Sebanyak 385 lampu jalan berkuasa solar sedang dipasang di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) dengan kos sebanyak RM3.32 juta, dan projek ini dijangka siap pada bulan September, laporan New Straits Times.
Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Zamri Abu Kasim, sembilan kontraktor telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan yang bermula pada 23 Jun. Sehingga 23 Julai, kemajuan kerja berada pada tahap antara 25 hingga 50 peratus, katanya. Selain pemasangan lampu jalan berkuasa solar, kontraktor juga sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Bulan lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bahawa peruntukan sebanyak RM55 juta akan digunakan untuk menaik taraf Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) tahun ini. Beberapa bahagian utama telah dikenal pasti untuk kerja-kerja naik taraf, termasuk lokasi kemalangan bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Awal bulan ini pula, beliau turut berkata bahawa daripada jumlah RM55 juta tersebut, RM35 juta telah diluluskan bagi kerja-kerja penurapan semula jalan di lokasi kritikal, manakala RM14.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja bukan turapan seperti penggantian penghadang jalan, pemasangan papan tanda amaran di selekoh berbahaya, pembinaan longkang dan kerja mengecat semula penghadang jambatan.
Selain penambahbaikan lampu jalan, RM4 juta turut diperuntukkan bagi penilaian keadaan turapan yang akan dijalankan di sepanjang keseluruhan jajaran FT4 di Perak, katanya sebelum ini.
Tinjauan di sepanjang JRTB menghubungkan Gerik di Perak menghala ke Batu Lintang di Kelantan jelas menunjukkan keadaan bertambah baik dengan lampu solar mula dipasang di lokasi terpilih termasuk di kawasan tragedi besar yang berlaku sebelum ini.
BMW membuat pengumuman bahawa ia kini memperbaharui rekod wagon paling laju di litar Nürburgring Nordschleife menerusi BMW M3 CS Touring, iaitu M3 versi wagon dengan prestasi lebih hardcore, kuasa lebih besar serta badan lebih ringan yang diperkenalkan Januari lalu.
Wagon berkenaan mencatatkan masa 7 minit 29.49 saat di litar sepanjang 20.832 km dan menampilkan lebih 70 selekoh berkenaan, memadam rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh M3 Touring biasa pada 2022 dengan catatan masa 7 minit 35.060 saat.
Menurut BMW, rekod ini sebenarnya telah dicatatkan pada April lalu, dan ia bukan dibuat oleh pelumba profesional, tetapi hanya dipandu oleh jurutera pembangunannya iaitu Jörg Weidinger.
BMW M3 CS Touring ini masih dijana enjin S58 3.0 liter enam silinder turbo berkembar, tetapi ia kini menerima talaan 550 PS pada takat 6,250 rpm dan juga tork 650 Nm pada takat 2,750 hingga 5,950 rpm, berbanding 530 PS pada M3 Touring facelift diperkenalkan pada Mei tahun lalu.
Enjin tersebut turut dipadankan dengan sistem ekzos M baharu yang menampilkan flap yang dikawal oleh sistem elektronik, peredam bunyi belakang titanium dan juga sepasang tip ekzos berkembar dalam kemasan hitam matte. Kuasa dari enjin dialirkan menerusi transmisi lapan kelajuan automatik M Steptronic (dengan Drivelogic), kemudian diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda M xDrive.
Namun pemandu masih boleh menjadikan wagon ini seakan jentera pacuan belakang sebenar dengan membuat larasan agar semua tork hanya memacu roda belakang, manakala unit LSD Active M Differential juga diberikan standard pada gandar belakang. Gandingan unit rangkaian kuasa tersebut membolehkan M3 CS Touring ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 300 km/j.
Dengan kuasa dan kelajuan lebih tinggi, casis M3 Touring CS ini juga menerima sentuhan unik. Pertama sekali cagak-cagak enjin pada model ini telah direka semula, diserasikan dengan spring suspensi yang lebih keras bagi menghasilkan hubungan yang sangat tegar antara unit rangkaian kuasa dan struktur badan wagon ini.
Wagon liar ini juga menerima kelengkapan aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon diperkuat plastik (CFRP) yang bukan sahaja berfungsi untuk memberikan aerodinamik lebih baik, malah lebih ringan dan kuat. Kit tersebut terdiri dari splitter hadapan, pengambil udara hadapan dan juga diffuser belakang. Malah bonet depan dan juga penutup cermin sisi juga diperbuat dari bahan CFRP.
Pengurangan berat juga dibuat pada kabin wagon ini dimana ia diberikan tempat duduk hadapan bucket M Carbon, serta komponen-komponen CFRP termasuk pedal penukar gear, perapi-perapi dalaman dan konsol tengah. Menurut BMW, M3 CS Touring ini adalah 15 kg lebih ringan berbanding M3 Competition Touring M xDrive.
“Sejak dari mula, memang sudah jelas bahawa BMW M3 CS Touring akan menetapkan standard baharu dalam dinamik. Dengan masa di bawah 7:30 minit, model ini dengan hebat mendemonstrasikan bahawa konsep kenderaan ini secara sempurna menggabungkan DNA perlumbaan dengan kebolehan kegunaan setiap hari,” kata CEO BMW M, Franciscus van Meel.
GWM Haval H6 HEV memasuki pasaran Malaysia pada Oktober tahun lalu. Ia hanya ditawarkan satu varian iaitu HEV Ultra dengan enjin hibrid petrol elektrik, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800.
Terkini, Great Wall Motor (GWM) Malaysia memperkenalkan GWM Haval H6 HEV dengan versi warna kabin Phantom Black pula. Dikekalkan dengan harga yang sama, namun ia menerima waranti bateri HEV yang dipertingkatkan iaitu dari lapan-tahun, kini menjadi 10-tahun atau 1,000,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu. Manakala waranti kenderaan pula masih kekal iaitu tujuh-tahun atau 200,000 km, begitu juga dengan waranti khas untuk enjin dan sistem hibrid elektrik masing-masing 10-tahun atau 1,000,000 (yang mana sampai dahulu).
