Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi SUV paling besar dalam barisan model EV Volvo iaitu Volvo EX90 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Model ini ditawarkan hanya dalam satu varian yang dikenali sebagai EX90 Ultra Twin, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM442,888.

    Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun.

    Buat permulaan, EX90 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu untuk unit-unit terawal. Selepas ini ia akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan oleh kilang Volvo Shah Alam.

    Volvo EX90 Ultra Twin pasaran Malaysia ini menampilkan konfigurasi enam-tempat duduk dan berkongsi hampir keseluruhan spesifikasi dengan varian tertinggi EX90 pasaran Thailand iaitu Twin Motor Performance Ultra enam-tempat duduk. Di sana EX90 turut dijual dalam dua lagi varian lebih rendah iaitu Twin Motor Performance Ultra tujuh-tempat duduk dan juga Twin Motor Plus yang dibekalkan dengan kuasa yang lebih rendah.

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Oleh itu varian Ultra Twin yang ditawarkan di Malaysia ini dibekalkan dengan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 623 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW/16A menggunakan Wallbox tiga-fasa bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Wallbox fasa-tunggal 7.4 kW/32A juga boleh digunakan, tetapi ia memerlukan masa sehingga 15 jam untuk dipenuhkan.

    Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit. Manakala dengan sistem DC 50 kW pula, kadar cas yang sama dapat dipenuhkan dalam masa 92 minit. Model pasaran Malaysia ini juga datang standard dengan sistem suspensi udara adaptif

    Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk SUV XC90 yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding XC90 yang menggunakan plaftorm SPA.

    Model elektrik penuh ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar.

    Sebagai model elektrik penuh, rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.

    Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkap sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.

    Seperti yang disebut tadi EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).

    Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive dengan servis Google percuma selama lima tahun, bersama sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

    VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.

    Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.

    Volvo EX90 dilancarkan di Malaysia – RM442,888, SUV EV 6-tempat duduk, 517 PS/910 Nm, 623 KM WLTP

    Beberapa konsep rekaan minalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).

    Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.

    Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.

    Volvo menobatkan EX90 ini sebagai model paling selamat pernah dibinanya. Jadi ia diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang hanya digunakan untuk memahami keadaan pemanduan di Malaysia, sebelum boleh digunakan untuk sistem pemanduan autonomi selepas ini.

    Antara fungsi ADAS yang diberikan termasuk sistem pengelak dan mitigasi pelanggaran, mitigasi dari hadapan dengan brek, pengelak dengan putaran stereng untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan skuter, pengelak dan amaran pelanggaran belakang, brek automatik di persimpangan, sistem informasi titik buta dengan bantuan stereng, bantuan kekal lorong, amaran lintasan trafik belakang dengan brek kelajuan rendah, amaran buka pintu dan banyak lagi.

    EX90 ini juga menerima fungsi Driver Understanding System, di mana sistem ini akan memantau keadaan pemandu. Ia akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya dikesan tidak berada dalam keadaan yang baik untuk memandu.

    Radar yang digunakan pada SUV ini juga turut boleh mengesan penumpang dalam kereta bagi memastikan tiada kanak-kanak atau binatang peliharaan tertinggal selepas pemandu meninggalkan kereta menerusi fungsi Occupant Sensing. Sistem ini juga akan terus mengoperasikan penghawa dingin selagi mengesan ada penumpamg di dalam kabin, bagi memastikan sekiranya ada kanak-kanak yang tertinggal tidak mengalami strok haba atau hipotermia.

    Sebanyak empat warna badan ditawarkan untuk Volvo EX90 pasaran Malaysia ini iaitu Onyx Black, Sand Dune, Crystal White dan Vapour Grey. Kesemua pilihan warna badan ini boleh dipadankan dengan tema kabin hitam Charcoal Nordico atau Cardamom Nordico yang lebih cerah.

     
     
  • Jetour Malaysia kerjasama dengan Berjaya Assembly untuk CKD, eksport ke ASEAN, Oceania, Timur Tengah

    Jetour Malaysia kerjasama dengan Berjaya Assembly untuk CKD, eksport ke ASEAN, Oceania, Timur Tengah

    Semasa pelancaran Dashing hari ini, kita diberitahu bahawa Jetour Malaysia akan melakukan pemasangan tempatan (CKD) bermula bulan hadapan, dan rakan kongsi yang terlibat adalah Berjaya Assembly Sdn Bhd, pemilik kilang yang sebelum ini dikenali sebagai Oriental Assemblers di Johor yang pernah memasang antaranya model Chery, Changan, Dongfeng, Honda dan Hyundai.

    Bagi Dashing, 100 unit pertama untuk pelanggan diimport sepenuhnya (CBU), dan akan diteruskan dengan unit CKD selepas itu. Perjanjian persefahaman turut ditandatangani antara timbalan presiden Jetour Auto, Ke Chuandeng dengan pengasas Kumpulan Berjaya dan penasihat utama pemegang saham kumpulan Berjaya Asset Bhd, Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan Chee Yioun hari ini.

    Dalam kenyataan akhbar Jetour Malaysia tertulis, “kerjasama ini juga merangkumi prinsip pembuatan pintar yang selaras dengan Industri 4.0 iaitu menyepadukan teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet pelbagai Benda (IoT) dan robotik ke dalam proses pembuatan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan fleksibiliti.”

    Seperti yang boleh dilihat melalui slaid pembentangan di atas, Jetour Malaysia mempunyai perancangan untuk pelaburan bahagian pengeluaran, kajian dan penyelidikan (R&D) serta jaringan berjumlah masing-masing RM560 juta, RM216 juta dan RM65 juta, ditambah dengan penciptaan lebih 3,200 peluang pekerjaan dan kadar lokalisasi pengeluaran lebih 40%.

    Syarikat ini juga meletakkan sasaran eksport dari Malaysia ke negara ASEAN, Oceania dan Timur Tengah, selain menjadikan Malaysia sebagai hab R&D Asia Pasifik (APAC), dengan input daripada Jetour Indonesia, Jetour Thailand dan Jetour Australia.

     
     
  • Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Dalam pengumuman berkenaan prestasi jualan bagi bulan Mac dan juga suku pertama 2025 yang dikeluarkan pagi ini, CEO Proton Edar Roslan Abdullah mengesahkan bahawa syarikatnya bakal melancarkan beberapa model baharu pada suku kedua tahun ini.

    “Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” kata Roslan yang juga menyandang jawatan naib CEO Proton.

    Pembayang model-model baharu yang akan dilancarkan oleh Proton tahun ini telah diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada Januari lalu. Menurutnya Proton akan melancarkan sekurang-kurangnya tiga model tahun ini iaitu sebuah model yang meggunakan platfrom AMA, sebuah model tingkat taraf bagi model siri-X atau siri-S sedia ada, dan sebuah model yang berasaskan platform GMA.

