Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton sumbang 7-enjin 1.5 T-GDi kepada institusi pendidikan awam untuk tujuan latihan kemahiran

    Proton sumbang 7-enjin 1.5 T-GDi kepada institusi pendidikan awam untuk tujuan latihan kemahiran

    Proton mengumumkan bahawa pihaknya telah menyumbangkan tujuh unit enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus (TGDi) kepada beberapa institusi pendidikan awam sekitar negeri Perak bagi digunakan untuk tujuan pembelajaran dan latihan teknikal.

    Enjin-enjin tersebut disampaikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Ahli Parlimen Tanjung Malim semasa acara berbasikal sejauh 30km, Proton Growing Together Fun Ride yang berlangsung pada 8 Oktober lalu bersempena ulang tahun syarikat yang ke-40.

    Antara institusi pendidikan yang menerima enjin 1.5 TGDi tersebut ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Kolej Vokasional Slim River, Giat Mara Tanjung Malim dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, pelajar-pelajar akan diberi latihan eksklusif dan membina pengetahuan dalam servis dan pembangunan enjin, serta membantu menyelaraskan kemahiran mereka dengan permintaan industri.

    “Proton telah mengeluarkan kenderaan di Tanjung Malim selama 20 tahun dan kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong institusi pendidikan tempatan untuk mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran automotif mereka. Kami berharap enjin yang diserahkan hari ini akan membantu memajukan program latihan di institusi dan membantu melatih bakat masa depan untuk industri automotif Malaysia,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    Enjin 1.5 TGDi ini dikenali dengan kod dalaman GEP3 atau Global Engine Petrol 3, yang dibina bersama oleh Volvo dan Geely. Oleh itu enjin ini adalah setaraf dengan enjin-enjin yang dihasilkan oleh pengeluar automotif global lain buat masa sekarang dari segi teknologi, prestasi dan juga emisi.

    Proton juga telah mula memasang enjin ini secara pemasangan tempatan di fasilitinya di Tanjong Malim, dengan pelbagai komponen dalaman dibekalkan oleh vendor-vendor tempatan.

    Selain majlis penyerahan enjin, Proton turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada tiga beradik atas usaha cemerlang mereka di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX23). Shameer Panduar, 16, Shaheer Panduar, 14, dan Shazlan Panduar, 13, semuanya merupakan pelajar di SMK Proton City telah bersama-sama memenangi pingat emas untuk Pameran Rekacipta Muda Dunia (WYIE) dan dinobatkan sebagai Pencipta Muda Terbaik di Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE).

    “Sumbangan tunai Proton kepada tiga beradik itu adalah ganjaran atas usaha dan pengiktirafan mereka bahawa minda muda berbakat boleh ditemui di Tanjung Malim. Sama seperti ibu bapa mereka, kami juga berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap ini adalah langkah pertama untuk pencapaian yang lebih hebat pada masa hadapan,” tambah Dr Li.

     
     
  • Mazda MX-5 terima facelift – tambahan kuasa untuk enjin 1.5L, DSC-Track, ACC, skrin infotainmen 8.8 inci

    Mazda MX-5 terima facelift – tambahan kuasa untuk enjin 1.5L, DSC-Track, ACC, skrin infotainmen 8.8 inci

    Mazda telah memperkenalkan MX-5 facelift, yang menerima peningkatan bahagian visual dan juga teknologi. Ini adalah kali ketiga model ND generasi keempat ini diberikan peningkatan sejak ia membuat penampilan pertama September 2014 lalu, dengan talaan enjin dibuat pada tahun 2018 dan Kinematic Posture Control (KPC) diperkenalkan pada tahun 2021.

    Masih disediakan dalam versi bumbung boleh lipat lembut atau keras (RF), MX-5 baru ini antaranya menerima lampu utama LED yang disepadukan bersama DRL. Lampu belakang juga menampilkan rekaan pencahayaan baru, sementara rekaan rim baru turut ditawarkan dengan Aero Grey Metallic.

    Anda juga akan dapat melihat gril yang diubah suai bagi menempatkan pengesan radar yang membantu fungsi Mazda Radar Cruise Control (MRCC) serta Smart Brake Support [Rear Cross] (SBS-RC). Fungsi sokongan brek itu dapat membrek kenderaan secara automatik semasa mengundur pada kelajuan 15 km/j ke bawah, apabila ia mengesan kenderaan dari kiri, kanan atau belakang.

    Pada bahagian belakang, MX-5 facelift ini mengikut jejak Mazda 2 dan CX-3 dengan mendapat skrin 8.8 inci untuk sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai oleh panel instrumen yang diubah sedikit, soket USB-C, cermin sisi terapung serta pilihan balutan dalam baru. Satu varian baru, iaitu S Leather Package V dengan bahagian dalam lebih cerah serta bumbung lembut disediakan sebagai piilhan.

    Berkenaan sistem pemanduan, versi transmisi manual mendapat asymmetrical limited-slip differential serta mod baru untuk dynamic stability control, dipanggil sebagai DSC-Track. Kemudiannya, sistem stereng elektrik untuk semua varian ditala semula untuk menjadi lebih ringan dan memberikan rasa lebih tepat.

    Akhir sekali, enjin empat silinder 1.5 liter NA pada MX-5 menerima peningkatan kuasa sebanyak 4 PS (4 hp atau 3 kW), menjadikan keseluruhannya 135 PS (133 hp atau 99 kW) dan tork 150 Nm. Enjin empat silinder 2.0 liter NA pula tidak diusik dan masih menyediakan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 205 Nm – kedua-dua enjin ditawarkan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

     
     
  • Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    Susulan isu penguatkuasaan meletakkan kenderaan di luar pagar rumah seperti mana pada memo dan notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada 2 Oktober lalu, PBT berkenaan berkata pihaknya akan mengeluarkan keputusan berhubung perkara tersebut pada 11 Oktober ini.

    Menurut Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd Rahman, pelaksanaan penguatkuasaan kesalahan meletakkan kenderaan di hadapan rumah dan menghalang laluan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan akan diputuskan dalam satu mesyuarat dan jika mendapat persetujuan Ahli Majlis, penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara berfasa.

    “Untuk permulaan ini kita akan buat sesi kesedaran mengenai penguatkuasaan undang-undang kecil ini kepada masyarakat. Kita menjangkakan sehingga akhir tahun proses kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ini akan diberikan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan tersebut bertujuan menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini. Di mana pihaknya menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai.

    “Sebenarnya semangat kejiranan semakin terhakis dan kita ada terima laporan pergaduhan dengan jiran. Kita tidak terus kompaun jika terdapat kesalahan, selalunya notis akan diberikan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.

    Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    “Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan. Selepas itu jika tiada tindakan pemulihan, kita akan kompaun. Kita tidak akan kompaun terus, kita akan beri notis dulu. Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.

    Walau bagaimana pun, tambah beliau, pihaknya sedia maklum mengenai taman perumahan lama yang mana ruang jalan dan kediaman sempit dan dekat. Oleh itu, MBPG tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah tidak menghalang laluan.

    Sebelum ini, MBPG menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi untuk tindakan penguatkuasaan yang difokuskan dan diutamakan adalah berdasarkan aduan yang diterima. Ini kerana setiap aduan yang diterima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.

