Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Harga Honda SST 2022: City sedan naik hingga RM4.4k, Civic RM6.3k, BR-V RM4.3k, Accord RM10k

    Harga Honda SST 2022: City sedan naik hingga RM4.4k, Civic RM6.3k, BR-V RM4.3k, Accord RM10k

    Insentif pengecualian cukai jualan dan servis (SST) sudahpun tamat semalam, 30 Jun 2022. Jadi hari ini pengeluar-pengeluar kenderaan sudahpun mengumumkan harga baharu model-model mereka yang dijual lengkap dengan cukai SST berkenaan. Berikut adalah harga baharu untuk semua model-model dari Honda Malaysia seperti yang telah dikemaskini di laman web rasmi mereka, kecuali CR-V yang masih belum diumumkan harganya.

    Secara umum, kenderaan-kenderaan yang dijual oleh Honda Malaysia naik bermula RM2k sehingga RM10k. Untuk City sedan, model 1.5 S kini dijual RM3,409 (atau 4.59%) lebih mahal berbanding tanpa SST sebelum ini, manakala model tertinggi untuk varian petrol sepenuhnya iaitu 1.5 V Sensing naik sehingga RM4,388, kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM95,600. Manakala model hibrid iaitu City RS e:HEV dijual pada harga RM108,800.

    Kenaikan sedikit rendah dilihat pada City Hatchback di mana varian asas 1.5 S dilihat naik RM2,930, manakala varian 1.5 V pula naik RM3,891 menjadi RM95,600. Model hibrid City Hatchback RS e:HEV pula kini RM2,017 lebih mahal, dijual pada harga atas jalan RM109,800.

    Harga Honda SST 2022: City sedan naik hingga RM4.4k, Civic RM6.3k, BR-V RM4.3k, Accord RM10k

    Klik untuk besarkan

    Manakala untuk SUV tujuh-tempat duduk Honda BR-V, model asas 1.5 E naik RM3,974 manakala model tertinggi 1.5 V pula adalah RM4,280 lebih mahal. Kenaikan tertinggi untuk model Honda adalah pada sedan segmen-D Accord – model 1.5 TC kini berharga RM187,400 (naik RM9,197), manakala model 1.5 TC-P pula dijual pada harga RM197,400 (naik RM10,010).

    Untuk Civic pula, model paling asas 1.5 E kini naik RM5,065, dijual pada harga RM130,700, manakala model paling mahal 1.5 RS kini naik RM6,350 kepada RM150,700. Kami akan kemaskini carta harga di atas sebaik sahaja menerima harga baharu untuk CR-V. Manakala untuk HR-V, model generasi kedua sudah tidak lagi dijual, manakala model generasi baharu akan dilancarkan tidak lama lagi.

     
     
  • Harga Perodua dengan SST 2022: Ativa naik hingga RM1.4k, Bezza hingga RM1.6k, Myvi hingga RM1.1k

    Harga Perodua dengan SST 2022: Ativa naik hingga RM1.4k, Bezza hingga RM1.6k, Myvi hingga RM1.1k

    Dengan berakhirnya pengecualian cukai bagi kereta baru semalam (30 Jun), syarikat kereta kini telah mula mengeluarkan senarai harga baru yang dikira sekali dengan cukai tersebut, iaitu 10% untuk kedua-dua model CBU dan CKD. Dari Perodua, harga semua model telah dikeluarkan, kecuali untuk Alza generasi kedua, yang hanya akan dilancarkan kemudian dalam bulan ini.

    Bagi model yang ada sekarang, harganya telah dikembalikan kepada harga sebelum Jun 2020, iaitu waktu pengecualian SST baru dilaksanakan. Sebagai contoh, keseluruhan barisan Axia kini dijual pada harga dengan SST sama seperti waktu tersebut. Axia 1.0 kini naik RM723, iaitu jumlah sama yang dikurangkan waktu SST mula dikecualikan, dan harga RM24,090 (OTR termasuk SST) itu adalah sama seperti pada bulan Mei 2020.

    Begitu juga dengan Bezza, dengan kenaikan harga bermula daripada RM1,124 untuk varian permulaan 1.0 G manual (RM34,580), hinggalah RM1,624 untuk varian 1.3 AV paling tinggi, menjadikan harganya kembali kepada RM49,980.

    Untuk Myvi pula, harga baru ini adalah lebih tinggi berbanding harga sebelum pengecualian cukai diperkenalkan, dan ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Myvi facelift 2022 yang diperkenalkan November lalu memang sudah menerima peningkatan harga. Dua varian 1.3 G CVT terima kenaikan RM800, manakala varian paling tinggi, 1.5 AV pula naik RM1,100, menjadi RM59,900.

