Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • HSR: Bakal guna 40% sumber komponen tempatan, Jepun berminat eksport teknologi berkaitan

    HSR: Bakal guna 40% sumber komponen tempatan, Jepun berminat eksport teknologi berkaitan

    Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar telah mengesahkan, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura akan menggunakan 40% sumber komponen tempatan.

    Katanya, ia bagi membolehkan kontraktor tempatan mengambil bahagian dalam projek mega itu. Katanya, syarikat yang dipilih melaksanakan projek itu belum disenarai pendek dan akan dimuktamadkan hujung tahun manakala pembinaan bermula tahun depan, laporan Berita Harian.

    “Saya yakin projek ini akan siap ikut jadual pada 2026 dan semuanya berdasarkan perancangan awal ditetapkan kerajaan. Beberapa syarikat dari luar negara sudah membuat bidaan,” katanya kepada pihak pemberita semalam.

    HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

    Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.

    HSR: Bakal guna 40% sumber komponen tempatan, Jepun berminat eksport teknologi berkaitan

    Akhbar yang sama turut melaporkan konsortium syarikat Jepun dikatakan turut menunjukkan minat bagi membina projek ini.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, konsortium terbabit bersedia mengeksport teknologi berkaitan ke negara ini.

    “Mereka berminat untuk memenangi bidaan projek ini malah kami juga telah dimaklumkan mengenai kandungan sebut harga tender termasuk jumlah kos yang akan dikemukakan dalam pembidaan,” ujarnya.

    Katanya lagi, kerajaan Jepun turut bekerjasama dengan syarikat swasta berkenaan untuk memenangi bidaan projek terbabit kerana mereka yakin terhadap tahap ekonomi negara ini.

     
     
  • Korea benarkan Samsung uji kereta tanpa pemandu

    Korea benarkan Samsung uji kereta tanpa pemandu

    Samsung kini dilihat bakal mengejar Apple dan Google dalam penghasilan teknologi kenderaan pemanduan sendiri apabila kerajaan Korea Selatan membenarkan syarikat berkenaan untuk menguji produk mereka pada jalan raya awam negara tersebut. Menurut laporan Yonhap, menteri tanah, infrastruktur dan pengangkutan negara berkenaan pada Isnin lalu telah meluluskan permohonan Samsung untuk menguji kereta pemanduan sendirinya pada jalan raya sebenar.

    Samsung menggunakan kereta keluaran Hyundai dan melengkapkan ia dengan kamera-kamera dan penderia-penderia terkini. Syarikat tersebut merancang untuk membangunkan penderia dan modul komputer yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence atau A.I) serta teknologi pembelajaran mendalam, sama seperti apa yang sedang dibangunkan oleh Audi bersama Nvidia. Teknologi tersebut digunakan bagi meningkatkan kebolehan pemanduan sendiri kenderaan tersebut, walaupun dalam keadaan cuaca yang mencabar.

    Lebih dari 20 kelulusan telah diberikan oleh kementerian tersebut bagi tujuan menguji kenderaan tanpa pemandu sejak Februari tahun lalu, di mana Hyundai merupakan yang pertama menerima kelulusan berkenaan. Kementerian itu juga mengatakan mereka akan merombak semula undang-undang kenderaan pemanduan sendiri bagi menggalakkan pertumbuhan industri berkenaan.

    Setakat ini, kerajaan Korea Selatan telah mengurangkan jumlah penumpang mandatori dalam kenderaan tanpa pemandu yang diuji dari dua orang kepada hanya seorang, dan mereka juga sedang membangun kearah kereta produksi tanpa roda stereng dan juga pedal. “Kereta pemanduan sendiri memerlukan kerjasama pelbagai teknologi canggih dari sektor automobil, A.I dan juga informasi komunikasi,” menurut kenyataan kerajaan negara berkenaan dan menambah mereka akan terus untuk mewujudkan suasana yang sesuai untuk perkembangannya.

     
     
  • PSA sertai nuTonomy uji kereta autonomous di S’pura

    PSA sertai nuTonomy uji kereta autonomous di S’pura

    Groupe PSA telah mengumumkan satu kerjasama strategik dengan nuTonomy, iaitu syarikat yang digelar sebagai pemaju terkemuka bagi perisian untuk kenderaan bergerak sendiri. Dengan ini, nuTonomy akan melengkapkan sistem perisian mereka ke dalam SUV Peugeot 3008 untuk ujian kenderaan autonomous sepenuhnya atas jalan di Singapura.

    Dalam fasa awal kerjasama ini, nuTonomy akan memasang perisian mereka, bersama pengesan khas dan platform komputer ke dalam beberapa buah 3008 yang telah diubah suai oleh PSA. nuTonomy menjangka proses pemasangan ini akan siap pada musim panas ini, dan ujian atas jalan akan bermula di Singapura pada bulan September.

    Dalam fasa seterusnya, syarikat ini akan mengambil kira untuk mengembangkan lagi inisiatif ujian kenderaan autonomous ini ke bandar utama lain di dunia.

