Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ, MOT berdepan tuntutan saman RM1.3 juta berkaitan plat MADANI, perlu bayar dalam tujuh hari

    JPJ, MOT berdepan tuntutan saman RM1.3 juta berkaitan plat MADANI, perlu bayar dalam tujuh hari

    Baru sahaja bidaan untuk plet istimewa MADANI ditutup beberapa minggu lalu, kini ada timbul pula satu permasalah berkenaannya. Seorang pengarah syarikat, Hasan Azhari Hashim muncul membuat tuntutan saman RM1.3 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

    Seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times, Hasan yang merupakan pengarah syarikat Ilham Madani Sdn Bhd mendakwa bahawa beliau adalah pemegang hak cipta berdaftar yang sah kepada ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’, yang didaftarkan secara sah ke dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.

    Dalam surat tuntutan itu, Hasan menggesa MOT dan JPJ untuk membayar pampasan dalam masa tujuh hari sebelum memfailkan tuntutan mahkamah. Beliau juga menyatakan bahawa sebelum ini (tahun lepas) pernah menghantar surat cadangan kerjasama untuk penjualan nombor plat itu kepada perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi cadangan tersebut telah ditolak.

    JPJ, MOT berdepan tuntutan saman RM1.3 juta berkaitan plat MADANI, perlu bayar dalam tujuh hari

    Penjualan plet MADANI bermula 19 Oktober hingga 23 Oktober lalu melalui platform JPJ eBid dan kerajaan mengumumkan, ia berjaya menerima kutipan berjumlah RM2,623,329. Bidaan paling tinggi diterima untuk MADANI 6, sementara jumlah penyertaan keseluruhan pembida adalah seramai 5,632 orang dengan sebanyak 3,263 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

    Sebelum ini diberitahu bahawa hasil penjualan plat ini merupakan salah satu langkah untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian Pengangkutan (MOT) seperti Program MyLesen, Program Pertukaran topi Keledar, FlySISWA, pembayaran Perkeso kepada pemandu teksi dan juga inisiatif lain.

     
     
  • Kerajaan sedang kaji lebuhraya baharu menghubungkan Putrajaya dan Pahang – KKR

    Kerajaan sedang kaji lebuhraya baharu menghubungkan Putrajaya dan Pahang – KKR

    Sebuah lebuhraya baharu yang menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia mungkin bakal dibina tidak lama lagi. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan, KKR sedang mengkaji lebuhraya baharu antara Putrajaya dan Pahang. Katanya, kajian itu bertujuan mencari laluan alternatif antara pantai timur dan KL bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Karak (KLK).

    “Matlamat utama adalah untuk mencari penyelesaian bagi melengkapkan kesalinghubungan Central Spine Road (Lingkaran Tengah Utama) dan menambah baik kesalinghubungan KLK.

    “Antara faktor yang dipertimbangkan sekarang termasuk penggunaan tanah, dengan jalan itu mungkin melalui hutan simpan kekal; kesan alam sekitar, lalu lintas, sosial dan ekonominya,” katanya di parlimen semalam, laporan The Star.

    Tambah beliau, kajian itu dijangka siap pada 12 Ogos tahun depan selepas ia bermula tahun ini pada Ogos. Selain itu, katanya, kajian itu telah menerima peruntukan sebanyak RM2.5 juta dan telah pun diluluskan di bawah pelan ke-empat Rancangan Malaysia ke-12.

    Ahmad Maslan juga berkata jika KKR memberi lampu hijau, lebuh raya itu akan dibina di bawah kontrak bina-operasi-pindah, yang memberi konsesi kepada syarikat swasta untuk membiayai, membina dan mengendalikan projek untuk tempoh 20 hingga 30 tahun sebelum menyerahkan semula lebuhraya kepada kerajaan.

     
     
  • Bolt dapat lesen beroperasi di Malaysia, akan dilancar

    Bolt dapat lesen beroperasi di Malaysia, akan dilancar

    Syarikat ride-hailing daripada Estonia, iaitu Bolt kini sudah mendapat lesen untuk beroperasi di Malaysia daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Melihat kepada senarai APAD bertarikh 9 Oktober 2024, Bolt Services MY telah menyertai 33 syarikat e-hailing berlesen lain untuk beroperasi di Malaysia secara sah.

    Di dalam aplikasi Bolt pula (iOS and Android), kini sudah ada notifikasi yang menunjukkan pelancaran rasmi akan diadakan tidak lama lagi. Sehingga sekarang, Bolt sudah beroperasi di 50 buah negara di dalam lima benua, termasuk Thailand yang merupakan pasaran Asia Tenggara pertamanya – Malaysia akan menjadi yang kedua.

    Menurut laman web rasmi syarikat itu, servis yang akan ditawarkan adalah termasuk ride-on-demand, penghantaran makanan, penghantaran barangan dapur, perkongsian kenderaan, sewa kenderaan mikromobiliti serta perjalanan kerja.

    Ketibaan Bolt ke Malaysia diketahui Mac lalu apabila syarikat itu memuat naik iklan kerja mencari pengurus bagi negara ini. Tidak lama selepas itu, mereka melancarkan pula laman khas untuk mencari pemandu di Malaysia.

     
     
  • Mercedes-AMG GLE63S, GLE63S Coupe 2024 dilancar — 4.0L biturbo V8, 612 PS/850 Nm, dari RM1.9 juta

    Mercedes-AMG GLE63S, GLE63S Coupe 2024 dilancar — 4.0L biturbo V8, 612 PS/850 Nm, dari RM1.9 juta

    Selain Mercedes-Benz GLC Coupe, Mercedes-AMG G63 dan Mercedes-AMG SL63, Mercedes-Benz Malaysia hari ini turut memperkenalkan dua model SUV mewah dengan prestasi terbaru untuk pasaran tempatan, Mercedes-AMG GLE63S 4Matic+ (V167) dan Merecedes-AMG GLE 4Matic+ Coupe (C167).

