Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Struktur Jawatankuasa Pemacu EV Nasional (NEVSC) dan pasukan khas tadbir urus EV diperincikan

    Struktur Jawatankuasa Pemacu EV Nasional (NEVSC) dan pasukan khas tadbir urus EV diperincikan

    Jun lalu, kerajaan telah umumkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Pemacu EV Nasional (NEVSC). Bernaung di bawah Pasukan Khas EV Nasional (NEVTF), Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata NEVSC diwujudkan untuk memangkin cita-cita mobiliti elektrik negara.

    Beliau berkata NEVSC akan membolehkan kerajaan untuk mendepani masalah berkaitan pelaksanaan ekosistem EEV dengan lebih pantas, dengan cara menyusun arah tuju semua pihak berkepentingan dan menyelaraskan komunikasi antara pihak terlibat.

    Seperti yang dikongsikan sebelum ini, jawatankuasa pemacu ini diterajui oleh MITI dan melibatkan penyertaan beberapa kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kewangan, Pengangkutan, Kerja Raya serta Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

    Susun atur struktur pentadbiran dalam NEVSC dan NEVTF juga telah diperincikan melalui paparan yang dikongsikan ketika persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) yang sedang berlangsung di KLCC hingga esok.

    NEVSC, yang mengetuai pameran tersebut, dipengerusikan oleh Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI, dengan sekretariatnya terdiri daripada pegawai kanan dari MITI serta MIDA. Jawatankuasa ini akan memantau NEVTF, yang diketuai oleh Ketua Setiausaha (KSU) MITI, dengan MIDA sebagai sekretariatnya.

    Di bawah mereka ada juga beberapa kementerian dan agensi kerajaan yang lain, termasuk Kementerian Kewangan (yang menguruskan hal berkaitan kenderaan kerajaan), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, PLANMalaysia (prosedur pemasangan EVSC) dan suruhanjaya tenaga serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertanggungjawab dengan perkara berkaitan pengendali kemudahan pengecasan.

     
     
  • Proton jual 12,230 unit kereta pada Sept 2023; jualan tahunan kini 116,832 unit, naik 14.1% berbanding 2022

    Proton  jual 12,230 unit kereta pada Sept 2023; jualan tahunan kini 116,832 unit, naik 14.1% berbanding 2022

    Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 12,230 unit (domestik + eksport) sepanjang bulan September 2023. Jumlah berkenaan dilihat menyusut sebanyak 1,725 unit berbanding jualan Ogos 2023, namun dengan jumlah jualan kumulatif tahunan yang kini sudah mencecah 116,832 unit, Proton masih lagi menjual kereta dengan jumlah 14.1% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Menurut Proton, angka yang telah dicatatkan setakat ini membolehkan ia yakin bahawa sasaran jualan 141,432 unit yang ditetapkan untuk 2023 bakal dapat dicapai menjelang hujung tahun nanti. Mengulas berkenaan jualan bulanan yang menyusut, Proton menyatakan bahawa ia seiring dengan jumlah volum industri (TIV) yang turut menyusut ke bawah ambang 70,000 unit.

    Namun Proton menjelaskan pertumbuhan jualannya masih kekal mendahului jumlah pertumbuhan industri sebanyak lebih 3.7% manakala pegangan pasaran juga kekal mendahului angka tahun 2022 dan kini berada pada 20.5% atau 0.7% lebih daripada tahun sebelumnya.

    Bagi pecahan jualan setiap model, Saga masih menjadi model paling laris Proton dengan dijual sebanyak 5,648 unit sepanjang pada bulan September. Ini meletakkan Saga sebagai sedan segmen-A kedua paling laris di Malaysia bulan lalu, dan jualan tahunan untuk 2023 setakat ini sudah mencecah 51,484 unit, naik sebanyak 26.8% berbanding tahun sebelumnya.

    Proton  jual 12,230 unit kereta pada Sept 2023; jualan tahunan kini 116,832 unit, naik 14.1% berbanding 2022

    Model kedua paling laris Proton bulan lalu adalah X50 dengan terjual sebanyak 2,210 unit, membolehkan ia kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di negara ini dan terjual sebanyak 24,960 unit dari Januari hingga September 2023.

    Proton Persona pula menjadi model ketiga paling laris dari Proton dengan terjual sebanyak 2,053 unit bulan lalu – walaupun ia masih berada dikedudukan kedua untuk jualan sedan segmen-B bagi bulan September, jualan kumulatif tahunan Persona yang kini mencecah 18,614 unit, atau 72.6% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu membolehkan ia masih kekal sebagai sedan segmen-B paling laris di Malaysia untuk sembilan bulan pertama tahun ini.

