Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

    BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

    Bagi model prestasi, BMW Malaysia turut memperkenalkan secara rasmi BMW M5 G90 2025 yang kini lengkap dengan sistem elektrikal hibrid buat kali pertama, dengan harga RM1,188,800.

    BMW M5 terbaru ini tampil dengan reka bentuk atletik perlumbaan dengan profil yang rendah serta bahagian lengkung tayar yang lebar dengan wajah depan yang garang — menonjolkan identitinya sebagai sebuah kenderaan berprestasi tinggi yang matang.

    Rekaan bahagian hadapan menampilkan saluran udara yang besar dengan rekaan bersudut serta
    pembahagi tengah M. Ia dilengkapi dengan lampu depan LED adaptif dengan shadow line lampu M untuk visual yang menarik. “Kidney Grille” dihadirkan dalam kemasan hitam berkilat yang diperkemas dengan pakej luaran BMW Iconic Glow. Perincian halus seperti logo BMW M5 yang timbul di beberapa tempat menyuntik penampilan elegan padanya.

    BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

    Di bahagian belakang, spoiler Gurney yang kemas serta reflektor menegak menyerlahkan dimensi
    kenderaan ini yang lebar dan stabil, disudahi dengan sentuhan hujung ekzos berkembar yang ikonik untuk model M untuk mengesahkan lagi aspek sporty yang agresif pada kereta ini. Model ini dilengkapi dengan rim aloi ringan M bersaiz 20”/21” dengan rekaan jejari berkembar 951 M Bicolour Midnight Grey, serta pilihan Pakej Luaran M Carbon yang memberikan sentuhan prestasi.

    Di dalam, BMW M5 baru ini menggabungkan keselesaan premium dengan kokpit yang berfokus kepada pemandu. Di tengah ada Paparan Melengkung BMW, yang merangkumi kluster instrumen digital bersaiz 12.3-inci dan skrin sentuh utama bersaiz 14.9-inci yang mana kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Live Cockpit Professional dan disempurnakan oleh grafik eksklusif M.

    Kawalan intuitif disediakan menerusi BMW Smart Personal Assistant, serta Kawalan M eksklusif di konsol tengah. Stereng pelbagai fungsi M yang direka semula kini tampil dengan bahagian bawah yang rata, penanda merah di tengah dan pedal penukar gear M — meletakkan kawalan penting di hujung jari pemandu termasuk mod peribadi M1/M2, pemilih M Hybrid dan M Mode, serta butang Start/Stop berwarna merah yang ikonik. Suasana dalam kokpit ditingkatkan dengan BMW Interaction Bar dan pencahayaan ambient yang bertindak balas secara dinamik mengikut mod pemanduan yang dipilih — sama ada mod Road, Sport atau Track.

    BMW M5 G90 2025 PHEV diperkenalkan di Malaysia — jana 727 hp/1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat, RM1.19 juta

    Kemasan kabin dihiasi dengan balutan kulit dua tona premium Merino, kemasan gentian karbon dengan benang perak berkilat tinggi, tali pinggang keledar M, serta pelapik bumbung Alcantara dalam rona anthracite, serta kerusi dengan pelbagai fungsi M — larasan elektrik, sokongan lumbar, fungsi memori dan pemanas untuk kerusi depan dan belakang serta pengecas tanpa wayar.

    Ruang but pula, walaupun menempatkan bateri voltan tinggi untuk sistem hibridnya, tetap menyediakan ruang seluas 466 liter yang cukup luas. Selain itu, M5 baru ini juga lengkap dengan sistem bunyi sekeliling Bowers & Wilkins dengan 18-pembesar suara 655 watt dan sembilan saluran audio.

    Nadi utama BMW M5 ini tentunya sistem kuasa M Hybrid serba baru yang menggabungkan enjin V8 berprestasi tinggi dengan pacuan elektrik, menandakan permulaan era baru yang progresif dalam sejarah BMW M. Enjin 4.4 liter M TwinPower Turbo V8 berprestasi tinggi ini menghasilkan sebanyak 430 kW (585 hp), dibantu oleh motor elektrik generasi kelima BMW eDrive yang menjana 145 kW (197 hp) — ini menghasilkan keseluruhannya sehingga 727 hp dan tork 1,000 Nm!

    Kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic M lapan-kelajuan, membolehkan BMW M5 baru ini memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 10.9 saat sahaja. Pecutan segera ini dipertingkatkan melalui fungsi “Boost Control”, yang memberikan tork maksimum secara serta-merta antara 30 hingga 150 km/j — fungsi ini diaktifkan hanya dengan satu tarikan pada pedal penukar gear kiri dalam mod M Track.

    Apabila tork elektrik menyokong enjin V8 pada tekanan pedal penuh, pecutan pertengahan antara 80 hingga 120 km/j dapat dicapai dalam hanya 2.9 saat, jauh lebih pantas berbanding model sebelumnya. Bunyi enjin V8 yang bertenaga diserlahkan lagi oleh sistem ekzos BMW M Sport dan disulami dengan alunan akustik BMW IconicSounds Electric yang direka khas apabila kenderaan beroperasi dalam mod hibrid.

    Bateri litium-ion voltan tinggi bagi sistem M Hybrid ini dipasang secara rata di bahagian bawah lantai
    untuk mengekalkan titik graviti rendah serta ruang kabin yang luas. Dengan kapasiti bersih 18.6 kWh,
    bateri ini memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya hingga 69 kilometer (WLTP) dengan laju maksimum 140 km/j. Pengecasan dikendalikan melalui Unit Pengecasan Gabungan dengan keupayaan pengecasan AC hingga 11 kW yang membolehkan pengecasan penuh dalam lebih kurang tiga jam.

    Untuk sistem suspensi, BMW M5 dilengkapi jenis double wishbone di depan, dan jenis five-link di belakang. M Adaptive Suspension bertindak balas dalam masa nyata, membolehkan pemandu memilih antara mod Comfort, Sport atau Sport Plus. Buat julung kalinya dalam sejarah BMW M5, sistem Integral Active Steering ditawarkan sebagai ciri standard — memberikan kawalan stereng pada tayar belakang untuk meningkatkan kestabilan ketika pemanduan berkelajuan tinggi serta menawarkan kecekapan pergerakan pada kelajuan rendah dengan sudut kontra stereng sehingga 1.5 darjah.

    Sistem pacuan semua roda M xDrive pula ditala untuk memenuhi keperluan sistem hibrid baru, dengan pengagihan tork yang pintar antara gandar hadapan dan belakang. Pemandu boleh memilih antara mod 4WD, 4WD SPORT, atau mod pacuan roda belakang sepenuhnya (2WD). Penyesuaian lanjut boleh dilakukan melalui butang M1 dan M2 pada stereng, membolehkan pemandu menetapkan pilihan mereka merangkumi rangkaian kuasa, suspensi, sistem brek, stereng, kawalan kestabilan dinamik, serta ciri pemulihan tenaga sistem M Hybrid.

    Bagi aspek sistem bantuan pemandu, BMW M5 terbaru ini antaranya dilengkapi dengan ciri seperti Bantuan Pemanduan dan Bantuan Parkir, yang merangkumi fungsi seperti pemantauan permulaan pemanduan, kamera bantuan undur, serta bantuan undur pintar. Untuk kemudahan dan keselamatan tambahan, Bantuan Parkir Plus disertakan dengan kamera tambahan bersama paparan persekitaran 3D, manakala Bantuan Pemanduan Plus menyokong fungsi pemanduan separa automatik bagi pengekalan lorong, stereng aktif, kawalan kelajuan adaptif, dan pemantauan automatik had laju. Sistem berkenaan turut berupaya mengendalikan situasi trafik perlahan dan proses susur masuk ke lebuh raya dengan campur tangan minimum daripada pemandu.

    Semua sistem ini disepadukan secara lancar dengan Sistem Operasi BMW 8.5 terkini, yang turut memicu BMW Live Cockpit Professional — merangkumi kluster digital dan head-up display.

    BMW M5 baru ini ditawarkan dengan pilihan warna luaran yang dirumus khas untuk menyerlahkan
    penampilannya — Alpine White, Sophisto Grey, Fire Red, Brooklyn Grey, Carbon Black, Isle of Man Green, Marina Bay Blue dan Storm Bay. Untuk ruang dalaman, ada empat pilihan balutan kulit Merino disediakan: Black klasik, Silverstone elegan, Red menyala atau Kyalami Orange yang ekspresif.