    Bagi model-model yang mungkin dilancarkan pada suku kedua ini, ia berkemungkinan besar adalah Saga baharu yang diasaskan dari platform AMA dan juga versi facelift untuk SUV segmen-B Proton X50. Manakala model baharu berdasarkan platform GMA pula merupakan model elektrifikasi yang hanya akan muncul selepas kilang EV Proton di Tanjong Malim siap lewat tahun ini. Malah kedua-dua Saga dan X50 facelift berkenaan kini dilihat sedang giat diuji oleh Proton di atas jalan raya awam.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Untuk Saga, ramai yang masih keliru sama ada ia adalah model generasi baharu atau model tingkat taraf versi generasi sedia ada. Namun kami difahamkan platform AMA yang maksudkan oleh Proton sebelum ini merupakan platform yang diasaskan dari platform model-model sedia ada Proton yang dibangunkan secara tempatan, kemudian ditingkat taraf dari pelbagai aspek bagi ia terus relevan dengan standard keselamatan dan prestasi model-model terkini.

    Jadi kami jangkakan ia adalah Saga baharu berdasarkan platform AMA, tetapi masih menggunakan kerangka asas badan Saga generasi sedia ada. Malah sekiranya anda melihat dengan teliti unit-unit prototaip ujian berkenaan, ia bakal menampilkan perubahan rupa yang agak ketara berbanding model sedia ada.

    Antara perbezaan tersebut termasuk lampu hadapan baharu, penutup bonet hadapan yang nampak lebih ‘bulat’ pada bahagian atas lampu, dan juga lampu belakang juga dengan rupa yang berbeza. Gril hadapan Saga baharu ini mungkin akan tampil dengan dua versi. Varian lebih tinggi akan menerima gril hadapan dengan rekaan signatur terbaharu pin krom yang diinspirasikan dari kain songket, manakala satu lagi versi masih menggunakan corak infinite weave sama seperti model sedia ada.

    Malah turut dapat dilihat Saga baharu ini dipadankan dengan kamera untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada cermin hadapan, membayangkan ia sekurang-kurangnya akan ada sistem amaran pelanggaran hadapan dan brek kecemasan automatik.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Jadi tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely bagi menggantikkan enjin Campro yang sudah pun dihentikan pembangunannya, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.

    Beralih kepada X50 facelift, berdasarkan gambar-gambar prototaip ujian yang ditemui mendedahkan Proton menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu.

    Ia meliputi bahagian muka menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit-unit prototaip ujian itu juga dilihat sudah diberikan gril Proton juga dengan rekaan pin krom, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.

    Proton akan lancarkan beberapa model baru suku kedua tahun ini – Saga baru dan juga X50 facelift?

    Manakala di belakang, kedudukan perumah nombor pendaftaran versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini menggunakan bampar belakang yang sama seperti Geely Binyue L, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Walau bagaimanapun, X50 facelift akan ini tampil dengan dua versi berbeza iaitu versi dengan spoiler belakang kecil dan spoiler belakang lebih besar. Bagi varian yang menerima spoiler kecil, ia menggunakan komponen yang sama seperti dipadankan pada Binyue L. Manakala bagi varian spoiler lebih besar, ia nampaknya diambil dari Geely Binyue Cool yang nampak lebih agresif.

    Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.

    GALERI: Spyshot Proton Saga 2025

    GALERI: Spyshot Proton X50 facelift 2025

     
     
  • Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Selain pelancaran model Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition, pengedarnya, Bermaz Auto Sdn Bhd turut membuka tempahan bagi model biasa Mazda MX-5 2025 untuk pasaran tempatan. Di tawarkan dalam dua pilihan transmisi.

    Yang dimaksudkan ialah enjin petrol SkyActiv-G 2.0L NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 7,000 rpm dan 205 Nm. Membezakan kedua-dua penawaran tersebut ialah sistem transmisinya — automatik enam-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

    Mazda MX-5 RF 2025 dijual dengan dengan harga bermula RM294,154 (RF Manual) dan RM296,733 (RF Auto). Pilihan warna yang diberikan untuknya terdiri daripada Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan tambahan terbaru Aero Gray. Warna Zircon Sand Metallic pula digugurkan.

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Bagi varian manual 2.0L, ia kini dilengkapi ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan symmetric LSD (Limited Slip Differential) — untuk pemanduan yang lebih mengujakan serta menambah kestabilan. Sistem Electronic Power Assisted Steering (EPAS) juga telah diperkemas untuk memberikan lebih ketepatan dan respon cekap, dengan mengurangkan geseran di rak stereng sebanyak 5%.

    Sama seperti model “35th Anniversary”, varian biasa MX-5 2025 ini turut menerima peningkatan dan kemaskini yang sama berbanding versi sebelumnya. Antara yang dimaksudkan ialah ciri Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua gred varian.

    Mazda MX-5 RF 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 2.0L manual dan automatik, bermula RM294k

    Beberapa pembaharuan lain termasuklah rekaan lampu utama kini dengan pancaran lampu rendah circular, DRL yang lebih matang serta lampu belakang dengan lensa melengkung — semuanya memberi kesan pancaran yang unik dan menawan, dengan semua lampunya LED. Bampar belakang kini lengkap dengan reflektor dan lampu kabus.

    Semua varian Mazda MX-5 terbaru juga menampilkan rekaan kluster meter baru yang memudahkan lagi pembacaan dengan warna dial lebih gelap. Cermin pandang belakangnya anti-silau dan tanpa bingkai, sementara sistem infotainmen kini dengan skrin 8.8-inci dengan ciri kawalan suara, slot pengecasan USB-C serta kamera undur definisi tinggi.

    Semua kenderaan baru Mazda diberikan jaminan pengeluar selama lima-tahun serta penyelenggaraan percuma lima-tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu) termasuk upah pekerja, alat ganti dan bendalir (kecuali Mazda BT50).

     
     
  • Jetour kembangkan rangkaian jualan dan servis di Malaysia – 30 pusat 3S dan 4S akan ditambah tahun ini

    Jetour kembangkan rangkaian jualan dan servis di Malaysia – 30 pusat 3S dan 4S akan ditambah tahun ini

    Bersama dengan pelancaran rasmi SUV Dashing hari ini, Jetour Auto Malaysia mengumumkan rancangan pengembangan rangkaian jualan dan servis mereka di dalam negara. Dalam tahun ini, 30 lagi pusat 3S dan 4S akan ditambah kepada 30 pusat jualan dan servis sedia ada sekarang.

    Rancangan ini dibuat untuk menguatkan lagi kehadiran jenama Jetour di Malaysia, dengan antara tempat yang dinyatakan adalah termasuk Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Turut diberitahu, Jetour berjaya memperoleh inventori lengkap alat ganti, sambil memastikan sokongan selepas jualan yang cekap.