Seperti namanya, keseluruhan warna kabin kini telah diolah semula kepada warna hitam menawan, dengan upholsteri serta elemen pada panel pintu, papan pemuka dan konsol tengah kini diserlahkan dalam rona tersebut. Selaras dengan perubahan ini, jalur serlahan pada papan pemuka, stereng dan panel pintu kini menggunakan kemasan perak, berbanding kemasan rose gold pada varian dalaman dwi-tona. Warna gloss piano black yang memberikan kontras kekal tidak berubah dalam skema ini.
Rekaan dalaman Phantom Black ini tidak terikat kepada mana-mana warna luaran tertentu, jadi pembeli boleh memilihnya bersama mana-mana daripada lima pilihan warna luaran (Sun Black, Energy Green, Hamilton White, Ayers Silver dan Crayon Grey) yang ditawarkan untuk H6.
Ciri kelengkapan untuk kabin yang masih dikekalkan termasuklah dua paparan skrin yang merangkumi panel instrumen digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 12.3-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu, ia turut dilengkapi tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, pengecas tanpa wayar Qi, kamera 360-darjah, penapis udara ion negatif, pencahayaan ambien, paparan head-up, sistem pendingin hawa dua-zon dan corong udara belakang.
Lain-lain termasuk cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin, sistem audio dengan lapan pembesar suara, tailgate automatik dengan sensor kaki, tempat duduk depan berkuasa dengan pengudaraan (enam arah pemandu, empat arah penumpang), serta “Boss Switch” untuk kawalan ruang kaki penumpang hadapan.
Reka bentuk luarannya menampilkan gril Star Matrix, lampu hadapan dan belakang dengan unit LED penuh, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang LED, rim aloi 19-inci kemasan hitam berkilat dibaluti tayar Hankook Ventus S1 Evo3 SUV 225/55, dan bumbung suria panoramik.
Bagi enjinnya, ia masih mengekalkan unit GW4B15D 1.5 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 150 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama motor elektrik 177 PS (130 kw) dan 300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua-kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan tork 530 Nm. SUV ini boleh dipecut dalam 0–100 km/j dalam anggaran 7.7 saat. Penggunaan bahan apinya pula sekitar 5.2l/100 km dan bagi tangki penuh berkapasiti 61 liter, ia didakwa mampu memberikan jarak melebihi 1,000 km.
Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera padangan sekeliling 360-darjah dengan ciri transparent chassis, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.
Proton hari ini mengumumkan bahawa fungsi arahan suara (VR) dalam X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan kini sudahpun boleh berfungsi dengan menggunakan Bahasa Melayu (BM). Proton mendakwa bahawa ini merupakan fungsi arahan suara pertama di dunia yang boleh beroperasi dengan BM, dan ia tiba selepas tujuh-tahun sistem “Hi Proton” digunakan dalam pasaran.
Fungsi arahan suara BM ini dibangunkan oleh Proton bersama syarikat usahasamanya iaitu ACO Tech bermula Oktober 2024 hingga Mei 2025, melibatkan pengumpulan 4,000 variasi arahan dalam BM, dan dalam masa yang sama 4,000 variasi arahan dalam Bahasa Inggeris juga turut dikumpulkan.
Bagi memastikan ketepatan pelbagai frasa yang digunakan dalam sistem arahan suara tersebut, lebih 200 sampel Bahasa Malaysia standard, dibahagikan antara penutur lelaki dan wanita, juga telah direkodkan dengan teliti termasuk variasi bahasa semula jadi seperti “buka tingkap” dan “bukakan tingkap.” Selepas lengkap semua kerja, pasukan pembangunan mengambil keputusan untuk menamakan sistem arahan suara berbahasa Melayu ini sebagai ‘Aisyah’.
Proton mula menggunakan sistem arahan suara “Hi Proton” ini sejak 2018, menerusi sistem infotainmen berasaskan Geely Smart Ecosystem (GKUI) yang diperkenalkan pada Proton X70. Kemudian pada 2022, sistem infotainmen pada Proton X50 menerima OS dari Atlas yang menampilkan servis-servis terhubung serta sistem arahan suara yang dioptimumkan untuk Bahasa Inggeris di Malaysia.
Proton turut menyatakan berdasarkan data yang dikutip sehingga Jun 2025, perkataan “Hello” merupakan perkataan yang paling kerap diucapkan dengan 43,896 arahan direkodkan. Ini diikuti oleh pertanyaan yang bermula dengan perkataan “What” – seperti “What is the weather like today” – dan “Call” dengan masing-masing 40,779 dan 24,647 arahan. Jumlah transaksi pada bulan Jun mencapai 2.8 juta dengan 228,046 pengguna aktif.
Penambahbaikkan untuk sistem arahan suara ini akan sentiasa dibuat dan pengguna akan menerima versi lebih baik menerusi kemas kini Over-The-Air (OTA). Sistem awan VR ini akan mengemas kini dan mengembangkan perbendaharaan katanya secara automatik untuk memahami lebih banyak arahan dengan bijak seperti “Saya nak lihat langit” untuk membuka bumbung suria, sekaligus menawarkan pengalaman yang sentiasa berkembang dan lebih pintar kepada pemandu,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“Walaupun pada masa ini dioptimumkan untuk suara wanita, pasukan Proton sedang membangunkan pengecaman suara lelaki dan meneroka integrasi bahasa dan dialek lain untuk iterasi akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.
Menerusi pengumuman Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan rancangan untuk menaiktaraf beberapa lebuhraya dan jalan raya di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada rancangan dan bajet kerajaan untuk lima tahun akan datang sehingga tahun 2030.