    Dua lagi model Proton yang mendahului segmen masing-masing ialah Proton X90 (491 unit terjual sepanjang September, SUV segmen-D paling laris) dan juga Proton Exora (367 unti terjual pada September, MPV segmen-C paling laris tanpa pencabar).

    SUV segmen-C Proton X70 pula terjual sebanyak 779 unit bulan lalu menjadikan ia model kedua terlaris dalam kelasnya dan mencatatkan jualan kumulatif tahunan 8,778 unit. Hatchback segmen-B Proton Iriz pula terjual sebanyak 682 unit bulan lalu, meletakkan ia dikedudukan ketiga dalam kelasnya, dan ia telah terjual sebanyak 6,044 unit bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

    “September merupakan bulan yang tenang bagi industri automotif, yang membawa kepada penurunan dalam jualan berbanding bulan Ogos. Ramai pembeli juga mengambil langkah untuk menunggu dan lihat dengan menjangkakan pembentangan belanjawan negara 2024 pada 13 Oktober dan ini membawa kepada beberapa kesan jangka masa pendek. Suasana keseluruhan pasaran bagaimanapun kekal rancak dengan pengenalan baharu diteruskan pada kadar yang mencatatkan rekod,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Bagi Proton, jualan kami kekal kukuh kerana hasil gabungan teknologi dan nilai yang ditawarkan oleh model kami. Sebagai contoh, Proton X50 telah menjadi SUV segmen B terlaris selama hampir tiga tahun penuh dan dengan pengeluaran kini memenuhi permintaan, kami dapat menyerahkan unit kepada pelanggan dengan masa menunggu yang minimum.

    “Contoh lain ialah Proton Persona, yang sedang mengalami pemulihan jualan bagi tahun 2023 dan berada di tangga atas pasaran sedan segmen B. Pencapaian sedemikian akan memberikan syarikat garis dasar yang kukuh menjelang tahun 2024 dan dengan kemas kini dan pengenalan model baharu dalam perancangan, kami berharap dapat meneruskan pendakian kami untuk menjadi antara jenama automotif terkemuka di rantau ini,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANF dan JWP dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANF, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini 5 Oktober 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 9 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 10 Oktober 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Johor pula, JWP, bidaannya pula bakal dibuka mulai 12 Oktober ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Oktober 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Oktober 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • CAM EA4 didedahkan di Malaysia – Van EV dengan jarak gerak 400 km, 136 PS/320 Nm, bateri 86.1 kWj

    CAM EA4 didedahkan di Malaysia – Van EV dengan jarak gerak 400 km, 136 PS/320 Nm, bateri 86.1 kWj

    Ketika berlangsungnya International Electric Mobility Showcase (IEMS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula hari ini, Sendok Group telah membawa sebuah van EV dari China iaitu CAM EA4 untuk diprebiu pada pada pasaran tempatan. Seperti yang anda boleh lihat, CAM EA4 ini sebenarnya adalah versi elektrik untuk van Placer-X A4 yang kini sudah pun dijual oleh syarikat tersebut di sini.

    Menurut Sendok Group, EA4 menawarkan jarak gerak 400 km (berdasarkan kitaran ujian NEDC) dengan satu cas penuh bateri. Ia juga menampilkan ruang kargo sebesar tujuh meter padu, sama besar dengan Placer-X A4, lebih besar dari van EV EC35 yang turut dijual oleh Sendok Group.

    Dengan spesifikasi yang didedahkan ini, CAM EA4 ini nampaknya menampilkan ruang kargo yang hampir sama dengan sebuah lagi van EV yang telah dijual pada pasaran tempatan iaitu Foton iBlue, tetapi ia mempunyai kelebihan dari segi jarak gerak kerana iBlue hanya boleh bergerak sejauh 195 km dengan satu cas penuh.

    Sendok Group masih belum menyediakan sebarang brosur atau senarai spesifikasi untuk van ini buat masa sekarang kerana ia masih belum dilancarkan. Namun kita boleh jangkakan ia mempunyai dimensi yang hampir sama dengan versi dieselnya iaitu Placer-X A4 yang menampilkan panjang 4,840 mm, lebar 1,880 mm dan jarak roda sejauh 2,570 mm. Ia juga mungkin ditawarkan dalam versi panel serta pelbagai konfigurasi tempat duduk.

    CAM EA4 didedahkan di Malaysia – Van EV dengan jarak gerak 400 km, 136 PS/320 Nm, bateri 86.1 kWj

    Untuk unit rangkaian kuasa, CAM EA4 ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork maksima 320 Nm yang memacu roda belakang. Motor tersebut menerima bekalan kuasa dari bateri litium fosfat logam (LFP) berkapasiti 86.1 kWj.

    Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan kadar cas 20-100% dipenuhkan dalam masa 1.5 jam. Van ini juga dibekalkan dengan pengecas onboard AC dengan kadar maksimum 6.6 kW.

    Bila van ini akan dilancarkan dalam pasaran tempatan masih belum diumumkan, namun pelancarannya mungkin akan dibuat tidak lama lagi bagi membolehkan Sendok Group menawarkan lebih banyak kenderaan komersil berkuasa elektrik sepenuhnya disini.

    Untuk harga pula, mungkin harga Foton iBlue boleh dijadikan rujukan – van EV dengan motor 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork maksima 290 Nm serta bateri 50.23 kWj berkenaan dijual pada harga bermula RM200,035.

     
     
  • Rapid Bus Malaysia sasar penggunaan 30% bas EV menjelang tahun 2030, 100% elektrik pada 2037

    Rapid Bus Malaysia sasar penggunaan 30% bas EV menjelang tahun 2030, 100% elektrik pada 2037

    RapidKL mensasarkan untuk mempunyai 30% bas EV dalam armada basnya menjelang tahun 2030. Perkara ini dikongsikan dalam ruang pameran syarikat itu ketika acara persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 yang berlangsung di ibu negara bermula hari ini.

    Menjelang tahun 2037 pula, semua bas yang digunakan oleh syarikat berkenaan akan terdiri daripada bas elektrik sahaja. Sasaran berkenaan ditentukan berdasarkan purata penggunaan EV di negara lain yang meletakkan sasaran 25-50% penggunaan EV menjelang tahun 2030, dan sifar emisi pada tahun 2035-2040.

    Rapid Bus Malaysia sasar penggunaan 30% bas EV menjelang tahun 2030, 100% elektrik pada 2037

    Ini juga selari dengan agenda nasional untuk mencapai sifar pembebasan emisi kenderaan melalui pertambahan kenderaan dalam armada perkhidmatan. Satu lagi pertimbangan yang diambil kira untuk pelaksanaan ini adalah baki kos pemilikan EV berbanding sasaran emisi, yang dijangka akan menyamai kadar dengan kos pemilikan bas diesel menjelang 2035.

    Dalam jangka masa pendek, seperkara lagi yang menjadi pertimbangan syarikat ini untuk diambil kira dalam pelaksanaan penggunaan bas EV adalah terhadnya kemudahan pengecasan di depot bas. Dengan itu, menjelang 2026, had bas EV dihadkan kepada hanya 100 unit, sementara naik taraf kemudahan pengecasan di depot memerlukan antara 2-3 tahun untuk dipertingkatkan.

     
     
  • Harga minyak 5-11 Oktober – Tiada Perubahan

    Harga minyak 5-11 Oktober – Tiada Perubahan

    Untuk minggu bertarikh 5 hingga 11 Oktober 2023, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada dua minggu sebelum ini.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 19 Septber lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

     
     
  • Gentari kini ada lebih dari 170 pengecas di 46 lokasi

    Gentari kini ada lebih dari 170 pengecas di 46 lokasi

    Mengambil kesempatan berlangsungnya persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 yang sedang berlangsung bermula hari ini hingg Jumaat, Gentari selaku anak syarikat berkaitan tenaga diperbaharui Petronas berkongsi pencapaian rangkaian kemudahan pengecas yang dikendalikan syarikat itu.

    Setakat ini, Gentari sudah mempunyai lebih daripada 170 kemudahan pengecas EV di seluruh Malaysia, melibatkan 46 lokasi semuanya. Seperti yang dapat dilihat daripada senarai penuh yang dipaparkan ini, Selangor menjadi negeri dengan kemudahan pengecasan EV Gentari yang paling banyak, melibatkan sebanyak 17 lokasi, diikuti oleh Kuala Lumpur dengan sembilan lokasi seperti tertera.

    Gentari kini ada lebih dari 170 pengecas di 46 lokasi

    Negeri dengan kemudahan pengecasan EV paling sedikit pula ialah Kelantan, yang melibatkan hanya satu lokasi iaitu di Perdana Hotel, Kota Bharu. Negeri Sembilan pula ketika ini mempunyai dua lokasi pengecasan iaitu di dua stesen Petronas di Rasah dan Pedan Linggi.

    Sarawak juga tidak ketinggalan, dengan pembukaan kemudahan pengecas di dua lokasi setakat ini, dengan kedua-duanya di bandaraya Kuching: iaitu di ICOM Square dan juga CityOne Megamall, yang lengkap dengan pengcas pantas DC 120 kW.

    Senarai lengkap semua lokasi boleh dirujuk dalam gambar ini.

