Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    Nissan bakal menutup satu lagi kilangnya dalam plan penstrukturan semula yang dikenali sebagai Re:Nissan bagi menyelamatkan jenama automotif dari krisis kewangan yang sedang dihadapi buat masa sekarang. Kilang yang bakal ditutup kali ini adalah kilang CIVAC yang terletak di Cuernavaca, Mexico, di mana operasinya akan dihentikan pada penghujung tahun fiskal 2025 syarikat itu, iaitu pada Mac 2026.

    Kilang CIVAC berkenaan merupakan salah satu kilang bersejarah buat Nissan kerana ia adalah kilang pertama jenama tersebut yang beroperasi di luar Jepun dan mula dibuka pada 1966. Model pertama yang mula dipasang di kilang berkenaan adalah Datsun Bluebird, dan sehingga kini sebanyak 6.5 juta kenderaan telah dihasilkan menerusi fasiliti tersebut.

    Buat masa sekarang kenderaan-kenderaan yang dipasang di kilang CIVAC itu masih mewakili 11% jumlah keseluruhan produksi Nissan di Mexico. Antara model-model yang masih di pasang di situ termasuk trak pikap Nissan Frontier (dikenali sebagai Navara di Malaysia) dan juga versi single cab yang lebih asas NP300, serta sedan Nissan Versa (atau Almera di di sini).

    Menurut Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan, produksi bagi model-model yang dipasang olenh kilang CIVAC ini akan dipindahkan di kilang COMPAS (Cooperation Manufacturing Plant Aguascalientes) yang juga terletak di Aguascalientes, juga di Mexico.

    Nissan akan tutup kilang bersejarah CIVAC di Mexico bermula Mac 2026 – produksi pindah ke COMPAS

    “Selama lebih 60 tahun, Nissan Mexicana telah membina hubungan yang kukuh dan dipercayai dengan pemegang kepentingannya di Mexico, memperoleh pengiktirafan global sebagai salah satu operasi utama syarikat itu,” kata CEO Nissan, Ivan Espinosa.

    “Hari ini, kami telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu, yang akan membolehkan kami menjadi lebih efisien, lebih berdaya saing dan lebih mampan. Sepanjang peralihan ini, kami tetap amat menghargai sumbangan tidak ternilai yang disumbang oleh rakan usaha sama kami di kilang CIVAC. Dedikasi mereka selama ini telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami. Saya mengambil peluang ini untuk mengesahkan komitmen kami kepada pekerja, pelanggan dan syarikat kami,” tambah beliau.

    Bukan hanya kilang CIVAC, malah satu lagi kilang bersejarah Nissan iaitu kilang Oppama di Jepun yang digelar sebagai ‘ibu kilang’ jenama itu di negara kelahirannya turut akan ditutup menjelang Mac 2028. Ia selaras dengan rancangan Re:Nissan bagi mengurangkan kapasiti pengeluaran globalnya daripada 3.5 juta unit (tidak termasuk China) kepada 2.5 juta unit sambil mengekalkan kadar penggunaan kilang sekitar 100%.

    Ini akan menyaksikan beberapa operasi pengeluaran akan disatukan, bagi membolehkan jumlah 17 kilang dikecilkan hanya kepada 10 kilang. Nissan turut mengumumkan bahawa produksi van NV200 yang kini dibuat di kilang Nissan Shatai Shonan yang terletak di wilayah Kanagawa akan berakhir pada tahun kewangan 2026 (Mac 2027). Ia akan digantikan dengan model kenderaan komersil ringan (LCV) baharu yang akan diperkenalkan pada tahun kewangan 2027.

     
     
  • Suzuki eVitara dipertonton sebelum pelancaran awal tahun depan di Indonesia – jarak gerak cecah 500 km

    Suzuki eVitara dipertonton sebelum pelancaran awal tahun depan di Indonesia – jarak gerak cecah 500 km

    Suzuki bakal melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya di pasaran Indonesia menerusi model eVitara yang dijangka mula dijual pada awal tahun 2026. Perkara ini dilaporkan oleh CNN, yang turut menyatakan bahawa model elektrik tersebut kini sedang dipertontonkan kepada umum di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), sebagai sebahagian daripada pengenalan awalnya kepada pasaran.

    Suzuki eVitara pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada November tahun lalu dan berkongsi platform serta rekaan asas dengan Toyota Urban Cruiser. Dibina menggunakan platform HEARTECT-e, eVitara hadir dengan dimensi 4,275 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,700 mm.

    SUV elektrik ini akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 49 kWh dan 61 kWh. Versi dengan bateri 49 kWh dipadankan dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa sebanyak 144 PS (bersamaan 142 hp atau 106 kW) serta tork 189 Nm. Sementara itu, varian 61 kWh pula hadir dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, menjana 174 PS (172 hp atau 128 kW) dengan tork yang sama.

    Bagi mereka yang inginkan lebih kuasa dan cengkaman, bateri berkapasiti lebih besar ini juga ditawarkan dalam konfigurasi pacuan semua roda menerusi sistem ALLGRIP-e. Ia menerima tambahan motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 65 PS (64 hp atau 48 kW), menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sistem kepada 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork mencecah 300 Nm. Suzuki mendakwa bahawa varian 61 kWh mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 500 km bagi satu cas penuh, namun angka rasmi masih belum diumumkan.

    Menurut laporan Autocar India, Suzuki eVitara merupakan model global yang akan dikeluarkan di kilang Suzuki di Gujarat, India. Separuh daripada jumlah pengeluaran akan dieksport ke pasaran Eropah dan negara lain di seluruh dunia. Pasaran pertama yang akan menerima model ini ialah India, dengan pelancaran rasmi serta pengumuman harga dijangka berlangsung pada bulan September tahun ini.

     
     
  • PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

    PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

    Sejujurnya penulis bukan ‘pencinta’ kenderaan elektrik (EV), belum punya hajat mahu pun impian untuk memilikinya. Ya, mungkin penulis boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman dan ‘kurang menghargai teknologi terkini’.

    Namun selepas memandu Leapmotor C10 buat pertama kalinya pada akhir Februari lalu ketika menyertai sambutan Hari Wanita Sedunia yang dianjurkan khas oleh Stellantis Malaysia untuk rakan media wanita, rasanya koordinat hati mengenai EV sedikit berubah. Tiba-tiba macam ‘tersuka tanpa sengaja’ pula dengan C10, walau pun hanya memandu dalam jarak yang dekat iaitu dari Petaling Jaya ke Putrajaya. Tapi hajat untuk memiliki EV masih belum muncul tiba.

    Ini bukanlah EV pertama yang penulis pandu uji… adalah beberapa model sebelum ini yang pernah dilenjan. Tapi C10 ini bagai mampu ‘mencuri hati’ pula. Alasan utama..keselesaan tika berada di dalam kabinnya. Ya, cukup selesa. Tetapi, penulis bukanlah nak memuji 100%, C10 tetap ada kekurangannya. Tiada penciptaan sesuatu teknologi atau buatan yang serba sempurna kan… Namun keselesaan yang sungguh jitu ini membuatkan penulis terasa ingin ‘mengenali’ SUV EV ini secara lebih intim. Maka, ini sesi pandu uji buat kali kedua bersama C10.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Johor dijangka akan dapat menggunakan 4 km pertama lebuhraya yang dilebarkan dari dua lorong sehala kepada tiga lorong sehala bermula seawal tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur Dan Komunikasi Negeri Johor YB Ir.Ts.Mohamad Fazli Mohamad Saleh dalam satu hantaran Facebook yang dibuat.

    Menurut beliau, bagi kerja pelebaran Fasa 1 Pakej 1 iaitu dari Kulai ke Sedenak dengan jarak 14 km telah bermula pada 28 Jun 2024 dan dijangka siap pada 28 Jun 2027. Status semasa projek dengan kos RM249 juta ini ialah 16.44% berbanding jadual 20.02% iaitu kelewatan sebanyak 3.58%.

    Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri telah berunding dengan pihak LLM, PLUS dan juga kontraktor dan dijangka kemajuan projek akan kembali mengikut jadual pada bulan September 2025.

    Manakala bagi Fasa 1 Pakej 2 yang melibatkan laluan sejauh 7 km dari Sedenak ke Simpang Renggam, Fazli menyatakan bahawa kerja-kerja projek yang bernilai RM160 juta ini telah bermula pada 22 Jun 2025 dan baru diperingkat awal kerja di tapak, dijangka siap pada 22 Disember 2027.

    Projek Pelebaran Lebuhraya Utara Selatan di Johor – 4km terawal lebuhraya 3 lorong dijangka dibuka 2026

    “Bagi Fasa 2 pula, kontraktor utama baru sahaja dilantik pada 1 Julai 2025 yang lalu dan akan mula masuk ke tapak pada 27 Julai 2025. Fasa 2 ini melibatkan panjang 16 km dari Simpang Renggam ke Machap dengan kos RM439 juta dan dijangka siap 27 Julai 2029.

    “InsyaAllah, pengguna lebuhraya utara selatan PLUS akan mula merasai lebuhraya 6 lorong seawal tahun depan apabila 4 km dijangka akan siap dan boleh digunakan secara berperingkat,” katanya.

    Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

    Buat masa sekarang laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

     
     
  • JPJ eBid: NEH dan JYG bakal dibuka untuk bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan dan Johor ini bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan, NEH bakal dibuka bidaannya bermula 1 Ogos. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JYG, bakal dibuka bidaan mulai 2 Ogos. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 Ogos 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • 50 km jajaran lebuhraya di Malaysia dikenalpasti tiada liputan telekomunikasi termasuk PLUS, WCE, LPT2

    50 km jajaran lebuhraya di Malaysia dikenalpasti tiada liputan telekomunikasi termasuk PLUS, WCE, LPT2

    Kadang, sedang memandu berpandukan navigasi termasuk aplikasi Waze atau Google Map, ‘arahan’ tergendala kerana liputan Internet yang tidak memuaskan. Bukan itu saja, ada sesetengah lokasi di lebuhraya juga seakan ‘tiada rangkaian’ untuk membuat panggilan telefon, atau panggilan terhenti separuh jalan. Itulah realiti yang sering dihadapi pengguna lebuh raya di negara kita.

    Perkara ini diakui oleh Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata, setakat ini kira-kira 50 km jajaran lebuhraya telah dikenal pasti tidak mendapat liputan telekomunikasi, termasuk di beberapa bahagian di Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    “Atas dasar itu, saya bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah mengadakan mesyuarat khas bersama agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mempergiat usaha menambah baik liputan telekomunikasi dan internet di lebuhraya.

    “Antara keputusan utama yang dicapai ialah penubuhan Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) LLM-MCMC untuk menyelaras pelan tindakan secara menyeluruh. Selain itu, lokasi kritikal drop call dikenalpasti dan teliti keperluan pemasangan infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

    50 km jajaran lebuhraya di Malaysia dikenalpasti tiada liputan telekomunikasi termasuk PLUS, WCE, LPT2

    Jelasnya lagi, konsesi lebuhraya juga turut digerakkan dalam pelaksanaan solusi jangka pendek dan panjang. Malah LLM Wilayah dan MCMC Negeri telah turun padang untuk semakan tapak dan kemudahan bekalan kuasa bagi pemasangan infrastruktur sokongan.

    “Saya turut mencadangkan agar MCMC terlibat secara langsung membantu menangani gangguan frekuensi dan menyokong keperluan teknikal untuk pelaksanaan sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF) kelak.

    “Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Dalam dunia serba digital, akses kepada rangkaian internet dan telekomunikasi bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan asas termasuk ketika berada di atas lebuhraya.
    Komitmen kita jelas, bukan sahaja membina jalan raya, tapi juga memastikan rakyat sentiasa terhubung dengan lancar dan selamat,” katanya lagi.

     
     
  • InDrive dibenar teruskan operasi di Malaysia oleh MoT, APAD — semua pemandu ada EVP, PSV yang sah

    InDrive dibenar teruskan operasi di Malaysia oleh MoT, APAD — semua pemandu ada EVP, PSV yang sah

    Penyedia perkhidmatan e-hailing di Malaysia, inDrive telah menerima pengecasah secara rasmi daripada Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasinya di Malaysia, selepas selesai melakukan proses penilaian semula terhadap sistem yang diguna pakai.

    Dalam satu taklimat media hari ini, inDrive menjelaskan yang semua pemandu aktif yang berkhidmat dalam platform itu kini mempunyai permit kenderaan e-hailing (EVP) sah, begitu juga dengan kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan juga insurans e-hailing. Mereka juga kini perlu memenuhi saringan dan pengesahan dokumen yang ketat sebelum dibenarkan beroperasi.

    “Kami berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan APAD kerana membenarkan kami untuk meneruskan oeprasi di Malaysia. Perkembangan ini mencerminkan kesungguhan kami untuk mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan,” jelas Ketua inDrive Malaysia, Govin Kumaar.

    InDrive dibenar teruskan operasi di Malaysia oleh MoT, APAD — semua pemandu ada EVP, PSV yang sah

    “Lebih penting, ini membolehkan kami untuk terus menyokong ribuan pemandu tempatan yang bergantung kepada InDrive untuk meraih pendapatan, dengan kadar komisen paling rendah dalam industri, yang mana 85%-90%” pendapatan akan terus menjadi milik pemandu, untuk kelangsungan hidup mereka,” tambah beliau.

    InDrive juga menyatakan pihaknya akan mempertingkat pemeriksaan dalaman, termasuk bagi pengesahan pemandu dan dokumen, bagi memperketat pematuhan sistem serta akan terus bekerjasama rapat dengan APAD untuk memperkemas prosedur pada masa akan datang. Ia juga akan memperbaiki prosedur operasi bagi proses pengambilan pemandu serta standard pengesahan semula

    “Sebelum ini, ada berlaku kesulitan aspek pengurusan dengan EVP kami. Kini, kami telah memperketat proses dalaan kami, bekerjasama dengan APAD, dan hari ini kamu mengesahkan yang semua keperluan yang terlibat sudah dipatuhi — semua pemandu kami mempunyai EVP dan PSV setakat hari ini.”

    InDrive dibenar teruskan operasi di Malaysia oleh MoT, APAD — semua pemandu ada EVP, PSV yang sah

    “Tempoh pemerhatian selama tiga bulan adalah sebahagian daripada proses ini dan kami tepah penuhi setiap langkah yang perlu,” jelas Govin, yang menjelaskan bahawa walaupun InDrive pernah menerima notis pelucutan lesen daripada APAD pada 24 April lalu, lesen berkenaan sebenarnya tidak pernah dilucutkan secara mutlak — syarikat itu membuat rayuan, dan pada 23 Julai 2025 perkara itu dibatalkan dan InDrive diberikan tempoh pemerhatian selama tiga-bulan.

    “InDrive juga akan memulakan usaha untuk menyokong komunit OKU tahun ini. Kami mahu memperluas capaian kepada pengangkutan yang selamat untuk golongan berkenaan, dan dalam masa yang sama mewujudkan peluang bagi pemandu dan penumpang OKU,” tambahnya.

