Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi pada 25 Sept-14 Okt; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS umum penutupan susur keluar UPM ke Sg Besi pada 25 Sept-14 Okt; Isnin-Jumaat, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan jalan susur keluar UPM ke Sg Besi di Persimpangan Bertingkat UPM akan ditutup sementara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai hari ini, 25 September sehingga 14 October 2023, dari jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Menurut PLUS, penutupan susur berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja penebangan pokok-pokok besar menggunakan jentera khas dapat dijalankan dengan selamat sepanjang laluan tersebut.

    “Sebagai alternatif, pengguna Lebuhraya PLUS dari UPM yang ingin menuju ke Sg Besi dinasihatkan untuk membuat pusingan U di Plaza Tol UPM dan menggunakan Lebuhraya Besraya untuk ke Sg.Besi,” kata PLUS.

     
     
  • Range Rover Velar facelift 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Range Rover Velar facelift 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Jaguar Land Rover Malaysia hari ini mengumumkan bahawa versi facelift 2024 untuk Range Rover Velar kini sudah sampai ke pasaran tempatan, dan tempahan juga sudah dibuka. Tiga varian ditawarkan untuk L560 yang dikemaskini ini iaitu P250 Dynamic SE M spec, P250 Dynamic SE H spec dan juga P250 Dynamic HSE L spec, dijual pada harga bermula dari RM638,800.

    Pada bahagian luaran, model facelift ini tampil dengan sedikit kelainan. Ia menerima rekaan gril baharu, selari dengan yang ada pada Range Rover terkini. Begitu juga dengan lampu utama Pixel LED dengan DRL, dan di belakang hadir dengan lampu lebih moden dengan apron diperkemas. Dua warna baharu iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey ditawarkan pada versi kemaskini SUV ini.

    Selain itu, Velar facelift juga diberikan rim rekaan baharu, di mana H dan L Spec datang dengan rim Style 1075 10-jejari 22-inci dalam kemasan kelabu gelap berkilat dengan serlahan diamond turned atau hitam kilat sepenuhnya. Manakala M spec pula menerima set rim 1089 Style 20-inci 10-jejari dalam kemasan hitam berkilat.

    Range Rover Velar facelift 2024 kini di Malaysia – bermula RM638,800, tempahan dibuka, 3 varian P250

    Untuk bahagian kabin, Velar 2024 menampilkan papan pemuka minimalis yang nampak lebih ‘kosong’ dari sebelum ini. Ia dilengkapi dengan sistem infotainmen Pivi Pro terbaru yang menampilkan skrin sentuh lengkung 11.4-inci terapung. Sistem ini menyokong sambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay dan boleh dikemaskini secara over-the-air.

    Tiada sebarang suis dan butang fizikal dapat dilihat pada papan pemuka ini. Menurut Range Rover, kawalan untuk sistem pendingin hawa, tetapan tempat duduk dan larasan audio boleh dibuat menerusi butang maya pada bar setiap sisi skrin utama yang sentiasa terpampang. Pemandu turut boleh mengakses mod-mod dalam Terrain Response juga dengan cara yang sama.

    Velar facelift ini juga menampilkan fungsi Active Road Noise Cancellation, iaitu sistem unik yang mampu mengira isyarat radio bagi dimainkan semula pada pembesar suara Meridian dalam kabin, dibuat bagi merendahkan tahap desibel dalam kereta.

    Dengan sistem ini Range Rover mendakwa Velar menampilkan kabin paling senyap dalam kelasnya untuk bunyi jalan. Jika anda sentiasa mendengar bunyi dalam frekuensi rendah terlalu lama juga menjadi punca penat, dan sistem ini turut membantu dalam aspek tersebut.

    Cabin Air Purification Plus dan juga lampu kabin 30 lampu yang boleh dikonfigurasikan (kedua-duanya untuk L spec) juga merupakan antara perincian keselesaan lain yang turut disertakan pada Velar 2024 ini. Manakala H dan L spec pula diberikan suspensi Adaptive Dynamics.

