Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perang harga jenama China jejaskan pengeluar OEM, vendor, pasaran kereta terpakai di Malaysia – Proton

    Perang harga jenama China jejaskan pengeluar OEM, vendor, pasaran kereta terpakai di Malaysia – Proton

    Seperti di China dan pasaran lain yang kini telah diteroka oleh jenama-jenama automotif dari republik tersebut, “perang harga” kereta baharu turut telah bermula di Malaysia. Menurut naib CEO Proton Roslan Abdullah, fenomena yang dicetuskan oleh jenama-jenama China ini walaupun memberikan keuntungan kepada pengguna dengan harga kereta lebih murah, namun ia telah meninggalkan kesan buruk terhadap industri automotif tempatan terutamanya pengilang peralatan asli (OEM) yang menjadi vendor tempatan yang membekalkan komponen kenderaan di sini.

    “Perang harga bukan sahaja memberi kesan kepada OEM dengan kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, ia juga memberi kesan kepada vendor dan pengedar tempatan. Keadaan ini membawa kepada peningkatan stok, kerana pelanggan tertarik kepada kereta yang ditawarkan pada harga yang lebih rendah. Pada masa yang sama, sesetengah pelanggan mengamalkan sikap tunggu dan lihat, dengan harapan harga akan terus turun,” kata Roslan dalam laporan NST.

    Beliau turut menambah perang harga yang menyebabkan kereta baharu yang dijual pada harga jauh lebih murah ini turut menjejaskan harga jualan semula sesebuah kereta dalam pasaran kereta terpakai.

    Perang harga jenama China jejaskan pengeluar OEM, vendor, pasaran kereta terpakai di Malaysia – Proton

    “Sebagai contoh, jika kenderaan Jenama A pada mulanya dibeli pada harga RM100,000 tetapi kemudian dijual pada harga diskaun RM80,000, ia akan memberi kesan ketara kepada susut nilai kenderaan itu. Pasaran tukar beli juga akan terjejas akibatnya. Trend ini menyebabkan pelanggan lebih cenderung untuk membeli kenderaan baharu, kerana harganya lebih kompetitif berbanding kenderaan terpakai,” jelas Roslan.

    Beliau menambah bahawa OEM tempatan tidak dapat bersaing dalam perang harga dengan jenama China kerana kos operasi yang lebih tinggi, termasuk perbelanjaan pembuatan, vendor dan rantaian bekalan. “OEM mesti memastikan kesinambungan perniagaan. Kami tidak boleh menurunkan harga terlalu banyak, tetapi kami boleh menawarkan diskaun atau promosi, seperti rebat tunai dan pakej aksesori, untuk membantu mengimbangi harga pasaran,” kata Roslan.

    Dalam kes Proton, Roslan berkata syarikat itu menggaji lebih 7,000 pekerja dan mempunyai lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualannya. Oleh itu, adalah penting bahawa langkah berhati-hati diambil untuk memastikan keuntungan jangka panjang syarikat. “Vendor berskala besar mungkin dapat bertahan kerana perkongsian mereka dengan jenama lain. Bagaimanapun, vendor yang lebih kecil yang bergantung pada satu jenama akan terjejas,” katanya.

    Perang harga jenama China jejaskan pengeluar OEM, vendor, pasaran kereta terpakai di Malaysia – Proton

    Menurut Roslan jenama yang cenderung menawarkan harga lebih rendah adalah jenama yang mendapat manfaat daripada model yang diimport sepenuhnya (CBU) dan separa pemasangan tempatan (SKD) dengan kit di bawa dari luar, di mana mereka tidak memerlukan pelaburan yang tinggi berbanding OEM tempatan seperti Proton.

    “Pelaburan mereka di Malaysia kekal minimum, membolehkan mereka menawarkan diskaun yang besar berikutan kos operasi yang lebih rendah. Bagaimanapun, ini mewujudkan tekanan jangka panjang kepada syarikat yang beroperasi di Malaysia,” jelas Roslan.

    “Walaupun pelaburan langsung asing merupakan sasaran utama kerajaan, adalah penting untuk mengkaji semula keadaan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) dengan kilang dan rangkaian vendor mereka sendiri dapat kekal berdaya saing,” tambahnya.

     
     
  • Honda City sedan 2025 dalam Phoenix Orange Pearl

    Honda City sedan 2025 dalam Phoenix Orange Pearl

    Warna baru Phoenix Orange Pearl untuk Honda City sedan diumumkan beberapa minggu lalu. Kini kedua-dua versi sedan dan hatchback model berkenaan menawarkan warna tersebut. Untuk lebih jelas, anda boleh mendekati dan melihat perincian yang ada melalui galeri ini, yang menampilkan warna berkenaan bagi varian paling tinggi City sedan e:HEV RS Hybrid.

    Warna ini ditawarkan dengan kos tambahan RM400, jumlah yang sama dikenakan untuk warna Platinum White Pearl. Pilihan warna dengan kos tambahan itu juga kini dikenakan untuk City Hatchback, walaupun sebelumnnya ia tidak dikenakan kos seperti itu.

    Honda City sedan 2025 dalam Phoenix Orange Pearl

    Tiada perubahan bagi harga atas jalan model ini. City sedan dijual dengan harga bermula RM84,900 untuk varian 1.5 S, naik kepada RM89,900 untuk varian 1.5 E, RM94,900 untuk varian 1.5 V, RM99,900 bagi varian 1.5 RS dan RM111,900 bagi varian e:HEV RS yang ditampilkan dalam galeri ini.

    Phoenix Orange Pearl kini menyertai enam pilihan warna yang lain yang ditawarkan kepada pelanggan: Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Crystal Black Metallic dan Lunar Silver Metallic — dua warna terakhir itu hanya untuk varian petrol.

    Honda City sedan 2025 dalam Phoenix Orange Pearl

    Dilancarkan pada Ogos 2023, City sedan facelift generasi keempat ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter NA DOHC i-VTEC empat-silinder petrol, yang menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui CVT.

    Varian e:HEV RS pula menerima sebuah elektrik motor yang menjana 109 PS/253 Nm, dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson. Enjin ini menjana 72 PS dari 5,600 hingga 6,400 rpm dan 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm — ia boleh memacu kereta ini melalui transmisi satu kelajuan dengan kekunci klac dalam keadaan paling cekap, misalnya ketika dalam kelajuan di lebuh raya.