    Penyepaduan yang lancar antara perisian kenderaan autonomous dan kenderaan itu sendiri dilihat oleh kedua-dua syarikat sebagai langkah kritikal ke arah menawarkan kenderaan tanpa pemandu dalam skala besar, untuk kitaran yang berpanjangan. Kerjasama ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai prestasi sistem, serta pengalaman pengguna kenderaan autonomous di dalam kawasan urban.

    GALERI: Peugeot 3008

     
     
  • Seat akan perkenal Ateca FR dan 600 Concept di Spain

    Seat akan perkenal Ateca FR dan 600 Concept di Spain

    Seat kini sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan Ateca FR dan 600 BMS Concept semasa pameran Automobile Barcelona 2017 yang akan berlangsung minggu hadapan. Ateca FR adalah versi sporty bagi SUV pertama Seat dan ia menawarkan pemanduan sporty tanpa mengenepikan keselesaan, gaya, kemewahan dan kepelbagaian sambungan, menurut laporan wakil Volkswagen di Spain.

    Kenderaan ini boleh dikenal pasti adanya rel bumbung dan rangka tingkap aluminium, gril hitam berkilat, bampar dan lampu kabus FR, rim 18 inci (pilihan 19 inci turut disediakan), side skirt, cermin belakang yang dikelilingi dengan spoiler hitam kecil, spoiler di atas pintu but dan logo FR.

    Logo tersebut juga digunakan pada bahagian dalam, pada plet di tepi pintu dan roda stereng yang dibalut dengan kulit serta kemasan hitam berkilat. Tempat duduk pula dibalut dengan Alcantara, panel pintu mempunyai lapik khas FR, pedal adalah aluminium dan jahitan merah digunakan pada stereng, kain di tombol gear dan tempat duduk. Ateca FR ini datang dengan suspensi yang lebih tegap.

    Turut akan menyertai model ini adalah Seat 600 BMS Concept, yang direka sebagai menyambut ulang tahun ke 60 model paling ikonik jenama itu iaitu Seat 600D. Mengambil inspirasi daripada model lama itu, 600 BMS Concept menggunakan pintu jenis suicide dan mengekalkan bumbung kanvas yang boleh digulung. Di dalam, kemasannya menggunakan kulit serta jahitan berwarna oren.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA 180 Star Wars Edition – hanya 120 unit, hitam dan putih, dibina khas untuk pasaran Jepun

    Mercedes-Benz CLA 180 Star Wars Edition – hanya 120 unit, hitam dan putih, dibina khas untuk pasaran Jepun

    Sempena meraikan ‘Hari Star Wars’ atau ‘May the Fourth’ tahun ini dan juga ulangtahun ke-40 francais filem tersebut bermula dengan A New Hope pada tahun 1977, Disney telah memberikan lesen kepada Mercedes-Benz Jepun bagi memperkenalkan model keluaran terhad CLA 180 Star Wars Edtion.

    Model istimewa ini hadir hanya dengan dua warna iaitu Calcite White dan juga Night Black. Warna-warna ini dipilih mempunyai sebabnya tersendiri di mana putih untuk Stormtrooper, manakala hitam pula mewakili watak Darth Vader. Setiap warna ini dihasilkan hanya 60 unit, menjadikan keseluruhan hanya 120 unit model istimewa ini dibina.

    Kedua-dua versi berkenaan hadir dengan pakej penampilan AMG Line yang agresif berrsama bampar hadapan dan belakang lebih sporty. Ia juga turut diberikan Night Package yang memberikan kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, splitter hadapan, bendul sisi, penutup cermin sisi, garis tingkap dan juga diffuser belakang.

    Stormtrooper dan Darth Vader turut diberikan rim aloi berbeza di mana versi putih diberikan rim AMG 18-inci 5 jejari berkembar kemasan dua tona, manakala versi hitam pula diberikan rim AMG pelbagai jejari kemasan hitam.

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan upholsteri kulit Artico dan serat mikro Dinamica. Sekali lagi, kedua-dua versi warna diberikan perbezaan di mana Stormtrooper menerima tema dalaman jalur putih bersama benang jahitan berwarna perak. Manakala Darth Vader pula menerima tempat duduk hitam sepenuhnya bersama benang jahitan dan tali keledar berwarna merah yang melambangkan lightsaber milik Dark Lord berkenaan.

    Ciri lain yang turut diberikan untuk kedua-dua versi termasuk tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi memori, lampu suasana kabin dan juga pakej Radar Safety yang berfungsi bersama sistem cruise control adaptif Distronic.

    Ia juga menerima pelbagai aksesori tambahan istimewa seperti lampu puddle yang memancarkan logo Star Wars, karpet Star Wars, pelindung cahaya Star Wars serta perakam pemanduan yang menampilkan bunyi robot R2-D2 ketika diaktifkan dan dimatikan.

    Pembeli juga turut menerima nombor pendaftaran dan pemegang khas, serta diberikan peluang untuk bergambar sama ada dengan R2-D2, C-3PO atau BB-8. Mercedes-Benz CLA 180 Star Wars Edition ini dijual pada pasaran Jepun dengan harga 5,040,000 yen (RM193,500).