    “Untuk makluman semua, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG sebanyak 242 aduan pada tahun 2022. Manakala setakat September 2023 pula, sebanyak 349 aduan diterima,” kata kenyataan tersebut.

     
     
  • Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Malaysia mengumumkan bahawa kereta die-cast skala 1/64 Proton Saga 1985 kini sudahpun mula dijual di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan dan juga kedai serbaneka seluruh negara.

    Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran di laman Facebook jenama itu, dan mengesahkan bahawa Proton Saga berkenaan bukanlah versi edisi terhad, tetapi ia dijual dalam versi Hot Wheels Basic Car atau mainline dan ia terkandung dalam kumpulan Dash/Case B untuk 2024.

    Selain itu, Hot Wheels Malaysia turut akan membuat sesi unboxing secara langsung kotak Dash B berkenaan dalam acara yang akan berlangsung di Pavilion Bukit Jalil pada pukul 10 pagi 8 dan 15 Oktober serta 5 petang 14 Oktober 2023.

    Hot Wheels dan Proton mengumumkan kerjasama untuk menghasilkan Proton Saga generasi pertama dalam versi mainan skala kecil berkenaan pada Disember tahun lalu, bagi meraikan ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc).

    “Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di kilang Mattel Malaysia yang terletak di Pulau Pinang tahun lalu.

    Buat masa sekarang, kilang Mattel Malaysia tersebut sememangnya kilang Hot Wheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan Hot Wheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

    Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Proton Saga yang dijual di platform jualan atas talian dengan harga tak masuk akal!

    Selain dari versi mainline ini, Hot Wheels turut akan menjual edisi khas Proton Saga dengan kad blister istimewa rekaan adik Saw Jane Harn yang baru berumur 9 tahun dari Pulau Pinang. Rekaan kad blister Jane Harn dipilih untuk digunakan pada versi edisi terhad tersebut selepas dia memenangi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition, dan ia didedahkan ketika berlangsungnya Art of Speed 2023 pada Julai lalu.

    Berbeza dengan versi mainline yang sudah dijual sekarang yang turut akan ke pasaran eksport seluruh dunia, versi edisi terhad tersebut kelak hanya akan dipasarkan di Malaysia dan ia akan mula dijual pada tahun hadapan.

    Sebagai model mainline, Saga ini hanya dijual pada harga RM9.90 dalam pasaran sebenar. Walau bagaimanapun hasil carian kami di platform jualan atas talian, penjual-penjual kereta mainan ini sudahpun menjual Hot Wheels Proton Saga mainline ini pada harga tidak masuk akal dengan harga yang mencecah sehingga RM250!

     
     
  • Beberapa kawasan di Cheras dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang ini – trafik turut sesak di sekitar KL

    Beberapa kawasan di Cheras dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang ini – trafik turut sesak di sekitar KL

    Terdapat perkongsian di laman media sosial petang ini yang memaparkan kejadian banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di sekitar Cheras, termasuklah di Bandar Sri Permaisuri dan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI), ekoran hujan lebat hampir sejam.

    Dalam masa yang sama, Rapid KL juga telah berkongsi maklumat berhubung terdapat perkhidmatan bas kendaliannya yang tidak dapat melalui terowong Jalan Chan Sow Lin disebabkan banjir.

    Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga berkongsi maklumat mengenai banjir kilat yang berlaku di KM B0.6sb pusat bandar menghala ke Salak Selatan. Di mana terdapat penutupan lorong perlahan dan tengah di laluan terbabit.

    Malah trafik juga dilaporkan sesak akibat air bertakung di Salak Expressway, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Hishamudin dan Lebuhraya KL-Seremban.

    Oleh itu, jika jalan yang anda ingin lalui terjejas, tangguhkan perjalanan anda jika boleh, dan elakkan untuk menggunakan laluan tersebut kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang ketara pada kenderaan anda.

    Anda juga disyorkan untuk mendapatkan insurans tambahan bencana alam untuk perlindungan kenderaan anda. Perlu diingat, untuk membaikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi, maka dengan adanya insurans khas ini mampu mengurangkan beban kewangan anda.

     
     
  • Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Honda telah memberikan pembaharuan kepada model adventure CRF1100L Africa Twin, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu CRF1100L Africa Twin, dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports. Ia melibatkan sedikit bahagian panel badan, enjin, roda serta suspensi.

    Masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit dua silinder selari 1,084 cc, CRF1100L Africa Twin tahun 2024 bagaimanapun mampu memberikan lebih kuasa pada tahap rpm rendah dan pertengahan, sementara tork pula bertambah tujuh peratus menjadi 112 Nm pada 5,500 rpm. Kuasa maksimum masih lagi sama, iaitu 102 hp pada 7,500 rpm.

    Penambahbaikan pada bahagian enjin ini adalah hasil daripada peningkatan nisbah mampatan, perubahan pada sistem ekzos serta pelarasan semula pemasaan enjin, salur bukaan udara dan tetapan unit kawalan enjin (ECU). Selain padanan transmisi standard manual enam kelajuan, kedua-dua versi CRF1100L Africa Twin ini juga disediakan dalam pilihan transmisi DCT enam kelajuan.

    Pada bahagian suspensi, Adventure Sports didatangkan terus dengan unit larasan elektronik Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERA), tetapi bagi versi standard CRF1100L Africa Twin, ia kini disediakan sebagai pilihan tambahan. Lima mod ditawarkan pada suspensi ini, iaitu Soft, Mid, Hard, Off-road dan User.

    Pergi pula kepada roda, CRF1100L Africa Twin masih kekal menggunakan padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi Adventure Sports dikecilkan pada bahagian hadapan menjadi 19 inci. Bersama dengan perubahan rim spoked aluminium ini, suspensi Showa EERA pada Adventure Sports juga direndahkan 20 mm, menjadikan tinggi tempat duduknya 835-855 mm.

    Jarak gerak suspensi Adventure Sports adalah 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sementara CRF1100L Africa Twin standard yang menggunakan fork USD boleh laras manual 45 mm pula menyediakan jarak gerak 230 mm di hadapan dan 220 mm di belakang. Tinggi tempat duduknya adalah 850-870 mm.

    Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Untuk badan, kedua-dua versi CRF1100L Africa Twin ini menerima fairing baru yang direka semula untuk memperbaiki ciri aerodinamik, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektronik untuk ditetapkan pada pilihan lima tahap tinggi. Sebagai tambahan, Adventure Sports juga menerima tempat duduk baru yang lebih selesa.

    CRF1100L Africa Twin mencatat berat yang lebih ringan, iaitu 231 kg, dan tangki bahan api yang lebih kecil, iaitu 18.8 liter, berbanding 243 kg dan 24.8 liter bagi Adventure Sports. Selain dalam keadaan standard ini, beberapa pakej lain turut disediakan untuk dua versi CRF1100L Africa Twin ini.

    Kelengkapan standard lain CRF1100L Africa Twin adalah termasuk skrin TFT 5.0 inci dengan sambungan kepada telefon pintar, lima mod tunggangan, cruise control, lampu hadapan dan belakang LED penuh, soket pengecas USB, ABS dual-channel, Wheelie Control, HSTC (kawalan cengkaman) dan Cornering Light.

