Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: TDC dan PRS dibuka untuk bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu dan Pulau Pinang ini dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Terengganu, TDC sedang dibuka bidaan sejak 14 April. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 18 April. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 April 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRS, bakal dibuka bidaan mulai 26 April. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 30 April, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 1 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT memperkenalkan dua zon baharu dan satu zon sedia ada yang diperluaskan kawasan liputan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula hari ini, 17 April 2025.

    Zon baharu tersebut adalah Terminal Puchong Utama – Puchong Prima yang menyediakan tiga buah van dan boleh ditempah menerusi aplikasi Trek Rides. Satu lagi zon baharu ialah MRT Bandar Tun Hussein Onn – Taman Desa Baiduri di Cheras, juga disediakan dengan tiga buag van dan tempahan boleh dilakukan menerusi aplikasi MOBI.

    Manakala bagi zon Asia Jaya yang sedia ada, ia dijenamakan sebagai zon PJ Sentral – Seksyen 7 & 17 dan merupakan penambahbaikan serta penggantian dari laluan T786B (LRT Asia Jaya – MRT Phileo Damansara) di mana kawasan liputan akan lebih meluas serta lebih banyak hentian yang disediakan bagi memberi lebih banyak pilihan hentian kepada para pengguna sedia ada dan menarik lebih ramai pengguna baharu dari kawasan sekitar untuk mencuba perkhidmatan ini.

    Rapid KL On-Demand kini tersedia di Puchong, Cheras – Zon Asia Jaya dijenamakan sebagai Zon PJ Sentral

    “Untuk semua zon terbabit, sejumlah 10 buah van akan digunakan dalam operasi harian. Penetapan jumlah van bagi setiap lokasi adalah berbeza mengikut kajian serta keperluan bagi kawasan tersebut,” ujar Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus.

    Sehingga bulan Mac 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 37 buah zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk memberikan capaian perkhidmatan kepada para pengguna dan dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar, terutama sekali di perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas. Bagi bulan Mac sahaja kadar purata pengguna harian seramai 4,753 orang dicatatkan.

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan.

    Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Selepas Honda S7 yang dihasilkan oleh kerjasama Dongfeng Honda dilancarkan di China bulan lalu, kini satu lagi entiti kerjasama Honda di sana iaitu GAC Honda telah melancarkan kembar SUV EV berkenaan – ini dia Honda P7 secara rasmi juga telah dilancarkan di China.

    Kedua-dua model kembar ini sepatutnya dijual dengan jenama Honda Ye seperti model konsep yang didedahkan, namun tidak diketahui mengapa ia tidak digunakan untuk versi produksi ini. Sama seperti P7, Honda S7 ini ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang dijual pada harga bermula 199,900 yuan (sekitar RM120k), dan varian dua motor pacuan semua roda yang lebih berkuasa dijual pada harga 249,900 yuan (RM150k).

    Ia dihasilkan menggunakan platform Architecture W Honda dengan ukuran panjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm dan tinggi 1,625 mm, bersama jarak roda sejuh 2,930 mm. Jadi SUV EV Honda ini merupakan lawan terus kepada Tesla Model Y Juniper, di mana Honda P7 ini adalah 47 mm lebih pendek, namun jarak rodanya adalah 40 mm lebih panjang.

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Seperti yang disebut tadi, dua konfigurasi unit rangkaian kuasa ditawarkan pada Honda P7 ini yang sama seperti ditawarkan oleh Honda S7. Yang pertama adalah versi pacuan roda belakang menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp (200 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ia dibekalkan dengan pek bateri NMC berkapasiti 89.8 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 650 km untuk satu cas penuh berdasarkan ujian CLTC.

    Manakala varian tertinggi diberikan dua motor elektrik dengan kebolehan pacuan semua roda, di mana satu lagi motor elektrik diletak pada gandar hadapan berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 350 Nm. Secara keseluruhan Honda P7 AWD ini dibekalkan dengan kuasa 469 hp (350 kW) dan tork maksima 770 Nm.

    Walaupun hadir dengan kuasa lebih besar, bateri yang dibekalkan pada varian AWD ini masih sama iaitu 89.8 kWj. Jadi dengan satu cas penuhi hanya boleh bergerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian CLTC. Manakala untuk mengecas, kedua-dua varian boleh menggunakan sistem AC dan juga sistem pengecas DC pantas.

    Honda P7 dan S7 ini boleh dibezakan menerusi perbezaan pada muka dan juga lampu belakang. Untuk P7 ini ia menggunakan muka dengan konsep rekaan sama seperti Prelude Concept, menampilkan lampu hadapan utama berbentuk-C bersama bahagian ‘gril’ yang mempunyai jalur LED menyala, dengan lampu nyalaan siang LED.

    Honda P7 2025 dilancar di China – kembar S7, bermula RM120k, sehingga 469 hp/770 Nm dan 650 km CLTC

    Manakala pada bahagian belakang, konsep lampu berbentuk-C turut digunakan, dengan satu bar lampu menampilkan jalur LED di dalamnya yang merentagi penuh pintu tailgate belakang. Rekaan hadapan dan belakang P7 ini berbeza dengan Honda S7 yang menggunakan rekaan berbentuk-Y pada lampu.

    Namun pada bahagian dalaman, Honda P7 dan S7 menampilkan rekaan yang sama dan dipadankan dengan kelengkapan yang sama terdiri dari paparan instrumen digital dengan skrin 12.8-inci, skrin infotaimen utama dengan saiz 10.25-inci, skrin 10.25-inci untuk kawalan pendingin hawa, paparan head-up AR 41.9-inci dengan sistem bunyi Bose 16-pembesar suara.

    Honda P7 ini juga datang dengan perincian standard seperti fungsi sepenuhnya sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), menerusi sistem Honda Sensing.

     
     
  • Harga minyak 17-23 April 2025 — RON97 turun 10 sen jadi RM3.18/liter; diesel turun 10 sen jadi RM2.88/liter

    Harga minyak 17-23 April 2025 — RON97 turun 10 sen jadi RM3.18/liter; diesel turun 10 sen jadi RM2.88/liter

    Bagi minggu 17-23 April 2025, harga petrol RON 97 akan turun sebanyak 10 sen menjadi RM3.18 seliter berbanding minggu lalu, yang dijual dengan harga RM3.28 seliter. Dan, seperti biasa, harga petrol RON 95 pula kekal RM2.05 seliter buat masa ini.