     
     
  • Honda Malaysia lantik Narushi Yazaki jadi Pengarah Urusan dan CEO baru, ganti Hironobu Yoshimura

    Honda Malaysia lantik Narushi Yazaki jadi Pengarah Urusan dan CEO baru, ganti Hironobu Yoshimura

    Honda Malaysia (HMSB) mengumumkan bahawa Narushi Yazaki telah menyertai syarikat itu sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baru bermula 1 April. Beliau menggantikan Hironobu Yoshimura yang telah mengemudi syarikat itu selama tiga tahun dan kini kembali ke Jepun untuk meneruskan tugas di ibu pejabat Honda di Tokyo.

    Menurut HSMB, Yazaki mempunyai pengalaman 25 tahun di Honda, memimpin operasi di beberapa negara termasuk Jepun, Thailand dan AS. Beliau sebelum ini bertugas di bahagian operasi pentadbiran korporat di ibu pejabat.

    “Saya berbesar hati diberi tanggungjawab ini di Honda Malaysia, sebuah pasaran yang dikenali kerana pertumbuhan dinamiknya serta sumbangan besarnya terhadap jenama Honda di rantau Asia,” ujar Yazaki. “Saya ingin meneruskan pembangunan asas yang kuat seperti yang telah dilakukan oleh pendahulu saya sebelum ini dan terus memacu pertumbuhan dan kejayaan Honda Malaysia di sini.”

    Pendahulu Yazaki, Yoshimura memainkan peranan penting dalam mengekalkan pencapaian cemerlang selama 11 tahun sebagai pelopor bagi segmen kenderaan penumpang bukan nasional dan memimpin syarikat mengharungi tempoh mencabar selepas pandemik Covid-19, jelas kenyataan syarikat.

     
     
  • EV Proton eMas seterusnya lebih mampu milik, sesuai untuk keluarga muda, akan diumun tidak lama lagi

    EV Proton eMas seterusnya lebih mampu milik, sesuai untuk keluarga muda, akan diumun tidak lama lagi

    Lakaran digital bayangan Proton eMas 5 berdasarkan Geely Star Wish oleh Theophilus Chin

    Model EV pertama Proton iaitu eMas 7 mendapat sambutan yang agak menggalakkan dalam pasaran, dan selepas ini Proton mengesahkan bakal menawarkan model EV dalam siri eMas dengan harga yang lebih mampu milik.

    Perkara ini disebut oleh naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam laporan Berita Harian yang menyatakan bahawa syarikatnya kini sedang menilai aspek harga, praktikaliti dan jarak gerak untuk satu cas bateri penuh bagi memastikan model baharu diperkenalkan tersebut akan memenuhi keperluan pengguna.

    “Proton sedang membuat penelitian terhadap model yang bersesuaian. Buat masa ini, kami belum dapat mengumumkannya kerana masih pada peringkat kajian.

    “Bagaimanapun, model EV kedua ini dijangka lebih sesuai untuk keluarga muda dan akan ditawarkan pada harga lebih mampu milik bagi menarik lebih ramai pengguna beralih kepada EV.

    “Perkembangan mengenai EV kedua ini akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

    EV Proton eMas seterusnya lebih mampu milik, sesuai untuk keluarga muda, akan diumun tidak lama lagi

    Berdasarkan petunjuk yang disiarkan oleh Proton pada Julai tahun lalu, hampir pasti model yang disebutkan tersebut akan diasaskan dari Geely Star Wish (juga dikenali sebagai Geometry Xingyuan di China), dan seperti yang disebut oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada Januari lalu, ia mungkin akan dikenali sebagai Proton eMas 3 atau eMas 5.

    Tidak seperti eMas 7 yang masih dipasang di China dan di bawa sebagai model import sepenuhnya (CBU), model-model EV Proton selepas ini akan terus dihasilkan secara pemasangan tempatan menerusi kilang EV bernilai RM82 juta yang sedang di bina di Tanjong Malim sejak Februari lalu, dijadualkan akan beroperasi pada hujung tahun ini dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun.

    “Sudah tentu kami mahu memastikan pelaburan dibuat memberikan pulangan terbaik, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kapasiti kilang ini,” kata Roslan.

    “Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun bergantung kepada permintaan di pasaran Malaysia dan luar negara.

    “Kilang ini bukan sahaja akan menghasilkan Proton e.MAS 7 , tetapi juga model kenderaan tenaga baharu (NEV) lain yang akan diperkenalkan pada masa depan,” tambahnya lagi.

    Ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang berlangsung bulan lalu, Geely ada membawa model berkenaan untuk dipratonton sebelum dilancarkan secara rasmi di sana, namun unit yang berkenaan masih dalam versi pemanduan sebelah kiri.

    Geely Star Wish merupakan hatchback EV kompak yang menampilkan ukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm dan jarak roda sejauh 2,650 mm. Jadi sekiranya ia dibawa ke sini kelak, eMas 3 atau eMas 5 ini akan memberikan saingan kepada BYD Dolphin yang diukur 155 lebih panjang, jarak roda 50 mm lebih dekat 35 mm kurang lebar serta menampilkan tinggi yang sama.

    Dari segi rekaan, Star Wish nampak lebih comel dengan badan yang direka lebih banyak elemen bulat yang disadur dari rekaan jenama smart, menampilkan lampu hadapan berbentuk-titisan air, pembuka pintu tenggelam, lampu belakang berbentuk oval dan juga warna badan dua-tona menampilkan bumbung berwarna hitam.

    Di China, kereta ini datang dengan dua pilihan unit rangkaian kuasa, namun kedua-duanya hanya digerakkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL yang mengambil masa 21 minit untuk dicas 30-80%.

    Geely Star Wish di BIMS 2025

    Varian asas untuk pasaran China menerima bateri dengan kapasiti 30.12 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 310 km (CLTC), digabungkan bersama motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm. Manakala varian paling tinggi pula diberikan bateri berkapsiti 40.16 kWh, dengan jarak gerak 410 km dan motor 116 PS (85 kW) 150 Nm.