    Harga Perodua dengan SST 2022: Ativa naik hingga RM1.4k, Bezza hingga RM1.6k, Myvi hingga RM1.1k

    Sama seperti waktu pengecualian SST baru dilaksanakan dulu, dua varian Aruz menerima perubahan harga paling besar, dan sekarang ia kembali menjadi RM72,900 (+RM4,374) untuk 1.5 X dan RM77,900 (+RM4,674) untuk 1.5 AV.

    Akhir sekali Ativa. SUV ini baru sahaja dilancarkan tahun lepas, jadi ia tidak mempunyai penanda harga dengan SST sebelum ini untuk dibandingkan. Varian permulaan 1.0 X kini menerima tambahan RM1,000 menjadi RM62,500, varian pertengahan 1.0 H ditambah RM1,200 menjadi RM67,300 (metalik) dan RM67,800 (metalik khas) dan varian paling tinggi 1.0 AV meningkat RM1,400 menjadi RM73,400.

    Jika anda berjaya membuat tempahan sebelum tarikh akhir semalam, anda masih akan dapat menikmati pengecualian cukai ini selagi kereta anda didaftar sebelum 31 Mac 2023, seperti yang diumumkan oleh kerajaan 20 Jun lalu.

     
     
  • Harga SST 2022 di M’sia: Kenderaan Peugeot naik hingga RM5,976 atau lebih 3.5% lepas ‘cuti SST’ tamat

    Harga SST 2022 di M’sia: Kenderaan Peugeot naik hingga RM5,976 atau lebih 3.5% lepas ‘cuti SST’ tamat

    Pejam celik.. pejam celik.. kalendar sudah pun bertukar muka surat. Hari ini, 1 Julai 2022, bermakna pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta baharu yang dilaksanakan sejak 15 Jun 2022, telah pun berakhir. Jika ada yang terlupa, pengecualian SST diimplementasikan sebagai sebahagian daripada langkah untuk merangsang ekonomi negara, yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2022, 100% pengecualian SST ini adalah untuk model pemasangan tempatan (CKD) dan 50% pula bagi model import sepenuhnya (CBU). Pada asalnya, ia dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2020, namun tempohnya dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi pada 31 Disember 2021 dan yang terakhir pada 30 Jun 2022.

    Jika anda berjaya membuat tempahan semalam, ini bermakna anda masih dapat menikmati penjimatan cukai selagi kereta baharu anda didaftarkan sebelum 31 Mac 2023. Perkara ini telah diumumkan oleh kerajaan pada 20 Jun 2022 lalu. Dengan berakhirnya ‘cuti SST’ ini, maka syarikat kereta sudah mula mengeluarkan senarai harga baharu dengan SST penuh, iaitu 10% untuk kedua-dua model CBU dan CKD.

    Harga SST 2022 di M’sia: Kenderaan Peugeot naik hingga RM5,976 atau lebih 3.5% lepas ‘cuti SST’ tamat

    Untuk jenama Peugeot, Bermaz Auto Alliance (BAASB) selaku pengedarnya di Malaysia, telah mengeluarkan harga baharu untuk tiga model yang berada di pasaran, iaitu 2008, 3008 dan 5008 . Bermula dengan 2008, varian tunggal 1.2 PureTech ALlure kini berharga atas jalan RM131,103 tanpa insurans, di mana ia lebih RM4,350 berbanding harga dengan ‘cuti SST” pada RM126,753.

    Manakala untuk 3008, varian 1.6 THP Allure naik harga sebanyak RM5,671.34 iaitu kini menjadi
    RM167,288. Untuk 5008 1.6 THP Allure pula menyaksikan kenaikan harga yang paling tinggi, mencapai RM5,976.10 iaitu kini RM183,288. Semua model baharu Peugeot didatangkan dengan waranti lima-tahun, 100,000 km dan penyelenggaran percuma (termasuk buruh, alat ganti dan minyak pelincir) seperti mana yang diumumkan oleh BAASB baru-baru ini.

     
     
  • PHS Automotive kini pengedar sah Audi di Malaysia – pasukan sama di belakang Volkswagen Malaysia

    PHS Automotive kini pengedar sah Audi di Malaysia – pasukan sama di belakang Volkswagen Malaysia

    PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka kini merupakan pengedar sah untuk jenama Audi di Malaysia. PHS bermaksud Porsche Holding Salzburg, dan ia merupakan sebahagian dari Volkswagen Group serta antara pengedar automotif yang paling besar dan berjaya di Eropah. Malah, ia sebenarnya adalah pasukan yang sama di belakang pengedar Volkswagen di Malaysia sekarang iaitu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

    PHSAM dimiliki sepenuhnya oleh PHS, dan akan mewakili jenama Audi di Malaysia dalam pemborongan, pemasaran dan juga servis selepas jualan. PHSM di terajui oleh dua pengarah urusan iaitu Erik Winter dan Kurt Leitner – kedua-duanya turut menggalas tugas sebagai pengarah urusan di VPCM.