     
     
  • Honda Malaysia capai sasaran jualan 100,000 unit antara Januari hingga April 2017 – kekal No.1 dalam segmen bukan-nasional, No.2 bagi TIV tahun ini

    Honda Malaysia capai sasaran jualan 100,000 unit antara Januari hingga April 2017 – kekal No.1 dalam segmen bukan-nasional, No.2 bagi TIV tahun ini

    Honda Malaysia kian agresif dalam melakar kegemilangan dengan memacu jumlah jualan yang memberangsangkan. Antara Januari hingga April 2017, syarikat tersebut telah berjaya mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit, sekaligus mengekalkan kedudukannya di tangga pertama dalam segmen Bukan-Nasional dan di tempat kedua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi tahun ini.

    Walau berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi memastikan sasaran tersebut dapat direalisasikan, Honda Malaysia telah berjaya mencapai 35% sasaran jualan dengan terjual lebih 34,500 unit kenderaan sehingga April 2017. Di mana ia melebihi 9,000 unit atau 40% lebih tinggi berbanding rekod yang dicapai pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Dalam perkongsian pasaran, Honda telah menyumbang 19.4% bagi TIV sehingga Mac 2017, di mana ia adalah 5.1 mata lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Faktor penyumbang kejayaan ini adalah dari dua model yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini iaitu BR-V 1.5L dan City 2017, di mana Honda Malaysia turut mencapai rekod tertinggi sehingga 20.5% perkongsian pasaran buat pertama kalinya pada Mac 2017.

    Dilancarkan pada 5 Januari lalu, BR-V telah mencatat jualan melebihi 7,800 unit dengan menyumbangkan sebanyak 23% bagi keseluruhan jualan buat masa ini. Manakala model facelift bagi City yang dilancarkan pada Mac lalu pula turut menyumbang sebanyak 23% dalam jumlah keseluruhan jualan. Malahan City 2017 telah menerima tempahan melebihi 7,200 unit sejak ia dilancarkan.

    Manakala bagi Civic generasi ke-10 turut mencatat angka jualan yang membanggakan iaitu melebihi 15,700 unit sejak ia dilancarkan pada Jun tahun lalu. Malahan jualan bagi Civic varian 1.5 turbocharged mencecah antara 50 hingga 200 unit sebulan. Ini membuktikan bahawa model Honda yang dijana oleh enjin turbocharged berjaya menarik minat peminatnya di sini.

    Selain model yang disebut di atas, Honda Malaysia masih mengekalkan Jazz, HR-V dan Accord dalam pasaran dan kesemuanya turut menduduki posisi tertinggi dalam segmen masing-masing bagi rekod sehingga Mac 2017.

    Dalam masa yang sama, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada penghujung Jun ini, Honda Malaysia telah memberikan jaminan bagi tempoh menunggu untuk model yang ditempah iaitu antara satu hingga dua bulan. Dengan dua kilang pemasangan Honda yang terletak di Pegoh, Melaka, syarikat ini akan sentiasa menyesuaikan pengeluaran berdasarkan permintaan dan dalam masa yang sama memastikan kualiti tidak dijejaskan.

     
     
  • Kod tarif duti baharu kastam – harga SUV 2WD Honda HR-V dan Honda CR-V turun antara RM1,100-RM1,400

    Kod tarif duti baharu kastam – harga SUV 2WD Honda HR-V dan Honda CR-V turun antara RM1,100-RM1,400

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan bermula 1 Mei 2017, harga atas jalan berserta insuran SUV segmen-B HR-V dan juga segmen-C CR-V 2.0 2WD diubah semula bagi penyesuaian klasifikasi baharu kod tarif duti Kastam Di Raja Malaysia (KDRM). Dengan demikian, kesemua varian HR-V dan juga CR-V varian 2.0 2WD kini dijual dengan harga antara RM400 hingga RM500 lebih rendah dari sebelum ini.

    Untuk HR-V, varian asas 1.8L S kini dijual pada harga RM101,100.00 (harga lama RM102,200) manakala varian pertengahan E pula dijual pada harga RM110,700 (harga lama RM111,800) – kedua-duanya RM1,100 lebih murah dari sebelum ini. Manakala bagi varian tertinggi 1.8L V, ia kini dijual pada harga 121,000, atau RM1,200 lebih murah dari sebelum ini.

    Untuk CRV 2.0 2WD pula, ia kini dijual pada harga RM 141,500 (harga lama RM142,900), menyaksikan penurunan sebanyak RM1,400. Kesemua harga yang dinyatakan ini merupakan harga atas jalan dengan insuran.

    Kod tarif duti baharu kastam – harga SUV 2WD Honda HR-V dan Honda CR-V turun antara RM1,100-RM1,400

    Selain dari pengumuman ini, Honda turut merancang dua kempen khas untuk pelanggannya yang akan berlangsung sepanjang bulan Mei ini. Kempen pertama yang telah pun bermula pada 1 Mei digelar ‘Nikmati Musim Bonus’ bakal memberikan ganjaran bernilai antara RM2,100 hingga RM12,000 kepada pelanggan yang membeli kereta baharu. Kempen ini dijadualkan akan berakhir pada 31 Mei ini.

    Kempen kedua pula ialah Acara Bilik Pameran Seluruh Negara yang akan dilangsungkan pada 13 Mei, diraikan bersama sambutan Hari Ibu. Bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang hari tersebut, ibu-ibu dan wanita yang mengunjungi mana-mana pengedar Honda di seluruh negara bakal diberikan bunga ros serta hadiah pandu uji dan juga cabutan bertuah.