    Gambar rasmi pelancaran di Malaysia

     
     
  • BMW R 1300 RT dilancar untuk pasaran Malaysia – lima varian termasuk dua Limited Edition, dari RM167k

    BMW R 1300 RT dilancar untuk pasaran Malaysia – lima varian termasuk dua Limited Edition, dari RM167k

    Satu lagi model siri 1300 daripada BMW Motorrad tiba di Malaysia dan kali ini adalah R 1300 RT. Ia dilancarkan secara rasmi untuk jualan dalam tiga varian iaitu Alpine White berharga RM167,000, Triple Black Blackstorm Metallic RM170,000 dan Impulse Racing Blue Metallic RM173,000. Pilihan kemudiannya ditambah lagi dengan varian Triple Black Limited Edition dan Impulse Limited Edition yang hanya tersedia masing-masing sebanyak lima unit di Malaysia dan dijual pada harga RM177,000 dan RM180,000.

    Diperkenalkan kepada dunia tahun lepas, R 1300 RT ini digerakkan oleh enjin boxer dua silinder 1,300 cc ShiftCam yang mampu menghasilkan kuasa 145 hp pada 7,750 rpm dan tork 149 Nm pada 6,500 rpm untuk disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan syaf. Penunggang juga boleh menukar gear tanpa klac melalui sistem Automated Shift Assistant (ASA) yang diberi secara standard.

    Selain tiga mod tunggangan biasa iaitu Rain, Road dan Eco, R 1300 RT pasaran Malaysia juga diberikan terus dengan pakej Riding Modes Pro, yang menambah dua lagi mod iaitu Dynamic dan Dynamic Pro. Membantu lagi penunggang adalah sistem Dynamic Traction Control (DTC), Engine Drag Torque Control (MSR), Dynamic Brake Control (DBC) dan BMW Motorrad Integral ABS Pro.

    BMW R 1300 RT dilancar untuk pasaran Malaysia – lima varian termasuk dua Limited Edition, dari RM167k

    Hampir keseluruhan motosikal ini adalah baru, termasuk rangka serta panel badannya dan ia sekarang tampil lebih agresif dengan lebih garis tajam dan mencatat berat keseluruhan 265 kg. Beg barangan tepi berkapasiti 27 liter diberikan terus, manakala beg belakang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Ergonomik untuk penunggang R 1300 RT juga diubah untuk memberi kawalan lebih lebih baik, sementara untuk penumpang belakang, ia dijadikan lebih selesa. Model Malaysia datang secara standard dengan tempat duduk Comfort.

    Di bahagian keselamatan, model touring ini datang dengan pelbagai teknologi termasuk yang menggunakan radar seperti Active Cruise Control (ACC) dengan kawalan jarak automatik, Front Collision Warning (FCW) dengan pengaktifan brek dan Lane Change Warning (SWW). Lampu hadapan LED penuh baru pada model ini datang sekali dengan sistem Headlight Pro, yang memberikan lampu belok adaptif serta Adaptive Light Modes.

    Di bahagian kokpit, R 1300 RT mendapat skrin TFT berwarna 10.25 inci, yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk navigasi dan boleh disambung kepada bermacam peranti pintar dan aplikasi BMW Motorrad Connected. Sistem audio dipertingkat dengan tweeter, pembesar suara serta woofer baru.

    Sistem suspensi, yang terdiri daripada EVO Telelever di hadapan dan EVO Paralever di belakang, ditambah baik dengan bahagian yang lebih tegar, termasuk lengan ayun, dan boleh dilaras secara elektronik. Ia memegang rim bersaiz 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang.

    Varian Limited Edition antaranya ditambah baik dengan beg barangan Vario yang boleh dibesarkan sehingga 33 liter di tepi, dengan kawalan elektronik, lampu dan kunci, sistem Audio Pro yang memberikan bunyi lebih baik, tongkat tengah serta sistem anti kecurian.

     
     
  • BMW 218 Gran Coupe Sport 2025 dilancar di Malaysia — generasi kedua F74, lebih kuasa, CKD, RM241k

    BMW 218 Gran Coupe Sport 2025 dilancar di Malaysia — generasi kedua F74, lebih kuasa, CKD, RM241k

    Selepas sedekad tidak dianjurkan, pameran MY BMW World kembali menemui peminatnya bagi tahun 2025 ini bertempat di Sentul Depot dengan tema ‘Driven by Legacy, Defined by Progress’. Lebih menarik, ada empat model baru pemasangan tempatan (CKD) turut diperkenalkan, dan satu daripadanya ialah BMW 218 Gran Coupé Sport (2GC) 2025.

    Model ini dijual dengan harga RM241,000 atas jalan belum termasuk insurans. Model BMW 218i Gran Coupe Final Edition sebelum ini dari generasi F44 dijual dengan harga RM223,800 sebelum BSRI.

    Merupakan model generasi kedua dengan kod F74, model 2GC terbaru ini pertama kali ditampilkan di peringkat global pada Oktober tahun lalu. Agak pantas untuk model ini tiba di Malaysia, dan lebih menarik, terus dalam bentuk CKD. Model sebelumnya, 2GC F44 dilancarkan di sini pada 2020, dan BMW Malaysia menyatakan sudah lebih 4,500 unit terjual — melangkaui jangkaan awal penjualannya.

    Sama seperti sebelumnya, model 2GC yang diterima untuk pasaran tempatan adalah dalam bentuk 218, yang kini memiliki ukuran dimensi yang sedikit lebih besar. Ada ukuran yang kekal sama: jarak roda masih 2,670 mm dan lebar kekal dengan 1,800 mm, panjang keseluruhan bertambah 20 mm menjadi 4,546 mm sementara tinggi bertambah 25 mm kepada 1,445 mm. Ruang but masih sama dengan 430 liter untuk versi ICE.

    BMW 218 Gran Coupe Sport 2025 dilancar di Malaysia — generasi kedua F74, lebih kuasa, CKD, RM241k

    Di bahagian hadapan, gril “ginjal” BMW kini direka semula dengan palang menegak yang sedikit serong, dan disempurnakan dengan lampu utama LED adaptif DRL tegak serta lampu tinggi anti-silau dengan fungsi belokan. Model ini kelihatan lebih lebar, dan wajah depannya lebih garang dengan adanya bukaan udara sisi yang menegak dan liang udara terbuka di bahagian bawah bampar.

    Di bahagian belakang, lampu LED menegak yang lebih menonjol serta diffuser yang dibentuk semula menampilkan postur lebih lebar dan kukuh. Penampilan luarnya yang dinamik telah dilengkapkan dengan trim Exterior Line Satin Aluminium, rim aloi ringan dwitona 18 inci dan penutup cermin sisi berkilat hitam — semuanya menyerlahkan keyakinan dan garis Gran Coupé dari pandangan sisi.

    Ruang dalaman BMW 218 Gran Coupé Sport generasi kedua ini antara lain menampilkan BMW Curved Display digital sepenuhnya — dengan kesepaduan antara paparan kluster instrumen 10.25-inci dan paparan kawalan 10.7-inci. Kemasan aluminum dengan pencahayaan ambient menyerlahkan lagi ruang kabinnya. Sistem operasi dikuasakan oleh perisian BMW Operating System 9 dengan fungsi QuickSelect. Kerusi sportnya pula dibalut dengan kulit Veganza buatan, serta lengkap dengan fungsi memori.

    BMW 218 Gran Coupe Sport 2025 dilancar di Malaysia — generasi kedua F74, lebih kuasa, CKD, RM241k

    Bagi aspek sistem keterhubungan, ia dilengkapi oleh BMW Live Cockpit Plus dengan BMW Operating System 9, yang menampilkan antaramuka bergaya telefon pintar, widgets masa nyata, navigasi intuitif serta kawalan suara yang dipertingkat melalui BMW Intelligent Personal Assistant. Dengan BMW Digital Premium, kereta ini turut menawarkan penstriman video beresolusi tinggi dan perkhidmatan muzik. BMW Remote Software Update pula memastikan kereta sentiasa dikemas kini, manakala BMW Digital Key Plus menjadikan telefon pintar sebagai kunci digital.

    Bagi sistem janaan, kereta kompak premium ini dikuasakan oleh enjin petrol tiga-silinder 1.5 liter turbo baru yang beroperasi mengikut kitaran Miller, dengan penekanan terhadap kecekapan termodinamik. Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 115 kW (156 hp) dan tork 230 Nm, memberikan prestasi bertenaga serta menggunakan bahan api secara optimum. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic klac berkembar tujuh-kelajuan, dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat untuk mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

    Prestasi dinamik BMW 218 Gran Coupé Sport dipertingkatkan menerusi casis yang direka semula sepenuhnya. Sistem suspensi hadapan menggunakan jenis single-joint MacPherson strut, sementara gandar belakang dilengkapi three-link axle — kini disepadukan dengan high preload anti-roll bar dan kinematik gandar yang telah dioptimumkan. Ini memberikan kesan langsung terhadap ketepatan stereng, kestabilan ketika membelok serta keselesaan pemanduan keseluruhan.