    “Lanskap automotif premium sangat kompetitif, dan kami mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan dan pelbagai cabaran untuk diatasi, tetapi kami komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan jenama Audi. Audi adalah salah satu jenama premium terkemuka dunia dan mempunyai pengikut tempatan yang setia merangkumi beberapa generasi, jadi ia potensi yang belum diterokai dalam pasaran Malaysia,” kata Winter.

    “Fokus kami adalah untuk mengukuhkan rangkaian SUV, S line dan quattro, dengan elektrifikasi memainkan peranan utama dalam pelan hala tuju masa depan syarikat. Dengan kekuatan pengalaman pasukan kami dan disokong oleh kepakaran global PHS, kami yakin akan pertumbuhan yang mampan untuk jenama Audi,” tambahnya lagi.

    Proses-proses pentadbiran sudahpun berjalan, dengan keutamaan lain diberikan untuk mengembangkan servis selepas jualan dan memperkukuhkan jaringan pengedar sedia ada bagi mencapai pertumbuhan yang menguntungkan. “Kepuasan pelanggan berada dalam kedudukan teratas dalam senarai kami, dan kami menyedari kepentingan hubungan kerja yang kukuh dengan rakan pengedar kami untuk berkembang dan mencapai sasaran kami serta meningkatkan pengalaman pemilikan untuk pelanggan kami,” kata Leitner pula.

    Model-model Audi yang dibeli mulai 1 Julai akan ditawarkan dengan tiga tahun servis percuma, lima tahun jaminan perbatuan tanpa had dan lima tahun bantuan di tepi jalan. Buat masa sekarang jaringan pengedar Audi yang sudah beroperasi adalah Audi Centre di Juru dan Glenmerie, serta pusat servis Audi bertauliah di Ipoh. Manakala Audi Centre di Setia Alam akan beroperasi semula pada 1 Ogos.

     
     
  • JPJ ulas isu kenderaan rasminya dilanggar pemandu backhoe di Keningau – penguatkuasa turut diugut

    JPJ ulas isu kenderaan rasminya dilanggar pemandu backhoe di Keningau – penguatkuasa turut diugut

    Semalam satu video telah tular yang memaparkan kejadian sebuah kenderaan jenis backhoe telah melanggar dan merosakkan kenderaan rasmi milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kejadian terbabit berlaku di Keningau, Sabah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ, pihaknya memandang serius perkara ini dan menyifatkan ia adalah tindakan yang menghalang penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas.

    “Berdasarkan laporan yang diterima, sebelum kejadian berlaku, sepasukan anggota JPJ sedang melakukan rondaan di sekitar Jalan Kepayang Magatang, Keningau, sebelum melihat sebuah kenderaan backhoe yang mencurigakan dan dipandu secara berbahaya.

    “Kemudian, anggota yang bertugas bertindak menahan dan melakukan pemeriksaan, didapati pemandu kenderaan terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah (Lesen Kelas F). Anggota kami telah mengeluarkan notis saman atas kesalahan yang dilakukan.Tiba-tiba pemandu tersebut berang dan terus melanggar serta merosakkan kenderaan jabatan,” ujar Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

    Beliau turut menambah, dalam masa yang sama, pemandu backhoe tersebut juga telah melakukan provokasi melampau untuk melanggar anggota JPJ di tempat kejadian. Justeru, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa tindakan seperti yang dilakukan oleh pemandu terbabit adalah bersifat ugutan dan menganggu pejawat awam dalam menjalankan tugas penguatkuasaan keselamatan jalan raya,” sambungnya lagi.

     
     
  • Polis Bentong panggil pemandu Toyota Hilux yang memotong di garisan berkembar untuk beri keterangan

    Polis Bentong panggil pemandu Toyota Hilux yang memotong di garisan berkembar untuk beri keterangan

    Susulan video tular yang memaparkan seorang pemandu terpaksa memberhentikan kenderaannya secara mendadak bagi mengelakkannya bertembung dengan sebuah Toyota Hilux yang sedang memotong lori di laluan garisan berkembar semalam, pihak Polis sudah pun mengeluarkan kenyataan berkenaan insiden tersebut.

    Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong Supt. Zaiham Bin Mohd Kahar, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSDPT) IPD Bentong telah menjalankan siasatan awal terhadap pemandu trak pikap dalam insiden yang berlaku di Jalan Janda Baik, Bentong, Pahang itu dan akan memanggilnya untuk memberikan keterangan.

