Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Hilux 2.4G Limited Edition – tampil lebih lasak

    Toyota Hilux 2.4G Limited Edition – tampil lebih lasak

    Laman sesawang UMW Toyota Motor telah memaparkan kemunculan Hilux edisi istimewa digelar Toyota Hilux 2.4G Limited Edition. Trak pikap berkenaan diasaskan dari Hilux varian 2.4G dan diberikan kelengkapan dan rupa yang lebih lasak.

    Dalam laman tersebut, tidak dinyatakan pilihan warna yang diberikan, jadi dianggap trak pikap ini hanya hadir dengan warna putih seperti yang dipaparkan, serta diberikan serlahan berwarna hitam. Hud enjin Hilux edisi terhad ini diberikan jalur hitam, manakala bumbung, penutup cermin sisi serta kemasan lampu turut diberikan warna yang sama. Emblem ‘Limited’ juga ditempatkan pada pintu tailgate.

    Bahagian-bahagian krom pada Hilux 2.4G standard turut dihitamkan pada model edisi terhad ini, meliputi gril hadapan, penutup lampu kabus, kemasan lampu hadapan serta kemasan hud. Model LE ini juga dberikan kemasan over fender pada setiap ruang roda serta pelindung bawah pada bampar hadapan untuk rupa yang lebih gagah. Rim juga diberikan warna kelabu gelap untuk melengkapkan rupanya.

    Toyota Hilux 2.4G Limited Edition – tampil lebih lasak

    Klik untuk besarkan

    Tiada perubahan lain mahupun tingkat taraf untuk bahagian dalaman dinyatakan. Toyota turut menyebut Hilux edisi terhad ini ditawarkan “pada masa terhad, stok terhad” serta harga atas jalan dengan insuran “hanya bermula pada RM126,000”. Sebagai perbandingan, Hilux 2.4G Automatik 4×4 standard dijual pada harga RM121,900, bermaksud model istimewa berkenaan dijual RM4,100 lebih mahal.

    Bahagian mekanikal juga kekal tanpa perubahan di mana Hilux edisi terhad ini masih menggunakan enjin turbo diesel 2.4 liter berkuasa 150 hp pada takat 3,400 rpm dan juga tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan. 2.4G versi standard juga diberikan sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, pemain audio utama dengan skrin sesentuh 6.1 inci, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri kulit, tiga beg udara, VSC, dan juga pelbagai lagi ciri-ciri lain.

     
     
  • Chevrolet Complete Care dilancarkan secara rasmi di Malaysia – mengikut standard Chevrolet global

    Chevrolet Complete Care dilancarkan secara rasmi di Malaysia – mengikut standard Chevrolet global

    Diperkenalkan sejak tahun 2012, Chevrolet Complete Car (CCC) telah mula diaplikasikan bagi pelanggan Chevrolet di Malaysia. Selepas hampir lima tahun dilaksanakan, Chevrolet Malaysia menambah baik lagi program ini sebagai meningkatkan lebih keyakinan dan kepercayaan di kalangan para pelanggannya. Bertempat di Pusat 3S Chevrolet, Puchong, CCC dilancarkan secara rasmi oleh Naza Quest Sdn Bhd.

    Merupakan program yang dilaksanakan di peringkat global, iaitu mengikut piawaian dan standard yang ditetapkan oleh Chevrolet sendiri, CCC adalah untuk pelanggan sedia ada dan pemilik kenderaan baharu. Ia merupakan kombinasi antara lima elemen perkhidmatan selepas jualan dan sangat diperlukan oleh semua pelanggan Chevrolet.

    “Di Naza Quest, kami mahu memberikan perkhidmatan yang komprehensif yang diperlukan oleh para pelanggan. Malah dengan cara ini juga, ia mampu meningkatkan keyakinan dna kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan kami,” ujar Farid Rosli selaku ketua Naza Quest Sdn Bhd.

    Chevrolet Complete Care dilancarkan secara rasmi di Malaysia – mengikut standard Chevrolet global

    Elemen pertama ialah Waranti Pengeluar Kenderaan Komprehensif yang didatangkan dengan standard lima-tahun atau 200,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan waranti bampar ke bampar. Waranti ini ditawarkan dengan khidmat juruteknik bertauliah, dan alat ganti Chevrolet tulen. Sebelum tahun 2014, ia cuma didatangkan dengan waranti standard selama tiga tahun atau 100,000 km.