    BMW 218 Gran Coupé Sport 2025 ini turut dilengkapi pelbagai sistem sokongan pemandu sebagai ciri standard. Ciri seperti Driving Assistant yang terdiri daripada Lane Change Warning, Speed Limit Info, Rear Crossing Traffic Alert dengan bantuan brek, serta Exit Warning.

    Selain itu, fungsi Reverse Emergency Braking dan Predictive Forward Collision Warning meningkatkan lagi keyakinan dan keselamatan. Parking Assistant pula memudahkan pergerakan pada kelajuan rendah — dilengkapi Reversing Assistant sehingga 50 meter serta Reversing Assist Camera yang amat berguna dalam ruang sempit.

    BMW 218 Gran Coupé Sport 2025 didatangkan dalam rangkaian warna yang menarik perhatian, termasuk Alpine White, Black Sapphire dan Cape York Green. Bagi ruang dalaman, kesemua varian ditawarkan dengan balutan kulit Veganza warna hitam dengan liang.

     
     
  • Permit syarikat bas melibatkan nahas maut pelajar UPSI dibatalkan serta merta kerana langgar syarat

    Permit syarikat bas melibatkan nahas maut pelajar UPSI dibatalkan serta merta kerana langgar syarat

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa semua permit syarikat pengendali bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut di Gerik, Perak dibatalkan serta-merta berikutan pelanggaran beberapa syarat permit.

    Jelasnya, pemilik syarikat melakukan dua kesalahan besar iaitu permit pengendalian bas dipajak kepada pihak ketiga dan pengendalinya tidak mengaktifkan GPS, laporan Berita Harian.

    “Pemilik memajak kepada pihak ketiga. Pemilik beralamat di Kedah dan dipajakkan kepada pengendali di Kelantan dan dibayar RM500 sebulan. Ini melanggar syarat. Apabila mereka diminta serahkan laporan GPS, mereka tak dapat (serahkan) sebab GPS pun tak diaktifkan,” katanya.

    Loke turut menegaskan, tiada peluang rayuan diberikan kepada syarikat pengendali bas ini, manakala pembatalan permit adalah kekal dan tidak berubah.

    “Tidak ada rayuan lagi. Walaupun ada proses rayuan yang dia boleh buat, tapi saya mahu nyatakan tidak akan dilayan rayuan dia, akan dibatalkan serta merta. Kerana ini menunjukkan kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.

    “Pertama dia melanggar syarat, pajakan (bas kepada pihak ketiga). Maknanya dia tak bertanggungjawab ke atas bas itu. Kedua, syarat sangat penting, ada GPS dia tak pasang dan aktifkan. Ini menunjukkan pemilik ini tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Loke turut berkata, sungguhpun pemandu bas berkenaan mendakwa kononnya brek kenderaan itu tidak berfungsi, sehingga menyebabkan kemalangan maut, itu hanya sekadar kenyataan saja.

    “Kita akan buat siasatan terperinci, forensik dan sebagainya untuk melihat sama ada betul atau tidak dakwaan itu. Tapi daripada rakaman dashcam pengguna jalan raya lain, amat jelas ketika itu bas memotong dengan laju, memecut dan akhirnya dia terbabas.

    “Daripada aspek ini, memang kita akan buat siasatan yang lebih terperinci. Sudah tentu kita akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan pendakwaan seterusnya,” katanya.

    Awal pagi Isnin lalu, negara dikejutkan dengan berita kemalangan bas yang berlaku di Jalan Jeli – Gerik berhampiran Tasik Banding, Perak, yang mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dan tujuh parah. Malah beberapa penumpang yang juga merupakan penuntut UPSI yang terselamat dalam kemalangan terbabit mendakwa bas terbabit dipandu laju dan telah menghentam sebuah Perodua Alza di laluan terbabit yang turut menyebabkan pemandu dan penumpang MPV berkenaan mengalami kecederaan.

     
     
  • Harga minyak 12-18 Jun – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 12-18 Jun – semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 12 hingga 18 Jun 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit semua bahan api utama dikekalkan seperti minggu sebelumnya.

    Di mana petrol RON 97 kekal berharga RM3.07 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dikekalkan kepada RM2.74 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Akhir Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini. Buat masa ini, katanya, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

    Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • 6,369 kemalangan dicatatkan dalam Op Lancar sempena Aidiladha 2025, naik 3% berbanding 2024

    6,369 kemalangan dicatatkan dalam Op Lancar sempena Aidiladha 2025, naik 3% berbanding 2024

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan bahawa sebanyak 6,369 kemalangan direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Lancar sempena Hari Raya Aidiladha iaitu dari 6 hingga 9 Jun 2025 di seluruh negara.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Dato’ Seri Mohd Yusri Hassan Basri, jumlah kes kemalangan pada tahun ini dilihat meningkat sebanyak 3% iaitu melebihi 181 kes berbanding yang direkodkan pada operasi yang sama tahun lalu dengan 6,188 kes.

    “Bagi tempoh yang sama, jumlah kes kemalangan maut pula adalah sebanyak 58 kes dengan 78 individu meninggal dunia dalam nahas, iaitu turun sebanyak 26 kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan 84 kes yang melibatkan 88 kematian. Manakala 6,120 kes kemalangan melibatkan kerosakan kenderaan pada tahun ini berbanding 5,854 kes pada tahun lalu iaitu meningkat sebanyak 266 kes.

    “JSPT komited menguatkuasakan undang-undang jalan raya dengan memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan peraturan lalu lintas dipatuhi oleh semua pihak selain tanggungjawab pengguna jalan raya memastikan kenderaan selamat digunakan setiap masa dalam pelbagai situasi,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Bukit Aman.

    Tambah beliau, pengguna jalan raya yang berdisiplin dan mengamalkan sikap bertanggungjawab membantu meminimakan risiko selain mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

     
     
  • Porsche 963 RSP – jentera lumba Le Mans yang sah digunakan atas jalan raya, dihasilkan hanya sebuah!

    Porsche 963 RSP – jentera lumba Le Mans yang sah digunakan atas jalan raya, dihasilkan hanya sebuah!

    Satu ketika dahulu pada era 90’an ketika undang-undang GT1 dibenarkan untuk menyertai perlumbaan ketahanan Le Mans 24 Jam, kita boleh lihat kereta-kereta lumba yang dibina untuk perlumbaan tersebut dihasilkan dalam versi yang sah digunakan di atas jalan raya sebagai syarat homologasi. Jadi ketika itu kita boleh lihat kereta-kereta lumba berkenaan seperti Toyota GT-One, Mercedes CLK GTR dan sebagainya hadir dengan rupa luaran tanpa grafik perlumbaan, nombor pendaftaran dan juga kabin yang lengkap dengan upholsteri, sistem audio, penghawa dingin dan sebagainya serta ia dijual dalam pasaran tetapi dalam unit yang terhad.

    Namun untuk undang-undang LMH dan LMDh yang digunakan dalam perlumbaan World Endurance Championship (WEC) dan Le Mans 24 Jam sekarang, penghasilan model-model homologasi khas berkenaan tidak lagi diperlukan. Tapi kalau perlu juga, bagaimana agaknya rupa kereta lumba versi jalan raya tersebut? Hanya dipacu oleh persoalan berkenaan, ini dia Porsche 963 RSP, iaitu versi yang sah digunakan di atas jalan raya berdasarkan kereta lumba LMdH Porsche 963!

    Model ini dibuat hanya sebuah dan dihasilkan bersama Porsche AG, Porsche Penske Motorsport yang mengendalikan program perlumbaan WEC Porsche dan juga Porsche Cars North America. Penghasilannya bukanlah untuk mengenang era homologasi era 90’an, namun ia lebih lama dari itu iaitu ketika Count Rossi dari Martini & Rossi mahukan kereta lumba Le Mans Porsche 917 dihasilkan dalam versi sah untuk digunakan di jalan raya 50 tahun lalu. Dan, Roger Penske iaitu pengerusi dan CEO Penske Corporation dicalonkan untuk menjadi pemilik kepada Porsche 963 RSP ini.

    Porsche 963 RSP – jentera lumba Le Mans yang sah digunakan atas jalan raya, dihasilkan hanya sebuah!

    Seperti kereta lumba 963 LMDh, Porsche 963 RSP ini juga masih menggunakan badan yang diperbuat dari material gentian karbon dan Kevlar. Namun berbanding kereta lumba sebenar yang menerima balutan grafik, versi jalan raya ini diberikan layangan cat sebenar, dan rona yang dipilih adalah Martini Silver iaitu warna yang sama dilayangkan pada badan Porsche 917 Count Rossi.

    Untuk memastikan 963 RSP ini boleh dipandu dengan mudah di atas jalan raya biasa, suspensi dengan penyerap hentak Multimatic DSSV boleh laras dari kereta lumba sebenar masih diguna tetapu ditala agar lebih tinggi dan lebih lembut. Rekaan luaran 963 RSP ini sekali imbas memang nampak seiras dengan versi kereta lumba sebenar, namun sebenarnya sedikit pengubahsuai telah dibuat pada ruang roda bagi memastikan ia tidak ada masalah untuk berkeliaran di atas jalan raya awam.