    “Jika didapati bersalah, pemandu pacuan empat roda (4×4) tersebut boleh dikenakan saman atas kesalahan memotong di kawasan garisan berkembar di bawah kaedah lalu lintas 167/59 iaitu Rule (12)(3)(A) yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau boleh dikenakan penjara tidak melebihi enam bulan penjara,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

    Zaiham turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk turut tampil memberikan keterangan.

    Video dashcam berdurasi 48 saat berkenaan pada asalnya dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook Sheran Bin Tahir, dan kemudiannya turut dikongsi oleh laman-laman lain. Dalam video tersebut, pemilik dashcam itu terpaksa membuat brek kecemasan dan terus berhenti apabila Hilux yang datang dari arah bertentangan tidak berjaya memintas lori pada laluan sempit dengan garisan berkembar tersebut.

    Ia turut menyebabkan anak kepada pemilik dashcam berkenaan yang dikatakan sedang tidur terjatuh dari tempat duduk. Turut dapat dilihat, pemandu lori yang sedang dipotong berkenaan turut memberhentikan kenderaannya bagi memberikan laluan kepada Hilux itu, namun ia masih tidak sempat untuk memotong sepenuhnya.

    Malah setelah ‘terperangkap’ kerana tidak lepas memotong, sebaliknya pemilik dashcam tersebut pula yang terpaksa mengundurkan kenderaannya bagi memberi laluan kepada Toyota Hilux terbabit. Pemandu trak pikap tersebut sempat berhenti di sebelah kenderaan pemiik dashcam, dan berkata sesuatu termasuk yang sempat didengari, “ingatkan lori ni bagi laluan…” kepada pemandu kenderaan berkenaan.

     
     
  • Trak pikap sedang memotong lori di laluan garisan berkembar hampir bertembung dengan kenderaan lain

    Trak pikap sedang memotong lori di laluan garisan berkembar hampir bertembung dengan kenderaan lain

    Seorang pemandu terpaksa memberhentikan kenderaannya secara mendadak bagi mengelakkannya bertembung dengan sebuah trak pikap yang sedang memotong lori kontena di laluan garisan berkembar. Insiden terbabit berlaku di Janda Baik, dan dirakamkan menerusi dashcam kenderaan terbabit.

    Dalam video berkenaan (asalnya dimuatnaik oleh Sheran Bin Tahir), ekoran tindakan terpaksa memberhentikan kenderaan secara mendadak, anak kepada pemandu terbabit yang dikatakan sedang tidur turut terjatuh dari tempat duduk. Malahan pemandu itu juga terpaksa mengundurkan sedikit kenderaannya untuk memberikan ruang kepada trap pikap itu memotong lori kontena terbabit. Kedengaran juga kenderaan lain turut membunyikan hon pada waktu itu.

    Dalam masa yang sama, lori kontena itu juga segera berhenti untuk memberi laluan kepada trak pikap berkenaan memotongnya. Pemandu trak pikap tersebut sempat berhenti di sebelah kenderaan yang ‘mungkin boleh menjadi mangsa keadaan’, dan berkata sesuatu termasuk yang sempat didengari, “ingatkan lori ni bagi laluan…” kepada pemandu kenderaan berkenaan.

    Ternyata tindakan pemandu trak pikap itu yang memotong di garisan berkembar adalah salah di sisi undang-undang lalu lintas. Malahan keadaan jalan tersebut sempit dan berselekoh, dan ia boleh memberikan risiko seandainya bertembung dengan kenderaan lain.

    Garisan berkembar di jalan raya bukanlah untuk ‘sekadar hiasan’ sebaliknya bagi tujuan keselamatan. Selain tidak boleh memotong di laluan garisan berkembar, semua kenderaan juga tidak dibenarkan untuk membuat pusingan U, memarkir di laluan berkenaan dan juga melintasinya dari satu lorong ke lorong yang lain.

    Banyak kejadian kemalangan berlaku akibat pertembungan antara dua kenderaan (atau mungkin lebih) apabila salah satunya memotong di garisan berkembar atau memandu laju hingga terbabas. Jika tindakan tersebut dikesan oleh pihak berkuasa, saman sebanyak RM300 boleh dikeluarkan, dan hukuman lebih berat dikenakan jika ia melibatkan kemalangan hingga mengakibatkan kecederaan atau kematian.

