Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BYD Atto 1 dilancarkan di Indonesia sebagai EV paling murah jenama itu – dari RM51k, jarak gerak 380 km

    BYD Atto 1 dilancarkan di Indonesia sebagai EV paling murah jenama itu – dari RM51k, jarak gerak 380 km

    Model paling kecil BYD, iaitu Atto 1, yang sebenarnya merupakan BYD Seagull yang dijenamakan semula membuat penampilan rasmi di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025. Ditawarkan dalam dua varian, Atto 1 menjadi model elektrik paling mampu milik dari BYD di pasaran Indonesia, dengan harga bermula serendah 195 juta rupiah (anggaran RM51,000) untuk versi Standard Range Dynamic.

    Varian asas ini menggunakan bateri Blade LFP (lithium iron phosphate) berkapasiti 30.08 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak sehingga 300 km mengikut piawaian NEDC. Varian kedua pula, iaitu Long Range Premium, dijual pada harga 235 juta rupiah (sekitar RM61,000) dan hadir dengan bateri 38.88 kWh, yang meningkatkan jarak ke 380 km.

    Dari segi pengecasan, Atto 1 boleh menerima input AC sehingga 6.6 kW, manakala pengecasan pantas DC ditawarkan pada kadar 30 kW untuk varian Dynamic dan 40 kW untuk varian Premium. Kedua-dua varian turut dilengkapi sistem vehicle-to-load (V2L) sebagai ciri standard. Motor elektrik yang digunakan dipasang di bahagian hadapan, menghasilkan 75 PS (55 kW) dan 135 Nm tork, membolehkan pecutan dari 0 ke 50 km/j dalam 4.9 saat dan kelajuan maksimum 130 km/j.

    BYD Atto 1 dilancarkan di Indonesia sebagai EV paling murah jenama itu – dari RM51k, jarak gerak 380 km

    Atto 1 berada di bawah model Dolphin dalam barisan produk BYD, menjadikannya kenderaan elektrik paling kecil syarikat itu di Indonesia. Dimensinya ialah 3,925 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,590 mm tinggi, dengan jarak roda 2,500 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin lebih besar dengan panjang 4,290 mm dan jarak roda 2,700 mm. Jika Atto 1 dibawa masuk ke Malaysia, saiznya hampir sama dengan Perodua Myvi, yang berukuran 3,895 mm panjang dan 1,735 mm lebar.

    Ciri standard pada Atto 1 termasuk rim aloi 16 inci dengan tayar 185/55, lampu utama LED automatik, lampu siang LED, lampu belakang LED, akses tanpa kunci, sokongan kunci digital NFC dan kad, kunci Bluetooth melalui telefon pintar, paparan meter digital 7 inci, sistem infotainmen 10.1 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta sistem pendingin hawa satu zon dan empat pembesar suara.

    Varian Premium hadir dengan beberapa kelebihan tambahan seperti larasan tilt dan teleskopik untuk stereng (berbanding hanya tilt pada Dynamic), kerusi pemandu berkuasa elektrik (manual pada Dynamic), pad pengecas tanpa wayar, serta tingkap pemandu dengan fungsi naik-turun automatik dan ciri anti-sepit.

    BYD Atto 1 dilancarkan di Indonesia sebagai EV paling murah jenama itu – dari RM51k, jarak gerak 380 km

    Dari segi keselamatan, hanya varian Premium dilengkapi enam beg udara, manakala varian asas hanya mempunyai empat beg udara dan tiada perlindungan sisi. Namun, kedua-dua varian tetap menerima ciri penting seperti cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, sistem pemantauan tekanan angin tayar, kamera undur, pengesan undur belakang, brek parkir elektronik, cruise control dan pelbagai sistem keselamatan pasif seperti ESC, ABS, kawalan cengkaman, EBD, VDC dan bantuan mula mendaki. Tiada sistem bantuan pemandu (ADAS) ditawarkan untuk Atto 1 di Indonesia.

    Pembeli boleh memilih antara tiga warna luaran — Sprout Green, Cosmos Black dan Apricity White — semuanya dipadankan dengan kabin berwarna hitam dan kelabu. Setiap pembelian turut disertakan jaminan enam tahun atau 150,000 km untuk kenderaan, jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri, serta jaminan lapan tahun atau 150,000 km untuk unit pacuan.

    Dengan harga permulaan 195 juta rupiah, Atto 1 menjadi model BYD paling murah yang ditawarkan di Indonesia. Sebagai perbandingan, model Dolphin dijual dari 369 juta rupiah (RM96,000) hingga 429 juta rupiah (RM111,000).

    Namun begitu, disebabkan Malaysia mempunyai dasar harga minimum RM100,000 untuk kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU), dan Dolphin sendiri dijual di Malaysia pada harga bermula RM100,700 tanpa insurans, agak mustahil Atto 1 atau Seagull akan dibawa masuk secara rasmi ke sini. Selain faktor harga, spesifikasinya mungkin juga tidak cukup menarik bagi pembeli tempatan.

    Sebaliknya, pasaran Malaysia bakal menerima BYD Atto 2 (juga dikenali sebagai Yuan Up di China), yang saiznya hampir sama dengan Dolphin tetapi lebih kecil berbanding Atto 3. Untuk rujukan, Atto 3 ditawarkan di Malaysia dalam varian Ultra pada harga RM124,500 atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • Perkhidmatan e-hailing InDrive, Maxim dibenarkan terus beroperasi, pemantauan 3 bulan – APAD

    Perkhidmatan e-hailing InDrive, Maxim dibenarkan terus beroperasi, pemantauan 3 bulan – APAD

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD mengumumkan bahawa perkhidmatan e-hailing Aist Malaysia Sdn. Bhd. (Maxim) dan ID Applications Sdn. Bhd. (InDrive) dibenarkan untuk terus beroperasi, namun di bawah pemantauan selama tiga bulan berkuatkuasa 24 Julai 2025.

    “Pada 11 Julai 2025, APAD telah melaksanakan semakan rawak ke atas pemandu InDrive dan Maxim dan mendapati bahawa semua pemandu yang disemak telah mempunyai permit e-hailing (EVP) yang sah berdasarkan semakan silang dengan data rekod APAD. Berdasarkan hasil penelitian dan penilaian semasa oleh pihak APAD dan JPJ, langkah penambahbaikan dan komitmen yang ditunjukkan kedua-dua syarikat pengendali adalah memuaskan.

    “Walaupun telah dibenarkan untuk terus beroperasi, kedua-dua syarikat pengendali ini masih perlu menjalani tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai 2025. Tindakan tegas sepertimana di bawah Seksyen 12A (5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) boleh dikenakan sekiranya mereka didapati gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang telah ditetapkan,” kata APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    APAD turut berkata, bagi memenuhi syarat ini, Maxim dan InDrive telah menambah baik sistem pendaftaran untuk memastikan semua pemandu mempunyai EVP yang sah sebelum memulakan tugasan.

    Perkhidmatan e-hailing InDrive, Maxim dibenarkan terus beroperasi, pemantauan 3 bulan – APAD

    “Sebagai langkah tambahan, Maxim dan InDrive juga memberi akses data secara “view only” kepada APAD bagi memudahkan proses semakan silang di antara data syarikat dan data EVP di bawah pengurusan APAD.

    “Bagi memastikan komitmen kedua-dua syarikat pengendali ini berterusan, wakil syarikat dikehendaki hadir ke lbu Pejabat APAD setiap bulan sepanjang tempoh pemantauan. Bilangan kehadiran bulanan adalah tertakluk kepada keperluan APAD berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa. Sesi ini bertujuan untuk membolehkan APAD melaksanakan pemantauan secara ‘real-time’, di mana semakan rawak terhadap pemandu dilakukan melalui aplikasi InDrive dan Maxim,” tambahnya lagi.

    Pada 24 APril lalu, APAD telah Notis Pembatalan Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) kepada pengendali Maxim dan InDrive. Tindakan tersebut adalah susulan audit terhadap pemain-pemain utama pengendali e-hailing (EHO) yang mana didapati ketidakpatuhan oleh Maxim dan InDrive terutamanya dalam aspek keperluan EVP.

    Berikutan tindakan tersebut, Maxim dan InDrive telah membuat rayuan kepada Kementerian Pengangkutan. Kedua-dua EHO telah disyaratkan untuk mengambil tindakan pembetulan sebelum 24 Julai 2025 bagi kelangsungan perkhidmatan masing-masing.

     
     
  • GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

    GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

    Selain dari model-model baharu, reruai Daihatsu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) setiap tahun pastinya akan menampilkan model-model konsep yang menarik – sama ada ia model konsep yang membayang model-model baharu akan datang, atau model sedia ada yang memberikan idea untuk pemilik-pemiliknya membuat ubahsuai tersendiri terhadap kereta masing-masing.

    Untuk GIIAS 2025 yang sudah berlangsung minggu ini, Daihatsu membawakan model konsep Daihatsu Ayla Retro Future, iaitu Ayla yang diubahsuai dengan menerapkan ciri-ciri retro seperti model-model produksi moden-klasik JDM yang pernah dihasilkan oleh Daihatsu satu ketika dulu seperti Mira Classic L500S dan Mira Gino L700.

    Seperti yang boleh anda lihat, model konsep ini masih lagi mengekalkan rupa asas Ayla, yang juga merupakan kembar kepada Perodua Axia generasi kedua di Malaysia. Mukanya telah menerima rombakan besar melibatkan perubahan pada penutup bonet hadapan, kluster lampu yang menampilkan lampu utama dan lampu isyarat membelok berbentuk bulat seperti kereta-kereta pada era 50’an dan 60’an.

    GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

    Dengan penutup bonet yang telah menutup sebahagian besar bahagian ‘hidung’ kereta ini, ia hanya diberikan gril atas yang kecil yang disekalikan dengan bampar. Gril lebih besar diberikan pada bahagian bawah, dan bampar ini dilengkapkan dengan pemadanan lampu kabus yang juga berbentuk bulat.

    Manakala di belakang, kluster lampu asal Alya/Axia masih lagi kelihatan, namun ia kini menjadi perumah untuk lampu brek dan lampu isyarat membelok yang juga berbentuk bulat. Manakala lampu undur, ia dialihkan ke bahagian bampar seperti Mira Classic.

    Daihatsu memilih tema warna badan dua tona seakan kereta klasik Amerika Syarikat. Bahagian bumbung hingga but depan dilayangkan dengan warna putih, manakala bahagian badan yang lebih rendah menerima warna hijau pastel. Juga boleh kelihatan beberapa motif pinstripe pada penutup but hadapan, loga Daihatsu hadapan dan belakang, serta pada bahagian tiang-C.

    Rupa luaran kereta ini dilengkapkan set rim aloi 15-inci dengan penutup aerodisc di hadapan, dibalut dengan tayar 195/50R15. Badan kereta ini sebenarnya boleh direndahkan lagi kerana suspensi asal telah diubah menggunakan penyerap hentak udara.

    Masuk ke dalam, dengan kelengakapan seperti paparan meter analog, pemain audio asas DIN tunggal dan juga tombol gear manual lima kelajuan menandakan bahawa ia adalah Ayla dari varian asas. Namun kabin ini tidak dibiarkan standard di mana tempat duduk asal telah dibalut semula dengan fabrik berwarna hijau seperti warna badan, bersama jalur-jalur tan dan diberikan jalur tiub di sekeliling kusyen tempat duduk tersebut seperti tempat duduk era 70’an dan 80’an.

    Di Indonesia Daihatsu Ayla tampil dengan pilihan enjin 1.0 liter 1KR-VE tiga silinder berkuasa 67 PS dan tork maksima 89 Nm, dan juga 1.2 liter WA-VE tiga-silinder DOHC Dual VVT-i berkuasa 88 PS dan tork maksima 113 Nm. Bergantung pada varian, kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear D-CVT automatik atau transmisi manual lima-kelajuan.

    Kami difahamkan Daihatsu Ayla Retro Future sebenarnya dihasilkan bersama pempengaruh Indonesia, Gofar Hilman dan ia akan dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah yang akan dibuat di GIIAS 2025 ini.

     
     
  • Volvo beri rebat tunai lumayan bagi model baharu — potongan hingga RM40,888 untuk XC40, EX30, XC60

    Volvo beri rebat tunai lumayan bagi model baharu — potongan hingga RM40,888 untuk XC40, EX30, XC60

    Kenderaan Volvo selalunya tahan lama, dan ianya bukan sekadar ketahanan material. Dengan kemegahan penggayaan, estetika kenderaan Volvo juga tak usang dimamah waktu. Selepas sedekad berlalu, anda pasti akan mendapati bahawa kenderaan Volvo generasi hari ini yang hadir dengan rekaan kemas dan bersih serta minimalis yang tetap elegan, akan terus terlihat segar dan melangkaui gaya semasa.

    Ia juga sangat pantas. Mereka yang pernah memandu kenderaan Volvo pada era 90an pasti tahu bagaimana prestasi model Volvo dengan lencana T. Dan fakta ini masih kekal hingga ke hari ini, termasuk EV daripada Volvo. EX30 merupakan contoh klasik “musang berbulu ayam” — tampil kecil dan sederhana, tetapi EV yang paling kecil ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sahaja. Itu prestasi yang sama seperti supercar!

    Ada banyak perkara yang menarik tentang kenderaan Volvo hari ini, yang perlu berada dalam senarai mereka yang ingin memiliki kereta premium. Jika impian berkenaan belum tercapai, mungkin tawaran terbaharu daripada Volvo Car Malaysia akan mengubah itu semua. Bagaimana dengan tawaran rebat tunai sebanyak RM40,888?

    Volvo EX30 bermula dengan penawaran paling asas Ultra, yang sebenarnya lengkap dengan ciri dan fungsi canggih, yang melengkapi saiz kompaknya dengan segala teknologi keselamatan yang diperlukan. Walaupun hanya varian paling rendah, motor elektrik tunggalnya mampu menjana sebanyak 272 PS/343 Nm dan memecut 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan memberikan jarak perjalanan WLTP sejauh 476 Nm. Dengan rebat tunai sebanyak RM23,888, harganya kini menjadi serendah RM185,000.

    Volvo beri rebat tunai lumayan bagi model baharu — potongan hingga RM40,888 untuk XC40, EX30, XC60

    Tetapi, jika anda memang inginkan prestasi, pilih EX30 Ultra Twin Performance. Tambahan sebuah lagi motor elektrik yang menjadikannya AWD, dengan janaan 428 PS/543 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat. Jarak perjalanan WLTP pula masih mengagumkan dengan 450 km. Rebat untuk ini ialah RM33,888, yang menjadikan harga jualannya RM195,000 — tawaran yang sangat menarik, bukan?

    Dan, jika anda inginkan kenderaan yang lebih luas untuk keluarga, model XC40 dan XC60 menyediakan semua itu. Ia juga sesuai untuk mereka yang baru ingin beralih kepada kenderaan dengan elektrifikasi, XC40 dalam penawaran B5 mild-hybrid (2.0 liter turbo, janaan output 260 hp/390 Nm, 0-100 km/j dalam 6.4 saat) kini boleh dimiliki dengan harga RM248,000, bersamaan dengan rebat sebanyak RM30,000.

    Badan dan luaran XC40, dengan bumbung dalam gaya condong coupe, bahagian belakang yang sporty dan janaan kuasa elektrik sepenuhnya, kini dipanggil EC40 (dahulunya C40). Dengan dua motor, 408 PS dan 670 Nm, 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat, ia juga akan bergerak sejauh 554 km (WLTP). EC40 Twin pula kini datang dengan rebat tunai sebanyak RM40,888. Dan yang terakhir, XC60 yang malar segar — model paling laris Volvo sepanjang zaman — kini datang dengan rebat RM20,000.

    Anda juga tidak perlu risau tentang pemilikannnya, kerana setiap unit baharu Volvo datang dengan pakej servis percuma selama lima-tahun VSP. Lapangkan fikiran dan perasaan anda dengan pemilikan kenderaan Volvo — info lanjut berkenaan taawaran terkini daripada Volvo, di sini.

     
     
  • BYD Atto 2 dilancar di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.13 kWj, jarak gerak 350 km; dari RM100k

    BYD Atto 2 dilancar di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.13 kWj, jarak gerak 350 km; dari RM100k

    Selepas seminggu menguar-uarkan kedatangan model terbaharunya yang ‘dimeriahkan’ dengan kecomelan Capybara selaku maskotnya, hari ini BYD Sime Motors melancarkan SUV kompaknya, Atto 2 untuk pasaran tempatan. Hanya ditawarkan dengan varian tunggal, Atto 2 untuk pasaran Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM100,000 tanpa insurans. Turut didatangkan dengan waranti kenderaan enam-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan lapan-tahun/150,000 km.

    SUV kompak ini didedahkan buat pertama kalinya pada Februari 2024 di China, dan ia dikenali sebaggai Yuan Up. Diposisikan di antara model Dolphin dan Atto 3, Atto 2 kemudiannya diperkenalkan secara rasmi di Bangkok International Motor Show 2025 pada Mac tahun ini. Ia berukuran 4,310 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,675 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Dolphin pula berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda berukuran 2,700 mm.

    Jika dibandingkan dengan pencabarnya yang lain, Atto 2 lebih kurang sama saiz dengan Proton X50, yang berukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Ia juga bakal bersaing dengan Honda HR-V yang berukuran 4,347 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,591 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,610 mm.

    BYD Atto 2 dilancar di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.13 kWj, jarak gerak 350 km; dari RM100k

    Bagi penjana kuasanya, ia dipacukan oleh motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS (130 kW atau 174 hp) dan tork 290 Nm yang mampu dipecut dari 0–100 km/j dalam 7.9 saat dan kelajuan maksimum mencecah 160 km/j.

    Baterinya pula, diberikan unit lithium iron phosphate (LFP) Blade berkapasiti 51.13 kWj yang mampu memacu jarak pacuan hingga 350 km mengikut standard WLTP. Bateri ini mampu menyokong pengecas pantas DC CCS2 hingga 82 kW dengan status pengecasan antara 10% ke 80% mampu dicapai dalam 37 minit. Jika menggunakan pengecas AC Type 2 berkapasiti 7 kW pula, pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang enam jam. Ia juga menyokong fungsi V2L (Vehicle-to-Load) untuk mengecas peralatan elektrik sehingga 3.3 kW.

    Untuk bahagian luarannya, wajah Atto 2 ini direka ala “Dragon Face” yang memberi imej yang tersusun dengan overhang pendek serta lekuk badan yang berkuasa menonjolkan gaya yang sporty. Ia dilengkapi lampu LED hadapan penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang nipis dan trim hitam serta kemasan cerah di tengah gril untuk penampilan moden.