    GALERI: Honda CRF1100L Africa Twin 2024

    GALERI: Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024

     
     
  • Yamaha 135LC Fi tiba dalam pilihan empat warna baharu – harga Standard RM8,298 dan SE RM8,798

    Yamaha 135LC Fi tiba dalam pilihan empat warna baharu – harga Standard RM8,298 dan SE RM8,798

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Mac 2022, Yamaha 135LC Fi kini diberikan penampilan baru dengan penawaran warna baru cyan, biru gelap serta putih untuk versi standard, sementara versi SE kini menggunakan warna gabungan biru muda dan hitam.

    Harga jualan yang ditetapkan untuk 135LC Fi baru ini adalah RM8,298 untuk versi Standard, dan RM8,798 untuk versi SE. Setiap pembelian akan menerima kunci cakera brek bernilai RM100, sementara pembeli versi SE akan menerima tambahan penghadang angin atas lampu hadapan serta bakul meletak barang.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti waktu ia dilancarkan dahulu, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder 135 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan tetapan cakera, dengan angkup satu piston masing-masing di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.

    Pada bahagian meter, ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter serta rim bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ FL 2023 di Malaysia dari RM528k OTR; Street Style Edition dari RM558k

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ FL 2023 di Malaysia dari RM528k OTR; Street Style Edition dari RM558k

    Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ generasi C-118 facelift telah pun tiba di pasaran Malaysia, yang ditawarkan dengan varian biasa dan juga Street Style Edition, masing-masing dengan harga atas jalan (OTR) RM527,888 dan RM557,888 tanpa insurans.

    Di bawah bonetnya, ia diberikan unit M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm, menyalurkan pacuan ke semua empat roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan dwi-klac AMG Speedshift 8G. Larasan ini membolehkan CLA45S ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 270 km/j, menurut pengeluaranya.

    Peningkatan imej yang dilakukan terhadap model facelift ini termasuk lampu utama yang direka semula dengan bentangan lampu nyalaan siang baharu, ciri lain masih mirip dengan versi pra-facelift. Warna baharu turut diberikan iaitu Hyper Blue dan Spectral Blue menyertai pilihan sedia ada, sementara itu rona Manufaktur Patagonia Red metallic dan Manufaktur Mountain Grey magno ditawarkan dengan kos tambahan, masing-masing pada RM3,000 dan RM15,000.

    Selain itu, CLA45S ini diberikan roda aloi ringan jejari-berkembar-lima AMG 19-inci dengan flange rim berkilat secara standard atau roda aloi tempaan AMG cross-spoke 19-inci dengan kos tambahan sebanyak RM1,000. Ia juga diberikan AMG Night Package dalam kemasan hitam berkilat untuk splitter hadapan, perumah cermin luaran, serta garisan jaluran belt dan tingkap berserta dengan corong ekzos krom hitam.

    Ciri piihan yang turut ditawarkan adalah AMG Night Package II, yang merangkumi gril radiator gelap spesifik-AMG dengan palang menegak, lencana pada bootlid dan wing dan tristar dalam krom hitam. Turut diberikan secara pilihan ialah penutup tangki minyak AMG. Manakala pakej AMG Aerodynamics pula diberikan secara standand, dan bagi AMG Aerodynamics Package Plus pula dikenakan kos tambahan.

    Street Style Edition pula ditampilkan dengan kemasan warna Manufaktur Mountain Grey magno , pelekat sisi dengan logo AMG dan paten AMG chequered-flag dan serlahan jingga terang. Selain itu, rim aloi tempaan cross-spoke 19-inci diberikan dengan rona matte black dan high-gloss machined flange, yang diberikan secara standard untuk Street Style Edition. Ia juga diberikan AMG Night Package I dan II, AMG Aerodynamics dan penutup tangki minyak AMG.

    Di dalamnya, CLA45S menerima roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance dengan kemasan kulit Nappa dan Microcut microfibre upholstery. Selain itu, ia turut diberikan tempat duduk hadapan AMG Performance dengan AMG Performance Seat Package Advanced, kemasan dalam kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut. Manakala tali pinggang keledar pula dengan kemasan kontras merah.

    Bagi kabin pula, varian Street Style Edition menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dalam kemasan Artico hitam dan Microcut upholstery, bersama serlahan jingga terang dan label “CLA45S” juga dalam rona yang sama.

    Elemen kemasan dalaman pada Street Style Edition menampilkan paten yang sama dengan pelekat luaran, sementara panel instrumen pula dengan jahitan kontras jingga, kemasan ambang pintu dengan perkataan AMG, pencahayaan ambien dalaman dalam rona merah, spesifik untuk Street Style Edition.

    Pakej Bantuan Pemandu adalah ciri baharu yang diberikan untuk CLA45S facelift, merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, dan Active Brake Assist, bersama Active Parking Assist dengan kamera 360-darjah. Turut diberikan ialah Guard 360 Vehicle Protection Plus.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift – termasuk versi Street Style Edition – boleh ditempah menerusi talian di Malaysia menerusi Mercedes-Benz Store, harga dari RM527,888 atas jalan tanpa insurans.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ 2023

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Street Style Edition 2023

     
     
  • Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi Porsche Cayenne facelift 2024 dilancarkan di Malaysia. Cayenne pasaran tempatan ini terus diproduksi di fasiliti Sime Darby di Kulim, Kedah (yang juga merupakan fasiliti pertama Porsche di luar Jerman) dalam versi CKD, dan ia dijual pada harga bermula RM599,999

    Sekali tengok, rupa luaran Cayenne facelift 2024 ini nampak seakan sama seperti versi sebelumnya. Namun sekiranya anda lihat dengan teliti, bahagian fender, bonet dan juga lampu hadapan telah direka semula bagi memberikan rupa yang nampak lebih lebar pada SUV ini.

    Rekaan semula turut dibuat pada bahagian belakang di mana versi kemaskini ini dilengkapi lampu belakang tiga-dimensi baharu, pintu tailgate dengan rupa lebih ringkas, serta perumah nombor pendaftaran dialihkan ke bawah iaitu pada bahagian apron.

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan beberapa perincian antaranya lampu hadapan LED matrix dan juga rim aloi Cayenne Design berdiameter 20-inci.

    Porsche Cayenne facelift 2024 CKD pasaran Malaysia ini hanya menerima pilihan unit rangkaian kuasa asas dengan enjin petrol v6 3.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 355 PS dan tork maksima 500 Nm, atau 13 PS/50 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Antara perincian standard yang dibekalkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk suspensi adaptif PASM, Power Steering Plus, Park Assist untuk hadapan dan belakang bersama fungsi Surround View. Ia juga menerima ciri standard cruise control adaptif, pintu yang ditutup secara lembut dan juga pakej Sport Chrono (membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 248 km/j) – di mana kesemua perincian ini merupakan ciri opsyen untuk pasaran lain.

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Pada sebelah dalam model facelift ini diberikan sedikit perubahan di mana tombol gear telah dialih ke bahagian papan pemuka bagi memberikan ruang storan yang lebih dan panel kawalan sistem pendingin hawa pada konsol tengah. Pemandu diberikan panel instrumen digital dengan skrin lengkung 12.6-inci, manakala sistem infotainmen pula hadir dengan skrin 12.3-inci PCM Display.