     
     
  • Lynk & Co dedah perincian sistem hibrid dan PHEV E-Motive – jarak gerak elektrik hingga 80 km, 4.5 l/100 km

    Lynk & Co dedah perincian sistem hibrid dan PHEV E-Motive – jarak gerak elektrik hingga 80 km, 4.5 l/100 km

    Syarikat automotif kerjasama Geely dan Volvo, iaitu Lynk & Co baru-baru ini telah melancarkan penggerak elektrik E-Motive baru, bersama model konsep The Next Day. Menggunakan asas daripada platform NordThor Intelligent Hybrid, penggerak E-Motive ini akan digunakan kali pertama pada Lynk & Co 01 versi diperbaharui dan seterusnya model-model selepas itu.

    Melihat terlebih dahulu kepada 01 versi diperbaharui, ia mendapat beberapa perubahan rekaan, termasuk lampu belakang, gril, tulisan Lynk & Co yang menyala, kemasan dalam dua tona warna serta sistem infotainmen Qualcomm 8155 SoC, seperti yang dilaporkan oleh CarNewsChina.

    Kembali kepada penggerak E-Motive yang disebutkan tadi, Lynk & Co memberitahu, akan terdapat dua versi ditawarkan kepada pasaran dan kedua-duanya menggunakan asas sama iaitu enjin petrol tiga silinder turbo 1.5 liter dengan transmisi DHT (Dedicated Hybrid Transmission) tiga kelajuan. Ia kemudiannya dipadankan dengan beberapa pilihan bateri, bergantung kepada keperluan, serta motor elektrik di belakang yang berkuasa 204 PS (201 hp or 150 kW).

    Lynk & Co dedah perincian sistem hibrid dan PHEV E-Motive – jarak gerak elektrik hingga 80 km, 4.5 l/100 km

    Versi pertama bagi penggerak E-Motive ini dipanggil sebagai EM-F, di mana ia adalah satu sistem hibrid series-parallel seperti i-MMD (intelligent Multi-Mode Drive) Honda. Pada kelajuan bawah 20 km/j, enjin pembakaran dalaman tersebut digunakan untuk mengecas bateri kecil yang memberi kuasa kepada motor elektrik dan memacu kenderaan.

    Apabila tiba di kelajuan lebih 20 km/j, transmisi DHT akan memastikan enjin serta motor elektrik bekerjasama untuk menggerakkan kenderaan. Lynk & Co memberitahu, DHT ini juga boleh memberikan tambahan tork apabila kenderaan baru mula memecut dan memotong secara pantas pada kelajuan antara 80 hingga 120 km/j.

    Versi kedua yang dipanggil sebagai EM-P pula adalah satu tetapan plug-in hybrid, di mana pengguna boleh mengecas semula bateri menggunakan pengecas yang disambungkan kepada kereta. Kapasiti tenaga yang akan ditawarkan tidak didedah, tetapi Lynk & Co mendakwa, jarak gerak elektriknya boleh mencecah 180 km.

    Sebagai tambahan, kereta dengan penggerak EM-P ini juga boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 50 kW, sebagai alternatif kepada pengecas AC yang lebih perlahan. Dua jenis pacuan disediakan melalui EM-P ini, iaitu dua roda dan empat roda (menggunakan motor elektrik di belakang), dan pilihan bateri ada tiga (Standard, Long Range dan Ultra-Long Range).

    Menurut Lynk & Co lagi, EM-F boleh mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 4.5 l/100 km mengikut kitaran WLTP, manakala apabila dipandu dalam mod hibrid, ia boleh mencatat 5.1 l/100 km. Penggerak elektrik E-Motive ini juga datang dengan tetapan elektrikal dan elektronik baru yang membenarkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk sistem tertentu kenderaan.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Puchong – Mazda 3 Liftback bermula RM1,481/sebulan; stok tersedia, hadiah menarik

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong – Mazda 3 Liftback bermula RM1,481/sebulan; stok tersedia, hadiah menarik

    Jika anda merancang untuk membeli kereta terpakai, sekarang adalah masa terbaik untuk berbuat demikian di myTukar Auto Fair 2022, yang akan kembali hujung minggu ini (1-3 Julai) di myTukar Retail Experience Center – Puchong South. Dengan pilihan yang luas untuk kereta terpakai berkualiti tersedia dengan harga yang menarik, pembeli turut boleh mengambil kesempatan dari tawaran istimewa dan berpeluang untuk merebut pelbagai hadiah menarik.

    Untuk peminat Mazda yang mencari sesuatu yang elegen dan sporty, Mazda 3 Liftback ini adalah sangat patut dipertimbangkan. Apa yang anda lihat di sini adalah varian 1.5L Mid, dan anda boleh bawa pulang hatchback yang menarik ini dengan harga atas jalan tanpa insuran hanya RM135,100, bersamaan bayaran ansuran bermula hanya RM1,481 sebulan.