    Harga runcit diesel juga menyaksikan penurunan 10 sen di Semenanjung Malaysia, menjadi RM2.88 seliter bagi diesel Euro 5 B10 dan B20. Sementara diesel Euro 5 B7 — yang dijual 20 sen lebih mahal — akan menjadi RM3.08 seliter bagi tempoh seminggu ke depan.

    Sementara harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada kadar RM2.15 seliter.

    Semua harga ini akan berkuatkuasa bermula 12 tengah malam ini hingga Rabu, 23 April ketika pengumuman baru dikemaskini.

     
     
  • Lexus ES generasi baharu akan didedah di Shanghai minggu depan – lebih sporty; ada versi PHEV dan EV?

    Lexus ES generasi baharu akan didedah di Shanghai minggu depan – lebih sporty; ada versi PHEV dan EV?

    Sedan mewah Lexus ES generasi sedia ada sudahpun berada sekitar tujuh-tahun dalam pasaran, selepas ia membuat kemunculan sulung pada Auto China 2018 yang berlangsung di Beijing. Jadi selepas dihasilkan dalam dua fasa facelift (2021 dan 2024) sudah masanya ia diganti – Lexus sudah mengumumkan bahawa model generasi baharu untuk ES akan mem buat kemunculan sulung globalnya juga di China, iaitu ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 pada 23 April ini.

    Sebelum didedahkan sepenuhnya, anda boleh membayangkan dahulu rupa sebenarnya kerana Lexus sudahpun menyiarkan beberapa imej teaser untuk model tersebut. Antaranya bayangan sisi yang menunjukkan bahawa ES kini menampilkan bentuk badan fastback yang lebih serius, dan juga lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang dengan gaya seperti SUV Lexus RZ generasi terkini.

    Sedikit biasan bahagian belakang turut ditunjukkan, mendedahkan bahawa sedan ini masih menerima lampu belakang yang merentangi sepenuhnya penutup but seperti model facelfit 2024, namun ia kini menampilkan rekaan yang jauh lebih nipis .

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Lexus menyifatkan ES generasi baharu ini akan menjadi “model flagship global yang memperhalusi teknologi elektrifikasi termaju dan meneruskan evolusi seterusnya bagi aspek kesenyapan dan keselesaan pemanduannya.”

    Kenyataan ini seolah-olah ES akan diangkat sebagai sedan mewah global yang mungkin turut akan menggantikan sekali tempat Lexus LS yang lebih besar. Model berkenaan sudahpun dihentikan penjualannya di United Kingdom awal tahun ini kerana jumlah jualan yang rendah, tetapi ia masih dijual di beberapa pasaran lain.

    Malah dengan port pengecas yang kelihatan pada fender hadapan dalam imej teaser, serta perkataan ‘elektrifikasi’ yang disebut, Lexus ES generasi baharu ini dijangka akan menerima varian dengan sistem Plug-in Hybrid (PHEV) selain varian hibrid biasa, dan tak mustahil ia mungkin turut ada varian dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV).

    Apa pun, perincian penuh hanya akan diketahui ketika model ini ditunjukkan sepenuhnya di China minggu hadapan.



     
     
  • MG Cyber X muncul dalam teaser – SUV EV besar yang akan buat penampilan di Auto Shanghai 2025

    MG Cyber X muncul dalam teaser – SUV EV besar yang akan buat penampilan di Auto Shanghai 2025

    MG menyiarkan teaser sebuah SUV besar berbadan petak, dipanggil sebagai Cyber X, yang akan membuat penampilan pertama semasa Auto Shanghai 2025 minggu hadapan. Melalui tiga gambar samar bahagian depan, tepi dan belakangnya, kita dapat melihat karekter lampu yang digunakan pada SUV ini.

    Di hadapan terdapat jalur LED penuh dari kiri ke kanan, logo MG bulat yang menyala, lengkuk roda lebar dengan bentuk berpetak serta bonet yang membonjol di bahagian tepi. Duduk tegap dengan badan yang berpetak, MG Cyber X ini nampak gagah seperti Land Rover Defender dan Toyota Land Cruiser.

    Menurut Autocar, Cyber X dibina atas platform elektrik E3 terkini daripada SAIC yang direka untuk pelbagai jenis kenderaan dari jenis kompak hinggalah sports. Platform ini menggunakan binaan cell-to-body, di mana baterinya menjadi penyumbang kepada ketegaran badan dan mengurangkan berat.

    Melihat kepada nama ‘Cyber’ yang digunakan, SUV ini mungkin bakal menjadi sebuah SUV yang terletak tinggi dalam pilihan modelnya, sama seperti Cyberster. Pada roadster itu, ia menggunakan tetapan dua motor dengan kuasa 544 PS/725 Nm, bateri 77 kWh dengan jarak gerak 444 km dan kemampuan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat.

    Di Malaysia, harganya adalah RM320k, dan dalam perkembangan terkini, MG baru sahaja mempertontonkan S5 EV, yang bakal menjadi pesaing kepada Proton eMas 7 dan BYD Atto 3.

     
     
  • Mitsubishi tangguh penghantaran ke AS sebab tariff

    Mitsubishi tangguh penghantaran ke AS sebab tariff

    Mitsubishi telah menangguhkan buat sementara waktu penghantaran kenderaan kepada pengedarnya di Amerika Syarikat sebagai kesan daripada tariff automotif 25% yang dikenakan oleh pemerintahan Trump, lapor Automotive News. “Kami menahan kenderaan di pelabuhan sehingga kami memperoleh kejelasan berkaitan tariff dan keputusan diambil untuk langkah seterusnya,” ujar seorang jurucakap.

    Ketika ini, pengedar jenama itu di AS mempunyai stok 20,245 kenderaan untuk dijual, yang bersamaan nilai dengan bekalan untuk 100 hari urusan perniagaan. Semua kenderaan ini tidak terkesan oleh tariff automotif yang diperkenalkan pada 3 April 2025.