    BYD Atto 2 dilancar di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.13 kWj, jarak gerak 350 km; dari RM100k

    Ciri luarannya yang lain termasuk garisan bumbung seakan terapung (floating roof) dengan pillar hitam, flush door handles yang menambah gaya moden dan aerodinamik, dan perlindungan plastik hitam di bahagian bawah sisi (side cladding). Ia juga dipadankan dengan roda aloi lima-jejari 17-inci yang dibaluti tayar 215/60 R17.

    Melewati bahagian belakangnya, ia diberikan lampu belakang penuh (full‑width light bar) yang menyambung keseluruhan lebar belakang, bumper belakang yang condong keluar dilengkapi spoiler atas bumbung dan kemasan bawah seperti skid plate kemasan perak.

    Kabin Atto 2 diberikan sentuhan estetika dengan sistem kokpit pintar, bersama rekaan yang minimalis dan berorientasikan kepelbagaian fungsi bagi memberikan pengalaman yang menyenangkan dan mudah digunakan. Bahagian papan pemukanya juga minimalis dengan skrin infotainmen berputar berukuran 12.8-inci yang boleh diubah dari lanskap ke potret dengan satu tombol. Antara ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah kluster instrumen 8.8-inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, NFC keyless untuk membuka pintu yang dikunci, tempat duduk balutan kulit sintetik, BYD In-Car Karaoke, dan sokongan kemaskini OTA.

    BYD Atto 2 dilancar di Malaysia – 177 PS/290 Nm, bateri 51.13 kWj, jarak gerak 350 km; dari RM100k

    Ruang kargo Atto 2 mencecah 400 liter yang boleh diperluas hingga 1,320 liter dengan melipat tempat duduk belakang. Selain itu, terdapat banyak ruang simpanan dalam kabin termasuk konsol tengah yang dalam, pemegang cawan, pad pengecas tanpa wayar, dan kompartmen di bawah perehat tangan.

    Bagi aspek keselamatan, Atto 2 dilengkapi dengan sistem kawalan dan bantuan pemanduan ADAS 2.0 yang merangkumi Forward Collision Warning, Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Brake Override System dan Traffic Jam Assist. Selain itu, ia diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control, Downhill Assist Control, Auto Hold, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), sensor parkir (hadapan dan belakang), kamera belakang 360-darjah, Parking Assist, dan cagak Isofix, .

    BYD Atto 2 ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey, yang kesemuanya dipadankan dengan rona hitam untuk ruang kabin. Sekali lagi, ia ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM100,000 tanpa insurans.

    Sebagai perbandingan, Dolphin ditawarkan dengan harga dari RM100,700 tanpa insurans untuk varian asas Dynamic Standard dan meningkat hingga RM125,600 untuk model spesifikasi penuh Premium Extended. Manakala Atto 3 yang kini ditawarkan dengan varian tunggal Ultra ditawarkan pada harga atas jalan RM124,500 tanpa insurans.

    Untuk 800 pembeli pertama Atto 2 ini, BYD Sime Motors bakal memberikan pakej pemilikan mudah bernilai hingga RM13,500 iaitu Pakej Bayaran Mudah dengan bayaran ansuran RM0 untuk enam bulan pertama (eksklusif dengan bank panel Sime Motors)..

    Selain itu, bakal diberikan pengecas wallbox untuk landed house (rumah bertanah) atau Sime Platinum 4+ oleh Power Up yang merangkumi progran langganan percuma selama 12 bulan, empat kali pengecasan mudah alih dari pintu ke pintu untuk setiap bulan, dua kali cucian kereta, vakum dan mengilat tayar setiap bulan serta dua kali EV rescuer percuma selama setahun yang kesemua ini hanya untuk pemilik yang berada di PJ, KL dan Pulau Pinang.

     
     
  • Aletra L8 di GIIAS 2025 – MPV dijenamakan semula daripada Geely Jiaji/Livan 8, seakan “Exora EV”

    Aletra L8 di GIIAS 2025 – MPV dijenamakan semula daripada Geely Jiaji/Livan 8, seakan “Exora EV”

    Suatu masa dulu, Proton pernah menjanjikan pengganti kepada model Exora yang dikatakan mengambil asas daripada MPV Geely Jiaji. Namun, perancangan itu perlahan-lahan terkubur apabila pasaran Malaysia mula beralih sepenuhnya ke arah SUV. Menariknya, di Indonesia kini muncul sebuah lagi syarikat kereta nasional baru yang mengambil pendekatan berbeza — mereka mengubahsuai model MPV China ini menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya.

    Diperkenalkan sebagai Aletra, syarikat ini merupakan usaha sama antara pengedar bas PT Sinar Armada Globalindo (SAG) dan Livan Automotive, iaitu syarikat kerjasama antara Lifan dan Geely. Aletra L8, yang dilancarkan pada November lalu, dibina berasaskan model Livan 8 (sebelum ini dikenali sebagai Maple 80V) yang pada asalnya menggunakan platform Geely Jiaji. Berbeza dengan model asal yang hadir dengan enjin petrol atau plug-in hybrid, Aletra L8 tampil sebagai sebuah MPV elektrik penuh.

    MPV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang dipasang di bahagian hadapan, menghasilkan 163 PS (120 kW) dan tork 240 Nm. Kuasa ini sedikit lebih tinggi berbanding versi pasaran China. Melalui tetapan ini, kenderaan mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 10.7 saat, dengan kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik kepada 160 km/j.

    Aletra L8 di GIIAS 2025 – MPV dijenamakan semula daripada Geely Jiaji/Livan 8, seakan “Exora EV”

    Sumber tenaga kepada motor ini ialah bateri lithium iron phosphate (LFP) jenis “short blade” berkapasiti 65.74 kWh. Mengikut standard CLTC, jarak maksimum yang dicapai adalah sekitar 540 km, namun dalam penggunaan dunia sebenar, angkanya dijangka lebih dekat kepada 400 km.

    Model asas sebelum ini yang menggunakan bateri 50.4 kWh dengan jarak 431 km telah pun dihentikan pengeluaran. Walaupun tiada maklumat rasmi berkaitan pengecasan, tempoh pengecasan pantas DC dari 30% ke 80% dijangka sekitar 40 minit, berdasarkan spesifikasi bateri seumpamanya dari pasaran China.

    Reka bentuk luaran Aletra L8 masih mengekalkan identiti asal Geely Jiaji, termasuk garis bumbung, lampu hadapan serta bentuk ‘bahu’ dan tingkap di bahagian D-pillar. Perubahan paling ketara adalah pada bahagian hadapan, di mana gril Geely digantikan dengan panel kosong berbentuk perisai serta penutup soket pengecasan di tengah. Lampu penunjuk arah dan bukaan udara direka lebih ringkas dan minimal.

    Aletra L8 di GIIAS 2025 – MPV dijenamakan semula daripada Geely Jiaji/Livan 8, seakan “Exora EV”

    Di belakang pula, L8 menggunakan lampu yang diambil daripada Jiaji versi kemas kini, lengkap dengan grafik bergelombang, pemantul cahaya menegak dan bampar belakang yang diperbaharui. Rim bersaiz 18 inci diberikan rekaan gaya turbin dua tona yang mirip, tetapi tidak sama dengan rim Proton eMas 7 Prime. Di GIIAS 2025, Aletra turut mempamerkan kit badan “Aero Line” yang menampilkan bampar depan hitam, spoiler serta skirt tepi dan belakang.

    Bahagian dalaman L8 diubah suai kepada pemanduan sebelah kanan, menjadikannya nampak seolah-olah versi elektrik Exora yang tidak pernah menjadi kenyataan. Reka bentuk papan pemuka masih kekal dengan susunan berlapis, dilengkapi paparan digital 7 inci dan skrin infotainmen terapung bersaiz 12.4 inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Konsol tengah direka semula dengan pemegang telefon berkembar (di bahagian kiri turut dilengkapi pengecas tanpa wayar), tuil gear elektronik kecil, pemegang cawan berkembar dan kemasan kayu tiruan. Stereng rata di bahagian bawah kelihatan sama seperti model Proton, termasuk lekukan bulat di tengah beg udara yang biasanya menempatkan logo kepala harimau Proton.

    Walaupun risalah menyatakan konfigurasi tempat duduk 2-2-3, realitinya L8 menggunakan susun atur 2-3-3, menjadikannya MPV lapan tempat duduk. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat dalam konfigurasi 50:50, termasuk sokongan kepala di tengah, dan walaupun semua tempat duduk digunakan, ruang kargo masih mampu memuatkan 459 liter.

    Dari aspek keselamatan, L8 agak kekurangan kerana hanya dilengkapi empat beg udara tanpa sebarang sistem bantuan pemandu. Namun, Aletra menebusnya dengan menawarkan jaminan selama enam tahun atau 100,000 km, serta jaminan lapan tahun atau 150,000 km untuk sistem pacuan dan bateri (had bateri sehingga 500,000 km). Pembeli juga menerima pengecas dinding AC secara percuma, servis percuma selama tiga tahun atau 60,000 km dan bantuan tepi jalan percuma selama setahun.

    Harga Aletra L8 ditetapkan pada 488 juta rupiah (sekitar RM126,500), sedikit lebih tinggi berbanding model L8s tahun sebelumnya. Melihat kepada spesifikasi dan penampilannya, adakah anda rasa Proton sepatutnya membawa masuk Livan 8 sebagai pengganti Exora dalam bentuk elektrik? Untuk peminat MPV elektrik, ia mungkin satu peluang yang terlepas. Tambahan pula, Livan turut menawarkan model Livan 9, iaitu versi elektrik X90 yang menggunakan komponen mekanikal daripada Riddara RD6.

