Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    Baru-baru ini, BYD Sealion 7 kelihatan di Port Klang, berada di atas treler pengangkut, seperti yang dikongsikan menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook. SUV elektrik ini bakal dilancarkan di sini pada 14 November (Khamis ini), sementara tempahannya telah pun dibuka sejak 6 November lalu.

    Setakat ini, apa yang kami tahu, Sealion 7 untuk pasaran Malaysia bakal menerima output 530 PS dan tork 690 Nm hasil penjana kuasa elektrik dwi-motor AWD, yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan mampu capai jarak gerak sekitar 542 km mengikut standard NEDC.

    BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    Bagi kapasiti baterinya, model pasaran Hong Kong menerima pek bateri 82.56 kWh yang boleh dicaj dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW dan AC 11 kW. Sementara pasaran Eropah pula menerima bateri 91.3 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 230 kW.

    Selain pasaran seperti Hong Kong, Sealion 7 juga ditawarkan dengan penjana kuasa motor-tunggal RWD 313 PS dan 380 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat dan jarak gerak sekitar 567 km mengikut standard NEDC dalam pengecasan penuh.

    Jika sedan BYD Seal merupakan pesaing buat Tesla Model 3, bagi BYD Sealion 7 pula dijangka bakal memberikan persaingan sengit buat Tesla Model Y di Malaysia. Namun adakah ia mampu meraih populariti yang sama seperti versi sedan itu?

    GALERI: BYD Sealion 7

     
     
  • Honda Racing bangunkan enjin K20C dari Civic Type R untuk hasilkan 600 HP bagi kegunaan perlumbaan

    Honda Racing bangunkan enjin K20C dari Civic Type R untuk hasilkan 600 HP bagi kegunaan perlumbaan

    Honda Racing Corporation (HRC) kini sedang membangunkan enjin HRC-K20C, iaitu enjin yang diasaskan dari unit 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type R untuk ditawarkan kepada pelanggan bagi digunakan dalam pelbagai perlumbaan.

    Dalam keadaan standard, enjin tersebut sudahpun mampu untuk menghasilkan kuasa 330 PS dan 420 Nm bagi membolehkan Civic Type R FL5 menjadi hot-hatch produksi terpantas di Litar Nürburgring, Jerman. Manakala bagi enjin HRC-K20C ini, ia akan ditawarkan dalam empat spesifikasi bermula dengan Spec A berkuasa 300 HP hingga Spec D berkuasa 600 HP dan kesemuanya dibangunkan agar boleh bertahan digunakan secara lasak dalam perlumbaan.

    HRC-K20C Spec B telahpun diletakkan di dalam lima buah kereta lumba Acura Integra Type S DE5 di Amerika Utara, di mana kesemua kereta tersebut berlumba dalam perlumbaan Touring Car TC America dalam kelas TCX. Ia juga menjana kereta lumba Acura Integra yang digunakan dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb pada Jun lalu.

    Enjin Spec B ini menggunakan blok silinder yang diperkuat menerusi proses tuangan istimewa berasaskan blok produksi K20A, dan ia masih dikilangkan di Kilang Enjin Anna Honda di Ohio, Amerika Syarikat. Ia masih lagi menggunakan banyak komponen yang sama seperti enjin K20A produksi kecuali omboh, rod penghubung dan bolt yang diperkuat, jet-jet dan sesekat minyak pelincir yang dipertingkat serta blok yang disebut tadi.

    Pada 7 November lalu HRC turut menguji enjin HRC-K20C Spec D pada jentera lumba single-seater Super Formula SF19. Enjin Spec D ini bukan hanya ditala bagi menghasilkan 600 hp, malah ia turut boleh menggunakan sistem pelincir jenis dry sump serta boleh dipadankan pada casis kereta lumba Formula seperti SF19 ini.

    Menurut HRC, kesemua enjin ini dibangunkan bagi boleh digunakan dalam pelbagai kategori perlumbaan dengan pelbagai kelas kuasa kuda, serta seimbang dari segi potensi dan menampilkan kos rendah. Sayap perlumbaan Honda itu menyatakan bahawa ia kini sedang meneroka bagi memasarkan enjin ini untuk pasukan-pasukan lumba luar yang memerlukan.

     
     
  • Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan sebanyak 200 unit SUV segmen-C Haval H6 HEV yang diproduksi menerusi kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka. Model berkenaan baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan pada 9 Oktober lalu, dan kini ia telahpun menerima lebih dari 1,500 tempahan.

    Model ini ditawarkan hanya dalam satu varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung sutina panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

    Haval H6 HEV ini ditawarkan dengan waranti kenderaan dari pengeluar selama 7 tahun atau 200,000km. Ia juga diberikan waranti khas untuk enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

    Waranti enjin dan sistem hibrid berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Khas untuk pembeli yang mendaftar Haval H6 pada tahun 2024, mereka akan menerima pakej servis percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti) selama 5 tahun. Manakala jika anda merupakan seorang pemilik mana-mana kenderaan jenama Haval, GWM Malaysia turut memberikan rebat tambahan sebanyak RM3,000 sekiranya membeli SUV ini.

    Sebelum dilancarkan, kami telahpun menguji SUV ini dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Yamaha perkenal Y16ZR Edisi Terhad 6MRO sempena produksi ke-6 juta — 3,000 unit, harga RM13,668

    Yamaha perkenal Y16ZR Edisi Terhad 6MRO sempena produksi ke-6 juta — 3,000 unit, harga RM13,668

    Sempena meraikan pencapaian pengeluaran ke-6 juta unik motosikalnya, serta ulang tahun ke-45 Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) beroperasi di Malaysia, syarikat itu kini memperkenalkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6MRO. Ditawarkan hanya dalam 3,000 unit sahaja, motosikal ini menampilkan skim warna berbeza di kedua-dua sisinya dengan menggunakan tema warna yang menyerlah.

    Yamaha Y16ZR edisi terhad ini juga didatangkan dengan nombor siri unik bagi setiap satunya dengan lencana khas “6MRO”. Juga tidak ketinggalan, pertama kali ditawarkan oleh Yamaha untuk versi ini ialah lencana “glow in the dark”. Selain itu ada perincian dengan apa yang dipanggil sebagai “chameleon effect” yang menggunakan grafik UV istimewa dengan kesan warna bertukar dengan peralihan cahaya.

    Ada juga pakej cenderahati eksklusif yang didatangkan khusus untuk model edisi terhad ini. Ia terdiri daripada satu kotak khusus yang di dalamnya terdiri daripada seutas jam tangan hasil kerjasama dengan Casio Jepun yang menerapkan skim warna yang sama dengan badan motosikal terbabit. Kedua ialah plat sijil logam dengan ukiran timbul dengan nombor siri eksklusif yang sama, dengan bingkai warna emas dan terakhir, model “die cast” Yamaha Y16ZR 6MRO.

    Satu lagi aksesori yang disertakan ialah helmet eksklusif daripada Tekhne Helmet, yang juga datang dengan nombor siri dan skim warna yang sedondon dengan imej keseluruhan motosikal.

    Harga jualan bagi motosikal edisi terhad ini ialah RM13,668, belum termasuk yuran pendaftaran dan insurans. Tiada perbezaan bagi spesifikasi mekanikal berbanding Y16ZR biasa.

    Gambar rasmi

     
     
  • PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    Sedan merupakan satu segmen yang dilihat teruk diancam oleh kewujudan SUV. Tengok sahaja pasaran sedan segmen-D yang kini semakin pupus, sementara sedan segmen-C hanya dikuasai oleh dua model iaitu Honda Civic dan Proton S70. Namun untuk pasaran lebih marhaen, sedan nampaknya masih lagi diperlukan sebagai kenderaan keluarga yang versatil, boleh digunakan untuk apa sahaja situasi.