     
     
  • Demak akan lancarkan 11 model baharu 21 Mei ini

    Demak akan lancarkan 11 model baharu 21 Mei ini

    Kali terakhir kami mendapatkan informasi terkini berkenaan Demak adalah Disember tahun lalu, semasa satu sesi melawat kilang mereka di Olak Lempit, Selangor. Pada masa itu, Demak yang merupakan sebuah syarikat yang bermula di Sarawak aktif mengeluarkan sehingga 15 model motosikal.

    Tahun ini nampaknya Demak akan bertindak agresif dengan khabarnya bakal melancarkan 11 model baru pada 21 Mei ini, dan ia diketahui melalui teaser yang dikeluarkan di laman Facebook syarikat itu. Agak sukar untuk kami mengetahui apa modelnya tetapi salah satu daripadanya adalah ‘fun bike‘.

    Selain daripada itu, dalam satu lagi gambar teaser yang dikeluarkan, Demak juga dikatakan akan melancarkan bukan setakat motosikal dua roda, tetapi juga yang mempunyai tiga roda. Agak menarik untuk kita lihat nanti adakah ia sebuah kenderaan tiga tayar bersaiz besar atau seperti motosikal. Selain itu, kami juga menjangkakan ketibaan DTM 250 berdasarkan balasan komen terhadap orang ramai dalam Facebook mereka.

    Demak akan lancarkan 11 model baharu 21 Mei ini

    GALERI: Lawatan ke kilang Demak di Olak Lempit

     
     
  • Proton Suprima X – penampilan penuh kini didedahkan

    Proton Suprima X – penampilan penuh kini didedahkan

    Masih ingat dengan Proton Supirma X yang kami tampilkan sebelum ini? Ia sebuah rekaan konsep yang dihasilkan oleh seorang pereka yang bertugas di MIMOS, Saharudin Busri. Ketika itu, model crossover yang dihasilkan berdasarkan Proton Suprima S sedia ada berkenaan hanya ditunjukkan sedikit, di bawah litupan kain.

    Kini, individu yang memegang jawatan sebagai Ketua Rekaan Industri, MIMOS Bhd mendedahkan satu siri baru imej-imej yang lengkap dan lebih menyeluruh bagi Suprima X yang dihasilkan itu. Apa pendekatan di sebalik penghasilan rekaan konsep di sebalik model ini?

    Seperti dinyatakan sebelum ini, Suprima X merupakan sebuah rekaan spin-off daripada rekaan Suprima R yang ditampilkan sebelum ini – yang menggunakan asas dari Suprima S. Antara perkara yang dilakukan terhadap rekaan Suprima X ini, yang membezakannya daripada model asas ialah badannya dinaikkan lebih tinggi dan kemudiannya dipadankan dengan saiz rim yang lebih besar.

    Proton Suprima X – penampilan penuh kini didedahkan

    Dari aspek rekaan umum, ia mengambil lenggok penggayaan coupe, dengan penampilan yang lebih dinamik sebagai sebuah model SUV kompak/crossover yang lebih sporty dan mantap. Di lihat dari depan, Suprima X, ia diberikan rekaan gril krom berkembar, yang dilanjutkan terus ke bahagian lampu hadapan LED dalam bentuk elemen X.

    Bentuk berkenaan diteruskan lagi pada rekaan pada bahagian lampu kabusnya. Elemen krom menjadi antara yang penting padanya. Dari sisi badannya pula, jalur krom panjang menghiasi dari depan hingga ke belakang di bawah barisan cermin. Bermula dari bahagian tapak cermin sisi dibawa ke berkeliling hingga ke bahagian belakang.

    Ini diteruskan lagi dengan kemasan krom yang digunakan pada bahagian landasan di atas bumbung serta pada bahagian bawah panel pintu. Ini merupakan antara sentuhan unik dan dengan karekter berbeza yang diberikan kepada rekaan yang dihasilkan ini. Selain itu, pemegang pintu belakang pula dialih ke bahagian panel C-pillar.

    Proton Suprima X – penampilan penuh kini didedahkan

    Bahagian belakang juga tampil dengan imej yang kelihatan mantap, mungkin juga lebih menarik dan tertumpu jika dibandingkan bahagian hadapan. Antara yang paling menonjol tentulah rekaan lampu belakang; ia melintang dari kiri ke kanan, dengan sebahagian daripadanya terletak pada panel pintu ruang belakang – memanmpakkan rekaan ini supaya lebih lebar.

    Imej belakang juga diperkuat dengan kehadiran spoiler belakang pada bumbung. Rekaan bampar datang dengan dua tona, termasuk panel hitam yang sedikit sebanyak memberi kelainan. Hujung ekzos dengan kemasan krom, serta lampu kabus atau reflektor yang ada melengkapi penampilan bahagian belakang.

    Saharudin juga menjelaskan, rekaan-rekaan yang dihasilkannya ini adalah bertujuan untuk menunjukkan kemampuan Pusat Rekaan MIMOS, MIMOS Berhad yang merupakan sebuah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), dalam menghasilkan rekaan bagi industri automotif.