Kerja-kerja naiktaraf akan dilaksanakan di beberapa lebuh raya, termasuk Lebuhraya PLUS bagi laluan Senai Utara – Machap di Johor, dan laluan Juru – Sungai Dua di Pulau Pinang, serta pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Pahang dan Kelantan. Selain itu, kerja-kerja naiktaraf ini juga melibatkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Lebuhraya Trans Borneo Sarawak.
Jalan di kawasan luar bandar juga akan diberi perhatian, dengan kerja-kerja menaiktaraf dan pembinaan sepanjang 2,800 km jalan luar bandar yang akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-13. Ini termasuk laluan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau di Kapit, Sarawak, laluan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di Bagan Datuk, Perak, serta di Pos Sinderut di Lipis, Pahang.
Sementara itu, RMK13 turut merangkumi inisiatif peralihan daripada jalan raya ke rel yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan rel bagi pengangkutan kargo daripada 6% kepada 13%, di samping mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan pengangkutan barangan.
Nissan telah melancarkan rancangan penstrukturan semula yang dikenali sebagai Re:Nissan pada Mei lalu, iaitu rancangan bukan sahaja bagi membolehkan jenama automotif Jepun berkenaan keluar dari kemelut kewangan yang dihadapi, malah disasarkan untuk untung semula bersama aliran tunai bebas positif pada Tahun Kewangan 2026. Jadi selain dari menawarkan barisan produk yang tepat dalam pasaran, Nissan juga perlu mengecilkan jumlah kapasiti pemgeluaran globalnya, serta mengurangkan jumlah fasiliti produksinya di seluruh dunia.
Baru-baru ini syarikat tersebut telah pun mengumumkan prestasi kewangannya untuk tiga bulan yang berakhir pada 30 Jun 2025, iaitu suku pertama Tahun Kewangan 2025 (TK2025) yang bermula dari 1 April 2025. Angka-angka yang ditunjuk masih lagi belum mencatatkan keuntungan, namun menurut Nissan ia adalah lebih baik dari yang diramalkan dalam perkembangan indikatif rancangan Re:Nissan tersebut.
Laporan itu menunjukkan bahawa Nissan telah memperolehi pendapatan sebanyak 2.7 trilion yen dalam suku pertama TK25, atau 10% kurang berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelum ini (suku pertama TK204). Dalam masa yang sama Nissan juga mencatatkan kerugian sebanyak 79.1 bilion yen yang menyumbang kepada kerugian bersih sebanyak 115.8 bilion yen.
Menurut Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan, ia akan mengekalkan sasaran pendapatan bersih TK25 pada 12.5 trilion yen, namun ia tidak mendedahkan jangkaan keuntungan operasi, pendapatan bersih dan aliran tunai bebas automotif “memandangkan kesukaran dalam meramalkan persekitaran perniagaan di sekeliling syarikat pada masa ini.”
Untuk suku kedua TK2025 yang berakhir pada 30 September 2025, unjuran dijangka menjadi hasil bersih disatukan sebanyak 2.8 trilion yen, dengan kerugian operasi yang lebih tinggi sebanyak 100 bilion yen dan aliran tunai bebas automotif negatif sebanyak 350 bilion yen.
“Keputusan ini menjadi peringatan tentang keperluan di sebalik pelan pemulihan Re:Nissan kami. Sepanjang suku yang lalu, kami telah mengambil langkah pertama yang tegas untuk mengurangkan kos, mentakrifkan semula produk dan strategi pasaran kami serta mengukuhkan perkongsian utama. Kini kami mesti melangkah lebih jauh dan lebih pantas untuk mencapai keuntungan. Semua orang di Nissan bersatu dalam memberikan pemulihan yang akan memastikan masa depan Nissan yang mampan dan menguntungkan,” kata presiden dan CEO Nissan, Ivan Espinosa.
Dari segi jualan kenderaan global, Nissan telah menjual sejumlah 1,613,797 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu 5.7% kurang daripada 1,711,705 unit yang direkodkan untuk tempoh yang sama pada 2024.
Jumlah eksport dari Jepun juga turun 17.8% daripada 193,169 unit dari Januari hingga Jun tahun lepas kepada 158,859 unit pada 2025. Bagi pengeluaran kenderaan global pula, 1,439,040 unit telah diproduksi dari Januari hingga Jun 2025, iaitu 10.8% kurang daripada 1,614,112 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, iaitu satu pelan pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang sehingga tahun 2030.
Antara tumpuan dalam pelan ini ialah pembangunan dan peningkatan infrastruktur di kawasan sempadan darat negara. Antara projek utama yang akan diteruskan termasuk pembinaan jambatan Rantau Panjang-Sungai Kolok (sempadan Malaysia-Thailand), rangkaian jalan Sabah/Sarawak-Kalimantan (sempadan Malaysia-Indonesia), projek Rapid Transit System (RTS) Link (Malaysia-Singapura) serta pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (Malaysia-Thailand).
Turut diumumkan ialah kerja naik taraf beberapa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) utama seperti di Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang, serta kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, pada Mei lalu dilaporkan bahawa projek naik taraf Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam bernilai RM141.57 juta bermula dengan merangkumi pembinaan laluan berkembar enam lorong sepanjang 900 meter, jalan perkhidmatan 300 meter ke ibu pejabat taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam, bangunan pos kawalan terakhir serta pintu masuk berbumbung. Projek ini juga melibatkan perobohan struktur lama dan pembinaan fasiliti baru untuk Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam.
Honda hari ini mengumumkan bahawa model produksi sebenar bagi Prelude generasi ke-enam bakal membuat kemunculan sulung globalnya pada bulan September ini. Sebelum pelancaran tersebut dibuat, Honda telahpun memperkenalkan satu laman sesawang teaser khas, yang memberikan pelbagai informasi untuk coupe dua-pintu tersebut.