    Kemudian unit kawalan elektronik bagi lampu hadapan dan belakang juga dibuat semula bagi memastikan ia patuh dan sesuai untuk mengharungi trafik jalan raya biasa. Bagi melengkapkan rupa luaran model ini, ia dipadankan dengan set rim forged OZ Racing berdiameter 18-inci, dibalut dengan tayar perlumbaan spesfikasi hujan yang lebih sesuai untuk digunakan di atas jalan raya. Logo Michelin yang dicetak pada dinding tayar berkenaan diubah menggunakan logo Michelin pada era 70’an bagi mengingati tayar yang dipadankan pada Porsche 917.

    Beralih ke kokpit, kabin 963 RSP ini menerima upholsteri menyeluruh dengan material gandingan kulit lembut dan alcantara berwarna tan seperti 917 Count Rossi, termasuk panel pintu, lantai, bumbung, tempat duduk bucket dan roda stereng perlumbaan gentian karbon asal yang turut menerima balutan sama.

    Porsche turut menempatkan pemegang cawan yang diperbuat menggunakan cetakan 3D yang boleh menempatkan kole kembara Porsche, memberikan sistem penghawa dingin dan juga set fon kepala dari Peltor. Satu plat aloi telah diletak pada pintu yang tertera nombor casis, serta tarikh dan lokasi pembinaannya. Sebuah topi keledar gentian karbon dan set perkakas membaiki kedua-duanya diwarnakan Martini Silver turut disertakan dalam kabin kereta ini.

    Model jalan raya ini juga masih menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti enjin kereta lumba 963 LMDh iaitu gandingan enjin 4.6 liter V8 turbo berkembar, motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium ion 800-volt dan juga kotak gear tujuh-kelajuan jenis seqeuntial bagi memacu roda belakang.

    Porsche 963 RSP – jentera lumba Le Mans yang sah digunakan atas jalan raya, dihasilkan hanya sebuah!

    Porsche tidak menyebut secara spesifik kuasa kuda yang dihasilkan oleh kereta jalan raya ini, namun pada jentera lumba sebenar ia menghasilkan kuasa keseluruhan 680 hp. Namun Porsche Penske Motorsport ada mengesahkan bahawa sistem hibrid 963 RSP ini ditala “lebih jinak” bagi memudahkan ia dipandu dengan lebih lancar pada kelajuan rendah di jalan raya awam.

    Buat masa sekarang Porsche 963 ini telah berjaya didaftarkan untuk dipandu di atas jalan raya di Perancis dengan menggunakan plat pendaftaran ‘W’. Kemunculan sulungnya pula tidak dibuat di litar, sebaliknya ia dipandu di atas jalan raya berhampiran Le Mans, bagi memperingati perjalanan yang dibuat oleh Porsche 917 Count Rossi dari kilang Porsche di Zuffenhausen ke Paris pada April 1975.

     
     
  • Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

    Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan model G580 dengan Teknologi EQ di Malaysia, dengan unit sebenar dipamerkan di TRX, Kuala Lumpur, tetapi dalam keadaan masih dipenuhi pelekat. Ketibaan G-Wagen elektrik penuh ini ke pasaran tempatan telah disahkan lebih awal, iaitu November lalu oleh MBM.

    Kemasukan rasmi G580 ini ke pasaran Malaysia sebagai EV dijangka menawarkan harga jauh lebih mampu milik berbanding Mercedes-AMG G63 facelift (kod W465) yang dilancarkan di Malaysia pada harga bermula RM1.9 juta. Sebagai perbandingan, sebuah lagi SUV elektrik mewah Mercedes-Benz – Mercedes-Maybach EQS SUV – dijual pada harga RM1.1 juta. Berkemungkinan, harga G580 akan diletakkan sedikit di bawah jumlah tersebut.

    Sama seperti model G-Class dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), G580 dibina atas kerangka ladder-frame yang diperkuatkan. Walaubagaimanapun, versi elektrik ini menggunakan sistem suspensi belakang De Dion, menggantikan gandar belakang solid.

    Mercedes-Benz G580 EQ Technology dipertonton di Malaysia – harga dijangka separuh daripada G63?

    Perbezaan utama terletak pada sistem kuasa – G580 dilengkapi empat motor elektrik, setiap satu dengan transmisi dua kelajuan. Setiap motor menghasilkan 147 PS, menjadikan jumlah keseluruhan 587 PS dan 1,164 Nm tork – iaitu 314 Nm lebih tinggi daripada AMG G63. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.7 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 180 km/j.

    Dua motor ditempatkan dalam satu perumah di setiap gandar dan kuasa disalurkan ke roda melalui syaf berkembar bagi memastikan kecondongan roda (camber) kekal sama ketika suspensi ditekan. G580 dilengkapi bateri 116 kWh, yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 473 km (mengikut piawaian WLTP).

    Bateri ini dipasang dalam kerangka utama demi mendapatkan pusat graviti lebih rendah dan memastikan ketegaran struktur yang lebih baik. Ia juga diletakkan dalam perumah khas tahan kilasan bagi mengelakkan kemasukan air dan habuk.

    Mengenai pengecasan, G580 boleh menerima sumber DC sehingga 200 kW, menaikkan tahap bateri 10-80% dalam masa 32 minit. Pengecasan AC pula boleh diterima sehingga 11 kW, mengambil masa kira-kira 11.8 jam untuk pengecasan penuh dari 10% ke 100%.

    Meskipun ruang dalamnya tidak boleh dimasuki, kita boleh melihat model yang ditunjukkan di TRX mengekalkan susun atur dalaman sama seperti model G-Class lain. Ia dilengkapi sistem infotainmen MBUX skrin kembar 12.3 inci, manakala penumpang belakang mendapat dua skrin hiburan bersaiz 11.6 inci.

    Harga rasmi masih belum diumumkan, tetapi Mercedes-Benz G580 dengan Teknologi EQ ini dijangka ditawarkan di bawah harga Mercedes-Maybach EQS SUV (RM1.1 juta), sekaligus jauh lebih murah berbanding AMG G63. Adakah ini Gelandewagen pilihan anda?

     
     
  • Polis PJ guna dron kesan penunggang motosikal yang tidak guna lorong khas – 47 saman dikeluarkan

    Polis PJ guna dron kesan penunggang motosikal yang tidak guna lorong khas – 47 saman dikeluarkan

    Awas untuk penunggang motosikal yang enggan menggunakan lorong khas, anda kini menjadi intipan dron! Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM turut menggunakan teknologi dron bagi memantau mana-mana penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas dalam Op Motosikal yang dilaksanakan hari ini di KM28.4 (bawah Jambatan Sunway) menghala ke pusat bandar raya Kuala Lumpur iaitu berhampiran susur ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, walau pun berjaya melepasi sekatan jalan raya, penunggang motosikal yang melanggar peraturan tetap akan disaman meskipun tidak ditahan secara fizikal di lokasi operasi, laporan Berita Harian.

    Katanya, Op Motosikal ini diadakan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan terutamanya kemalangan maut yang sentiasa meningkat tnggi setiap hari.

    Polis PJ guna dron kesan penunggang motosikal yang tidak guna lorong khas – 47 saman dikeluarkan

    “Punca utama penunggang motosikal tidak menggunakan laluan motosikal adalah disebabkan sikap mereka yang kebanyakan gunakan jalan utama sebagai jalan pintas dan punca kedua kita dapati mereka (penunggang motosikal) mengelak melalui laluan itu disebabkan keadaan jalan tidak sempurna seperti berlubang dan pada sebelah malam jalan berkenaan gelap, sekaligus berisiko.

    “Namun penunggang motosikal mungkin berhadapan risiko tidak dilindungi tuntutan insurans kemalangan jalan raya apabila mereka tidak menggunakan laluan motosikal sekiranya berlaku kemalangan. Sebab itu di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan sudah disediakan hukuman yang khusus dan jika mereka menggunakan jalan utama mereka tidak dapat menuntut insurans tertentu kerana tidak menggunakan laluan disediakan,” katanya.

    Tambahnya lagi, tindakan penunggang motosikal melalui laluan utama semasa waktu puncak iaitu pada waktu pagi dan petang jugg mendatangkan bahaya kerana mereka menggunakan kenderaan kecil berbanding jenis kenderaan lain.

    “Yang paling utama penunggang motosikal ini kenderaan kecil dan apabila mereka bergesel atau terjatuh risiko kecederaan adalah kepada mereka berbanding pemandu kenderaan lain.