    Untuk kelengkapan kabin, Cayenne facelift ini dilengkapi dengan tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, sistem penghawa dingin empat-hala, serta logo Porsche yang dicetak pada perehat kepala. Ia juga menerima pelindung matahari kawalan elektrik untuk tingkap belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W dan juga sistem bunyi surround dari Bose.

    Untuk pelanggan yang mahukan lebih lagi, model facelift CKD ini turut ditawarkan dengan perincian lain yang boleh dipilih dari katalog Porsche Tequipment, antaranya rim aloi Cayenne Exclusive Design 21-inci dan Sport Design 22-inci, sistem infotaimen tambahan untuk penumpang belakang.

    Pilihan dalam katalog Porsche Tequipment ini menampilkan pelbagai aksesori bagi aktiviti off-road dan luar bandar, antaranya khemah bumbung dan kotak bumbung berprestasi, rak letak basikal di bahagian belakang serta banyak lagi.

    Tempahan untuk Porsche Cayenne facelift 2024 CKD ini (dan juga model-model Porsche yang lain) boleh dibuat menerusi platform digital jenama berkenaan. 250 pelanggan pertama yang meletakkan tempahan mereka akan menerima kunci yang datang menampilkan warna yang sama dengan warna badan SUV mereka.

    Bagi pelanggan yang mahu melihat Porsche Cayenne facelift CKD ini secara lebih dekat, ia kini sedang dipamerkan di The International Gallery di Kuala Lumpur Golf & Country Club bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 7 dan 8 Oktober 2023.

    GALERI: Tiga generasi Porsche Cayenne

    GALERI: Gambar rasmi Porsche Cayenne facelift 2024 CKD

     
     
  • DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    Trak pikap elektrik penuh DFSK EC31 kini sudah mula dijual di Malaysia, melalui Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia. Ia boleh diubah suai mengikut keperluan penggunaannya dan harga bermula dari RM127,960 tidak termasuk insurans.

    Trak dua tempat duduk ini datang dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 38.7 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 275 km mengikut standard NEDC. Bateri ini memberi kuasa kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan 82 PS (80 hp atau 60 kW) dan tork 200 Nm, dan boleh memacu trak ini sehingga kelajuan maksimum 90 km/j.

    Untuk mengecas kembali bateri, pemilik boleh menggunakan sama ada sumber AC dengan kuasa maksimum 6.6 kW (20-80% dalam masa empat jam), atau DC pada kadar maksimum 40 kW (20-8-% dalam masa 35 minit).

    DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    Berkenaan saiz, trak ini mencatat ukuran panjang 4,730 mm, lebar 1,635 mm, tinggi 1,985 mm dan jarak roda 3,050 mm, manakala beratnya pula adalah 2,600 kg. Menurut Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia, trak ini boleh diubah suai untuk mempunyai bahagian belakang pelbagai jenis termasuk kotak penyejuk, ruang simpanan biasa seperti van ataupun yang boleh dibuka untuk menjadikannya seperti trak penjual makanan.

    EC31 juga datang dengan kelengkapan termasuk ABS, EBD, stereng kuasa elektrik, fungsi pencari kenderaan, tingkap bukaan kuasa, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta pilihan tambahan kamera dan pengesan undur. Setiap pembelian diberikan dengan jaminan lima tahun atau 120,000 km dan pengecas mudah alih 16 A.

     
     
  • Pemandu Proton Saga guna siren di Seri Kembangan sudah ditahan polis; bagi alasan ada hal kecemasan

    Pemandu Proton Saga guna siren di Seri Kembangan sudah ditahan polis; bagi alasan ada hal kecemasan

    Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan mengesahkan pihaknya telah menahan seorang penganggur yang memandu sebuah kereta secara melulu sambil menggunakan siren dan lampu kecemasan (hazard light) dalam kejadian di Jalan Serdang Perdana, Seri Kembangan, pada 2 Oktober lalu.

    Beliau berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan ketika hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira jam 4 petang kelmarin.

    “Semasa tampil menyerah diri, lelaki itu mengaku memandu kereta Proton Saga yang menggunakan siren terbabit seperti ditularkan di media sosial, baru-baru ini. Hasil siasatan dilakukan mendapati suspek yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan meminjam kereta terbabit dari rakannya di Port Dickson kerana mendakwa ada hal kecemasan membabitkan keluarga,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Tambah beliau, keterangan semua pihak yang terbabit sudah diambil dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
    Malahan kereta terbabit juga sudah dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sebelum ini, Polis Serdang dilaporkan sedang mengesan pemandu kereta Proton Saga yang menggunakan siren dan dipandu secara berbahaya di lokasi berkenaan pada 2 Oktober lalu. Ia hasil rakaman video yang tular di media sosial yang menunjukkan aksi kereta berkenaan dipandu secara melulu.

     
     
  • Penutupan sebahagian Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) pada 7 Okt-6 Nov 2023 – DBKL

    Penutupan sebahagian Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) pada 7 Okt-6 Nov 2023 – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan penutupan sebahagian Lebuhraya Sultan Iskandar (sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Mahameru) menghala Jalan Kuching pada 7 Oktober hingga 6 Nov 2023

    Ia adalah bagi memberi laluan kepada kerja- kerja pembinaan cerucuk dan tiang ’pier’ yang terlibat dengan pembinaan jambatan dijalankan, kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Klik untuk besarkan

    Justeru, DBKL menasihati agar pengguna jalan raya supaya mematuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penutupan dan lencongan lalu lintas, bolehlah menghubungi jabatan kejuruteraan awam dan saliran di talian 03-2617 9000 pada waktu pejabat.

     
     
  • JPJ ulangi peringatan pemakaian cermin gelap kenderaan persendirian – 17,218 saman sejak 2019

    JPJ ulangi peringatan pemakaian cermin gelap kenderaan persendirian – 17,218 saman sejak 2019

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali lagi telah mengulangi peringatan mengenai pemakaian cermin gelap bagi kenderaan persendirian seperti mana peraturan baharu yang diperkenalkan pada Mei 2019.

    “Di mana peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019). Ia telah menetapkan bahawa Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan adalah cermin hadapan kenderaan 70%, cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50% dan cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0%.

    “Diingatkan bahawa, pemandu atau pemunya berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama. Bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya akan dikenakan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    JPJ ulangi peringatan pemakaian cermin gelap kenderaan persendirian – 17,218 saman sejak 2019

    Tambahnya, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan.

    “Berdasarkan rekod, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan yang melibatkan cermin gelap sejak tahun 2019. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,218 telah dikenakan saman JPJ(P)22 yang melibatkan kesalahan cermin gelap.

    “JPJ juga ingin menasihati orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan- peraturan sedia ada yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan cara memohon melalui pos atau portal JPJ www.jpj.gov.my. Sehingga kelulusan diperoleh, mana- mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya.

    Selain itu, orang awam digalakkan untuk memberi kerjasama kepada JPJ sekiranya terlihat kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ini dengan menyalurkan aduan secara langsung (real time) berkenaan kesalahan penggunaan cermin gelap melalui e-Aduan@JPJ di aplikasi MyJPJ.