    Secara keseluruhannya sebanyak lima varian ditawarkan di China, dan antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk rim 16 inci, lampu LED depan dan belakang, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana kabin, enam pembesar suara, sistem V2L dengan kapasiti 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W dan pendingin hawa dengan corong udara di belakang serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Jadi dengan insentif pengecualian cukai bagi model-model EV CBU yang tidak akan diteruskan serta tiada lagi penetapan harga minima RM100k untuk sebuah EV CBU selepas 31 Disember 2025, mungkin eMas 3 atau eMas 5 ini akan menjadi model EV pertama Proton yang akan dijual dengan harga di bawah RM100k?

    GALERI: Geely Star Wish di BIMS 2025

     
     
  • Carro bantu mangsa di Putra Heights, sediakan 30 kereta — kerjasama dengan MoT, Exco Selangor

    Carro bantu mangsa di Putra Heights, sediakan 30 kereta — kerjasama dengan MoT, Exco Selangor

    Carro menyediakan sekurang-kurangnya 30 kenderaan kepada penduduk yang terkesan akibat kejadian kebocoran paip gas di Putra Height pada 1 April lalu. Platform jualan kenderaan dalam talian itu bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan untuk mengagihkan bantuan tersebut.

    Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk membantu penduduk yang terkesan bagi mendapatkan semula kestabilan dan mobiliti dalam menjalankan urusan keseharian mereka, jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

    “Sangat mendukacitakan untuk melihat sejauh mana kesan dan kerosakan kejadian ini terhadap penduduk, terutamanya dalam tempoh perayaan ini. Kami mendoakan pemulihan segera kepada mereka yang cedera. Kami berharap kereta yang kami sediakan dapat membantu sebahagian penduduk untuk perlahan-lahan kembali kepada kehidupan seharian mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia, Derrick Eng.

    Carro bantu mangsa di Putra Heights, sediakan 30 kereta — kerjasama dengan MoT, Exco Selangor

    Carro menjelaskan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pejabat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Exco kerajaan negeri Selangor bagi pelaburan, perdagangan dan mobiliti, Ng Sze Han, serta pihak berkuasa tempatan untuk mengendalikan agihan bantuan. Ng sebelum ini memaklumkan permohonan untuk kereta sementara tersebut boleh dilakukan melalui pejabatnya dan tertakluk kepada siapa terlebih dahulu.

    Menurut laporan, sebanyak 277 rumah dan 399 kenderaan terkesan akibat tragedi itu, dengan lebih 100 keluarga dipindahkan ke penempatan sementara. Kebanyakan kenderaan yang ditinggalkan rosak teruk disebabkan haba ekstrim, banyak antaranya akibat cair.

     
     
  • Hyundai Insteroid didedah – EV konsep dengan Drift Mode, petunjuk hatchback mampu milik produksi?

    Hyundai Insteroid didedah – EV konsep dengan Drift Mode, petunjuk hatchback mampu milik produksi?

    Kereta konsep di dalam gambar ini adalah Hyundai Insteroid, yang dibuat untuk “memberi cabaran kepada kebiasaan, mencipta emosi dan meletakkan semula definisi kepada EV sporty.” Menggunakan asas daripada model Inster, kereta ini mendapat inspirasi daripada permainan video dan juga dunia ubah suai semasa.

    Insteroid dicipta oleh pasukan pereka Hyundai di Eropah, dengan menampilkan kit badan lebar dengan lengkuk roda yang mempunyai lubang udara, sayap belakang gergasi serta diffuser dan rim yang besar. Banyak lagi penangkap udara di sekeliling kereta ini, dan melengkapkan penampilannya adalah lampu dengan motif piksel.

    Setakat ini pengeluar Korea Selatan itu masih belum mendedahkan penggerak elektrik yang digunakan pada model konsep ini, tetapi ia diberitahu mempunyai fungsi Drift Mode untuk kepuasan pemandu. Kita boleh menjangkakan tetapan dua motor, pacuan semua roda, seperti Ioniq 5 N dan RN24 Concept digunakan pada Insteroid ini.

    Untuk bahagian dalam, anda boleh menyaksikan terdapat kokpit yang kosong seperti kereta lumba dengan tempat duduk bucket, roll cage serta panel instrumen unik yang dikatakan dapat memaparkan mesej seperti dalam permainan video. Satu lagi ciri yang dari sumber inspirasi yang sama adalah sistem audio ‘Beat House’ untuk memberikan pengalaman bunyi yang mengasyikkan.

    Sementara Insteroid ini sekadar satu luahan daripada para pereka, ada laporan yang mengatakan ia berpotensi menjadi petunjuk awal kepada hatchback elektrik mampu milik pada masa akan datang. Buat masa ini, Hyundai memberitahu, ia cuma “satu kereta pameran sporty yang disasarkan untuk meningkatkan lagi minat terhadap model produksi Inster yang sudah pun dijual di beberapa pasaran.”

     
     
  • Harga minyak 3-9 April 2025 — RON97 naik lima sen kepada RM3.33 seliter; RON95, diesel kekal sama

    Harga minyak 3-9 April 2025 — RON97 naik lima sen kepada RM3.33 seliter; RON95, diesel kekal sama

    Pengumuman harga minyak bagi minggu pertama April 2025 (3-9 April) menyaksikan kenaikan untuk tempoh berkenaan.

    Bagi tempoh seminggu ke depan, RON 97 akan dijual dengan harga lima sen lebih mahal kepada RM3.33 seliter berbanding RM3.28 seliter minggu lalu. Seperti biasa, harga petrol RON 95 pula kekal sama pada kadar RM2.05 seliter sejak Februari 2021.

    Turut kekal tidak berubah ialah harga jualan bagi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, pada kadar RM2.15 seliter. Bagi diesel Euro B10 dan B20 pula, ia kekal dijual dengan harga RM3.03 seliter, sementara diesel Euro 5 B7 — yang 20 sen lebih mahal — dijual dengan harga RM3.23 seliter.

    Harga baru bahan api ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti hingga Rabu, 9 April 2025.