Versi produksi Prelude generasi baharu ini akan menampilkan rupa yang hampir sama sepenuhnya seperti versi konsep yang telah pun membuat kemunculan sulung pada Japan Mobility Show 2023, dan kemudian di bawa ke pelbagai acara di seluruh dunia termasuk Goodwood Festival of Speed. Versi konsep ini juga pernah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024 Disember lalu, dan juga di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 bulan ini yang membayangkan bahawa ia turut akan dijual pada pasaran ASEAN kelak.
Walaupun belum diberitahu oleh Honda secara rasmi, berdasarkan rupa Prelude ini terutamanya pada bahagian ‘kepala’, dapat diagak bahawa ia masih berkongsi platfrom yang sama dengan Civic. Namun khas untuk Prelude, ia menerima badan coupe dua-pintu yang cukup sporty. Manakala pada bahagian muka, ia direka dengan bentuk muncung yang tirus, diberikan lampu hadapan nipis dengan ‘kening’ jalur LED di atas.
Prelude turut diberikan bampar hadapan dengan spoiler bawah yang menyerlah, pembuka pintu tersorok, lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup, spoiler but ‘ekor itik’, diffuser yang agresif serta set rim aloi berwarna hitam dengan tayar berprofil rendah dengan sistem brek Brembo kelihatan di sebaliknya.
Walau bagaimanapun Prelude bukanlah model yang dihasilkan dengan pretasi hardcore untuk litar seperti Civic Type R atau Acura Integra Type S yang menggunakan platform yang sama. Sebaliknya Prelude adalah sports coupe dengan unit rangkaian kuasa hibrid yang seronok dipandu, seakan menggantikan tempat yang telah ditinggalkan oleh Honda CR-Z satu ketika dulu.
Jadi Prelude ini dipadankan dengan unit rangkaian kuasa hibrid terkini Honda iaitu e:HEV yang dipertingkat, dalam versi enjin 2.0L kitaran Atkinson. Menerusi sistem ini, enjin petrol yang diberikan kebanyakkan masanya adalah untuk mengecas bateri sistem hibrid, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik utama yang dibekalkan. Namun berbeza dengan sistem hibrid range extender jenama lain, sistem e:HEV Honda ini turut akan membenarkan enjin bersama-sama motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up dalam transmisi e-CVT yang dibekalkan.
Antara peningkatan yang diberikan pada sistem baharu ini berbanding sistem e:HEV 2.0L sedia ada yang ditawarkan pada Civic dan CR-V adalah pemadanan enjin suntikan terus yang baru dibangunkan, di mana ia dapat mengekalkan nisbah udara dan bahan api sempurna 14.7:1 hampir dalam kebanyakkan masa tanpa kehilangan kuasa.
Enjin tersebut turut akan menerima sistem penyejuk bina dalam dan juga unit motor elektrik utama yang lebih kecil, lebih efisien dan lebih murah untuk diproduksi. Honda turut menala semula corak penghantaran tork enjin ke roda pada kelajuan tinggi dengan menambah bantuan elektrik dalam mod direct drive bagi memberikan jarak gerak lebih jauh, serta mengoptimakan penghasilan kuasa elektrik dari bahan api petrol. Kesemua ini didakwa dapat mengurangkan 10% penggunaan bahan api berbanding versi sedia ada.
Bagi memberikan pemanduan yang lebih seronak, Prelude akan diberikan butang mod S+. Namun tidak seperti butang pada CR-Z dahulu, butang pada Prelude ini dikenali sebagai S+ Shift Mode, yang akan memberikan tukaran gear maya seperti kotak gear sebenar dan pemandu turut boleh menggunakan pedal penukar gear. Menurut Honda huruf ‘S’ berkenaan turut merujuk kepada model-model sports keluarannya seperti S500 dan S2000.
Pada sistem sedia ada, unit rangkaian kuasa e:HEV ini sudahpun diberikan Linear Shift Control yang memberikan putaran enjin yang selari dengan kadar tekanan pedal pendikit oleh pemandu bersama ‘rasa’ tukaran gear palsu walaupun sebenarnya roda sedang dipacu sepenuhnya motor elektrik.
Dengan butang S+ Shift mod ini bukan sahaja membolehkan pemandu ‘menukar’ gear palsu berkenaan dengan pedal penukar gear, malah ia turut akan memberikan rasa ‘gear hold’ palsu ketika mengambil selekoh. Menerusi video Prelude dipandu oleh pemandu F1 Yuki Tsunoda yang disiarkan dalam laman web teaser berkenaan, Honda turut mendedahkan bunyi enjin dan juga tukaran gear palsu dan jelas ia memberikan ‘irama’ yang agak sporty.
Angka kuasa bagi unit rangkaian kuasa Prelude ini masih belum diumumkan. Namun pada Civic, unit rangkaian kuasa e:HEV ini menggandingan enjin 2.0 liter berkuasa 141 PS dan tork maksima 182 Nm, bersama dua buah motor elektrik memacu roda hadapan menerusi transmisi e-CVT, dan secara keseluruhan kuasa maksima yang dibekalkan adalah 184 PS dan 315 Nm.
Honda turut mengesahkan bahawa Prelude turut akan menerima sistem suspensi hadapan dengan sistem stereng dua paksi yang sama seperti Civic Type R, memberikan pengendalian yang lebih jitu serta menghapuskan torque steer ketika memecut.
Dalam laman sesawang khas yang telah dibuka secara atas talian itu juga mendedahkan bahawa Prelude akan ditawarkan dalam warna badan Moonlit White Pearl, Meteorite Grey metallic, Crystal Black Pearl dan Flame Red. Selain itu Prelude turut disertakan dengan pilihan tema warna dalaman iaitu gandingan biru dan putih, manakala untuk unit dengan warna badan Moonlit White Pearl, ia juga ditawarkan dengan upholsteri hitam dan biru.
Meskipun rakyat Malaysia masih menantikan ketibaan Citroen Basalt (diumumkan sejak setahun lalu), SUV bergaya coupe ini telah pun dilancarkan secara rasmi di Indonesia semasa acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung.