    Bantuan Tepi Jalan 24/7 atau Chevy Assist pula merupakan program bantuan tepi jalan untuk 24 jam selama tujuh hari seminggu yang turut menyediakan perkhidmatan memperbaiki kenderaan yang melibatkan kerosakan kecil, bantuan tunda, dan banyak lagi. Ia bukan sahaja untuk kenderaan yang mengalami kerosakan, bahkan yang terbabit dengan kemalangan jalan raya juga boleh mendapatkan bantuan ini secara percuma. Untuk Chevy Assist ini, pelanggan Chevrolet boleh mendaftar sebagai ahli dengan yuran tahunan sebanyak RM15.60.

    Bagi Perkhidmatan Lengkap Chevrolet pula, ia membabitkan penyelenggaran kenderaan termasuk penukaran alat ganti tulen. Manakala Bantuan Prihatin Pelanggan 24/7 pula adalah khidmat pelanggan secara dalam talian untuk membantu para pelanggan mendapatkan info yang diperlukan sebelum dan selepas jualan.

    Manakala elemen yang baharu dimasukkan dalam CCC pula ialah Chevy Link, di mana semua maklumat kenderaan pelanggan boleh dicapai oleh mana-mana pusat servis Chevrolet di seluruh negara. Ini memudahkan juruteknik di pusat servis terbabit mengetahui maklumat mengenai kenderaan terbabit sekiranya insiden terjadi bukan di tempat asal kenderaan itu dibeli/diservis.

     
     
  • SPYSHOT: Volvo XC60 generasi berikutnya jalani ujian

    SPYSHOT: Volvo XC60 generasi berikutnya jalani ujian

    Sebelum ini pernah dijumpai di kawasan urban, sekali lagi Volvo XC60 generasi seterusnya ditemui, tetapi kali ini sewaktu ujian cuaca sejuk. Sama seperti yang dilihat sebelum ini, XC60 menggunakan penggayaan yang menghampiri abangnya iaitu XC90. Ini boleh dilihat pada lampu utama LED dan garisan luar yang lebih berlekuk dan cermin belakang yang lebih condong.

    Di bawah hud model ini boleh dijangka terdapat barisan enjin Drive-E, dan unit ujian ini mengesahkannya apabila dilihat terdapat tempat mengecas pada fender bahagian kirinya. Volvo pernah menunjukkan contoh sebenar enjin PHEV ini pada model XC60 sebelum facelift, seterusnya memberi gambaran kepada enjin XC90 T8 Twin Engine.

    Jika pada XC90 T8 Twin Engine, enjin PHEV ini boleh menghasilkan 407 hp dan 640 Nm trok, dan jumlah sama boleh dijangka apabila ia digunakan pada model XC60 pula nanti.

    Untuk aspek keselamatan, iaitu perkara yang cukup dikenali pada Volvo, XC60 ini akan dilengkapi dengan pelbagai ciri, berkemungkinan termasuk fungsi pemanduan sendiri Intellisafe Auto Pilot serta Safe Positioning yang boleh mengurangkan risiko kecederaan tulang belakang apabila terdapat impak secara menegak.

     
     
  • Mitsubishi Grand Lancer – generasi ke-9 untuk Taiwan

    Mitsubishi Grand Lancer – generasi ke-9 untuk Taiwan

    Walaupun sudah mengatakan bahawa tiada lagi kenderaan generasi seterusnya yang akan membawa nama Lancer, perkara sebaliknya berlaku di Taiwan. Mitsubishi baru mengeluarkan sebuah sedan segmen C yang dinamakan sebagai Grand Lancer disebabkan permintaan yang tinggi.

    Walaupun garis badan tajam Lancer masih boleh dilihat, kenderaan ini diserap dengan penampilan korporat baru Dynamic Shield syarikat tersebut, dengan garis kemasan krom di hadapan seperti Outlander baru, serta lampu utama LED yang disediakan sebagai pilihan.

    Pada bahagian tepi pula, karekter lebih dinamik diserlahkan melalui garis badannya yang bersambung dari belakang ke salur udara hiasan di fender hadapan, dan ia menjunam ke hadapan.

    Pergi ke belakang pula, Grand Lancer mendapat lampu berbentuk C baru, tempat meletak nombor plet yang diubah ke bahagian penutup but dan rekaan bampar yang lebih agresif. Sebagai pelengkap, rim aloi 18 inci dengan warna dua tona dilengkapkan padanya.

