Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bangkok 2025: Deepal E07 — SUV menyamar trak pikap; hingga 589 PS, 640 km jarak EV; dari RM222k

    Bangkok 2025: Deepal E07 — SUV menyamar trak pikap; hingga 589 PS, 640 km jarak EV; dari RM222k

    Dilancarkan pada November tahun lalu, Deepal E07 kini dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. SUV elektrik dengan fungsi trak pikap ini ditawarkan dalam dua varian di Thailand — Plus yang dijual dengan harga 1.699 juta baht (sekitar RM222k) dan Performance AWD dengan harga 2.099 juta baht (RM274k) — angka selepas subsidi tempatan di sana.

    Varian Plus dilengkapi motor elektrik di belakang dengan kuasa 342 PS (338 hp atau 252 kW) dan 365 Nm, dan boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 201 km/j. Varian Performance AWD pula ditambah dengan motor elektrik hadapan 256 PS (252 hp atau 188 kW) dan 280 Nm, manakala motor di belakangnya masih sama seperti Plus.

    Dengan kuasa keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 645 Nm, varian ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.96 saat dan mencapai laju maksimum 210 km/j. Ia juga mendapat suspensi udara dengan kawalan serapan automatik – double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang.

    Bangkok 2025: Deepal E07 — SUV menyamar trak pikap; hingga 589 PS, 640 km jarak EV; dari RM222k

    Kedua-dua varian E07 ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) yang sama, dengan kapasiti 89.98 kWH, dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 640 km untuk Plus dan 590 km pada Performance AWD. Pengecasan AC boleh dilakukan pada kadar maksimum 6.6 kW manakala DC pula sehingga 240 kW (30-80% dalam masa cuma 15 minit).

    Deepal E07 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,680 mm tall jarak roda 3,120 mm. Ini menjadikannya ia agak besar, tetapi panjangnya masih lagi kurang berbanding trak pikap sebenar seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max. Menurut Deepal, ia boleh membawa barang di belakang sehingga 300 kg.

    Sekali pandang, E07 ini nampak seperti sebuah SUV yang dipanjangkan dan mempunyai bumbung yang menjunam di belakang seperti coupe. Istimewanya, pintu ruang barangan belakang dibuka ke bawah seperti trak pikap, manakala penutup atasnya pula boleh dilungsur secara elektrik.

    Bangkok 2025: Deepal E07 — SUV menyamar trak pikap; hingga 589 PS, 640 km jarak EV; dari RM222k

    Rekaan yang boleh dilihat pada E07 adalah seperti lampu DRL berbentuk C di hadapan, lampu utama nipis, jalur LED di tengah, tambahan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda, rim 21 inci dan rel di atas bumbung.

    Bahagian dalam yang menyediakan lima tempat duduk pula menggunakan rekaan yang lebih ringkas dengan di tengah papan pemuka terletak skrin infotainmen 15.6 inci. Malahan, tiada panel instrumen yang dapat dilihat pada kenderaan ini, dan ia diganti dengan panel head-up display.

    Kelengkapan lain termasuklah roda stereng larasan elektrik, tempat duduk hadapan zero-gravity dengan liang udara, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, lampu suasana 256 warna, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem audio 18-pembesar suara dan pad pengecas tanpa wayar 50W.

    Untuk keselamatan, ia dilengkapi beg udara depan, tepi dan bidai, bersama pelbagai sistem pasif lain manakala sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada pemerhati keliling kenderaan, bantuan parkir automatik, Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist, Lane Centring, Forward Collission Warning dengan Automatic Emergency Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Front and Rear Cross Traffic Alert dan Lane Change Assist.

    Di BIMS 2025, Changan yang merupakan syarikat pemilik jenama Deepal menawarkan E07 dengan harga bermula 1.599 juta baht (RM209k), bagi menarik pembeli. Promosi ini turut termasuk internet percuma 10-tahun dan pakej penjagaan premium — Performance AWD menerima tambahan jaminan 10-tahun, 200,000 km. Ada juga pakej gaya hidup bernilai 60,000 baht (RM7.8k) yang terhad kepada 500 pelanggan terawal, dengan dua pilihan — drone dan kelengkapan khemah atau set basikal dan baucar.

     
     
  • BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

    BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

    BYD Shark 6 telah membuat penampilan sulungnya di Bangkok Motor Show 2025 dan kini dibuka untuk tempahan di sana. Menurut pengedar tempatannya, Rever Automotive, tempahan hanya terhad kepada 500 unit dan serahan pertama bagi trak pikap plug-in hybrid itu akan dilakukan pada 30 September 2025.

    Dengan harga anggaran 1,699,900 baht (sekitar RM221k), Shark 6 adalah sedikit lebih mahal berbanding model popular lain dalam segmen sama seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max dan Ford Ranger. Bagaimanapun, saiznya juga lebih besar dengan 5,457 mm panjang, 1,917 mm lebar, 1,925 mm tinggi dengan jarak roda 3,260 mm.

    Saiz Ranger pula paling hampir, dengan 5,370 mm panjang dan 1,918 mm lebar. Dengan ketinggian 1,884 mm ia lebih rendah daripada Shark 6, tetapi Ranger mempunyai jarak roda yang lebih panjang dengan 3,270 mm. Trak pikap yang lebih besar daripada semua model ini ialah GWM Poer Sahar, hadir dengan dimensi 5,445 mm panjang, 1,991 mm lebar, 1,924 mm tinggi dengan jarak roda 3,350 mm.

    BYD Shark 6 dibuka tempahan di Thailand — anggaran RM221k; pikap PHEV; 436 PS/650 Nm, 100 km jarak EV

    Sistem PHEV yang dikenali sebagai Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid adalah sama dengan yang digunakan oleh Bao Leopard 5. Ia menampilkan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 260 Nm tork. Fungsi utamanya adalah sebagai generator bagi bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 29.58-kWh yang menyokong pengecasan AC hingga 7 kW.

    Untuk pengecasan pantas DC pula ia boleh mencapai 55 kW, dan mengecas 30%-80% SoC dalam masa 25 minit. Fungsi vehicle-to-load (V2L) boleh menyediakan kuasa hingga 6 kW.

    Bateri berkenaan menyalurkan kuasa kepada dua motor elektrik. Motor bahagian depan menjana sebanyak 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan 310 Nm. Unit di belakang pula menyediakan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm, menjadikan output keseluruhannya 436 PS (430 hp atau 321 kW) dan 650 Nm. Ini angka yang lebih besar berbanding yang dijana oleh Ford Ranger Raptor V6, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Walapun pacuan utama digerakkan oleh motor elektrik, enjin Shark 6 boleh memacu secara langsung pada kelajuan atas 70 km/j. Pemandu boleh memilih bagaimana sistem hibrid menguruskan tenaganya serta mod pemanduan off-road yang diinginkan. Laporan media Thailand menyebut yang model ini mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 100 km NEDC. Dengan kapasiti tangki minyak 60 liter dan dengan mod hibrid, jarak maksimum yang boleh dicapai mencecah 840 km.

    Bagi kelengkapan, varian tunggal yang ditawarkan datang dengan lampu LED, rim aloi 18-inci, kluster instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 15.6-inci boleh pusing, kerusi depan larasan kuasa, pendingin dua-zon, sistem keselamatan pasif (ESC, kawalan cengkaman, ABS), tujuh beg udara dan ADAS lengkap (AEB, kawalan melayar adaptif, pengekalan lorong, peninjau titik buta, kamera 360-darjah).

    BYD Shark 6 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan ditawarkan dalam tiga warna — Great White, Tidal Black dan Deep Sea Blue. Ia hadir dengan jaminan enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, sementara untuk baterinya dilindungi selama lapan-tahun/160,000 km.

     
     
  • Bangkok 2025: Hyundai Creta N Line facelift – penampilan berubah sepenuhnya, papan pemuka baru

    Bangkok 2025: Hyundai Creta N Line facelift – penampilan berubah sepenuhnya, papan pemuka baru

    Model yang anda lihat dalam gambar ini dipanggil sebagai Hyundai Creta N Line facelift, tetapi perubahan yang dibuat agak besar, dengan keseluruhan bahagian hadapan dan belakang ditukar, sementara di dalam pula papan pemuka adalah serba baru.

    Diperkenalkan di India awal tahun 2024, model ini sebenarnya memperbaharui Creta yang sebenarnya sudah diberikan facelift, dan dilancarkan di negara kita pada April 2023. Jika dibandingkan dengan muka yang lebih menyerupai Tucson sebelum ini, muka terbaru Creta adalah lebih tajam, dengan gril, skid plate serta lampu yang lebih berpetak.