    Oleh itu pasaran sedan segmen-B nampaknya masih lagi utuh di mana ia dikuasai Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona. Dengan permintaan yang masih lagi kukuh, jenama automotif British yang ‘hidup kembali’ dengan kuasa dari China, MG Motors nampaknya turut berminat untuk bersaing dalam pasaran sedan segmen-B tempatan, selepas memperkenalkan dua model EV sebelum itu.

    Ini dia, MG5 yang baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan pada awal bulan lalu. Ia ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, hanya dalam satu varian dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM93,900. Namun buat masa sekarang pengedar MG di sini iaitu SAIC Motor Malaysia memberikan rebat sebanyak RM7,000, menjadikan harga jualannya hanya RM86,900.

    PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    Dari segi harga, MG5 nampaknya bersungguh untuk menyaingi lawan-lawannya dari Jepun; varian tertinggi untuk Toyota Vios iaitu 1.5G dijual pada harga RM 95,500.00, manakala varian tertinggi untuk versi enjin petrol sepenuhnya bagi Honda City iaitu 1.5 RS dijual pada harga RM 99,900.00.

    Dalam julat harga yang sama juga, MG5 sudah tentu mahu merebut sedikit bahagian pasaran yang dipegang oleh sedan segmen-C Proton S70. Proton menawarkan S70 dalam varian Flagship pada harga atas jalan tanpa insuran RM89,800, manakala varian paling tinggi dengan kelebihan hanya bumbung suria pula dijual pada harga RM94,800.

    Dari segi rupa dan saiz, MG5 mungkin dapat bersaing dengan lawan-lawan yang disebutkan tadi. Tapi dari segi keseluruhan, adakah model ini dapat menjadi dambaan pengguna-pengguna di Malaysia? Baru-baru ini kami berpeluang menguji MG5 ini dalam satu sesi pandu uji media melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Desaru, Kota Tinggi, Johor, dan teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Hong Leong Yamaha capai angka pengeluaran 6 juta unit motosikal di Malaysia, lancarkan muzium Space Y

    Hong Leong Yamaha capai angka pengeluaran 6 juta unit motosikal di Malaysia, lancarkan muzium Space Y

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan satu lagi pencapaian bermakna syarikat itu melalui pengeluaran motosikal yang ke-enam juta setakat ini di Malaysia. Pencapaian ini juga mencerminkan kesungguhan HLYM untuk terus berkembang dan memanfaatkan teknologi serta inovasi ke dalam operasinya. Ini merupakan pengeluar sejuta unit yang paling singkat tempoh masanya yang pernah dicapai oleh syarikat tersebut sepanjang sejarahnya di sini.

    Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Dato’ Prof. Dr. Jim Khor berkata: “Pengeluaran unit ke-5 juta sebelum ini merupakan pencapaian membanggakan buat kami, yang mampu dicapai dalam 46 bulan. Namun, dengan meraikan pencapaian ke-enam juta ini pula (6MRO, Six Million Roll-Out), ia dicapai dalam masa lebih singkat iaitu dalam hanya 37 bulan. Ini pencapaian sejuta produksi yang paling pantas dalam industri motosikal di Malaysia.”

    “Dalam perjalanan kami menuju pengeluaran unit ke-enam juta ini, kami memberi tumpuan kepada melaksanakan Revolusi Industri 4.0 dan pendigitalan dalam semua urusan syarikat. Pasukan kami juga akan terus meneroka teknologi status operasi masa nyata, penjadualan dan perancangan maju, pengurusan barisan kenderaan AMR serta bekalan alat ganti automatik. Kami komited untuk meneruskan kerja untuk mencapai unit pengeluaran ke-tujuh juta pula.” Sempena meraikan pencapaian ini, sebuah model Yamaha Y16 edisi khas 6MRO akan dilancarkan malam ini.

    Seiring dengan pencapaian tersebut, HLYM turut memlancarkan Space Y, sebuah muzium motosikal yang pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

    Terletak di dalam ibupejabat Yamaha Motor Lifestyle Station di Sungai Buloh, Space Y dibina dengan keluasan ruang seluas 9,000 kaki persegi dan menampilkan beberapa seksyen pameran seperti Sejarah dan Perlumbaan, Terowong Inovasi, Ruang Interaktis dan Seni, Ruang Tayangan dan juga Kedai Space Y.

    Muzium tersebut terbuka kepada umum dan masuk adalah percuma hingga 31 Disember 2024. Waktu operasinya ialah dari Isnin-Jumaat (10 pagi – 5 petang), dan Sabtu berselang setiap bulan (10 pagi – 4 petang). Pada 9 November 2024, 100 pengunjung terawal akan menerima kopi percuma dan kempen servic percuma Yamaha.

     
     
  • TASKL 2024: Mazda RX-7 FD-3S RE-Amemiya ‘Touge Maou’ sebenar turut sedang dipamerkan di MITEC

    TASKL 2024: Mazda RX-7 FD-3S RE-Amemiya ‘Touge Maou’ sebenar turut sedang dipamerkan di MITEC

    Budaya ubahsuai kenderaan dari Jepun bukan hanya tersebar ke seluruh dunia semata-mata kerana kereta-kereta yang seronok dihasilkan pembuat-pembuat automotif negara matahari terbit itu ketika ‘bubble era’. Ia sebenarnya turut dipengaruhi oleh media-media dalam industri tersebut dalam menghasilkan pelbagai bahan yang menunjukkan sisi ‘cool’ budaya berkenaan.

    Media-media itu bukan hanya hadir dalam bentuk majalah yang penuh dengan gambar berkualiti tinggi, malah mereka turut menghasilkan pelbagai video dalam format VHS dan kemudian berevolusi kepada VCD dan DVD, memaparkan pelbagai perlumbaan tidak kira drift, time attack atau battle di atas litar, serta termasuk aksi-aksi perlumbaan haram di luar litar.

    Hot Version merupakan antara barisan media yang menghasilkan video-video berkenaan, dan ia bukan hanya popular di Jepun malah serata dunia kerana memaparkan kereta-kereta yang diubahsuai oleh pelbagai penala-penala utama di sana, serta dipandu oleh antara pelumba-pelumba terbaik di negara tersebut.

    TASKL 2024: Mazda RX-7 FD-3S RE-Amemiya ‘Touge Maou’ sebenar turut sedang dipamerkan di MITEC

    Dalam Hot-Version juga ia ada menerbitkan siri khas ‘Touge Maou’ atau ‘Raja Jalan Bukit’. Untuk siri ini, kereta-kereta yang diubahsuai bukan untuk berlumba di litar, sebaliknya talaan suspensi, enjin, aerodinamik dan sebagainya adalah dihasilkan untuk berlumba di jalan raya awam, terutamanya jalan-jalan bukit di Jepun atau lebih popular dengan istilah touge.

    Kereta-kereta tersebut bukan sahaja diuji, malah dibawa berlumba sesama sendiri di Gunma Cycle Sports Center atau lebih dikenali sebagai ‘Gunsai Touge’ yang memberikan bentuk selekoh, permukaan jalan yang sama seperti jalan-jalan bukit tipikal di Jepun. Kesemua jentera tersebut diuji oleh tiga pemandu profesional utama iaitu ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya, Manabu Orido dan juga Nobuteru Taniguchi – di mana kesemua mereka sememangnya mula berlumba sebagai pelumba haram touge Jepun.

    Sekiranya anda datang ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 yang kini sedang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Mazda RX-7 FD-3S talaan Isami Amemiya dari RE-Amemiya yang pernah muncul dalam siri Hot Version Touge Battle berkenaan adalah antara yang boleh anda lihat depan mata.