    “Salah satu lagi perkara yang kita tekankan adalah dari segi disiplin penunggang motosikal apabila mereka marah atau memaki hamun pengguna jalan raya lain ketika menunggang di laluan utama ini. Mereka perlu mengawal perasaan dan paling penting mereka perlu sedar dulu kesalahan yang mereka lakukan di laluan utama kerana mereka tidak berada di laluan sepatutnya,” katanya.

    Menerusi operasi tersebut, sebanyak 47 saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan yang dikesan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan LN167/59 serta sebanyak 16 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dirakam oleh Unit Dron. Antara kesalahan yang direkodkan termasuk aksesori kenderaan tidak sempurna, tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, mengabaikan isyarat lalu lintas, LKM tamat tempoh, penggunaan alat komunikasi semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lampu brek/brek ketiga, serta halangan lalulintas.

    Pelaksanaan Op Motosikal berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat. Operasi ini akan diteruskan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan menerusi penguatkuasaan berterusan, kata Polis PJ.

     
     
  • 20 jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025 – BYD paling atas, Tesla mendahului Proton

    20 jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025 – BYD paling atas, Tesla mendahului Proton

    Mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), BYD terus mengekalkan kedudukannya sebagai jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025 dengan jualan sebanyak 1,148 unit. Namun, kejutan besar datang daripada Tesla yang mencatat lonjakan mengejut — daripada hanya 108 unit pada April kepada 1,075 unit pada Mei.

    Ini merupakan kali pertama Tesla mencatat jualan empat angka dalam sebulan bagi tahun 2025 dan ia sekaligus menolak Proton ke tempat ketiga, dengan jualan domestik sebanyak 862 unit (Proton melaporkan 916 unit termasuk eksport).

    Perlu diketahui, Proton ketika ini hanya mempunyai satu model EV, berbanding Tesla yang menawarkan dua model dan BYD dengan lima model. BMW pula, walaupun menawarkan lebih banyak model EV, berada di tempat keempat dengan 179 unit terjual – satu peningkatan ketara berbanding hanya 119 unit pada April.

    20 jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025 – BYD paling atas, Tesla mendahului Proton

    Denza dan Xpeng pula hampir setara, masing-masing mencatat 129 dan 125 unit. Di tempat ketujuh dan kelapan pula ialah Chery (116 unit) dan Zeekr (105 unit) – kedua-duanya mempunyai satu atau dua model dalam pasaran. Semua jenama lain mencatat jualan di bawah 100 unit bagi bulan Mei.

    Melihat kepada jualan keseluruhan untuk tahun 2025 setakat ini (YTD), BYD masih mengungguli carta dengan jumlah 4,355 unit, hasil tiga bulan berturut-turut mencatat jualan empat angka. Proton berada di tempat kedua dengan 3,399 unit (tidak termasuk 233 unit eksport) dan diikuti Tesla yang kini mencatat 1,810 unit.

    20 jenama EV paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025 – BYD paling atas, Tesla mendahului Proton

    BMW pula berada di tempat keempat dengan 766 unit, menunjukkan prestasi yang agak stabil setiap bulan, kecuali sedikit penurunan pada bulan Februari. Denza, yang hanya melancarkan MPV D9 pada Februari kini berada di kedudukan kelima dengan jumlah 524 unit, diikuti rapat oleh Xpeng dengan 505 unit.

    Melengkapkan senarai 10 teratas ialah Zeekr (465 unit), Porsche (276), MINI (227) dan MG (224). Chery, walaupun berada di tempat ketujuh pada bulan Mei hasil jualan kukuh sebanyak 116 unit, masih belum berjaya menempatkan diri dalam 10 teratas YTD kerana jualannya sebelum ini kekal dalam lingkungan dua angka untuk empat bulan pertama tahun ini.

     
     
  • Mitsubishi Triton Athlete kini turun harga jadi RM160k, ada kelengkapan tambahan, servis percuma 5-tahun

    Mitsubishi Triton Athlete kini turun harga jadi RM160k, ada kelengkapan tambahan, servis percuma 5-tahun

    Mitsubishi Triton Athlete kini ada tawaran terbaru sempena dengan ulang tahun ke-20 Mitsubishi Motors Malaysia. Yang dimaksudkan ialah varian paling tinggi Triton Athlete dengan janaan 204 PS/470 Nm tork kini dijual dengan harga lebih rendah, RM159,980 atas jalan belum termasuk insurans. Ini melibatkan pengurangan sebanyak RM6,000 daripada harga sebelum ini, iaitu RM165,980.

    Selain pengurangan harga, spesifikasinya juga ada sedikit perubahan, melibatkan kemasan tambahan untuk bampar depan, palang sports, bantuan pintu barangan belakang dan pelekat hiasan. Kemasan pada bampar depan melibatkan skid plate warna perak dengan dua bukaan dan pembahagi hitam, yang memberi kelainan untuk wajah depannya berbanding penggunaan warna badan sebelum ini.

    Palang sports dan hiasan grafik menjadikan bahagian belakangnya tidak terlalu kosong. Kesimpulannya, tambahan beberapa perkara ini membuatkan penampilan Triton Athlete lebih menonjol, dan nampak lebih lengkap.

    Mitsubishi Triton Athlete kini turun harga jadi RM160k, ada kelengkapan tambahan, servis percuma 5-tahun

    “Triton Athlete yang diperkemas ini menunjukkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan. Kami berbangga untuk memperkenalkan model ini sempena perayaan ulang tahun ke-20 syarikat, dan ingin menjadikannya lebih mudah dan murah dibeli oleh pelanggan di Malaysia,” jelas CEO Mitsubishi Motor Malaysia, Shinya Ikeda.

    Kemaskini harga tetap itu turut digabungkan dengan tawaran ulang tahun ke-20 bagi tempoh terhad menjadikan penawarannya lebih menarik. Triton Athlete kini turut didatangkan dengan program selenggara percuma lima-tahun atau ganjaran RM8,000 km. Ini adalah tambahan kepada jaminan kilang standard selama lima-tahun tanpa had perbatuan. MMM juga memaklumkan yang kadar faedahnya juga bermula dari 0.6% dengan Maybank atau Public Bank.

    Terakhir, syarikat ini juga menganjurkan peraduan Gores & Menang bermula 16 Jun. Mereka yang membuat tempahan Triton atau Xpander facelift (mana-mana varian) akan menerima kad gores ketika pendaftaran dan serahan kereta. Hadiah yang tersedia termasuk iPhone 16, iPad, iPods, jam tangan Seiko serta produk Thule.

     
     
  • 20 model EV terlaris di Malaysia untuk Mei 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, BYD Atto 3 ketiga

    20 model EV terlaris di Malaysia untuk Mei 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, BYD Atto 3 ketiga

    Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tesla Model Y versi facelift muncul sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025, dengan jumlah jualan sebanyak 985 unit. Model ini, yang dikenali dengan nama kod ‘Project Juniper’, mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Februari lalu, namun penghantarannya bermula secara besar-besaran pada bulan Mei.

    Kejayaan Tesla Model Y ini telah menolak Proton eMas 7 ke tempat kedua dengan 862 unit terjual sepanjang bulan tersebut sementara tempat ketiga hingga kelima pula semuanya adalah daripada BYD – Atto 3 (505 unit), Sealion 7 (406 unit) dan M6 (136 unit). Seterusnya, Denza D9 berada di tempat keenam dengan 129 unit diikuti Chery Omoda E5 (116 unit).

    Model BYD Seal berada di tangga kelapan dengan 94 unit, manakala Dolphin tidak tersenarai langsung dalam senarai jualan bulan Mei dan jumlah keseluruhan tahunan setakat ini. Tesla Model 3 dan Zeekr 009 kedua-duanya mencatat jualan sebanyak 90 unit pada bulan Mei, manakala Xpeng X9 terjual sebanyak 77 unit. iX2 menjadi EV paling laris daripada jenama BMW dengan 72 unit, jauh mendahului BMW i5 (39 unit) dan iX1 (37 unit) yang berada di tempat ke-16 dan ke-17.

    Walaupun Tesla Model Y menjadi pilihan utama bulan Mei, Proton eMas 7 masih kekal sebagai EV paling laris untuk tahun ini (Year-To-Date/YTD) dengan jumlah keseluruhan 3,399 unit. Di tempat kedua adalah BYD Sealion 7 (1,640 unit), diikuti oleh BYD Atto 3 (1,230 unit) dan Tesla Model Y (1,111 unit). Semua model EV lain masih mencatat jualan di bawah 1,000 unit bagi tempoh tahun ini.

    Untuk kategori MPV elektrik, BYD M6 mendahului dengan 863 unit, diikuti Denza D9 (524 unit), Zeekr 009 (402 unit) dan Xpeng X9 (157 unit). Meskipun BYD Seal berjaya mengatasi Tesla Model 3 dari segi jualan bulanan pada Mei, Tesla Model 3 masih mendahului dari segi jumlah jualan tahun ini (698 unit berbanding 554 unit), hasil prestasi kukuh pada bulan Februari lalu.