     
     
  • Polis KL teruskan penguatkuasaan Ops Hormat Undang-Undang, pematuhan trafik bertambah baik

    Polis KL teruskan penguatkuasaan Ops Hormat Undang-Undang, pematuhan trafik bertambah baik

    Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan trafik dengan Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) selepas ia dilaksanakan pada Julai dan September lalu. Ini dilakukan kerana fasa operasi sebelum ini menunjukkan tahap pematuhan yang lebih baik daripada pengguna jalan raya berkaitan pematuhan undang-undang trafik.

    Menurut Ketua Polis KL Datuk Allaudeen Abdul Majid, menerusi dua fasa operasi yang dilakukan iaiti dari 3 hingga 31 Julai dan 15 hingga 29 September menunjukkan perbezaan jumlah saman yang dikeluarkan dan juga angka tangkapan yang dilakukan, laporan Bernama.

    Beliau berkata pada fasa pertama operasi menyaksikan sejumlah 174,390 saman dikeluarkan, sementara angka tersebut menurun kepada 92,262 pada fasa kedua. Mengenai tangkapan pula, seramai 309 orang ditahan mengikut pelbagai kesalahan jenayah dan trafik, sementara pada fas akedua oula, angka itu turun kepada 172 orang.

    “Kesalahan berkaitan halangan lalu lintas adalah penyumbang terbesar saman iaitu 143,673 bagi fasa 1 dan 72,301 dalam fasa 2,” katanya.

    Beliau berkata antara kesalahan yang difokuskan dalam operasi itu ialah halangan lalu lintas, berhenti di dalam kotak kuning, meletak kenderaan di laluan pejalan kaki, melanggar lampu merah, memandu tanpa lesen memandu yang sah dan plat lesen yang menyalahi undang-undang atau rosak (kotor atau kabur).

     
     
  • Pemandu Saga belasah rider penghantar makanan kerana bunyikan hon dipenjara 2 bulan, denda RM2k

    Pemandu Saga belasah rider penghantar makanan kerana bunyikan hon dipenjara 2 bulan, denda RM2k

    Seorang pemandu Proton Saga yang dirakam membelasah seorang penghantar makanan hanya kerana membunyikan hon tempoh hari telahpun menerima hukumannya – menurut laporan Sinar Harian, tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Faizul Nazri berumur 39 telah pun dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

    Faizul yang merupakan seorang pekerja bengkel dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Laporan akhbar ini turut menyebut tertuduh akan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

    Ketika memutuskan hukuman berkenaan, Siti Zubaidah menasihati tertuduh supaya tidak bertindak sesuka hati dengan ‘menunjuk’ hebat di jalanan.

    “Saya berharap tertuduh mengambil iktibar terhadap kejadian itu, jangan ikut perasaan dan tunjuk hebat di jalan raya.

    “Orang buat salah sikit, nak bagi (pukul atau belasah), sudahnya kamu dituduh di mahkamah,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Mohd Faizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah tulang rahang kelapan sebelah kiri. Kesalahan dilakukan di tepi jalan, hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang jam 7.15 petang, Ahad lalu.

    Insiden berkenaan telah dirakam oleh orang awam dan kemudian beberapa video telah dimuatnaik di laman sosial, kemudiannya mengundang marah warganet. Video berkenaan juga telah mendorong polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan khianat, dan akhirnya Faizul diberkas oleh pihak berkuasa tersebut pada 3 Oktober lalu.

     
     
  • Vcharge kini pengendali tempat cas kenderaan terbaru M’sia – sedia pengecas 100 DC di parkir perbandaran

    Vcharge kini pengendali tempat cas kenderaan terbaru M’sia – sedia pengecas 100 DC di parkir perbandaran

    Semasa acara International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) yang masih lagi berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kami telah menemui pengendali tempat mengecas (CPO) baru bernama Vcharge Asia. Ia dimiliki oleh sebuah syarikat gas dan minyak dari Sarawak, iaitu Ocean Vantage Holdings Berhad.

    Menurut perunding bahagian tenaga boleh diperbaharui syarikat itu, Mok Kam Meng, Vcharge Asia kini sedang berada dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak majlis perbandaran di Lembah Klang, antaranya termasuk Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Putrajaya. Memandangkan syarikat ini berasal dari Sarawak, bandar lain di negeri itu juga akan mendapat tempat mengecas daripada Vcharge Asia.

    Kenapa semua majlis perbandaran ini terlibat? Sekarang ini terdapat banyak syarikat CPO, dan bahagian operasi yang besar telah diambil oleh kebanyakan syarikat besar sama ada kerana mereka lebih awal atau mempunyai lebih modal kewangan. Peserta baru dalam industri memerlukan sasaran yang lebih tertumpu dan Vcharge merancang untuk memberi fokus kepada tempat letak kereta perbandaran dan juga tempat letak kereta milik persendirian.

    Sasaran mereka adalah untuk menyiapkan 100 pengecas di tempat letak kereta perbandaran dalam masa beberapa tahun akan datang, dengan yang pertama dijangka siap tahun ini. Menurut Mok, pengecas pertama Vcharge berkemungkinan berada dalam kawasan DBKL atau Perbadanan Putrajaya. Vcharge juga akan memberikan lebih tumpuan kepada pengecas DC berbanding AC, dan ini adalah lebih sesuai bagi kawasan komersial yang mempunyai trafik tinggi.

    Tempat mengecas EV tepi jalan masih belum menjadi kebiasaan di negara kita memandangkan kebanyakan pengecas berada dalam kawasan seperti pusat beli belah, stesen petrol atau kawasan komersial persendirian. Apabila ditanya tentang masalah vandalism, Mok berkata tiada apa yang boleh dibuat untuk mengelak risiko vandalism secara penuh dan Vcharge akan memilih lokasi yang mempunyai banyak trafik dan semua tempat mengecas akan mempunyai CCTV.

    Untuk bayaran, Vcharge akan menggunakan aplikasi mereka sendiri dan di dalamnya turut disediakan informasi lain seperti lokasi pengecas, ketersediaannya serta status pengecasan.

     
     
  • Shell Malaysia lancar siri koleksi kereta kawalan jauh Star Wars Racers pertama di dunia, dijual 6 Okt-19 Nov

    Shell Malaysia lancar siri koleksi kereta kawalan jauh Star Wars Racers pertama di dunia, dijual 6 Okt-19 Nov

    Ingat lagi kegilaan mengumpul kereta kawalan jauh untuk siri Shell Motorsport Remote Control Collection tahun lalu? Tahun ini Shell Malaysia muncul dengan satu lagi siri koleksi kereta kawalan jauh, kali ini koleksi kereta yang dihasilkan adalah diinspirasikan dari watak-watak filem Star Wars yang dinamakan sebagai Star Wars Racer Collection.

    Menurut Shell, koleksi kali ini adalah hasil kerjasama dengan The Walt Disney Company Southeast Asia, dan Malaysia merupakan pasaran pertama di dunia menerima koleksi ini, malah ia mungkin tidak akan dilancarkan di pasaran lain. Sebanyak enam rekaan kereta berbeza dilancarkan untuk koleksi kali ini iaitu Darth Vader Racer, Stormtrooper Racer, Darth Maul Racer, The Mandalorian Racer, Bobo Fett Racer dan BB-8 Racer.