    Jentera lagenda ini diletakkan sekali di “Legendary Japan Cars Pavillion” pada acara tersebut, bersama sekumpulan kereta talaan lain yang turut di bawa dari Jepun. Namun kami difahamkan bahawa FD RE-Amemiya Touge Maou ini sudah lama berada di Malaysia kerana sudah dibeli oleh rakyat tempatan.

    Seperti yang anda boleh lihat, FD ini masih dalam rupa yang sama ketika muncul dalam video pada tahun 2006 tersebut. Ia dipenuhi dengan kit aero rekaan RE-Amemiya sendiri seperti bampar hadapan yang direka semula bersama pelbagai splitter udara, penutup bonet hadapan, cermin sisi, skirt sisi, liang udara pada fender sisi hadapan, diffuser bawah bampar belakang dan juga spoiler GT bersaiz gergasi – kebanyakkan di perbuat dari bahan gentian karbon.

    Kereta ini juga masih tampil dengan warna biru yang sama, iaitu warna signatur RE-Amemiya ketika itu di mana jentera drift D1GP FD-3S dari penala berkenaan yang dipandu Masao Suenaga turut menggunakan warna yang sama. Kereta ini juga khabarnya masih mengekalkan talaan enjin yang sama di mana enjin wankel rotary 1.3 liter tersebut masih menggunakan pengecas turbo asal dari kilang dan dibuat beberapa pengubahsuaian lain bagi menghasilkan kuasa maksima sekitar 370 PS.

    TASKL 2024 baru sahaja bermula hari ini dan ia akan berakhir pada Ahad, 10 November. Ia dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 10 malam setiap hari, dan tiket-tiket ada dijual di kaunter yang disediakan di MITEC sepanjang ia berlangsung.

     
     
  • Chery Omoda E5 CKD mula produksi di Kulim

    Chery Omoda E5 CKD mula produksi di Kulim

    Setelah lapan bulan sejak Chery melancarkan Omoda E5 di Malaysia, baru kini produksi versi pemasangan tempatan (CKD) SUV elektrik tersebut dimulakan di kilang Inokom di Kulim, Kedah, laporan Business Today.

    Pada asalnya, produksi tempatan dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, namun nampak gayanya ia agak terlewat berbanding perancangan awal. Setakat ini, Chery belum memberikan sebarang butiran mengenai harga model CKD, mahupun sebarang perubahan dalam spesifikasi atau kelengkapannya.

    Majlis permulaan produksi CKD ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Liew Chin Tong, yang memuji komitmen Chery terhadap pekerjaan tempatan (99% daripada tenaga kerja pemasangan adalah warga Malaysia) dan sumbangannya kepada pembangunan industri automotif Malaysia.

    Liew turut berkata penggunaan kenderaan elektrik perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap petrol dan subsidi yang kini menjadi topik hangat memandangkan kerajaan bersedia untuk memperkenalkan subsidi bersasar RON95 pada pertengahan tahun depan. “Kita harus melihat EV sebagai jalan ke hadapan untuk peralihan hijau,” katanya.

    Bagi Chery Omoda EV versi CBU, buat masa ini berharga RM146,818 dengan kuasanya dipacukan dari motor hadapan tunggal yang mampu memberikan 204 PS (150 kW) dan tork 340 Nm. Pacuannya dijanakan dari bateri lithium iron phosphate bersumberkan BYD yang berkapasiti 61 kWh, mampu memberikan jarak gerak hingga 430 km mengikut kitaran WLTP dan menyokong sehingga 80 kW bagi pengecas pantas DC dan 9.9 kW dari pengecas AC.

    GALERI: Chery Omoda E5 CBU

     
     
  • TASKL 2024: Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru Han dalam filem Fast & Furious seterusnya kini di KL

    TASKL 2024: Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru Han dalam filem Fast & Furious seterusnya kini di KL

    Selepas ia membuat penampilan awam pertamanya di Tokyo Auto Salon 2023, kini anda boleh melihat secara langsung Nissan Z Veilside FFZ400 di Malaysia kerana ia sedang dipamerkan di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 yang sedang berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Ini sememangnya jentera asli yang dihasilkan penala Jepun, Veilside, dengan rupa seperti Veilside Fortune RX-7 yang dipandu oleh watak Han dalam filem Fast & Furious 3:Tokyo Drift. Mengapa? Ini adalah kerana Veilside FFZ400 ini memang dibuat khas untuk pelakon Hollywood yang memegang watak Han tersebut iaitu Sung Kang, dan dikhabarkan kereta ini turut akan muncul dalam filem Fast & Furious seterusnya.

    Tidak seperti Fortune RX-7 yang menenggelamkan terus rupa asal RX-7 FD3S, FFZ400 ini masih mengekalkan rupa asal Nissan Z RZ34. Namun ia masih lagi diberikan kit badan lebih lebar yang meliputi bampar hadapan, fender hadapan dan belakang, skirt sisi, bampar belakang dan juga spoiler belakang.

    TASKL 2024: Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru Han dalam filem Fast & Furious seterusnya kini di KL

    Bampar hadapan FFZ400 ini masih mengekalkan gril asal Nissan Z, tetapi ia bukan sahaja dilebarkan, malah turut ‘dilabuhkan’ bagi memberikan apron lebih agresif. Ia juga diberikan kemasan seperti pengalir udara pada setiap sisi. Bentuk-V pada bonet hadapan ditonjolkan lagi dengan kemasan sekeliling berwarna hitam ‘mengalir’ ke tiang-A, bersama grafik “Veilside” di tengahnya.

    Fender hadapan yang dikembangkan turut diberikan liang udara pada bahagian atas, manakala fender belakang dicantum dengan menyerlahkan skru/rivet. Spoiler belakang direka seakan spoiler ‘ekor itik’ yang besar tetapi diberikan sirip sebagai penamat kedua-dua sisi.

    Badan FFZ400 ini dilayangkan dengan warna oren-hitam sama seperti Fortune RX-7 dalam filem Tokyo Drift dan juga Toyota GR Supra dalam Fast 9 juga dipandu oleh Han. Rupa kereta ini dilengkapkan dengan pemadanan set rim aloi forged Veilside Andrew berdiameter 20-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza. Badannya dirapatkan ke permukaan jalan menerusi pemadanan set suspensi udara.

    TASKL 2024: Nissan Z Veilside FFZ400 – jentera baru Han dalam filem Fast & Furious seterusnya kini di KL

    Untuk bahagian kabin, tempat duduk asal Nissan Z ini telah digantikan dengan sepasang tempat duduk bucket Veilside D-1R. Tandatangan Sung Kang dan juga CEO serta pengasas Veilside, Hironao Yokomaku jelas boleh dilihat pada papan pemuka. Manakala di belakang boleh dilihat ia dipenuhi dengan tangki dan sistem paip untuk suspensi udara.

    Veilside tidak memperincikan ubahsuai enjin yang dibuat terhadap FFZ400 ini, namun mengesahkan ia masih dijana oleh enjin asal VR30DDTT. Enjin 3.0 liter V6 dengan pengecas turbo berkembar tersebut mampu menghasilkan 400 hp dan tork maksima 475 Nm dalam keadaan standard.

    Menurut Veilside, FFZ400 ini akan muncul dalam filem Fast & Furious seterusnya. Sebelum ini Vin Diesel menyatakan bahawa filem terakhir dalam franchaise Fast & Furious mungkin akan dihasilkan dalam dua episod, jadi kereta ini mungkin akan muncul dalam filem ke-11 atau ke-12 siri filem berkenaan.