    Bentuk menarik yang anda lihat pada Mazda 3 ini jelas melambangkan falsafah rekaan Kodo ‘Soul of Motion’ Mazda, dengan rekaan sisi dihasilkan bagi memanipulasi cahaya dan bayang-bayang untuk mencipta pantulan tersendiri apabila dilihat dari sudut berbeza, sama ada ketika pegun atau sedang bergerak.

    Rekaan dalaman kereta ini turut seiring dengan rupa luarannya, yang bernilai lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan. Banyak material sentuhan-lembut premium boleh anda jumpa pada banyak titik sentuhan, bersama suis dan butang kawalan yang diletakkan pada kedudukan yang mengutamakan aspek ergonomik.

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong – Mazda 3 Liftback bermula RM1,481/sebulan; stok tersedia, hadiah menarik

    Ia juga tidak ketinggalan dari segi teknologi, kerana anda akan menerima pemilih mod pemanduan dan kluster paparan instrumen digital TFT-LCD berwarna-penuh tujuh-inci. Sementara itu, sistem infotainmen Mazda Connect menampilkan skrin 8.8-inci, Commander Control dan lapan pembesar suara. Apa yang lebih penting, ia menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, yang menjadikan perjalanan harian anda lebih mudah.

    Mazda 3 diasaskan dari platform Skyactiv-Vehicle Architecture, menampilkan pendekatan menyeluruh terhadap reka bentuk kenderaan yang bukan sahaja memberikan dinamik yang mengagumkan, tetapi juga keselesaan penumpang melalui tempat duduk yang direka khas, serta aspek NVH yang dipertingkatkan.

    Model ini dijana dengan enjin petrol Skyactiv-G 1.5 liter NA empat-silinder berkuasa 118 hp dan tork maksima 153 Nm, bersama kotak gear enam-kelajuan automatik yang lancar bagi menghantar kuasa ke roda hadapan. Gandingan ini bukan sahaja boleh diharap, malah turut memberikan penggunaan bahan api serendah 5.9 liter untuk setiap 100 km.

    Jika anda mahukan sesuatu yang lain dari apa yang dipaparkan ini, jangan risau. Di myTukar Auto Fair 2022, terdapat lebih 1,000 unit kereta yang boleh anda lihat, dengan setiap satunya telah melalui program myTukar Certified.

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong – Mazda 3 Liftback bermula RM1,481/sebulan; stok tersedia, hadiah menarik

    Secara mudahnya, ia menjamin ketenangan fikiran anda kerana setiap kereta yang dijual telah pun melalui pemeriksaan 160-point bagi memastikan ia bebas dari kemalangan besar, kebakaran, dan kerosakan banjir. Hanya unit yang telah lulus pemeriksaan ini akan ke peringkat seterusnya, iaitu diberikan baik pulih menyeluruh untuk memastikan keadaanya seperti baru.

    Proses berkenaan dibuat di Refurbishment Centre myTukar yang canggih, dengan setiap aspek kereta tersebut, termasuk luaran, dalaman dan elektronik, direstorasi kembali bagi memenuhi standard myTukar Certified Pre-Owned. Anda masih tidak yakin? Setiap pembelian kereta di myTukar akan diberikan PERCUMA waranti lanjutan selama setahun dan PERCUMA dua temu janji servis, kedua-duanya amat jarang ditawarkan dalam pasaran kereta terpakai.

    Sebagai tambahan, sekiranya anda berdepan sebarang masalah atau bertukar fikiran tentang kenderaan yang dibeli, anda hanya perlu pulangkannya tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda — melalui polisi jaminan pulangan wang lima-hari yang diberikan.

    Urusan pembelian kenderaan menjadi sangat mudah kerana myTukar Experience Centres seperti di Puchong South ini merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Sekiranya anda ingin membuat urusan tukar-beli dengan kereta yang sedang anda miliki sekarang, anda boleh berbuat demikian di myTukar Auto Fair 2022. Pakar produk myTukar akan memberikan anda tawaran tukar beli segera dengan nilai maksimum untuk kenderaan anda pada acara tersebut.

    Jika anda membeli kenderaan di acara ini nanti, ganjaran sehingga RM800,000 juga menanti! Pembeli berpeluang untuk memenangi perjalanan ke Sydney, Australia dengan semua kos ditanggung. Anda juga akan menerima tawaran istimewa, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 150 tempahan pertama serta peluang untuk memenangi baucar dengan nilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Trak makanan turut akan berada di lokasi, membolehkah pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong – Mazda 3 Liftback bermula RM1,481/sebulan; stok tersedia, hadiah menarik

    myTukar Retail Experience Centre di Puchong South terletak di tepi LDP (Lot 14225, KM 3.8) sebelum plaza tol Puchong Barat, jika anda datang dari IOI Mall dan Bandar Puteri. Sebelum tol, di sebelah kiri anda. Kotak oren misteri yang dilihat di myTukar Plentong juga akan berada di beberapa kawasan seluruh negara, imbas untuk tahu lebih lanjut!