    JLR turut menawarkan Technology Pack untuk Velar facelift pasaran Malaysia ini. Pek tersebut memberikan perician seperti paparan head-up, sistem kamera sekeliling 3D, bantuan parkir, dan juga fungsi Wade Sensing bagi membantu pemandu meredah air seperti banjir dan sebagainya.

    Dengan lencana P250 untuk semua varian, ini bermakna semua model pasaran Malaysia hanya ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan 250 PS (247 hp) dan tork maksima 365 Nm. Untuk pasaran lain Velar turut ditawarkan dengan varian P340 dan P400 yang menampilkan sistem hibrid ringkas, serta varian baharu P400e dengan sistem plug-in hybrid yang menghasilkan kuasa 404 PS/640 Nm dan jarak gerak EV sejauh 64 km.

    “Range Rover Velar L560 merupakan hasil gabungan antara kemewahan dan inovasi. Reka bentuk canggih, ciri-ciri canggih dan prestasi elektriknya yang mengagumkan menekankan komitmen kami untuk membawakan pengalaman tiada tandingan kepada pelanggan kami yang arif,” kata Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau.

    “Dengan Range Rover Velar baharu, kami teruja untuk menawarkan hasil gabungan kemewahan kontemporari dan teknologi terkini. Kenderaan ini membuka era baharu dalam keanggunan dan kehalusan reka bentuk, menarik perhatian peminat automotif dengan daya tarikan yang tidak ditelan zaman,” tambah Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia.

    Jika anda berminat untuk melihat sendiri Range Rover Velar facelift 2024 ini di depan mata, JLR mengalu-alukan kedatangan anda ke bilik pameran Sime Darby Motors City di Ara Damansara. Selain itu, model ini juga turut dibawa ke showcase Jaguar Land Rover yang berlangsung di Bangsar Shopping Centre (BSC) yang sudah pun bermula sekarang dan akan berakhir pada 24 September nanti.

    GALERI: Gambar rasmi Range Rover Velar facelift 2024

     
     
  • Honda Giorno+ masuk pasaran Thailand – skuter 125 cc dengan pelbagai kemudahan dan aksesori pilihan

    Honda Giorno+ masuk pasaran Thailand – skuter 125 cc dengan pelbagai kemudahan dan aksesori pilihan

    Pasaran negara jiran, Thailand menerima sebuah lagi skuter baru yang dipanggil sebagai Giorno+. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu CBS pada harga bermula 61,900 baht (RM8,058) dan ABS pada harga 66,900 baht (RM8,709).

    Skuter ini dipacu oleh enjin satu silinder 125 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, namun kuasa sebenarnya tidak didedah. Jika melihat kepada Vario 125 pasaran Malaysia yang menggunakan enjin sama, kuasa yang mampu dihasilkan adalah 11.5 hp pada 8,500 rpm dan tork 11.74 Nm pada 5,000 rpm.

    Selain rupa yang elegan bersama lampu LED depan dan belakang, skuter ini menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengguna termasuk poket simpanan di bawah tempat pemegang dengan soket pengecas USB, cangkuk untuk meletak barang, tempat mengisi minyak tinggi di bahagian tengah serta ruang simpanan bawah tempat duduk 30 liter.

    Selain daripada itu, ia juga hadir dengan sistem kunci pintar, panel meter digital serta sistem start/stop yang boleh ditutup dengan menggunakan butang yang terdapat di bahagian kanan pemegang. Kedua-dua versi skuter ini cuma mendapat brek cakera hadapan, dan belakang masih menggunakan dram, sementara versi ABS cuma datang dengan sistem one-channel.

    Kedua-dua rim hadapan dan belakang skuter ini adalah bersaiz 12 inci dan ia dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Jika keadaan asal masih tidak cukup, pemilik boleh mendapatkan pelbagai aksesori untuk Honda Giorno+ ini.

     
     
  • JPJ buat laporan polis berhubung seorang wanita mendakwa cukai jalan fizikal masih diwajibkan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang wanita yang tular di Facebook yang mendakwa Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) fizikal masih diwajibkan.