    Bagi yang belum mengetahui, Sung Kang juga merupakan peminat untuk model-model kereta sport Z Nissan, khususnya model generasi pertama Datsun 240Z. Setakat ini Sung Kang mempunyai dua buah projek 240Z yang dibuat sendiri iaitu Fugu Z dengan enjin RB26 dan juga Doc Z yang diinspirasikan dari jentera rali Datsun 240Z yang memenangi East African Safari Rally 1971.

    Jadi sebelum kereta ini menjadi bintang filem, anda bolehlah datang ke MITEC hari ini sehingga Ahad nanti untuk berswafoto. Bukan senang nak jumpa kereta ni depan mata!

     
     
  • Kawasaki Z900, Z900 SE 2025 didedah – terima perubahan gaya, kelengkapan dinaik taraf

    Kawasaki Z900, Z900 SE 2025 didedah – terima perubahan gaya, kelengkapan dinaik taraf

    Kawasaki turut menyertai pengeluar lain di EICMA dengan memperkenalkan Z900 2025, yang menerima perubahan gaya untuk menjadikannya lebih segar, serta peningkatan teknologi yang dapat memberi lebih kepuasan kepada pengguna.

    Walaupun tidak begitu jelas, semua panel badan pada Z900 baru ini sebenarnya adalah baru, sambil mengekalkan konsep rekaan Sugomi yang telah diterapkan sejak awal pada model naked ini. Lampu LED hadapan lebih kompak dan tajam, sementara lampu belakang pula sudah tidak menggunakan pencahayaan berbentuk Z, diganti dengan unit LED berteknologi light-guiding dengan motif seakan bentuk H.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit empat silinder sebaris 948 cc DOHC, tetapi Kawasaki telah membuat talaan semula untuk menjadikan pecutannya lebih linear serta memberikan penggunaan bahan api lebih baik. Model pasaran United Kingdom diberitahu mencatat kuasa 123 PS pada 9,500 rpm dan tork 97.4 Nm pada 7,700 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan bersama quickshifter baru yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Pada bahagian elektronik, peningkatan utama adalah kemasukan IMU, yang sekaligus dapat memberi input tambahan kepada kawalan cengkaman (tiga mod) serta ABS untuk mengikut keadaan condong motosikal. Mod tunggangan ada empat, termasuk satu yang paremeternya boleh diubah.

    Di bahagian kokpit, pengguna disediakan dengan meter TFT warna penuh baru bersaiz lima inci, dengan sistem yang boleh disambung kepada aplikasi Kawasaki Rideology di dalam telefon pintar, seterusnya boleh memaparkan petunjuk navigasi (turn-by-turn), notifikasi serta menerima arahan suara.

    Demi memberi lebih keselesaan kepada pengguna, Z900 baru ini mendapat tempat duduk yang lebih tebal, tetapi tinggi tempat duduk masih kekal pada 830 mm kerana sedikit perubahan dibuat pada kerangka belakangnya. Suspensi terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang, dan kedua-duanya boleh dilaras untuk lantunan dan pra beban.

    Kawasaki Z900, Z900 SE 2025 didedah – terima perubahan gaya, kelengkapan dinaik taraf

    Bahagian brek juga dipertingkat, dengan cakera 300 mm berkembar di hadapan menerima angkup Nissin empat piston Radial baru. Di belakang masih menggunakan cakera 250 mm dengan angkup satu piston. Pergi kepada model SE, ia dinaik taraf lagi dengan angkup Brembo M4.32 di hadapan, hos brek stainless steel serta monoshock belakang Ohlins S46.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Z900 2025 adalah termasuk tangki bahan api 17 liter, rim aluminium 17 inci, cruise control dan tayar Dunlop Sportmax Q5A. Berat keseluruhan versi standard adalah 213 kg, manakala Z900 SE bertambah satu kilogram lagi.

    GALERI: Kawasaki Z900 2025

    GALERI: Kawasaki Z900 SE 2025

     
     
  • Lindungi enjin kereta dengan pelincir Caltex Havoline dan dapatkan beg galas percuma — hingga 30 Nov

    Lindungi enjin kereta dengan pelincir Caltex Havoline dan dapatkan beg galas percuma — hingga 30 Nov

    Menggunakan minyak enjin yang betul adalah sangat penting untuk memastikan komponen di dalam enjin dilincirkan dengan baik bagi mendapatkan prestasi terbaik dalam setiap keadaan. Dengan rangkaian minyak enjin Caltex Havoline, yang diformulasikan secara khusus untuk dimanfaatkan oleh pelbagai jenis kenderaan, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana enjin kenderaan anda akan dilindungi serta sentiasa berada dalam keadaan baik.

    Untuk tempoh terhad, pilih produk Caltex Havoline terpilih untuk servis akan datang kereta dan dapatkan sebuah beg galas boleh lipat percuma daripada bengkel-bengkel Havoline autoPro serta stesen Caltex yang mengambil bahagian.

    Ganjaran eksklusif ini ditawarkan untuk sebarang pembelian ke atas Caltex Havoline Synthetic Blend 10W-40, Caltex Havoline Synthetic Blend 5W-30, Caltex Havoline Fully Synthetic 5W-30 dan Caltex Havoline Fully Synthetic 5W-40.

    Promosi ini sah bermula sekarang hingga 30 November 2024, jadi segeralah ke bengkel-bengkel yang mengambil bahagian, senarainya boleh dirujuk di laman web rasmi Caltex dan dapatkan beg galas boleh lipat percuma anda sementara stok masih ada.

     
     
  • Lebih 90% peserta MyLesen telah memperoleh lesen motosikal B2, bas/e-hailing PSV dan GDL – Loke

    Lebih 90% peserta MyLesen telah memperoleh lesen motosikal B2, bas/e-hailing PSV dan GDL – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata lebih 90% daripada 35,000 peserta bagi program MyLesen tahun ini telah melengkapkan latihan dan mendapat lesen mereka. Menteri MOT Anthony Loke berkata peserta lain dalam program ini masih menjalani latihan dan ujian, yang dijangka selesai pada akhir tahun.

    Tambah beliau, berikutan permintaan dan manfaat yang tinggi, program itu akan diteruskan pada tahun hadapan. MyLesen telah diperkenalkan di peringkat kebangsaan pada Mei 2023 untuk membantu golongan berpendapatan B40 dan belia bagi mendapatkan lesen motosikal (Kelas B2, kapasiti enjin di bawah 250 cc), lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) untuk e-hailing dan bas, serta lesen kenderaan barangan (GDL) untuk lori.

    “Program MyLESEN Tahun 2024 akan memanfaatkan lebih 36,000 golongan B40 untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (Motosikal), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing dan bas, serta Lesen Vokasional Kenderaan Barangan (GDL) untuk lori.

    Lebih 90% peserta MyLesen telah memperoleh lesen motosikal B2, bas/e-hailing PSV dan GDL – Loke

    “Pada tahun ini, pihak MOT melalui JPJ telah menerima lebih 130,000 permohonan bagi program MyLESEN Tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41,853 permohonan layak untuk menyertai program tersebut setelah menerusi tapisan syarat–syarat yang telah ditetapkan,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Program MyLESEN Tahun 2024 Peringkat Negeri Selangor.

    Beliau berkata di Selangor sahaja, seramai 2,175 daripada 2,645 peserta telah berjaya menamatkan program tersebut dan telah menerima lesen B2, PSV e-Hailing, bas PSV dan GDL. Selain itu, katanya lagi, peningkatan penyertaan dijangkakan dan kementeriannya juga sedang meneroka alternatif untuk mendapatkan pembiayaan tambahan termasuk menyempurnakan bantuan daripada kerajaan.