    Gentari kini ada lebih dari 170 pengecas di 46 lokasi

     
     
  • Mazda 2 Hybrid facelift 2024 untuk pasaran Eropah – kembar Toyota Yaris TNGA kini dapat bampar baharu

    Mazda 2 Hybrid facelift 2024 untuk pasaran Eropah – kembar Toyota Yaris TNGA kini dapat bampar baharu

    Tak, anda tak salah tengok dan kami tak salah tulis – ini bukan Toyota Yaris tetapi adalah Mazda 2 Hybrid pasaran Eropah yang di’rebadge’ dari hatchback segmen-B dari Toyota tersebut. Model ini telahpun diperkenalkan buat pertama kali pada Disember 2021, dan kini ia telah muncul dalam versi facelift 2024.

    Bagi model facelift ini, ia menampilkan rekaan bampar yang sedikit berbeza tidak seperti sebelum ini yang menggunakan bampar sama sepenuhnya dengan Yaris. Bampar berkenaan menerima bahagian gril dan juga perumah lampu kabus yang lebih sinonim dengan model-model Mazda lain.

    Versi facelift ini juga menampilkan rekaan rim yang berbeza berbanding versi sebelum ini yang menggunakan terus rim dari Toyota. Selain dari itu komponen seperti lampu hadapan dan belakang, fender, penutup but dan lain-lain pada Mazda 2 Hybrid ini masih mengunakan peralatan yang sama dengan Toyota Yaris pasaran Eropah dan Jepun (berbeza dengan Yaris pasaran ASEAN termasuk Malaysia).

    Mazda 2 Hybrid facelift 2024 untuk pasaran Eropah – kembar Toyota Yaris TNGA kini dapat bampar baharu

    Mazda tidak memberitahu sebarang kemaskini yang dibuat pada versi facelift ini, dan ia mungkin masih sama seperti sebelum ini. Sama seperti Yaris, Mazda 2 Hybrid ini diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-B.

    Ia dijana oleh unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter tiga-silinder kitaran-Atkinson berkuasa 91 hp/120 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 79 hp/141 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 116 PS. Kuasa dialirkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT.

    Ini membolehkan Mazda 2 Hybrid ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Ia turut mencapai kadar penggunaan bahan api gabungan serendah 3.8 hingga 4.0 l/100 km berdasarkan standard WLTP, serta emisi CO2 87-3 g/km.

    Mazda 2 Hybrid facelift 2024 untuk pasaran Eropah – kembar Toyota Yaris TNGA kini dapat bampar baharu

    Menurut Mazda, model facelift ini akan ditawarkan dalam empat varian kemasan untuk pasaran United Kingdom, iaitu Centre-Line, Exclusive-Line, Homura dan Homura Plus.

    Laporan Car Expert menyebut varian tertinggi Homura Plus menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.5-inci (hanya 9-inci untuk varian lain), paparan head-up 10-inci dan juga bumbung panaromik.

    Mazda menyatakan bahawa model facelift Mazda 2 Hybrid ini akan mula dijual di pasaran UK bermula Mac 2024, dan perincian lain serta harganya akan diumumkan kemudian. Untuk makluman anda, Mazda hanya menjual Yaris rebadge ini hanya dalam versi Hybrid, dan pasaran Eropah masih menerima Mazda 2 sebenar dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya.

     
     
  • Pelan TNB Electron bentang halatuju prasarana 10 tahun — kurangkan 4.432 juta tan emisi pada 2030

    Pelan TNB Electron bentang halatuju prasarana 10 tahun — kurangkan 4.432 juta tan emisi pada 2030

    Di persidangan International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2023 berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga Jumaat nanti, intipati yang menjadi teras serta tumpuan utamanya adalah halatuju berkaitan prasarana EV di Malaysia dalam rentang waktu terdekat.

    Pelbagai pihak berkepentingan mengambil bahagian termasuk mengadakan pameran yang menyatakan sasaran serta perkembangan masing-masing di dalam pemetaan dan pelaksanaan teknologi berkaitan EV di negara ini. Antara pemain penting jika menyentuh tentang prasarana ini tentulah Tenaga Nasional Berhad.

    Melalui Pelan TNB Electron, syarikat itu menggariskan pelan 10 tahun bagi pelaksanaan prasarana yang menyeluruh, dengan Semenanjung Malaysia sebagai permulaan. Secara ringkas, TNB Electron merancang untuk menyediakan pengecas EV di lokasi-lokasi baru — dengan 37 daripadanya adalah pengecas DC, 29 lagi pengecas AC.

    Tiga fasa digariskan untuk pelaksanaan penuh perancangan tersebut: Permulaan (2022-2024), Pelaksanaan (2025-2027) dan Perluasan (2028-2030). Antara sasaran bagi fasa pertama ialah memperbanyak prasarana pengecasan melalui usahasama serta mengoptimumkan platform dan aplikasi mudah alih berkaitan.