    Bahagian dalam juga diberi peningkatan yang menyeluruh, dengan kini menggunakan papan pemuka yang kelihatan hampir serupa seperti pada Triton. Penambahan baru termasuk skrin sesentuh 8 inci untuk sistem informasi dan hiburan, bersama navigasi dan tv digital. Panel meter digital Smart Dashboard disediakan sebagai pilihan. Pada varian paling tinggi juga terdapat pengawal suhu dua zon.

    Semua model Grand Lancer dikuasakan oleh enjin empat silinder N/A 1.8 liter SOHC MIVEC petrol yang mampu menghasilkan 140 PS dan 176 Nm tork. Kuasa ini disampaikan kepada dua tayar hadapan melalui kotak gear CVT INVECS-III. Penggunaan bahan api bercampur kenderaan ini berada pada 15.7 km/l. Bagi menjadikannya lebih selesa, Mitsubishi turut memperbaiki NVH Grand Lancer.

    Untuk aspek keselamatan, semua varian datang terus dengan brek ABS, EBD dan BA, pengawal kestabilan, Hill-Start Assist, cangkuk ISOFIX dan sehingga enam beg udara. Harga untuk model ini adalah di antara NT$679,000 (RM97,900) hingga NT$819,000 (RM118,100).

     
     
  • Menteri pengangkutan ajak Dego Ride berbincang

    Menteri pengangkutan ajak Dego Ride berbincang

    Setelah diarah untuk menghentikan operasinya serta merta dan diberi amaran supaya jangan mencabar undang-undang, kini Kementerian Pengangkutan menerusi menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan oleh Bernama meminta syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride agar tampil untuk berbincang.

    Menurut Liow, kementeriannya memberi tempoh selama tujuh hari kepada Dego Ride untuk tampil berbincang. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan Kementerian Pengangkutan tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang.

    “Tiada keraguan dalam larangan Dego Ride. Ia adalah sangat jelas. Kerajaan dan kementerian telah membuat keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan ini memandangkan ia berbahaya kepada keselamatan penumpang,” jelasnya dan memaklumkan kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memanggil syarikat itu untuk tampil memberi penjelasan.

    Kenyataan Liow ini dibuat ketika ditanya mengenai permintaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, supaya diberi peluang untuk membahaskan isu perkhidmatan teksi motosikal itu yang dilaksanakan sejak November tahun lepas.

    Dalam laporan sebelum ini, Liow mengatakan perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. Tambahnya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas.

     
     
  • Spark Racing Technology keluarkan imej awal kereta Formula E musim 2018 – lebih aerodinamik dan maju

    Spark Racing Technology keluarkan imej awal kereta Formula E musim 2018 – lebih aerodinamik dan maju

    Sejak tahun 2013, Spark Racing Technology telah dipilih sebagai pembekal casis kenderaan untuk perlumbaan Formula E dan ia kekal sehingga tahun 2017. Bagi musim kelima pada tahun 2018, setelah tendernya ditutup, Spark Racing sekali lagi diberikan kepercayaan untuk tugas sama.

    Untuk menunjukkan mereka sudah bersedia, Spark Technology mengeluarkan gambar konsep awal untuk kenderaan Formula E musim 2018, digelar SRT05e, dan ia dibangunkan dengan pengalaman serta kepakaran yang diperolehi syarikat itu selama empat tahun sebelum ini.

    Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara mudah kerana kenderaan pada musim 2018 perlulah boleh pergi dua kali lebih jauh, dan Spark Racing Techonology perlu hadir dengan rekaan yang mempunyai ciri aerodinamik lebih berkesan, lebih ringan dan penjana kuasa yang lebih cekap. Turut dinyatakan adalah kenderaan ini akan dibina menggunakan bahan baru dan ciri keselamatan untuk pemandu turut ditingkatkan.

    Walaubagaimanapun, ini cumalah satu gambaran konsep awal untuk kenderaan lumba tersebut dan ia mungkin boleh jadi berbeza apabila keluar secara rasmi nanti. Spark Racing juga tidak mengeluarkan sebarang butiran lanjut mengenai kenderaan ini. Ia dijangka membuat penampilan pada tahun ini, sebelum perlumbaan terakhir pada 30 Julai 2017.

    Kenderaan Formula E yang digunakan sekarang mempunyai berat sekitar 800 kg (termasuk pemandu dan penjana kuasa), dan mampu mengeluarkan kuasa sehingga 200 kW. Casis dan bateri semua kenderaan yang bertanding adalah sama, tetapi setiap pasukan diberi kebebasan untuk membina motor elektrik, inverter, kotak gear dan sistem penyejukan sendiri.