    Beliau mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Rekaan Indsutri dari UiTM, beliau juga sempat melanjutkan pelajaran bagi peringkat Sarjana dalam bidang Rekaan Automotif di Universiti Coventry, UK dengan biasiswa dari Proton. Pernah juga pasukan pereka MIMOS ini menerima Ada pengiktirafan dari Red Dot Design Award dan pernah disenaraikan ditempat ketiga bagi kategori World Most Innovative Design Studio.

    Harapnya beliau akan tampil lagi dengan rekaan-rekaan model yang menarik, yang diasaskan daripada model Proton sedia ada di masa hadapan. Menarik juga untuk melihat kelanjutan imajinasi terhadap bagaimana model yang dihasilkan Proton di dalam penampilan yang berbeza dan mungkin saja boleh dijadikan kenyataan.

     
     
  • Harga bahan api 4 -10 Mei – semua turun lagi

    Harga bahan api 4 -10 Mei – semua turun lagi

    Memasuki minggu keenam pelaksanaan sistem penetapan harga siling bahan api secara mingguan, buat dua minggu berturut-turut, harga bagi ketiga-tiga bahan api utama dilaporkan turun lagi.

    Kedua-dua bahan api petrol melibatkan penurunan harga masing-masing sebanyak 10 sen, kini RON 95 berharga RM2.11 seliter dan RM2.39 seliter pula bagi RON 97. Bagi diesel pula, ia turun sebanyak 6 sen, menjadi RM2.08. Diesel Euro 5 pula seperti biasa dijual 10 sen lebih mahal berbanding diesel Euro 2M, kini berharga RM2.14 seliter.

    Kesemua harga yang diumumkan di atas bakal berkuatkuasa tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal selama seminggu iaitu sehingga 10 Mei 2017.

    Berbanding harga minggu lalu, petrol RON 95 turun 6 sen menjadi RM2.21 seliter dan RON 97 turun 6 sen dengan harga RM2.49 seliter, manakala diesel pula turun 7 sen bersamaan RM2.14 seliter.

     
     
  • IIMS 2017 – kemeriahan kereta ubahsuai dan klasik

    IIMS 2017 – kemeriahan kereta ubahsuai dan klasik

    Selain kereta-kereta baru yang dipamerkan di Indonesia International Motor Show (IIMS) 2017, keadaan sekitar kawasan pameran juga cukup meriah seperti karnival. Terdapat beberapa dewan lain yang menempatkan aksesori, pakaian, mainan serta pelbagai lagi barang berkaitan automotif semasa acara tersebut.

    Keadaan di situ memang unik, dan tidak seperti kebanyakan motor show yang lain. Turut membuka mata wakil kami yang ke sana adalah kenderaan ubah suai khas serta klasik yang dipamerkan di satu ruang khas. Di sini kami pamerkan galerinya.

    Dua penganjur pameran modifikasi terbesar Indonesia, Indonesia Automodified (IAM) dan Hot Import Nights (HIN) berkongsi dewan yang sama dan di situ, terdapat pelbagai kenderaan termasuk McLaren yang diubah suai dengan pelbagai bahagian gentian karbon, Ferrari serta hatchback dari kelas LCGC.

    Turut tidak terlepas daripada sentuhan kreativiti warga di sana adalah kenderaan offroad. Sehinggakan, kami kami masih tidak pasti apakah kereta asal ‘pikap Evoque’ yang turut berada di sana. kalau anda boleh teka pula apa kenderaan asal ‘Lamborghini’ enam tayar yang dipaparkan ini, sememangnya anda akan mendapat tanda hormat daripada kami.

    Pastinya ada sesuatu untuk sesiapa sahaja di kawasan pameran tersebut. Jika Agya menggunakan pintu yang dibuka ke atas bukan cita rasa anda, bagaimana pula dengan kereta klasik? Model-model jenama terkenal dari Amerika Syarikat juga turut dibawa seperti antaranya Bel Air, Impala, C1 Corvette dan laungan enjin V8 Chevrolet juga sering kedengaran.

     
     
  • Mercedes-AMG G 63, G 65 Exclusive Edition dan G 350 d, G 500 Designo Manufaktur istimewa diperkenalkan

    Mercedes-AMG G 63, G 65 Exclusive Edition dan G 350 d, G 500 Designo Manufaktur istimewa diperkenalkan

    Mercedes-Benz Gelandewagen kini telah pun menyenaraikan barisan tambahan bagi model edisi istimewa mewah, kali ini dengan penyertaan G 63 dan G 65 Exclusive Edition, bersama G 350 d dan G 500 Designo Manufaktur. Ia diperkenalkan selepas G650 Landaulet dalam barisan G-Wagen ditampilkan di Geneva Motor Show 2017.

    Model baharu Exclusive Edition ini menerima perubahan penuh estetika bagi kedua-dua varian G 63 dan G 63, termasuk pelindung bawah keluli tahan karat, jaluran sport AMG, jaluran umpama aluminium gelap di dalamnya dan juga pelindung tayar simpanan yang dicat sama dengan warna badan.