    Memulakan perkhidmatan sebagai InDriver pada 2012 sebelum diperkenalkan di Malaysia pada 2021, InDrive berpangkalan global di California, dan beroperasi di 888 kota di 48 buah negara. Menjadi keunikan platform ini adalah kerana pemandu dan penumpang berunding dan bersetuju dengan tambang yang dikenakan terlebih dahulu. Di Malaysia, syarikat itu mensasarkan untuk mencapai 40,000 pemandu dalam platformnya menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • Wuling Cortez Darion MPV ditunjuk di GIIAS 2025 – ada versi EV dan PHEV, jarak gerak sehingga 1,000 km

    Wuling Cortez Darion MPV ditunjuk di GIIAS 2025 – ada versi EV dan PHEV, jarak gerak sehingga 1,000 km

    Wuling secara rasmi memperkenalkan model terbaru mereka, Cortez Darion dalam dua varian elektrifikasi – elektrik penuh (EV) dan plug-in hybrid (PHEV) – di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025. Kehadiran model ini juga menandakan kemunculan semula nama Cortez, yang pernah digunakan pada MPV petrol 1.8 liter berkuasa 129 hp/174 Nm yang diperlihatkan kali terakhir semasa GIIAS 2018.

    Menurut Wuling, kedua-dua varian Cortez Darion akan dihasilkan di kilang Wuling di Cikarang, Jawa Barat. Laporan media tempatan seperti Kompas menyatakan bahawa harga MPV ini akan berada dalam lingkungan 400 juta hingga 500 juta rupiah (sekitar RM103,000 hingga RM129,000) bagi pasaran Indonesia.

    Melihat kepada saiz, Cortez Darion memiliki dimensi 4,910 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,770 mm tinggi dan jarak roda 2,910 mm, menjadikannya MPV bersaiz penuh yang sesuai untuk keluarga besar.

    Wuling Cortez Darion MPV ditunjuk di GIIAS 2025 – ada versi EV dan PHEV, jarak gerak sehingga 1,000 km

    Bagi varian EV sepenuhnya, Cortez Darion digerakkan oleh motor elektrik tunggal dengan kuasa 150 kW (204 PS) dan menggunakan bateri berkapasiti 61 kWh. Menurut Wuling, pengecasan pantas DC boleh mengisi semula bateri dari 30% ke 80% dalam masa hanya 30 minit, manakala jarak pemanduan penuh yang ditawarkan mencapai 540 km mengikut kitaran ujian CLTC China.

    Turut diperkenalkan ialah varian plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan enjin 1.5 liter dengan motor elektrik berkuasa 145 kW (198 PS), digandingkan dengan transmisi hibrid khas (DHT). Varian ini menawarkan jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 125 km, dengan gabungan jarak keseluruhan melebihi 1,000 km – sesuai untuk perjalanan jauh tanpa rasa bimbang tentang pengecasan.

    Bateri untuk Cortez Darion PHEV juga menyokong pengecasan pantas DC, membolehkan ia dicas semula dari 30% ke 80% dalam hanya 30 minit, sama seperti versi elektrik sepenuhnya.

    Wuling Cortez Darion MPV ditunjuk di GIIAS 2025 – ada versi EV dan PHEV, jarak gerak sehingga 1,000 km

    Ciri kemudahan dalaman untuk kedua-dua versi termasuk pintu gelangsar automatik pada kedua-dua sisi, memberikan akses mudah ke barisan kedua dan ketiga. Konfigurasi tempat duduk tujuh penumpang disertai dengan kerusi kapten di barisan kedua, menjadikan ruang kabin lebih selesa dan mewah. Sebuah bumbung suria elektrik turut disertakan sebagai ciri standard.

    Wuling telah pun membuka tempahan awal untuk Cortez Darion di pasaran Indonesia, menjadikan model ini sebagai antara MPV elektrifikasi paling menarik yang memasuki pasaran Asia Tenggara tahun ini.

    GALERI: Wuling Cortez Darion EV

    GALERI: Wuling Cortez Darion PHEV

     
     
  • Honda HR-V 1.5 Turbo V facelift 2025 di Malaysia – galeri penuh bagi varian tertinggi petrol turbo, RM138k

    Honda HR-V 1.5 Turbo V facelift 2025 di Malaysia – galeri penuh bagi varian tertinggi petrol turbo, RM138k

    Honda Malaysia telahpun melancarkan versi facelift untuk Honda HR-V generasi ketiga minggu lalu – ia ditawarkan masih dalam empat varian, namun hanya varian paling tinggi iaitu RS e:HEV dibawa ketika majlis pelancaran berkenaan. Jadi kini kami akan berusaha untuk mendapatkan gambar-gambar untuk varian lain HR-V facelift 2025 ini, dimulakan dengan varian tertinggi dengan enjin petrol turbo iaitu HRV 1.5 Turbo V yang dapat kami rakamkan di bilik pameran Honda Sumber Auto Edaran, Seksyen 13 Petaling Jaya.

    Varian ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM137,900, atau RM6,000 lebih murah dari varian RS e:HEV yang dijual pada harga RM143,900. Varian ini juga adalah RM17,000 lebih mahal berbanding varian enjin turbo tetapi kelengkapan lebih rendah iaitu 1.5 Turbo E dijual pada harga RM120,900. Manakala varian paling asas yang hanya dijana enjin 1.5L NA pula dijual pada harga RM115,900.

    Sekali imbas, varian Turbo V ini menampilkan rupa yang hampir serupa seperti RS e:HEV dengan gril hadapan yang sama, dan juga set rim aloi 18-inci lima-jejari berkembar yang sama. Apa yang berbeza varian ini tidak diberikan lencana RS di hadapan dan belakang, serta corak ‘degupan jantung’ pada gril bawah hadapan diberikan dalam kemasan perak (merah pada RS), serta ia tidak diberikan jalur grafik LED bawah pada lampu belakang.

    Honda HR-V 1.5 Turbo V facelift 2025 di Malaysia – galeri penuh bagi varian tertinggi petrol turbo, RM138k

    Satu lagi perincian yang kurang adalah varian V ini tidak diberikan lampu hadapan LED projektor Matrix yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam seperti varian RS, dan hanya diberikan lampu hadapan refektor LED biasa. Model dengan enjin turbo ini juga menampilkan dua tip ekzos yang diserlahkan di belakang, berbanding versi RS dengan unit rangkaian kuasa hibrid disorokkan tip tersebut di sebalik bampar.

    Pada sebelah dalam, varian Turbo V ini masih menerima balutan upholsteri kulit hitam, tetapi nampak kurang sporty kerana tidak menampilkan logo RS pada tempat duduk hadapan serta tidak diberikan serlahan jahitan merah.

    Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan. Varian paling asas S masih menerima enjin 1.5L petrol NA DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Manakala varian 1.5 Turbo E dan 1.5 Tubro V pula menggunakan enjin 1.5L VTEC Turbo dengan berkuasa 181 PS dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm. Kedua-dua varian NA dan Turbo ini digandingkan dengan transmisi CVT bagi memacu roda hadapan.

    Honda HR-V 1.5 Turbo V facelift 2025 di Malaysia – galeri penuh bagi varian tertinggi petrol turbo, RM138k

    Varian RS e:HEV pasaran Malaysia ini turut masih diberikan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, yang merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson berkuasa 107 PS dan 131 Nm yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.