    Masing-masing dijual dengan harga RM1,191,888 dan RM1,229,888 (atas jalan belum termasuk insurans), kedua-duanya menggunakan enjin M177 4.0 liter biturbo V8 yang menjana sebanyak 612 PS/850 Nm, yang disertai juga oleh Integrated Starter Generator (ISG) dengan janaan 22 PS/250 Nm dan sistem elektrik 48-volt — menjadikannya kenderaan dengan teknologi mild-hybrid.

    Mercedes-AMG GLE63S, GLE63S Coupe 2024 dilancar — 4.0L biturbo V8, 612 PS/850 Nm, dari RM1.9 juta

    Fungsi penghidup dan alternatornya digabungkan ke dalam satu motor elektrik tunggal yang berada di antara enjin dan transmisi, membolehkan hadirnya fungsi hibrid seperti Start/Stop.

    SUV mewah prestasi ini juga lengkap dengan ciri LSD kawalan elektronik, sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic dan juga suspensi udara AMG Ride Control+ dengan penyerap hentak adaptif boleh laras. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 3.9 saat, sementara laju maksimum pula ialah 280 km/j dengan AMG Driver Package.

    Di luar, GLE 63S dan GLE63S Coupe menampilkan penggunaan lampu utama Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus. Untuk rim ia dilengkapi dengan saiz 22-inci dan rekaan 10 jejari yang dihiasi juga oleh angkup brek merah dan cakera berliang.

    Di belakang, rekaan lampu LED-nya adalah baru dan hadir juga sistem ekzos boleh pilih AMG Performance. Khusus untuk versi GLE63S Coupe, ada spoiler AMG turut disertakan. Selain itu, ada juga AMG Night Package, yang termasuk kemasan hitam berkilat.

    Di dalam, antara ciri yang disertakan ialah bumbung panoramik, head-up display, kerusi berliang, balutan kulit Nappa hitam AMG Exclusive yang digandingkan dengan kemasan gentian karbon AMG, stereng AMG Performance rata di bawah, 13-pembesar suara Burmester serta lampu ambient dengan pancaran logo AMG. MBUX terkini juga ada untuk sistem infoinment, dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar/Android Auto, bersekali dengan MBUX Augmented Reality Navigation.

    AMG Track Pace pula akan membolehkan tetapan SUV ini disesuaikan untuk kegunaan di dalam litar, lengkap dengan analisa data. AMG GLE baru ini juga dilengkapi dengan Driving Assistance Package yang termasuk di dalamnya fungsi seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Lane Keeping Assist dan Blind Spot Assist. Active Parking Assist dengan kamera 360° pula memudahkan lagi pemandu untuk meletak kenderaan. Selain itu, ada juga fungsi lain seperti PRE-SAFE® Impulse Side, GUARD 360° Vehicle Protection Plus, peninjau tekanan tayar dan Power Closing.

    Mercedes-AMG GLE 63

    Mercedes-AMG GLE 63 S Coupe

     
     
  • Royal Enfield Flying Flea didedah – motosikal elektrik dengan lima mod tunggangan, fork jenis girder

    Royal Enfield Flying Flea didedah – motosikal elektrik dengan lima mod tunggangan, fork jenis girder

    Pameran EICMA di Itali sudah pun bermula hari ini, dan antara yang awal membuat pengenalan model baru adalah Royal Enfield. Kali ini buat pertama kalinya, jenama dari United Kingdom tersebut menunjukkan kepada orang ramai motosikal elektrik mereka yang dipanggil sebagai Flying Flea.

    Ini sebenarnya adalah nama lama bagi model Royal Enfield tahun 40-an, yang dibuat untuk membantu askar sewaktu perang dunia kedua dan antara keistimewaannya adalah binaan serba ringan dan boleh diturunkan melalui udara setelah dipasang dengan payung terjun.

    Flying Flea baru yang merupakan motosikal elektrik ini juga dibuat dengan konsep yang sama, tetapi dengan rekaan yang lebih moden. Banyak bahagian dibuat daripada aluminium, termasuk kerangka (forged),lengan ayun serta fork yang menggunakan tetapan girder.

    Buat masa ini, Royal Enfield masih belum mendedahkan spesifikasi penuh Flying Flea memandangkan ia masih lagi melalui proses ujian akhir, tetapi ia diberitahu akan mempunyai lima mod tunggangan, Cornering ABS, cruise control, pengecas telefon tanpa wayar, meter digital serta sistem kunci pintar.

    Kuasa sebenar motosikal elektrik ini juga masih belum diketahui, tetapi berdasarkan laporan media yang berada di majlis pengenalannya, ia boleh dijangka mempunyai pelbagai pakej dengan kuasa seperti motosikal enjin pembakaran dalaman 125-150 cc, bergantung kepada pasaran.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC350e Coupé dan Mercedes-AMG GLC43 Coupé 2024 di M’sia – dari RM426k-RM499k

    Mercedes-Benz GLC350e Coupé dan Mercedes-AMG GLC43 Coupé 2024 di M’sia – dari RM426k-RM499k

    Hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan dua varian GLC Coupé serba mewah iaitu GLC 350e 4MATIC Coupé PHEV dan juga Mercedes-AMG GLC 43 Coupé 2024. Merupakan versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi dari kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, harga bagi GLC 350e Coupé PHEV bermula RM425,888 dan AMG GLC 43 Coupé pula berharga dari RM498,888, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Kini Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupé ditawarkan dengan versi plug-in hybrid. Diberikan enjin 2.0 liter dengan hamburan kuasa 206 PS (204 hp atau 150 kW) pada 6,000 rpm dan tork 320 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm. Digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 100 kW dan 440 Nm, menjadikan kuasa keseluruhannya mampu mencecah 317 PS (313 hp atau 230 kW) dan tork 550 Nm. Membolehkan ia dipecut dari titik pegun hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima hingga 220 km/j.