    Dashing yang dilancarkan hari ini disediakan dalam dua varian, iaitu Comfort pada harga RM109,800 dan Prime pada RM116,800 tidak termasuk insurans. SUV segmen C ini dipacu oleh enjin petrol empat-silinder 1.5 liter turbo berkemampuan 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm antara 1,750 ke 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.

    Untuk 100 pembeli terawal, mereka akan menerima Dashing yang diimport (CBU) dari China, dan kemudiannya akan diikuti oleh unit pemasangan tempatan yang akan bermula pada bulan lima ini. Jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km, jaminan kenderaan tujuh tahun/150,000 km dan servis percuma lima kali diberikan untuk Dashing.

    GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia

     
     
  • Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Selepas dipertontonkan sewaktu Malaysia Autoshow tahun lalu, Jetour Dashing kini dilancarkan secara rasmi untuk jualan, dalam dua varian iaitu Comfort dan Prime. Harganya masing-masing adalah RM109,800 dan RM116,800, bersama jaminan enjin 10 tahun/1,000,000 km, jaminan kenderaan tujuh tahun/150,000 km dan servis percuma lima kali. Untuk 500 pelanggan utama, mereka akan diberi rebat tunai RM2,000

    Untuk tempoh awal ini, pembeli akan menerima SUV lima tempat duduk ini dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, sementara pemasangan tempatan akan dimulakan pada hujung bulan ini, dibuat oleh Berjaya Assembly.

    Dashing dibangunkan atas platform Kunlun, dengan saiz di antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), mencatat ukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    Meskipun di negara luar terdapat banyak pilihan enjin untuk Dashing ini, model pasaran Malaysia cuma datang dengan satu enjin sahaja, iaitu unit petrol empat-silinder 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.

    Pada bahagian roda, varian asas Comfort datang dengan rim 18 inci yang dibalut tayar 235/60, sementara varian Prime menggunakan rim 19 inci dengan tayar 235/55. Lima warna badan ditawarkan untuk Dashing ini, iaitu Carbon Black, Khaki White, Aurora Green, Phantom Grey dan Hematite Red, sementara bahagian dalamnya pula menggunakan warna gabungan putih (bumbung) dan hitam/merah.

    Kelengkapan standard yang diberikan pada Dashing adalah termasuk lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang LED, pintu but bukaan kuasa, sistem kunci pintar, pemula enjin jarak jauh, balutan kulit dan tempat duduk pemandu larasan elektrik enam arah. Untuk pengetahuan, papan pemuka model Malaysia adalah berlainan berbanding model di China.

    Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia – dua varian, enjin 1.5L Turbo 156 PS, harga dari RM109,800

    SUV ini juga datang dengan panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh 10.25 inci untuk infotainmen, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin hawa automatik dengan corong udara di belakang, pad pengecas 50W tanpa wayar, empat soket USB dan sistem audio empat pembesar suara.

    Melihat kepada sistem keselamatan dan bantuan pemandu, varian asas datang dengan cruise control, kamera undur, ABS, EBD, BA, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemerhati tekanan angin tayar, cagak ISOFIX, amaran lebih had laju dan empat pengesan undur.

    Varian Prime kemudiannya dipertingkat lagi dengan bumbung panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat arah, lampu suasana, enam pembesar suara, cermin sisi boleh lipat automatik dan pengelap cermin dengan pengesan hujan.

    Selain daripada itu, sistem keselamatannya juga ditambah baik dengan sistem termasuk bantuan pemerhati parkir 360 darjah, Lane Change Assist, Blind Spot Monitoring, Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan beg udara bidai.

    Sementara Dashing ini adalah model Jetour pertama yang memasuki pasaran Malaysia, ia kemudiannya akan diikuti oleh model lain termasuk SUV segmen D tujuh tempat duduk, yang dijangka tiba pada suku kedua tahun ini, dan SUV offroad T2 pada suku ketiga.

    Jetour turut mengumumkan bahawa rangkaian perkhidmatan mereka akan ditambah dengan 30 pusat 4S dan 3S yang akan dibuka pada tahun ini. Selain Kuala Lumpur, lokasi lain yang dipilih adalah termasuk Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

    GALERI: Jetour Dashing Comfort

    GALERI: Jetour Dashing Prime

     
     
  • Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Proton hari ini mengumumkan bahawa kumpulannya (domestik, eksport, smart, Proton dan eMas) mencatatkan jualan sejumlah 13,918 unit kenderaan untuk bulan Mac 2025. Angka ini membolehkan kumpulan berkenaan mencatatkan kenaikan jualan sebanyak 23.9% berbanding Februari 2025, dan 9.6% lebih tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2024.

    Dengan Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 71,596 unit bulan lalu, jualan yang dicatatkan tersebut juga membolehkan kumpulan Proton menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 19.4%.

    Prestasi ini membolehkan kumpulan Proton menutup suku pertama 2025 dengan jumlah jualan sebanyak 35,068 unit kenderaan, atau memperolehi bahagian pasaran sebanyak 18.9% berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak
    184,652 unit.

    Antara faktor peningkatan ini sudah tentu disumbangkan oleh jenama EV Proton eMas yang masih belum wujud pada awal tahun lalu. Model pertama jenama tersebut iaitu eMas 7 terjual sebanyak 797 unit pada bulan lalu, menjadikan jualan keseluruhan untuk suku pertama tahun ini berjumlah 1,853 unit, membolehkan ia terus kekal memakai takhta EV paling laris di Malaysia untuk tiga bulan pertama tahun ini.

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    Untuk jenama Proton, dua modelnya masih kekal sebagai model paling laris dalam segmennya. Yang pertama adalah sedan segmen-C Proton S70 terjual sebanyak 2,125 unit sepanjang Mac 2025, naik sebanyak 77.5% berbanding bulan sebelumnya dan jumlah jualan kumulatif bagi tiga bulan pertama tahun ini telah pun mencecah 4,465 unit.

    Manakala yang kedua adalah SUV segmen-D Proton X90 yang berjaya dijual sebanyak 302 unit bulan lalu. Ini bermakna jumlah tersebut naik 73.6%, manakala jumlah jualan tahunan sehingga suku pertama tahun ini untuk X90 telah pun mencapai 679 unit.

    Walaupun sudah tidak menjuarai carta segmen, SUV segmen-C Proton X50 masih lagi menjadi model SUV paling laris dari Proton dengan 1,858 unit terjual pada bulan Mac dan jumlah jualan keseluruhan suku pertama 2025 mencecah sebanyak 5,117 unit.

    Bagi Proton X70 pula, jualannya dilihat meningkat sebanyak 11.9% berbanding Februari dengan 835 unit terjual pada bulan Mac. SUV segmen-C ini telah terjual sebanyak 2,158 unit untuk suku pertama 2025, naik 52% berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Manakala model paling mampu milik dari Proton iaitu Saga masih menjadi model paling laris jenama itu dengan terjual sebanyak 6,154 unit pada Mac 2025 – meningkat sebanyak 22.5% dan melepasi paras 6,000 unit buat pertama kali untuk tahun ini.