     
     
  • TASKL 2024: Koleksi ‘Muzium’ klasik legenda JDM

    TASKL 2024: Koleksi ‘Muzium’ klasik legenda JDM

    Berbanding tahun lalu, ada terdapat beberapa pembaharuan yang dibawakan oleh pihak penganjur Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024. Antaranya ini dia, koleksi model-model sport klasik dari Jepun dari era 70’an hingga awal era Y2K. Ke semua kereta klasik ini dipamerkan di Hall 1 dengan tema “Four Heavenly Kings & JDM Legends”.

    Dalam ruang ini anda boleh lihat empat generasi Toyota Supra bermula dengan model generasi pertama iaitu Celica Supra atau turut dikenali dengan nama Celica XX dengan kod casis A40 atau A50 yang muncul pada tahun 1979. Jika anda belum tahu, Supra buat permulaannya merupakan varian dari Toyota Celica yang menggunakan enjin enam-silinder sebaris.

    Model generasi kedua dengan kod casis A60 pada 1981 masih mengekalkan nama Celica XX/Supra. Kemudian nama Supra itu berdiri sendiri pada model generasi ketiga dengan kod A70 pada 1986, dan pada versi facelift 1990, Supra mula menerima enjin 2.5 liter 1JZ-GTE.

    Dan model paling legenda sudah tentulah versi generasi keempat Supra JZA80. Bermula dari model ini Supra hanya menerima enjin 3.0 liter enam-silinder 2JZ dalam pelbagai variasi, sama ada dalam versi NA atau turbo berkembar.

    Di sini juga anda boleh lihat dua generasi Celica iaitu model generasi ketiga A60 (ia menggunakan enjin empat-silinder berbanding Celica Supra A60 dengan enjin enam-silinder) dan juga model generasi keempat dalam varian paling berkuasa iaitu Celica GT-Four ST165.

    Selain itu tiga generasi Mazda RX-7 turut ada dipamerkan iaitu generasi pertama SA22, generasi kedua FC3S dan juga generasi keempat FD3S. Juga tidak ketinggalan tiga generasi Skyline GT-R bermula dari generasi kedua R32, generasi ketiga R33 dan generasi keempat R34. Ketiga-tiga buah Skyline ini juga ditemani dengan sebuah pewaris generasi terakhirnya iaitu Nissan GT-R R35.

    TASKL 2024: Koleksi ‘Muzium’ klasik legenda JDM

    Model lain yang turut boleh anda belek disini adalah sebuah Mitsubishi Lancer Evolution I dalam versi RS dan juga model pertama Honda yang menerima lencana Type R iaitu Honda NSX Type R NA1 – di mana kedua-duanya berada dalam kondisi stock standard.

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 masih lagi berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini, 8 November sehingga 10 November. Ia dibuka bermula pukul 9 pagi sehingga 10 malam setiap hari.

     
     
  • MOT dan KKR sedang dalam proses akhir membangunkan sistem High Speed Weigh-In-Motion

    MOT dan KKR sedang dalam proses akhir membangunkan sistem High Speed Weigh-In-Motion

    Bagi mengatasi nahas jalan raya berpunca daripada kenderaan lebih muatan, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed Weigh-In-Motion’ (HS-WiM).

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pemasangan sistem itu kelak terutamanya di kawasan hot spot kenderaan lebih muatan dan black spot kemalangan maut bertujuan memastikan penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan moden, laporan Bernama.

    “Kita tahu di Lebuhraya Karak ini memang berlaku banyak kemalangan dan untuk kenderaan perdagangan berat operasi bersepadu telah dilaksanakan secara berterusan. Kita akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi penguatkuasaan untuk mengurangkan kemalangan.

    “Satu daripada isu yang sentiasa berlaku ialah lori muatan logistik yang berlebihan dan ini akan sentiasa dipantau oleh pihak kementerian,” katanya menjawab celahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi MOT pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

    MOT dan KKR sedang dalam proses akhir membangunkan sistem High Speed Weigh-In-Motion

    Young Syefura ingin tahu peranan yang boleh dilakukan oleh kementerian untuk mengurangkan kekerapan berlakunya kemalangan di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

    Loke berkata, sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan beban trafik di jalan raya, MOT akan menggalakkan penggunaan rel untuk mengangkut kargo khususnya dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

    “Selepas ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur) siap nanti, sudah tentu kita akan merangka dasar yang mengurangkan kebergantungan kepada lori kenderaan berat. Ini dapat mengurangkan penggunaan trak di atas jalan raya,” katanya.

     
     
  • JPJePlate untuk EV – terbuka bagi semua pemilik EV mulai 9 Nov, RM98; hampir 500 pemasang sah tersedia

    JPJePlate untuk EV – terbuka bagi semua pemilik EV mulai 9 Nov, RM98; hampir 500 pemasang sah tersedia

    Untuk pemilik sedia ada kenderaan elektrik (EV) yang ingin menukar plat lesen kenderaan masing-masing kepada JPJePlate baharu, yang dilancarkan pada 9 September lalu, kini boleh berbuat demikian mulai hujung minggu ini.

    Handal Ceria, vendor tempatan yang dilantik untuk mengeluarkan plat itu, telah mengumumkan bahawa jualan plat khusus untuk kenderaan elektrik sepenuhnya akan dibuka kepada semua pemilik kereta EV mulai 9 November. Syarikat terbabit menambah bahawa ia telah mula menghantar e-mel kepada mereka yang telah mendaftar minat melalui laman web JPJePlate.

    JPJePlate berharga RM98, dan untuk kos tersebut, anda akan mendapat plat aluminium hadapan (dilengkapi RFID) dan belakang serta plat lesen ketiga dalam bentuk pelekat keselamatan yang dilekatkan pada cermin depan.

    Pelekat cermin depan IDeStix mempunyai fungsi yang sama seperti plat hadapan, mengandungi cip RAIN RFID dan kod QR, menawarkan lapisan keselamatan pengenalan selanjutnya – ia tidak boleh ditanggalkan, dan akan dimusnahkan sekiranya terdapat percubaan untuk mengeluarkannya.

    Pemilik EV sedia ada boleh memohon plat secara terus tanpa perlu merujuk kepada syarikat tempat mereka membeli kenderaan itu, tetapi plat masih perlu diperbaiki di pusat pemasangan yang dibenarkan. Dengan hampir 500 pemasang sah di seluruh negara, pembeli seharusnya tidak menghadapi masalah mencari pemasang berhampiran mereka. Senarai lengkap pemasang JPJePlate yang sah boleh didapati DI SINI.

     
     
  • Subsidi RON95: Kelebihan dan kekurangan setiap kaedah — MyKad, sistem kredit atau jenis kenderaan?

    Subsidi RON95: Kelebihan dan kekurangan setiap kaedah — MyKad, sistem kredit atau jenis kenderaan?

    Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan yang subsidi bersasar bagi petrol RON95 akan dimulakan pada pertengahan 2025. Ini bermakna, hanya kelompok yang layak akan menikmati harga subsidi (ketika ini RM2.05 seliter), dan yang tidak layak perlu membayar mengikut harga pasaran (kadar ketika ini berdasarkan Double Petrol ialah RM2.76 seliter).

    Memandangkan cadangan ini disertakan dengan jaminan bahawa 85% warga Malaysia tidak akan terkesan dengan langkah itu, ada banyak pertanyaan, perbincangan dan perdebatan tentang bagaimana ia akan dilaksanakan, dan bagaimana untuk menentukan siapa yang layak menerima dan siapa yang tidak layak.