    Menurut pengeluar kenderaan premium Jerman ini, GLC 350 e 4MATIC Coupé ini diberikan bateri berkapasiti 31.2 kWh yang membolehkannya mencapai jarak gerak sehingga 131 km bagi pacuan elektrik sepenuhnya mengikut kitaran standard WLTP. Program pemanduan hibrid yang dipertingkatkan menyimpan mod pemanduan elektrik untuk laluan yang paling sesuai. Pacuan elektriknya diberikan keutamaan bagi perjalanan dalam bandar, sebagai contoh. Ia turut didatangkan dengan pengecas AC tiga-fasa berkapasiti 11 kW dan juga kabel pengecasan Mod 2 untuk menambahkan fleksibilitinya.

    Bagi rekaan luarannya, GLC 350 e 4MATIC Coupé ditampilkan penggayaan AMG Line yang diberikan Pencahayaan Digital yang merangkumi Adaptive Highbeam Assist Plus dengan jarak penglihatan yang tinggi dalam pelbagai keadaan pemanduan. Sistem ini juga boleh mengawal lampu utama LED dan kelebaran lampu tinggi serta bentuk kon pencahayaan mengikut situasi trafik semasa.

    Melengkapkan lagi gayanya, ia dipadankan bersama roda aloi ringan pelbagai-jejari AMG bersaiz 20-inci yang memberikan sudut pandang lebih sporty. Di samping itu, ia juga diberikan bumbung suria gelangsar panoramik, dan rel bumbung kemasan aluminium. Bahagian belakangnya pula diberikan dua bahagian lampu dengan elemen hitam dan merah gelap, serta sentuhan krom pada bahagian underguard.

    Masuk ke ruang kabin GLC 350 e 4MATIC Coupé, mata tertancap pada skrin resolusi tinggi bersaiz 12.3-inci yang seakan ‘terapung’ di hadapan tempat duduk pemandu. Ditambah pula dengan paparan sentral 11.9-inci pada konsol tengah di mana teknologinya menggabungkan arahan navigasi grafik dan informasi trafik kepada imej langsung.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah MBUX Augmented Reality Navigation yang membolehkan pemandu mengemudi situasi trafik yang kompleks, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Burmester® bersama 15-pembesar suara kawalan individual dan juga DSP amplifier yang cukup padu.

    Sentuhan dalaman AMG Line masih menjalari segenap ruang, termasuk rekaan tempat duduk upholstery kulit buatan tangan ARTICO, begitu juga dengan kemasan panel instrumen dan beltline yang menggunakan material kulit Nappa yang sama, dipadankan dengan elemen struktur metal. Model ini juga dilengkapi roda stereng sport pelbagai-fungsi dalam balutan kulit nappa.

    Untuk pakej Driving Assistance Plus, ia merangkumi Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, dan PRE-SAFE® Impulse Side. Ciri tambahan dengan Pakej Parkir yang termasuk kamera 360-darkah dengan ciri “transparent bonnet” dan bantuan parkir aktif dengan PARKTRONIC.

    Mercedes-AMG GLC 43 4Matic Coupé

    Mercedes-Benz GLC350e Coupé dan Mercedes-AMG GLC43 Coupé 2024 di M’sia – dari RM426k-RM499k

    Untuk Mercedes-AMG GLC 43 4Matic Coupé pula diberikan enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasanya mencecah 421 PS (418 hp atau 310 kW) pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm pada 5,000 rpm. Turut diberikan sistem hibrid ringkas 48-voltan berkuasa sekitar 14 PS (13 hp atau 10 kW) dan tork 150 Nm.

    Ia digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift MCT 9G sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic, membolehkan jentera prestasi ini dipecut dari 0-100 km/j dama 4.8 saat dan mencapai kelajuan maksima cecah 250 km/j.

    Selaras dengan tradisi AMG, enjin ini dibangunkan dan direka dengan teliti di Affalterbach, mematuhi prinsip ‘One Man, One Engine’. Ia merupakan kenderaan Mercedes-AMG pemasangan tempatan kedua yang menampilkan enjin buatan tangan, seperti mana Mercedes-AMG C 43 4MATIC. Kuasa berteknologi tinggi ini termasuk ciri termaju seperti turbo gas ekzos elektrik yang diinspirasikan oleh Formula 1®, suntikan terus dwi-peringkat dan bantuan hibrid yang menyampaikan kuasa dan ketepatan yang luar biasa.

    Kelengkapan yang diperluaskan untuk model prestasi ini termasuklah stereng gandar belakang sehingga 2.5-inci, pacuan semua-roda, transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G dengan klac permula basah dan suspensi AMG RIDE CONTROL dengan peredam adaptif yang menyokong pemanduan dinamik.

    Luarannya GLC 43 4Matic Coupé diserikan dengan rekaan lengkuk silhoutte yang menjalari dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Lampu utamanya disambung terus ke bahagian atas gril radiator spesifik-AMG, membuatkan jentera ini kelihatan lebih lebar dari pandangan mata. Model ini juga dilengkapi dengan Pencahayaan Digital yang sentiasa menyesuaikan pencahayaan jalan dengan situasi pemanduan yang berbeza. Ditambah pula dengan apron hadapan AMG yang lebih besar yang menampilkan rekaan sayap jet dengan corong pengambilan udara yang lebih besar, sirip menegak, dan flics tersendiri sekaligus mencipta rupa yang menarik dan unik.

    Kemasan gerbang roda pula sama dengan warna badan dan kemasan skirt sisi AMG disepadukan dengan bentuk asas elegan. Melengkapkan lagi gayanya dengan padanan roda aloi-ringan jejari-Y AMG bersaiz 21-inci dan kaliper brek rona perak.