     
     
  • Kerja naiktaraf Jalan Raya Timur-Barat termasuk lokasi nahas bas dilaksana tahun ini, kos RM55 juta – Nanta

    Kerja naiktaraf Jalan Raya Timur-Barat termasuk lokasi nahas bas dilaksana tahun ini, kos RM55 juta – Nanta

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) atau pun Jalan Persekutuan FT04 yang merupakan sebahagian daripada Jalan Gerik-Jeli, di mana lokasi berlakunya kemalangan maut melibatkan pelajar-pelajar UPSI, telah dikenalpasti bagi kerja membaik pulih pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

    Jelasnya, pelbagai inisiatif juga telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik Jalan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT04 itu.

    “Pada bulan Jun 2023, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan di FT04. Manakala pada bulan Ogos tahun yang sama, Perdana Menteri telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk menaiktaraf laluan Gerik Jeli.

    “Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT04. Antara kerja-kerja yang dilaksanakan adalah seperti berkala pavemen/turapan semula jalan, berkala bukan pavemen/pembaikan perabot jalan, pembaikan jambatan dan pembaikan lampu jalan/lampu isyarat, merangkumi kedua-dua arah laluan,” katanya menerusi Facebook rasminya.

    Tambahnya lagi, semua kerja telah disiapkan secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 melibatkan kos sebanyak RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui ‘Pavement Condition Assessment’ (PCA) di FT04. Manakala pada tahun 2024 pula, sejumlah RM7.2 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain di laluan ini.

    Kerja naiktaraf Jalan Raya Timur-Barat termasuk lokasi nahas bas dilaksana tahun ini, kos RM55 juta – Nanta

    Beliau turut berkata, walau pun siasatan polis masih berjalan (berhubung kes kemalangan bas terbabit), tetapi beliau telah menerima pelbagai reaksi berkaitan kondisi laluan jalan raya tersebut seperti yang ditularkan di pelbagai platform media sosial.

    “Dalam situasi semua pihak terutamanya keluarga mangsa masih berdukacita dengan insiden yang tidak diingini ini, saya amat berharap kita semua dapat memberi kerjasama dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.

    “Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Kementerian akan memberikan komitmen penuh dalam memastikan infrastruktur jalan raya adalah selamat dan selesa untuk pengguna jalan raya. Dalam pada masa yang sama, perlu saya tekankan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua termasuklah pengguna jalan raya,” katanya.

    Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata isu keselamatan di JRTB dan langkah segera yang boleh diambil akan dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) pula dilaporkan akan memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di JRTB, termasuk di kawasan lokasi nahas bas terbabit.

     
     
  • 20 jenama terbaik Mei 2025 — Perodua 31,398 unit, Proton 12,751 unit, Toyota 11,183 unit; Tesla atasi Merc

    20 jenama terbaik Mei 2025 — Perodua 31,398 unit, Proton 12,751 unit, Toyota 11,183 unit; Tesla atasi Merc

    Bagi Mei 2025, Perodua merekodkan angka pendaftaran kenderaan tertinggi dengan 31,398 unit, berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini menjadikan jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) bagi syarikat itu sebanyak 143,860 unit — mewakini 41% daripada sasaran jualannya iaitu 350,000 unit bagi tahun ini.

    Di tempat kedua ialah Proton dengan 12,751 unit pendaftaran, menjadikan YTD-nya kepada 59,133 unit. Ini diikuti oleh Toyota dengan 11,183 unit pendaftaran (47,424 unit YTD), sementara Honda menduduki tempat keempat dengan 6,065 unit (30,976 unit YTD). Semua jenama yang dinyatakan ini juga merupakan jenama yang sudah mencatatkan keseluruhan YTD lima digit, kecuali Perodua dengan enam digit.

    Perlu juga dinyatakan, tujuh jenama paling laris sepanjang Mei 2025 adalah dalam kedudukan sama seperti pada April 2025, dengan Jaecoo menduduki tempat lima teratas dengan 1,768 unit untuk menjadikan YTD-nya 7,566 unit. Sementara itu, jenama EV BYD berjaya mendaftarkan sebanyak 1,148 unit (4,355 unit YTD) setakat Mei, dengan Mitsubishi mencatatkan 1,111 pendaftaran (5,836 unit YTD).

    20 jenama terbaik Mei 2025 — Perodua 31,398 unit, Proton 12,751 unit, Toyota 11,183 unit; Tesla atasi Merc

    Dengan ketibaan unit yang ditempahan pelanggan, Tesla naik ke posisi kelapan dengan 1,075 unit (1,810 unit YTD), jumlah bulanan tertinggi bagi jenama itu tahun ini. Mercedes-Benz pula di tangga kesembilan dengan 976 unit (3,881 unit YTD) dan Chery di tempat ke-10 dengan 794 unit (4,107 unit YTD).

    Selain 10 kedudukan teratas, Mazda mengisi tempat ke-11 dengan 683 unit (3,554 unit YTD), BMW ditempat ke-12 dengan 635 unit (3,053 unit YTD) dan Lexus di tangga ke-13 dengan 593 unit (2,264 unit YTD). Nissan pula yang kekal menjual sebanyak 500 unit pada bulan-bulan sebelumnya berada di tangga ke-14 mencatatkan peningkatan kepada 574 pendaftaran (2,964 unit YTD).

    20 jenama terbaik Mei 2025 — Perodua 31,398 unit, Proton 12,751 unit, Toyota 11,183 unit; Tesla atasi Merc

    Ini diikuti oleh Isuzu di tempat ke-15 dengan 493 unit (2,532 unit YTD), Ford di tempat ke-16 dengan 429 unit (2,013 unit YTD) dan Great Wall Motor di tempat ke-17 dengan 412 unit (1,842 unit YTD). Suzuki pula di tempat ke-18 dengan 226 unit (731 unit YTD), yang menjadi angka tertinggi jenama itu setakat ini.

    MINI juga kembali ke tangga 20 teratas untuk Mei 2025 di tempat ke-19 dengan 212 unit (858 unit YTD), sementara Porsche di tempat ke-20 dengan 183 unit (1,077 unit YTD). JPJ mengira sekali kereta recon dalam datanya, dan ini turut memberi kesan kepada angka beberapa jenama.

     
     
  • Spesifikasi Mazda CX-60 pasaran Malaysia tertiris – anggaran harga RM200k, enjin 2.5L NA, 8AT RWD

    Spesifikasi Mazda CX-60 pasaran Malaysia tertiris – anggaran harga RM200k, enjin 2.5L NA, 8AT RWD

    Awal bulan ini pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz sudahpun membuka tempahan untuk SUV generasi baharu dengan platform pacuan roda belakang CX-60 – ia bakal ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) hanya dalam satu varian, tetapi spesifikasi penuhnya belum lagi didedahkan. Namun spesifikasi tersebut terdedah dalam satu hantaran di media sosial.

    Sama seperti beberapa perincian yang telah disiarkan oleh beberapa pengedar Mazda sebelum ini, CX-60 pasaran Malaysia dijual hanya dalam varian 2.5G 2WD High. Ia menerima enjin SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder NA berkuasa 191 PS dan tork maksima 261 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang hanya memacu roda belakang, atau spesifikasi yang sama seperti yang ditawarkan di Singapura.

    Jadi model pasaran Malaysia ini tidak menerima enjin enam-silinder generasi baharu Mazda yang ditawarkan di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, serta tidak ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda.

    Untuk perincian lain, CX-60 pasaran Malaysia ini datang standard dengan rim aloi 20-inci, lampu-lampu LED, penderia parkir hadapan dan belakang, kunci automatik walkaway, bumbung suria panaromik, dan juga pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh.

    Spesifikasi Mazda CX-60 pasaran Malaysia tertiris – anggaran harga RM200k, enjin 2.5L NA, 8AT RWD

    Pada bahagian dalaman pula ia menerima paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori pada sebelah pemandu, upholsteri kulit hitam, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3-inci bersama sokongan Apple Carplay tanpa wayar (mungkin bersama Android Auto), sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    CX-60 pasaran Malaysia ini juga nampaknya datang dengan Driver Personalisation System di mana ia boleh menyimpan profil beberapa pemandu berbeza memudahkan larasan-larasan asas dibuat sekiranya kereta ini dikongsi oleh beberapa orang. Ia juga diberikan Kinematic Posture Control iaitu sistem kawalan brek yang akan menstabilkan semula kenderaan di selekoh tajam.