    Pelan TNB Electron bentang halatuju prasarana 10 tahun — kurangkan 4.432 juta tan emisi pada 2030

    Fasa kedua, yang dicadangkan bermula pada 2025 dengan sasaran untuk mencapai 30,000 kenderaan BEV, 3,300 kemudahan pengecas serta pengurangan pembebasan emisi sebanyak 0.069 juta tan. Sasaran yang dicadangkan menjelang 2030 pula ialah untuk mencapai jumlah 500,000 kenderaan EV, 18,000 kemudahan pengecas EV serta 4.432 juta tan pengurangan pembebasan emsisi.

    10% daripada armada kenderaan TNB juga dijangka akan menggunakan jenis elektrifikasi di dalam Fasa Kedua berkenaan, yang mana menjelang Fasa Ketiga tempoh tersebut sepatutnya menyaksikan angka berkenaan berganjak kepada 30% EV.

    Dengan halatuju penyediaan prasarana yang jelas seperti ini tentulah diharapkan menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kadar penerapan EV yang lebih rancak dalam tempoh 10 tahun ke hadapan.

     
     
  • Perodua D66B bakal dilancar untuk pasaran Malaysia awal tahun 2024 – laporan Kenanga Research

    Perodua D66B bakal dilancar untuk pasaran Malaysia awal tahun 2024 – laporan Kenanga Research

    Ini ada satu berita berkenaan SUV segmen B yang dikatakan bakal menjadi produk terbaru Perodua, iaitu D66B (nama kod yang digunakan sekarang). Kenanga Research mengeluarkan laporan mengatakan ia akan memasuki pasaran Malaysia awal tahun hadapan.

    Perincian lanjut SUV yang akan diletakkan atas daripada Ativa ini masih lagi kurang jelas, tetapi jika melihat kepada Toyota Yaris Cross yang dilancar di pasaran Indonesia Jun lalu, kita akan mendapat sedikit gambarannya.

    Model tersebut menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), sama seperti Vios baru, Ativa dan Axia, dan dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter berkuasa 106 PS (105 hp atau 78 kW) dan tork 138 Nm bersama padanan transmisi sama ada manual lima kelajuan atau CVT untuk memacu roda hadapan.

    Perodua D66B bakal dilancar untuk pasaran Malaysia awal tahun 2024 – laporan Kenanga Research

    Selain enjin petrol tersebut, ia juga ditawarkan dengan penggerak hibrid, yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm bersama padanan motor elektrik 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm (bateri lithium ion).

    Jika benar apa yang dikeluarkan dalam laporan Kenanga Research ini, tidak lama lagi kita akan dapat melihat pesaing Honda HR-V dan Proton X50 dalam pasaran. Adakah anda teruja dengan ketibaannya?

     
     
  • Gentari perkenal pengecas DC EV 120 kW di Sarawak

    Gentari perkenal pengecas DC EV 120 kW di Sarawak

    Gentari telah umumkan tambahan terbaru bagi rangkaian pengecasnya di negara ini, dengan kemudahan berkenaan kini turut berada di CityOne Megamall di Kuching, Sarawak.

    Lokasi berkenaan dilengkapi dengan pengecas pantas 120 kW DC dengan dua kepala pengecas. Ini juga adalah susulan daripada pengenalan stesen pengecas EV yang pertama oleh Sarawak Energy bulan lalu, yang terletak di ICOM Square, juga di bandaraya Kuching, Sarawak.

    Melalui rangkaian stesen pengecas EV Gentari, pengguna juga boleh memanfaatkan keseluruhan rangkaian Gentari yang lain di negara ini, yang terdiri daripada 600 pengecas dan boleh dijejaki melalui aplikasi Setel dan JomCharge.

    Awal tahun ini, Gentari dan Sarawak Energy menandatangani perjanjian kerjasama strategik untuk meningkatkan lagi tahap penggunaan EB di negari itu dengan mengembangkan rangkaian pengecas EV dengan lebih menyeluruh, yang disasarkan untuk mempromosi penyelesaian mobiliti hijau serta peralihan kepada pengangkutan rendah karbon di Sarawak.

     
     
  • Yamaha Jupiter Z1 dapat gaya baharu di Indonesia

    Yamaha Jupiter Z1 dapat gaya baharu di Indonesia

    Di negara jiran, Indonesia, kembar kepada Yamaha Lagenda 115Z iaitu Jupiter Z1 diberikan penampilan baru yang melibatkan tiga warna iaitu merah, hitam dan hijau muda. Ia dijual pada harga 19.8 juta rupiah, bersamaan sekitar RM6k.