    Lima warna badan ditawarkan untuk HR-V facelift 2025 pasaran Malaysia ini iaitu Platinum White Pearl, Stellar Diamond Pearl, Meteroid Grey Metallic, Crystal Black Pearl dan Pheonix Orange Pearl. Tiada lagi warna merah Ignite Red Metallic pada versi facelift kali ini. Perincian spesifikasi bagi setiap varian adalah seperti berikut:

    Honda HR-V 1.5 S 2025
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 litre DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA empat-silinder petrol
    • 121 PS pada 6,600 rpm, 145 Nm pada 4,300 rpm
    • Continuously variable transmission (CVT)
    • Pacuan roda depan
    • Mod pemanduan Econ dan Normal
    • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
    • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
    • Cakera brek berliang (depan), cakera tertutup (belakang)

    Luaran

    • Lampu LED Automatik
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Kemasan bawah hitam berkilat
    • Rim 18-inci
    • Cermin sisi lipatan berkuasa
    • Sistem tanpa kunci dengan ciri kunci automatik ketika jauh
    • Antena Sirip Yu
    • Pemegang pintu dengan warna badan

    Dalaman

    • Butang Push Start
    • Papan pemuka material sentuhan lembut
    • Stereng multifungsi Urethane
    • Larasan stereng tinggi/rendah dan rapat/jauh
    • Kluster instrumen analogue dengan paparan multi-info
    • Tingkap kuasa untuk pemandu dengan Auto naik/turun
    • Tombol gear Urethane
    • Kerusi balutan fabrik hitam
    • Kerusi depan larasan manual
    • Kerusi belakang Ultra Seat dengan nisbah lipatan 60:40
    • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
    • Head unit 2-DIN lapan-inci skrin sentuh dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Empat pembesar suara
    • Dua slot USB di depan
    • Empat sensor parkir
    • Kamera undur pelbagai sudut
    • Penutup ruang barangan boleh lipat
    • Tayar ganti saiz penuh

    Keselamatan

    • Empat beg udara (depan dan sisi)
    • ISOFIX belakang dengan cagak atas
    • Empat penderia parkir belakang
    • Kawalan menurun bukit
    • Isyarat berhenti kecemasan
    • Bantuan pemandu Honda Sensing
    • AEB
    • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
    • Bantuan ke tengah lorong
    • Bantuan mengekalkan lorong
    • Lampu tinggi automatik
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Kawalan kestabilan
    • Agile Handling Assist (AHA)
    • Bantuan mula mendaki
    • Kawalan menuruni bukit
    • Lampu isyarat berhenti kecemasan
    • Peringatan tali keledar untuk semua kerusi
    • Peringatan kerusi belakang

    Honda HR-V 1.5 Turbo E 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo
    • 1,498 cc turbocas empat-silinder petrol
    • 181 PS pada 6,600 rpm, 240 Nm dari 1,700 dan 4,500 rpm
    • Pedal penukar gear di stereng
    • Mod pemanduan Econ, Normal dan Sport

    Luaran

    • Lampu kabus depan LED
    • Rim aloi 18-inci
    • Muncung ekzos berkembar
    • Penghidup enjin jarak jauh

    Dalaman

    • Kemasan papan pemuka warna perak
    • Kluster instrumen separa digital dengan paparan tujuh-inci
    • Perehat lengan belakang
    • Dua slot USB di belakang

    Keselamatan

    • Enam beg udara

    Honda HR-V 1.5 Turbo V 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Stereng nisbah boleh ubah

    Luaran

    • Lampu isyarat membelok depan LED sequential
    • Rim 18-inci

    Dalaman

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Stereng balutan kulit
    • Tombol gear balutan kulit
    • Kerusi balutan kulit hitam
    • Kerusi pemandu larasan kuasa lapan-arah
    • Dua cermin solek dengan lampu
    • Lapan pembesar suara

    Keselamatan

    • Kamera titik buta LaneWatch

    Honda HR-V 1.5 RS 2025
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Motor elektrik di depan
    • 131 PS, 253 Nm
    • Enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC
    • 1,498 cc NA kitaran Atkinson empat-silinder petrol
    • 105 PS dari 6,000 hingga 6,400 rpm, 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm
    • Transmisi kelajuan tunggal dengan klac pengunci

    Luaran

    • Lampu hadapan projektor LED Matrix dengan lampu tinggi adaptif
    • Lampu membelok aktif
    • Lampu belakang LED penuh dengan jalur LED
    • Muncung ekzos tunggal terselindung

    Interior

    • Pengilap automatik
    • Tempat duduk balutan kulit dengan logo RS
    • Pedal sport
    • Pengecas telefon pintar tanpa wayar
    • Kawalan pendingin automatik dua zon
    • Kit baik pulih tayar
     
     
  • Isuzu D-Max masih pegang gelaran trak pikap kedua terlaris di Malaysia pada separuh pertama 2025

    Isuzu D-Max masih pegang gelaran trak pikap kedua terlaris di Malaysia pada separuh pertama 2025

    Isuzu Malaysia mengumumkan bahawa trak pikap popular mereka, Isuzu D-Max, terus mengekalkan kedudukan sebagai model kedua paling laris dalam segmen pikap satu tan untuk separuh pertama tahun ini, di belakang pesaing utama, Toyota Hilux.

    Sepanjang enam bulan pertama 2025, syarikat berjaya menjual 3,081 unit D-Max, dengan sebahagian besar jualan didorong oleh permintaan kukuh pada suku pertama, sekaligus menyumbang kepada 16% pegangan pasaran. Seperti yang dijangka, model dengan enjin asas 1.9 liter Ddi BluePower turbodiesel menjadi penyumbang utama, merangkumi 85.8% daripada jumlah keseluruhan jualan.

    Salah satu varian paling popular ialah 1.9L Premium 4×4 A/T, model spesifikasi tinggi dalam rangkaian enjin 1.9L. Penawaran ini turut diperluas pada Februari lalu dengan pelancaran varian Low Ride, yang menyasarkan keperluan pengguna yang berbeza.

    Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, Isuzu akan lebih agresif dalam memperluas kehadiran jenama ini di luar bilik pameran, termasuk menyediakan pengalaman interaktif dan menyeluruh bagi menarik lebih ramai pelanggan berpotensi.

    Dalam masa yang sama, Isuzu Malaysia dijangka memberi fokus kepada kemasukan enjin baru 2.2 liter Ddi MaxForce, yang bakal menggantikan enjin 1.9 liter sedia ada. Enjin ini hadir dengan sistem pelinciran aliran tinggi serta ruang pembakaran “high-swirl” yang meningkatkan kecekapan pembakaran. Ia menghasilkan 163 PS dan 400 Nm tork, iaitu peningkatan sebanyak 13 PS dan 50 Nm berbanding enjin terdahulu. Penjimatan bahan api luar bandar pula bertambah baik sebanyak 10.7%.

    Ia akan dipadankan dengan transmisi automatik baru lapan kelajuan Rev Tronic, yang menggantikan kotak gear enam kelajuan sebelum ini. Perubahan ini dijangka mempertingkatkan prestasi pemanduan serta kecekapan bahan api secara keseluruhan.

     
     
  • Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km, dijual secara global?

    Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

    Honda secara rasmi memperkenalkan model N-One e: di Jepun, sebuah kereta bandar kecil yang kini hadir dengan penggerak elektrik penuh. Model ini menggunakan teknologi daripada Honda N-Van e: dan asas daripada Super EV Concept yang sebelum ini diperlihatkan di Goodwood Festival of Speed serta kini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS).

    Sementara versi konsep lebih agresif, N-One e: pula mengekalkan dimensi kecil yang memenuhi syarat kei car di Jepun. Ia adalah versi elektrik bagi Honda N-One, sebuah hatchback bandar yang menawarkan rekaan menegak, lampu utama bulat, “topeng” hadapan berwarna hitam, lampu belakang berbentuk segi empat dan bumbung dua tona sebagai pilihan.

    Untuk versi elektrik ini, beberapa perubahan rekaan diperkenalkan. Bahagian hadapan menampilkan wajah baru dengan lampu utama yang berbentuk lebih petak dan terputus di bahagian atas. Di antara lampu terdapat dua soket pengecas – sebelah pemandu ialah soket pengecas AC Type 1, manakala sebelah lagi dipercayai soket DC CHAdeMO. Bonet juga direka lebih rata dan lubang pengambilan udara kini hanya berupa petak ringkas.

    Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

    Di belakang, pintu but baru direka dengan ruang nombor pendaftaran yang lebih rendah serta perincian rekaan segi empat di bahagian bampar. Unit dipamerkan menggunakan rim aloi kecil bersaiz 14 inci dengan rekaan enam jejari, namun dijangka pelbagai pilihan rim akan ditawarkan apabila ia dilancarkan secara rasmi hujung tahun nanti.