    Ia juga menerima roda aloi ringan AMG 21-inci yang dibaluti tayar 295/40R21, dengan cat hitam pekat bagi G 63 dan kilatan seramik untuk G 65. Eksklusif untuk model ini juga ialah kekemasan cat AMG Monza Grey.

    Mercedes-AMG G 63, G 65 Exclusive Edition dan G 350 d, G 500 Designo Manufaktur istimewa diperkenalkan

    Malahan bahagian dalamannya juga telah diperkemaskinikan. Pakej designo Exclusive hadir dengan dua-tona, material kulit bagi papan pemuka dan tempat duduk sport AMG secara standard, serta dua-tona kulit upholstery. Dua-tona designo kulit Nappa boleh didapati dalam enam pilihan warna, atau tiga yang dispesifikkan dengan dua penyandar dengan balutan kulit karbon berwarna hitam.

    Selain itu, ia juga hadir dengan panel pintu dan tempat duduk bersama paten berlian. Manakala pakej Seat Comfort juga boleh dispesifikkan dengan kawalan suhu, tempat duduk pelbagai-warna untuk pemandu dan penumpang hadapan.

    Pilihan lain yang turut ditampilkan ialah tali pinggang keledar designo berwarna merah, pemegang dengan balutan kulit dan roda stereng AMG Performance dua-tona bagi menyesuaikan dengan warna tempat duduk.

    Mercedes-AMG G 63, G 65 Exclusive Edition dan G 350 d, G 500 Designo Manufaktur istimewa diperkenalkan

    Varian Mercedes-AMG G 63 dan G 65 Exclusive Edition bakal dijual di Jerman pada harga masing-masing €163,125 (RM769,648) dan€287,658 (RM1,357,214).

    Turut didedahkan ialah model edisi istimewa G 350 d dan G 500 dalam versi Designo Manufaktur, dengan menampilkan tiga pilihan warna luaran Designo Magma Red, Designo Mystic White dan Obsidian Black – dengan beberapa pilihan kekemasan luaran berwarna hitam, termasuklah roda aloi AMG dan jaluran sisi.

    Manakala gril radiator, perumah cermin sisi dan pelindung tayar simpanan dengan kekemasan Obsidian Black. Elemen standard bagi model Designo Manufaktur Edisition ini dengan pakej Exclusive termasuklah pakej Seat Comfort yang merangkumi tempat duduk hadapan dengan kawalan suhu, papan pemuka balutan kulit, ambang pintu iluminasi dan roof liner dari Designo dengan gentian karbon Dinamica berwarna hitam.

    Mercedes-AMG G 63, G 65 Exclusive Edition dan G 350 d, G 500 Designo Manufaktur istimewa diperkenalkan

    Pakej Sport pula termasuk pakej Luaran Keluli Tahan Karat pada bahagian bod kedua-dua sisi, alas lantai berwarna hitam, dan untuk G 500 turut ditampilkan ekzos sport. Ia turut memberikan pilihan pakej Chrome dengan menampilkan kekemasan krom di sekeliling kawalan pelarasan tempat duduk dan pembesar suara di bahagian pintu hadapan, dengan perkataan Mercedes-Benz bagi ambang ruang penyimpanan barang di belakang.

    Di Jerman, G 350 d Designo Manufaktur Edition ditawarkan pada harga €109,878 (RM518,379), sementara G 500 Designo Manufaktur Edition pula berharga €121,683 (RM574,030).

    GALERI: Mercedes-Benz G 500

     
     
  • IIMS 2017 – motosikal kustom keluaran Indonesia

    IIMS 2017 – motosikal kustom keluaran Indonesia

    Pameran Indonesia International Motor Show (IIMS) yang baru sahaja berakhir menyaksikan banyak kenderaan terkini dipamerkan, seperti Mitsubishi XM, Suzuki Ignis, Kia Rio, Honda CR-V dan Daihatsu Ayla. Tetapi, bagaimana pula dengan motosikal? Selain membuat liputan berkenaan kereta, wakil kami yang ke sana juga sempat mengambil gambar beberapa motosikal buatan khas yang dipamerkan.

    Berdasarkan model yang ada, jelas, tema cafe racer dan scrambler masih lagi menjadi kegemaran. Sebuah cafe racer berenjin Ducati di situ mengingatkan kepada motosikal lumba Paul Smart apabila ia menggunakan tetapan brek seperti daripada motosikal lumba tahun 60-an.

    Berhampiran dengannya terdapat sebuah Honda CB650, yang menggunakan enjin empat silinder berpenyejukan udara, dan digayakan dengan konsep scrambler dan lampu utama bertingkat. Turut digunakan adalah rim Comstar, pemegang flat-tracker, gaitered fork, tempat duduk rata dan pelindung enjin.

    Sebuah motosikal drag bergaya bobber, lengkap dengan tayar bunga kasar turut menghiasi ruang pameran, dan ia menggunakan tangki berwarna krom dan hiasan garis lumba Martini-Rossi pada bahagian fender belakang. Motosikal ini dikuasakan oleh enjin V-Twin Harley-Davidson dan turut menggunakan fork jenis springer di hadapan, serta angkup brek enam piston.