    Sama seperti koleksi tahun lalu, koleksi baharu ini masih dibangunkan bersama BrandBase dan menggunakan bateri pintar membolehkan ia dikawal menggunakan aplikasi telefon pintar menerusi hubungan Bluetooth. Ia menampilkan rupa yang agak premium kerana dilengkapi dengan badan yang dihasilkan dari material diecast.

    Kereta-kereta ini hanya boleh digerakkan sekiranya ia dipasang dengan bateri Bluetooth khas yang dijual secara berasingan. Anda tidak perlu membeli bateri tersebut setiap kali membeli kereta kerana ia boleh digunakan pada setiap kereta berbeza. Malah sekiranya anda masih simpan bateri Bluetooth dari koleksi Shell Motorsport sebelum ini, ia masih boleh digunakan pada koleksi Star Wars Racer kali ini.

    Menerusi aplikasi telefon pintar Shell Racing App yang sedia dimuat turun menerusi Google Play dan Apple App Store, kereta-kereta ini bukan hanya boleh dikawal kehadapan-kebelakang dan kiri-kanan sahaja, malah ia turut diberikan butang untuk menghidupkan/mematikan lampu, hon, serta memberikan bunyi enjin seakan kereta sebenar.

    Aplikasi tersebut juga menyediakan pelbagai permainan perlumbaan bertemakan “pengembaraan antara galaksi yang mendebarkan”, kata Shell Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Sambutan terhadap koleksi edisi terhad tahunan kami sememangnya hangat. Pengguna Shell V-Power adalah antara yang paling bersemangat, dan kami tahu cerita Star Wars popular di kalangan peminat pelbagai peringkat umur. Koleksi ini menyerlah dan meraikan semangat komuniti ini dan kami berharap peminat-peminat akan teruja apabila berlumba sesama mereka dengan koleksi baru ini,” kata Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia, Seow Lee Ming.

    “Sama seperti Shell V-Power yang menyemarakkan semangat perlumbaan dalam diri pelanggan kami, koleksi tahun ini menzahirkan semangat inovasi Shell untuk sentiasa memberikan pengalaman yang ‘Better by Far’ untuk kesemua pelanggan,” tambah Lee Ming lagi.

    Koleksi Star Wars Racer ini akan mula dijual secara berperingkat bermula 6 Oktober sehingga 19 November 2023. Satu model baharu dijual di stesen-stesen Shell seluruh negara setiap minggu sepanjang tempoh tersebut.

    Shell Malaysia lancar siri koleksi kereta kawalan jauh Star Wars Racers pertama di dunia, dijual 6 Okt-19 Nov

    Kesemua rekaan yang dilancarkan kecuali Darth Vader Racer dijual pada harga RM49.90 dan anda hanya layak membelinya selepas mengisi petrol Shell FuelSave 95, Shell V-Power 97 atau Shell V-Power Racing sekurang-kurangnya RM50 dalam satu resit.

    Manakala untuk bateri Bluetooth, ia dijual pada harga RM30 dan anda masih perlu membeli petrol sekurang-kurangnya RM49.90 dalam satu resit untuk layak membelinya. Bagi Darth Vader Racer pula, ia hanya diberikan secara percuma sekiranya anda membeli minyak pelincir Shell Helix Ultra atau Power dalam pek 4 liter di stesen-stesen minyak Shell.

    Koleksi ini hanya akan lengkap dengan peti koleksi eksklusif yang dijual pada harga RM89.90, dan anda perlu mengisi petrol Shell V-Power Racing sekurang-kurangnya RM80 dalam satu resit.

     
     
  • Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 mula dijual di Amerika Syarikat – motosikal elektrik berkuasa 12 PS, 40 Nm

    Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 mula dijual di Amerika Syarikat – motosikal elektrik berkuasa 12 PS, 40 Nm

    Amerika Syarikat nampaknya menjadi antara pasaran terawal yang menerima dua motosikal elektrik terbaru daripada Kawasaki iaitu Ninja e-1 dan Z e-1. Ia dijual pada harga masing-masing 7,599 USD (RM35,878) dan 7,299 USD (RM34,462). Sebagai perbandingan, dua model ini dijual lebih mahal berbanding Ninja 400 (5,299 USD/RM25,019) dan Z 400 (5,399 USD/RM25,491) di sana.

    Walaupun menggunakan penggerak yang berbeza, Ninja e-1 dan Z e-1 ini masih mengekalkan reka bentuk sama seperti Ninja 250 dan Z 250 versi petrol, dengan perbezaan yang kami nampak cuma pada bahagian tangki serta kerangka yang memegang motor elektrik. Kemudiannya, sudah tentu sebagai model elektrik, Ninja e-1 dan Z e-1 tidak mempunyai ekzos.

    Selain reka bentuk, kelengkapan lain dua motosikal ini adalah sama, bermula dengan penggerak yang terdiri daripada motor permanent magnet synchronous yang mendapat kuasa daripada dua pek bateri lithium ion 50.4 V/30 Ah dan menghasilkan kuasa maksimum 12 PS pada 2,600 rpm dan tork 40 Nm pada 500 rpm.

    Kawasaki Ninja e-1 dan Z e-1 mula dijual di Amerika Syarikat – motosikal elektrik berkuasa 12 PS, 40 Nm

    Dua bateri tersebut terletak di bahagian atas motosikal, iaitu bahagian yang biasanya menempatkan tangki bahan api, dan ia boleh dibawa keluar secara berasingan untuk dicas atau ditukar. Kapasiti mengecas tidak diberitahu, tetapi ia dikatakan boleh mengambil masa sehingga empat jam untuk penuh menggunakan kuasa dari rumah.

    Walaupun menggunakan motor elektrik, Kawasaki masih menggunakan sistem rantai untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang, dan bahagian lain nampak seperti motosikal biasa termasuk tetapan brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS serta suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Walaupun begitu, dua motosikal elektrik ini tidak mempunyai tuil klac dan gear.

    Melalui penggerak elektrik ini, Kawasaki menyediakan dua mod tunggangan pada Ninja e-1 dan Z e-1 iaitu Road dan Eco. Dalam mod Road, motosikal boleh mencapai kuasa serta laju maksimum sementara dalam mod Eco ia dikurangkan sedikit. Jika bateri cuma ada satu pada motosikal, mod ini juga automatik akan terletak di Eco.

    Turut disediakan adalah mod E-Boost, yang dapat memberikan kuasa tambahan selama 15 saat, dan Walk Mode, yang dapat membantu menggerakkan motosikal secara perlahan ke hadapan dan ke belakang untuk membantu penunggang meletakkan motosikal atau bergerak di kawasan sempit.

    Berat keseluruhan Ninja e-1 dan Z e-1 adalah masing-masing 140 kg dan 135 kg, sekaligus menunjukkan ia adalah lebih ringan berbanding Ninja 250 dan Z 250 yang mencatat 165 kg. Turut disediakan pada Ninja e-1 dan Z e-1 adalah meter TFT 4.3 inci yang boleh disambung kepada telefon bimbit.

    GALERI: Kawasaki Ninja e-1

    GALERI: Kawasaki Z e-1

     
     
  • smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    Selepas versi biasanya ditunjuk kepada orang awam pada Julai lalu, kini smart Malaysia mendedahkan pula versi prestasi tinggi untuk SUV EV kompak #1 iaitu smart #1 Brabus yang akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Model ini bukan hanya diberikan kemasan-kemasan lebih garang semata-mata, kerana ia adalah versi Brabus sebenar yang menampilkan kuasa pacuan jauh lebih agresif dari smart #1 biasa.