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar, atau layari pilihan luas kenderaan yang ada ketika ini di inventori myTukar dan lihat tawaran yang diberikan. Datanglah ke myTukar Auto Fair at the myTukar Retail Experience Centre – Puchong South dari 1-3 Julai nanti, 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

    Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Kia Seltos facelift 2022 didedah – perubahan jelas bahagian dalam dan luar, tiba di Malaysia Q4, CKD?

    Kia Seltos facelift 2022 didedah – perubahan jelas bahagian dalam dan luar, tiba di Malaysia Q4, CKD?

    Hampir tiga tahun selepas ia didedahkan kali pertama pada tahun 2019, Kia Seltos kini diberikan facelift. SUV segmen B yang memberi saingan kepada Honda HR-V ini mendapat muka hadapan, belakang dan rim baru, serta beberapa perubahan di bahagian dalam.

    Mengikuti barisan model semasa Kia yang lain, Seltos kini menggunakan konsep rekaan “Opposites United”, yang menyaksikan lampu baru dengan DRL tajam ke atas di bahagian tepi, dan bersambung ke gril hadapan dengan corak dalam baru, seperti Sonet.

    Turut digunakan adalah skid plate berbentuk U warna perak, serta bukaan angin bawah yang diasingkan daripada lampu kabus LED menegak di tepi. Di belakang, lampunya menggunakan jalur berbentuk L dan bersambung sehingga logo di tengah, sementara lubang ekzos hiasan juga telah dibuang untuk meletakkan lampu undur dan pemantul cahaya. Melengkapkan penampilannya adalah rim 18 inci baru.

    Perubahan menyeluruh pada model ini diteruskan ke bahagian dalam, di mana ia menerima skrin 10.25 inci yang bersambung, untuk sistem infotainmen dan instrumen. Barangan lain yang diubah adalah termasuk panel tengah papan pemuka, butang pengawal pendingin hawa serta tombol pemilih gear elektronik.

    Perincian teknikal Seltos baru ini masih belum didedah, tetapi kita boleh menjangkakan model pasaran Korea mengekalkan enjin petrol Gamma 1.6 liter turbo berkuasa 177 PS/265 Nm, bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan pilihan pacuan empat roda. Melalui berita sebelum ini, Seltos baru juga dikatakan bakal tiba di negara kita dalam versi CKD, berkemungkinan pada penghujung tahun ini.

     
     
  • Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    Pengeluar bateri Samsung SDI kini difahamkan sedang menyediakan barisan produksi perintis di kilang yang terletak di Cheonan, Korea Selatan bagi memulakan ujian pengeluaran bateri yang diproduksi untuk Tesla, dan seterusnya akan diikuti dengan produksi besar-besar mungkin menerusi fasilitinya yang terletak di Malaysia, menurut laporan The Elec.

    Bateri yang diuji untuk diproduksi di kilang Korea berkenaan adalah bateri 4680 – merujuk kepada diameter 46 mm dan panjang 80 mm – dan Samsung SDI akan mengesahkan teknologi bateri berkenaan dalam masa setahun, tulis laporan itu lagi.

    Barisan produksi pengeluaran perintis Samsung SDI untuk bateri 4680 di Cheonan tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan hanya di bawah 1 GWj, namun dijangka syarikat tersebut mampu untuk meningkatkan pengeluaran bateri baharu ini kepada kapasiti tahunan 8 GWj hingga 12 GWj.

    Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    The Elec menyatakan bahawa selepas produksi permulaan untuk projek perintis tersebut, produksi besar-besaran bateri 4680 itu akan dibuat di kilang Samsung SDI di Seremban, Malaysia. Jika ujian tersebut berjaya, Samsung mungkin akan bersama pengeluar bateri lain seperti Panasonic dan LG dalam membekalkan bateri generasi baharu untuk Tesla, lapor Teslarati pula.

    Format bateri 4680 ini telah diperkenalkan oleh Tesla pada September 2020 sebagai rekaan sel bateri tanpa tab ketika berlangsungnya acara Battery Day yang dianjurkan sendiri oleh jenama EV Amerika Syarikat berkenaan. Bateri tersebut didakwa mampu menawarkan ketumpatan tenaga lima kali lebih tnggi dan enam kali lebih berkuasa untuk 16% penambahbaikkan yang dibuat dalam jarak bateri pada kenderaan elektrik.