    Kembar sedan dan hatchback segmen-B Proton Persona dan Proton Iriz, turut mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada bulan Mac dengan masing-masing terjual sebanyak 1,482 unit dan 337.

    “Jualan bulanan Proton meningkat sebanyak 23.9% pada bulan Mac, mengatasi pertumbuhan TIV sebanyak 12%, sementara jumlah jualan juga meningkat sebanyak 9.6% berbanding bulan yang sama pada tahun 2024. Kami mengaitkan keputusan ini dengan promosi jualan agresif kami yang menawarkan nilai hebat kepada semua pembeli Proton, dan tahap perkhidmatan terbaik dalam kelasnya yang disampaikan oleh rangkaian pengedar 3S/4S di seluruh negara yang tiada tandingan,” kata Roslan Abdullah, CEO Proton Edar.

    Jualan kumpulan Proton Mac 2025 naik 23.9%; Saga terjual 6,154 unit, eMas 7 EV paling laris di Malaysia

    “Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang terbaik kepada pelanggan kami,” tambahnya.

    Operasi eksport Proton juga terus berkembang pada suku pertama 2025, dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211% pada bulan Mac kepada 417 unit terjual berbanding Februari. Ini membolehkan jumlah jualan eksport kini 11.4% lebih tinggi berbanding suku pertama 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran 410 unit ke pasaran luar negara pada tahun ini.

    Menurut Proton lagi, pengenalan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton eMas juga bukan hanya membantu peningkatan jualan domestik, malah ia juga menambah jumlah eksport di mana eMas 7 telah dihantar ke Nepal dan Trinidad & Tobago yang menjadi penyumbang ketara kepada jualan eksport.

    “Eksport merupakan tonggak penting bagi strategi pertumbuhan Proton. Walaupun perjalanan untuk mencapai sasaran jangka panjang kita masih jauh, kita yakin pelaburan luar negara kita mula menunjukkan hasi yang positif dan penawaran model semasa serta masa depan, kita akan menarik minat pembeli di dalam dan luar negara,” tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 (atau Miata/Roadster di Jepun) memasuki ulang tahun pengeluarannya yang ke-35 tahun ini. Bersempena dengan itu, pengedarnya di Malaysia, Bermaz Auto Sdn Bhd hari ini memperkenalkan model edisi istimewa Mazda MX-5 35th Anniversary Edition untuk pasaran tempatan.

    MX-5 yang diperkenalkan ini adalah dari model generasi keempatnya yang mula diperkenalkan di sini pada September 2014, namun dari versi yang telah melalui tiga peringkat kemaskini (dikenali dengan kod nama ND3). Ia mula di jual di Jepun pada Februari lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, model versi bumbung hard top yang ditawarkan (dikenali sebagai RF atau retractable fastback) yang dilengkapi kapasiti enjin petrol SkyActiv-G 2.0L NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) pada 7,000 rpm dan 205 Nm. Hanya 3,500 unit model ini akan dikeluarkan untuk seluruh dunia, dengan 1,000 unit daripadanya untuk pasaran Jepun. Malaysia ketika pelancarannya hanya diberikan empat unit.

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Mazda MX-5 35th Anniversary Edition ini datang dengan warna khusus, Artisan Red Premium Metallic, warna keempat yang memanfaatkan teknologi mengecat khas jenama ini yang dikenali sebagai Takuminuri. Menurut Mazda, ini kali pertama warna itu digunakan untuk MX-5 dan hanya khusus untuk model 35th Anniversary Edition.

    Ruang dalaman dengan warna tan/coklat cair kini hadir dengan bahagian perehat kepala yang dipertingkat dengan adanya lencanan ‘35th Anniversary’, sama seperti lencana khas ini di beberapa lagi tempat seperti di pelapik kaki. Sebagai pilihan, pelanggan boleh juga memilih kuncinya dalam warna Artisan Red Premium Metallic.

    Mazda MX-5 2025 35th Anniversay Edition rasmi di M’sia — RF 2.0L 184 PS/205 Nm Artisan Red, RM316k

    Bagi varian Mazda MX-5 2025 biasa yang terbaru, ia kini juga hadir dengan ciri Apple CarPlay tanpa wayar untuk semua gred varian. Warna Zircon Sand Metallic pula sudah digugurkan. Beberapa pembaharuan lain termasuklah rekaan lampu utama kini dengan pancaran lampu rendah circular, DRL yang lebih matang serta lampu belakang dengan lensa melengkung — semuanya memberi kesan pancaran yang unik dan menawan, dengan semua lampunya LED. Bampar belakang kini lengkap dengan reflektor dan lampu kabus.

    Semua varian Mazda MX-5 terbaru juga menampilkan rekaan kluster meter baru yang memudahkan lagi pembacaan dengan warna dial lebih gelap. Cermin pandang belakangnya anti-silau dan tanpa bingkai, sementara sistem infotainmen kini dengan skrin 8.8-inci dengan ciri kawalan suara, slot pengecasan USB-C serta kamera undur definisi tinggi.

    Bagi varian manual 2.0L, ia kini dilengkapi ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan symmetric LSD (Limited Slip Differential) — untuk pemanduan yang lebih mengujakan serta menambah kestabilan. Sistem Electronic Power Assisted Steering (EPAS) juga telah diperkemas untuk memberikan lebih ketepatan dan respon cekap, dengan mengurangkan geseran di rak stereng sebanyak 5%.

    Pilihan warna untuk Mazda MX-5 2025 varian biasa terdiri daripada Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black, dan tambahan terbaru Aero Gray. Mazda MX-5 RF kini dibuka untuk tempahan, dengan harga bermula RM294,154 (RF Manual) dan RM296,733 (RF Auto), sementara Mazda MX-5 35th Anniversary Edition dijual dengan harga RM316,154 (semua atas jalan belum termasuk insurans).

    Semua kenderaan baru Mazda diberikan jaminan pengeluar selama lima-tahun serta penyelenggaraan percuma lima-tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu) termasuk upah pekerja, alat ganti dan bendalir (kecuali Mazda BT50).

     
     
  • Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo Cars Malaysia (VCM) mengesahkan bahawa pasangan SUV Flagship siri 90 dalam versi EV iaitu EX90 dan juga versi PHEV XC90 facelift terbaharu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 10 April 2025.

    “Temui Volvo paling selamat pernah dibina, atau terokai kereta elektrik yang datang dengan rancangan sandaran, bersedia untuk apa sahaja yang dihidangkan oleh kehidupan. Sertai kami pada 10 April untuk bertemu dengan Volvo EX90 dan adik beradik hibridnya, Volvo XC90 serba baharu,” kata VCM dalam satu hantaran laman sosial bagi memberitahu tarikh pelancaran kedua-dua model tersebut.