    Dengan AMG Night Package, beberapa elemen luaran juga diberikan kemasan hitam berkilat termasuklah
    underride guard pada apron hadapan AMG, perumah cermin luaran, jaluran kemasan bagi beltline, kemasan jaluran bampar belakang dan beberapa lagi.

    Manakala pandangan yang lebih menambat jiwa diserlahkan menerusi bentangan kabin GLC 43 4Matic Coupé, yang tidak kalah dari sudut rekaan dalamanya. Tempat duduk sport AMG dalam balutan kulit buatan tangan ARTICO digabungkan bersama MICROCUT AMG microfiber upholstery bersama grafik unik dijadikan pilihan utama dalam menyerlahkan gaya dalaman model prestasi ini. Ditambah pula dengan penampilan roda stereng AMG Performance dalam balutan kulit Nappa, digandingkan bersama pedal penukar gear aluminium rona perak.

    Melengkapi gaya sporty dengan kehadiran dua butang bulat AMG membolehkan operasi pantas dan tepat pelbagai fungsi dinamik pemanduan dan program pemanduan AMG DYNAMIC SELECT, elemen kemasan gentian karbon AMG, kemasan hitam berkilat pada konsol tengah dan juga tali pinggang keledar MANUFAKTUR berwarna merah.

    Bagi sistem infotainmen MBUX pula, ia merangkumi beberapa fungsi dan paparan spesifik-AMG, termasuklah paparan berasingan pada kluster instrumen, paparan sentral multimedia format potret pada konsol tengah dan juga paparan utama. Gaya eksklusif AMG “Supersport” turut ditawarkan bagi memaparkan beberapa kandungan menerusi struktur menegak.

    Ini termasuklah set-up menu yang menunjukan ketetapan casis atau transmisi semasa. Pemandu juga boleh menetapkan peta navigasi atau data penggunaan dalam gaya “Supersport”.

    Selain itu, ia juga menampilkan AMG TRACK PACE iaitu pencatat data yang boleh digunakan di litar lumba. Di mana perisian ini merekodkan lebih 80 data khusus kenderaan sepuluh kali sesaat semasa memandu di sekitar litar lumba termasuk kelajuan, pendikitan, sudut stereng dan operasi pedal brek.

    GLC 350e Coupé PHEV (kiri) & AMG GLC 43 Coupé (kanan)

    Ciri lain yang turut diberikan termasuklah sistem bunyi sekeliling Burmester® 3D, paparan MBUX untuk navigasi, KEYLESS-GO Comfort Package, kawalan suhu automatik THERMOTRONIC, EASY-PACK tailgate dan pencahayaan ambien.

    Untuk aspek bantuan pemanduan, ia dilengkapi dengan Driving Assistance Package Plus termasuk Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan PRE-SAFE Plus. Selain turut diberikan ciri Active Parking Assist dengan PARKTRONIC dan kamera 360° yang juga boleh mengesan ruang parkir kosong.

    Sekali lagi, kedua-dua model GLC Coupé ini telah pun berada di pasaran Malaysia dengan harga bermula RM425,888 bagi GLC 350e Coupé PHEV dan AMG GLC 43 Coupé pula berharga dari RM498,888. Harga yang dinyatakan ini belum termasuk insurans, tetapi disertakan sekali dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Mercedes-Benz GLC 350e 4MATIC Coupé PHEV 2024

    GALERI: Mercedes-AMG GLC43 4Matic Coupé 2024

     
     
  • Mercedes-AMG SL63 4Matic+ dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, V8 4.0L turbo berkembar, 585 PS/800 Nm

    Mercedes-AMG SL63 4Matic+ dilancar di Malaysia –  RM1.9 juta, V8 4.0L turbo berkembar, 585 PS/800 Nm

    Selepas membawa model ‘asas’ roadster SL talaan AMG generasi baharu iaitu SL43 tahun lalu, hari ini Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi melancarkan versi paling berkuasa Mercedes-AMG SL63 4Matic+ pada pasaran tempatan. Jika SL43 dijual pada harga hampir RM1 juta, SL63 ini pula diumum dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,898,888!

    SL63 ini masih belum menerima enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris dengan sistem PHEV seperti C63 generasi baharu, sebaliknya ia masih ‘mengaum’ dengan enjin M177 V8 4.0 liter turbo berkembar yang menjana 585 PS dan tork maksima 800 Nm.

    Ia digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ yang membolehkan tork diagihkan pada semua roda atau pemandu boleh memilih agar ia menjadi sebuah jentera pacuan roda belakang sebenar.

    Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pakej AMG Dynamic Plus yang memberikan LSD elektronik AMG pada gandar dan cagak-cagak enjin dinamik serta mod ‘Race’ selain mod pemanduan lain termasuk Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    Mercedes-AMG SL63 4Matic+ dilancar di Malaysia –  RM1.9 juta, V8 4.0L turbo berkembar, 585 PS/800 Nm

    Gandingan semua ini membolehkan Mercedes-AMG SL63 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 315 km/j. Sebagai perbandingan, SL43 hanya menerima enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 381 PS/480 Nm hanya memacu roda belakang yang membolehkan ia memecut pada jarak sama dalam masa 4.9 saat dan mencatat kelajuan maksima 275 km/j.

    Bagi menampung unit rangkaian kuasa yang lebih buas ini, SL63 turut menerima suspensi adaptif AMG Active Ride Control, serta dibantu sistem penstabil anti-oleng aktif dan juga stereng untuk roda belakang yang memberikan putaran arah sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kelincahannya.

    Pada bahagian luaran, SL63 ini menampilkan rupa yang lebih garang berbanding SL43 menerusi rekaan bampar hadapan dengan bahagian ambilan udara sisi yang direka lebih agresif, bersama bampar belakang dengan tambahan liang udara sisi serta unit diffuser yang tampil dengan tip ekzos bersegi.