    Bagaimanapun, insentif pelanggan untuk Outlander, model paling laris jenama itu di sana, akan dikurangkan dengan jangkaan peningkatan harga yang dijangka berlaku pada tahun ini. Menurut laporan itu, pembeli hanya akan menerima USD1,000 “rebat tunai” untuk SUV berkenaan berbanding USD1,500 ketika ini. Sebagai tambahan, kadar pembiayaan bagi pembeli yang layak telah naik hingga 4.99% daripada 2.99%. Semua kereta Mitsubishi yang dijual di AS dibuat di Jepun, yang terdedah dengan tariff Trump tersebut.

    Dengan langkah ini, Mitsubishi menyertai jenama lain seperti Lotus, Jaguar Land Rover, Volkswagen dan Audi yang menangguhkan penghantara kenderaa kepada pengedar. Dalam perkembangan lain, Volvo memberhentikan penjualan model S90 di AS kerana model berkenaan diimport dari China.

     
     
  • Kerajaan sedang pertimbang bina lorong khas untuk motosikal di lebuh raya baru di Malaysia — KKR

    Kerajaan sedang pertimbang bina lorong khas untuk motosikal di lebuh raya baru di Malaysia — KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mempertimbangkan penyediaan lorong motosikal bagi lebuh raya baru sebagai suatu usaha jangka panjang untuk menjadikan penggunaan motosikal selamat, lapor Bernama.

    Walaupun penambahan lorong motosikal itu memerlukan pelaburan yang besar, adalah penting untuk memikirkan tentang kadar kemalangan motosikal yang semakin tinggi di negara ini, jelas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    “Kami ambil maklum tentang statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang menunjukkan banyak kehilangan nyawa di Malaysia melibatkan kemalangan motosikal, jadi ia penting untuk diberi perhatian. Pada masa hadapan, bila kita membangunkan lebuhraya baru, kita perlu mempertimbangkan lorong motosikal khusus,” ujar Nanta.

    Kementerian Kerja Raya sedang bekerjasama dengan pemain industri seperti PLUS Malaysia untuk mewujudkan kawasan teduh khas bagi penunggang motosikal untuk digunakan ketika cuaca buruk, terutama di lebuhraya bertingkat berikutan terhadnya struktur perluasan jalan di lebuh raya sedia ada, jelas beliau.

    “Ramai penunggang berhenti di bawah jambatan ketika hujan, atau di sepanjang lorong kecemasan. Banyak juga kejadian sudah berlaku, yang mana mereka tidak jelas dilihat oleh kenderaan lain ketika hujan, dan terjadinya kemalangan.”

     
     
  • Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bertarung di Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 minggu ini

    Pasukan Viper Niza Racing dari Malaysia bertarung di Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 minggu ini

    Pasukan lumba Viper Niza Racing dari Malaysia bakal memulakan kempen perlumbaan endurance mereka di Eropah untuk tahun ini, bermula dengan perlumbaan Michelin Spa Francorchamps 12 Jam 2025 di Belgium hujung minggu ini, bermula 18 hingga 20 April.

    Perlumbaan yang begitu kompetitif ini bakal menyaksikan 40 jentera dari 10 pengeluar berbeza akan bertarung selama 12 jam di litar ikonik Belgium sejauh 7.004 km yang terkenal dengan selekoh laju Eau Rouge berkenaan. Pasukan Viper Niza Racing akan dibarisi tiga pemandu Malaysia iaitu Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh, yang akan mengendalikan jentera Mercedes-AMG GT3 Evo bagi bertanding dalam kelas GT3/AM, menentang jentera-jentera seperti Lamborghini Huracan GT3 Evo, Audi R8 LMS GT3 Evo II, Aston martin Vantage AMR GT3 Evo.

    Ini bukan kali pertama Viper Niza berlumba di Spa Francorchamps. Pasukan itu sebelum ini pernah berlumba dalam perlumbaan TCR SPA500 pada 2019, di mana jentera Seat Cupra TCR DSG Viper Niza yang dipandu oleh trio yang sama menjadi juara selepas menghabiskan 500 lap di litar tersebut.

    “Spa Francorchamps mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati kami – ia sememangnya litar yang sangat menakutkan kerana ciri-ciri kelajuan tinggi dan keadaan cuaca yang berubah-ubah, tetapi ia juga menjadi tempat kepada salah satu pencapaian terbaik kami dalam perlumbaan antarabangsa. Kembali dengan kereta kelas GT3 yang lebih berkuasa tahun ini sudah pasti akan memberikan cabaran tersendiri tetapi krew dan pemandu akan kekal fokus dan optimistik,” kata Douglas Khoo yang turut menggalas tugas prinsipal pasukan Viper Niza.

    “Pengalaman sebelum ini dalam perlumbaan endurance akan memberitahu kami bahawa matlamat paling utama adalah untuk menghabiskan perlumbaan, dan akan bertambah manis sekiranya kami dapat berdiri di atas podium.

    “2025 menandakan tahun ketiga kami bersaing dalam kelas GT3 menggunakan dua kereta yang sangat berbeza. Ia merupakan keluk pembelajaran yang curam dalam kelas perlumbaan yang sangat kompetitif, sudah tentu mengharungi insiden dan kekecewaan kami yang saksama, tetapi kami mencapai kemajuan yang baik. Pakej baharu untuk tahun 2025 lebih kompetitif, kami nampaknya akan menyesuaikan diri dengannya dengan lebih baik dan kami yakin bahawa ini akan membawa lebih banyak pencapaian,” tambah Khoo.

    Salah satu rahsia Viper Niza untuk memacu keyakinan dalam perlumbaan kali ini adalah kerana pasukan itu baru sahaja menang dalam kelas GT AM dan tempat kedua dalam kelas GT AM pada perlumbaan Motul Sepang 12 Jam baru-baru ini.

    Selepas Spa, cabaran Viper Niza akan diteruskan di perlumbaan Misano 12 Jam di Itali bermula 23 hingga 24 Mei, 12 Jam Paul Ricard di Perancis bermula 3-5 Julai; 24 Jam Barcelona in di Sepanyol bermula 26-28 September; dan Shanghai 8 jam pada Oktober.