    Tempahan bagi kedua-duanya telah pun dibuka bulan lalu di mana pasangan EX90 dan XC90 ini dikenali sebagai 90/90 Flagship oleh VCM. Ia bakal dilancarkan serentak bagi membolehkan semua pelanggan membuat pilihan – sekiranya anda belum bersedia untuk memiliki sebuah EV penuh seperti EX90, anda masih boleh memilih model ‘separa EV’ Volvo XC90 T8 plug-in hybrid (PHEV).

    Dengan lebih fokus terhadap elektrifikasi, XC90 facelift 2025 pasaran Malaysia tidak lagi menampilkan varian asas B5 dengan sistem hibrid ringkas 48V, tetapi ia kini hanya ditawarkan dalam varian PHEV di mana bateri sistem hibrid tersebut boleh dicas seperti EV sebenar.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Jadi XC90 hanya ditawarkan dalam varian T8 AWD, dengan unit rangkaian kuasa menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder yang disuap pengecas turbo dan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Tidak cukup dengan itu, gandar belakang pula dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

    Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

    Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak antara 63 hingga 71 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Manakala untuk EX90, pasaran Malaysia hanya menerima satu varian iaitu versi paling berkuasa Twin Motor Performance, tidak seperti pasaran Thailand yang turut menerima varian lebih asas Twin Motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan 408 PS (300 kW)/770 Nm.

    Bagi varian Twin Motor Performance yang ditawarkan di Malaysia ini, ia dibekalkan dua motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, yang menghasilkan kuasa keseluruhan 517 PS (380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Varian tunggal pasaran Malaysia ini (malah sebenarnya untuk semua varian EX90) dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan SUV tersebut bergerak sejauh 590 km berdasarkan ujian WLTP satu cas bateri penuh.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Volvo EX90 ini dihasilkan dengan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985 mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding XC90 dengan ukuran 4,950 mm panjang dan 1,923 mm lebar. Walaupun EX90 ini boleh dianggap sebagai penawaran versi EV untuk XC90, ia sebenarnya dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang khas untuk dijadikan asas sebuah EV, berbanding model dengan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan plaftorm SPA.

    Jadi rupa muka EX90 ini adalah lebih mirip dengan EX30 tetapi dalam skala lebih besar – menampilkan lampu hadapan LED piksel berdefinasi tinggi yang direka dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’, logo dan palang ‘iron mark’ tanpa gril utama, serta diberikan ruang frunk pada bonet hadapan dengan kapasiti simpanan 37 liter.

    Ia juga menampilkan bahagian sisi yang nampak lebih ‘bersih’ kerana diberikan pembuka pintu yang disorokkan. Namun imej ‘kembar’ XC90 ditampilkan pada bentuk cermin-cermin tingkat sisi yang nampak seiras seperti model PHEV berkenaan. Manakala di belakang, EX90 turut tampil dengan bahasa rekaan EV Volvo iaitu diberikan lampu belakang berbentuk-C sama seperti EX30.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    EX90 varian tunggal untuk pasaran Malaysia ini menampilkan kelengkapan yang hampir sama dengan EX90 varian tertinggi di Thailand. Ia termasuk bumbung kaca panaromik, lampu tinggi aktif, serta set rim aloi 21-inci, lebih besar dari versi pasaran Thai yang hanya datang dengan rim 20-inci (ada pasaran yang diberikan pilihan sehingga 22-inci).

    Manakala dalam kabin, ia diberikan paparan instrumen digital 9-inci, skrin infotainmen potret 14.5-inci (beroperasi dengan OS Android Automotive tetapi dengan sambungan Apple CarPlay tanpa wayar), sistem pendingin hawa empat-zon dan suspensi udara dengan penyerap hentap adaptif, fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan serta sistem bunyi 3D Bower & Wilkins dengan 25-pembesar suara.

    VCM memberikan EX90 pasaran Malaysia ini dengan upholsteri kabin menggunakan material kulit sebenar berwarna hitam, kemasan-kemasan kayu (didakwa kayu sebenar dari sumber yang dibenarkan) dalam kemasan perang cerah yang tidak digilap serta menampilkan pencahayaan bagi memberikan perasaan yang selesa.

    Volvo EX90 dan XC90 facelift sah akan dilancarkan pada 10 April ini, harga anggaran bermula RM450k

    Menerusi EX90 ini juga Volvo buat pertama kali menawarkan sistem pintu yang ditutup secara ‘lembut’. Ia juga turut diberikan cermin hadapan jenis double glazing, manakala larasan posisi roda stereng boleh dibuat secara elektronik pada skrin utama.

    Beberapa konsep rekaan minimalis dari EX30 turut dibawa ke EX90 ini. Antaranya papan pemuka dengan panel instrumen tanpa perumah, hanya dua suis tingkap kuasa pada sebelah pemandu (perlu menekan butang belakang terlebih dahulu untuk mengoperasikan cermin belakang).

    Namun walaupun papan pemuka dan juga konsol tengah EX90 nampak ‘bersih’ dari sebarang suis fizikal, ia masih mempunyai tuil gear ‘PRND’ dan kawalan pengelap cermin serta lampu pada konsol stereng, dan juga tombol putar kawalan audio di sebelah pemegang cawan bagi memastikan kawalan-kawalan penting masih dapat dibuat dengan mudah tanpa bergantung pada skrin.

    SUV tujuh-tempat duduk ini menyediakan ruang kargo pada but dengan kapasiti 310 liter. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat (dengan nisbah 50:50) atau dibangunkan semula hanya dengan menekan butang pada panel sisi bagi memberikan ruang kargo tambahan lebih besar. Sekiranya ada barang besar dan berat mahu diletakkan pada ruang tersebut, juga terdapat suis pada panel sisi berkenaan untuk merendahkan suspensi udara EX90 ini bagi memudahkan kerja.

    Jika anda ragu-ragu sama ada barang yang anda mahu masukkan ke dalam SUV ini muat atau tidak, tidak perlu rujuk pada buku manual kerana ukuran dan anggaran barang apa yang boleh muat (Will it fit) telah ‘dicetak’ terus pada panel plastik kemasan but belakang tersebut. Dan seperti biasa, tempat duduk barisan tengah EX90 ini telah dibekalkan dengan tempat duduk ‘booster’ bina dalam bagi membolehkan tali pinggang keledar memberikan ‘ikatan’ sesuai dan lebih selamat untuk kanak-kanak.

    Untuk keselamatan pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volvo EX90 ini beroperasi menggunakan lima radar, lapan kamera, dua kamera dalam kabin, dan 16-penderia ultrasonic. Manakala satu ‘benjolan’ yang boleh dilihat pada bahagian hadapan bumbung SUV ini pula sebenarnya adalah penderia LIDAR, yang buat masa sekarang masih lagi belum digunakan.