    Ruang dalaman N-One e: menampilkan rekaan lebih ringkas berbanding versi enjin petrol. Papan pemuka kini berbentuk mendatar untuk memberikan pandangan lebih luas keluar, bersama corong pendingin hawa bentuk segi empat, rak simpanan tengah dan tombol gear jenis butang. Warna cerah digunakan pada papan pemuka, panel pintu dan stereng untuk memberi rasa kabin yang lebih luas dan ceria.

    Turut disertakan ialah paparan digital kecil untuk meter, dan walaupun tiada skrin sesentuh disediakan secara standard, pembeli boleh memilih sistem navigasi termasuk unit Honda Connect bersaiz sembilan inci. Bahagian tengah tempat duduk hadapan turut disediakan dulang simpanan, menggantikan kawasan permaidani kosong pada versi petrol.

    Honda N-One e: didedah – EV kecil guna asas Super EV Concept, jarak gerak 270 km,  dijual secara global?

    Setakat ini, Honda belum mendedahkan spesifikasi penuh model ini tetapi mengesahkan jarak perjalanan sekitar 270 km mengikut kitaran WLTP. Meskipun angka ini kelihatan rendah berbanding standard sekarang (sekitar 400 km), saiz N-One e: yang kurang daripada 3.4 meter panjang bermaksud ruang untuk bateri adalah terhad. Namun, ia masih mengatasi pencabar utamanya seperti Nissan Sakura dan Mitsubishi eK X EV yang hanya menawarkan sekitar 180 km.

    Pakej kuasa dijangka sama dengan N-Van e: iaitu motor elektrik tunggal di hadapan dengan kuasa 64 PS (47 kW) dan tork 162 Nm, dipadankan dengan bateri 29.6 kWh. Menariknya, versi konsep Super EV yang berkait dengan model ini dijangka menjadi model produksi global untuk pasaran luar Jepun termasuk Eropah.

    Honda menyatakan bahawa ia akan menjadi kereta yang menyeronokkan untuk dipandu dengan pengalaman pemanduan yang “mendebarkan”, menandakan ia bakal hadir dengan talaan yang lebih sporty, motor lebih berkuasa, bateri lebih besar dan suspensi berprestasi tinggi – jauh lebih agresif daripada model pasaran Jepun. Penampilan model konsep tersebut di GIIAS juga memberi petanda bahawa Honda mempertimbangkan untuk membawanya ke pasaran ASEAN.

    GALERI: Honda Super EV Concept di GIIAS 2025

     
     
  • 10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September

    10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September

    Makluman buat penumpang LRT Laluan Kelana Jaya, Prasarana mengumumkan bahawa terdapat 10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya, antara KLCC dan Gombak, akan dibuka lewat jam 9 pagi berbanding kebiasaannya jam 6 pagi, untuk setiap Sabtu dan Ahad, mulai 9 Ogos hingga 14 September 2025. Prasarana berkata, waktu operasi yang diselaraskan ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan untuk Fasa 2 bagi laluan berkenaan dijalankan dengan lancar.

    Sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai, naik taraf bagi Fasa 3 pula dijadualkan dari 11 Oktober hingga 22 November akan menyaksikan waktu operasi hujung minggu (dan cuti umum) yang melibatkan 17 stesen antara Lembah Subang dan Ampang Park, termasuk KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek dan KLCC, laporan New Straits Times.

    Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (strategi dan pembangunan), Prodyut Dutt berkata, kerja-kerja naik taraf ini adalah untuk menggantikan sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) asal Laluan Kelana Jaya yang telah digunakan sejak tahun 1998.

    “Kami sedang menaik taraf perisian sistem semboyan daripada versi 2 kepada versi 8, dan menggantikan perkakasan usang yang tidak lagi disokong oleh pengeluar. Ini akan meningkatkan keselamatan dengan ketara, membolehkan pengawalan tren yang lebih baik serta memastikan operasi yang lebih boleh dipercayai untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

    10 stesen LRT Laluan Kelana Jaya hanya akan dibuka dari jam 9 pagi antara 9 Ogos hingga 14 September

    Bagi mengurangkan kesulitan kepada penumpang, Prasarana akan memperkenalkan gabungan tren ulang-alik, bas dan van perantara sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf dijalankan, kata Ketua Pegawai Operasi Prasarana, Nor Azmi Mohd Yusof.

    Beliau berkata tren ulang-alik terhad akan beroperasi antara Pasar Seni dan Kampung Baru pada selang masa antara 10 hingga 20 minit, dan penumpang yang ingin meneruskan perjalanan selepas stesen Kampung Baru boleh menggunakan dua perkhidmatan bas ulang-alik khas sepanjang Fasa 2 kerja-kerja naik taraf.

    Bas Laluan 2 akan berhenti di semua stesen yang terjejas antara Dang Wangi dan Gombak, termasuk KLCC, Ampang Park, Damai, Dato Keramat, Jelatek, Setiawangsa, Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Melati dan Gombak.

    Klik untuk besarkan

    Terdapat juga Bas Laluan 3, yang akan beroperasi sebagai perkhidmatan henti-terhad, dengan hentian hanya di Dang Wangi, KLCC, Ampang Park, Setiawangsa, Sri Rampai dan Wangsa Maju. “Ia adalah untuk menawarkan alternatif yang lebih pantas bagi penumpang jarak jauh,” katanya.

    Beliau menambah bahawa lima van perantara juga akan disediakan untuk beroperasi antara Kampung Baru dan KLCC bagi menampung penumpang yang memerlukan pengangkutan jarak pendek ke pusat bandar. Van-van ini akan beroperasi secara berterusan dari jam 6 pagi hingga 9 pagi pada hujung minggu, tanpa perlu membuat tempahan awal.

    Prasarana menganggarkan seramai 7,000 penumpang akan terjejas sepanjang Fasa 2 kerja-kerja naik taraf sistem semboyan ini, dan jumlah ini dijangka meningkat kepada sekitar 20,000 penumpang semasa Fasa 3.

     
     
  • Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

    Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

    Proton Holdings Berhad (Proton) secara rasmi telah mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), iaitu sebuah lagi anak syarikat milik penuh jenama automotif nasional tersebut yang ditubuhkan khas bagi memperluas pasarannya ke luar negara. Syarikat baharu ini dipimpin oleh Encik Edmund Lim Meng Thong sebagai CEO yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton.

    Menurut Proton, jualan untuk pasaran eksport akan menjadi faktor utama pertumbuhan jualan masa hadapannya. Oleh itu PICSB bertanggungjawab untuk meluaskan jejak global Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara Selatan Global, dalam masa yang sama terus menyelia dan membangunkan usaha jualan serta pemasaran di pasaran luar negara sedia ada.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Proton menyatakan bahawa ia kini mendahului jumlah eksport kenderaan di Malaysia, dan dalam perancangan jangka panjang angka berkenaan disasarkan untuk dipertingkat sebanyak sepuluh kali ganda dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Proton mula mengeksport kenderaan keluarannya sejak 1986, iaitu hanya tahun kedua ia beroperasi dengan Bangladesh menjadi pasaran eksport pertamanya. Pada 1992, jenama itu telah diiktiraf sebagai jenama baharu paling cepat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.

    Proton International ditubuhkan – tumpu pasaran global, sasar eksport 6k unit tahun ini, 12k pada 2026

    Edmund Lim Meng Thong, CEO Proton International

    Pada awal era 2000, Proton sudahpun berada di 64 buah negara di seluruh dunia, dan secara strategik mengalihkan tumpuan kepada pasaran serantau berpertumbuhan tinggi seperti ASEAN, China, India, Timur Tengah, dan Afrika Utara.

    Seperti yang diketahui, Proton pernah menghadapi krisis kewangan dan ia turut menjejaskan pasaran eksportnya selepas itu. Namun setelah memeterai perjanjian strategik bersama Geely pada 2017, Proton mula merangka semula strategi untuk pasaran eksportnya.