     
     
  • JPJ tawar bayaran saman kompaun kadar rata RM150 sempena ulang tahun ke-79 di Ipoh 18-19 April ini

    JPJ tawar bayaran saman kompaun kadar rata RM150 sempena ulang tahun ke-79 di Ipoh 18-19 April ini

    Tahun ini JPJ menyambut ulang tahun ke-79 dan akan menawarkan diskaun kadar rata RM150 untuk saman kompaun khas. Ia adalah antara aktiviti yang akan diadakan, sempena karnival ulang tahun jabatan itu yang akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak Jumaat dan Sabtu, 18-19 April ini dari jam sembilan pagi hingga enam petang.

    Sah untuk tawaran ini adalah Saman AWAS (Saman 53A) yang dikeluarkan dari Oktober 2018 sehingga kini, Notis 114 (Notis Pangillan Temu Siasat) tahun 2024 dan ke bawah, serta Notis 115/Notis JPJ P23 (Permintaan Butir-Butir Pemandu) tahun 2024 dan ke bawah.

    Selain diskaun saman ini, karnival itu juga akan melibatkan kaunter bergerak, produk SME tempatan, pameran kenderaan elektrik, program pertukaran helmet, pertunjukan muzik serta wawancara. Antara nama terkenal yang akan turut serta adalah seperti Noraniza Idris, Tasha Shilla dan Bella Astillah.

     
     
  • Kumpulan Automotif Naza mahu fokus kepada Suzuki dan Mercedes-Benz – lepaskan Maserati dan Ducati?

    Kumpulan Automotif Naza mahu fokus kepada Suzuki dan Mercedes-Benz – lepaskan Maserati dan Ducati?

    Hari ini Naza Automotive Group mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang menyatakan syarikat sedang melaksanakan “penjajaran semula” untuk perniagaannya, dalam mencapai keuntungan dan pencairan jangka masa panjang. Syarikat ini juga mensasarkan “peningkatan yang ketara” untuk kedua-dua aspek ini dalam masa tiga tahun akan datang, dengan memberikan fokus kepada jenama utama.

    TERKINI: Wakil daripada Naza Italia menjelaskan, kedua-dua Maserati dan Ducati masih akan menjadi bahagian penting dalam Kumpulan Automotif Naza.

    Seperti yang diketahui, Naza baru sahaja dilantik menjadi pemegang francais kereta Suzuki di Malaysia pada tahun 2021 dan pelaburan untuknya akan diteruskan, dengan rangkaian pengedar akan diganda sehingga 100% dalam masa tiga tahun akan datang. Turut dibuat adalah pelaburan dalam bahagian platform digital demi meningkatkan kepuasan dan hubungan pelanggan.

    Naza juga merupakan wakil pengedar Mercedes-Benz, dengan pusat pameran NZ Wheels di Bangsar diberitahu akan diubah suai mengikut identiti korporat terbaru jenama Jerman itu dan akan mula beroperasi suku ketiga tahun ini untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pelanggan.

    Kumpulan Automotif Naza mahu fokus kepada Suzuki dan Mercedes-Benz – lepaskan Maserati dan Ducati?

    Memandangkan ini adalah satu penyelarasan semula syarikat, kita boleh menjangka akan ada jenama yang dilepaskan dan Naza menyatakan, syarikat mahu “mengurangkan kebergantungan kepada segmen gaya hidup dan tertumpu yang tidak lagi selari dengan objektif terkini kami.” Memandangkan hanya Suzuki dan Mercedes-Benz disebut dalam siaran akhbar, jenama yang tidak disebut langsung seperti Maserati dan Ducati mungkin menjadi mangsa.

    Maserati tidak menunjukkan prestasi baik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di pentas global. Jualannya suam-suam sahaja dan ada khabar angin yang mengatakan Stellantis akan menjual jenama sports car Itali ini.

    Untuk Ducati, jualannya masih lagi rancak, tapi kita boleh lihat sebelum ini satu demi satu jenama motosikal dilepaskan oleh Naza. Lagipun, pelaburan yang akan dibuat pada Suzuki dan Mercedes-Benz memerlukan dana dari sumber lain. Pelepasan Ducati mungkin adalah caranya.

     
     
  • Honda e:N1 sudah boleh ditempah di Malaysia – HR-V versi EV, 204 PS/310 Nm, lancar suku kedua 2025

    Honda e:N1 sudah boleh ditempah di Malaysia – HR-V versi EV, 204 PS/310 Nm, lancar suku kedua 2025

    Selepas disahkan akan dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu, hari ini Honda Malaysia telahpun mengumumkan bahawa model EV pertama yang akan dijual oleh jenama itu ke pasaran tempatan iaitu Honda e:N1 sudahpun dibuka, manakala pelancarannya akan dibuat pada suku kedua 2025.

    Tempahan bagi model tersebut boleh dibuat secara atas talian sama ada menerusi laman sesawang khas yang diwujudkan pada PAUTAN INI, atau pun menggunakan aplikasi HondaTouch. Berdasarkan tinjauan kawasan-kawasan pasaran penting kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia, buat masa sekarang Honda Malaysia telah melantik lapan pengedar bertauliahnya di tiga bahagian utama negara khas untuk menguruskan permintaan pelanggan terhadap model e:N1 ini.

    Lapan pengedar bertauliah tersebut adalah seperti berikut:

    Honda e:N1 sudah boleh ditempah di Malaysia – HR-V versi EV, 204 PS/310 Nm, lancar suku kedua 2025

    Honda e:N1 ini telah membuat kemunculan pertamanya di Malaysia ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 Disember lalu. Honda e:N1 ini merupakan versi EV untuk SUV segmen-B Honda HR-V. Namun menurut Honda ia diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan, memacu roda hadapan.

    Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Perincian lebih terperinci bagi model pasaran Malaysia masih belum diumumkan, namun untuk versi di Thailand padanan tersebut membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, serta mencatatkan kelajuan maksima 160 km/j.

    Walaubagaimanapun Honda Malaysia ada mengesahkan bahawa kuasa elektrik akan dibekalkan dari bateri litium-ion 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Spesifikasi model pasaran Thailand menyebut bateri tersebut membolehkan e:N1 ini bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh dalam dalam kitaran ujian WLTP.