    Mercedes-AMG SL63 4Matic+ dilancar di Malaysia –  RM1.9 juta, V8 4.0L turbo berkembar, 585 PS/800 Nm

    SL63 ini juga diberikan rim aloi forged AMG 10-jejari berdiameter 21-inci. Juga dapat dilihat adalah set brek AMG dengan angkup dalam kemasan kuning. Antara perincian standard yang turut dibekalkan untuk SL63 pasaran Malaysia ini termasuk AMG Night Package, AMG Exterior Carbon Package, sistem lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

    Model generasi terbaharu ini kembali menggunakan bumbung fabrik yang kali terakhir digunakan pada SL generasi R129. Bumbung ini terbuka sepenuhnya dalam masa 15 saat, dan boleh beroperasi pada kelajuan 60 km/j ke bawah. Dengan bumbung fabrik ini juga membolehkan SL geneasi baharu tersebut kembali menawarkan dua lagi tempat duduk di belakang.

    Dalam kabin, SL63 terbaharu ini datang dengan tempat duduk kulit Nappa AMG Performance, pelapik bumbung Manufaktur dengan gentian mikro Microcut hitam, perapi-perapi gentian karbon AMG, roda stereng AMG Performance, sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan skrin potret 11.9-inci dan pakej Driving Assistance.

    Setiap pembelian Mercedes-AMG SL63 ini akan dilindungi oleh waranti selama empat-tahun tanpa had perbatuan.

     
     
  • Mercedes-AMG G63 facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

    Mercedes-AMG G63 facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

    Dalam acara Luxury Like No Other hari ini, Mercedes-Benz Malaysia turut melancarkan versi facelift untuk SUV lasak Mercedes-AMG G63 yang menampilkan pelbagai pembaharuan bagi memastikan ia terus kekal relevan dalam pasaran. Ia diumum dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1,948,888, atau sekitar RM150,000 lebih mahal dari versi terdahulu.

    Model ini masih lagi kekal digerakkan oleh enjin M177 4.0 liter V8 disuap pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 585 PS dan tork maksima 850 Nm. Namun bagi model facelift ini ia sudah ditambah dengan sistem hibrid elektrik ringkas 48-volt, yang menampilkan unit motor starter-generator dipacu tali sawat (BSG) yang memberikan tujahan tambahan 20 PS/200 Nm apabila diperlukan.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda kekal yang menampilkan tiga unit locking differential. Padanan ini membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 4.4 saat, atau 0.1 saat lebih pantas dari versi sebelumnya. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pakej AMG Performance yang membolehkan kelajuan maksimanya mencapai 240 km/j berbanding 220 km/j untuk versi biasa.

    Mercedes-AMG G63 facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

    Walaupun G-Wagen ini masih sebuah SUV dengan casis ladder frame serta sistem pacuan empat roda klasik dengan gandar solid pada bahagian belakang, ia masih boleh dipandu dengan selesa dan meredah selekoh pada jalan raya biasa dengan baik menerusi pemadanan suspensi adaptif AMG Active Ride Control.

    Seperti biasa, sekali tengok G-Wagen facelift yang dikenali dengan kod W465 ini nampak macam seakan sama sahaja seperti model sebelumnya. Namun sebenarnya ada beberapa perubahan kecil luaran yang dibuat pada sebelah luar termasuk liang ambilan udara pada bampar hadapan yang lebih besar serta rombakan kecil pada rekaan bampar belakang termasuk kamera undur yang telah diletakkan pada bahagian atas perumah nombor pendaftaran.

    Antara perincian AMG pada bahagian luaran bagi membezakan ia dengan G-Wagen biasa termasuk liang udara sisi bampar yang direka seakan sirip ikan jerung, emblem AMG pada penutup bonet, gril Panamericana, cakera brek ditebuk, rim aloi forged AMG 22-inci, tip ekzos yang keluar pada sisi badan dan penutup corong isian petrol AMG berwarna perak.

    Mercedes-AMG G63 facelift 2024 dilancar di Malaysia – RM1.9 juta, 585 PS, hibrid ringkas, 0-100 km/j 4.4 saat

    MBM menyertakan AMG Night Package secara standard untuk G63 facelift pasaran Malaysia ini yang memberikan kemasan gelap pada gril hadapan, cermin sisi dan juga skid plate palsu di bawah bampar hadapan.

    Pada bahagian dalaman, model facelift ini telah diberikan lebih banyak penebat bunyi bagi mengurangkan bunyi angin yang masuk ke kabin. Ia juga kini turut sudah menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), menampilkan skrin sesentuh 12.3-inci, sistem arahan suara “Hey Mercedes”, navigasi AR, serta hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Ia juga menerima paparan Offroad Cockpit bagi membantu pemandu meredah laluan lasak, serta paparan instrument digital 12.3-inci bersama AMG Track Pace dan data logger. Seperti model-model AMG lain, G63 ini juga menerima banyak perapi-perapi dalaman gentian karbon serta roda stereng AMG Performance baharu dengan butang-butang kawalan kapasitif dan suis putar.

    Buat pertama kali menerusi G63 facelift ini, Mercedes telah memberikan sistem kemasukan tanpa kunci, dengan butang kunci diletakkan pada pembuka pintu sebelah luar. Liang udara pada tiang-D juga kini lebih besar bagi membolehkan pintu ditutup lebih mudah dengan membebaskan lebih banyak tekanan udara dari dalam kabin.

    Antara perincian standard yang dibekalkan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, bumbung suria, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, upholsteri kulit Nappa, pemegang cawan dengan pemanas dan penyejuk, pengecas tanpa wayar Qi, monitor belakang berkembar 11.6-inci, sistem bunyi Burmester 3D dengan 15-pembesar suara, bantuan parkir dan sistem kamera 360-darjah dengan fungsi “bonet telus”.