    Belum ada harga rasmi bagi kedua-dua model ini, namun ketika tempahannya dibuka VCM menyatakan harga anggaran bagi EX90 dan XC90 PHEV pasaran Malaysia ini adalah RM450,000. Kami difahamkan EX90 akan ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu, dan kemudian akan hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) selepas itu yang akan dihasilkan oleh kilang Volvo di Shah Alam.

    GALERI: Volvo EX90 Malaysia

    GALERI: Volvo XC90 facelift di Bangkok International Motor Show 2025

     
     
  • General Motors dedah model konsep penyambung generasi Chevrolet Corvette hasil pasukan rekaan UK

    General Motors dedah model konsep penyambung generasi Chevrolet Corvette hasil pasukan rekaan UK

    Bersempena dengan pembukaan studio rekaan baru di Royal Leamington Spa, United Kingdom, General Motors (GM) telah mendedahkan satu model konsep yang dikatakan sebagai “kajian rekaan lanjut” bagi Chevrolet Corvette. Menurut GM, model yang dihasilkan oleh pasukan pereka di UK ini adalah satu daripada beberapa lagi model konsep Corvette yang akan didedahkan pada tahun ini.

    Daripada semua model konsep itu, ia akan membawa kepada satu kereta pameran yang juga akan ditunjukkan kepada orang ramai tahun ini dan menurut Autocar, ia berkemungkinan besar menjadi petunjuk kepada pengganti Corvette generasi kelapan yang ada sekarang.

    Model di dalam gambar ini mendapat banyak inspirasi daripada kereta lumba dengan terdapat pembahagi di bahagian tengah cermin hadapannya, yang bertindak sebagai sebahagian daripada struktur bumbungnya. Cerminnya pula melengkung sehingga ke tepi dan pintu terbuka ke atas menggunakan damper elektronik.

    Secara keseluruhannya, model konsep ini mencatat ukuran panjang 4,669 mm, lebar 2,178 mm wide dan tinggi 1,033 mm, manakala rim pula menggunakan unit 22 inci di hadapan dan 23 inci di belakang. Struktur badannya dibuat menggunakan proses Additive Manufacturing (AM) atau juga dikenali sebagai cetakan 3D.

    Menurut GM, di sebalik badannya terdapat tetapan suspensi jenis pushrod seperti kereta lumba, dan struktur bahagian bawah kenderaan disepadukan dengan teknologi bateri EV. Sistem pengurusan angin dan aerodinamik kereta ini dipanggil sebagai Aero Duality dan ia memberi fokus bukan sahaja kepada kecekapan pemanduan atas jalan biasa, tetapi juga dalam litar.

     
     
  • Yamaha Y16ZR ABS tiba dalam warna baru – RM11.4k

    Yamaha Y16ZR ABS tiba dalam warna baru – RM11.4k

    Dilancarkan di negara kita awal tahun lepas, Yamaha Y16ZR ABS kini disegarkan semula dengan pilihan warna baru bagi model tahun 2025, yang terdiri daripada Fiery Red, Desert Steel dan Emerald Pearl. Harga cadangan pengeluar masih lagi RM11,398 tidak termasuk insurans.

    Y16ZR digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, serta padanan tranmisi enam gear dengan klac assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

    Model ABS ini datang dengan sistem brek anti kunci one-channel (hadapan) dan turut menerima sedikit perubahan rekaan pada bahagian perumah lampu hadapannya serta panel depan yang menempatkan lampu siang (DRL), berbanding model sebelumnya. Berhampiran meter digital LCD motosikal ini juga anda boleh melihat terdapat panel getah yang ditambah.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V.

    Setiap pembelian diberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan pemilik akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Kerajaan Johor komited pastikan RON 95 hanya untuk rakyat Malaysia, elak disalah guna kenderaan asing

    Kerajaan Johor komited pastikan RON 95 hanya untuk rakyat Malaysia, elak disalah guna kenderaan asing

    Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan hak rakyat, dan komited bersama kerajaan persekutuan bagi memastikan subsidi bahan api RON95 hanya dinikmati rakyat Malaysia.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak cuba mengambil kesempatan dengan menjual RON 95 kepada kenderaan asing,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook.

    Menurut laporan Bernama, hantaran itu dibuat selepas beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han melakukan pemeriksaan di stesen minyak sekitar bandar Johor Bahru, bersama pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, bertujuan memastikan penjualan petrol RON95 mematuhi peraturan serta tidak disalah guna kenderaan berdaftar asing.

    Kerajaan Johor komited pastikan RON 95 hanya untuk rakyat Malaysia, elak disalah guna kenderaan asing

    “Dalam operasi ini, kami meneliti pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap larangan penjualan RON95 kepada warga asing, serta memastikan harga dikenakan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter.

    “Had pengisian diesel sebanyak 20 liter bagi kenderaan asing dalam radius 50 kilometer (KM) daripada sempadan turut diperiksa, bagi memastikan peraturan itu dipatuhi,” katanya.

    Onn Hafiz turut memberitahu aktiviti seperti ini akan diteruskan secara konsisten bagi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka benar-benar layak sahaja. Beliau turut menyeru orang ramai memainkan peranan dengan membuat aduan kepada KPDN jika berlaku penyelewengan atau pelanggaran peraturan berkaitan bahan api bersubsidi.

     
     
  • Jualan Proton eMas 7 capai 797 unit pada Mac — 1,853 serahan setakat ini, kekal EV paling laris di Malaysia

    Jualan Proton eMas 7 capai 797 unit pada Mac — 1,853 serahan setakat ini, kekal EV paling laris di Malaysia

    Proton telah umumkan bahawa eMas 7 kekal menjadi EV paling laris di Malaysia sepanjang bulan Mac dengan mencatatkan jualan sebanyak 797 unit. Dengan serahan terkumpul sebanyak 1,853 unit bagi tempoh suku pertama tahun ini, kadar perkongsian pasaran SUV berkenaan diramalkan sekitar 30%.

    “Kami ingin berterima kasih kepada pelanggan diatas sokongan dan keyakinan mereka terhadap Proton eMas 7, begitu juga dengan kepercayaan bahawa kami mampu menghadirkan sebuah ekosistem yang memudahkan pengalaman pemanduan elektrik,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Proton New Energy Technology (Pro-Net), Zhang Qiang. “Pencapaian ini meniupkan semangat agar kami mempertingkatkan lagi kualiti produk serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik.”

    Dilancarkan pada Disember tahun lalu, eMas 7 dijual dengan harga RM109,800 bagi varian asas Prime dan RM123,800 untuk varian Premium. Turut diberikan ialah potongan harga RM4,000 bagi 6,000 pelanggan terawal, menjadikan harganya lebih rendah dengan masing-masing RM105,800 dan RM119,800. Harga yang menarik ini membawa kepada perang harga dengan pesaingnya, BYD Atto 3 Ultra dan Chery Omoda E5, yang turut diberi potongan harga untuk berada dalam harga yang sama dengan eMas 7.