     
     
  • Chery sedia 50 kereta untuk mangsa di Putra Heights

    Chery sedia 50 kereta untuk mangsa di Putra Heights
    Bagi meringankan beban mereka yang terlibat dan terkesan dalam kejadian kebakaran gas di Putra Heights, Chery Malaysia akan menyediakan 50 buah kereta untuk digunakan sementara, jelas Ahli Exco Selangor, Ng Sze Han.

    “Kami faham ramai dari kalangan mangsa yang perlu bekerja. Sebahagiannya perlu menghantar anak ke sekolah. Jadi, Chery akan meminjamkan 50 buah kereta untuk kegunaan mereka,” jelas beliau, merujuk kepada lebih 100 keluarga yang terkesan akibat kejadian itu.

    Untuk memohon, klik pautan ini.

    Chery sedia 50 kereta untuk mangsa di Putra Heights

     
     
  • Lebuhraya Elite dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas susulan kebakaran di Putra Heights

    Lebuhraya Elite dibuka semula sepenuhnya kepada lalu lintas susulan kebakaran di Putra Heights

    Sebagai makluman terkini kepada pengguna, PLUS memaklumkan yang Lebuhraya Elite kini dibuka sepenuhnya susulan kejadian kebakaran akibat kebocoran gas berdekatan Putra Heights semalam.

    Semalam, PLUS mengumumkan penutupan laluan Lebuhraya Elite antara Seafield dan Bandar Saujana Putra di kedua-dua arah untuk semua kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga, kerana kebakaran berkenaan hanya bersebelahan dengan lebuh raya terbabit. Pengguna perlu menyusur keluar di kedua-dua plaza tol berkenaan. Susur masuk ke lebuh raya berkenaan di plaza tol USJ dan Putra Heights juga ditutup.

    Letupan dan kebakaran besar yang bermula pagi semalam telah menyebabkan kerosakan kepada hampir 200 buah rumah, dan seramai 305 penduduk kini terjejas. Ramai yang cedera, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

     
     
  • Bekas CEO Dyson Jim Rowan kini bukan lagi CEO Volvo, diganti semula dengan Håkan Samuelsson

    Bekas CEO Dyson Jim Rowan kini bukan lagi CEO Volvo, diganti semula dengan Håkan Samuelsson

    Håkan Samuelsson, Volvo Cars chief executive

    Lembaga pengarah Volvo Cars telah melantik semula Håkan Samuelsson sebagai CEO dan juga Presiden bagi jenama automotif Sweden berkenaan. Ini bermakna Håkan akan mengambil semula tugasnya dari Jim Rowan yang menggalas tugas tersebut sejak 2022.

    Håkan sebelum ini merupakan ahli lembaga Volvo Cars bermula 2010 dan kemudian dilantik sebagai CEO bermula 2012 sehingga 2022, dan selepas itu diberi tanggungjawab untuk mengetuai Polestar – yang sebelum itu merupakan sayap prestasi Volvo yang kemudiannya dipisahkan untuk menjadi jenama pengeluar kereta prestasi elektrik – sehingga 2024.

    Ketika era pertama Håkan mengemudi Volvo sebelum ini, Volvo telah mengecapi pelbagai kejayaan besar antaranya meletakkan semula jenama itu sebagai jenama premium global serta berjaya disenarai awamkan. Håkan memulakan tugasnya semula sebagai bos besar Volvo bermula 1 April 2025 dengan kontrak selama dua-tahun.

    “Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan Håkan Samuelsson kembali sebagai CEO,” kata pengerusi lembaga pengarah Volvo dan juga pengerusi Geely Automobile Holdings, Eric Li.

    Bekas CEO Dyson Jim Rowan kini bukan lagi CEO Volvo, diganti semula dengan Håkan Samuelsson

    “Håkan mengetuai Volvo Cars mengharungi salah satu dekadnya yang paling transformatif dan mencipta nilai – menghidupkan semula jenama, berkembang ke pasaran baharu, dan berjaya melaksanakan IPOnya. Beliau membawa kombinasi yang jarang dilihat mengganding industri yang dalam, strategi yang jelas dan kepimpinan yang terbukti dan Håkan mempunyai pengetahuan yang luas tentang kumpulan kami. Memandangkan industri memasuki fasa yang lebih kompleks dan apa yang diperlukan oleh beliau, kami percaya bahawa Volvo memerlukan pengalaman yang lebih kompleks, Kedudukan global kereta dan membuka gelombang potensi seterusnya.”

    “Bagi membimbing ke bab seterusnya, ahli lembaga pengarah telah melantik Håkan Samuelsson sebagai CEO Volvo Cars. Dengan pengalaman dan visinya yang mendalam, Håkan ialah pemimpin yang tepat untuk memacu Volvo Cars ke hadapan mengukuhkan inovasi kami dalam keselamatan, kemampanan dan teknologi, sambil mencipta nilai berkekalan untuk pelanggan dan pemegang saham kami.” tambah Li.

    “Industri kereta berada di bawah tekanan dari pelbagai arah. Saya berbesar hati untuk kembali pada saat yang menentukan untuk Volvo Cars. Saya amat menghormati cabaran yang akan datang dan berharap dapat bekerjasama dengan pasukan berbakat untuk mempertajamkan daya saing kami, memenuhi permintaan pasaran utama dan mempercepatkan pelaksanaan strategik serta memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan,” kata Håkan Samuelsson.

    Bekas CEO Dyson Jim Rowan kini bukan lagi CEO Volvo, diganti semula dengan Håkan Samuelsson

    Volvo ES90 reveal event

    Volvo Cars tidak memperincikan mengapa perubahan kepimpinan ini berlaku. Namun dalam kenyataan yang dikeluarkan ada menyebut bahawa Jim Rowan meletakkan jawatannya sebagai CEO pada 31 Mac 2025, dan meninggalkan Lembaga Volvo Cars pada tarikh yang sama.

    Rowan telah memulakan tugasnya sebagai CEO Volvo Cars bermula 21 Mac 2022. Sebelum itu pernah memegang jawatan COO untuk Blackberry, serta pernah memegang jawatan yang sama di Dyson sejak 2012 sehingga 2017. Beliau kemudiannya dilantik sebagai CEO Dyson Group pada 2017 dan berkhidmat sehingga 2020, kemudian bertugas sebagai CEO dan ahli lembaga Ember Technologies bermula Februari 2021.