    Dari 2020 sehingga 2025, Proton telah mengeksport sebanyak 20,169 unit kenderaan ke-19 buah negara. Tiga model Proton yang mencatatkan angka eksport paling tinggi dalam tempoh berkenaan adalah Proton Saga dengan 10,998 unit, Proton X50 dengan 3,986 unit, dan Proton X70 dengan 3,316 unit.

    Selain dieksport terus dari Malaysia, Proton turut mengusahakan kilang-kilang pemasangan luar negara, antaranya Proton Saga yang telah dipasang secara tempatan di Mesir oleh pengedar tempatan Ezz Elarab Group pada Februari lalu.

    Kehadiran model EV pertama Proton iaitu eMas 7 turut membantu untuk memacu pasaran eksport di mana sebanyak 233 unit SUV tersebut telah dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago pada Disember 2024. Proton eMas 7 telah dilancarkan di Nepal pada Mac lalu, diikuti Trinidad & Tobago pada Jun. Ia juga telah membuat penampilan sulung di Singapura ketika berlangsungnya The Car Expo 2025 pada Mei lalu, bagi menandakan kehadiran semula Proton selepas lebih 10-tahun di negara seberang tambak berkenaan.

    Selepas ini Proton International Corp mensasarkan jualan eksport sebanyak 6,000 unit pada 2025 dan ia disasarkan naik sebanyak sekali ganda menjelang 2026, serta sasaran menggandakan angka tersebut melebihi sepuluh kali ganda jumlah itu menjelang 2030. 19-pasaran eksport Proton buat masa sekarang termasuk Brunei, Fiji, Papua New Guinea, Trinidad & Tobago, Singapura, Bermuda, Bangladesh, Nepal, Pakistan, Mauritius, Sri Lanka, Mesir, Iraq, Ghana, Angola, Kenya, Afrika Selatan, Mozambique, dan Zimbabwe.

    “Pendaftaran rasmi Proton International Corporation Sdn Bhd menandakan detik penting, mengukuhkan tumpuan dan meningkatkan ketangkasan kami untuk mendorong perluasan global. Kami menetapkan sasaran yang tinggi untuk beberapa tahun akan datang. Untuk mencapai sasaran itu, kami sedang giat mengambil lebih ramai tenaga kerja untuk pasukan jualan dan pemasaran serantau kami. Kami juga teruja dengan kemajuan yang dicapai di Automotive High Tech Valley (AHTV), yang akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat,” kata Encik Edmund Lim Meng Thong.

     
     
  • BAS.MY dilancarkan di Kota Setar dan Kangar – kini meliputi 8 negeri, bakal ke Kota Kinabalu dan Kuantan

    BAS.MY dilancarkan di Kota Setar dan Kangar – kini meliputi 8 negeri, bakal ke Kota Kinabalu dan Kuantan

    Kementerian Pengangkutan (MoT) telah melancarkan perkhidmatan pengangkutan awam BAS.MY Kota Setar di Kedah dan BAS.MY Kangar di Perlis. Ini merupakan insiatif di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST). Terdahulu, program ini telah beroperasi di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Melaka, Seremban, Ipoh dan bakal dilancarkan di Kota Kinabalu dan Kuantan tidak lama lagi.

    Menurut Menteri MoT Anthony Loke, di bawah kementeriannya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menyediakan pengangkutan awam yang bermutu pada harga yang berpatutan. Ia juga mendapat kerjasama yang baik dari kerajaan negeri dalam usaha untuk memperkasakan pengangkutan awam di negeri masing-masing.

    “Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sentiasa berusaha merangka satu sistem bas berhenti-henti yang lebih efisien dan dinamik agar dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran ekonomi dunia pada masa ini.

    “Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula perlu memainkan peranan penting bersama dalam merangka pembangunan prasarana pengangkutan awam bagi menambah baik pengalaman pengguna (atau user experience) pengangkutan awam dan perhentian bas yang selesa, kemudahan papan maklumat yang jelas serta turut menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat kepada pengguna. Ini antara elemen penting dalam melengkapkan ekosistem pengangkutan awam yang baik lagi tersusun serta menyeluruh,” kata Loke dalam majlis pelancaran BAS.MY Kota Setar.

    Bagi BAS.MY di Kota Setar yang dikendalikan oleh Gopi Travel Tours Sdn Bhd, menyediakan 48 buah bas baharu baharu yang terdiri dari enam buah bas midi dan 42 bas mini low floor. Dengan melibatkan 13 laluan di bawah lima kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Pendang, dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.

    Untuk BAS.MY di Kangar pula, ia dikendalikan oleh MARA Liner Sdn Bhd, yang menyediakan 24 buah bas baharu yang terdiri daripada 20 bas mini dan empat bas mini low floor, dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin, sistem GPS, tiket elektronik serta kamera litar tertutup (CCTV) demi keselamatan penumpang. Ia menawarkan sembilan laluan utama di seluruh Perlis termasuk laluan menghubungkan Kangar dan Alor Setar. Selain itu, di Perlis, ia juga menyediakan BAS.MY Medik untuk penumpang mobiliti terhad.

    BAS.MY dilancarkan di Kota Setar dan Kangar – kini meliputi 8 negeri, bakal ke Kota Kinabalu dan Kuantan

    Loke turut berkata, perkhidmatan BAS.MY ini akan dipantau melalui GPS dari segi Ketersediaan Perkhidmatan dan Ketepatan Masa. “Sekiranya pengendali gagal menepati KPI yang ditetapkan bagi dua aspek ini, penalti akan dikenakan. Pemantauan yang berterusan dapat memastikan perkhidmatan BAS.MY yang cekap dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam,”jelasnya.

    Kesemua perkhidmatan BAS.MY menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan kad debit/kredit atau e-wallet melalui imbasan kod QR. Selain itu, bagi meringankan beban pengguna tetap, warga Malaysia boleh melanggan Kad 30 Hari BAS.MY pada harga RM50 bagi perjalanan tanpa had. Manakala untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah dan siswa pula layak menikmati tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY.

    Dalam masa yang sama, MoT juga melancarkan laman web rasmi BAS.MY bagi membolehkan pengguna untuk menyemak laluan dan jadual perjalanan serta lokasi utama selain maklumat produk BAS.MY seperti Kad 30 Hari dan Kad Konsesi.

     
     
  • Harley-Davidson lancar barisan cruiser 2025 untuk pasaran Malaysia – enjin 1,923 cc, RM120k-RM151k

    Harley-Davidson lancar barisan cruiser 2025 untuk pasaran Malaysia – enjin 1,923 cc, RM120k-RM151k

    Bersempena dengan acara Art of Speed di MAEPS, Serdang hujung minggu lalu, Harley-Davidson (H-D) melancarkan barisan cruiser tahun 2025 untuk pasaran Malaysia. Model yang ditawarkan terdiri daripada Street Bob (RM119,900), Heritage Classic (RM143,900), Breakout (RM146,900), Fat Boy (RM149,900), Low Rider S (RM134,900) dan Low Rider ST (RM150,900).

    Asas untuk kesemuanya adalah sama iaitu casis Softail, dengan monoshock yang tersembunyi serta enjin Milwaukee Eight 117 berkapasiti 1,923 cc dengan padanan transmisi enam kelajuan serta sistem pacuan tali sawat.

    Jumlah kuasa bagaimanapun adalah berbeza, dengan Street Bob dan Heritage Classic menghasilkan 91 hp/156 Nm, Breakout dan Fat Boy 103 hp/168 Nm, dan Low Rider S serta Low Rider ST 114 hp/173 Nm. Tiga mod tunggangan disediakan iaitu Road, Rain dan Sport.