    Tapi sebelum kita boleh menakrifkan kelas pendapatan kelompok T15 (kelompok 15% teratas berdasarkan pendapatan) — adakah RM12k? Atau RM15k? Atau RM30k? Mengikut pendapatan kasar atau bersih? — ada juga cakap-cakap tentang pengekelasan T10 dan T5 sebagai titik penentu bagi subsidi RON95 ini, yang mana telah dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia sejak 40 tahun lalu.

    Itu baru persoalan tentang siapa yang tergolong dalam kelompok mana. Pertanyaan lebih rumit ialah bagaimana ia akan dilaksanakan atau diagihkan. Kelompok pengguna petrol RON95 tentulah lebih besar berbanding pengguna diesel — yang telah diselaraskan subsidinya pada Jun lalu. Turut berbeza ialah diesel lebih banyak digunakan oleh sektor komersial, sedangkan petrol RON95 digunakan oleh pengguna umum.

    Dalam artikel ini, kami meninjau tiga cadangan “bagaimana” pelaksanaan itu tadi, serta membincangkan kebaikan dan kekurangan setiap satu daripadanya, serta membangkitkan pertanyaan yang belum diperjelaskan lagi.

    KREDIT BULANAN KE AKAUN BANK ATAU E-WALLET

    Subsidi RON95: Kelebihan dan kekurangan setiap kaedah — MyKad, sistem kredit atau jenis kenderaan?

    Melalui kaedah ini, semua orang akan membayar harga tanpa subsidi yang sama di pam, tetapi hanya mereka yang layak akan diberikan sejumlah yang telah ditentukan, dengan cara dimasukkan ke akaun bank atau e-Wallet setiap bulan. Sistem ini sama dengan cara yang digunakan untuk penyelarasan semula subsidi diesel sebelum ini, walaupun untuk diesel bayaran hanya dibuat ke akaun bank dan bukannya ke e-Wallet.

    Kelebihan

    Sekali pandang, ini mungkin cara paling mudah untuk dilaksanakan. Tidak perlu bina terminal khusus di stesen petrol di seluruh negara untuk mengasingkan harga bersubsidi dan tanpa subsidi.

    Selain menjimatkan kos untuk membina semua itu, tidak juga perlu risau tentang capaian internet di kawasan terpencil (yang akan memerlukan sistem berkaitan MyKad) atau kemungkinan penangguhan bagi pembinaan pam dengan harga bersubsidi/tanpa subsidi tersebut. Jika anda pemandu Grab atau teksi, atau ada barisan kenderaan syarikat, ini akan memudahkan pengurusan kos anda.

    Kekurangan

    Dengan andaian pertanyaan berkaitan siapa yang dapat dan siapa yang tak dapat itu sudah ditentukan (ia mungkin perlu ditetapkan terlebih dahulu melalui sistem berbeza, memandangkan ini tidak boleh ditentukan di pam melalui kaedah ini), anda masih perlu menyerahkan maklumat akaun bank atau e-wallet kepada kerajaan, dan jumlah besar pengguna RON95 sudah tentu akan “meruntuhkan” laman web permohonan oleh kerajaan itu, seperti yang selalu berlaku.

    Jumlah yang ditentukan awal tersebut bermaksud satu jumlah yang tetap. Bagaimana jika ada pengguna yang mengepam minyak lebih banyak bulan ini, dan kurang pada bulan depannya? Atau bagaimana jika ada kawan kita yang membeli kurang petrol berbanding kita sendiri tetapi dikreditkan dengan jumlah yang sama setiap bulan? Jika ia bukan jumlah tetap, ia perluk berdasarkan berapa banyak RON95 yang dipam setiap bulan oleh seseorang pengguna. Keperluan untuk setiap stesen minyak di seluruh negara melaporkan kepada kerajaan berapa banyak setiap pengguna yang layak mengisi petrol setiap bulan juga adalah tidak praktikal.

    Tanpa subsidi, harga RON95 terapung mengikut keadaan pasaran semasa. Ketika ini, ia berharga RM2.76 seliter, tapi sekiranya ia berubah naik atau turun dengan mendadak setiap bulan, jumlah bantuan bulanan juga perlu diselaraskan. Untuk diesel, RM200 diberikan, yang rata-ratanya untuk penggunaan melibatkan kenderaan dan trak pikap peribadi. Tetapi, untuk RON95, akan ada banyak motosikal juga. Adakah penunggang motosikal akan menerima jumlah yang sama dengan pemandu kereta, katakan RM200 sebulan?

    Tambahan pula, dengan bantuan subsidi penuh yang disalurkan ke dalam akan individu setiap bulan, siapa yang boleh mengesahkan yang penerima terbabit tidak membelanjakan wang tersebut untuk tujuan lain dan kemudian tetap merungut tentang bahan api yang mahal?

    Dan memandangkan semua orang membayar harga RON95 tanpa subsidi yang sama di pam, ada kemungkinan yang perniagaan akan menggunakan alasan ini untuk menaikkan harga, dan akan membawa kepada peningkatan inflasi.

    DUA TAHAP HARGA DI PAM MELALUI MYKAD

    Subsidi RON95: Kelebihan dan kekurangan setiap kaedah — MyKad, sistem kredit atau jenis kenderaan?

    Dengan sistem ini, anda memerlukan MyKad untuk isi petrol. Anda akan membayar dengan harga bersubsidi sekiranya layak, dan bayar harga penuh sekiranya tidak. Ini memerlukan terminal MyKad dipasang di stesen petrol di seluruh negara sebagai cara untuk menentukan penerima petrol bersubsidi atau tanpa subsidi ditentukan.

    Kelebihan

    Sehingga kita bersedia untuk melaksanakan sistem multi-tahap harga dengan beberapa tahap subsidi, kelihatan seperti sistem dua-tahap harga (sama ada anda dapat subsidi atau tidak) adalah jalan pemula yang baik. Sistem ini memastikan anda menerima jumlah subsidi yang betul berdasarkan sebanyak mana isian yang dilakukan. Tiada keperluan untuk membangunkan portal permohonan dalam talian; begitu juga tiada masalah harga pasaran yang berubah, kerana hanya akan membayar sama ada harga bersubsidi atau harga pasaran, mengikut berapa pun nilainya dari semasa ke semasa.

    Kerajaan juga boleh mendapatkan data yang lebih jelas berkaitan berapa banyak bantuan subsidi yang digunakan, di mana dan oleh siapa, yang mungkin berguna untuk penyasaran subsidi bahan api pada masa depan. Juga, tidak perlu pening tentang pengguna dengan motosikal atau kereta, kerana subsidi diberikan berdasarkan penggunaan masing-masing.

    Kekurangan

    Melainkan biometrik (atau mungkin pengenalan wajah untuk sekuriti tambahan) diperkenalkan untuk sistem ini di semua stesen petrol seluruh negara, ia akan terdedah kepada salah guna dan penipuan. Boleh saja pengisi menggunakan MyKad orang lain (ibu bapa/kawan/pekerja) untuk mengisi minyak, atau ada ruang untuk ulat-ulat subsidi menawarkan penggunaan MyKad mereka di stesen.

    Dengan MyKad mempunyai kuasa untuk mempengaruhi berapa banyak yang anda bayar untuk petrol, mungkin akan berlaku peningkatan kecurian MyKad. Kegagalan cip MyKad juga bukanlah perkara baru, dan ini akan menyebabkan ramai berpusu untuk menggantikannya. Semua stesen petrol di seluruh negara (termasuk yang di kawasan terpencil) memerlukan capaian internet yang stabil untuk sistem ini berjalan, dan ada kemungkinan berlakunya lengahan di pam disebabkan baris panjang untuk membuat pengesahan dan bayaran.