    “Dalam masa yang sama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jim Rowan atas sumbangan pentingnya,” kata Eric Li. “Kepimpinan beliau sejak tiga tahun lalu telah mempercepatkan peralihan Volvo Cars menjadi sebuah syarikat kereta yang diterajui oleh perisian dan ketersambungan. Komitmen dan tenaga beliau telah membina asas yang kukuh dalam keupayaan digital, dan kami berterima kasih atas usaha beliau semasa perubahan ketara. Kami berharap untuk membina asas ini dengan fokus dan momentum industri yang diperbaharui.”

    “Adalah satu keistimewaan untuk menerajui Volvo Cars dan bekerjasama dengan pasukan yang begitu luar biasa. Bersama-sama, kami telah mencapai kemajuan yang ketara dalam membina jenama yang berkembang pesat, dipercayai dan melancarkan beberapa produk industri yang paling maju dan berorientasikan keselamatan — memberi manfaat kepada pelanggan kami dan komuniti yang lebih luas. Saya berharap semua orang di Volvo Cars meneruskan kejayaan semasa perjalanan diteruskan,” kata Jim Rowan.

     
     
  • Jetour Dashing – unit CBU kumpulan pertama tiba di Malaysia; CKD pemasangan tempatan bermula Mei

    Jetour Dashing – unit CBU kumpulan pertama tiba di Malaysia; CKD pemasangan tempatan bermula Mei

    Jetour Auto Malaysia hari ini mengumumkan bahawa kumpulan pertama SUV Dashing yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China sudah pun tiba di Pelabuhan Klang, Selangor. Pratonton bagi model ini telah pun dibuat pada bulan Mei tahun lalu, dan pelancaran rasminya pada pasaran tempatan dijadualkan akan dibuat bulan hadapan.

    Penghantaran pertama kepada pelanggan-pelanggan terawal yang sudah menempahnya akan dibuat sejurus ia dilancarkan pada 9 April nanti. Model ini tidak akan ditawarkan dalam versi CBU dalam jumlah yang banyak kerana program pemasangan tempatan (CKD) Jetour di Malaysia diumumkan akan bermula pada akhir Mei 2025 ini.

    Jetour Dashing merupakan SUV yang bertanding dalam segmen-C, menampilkan ukuran panjang 4,590 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda sejauh 2,720 mm. Jadi ia lebih pendek dari Honda CR-V (panjang 4,691 mm), namun masih lebih panjang dari Toyota Corolla Cross yang berukuran 4,460 mm panjang.

    Jetour Dashing – unit CBU kumpulan pertama tiba di Malaysia; CKD pemasangan tempatan bermula Mei

    Dua varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Prime dan Signature, di mana kedua-duanya digerakkan oleh enjin petrol 1.5 liter empat-silinder sebaris disuap pengecas turbo yang mampu menjana kuasa 156 PS pada takat 5,500 rpm adan tork maksima 230 Nm bermula 1,750 hingga 4,000 rpm.

    Kuasa dialirkan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda bagi kedua-dua varian. Varian asas Prime dibekalkan dengan set rim aloi 18-inci dengan tayar 235/60R19, manakala varian Signature diberikan set roda lebih besar dengan rim aloi 19-inci dibalut tayar 235/55R19.

    Kelengkapan standard lain yang dipadankan pada varian Prime termasuk lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, pintu tailgate berkuasa, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, penghidup enjin kawalan jauh, upholsteri tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh infotainmen juga bersaiz 10.25-inci yang disokong Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang bersama penapis CN95.

    Sistem keselamatan bagi varian asas ini terdiri dari cruise control pasif, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan bantuan brek (BA), ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.

    Manakala varian Signature menerima tambahan perician lebih baik merangkumi bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hara dan lampu suasana kabin. Sistem keselamatan juga ditambah dengan bantuan tukar lorong, pemantau titik buta, amaran tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau pandangan sekeliling 360-darjah.

    Menurut Jetour Auto Malaysia, sebelum dilancarkan sudah ada 20 pusat servis jenama itu telah dibuka di seluruh negara, dan ia akan disusuli dengan 10 lagi pusat 3S dan 4S akan dibuka pada tahun ini.

    GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia

     
     
  • Unjuran rakyat tidak terkesan dengan subsidi bersasar RON95 meningkat dari 85% menjadi 90% – PMX

    Unjuran rakyat tidak terkesan dengan subsidi bersasar RON95 meningkat dari 85% menjadi 90% – PMX

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90% berbanding 85% sebelum ini, laporan Berita Harian.

    Justeru, kata beliau, rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksana penyasaran subsidi ke atas bahan bakar itu.

    “Mekanisme secara terperinci kita buat. Tapi saya tak terfikir rakyat biasa (perlu) runsing sebab 85%, 90% tak terkesan apa pun kaedah yang akan diperkenalkan dalam isu rasionalisasi (subsidi) minyak RON95.

    Malah kita kaji bukan 85%, tapi 90% tak dikenakan kepada rakyat. Yang dikenakan (kepada) siapa? orang asing dan yang maha kaya. Kalau gaji dan pendapatan dia RM50,000 sebulan, bayarlah sikit,” katanya.

    Anwar turut berkata, kerajaan sudah mengenalpasti golongan yang tidak akan menikmati penyasaran subsidi RON95, sama seperti yang dilaksana ke atas penyasaran elektrik sebelum ini.

    Unjuran rakyat tidak terkesan dengan subsidi bersasar RON95 meningkat dari 85% menjadi 90% – PMX

    “Umpamanya kita naikkan letrik, itu untuk golongan kaya saja, begitu juga RON95. Saya ingat yang (berdiri) depan (saya) ini, wartawan semua ini tidak terkesan. Melainkan ada wang gelap masuk, itu saya tak tahu,” katanya.

    Semalam Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.

    Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

    Amir Hamzah berkata, penggunaan MyKad sebagai sistem agihan subsidi RON95 selepas mengambil kira agihan Sumbangan Asas Rahamh (Sara), yang mana 700,000 penerima sebelum ini akan diperluas kepada 5.4 juta penerima MyKad bermula 1 April ini.