    Honda e:N1 sudah boleh ditempah di Malaysia – HR-V versi EV, 204 PS/310 Nm, lancar suku kedua 2025

    Antara kelengkapan yang sudah disahkan bagi e:N1 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED, rim aloi 18-inci kemasan dua tona, serta sistem pengecas yang mampu menerima pengecas AC dan pengecas pantas DC.

    Tiada sebarang perincian berkenaan harga disebut oleh Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini. Di Thailand, Honda e:N1 ini baru sahaja dijual bermula bulan lalu pada harga 1.199 juta baht (RM157,000), di mana bateri dan kelengkapan sistem EV lain dilindungi waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Ia sebenarnya sudah diperkenalkan di Thailand sejak 2024, namun buat permulaan e:N1 ini hanya ditawarkan dalam pakej langganan yang dibuat menerusi 12 penyedia kereta sewa di sana, dengan kos bayaran bermula 29,800 baht (RM3,800) sebulan.

    GALERI: Honda e:N1 di KLIMS 2024

     
     
  • Proton eMas 7 kemaskini OTA — Apple CarPlay dan bunyi ais krim diperbetul Julai, Android Auto Disember

    Proton eMas 7 kemaskini OTA — Apple CarPlay dan bunyi ais krim diperbetul Julai, Android Auto Disember

    Proton telah kemukakan perancangan bagi kemaskini over-the-air (OTA) yang akan dilakukan ke atas Proton eMas 7. Ini menurut satu hantaran dalam laman Facebook Proton eMas 7 Community Malaysia. Minggu lalu, dikatakan syarikat itu telah mengeluarkan kemaskini firmware Flyme Auto S versi 1.1.4 yang melibatkan beberapa penambahbaikan.

    Merujuk kepada bahan taklimat yang dirakam gambarnya, kemaskini OTA dikeluarkan berkenaan diberikan kepada kenderaan pelanggan dalam tempoh setiap tiga bulan. Yang sudah diselesaikan setakat ini bagi OTA April ialah butang Start/Stop pengecasan, brek yang diperkemas serta ciri untuk pemilik melihat kedudukan kereta ketika ia tidak dihidupkan.

    Proton eMas 7 kemaskini OTA — Apple CarPlay dan bunyi ais krim diperbetul Julai, Android Auto Disember

    Set kemaskini seterusnya adalah pada suku kedua tahun ini, yang mungkin akan diberikan pada Julai nanti, dan akan melibatkan Apple CarPlay tanpa wayar, bunyi “van ais krim” yang boleh ditukar, capaian kepada aplikasi pihak ketiga, kemaskini imbasan radio serta lain-lain yang akan dimaklumkan kelak.

    Ini akan diikuti oleh kemaskini pada suku ketiga 2025, mungkin sekitar Oktober. Ini akan melibatkan Apple CarPlay dengan wayar, fungsi memori untuk penukaran amaran kelajuan dan lain-lain. Kemaskini OTA terakhir pula dijangka pada Disember nanti, melibatkan Android Auto dengan dan tanpa wayar, dan lain-lain kemaskini.

    Dilancarkan hujung tahun lalu, eMas 7 diperkenalkan dalam dua varian — Prime dan Premium — kedua-duanya dengan motor elektrik di depan, yang menjana 218 PS dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV elektrik ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 175 km/j.

    Proton eMas 7 kemaskini OTA — Apple CarPlay dan bunyi ais krim diperbetul Julai, Android Auto Disember

    Prime menggunakan bateri 49.52 kWh dan menawarkan jarak 345 km, sementara Premium menggunakan bateri 60.022 kWh yang memberikan jarak 410 km (WLTP), dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis bilah pendek oleh Geely.

    Untuk mengecas dari keadaan 30% hingga 80% memerlukan 20 minit dengan pengecas DC sehingga 100 kW bagi Premium (80 kW bagi Prime). Sementara cas penuh menggunakan wallbox 11 kW AC memerlukan 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. eMas 7 juga merupakan model pertama Proton yang dilengkapi ciri bantuan pemanduan, termasuk ciri pemanduan semi-autonomous Tahap 2.

    Proton eMas 7 Premium 2025

     
     
  • Lawatan presiden China Xi Jinping ke Malaysia: jalan tutup sekitar KLIA 2, Putrajaya pada 15 dan 17 April

    Lawatan presiden China Xi Jinping ke Malaysia: jalan tutup sekitar KLIA 2, Putrajaya pada 15 dan 17 April

    Sempena lawatan rasmi presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu ini, pihak Malaysia Airports telah mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 2 akan ditutup pada waktu-waktu tertentu pada 15 dan 17 April ini.

    Bukan itu sahaja, malah semalam pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut mengumumkan penutupan penuh dan lencongan jalan pada laluan-laluan utama di Malaysia bermula 15 hingga 17 April.

    Penutup jalan sekitar KLIA dan Putrajaya ini akan dibuat pada 6 petang hingga 7 petang pada hari Selasa, 15 April, dan dari 8.50 pagi hingga 9.50 pagi pada hari Khamis, 17 April. Jalan-jalan yang terlibat adalah seperti berikut:

  • Lebuh KLIA
  • Lebuhraya ELITE
  • Lingkaran Putrajaya
  • Lebuh Putrajaya-Dengkil
  • Persiaran Selatan
  • Lebuh Gemilang
  • Jalan P5
  • Seeloknya, elakkan untuk memandu di kawasan sekitar untuk elak terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Namun jika ada perkara yang tak dapat dielakkan, anda boleh cuba gunakan laluan alternatif yang dicadangkan untuk keluar ke Lebuhraya Elite melaui plaza tol Bukit Serenia, kemudian melalui Kota Warisan, Bulatan Masjid, Jalan KLIA 1, bulatan Charterfield, dan kemudian terus ke perlepasan, ketibaan atau kompleks parkir Terminal 1.

    Lawatan presiden China Xi Jinping ke Malaysia: jalan tutup sekitar KLIA 2, Putrajaya pada 15 dan 17 April

    Malaysia Airports memberi amaran bahawa tidak ada akses yang akan dibuka ke pelepasan, ketibaan dan parkir Terminal 2 ketika penutupan jalan ini berlangsung. Satu-satunya cara untuk anda ke Terminal 2 hanyalah menggunakan perkhidmatan tren KLIA Transit dari Terminal 1.