    Berbanding smart #1 Pro dan Premium yang hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm untuk memacu roda belakang, versi Brabus ini pula ditambah dengan satu lagi motor elektrik bagi memacu roda hadapan.

    Ini membolehkan ia dibekalkan kuasa dengan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm, serta mempunyai cengkaman dan pengendalian lebih baik dengan kebolehan pacuan semua roda. Hasilnya, smart #1 Brabus ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, berbanding model Pro dan Premium yang mencapai pecutan sama dalam masa 6.7 saat.

    smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    Kedua-dua motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium nikel mangan kobalt oksida (NMC) berkapasiti 66kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 400 km untuk satu cas penuh dalam kitaran WLTP. Dengan pengecas AC 22 kW kadar cas 10% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa tiga jam, manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula kadar cas yang sama dapat dicapai dalam masa 29 minit.

    smart #1 ini diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) rekaan Geely, oleh itu bateri berkenaan menjadi ‘alas’ sepenuhnya kepada lantai kereta ini. Namun untuk rekaan luaran dan dalaman, model-model EV baharu smart ini masih menerima sentuhan sepenuhnya dari Mercedes-Benz.

    Dimensi untuk ketiga-tiga varian smart #1 ini adalah sama iaitu panjang 4,270 mm, lebar 1,822 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm. Dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan menjadi varian Brabus ini model yang paling berat, ditimbang pada 1,900 kg berbanding 1,780 kg untuk Pro dan 1,800 kg untuk Premium.

    smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    Manakala untuk ruang kargo, smart menyatakan #1 menawarkan but belakang dengan kapasiti 323 hingga 411 liter. But tersebut menampilkan lantai yang rata, namun ia mempunyai ruang storan tersembunyi di bawahnya untuk menyimpan kabel pengecas dan juga barang-barang lain.

    Kapasiti maksimum 986 liter dapat dicapai sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya. Dan walaupun pada bahagian but hadapan sudah dipenuhi dengan gandar dan motor elektrik, ia masih menampilkan ruang storan “frunk” berkapasiti 15 liter sama seperti versi pacuan roda belakang Pro dan Premium.

    Dari segi rekaan, bentuk smart #1 ini adalah seakan batu pebel. Ia menerima lampu hadapan tirus di hadapan yang dihubungkan kedua-duanya dengan satu jalur LED yang merentangi sepenuhnya pada muka. Ia diberikan tiang-A yang digelapkan dan tiang-C nampak seakan sebahagian dari bumbung, memberikan illusi seperti bumbung tersebut seakan terapung.

    Sebagai sebuah model yang dikelaskan sebagai sebuah SUV, semua varian dibekalkan dengan rim 19-inci dan jarak kelegaan tanah 182 mm, dan juga sepasang rel bumbung. Bentuk lampu belakang direka selari dengan rekaan muka, namun jika anda lihat bentuk kluster lampu tersebut adalah seperti model Mercedes-Benz EQA atau EQB, manakala grafik dalamnya seperti grafik stardust lampu belakang S-Class W222.

    Khas untuk model Barbus ini, ia nampak lebih garang dengan liang udara palsu pada bahagian atas bampar hadapan (di atas jalur lampu), tambahan spoiler dagu di bawah bampar hadapan, spoiler bumbung lebih besar, rekaan diffuser belakang berbeza serta serlahan kemasan merah pada jalur-jalur bawah bampar dan kemasan sisi bawah pintu, liang udara pada gril bawah bampar hadapan, penutup cermin sisi dan juga angkup brek. Emblem-emblem dengan tulisan ‘Brabus’ ditampal pada spoiler hadapan, kemasan sisi pintu dan juga pada diffuser belakang.

    Untuk roda, varian Brabus ini berkongsi dimensi tayar 235/45R19 dan saiz rim 19-inci yang sama dengan varian lain, tetapi ia diberikan rekaan rim Dynamo yang nampak lebih sporty dan juga tayar UHP Dunlop SP Sportmaxx. Sistem brek juga adalah sama seperti varian-varian lebih rendah, cuma talaan penyerap suspensi sahaja lain dengan mengambil kira berat, kuasa serta lebih keras bagi memberikan pengendalian lebih berorientasikan prestasi tinggi.

    smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    smart #1 ini juga sebenarnya meriah dengan lampu. Ia diberikan lampu isyarat membelok sequential, lampu pembuka pintu, lampu pada gril hadapan, lampu tambahan pada cermin sisi, logo smart bernyala pada tiang-C dan pelbagai lagi. Malah lampu-lampu ini juga boleh membuat persembahan khas mengikut rentak lagu yang dimainkan menerusi sistem audio di dalam kereta.

    Perincian luaran lain yang turut diberi termasuk bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, auto-malap dan auto-dipping ketika mengundur, pintu tailgate bantuan kuasa dan pelbagai lagi. smart #1 Brabus boleh dipilih dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Sekiranya pembeli memilih warna bumbung Radiant Red, ia boleh digandingkan dengan warna badan Atom Grey–Matte, Meta Black dan Cyber Silver.

    Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna bunbung hitam, ia boleh digandingkan dengan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Satu-satunya pilihan monotone untuk varian Brabus ini hanya ditawarkan untuk Atom Grey-Matte. Unit yang dipamerkan ini merupakan kombinasi warna badan Atom Grey-Matte (yang nampak seperti warna-warna kelabu magno Mercedes-AMG) dan juga bumbung berwarna Radiant Red.

    Pada sebelah dalam, rupa asas versi Brabus ini nampak masih seiras dengan varian-varian lain, tetapi menerima beberapa perincian istimewa. Ia dilengkapi dengan skrin utama 12.8-inci dengan sistem navigasi bina-dalam, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto dan digandingkan dengan sistem bunyi premium dari Beats menampilkan 13-pembesar suara.

    Sistem bunyi ini bukan hanya memberikan bunyi muzik dan persembahan lampu yang baik, malah ia juga menjadi saluran untuk mengeluarkan bunyi enjin palsu, yang didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6. Dengan lantai rata menerusi platform SEA ini, satu ruang storan yang agak besar dapat diberikan di bahagian bawah konsol tengah.

    Pemandu akan menerima perincian khas seperti paparan instrumen digital HD penuh yang direka nipis bersaiz 9.2-inci, paparan head-up berwarna penuh 10-inci yang dipancar ke cermin hadapan, roda stereng dengan upholsteri gandingan kulit dan Alcantara serta logo Brabus bernyala di bawah, tempat duduk larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori dan juga set pedal aloi.

    Pengaruh rekaan-rekaan dari Mercedes-Benz juga boleh dilihat pada kabin smart #1 ini seperti rekaan papan pemuka yang bersambung dengan konsol tengah pada kedudukan agak tinggi, suis pemilih ‘PNDR’ menggunakan tuil pada konsol stereng, jalur lampu suasana kabin dengan LED 64-warna dan pelbagai lagi.

