yang penuh ini akan diberi secara standard pada 01 yang dijual di Eropah dan pembeli cuma perlu memilih warna, sama ada hitam atau biru, dan penggerak sama ada hibrid (HEV) atau plug-in hybrid (PHEV). Perincian teknikal masih belum didedahkan, tetapi ia mungkin adalah sama sahaja seperti 01 yang dijual di pasaran China.

    Di sana, 01 HEV dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, menghasilkan kuasa 143 PS pada 5,500 rpm dan 215 Nm tork antara 2,500 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan motor elektrik 40 kW (54 PS) dan 130 Nm, sekaligus menjadikan kuasa keseluruhannya 197 PS dan 345 Nm tork. Penggunaan bahan api berada pada kadar 4.8 l/100 km.

    Sementara itu, versi PHEV pula mendapat enjin yang lebih berkuasa, menghasilkan kuasa 180 PS dan 265 Nm tork antara 1,500 hingga 4,000 rpm. Digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 60 kW (82 PS) dan 160 Nm, model ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS dan 425 Nm tork, manakala penggunaan bahan api pula 1.6 l/100 km, dengan jarak gerak elektrik 51 km.

    Satu lagi bahagian penting yang diperkenalkan oleh Lynk & Co adalah servis berasaskan langganan untuk 01. Melaluinya pengguna boleh memiliki kenderaan pada masa yang mereka mahukan, dengan bayaran bulanan yang kosnya diunjurkan tidak lebih daripada €500 (RM2,400). Semua insurans, penyelenggaraan berkala serta akses kepada platform perkongsian kenderaan sudah termasuk dalam harga tersebut.

    Langganan kenderaan ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa dengan notis awal satu bulan. Selain sistem langganan ini, sudah tentu, orang ramai juga boleh membeli 01 seperti kereta biasa, tetapi perkongsian kenderaan ini dianggap sebagai satu bahagian yang penting dalam perniagaan mereka.

     
     
  • Mazda CX-30 2.0G 2020 dapat tailgate kuasa, RM145k

    Mazda CX-30 2.0G 2020 dapat <em>tailgate</em> kuasa, RM145k

    Bermaz Motor telah mengumumkan Mazda CX-30 2.0G kini telah dilengkapi pintu tailgate larasan kuasa iaitu sebahagian daripada peningkatan untuk model tahun ini. Ciri tambahan ini turut melibatkan kenaikan harga sebanyak RM3,110, menjadikan harga atas jalan bagi model ini mencecah RM144,759 tanpa insurans, termasuk rebat 50% bagi cukai jualan (SST). Walau bagaimana pun, varian lain dalam barisan CX-30 untuk Malaysia iaitu 2.0G High, 2.0G High AWD dan 1.8D High kekal tanpa sebarang perubahan.

    Selain daripada pintu tailgate larasan kuasa itu, 2.0G masih mengekalkan lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang halogen, roda aloi 16-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, pendingin hawa manual, tempat duduk balutan fabrik larasan manual, paparan instrumen digital tujuh-inci, paparan utama, skrin sesentuh 8.8-inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan lapan-pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, 2.0G ini masih kekal dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, tanpa didatangkan dengan sistem bantuan pemandu i-Activsense seperti yang ada pada varian lain. Bagi penjana kuasanya, ia ditampilkan dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G empat-silinder petrol dengan output 162 hp pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan.

     
     
  • Acura MDX Prototype baru akan didedah 14 Oktober

    Acura MDX generasi keempat akan membuat penampilan pertamanya dalam versi prototaip 14 Oktober ini, dan kita akan dapat melihat apa yang dilakukan untuk memperbaharui rekaannya. Menurut Acura, MDX baru ini “akan menyediakan rekaan, prestasi, teknologi dan hasil kerja Acura bertahap baru.”

    Bersama pengumuman ini, cabang jenama mewah Honda ini turut mengeluarkan teaser yang menunjukkan beberapa garis badan penting model SUV tiga baris tempat duduk ini. Gril hadapan berbentuk pentagon serta lampu utama yang nipis menjadikan ia mirip kepada model TLX baru. Bampar yang lebih berlekuk menjadikan mukanya lebih agresif sementara bukaan udara di tepi adalah lebih berpetak.