    Kedua-dua varian dikuasakan oleh motor elektrik di depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat. Yang membezakan keduanya ialah kapasiti bateri bilah pendek lithium iron phosphate (LFP) Aegis yang digunakan — Prime dengan 49.52 kWh yang memberikan jarak 345 km, manakala Premium dengan 60.22 kWh dengan jarak 410 km.

     
     
  • Jetour Dashing sah akan dilancarkan pada 9 April ini

    Jetour Dashing sah akan dilancarkan pada 9 April ini

    Selepas membuat perkiraan harian di laman media sosial Jetour Auto Malaysia, syarikat itu akhirnya mengesahkan bahawa model SUV Jetour Dashing akan dilancarkan secara rasmi di sini esok, 9 April 2025.

    Jetour merupakan sebuah jenama baru — yang ditubuhkan pada 2018 dan bernaung di bawah payung Chery tetapi beroperasi secara berasingan — mula membuat penampilan sulungnya di Malaysia ketika Malaysia Autoshow 2024, dan model Dashing disebut-sebut akan menjadi model pertamanya yang dilancarkan di sini.

    Jetour Dashing merupakan SUV lima-tempat yang dibangunkan mengikut binaan Kunlun, dengan saiz antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang) — ia mempunyai dimensi 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Jetour Dashing sah akan dilancarkan pada 9 April ini

    Dua akan varian ditawarkan, iaitu Prime dan Signature. Kedua-duanya dijanakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu memghamburkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.

    Kuasanya disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi dwi-klac enam-kelajuan dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan (Economy, Comfort, Sport) untuk kesesuaian pemanduan. Bagi varian asas Prime, ia diberikan rim 18-inci (tayar 235/60), sementara model spesifikasi tertinggi ditampilkan dengan unit 19-inci (tayar 235/55).

    Bagi ciri kelengkapan standard yang lain, Prime menerima lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, remote engine start, balutan tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, kluster instrumen digital 25-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang dan penapis CN95.

    Jetour Dashing sah akan dilancarkan pada 9 April ini

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, varian asas menerima kawalan kelajuan pasif, kamera undur, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.

    Varian Signature pula diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-cara, pencahayaan ambien, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantau pendangan sekeliling 360-darjah.

    Lima warna luaran yang ditawarkan iaitu Vanilla Blue, Khaki White, Star Black, Phantom Grey dan Tech Grey.

    GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia

     
     
  • Modifikasi berlebihan punca utama kebakaran kereta

    Modifikasi berlebihan punca utama kebakaran kereta

    Kebanyakan kejadian kebakaran kenderaan yang berlaku adalah disebabkan oleh sistem pendawaian yang terlebih bebanan akibat modifikasi berlebihan. Ini kenyataan daripada Jabatan Bomba Sarawak, lapor Bernama.

    “Berdasarkan penemuan dan statistik yang ada, ketika sesebuah kenderaan terbakar, kebiasaannya yang menjadi punca adalah masalah elektrikal. Sangat jarang ia berpunca daripada enjin: jika ada pun, itu disebabkan oleh kebocoran minyak. Pemilik memodifikasi kenderaan mereka, menambah aksesori seperti sistem bunyi dan radio yang memerlukan lebih banyak kuasa.

    “Jika mereka ingin membuat tuntutan kepada pengeluar, ini tidak akan dilayan kerana telah dibuat perubahan atau modifikasi. Cara yang terbaik adalah mengekalkan keadaan asal tersebut seperti mana ketika ia meninggalkan kilang, untuk kebaikan dan keselamatan pemilik sendiri,” jelas Pengarah Jabatan Bomba, Jamri Masran.

    Sebuah SUV Jaecoo J7 yang sedang di tempat parkir telah terbakar baru-baru ini di Sarawak. Dalam satu kenyataan oleh Jaecoo, siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati pemasangan dashcam oleh bengkel luar telah dipasang secara tidak betul dan menjadi punca kebakaran itu.

     
     
  • Toyota GR Corolla lebih agresif sedang dibangunkan ditunjuk di Amerika Syarikat – Morizo Edition 2025?

    Toyota GR Corolla lebih agresif sedang dibangunkan ditunjuk di Amerika Syarikat – Morizo Edition 2025?

    Toyota telah mendedahkan unit pembangunan untuk satu lagi versi tingkat taraf bagi hot-hatch GR Corolla ketika berlangsungnya Kejohanan Formula Drift di Long Beach, California, Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu. Menurut Toyota, unit yang masih dibalut dengan pelekat penyamaran berkenaan membayangkan satu lagi model GR Corolla yang dihasilkan khas untuk pemanduan litar akan muncul tidak lama lagi.

    Walaupun tanpa perincian teknikal diumumkan Toyota, banyak peningkatan dapat dilihat pada sebelah luar model yang bayangkan lebih liar dari GR Corolla biasa ini. Antara perincian yang jelas adalah penambahan liang udara pada bahagian atas fender hadapan, liang udara pada penutup but hadapan dan juga spoiler belakang yang jauh lebih besar.

    Secara asasnya ia masih diasaskan dari GR Corolla facelift yang diperkenalkan pada tahun lalu, menampilkan bampar hadapan baharu dengan liang aliran udara lebih besar yang sama. Perincian lain yang berbeza turut boleh dilihat pada unit pembangunan ini termasuk pemadanan set roda yang sama seperti model edisi terhad Morizo Editon sebelum ini, iaitu rim aloi forged 18-inci yang lebih ringan dari BBS dan dibalut dengan tayar untuk litar Michelin Pilot Sport Cup 2.

    Toyota menyatakan bahawa lebih perincian akan didedahkan pada musim luruh nanti, manakala kereta ini kini dalam proses memperhalusi talaannya sebelum ujian pemanduan terakhir dibuat oleh pengerusi Toyota sendiri iaitu Akio Toyoda, atau dikenali dengan nama ‘alter ego’ Morizo ketika berlumba dan bertugas sebagai ‘master driver’ sayap perlumbaan Gazoo Racing.

    Dengan petunjuk yang diberikan ini, ada kemungkinan ini adalah satu lagi GR Corolla Morizo Edition yang dihasilkan untuk versi facelift terbaharu. Pada model sebelumnya, GR Corolla Morizo Edition berkenaan tampil 30 kg lebih ringan dengan penggunaan bumbung forged carbon serta tempat duduk belakang yang dibuang sepenuhnya

    GR Corolla Morizo sebelum ini juga menampilkan nisbah gear lebih pendek dengan nisbah gear akhir yang ditukar dari 4.058 kepada 4.250. Enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo ini juga ditala semula bagi memberikan tork 30 Nm lebih besar kepada 400 Nm, manakala kuasa kekal pada 304 PS. Walau bagaimanapun angka kuasa berkenaan adalah standard untuk GR Corolla facelift 2025, jadi ada kemungkinan GR Corolla Morizo Edition ini akan dibekalkan dengan enjin lebih berkuasa?