    “JPJ ingin menjelaskan bahawa kenyataan dalam hantaran tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya hari ini. Ia bertujuan supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pemilik akaun Facebook terbabit bagi mengelakkan perkongsian kenyataan yang tidak betul dan mengelirukan pada masa hadapan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menerusi hantaran di Facebook tersebut, wanita berkenaan mendakwa bahawa pemilik kenderaan pada masa ini boleh menggunakan dokumen LKM atau cukai jalan digital sahaja adalah satu pembohongan.

    JPJ buat laporan polis berhubung seorang wanita mendakwa cukai jalan fizikal masih diwajibkan

    Menurut JPJ, sebagaimana kenyataan media Menteri Pengangkutan pada 10 Februari lalu, pihaknya sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM). Di mana pemilik kenderaan persendirian yang merupakan warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis.

    “Pemilik kenderaan dan pemandu yang bersedia digalakkan untuk beralih dari dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen berbentuk digital. Walau bagaimana pun, sepanjang tempoh interim berkenaan orang ramai diberi pilihan sama ada menggunakan dokumen dalam bentuk fizikal atau digital.

    “Pemandu atau penunggang yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu khuatir sekiranya ditahan agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan. Penguat kuasa yang terbabit termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” tambahnya lagi.

    Dalam masa yang sama, JPJ turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat hantaran atau berkongsi kandungan media sosial yang boleh mengelirukan banyak pihak. Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terlebih dahulu maklumat yang diperoleh untuk memastikan kesahihannya melalui portal atau media rasmi JPJ.

     
     
  • Proton X90 kini dieksport ke Mauritius (dari RM155k), Afrika Selatan (dari RM139k) dan Brunei (dari RM120k)

    Proton X90 kini dieksport ke Mauritius (dari RM155k), Afrika Selatan (dari RM139k) dan Brunei (dari RM120k)

    Dengan perkembangan pasaran eksport yang mengggalakkan, mencecah 5,406 unit pada 2022 yang menyaksikan peningkatan sebanyak 79% berbanding tahun sebelumnya, mendorong Proton untuk memperluaskan lagi pasaran eksportnya. Terkini giliran SUV X90 pula untuk dieksport ke pasaran Mauritius, Afrika Selatan dan juga Brunei.

    Mauritius merupakan pasaran eksport pertama yang menerima X90, apabila SUV keluarga premium dan moden itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles. Ia dijual pada harga bemula 1,475,000 rupees (RM155,000).

    Diikuti dengan Afrika Selatan, di mana Proton Afrika Selatan telah mempamerkan X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami yang berlangsung dari 25 hingga 27 Ogos. Harga X90 di pasaran Afrika Selatan dari 559,000 rand (RM138,500) untuk model asas 1.5 TGDi Standard hingga ZAR679,900 (RM168,500) bagi model Flagship.

    Bulan lalu juga, Proton Brunei telah melancarkan X90 dengan menawarkan empat varian. Harganya bermula 35,000 dollar Brunei (RM120,000) untuk varian Standard hingga BND42,000 (RM144,000) untuk model spesifikasi tertinggi Flagship.

    “Tahun 2023 mencabar perniagaan eksport Proton kerana kebanyakan pasaran eksport kami mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal. Walau bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja-kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago, serta Iraq.

    “Pada masa yang sama, kami kekal fokus untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran X90, Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama syarikat, dalam tiga pasaran eksport berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei dan ini membantu meningkatkan imej jenama Proton di pasaran tersebut. Kami melihat ini sebagai pelaburan demi masa depan kerana ia akan membolehkan kami mengambil kesempatan keadaan pasaran yang bertambah baik pada masa hadapan,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton.

     
     
  • JPJ sita lebih 100 kenderaan dikendali warga asing dalam Op PEWA di KL, Pulau Pinang dan Melaka

    JPJ sita lebih 100 kenderaan dikendali warga asing dalam Op PEWA di KL, Pulau Pinang dan Melaka

    Ada saja netizen yang komplen sana sini yang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) asyik sita kenderaan rakyat tempatan yang langgar undang-undang saja, tetapi tidak pula menyita kenderaan yang dipandu oleh warga asing. Untuk pengetahuan anda, JPJ memang gigih melaksanakan Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) di seluruh negara.