    Jadi penumpang pesawat yang turun di Terminal 2 pada waktu berkenaan perlu ke Terminal 1 menggunakan KLIA Transit untuk mendapatkan pengangkutan alternatif lain, atau sebaliknya untuk penumpang yang bakal berlepas menerusi Terminal 2, kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Jadi untuk penumpang yang bakal berlepas atau tiba di KLIA pada waktu berdekatan dengan penutup ini adalah dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan KLIA Express dari KL Sentral ke atau dari KLIA Terminal 1 dan 2, dan juga KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya, atau Salak Tinggi ke dan dari KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

     
     
  • Kes kemalangan lori makin tinggi – JPJ akan keluarkan SOP baru untuk kenderaan berat Mei ini

    Kes kemalangan lori makin tinggi – JPJ akan keluarkan SOP baru untuk kenderaan berat Mei ini

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli mengumumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan baharu membabitkan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan dan ke atas pada Mei ini, berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori kebelakangan ini.

    Menurutnya buat masa sekarang JPJ bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan sedang meneliti dan memperincikan SOP dan garis panduan berkaitan.

    “Antara perkara yang sedang diperincikan termasuk SOP serta tindakan yang akan diambil terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Kita nampak memang kes untuk kenderaan perdagangan ini makin meningkat dan salah satu faktornya adalah (pemandu) kenderaan-kenderaan ini membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan

    “Jadi salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah mengurangkan had laju kenderaan-kenderaan ini. Jadi ini yang kita sedang perincikan dan kita akan umumkan perincian dalam masa terdekat, mungkin dalam Mei nanti,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Aedy Fadly turut mendedahkan bahawa antara SOP dan garis panduan baharu itu termasuk tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melebihi had laju dan larangan kenderaan perdagangan untuk menggunakan lorong kanan di semua jalan utama dan lebuh raya sebelum ini.

    Tambahnya lagi penambahbaikan itu akan memperincikan SOP dan garis panduan serta tindakan-tindakan yang akan diambil di peringkat agensi penguat kuasa seperti JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

     
     
  • Land Rover Defender V8 tiba di Malaysia – 110 dan 130, kuasa sehingga 525 PS, dari RM998k tanpa cukai

    Land Rover Defender V8 tiba di Malaysia – 110 dan 130, kuasa sehingga 525 PS, dari RM998k tanpa cukai

    Salah satu model tertinggi daripada Land Rover kini sudah tiba di Malaysia, iaitu Defender V8 dengan enjin lapan silinder, untuk menjadi tambahan kepada barisan Defender L663 enjin enam silinder sebaris sedia ada dalam pasaran. Bersama ketibaannya juga hadir buat pertama kali ke Malaysia model 130 lapan tempat duduk yang lebih panjang, menyertai model 110 lima tempat duduk dan 90 sekarang.

    Harga Defender V8 ini tidak murah, bermula dengan RM998,000 untuk versi 110 dan RM1,198,000 untuk 130 – ini pula tidak termasuk insurans dan kelengkapan tambahan. Sebagai perbandingan, model asas 110 P400 dijual pada harga RM998,000 termasuk insurans, sementara model prestasi tinggi Octa bermula RM2,298,000. Dikira bersama cukai, harga Defender V8 ini dijangka boleh menghampiri harga Octa.

    Sementara Octa juga menggunakan enjin V8, ia adalah unit 4.4 liter hibrid ringkas daripada BMW, manakala Defender V8 ini pula menggunakan unit 5.0 liter supercharge Jaguar Land Rover sendiri, yang mampu menghasilkan 525 PS dan 625 Nm pada versi 110. Kuasa ini dihantar kepada empat rodanya melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF, dan membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat.

    Versi 130, walaupun badannya lebih besar, kuasa enjin dikurangkan menjadi 500 PS dan 610 Nm. Walaupun begitu, ia masih boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Semua model V8 mendapat Terrain Response system, bersama pelbagai mod pemanduan atas jalan biasa dan offroad, transfer case kadar rendah serta kemampuan meredah air maksimum 900 mm dalam.

    Khas untuk model V8 adalah limited-slip differential belakang elektronik dengan yaw control untuk memberikan kawalan “lebih lincah dan memuaskan”, serta sistem torque vectoring. Ia juga datang dengan penyerap adaptif yang ditala semula, getah suspensi lebih keras serta anti-roll bar lebih tebal.

    Bentuk petak asas Defender masih ada pada model V8 ini tetapi ia dinaik taraf lagi dengan rim 22 inci dan empat muncung ekzos. Kemudiannya di dalam, ia menggunakan gabungan kulit Windsor serta fabrik Kvadrat secara standard.

     
     
  • GWM Tank 500 dibuka untuk tempahan di Malaysia – SUV hibrid 2.0T 350 PS, harga jangkaan RM350k

    GWM Tank 500 dibuka untuk tempahan di Malaysia – SUV hibrid 2.0T 350 PS, harga jangkaan RM350k

    Selepas mengeluarkan teaser minggu lepas, GWM Malaysia kini mengumumkan, tempahan untuk Tank 500 sudah dibuka kepada orang ramai. Turut disertakan adalah jangkaan harga jualannya, yang dikatakan berada di bawah RM350,000.

    SUV tujuh tempat duduk ini pernah dipamerkan sewaktu Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) Disember lalu, dengan ukuran badannya adalah 5,070 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi. Berkemungkinan model yang tiba di Malaysia adalah versi parallel hybrid (tiada plug-in), sama seperti Thailand.

    Dalam tetapan tersebut, SUV ini datang dengan enjin empat silinder 2.0 liter turbo 244 PS/380 Nm, bersama motor elektrik 106 PS/268 Nm. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi automatik hidraulik (HAT) sembilan kelajuan, menghasilkan kuasa keseluruhan 350 PS dan tork 616 Nm.

    Antara perkakasan pemanduan yang datang pada Tank 500 ini adalah seperti pengunci differential belakang elektronik, kunci differential tengah mekanikal, 11 mod pemanduan, fungsi “tank turn” serta Body Transparent System yang menggunakan kamera untuk menghasilkan pemandangan di bawah dan di hadapan kenderaan, seterusnya dipaparkan kepada skrin.