    Privasi juga boleh menjadi satu masalah — sudah tentu, menggunakan kad kredit membolehkan institusi kewangan mengetahui berapa banyak anda berbelanja, di mana dibelanjakan dan apa yang dibelanjakan itu. Tetapi, tanggapan umum terhadap kerajaan adalah sebilangan orang mungkin tidak senang diperhatikan oleh “Abang Besar” seperti itu.

    Kemudian, hal berikutnya: Siapa yang akan membayar untuk terminal pembaca MyKad untuk tujuan ini nanti? Berapa kosnya?

    HARGA MENGIKUT JENIS KENDERAAN

    Subsidi RON95: Kelebihan dan kekurangan setiap kaedah — MyKad, sistem kredit atau jenis kenderaan?

    Ini melibatkan halangan akses untuk RON95 bersubsidi daripada pemilik kenderaan mewah.

    Kelebihan

    Jika tujuan penyelarasan subsidi ini antaranya adalah untuk memastikan ia tidak pergi kepada golongan maha kaya, maka ini cara paling pantas untuk menentukan kelayakannya.

    Kekurangan

    Jadi, bagaimana kita mahu lakukan pengasingkan berdasarkan pengeluar, model dan varian kenderaan yang ada di Malaysia ini kepada kategori “mewah” dan “marhaen” (mengandaikan ia sistem dua-tahap)?

    Adakah ikut jenama? Misalnya Proton yang menjual Saga dengan harga sekitar RM30k, tetapi turut menjual X90 Flagship dengan harga RM153k. Sudah tentu pemiliknya mempunyai pendapatan yang berbeza. Begitu juga dengan Honda City RM85k dengan Honda Civic Type-R yang berharga RM400k — bezanya lebih RM300k, walaupun dibawah satu jenama yang sama.

    Adakah mengikut harga? Katakan kita menetapkan kenderaan dengan harga RM200k, seperti yang pernah dicadangkan untuk menjadi had bagi pelaksanaan bagi diesel sebelum ini. Masalahnya, bukan hanya ada jenama dengan model yang berharga di dua sisi angka tersebut, tetapi ada juga varian bagi model yang sama dengan situasi harga seperti itu.

    Bagaimana pula dengan kereta lama? Adakah akan merujuk seperti pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel dan membolehkan subsidi penuh untuk “kenderaan mewah” yang berusia lebih 10 tahun? Jadi, pemilik Ferrari 250 GTO tahun 1960an akan membayar harga RON95 yang sama dengan pemilik Perodua Axia. Adakah ini masuk akal?

    Mungkin persoalan lebih besar adalah bagaimana semua ini akan dilaksanakan di stesen minyak. Jelasnya, untuk mengharapkan staf bagi mengenal pasti dan mengkelaskan setiap kereta yang masuk adalah mustahil. Tetapi, mungkin data PADU atau JPJ boleh digunakan untuk mengenal pasti pemilik kenderaan yang tidak sepatutnya layak menerima subsidi.

    Bagaimanapun, ini memerlukan pengenalan diri, yang akan membawa kita semula kepada sistem dua-tahap dengan MyKad tersebut. Juga, sistem ini turut memerlukan kaedah berlainan untuk mengasingkan warga asing, yang turut menjadi menikmat subsidi bahan api ketika ini dan ingin dielakkan melalui penyelarasan semula ini.

    Selain itu, ia akan tambah menyusahkan kehidupan golongan “biar papa asal bergaya”, yang perlu mengeluarkan lebih banyak wang mereka untuk mengisi minyak kereta yang mereka sebenarnya tidak berkemampuan untuk miliki.

    KESIMPULAN

    Tentunya, penyasaran semula subsidi RON95 adalah sesuatu yang sangat rumit berbanding untuk diesel sebelum ini. Langkah untuk menjimatkan berbilion ringgit dengan memastikan subsidi diberikan hanya kepada mereka yang layak dan memerlukan adalah satu perkara yang wajar, dan kita akant terus menanti perkembangan seterusnya untuk mengetahui bagaimana ini akan dilaksanakan.

    Dengan setiap kelebihan dan kekurangan setiap cara yang telah dihamparkan ini, yang mana satu anda rasa cara paling berkesan untuk bergerak ke depan dalam hal ini?

     
     
  • Yamaha Tracer 9 2025 diperkenal – rupa unik, pilihan transmisi Y-AMT, ACC, lampu LED matriks untuk GT+

    Yamaha Tracer 9 2025 diperkenal – rupa unik, pilihan transmisi Y-AMT, ACC, lampu LED matriks untuk GT+

    Yamaha mengumumkan peningkatan bagi Tracer 9 tahun 2025, dengan melibatkan perubahan di bahagian reka bentuk, kelengkapan serta teknologi. Secara asasnya, ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, GT dan GT+. Melihat kepada pasaran United Kingdom, varian Standard hanya datang dalam versi transmisi manual enam kelajuan, GT+ diberikan pilihan manual atau Y-AMT, manakala GT+ hanya dengan Y-AMT.

    Perubahan yang paling mendapat perhatian pada Tracer 9 2025 ini adalah lampu hadapannya, yang menggunakan susunan bertingkat untuk unit LED bersama dengan fungsi Cornering Light. Pada varian GT dan GT+, ia dipertingkat lagi dengan unit LED matriks adaptif yang disambungkan kepada sistem kamera dan boleh melaras sendiri mengikut keadaan sekitar.

    Kemudiannya, Tracer 9 2025 ini juga mendapat rangka belakang yang lebih panjang (tetapi lebih ringan), bagi menjadikan tempat duduk belakang lebih luas. Bentuk tempat duduk hadapan pula lebih rata, tetapi menggunakan kusyen yang lebih tebal, menjadikan tinggi tempat duduk bertambah satu inci (845 mm-860 mm).

    Bagi Tracer 9 2025 versi Standard, suspensi Kayaba boleh larasnya menerima tetapan baru, termasuk linkage belakang yang diubah bagi memperbaiki cengkaman. Varian GT dan GT+ pula menerima unit semi aktif yang boleh melaras sendiri mengikut input yang diterima oleh Inertial Measurement Unit (IMU).

    Enjin bagaimanapun tidak diusik, dengan ia masih menggunakan unit tiga silinder CP3 890 cc yang mampu menghasilkan kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Mod tunggangan pula ada lima iaitu Sport, Street, Rain dan dua mod yang boleh diubah suai.

    Untuk model tahun 2025 ini juga semua versi Tracer 9 menggunakan panel meter TFT tujuh inci – sebelum ini hanya disediakan pada GT+ sahaja. Selain memaparkan informasi penting, ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar, tetapi sistem navigasi Garmin hanya disediakan pada versi GT dan GT+.

    Yamaha Tracer 9 2025 diperkenal – rupa unik, pilihan transmisi Y-AMT, ACC, lampu LED matriks untuk GT+

    Kelengkapan lain Tracer 9 2025 adalah termasuk cruise control, pemanas tangan, soket pengecas USB-C, kotak simpanan kecil di bahagian kokpit dan tangki bahan api 19 liter. Varian GT dan GT+ kemudiannya ditambah dengan kotak barangan tepi 30 liter, kunci pintar dengan central locking (termasuk untuk beg barangan), quickshifter (GT manual), Vehicle Hold Control dan penghadang angin hadapan larasan kuasa (larasan manual pada versi Standard).

    Sebagai varian paling atas, GT+ mendapat beberapa lagi ciri canggih seperti sistem pemerhati tekanan angin tayar serta sensor radar hadapan dan belakang untuk fungsi Adaptive Cruise Control (ACC), Unified Brake System, Forward Collision Warning dan Blind Spot Detection. Berat Tracer 9, Tracer 9 GT dan Tracer 9 GT+ masing-masing adalah 219 kg, 227 kg dan 232 kg.