    Profail keseluruhan juga nampak lebih kemas jika dibandingkan dengan model generasi ketiga sekarang, dengan garis tepi yang menyambungkan lampu hadapan hingga lampu belakang (dipanggil oleh Acura sebagai Chicane). Badan model baru ini diberitahu lebih lebar, rendah dan panjang berbanding sebelumnya, tetapi ukuran sebenar masih belum didedah.

    Bagitu juga dengan bahagian dalam, tetapi kita boleh menjangka ia tidak terlalu berbeza berbanding model Acura sekarang. Untuk enjin, ia mungkin ditawarkan dalam variasi unit petrol dan hibrid, dengan ada laporan yang menyatakan varian Type S juga mungkin disediakan, di mana ia menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo yang diambil daripada TLX Type S.

     
     
  • JPJ umum lesen motosikal boleh diperbaharui menerusi sistem dalam talian myEG mulai 9 Okt ini

    JPJ umum lesen motosikal boleh diperbaharui menerusi sistem dalam talian myEG mulai 9 Okt ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan mulai 9 Oktober 2020, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal secara atas talian melalui sistem myEG akan dilaksanakan.

    Manakala bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula akan dilaksanakan secara atas talian bermula 16 Oktober 2020. Ini tidak termasuk bagi Lesen Belajar Memandu (LDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL).

    Menurut JPJ, pelaksanaan ini merupakan suatu inisiatif kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan sedia ada kepada orang ramai selaras dengan amalan norma baharu yang praktikal.

    Pada waktu kini, perkhidmatan atas talian melalui sistem myEG adalah bagi urusan pembaharuan LKM bagi kereta persendirian sahaja. Pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, beberapa perkhidmatan JPJ telah terganggu disebabkan penutupan kaunter JPJ akibat pandemik Covid-19 yang berleluasa.

    “Melalui inisiatif ini perkhidmatan JPJ akan menjadi lebih cekap dan mampan bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat,” ujar JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • PKPP: Kawalan Rentas Daerah dilaksanakan di seluruh Sabah pada 3-16 Okt 2020 – Ismail Sabri

    PKPP: Kawalan Rentas Daerah dilaksanakan di seluruh Sabah pada 3-16 Okt 2020 – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru saja mengumumkan kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai jam 12:01 tengah malam pada 3 Oktober 2020 sehingga 16 Oktober 2020.

    Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

    Walau bagaimana pun, perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

    Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, Ismail menjelaskan ia masih kekal berkuatkuasa seperti biasa.

    “Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Bencana Alam COVID Sabah yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri,” ujarnya menerusi laman Facebook rasminya sebentar tadi.

    Petang tadi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengumumkan kes baharu akibat penularan wabak pandemik COVID-19 telah mencecah sebanyak 260 kes, mengikut rekod hari ini, 1 Oktober 2020. Di mana ia melibatkan 259 kes jangkitan tempatan dan 1 kes import.

    Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 118 kes, diikuti dengan Kedah (98 kes), Kuala Lumpur (14 kes), dan Selangor (13 kes). Daripada jumlah tersebut, KKM mendapati 31 kes tempatan adalah yang pernah berkunjung ke Sabah dalam tempoh terdekat ini. KKM turut berkata, terdapat tiga kluster baharu telah dikenalpasti iaitu di Putrajaya, Sabah dan Kedah.

    Setakat hari ini, Malaysia yang masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini, telah merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 11,484 dan mencatatkan kematian sebanyak 136 kes.

     
     
  • Honda Civic gen-11 – gambar paten dalam pula bocor

    Honda Civic gen-11 – gambar paten dalam pula bocor

    Selepas gambar paten bentuk luaran, kini gambar bahagian dalam untuk Honda Civic generasi ke-11 pula tersebar dalam internet. Gambar daripada IP Australia (1,2) yang ditemui oleh forum Civic11 (1,2) ini memberikan kita idea apa pembaharuan yang dilakukan oleh Honda pada bahagian papan pemuka serta stereng..

    Walaupun ini adalah papan pemuka model pemanduan sebelah kiri, kita boleh menjangka ia cuma akan diterbalikkan untuk kenderaan pemanduan sebelah kanan. Rekaan baru yang digunakan sangat berbeza dan skrin sistem infotainmen kini dilihat diasingkan daripada pengawal pendingin hawa dan terletak di atas sekali.