    Senarai kelengkapan masih belum diberitahu, tetapi kita boleh menjangkakan sesuatu yang sama seperti model Thailand, yang ditawarkan dalam dua varian. Di sana, barangan standard yang diberi adalah termasuk lampu utama LED automatik, DRL LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, pemijak kaki tepi bukaan kuasa dan rim 20 inci.

    Turut disediakan adalah panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sesentuh infotainmen 14.6 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, penukar gear di stereng, sistem bunyi Infinity 12 pembesar suara, kawalan suhu tiga zon, balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori di bahagian pemandu dan penyandar larasan kuasa untuk tempat duduk baris ketiga. Perincian penuh akan diberitahu apabila ia dilancarkan nanti.

    GWM Tank 500 di KLIMS 2024

     
     
  • BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre — rai 50 tahun dengan 50 unit, kemasan M Performance; RM397k

    BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre — rai 50 tahun dengan 50 unit, kemasan M Performance; RM397k

    Sempena menyambut ulang tahun ke-50 model BMW 3 Series tahun ini, BMW Malaysia memperkenalkan model BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre khusus untuk pasaran tempatan dengan hanya 50 unit sahaja model istimewa ini ditawarkan. Ia dijual dengan harga asas RM396,800, manakala jika dengan tambahan jaminan lima-tahun dan servis percuma, harganya menjadi RM423,200. Ini RM11,000 lebih mahal berbanding versi biasa model yang sama keluaran tahun ini.

    Kelengkapan eksklusif M Performance turut disertakan sebagai ciri standard bagi model BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre ini, seperti skirting sisi M Performance. Di dalam kabin, balutan kerusi kulit Sensatec (kulit sintetik), perehat lengan M Performance di tengah dibalut dengan kulit Alcantara, dan tombol gear M Performance daripada gentian karbon mempertingkatkan lagi kesempurnaan visual serta sentuhan semasa pemanduan.

    Menambahkan lagi nilai eksklusifnya, BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre ini didatangkan dengan lencana unik “50 Jahre Edition” di kawasan pemegang cawan dan ukiran luar khas di tiang B, menandakan status pengeluaran terhad bagi model ini.

    BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre — rai 50 tahun dengan 50 unit, kemasan M Performance; RM397k

    BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre adalah berdasarkan model paling berprestasi BMW 3 Series G20 M3, dan memanfaatkan unit janann kuasa yang sama — enjin B58 3.0 liter enam-silinder sebaris yang menjana sebanyak 387 hp dan 500 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, dan mencapai laju maksimum 250 km/j.

    Kelengkapan lain yang sama seperti versi biasa model ini antaranya BMW Curved Display dengan paparan kluster instrumen 12.3-inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9-inci untuk infotainmen, dan dikuasakan oleh versi terkini BMW Operating System 8.5. Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi Harmon Kardon Surround 464-Watt dengan 16-pembesar suara.

    BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre — rai 50 tahun dengan 50 unit, kemasan M Performance; RM397k

    Khusus untuk model edisi terhad ini, ruang dalaman ditawarkan dengan kulit sintetik Sensatec dalam warna hitam dan merah Tacora. Warna luaran yang ditawarkan ialah Alpine White, Arctic Race Blue, M Brooklyn Grey dan Black Sapphire.

    Bagi bantuan pemanduan, New BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre didatangkan dengan Driving Assistant, Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go dan Parking Assistant Plus.

    Pelanggan boleh memiliki BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre dengan mudah melalui platform BMW Shop Online. Ia hanya melibatkan lima langkah mudah: pelanggan boleh melayari shop.bmw.com.my, memilih warna dan pengedar pilihan, serta membuat bayaran tempahan sebanyak RM3,400.00. Setelah pembayaran disahkan, pelanggan boleh berkunjung ke pengedar pilihan mereka untuk menyelesaikan proses pemilikan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre tersebut.

    Gambar rasmi BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre

     
     
  • MG S5 EV dipertonton di Malaysia – lawan Proton eMas 7, 170 PS/250 Nm,RWD, bermula RM115k

    MG S5 EV dipertonton di Malaysia – lawan Proton eMas 7, 170  PS/250 Nm,RWD, bermula RM115k

    Selepas menawarkan dua model EV dalam kelas segmen-B iaitu MG4 EV dan MG ZS EV, SAIC Motor Malaysia hari ini mendedahkan sebuah lagi SUV EV dengan jenama MG yang lebih besar – ini dia, MG S5 EV didedahkan kepada umum buat pertama kali di Malaysia.

    Model ini masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia, namun SAIC Motor sudahpun mengumumkan harga anggaran bagi MG S5 EV ini iaitu bermula RM115,000. Ia bakal ditawarkan dalam dua varian yang menerima konfigurasi motor elektrik yang sama, dibezakan oleh spesifikasi bateri dan jarak gerak.

    Walaupun ia dikelaskan sebagai SUV segmen-B, saiz MG S5 ini sebenarnya sudah menghampiri model-model segmen-C. Dengan pengenalan model ini, SAIC Motor akan menghentikan penawaran model MG ZS, dan MG S5 ini akan memberikan cabaran terus kepada Proton eMas 7 dan juga BYD Atto 3.

    MG S5 EV dipertonton di Malaysia – lawan Proton eMas 7, 170  PS/250 Nm,RWD, bermula RM115k

    MG S5 ini menampilkan ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, serta jarak roda sejauh 2,730 mm. Jadi berbanding BYD Atto 3, MG S5 ini adalah 21 mm lebih panjang, jarak roda 10 mm lebih jauh tetapi 26 mm kurang lebar berbanding BYD Atto 3.

    Kedua-dua varian MG S5 pasaran Malaysia ini menerima hanya sebuah motor yang diletakkan pada bahagian belakang bagi memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 170 PS dan tork maksima 250 Nm. Rekod pecutan 0-100 km/j belum lagi dinyatakan, namun MG Malaysia memberitahu bahawa ia dapat dicapai sekitar 8 saat.