    Untuk keselamatan pula spesifikasi yang tertiris ini menunjukkan bahawa CX-60 pasaran Malaysia menerima lapan-beg udara, kamera 360 darjah dengan pandangan telus cahaya, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang menampilkan fungsi seperti lampu hadapan LED adaptif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, pemantau perhatian pemandu, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, dan juga bantuan lebuhraya.

    Spesifikasi Mazda CX-60 pasaran Malaysia tertiris – anggaran harga RM200k, enjin 2.5L NA, 8AT RWD

    Lima pilihan warna badan ditawarkan untuk CX-60 ini iaitu Soul Red Crystal, Jet Black, Zircon Sand, Platinum Quartz dan Rhodium White.

    Ketika tempahannya dibuka, Bermaz sudahpun mengumumkan bahawa harga jangkaan atas jalan tanpa insuran bagi SUV ini adalah RM200,510.40, dan ia akan turut menerima filem penapis cermin Activ-e serta perlindungan waranti selama lima-tahun atau 100,000 km, dan juga pakej penyelengaraan percuma.

    Walau bagaimanapun semua yang kami paparkan ini hanyalah untuk rujukan dan panduan kerana kesemua perincian yang disahkan hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Pelanggan dijangka akan menerima kereta yang ditempah pada September tahun ini, jadi pelancarannya dijangka akan dibuat lebih awal dari itu.

    GALERI: Mazda CX-60 di KLIMS 2024

     
     
  • Isu keselamatan, tambahbaik Jalan Raya Timur-Barat dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok – Loke

    Isu keselamatan, tambahbaik Jalan Raya Timur-Barat dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangkitkan isu keselamatan dan membincangkan langkah segera yang boleh diambil untuk menambahbaik Lebuh Raya Timur-Barat (JRTB) pada mesyuarat Jemaah Menteri esok, laporan The Sun.

    Menterinya, Anthony Loke berkata, kementeriannya memandang serius nahas membabitkan bas sewa khas yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam dan berpandangan harus ada tindakan segera dan drastik diambil bagi meningkatkan keselamatan di laluan berkenaan.

    “Dari segi keselamatan jalan raya (termasuk di JRTB), kita perlu bekerjasama dengan pelbagai kementerian lain, dan saya akan bangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pagi esok supaya kita lihat apakah langkah segera yang boleh diambil untuk memperbaikinya.

    “Khususnya, isu keselamatan di JRTB adalah sesuatu yang membimbangkan kami, yang pertama bukan sahaja sekatan jalan raya tetapi juga dari segi keadaan jalan raya dan juga kekurangan lampu jalan pada waktu malam,” katanya.

    Berkenaan dengan keadaan infrastruktur di laluan berkenaan yang dikatakann sudah agak uzur dan ketinggalan zaman, beliau berkata, Kerajaan mengambil perhatian terhadap aspek sekatan jalan raya dan pencahayaan, justeru Kementerian Pengangkutan akan memasang lampu jalan solar bagi mengatasi masalah pencahayaan pada waktu malam di laluan berkenaan.

    Isu keselamatan, tambahbaik Jalan Raya Timur-Barat dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok – Loke

    Laporan Sinar Harian pula menyebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di JRTB, termasuk di kawasan lokasi nahas bas terbabit.

    Walau bagaimana pun, Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, kemalangan bas tersebut bukan berpunca daripada keadaan jalan yang gelap, sebaliknya kelajuan kenderaan seperti yang dilaporkan oleh pihak polis.

    “Lampu jalan serta keadaan gelap bukan punca utama kemalangan. Kawasan tersebut juga telah mendapat peruntukan untuk diturap semula permukaan jalan serta garisan jalan. Pemantauan terkini di tapak mendapati permukaan jalan dalam keadaan baik dan tiada lubang. Perabot jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda,” katanya.

    Pada Ogos 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk menaiktaraf laluan JRTB. Peruntukan itu merupakan tambahan kepada penyelenggaraan jalan itu yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

     
     
  • Ford Mobile Service diperkenal – khidmat servis dan baik pulih ringan terus ke hadapan pelanggan

    Ford Mobile Service diperkenal – khidmat servis dan baik pulih ringan terus ke hadapan pelanggan

    Sime Darby Auto ConneXion-Ford melancarkan Ford Mobile Service, iaitu satu inisiatif yang membawa perkhidmatan penyelenggaraan dan baik pulih ringan terus ke pintu rumah pelanggan.

    Melaluinya, pelanggan boleh menempah juruteknik yang bertauliah Ford untuk menjalankan pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan asas seperti penukaran minyak enjin, pemeriksaan bahagian penting, penggantian bateri serta penukaran pengelap cermin dan penapis minyak – mengikut masa dan lokasi pilihan mereka. Sudah tentu, hanya alat ganti tulen dan peralatan yang disahkan oleh pengeluar digunakan, bagi memastikan ketenangan fikiran pelanggan.

    “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Ford Mobile Service sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menawarkan kemudahan dan nilai lebih tinggi yang mempertingkatkan pengalaman pemilikan. Inisiatif ini membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat penyenggaraan profesional bagi kenderaan masing-masing dengan tahap keyakinan sama yang diharapkan daripada pusat servis pengedar,” kata pengarah urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.

    Ford Mobile Service diperkenal – khidmat servis dan baik pulih ringan terus ke hadapan pelanggan

    Perkhidmatan ini menawarkan empat slot servis dari jam 9 pagi hingga 3.30 petang bagi hari Isnin hingga Jumaat dan dua slot servis pada hari Sabtu dari jam 9 pagi hingga 11 pagi. Terdapat caj tetap untuk perkhidmatan di lokasi dalam radius 20 km dari Ford Ara Damansara, dengan tawaran pengenalan diberikan bagi tempoh terhad. Untuk lokasi di luar radius tersebut, caj tambahan akan dikenakan.

    Pelanggan boleh membuat tempahan melalui aplikasi Sime Motors OneGo (untuk Apple iOS dan Google Android) atau melalui talian khidmat pelanggan Ford Ara Damansara di 03-7621 5111. Ford Mobile Service ini dimulakan sebagai program percubaan di Ford Ara Damansara, namun Auto ConneXion merancang untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke lebih banyak pengedar Ford di seluruh negara.

     
     
  • UMWT rancang tubuh pasukan rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia untuk pelumba muda berlumba di luar

    UMWT rancang tubuh pasukan rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia untuk pelumba muda berlumba di luar

    Presiden UMW Toyota Motor (UMWT) Datuk Ravindran K, syarikatnya bakal mewujudkan satu pasukan lumba rasmi di bawah nama Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRMY) yang khas untuk berlumba di luar negara, bagi memanfaatkan dan mengembangkan lagi karier bakat-bakat muda yang dilahirkan menerusi program pembangunan pelumba muda TGR Rookies.

    “Melihat ke hadapan, Toyota berhasrat untuk meluaskan jejak sukan permotoran kami dengan mewujudkan halatuju ke tahap seterusnya yang lebih jelas untuk Rookies TGR kami, membolehkan mereka menamatkan pengijazahan semula jadi ke dalam kategori perlumbaan peringkat lebih tinggi. Rancangan sedang dijalankan untuk membentuk Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRMY), iaitu sebuah pasukan perlumbaan rasmi untuk menyertai siri sukan permotoran serantau bagi mengukuhkan penampilan Malaysia dalam sukan ini” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung pusingan kedua Vios Challenge musim 2025 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

    Program pembangunan TGR Rookies berkenaan telah diperkenalkan sejak musim keempat perlumbaan Vios Challenge berlangsung. Dan sehingga kini 22 orang pelumba muda telah dilahirkan di mana 10 daripadanya kini sedang berlumba dalam perlumbaan-perlumbaan tempatan, serta empat orang telah menjadi juara kejohanan diperingkat nasional serta sudah berlumba dan menang dalam perlumbaan antarabangsa – antaranya pasangan adik beradik Nabil dan Naquib Azlan dan juga Amer Haris yang sudah melangkah ke kejohanan Thailand Super Series di negara jiran.

    Rancangan ini mungkin akan menyaksikan pelumba-pelumba muda berkenaan akan di bawa lebih jauh dalam siri-siri perlumbaan lain sekitar rantau ASEAN dengan membawa nama pasukan TGRMY.

     
     
  • Vios Challenge 2025 pusingan ke-2 akan berlangsung bersama Super GT di Litar Sepang hujung bulan ini

    Vios Challenge 2025 pusingan ke-2 akan berlangsung bersama Super GT di Litar Sepang hujung bulan ini

    Perlumbaan pusingan kedua untuk siri ‘one make’ Vios Challenge musim 2025 bakal berlangsung hujung bulan ini, di mana ia akan berlangsung sekali dengan siri perlumbaan Autobacs Super GT yang bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk pusingan ketiga bagi musim ini.