     
     
  • i2C bakal jadi kenderaan nasional seterusnya bagi Indonesia – SUV elektrik dengan rekaan dari Italdesign

    i2C bakal jadi kenderaan nasional seterusnya bagi Indonesia – SUV elektrik dengan rekaan dari Italdesign

    Satu kejutan muncul di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025 apabila sebuah kereta nasional baru untuk Indonesia diperkenalkan. Walaupun istilah “kereta nasional” mungkin tidak begitu mendapat perhatian seperti di Malaysia, ia semakin kerap digunakan di Indonesia, termasuk oleh syarikat seperti Polytron dan Aletra. Sekarang, muncul satu lagi jenama baru, i2C.

    i2C merupakan singkatan kepada “Indigenous Indonesia Car” dan ia dibangunkan oleh syarikat PT Teknologi Militer Indonesia (TMI). Jelas dapat dilihat daripada namanya, TMI merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang peralatan ketenteraan.

    Dalam laman rasmi syarikat, TMI menyifatkan dirinya sebagai sebuah platform strategik dalam pemerolehan teknologi inovatif bagi memperkukuh sektor pertahanan dan keselamatan negara, serta bertindak sebagai penyelaras sistem pengurusan pertempuran berteknologi tinggi. Antara produknya termasuk sistem pertahanan udara, darat dan laut.

    i2C bakal jadi kenderaan nasional seterusnya bagi Indonesia – SUV elektrik dengan rekaan dari Italdesign

    Persoalannya, mengapa syarikat pertahanan seperti TMI mahu menceburi bidang automotif awam? Kemungkinan besar, landskap industri automotif di Indonesia lebih terbuka jika sesebuah syarikat itu memiliki rakan teknologi dan sumber yang betul. Untuk projek i2C, laporan tempatan menyatakan SUV ini dibina berasaskan platform daripada rakan asing yang masih dirahsiakan identitinya. Salah satu yang sudah disahkan ialah studio reka bentuk terkenal dari Itali, Italdesign.

    Di GIIAS 2025, model konsep i2C yang dihasilkan Italdesign dipamerkan di ruang yang agak tersembunyi dalam kompleks ICE BSD. Ketika melihat model tanah liat berskala sebenar itu, reka bentuknya yang bersegi dan saiz besar dengan tiga baris tempat duduk mengingatkan kepada Kia EV9, terutamanya pada bahagian belakang.

    Di pentas pameran turut kelihatan logo Fincantieri, salah satu syarikat pembinaan kapal terbesar di dunia yang telah membina lebih 7,000 kapal sejak lebih 230 tahun lalu. Fincantieri juga dikenali sebagai pembekal utama kepada Tentera Laut Itali serta rakan strategik kepada beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat.

    Buat masa ini, model asas kepada i2C masih belum didedahkan. Namun, berdasarkan spesifikasi teknikal, besar kemungkinan ia berasal dari sebuah syarikat China. i2C mendakwa jarak perjalanan SUV elektrik ini mencecah 617 km mengikut kitaran CLTC, hasil daripada penggunaan bateri NMC berkapasiti 83.4 kWh.

    Ia menggunakan satu motor elektrik yang dipasang di belakang dengan kuasa 204 PS dan tork 310 Nm, satu angka yang sama seperti BYD Atto 3. SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam anggaran 9.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Untuk pengecasan, kadar maksimum yang ditawarkan ialah 150 kW bagi DC dan 11 kW untuk AC.

    Selain i2C, dua lagi kereta nasional baru dari Indonesia turut diperkenalkan, iaitu Aletra L8 dan Polytron G3. Aletra merupakan model yang dijenamakan semula daripada Livan Maple 80V L, iaitu versi elektrik bagi Geely Jiaji, manakala Polytron G3 adalah SUV elektrik berdasarkan Skyworth EV6. Polytron, seperti juga Skyworth, lebih dikenali sebagai pengeluar barangan elektronik rumah seperti televisyen, periuk nasi dan peti sejuk.

     
     
  • GIIAS 2025: Honda StepWGN Spada e:HEV 2.0L dilancarkan secara rasmi dipasaran Indonesia, RM163k

    GIIAS 2025: Honda StepWGN Spada e:HEV 2.0L dilancarkan secara rasmi dipasaran Indonesia, RM163k

    Selepas tempahannya dibuka di Indonesia dibuka bulan lalu, Honda StepWGN generasi ke-6 akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran negara itu serentak dengan berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 minggu ini.

    Di sana, MPV ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Honda StepWGN Spada e:HEV yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid, dijual pada harga bermula Rp629,000,000 (sekitar RM163k).

    StepWGN merupakan MPV jenis ‘people mover’ yang menampilkan badan yang tinggi untuk berhadapan terus dengan model seperti Nissan Serena dan Toyota Noah/Voxy. Model generasi keenam ini tampil dengan rupa lebih ringkas berbanding model generasi kelima. Tetapi ia kini tidak lagi menampilkan rekaan pintu tailgate belakang “Wake-waku Gate” yang begitu praktikal pada model generasi sebelumnya, dan ia hanya diberikan pintu tailgate biasa.

    Namun ia masih lagi menawarkan kabin dan susunan tempat duduk yang praktikal, contohnya tempat duduk baris kedua yang boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan dan juga ke hadapan dan ke belakang, manakala tempat duduk baris ketiga boleh dilipat masuk ke lantai bagi memberikan ruang but lebih luas dengan lantai rata.

    GIIAS 2025: Honda StepWGN Spada e:HEV 2.0L dilancarkan secara rasmi dipasaran Indonesia, RM163k

    Model pasaran Indonesia ini menerima perincian luaran seperti lampu hadapan LED penuh dengan lampu isyarat membelok LED sequential, rim aloi 16-inci, pintu gelangsar kedua-dua sisi bantuan kuasa dengan bukaan sentuhan elektrostatik, dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan memori larasan pelbagai sudut bukaan.

    Manakala pada sebelah dalam, StepWGN Spada pasaran Indonesia ini diberikan skrin sesentuh infotainmen 8.0-inci dengan hubungan Apple CarPlay, paparan instrumen digital dengan skrin TFT 10.2-inci, sistem pendingin hawa tiga-zon, port USB-C dan pengecas USB-A pada kabin depan serta pengecas USB-C pada tempat duduk baris kedua dan ketiga, serta kunci walkaway.

    Tempat duduk MPV ini disusun dengan konfigurasi 2-2-3, di mana ia diberikan kerusi kapten dengan ottoman pada baris kedua, dan juga tempat duduk “magic” jenis bench yang boleh dilipat rata selari dengan lantai dengan nisbah 60:40 yang turut disertakan karpet lantai setelah disorokkan. Ke semua tempat duduk ini dibalut dengan upholsteri kulit sintetik bersama fabrik FABTECT yang kalis air dan minyak.

    GIIAS 2025: Honda StepWGN Spada e:HEV 2.0L dilancarkan secara rasmi dipasaran Indonesia, RM163k

    Ia juga hadir dengan beberapa perincian ergonomik sepert meja lipat untuk penumpang baris kedua yang diletakkan pada bahagian belakang tempat duduk belakang bersama poket penyimpan barang, penyangkut barang ‘pop-up’ pada papan pemuka yang boleh menampung beban sehingga 3kg dan juga ruang storan sisi bersama pemegang cawan untuk penumpang baris ketiga.

    MPV ini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti dipadankan pada Honda Civic dan CR-V e:HEV yang sudahpun ada dalam pasaran Malaysia. Sistem berkenaan menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 145 PS dan tork maksima 175 Nm yang secara primari berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri hibrid.

    Manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 185 PS dan tork 315 Nm. Namun dalam situasi tertentu contohnya dalam kelajuan tinggi, enjin turut akan membantu motor elektrik untuk memacu tayar menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.

    Perincian keselamatan yang diberikan pada StepWGN Spada pasaran Indonesia ini termasuk enam-beg udara, bantuan mula mendaki (HSA) dan bantuan kestabilan kenderaan (VSA), brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, lampu membelok aktif, isyarat berhenti kecemasan, lapan penderia parkir dan pelbagai lagi.

    Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik CMBS, bantuan kekal lorong, cruise control adaptif dengan Low Speed Follow, lampu tinggi automatik, pengelak keluar jalan dan amaran keluar lorong dan pelbagai lagi.

    Lima warna badan ditawarkan untuk Honda StepWGN Spada e:HEV pasaran Indonesia ini iaitu Premium Crystal Garnet Metallic, Twilight Mist Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoride Grey Metallic dan Crystal Black Pearl.

     
     
  • Geely Starray EM-i muncul pertama kali di ASEAN — unit RHD sulung dengan kabin dalaman Proton eMas 7

    Geely Starray EM-i muncul pertama kali di ASEAN — unit RHD sulung dengan kabin dalaman Proton eMas 7

    Tidak lama selepas Geely mengesahkan nama Starray EM-i untuk model pasaran globalnya bagi Galaxy Starship 7, SUV plug-in hybrid itu membuat penampilan sulung di ASEAN — dalam bentuk pemanduan sebelah kanan — di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Tiada mengena dengan model Starray biasa, model ini dijangka tiba di Malaysia sebegai Proton eMas 7 PHEV, yang trademark namanya sudah difailkan di sini.

    Sama seperti Geely EX5/Proton eMas 7 elektrik penuh, Starray EM-i menggunakan asas Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), tetapi dengan sistem janaan Super Hybrid EM-i (E-Motive Intelligence) oleh Geely sendiri. Spesifikasi untuk pasaran Australia menunjukkan model ini menggunakan enjin 1.5 liter BHE15PFI NA empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 99 PS dan 125 Nm — angka yang lebih rendah berbanding di pasaran China, (111 PS dan 136 Nm).