    Walaupun sudah berusia lebih 10 tahun dalam pasaran, Jupiter Z1 ini masih dijual atas permintaan pengguna, sementara spesifikasinya masih kekal sama. Di negara kita pula, Lagenda 115Z sudah diganti dengan Yamaha EZ115 (juga dikenali sebagai Sirius Fi di beberapa pasaran lain).

    Jupiter Z1 dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 115 cc, bersama padanan transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 10 hp pada 7,750 rpm dan tork 9.8 Nm pada 6,750 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik juga penendang kaki.

    Kelengkapan lain juga adalah biasa sahaja, dengan termasuk rim 17 inci aluminium, brek cakera di hadapan dan dram di belakang (tanpa ABS), fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, lampu halogen serta tangki bahan api 4.1 liter.

     
     
  • Ducati DesertX Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk menjadi lebih lasak, enjin 937 cc 110 hp

    Ducati DesertX Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk menjadi lebih lasak, enjin 937 cc 110 hp

    Ducati memperkenalkan satu varian baru bagi DesertX, yang dinaik taraf dengan pelbagai kelengkapan untuk menjadikannya lebih lasak, khas untuk penunggang yang sentiasa mencari cabaran. Ia dipanggil sebagai DesertX Rally dan hadir dengan penampilan khas menggunakan warna gabungan merah, putih dan tulisan Ducati besar di tepi.

    Pertamanya melihat kepada kelengkapan luar, DesertX Rally ini diberi penghadang lumpur tayar hadapan yang lebih tinggi, penghadang bawah enjin yang diperbuat daripada gentian karbon serta kerangka belakang yang berwarna merah.

    Peningkatan utama yang menjadikan motosikal ini lebih berkemampuan adalah di bahagian suspensi. Di hadapan ia mendapat fork Kayaba 48 mm USD closed cartridge yang boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan, sementara di belakang ia dipasang dengan monoshock Kayaba 46 mm yang boleh dilaras sepenuhnya untuk mampatan dan lantunan, serta tombol pelaras pra beban.

    Selain menyediakan prestasi serapan yang lebih baik dan lasak, tetapan suspensi ini juga menyediakan jarak gerak yang lebih tinggi, iaitu peningkatan sebanyak 20 mm, menjadi 250 mm di hadapan dan 240 mm di belakang. Kelegaan dari tanah pula bertambah 30 mm menjadi 280 mm manakala tinggi tempat duduk sekarang adalah 910 mm (DesertX biasa 875 mm).

    Tidak cukup dengan suspensi, Ducati juga telah menukar rim DesertX Rally ini dengan unit Excel Takasago khas untuk motosikal offroad yang lebih ringan dan lasak. Saiz rim ini masih sama, iaitu 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi menggunakan tetapan jejari hab di tengah dan memerlukan tiub di dalam tayar (Pirelli Scorpion Rally STR.

    Meningkatkan lagi pengendalian DesertX Rally adalah steering damper Ohlins yang boleh dilaras. Dengan semua peningkatan kelengkapan ini, DesertX Rally cuma mencatat tambahan berat satu kilogram berbanding DesertX biasa yang mencatat 223 kg (sedia untuk ditunggang). Tangki bahan api masih 21 liter.

    Ducati DesertX Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk menjadi lebih lasak, enjin 937 cc 110 hp

    Pakej kuasa motosikal ini masih sama dengan DesertX biasa, iaitu padanan enjin Testastretta 11 L-Twin 937 cc bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter, mampu menghasilkan kuasa 110 hp pada 9,250 rpm dan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.

    Pengguna motosikal ini disediakan dengan enam mod tunggangan dan ia juga datang dengan pelbagai sistem bantuan dan kelengkapan elektronik yang termasuk Cornering ABS, Ducati Traction Control, Ducati Wheelie Control, cruise control serta skrin TFT lima inci.

     
     
  • Shell batal tutup 34 stesennya di Sabah tahun depan

    Shell batal tutup 34 stesennya di Sabah tahun depan

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan bahawa Shell telah membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di negeri tersebut menjelang Januari tahun depan, susulan siri perbincangan dengan kerajaan negeri.

    “Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya yang turut mengalu-alukan keputusan Shell itu, laporan Bernama.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas Shell mengumumkan rancangan penutupan itu pada Jun lalu, mendorong Hajiji untuk bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman bagi membincangkan perkara berkenaan.