     
     
  • Pembuat tayar dari China didakwa seludup tayar rosak ke Thailand, diubahsuai untuk dijual semula – laporan

    Pembuat tayar dari China didakwa seludup tayar rosak ke Thailand, diubahsuai untuk dijual semula – laporan

    Sumber gambar dari The Nation

    The Nation Thailand melaporkan bahawa satu syarikat pembuat tayar dari China kini sedang disiasat oleh kementerian industri negara berkenaan kerana didakwa menyeludup tayar yang rosak, kemudian diubahsuai dan dijual sebagai tayar baharu dalam pasaran.

    Sumber yang tidak mahu dikenali menyatakan bahawa syarikat berkenaan pada awalnya menerima hak pelaburan bagi mengilangkan tayar di Thailand menggunakan bahan mentah yang diimport dari China. Namun apa yang meragukan syarikat tersebut hanya menggunakan pekerja yang turut dibawa dari China.

    Walau bagaimanapun kementerian berkenaan menerima petunjuk bahawa syarikat yang didakwa tersebut telah menyeludup masuk tayar yang rosak dari China, di mana tayar-tayar berkenaan gagal untuk memenuhi standard keselamatan dan kualiti.

    Jenama dan logo asal pada tayar-tayar berkenaan kemudiannya telah dibuang, seterusnya ia dicetak dengan jenama baharu dan dijual pada pasaran Thailand. Malah ada sumber yang tidak mahu namanya didedahkan dari kementerian memberitahu ada tayar-tayar telah dicetak dengan label ‘Made in Thailand’ bagi tujuan untuk dieksport keluar dari Thailand.

    Pembuat tayar dari China didakwa seludup tayar rosak ke Thailand, diubahsuai untuk dijual semula – laporan

    Sumber gambar dari The Nation

    “Kementerian gusar sekiranya tayar-tayar yang tidak mencapai standard ini dieksport sebagai produk yang dibuat oleh Thailand, ia mungkin akan menjejaskan dengan teruk imej Thailand dalam pasaran global,” kata sumber tersebut.

    Laporan ini turut menyebut selepas kementerian berkenaan menerima maklumat, satu pasukan telah dihantar untuk menyiasat kilang tayar itu, di mana tayar-tayar yang didakwa telah diubahsuai tersebut ditemui disimpan bersama tayar-tayar yang dibuat secara tempatan dan ditandakan “untuk eksport sahaja”.

    Kementerian tersebut kini sedang menunggu penjelasan dari syarikat tayar berkenaan. Hasil siasatan dan laporan kelak akan diserahkan kepada Menteri Industri Thailand, Akanat Promphan yang akan memutuskan tindakan selanjutnya.

     
     
  • JPJ jual baki nombor pendaftaran FB, FC, FD, FE dan MALAYSIA di laman web MySikap bermula 8 April

    JPJ jual baki nombor pendaftaran FB, FC, FD, FE dan MALAYSIA di laman web MySikap bermula 8 April

    Bukan semua nombor pendaftaran yang keluar dalam lelongan JPJ eBid habis dibeli – baki biasanya akan diberi secara rawak kepada pemilik kenderaan baru yang tidak kisah dengan nombor ini. Sama juga dengan nombor pendaftaran istimewa, dengan ada di antaranya masih tidak berpunya, dan sekarang JPJ menawarkannya sekali lagi kepada orang ramai.

    Bermula esok, 8 April 2025, JPJ akan membuka jualan nombor pendaftaran siri FB, FC, FD, FE dan MALAYSIA melalui laman web MySikap. Harganya tidak diberitahu, tapi melihat kepada jualan hampir sama yang dibuat sebelum ini, ia ditetapkan pada RM510 termasuk bayaran perkhidmatan.

    Untuk mendapatkan nombor pendaftaran ini, anda perlu log masuk ke dalam laman MySikap, tekan menu ‘kenderaan’ dan seterusnya ‘tempahan nombor pendaftaran’. Selepas itu pilih ‘nombor pendaftaran istimewa’, masukkan siri berserta nombor dan buat pembayaran.

    Sekadar memberitahu, siri nombor pendaftaran F untuk Putrajaya ini sangat padan dengan Honda Civic yang menggunakan kod badan FD, FB, FC dan terbaru, FE. Berminat? Pastikan anda pantas esok kerana siapa cepat, dia yang dapat.

     
     
  • Yamaha MT-15 2025 dalam warna baru – RM12,498

    Yamaha MT-15 2025 dalam warna baru – RM12,498

    Selain Y15ZR SE, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga hari ini memperkenalkan warna baru untuk model naked MT-15, yang dipanggil sebagai Ice Storm. Ia disediakan sebagai pilihan kepada warna Midnight Black sedia ada sebelum ini, dan harganya masih tidak berubah iaitu RM12,498 tidak termasuk insurans.

    Warna baru ini banyak menggunakan warna kelabu pada bahagian badan, dan diletakkan kontras warna biru muda pada bahagian rim serta fork yang berwarna emas. Setiap pembelian datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian lain motosikal masih tidak berubah, bermula dengan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Penukaran gear dijadikan lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper sementara lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Pada bahagian kokpit terdapat panel meter digital LCD.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera, sementara perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, pemula enjin elektrik, meter digital, berat 133 kg, lampu depan dan belakang LED, tinggi tempat duduk 810 mm serta jarak dari tanah 155 mm.

     
     
  • Yamaha Y15ZR SE 2025 dalam warna baru – RM9,498

    Yamaha Y15ZR SE 2025 dalam warna baru – RM9,498

    Yamaha Y15ZR SE, iaitu satu varian lebih tinggi berbanding varian biasa kapcai terkenal tersebut kini diberikan warna baru, Bronze Fury bagi model tahun 2025, dengan harga cadangan pengeluar masih kekal RM9,498 tidak termasuk insurans.

    Sementara model SE warna biru yang diperkenalkan pada tahun 2023 mendapat tambahan lima panel aerodinamik pada badannya, model SE tahun 2025 ini pula tidak mendapat bahagian itu dan diganti dengan visor sports serta bakul barangan berserta pengecas USB-C.

    Seperti yang boleh dilihat, badan model SE baru ini menggunakan padanan warna gangsa dan putih, dengan rimnya juga berwarna gangsa, berserta pelekat grafik sehingga ke bahagian fork. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km dan kunci cakera brek bernilai RM100.

    Bahagian mekanikal tidak berubah, dengan Y15ZR digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).