    Digandingkan dengan transmisi 11-kepada-1 khusus hibrid elektrik (E-DHT) yang menggabungkan integrated starter-generator P1 dengan motor pemacu P3, ia menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 262 Nm. Output keseluruhan ialah 262 PS, dihantar ke roda depan.

    Geely Starray EM-i muncul pertama kali di ASEAN — unit RHD sulung dengan kabin dalaman Proton eMas 7

    Motor P3 menggunakan teknologi silicon carbide untuk mengoptimumkan pengurusan suhu dan memastikan kuasa puncak tanpa mengira keadaan cas semasa bateri, dakwa Geely. Dengan keadaan cas bateri yang rendah, kadar penggunaan minyak Starray EM-i disifatkan mampu memberikan serendah 6.2 liter per 100 km.

    Selain output enjin yang lebih rendah, Starray EM-i untuk pasaran global dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 18.4 kWh yang lebih kecil, berbanding 19.09 kWh yang digunakan untuk Starship 7 yang memberikan jarak elektrik 120 km mengikut kitaran CLTC. Untuk jarak WLTP, ia sekitar 100 km. Fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kWh juga dijangka akan disediakan.

    Geely memaklumkan sistem EM-i telah dibangunkan untuk menawarkan pemanduan yang lebih cekap kos denga jarak yang lebih jauh dan penggunaan bahan api yang rendah. Tiga mode pemanduan disediakan — Pure untuk elektrik penuh, Hybrid untuk penukaran antara elektrik dan petrol agar lebih cekap, dan Power yang mengabungkan kedua-duanya untuk prestasi maksimum.

    Geely Starray EM-i muncul pertama kali di ASEAN — unit RHD sulung dengan kabin dalaman Proton eMas 7

    Untuk bahahian luaran, Starray EM-i nampak sama dengan Starship 7 — misalnya jalur lampu penuh di depan dan belakang, lampu utama terpisah dan pemegang pintu konvensional. Lain pula ceritanya di dalam, kerana ia menggunakan versi yang ada pada EM5/eMas 7.

    Ini bermakna ia akan turut dilengkapi antara lain oleh paparan instrumen 10.2-inci, skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, barisan suis kawalan fizikal dan tombol multi-fungsi besar, tempat letak cawan serta pemegang telefon berkembar (dengan pengecas tanpa wayar Qi di sebelah pemandu).

    Penggunaan rekaan ruang dalaman yang sama ini memudahkan penukaran pemanduan sebelah kanan untuk Geely, dan memudahkan kilang juga kerana sudah menghasilkannya untuk EX5/eMas 7, dan kilang Proton di Tanjong Malim juga sedang dipersiapkan untuk mengeluarkan eMas 7 menjelang tahun ini — mempercepatkan lagi pengeluaran model PHEV ini nanti.

     
     
  • Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

    Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa kerjasama strategik antara Geely dan Proton merupakan sebab mengapa jenama automotif nasional itu kembali menghasilkan keuntungan, lapor Malaysiakini.

    Perkara ini beliau nyatakan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen PN-Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang bertanya apakah peranan Geely dalam membantu Proton secara domestik dan peringkat rantau, dan adakah ada perjanjian kerjsama antara kedua-dua syarikat itu.

    Menurut Zafrul, Proton mengalami kerugian dari 2012 sehingga 2016 sebelum kerjasamanya dengan Geely termeterai pada 2017, yang membolehkan Proton kembali untung. Kerjasama berkenaan menyaksikan Geely kini memiliki 49.9% kepentingan di dalam Proton.

    Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

    Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama antara kedua-dua syarikat itu membolehkan pemindahan teknologi dibuat, termasuk platform automotif termaju, enjin cekap-tenaga dan juga sistem elektrifikasi yang memodenkan barisan model Proton buat masa sekarang.

    Barisan model yang lebih segar itu membolehkan Proton menjual kenderaan dengan jumlah berganda, bermula sekitar 71,000 unit pada 2016 kepada lebih 152,000 unit pada 2025.

    “Selari dengan ini, bahagian pasaran Proton juga menunjukkan trend yang positif, naik dari sekitar 12.5% pada 2016 kepada sekitar 18.7% pada 2024. Peningkatan ini telah dipacu pelancaran model-model baharu yang lebih kompetitif, secara khususnya dalam aspek teknologi, rekaan dan nilai harga, seperti model X70, X50, X90, dan S70,” kata Zafrul.

    “Selain itu, dua model kenderaan elektrik (EV) Geely sedang dalam proses pemasangan tempatan untuk pasaran domestik dan serantau,” tambahnya.

    Proton rugi dari 2012 hingga 2016 sebelum kerjasama dengan Geely terbentuk pada 2017 – Tengku Zafrul

    Salah satu daripada dua model itu ialah eMas 7, yang akan dipasang di kilang kenderaan elektrik (EV) baharu Proton di Tanjong Malim yang disasarkan siap menjelang akhir 2025. Proton masih belum mendedahkan EV kedua yang akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang itu, namun ia dipercayai adalah eMas 5 iaitu EV kompak yang sudahpun diumumkan pada Mei lalu dan kini dilihat sedang diuji secara ekstensif.

    Satu lagi impak positif dihasilkan dari kerjasama ini adalah jumlah kenderaan yang dieksport oleh Proton naik sebanyak 316% dari 1,145 unit pada 2018 sehingga 4,765 unit pada 2024. Proton kini telah mengeksport kenderaan keluarannya ke negeri seperti Pakistan, Brunei, Nepal, Trinidad and Tobago, Bangladesh, Mauritius dan Afrika Selatan.

    “Sejak bekerjasama dengan Geely, sehingga kini, Proton telah melaksanakan beberapa pelaburan penting dengan jumlah pelaburan dianggarkan melebihi RM4.71 bilion,” kata Zafrul.

    “Pelaburan ini termasuk penambahbaikan infrastruktur, termasuk pembangunan kilang EV, pembinaan barisan pengeluaran stamping baharu dan fasiliti pemasangan rangkaian kuasa, pembangunan teknologi untuk meningkatkan keupayaan teknikal dan kecekapan pengeluaran, latihan tenaga kerja dan pelaburan untuk aktiviti R&D yang bertujuan memacu inovasi produk serta pembangunan teknologi baharu untuk menyokong pengeluaran model kenderaan masa hadapan,” tambahnya.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Julai – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 24-30 Julai – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 24 hingga 30 Julai 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa semua harga bahan api utama dikekalkan. Ini bermakna harga runcit petrol RON 97 dikekalkan pada paras RM3.21 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia turut dikekalkan pada paras RM2.91 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 21 Julai lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar RON95 akan dianjakkan sedikit dan buat masa ini, ia masih dalam penelitian pihak kerajaan. Ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu pelaksanaannya dan dasar lain mendatangkan kesan negatif kepada rakyat.

    Manakala pagi tadi pula, Perdana Menteri mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • Suzuki Fronx 2025 tampil di GIIAS – pencabar Rocky dan Ativa, dari RM67k, pilihan varian hibrid, ADAS

    Suzuki Fronx 2025 tampil di GIIAS – pencabar Rocky dan Ativa, dari RM67k, pilihan varian hibrid, ADAS

    Suzuki Fronx yang dilancarkan di Indonesia bulan lalu kini dipamerkan secara rasmi di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. SUV kompak ini diletakkan dalam segmen yang sama dengan model seperti Honda WR-V, Daihatsu Rocky (turut dikenali di Malaysia sebagai Perodua Ativa dan Toyota Raize) serta Nissan Magnite.

    Pertama kali diperkenalkan di India pada tahun 2023, model ini turut dipasarkan di beberapa negara lain termasuk Jepun, Afrika Selatan dan pasaran GCC (Majlis Kerjasama Teluk). Fronx juga berkongsi platform dengan Toyota Urban Cruiser Taisor. Ia merupakan SUV bawah empat meter yang berukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Dimensi kompak ini membolehkan membelok dengan radius minimum hanya 4.8 meter — sesuai untuk kegunaan bandar.

    Di Indonesia, Suzuki Fronx ditawarkan dalam tiga varian iaitu GL, GX dan SGX, dengan harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (sekitar RM67,000 hingga RM84,000). Dua pilihan rangkaian kuasa disediakan, termasuk versi hibrid ringkas (mild hybrid) yang ditawarkan untuk varian GX dan SGX.

    Suzuki Fronx 2025 tampil di GIIAS – pencabar Rocky dan Ativa, dari RM67k, pilihan varian hibrid, ADAS

    Untuk varian hibrid ringkas, Fronx menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris K15C 1.5 liter NA yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm. Sistem hibridnya terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG) yang menyediakan bantuan tork serta fungsi start-stop automatik.

    Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui pilihan transmisi manual lima kelajuan (khusus untuk GX) atau automatik enam kelajuan (untuk GX dan SGX). Bagi varian asas GL, ia hadir dengan enjin K15B tanpa sistem hibrid, tetapi menawarkan kuasa sedikit lebih tinggi iaitu 105 PS dan 138 Nm. Pilihan transmisi untuk GL termasuk manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan.

    Semua varian dilengkapi tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

    Suzuki Fronx 2025 tampil di GIIAS – pencabar Rocky dan Ativa, dari RM67k, pilihan varian hibrid, ADAS

    Dari segi kelengkapan, varian GL datang dengan rim aloi 16 inci, lampu utama LED jenis reflektor, lampu posisi LED, lampu belakang jenis mentol, stereng pelbagai fungsi berbalut urethane, tempat duduk fabrik, pendingin hawa manual dengan corong belakang, unit audio dengan skrin tujuh inci, empat pembesar suara, enam beg udara, pengesan jarak belakang, sistem kestabilan elektronik (ESP), kamera undur dan bantuan mula mendaki.