    Tarikan utamanya adalah di bahagian lampu, yang menggunakan LED berbentuk L terbalik, bersama jalur penuh menyambungkan bahagian kiri dan kanan. Motif sama digunakan pada bahagian belakang, sementara bahagian bawah bamparnya lebih berpetak dan gagah. Sebagai versi N Line, model yang dipamer ini mendapat rim 18 inci dengan tayar 225/55 serta sayap belakang yang besar.

    Bangkok 2025: Hyundai Creta N Line facelift – penampilan berubah sepenuhnya, papan pemuka baru

    Bahagian dalam juga berubah banyak. Konsol tengah “biasa” sebelum ini ditukar dengan rekaan baru yang mempunyai skrin panjang bersambung serta corong pendingin hawa rendah. Rekaan sebegini mungkin sudah banyak digunakan, tetapi apa yang membezakan Creta dengan kenderaan dari China yang lain di BIMS 2025 adalah ia mempunyai banyak butang kawalan, termasuk untuk pendingin hawa dan media.

    Versi N Line ini juga menerima kemasan lebih sporty, terdiri daripada jahitan merah kontras kepada bahagian lain yang kebanyakannya berwarna hitam, serta logo N pada tombol gear, roda stereng dan tempat duduk.

    Di Thailand, Creta facelift menggunakan enjin 1.5 liter MPI berkuasa 115 hp dan tork 144 Nm. Unit empat silinder NA dengan D-CVVT ini dipadankan bersama transmisi IVT (Intelligent Variable Transmission, nama yang digunakan oleh Hyundai untuk CVT), untuk menggerakkan roda hadapan. Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi enam beg udara dan pakej ADAS penuh Hyundai SmartSense.

    Ia juga hanya ditawarkan dalam satu spesifikasi sahaja di Thailand, dengan senarai kelengkapannya termasuk bumbung panoramik yang boleh dibuka, sistem bunyi Bose dengan lapan pembesar suara, skrin 10.25 inci, balutan kulit, lampu suasana, pendingin hawa automatik, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pengecas tanpa wayar.

    Dua warna disediakan kepada pelanggan untuk pilihan, iaitu Creamy White Pearl dan Dragon Red Pearl, dengan kedua-duanya mendapat bumbung warna hitam, dan harganya adalah 1.199 juta baht (RM156,566).

     
     
  • Bangkok 2025: Hyundai Ioniq 5 facelift versi N Line

    Bangkok 2025: Hyundai Ioniq 5 facelift versi N Line

    Diperkenalkan pertama kali kepada dunia bulan Mac tahun lalu, Hyundai Ioniq 5 facelift kini membuat penampilan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. Bukan setakat itu, model yang dipamerkan ini juga merupakan versi N Line (bukan pakej prestasi penuh N), yang menjadikan penampilannya lebih agresif dengan bampar yang lebih sporty, side skirt serta rim 20 ini.

    Anda juga boleh melihat di bahagian dalam terdapat roda stereng serta papan pemuka N Line, pedal kaki besi, lapik bumbung hitam, serta tempat duduk dengan lencana N dan jahitan kontras merah. Semua ini cukup untuk mereka yang mahukan penampilan sporty, tapi tidak memerlukan kuasa penuh seperti versi N sebenar.

    Melihat kepada laman web Hyundai Thailand, Ioniq 5 facelift N Line merupakan satu-satunya varian yang ditawarkan, dengan harga jualan 1.99 juta baht (RM259k). Jika tidak berkenan dengan varian N Line ini, mereka boleh memilih model sebelum facelift, yang ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga antara 1.7-2.4 juta baht (RM222k-313k).

    Ioniq 5 facelift N Line di Thailand ini menggunakan satu motor di belakang, dengan bateri 84 kWh yang boleh memberikan jarak gerak WLTP sehingga 530 km, mengatasi model sebelum facelift di Malaysia yang datang dengan bateri 72.6 kWh dan jarak gerak 430 km. Selain lapan beg udara dan ADAS yang ditambah baik, model facelift ini juga melibatkan peningkatan struktur serta kemasan lain, dan anda boleh membacanya di sini.

     
     
  • Rapid KL On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu mulai 27 Mac – termasuk Ampang, Putrajaya

    Rapid KL On-Demand diperluaskan ke tujuh zon baharu mulai 27 Mac – termasuk Ampang, Putrajaya

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan tujuh lagi zon operasi baharu bagi perkhidmatan van Rapid KL On-Demand bermula 27 Mac 2025.

    Syarikat berkenaan memaklumkan tujuh zon tersebut ialah Kampung Ampang Indah – Taman Sri Watan, Ampang Hilir – Kampung Datuk Keramat, LRT Ampang – Ampang Jaya yang masing-masing membabitkan empat van. Selain itu, dua van disediakan bagi zon MRT Putrajaya Sentral – Presint 14 dan 16, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), MRT Putrajaya Sentral – Cybersouth Dengkil dan Desa Pinggiran Putra – Desa Gemilang Putrajaya.

    “Zon-zon operasi yang menggunakan aplikasi Trek Rides merupakan laluan yang mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan tren serta lorong bas Jalan Ampang. Sebelum ini, hanya lorong bas Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama sahaja yang mempunyai capaian perkhidmatan ini. Kini kesemua pengguna lorong bas boleh menikmati dan meneruskan perjalanan dengan Rapid KL On-Demand,” kata Rapid Bus lagi.

    Bagi para pengguna di Putrajaya, kini lebih banyak pilihan laluan tersedia melalui aplikasi Kummute yang bakal menghubungkan pengguna ke destinasi yang ditujui dan rata-rata merupakan kawasan yang tiada capaian perkhidmatan awam disediakan, kata Rapid Bus lagi.

    Sebelum itu, Rapid KL On-Demand juga mula menambah perkhidmatan di tujuh zon di Lembah Klang yang dilancarkan pada 10 Mac lalu dengan penambahan jumlah van bagi setiap zon untuk menampung permintaan penggunaan yang semakin meningkat. Ia membabitkan zon Taman Melati – Gombak Setia, Bukit Antarabangsa – Setiawangsa dan Bangi – UNITEN, Wangsa Maju – Sri Rampai, Titiwangsa – Chow Kit, Bandar Kinrara – Jalan Puchong dan Taman OUG – Kuchai Lama.

     
     
  • Chery Omoda E5 2024 dapat rebat RM27k, kini RM119,818 – wallbox percuma, kredit cas RM1k

    Chery Omoda E5 2024 dapat rebat RM27k, kini RM119,818 – wallbox percuma, kredit cas RM1k

    Perang harga antara kenderaan elektrik (EV) telah pun bermula. Selepas seminggu BYD Atto 3 umum menerima potongan harga sebanyak RM26,000, kini giliran Chery pula menguar-uarkan perkara yang sama untuk model Omoda E5 yang menerima rebat besar sebagai sebahagian daripada promosi Raya.

    Dilancarkan setahun yang lalu, SUV ini menerima rebat sebanyak RM27,000, menjadikan harganya kini RM119,818 tanpa insurans. Ternyata ia jauh lebih murah berbanding Atto 3 Ultra baharu yang berharga RM123,800.

    Walau bagaimana pun, tawaran hebat ini hanya melibatkan unit keluaran tahun 2024, dan unit yang dikeluarkan untuk tahun ini masih dijual pada harga RM146,818. Selain penurunan harga yang besar, Omoda E5 2024 ini juga menawarkan pengecas wallbox percuma bernilai RM3,500 dan juga vehicle-to-load adapter percuma berharga RM500, serta kredit pengecasan JomCharge sebanyak RM1,000. Malah pemiliknya juga boleh mengecas kereta masing-masing di mana-mana cawangan pengedaran Chery secara percuma.

    Omoda E5 ini menampilkan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat. Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

    Chery mendakwa penggunaan kuasanya sekitar 14.5 kWh bagi setiap 100 km. EV ini menyokong pengecasan AC maksimum 9.9 kW serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang boleh mencapai tahap 30-80% dalam 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Sebelum ini, Proton melancarkan eMas 7 pada akhir tahun lalu yang ditawarkan pada harga RM119,800. Namun turut menganjurkan promosi sempena pelancarannya termasuk memberi rebat sebanyak RM4,000 menjadikan harganya cecah RM119,800, sekaligus meletakkan EV pertama keluaran Proton itu di kedudukan teratas dalam carta jualan. Di mana 6,000 pelanggan pertama layak menikmati promosi berkenaan, dan Proton telah menjual sekitar 1,000 unit dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, masih ada peluang lagi untuk menyertai promosi tersebut.