    Sebuah motosikal yang cukup menarik perhatian adalah chopper yang menggunakan rim cukup besar, dalam jangkaan kami sekitar 30 inci di hadapan. Konsep besi yang dikilat dan krom menghiasi sebahagian besar motosikal ini dan kerangkanya dibina dengan jenis hardtail.

    Untuk model cafe racer, Street Fairing & Co membawa beberapa buah motosikal untuk dipamerkan, dan ia meniru gaya jentera lumba tahun 60-an. Model replika ini menggunakan enjin dua lejang satu silinder dan boleh mengimbau kembali memori mereka yang pernah berada di zaman itu.

     
     
  • Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

    Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

    Serentak dengan pelancaran model Evora Sport 410 hari ini, Lotus turut menyerahkan sebuah dari dua unit Lotus 3-Eleven untuk pelanggannya di Malaysia. Model yang dibina hanya 311 unit setahun untuk pasaran global ini juga merupakan kereta sport produksi terpantas yang pernah dihasilkan oleh Lotus.

    Kereta yang dihasilkan untuk fokus kepada prestasi litar ini dibina dengan hanya satu tempat duduk, tiada cermin hadapan dan tiada bumbung. Dua varian ditawarkan iaitu Road yang sah digunakan di jalan raya awam dan model litar sepenuhnya iaitu Race. Hanya versi Road diserahkan untuk pelanggan pada majlis hari ini, dijual pada harga RM640,855, manakala untuk Race, Lotus hanya menyediakannya bagi mereka yang mahu berlumba dilitar secara sah.

    Walaupun menampilkan rekaan luaran yang begitu agresif, Lotus mendakwa rekaan yang diberikan adalah berfungsi sepenuhnya bagi meminimakan pekali geseran serta mengoptimakan sistem penyejukkan. Dengan penggunaan material komposit sangat ringan membolehkan 3-Eleven ini dibina 40% lebih ringan dari model 2-Eleven sebelumnya. Sayap belakang bersaiz besar turut diberikan secara standard untuk kedua-dua varian.

    Lotus 3-Eleven secara rasmi diperkenalkan di Malaysia

    Pada bahagian dalaman, 3-Eleven turut menampilkan imej sebuah kereta litar sebenar. Tiada pintu direka untuk masuk bahagian kabin dan ia diberikan kluster instrument perlumbaan TFT yang bleh diubah dari mod biasa ke mod litar. Bar pelindung turut diberikan untuk kedua-dua model, yang bukan sahaja dibina untuk keselamatan pemandu, malah turut memberikan lebih ketegaran pada casis kereta ini – versi Race turut diberikan bar tambahan bagi memenuhi undang-undang perlumbaan antarabangsa.

    Walau bagaimanapun, pelanggan masih boleh memasang tempat duduk penumpang yang ditawarkan secara opsyen. Untuk versi Race, ia diberikan tempat duduk perlumbaan spesifikasi FIA lengkap dengan tali pinggang keledar perlumbaan enam poin, pemadam api dan juga kill switch untuk mematikan sumber elektrik dari bateri.

    3-Eleven dijana oleh enjin 3.5 liter V6 supercharged yang sama pada Evora Sport 410, menghasilkan 410 hp pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 410 Nm bermula 3,500 rpm hingga 6,500 rpm. Walau bagaimanapun, versi Race diberikan talaan berbeza, menghasilkan kuasa 460 hp dan tork maksima 525 Nm.

    Model Road diberikan kotak gear nisbah rapat enam-kelajuan, manakala untuk Race, ia diberikan transmisi enam-kelajuan sequential secara standard serta pedal penukar gear pada stereng dibekalkan sebagai opsyen. Kedua-dua varian ini diberikan LSD pada gandar belakang secara standard.

    Secara keseluruhan, berat kering 3-Eleven versi Road ditimbang hanya 925 kg dan Race pula hanya 900 kg. Ini memberikan nisbah berat kepada kuasa lebih 500 hp/tan (untuk versi Race). Oleh itu, 3-Eleven Road mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j, manakala Race pula berupaya memecut pada jarak sama dalam masa tidak sampai tiga saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 280 km/j (10 km/j lebih perlahan kerana kit aero yang lebih agresif).

    Keempat-empat sudut kereta ini diberikan suspensi double wishbone dengan struktur binaan ringan. Ia turut menampilkan suspensi boleh laras sepenuhnya dari Öhlins digandingkan bersama spring Eibach serta bar anti-oleng boleh laras pada bahagian hadapan. Jentera ini dihentikan dengan cakera brek bersaiz 332 mm bersama angkup brek empat-omboh dari AP Racing.

    3-Eleven diberikan rim aluminum-forged bersama tayar Michelin Pilot Super Sport tbersaiz 225/40 ZR18 pada bahagian hadapan dan 275/35 ZR19 pada bahagian belakang. Model Race bagaimanapun menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih mencengkam bersama pad brek lebih berprestasi tinggi.