    Varian GX ditambah dengan kemasan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2 inci, skrin infotainmen sembilan inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng (untuk transmisi 6AT sahaja) dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.

    SGX sebagai varian tertinggi menawarkan lebih nilai tambah dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu serta pilihan warna luaran dua tona. Ia juga hadir dengan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) disediakan secara eksklusif untuk SGX. Ini termasuk Adaptive Cruise Control, kamera 360 darjah, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran pemanduan tidak stabil, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, head-up display dan sistem brek kecemasan Suzuki (Dual Sensor Brake Support II).

    Suzuki Fronx dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Suzuki di Cikarang, Indonesia, yang turut mengeluarkan model Ertiga dan XL7. Warna yang ditawarkan untuk varian GL ialah Cool Black, Pearl Snow White dan Metallic Magma Grey. Bagi GX, warna tambahan Savanna Ivory turut tersedia. Untuk SGX, satu warna biasa iaitu Cool Black ditawarkan, manakala pilihan dua tona termasuk Ice Grayish Blue, Pearl Snow White dan Savanna Ivory yang digabungkan dengan bumbung hitam.

     
     
  • GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

    GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

    Selepas diumumkan minggu lalu, hari ini Mitsubishi Destinator membuat kemunculan sulung globalnya menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sudahpun bermula. SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform sama seperti MPV tujuh-tempat duduk Xpander dan juga SUV lima-tempat duduk XForce ini merupakan satu lagi model yang dibangunkan khas untuk pasaran ASEAN.

    Seperti yang anda boleh lihat, Destinator merupakan versi produksi bagi model Mitsubishi DST Concept yang didedahkan di Filipina pada Oktober tahun lalu. Dan Mitsubishi nampaknya membawa banyak perincian rekaan dari model konsep berkenaan ke versi produksi ini.

    Antara perincian tersebut termasuk garis sisi badan, muka Dynamic Shield yang menampikan bentuk lampu hadapan berbentuk-T bersama gril hadapan akrilik dengan elemen sarang lebah, penutup but seperti cengkerang, garis-garis pada rekaan tingkap termasuk kemasan pada tiang-C, ke semua ruang roda yang ‘berotot’, malah rekaan set rim 18-inci yang dipadankan juga kelihatan hampir sama.

    GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

    Lampu belakang juga direka dengan kluster berbentuk-T. Jika anda lihat dengan lebih teliti, bahagian belakang Destinator ini menonjolkan bentuk heksagon – Mitsubshi menyatakan bahawa ia direka dengan konsep Hexaguard Horizon, dan ia diinpirasikan dari bentuk bahagian belakang SUV legenda Mitsubishi yang menempatkan tayar gantian di belakang iaitu Pajero.

    Dari segi saiz, Destinator menampilkan panjang keseluruhan 4,680 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,780 mm, dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Ia juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah yang cukup tinggi untuk meredah laluan lasak dan juga banjir yang selalu terjadi di ASEAN iaitu 214 mm (atau 244 mm tanpa pelindung bawah badan).

    Sebelum ini Destinator dicanangkan merupakan lawan terus kepada Toyota Rush, atau kembarnya yang masih dijual di Malaysia iaitu Perodua Aruz. Namun selepas spesifikasinya didedahkan, nampaknya SUV Mitsubishi adalah jauh lebih besar dan hampir kepada saiz SUV segmen-C kerana ia adalah 245 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar serta jarak roda 130 mm lebih jauh dari Rush/Aruz.

    GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

    Tetapi disebabkan Destinator ini adalah 75 mm lebih rendah berbanding kembar SUV Toyota/Daihatu tersebut, jarak kelegaan tanahnya juga adalah 6 mm lebih rendah. Destinator turut direka dengan sudut Approach 21 darjah, sudut berlepas 25.5 darjah serta sudut ramp breakover 20.8 darjah membolehkan ia melalui laluan dengan permukaan tidak bertar dengan mudah.

    SUV ini masih menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Menurut Mitsubishi, walaupun ditala bagi membolehkan di pandu pada permukaan off-road, ia masih tidak mengabaikan aspek keselesaan khususnya pada permukaan jalan di kawasan ASEAN.

    Tidak seperti Xpander dan XForce yang masih dijana oleh enjin 4A91 1.5L NA, Destinator dibekalkan dengan enjin lebih berkuasa iaitu 4B40 1.5 liter empat-silinder MIVEC Turbo yang dibekalkan dengan 163 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 2,500 hingga 4,000 rpm, iaitu enjin yang sama seperti Eclipse Cross.

    GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

    Kuasa dialirkan terus kepada kotak gear CVT, dan hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, unit rangkaian kuasa ini masih dioptimakan untuk pemanduan off-road dengan diberikan mod pemanduan Gravel, Tarmac dan Mud, selain dua lagi mod iaitu Normal dan Wet. Sistem agihan tork Active Yaw Controller (AYC) juga diberikan bagi memastikan kedua-dua tayar hadapan menerima kuasa yang tepat bagi memaksimakan cengkaman pada permukaan jalan.

    Pada sebelah dalam, rekaan roda stereng, skrin paparan instrumen digital (atau analog dengan skrin pelbagi info 4.2-inci), skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci (atau 8-inci yang lebih kecil), suis-suis kekunci piano untuk pelbagai operasi dan juga panel kawalan pendingin hawa digital Destinator ini sama seperti XForce, namun pada bahagian lain seperti liang-liang penghawa dingin ia menerima rekaan tersendiri.

    Tujuh tempah duduk dalam SUV ini disusun dengan konfigurasi 2-3-2, di mana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 serta diberikan perehat tangan yang mempunyai pemegang cawan serta boleh dilipat. Model varian lebih tinggi turut diberikan meja lipat untuk penumpang bahagian ini yang diletakkan pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Manakala tempat duduk baris ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50.

    Antara perincian-perincian yang diberikan pada varian-varian lebih tinggi termasuk sistem pendingin hawa automatik dua-zon, brek parkir elektrik, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu kawalan kuasa, bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi sehingga enam-pembesar suara dan juga sistem telematik Mitsubishi Connect, pengelap cermin dan lampu automatik serta kamera undur pelbagai pandangan.

    Untuk keselamatan, varian tertinggi menerima enam beg udara, kamera undur pelbagai pandangan serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang menampilkan fungsi termasuk pengelak kemalangan hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran titik buta dengan bantuan tukar lorong, lampu tinggi automatik dan amaran lintasan trafik belakang. Sementara varian-varian lebih rendah diberikan empat beg udara, kamera undur biasa, cruise control pasif dan lain-lain.

    Empat varian Mitsubishi Destinator ini dijual pada pasaran Indonesia dalam tiga varian, bermula varian GLS dijual pada harga Rp385,000,000 (sekitar RM100k), diikuti varian Exceed dijual pada harga Rp405,000,000 (sekitar RM105k) dan juga varian Ultimate dijual pada harga Rp465,000,000 (sekitar RM121k).

    Varian tertinggi adalah Destinator Ultimate Premium yang menerima tambahan perincian seperti pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan, sistem bunyi premium Yamaha dengan lapan-pembesar suara. Varian ini dijual pada harga Rp495.000.000 (sekitar RM128k). Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Jet Black Mica, Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Graphite Grey Metallic dan Lunar Blue.

    Mitsubishi Destinator ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Selapas Indonesia, ia turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Filipina serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

    Buat masa sekarang kita di Malaysia masih lagi belum menerima Mitsubishi XForce – mungkin Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sukar untuk meletakkan harga yang kompetitif untuk SUV segmen-B tersebut memandangkan lawannya di sini kebanyakkannya menerima enjin 1.5 liter Turbo. Namun untuk Destinator ini ia dilihat mempunyai pakej yang begitu baik dari segi unit rangkaian kuasa, saiz, konfigurasi tempat duduk dan sudah tentu unit rangkaian kuasa 1.5 L MIVEC Turbo yang agak berkuasa, mungkin ia akan memudahkan MMM memasarkan model ini di Malaysia?

     
     
  • Honda Super EV Concept di GIIAS 2025, beri petunjuk rantau ini akan terima EV hatchback segmen A?

    Honda Super EV Concept di GIIAS 2025, beri petunjuk rantau ini akan terima EV hatchback segmen A?

    Muncul pertama kali di Goodwood Festival of Speed awal bulan ini, Honda Super EV Concept kini membuat penampilan sulungnya di rantau ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS 2025).

    Model konsep ini memberi petunjuk kepada versi pengeluaran bagi sebuah kereta elektrik hatchback segmen A oleh Honda, dan akan menawarkan penawaran yang lebih meluas berdasarkan pendahulunya dalam pasaran, Honda e, yang sudah ditamatkan pengeluarannya pada 2023.

    Tidak seperti Honda e yang hanya dijual di pasaran Jepun dan Eropah, syarikat itu mungkin akan memperluaskan pasaran bagi model produksi berasaskan Super EV Concept ini nanti.

    Honda Super EV Concept di GIIAS 2025, beri petunjuk rantau ini akan terima EV hatchback segmen A?