     
     
  • MSF pusingan pertama bermula di SIC 26 Feb ini

    MSF pusingan pertama bermula di SIC 26 Feb ini

    Pusingan pembukaan untuk musim 2017 siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) yang menghimpunkan pelbagai acara permotoran dalam satu hari akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 Februari ini.

    Seperti penganjurannya pada musim-musim sebelum ini, Trackday dan TimeAttack untuk kereta dan juga motosikal merupakan acara yang paling mendapat perhatian. Bagi penganjuran musim tahun lalu, sebanyak 149 buah kereta dengan yang bakal dipandu hampir 300 orang pelumba dari negeri Perlis hinggalah ke Johor telah sah berdaftar – merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya.

    Manakala untuk pusingan pertama musim 2017 ini, MSF Racing National Series akan disertai kira-kira 100 buah kereta lumba dan 200 orang pelumba, manakala hampir 160 buah kereta akan menyertai Trackday.

    Untuk siri perlumbaan, sebanyak 12 kategori yang dipertandingkan. Kategori-kategori tersebut ialah :
    • Special Kei
    • Super 1500 Na
    • Jazz Cup
    • Street 1600 Ltd
    • Proton 1800 NA
    • Street Tuned Ltd
    • SuperStreet
    • Saga Cup Rocco
    • Saga Cup Ron Jeremy
    • Race Cars 1600
    • Race Cars 1800
    • Race Cars Open

    Kategori Saga Cup Ron Jeremy dijangka sebagai kategori paling popular kerana kategori ini menghimpunkan para pelumba profesional tanahair dari zaman 80an hingga sekarang, berlumba dengan kereta nasional pertama negara – Proton Saga. Manakala kategori seterusnya yang menjadi tumpuan adalah Race Cars Open yang tidak mengehadkan pengubahsuaian yang boleh dilakukan dan terdapat jentera dengan kuasa kuda yang mencecah sehingga 600 kuasa kuda.

    MSF pusingan pertama bermula di SIC 26 Feb ini

    MSF juga menerima pelumba-pelumba yang bersaing di arena antarabangsa seperti Tengku Djan Ley, Fariqe Hairuman, Keifli Othman, Faidzil Alang dan lain-lain. MSF juga menarik perhatian pelumba wanita dan antara yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah Nursharina Binti Nor Ramlle, Boey Chai.

    Selain itu, MSF juga menjadi medan anak-anak muda berjinak mengasah bakat mereka dalam dunia perlumbaan sebelum melangkah lebih jauh sebagai contoh Afiq Haikal dan Amirul Haikal masing-masing berumur 15 dan 16 tahun.

    Untuk mereka yang berminat untuk ke SIC untuk menonton MSF pada hujung bulan ini, jadual perjalanan acara adalah seperti berikut:

    8.00 pagi : Pendaftaran Pemandu
    9.00 pagi : Pemeriksaan Kereta
    1.15-1.40 petang : Sesi Latihan Dan Kelayakan
    2.45 petang : Perlumbaan Saringan Kumpulan A
    3.15 petang : Perlumbaan Saringan Kumpulan B
    3.45 petang : Perlumbaan Saringan Kumpulan C
    4.30 petang : Perlumbaan Akhir Kumpulan A
    5.00 petang : Perlumbaan Akhir Kumpulan B
    5.30 petang : Perlumbaan Akhir Kumpulan C
    6.00 petang : Penyampaian Hadiah

     
     
  • BHPetrol sedia tempat mengecas kenderaan elektrik di stesen Kg Sg Kayu Ara dan Sg Besi secara percuma

    BHPetrol sedia tempat mengecas kenderaan elektrik di stesen Kg Sg Kayu Ara dan Sg Besi secara percuma

    Pemilik kenderaan elektrik (EV) atau Plug-in Hybrid (PHEV) kini boleh menikmati khidmat mengecas kenderaan di stesen minyak BHPetrol Kg Sg Kayu Ara apabila syarikat itu menyediakannya secara percuma bermula hari ini. Sebuah lagi stesen BHPetrol yang menyediakan khidmat sama adalah di stesen Sg Besi Harmony, selepas plaza tol Sg Besi menuju ke Seremban.