     
     
  • Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

    Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

    Ketika didedahkan di Thailand pada Mac tahun lalu semasa berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024, model elektrik penuh (EV) Honda e:N1 diumumkan tidak akan dijual pada pasaran negara itu, sebaliknya hanya ditawarkan dalam pakej langganan. Ia boleh dibuat menerusi 12 penyedia kereta sewa di sana, dengan kos bayaran bermula 29,800 baht (RM3,800) sebulan.

    Namun ketika berlangsungnya BIMS 2025 yang bermula minggu ini, Honda Thailand mengumumkan bahawa e:N1 kini sudahpun boleh dibeli. Ia dijual pada harga 1.199 juta baht (RM157,000), di mana bateri dan kelengkapan sistem EV lain dilindungi waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km.

    Sepsifikasi model yang dijual tersebut masih lagi sama seperti yang ditawarkan dalam pakej langganan sebelum ini. Namun apa yang berbeza versi yang dijual berkenaan diimport sepenuhnya (CBU) dari China yang dipasang oleh DongFeng Honda Automobile. Manakala versi yang disewakan sebelum ini dipasang secara tempatan di kilang Honda di Rojana Industrial Park, Prachinburi yang diumumkan sebagai model BEV pertama dari Jepun yang dipasang di Thailand pada Disember 2023.

    Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

    Peralihan kaedah ini mungkin disebabkan kilang Honda di Rojana tersebut tidak mampu untuk menampung permintaan untuk membekalkan e:N1 di keseluruhan rantau ini, dan kosnya lebih berkesan sekiranya ia diambil terus dari China. Honda e:N1 ini turut telah mendarat di Indonesia, juga ditawarkan dalam pakej langganan dengan bayaran 22 juta rupiah (RM5,890) sebulan untuk tempoh masa lima tahun. Model ini turut disahkan akan dilancarkan di Malaysia tahun ini.

    Honda e:N1 ini merupakan versi EV untuk SUV segmen-B Honda HR-V. Namun menurut Honda ia diasaskan dari platformnya tersendiri dikenali sebagai e:N Architecture F bagi menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa terdiri dari motor elektrik, unit pemacu kuasa dan transmisi pada gandar hadapan, memacu roda hadapan.

    Motor berkenaan menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, serta mencatatkan kelajuan maksima 160 km/j. Ia menerima kuasa elektrik dari bateri litium-ion 68.8 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 412 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

    Ia dibekalkan dengan sistem pengecas AC 11 kW yang memerlukan masa enam jam untuk dicas penuh. Pengecas pantas DC CCS2 turut disediakan yang boleh menyokong sehingga 78 kW, membolehkan cas dari 10% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 45 minit.

    Pada bahagian luaran, e:N1 ini menampilkan rupa yang sama seperti model petrol penuh dan hibrid Honda HR-V, dibezakan hanya pada bahagian gril hadapan tertutup yang menyorokkan palam pengecas di sebaliknya.

    Antara perincian luaran yang ditawarkan pada e:N1 pasaran Thailand ini termasuk rim aloi 18-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu isyarat membelok hadapan LED jenis sequential, lampu belakang LED dengan lensa yang digelapkan, spoiler belakang dan antena sirip yu.

    Honda e:N akhirnya mula dijual di Thailand – RM157k untuk HR-V EV, 204 PS/310 Nm, jarak gerak 412 km

    Manakala pada sebelah dalam, ia juga menampilkan asas papan pemuka yang sama dengan HR-V, tetapi dibezakan dengan penampilan skrin menegak bersaiz 15.1-inci pada bahagian tengah (dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar), dan paparan instrumen diganti dengan skrin 10.25-inci tanpa perumah.

    Konsol tengah juga agak berbeza kerana tombol gear konvensional digantikan dengan suis PRND jenis tekan, serta datang dengan tempat duduk balutan kulit bersama kemasan putih serta jahitan benang biru.

    Ketika membuat kemunculan sulung tahun lalu, Honda e:N1 ini hanya ditawarkan dalam warna Premium Sunlight White Pearl. Namun untuk versi yang mula dijual ini, ia turut ditambah dengan satu lagi warna badan iaitu Crystal Black Pearl.

    Dengan perkembangan terbaharu ini, sekurang-kurangnya ada petunjuk bahawa e:N1 turut akan dijual secara biasa dalam pasaran Malaysia selepas dilancarkan di sini nanti. Malah dengan harga yang diumumkan tersebut turut membolehkan kita membuat andaian berapa harga jualannya kelak, namun masih bergantung dari mana sumber yang akan dibekalkan kepada Honda Malaysia untuk dijual dalam pasaran tempatan nanti.

    GALERI: Honda e:N1 dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2024

     
     
  • Ada anak muda bukan pempengaruh, usahawan miliki kereta mewah hasil terlibat dengan jenayah – KPN

    Ada anak muda bukan pempengaruh, usahawan miliki kereta mewah hasil terlibat dengan jenayah – KPN

    Fenomena anak muda yang bukan dari golongan pempengaruh (influencer) atau usahawan tetapi dikesan menjalani kehidupan mewah tanpa sumber pendapatan yang jelas bukanlah perkara yang asing. Di antara mereka ini ramai yang gemar mempamerkan kehidupan mewah masing-masing menerusi laman media sosial termasuk menayang kereta-kereta mahal seperti Ford Mustang dan BMW.

    Perkara ini juga acapkali menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan netizen berhubung sumber pendapatan golongan terbabit. Malah perkara ini turut mendapat perhatian pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan barang kontraban melalui sempadan Kelantan-Thailand, laporan
    Bernama

    Razarudin berkata, Kelantan memang dikenal pasti antara laluan utama sindiket penyeludupan, terutama membabitkan dadah jenis syabu, heroin dan pil kuda yang dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan ke seluruh negara. Selain dadah, beliau berkata, sindiket turut menyeludup senjata api serta pelbagai barang kontraban, termasuk haiwan ternakan seperti lembu.

    Ada anak muda bukan pempengaruh, usahawan miliki kereta mewah hasil terlibat dengan jenayah – KPN

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Cawangan Khas (SB) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) kini memperketatkan kawalan sempadan serta menjalankan risikan berterusan bagi membanteras sindiket yang mempergunakan anak muda untuk aktiviti haram,” katanya.

    Beliau turut berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu terbabit, termasuk mereka yang berselindung di sebalik perniagaan sah.

    “Kita tidak mahu Kelantan terus menjadi transit utama bagi sindiket dadah dan senjata api. “Pihak berkuasa akan terus memantau serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang aktiviti jenayah itu,” katanya sambil memaklumkan beberapa tangkapan besar telah dilakukan sebelum ini, namun polis percaya masih ada rangkaian aktif yang terus beroperasi secara senyap dan mengambil kesempatan atas kelemahan di sempadan.

     
     
  • Bangkok 2025: Mazda 6e dipamer – sedan EV guna asas Deepal L07, akan dilancar di Thailand tahun ini

    Bangkok 2025: Mazda 6e dipamer – sedan EV guna asas Deepal L07, akan dilancar di Thailand tahun ini

    Mazda sebelum ini sudahpun mengumumkan bahawa sedan elektrik penuh yang dibangunkan di China iaitu Mazda 6e (dikenali sebagau Mazda EZ-6 di pasaran itu) sah akan dilancarkan di Thailand tahun ini. Dan sebelum ia dilancarkan secara rasmi, EV berkenaan dipamerkan terlebih dahulu di Bangkok International Motor Show 2025 yang kini sedang berlangsung di sana.

    Menurut Mazda, model ini merupakan model BEV elektrik 100% yang dibangunkan di bawah ‘pendekatan teknologi pelbagai solusi’ syarikat tersebut. Apa yang ingin diberitahu adalah, selain dari model MX-30 EV yang dibangunkan sendiri oleh Mazda, sedan 6e ini adalah model EV pertama yang dibangunkan bersama pengeluar lain.

    Ia dihasilkan bersama rakan Mazda sekian lama di China iaitu Changan, dan model ini menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama dengan Deepal L07 – Changan merupakan pemilik jenama Deepal.

    Bangkok 2025: Mazda 6e dipamer – sedan EV guna asas Deepal L07, akan dilancar di Thailand tahun ini

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Mazda Thailand, sedan EV ini dibina dengan menampilkan nisbah berat 50:50 antara hadapan dan belakang. Walaupun diketahui ia diasaskan dari Deepal, Mazda menyatakan bahawa “kereta ini juga memberikan prestasi pemanduan berkuasa yang mana Mazda dikenali untuk itu, dibangunkan oleh jurutera-jurutera Mazda yang teliti terhadap setiap perincian.”