Di sana, Citroen Basalt ditawarkan pada harga 359.9 juta rupiah (sekitar RM93,000) bagi varian dengan kemasan satu tona warna. Bagi mereka yang mahukan gaya dua tona, harga meningkat kepada 364.9 juta rupiah (sekitar RM94,000). Terdapat juga varian istimewa Dark Edition yang hadir dengan warna luaran Perla Nera Black serta perincian hitam, ditawarkan pada harga 370.9 juta rupiah (kira-kira RM96,000).
Basalt merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari India dan dipacu oleh enjin petrol tiga silinder 1.2 liter PureTech turbo. Enjin ini menghasilkan 110 PS (109 hp atau 81 kW) dan tork 205 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan memacu roda hadapan.
Dari segi saiz, SUV kompak ini mencatat ukuran panjang 4,352 mm, lebar 1,765 mm, tinggi 1,593 mm dan jarak roda 2,651 mm. Dimensinya hampir setara dengan model seperti Hyundai Creta dan Kia Seltos yang turut dijual di Indonesia.
Walaupun spesifikasi penuh masih belum disiarkan di laman rasmi Citroen Indonesia ketika ini, laporan media tempatan menyatakan bahawa Basalt akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem kawalan kestabilan (ESP), bantuan mula mendaki, ABS, EBD, sistem pemerhati tekanan angin tayar, skrin infotainmen 10.1 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, panel instrumen digital tujuh inci, penyaman udara automatik dengan corong belakang serta pad pengecas tanpa wayar.
Baru saja dilancarkan pada 9 Julai lalu, kini pemasangan tempatan (CKD) bagi model Chery Tiggo Cross telah dimulakan, dan unit pertama bagi SUV kompak itu sudah dikeluarkan dari kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah.
Pengeluaran CKD itu melibatkan kedua-dua varian Tiggo Cross yang ditawarkan dalam pasaran di sini, iaitu 1.5 Turbo yang dijual dengan harga RM88,800, dan juga 1.5 Hybrid CSH yang dijual dengan harga RM99,800 — kedua-duanya harga atas jalan, belum termasuk insurans.
“Tiggo Cross merupakan SUV paling kecil dan paling mampu milik yang kami keluarkan, dan kami berbangga membuat pemasangan tempatan di Malaysia, dengan memanfaatkan kemampuan tempatan serta kerjasama strategik bagi memastikan kami memberikan kualiti global untuk memenuhi keperluan pelanggan di sini,” jelas Timbalan Presiden Chery Malaysia, Michael Chew.
“Melakukan pemasangan model Chery di sini mencerminkan kesungguhan kami terhadap pasaran tempatan, dan dalam masa yang sama mempertingkat kapasiti kami untuk memberi penawaran yang lebih kompetitif. Ia juga mencerminkan strategi lokalisasi serta visi jangka panjang untuk pertumbuhan yang mapan di dalam landskap automotif di Malaysia,” tambahanya.
Bagi Tiggo Cross petrol, ia menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.
Bagi Tiggo Cross HEV versi hibrid pula, ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terbaru. Ia menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat-silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 96 PS dan tork makisma 120 Nm.
Ia juga menampilkan sebuah kotak gear khas hibrid DHT150 dengan CVT serta dua buah motor elektrik yang
membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Kuasa elektrik untuk sistem hibrid dibekalkan dari bateri LFP berkapasiti 1.8 kWj.
Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km. Sistem hibrid ini berfungsi memberikan rasa pemanduan hampir seperti EV sebenar — ia akan mula bergerak dengan menggunakan motor elektrik dan boleh mencapai sehingga 80 km/j sebelum enjin pembakaran dalaman digerakkan.
Kedua-dua varian Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam warna badan Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Manakala warna Blood Stone Red hanya eksklusif untuk varian 1.5L Turbo, dan warna Moonlight Silver hanya ditawarkan untuk varian 1.5L HEV.
Untuk perincian lanjut tentang model ini, baca laporan pelancarannya di sini.
Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai dan dijangka akan memulakan operasi pada 30 September ini. Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tersebut pada Februari lalu, namun menyebut peratusan terkini dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan daripada Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN – Permatang Pauh), yang meminta kementerian untuk menjelaskan punca kelewatan dan peningkatan kos projek, menurut laporan The Star.
Beliau menjelaskan bahawa projek ini mengalami kelewatan terutamanya disebabkan oleh pandemik Covid-19, yang mengganggu kerja-kerja pembinaan antara Mac 2020 hingga Oktober 2021, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan rantaian bekalan dan menyebabkan kekurangan bahan binaan, khususnya besi dan simen. Ia juga menyebabkan kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir, apabila permit kemasukan pekerja asing hanya disambung semula pada November 2023.
Mengenai kos pula, Loke berkata hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.
Pada asalnya, projek ini direka dengan 26 stesen untuk perkhidmatan di koridor barat Lembah Klang Raya, dan dilancarkan pada tahun 2016 dengan bajet RM9 bilion. Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan menangguhkan pembinaan lima stesen dan membatalkan satu, menjadikan jumlah kos berkurangan kepada RM16.63 bilion.
Namun begitu, melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa lima stesen tersebut – Tropicana (sebelum ini dikenali sebagai Lien Hoe), Temasya, Raja Muda (Sirim), Bukit Raja dan Bandar Botanik – akan diteruskan semula dengan kos RM5.3 bilion.
Kos tersebut turut merangkumi tujuh set tren tiga-gerabak, depot tren yang diperluas di Johan Setia, 150 bas ulang-alik elektrik dan pembinaan tiga depot bas.
Pada 25 Julai lalu, dimaklumkan bahawa LRT3 Laluan Shah Alam kini sedang menjalani ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang laluan dari Stesen Bandar Utama ke Depot Johan Setia. Pada Februari lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata LRT3 Laluan Shah Alam ini dijadualkan bakal beroperasi mulai 30 September 2025.