    Untuk keselamatan, Mercedes-AMG G63 facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan termasuk bantuan kekal tengah lorong, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, pemantau titik buta, amaran buka pintu, dan lamou tinggi adaptif.

    Setiap pembelian Mercedes-AMG G63 facelift 2024 ini akan diberikan perlindungan waranti selama empat-tahun, tanpa had perbatuan.

     
     
  • Kerajaan sudah salur RM7.4 juta untuk pembangunan pelbagai sukan bermotor tahun ini – Adam Adli

    Kerajaan sudah salur RM7.4 juta untuk pembangunan pelbagai sukan bermotor tahun ini – Adam Adli

    Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyatakan bahawa kerajaan semamangnya tiada dana khusus untuk pembangunan sukan bermotor, namun menurutnya sukan berkenaan tetap menerima sokongan menerusi pelbagai dana dan geran yang disediakan.

    Beliau menyatakan perkara tersebut di dalam Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab pertanyaan Wakil Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berhubung inisiatif kementerian untuk mempromosikan sukan permotoran, lapor Berita RTM.

    Adam menyatakan bahawa sebanyak RM7.4 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan permotoran di seluruh negara pada tahun ini, di mana peruntukan tersebut merangkumi perbelanjaan mengurus, Dana Sukan Komuniti, Geran Padanan Sukan, dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara.

    “Peruntukan ini digunakan untuk melaksanakan program-program pemerkasaan, termasuk penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan seperti minibike dan pushbike, serta latihan kemahiran asas dalam sukan go-kart, rally, drift, cub prix, pocket bike, dan motocross.

    “Selain itu, turut dilaksanakan adalah Bengkel Pemurnian Modul Disiplin Sukan Enduro, Kursus Marshal, dan Kursus Pemanduan Selamat,” katanya

     
     
  • Malaysia tamatkan penggunaan semua kenderaan NGV mulai 1 Julai 2025; Petronas tawar bantuan peralihan

    Malaysia tamatkan penggunaan semua kenderaan NGV mulai 1 Julai 2025; Petronas tawar bantuan peralihan

    Kerajaan malaysia memutuskan mulai 1 Julai 2025, semua kenderaan yang menggunakan gas asli (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan untuk kegunaan atas jalan raya di negara ini. Perkara ini dimuktamadkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai, laporan Bernama.

    “Berdasarkan rekod, tempoh kemuncak bagi pengubahsuaian dan pemasangan kit kenderaan NGV adalah antara 1995 hingga 2014. Tempoh ini memberi indikasi bahawa keseluruhan kenderaan terlibat pada hari ini telah berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV dan perlu diganti.

    “Tangki-tangki NGV ini mempunyai had tempoh penggunaan selamat dalam lingkungan 15 tahun dan sekiranya tidak diganti, ia tidak selamat digunakan dan boleh gagal berfungsi pada bila-bila masa sahaja serta boleh mendatangkan bahaya kecederaan, kematian dan kerosakan harta benda yang dahsyat,” katanya pada sidang media pengumuman dasar penggunaan NGV negara hari ini.

    Malaysia tamatkan penggunaan semua kenderaan NGV mulai 1 Julai 2025; Petronas tawar bantuan peralihan

    Tambahnya, Petronas akan mula menghentikan penjualan bahan api NGV di stesen minyaknya secara berperingkat, dengan proses itu bermula serta-merta sebelum penamatan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025, laporan The Star. Langkah itu akan memberi kesan kepada hampir 45,000 kenderaan. Pada masa ini, terdapat 9,509 teksi NGV, 32,137 NGV pendaftaran persendirian, 2,150 bas dan lori bahan api gas asli dan 587 jentera NGV yang beroperasi di seluruh negara.

    Beliau turut mengumumkan Petronas juga akan melaksanakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV. Bagi pemandu teksi NGV yang masih aktif, mereka layak menerima bantuan e-baucer bernilai RM3,000 secara one-off yang akan dikreditkan menerusi aplikasi Setel. Walau bagaimana pun, kenderaan tersebut mesti berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 1 Oktober.

    Sementara bagi pemilik kenderaan dwi bahan api (NGV, diesel, petrol) yang masih aktif, boleh menanggalkan kit NGV mereka secara percuma di bengkel yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan. Manakala bagi pemilik kenderaan bahan api tunggal NGV yang masih aktif, akan menerima pembayaran secara one-off mengikut nilai terkini kenderaan mereka, namun perlu membuat pembatalan pendaftaran JPJ sebelum 31 Disember ini dan melupuskan kenderaan menerusi wakil berdaftar Authorised Automotive Treatment Facility (AATF).

     
     
  • Lebuhraya KL-Karak: Projek pelebaran dijangka bermula Jan 2025, termasuk terowong dua lorong

    Lebuhraya KL-Karak: Projek pelebaran dijangka bermula Jan 2025, termasuk terowong dua lorong

    Projek pelebaran lorong tambahan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka bermula pada Januari 2025, Dewan Rakyat diberitahu hari ini, laporan Bernama. Ia adalah bagi menangani isu kesesakan terutama pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.

    Syarikat konsesi lebuhraya terbabit, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Anih Berhad) sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk projek berkenaan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

    “Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan Perjanjian Konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuhraya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

    Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai rancangan kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuhraya KLK dan sama ada terdapat laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.

    Lebuhraya KL-Karak: Projek pelebaran dijangka bermula Jan 2025, termasuk terowong dua lorong

    Projek pelebaran tersebut akan membabitkan jarak sepanjang 45.3 kilometer dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuhraya terbabit. Antara skop kerja pelebaran Lebuhraya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah) dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).

    Skop kerja itu juga akan membabitkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur.

    Menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat sama ada kerajaan bercadang untuk mengurangkan operasi semasa tiga plaza tol di Karak, Bentong dan Gombak kepada satu plaza tol di lokasi yang sesuai, Ahmad Maslan berkata Lebuhraya KL-Karak beroperasi di bawah sistem tol terbuka, dan sebarang penyatuan daripada tiga tol kepada satu akan mempunyai implikasi pada perjanjian terdahulu yang telah ditandatangani.

     
     
  • Modenas Eliminator 500 tiba di Malaysia – RM30,100

    Modenas Eliminator 500 tiba di Malaysia – RM30,100

    Selain ZX-6R, Modenas turut melancarkan cruiser Eliminator 500 untuk pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM30,100 tidak termasuk insurans. Pilihan warna yang diberi adalah Pearl Robotic White dan Metallic Spark Black.

    Sementara di Thailand Eliminator ini hadir sebagai versi 400 yang menggunakan enjin dua silinder 399 cc sama seperti Ninja 400 dan Z400, model yang dijual di Malaysia pula mempunyai kapasiti enjin 451 cc, sama seperti model yang dipasarkan di Amerika Syarikat.

    Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 45.4 PS pada 9,000 rpm dan tork 42.6 Nm pada 6,000 rpm, disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Eliminator menggunakan rim berlainan saiz, iaitu 18 inci di hadapan, dibalut tayar 130/70 dan 16 inci di belakang, dibalut tayar 150/80, manakala brek pula terdiri daripada tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan 220 mm di belakang.

    Memegang rodanya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, manakala perincian lain adalah termasuk tangki bahan api 13 liter, panel intrumen digital LCD, berat keseluruhan 176 kg dan tinggi tempat duduk adalah 735 mm.

     
     
  • Kawasaki ZX-6R dilancar di Malaysia – RM59,900

    Kawasaki ZX-6R dilancar di Malaysia – RM59,900

    Kawasaki ZX-6R, yang sudah dipasang di Malaysia oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) sejak Mei lalu, tetapi untuk pasaran eksport kini akhirnya dilancarkan di Malaysia. Ia dijual pada harga RM59,900 tidak termasuk insurans dan diberikan pilihan dua warna, iaitu Metallic Flat Spark Black/Ebony dan Lime Green/Ebony.

    Memacu model sports ini adalah enjin empat silinder sebaris berpenyejukan cecair 636 cc, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 124 PS pada 13,000 rpm (129 PS apabila Ram Air beroperasi) dan tork berada pada tahap 69 Nm pada 11,000 rpm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan bagi memudahkan penggunaan serta menjamin prestasinya, ia dilengkapi dengan klac jenis assist & slipper serta quickhshifter secara standard.

    Kawasaki ZX-6R dilancar di Malaysia – RM59,900

    Pada bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan unit yang boleh dilaras sepenuhnya depan dan belakang, dengan unit fork Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) 41 mm di hadapan dan monoshock yang disambung dengan Uni-Trak di belakang. Brek menggunakan set berkembar cakera 310 mm serta angkup Nissin empat piston di hadapan.

    Kelengkapan lain yang ada pada ZX-6R adalah termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), tiga mod tunggangan, panel instrumen TFT-LCD 4.3 inci, kerangka aluminium twin-spar, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 795 mm dan berat keseluruhan 163 kg.

    GALERI: Kawasaki ZX-6R CKD untuk pasaran eksport

     
     
  • BYD Sealion 7 sah akan tiba di Malaysia – SUV elektrik yang akan beri saingan kepada Tesla Model Y

    BYD Sealion 7 sah akan tiba di Malaysia – SUV elektrik yang akan beri saingan kepada Tesla Model Y

    Semasa BYD mengeluarkan teaser minggu lepas, kami tertanya, Sealion mana yang mereka maksudkan. Sekarang jawapannya sudah ada, diberitahu melalui satu hantaran terbaru hujung minggu lalu. Meskipun gambar yang disiarkan gelap, kita masih boleh mengenali itu adalah lampu Sealion 7.

    Mencatat ukuran 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak roda 2,930 mm — turut dikenali sebagai Sea Lion 7 di pasaran domestiknya — ia merupakan pesaing kepada Tesla Model Y. Output motornya di pasaran lain ialah antara 228 hp (150 kW) hingga 308 hp (230 kW) dan 523 hp (390 kW) — dua yang terakhir ini masing-masing seperti yang dilihat pada Seal Premium Extended Range dan Performance AWD.

    Di Eropah, di mana Sealion 7 baru dilancarkan, dua kapasiti bateri diumumkan — jenis lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti yang paling besar ialah 91.3 kWh (82.5 kWh boleh diguna) yang memberikan jarak 550 km (WLTP). Untuk pengecasan, ia dilengkapi dengan kadar hingga 230 kW DC, membolehkan tahap dari 30%-80% diperoleh dalam tempoh 25 minit.

    Akhirnya di dalam teaser itu tertulis lagi “Banyak lagi akan didedah minggu depan.” Bersama kita tunggu.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 5-9 November 2024 di Balai Polis Tun H.S Lee, KL

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 5-9 November 2024 di Balai Polis Tun H.S Lee, KL

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih pada 5 hingga 9 November 2024. Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang bertempat di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. Semua transaksi pembayaran saman adalah secara tanpa tunai (cashless).

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di sekitar Kuala Lumpur, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Sebanyak 12,296 kenderaan telah diperiksa di seluruh negara oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada hari pertama pelaksanaan Operasi Khas Motosikal 2024 yang bermula pada 1 November lalu, laporan The Star.

    Daripada jumlah itu, 6,756 daripadanya adalah motosikal, dengan 5,540 kenderaan adalah kenderaan lain, kata Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan. Hari pertama operasi itu turut menyaksikan tindakan diambil terhadap 1,405 kenderaan termasuk 1,003 motosikal dengan 15 kenderaan lain turut disita.