    GALERI: Yamaha Tracer 9 2025

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT 2025

    GALERI: Yamaha Tracer 9 GT+ 2025

     
     
  • RM6.53 billion saman kesalahan trafik masih tertunggak dan belum dijelaskan sejak 1990 – JSPT

    RM6.53 billion saman kesalahan trafik masih tertunggak dan belum dijelaskan sejak 1990 – JSPT

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah lebih 43.5 juta saman berdaftar bagi kesalahan trafik yang membabitkan nilai RM6.5 bilion masih tertunggak dan belum dijelaskan sejak tahun 1990 sehingga semalam (6 Nov 2024) di seluruh negara.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata jumlah saman tertunggak itu adalah 33% daripada jumlah keseluruhan saman berdaftar yang direkodkan untuk tempoh sama, laporan Harian Metro.

    Katanya, secara keseluruhan rekod PDRM menunjukkan sepanjang tempoh dari 1990 hingga 6 Nov lalu, sebanyak 135,915,377 saman didaftarkan yang membabitkan nilai lebih RM20.38 bilion.

    “Daripada jumlah itu, 67% atau 92,317,493 saman berdaftar membabitkan nilai RM8.56 bilion sudah dijelaskan. Bagaimanapun, 33% lagi atau 43,597,884 saman berdaftar belum dijelaskan membabitkan nilai RM6.53 bilion,” katanya.

    Dalam pada itu, katanya untuk sepanjang 2024 bermula Januari hingga semalam (6 Nov), sebanyak 4,307,956 saman didaftarkan dengan nilai saman mencecah RM646,193,400.


    Melalui program diskaun saman trafik yang sedang dianjurkan oleh JSPT KL sejak 5 Nov lalu di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee, Mohd Yusri berkata, lebih RM1.87 juta bayaran saman trafik berjaya diperoleh dalam tempoh dua hari pertama program terbabit.

    Katanya, JSPT KL menyediakan 15 kaunter semakan, pinda dan pembayaran selain 14 mesin e-payment (pembayaran secara dalam talian) dalam program yang berlangsung hingga 9 Nov ini.

    “Sepanjang tempoh itu sebanyak 3,663 saman K257 dan 13,339 saman K170A dijelaskan dengan secara keseluruhan kutipan bayaran diperolehi sebanyak lebih RM1.87 juta. Ia membabitkan RM270,850 pembayaran tunai, e-payment (RM882,340) dan kupon 50 peratus (RM725,430),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    “Pengurangan saman adalah satu langkah proaktif bagi mengurangkan kemalangan jalan raya. Bayar saman tepat pada waktunya untuk kelancaran dan terhindar daripada hukuman lebih berat. Kepatuhan membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya dan disiplin ini membantu menciptakan lalu lintas yang aman untuk semua,” katanya.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar. Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

     
     
  • MOT kaji semula SOP penggunaan soket elektrik bagi perkhidmatan bas; larangan sementara dikuatkuasa

    MOT kaji semula SOP penggunaan soket elektrik bagi perkhidmatan bas; larangan sementara dikuatkuasa

    Prosedur operasi standard (SOP) penggunaan soket elektrik bagi perkhidmatan bas akan diteliti semula berikutan ini tiada piawaian khusus mengenainya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Jelasnya, perkara itu turut diberi tumpuan dalam siasatan membabitkan insiden renjatan elektrik yang menyebabkan seorang remaja lelaki maut ketika mengecas telefon bimbit menggunakan soket di dalam sebuah bas ekspres di Pulau Pinang baru-baru ini, laporan Berita Harian

    “Soket dalam kapal terbang atau kereta api, seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) memang ada piawaiannya. Ini mesti dipatuhi (misalnya) oleh syarikat pembuat kapal terbang.

    “Tetapi untuk bas, (setakat ini) tidak ada piawaian tersendiri. Sehubungan itu, dalam siasatan kita (berkaitan kes renjatan elektrik), bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan lain-lain, soket tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada pemeriksaan dijalankan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu sama ada MOT mengambil kira aspek keselamatan penggunaan soket membabitkan semua jenis perkhidmatan pengangkutan termasuk kapal terbang.

    Loke menjelaskan antara langkah segera yang diambil kementerian itu adalah melihat SOP sedia ada dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga untuk mewujudkan satu piawaian standard bagi penggunaannya khusus untuk perkhidmatan bas.

    MOT kaji semula SOP penggunaan soket elektrik bagi perkhidmatan bas; larangan sementara dikuatkuasa

    Beliau berkata berikutan kes renjatan elektrik terbabit, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres.

    “Larangan sementara itu (dibuat) sehingga siasatan berhubung insiden terbabit selesai. Buat masa ini, tidak boleh guna soket dalam bas ekspres buat sementara waktu kerana kita ingin dapatkan punca sebenar insiden ini,” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang ingin tahu langkah segera untuk memastikan semua bas ekspres mematuhi piawaian elektrik, khususnya berkaitan pengecasan telefon.

    Loke berkata sebaik laporan pasukan petugas khas (Special Task Force) yang ditubuhkan bagi menyiasat kes itu selesai, beliau akan melihat sama ada wujud keperluan untuk kementerian itu bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga bagi menyemak SOP pendawaian dan penggunaan soket elektrik di dalam bas ekspres.

    Katanya, MOT memberikan tempoh 14 hari untuk Special Task Force yang diwakili beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Tenaga, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyediakan laporan lengkap.

    “Punca (insiden terbabit) akan diketahui selepas laporan lengkap diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan. Saya akan umum secara terperinci hasil laporan terbabit,” katanya.

     
     
  • BMW Concept F 450 GS didedah – enjin dua silinder selari 48 hp, suspensi boleh laras, meter TFT 6.5 inci

    BMW Concept F 450 GS didedah – enjin dua silinder selari 48 hp, suspensi boleh laras, meter TFT 6.5 inci

    Semasa pameran EICMA yang sedang berlangsung di Itali sekarang, BMW Motorrad telah menunjukkan sebuah motosikal konsep F 450 GS, yang katanya dibangunkan untuk “mencapai kemampuan offroad terbaik, dan pada masa sama lincah dan mempunyai pengendalian yang tepat di atas jalan biasa.”

    Walaupun ditunjukkan sebagai sebuah model konsep, motosikal ini kelihatan seperti sudah bersedia untuk produksi dengan membawa gaya rekaan seperti model-model GS yang lain, dan khas untuk model konsep ini, ia menggunakan grafik dan warna seperti R 1300 GS versi Trophy.

    Meskipun perincian penuh motosikal ini tidak didedah, BMW ada memberitahu beberapa spesifikasi penting, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari – dikatakan dibangunkan sendiri dari awal – berkuasa 48 hp dan mempunyai karekter bersemangat.

    Mahu menetapkan standard baru dalam segmennya melalui teknologi premium, BMW telah memasang suspensi yang terdiri daripada fork larasan penuh di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kemudiannya ia juga dilengkapi dengan skrin TFT 6.5 inci dengan sistem sambungan BMW Connectivity.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini datang dengan sistem ABS Pro serta mod tunggangan yang boleh diubah. Bagi memastikan kepuasan tunggangan, BMW memberitahu F 450 GS ini mencatat berat yang hampir kepada 175 kg.

    Sementara varian yang didedahkan ini kelihatan seperti varian yang lebih tinggi dengan ciri lebih lasak dan padanan rim spoked 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, BMW juga memberitahu terdapat kemungkinan akan ada versi yang mempunyai tempat duduk lebih rendah serta rim aluminium dengan saiz sama.