    Pengecas yang digunakan pada stesen BHPetrol ini adalah daripada jenis Type-2, 3-phase, dengan kuasa sebanyak 22kW. Untuk menggunakannya, pemilik kenderaan EV dan PHEV boleh terus masuk ke ruang letak kereta khas yang disediakan, dan mengecas kenderaan menggunakan kabel sendiri. Tiada sebarang bayaran yang dikenakan, dan sementara menunggu kenderaan mendapat kuasa kembali dan meneruskan perjalanan, mereka boleh berehat di ruang yang disediakan di dalam stesen.

    Menurut pengarah urusan BHPetrol, Tan Kim Ghuan, penyediaan khidmat ini dijalankan sebagai salah satu langkah untuk meneroka bagaimana mereka boleh membantu pemilik kenderaan jenis ini. Tambah beliau, semasa pemilik mengecas kenderaan, diharapkan mereka dapat santai di dalam kedai yang siap dengan pendingin hawa dan berbelanja untuk makanan atau minuman.

    BHPetrol sedia tempat mengecas kenderaan elektrik di stesen Kg Sg Kayu Ara dan Sg Besi secara percuma

    Bagi memasang kelengkapan mengecas ini, BHPetrol membelanjakan sebanyak RM40,000 bagi satu unit lengkap termasuk alat mengecas itu sendiri dan kabel yang perlu dipasang di bawah tanah. Pengecas jenama Hager yang digunakan di stesen BHPetrol ini adalah daripada jenama ‘hager’ dan didapati melalui kerjasama dengan First Energy Networks Sdn Bhd (FEN), iaitu salah sebuah anak syarikat Tan Chong Group.

    “Kami akan melihat terlebih dahulu bagaimana reaksi terhadap khidmat mengecas ini, sama ada ia diterima baik atau tidak. Selepas itu, barulah kami boleh memikirkan sama ada untuk menambah lagi jumlahnya. Jika ya, kami akan melihat seterusnya kepada stesen yang terletak di lebuh raya,” tambah Tan.

    Segala kos pemasangan khidmat mengecas ini dikeluarkan sendiri oleh BHPetrol (Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd), sebagai salah satu langkah sokongan kepada komuniti pengguna kenderaan elektrik dan pemilik stesen tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja.

     
     
  • VIDEO: Polis Sepanyol serbu bengkel hasilkan replika supercar Ferrari dan Lamborghini dari Toyota MR2

    Polis Sepanyol telah membuat serbuan keatas sebuah bengkel yang menghasilkan ‘kit cars’ atau ‘kereta replika’ yang didakwa sebagai ‘supercar palsu’. Semasa diserbu, bengkel yang terletak di Girona, selatan Sepanyol berkenaan didapati memilki empat Ferrari palsu yang telah lengkap manakala 14 unit Ferrari dan Lamborghini palsu sedang dalam pembinaan.

    Kereta-kereta replika ini dihasilkan oleh kumpulan berkenaan menggunakan asas Toyota MR2, serta kereta lain seperti Ford Cougar serta Peugeot 406, dan dijual secara dalam talian di internet. Antara kereta yang ditemui dalam bengkel berkenaan adalah Ferrari F355 dan F430, dikuasakan enjin 2 liter hingga 2.5 liter, dengan badan yang dihasilkan menggunakan gentian kaca (fiberglass).

    Polis mula mengambil perhatian terhadap kumpulan ini setelah salah sebuah kereta yang dihasilkan dijual menerusi berberapa laman sesawang dengan harga sekitar £35,000 (RM195k). Selain dari menggunakan logo Ferrari dan Lamborghini palsu, kumpulan ini turut menyediakan dokumen pendaftaran palsu – dan ini mungkin sebab utama mereka diserbu polis.

    Kit Car dan kereta replika sebenarnya merupakan perkara biasa diperingkat antarabangsa. Selain dari Ferrari dan Lamborghini, Shelby Cobra dan Ford GT40 antara kereta yang popular dihasilkan sebagai kereta replika. Malah Hollywood juga banyak menggunakan kereta-kereta replika ini antaranya Ferrari 308 GTS yang digunakan dalam siri TV Magnum PI, serta hampir kesemua supercar yang digunakan dalam filem Need For Speed.

    Kita di Malaysia juga sebenarnya mempunyai pembina-pembina kereta replika ini. Antara yang terkenal adalah rekaan dari Balbussi Hanafi dari Batu Pahat, Johor, yang gemar menghasilkan Porsche dan Ferrari replika menggunakan asas Mazda RX7 SA22.