    Di antara keduanya terdapat corong pendingin hawa yang nipis, dan ia diletakkan dalam satu garis lurus yang bersambung sehingga kepada corong pendingin hawa di bucu. Perubahan lain yang boleh diperhatikan adalah butang pemula enjin kini terletak berhampiran konsol tengah dan bentuk perumah panel instrumen yang lebih ringkas.

    Bentuk roda stereng juga diubah sepenuhnya dan kini lebih mirip seperti City terbaru, dengan bentuk heksagon di tengah dan mempunyai empat cabang. Butang yang berada pada stereng ini nampak seperti sama sahaja dengan yang digunakan pada City, tetapi di bahagian kiri terdapat satu butang skrol yang masih tidak diketahui fungsinya.

    Jadi, apa pendapat anda dengan rekaan papan pemuka dan stereng Civic baru ini? Adakah bagus ia dijadikan lebih kemas seperti ini atau terlalu ringkas? Sama-sama kita tunggu rupa sebenarnya apabila ia muncul secara rasmi, yang dikatakan mungkin berlaku hujung tahun ini.

     
     
  • Audi R8 Green Hell diperkenalkan – terhad 50 unit saja

    Audi R8 Green Hell diperkenalkan – terhad 50 unit saja

    Audi telah pun memperkenalkan model edisi khas R8 Green Hell, yang diproduksikan sebanyak 50 unit sahaja untuk pasaran global. Dengan namanya ‘Green Hell’, kemasan luaran diberikan warna Tioman Green gelap secara standard (diadaptasikan dari jentera lumba R8 LMS). Walau bagaimana pun, pelanggan boleh memilih rona lain termasuk Ibis White, Daytona Grey, atau Mythos Black.

    Panel badan termasuk tiang-A, bumbung dan sudut hujung bahagian belakang dibaluti lapisan matte black, dan setiap satu bagi kesemua 50 unit yang dikeluarkan itu memiliki nombor yang tersendiri. Manakala logo “Green Hell R8” diletakkan di sisi blade dan cermin hadapan. Selain itu, ia juga menampilkan lip hadapan, ambang sisi, diffuser, perumah cermin sisi dan wing belakang dengan rona matte black. Malahan ia juga dipadankan dengan roda matte black jejari-5 berkembar 20 ini dengan serlahan merah.

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan balutan Alcantara – termasuklah panel tengah bagi tempat duduk bucket dan juga hud pada paparan instrumen, perehat tangan di bahagian panel pintu, pad lutut dan perehat tangan sentral. Selain itu, terdapat 12 o’ clock marker berwarna merah pada roda stereng. Sebagai kontras, ia turut diberikan tona biru-hijau “Kailash fern”. Manakala alas lantai juga ditampilkan dengan logo “Green Hell R8”.

    Di bawah ruang belakang yang ditutupi kaca, ‘jantung’ R8 ini dikuasakan oleh unit 5.2 liter naturally-aspirated V10, yang mampu menghamburkan sejumlah 620 PS dan tork 580 Nm, Angka ini tidak berubah seperti mana varian quattro V10. Ia juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac S tronic tujuh-kelajuan dan quattro AWD, membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksima mencecah 331 km/h.

    Produksi bagi R8 Green Hell ini akan dijalankan di fasiliti pengeluaran “Böllinger Höfe” berhampiran kilang Audi Neckarsulm. Dan dimaklumkan, harga bagi pasaran Jerman bermula dari €233,949 (RM1.14 juta).

    GALERI: Audi R8 Green Hell 2021

     
     
  • Proton X50 — kenapa tak ada paddle shifter dan hanya empat beg udara diberikan untuk varian Standard?

    Proton X50 — kenapa tak ada <em>paddle shifter</em> dan hanya empat beg udara diberikan untuk varian Standard?

    Melihat kepada spesifikasi Proton X50, ada beberapa perkara yang boleh diperhatikan. Pertama, hanya tiga varian – Executive, Premium dan Flagship – dilengkapi dengan enam beg udara, sementara varian Standard hanya datang dengan empat beg udara sahaja.