    Ia berikutan UMW Toyota Motor dan Toyota Gazoo Racing Malaysia telah dilantik sebagai penaja utama perlumbaan yang dianjurkan oleh pemegang hak dan promoter untuk acara berkenaan iaitu Haro Sports & Entertainment. Menurut Toyota Malaysia, acara yang akan berlangsung bermula 26 hingga 28 Jun 2025 tersebut dijangka menarik lebih 40,000 penonton bersama audien global yang boleh mencecah sehingga 162 juta orang menerusi siaran langsung penonton atas talian.

    “Penyertaan kami sebagai penaja utama mencerminkan komitmen berterusan UMW Toyota Motor untuk memartabatkan sukan permotoran Malaysia. Vios Challenge, perlumbaan ‘one make’ terulung telah menjadi batu loncatan yang terbukti untuk bakat tempatan, dan kini pemandu kami bersaing di pentas yang sama dengan pasukan antarabangsa di Super GT menandakan kejayaan yang bermakna,” kata presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.

    “Peluang ini selaras dengan falsafah Gazoo Racing kami bagi memaksa hingga ke had untuk lebih baik – bukan hanya dalam pembangunan kenderaan, malah untuk manusia. Festival SUPER GT Malaysia bukan sekadar platform untuk pertandingan — ia adalah papan pelancaran yang dengan bangganya meletakkan Toyota Gazoo Racing Malaysia pada peta sukan permotoran global dan mempamerkan bahawa Toyota Gazoo Racing Malaysia berada di sini, aktif dan bersedia untuk berkembang,” tambahnya.

    Untuk perlumbaan musim ke-8 pusingan kedua ini, ia akan disertai oleh 35 buah Vios yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Super Sporting (pelumba professional), Sporting (pelumba amatur) dan juga Rookie (pelumba muda dalam program pembangunan bakat muda Toyota).

    Kali ini Vios Challenge akan berlangsung dalam litar penuh SIC dengan jarak 5.543 km satu lap, dan ia akan berlangsung selama satu jam berbanding hanya 30-minit pada pusingan pertama.

    Selain dari Vios Challenge, Haro turut akan menampilkan perlumbaan Toyota GR86 Cup Malaysia sebagai satu lagi perlumbaan sokongan Super GT pusingan Malaysia 2025. Ia merupakan perlumbaan pertama untuk musim pertama siri berkenaan, dan ia akan berlangsung sebanyak 10-lap.

    Untuk perlumbaan sebenar Super GT pula, tumpuan akan diberikan kepada dua pasukan yang menggunakan jentera Toyota GR Supra dalam kelas GT500 iaitu TOM’S GR Supra yang menjadi juara untuk musim 2023, 2024 serta pusiangan pertama Super GT 2025 di Okayama, dan juga KeePer Cerumo GR Supra yang menang di perlumbaan pusingan kedua musim 2025 di Fuji Speedway.

    Seperti biasa, UMW Toyota turut akan membawa barisan model-model prestasi GR sebenar seperti GR Yaris, GR Corolla, GR Supra dan GR86, bersama-sama barisan model GR Sport seperti Corolla GR Sport dan Corolla Cross HEV GR Sport untuk dipamerkan, serta pelbagai barangan rasmi GR untuk dijual kepada peminat.

    Selain itu, acara yang turut dianjurkan bersama oleh Nihon Matsuri ini juga disahkan turut akan disertakan dengan konsert selepas perlumbaan GT-Live! menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa, antaranya trio Tenxi, Naykilla & Jemsii aka TNJ dari Indonesia yang akan membuat persembahan “Garam & Madu (Sakit Dadaku)”, kumpulan penyanyi wanita KLP48 dari Malaysia tetapi terkenal dalam arena muzik J-Pop, Fareed dari kumpulan K-CLIQUE, Sabhi Saddi dan juga Kaka Azraff.

    Vios Challenge 2025 pusingan ke-2 akan berlangsung bersama Super GT di Litar Sepang hujung bulan ini

    Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang telah dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April lalu.

    Haro Sports & Entertainment sebelumnya ini turut telah mengumumkan bahawa penonton yang datang akan berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra menerusi cabutan bertuah yang akan dibuat.

    Bagi membolehkan layak menyertai cabutan bertuah ini, anda perlulah membeli tiket (kecuali tiket Grandstand K1) dengan menggunakan Mastercard. Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama, RM350 untuk GT Suite, RM500 untuk GT Live! Rock Zone, RM2,000 untuk GT Club Paddock serta bermula RM5,000 untuk pakej-pakej Ultimate dan Dream.

     
     
  • Apple dedah iOS 26 – gaya rekaan Liquid Glass, CarPlay lebih mudah diguna, aplikasi ditambah baik

    Apple dedah iOS 26 – gaya rekaan Liquid Glass, CarPlay lebih mudah diguna, aplikasi ditambah baik

    Semasa acara Worldwide Developers Conference (WWDC) baru-baru ini, Apple memperkenalkan sistem pengendalian terbaru untuk iPhone – iOS 26 – yang dijangka dilancarkan kepada pengguna dalam masa beberapa bulan lagi (kemungkinan besar pada September).

    Jika anda perasan, Apple kini mengubah cara penamaan versi iOS, menyerupai bagaimana jenama kereta melabel model baru mereka. Jadi, versi iOS 19 hingga iOS 25 dilangkau, dan kini terus pergi ke iOS 26 – menyamai tahun 2026.

    Perubahan ini bukan sahaja berlaku pada iPhone, tetapi turut melibatkan semua produk Apple. Kita akan lihat iPadOS 26, macOS Tahoe 26, watchOS 26, tvOS 26 dan visionOS 26 dilancarkan serentak.

    Apple dedah iOS 26 – gaya rekaan Liquid Glass, CarPlay lebih mudah diguna, aplikasi ditambah baik

    Antara sorotan utama WWDC tahun ini ialah pengenalan gaya reka bentuk baru yang dipanggil sebagai Liquid Glass. Reka bentuk ini memberikan paparan antaramuka (interface) yang lebih ekspresif dan berkilat, seakan-akan kaca – satu perubahan besar sejak Apple berpindah daripada gaya skeuomorphic kepada rekaan flat bermula iOS 7.

    Perlu diketahui, iOS 26 bukan sekadar perubahan kosmetik. Apple turut memperkenalkan pelbagai fungsi baru untuk menjadikan pengalaman menggunakan iPhone lebih intuitif, mesra pengguna dan kurang mengganggu. Aplikasi turut dikemaskini, dengan salah satu yang paling ketara ialah CarPlay, yang menurut Apple kini digunakan lebih 600 juta kali setiap hari.

    CarPlay akan menggunakan reka bentuk Liquid Glass dan tampil dengan paparan panggilan masuk baru yang lebih ringkas. Ini membolehkan pemandu melihat siapa yang membuat panggilan tanpa menutup paparan navigasi dan tidak terlepas penunjuk penting seperti arah belok.

    Apple dedah iOS 26 – gaya rekaan Liquid Glass, CarPlay lebih mudah diguna, aplikasi ditambah baik

    Apple turut memperkenalkan widget baru, di mana anda boleh mengawal peranti pintar seperti lampu rumah atau pintu garaj terus dari skrin kereta. Widget ini juga menyokong fungsi Live Activities, jadi anda boleh kekal mengikuti perkembangan aktiviti tanpa terganggu dari pemanduan.

    Untuk aplikasi Messages, pengguna kini boleh tanda (pin) perbualan penting dan membalas mesej dengan Tapbacks – iaitu emoji ringkas seperti yang biasa kita guna dalam WhatsApp atau Telegram.

    Semua ini juga akan hadir dalam CarPlay Ultra, versi lebih canggih yang diumumkan bulan lalu. Kereta Aston Martin akan menjadi yang pertama menerima integrasi mendalam ini, diikuti model daripada Hyundai, Kia dan Genesis.

    Apple dedah iOS 26 – gaya rekaan Liquid Glass, CarPlay lebih mudah diguna, aplikasi ditambah baik

    Bagi Apple Maps, ciri baru dipanggil Visited Places diperkenal, yang membolehkan anda melihat semula lokasi yang pernah anda kunjungi. Apple menegaskan bahawa maklumat ini dijadikan sulit hujung ke hujung (end-to-end encryption) dan mereka sendiri tidak boleh mengaksesnya.

    Satu lagi yang menarik, iPhone kini mampu mengenal pasti laluan harian anda menggunakan kecerdasan pada peranti dan akan memberi cadangan laluan ke rumah atau pejabat secara automatik – lengkap dengan pemberitahuan kelewatan dan pilihan laluan alternatif.

    Secara keseluruhan, Apple nampaknya benar-benar meletakkan sasaran untuk menjadikan peranti mereka lebih mesra pengguna, bergaya dan bijak. Dengan gabungan reka bentuk baru dan fungsi pintar, iOS 26 bukan sekadar nombor – ia permulaan era baharu dalam ekosistem Apple.