    “Operasi khas ini dijalankan kerana statistik menunjukkan jumlah kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya semakin meningkat, dengan 70% daripada kes ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal,” kata Muhammad Kifli.

    Pemeriksaan setakat ini mendapati lebih 50% pengguna jalan raya berumur antara 18 dan 30 tahun, manakala kesalahan biasa termasuk tidak mempunyai lesen, cukai jalan atau insurans, serta pengubahsuaian berlebihan motosikal, kata pengarah penguatkuasa kanan JPJ itu lagi.

    Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Pelaksanaan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 itu susulan kenaikan trend dalam statistik kemalangan jalan raya maut bulanan yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya membabitkan penunggang motosikal, iaitu meningkat sebanyak 1,908, atau 80%, kata JPJ pada minggu lepas. Operasi itu dijadualkan berlangsung selama dua bulan iaitu dari 1 November hingga 31 Disember 2024.

    JPJ turut menyenaraikan lapan kesalahan utama yang bakal diambil berat dalam operasi kali ini bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian iaitu tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM)/tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubahsuai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.

     
     
  • Remaja maut kena renjatan elektrik ketika cas telefon dalam bas – MOT tubuh pasukan khas untuk siasat

    Remaja maut kena renjatan elektrik ketika cas telefon dalam bas – MOT tubuh pasukan khas untuk siasat

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menubuhkan pasukan petugas khas (special taskforce) bagi menjalankan siasatan terhadap insiden seorang remaja lelaki berusia 18 maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit dalam bas ekspres yang berlaku di Pulau Pinang pada 1 Nov lalu. Malah MOT turut mengarahkan operasi bas berkenaan digantung serta merta, laporan Bernama.

    Menteri MOT Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang ditugaskan untuk menyiasat punca insiden berkenaan.

    Dalam catatan di laman Facebook rasminya, Loke berkata, “Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja semalam semasa mengecas telefon dalam bas ekspress yang dinaikinya. Pasukan Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca insiden tersebut adalah bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.”

    Pada Jumaat lalu, dilaporkan remaja lelaki terbabit maut akibat renjatan elektrik sewaktu mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket kuasa di dalam bas di Penang Sentral.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata, mangsa ditemui meninggal dunia pada jam 6.10 petang, dengan pemeriksaan awal mendapati kesan melecur di jari kirinya. Bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Di mana hujung kabel yang digunakan mangsa turut cair dan telefon terbabit juga berada dalam keadaan panas.

     
     
  • KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket bermula 1 Januari depan di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata inisiatif itu bertujuan membentuk masyarakat lebih cekap dan berdaya saing. Di mana ia selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah digitalisasi yang mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan, laporan Bernama.

    “Langkah itu juga bertujuan menyokong usaha kepimpinan negara untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital berdaya saing, termasuk transformasi kepada masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society’.

    “KTMB kini dalam fasa peralihan hingga akhir tahun ini, untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada kepada orang ramai khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun depan. Sepanjang tempoh peralihan, semua kaunter tiket masih menerima transaksi tunai, namun apabila inisiatif ini dilaksanakan kelak, semua transaksi akan dilakukan secara tanpa tunai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    Beliau turut berkata, pelbagai medium dan hebahan dilaksanakan bagi menguar-uarkan kempen ini. Antaranya, pemakluman notis dan video melalui media sosial rasmi KTMB, edaran bahan-bahan promosi di stesen dan pengumuman di dalam tren.

    “KTMB turut menjalin kerjasama dengan bank tempatan untuk membuka reruai pendaftaran pembukaan akaun di stesen terpilih bagi mereka yang belum memiliki kad debit. Selain itu, kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan membantu pelanggan, khususnya untuk mendaftar Aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket melalui KITS atau mesin kios tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link,” katanya.

    Bagi menggalakkan orang ramai menyokong kempen tanpa tunai, sebanyak 500 mata ‘railpoints’ percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal akan diberi manakala KTM Komuter bakal mengedarkan 1,000 kad Komuter Linsecara percuma dalam menguar-uarkan inisiatif peralihan mod pembayaran.

     
     
  • JPJ eBid: Siri QLF dan KFX dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Sarawak dan Kedah yang sedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QLF sudah pun dibuka bidaan sejak semalam, 3 November 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 7 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 November 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFX, pula dibuka bidaan mulai hari ini, 4 November 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 November 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS terlibat dengan kempen panggil balik terkini – JPJ


    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan aktiviti panggilan semula (product recalled) yang melibatkan 3,722 kenderaan model keluaran Perodua iaitu Alza dan Aruz serta motosikal Honda CB350RS. Kesemuanya melibatkan model keluaran tahun 2024.

    Bagi Alza, sebanyak 2,518 unit bagi ketiga-tiga varian iaitu Alza X, Alza H dan Alza AV yang terlibat dengan siri panggilan semula ini. Manakala bagi Aruz pula, ia melibatkan 1,139 unit untuk varian X dan AV. Untuk kedua-dua model keluaran Alza ini, iadisebabkan ketinggian sasaran lampu utama yang tidak memenuhi pera turan spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ.

    Manakala bagi Honda CB350RS pula, sebanyak 65 unit motosikal yang terlibat yang disebabkan permasalahan pada sensor kelajuan roda yang menyebabkan sistem ABS, traction control dan meter had laju tidak tepat.

    Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS terlibat dengan kempen panggil balik terkini – JPJ

    “Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing (atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara).

    “Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

    Untuk pemilik kenderaan yang terlibat, anda boleh menghubungi Perodua menerusi talian 1-800-88-6600, layari laman web atau aplikasi uFirst. Manakala bagi motosikal keluaran Boon Siew Honda, sila hubungi 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line) atau layari PAUTAN INI.