     
     
  • Bangkok 2025: MG5 Pro dipamerkan – rupa lebih garang, masih enjin 1.5L NA 114 PS/250 Nm, CVT

    Bangkok 2025: MG5 Pro dipamerkan – rupa lebih garang, masih enjin 1.5L NA 114 PS/250 Nm, CVT

    Dalam acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang sedang berlangsung, MG turut mempamerkan sedan segmen-B MG5 yang dikemaskini untuk pasaran tersebut. Model yang digelar sebagai MG5 Pro ini menampilkan muka berlainan berbanding versi sebelumnya, dan ia bukan model generasi baharu seperti yang diterima pasaran China pada Oktober tahun lalu.

    MG5 Pro pasaran Thailand ini sebenarnya menggunakan muka MG5 Scorpio yang diperkenalkan di China pada 2022. Oleh itu versi Pro ini menampilkan muka berbeza dengan lampu yang lebih tajam dan nipis serta rekaan gril hadapan dan juga bampar yang berlainan.

    Di belakang, MG5 Pro ini diberikan lampu dengan bentuk pada bahagian bawah serta grafik LED yang berbeza, bersama bampar yang menerima diffuser lebih besar serta menempatkan dua tip ekzos berkembar di kiri dan kanan. Namun pada bahagian dalaman, sebahagian besar rekaan masih lagi sama, kecuali perapi pada papan pemuka yang diberikan kemasan rekaan “berlian 3D”.

    Bangkok 2025: MG5 Pro dipamerkan – rupa lebih garang, masih enjin 1.5L NA 114 PS/250 Nm, CVT

    Dua varian MG5 Pro ini ditawarkan di Thailand iaitu Pro D dijual pada harga bermula 589,900 baht (sekitar RM77k), dan juga Pro X dijual pada harga 669,900 baht (RM88k). Model facelift sebelumnya masih lagi ada dijual sebagai versi edisi khas MG5 10th Special Edition dengan harga 589,900 baht (RM77k).

    Tiada lagi enjin 1.5 liter turbo ditawarkan seperti MG5 pasaran Australia dan Brunei, di mana kesemua varian MG5 pasaran Thailand ini masih digerakkan dengan enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 114 PS pada takat 6,000 rpm dan dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan lapan kelajuan maya yang memacu roda hadapan.

    Untuk kelengkapan, semua varian MG5 Pro diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 215/50R17, lampu LED automatik, lampu nyalaan siang LED, angkup brek kemasan merah, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa, penghawa dingin automatik dengan liang kabin belakang dan penapis udara PM2.5, paparan instrumen digital dengan skrin 7-inci, skrin infotaimen 10-inci sokongan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar serta enam-pembesar suara.

    Bangkok 2025: MG5 Pro dipamerkan – rupa lebih garang, masih enjin 1.5L NA 114 PS/250 Nm, CVT

    Untuk keselamatan pula kedua-dua varian menerima brek parkir elektrik dengan auto hold, traction control, XDS (electronic differential system), bantuan mula mendaki, cruise control biasa, empat beg udara dan kamera 360 darjah.

    Manakala varian Pro X ditambah dengan bumbung suria, spoiler belakang, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, enam beg udara, fungsi telematik aplikasi striming muzik bina-dalam, dan sokongan kunci digital. Enam warna badan ditawarkan untuk kesxmua varian MG5 Pro iaitu Mineral Green, Scarlet Red, Nuclear Yellow, Metal Ash Grey, Arctic White dan Black Knight.

     
     
  • Rapid KL On-Demand kini terima kad debit, kredit

    Rapid KL On-Demand kini terima kad debit, kredit

    Perkhidmatan van Rapid KL On-Demand kini menerima pembayaran menggunakan kad debit dan kredit. Diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang berkata bahawa terdapat 20 buah van yang beroperasi di tujuh zon telah dipasang dengan peranti pengimbas pembayaran kad. Menurut beliau lagi, sistem pembayaran terbuka ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya mulai Mei ini.

    Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembayaran bagi para pengguna. Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau jika baki kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Ini secara langsung turut meningkatkan lagi pengalaman pelanggan terhadap perkhidmatan Rapid KL.

    “Kita telah melabur berbilion-bilion dalam sistem pengangkutan Lembah Klang, termasuk dua laluan MRT dan menjelang akhir tahun pula laluan LRT ketiga akan siap. Tetapi untuk laluan rel ini berkesan, kami memerlukan ketersambungan perjalanan pertama dan terakhir yang kukuh dan untuk ini kami berterima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri atas komitmen mereka untuk menambah baik pengangkutan awam,” kata Loke memetik laporan The Malay Mail.

    Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula berkata kerajaan juga memperuntukkan RM55 juta lagi untuk pembelian tambahan 320 van Rapid KL On-Demand dan ia dijangka beroperasi di 101 zon menjelang Jun tahun ini, laporan Harian Metro.

    Rapid KL On-Demand kini terima kad debit, kredit

    “Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam. Kami mahu menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat. Salah satu aduan utama (pengangkutan awam) diterima adalah perjalanan pertama dan terakhir (bermula dari hab ke destinasi akhir). Dengan menambah RapidKL On-Demand ini, kami meluaskan tempat pengambilan penumpang dan menjadikan pengangkutan awam lebih mudah diakses,” tambahnya.

    Rapid KL On-Demand nama baharu bagi Demand Responsive Transit (DRT), kini beroperasi di 37 zon dengan dengan 110 van secara keseluruhan bagi Rapid KL serta Rapid Penang. Kadar tambangnya hanya RM1 untuk perjalanan sehala, dan percuma sekiranya anda merupakan pemegang pas My50.

    Purata masa menunggu untuk Rapid KL On-Demand adalah sekitar 10 minit manakala jumlah masa perjalanan antara 10 hingga 20 minit. Disebabkan menerima sambutan yang menggalakkan iaitu kira-kira 4,000 penumpang setiap hari, perkhidmatan van ini juga dijangka akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi, dengan sasaran 36,000 penumpang sehari.