     
     
  • Lotus Evora Sport 410 kini di Malaysia secara rasmi – manual dan automatik 6-kelajuan, RM641k-RM652k

    Lotus Evora Sport 410 kini di Malaysia secara rasmi – manual dan automatik 6-kelajuan, RM641k-RM652k

    Setelah lebih setahun diperkenalkan pada peringkat global, Lotus Evora 400 versi lebih hardcore iaitu Evora Sport 410 kini secara rasmi masuk kepasaran Malaysia. Dilancarkan di bilik pameran Lotus Cars Malaysia Kuala Lumpur oleh pengerusinya Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Evora Sport 410 bakal di jual pada harga RM640,999 untuk versi manual dan RM651,999 untuk automatik.

    Seperti angka pada namanya iaitu ‘410’, Evora Sport dijana oleh enjin V6 3.5 liter dengan bantuan suercharger dari Edelbrock, menghasilkan kuasa 410 hp (10 hp lebih besar dari Evora standard) dan juga tork maksima 410 Nm. Enjin ini pada asalnya dibina untuk projek Lotus 3-Eleven bagi memecah rekod lap terpantas di litar Nurburgring, Jerman.

    Prestasi Evora Sport 410 ini bukan hanya pada enjin semata-mata. Seperti juga falsafah asal Sir Colin Chapman, pengasas Lotus, ia turut diringankan lagi bagi memberikan prestasi yang lebih baik. Semasa pembinaannya, kereta ini telah dirombak sepenuhnya, serta semua komponen telah disemak kembali, dioptimakan dan menerima kejuruteraan semula.

    Lotus Evora Sport 410 kini di Malaysia secara rasmi – manual dan automatik 6-kelajuan, RM641k-RM652k

    Semua aspek, termasuk bahagian belakang dari gentian karbon yang telah “diringkaskan secara drastik” (terdiri dari lima elemen berbeza pada satu bahagian), panel kemasan pintu baharu, dan juga penambahan secara liberal terhadap komponen-komponen gentian karbon pada keseluruhan bahagian, menjadikan Evora Sport 70 kg lebih ringan dari model standard – berat keseluruhan kini 1,325 kg untuk manual dan 1,337 kg untuk model automatik, bersamaan nisbah berat kepada kuasa kini pada tahap 309 hp/tan.

    Komponen-komponen gentian karbon digunakan pada bahagian splitter hadapan, panel bumbung, bahagian tailgate, diffuser belakang, tempat duduk perlumbaan yang dibina semula serta pada panel akses hadapan yang dirombak semula. Bahagian tailgate yang direka bersepadu sebagai satu komponen direka dengan gaya-fastback pada garis bumbung, serta diberikan panel empat unit lampu belakang – tradisi kereta-kereta sport lotus. Perubahan ini memberikan downforce 15% lebih baik berbanding asal, tanpa meningkatkan pekali geseran.

    Dengan berat yang dikurangkan, suspensi jentera ini juga dapat ditala semula dengan geometri yang lebih baik serta kerekter penyerap hentak yang juga dapat dilaras semula. Hasilnya, kereta ini kini 5mm lebih rendah, memberikan pengendalian yang lebih tajam bersama kawalan olengan dan badan yang lebih baik. Walaupun talaan suspensi ini telah berubah, Lotus mendakwa keselesaan pemanduan untuk Evora Sport 410 ini masih lagi dikekalkan.

    Lotus Evora Sport 410 kini di Malaysia secara rasmi – manual dan automatik 6-kelajuan, RM641k-RM652k

    Jentera ini turut diberikan rim aluminium-forged 10-jejari dengan tayar opsyen Michelin Pilot Sport Cup 2. Dengan pakej lengkap, Evora Sport 410 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat untuk versi manual dan 4.2 saat untuk model auto. Model manual juga mampu mencatatkan kelajuan maksima lebih tinggi iaitu 305 km/j setelah menerima roda tenaga inersia rendah bersama LSD jenis-Torsen, berbanding model auto yang mencatatkan 285 km/j.

    Model versi dipertigkat ini juga telah mencatatkan masa sepusingan terpantas 1 minit 28 saat dilitar ujian Lotus, Hethel – 3 saat lebih pantas berbanding Evora 400.

    Evora Sport 410 turut menampilkan sistem Dynamic Performance Management (DPM) Lotus yang memberikan talaan Sport dan Race dengan pilihan boleh dibuat menerusi suis pada papan pemuka. Sistem tersebut mampu meningkat respon pendikit, mengurangkan daya gelincir serta menyahkan pengesanan understeer, membolehkan kawalan dari pemandu dipertingkatkan sebelum kawalan dari komputer ‘masuk campur’ dalam urusan pengendalian kenderaan.

    Model Evora paling berkuasa ini turut hadir dengan tempat duduk, roda stereng serta konsol tengah yang diberikan kemasan Alcantara. Bakal pembeli turut diberikan pilihan sistem infotainmen yang dipadankan secara bersepadu, dan turut termasuk hubungan iPod serta Bluetooth.

    Berbanding model Evora 400, model istimewa ini tidak diberikan perehat tangan serta poket storan pada pintu. Butang pembuka penutup bahan api dan juga tailgate juga telah dialihkan. Manakala untuk model tanpa sistem hiburan, pembesar suara turut tidak diberikan.

    Secara keseluruhan, Lotus Evora Sport 410 hanya dihasilkan sebanyak 150 unit setahun untuk pasaran global. Bagi pelanggan yang berminat, kereta sport ini kini boleh dimiliki mulai tahun ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025