     
     
  • Lexus IS facelift tampil di dalam laman web Malaysia

    Lexus IS facelift tampil di dalam laman web Malaysia

    Di laman web Lexus Malaysia, kedatangan model IS facelift untuk pasaran tempatan sudah diberikan isyarat awal; gambar dan perincian ringkas kini tertera dengan nota Coming Soon oleh pengedarnya. Versi terbaru berkenaan pertama kali membuat penampilan pada April tahun lalu, dan mula dijual pada Oktober tahun lalu untuk pasaran Jepun.

    Bagi pasaran tempatan, model ini akan menggantikan versi IS generasi ketiga dengan perubahan minimum, yang mula dijual sejak pertengahan 2013. Antara pembaharuan yang dilakukan, wajah depannya kini menerima rekaan yang lebih agresif, dengan bampar baru dan ruang masukan udara yang lebih besar.

    Bahagian grilnya juga diberikan pembaharuan, begitu juga dengan lampu utamanya; ia diberi sentuhan yang menjadikannya lebih menonjol berbanding versi sebelum ini, dengan lampu nyalaan siang LED yang lebih jelas dan ketara.

    Lexus IS facelift tampil di dalam laman web Malaysia

    Gril barunya pula lebih tinggi, berubah antaranya pada bahagian atas serta bawahnya. Untuk menserasikannya dengan wajah keseluruhan bahagian depan, rekaan pada hud enjin juga direka semula. Gril F Sport kini memiliki corak 3D unik, dengan lapisan warna hitam metalik untuk disepadankan dengan saluran udara pada brek – yang juga menyumbang kepada aerodinamik.

    Di bahagian belakang, lampu LED dengan bentuk L kelihatan lebih jelas; ia kini terdiri daripada tiga lapisan (sebelum ini hanya dua). Bentuk empat segi pada bahagian hujung ekzos krom juga antara rekaan yang diperbaharui (sebelum ini bulat).

    Bagi bahagian roda, IS facelift ini dilengkapi dengan rim 17 inci rekaan baru – warna cerah ditawarkan sebagai standard. Dua warna baru juga diperkenalkan untuk pasaran global; Deep Blue Mica dan Graphite Black Glass Flake.

    Lexus IS facelift tampil di dalam laman web Malaysia

    Penambah baikan pada ruang dalaman juga banyak. Skrin paparan multimedia kini lebih besar, daripada tujuh inci kepada 10.3 inci, serta butang Enter telah ditambah di bahagian sisi Remote Touch Interface (RTI) yang terletak di konsol tengah. Panel kawalan pendingin hawa dan audio juga diposisikan semula.

    Perubahan lain termasuk elemen jahitan pada meter, tombol kawalan rekaan baru, tempat meletak cawan baru, perehat tapak tangan pada RTI dengan balutan kulit serta jam analog. Pilihan warna ruang kabin juga ditawarkan. Varian paling asas dilengkapi sistem audio dengan 10 pembesar suara, manakala pilihan sistem Mark Levinson kembali ditawarkan dengan penataan bunyi 3D.

    Lexus IS facelift tampil di dalam laman web Malaysia

    Jika merujuk teaser yang ada pada laman web berkenaan, ia ada menyebut tentang ‘pemanduan meyakinkan dengan model AWD’ serta ‘terokai IS 350’, namun untuk pasaran tempatan, kami percaya IS yang akan dibawa masuk akan mengikut pilihan varian yang sama seperti sebelumnya; IS 200t dan IS 300h hibrid.

    Lexus IS 200t, yang dilancarkan di sini pada 2015, dikuasakan oleh enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbocaj, enjin yang sama digunakan pada SUV NX dan RX. Enjin turbo twin-scroll rekaan sendiri dengan Dual VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide) itu menghasilkan 241 hp kuasa pada 5,800 rpm dan 350 Nm tork dari 1,650 hingga 4,400 rpm pada sedan ini, dan digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan pacuan roda belakang.

     
     
  • Kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak: Sejauh mana kesedaran ibu bapa terhadap penggunaannya?

    Kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak: Sejauh mana kesedaran ibu bapa terhadap penggunaannya?

    Pada 10 Februari lalu, seorang bayi berusia dua bulan maut dipercayai tercampak dari pangkuan ibunya sejurus kereta dinaiki bersama tiga ahli keluarganya yang lain terlibat kemalangan di Jalan Rim-Nyalas, Jasin, Melaka. Bayi lelaki itu dikatakan meninggal dunia semasa perjalanan dari Hospital Jasin ke Hospital Melaka akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kemalangan tersebut.