    Kereta kompak ini hadir dengan rekaan yang berkotak berbanding model e, namun tetap menarik perhatian. Unit ini masih mengenakan pelekat samaran luaran yang sama ketika penampilan sulungnya, namun tetap menampakkan rekaan di sebaliknya dengan lebih jelas. Rekaan lampunya bulat, dengan port pengecasan di depan, seperti dicadangkan oleh penutup di panel depan. Bagaimanapun, masih belum kelihatan ruang kabinnya.

    Teaser yang didedahkan selepas kemunculan Super EV ini, iaitu berkaitan N-One e: mungkin memberi petunjuk kepada nama versi produksi model ini, mungkin untuk pasaran domestik di Jepun.

    Ketika ini belum ada sebarang spesifikasi yang didedahkan berkaitan Super EV ini, melainkan slogan yang digunakan untuk menunjukkan yang kereta ini nanti akan memberikan “pengalaman pemanduan yang mendebarkan.” Ada kemungkinan ia nanti akan menggunakan janaan motor di gandar belakang seperti Honda e.

    Honda Super EV Concept di GIIAS 2025, beri petunjuk rantau ini akan terima EV hatchback segmen A?

    Output untuk versi pasaran global boleh dijangka akan memberikan angka lebih tinggi daripada model JDM kei car, dan mungkin menghampiri janaan model e — 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS), dengan maksimum tork 315 Nm.

    Perubahan paling besar mungkin dilakukan terhadap bateri dan jaraknya, dengan pek bateri 35.5 kWh dan 220 km bagi model e dijangka akan dipertingkatkan kepada antara 300 hingga 400 km WLTP. Selebihnya, kita nantikan perincian rasmi mendekati tarikh pengenalannya kelak, dijangka dalam tahun ini juga.

     
     
  • Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia — ADM dahului Perodua, CBU Jepun, minyak 27.8 km/l

    Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia — ADM dahului Perodua, CBU Jepun, minyak 27.8 km/l

    Daihatsu Rocky Hybrid kini telah dilancarkan secara rasmi di Indonesia. “Ativa Hybrid” ini merupakan kenderaan dengan elektrifikasi pertama oleh Astra Daihatsu Motor, dan telah mendahului Perodua dalam memperkenalkan model berkenaan ke dalam pasaran. Bagaimanapun, Rocky Hybrid tersebut adalah unit CBU dari Jepun, dan bukan pemasangan tempatan seperti Rocky petrol di sana.

    Ativa Hybrid pernah diperkenalkan di Malaysia pada September 2023, tetapi SUV dengan elektrifikasi itu hanya tersedia untuk program langganan sahaja — ia tidak boleh dibeli teru dari bilik pameran dan model berkenaan disifatkan sebagai “kajian kenderaan elektrik” untuk pasaran tempatan.

    Dilancarkan di Jepun pada November 2021, Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh motor elektrik 106 PS/170 Nm (Ativa 1.0T menjana 98 PS/140 Nm), dengan enjin 1.2 liter WA-VEX kitaran Atkinson tiga-silinder NA dengan janaan 82 PS/105 Nm yang bertindak sebagai generator untuk bateri hibrid. Motor elektriknya menggerakkan roda melalui gandar HEV, bermakna sistem hibrid berkenaan berfungsi mirip seperti kenderaan elektrik lanjutan jarak (range extender electric vehicle, REEV).

    Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia — ADM dahului Perodua, CBU Jepun, minyak 27.8 km/l

    Rocky Hybrid memberikan bacaan penggunaan minyak 3.6 liter per 100 km dengan kitara WLTP, yang diterjemahkan kepada 27.8 km/l. Ketika Perodua memperkenalkan program langganannya dahulu, Ativa Hybrid disifatkan mampu memberi bacaan 31.3 km/l mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC). Dalam bahasa mudah, jika menggunakan kadar harga RON 95 semasa, Ativa Hybrid boleh dipandu dari KL ke Pulau Pinang (358 km) dengan kos bahan api serendah RM23 sahaja, dakwa Perodua.

    Beberapa perbezaan antara Ativa Hybrid dan Rocky Hybrid ialah — bagi aspek luaran — rekaan gril Rocky lebih tirus dan khusus untuknya, serta bahagian bampar depan dan belakang dengan potongan lurus. Untuk lampu kabus pula, model Daihatsu menggunakan rekaan segitiga untuk perumahnya, sementara Perodua menggunakan bentuk L.

    Rocky ini juga tidak memiliki kemasan perak ala skid-plate, dengan perumah cermin sisinya juga lebih kecil dan bulat. Cermin sisi di sebelah penumpang turut datang dengan dua lagi cermin kecil untuk melihat permukaan jalan, dengan warna badan: untuk Ativa ia berwarna hitam.

    Daihatsu Rocky Hybrid dilancarkan di Indonesia — ADM dahului Perodua, CBU Jepun, minyak 27.8 km/l

    Unit yang anda lihat ini menggunakan rim aloi 16-inci, dengan lima skru pengikat berbanding empat untuk Ativa. Model Perodua menerima rim lebih besar, 17-inci dan tayar lebih lebar (205/60 berbanding 195/60). Rocky menggenakan tayar eco (Dunlop Enasave) dan tanpa tayar ganti, hanya kit kecemasan sahaja. Lencana e-Smart Hybrid boleh dilihat di bahagian pintu barangan belakang dan sisinya.

    Untuk papan pemuka, model Daihatsu ini menggunakan kawalan AC sendiri (dengan fungsi auto tetapi tanpa butang memori seperti model Perodua), butang penghidup enjin warna biru serta suis brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold, yang tidak terdapat untuk Ativa. Model ini juga datang dengan fungsi Smart Pedal untuk pemanduan pedal tunggal (butang S-PDL di bawah corong pendingin pemandu) dengan janaan semula kuasa dan brek enji akan diaktifkan ketika memijak pedal brek.

    Unit yang dilihat ini walaupun CBU, ia tidak dilengkapi dengan skrin sentuh seperti di pasaran Jepun, dan digantikan dengan unit kamera undur tempatan. Disebabkan itu, sterengnya sangat asas dengan hanya kawalan Trip dan butang “Power”, kelihatan seperti varian dengan spesifikasi lebih rendah (tiada ACC juga). Suspensi bagi unit JDM ini juga 15 mm lebih rendah daripada Ativa. Harga Daihatsu Rocky Hybrid ini akan diumumkan esok

     
     
  • Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

    Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

    Tidak lama selepas dilancarkan untuk pasaran bulan lalu, Chery C5 kini membuat penampilan awam pertamanya di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025. Walaupun nampak seperti model baru, sebenarnya ini adalah versi facelift kepada Omoda 5, tetapi kini hadir dengan penjenamaan semula — daripada jenama Omoda kembali ke bawah jenama utama Chery. Hasilnya, model ini sekarang dikenali sebagai Chery C5.

    Walaupun nama berubah, reka bentuk keseluruhan masih membawa identiti yang dikenali sejak kemunculan awal facelift ini di pasaran Rusia tahun lalu. Di Australia, model ini akan hadir dengan lencana baru Chery, namun versi pasaran Indonesia mengekalkan jenama “Omoda” pada bahagian depan, pintu belakang dan stereng, sekaligus mencetuskan sedikit kekeliruan dari sudut penjenamaan.

    Secara visual, C5 ini berkongsi elemen rekaan dengan versi elektriknya, Omoda E5 — yang turut dinamakan semula sebagai Chery E5 di Indonesia. Ciri paling ketara ialah jalur lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk anak panah yang disambungkan dengan bar hitam, bersama tulisan “Omoda” yang masih kekal tertera di atasnya. Bampar hadapan juga direka semula dengan bentuk X yang jelas, serta gril baru tidak lagi menampilkan corak krom berkilau, sebaliknya menggunakan elemen petak sama warna dengan badan seperti model Omoda C9.

    Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

    Rim 18 inci berwarna hitam turut menerima rekaan baru dan semua kemasan merah yang sebelum ini ada pada bampar, cermin sisi, skirt tepi, spoiler belakang dan rim digantikan dengan warna hitam untuk penampilan yang lebih elegan.

    Rekaan lain masih dikekalkan, termasuk lampu belakang penuh melintang, spoiler bumbung besar dan dua paip ekzos hiasan. Bahagian dalaman turut mengekalkan susun atur asal, seperti sistem pendingin udara dengan corong melintang penuh, skrin lebar berkembar 10.25 inci, kawalan pendingin hawa sesentuh, tombol gear kompak serta kerusi gaya bucket dengan jalur kemasan beige.

    Di Indonesia, Chery C5 ditawarkan dalam dua varian – Z dan RZ. Antara ciri standard termasuk lampu utama dan lampu kabus LED, enjin yang boleh dihidupkan dari jauh, sistem start/stop automatik, pengelap cermin automatik, pendingin hawa automatik dua zon, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar jenis Qi, enam pembesar suara dan kamera undur.

    Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

    Varian RZ menawarkan lebih banyak kelengkapan seperti lampu isyarat belok beranimasi, cermin pandang belakang boleh malap automatik, bumbung suria, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam arah, tempat duduk hadapan berliang, sistem audio lapan pembesar suara Sony serta kamera 360 darjah.

    Semua varian turut dilengkapi dengan enam beg udara dan sistem keselamatan aktif termasuk brek kecemasan automatik, bantuan elak pelanggaran, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan gerak, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan amaran pergerakan kenderaan hadapan.

    Chery C5 di Indonesia – Omoda 5 facelift dengan transmisi DCT, suspensi multilink, harga dari RM83k

    Dari aspek prestasi, C5 masih menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 147 PS dan 230 Nm. Walaupun tiada lagi versi berkuasa tinggi seperti varian GT, model facelift ini menerima naik taraf penting iaitu transmisi CVT digantikan dengan transmisi klac berkembar enam kelajuan, manakala suspensi belakang jenis torsion beam diganti dengan sistem multilink, sama seperti Chery E5.