    Seperti dinyatakan tadi, kedua-dua varian dibezakan dengan kapasiti bateri, di mana varian asas menerima bateri LFP 49kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km dalam kitaran WLTP, manakala varian tertinggi diberikan bateri LFP 62 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km.

    MG S5 EV dipertonton di Malaysia – lawan Proton eMas 7, 170  PS/250 Nm,RWD, bermula RM115k

    Gandar belakang yang menempatkan motor elektrik berkenaan menggunakan konfigurasi suspensi bebas jenis 5-link. Ini menurut MG, akan memberikan pemanduan yang sporty dalam masa yang sama masih mengekalkan keselesaan SUV ini. Maklumat awal yang turut diberikan, SUV ini diberikan pengecas AC 6.6 kW dan pengecas pantas DC 150kW.

    Dari segi rekaan luaran, MG S5 ini tampil lebih matang berbanding MG4. Ia menampilkan lampu nyalaan siang pada bahagian atas dengan grafik inspirasi dari bendera perlumbaan, manakala lampu utama diletakkan pada bampar. Lampu belakang pula diberikan rekaan tajam dan merentasi sepenuhnya pintu tailgate belakang.

    Untuk kabin, S5 menerima papan pemuka ringkas dan juga suis putar tukaran PRND dan roda stereng berbentuk oblong sama seperti MG4. Namun ia masih menampilkan lebih banyak suis fizikal pada papan pemuka bagi melaras sistem penghawa dingin dan juga bunyi audio yang terletak di bawah skrin utama – dimana perincian ini tidak diberikan pada model pasaran China.

    Beberapa perincian telah disahkan akan diberikan pada model pasaran Malaysia ini. Secara standard kedua-dua varian akan menerima kelengkapan termasuk skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga sistem V2L.

    Manakala varian tertinggi akan menerima perincian tambahan seperti rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan sistem audio premium dengan 6 pembesar suara.

    Bagi sistem keselamatan pula kedua-dua varian diberikan tujuh-beg udara dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh. Manakala varian tertinggi akan menerima tambahan kamera pandangan sekeliling 360 darjah. Lima warna badan ditawarkan untuk MG S5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.

     
     
  • Penutupan jalan sempena lawatan rasmi Presiden Xi Jinping dari 15-17 April — rancang perjalanan anda!

    Penutupan jalan sempena lawatan rasmi Presiden Xi Jinping dari 15-17 April — rancang perjalanan anda!

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah umumkan penutupan jalan yang meluas serta pengalihan trafik di beberapa kawasan dan laluan di Malaysia bermula esok, 15 hingga 17 April 2025. Ini bagi melancarkan lawatan rasmi negara oleh Presiden China, Xi Jinping di Malaysia.

    Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Siasatan da Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan penutupan sementara jalan-jalan itu akan melibatkan 17 jalan dan lebuh raya utama, terutamanya dalam kawasan Lembah Klang, Putrajaya dan kawasan sekitarnya.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri setiap penutupan atau pengalihan lalulintas dijangka akan berlangsung selama 30 hingga 45 minit bagi membolehkan laluan selamat kepada delegasi China tersebut.

    Aktiviti ini akan melibatkan seramai 378 anggota polis yang terdiri daripada pegawai kanan dan pangkat lainnya, yang akan ditugaskan untuk mengiringi tetamu kehormat, mengawal aliran trafik dan menguatkuasan undang-undang trafik sepanjang tempoh berkenaan.

      Jalan yang terlibat dan masa

      15 April 2025 (Selasa) — Dari 6:00 PM

    • Lebuhraya ELITE
    • Lebuhraya KLIA
    • Lingkaran Putrajaya
    • Lebuhraya Putrajaya–Dengkil
    • Persiaran Selatan
    • Lebuh Gemilang
    • Jalan P5
    • 16 April 2025 (Wednesday) — Beberapa penutupan

      Dari 9:30 AM

    • Jalan P5
    • Lebuh Gemilang
    • Persiaran Selatan
    • Lebuhraya Putrajaya–Dengkil
    • Lingkaran Putrajaya
    • Lebuhraya MEX
    • Lebuhraya KESAS
    • Lebuhraya SPE
    • Lebuhraya SUKE
    • Lebuhraya NPE
    • Terowong SMART
    • Lebuhraya KL-Seremban
    • Jalan Istana
    • Jalan Damansara
    • Jalan Sultan Abdul Halim
    • Jalan Sultan Iskandar
    • Dari 12:30 PM

    • Jalan Sultan Abdul Halim
    • Jalan Sultan Iskandar
    • Jalan Damansara
    • Jalan Istana
    • Lebuhraya KL-Seremban
    • Lebuhraya NPE
    • Lebuhraya SUKE
    • Lebuhraya SPE
    • Lebuhraya MEX
    • Lingkaran Putrajaya
    • Lebuhraya Putrajaya–Dengkil
    • Persiaran Selatan
    • Lebuh Gemilang
    • Jalan P5
    • Dari 4:10 PM

    • Jalan P5
    • Lebuh Gemilang
    • Jalan Tunku Abdul Rahman
    • Lebuh Sentosa
    • Lebuh Perdana Barat
    • Persiaran Seri Perdana
    • Dari 6:30 PM

    • Persiaran Seri Perdana
    • Lebuh Perdana Barat
    • Lebuh Sentosa
    • Jalan Tunku Abdul Rahman
    • Lebuh Gemilang
    • Jalan P5
    • 17 April 2025 (Rabu) — Dari 8:50 AM

    • Jalan P5
    • Lebuh Gemilang
    • Persiaran Selatan
    • Lebuhraya Putrajaya–Dengkil
    • Lingkaran Putrajaya
    • Lebuhraya ELITE
    • Lebuhraya KLIA

    Pihak polis menasihati semua pengguna jalan raya agar mengelak semua laluan yang terlibat ini pada masa yang dinyatakan itu. Pengguna disarankan agar merancang perjalanan mereka dan mematuhi arahan daripada pegawai polis yang bertugas di sepanjang laluan terlibat.

    “Kerjasama daripada orang awam adalah penting dan sangat diharga bagi memastikan aliran trafik lancar serta kejayaan operasi keselamatan sepanjang lawatan rasmi penting ini,” jelasnya.