    Untuk tempat duduk, sekali lagi semua varian menampilkan rekaan tempat duduk yang sama dengan fungsi larasan kuasa dan berliang pada bahagian hadapan, tetapi untuk varian Brabus ini ia menerima upholsteri Ultra Sued, serlahan jahitan benang merah dan juga sulaman logo Brabus pada perehat kepala hadapan.

    Perincian lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa dua zon, penapis udara kabin N95, corong udara belakang, fungsi pendingin dan pemanas pada ruang storan konsol tengah, kemasan bendul pintu berlampu, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan lain-lain.

    smart #1 ini diberikan kunci kawalan jauh yang unik berbentuk seperti piring. Ia juga menampilkan aplikasi telefon pintar Hello smart yang bukan sahaja untuk fungsi kunci, malah turut memberikan pemantauan dan membuat pra-tetapan dari jauh, serta pengesan lokasi kereta dan juga fungsi pemberitahu sekiranya kereta sedang dicuri.

    Untuk keselamatan, smart #1 diberikan kelengkapan seperti tujuh beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak tempat duduk Isofix pada tempat duduk belakang, bantuan mula mendaki dan bantuan turun bukit, kawalan brek selekoh (CBC) dan pelbagai lagi.

    Ia turut dibantu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan hampir 30-fungsi disenaraikan dalam kertas spesifikasi dan dikelaskan mempunyai kebolehan pemanduan autonomous Tahap 2. Antara fungsi tersebut termasuk cruise control adaptif dengan bantuan tukar lorong, bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous sepenuhnya dan pelbagai lagi.

    Semua varian smart #1 ini sudahpun boleh ditempah bermula 19 September lalu dan ia akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Harga sebenar belum diumumkan namun smart Malaysia mengesahkan ia akan dijual pada julat harga bermula RM200,000 untuk varian paling asas sehingga RM250,000 untuk varian paling tinggi iaitu smart #1 Brabus ini.

    Kesemua tempahan smart #1 ini boleh dibuat menerusi aplikasi pintar Hello (boleh didapati di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery) yang dikendalikan oleh smart Malaysia. Untuk memuktamadkan tempahan ini, anda perlu membuat bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.

    Istimewa untuk 501 pelanggan terawal yang menempah EV ini menerusi aplikasi Hello smart, smart Malaysia turut akan memberikan kredit pengecasan bernilai RM1,001 melalui aplikasi tersebut. Kredit pengecasan ini akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas smart #1 dihantar kepada mereka.

    Selain diprebiu kepada media pada awal minggu ini, anda boleh melihat sendiri smart #1 Brabus ini depan mata kerana ia kini sedang dipamerkan di acara International Electric Mobility Showcase (IEMS) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sejak semalam, 4 Oktober sehingga 6 Oktober 2023.

    smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

    Menurut smart, ini merupakan kemunculan sulung #1 Brabus bukan hanya untuk Malaysia, malah bagi peringkat Asia Tenggara. Ia didedahkan Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, bersama YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan.

    Pendedahan tersebut turut disaksikan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong, Naib CEO Proton En Roslan Abdullah dan CEO Pro-Net Encik Zhang Qiang. Seperti yang diketahui sebelum ini, smart Malaysia adalah entiti yang diuruskan oleh Pro-Net, iaitu anak syarikat Proton yang diwujudkan bagi perniagaan kenderaan tenaga baharu.

    “Setelah kami memperkenalkan varian smart #1 BRABUS, smart Malaysia berasa teruja untuk membuka laluan baharu dalam pasaran EV tempatan. Dengan gabungan teknologi canggih, prestasi EV yang luar biasa dan keselesaan tanpa kompromi, model BRABUS adalah varian tertinggi bagi model pertama kami, iaitu smart #1″, kata Zhang Qiang.

    “Penyertaan smart Malaysia di IEMS juga mempamerkan komitmen syarikat ke arah membantu Malaysia mencapai matlamat pelepasan sifar bersih jangka panjangnya. Ketika kami menghampiri pelancaran rasmi pada suku terakhir tahun ini, kami mempunyai banyak lagi perkembangan menarik untuk diumumkan yang akan mentakrifkan semula pengalaman pemilikan EV,” tambahnya lagi.

    GALERI: Brosur rasmi smart #1 Brabus di Malaysia

    GALERI: smart #1 Premium di Malaysia

     
     
  • Modenas MEV-1, MEV-2, MEV-3 dipamer ketika IGEM — untuk jualan kelompok, bukan untuk pembeli umum

    Modenas MEV-1, MEV-2, MEV-3 dipamer ketika IGEM — untuk jualan kelompok, bukan untuk pembeli umum

    Turut dipamerkan ketika persidangan International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) yang sedang berlangsung di KLCC ialah model skuter elektrik Modenas MEV-1, MEV-2 dan MEV-3. Semua model ini dibuka untuk jualan kelompok sahaja, dan bukan untuk pembelian umum.

    Direka untuk kegunaan urban, skuter elektrik Modenas ini dilengkapi motor elektrik di bahagian hub roda belakang, dan direka supaya mudah dikendalikan tidak kira jantina penunggangnya.

    Modenas MEV-1 yang dipamerkan ini mengenakan pelekat Pos Malaysia, dengan tambahan kotak barangan di tempat duduk belakang. Model ini menggunakan motor 3.5 kW, dengan janaan maksimum 45 Nm dan setakat ini, 50 unit telah diserahkan kepada Pos Malaysia.

    Modenas MEV-1, MEV-2, MEV-3 dipamer ketika IGEM — untuk jualan kelompok, bukan untuk pembeli umum

    Digandingkan dengan sepasang bateri lithium 60 volt dan 45 Ah dengan berat 18.8 kg setiap satu, Modenas menyatakan yang pengecasan bateri ini masing-masing memerlukan 3.5 jam untuk penuh, dengan hayatnya mencapai 1,500 kitaran pengecasan. Ini membolehkan MEV-1 mencapai laju maksimum 80 km/j, dengan jarak pergerakan 145 km jika dengan kelajuan purata 45 km/j hingga 50 km/j.

    Berat kasar MEV-1 ialah 145 kg, dengan ketinggian tempat duduk 760 mm. Brek cakeran dimanfaatkan untuk bahagian depan dan belakang, dengan saiz rim 12-inci. Suspensi pula teleskopik di depan dan penyerap hentak berkembar boleh laras di belakang.

    Modenas MEV-2 pula lebih kecil, dengan berat 68 kg serta ketinggian tempat duduk 720 mm. Pek bateri lithium berkembar dengan kapasiti 60 volt dan 30 Ah dengan masing-masing seberat 10.5 kg menggerakkan motor elektrik 1.6 kW. Ini memberikan jarak pergerakan 60 km dengan laju purata 45 km/j. Laju maksimumnya ialah 55 km/j, dengan janaan motor 42 Nm.

    MEV-3 pula menggunakan motor 3 kW, dengan laju maksimum 85 km/j. Sama seperti MEV-1, MEV-3 ini juga menggunakan dua bateri lithium ion dengan kapasiti 60 volt dan 45 Ah, dengan masa pengecasan hingga penuh hanya 3.5 jam setiap satunya. Berat MEV-3 ialah 110 kg, dengan tampungan beban maksimum bersama penunggang 85 kg ialah 195 kg.