    Menurut sumber, akibat pelanggaran itu bayi berkenaan dipercayai tercampak dari tempat duduk penumpang hadapan manakala ibu dan nenek cedera parah termasuk bapa saudaranya yang tersepit di bahagian pemandu, laporan Sinar Harian.

    Telah banyak kali kejadian seumpama ini berlaku, apabila bayi atau kanak-kanak kecil tercampak keluar daripada kenderaan akibat kemalangan jalan raya. Dan rata-ratanya telah mengorbankan nyawa mereka. Ingatkah anda tentang kemalangan jalan raya di Lebuhraya Duke pada tahun 2015 lalu? Seorang bayi perempuan comel berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa, terkorban dalam kemalangan tersebut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandu oleh bapanya yang dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

    Kebanyakan kes sebegini berlaku adalah kerana bayi atau kanak-kanak dipangku oleh penumpang dewasa dan tidak diletakkan di kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak. Apabila kenderaan dibrek secara mengejut atau terlibat dengan perlanggaran, risiko untuk bayi mahu pun kanak-kanak terbabit tercampak keluar kenderaan adalah besar. Atau pun mungkin terhantuk di papan permuka atau tempat duduk hadapan, yang kedua-duanya bukan sahaja boleh menyebabkan risiko kecederaan, bahkan kehilangan nyawa.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • 18 CEO syarikat pengeluar kenderaan gesa Donald Trump kaji semula dasar pengeluaran EV di USA

    18 CEO syarikat pengeluar kenderaan gesa Donald Trump kaji semula dasar pengeluaran EV di USA

    Seramai 18 orang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pelbagai syarikat pengeluar kenderaan bersama unit pengeluaran di Amerika Syarikat (USA) telah sepakat untuk mengesa presiden baharu negara berkenaan, Donald Trump, untuk mengkaji semula keputusan pentadbiran Obama yang mengekalkan undang-undang berhubung kenderaan cekap tenaga (EV) sehingga 2025.

    Dalam satu surat rasmi yang dihantar ke pentadbiran Trump, senarai nama Ketua Eksekutif General Motors Co, Ford Motor Co, Fiat Chrysler Automobiles NV, bersama-sama eksekutif tertinggi Amerika Utara bagi jenama Toyota Motor Corp, Volkswagen AG , Honda Motor Co, Hyundai Motor Co , Nissan Motor Co dan beberapa lagi nama besar meminta Trump untuk menarik balik keputusan itu serta memberi amaran beribu tenaga kerja kini berdepan risikonya, laporan Reuters.

    Pada 13 Januari lalu, Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS memuktamadkan keputusan berhubung bidang undang-undang cekap tenaga yang diketengahkan oleh Presiden, Barack Obama itu seharusnya ‘dikunci’ sehingga 2025, dalam usahanya untuk mengekalkan legasi pentadbirannya.

    Sebagai sebahagian daripada perundangan 2012, EPA perlu menetapkan April 2018 sebagai waktu untuk menetapkan sama ada model kenderaan bagi tahun 2022 hingga 2025 akan memerlukan sekurang-kurangnya kecekapan tenaga yang lebih sederhana dengan penggunaan 50 batu segelen.

    Pada November lalu, agensi terbabit turut melanjutkan pelaksanaan yang seharusnya dalam tempoh sederhana kepada cadangan kemungkinan pengeluar kenderaan mencapai standard itu pada 2025. Justeru, 18 CEO terbabit secara rasminya meminta Trump untuk membuka kajian untuk tempoh jangka sederhana terbabit “tanpa membuat pra-tetapan terhadap keputusannya”. Malah turut memuji Trump yang disifatkan “memiliki fokus peribadi bagi memperkukuhkan lagi ekonomi USA serta penuh komitmen dalam menjamin pekerjaan dalam sektor terbabit.”

     
     
  • Dego Ride jangan cabar undang-undang – Menteri

    Dego Ride jangan cabar undang-undang – Menteri

    Selepas mengarahkan ianya perlu dihentikan serta merta, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kemudiannya memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan, lapor Bernama.

    Menurut Liow, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD akan melancarkan operasi penyamaran bagi membanteras perkhidmatan teksi motosikal itu.

    “Kita akan melancarkan operasi penyamaran serta-merta bagi menangkap mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan atau pembawa motosikal Dego Ride. Pegawai penguat kuasa kita sedang bersiap siaga waspada dan kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

    Liow menjelaskan walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas.