Gara-gara menghalang laluan jentera pasukan bomba dan penyelamat ketika dalam perjalanan ke satu destinasi dengan memasang siren kecemasan, seorang pemandu lori dikenakan tindakan saman oleh polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, susulan penularan video yang tular di laman TikTok, pihaknya mengambil tindakan segera terhadap pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan tidak menyedari kehadiran jentera bomba tersebut disebabkan oleh bunyi enjin lori yang kuat dan keadaan tingkap tertutup sepenuhnya sehingga dia tidak dapat mendengar siren jentera bomba terbabit.
“Sehubungan itu, saman telah dikeluarkan ke atas pemandu lori terbabit mengikut Seksyen 9(2) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana gagal memberi laluan kepada kenderaan bomba yang sedang menjalankan tugas kecemasan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, pihaknya ingin menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan seperti ambulans, polis, dan bomba apabila siren atau lampu amaran digunakan.
“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja kesalahan undang-undang malah boleh menjejaskan kelancaran operasi penyelamatan dan mengancam nyawa,” katanya.
KTM Berhad telah mengumumkan tambahan dua perkhidmatan tren ETS untuk musim cuti akan datang, iaitu termasuk cuti umum (Hari Merdeka, Mulidur Rasul dan Hari Malaysia, ditambah pula ‘cuti bonus’ pada 15 September seperti yang diumumkan oleh PMX baru-baru ini) dan juga cuti persekolahan.
Perkhidmatan tambahan ini melibatkan laluan KL Sentral-Padang Besar dan ia beroperasi untuk 18 hari antara 28 Ogos hingga 21 September. Ia juga menyediakan 630 tempat duduk tambahan setiap hari, termasuk tempat duduk kelas perniagaan. KTMB berkata, sejumlah 11,340 tempat duduk disediakan bagi perkhidmatan tambahan dalam tempoh yang dinyatakan ini. Jualan tiket juga mula dibuka hari ini.
Tren ETs tambahan ini akan bertolak dari Padang Besar pada jam 11.05 pagi dan sampai di KL Sentral jam 4.30 petang. Tren ini kemudian akan bergerak kembali ke utara dari KL Sentral jam 5 petang dan sampai di Padang Besar jam 10.20 malam.
KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang yang lebih murah berbanding pembelian saat akhir. Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KITS Style yang boleh dimuat turun dari Play Store, App Store atau Huawei AppGallery. KTMB juga sentiasa berpesan, pintu akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas, jadi pastikan anda tiba di stesen lebih awal.
Bagi pengguna Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), ini ada makluman buat anda. Sebanyak 31 laluan di kedua-dua lebuhraya berkenaan akan ditutup dan dilencongkan sempena acara IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025, Ahad ini, 3 Ogos, dari jam 1 pagi hingga 11 pagi.
Penganjuran acara itu membabitkan penggunaan penuh jajaran NPE dan BESRAYA bagi kategori 42.195 km, 21 km, 10 km dan 5 km. Semua kategori akan bermula dan berakhir di hadapan Sunway Pyramid. Peserta akan berlari ke arah Templer dan Kuchai Lama sebelum kembali ke Sunway. Walau bagaimana pun, hanya peserta dalam kategori marathon penuh (full marathon/FM) yang akan berlari di jajaran Lebuhraya NPE dan BESRAYA.
Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA):
Kuchai Lama (KM11.5 arah selatan)
Pusingan U ke Nirvana (KM11.5 arah utara)
Shell BESRAYA ke Sungai Besi (KM13.7 arah selatan)
Taman Salak Jaya ke Sungai Besi (KM14.4 arah selatan)
Salak Selatan ke Sungai Besi (KM14.8 arah selatan)
Pusingan U KM15.2 arah selatan ke Razak City
Pusingan U KM15.6 arah utara (Median)
Plaza Tol Loke Yew ke Salak Selatan (KM16.0 arah selatan)
Pusat Bandar ke Plaza Tol Loke Yew (KM50.4 arah selatan)
Jalan Istana ke Plaza Tol Loke Yew (KM52.0 arah timur)
Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Istana (KM52.0 arah timur)
Jalan Loke Yew ke Plaza Tol Loke Yew (KM19.4 arah barat)
Jalan Cheras ke Plaza Tol Loke Yew (KM19.4 arah barat)
Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Cheras (KM19.4 arah timur)
Plaza Tol Loke Yew ke Pandan Indah (KM P0.04)
Pandan Indah ke Plaza Tol Loke Yew (KM P0.04)
Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Pandan 1 (KM21.2)
Plaza Tol Loke Yew ke Maluri (KM21.2)
Pandan 1 ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.2)
Persiaran Pandan ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.2)
Plaza Tol Loke Yew ke MRR2 (KM21.8)
MRR2 ke Plaza Tol Loke Yew (KM21.8)
Lebuhraya Baru Pantai (NPE):
Susur Kampung Pasir (masuk ke NPE)
Susur Kampung Pasir (keluar dari NPE)
Susur dari NPE ke Pantai Sentral Park
Susur dari Pantai Sentral Park ke NPE
Lebuhraya NPE / susur Pantai Sentral / susur Pantai Dalam
Simpang Kuchai Maju / Lebuhraya NPE
Lebuhraya NPE / Susur Kuchai Lama / Sungai Besi (KM16.9)
Lebuhraya NPE / Susur Kuchai Lama
U-turn Kuchai
Flag-off bagu FM akan bermula jam 3 pagi. Manakala flag-off untuk half-marathon, 10 km dan 5 km akan bermula masing-masing jam 5 pagi, 5:30 pagi dan 6:50 pagi.
Kawasan sekitar Sunway dijangka bakal mengalami kesesakan pada hari tersebut, di mana para peserta akan meletakkan kenderaan masing-masing di situ. Jadi, jika anda menuju ke lokasi berkenaan pada awal pagi Ahad ini, sila rancang perjalanan anda sewajarnya. Sila patuhi arahan anggota polis dan para petugas untuk kelancaran acara.
Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Sarawak yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VPP bakal dibuka bidaan mulai 4 Ogos 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDD, akan dibuka bidaan bermula 7 Ogos 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya,12 Ogos 2025.
Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.
Isuzu Motors dan juga Volvo Group telah memeterai kerjasama strategik baharu untuk membangunkan trak bersama. Menerusi perjanjian itu, model-model baharu tersebut akan dihasilkan menggunakan platform modular bagi trak tugas berat sederhana yang dibangunkan khas untuk pasaran Jepun dan juga pasaran-pasaran Asia rekaan bersama oleh Isuzu dan UD Truck, serta menggunakan teknologi dari Volvo Group.
Perjanjian ini diwujudkan menerusi perjanjian rangka kerja kerjasama strategik yang telah dimeterai oleh kedua-dua syarikat pada Oktober 2020, dan ia adalah kerjasama jangka masa panjang yang akan berlangsung sekurang-kurangnya selama 20-tahun.
Perjanjian baharu ini turut meliputi peruntukan untuk pembekalan berterusan komponen utama, terutamanya rangkaian kuasa daripada Volvo Group. Ia juga memastikan sokongan teknikal berterusan dalam pembangunan dan jaminan kualiti. Perkongsian ini akan memberi tumpuan kepada memajukan pembangunan platform dan mengukuhkan sistem sokongan pelanggan untuk memastikan pengenalan pasaran yang stabil dan berjaya.
“Perjanjian baharu ini menandakan peristiwa penting dalam kerjasama antara Isuzu Motors dan Volvo Group bagi memberikan kepercayaan yng lebih mendalam. Dengan menggabungkan kekuatan teknologi dan kepakaran kami, kami membuka jalan untuk masa depan trak tugas berat sederhana di Jepun dan seluruh Asia. Dan ia akan meningkatkan lagi kestabilan dan kebolehpercayaan produk dan perkhidmatan kami untuk pelanggan,”kata Pengerusi dan CEO Isuzu, Masanori Katayama.
“Tetapan ini mewujudkan situasi menang-menang sebenar. Dengan memanfaatkan teknologi yang dikongsi, kedua-dua pihak boleh memacu kecekapan industri dan nilai jangka panjang untuk pelanggan. Ia mengukuhkan keupayaan kami untuk mengembangkan pendapatan sambil menyumbang lebih kepada penawaran yang lebih kompetitif di pasaran Asia,” kata Martin Lundstedt Presiden dan CEO Kumpulan Volvo.
Dengan menandatangani perjanjian ini, Isuzu Motors dan Volvo Group akan melengkapkan kekuatan masing-masing, memanfaatkan teknologi masing-masing, dan mewujudkan sinergi berskala lebih besar untuk mengukuhkan lagi pakatan strategik mereka dan menangani cabaran logistik masa depan, kata kenyataan yang dikeluarkan bersama kedua-dua syarikat.
Bagi minggu bertarikh 31 Julai hingga 6 Ogos 2025, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak empat sen kepada RM3.17 seliter, berbanding RM3.21 seliter pada minggu sebelum ini.
Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia turut dikekalkan pada paras RM2.91 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak juga masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.
Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.
Susulan penjelasan daripada InDrive semalam yang mana syarikat itu telah menerima pengesahan daripada Kemeterian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di Malaysia, sebuah lagi penyedia perhidmatan e-hailing, Maxim turut mengikut jejak yang sama.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah memberi kebenaran untuk mereka meneruskan operasi di negara ini, namun tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. Maxim mengalu-alukan keputusan itu, dengan jaminan bahawa pelanggan boleh mengakses perkhidmatan itu dengan selamat, sementara rakan pemandunya pula berpeluang untuk terus meraih pendapatan yang stabil.
“Kami bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk menyambung operasi di Malaysia di bawah pengawasan APAD, dan kami akan pastikan semua perkhidmatan yang disediakan adalah mematuhi keperluan seperti digariskan oleh APAD. Maxim terus komited memberikan perkhidmatan yang selamat dan lancar yang mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” jelas Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya, syarikat itu akan memastikan semua rakan pemandu yang aktif ketika ini mempunyai permit kenderaan e-hailing (EVP) yang sah dan dilindungi oleh insurans. Maxim juga bersedia untuk bekerjasama dengan lebih rapat bersama APAD dan pemegang taruh yang lain bagi memastikan suasana perkhidmatan pengangkutan yang selamat untuk semua warga Malaysia.
Pengemuman yang dibuat oleh kedua-dua syarikat tersebut adalah susulan daripada laporan Mei lalu bahawa APAD telah menggantung permit operasi InDrive dan Maxim, dengan arahan untuk memberhentikan operasi berkuatkuasa pada 24 Julai lalu. Tindakan itu diambil selepas mendapati kedua-dua syarikat terbabit gagal memenuhi beberapa syarat terutamanya berkaitan keperluan EVP.
Kedua-dua syarikat itu membuat rayuan ke atas keputusan tersebut dan diminta untuk mengambil langkah penambahbaikan sebelum 24 Julai bagi membolehkan mereka meneruskan operasi di negara ini. APAD juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat itu telah memperbaiki sistem pendaftarannya bagi memastikan semua pemandu memiliki EVP yang sah untuk membolehkan mereka beroperasi dengan sah, dan menyediakan data mereka untuk membantu silang-semak EVP berkenaan.
Brabus sekali lagi menampilkan kepakaran talaan ekstremnya menerusi Mercedes-AMG GT63S E Performance yang kini dikenali sebagai Brabus 1000. Walaupun namanya ringkas, angka yang ditawarkan oleh jentera hibrid berprestasi tinggi ini sememangnya luar biasa dan selari dengan reputasi jenama penala dari Jerman itu.