    Harga bermula dari 319,900,000 rupiah (sekitar RM83,000) untuk varian Z dan 349,900,000 rupiah (sekitar RM90,800) untuk varian RZ. Versi facelift ini dijangka akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, bersama model baru lain seperti Tiggo Cross dan varian plug-in hybrid bagi Tiggo 7 serta Tiggo 8 CSH (Chery Super Hybrid).

     
     
  • BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

    BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

    Undang-undang emisi yang semakin ketat di benua Eropah telah menyebabkan banyak kereta-kereta prestasi dengan enjin pembakaran dalaman terpaksa digandingkan dengan sistem elektrifikasi hibrid, dikecilkan kapasiti enjin, dan paling malang ada model yang perlu dihentikan jualannya di sana.

    Namun menurut CEO BMW M Frank Van Meel dalam laporan Autocar, sayap prestasi rasmi BMW tersebut bakal menempuh undang-undang emisi yang lebih ketat di sana iaitu piawaian Euro 7 M dengan barisan enjin-enjin enam-silinder sebaris dan juga V8, tanpa mengecilkan kapasiti dan masih menghasilkan kuasa besar yang sama.

    Laporan itu menyebut tahap emisi untuk piawaian Euro 7 kelak sebenarnya masih sama dengan Euro 6e yang sedang digunakan sekarang, namun apa yang berubah adalah ujian yang dijalankan adalah lebih sukar dan lebih menggambarkan penggunaan dalam dunia sebenar.

    Ini termasuklah tahap emisi yang dihasilkan tersebut perlu kekal mematuhi piawaian selama 10 tahun atau 200,000 km, iaitu sekali ganda lebih lama dari undang-undang Euro 6e. Malah dalam ujian Euro 7 ini juga turut akan memantau emisi yang dihasilkan oleh brek dan juga tayar buat pertama kali.

    BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

    “Cabarannya bukan berkisar untuk enjin tersebut mencapai piawaian EU7, tetapi untuk mengekalkan prestasinya,” kata Van Meel.

    “Cerita keseluruhannya adalah berkisar memandu dengan lambda 1 – iaitu ketika nisbah campuran udara dan bahan api dalam nisbah sempurna – jadi anda perlu memastikannya, dan ia tiada penyejuk. Lazimnya jika anda berada dalam situasi prestasi tinggi, anda menyejukkannya menerusi bahan bakar. Dengan EU7, ini adalah mustahil, anda perlu cara lain bagi mengelakkan penghasilan haba yang semakin tinggi, katanya.

    “Proses pembakaran perlu dipertingkat dari segi mengelakkan suhu ini terus meningkat, dan ini adalah cabarannya. Sudah tentu anda boleh mengurangkan prestasi bagi mengelakkkn kenaikan suhu ini, tetapi anda tidak mahu – disitu di mana kita bermula. Keseimbangan prestasi baharu dapat dicapai sekiranya kita memandu dalam keadaan Lambda 1, tetapi kami tidak mahu ia hilang kuasa pretasi,” tambahnya,

    Walau bagaimanapun BMW M belum menjelaskan apa perubahan yang akan ditampilkan pada enjin-enjin tersebut bagi mencapai sasaran ini, namun Van Meel menyatakan bahawa syarikatnya telah melakukan perubahan “yang sangat menarik” dan ia akan didedahkan kelak.

    BMW akan terus guna enjin enam-silinder sebaris, V8 untuk model M; patuh Euro 7, kapasiti kekal besar

    “Enjin enam silinder adalah warisan kami, dan V8 mempunyai sejarah yang panjang dalam perlumbaan, jadi kami berhasrat untuk meneruskannya,” kata Van Meel. Beliau turut mengesahkkan bahawa BMW M turut tidak akan mengecilkan kapasiti enjin dengan mungurangkan jumlah omboh seperti kepada hanya tiga atau empat silinder, atau menggunakan lebih elektrifikasi untuk mengurangkan emisi.

    Enjin-enjin lebih kecil dengan penambahan sistem elektrifikasi tidak dapat mencapai “pemikiran yang sangat spesifik” untuk bagaimana BMW M mahu kereta-kereta mereka dipandu, bila tork perlu disampaikan, kadar putaran enjin dan juga berat kenderaan itu.

    “Saya tak boleh bayangkan untuk letak enjin empat-silinder pada M5,” kata Meel lagi.

     
     
  • MEX tutup susur keluar ke Persimpangan Seri Kembangan, Bukit Jalil – 24-25 Julai, 10mlm-5pg

    Makluman buat pengguna Lebuhraya MEX, dikhabarkan bahawa dua penutupan sementara laluan susur di lebuhraya berkenaan akan dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dijalankan dengan selamat dan teratur.

    Penutupan pertama melibatkan laluan susur keluar dari arah Lebuhraya MEX ke Persimpangan Seri Kembangan pada malam esok, 24 Julai, dari jam 10 malam hingga 5 pagi keesokan harinya.

    Manakala penutupan kedua pula membabitkan laluan susur keluar dari MRR2/Cheras ke Putrajaya iaitu di Persimpangan Bukit Jalil pada 25 Julai (Jumaat ini), juga dari jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Sehubungan itu, pengendali Lebuhraya MEX menasihati semua pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh penutupan ini. Para pengguna juga diminta mematuhi arahan papan tanda dan panduan keselamatan di lokasi serta berhati-hati sewaktu memandu.

     
     
  • Volkswagen Malaysia pilih jaguh lumba basikal kebangsaan Azizulhasni Awang sebagai duta jenama

    Volkswagen Malaysia pilih jaguh lumba basikal kebangsaan Azizulhasni Awang sebagai duta jenama

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan pelantikan jaguh basikal kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang sebagai duta pertama mereka. Digelar ‘The Pocket Rocketman’, pemilihan Azizulhasni sebagai duta VW ini dilihat sebagai langkah yang cukup tepat memandangkan atlet berasal dari Terengganu ini cukup banyak mengharumkan nama negara.

    “Kisah Azizulhasni adalah tentang cita-cita, ketangkasan dan semangat luar biasa. Seperti kereta kami, beliau melambangkan prestasi yang berdaya tahan dan penuh makna. Beliau bukan sahaja juara di trek — malah menjadi contoh teladan di luar trek. Kami berbesar hati menerima beliau sebagai sebahagian daripada keluarga Volkswagen.

    “Kerjasama ini melangkaui sokongan jenama secara tradisional. Ia mencerminkan hubungan mendalam dengan rakyat Malaysia yang menghargai prestasi, integriti, dan keyakinan jangka panjang terhadap apa yang mereka pandu,” kata Renate Noessler, Pengarah Urusan VPCM.

    Volkswagen Malaysia pilih jaguh lumba basikal kebangsaan Azizulhasni Awang sebagai duta jenama

    “Saya sentiasa percaya bahawa kejayaan dibina berdasarkan konsistensi, ketelitian dan keberanian untuk menghadapi cabaran, nilai-nilai yang selari sepenuhnya dengan Volkswagen. Dipilih sebagai duta pertama mereka adalah satu penghormatan. Kerjasama ini bukan sekadar tentang kereta atau berbasikal — ia adalah tentang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk pergi lebih jauh, lebih pantas dan tidak mudah berpuas hati,” ujar Azizulhasni.

    Menerusi kerjasama ini, Azizulhasni akan ditampilkan dalam kempen, acara dan kandungan digital Volkswagen yang akan datang. “Ia juga menjadi titik penyatuan bagi pemilik Volkswagen yang berbangga menjadi sebahagian daripada jenama yang mengutamakan kualiti, keunikan dan hubungan sesama manusia,” kata syarikat menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Moda Shifter 400X muncul dalam teaser – pelancaran skuter 333 cc berlangsung 26 Julai ini di AOS 2025?

    Moda Shifter 400X muncul dalam teaser – pelancaran skuter 333 cc berlangsung 26 Julai ini di AOS 2025?

    Sudah dipertonton kepada orang ramai beberapa kali, dengan yang terbaru sewaktu Malaysia Autoshow 2025 Mei lalu, Moda Shifter 400X kini muncul pula dalam teaser yang disiarkan melalui laman media sosial jenama itu.

    Apa yang boleh kita lihat pertama sekali adalah pencahayaan lampu hadapannya dalam gelap serta lencana di bahagian tepi yang jelas menunjukkan namanya. Beberapa bahagian lain turut terdedah termasuk meter, lampu belakang serta brek hadapan, dan semuanya kelihatan sama seperti Shifter 400X yang pernah dipamerkan.

    Shifter 400X adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder 333 cc SOHC penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa maksimum 29 hp pada 7,000 rpm dan tork 33.5 Nm pada 5,500 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik CVT dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Bahagian roda skuter ini menggunakan rim 14 inci di hadapan, dibalut tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 13 inci dengan tayar 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang.

    Brek di kedua-dua roda menggunakan unit cakera dan sistem ABS dual-channel diberikan secara standard. Menambah lagi keselamatannya adalah sistek kawalan cengkaman (boleh ditutup dengan butang di bahagian kanan pemegang).

    Kelengkapan lain Shifter 400X adalah termasuk tangki bahan api 13.1 liter, meter TFT, soket pengecas USB, sistem tanpa kunci, ruang barangan di bawah tempat duduk dengan dua poket di bahagian bawah pemegang serta penghadang angin larasan manual.

    GALERI: Shifter 400X yang dipamer di MAS 2025