    “Kita membantah kaedah pengangkutan menggunakan motosikal untuk mengambil penumpang yang boleh mendatangkan risiko tinggi kepada penumpang,” katanya.

    Amaran ini dikeluarkan berikutan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj sebelum ini dilaporkan mendakwa tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka menawarkan perkhidmatan tersebut.

    Selain dari menghalang operasi Dego Ride ini, Liow berkata kementeriannya mencadangkan agar teksi mini dengan kenderaan berkuasa rendah iaitu 1,000 CC ke bawah diperkenalkan sebagai ‘last mile transportation‘ untuk perkhidmatan jarak dekat dari stesen transit aliran ringan (LRT), monorel, KTM Komuter dan transit aliran massa (MRT) ke kawasan perumahan.

    “Kita juga menyeru penduduk mengadakan pengangkutan untuk membawa penumpang dari stesen keretapi. Mereka perlu mendaftar dengan SPAD. Kita menggalakkan pengangkutan sambungan untuk meningkat pengangkutan awam kita,” katanya.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

    TUNGGANG UJI: Ducati Scrambler Desert Sled – buka jalan kepada pengembaraan, mampu redah offroad

    Bagi kita yang duduk di Malaysia, walaupun bercuaca khatulistiwa, kita boleh mengatakan cuaca sekarang semakin tidak boleh diramal. Jika dulu kita boleh menjangka, dalam bulan tertentu, musim hujan atau musim panas, tetapi kini, semuanya sudah lari daripada kira-kira normal.

    Ada yang menamakan ia sebagai kesan pemanasan global, yang mungkin adalah benar, tetapi bergantung kepada kepercayaan dan pemahaman masing-masing, kejadian ini ada sebab yang tertentu dan ia turut dapat dirasai di serata dunia.

    Sementara saya bukanlah pakar meteorologi dan tahu, memulakan artikel dengan cuaca boleh dianggap lucu, saya sekadar mahu anda tahu, bagaimana keadaan di Almeria, Sepanyol – tempat yang saya pergi untuk sesi tunggang uji global Ducati Scrambler Desert Sled. Keadaan di sana juga sama, kerana biasanya Almeria ini adalah tempat penduduk Sepanyol ‘melarikan’ diri daripada kedinginan musim sejuk, tetapi tiba hari sesi tunggang uji, hujan turun dari pagi sehingga ke petang.

    Tidak dinafikan, terdapat rasa cemburu dengan kumpulan wartawan permotoran yang berpeluang merasai motosikal ini pada hari sebelumnya, dalam keadaan kering, tetapi bila melihat dari perspektif yang berbeza, ia memberikan cabaran yang lebih menarik untuk motosikal ini serta diri sendiri.

    Gaya hidup (lifestyle) adalah satu kata kunci pemasaran yang banyak digunakan oleh pengeluar kenderaan masa kini termasuk Ducati melalui model Scrambler. Bukan setakat motosikal sahaja yang ditawarkan, malah barangan lain seperti pakaian penunggang dan aksesori khas motosikal juga dikeluarkan oleh Ducati sendiri untuk penggemarnya.

    baca selanjutnya di sini

     
     
  • VIDEO: 8 perkara menarik tentang Honda BR-V

    Setakat waktu ini, tentunya sudah ramai di antara kalian yang sudah pernah terserempak dengan Honda BR-V, sebuah kenderaan jenis crossover terbaru yang dilancarkan oleh Honda Malaysia awal Januari lalu. Sambutan yang menggalakkan – tempahan 4,000 unit dalam masa tiga minggu – yang melepasi jangkaan awal pengeluarnya sendiri menjadi suatu petunjuk awal yang positif terhadap penerimaan model ini di Malaysia.

    Apa yang menarik tentang Honda BR-V ini? Antaranya, ia merupakan sebuah crossover tujuh tempat duduk pemasangan tempatan, dan untuk itu, harga yang ditawarkan juga sangat menarik; bermula RM85,500.

    Mungkin juga anda sudah sedia maklum, model ini sebenarnya dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN, menggunakan platform yang sama dengan model Honda Brio/Mobilio yang dijual di Indonesia. Bagi janaan kuasa pula, ia menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, berkuasa 120 PS dan 145 Nm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams pacuan roda depan,

    Untuk memudahkan anda mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan model ini, tonton video ringkas yang kami sediakan ini. Seperti biasa, kami gariskan lapan perkara menarik atau penting yang perlu anda tahu tentangnya. Semoga ada manfaat.

    GALERI: Honda BR-V 1.5L V

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025