    Pada 20 Jun lalu, dilaporkan Shell Timur Sdn Bhd, yang mengendalikan kiosk Shell di Sabah dan Labuan telah mengesahkan ia akan menutup beberapa stesen runcit yang kurang produktif di Malaysia Timur untuk mengekalkan. prestasi syarikat dan semakan akan berterusan. Stesen minyak yang terjejas ialah sepuluh di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan, dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu. Jika penutupan stesen berkenaan berlaku, hampir 500 kakitangannya bakal hilang pekerjaan.

     
     
  • Pemandu Proton Saga guna siren untuk melepasi kesesakan trafik di Seri Kembangan diburu polis

    Pemandu Proton Saga guna siren untuk melepasi kesesakan trafik di Seri Kembangan diburu polis

    Polis sedang mengesan pemandu Proton Saga yang didapati menggunakan siren dan memandu secara berbahaya di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan, petang semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan, pihaknya telah mengesan satu rakaman video berdurasi 48 saat yang tular di laman media Facebook menunjukkan aksi kereta itu dipandu melulu selain menggunakan siren bagi melepasi kesesakan trafik.

    “Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku pada 2 Oktober sebelum video mengenainya tular di media sosial. Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemandu kereta tersebut.

    “Kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak lebih daripada RM15,000,” katanya.

    Nampak gayanya penggunaan strobe light dan siren oleh orang awam semakin menjadi-jadi. Apatah lagi ia mudah didapati di pasaran termasuk di kedai aksesori dan juga menerusi platform dalam talian. Masih ramai orang awam yang seakan tidak gentar dengan hukuman yang menanti, seakan ‘kebal’ dengan tindakan undang-undang.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BRR dan PRB dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan Pulau Pinang dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BRR, mula dibuka bidaan pada hari ini, 4 Oktober 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Oktober 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRB, bakal dibuka bidaan mulai 14 Oktober 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 18 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Polis Sabah terima 8 motosikal Harley Davidson sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM1.076 juta

    Polis Sabah terima 8 motosikal Harley Davidson sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM1.076 juta

    Polis Kontinjen Sabah secara rasmi telah menerima lapan buah motosikal Harley Davidson dari Kerajaan Negeri Sabah dalam satu majlis yang berlangsung di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu semalam.

    Kesemua motosikal berkenaan diserahkan sendiri oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun dalam majlis tersebut.

    Menurut hantaran yang dibuat di laman Facebook rasmi Polis Sabah, sumbangan dari kerajaan negeri ini adalah untuk mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah untuk tugas-tugas seperti pengiring prestige di Sabah.

    Jentera Harley Davidson yang dipilih untuk Polis Sabah ini adalah dari model Low Rider ST, yang dijana oleh enjin V-Twin 1,923 cc berkuasa 105 hp dan tork maksima 168 Nm.

    Hantaran itu turut menyatakan bahawa secara keseluruhan kesemua motosikal tersebut adalah bernilai RM1.076 juta, dan ia akan diagihkan dalam dua fasa.

     
     
  • Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Sejak terpilih menjadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) pada akhir tahun lalu, sudah beberapa kali Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mengulang cerita’ mengapa kerajaan kepimpinannya masih tidak boleh untuk menunaikan salah satu manifestonya sejak sekian lama iaitu menurunkan harga minyak khususnya petrol.

    Malahan desakan ramai ahli politik khususnya dari blok pembangkang dan juga rakyat Malaysia menuntut agar Anwar menunaikan janji tersebut. Bahkan rakyat Malaysia juga masih menantikan formula yang terbaik daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkenaan dengan perkara yang sama. Bukan setakat mahu harga kereta diturunkan, tetapi paling penting harga minyak petrol dan diesel di pasaran tempatan tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.

    Baru-baru ini pula, bahagian penyelidikan Kenanga Investment Bank iaitu Kenanga Research berkata, kemungkinan besar subsidi bersasar bahan api hanya akan diberikan untuk golongan B40, ramai pula golongan M40 yang mengeluh (ini termasuklah kami).

    Mengapa kita tak tunaikan janji untuk turunkan harga minyak? Ini jawapan saya…. – PMX Anwar Ibrahim

    Tetapi andai ia dilaksanakan (subsidi bersasar hanya untuk golongan B40), pastinya ia akan menambahkan keresahan untuk golongan lain kerana secara automatik harga barangan keperluan semasa akan naik (sekarang pun dah naik…) dan secara tidak langsung menambahkan beban kewangan.

    Menyedari rungutan banyak pihak, PMX menerusi laman media sosialnya telah berkongsikan video berdurasi satu minit 15 saat ini. Ia dirakamkan sewaktu beliau menghadiri majlis ramah mesra Madani baru-baru ini.

    “Macam minyak sekarang, saya dicerca merata tempat. Hari ini naik, esok minyak turun…. Dengar jawapan saya, bila saya kata itu..2008. Masa itu berapa harga minyak Saudi..50 sen (seliter). Kita masa tu dalam RM1.80 (seliter), RM1.60 (seliter).