    Untuk model tahun 2025 ini, selain penampilan, bahagian enjin juga menerima peningkatan, antaranya salur kemasukan udara dan ekzos, dengan penapis udara serta laluan udara yang disesuaikan dengan pakej kuasa masing-masing. Ekzos kini lebih ringan dan menggunakan sistem 2-1 (kecuali pada Fat Boy dan Breakout).

    Sistem paparan informasi motosikal menggunakan gabungan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Cornering ABS, kawalan cengkaman, Drag Torque Slip Control, pemerhati tekanan angin tayar, semua lampu jenis LED dan soket pengecas USB-C. Model paling ringan adalah Street Bob, mencatat 293 kg, manakala paling berat adalah Heritage Classic dengan catatan 326 kg.

     
     
  • Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

    Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

    Hyundai melancarkan model facelift bagi MPV Stargazer dan varian berinspirasikan crossover di Indonesia, masing-masing dinamakan Stargazer Cartenz dan Stargazer Cartenz X. Penjenamaan semula ini merupakan strategi Hyundai untuk menghasilkan kenderaan yang lebih sesuai dengan kondisi jalan raya Indonesia, dengan nama “Cartenz” diambil daripada Puncak Cartenz, puncak tertinggi di negara itu.

    Stargazer Cartenz ditawarkan dalam empat varian – Trend, Style, Smart HSS dan Prime HSS – manakala Cartenz X hadir dalam tiga pilihan iaitu Trend, Style dan Prime Package. Kedua-dua model menggunakan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat silinder MPI yang menghasilkan 115 PS dan 143.8 Nm tork. Transmisi IVT adalah standard untuk Cartenz X, sementara model Cartenz menawarkan pilihan transmisi manual enam kelajuan bagi varian Trend dan Style.

    Dari segi harga, Stargazer Cartenz bermula dari 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000). Ini menjadikan Cartenz X lebih premium dengan kelengkapan tambahan dan rekaan lebih lasak.

    Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

    Perubahan ketara boleh dilihat pada reka bentuk luaran, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.

    Varian Cartenz X tampil lebih garang dengan gril yang lebih besar, bampar depan dan belakang lebih tebal, spoiler besar, rel bumbung lebih tegap dan lengkuk roda berwarna hitam. Saiz keseluruhan juga bertambah, menjadikan Cartenz X lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding versi biasa.

    Bahagian dalam kedua-dua model menerima kemas kini penting termasuk papan pemuka baru dengan paparan dwi-skrin moden, ventilasi udara lebih ringkas, ruang simpanan tambahan di hadapan penumpang dan panel kawalan pendingin hawa digital yang lebih kemas. Sistem infotainmen dan kluster meter turut dipertingkat, bergantung kepada varian.

    Hyundai Stargazer Cartenz 2025 dilancar di Indonesia – harga dari RM70k, enjin 1.5L NA, transmisi IVT/6MT

    Model Cartenz menawarkan pelbagai ciri termasuk lampu LED MFR, rim 16 atau 17 inci, skrin infotainmen sehingga 10.25 inci, pengecas tanpa wayar, enam beg udara serta sistem telematik Bluelink. Varian HSS pula dilengkapi teknologi keselamatan aktif Hyundai SmartSense yang merangkumi AEB, Adaptive Cruise Control, amaran pelanggaran sisi dan pelbagai ciri bantuan pemandu lain.

    Cartenz X hadir dengan kelengkapan lebih menyeluruh, termasuk sistem bunyi lapan pembesar suara Bose, tempat duduk pemandu berkuasa dengan fungsi ventilasi serta pengesan jarak depan dan belakang. SmartSense disediakan untuk varian Style dan Prime Package, dengan tambahan monitor pandangan keliling serta pemantau titik buta berasaskan kamera.

    Semua varian datang dengan tempat duduk tiga baris, sama ada dengan konfigurasi bangku 60:40 di baris kedua atau kerusi kapten bagi varian tertentu. Kapasiti ruang but mencecah 585 liter apabila baris ketiga dilipat. Pilihan warna luaran termasuk Titanium Gray, Magnetic Silver, Creamy White, Midnight Black dan dua warna tambahan eksklusif Cartenz X iaitu Optic White Matte dan Gravity Gold Matte.

    Di pasaran Indonesia, Stargazer Cartenz bersaing secara langsung dengan Toyota Veloz dan Mitsubishi Xpander, manakala Cartenz X mencabar kehadiran Mitsubishi Xpander Cross. Dengan peningkatan rekaan dan teknologi, tidak mustahil model ini akan mendapat perhatian jika dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

    GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025

    GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025

     
     
  • Lexus NX 350h ganti NX 250 jadi model peringkat kemasukan NX di M’sia — 2.5 hibrid AWD, dari RM396k

    Lexus NX 350h ganti NX 250 jadi model peringkat kemasukan NX di M’sia — 2.5 hibrid AWD, dari RM396k

    Melalui laman web rasmi Lexus Malaysia, ada sebuah varian baru bagi model NX kini disenaraikan — NX 350h Luxury, dengan harga jualan bermula RM395,888. Namun, ada satu lagi varian pula sudah dikeluarkan dari senarai berkenaan — NX 250 Luxury dengan harga RM371k, yang merupakan varian lebih murah di antara dua varian ketika pelancarannya pada 2022 (satu lagi ialah NX 350 F Sport, RM390k) kini tiada lagi dipaparkan, menjadikan varian NX 350h ini sebagai varian NX peringkat kemasukan di sini.

    Sistem hibridnya menggabungkan enjin A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder, dua motor elektrik (satu di setiap gandar, menjadikannya pacuan semua roda), CVT dengan lapan nisbah maya serta bateri lithium-ion. Output keseluruhan sistem ini ialah 243 hp dan 239 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, dan Lexus mendakwa kadar penggunaan minyaknya ialah lima liter per 100 km.

    Lexus NX 350h ganti NX 250 jadi model peringkat kemasukan NX di M’sia — 2.5 hibrid AWD, dari RM396k

    Sebagai perbandingan, NX 250 menghasilkan 204 hp dan 243 Nm tork, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat, sementara varian paling tinggi NX 350 F Sport menjana 275 hp dan 430 Nm serta pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat. Ruang but kedua-duanya kekal sama dengan 520 liter.

    NX 350h baru ini dilengkapi dengan suspensi depan jenis MacPherson strut dan double wishbone di belakang, serta mempunyai mode pemanduan Normal, Eco dan Sport, dan rim 20-inci Dark Gray Metallic dengan tayar 235/50 run-flat. Beza dengan NX 350 F Sport, ia tidak mempunyai suspensi adaptif dan penyerap hentak prestasi.

    Dari segi kelengkapan, NX 350h hadir sama seperti NX250, antaranya lampu utama LED projektor larasan automatik, DRL bentuk L, lampu kabus depan, pengilap automatik, landasan bumbung satin perak, lengkung tayar hitam serta pintu ruang barangan belakang dengan ciri tanpa kendalian tangan.

    Lexus NX 350h ganti NX 250 jadi model peringkat kemasukan NX di M’sia — 2.5 hibrid AWD, dari RM396k

    Di dalam, selain perubahan kemasan papan pemuka 3D Cutting Black yang menggantikan kemasan kayu berliang terbuka NX 250, ciri lain masih dikekalkan, seperti stereng boleh laras balutan kulit dengan memori, paddle shift, kawalan pendingin dua zon automatik dengan corong belakang, lampu ambient 64-warna, 10-pembesar suara Lexus Premium Audio dengan subwoofer, serta skrin sentuh 14-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Masih dikekalkan ialah fungsi pengesanan suara, tunjuk arah, head-up display, pengecas tanpa wayar dengan talam gelungsur serta kerusi pemandu larasan lapan-arah dengan fungsi memori dan sokongan lumbar empat arah. Tujuh beg udara juga masih tersedia, serta Lexus Safety System+ (termasuk AEB dan ACC dengan Stop/Go).