    Sumber yang dipercayai turut memberitahu The Elec bahawa Samsung SDI kini menyediakan lebih dari satu versi sel bateri, di mana salah satu versi sel bateri berdiameter 46 mm berkenaan menampilkan tinggi tidak sampai 80 mm dari sel bateri 4680 – bateri tersebut dilaporkan adalah permintaan dari BMW.

     
     
  • Diskaun 50% saman trafik di acara Keluarga M’sia

    Diskaun 50% saman trafik di acara Keluarga M’sia

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi saman trafik pada 1 hingga 3 Julai ini. Walau bagaimana pun, pembayaran saman dengan kadar diskaun tersebut hanya ditawarkan di satu lokasi sahaja.

    Lokasi terbabit ialah Litar Dato Sagor, di Pasir Salak, Perak, di mana satu acara besar iaitu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bakal berlangsung di situ pada tarikh berkenaan. Jadi, bagi orang ramai yang berada di daerah berkenaan atau berdekatan, atau pun di mana-mana jua anda berada dan berkesempatan berkunjung ke acara terbabit, jangan lupa untuk menyemak status saman trafik anda. Jika ada saman, boleh terus bayar.

    Acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu, memberikan penawaran diskaun saman trafik eksklusif buat pengunjungnya yang memiliki saman dari mana-mana lokasi di seluruh Malaysia. Kalau anda pernah kena saman di Sabah pun, boleh langsaikan bayaran saman tersebut dalam acara berkenaan.

    Selain itu, penduduk setempat juga berpeluang membayar saman yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dengan tawaran diskaun sehingga 80% pada hari terakhir acara berkenaan, dan 50% untuk Jumaat dan Sabtu ini.

     
     
  • Ipoh lancar sistem lampu isyarat pintar guna AI dan 5G – tampil aliran trafik 51% lebih baik pada waktu puncak

    Ipoh lancar sistem lampu isyarat pintar guna AI dan 5G – tampil aliran trafik 51% lebih baik pada waktu puncak

    Perak telah melancarkan sistem lampu isyarat trafik pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik.

    Baru-baru ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telahpun menandatangani perjanjian servis langganan dengan Telekom Malaysia (TM) untuk sistem Smart Traffic Light with Intelligence Analytic (STARS) yang menggunakan AI, kamera berdefinasi tinggi serta analitik video bagi menganalisa dan mengoptimakan aliran trafik.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak Khairul Shahril Mohamed, sistem STARS ini telah diuji sejak November tahun lalu di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah.

    Beliau menjelaskan bahawa sistem ini dapat membantu untuk melancarkan aliran trafik sehingga 51% ketika waktu puncak, yang bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya, malah turut mengurangkan emisi karbon dalam Ipoh sehingga 7,500 kg.

    Menurut laporan NST, lampu isyarat pintar ini akan dipasang di seluruh negeri dan selari dengan sasaran MBI bagi menjadikan Ipoh sebagai bandaraya karbon rendah menjelang 2030.

    Sistem STARS ini dihubungkan kepada Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC), yang merupakan pusat untuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh, berfungsi sebagai pusat kawalan pintar dengan kebolehan memproses Data Raya menggunakan AI dan Internet Benda (IoT) yang dikuasakan oleh jaringan 5G.

    Menurut MBI dalam kenyataan yang dikeluarkan, dengan kerjasama TM dan Digital Nasional Berhad (DNB) Ipoh telah menjadi negeri pertama di Utara Malaysia yang mendapat akses 5G pada kelajuan 1 GB sesaat. Bandaraya tersebut merancang untuk menambah 98 lagi tapak 5G di kawasan Greater Ipoh menjelang Oktober tahun ini, manakala liputan untuk seluruh negeri juga sedang diusahakan.

     
     
  • Polis cari pemandu Honda City guna laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan arah PJ menuju ke Klang

    Polis Daerah Petaling Jaya telah mengeluarkan kenyataan pihaknya sedang mengesan pemandu kereta Honda City yang memandu di lorong motosikal di KM 34.1 Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam.

    Aksi berkenaan dirakamkan oleh seorang penunggang motosikal dan telah dimuatnaik menerusi akaun pengguna TikTok @call_mezul serta tular di laman media sosial.

    Menurut ketua polis daerah ini, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kenderaan yang terbabit adalah sebuah kereta Honda City dengan nombor pendaftaran VAG 8183. Dalam kejadian itu tidak membabitkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya.

    “Pihak polis meminta pemilik atau pemandu kereta dan mana-mana saksi tampil membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, mereka boleh ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim di talian 0133752511.

    @call_mezul #pdrmmalaysia #jpjnegeriselangor ? bunyi asal – CallMeZUL

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024