    Belum ada spesifikasi penuh untuk model pasaran Thailand bagi Mazda 6e ini, malah unit yang dipamerkan ini masih dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD). Namun Mazda Thailand ada menyatakan bahawa Mazda 6e ini akan dilengkapi dengan bateri 80 kWj bagi memberikan jarak gerak 552 km, dan ia boleh dicas semula dengan pengecas pantas yang mampu memenuhkan kuasa dari 30-80% dalam masa 15 minit.

    Thailand bukan satu-satunya pasaran yang akan menerima Mazda 6e ini kerana sebelum ini Mazda turut mengesahkan bahawa ia turut akan di bawa ke pasaran Eropah dan juga United Kingdom.

    Di benua berkenaan, Mazda 6e bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range. Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Bangkok 2025: Mazda 6e dipamer – sedan EV guna asas Deepal L07, akan dilancar di Thailand tahun ini

    Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.

    Tak tahu sama ada ini kebetulan atau tidak, pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu, dan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 pada pertengahan 2025.

    Jadi dengan adanya Deepal S05 disini kelak, dan juga Mazda 6e dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang sudah berada di negara jiran, adakah Bermaz akan turut membawa 6e ke Malaysia kerana kedua-dua model tersebut berkongsi banyak komponen yang sama dan memudahkan urusan penyelenggaraan?

     
     
  • Bangkok 2025: BYD Atto 2 – SUV EV bawah Atto 3 dengan jarak gerak 312 km, bakal tiba di Malaysia?

    Bangkok 2025: BYD Atto 2 – SUV EV bawah Atto 3 dengan jarak gerak 312 km, bakal tiba di Malaysia?

    Selepas spyshot tersebar beberapa hari lalu, BYD Atto 2 akhirnya membuat penampilan rasmi di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. Sementara unit yang dilihat dalam spyshot adalah versi pemanduan sebelah kanan, model yang dipamer ini pula mempunyai stereng di sebelah kiri.

    Di China, Atto 2 dikenali sebagai Yuan Up, dan didedahkan kali pertama pada bulan Februari tahun 2024, dan diletakkan antara Dolphin dan Atto 3 (dipanggil sebagai Yuan Plus). Berkenaan dimensi, Atto 2 mencatat ukuran panjang 4,310 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,675 mm dan jarak roda 2,620 mm.

    Sebagai perbandingan, Dolphin pula mempunyai panjang 4,290 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,700 mm. Sementara itu, Atto 3, yang juga baru dikemas kini di Malaysia, mencatat ukuran panjang 4,455 mm long, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm dan jarak roda 2,720 mm.

    Bangkok 2025: BYD Atto 2 – SUV EV bawah Atto 3 dengan jarak gerak 312 km, bakal tiba di Malaysia?

    Di China, Atto 2/Yuan Up ditawarkan dalam lima varian, dengan harga antara 96,800 ke 119,800 yuan (sekitar RM59k ke RM73k). Dua penggerak disediakan, dengan yang pertama menggunakan motor elektrik 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade, dengan kapasiti tenaga 32 kWh dan jarak gerak 301 km (CLTC). Turut disediakan adalah bateri 45.12 kWh, yang dapat menaikkan jarak geraknya kepada 401 km.

    Bateri yang lebih besar itu juga boleh dipadankan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, memberikan kuasa 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan tork 290 Nm, dengan jarak gerak CLTC masih sama (401 km). Bagi pasaran luar China, inilah pakej yang disediakan, dan ia mempunyai jarak gerak WLTP 312 km. Pengecasan pantas DC boleh dilakukan sehingga 65 kW untuk bateri yang besar, dan 45 kW untuk bateri yang kecil, dengan tahap 10-80% dapat dicapai dalam masa 37 minit.

    Berkenaan kelengkapan, model yang dipamerkan ini datang dengan rim 16 inci, panel instrumen digital 8.8 inci, skrin sesentuh 12.8 inci untuk infotainmen dan tempat duduk larasan kuasa. Di negara asalnya, Yuan Up/Atto2 tidak didatangkan secara standard dengan sistem bantuan pemandu aktif, tetapi ia boleh ditambah kemudian.

    Kemunculan Atto 2 di Thailand ini memberi bayangan bahawa kenderaan elektrik tersebut juga akan tiba di Malaysia untuk mengisi kekosongan antara Dolphin (sekarang berharga antara RM100,700 ke RM125,600) dan Atto 3 Ultra (RM123,800).

     
     
  • Bangkok 2025: Honda HR-V facelift – bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, kit Mugen dan Modulo ditunjuk

    Bangkok 2025: Honda HR-V facelift – bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, kit Mugen dan Modulo ditunjuk

    Hujung bulan lalu Honda sudahpun membayangkan bakal melancarkan versi facelfit untuk HR-V sedia ada. Dan ketika kunjungan kami ke Bangkok International Motor Show 2025 hari ini, model berkenaan ada dipamerkan di reruai Honda Thailand. Jadi kami sediakan satu galeri lengkap bagi tatapan anda untuk SUV yang bakal tiba ke pasaran kita tidak lama lagi ini.

    HR-V facelift ini sudahpun dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Di sana HR-V datang dalam tiga pakej penggayaan iaitu E, EL dan yang paling sporty RS, namun kesemuanya di jana oleh unit rangkaian kuasa hibrid, tanpa pilihan enjin 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo.

    Sekali imbas, rupa bahagian luaran versi facelift ini masih lagi nampak sama seperti sebelumnya. Namun jika anda perhati dengan lebih teliti, model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar.

    Bangkok 2025: Honda HR-V facelift – bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, kit Mugen dan Modulo ditunjuk

    Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril. Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang, bersama lensa yang digelapkan.

    Bagi varian RS, ia menerima lampu hadapan projektor LED matriks dengan lampu membelok aktif, gril hadapan dengan elemen seperti Honda WR-V pasaran Jepun (dikenali sebagai Elevate di India), kemudian diberikan spoiler bawah bampar hadapan dan kemasan bawah bampar belakang dalam kemasan hitam berkilat.

    Juga bergantung pada gred varian, HR-V masih ditawarkan dengan set rim aloi 17- hingga 18-inci, di mana pilihan rim lebih besar berkenaan kini diberikan kemasan dua-tona berbanding warna kelabu penuh sebelum ini. Manakala bagi pilihan warna badan, satu pilihan warna ditambah iaitu Sand Khaki Pearl dengan bumbung berwarna hitam, namun ini hanya untuk varian EL dan RS.

    Bangkok 2025: Honda HR-V facelift – bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, kit Mugen dan Modulo ditunjuk

    Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu.

    Model pasaran Thailand ini dilihat datang dengan skrin infotainmen lapan-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar, manakala liang penghawa dingin, enam pembesar suara dan dua cermin solek dengan lampu kini adalah perincian standard.

    Untuk varian EL dan ke atas, ia kini menerima perincian tambahan seperti port USB-C di hadapan dan belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala serta pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Manakala sistem bantuan pemanduan Honda Sensing masih ditawarkan secara standard untuk semua, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan Low Speed Follow, bantuan kekal tengah lorong dan pemberitahu mula gerak kenderaan hadapan.

    Bangkok 2025: Honda HR-V facelift – bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, kit Mugen dan Modulo ditunjuk

    Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa HR-V ini di mana sistem hibrid e:HEV ini masih merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.

    Penggunaan bahan api untuk unit rangkaian kuasa ini didakwa pada tahap 25.6 km setiap liter, membolehkan satu tangki penuh petrol membolehkannya bergerak sejauh 800 km.

    Harga bagi model facelift ini di Thailand adalah masih sama seperti sebelumnya walaupun ia diberikan beberapa tingkat taraf. Varian asas e:HEV E dijual pada harga bermula 949,000 baht (RM124,000), diikuti 1,079,000 baht (RM140,900) untuk e:HEV EL dan 1,179,000 baht (RM154,000) untuk e:EV RS.

    Ketika berlangsungnya BIMS kali ini, Honda turut mempamerkan dua buah HR-V facelfit yang masing-masing mengenakan kit aksesori Modulo dan juga Mugen yang ditawarkan sebagai aksesori asli Honda Thailand. Bagi kit Modulo, ia diberikan spoiler hadapan Shark Grey, skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang, gril hadapan dengan elemen tengah berbentuk-U, pelekat ‘HR-V’ tiang-C berwarna hitam, lencana-lencana krom gelap, perapi tip ekzos dan juga lampu pada pintu tailgate yang memancarkan cahaya ke bawah.