    Hal ini menarik untuk dipertanyakan, memandangkan Proton sejak dulu selalu membawakan mesej keselamatan melalui penawaran model-modelnya. Agak tak kena untuk Proton hanya menawarkan empat beg udara untuk varian keretanya di tahun 2020 ini, sedanglah varian selebihnya semua ada enam.

    Kedua, tak ada varian yang dilengkapi dengan ciri paddle shifter. Ini juga agak menghairankan, kerana aspek prestasi dan dinamik pemanduan SUV ini ditonjolkan sebagai antara kelebihan utamanya. Tambah menguatkan kesangsian ini, model asal yang menjadi asas X50, iaitu Geely Binyue dan Coolray ada dilengkapi dengan ciri berkenaan. Jadi, kenapa X50 tak ada?

    Proton X50 — kenapa tak ada <em>paddle shifter</em> dan hanya empat beg udara diberikan untuk varian Standard?

    Berkaitan ini, Proton menjelaskan, Binyue dan Coolray versi sport memang datang dengan paddle shifter, sebaliknya X50 tidak mengikut spesifikasi berkenaan. Ini juga dapat dilihat dengan ketiadaan wing pada bumbung dan logo S di tempat duduk depan yang ada versi asal berkenaan. Disebabkan itu, X50 tiada paddle shifter. Dan, jika ingin ditambah, ia memerlukan kerja-kerja pembangunan dan programming yang perlu dilakukan – juga peningkatan kos.

    Berkaitan empat beg udara bagi varian Standard itu pula, Pengarah Kejuruteraan Kumpulan Proton, Hazrin Fazail Haroon menyatakan; “sebab kenapa kami hadir dengan spesifikasi begini ialah untuk mengimbangi kos dan juga penawaran yang ingin diberikan kepada pelanggan, supaya dapat memperluaskan lagi capaian golongan yang mampu membeli kereta ini. Bukan kerana kami tak mampu melakukannya, sebaliknya ia lebih kepada keputusan perniagaan melalui penetapan spesifikasi seperti yang ada ini.”

    Jadi, jawapan kepada perbezaan tersebut adalah berkaitan kos. Walaupun tak ada paddle shifter dan hanya empat beg udara untun varian paling bawah, X50 sejak awal ingin diposisikan sebagai sebuah kenderaan yang mampu dimiliki oleh lebih ramai orang. Maka bagi Proton, penawaran spesifikasinya adalah cara untuk mengimbangi kos dan kelengkapan yang diberikan.

     
     
  • PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

    PANDU UJI: Salam perkenalan, Proton X50!

    Lain macam penangan ‘hype’ dari Proton X50 ni. Memang setiap kali Proton melancarkan model baharu, ia akan menjadi bualan hangat rakyat Malaysia, namun ada sesetengah model tahap ‘kehangatan’ tersebut menjadi sangat tinggi. Pada saya, suasana bagaimana hangatnya kemunculan X50 ini adalah lebih kurang sama ketika Proton Wira dilancarkan pada tahun 1993, di mana pelancarannya yang dibuat secara langsung di kaca TV ditonton oleh rakyat Malaysia seakan ada perlawanan bola sepak Malaysia menentang Singapura.

    Ketika X50 didedahkan pada pihak media pertengahan bulan lalu, saya tidak berpeluang untuk menghadirinya kerana prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 menyebabkan Proton terpaksa mengehadkan jumlah tetamu yang datang.

    Jadi untuk preview sekali lagi di Litar Antarabangsa Sepang semalam agak mengujakan saya – bukan setakat boleh tengok, malah kami turut berpeluang untuk menjadi antara orang pertama di dunia yang memandu Proton X50. Walau bagaimanapun, sesi kali ini hanya boleh disifatkan sebagai ‘salam perkenalan’ dan tidak menyeluruh, kerana pemanduan yang dapat kami buat adalah dalam tempoh yang sangat terhad.

    Namun seperti juga sesi preview sebelum ini, hanya varian Flagship yang dibawa untuk dipamerkan dan di uji. Buat yang belum mengetahui, berbanding tiga varian lebih rendah (Standard, Executive dan Premium), versi Flagship ini dijana oleh enjin lebih berkuasa dengan sistem suntikan terus, serta diberikan sistem bantuan pemanduan penuh (ADAS).

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025