     
     
  • JPJ eBid: QS_W dan JXX bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak dan Johor ini akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QS_W bakal dibuka bidaan bermula 4 April. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 April 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Johor, JXX, bakal dibuka bidaan mulai 5 April. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 9 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 10 April 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Nissan X-Trail 2026 muncul dalam teaser – model generasi kelima dapat sistem hibrid e-Power terbaru

    Nissan X-Trail 2026 muncul dalam teaser – model generasi kelima dapat sistem hibrid e-Power terbaru

    Nissan kini dalam proses menetapkan semula fokus dan usaha mereka berkaitan penggerak hibrid e-Power, dengan sistem generasi ketiga kini dalam pembangunan. Antara yang pertama akan menerimanya adalah X-Trail serba baru, generasi kelima yang akan diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) tahun depan sebagai Rogue.

    Gambar teaser SUV segmen C tersebut sudah pun disiarkan, melihatkan bentuk yang hampir sama seperti model sekarang, tetapi dengan muka yang lebih iras kepada SUV terkini Nissan sekarang seperti Qashqai facelift. Tiada lagi lampu terpisah seperti X-Trail generasi keempat sekarang, dan pada setiap bahagian terdapat lima DRL LED.

    X-Trail baru ini akan menjadi model pertama yang memasuki pasaran AS menggunakan sistem e-Power generasi ketiga, yang terdiri daripada enjin 1.5 liter (menggantikan unit VC-Turbo sebelum ini) untuk memberi kuasa kepada motor elektrik lima-dalam-satu yang berkongsi komponen utama sama dengan penggerak elektrik penuh terbaru syarikat itu. Roda dipusingkan hanya dengan kuasa elektrik.

    Nissan X-Trail 2026 muncul dalam teaser – model generasi kelima dapat sistem hibrid e-Power terbaru

    Selain versi e-Power, X-Trail baru ini juga akan disediakan dalam versi petrol dan kemudian nanti plug-in hybrid (PHEV). Memandangkan X-Trail yang ada sekarang memang sudah menggunakan asas daripada Mitsubishi Outlander, kita boleh menjangkakan Rogue PHEV nanti mempunyai mekanikal sama sahaja seperti Outlander PHEV.

    Untuk negara kita, jangan sangka X-Trail baru ini akan tiba dalam masa terdekat. Model generasi keempat pun masih belum tiba dan hanya dijangka dapat dilancarkan di Malaysia tahun ini.

     
     
  • Nissan Micra 2026 didedah – hatchback EV asas sama dengan Renault 5 E-Tech, khas untuk pasaran Eropah

    Nissan Micra 2026 didedah – hatchback EV asas sama dengan Renault 5 E-Tech, khas untuk pasaran Eropah

    Tiga tahun lepas hanya ditunjukkan sebagai teaser, Nissan Micra baru kini ditunjukkan sepenuhnya, tetapi cuma bahagian luar, hadapannya. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, hatchback tesebut menggunakan platform CMF B-EV sama seperti Renault 5 E-Tech, dengan berkongsi kerangka serta bahagian mekanikal asas.

    Bumbung, cermin sisi, c-pillar dan pembuka pintu belakang jenis tersembunyi semuanya diambil terus daripada Renault 5, tetapi muka hadapannya adalah serba baru, menggunakan rekaan inspirasi daripada model Concept 20-23. Lampu hadapannya masih mempunyai bentuk petak, tetapi dihiasi dengan DRL berbentuk bulat besar.

    Sementara Renault 5 mempunyai lengkuk roda yang lebih berpetak, Nissan Micra ini pula menggunakan rekaan yang lebih membulat. Kemudiannya, Micra ini juga tidak mempunyai penunjuk tahap bateri di atas bonet hadapan, seperti Renault 5.

    Nissan Micra 2026 didedah – hatchback EV asas sama dengan Renault 5 E-Tech, khas untuk pasaran Eropah

    Banyak lagi yang belum didedahkan berkenaan kereta ini, termasuk bahagian belakang, dalam dan perincian teknikalnya, tetapi memandangkan kita tahu ia berkongsi asas dengan Renault 5, penggeraknya juga mungkin adalah sama.

    Pada model jenama Perancis itu, ia ditawarkan dengan pakej kuasa 110 kW (150 PS/245 Nm), 90 kW (122 PS/225 Nm) dan 70 kW (95 PS/215 Nm). Varian permulaan menggunakan bateri 40 kWh dengan jarak gerak 300 km, sementara varian paling tinggi dengan kuasa 150 PS mendapat bateri 52 kWh dan jarak gerak 410 km.

     
     
  • Bangkok 2025: Zeekr 001 FR dipamerkan – 4 motor elektrik berkuasa 1,265 PS, 0-100 km/j hanya 2.37 saat!

    Bangkok 2025: Zeekr 001 FR dipamerkan – 4 motor elektrik berkuasa 1,265 PS, 0-100 km/j hanya 2.37 saat!

    Selain dari model-model SUV biasa, sub jenama EV Geely iaitu Zeekr turut ada membawa model ‘halo’ jenama tersebut iaitu 001 FR untuk dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 yang kini sedang berlangsung. Model ini sebenarnya diasaskan model pertama yang dihasilkan untuk lencana Zeekr iaitu EV Shooting Brake Zeekr 001, dan ia diberikan talaan lebih liar dan difokuskan untuk pemanduan litar serta disasarkan untuk mencabar Tesla Model S Plaid

    Berbanding 001 biasa yang dibekalkan dengan dua motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 768 Nm, Zeekr 001 FR ini pula dipadankan dengan empat motor elektrik memberikan kuasa keseluruhan 1,265 PS – jauh lebih berkuasa dari Tesla Model S Plaid dengan tiga motor elektrik yang menghasilkan 1,020 hp.

    Dengan bekalan kuasa tersebut, Zeekr 001 FR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.37 saat (2.07 jika bermula dengan rolling start), dan mampu mencapai kelajuan maksima 280 km/j.

    Bangkok 2025: Zeekr 001 FR dipamerkan – 4 motor elektrik berkuasa 1,265 PS, 0-100 km/j hanya 2.37 saat!