    Pada bahagian dalaman kit Modulo ini datang dengan kemasan bendul pintu aloi, set pedal aloi, lampu ruang kaki dan juga pelindung matahari untuk cermin tingkap pintu belakang. Honda Thailand menawarkan Urban Package dengan hanya kit badan dengan harga 21,000 baht (RM2,700) dan Utility Package dengan penutup tonneau serta pelindung matahari dengan harga 4,800 baht (RM630).

    Manakala untuk pakej Mugen pula, kit badan yang ditawarkan adalah lebih agresif dalam kemasan hitam berkilat, merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang, spoiler bumbung dan spoiler tengah pintu tailgate. Ia juga datang dengan aksesori luaran Mugen lain seperti jalur merah di bawah gril hadapan, penutup cermin sisi gentian karbon, visor pintu, dan juga pelbagai pilihan rim aloi 18-inci.

    Aksesori Mugen untuk bahagian dalam kabin juga ditawarkan seperti karpet dalam warna hitam atau merah, serta perapi bendul pintu gentian karbon. Malah peralatan prestasi Mugen juga ditawarkan seperti pad brek dan juga peredam bunyi dengan dua tip ekzos. Aksesori Mugen ini tidak ditawarkan dalam pakej, dan pembeli boleh memilih komponen yang mereka mahukan, namun ia adalah lebih mahal dari Modulo.

    GALERI: Honda HR-V 1.5 e:HEV RS facelift 2025 pasaran Thailand

    GALERI: Honda HR-V facelift 2025 pasaran Thailand dengan aksesori Mugen

    GALERI: Honda HR-V facelift 2025 pasaran Thailand dengan aksesori Modulo

     
     
  • Bangkok 2025: Zeekr 7X diperkenal — saingi Model Y, hingga 646 PS, jarak 615 km WLTP; sampai M’sia Q3?

    Bangkok 2025: Zeekr 7X diperkenal — saingi Model Y, hingga 646 PS, jarak 615 km WLTP; sampai M’sia Q3?

    Zeekr 7X telah membuat kemunculan awal di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 sebelum pelancarannya yang dijangka tahun ini. SUV elektrik yang mula dijual di China pada September tahun lalu itu juga turut akan memasuki pasaran Malaysia pada suku ketiga 2025.

    Dengan ukuran dimensi 4,825 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,666 mm tinggi dan jarak roda 2,925 mm, 7X akan bersaing dengan model lain seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7. Model Zeekr ini mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding Tesla Model Y, tetapi saiznya lebih kecil berbanding Sealion 7.

    Di China, 7X ditawarkan dengan pilihan bateri lithium iron phosphate (LFP) ‘Golden Brick’ 75 kWh atau nickel manganese cobalt (NMC) ‘Qilin’ 100 kWh. Kedua-duanya digandingkan dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm.

    Bangkok 2025: Zeekr 7X diperkenal — saingi Model Y, hingga 646 PS, jarak 615 km WLTP; sampai M’sia Q3?

    Bateri LFP memberikan jarak sejauh 605 km mengikut kitaran CLTC China (480 WLTP), sementara bateri NMC memberikan jarak 780 km (615 km WLTP). 7X juga boleh dimiliki dalam versi pacuan semua roda dengan bateri NMC, yang menerima tambahan motor elektrik di depan dan menjadikan output keseluruhan sistem 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm dengan jarak 705 km (543 WLTP). Suspensi udara juga adalah standard bagi varian AWD dan ditawarkan sebagai pilihan untuk varian lain.

    Bagi pengecasan, 7X boleh mecapai tahap 10%-80% SoC dalam masa 10.5 minit melalui pengecasa pantas DC. Ini bagi model bateri LFP, sementara bagi model bateri NMC ia memerlukan 15 minit. 7X juga boleh menjadi pembekal tenaga yang boleh memberikan sehingga 60 kW DC atau 3.3 kW AC. Ini kerena model berkenaan menggunakan platform PMA2+ yang menampilkan senibina elektrikal 800V.

    Bangkok 2025: Zeekr 7X diperkenal — saingi Model Y, hingga 646 PS, jarak 615 km WLTP; sampai M’sia Q3?

    Antara kelengkapan yang ada termasuklah kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sentuh 16-inci Mini-LED untuk infotainmen, dua pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyia dengan 21-pembesar suara dengan pembesar suara perehat kepala, balutan kulit Nappa dan kerusi larasan kuasa depan dan belakang.

    Zeekr 7X dijual dengan harga dari 229,900 yuan (about RM140k) hingga 269,900 yuan (RM165k) di China — yang lebih mahal berbanding Sealion 7. Bagaimanapun, Zeekr memang jenama yang dihadirkan untuk mengisi segmen pasaran premium dan lebih murah berbanding Model Y di sana.

     
     
  • Bangkok 2025: Geely Star Wish, atau Xingyuan dipamer, petunjuk awal EV kompak Proton eMas 5?

    Bangkok 2025: Geely Star Wish, atau Xingyuan dipamer, petunjuk awal EV kompak Proton eMas 5?

    Ini ada sesuatu yang tidak dijangka daripada Geely di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025. Jenama itu sudah berada di Thailand sejak November lalu, dan mereka memulakan langkah dengan model EX5 atau dipanggil Proton eMas 7 di Malaysia dan Geely Galaxy E5 di China. SUV itu memang dibawa ke tapak acara BIMS 2025.

    Namun, satu lagi model yang muncul adalah Star Wish, iaitu EV kompak yang dikatakan menjadi calon utama untuk Proton eMas 5. Di China, ia menggunakan nama Geome (sebelum itu Geometry) Xingyuan dan dilancarkan pada tahun bulan Oktober tahun lepas. Ini juga menjadi satu pra tonton awal kepada EV paling mampu milik daripada Proton.

    Anda boleh anggap ia sebagai pesaing kepada BYD Dolphin. Walaubagaimanapun, bentuknya adalah lebih lembut, berlekuk dan sedikit seperti model smart. Xingyuan ini juga adalah lebih kecil, dengan catatan panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm dan jarak roda 2,650 mm.

    Di China, kereta ini datang dengan dua pilihan enjin, dan kedua-duanya menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL yang mengambil masa 21 minit untuk dicas 30-80%, bersama motor elektrik di belakang. Varian permulaan di China menggunakan unit 30.12 kWh, mampu memberikan jarak gerak 310 km (CLTC), digabungkan bersama motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm. Varian paling atas pula menggunakan bateri 40.16 kWh, dengan jarak gerak 410 km dan motor 116 PS (85 kW) 150 Nm.

    Keseluruhannya terdapat lima varian di China, dan antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk rim 16 inci, lampu LED depan dan belakang, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana, enam pembesar suara, penjana kuasa 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W dan pendingin hawa dengan corong udara di belakang. Turut diberi adalah pakej penuh ADAS.

    Januari lalu, CEO Proton, Li Chunrong mengumumkan terdapat “sekurang-kurangnya satu model baru” yang menggunakan Geely Global Modular Architecture (GMA) akan diperkenal tahun ini, dengan secara spesifiknya menyebut tentang eMas 5 atau eMas 3, yang mana mengesahkan Proton mempunyai perancangan untuk dua EV yang lebih kecil berbanding eMas 7.

     
     
  • Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

    Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

    Di Bangkok International Motor Show (BIMS) yang sedang berlangsung ketika ini, kumpulan Geely membawakan tiga jenama yang bernaung di bawahnya untuk memperagakan model masing-masing. Selain Geely Auto sebagai yang utama, syarikat itu juga menampilkan jenama Zeekr yang lebih mewah, dan juga Riddara yang mempamerkan model RD6 yang telah dilancarkan untuk pasaran Thailand Oktober tahun lalu.

    Trak pikap elektrik ini adalah yang pertama seumpamanya yang dijual di Thailand, mendahului pesaing lain seperti JAC T9 EV, Maxus T90 EV dan juga lebih awal berbandung Toyota Hilux BEV dan Isuzu D-Max EV.

    RD6 menggunakan asas dari Multiplex Attached Platform (MAP), merupakan salah satu varian platform yang dihasilkan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang menampilkan konfigurasi suspensi McPherson strut di depan dan multi-link di belakang.

    Apa yang menarik, trak pikap ini menggunakan ‘kepala’ SUV Geely Haoyue/Okavango/Proton X90, berkongsi komponen seperti kedua-dua fender hadapan, penutup bonet dan juga lampu hadapan yang sama. Model untuk pasaran Thailand ini menampilkan gril dengan skrip ‘Riddara’ bersaiz besar, pilihan bumbung hitam, dan juga rim aloi 18-inci dua-tona dengan rekaan elemen berbentuk segitiga.

    Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

    Ia juga telah menerima papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu baru yang berbeza dengan model awalan Radar RD6 yang dijual di China, menampilkan komponen-komponen yang turut dikongsi dengan SUV Geely Haoyue. Ia juga diberikan paparan instrument digital 10.25-inci dan skrin infotainmen berdiri sendiri. Manakala pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi diberikan untuk semua model kecuali varian asas.

    Unit rangkaian kuasa RD6 ini juga masih dikongsi bersama model-model dari platform SEA yang lain seperti smart #1, Volvo EX30 dan Zeekr X. Oleh itu model pacuan belakang menerima motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 385 Nm, sementara model pacuan semua roda menerima satu lagi motor di bahagian gandar depan bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork 590 Nm.

    Ini membolehkan model pacuan belakang memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, manakala model AWD dapat membuat pecutan sama hanya dalam masa 4.5 saat. Bagi model-model dengan bateri 63 kWj dan 73 kWj, ia menerima bateri dari jenis lithium iron phosphate (LFP), manakala bateri 86 kWj pula adalah dari jenis nickel manganese cobalt (NMC).

    Ini membolehkan varian paling asas 63 kWj pacuan roda belakang boleh bergerak sejauh 373 km untuk sekali cas, manakala versi 2WD dengan bateri 73 kWj pula mampu mencapai perjalanan 461 km. Seterusnya model AWD dengan bateri 74 kWj pula boleh bergerak sejauh 424 km, manakala varian AWD 86 kWj boleh bergerak sejauh 455 km. Semua bacaan ini dalah dalam kitaran NEDC.

    Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

    Untuk pengecasan, model-model yang menerima bateri LFP 63 kWj boleh menampung pengecas DC pantas sehingga 90 kW, membolehkan tahap 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 32 minit. Manakala model yang menerima bateri LFP 73 kWj pula boleh menerima sehingg 110 kWj, dan cas yang sama boleh dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Bagi model dengan bateri NMC 86 kWj, ia hanya boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang mana cas 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa 32 minit. Kesemua varian turut boleh menerima pengecas AC 6.6 kW, di mana bateri 63 kWj boleh dipenuhkan dari 20% hingga 100% dalam masa 7.8 jam, 73 kWj dalam masa 9.3 jam dan 86 kWj dalam masa 11 jam.

    Semua varian RD6 ini menampilkan ruang barangan belakang dengan kapasiti 1,200 liter serta boleh membawa beban 1,030 kg — setanding dengan trak-trak pikap 1 tan dengan enjin pembakaran dalaman yang lain. Model pacuan roda belakang boleh meredah air pada kedalaman 500 mm dengan kapasiti menunda 2,500 kg.

    Model AWD pula boleh meredah lebih dalam iaitu 815 mm serta kapasiti menunda 3,000 kg dan ditambah dengan mod pemanduan Snow, Mud, Cross-Country dan Water Wading. Model paling berkuasa ini turut menerima ruang but hadapan dengan kapasiti 70 liter.

    Antara kelengkapan standard yang diberikan termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 17-inci, sistem pendingin hawa dua-zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh 12.3-inci, fungsi Apple CarPlay dan Carbitlink, empat pembesar suara dan kamera undur.

    Riddara RD6 ditawarkan dengan harga bermula 899,000 baht (RM117,000) untuk model asas dengan motor tunggal pacuan roda belakang bersama bateri paling kecil 63 kWj, diikuti model RWD dengan bateri 73 kWj berharga 999,000 baht (RM130,000).

    Model dua motor pacuan semua roda pula dijual pada harga bermula 1,149,000 baht (RM149,600) untuk versi dengan bateri 73 kWj, dan varian tertinggi AWD dengan bateri 86 kWj pula dijual pada harga 1,299,000 baht (RM169,000).

     
     
  • Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac-3 April; 6,957 polis pantau jalan utama, lebuhraya – JSPT

    Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac-3 April; 6,957 polis pantau jalan utama, lebuhraya – JSPT

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri mengumumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April ini.

    Menurutnya, seramai 6,957 pegawai dan anggota trafik ditugaskan di sepanjang operasi berkenaan termasuk memantau 46 lokasi blackspot serta 25 lokasi hotspot iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama di seluruh negara.

    “Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memberi bantuan segera kepada pengguna jalan raya yang menghadapi sebarang kecemasan atau kerosakan kenderaan.

    Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac-3 April; 6,957 polis pantau jalan utama, lebuhraya – JSPT

    “Pihak JSPT akan mengadakan advokasi kempen kesedaran keselamatan jalan raya melalui program-program bersama masyarakat dan perkongsian maklumat menerusi media massa sepanjang pelaksanaan Op Selamat 24 tahun ini dengan mengekalkan tema yang sama iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’”, katanya pada sidang media selepas pelancaran OP Selamat 24 semalam di hadapan kompleks membeli-belah Sogo.

    Mohd Yusri menambah, pendekatan kempen ini masih berasaskan ‘Total Enforcement and Delivery Services’ (Penguatkuasaan Menyeluruh dan Perkhidmatan Penghantaran) seperti tahun-tahun sebelumnya, yang bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab melalui beberapa langkah, menurut laporan Berita Harian.

    “Melalui Op Selamat, kita juga akan menjalankan pemantauan udara bersama Unit Operasi Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau kesesakan lalu lintas di lebuhraya dan jalan raya yang dijangka mengalami peningkatan kenderaan,” katanya.

    Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac-3 April; 6,957 polis pantau jalan utama, lebuhraya – JSPT

    “Op Selamat 24 turut menampilkan kerjasama antara agensi melalui kolaborasi dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT), yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St.John Ambulance, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Telekom Malaysia, PLUS Malaysia, dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA),” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas serta bersabar dan berhemah ketika memandu bagi memastikan keselamatan jalan raya.

    “Pemandu juga perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan terbaik dengan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas kenderaan. Selain itu, mereka dinasihatkan mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan,” katanya yang turut menekankan bahawa sikap pemandu adalah salah satu elemen paling penting, kerana semua pengguna jalan raya perlu bertanggungjawab antara satu sama lain.

     
     
  • Bangkok 2025: Chery Tiggo Cross – pesaing Ativa/WR-V bakal ke M’sia tidak lama lagi; Thai dapat 1.5L hybrid

    Bangkok 2025: Chery Tiggo Cross – pesaing Ativa/WR-V bakal ke M’sia tidak lama lagi; Thai dapat 1.5L hybrid

    Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025 telah pun membuka tirainya yang berlangsung di Impact Muang Thong Thani. Antara model kenderaan yang mencuri tumpuan pasukan kami yang berada di sana ialah Chery Tiggo Cross, yang baru-baru ini dikesan sedang diuji di Malaysia, memberikan bayangan bahawa Chery bakal memperkenalkan model ini di pasaran kita tidak lama lagi.

    Tiggo Cross, atau turut dikenali sebagai Tiggo 4 Pro di sesetengah pasaran, SUV bersaiz kecil ini diposisikan di bawah Omoda 5 dalam segmen-B, sekaligus menjadi pesaing buat Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky di Indonesia) dan Honda WR-V.

    Di Indonesia, yang dilancarkan pada bulan lalu, Tiggo Cross dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally aspirated empat-silinder dengan 116 PS dan tork 138 Nm, dipadankan bersama automatik CVT. Selain itu, Tiggo junior ini juga boleh didapati dengan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dan CVT dengan 147 PS dan 210 Nm, sedikit rendah berbanding Omoda 5 dengan 1.5T dan 156 hp/230 Nm.

    Bangkok 2025: Chery Tiggo Cross – pesaing Ativa/WR-V bakal ke M’sia tidak lama lagi; Thai dapat 1.5L hybrid

    Di Thailand, Chery mendakwa ia adalah jenama eco atau mesra alam sekitar, dengan penawaran versi hibrid, Tiggo Cross pra-produksi ini telah dipertontonkan di BIMS (disasarkan akan dilancarkan hujung tahun ini). Versi HEV ini menggabungkan enjin 1.5L NA dengan 102 hp/125 Nm bersama motor elektrik berkuasa 204 hp (150 kW) 310 Nm, sekaligus menghasilkan kuasa mencecah 190 hp/370 Nm dan pecutan dari 0-100 km/j dalam 10.8 saat. Baterinya pula berkapasiti 1.8 kWh yang ditempatkan di ruangan but.

    Tiggo 4 facelift terbaharu ini menampilkan wajah yang lebih berani termasuk gril yang lebih besar dan disambungkan secara visual dengan lampu nyalaan siang LED menegak di tepi bampar. Lampu hadapan dari unit LED dan klusternya juga nipis. Secara keseluruhan, wajah baharu itu memberikan gambaran yang lebih luas, dan ia juga lebih moden.