    “Berapa sekarang… Sekarang 2023. Sekarang harga minyak Arab saudi lebih tinggi dari Malaysia. Kita nak turun macam mana lagi. Kita dah subsidi begitu tinggi, (RM)30-40 bilion ringgit subsidi sekarang ini…,” katanya.

    Apa yang diperkatakan menerusi video ini adalah seiring dengan apa yang pernah diucapkan ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada 20 September lalu.

    Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

    “Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah. Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya ketika itu.

    Setakat ini, petrol RON 97 ditetapkan pada harga RM3.47 seliter selepas mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 21 September lalu. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Untuk diesel Euro B10/B20, harganya pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

     
     
  • Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Suzuki telah mengumumkan barisan kenderaan yang akan mereka bawa ke Japan Mobility Show (sebelum ini dikenali sebagai Tokyo Motor Show) 2023 dan salah satu yang menarik perhatian adalah Swift Concept ini. Ia memberi pra tonton awal kepada model generasi keempat hatchback tersebut dan akan menggantikan model generasi ketiga yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2016.

    Meskipun masih dipanggil sebagai sebuah kereta konsep, model yang ditunjukkan ini nampak seperti sudah sedia untuk pasaran dan dijangka akan dilancar pada tahun hadapan. Sekali pandang, anda akan terus nampak rekaan baru yang lebih radikal berbanding sebelum ini.

    Bentuk asas hatchback ini masih lagi sama, tetapi anda boleh melihat perincian baru seperti lekuk pada bahagian tepi badan serta pembuka pintu yang diletakkan kembali kepada tempat biasa berbanding tepi cermin pada model generasi ketiga.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Walaupun begitu, bahagian yang dijangka akan menimbulkan kontroversi adalah depan. Lekuk pada bahagian tepi tadi bersambung sehingga ke bonet yang bukan sahaja rata, tetapi mempunyai lengkuk sehingga ke tepi (clamshell type).

    Dengan rekaan bonet sebegitu, lampu utama (mempunyai pencahayaan DRL berbentuk J) diletakkan lebih rendah dan mengapit gril tengah yang lebih kecil. Selain lampu kabus yang berada di setiap penjuru, bampar baru ini juga melihatkan kemasan berwarna perak di bahagian bawahnya.

    Pergi ke belakang, lampu Swift konsep ini mendapat bentuk dan pencahayaan baru, dan menjadikan pintu butnya lebih berpetak. Bampar belakang juga mendapat kemasan berwarna hitam di bahagian bawah, yang turut meletakkan pemantul cahaya serta nombor plet di bahagian tengah.

    Suzuki Swift Concept 2024 didedah – rekaan seluruh bahagian dirombak, muka hadapan nampak pelik?

    Rekaan bahagian dalam turut dirombak, dengan menyaksikan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen diletakkan paling atas. Corong pendingin hawa nampak lebih berpetak sementara kawalannya pula menggunakan butang bagi menggantikan tombol bulat sebelum ini. Panel meter di hadapan pemandu masih mempunyai tetapan analog bersama skrin digital kecil di bahagian tengah.

    Perincian untuk penggerak Swift baru ini masih lagi tidak didedahkan tetapi Suzuki memberi gambaran “enjin berkecekapan tinggi memberikan keseimbangan antara prestasi pemanduan dan kecekapan bahan api.” Syarikat pengeluar Jepun itu juga memberitahu Swift baru ini akan mendapat teknologi keselamatan canggih termasuk Dual Sensor Brake Support II (DSBS II atau Autonomous Emergency Braking), lampu tinggi adaptif dan sistem pemerhati pemandu.

     
     
  • Suspek kes pukul food rider di Klang diberkas polis

    Suspek kes pukul food rider di Klang diberkas polis

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kes pukul seorang penghantar makanan atau food rider di Jalan Langat-Klang telah pun diberkas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, tangkapan dilakukan oleh pasukan D7 daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 6.30 petang semalam.

    “Polis menangkap tiga suspek warga tempatan yang berumur antara 28 hingga 39 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta. Kesemua suspek didapati mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek mendapati suspek utama yang berumur 39 tahun positif methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

    Tambah beliau, permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dimohon di Mahkamah Majistret Klang. Malahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Selatan turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sejak semalam, video rakaman kes pukul ini telah viral di laman media sosial yang memaparkan seorang lelaki telah memukul dan merosakkan motosikal milik seorang warga tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai food rider gara-gara tidak puas hati selepas mangsa membunyikan hon pada keretanya.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua… Harap-harap suspek berkenaan dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya termasuk kes dadah!