Asas kepada Brabus 1000 ialah enjin V8 petrol 4.0 liter dwi-turbo AMG yang kini telah dinaik taraf secara signifikan. Kapasiti enjinnya meningkat kepada lebih 4.4 liter (secara tepat 4,407 cc) hasil daripada pembesaran diameter silinder kepada 84 mm dan penggunaan piston tempa baru. Brabus turut membangunkan crankshaft aluminium jenis billet dengan lejang sepanjang 100 mm bagi meningkatkan sesaran enjin.
Peningkatan lain termasuk penggunaan pengecas turbo Brabus dan sistem ekzos stainless steel berprestasi tinggi, lengkap dengan injap untuk mengawal tahap bunyi. Semua komponen ini diselaraskan menerusi sistem pengurusan enjin khas, membolehkan jentera ini menghasilkan 796 PS (785 hp atau 585 kW) pada 5,900 rpm dan tork setinggi 1,250 Nm pada 2,900 rpm.
Namun begitu, bagi menjaga ketahanan sistem pacuan, tork maksimum telah dihadkan secara elektronik kepada 1,050 Nm. Kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan dengan multi-clutch serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ dikekalkan.
Sistem hibrid Brabus 1000 masih menggunakan motor elektrik AMG yang tidak diubah – dengan transmisi dua kelajuan – yang menghasilkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 320 Nm. Jika digabungkan, sistem janaan kuasa keseluruhan menghasilkan angka yang mengagumkan – 1,000 PS (986 hp atau 735 kW) dan tork 1,820 Nm. Seperti enjin petrolnya, tork maksimum sistem turut dihadkan kepada 1,620 Nm demi menjaga ketahanan komponen.
Jentera ini masih mematuhi piawaian emisi Euro 6D ISC-FCM, lengkap dengan pensijilan dari kementerian pengangkutan Jerman. Sebagai perbandingan, versi asal AMG GT63S E Performance hanya menghasilkan 816 PS (805 hp atau 600 kW) dan 1,420 Nm. Maka, Brabus 1000 menawarkan lonjakan kuasa yang ketara.
Dari segi prestasi, Brabus 1000 mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 2.6 saat, berbanding 2.8 saat pada model standard. Kelajuan maksimum kekal dihadkan secara elektronik pada 320 km/j. Sesi pecutan dari 0 ke 200 km/j mengambil masa 9.5 saat, manakala dari pegun ke 300 km/j memerlukan 23.6 saat. Untuk memastikan kestabilan pada kelajuan tinggi, Brabus menjalankan ujian dalam terowong angin dan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan aerodinamik.
Bahagian luaran diserlahkan dengan komponen gentian karbon yang terdiri daripada spoiler hadapan dengan sirip sisi, canard hadapan, sisipan pada gril radiator, diffuser belakang dengan ruang untuk empat muncung ekzos 76 mm, serta sayap belakang yang menonjol. Semua elemen ini boleh didapati dalam kemasan gentian karbon terdedah atau dicat.
Rim pula menggunakan rekaan Brabus Monoblock Z dengan sepuluh jejari, bersaiz 21 inci di hadapan (tayar profil 305/30) dan 22 inci di belakang (tayar profil 335/25). Turut ditawarkan ialah set penyerap hentakan sport boleh laras hasil kerjasama dengan KW, membolehkan ketinggian kereta direndahkan sehingga 20 mm.
Di dalam, kabin disaluti kulit hitam dengan corak jahitan berlian yang turut menghiasi pelapik lantai dan ruang but. Siling dalaman pula menggunakan kemasan Dinamica, manakala kemasan gentian karbon dan pelbagai elemen khas dengan logo ‘77’ timbul memberi penghormatan kepada tahun penubuhan Brabus, iaitu 1977.
Selepas sesi Dewan Rakyat pada 29 Julai 2025, kerajaan secara rasmi membatalkan rancangan untuk melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (High Value Goods Tax – HVGT), lebih setahun selepas ia diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.
Pada asalnya, HVGT dirancang untuk dikuatkuasakan bermula 1 Mei 2024, namun pelaksanaannya ditangguh susulan bantahan daripada pemain industri. Cukai yang dicadangkan itu melibatkan kadar antara 5% hingga 10% dan bakal dikenakan ke atas barangan seperti kereta mewah bernilai melebihi RM200,000, jam tangan melebihi RM20,000 serta barang kemas yang bernilai lebih RM10,000. Kerajaan sebelum ini menjangkakan hasil kutipan cukai ini mencecah RM700 juta setahun.
Namun begitu, dalam jawapan bertulis Parlimen pada hari Selasa, Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan meneruskan pelaksanaan HVGT yang sebelum ini dikenali sebagai cukai barangan mewah. Walaupun begitu, beberapa elemen dalam HVGT telah dimasukkan ke dalam sistem cukai jualan yang telah ditambah baik, di mana barangan mewah dan barangan bersifat pilihan kini dikenakan cukai jualan pada kadar 5% atau 10%.
Jawapan itu diberikan sebagai maklum balas kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang bertanyakan mengenai unjuran peningkatan hasil negara daripada pelaksanaan reformasi fiskal kerajaan. Reformasi tersebut termasuk cadangan pelaksanaan HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT), cukai barangan nilai rendah (LVGT) serta peluasan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Meskipun HVGT dibatalkan, kerajaan masih menjangkakan peningkatan hasil menerusi pelaksanaan dan peluasan cukai lain. Peluasan SST yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dijangka menyumbang tambahan hasil sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, dan angka ini dijangka meningkat kepada RM10 bilion menjelang 2026.
Sementara itu, CGT yang mula dilaksanakan pada 1 Mac 2024 dijangka menjana hasil sekitar RM800 juta setahun, manakala LVGT yang telah bermula lebih awal pada 1 Januari 2024 telah menghasilkan kutipan sebanyak RM500 juta sepanjang tahun 2024.