    Manakala sisi profil dan bahagian belakang Tiggo 4 juga diselaraskan dengan adik-beradik Tiggo yang lebih besar. Bahagian belakang juga melunjur ke belakang, ditambah dengan rona hitam yang memberikan kesan umpama ‘bumbung terapung’ seperti SUV Tiggo 7. Ia juga dipadankan dengan roda aloi lima jejari dua tona yang kelihatan agak kecil tetapi sebenarnya bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 215/60.

    Bahkan perubahan bahagian belakang juga banyak memberikan imej baharu bagi Cross/Tiggo 4, dengan rupa yang lebih kontemporari termasuk menampilkan pencahayaan LED dengan logo ejaan penuh Chery. Pemantul menegak yang terletak pada hujung bampar juga mencerminkan lampu nyalaan siang LED hadapan.

    Untuk bahagian kabinnya, Tiggo 4 diserlahkan dengan sentuhan moden sesuai dengan saiz dan harganya. Barisan kekunci kawalan dan panel AC hitam pekat turut dikekalkan, tetapi corongnya kini lebih lebar. Manakala tombol kecil dan ruang storan yang lebih besar ditempatkan di bawah konsol tengah.

    Apa pendapat anda tentang Chery Tiggo Cross a.k.a. Tiggo 4 Pro ini? Prospeknya akan sangat bergantung pada harga, kerana pembeli dalam pasaran sub-RM100k lebih sensitif dengan harga berbanding mereka yang membeli SUV berharga RM150k. Tiggo Cross ini mungkin akan berharga di bawah RM100k kerana Omoda 5 ditawarkan dengan harga bermula RM100k. Satu lagi pertanyaan, rangkaian kuasa apa yang bakal pasaran kita peroleh antara NA, turbo atau hibrid?

    Sebagai perbandingan, Perodua Ativa dengan enjin 1.0 liter turbo tiga-silinder bermula dari RM62,500 hingga RM72, 600. sementara Honda WR-V (1.5L NA CVT) dijual dari harga RM90k hingga RM108k.

    GALERI: Chery Tiggo Cross di BIMS 2025

     
     
  • Bangkok 2025: Mitsubishi XForce HEV didedahkan – hibrid e:Motion 116 PS/255 Nm, bermula RM118k

    Bangkok 2025: Mitsubishi XForce HEV didedahkan – hibrid e:Motion 116 PS/255 Nm, bermula RM118k

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, hari ini varian lebih mesra alam untuk SUV segmen-B Mitsubishi XForce iaitu XForce HEV telah pun membuat kemunculan sulung global secara rasmi di hari pertama Bangkok International Motor Show 2025 berlangsung, selepas versi asal yang dijana oleh enjin petrol penuh muncul dikhalayak ramai pada Ogos 2023 di Indonesia.

    Tiga varian XForce HEV ini disediakan untuk pasaran Thailand, bermula dengan varian asas XForce HEV Ignite yang dijual pada harga 899,000 baht (RM118,400), XForce HEV Ultimate berharga 1.039 juta baht (RM136,800) dan varian paling tinggi XForce HEV Ultimate X dijual pada harga 1.089 juta baht (RM143,500).

    Rupa luaran XForce petrol penuh dan juga HEV ini masih lagi kelihatan sama. Perbezaan ketara yang boleh dilihat pada model ini hanyalah skrip ‘XFORCE’ yang ditampal pada muncung penutup bonet hadapan, kemasan krom pada gril hadapan, bahagian skid plate bampar hadapan dan belakang yang mengikut warna badan, dan juga tambahan kemasan pada sisi bawah bampar hadapan dan belakang.

    Bangkok 2025: Mitsubishi XForce HEV didedahkan – hibrid e:Motion 116 PS/255 Nm, bermula RM118k

    Bagi memberitahu bahawa ini model yang diberikan teknologi elektrifikasi, ia diberikan emblem HEV pada gril hadapan dan pintu tailgate belakang, serta lencana ‘Hybrid EV’ pada kedua-dua pintu hadapan. Model HEV ini juga masih mengenakan set rim aloi 18-inci dalam kemasan dua-tona, namun ia menampilkan rekaan jejari yang berbeza.

    XForce HEV ini menerima unit rangkaian kuasa e:Motion yang sama seperti Xpander dan Xpander Cross HEV yang juga telah dilancarkan di Thailand tahun lalu. Sistem tersebut berfungsi seperti sistem hibrid pada Outlander PHEV tetapi dengan hanya satu motor elektrik yang hanya memacu roda hadapan, atau mirip seperti sistem hibrid e:HEV yang ditawarkan oleh Honda.

    Ia menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.

    Bangkok 2025: Mitsubishi XForce HEV didedahkan – hibrid e:Motion 116 PS/255 Nm, bermula RM118k

    Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.

    Menurut Mitsubishi, sistem HEV pada XForce ini telah berevolusi berbanding sistem yang ditawarkan pada Xpander di mana ia kini menerima gandar penghantaran dengan dua nisbah kelajuan dengan keberkesanan transmisi lebih baik, serta diberikan fungsi pemisah pacuan motor baharu yang akan memutuskan kuasa dari motor ke pacuan roda pada kelajuan tinggi dengan lebih baik.

    Ini membolehkan unit rangkaian kuasa HEV pada XForce ini menggunakan bahan api sekitar 24.4 km setiap liter dengan mengurangkan kehilangan tenaga, dakwa Mitsubishi lagi.

    Bangkok 2025: Mitsubishi XForce HEV didedahkan – hibrid e:Motion 116 PS/255 Nm, bermula RM118k

    Model hibrid ini juga masih dibekalkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) seperti model petrol yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan. Empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud juga masih diberikan, tetapi ia ditambah dengan mod Tarmac serta dua lagi mod untuk pemanduan hibrid iaitu EV Priority dan Charge, menjadikan secara keseluruhan 7 mod pemanduan diberikan.

    Saiz XForce HEV ini juga sama dengan menampilkan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Namun, jarak kelegaan tanahnya adalah sedikit rendah dengan ukuran 183 mm, berbanding 222 mm pada XForce petrol penuh.

    Dalam kabin, rekaan papan pemuka juga masih nampak sama bersama skrin infotainmen Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Namun ia dibekalkan dengan tombol gear berbeza yang untuk pemanduan hibrid, serta grafik dari paparan instrument digital 8.0-inci yang turut memaparkan informasi-informasi tambahan untuk sistem hibrid.

    Manakala untuk keselamatan pula XForce HEV ini menerima enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Safety Sensing Mitsubishi yang menyediakan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, lampu tinggi automatik, pemberitahu kereta hadapan mula bergerak, amaran titik buta (dengan fungsi bantuan tukar lorong) dan juga amaran lintasan trafik belakang.

    Lapan warna badan ditawarkan untuk Xforce HEV pasaran Thailand ini, di mana dua daripadanya adalah tema dua-tona (White Diamond, Energetic Yellow, Red atau Graphite Gray Metallic kesemuanya dengan bumbung hitam) dan juga empat warna satu ton iaitu White Diamond, Graphite Gray Metallic, Blade Silver Metallic dan Jet Black Mica.

    Mitsubishi XForce merupakan model yang direka khas untuk pasaran ASEAN, dan turut telah dibawa ke pasaran Afrika Selatan. Selain dari Indonesia dan Thailand, SUV segmen-B (dalam versi petrol penuh) ini juga telah dilancarkan di Filipina. Namun sehingga kini masih belum ada petunjuk XForce ini akan masuk ke pasaran Malaysia atau tidak.

    Ini mungkin kerana ia mungkin sukar untuk bertanding dengan SUV segmen-C di Malaysia yang lazimnya dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbo, sedangkan XForce hanya dibekalkan dengan enjin 1.5L NA. Namun menerusi XForce HEV ini, ia mungkin ada harapan untuk dilancarkan disini kerana unit rangkaian kuasa e:motion yang dibekalkan adalah setara dengan sistem hibrid pada Honda HR-V RS e:HEV, yang diterima agak baik di Malaysia. Anda rasa bagaimana?

     
     
  • Proton eMas 7 dilancarkan di Nepal – bermula RM183k, 2 varian seperti di Malaysia, tambahan warna hitam

    Proton eMas 7 dilancarkan di Nepal – bermula RM183k, 2 varian seperti di Malaysia, tambahan warna hitam

    Kenderaan elektrik (EV) produksi pertama dengan logo Proton iaitu Proton eMas 7 secara rasmi telah dilancarkan di Nepal minggu lalu. Ini menjadikan Nepal menjadi pasaran luar Malaysia pertama yang menerima SUV berkenaan selepas ia dilancarkan di sini pada Disember tahun 2024.