     
     
  • Thunder dari Jepun akan lancar di Malaysia Oktober ini – motosikal gaya kustom 250 cc, sekitar RM24k

    Thunder dari Jepun akan lancar di Malaysia Oktober ini – motosikal gaya kustom 250 cc, sekitar RM24k

    Semasa acara Art of Speed 2025 hujung minggu lalu, dewan pameran utama dipenuhi dengan kereta serta motosikal ubah suai. Namun, tersembunyi di dalam keramaian itu adalah satu jenama baru yang dipanggil sebagai Thunder dari Jepun.

    Ramai yang tidak perasan, ini sebenarnya adalah jenama baru, kerana motosikal yang mereka pamerkan memang kelihatan seperti jentera ubah suai, tetapi hakikatnya ia keluar terus dari kilang dengan rupa sebegitu (pengeluaran di China).

    Maklumat yang kami peroleh daripada wakil yang berada di situ, Thunder akan dilancarkan secara rasmi untuk jualan pada bulan Oktober ini, pada harga yang dijangkakan berada sekitar RM24k. Ini adalah sama bagi kedua-dua model Softail dan Hardtail seperti yang dibawa ke kawasan pameran.

    Melihat dalam laman web rasmi mereka, Hardtail Thunder 250 dan Softail Thunder 250 dipacu oleh enjin dua silinder v-twin 249 cc bersama padanan transmisi lima kelajuan, menghasilkan 17 hp pada 8,000 rpm dan tork 19 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan boleh dihidupkan dengan butang elektrik.

    Beza antara dua model ini cuma pada suspensi belakang, dengan model Hardtail tidak mempunyai penyerap, sementara roda hadapan pula dipegang oleh penyerap seperti springer. Anda juga boleh melihat perincian lain seperti kemasan krom, cat seperti airbrush serta meter analog yang ringkas.

    Mengikut perancangan, Thunder akan dilancarkan secara rasmi untuk jualan pada bulan Oktober ini, dengan harga yang diberitahu sama untuk kedua-dua model, iaitu sekitar RM24k. Di Jepun, versi Softail dijual pada harga 905,455 Yen (RM25,865), manakala Hardtail dijual pada harga 850,000 yen (RM24,281).

     
     
  • Mitsubishi Motors keluar sepenuhnya pasaran China termasuk operasi bekalkan enjin kepada jenama lain

    Mitsubishi Motors keluar sepenuhnya pasaran China termasuk operasi bekalkan enjin kepada jenama lain

    Perasan tak sebelum ini Mitsubishi ada membekalkan enjin-enjin kepada pelbagai jenama China, misalnya anda boleh jumpa enjin 4G64 Mitsubishi dalam perut MPV Chery Eastar? Ini kerana Mitsubishi memang ada kerjasama dengan syarikat dari China bagi membentuk Shenyang Aerospace Mitsubishi Motors Engine Manufacturing (SAME) pada Ogos 1997.

    SAME bukan hanya membekalkan enjin-enjin kepada kilang-kilang pemasangan Mitsubishi di China, malah turut membekalkan enjin mereka kepada pengeluar-pengeluar automotif China yang lain sejak 1998. Walau bagaimanapun, syarikat tersebut telahpun mengumumkan bahawa ia telah menghentikan operasinya baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, langkah untuk menghentikan operasi SAME ini adalah “sebagai respon kepada transformasi pesat industri automotif China.” Ini bermakna Mitsubishi telah keluar dari pasaran China sepenuhnya selepas operasi pengeluaran kenderaannya dihentikan pada 2023.

    Menurut laporan CarNewsChina, Mitsubishi mula masuk ke pasaran China bermula 1973 dengan mengeksport trak tugas sederhana. Pada awal era 2000, syarikat kerjasama yang ditubuhkan untuk menghasilkan unit rangkaian kuasa tersebut telah membekalkan enjin kepada kira-kira 30% kenderaan yang dihasilkan secara domestik di China.

    Manakala pada 2012, kerjasama GAC-Mitsubishi pula terbentuk, di mana 50% di miliki GAC, 30% milik Mitsubishi Motors, dan 20% lagi milik Mitsubishi Corporation. Kerjasama ini mencapai kemuncaknya pada 2018 di mana 144,000 unit kenderaan telah terjual, termasuk 105,600 unit Outlander.

    Namun jumlah kenderaan yang terjual telah jatuh kepada hanya 33,600 unit empat tahun selepas itu. Ini telah menyebabkan Mitsubishi menutup operasi kilang Changsa pada pada Oktober 2023, di mana kilang dan operasinya dijualkan kepda GAC AION

     
     
  • Jetour mulakan pemasangan CKD di M’sia – Dashing, VT9; sasar jadi hab produksi, pengedaran ASEAN

    Jetour mulakan pemasangan CKD di M’sia – Dashing, VT9; sasar jadi hab produksi, pengedaran ASEAN

    Jetour Auto Malaysia telah memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk dua model SUV keluarannya iaitu Dashing dan VT9 di fasiliti pemasangan Berjaya Assembly Sdn. Bhd. (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru. Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam strategi pengeluaran tempatan Jetour, dalam masa yang sama mengukuhkan komitmen jangka panjang jenama ini untuk pasaran tempatan.

    Dengan keluasan 640,000 kaki persegi, fasiliti sedia ada iaitu B-Assembly memiliki seramai lebih 100 orang tenaga kerja yang berdedikasi menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi negara dalam sektor automotif dengan meningkatkan pemerolehan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran,serta memperkukuhkan integrasi dalam rantaian bekalan tempatan.

    “Pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour. Pemasangan tempatan bagi model Dashing dan VT9 bukan sahaja hanya satu kemajuan dari segi pengeluaran, malah merupakan pelaburan besar dalam bakat, inovasi, dan potensi mobiliti di rantau ini pada masa akan datang,” kata Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International.

    Jetour Dashing (kiri) & VT9 (kanan)

    Fu Yong selaku Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia pula berkata, “Dengan pelancaran pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi, dan kepuasan pelanggan. Kerjasama dengan B-Assembly ini turut membina asas kukuh bagi strategi peluasan JETOUR ke seluruh rantau ASEAN.”

    B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad, berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour. Fasiliti yang sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi, serta penyelesaian mobiliti yang mampan.

    “Kami berbangga menjadi rakan pemasangan tempatan untuk Jetour di Malaysia. Kerjasama ini menunjukkan keyakinan bersama kami terhadap masa depan sektor automotif negara serta komitmen kami untuk menyumbang kepada pembangunan industri nasional,” kata Dato’ Tony Khor, Penasihat B-Assembly.

    Setakat ini, lebih 1,000 unit telah diproduksi di fasiliti tersebut, dengan penghantaran Dashing pemasangan tempatan telah pun bermula sejak Jun lalu, diikuti oleh model VT9 tidak lama lagi.

    Pada masa hadapan, Jetour kini dalam perancangan untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan, dan turut merancang pengeluaran eksport ke negara-negara jiran di rantau ASEAN. Di samping itu, Jetour turut bakal memperkenalkan beberapa lagi model baharu yang akan dipasang di Malaysia dan mempercepatkan usahanya untuk menembusi pasaran ASEAN dalam masa terdekat ini.

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia pada awal April lalu dan ditawarkan dengan dua varian iaitu Comfort dan Prime dengan harga masing-masing adalah RM109,800 dan RM116,800. Ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.

    Manakala Jetour VT9 pula dilancarkan Mei tahun ini dengan dua varian iaitu 1.5 TCI Comfort berharga RM119,350 dan RM124,350 untuk 1.5 TCI Prime. Ia diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan. Kedua-duanya diberikan dua mod pemanduan iaitu Eco dan Sport.

    GALERI: Jetour VT9 di Malaysia

    GALERI: Jetour Dashing Prime di Malaysia