    Tidak seperti Zeekr 001 AWD biasa yang diberikan hanya dua motor iaitu dibekalkan pada setiap gandar, konfigurasi pacuan pada Zeekr 001 FR ini adalah dua motor elektrik pada gandar hadapan dan dua lagi berada pada gandar belakang, di mana setiap motor berkenaan memacu hanya satu roda. Dengan setiap motor memacu setiap roda secara bebas, Zeekr 001 FR ini boleh membuat pusingan seakan sebuah kereta kebal.

    Setiap motor pada gandar hadapan menghasilkan kuasa 155 kW (211 PS), atau 422 PS secara keseluruhan. Manakala setiap motor pada gandar belakang pula menghasilkan kuasa (310 kW) 421 PS atau 842 PS secara keselurahan. Jadi walaupun Zeekr 001 FR ini adalah jentera AWD, ia sebenarnya lebih bersifat seperti kereta pacuan roda belakang dengan agihan tork diuruskan oleh perisian Zeekr Vectoring Control.

    Zeekr turut menyatakan bahawa ketika kereta ini membuat pusingan kereta kebal, tork puncak yang boleh dicapai pada roda mencecah 10,000 Nm, dan motor pada gandar belakang menggunakan gentian karbon bagi membalut rotor serta jumlah ketumpatan kuasa yang dicatatkan adalah 4.4W/kg

    Bangkok 2025: Zeekr 001 FR dipamerkan – 4 motor elektrik berkuasa 1,265 PS, 0-100 km/j hanya 2.37 saat!

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri CATL Qilin berkapasiti 100 kWj. Dengan asas sistem elektrik 800V, bateri berkenaan boleh dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 15 minit. Dengan satu cas penuh, Zeekr 001 FR ini boleh bergerak sejauh 550 km berdasarkan kitaran CLTC. Untuk pemanduan litar, kereta ini turut dibekalkan dengan sistem Heat Pump 2.0 bagi membolehkan suhu bateri dikekalkan walaupun ia sedang dibelasah semahunya.

    Dengan unit rangkaian kuasa yang lebih buas, Zeekr 001 FR ini menerima sistem brek dari AP Racing menampilkan angkup 10-omboh di hadapan dan empat omboh di belakang, digandingkan dengan cakera karbon seramik dari Brembo. Ia turut diberikan set roda dengan rim aloi forged 22-inci yang dibalut tayar litar Giti GTR2 bersaiz 265/40R22 di hadapan dan 295/40R22 di belakang. Manakala untuk suspensi, 001 FR ini dilengkapi dengan suspensi prestasi tinggi keluaran KW.

    Selain itu Zeekr 001 FR ini juga menerima kit aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon yang didakwa dapat menampung daya sisi sehingga 1.4G. Kit tersebut termasuk spoiler pada bawah bampar hadapan, skirt sisi dan spoiler belakang. Bumbung logam kereta ini juga telah ditukar menggunakan gentian karbon bagi mengurangkan beratnya.

    Pada sebelah dalam, Zeekr 001 FR ini menerima tempat duduk hadapan sport, upholsteri Alcantara dan juga kemasan-kemasan berwarna merah. Pemandu diberikan paparan instrumen dengan skrin 8.8-inci, manakala untuk infotainmen dan kawalan-kawalan lain ia diberikan skrin utama 15.5-inci.

    Di China Zeekr 001 FR ini dijual pada 769,000 yuan atau sekitar RM470k. Kereta ini dilancarkan di sana pada Oktober 2023 dengan kehadiran juara F1 2007 Kimi Räikkönen, yang kini merupakan ketua penasihat prestasi untuk Zeekr.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 bakal dilaksana guna sistem MyKad, dimanfaatkan kepada 5.4j rakyat M’sia – MoF

    Subsidi bersasar RON95 bakal dilaksana guna sistem MyKad, dimanfaatkan kepada 5.4j rakyat M’sia – MoF

    Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini. Sekali lagi, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan mekanisme subsidi baharu tersebut akan dilaksanakan menggunakan sistem MyKad.

    Di mana pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON5 itu akan menggunakan mekanisme yang sama seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan dijangka memberi manfaat kepada sekitar 5.4 juta orang iaitu meliputi 85% rakyat Malaysia, katanya lagi seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Pada awal bulan ini, Amir Hamzah dilaporkan berkata subsidi bersasar petrol RON 95 akan melibatkan penetapan harga pam yang mengambil kira harga pasaran, sama seperti pelaksanaan ke atas diesel ketika ini.

    Terdahulu, MoF memaklumkan kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama bagi menentukan status kewarganegaraan, sementara kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian pihak kerajaan.

     
     
  • Kerajaan beri Prasarana dana RM1.9 bilion untuk beli bas baharu – 310 bas diesel, 1,350 bas elektrik

    Kerajaan beri Prasarana dana RM1.9 bilion untuk beli bas baharu – 310 bas diesel, 1,350 bas elektrik

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 bilion kepada Prasarana Malaysia Bhd untuk membeli 1,660 bas diesel dan elektrik baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

    Katanya lagi, daripada jumlah tersebut, sebanyak 310 bas baharu dari unit enjin diesel yang dibeli akan menjadi kumpulan terakhir menggunakan enjin jenis tersebut manakala 1,350 unit lagi adalah bas janaan kuasa elektrik, laporan Bernama

    “310 bas berenjin diesel berkenaan akan dihantar mulai Jun tahun ini manakala penghantaran 250 bas elektrik akan dimulakan menjelang akhir tahun ini. Sebanyak 1,000 lagi iaitu bas elektrik akan ditambah mengikut fasa ke dalam sistem dan ini akan menelan kos sejumlah RM1.9 bilion,” katanya.

    Pada Januari tahun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke meminta Prasarana untuk untuk membeli bas elektrik sebaik sahaja kumpulan terakhir bas berkuasa diesel yang ditempah sebelum ini dihantar menjelang Mac 2025. Loke turut berkata, ia merupakan usaha meningkatkan penggunaan kenderaan hijau, selaras dengan inisiatif Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Prasarana bakal memperoleh sejumlah 150 bas elektrik bagi menyokong projek LRT3, bersama-sama dengan pembinaan tiga depoh bas, dengan kos RM600 juta. Sebelum ini Rapid KL mensasarkan untuk mempunyai 30% bas elektrik bagi barisan basnya menjelang tahun 2030.