    Di Nepal Proton diwakili oleh Jagdamba Motors, yang sebelum ini telah pun melancarkan model-model lain Proton di sana seperti Saga dan X70. Menurut Proton sekarang adalah masa yang tepat untuk melancarkan eMas 7 di Nepal kerana tahap penerimaan terhadap EV disana sedang meningkat akhir-akhir ini.

    “Sepanjang empat tahun lalu, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% TIV pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit. Oleh itu, kemasukan Proton ke pasaran adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal serta peralihannya ke arah pengangkutan lestari. Pihak Berkuasa Elektrik Nepal (NEA) telah berjanji untuk membangunkan lebih 300 stesen pengecasan di seluruh negara dalam tiga tahun akan datang dan langkah ini untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Proton eMas 7 dilancarkan di Nepal – bermula RM183k, 2 varian seperti di Malaysia, tambahan warna hitam

    Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian dengan nama yang sama seperti di Malaysia pada pasaran Nepal, iaitu eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran NPR5,699,000 (sekitar RM183k) dan juga eMas 7 Premium berharga NPR6,799,000 (sekitar RM219k). Sebagai perbandingan, eMas 7 dijual di Malaysia pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini sama seperti model pasaran Malaysia dengan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Begitu juga dengan spesifikasi dengan varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    Proton eMas 7 dilancarkan di Nepal – bermula RM183k, 2 varian seperti di Malaysia, tambahan warna hitam

    Namun apa yang berbeza, pasaran Nepal menerima satu warna badan tambahan iaitu Hitam Moyu sebagai tambahan lima warna badan lain yang turut ditawarkan di Malaysia iaitu Perak Platinum, Hijau Pirus, Kelabu Slate, Ros Kuarsa, dan Putih Litium.

    Walau bagaimanapun pelanggan di Nepal hanya menerima perlindungan waranti selama enam-tahun atau 150,000 km (tanpa had perbatuan di Malaysia). Tetapi waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat, waranti yang diberikan kekal selama lapan-tahun atau 160,000km.

    Proton telah mula menghantar 50-unit eMas 7 dari Malaysia (walaupun ia masih dipasang di China buat masa sekarang) ke Nepal sejak Februari lalu. Sebelum dilancarkan, Proton Nepal telah menjalankan siri jelajah negara tersebut dengan eMas 7 yang dibalut pelekat penyamaran bertemakan Nepal yang memaparkan simbol-simbol nasional dan pemandangan Himalaya, serta perjalanan merentasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti di Nepal, termasuk tempat-tempat terkenal seperti Janakpur, Birtamod dan Itahari.

    Menurut Proton lagi kempen ini telah berjaya meningkatkan jumlah pengikut di laman media sosial Proton Nepal kepada lebih 27,000 pada awal bulan ini.

    Buat masa sekarang Jagdamba Motors sudahpun mempunyai tiga pengedar rasmi Proton yang beroperasi di negara itu, dan merancang untuk menegembangkan lagi rangkaian tersebut sehingga 12 pengedar menjelang hujung tahun ini, serta merancang untuk membangunkan lagi infrastruktur pengecasan.

    “Nepal hanyalah permulaan. Rancangan sedang berjalan untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut. Perkembangan ini memperkukuhkan kedudukan Proton sebagai pemimpin automotif yang progresif, di samping membina hubungan pelanggan baru di peringkat global. Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” kata CEO Proton Dr Li Chunrong.

    GALERI: Brosur rasmi Proton eMas 7 pasaran Nepal

     
     
  • KKR ulangi peringatan supaya pihak konsesi segera tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

    KKR ulangi peringatan supaya pihak konsesi segera tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

    Susulan kemalangan maut yang meragut nyawa dua beradik selepas motosikal dinaiki mereka terlanggar lubang, di Jalan Felda Inas, Kota Tinggi pada minggu lalu, Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan tindakan segera diambil oleh syarikat konsesi bertanggungjawab bagi membaik pulih segera jalan rosak dan berlubang di sekitar kawasan itu. Beliau juga mendedahkan sudah beberapa kali memberi amaran keras kepada pihak berkenaan sebelum ini.

    “Saya amat sedih dengan kemalangan yang berlaku dan menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di Jalan Felda Inas Daerah Kota Tinggi. Saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk menafikan kejadian kemalangan yang telah berlaku ini.

    “Sudah kerap saya tekankan kepada semua yang terlibat, meskipun terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kerosakan jalan seperti faktor jalan raya menua, kenderaan terlebih muatan berat dan juga cuaca, kerja penyenggaraan seumpama ini perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan nyawa manusia yang tiada duanya. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah walau sekecil mana keadaan lubang di jalan raya,” katanya.

    Tambah beliau, dalam berhadapan situasi kritikal ini, menuding jari kepada mana-mana pihak bukan pilihan yang sesuai kerana tindakan segera sudah seharusnya diberi perhatian.

    KKR ulangi peringatan supaya pihak konsesi segera tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

    “Justeru, saya sudah mengarahkan tindakan segera diambil dan telah memanggil semua terlibat untuk memberikan laporan lengkap dan terperinci kepada saya. Amaran keras telah juga saya berikan berkali-kali sebelum ini.

    “Untuk makluman semua, di bawah polisi penyenggaraan aset, JKR Malaysia telah menzahirkan deklarasi melalui piagam pelanggannya iaitu sekiranya terdapat kerosakan jalan raya secara pothole, tampalan sementara hendaklah dilaksanakan oleh pihak konsesi Jalan Persekutuan yang dilantik dalam tempoh satu hari, manakala tampalan kekal perlu dilaksana dalam tempoh tiga hari,” katanya lagi.

    Namun begitu, jelas beliau, bagi kerja pembaikan berskala besar, permohonan peruntukan perlu diangkat terlebih dahulu dan ianya boleh dibuat secara tahunan dan berfasa. Tempoh pembaikan pula akan mengambil masa di antara satu bulan hingga satu tahun, tertakluk kepada jenis dan kompleksiti pembaikan serta kelulusan peruntukan yang diterima.

    Nanta turut berkata, bagi penyenggaraan kerja-kerja baik pulih, setiap tahun JKR Malaysia bersama pihak syarikat konsesi yang dilantik akan melaksanakan pemeriksaan keseluruh rangkaian jalan persekutuan di Malaysia.

    KKR ulangi peringatan supaya pihak konsesi segera tampal jalan berlubang dalam tempoh 24 jam

    “Hasil pemeriksaan ini kemudiannya akan diangkat kepada kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan. Setelah menerima kelulusan peruntukan kerja daripada pihak Kerajaan, pihak JKR akan mengarahkan syarikat konsesi yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan seperti yang telah dikenal pasti sebagai contoh overlay mahupun mill and pave.

    “Kerja-kerja ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu hingga ke tiga bulan setelah peruntukan di terima bergantung kepada ketersediaan konsesi, perancangan kerja dan penyelarasan bersama agensi terlibat di lokasi pembaikan,” tambahnya.

    Beliau menegaskan, tindakan segera Kerajaan terhadap isu ini dan yang telah diambil adalah melalui konsesi yang dilantik untuk penyelenggaraan adalah dengan tampalan sementara potholes dalam tempoh tiga jam pada hari yang sama dengan melaksanakan tampalan kekal dalam tempoh 24 jam.

    Selain itu, katanya, kekerapan rondaan di laluan tersebut dan lain-lain laluan ditingkatkan dan lokasi-lokasi jalan berlubang yang dikenalpasti diambil tindakan dalam masa 24 jam. Papan tanda memaklumkan jalan rosak juga akan diletakan bagi di lokasi kerosakan jalan yang memberi risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Aidilfitri – 29-30 Mac, 5-6 Apr

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Aidilfitri – 29-30 Mac, 5-6 Apr

    Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.

    TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April 2025, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.

    Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan antara 29 hingga 30 Mac, anda diminta mula bergerak antara jam 12 tengahari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 11 pagi hingga 1 tengahari atau 7 malam hingga 9 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Aidilfitri – 29-30 Mac, 5-6 Apr

    Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 5 hingga 6 April pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 8 pagi hingga 11 pagi atau selepas jam 5 malam hingga 7 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 11 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 7 malam hingga 9 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 3 petang hingga 5 petang atau selepas 10 malam hingga 12 tengah malam.

    Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. AFA memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

    Sila periksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Disarankan agar anda selenggara kenderaan terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Pastikan kad tambah nilai Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi. Dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu dan sentiasa amalkan pemanduan selamat. Moga anda selamat sampai ke destinasi yang ditujui.