    Kelmarin, JPJ WPKL telah mengadakan op PEWA di Jalan Tasik Tambahan, Ampang yang turut melubatkan agensi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).Operasi ini diadakan setelah JPJ WPKL menjalankan risikan ke atas beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

    “Hasil risikan mendapati pelbagai kesalahan dapat dikesan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama bagi kesalahan tidak memiliki Lesen Memandu di Malaysia dan juga melakukan pelbagai kesalahan yang lain. Kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing adalah milik warga Malaysia.

    “Sebanyak 79 kenderaan disita dengan motosikal mecatatkan jumlah tertinggi disita iaitu sebanyak 75 buah. Manakala kereta adalah sebanyak dua buah dan juga dua buah lori. Kenderaan tersebut disita kerana penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah, lesen kenderaan motor (LKM) serta insurans tamat tempoh,” kata JPJ WPKL.

    Malah baru-baru ini, JPJ Pulau Pinang telah menyita 26 buah motosikal dan sebuah kenderaan persendirian yang dipandu warga asing, di bawah Sek 64 (1) APJ 1987, atas kesalahan tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dalam operasi di Bulatan Seberang Jaya. Tindakan tegas akan diambil terhadap warga asing yang tidak patuh pada peraturan dan undang-undang semasa memandu di negeri ini.

    JPJ Melaka juga telah mengadakan operasi yang sama kelmarin dan menyita sebanyak 21 buah kenderaan yang terdiri daripada 19 buah motosikal dan dua buah kereta. Kesemua kenderaan yang disita didapati dipandu tanpa memiliki cukai jalan dan lesen memandu yang sah.

    “Kenderaan yang dikesan telah diambil tindakan. Notis berserta saman telah dikeluarkan. JPJ Negeri Melaka sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan,” kata JPJ Melaka pula.

    Untuk pemilik kenderaan warga tempatan, jika anda didapati ‘menyewa’ atau meminjamkan kenderaan anda untuk dipandu oleh warga asing yang tiada lesen memandu, mungkin anda juga akan menjadi ‘intipan’ penguatkuasa JPJ.

     
     
  • Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    United Kingdom nampaknya akan menjadi antara negara terawal yang menerima motosikal elektrik terbaru daripada Kawasaki apabila pengeluar dari Jepun itu mengumumkan Z e-1 dan Ninja e-1 akan tiba pada bulan hadapan. Harga bagaimanapun masih belum didedah.

    Z e-1 dan Ninja e-1 adalah motosikal elektrik yang dibangunkan oleh Kawasaki untuk diletakkan dalam kelas yang sama dengan motosikal 125 cc, tetapi menggunakan casis dan reka bentuk penuh sebuah motosikal kapasiti pertengahan, sambil masih mengekalkan keseronokan menunggang.

    Ia dipacu oleh motor elektrik brushless yang boleh menghasilkan kuasa maksimum sehingga 9 kW (12 hp), dan tenaga yang datang daripada dua bateri lithium ion parallel yang boleh dibawa keluar untuk dicas. Setakat yang diberitahu, ia boleh dicas dengan pelbagai cara termasuk tapak khas yang diberi dan pengecas awam.

    Kawasaki akan mula jual motosikal elektrik Z e-1 dan Ninja e-1 di United Kingdom bulan depan, kuasa 12 hp

    Tidak mempunyai tuil klac dan gear, penunggang hanya perlu memulas pendikit untuk menggerakkan motosikal ini, dan mereka disediakan dengan dua mod iaitu Road dan Eco. Satu lagi fungsi yang disediakan adalah “e-boost“, yang akan memberi kuasa maksimum apabila perlu dan kelajuan maksimum mencecah 99 km/j.

    Satu lagi fungsi menarik Ninja e-1 dan Z e-1 adalah Walk Mode, di mana ia boleh bergerak ke hadapan dan belakang pada kelajuan perlahan dengan bantuan motor, sekaligus memudahkan pengguna di kawasan sempit ataupun sewaktu mahu meletakkan kenderaan.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk panel meter TFT dengan fungsi sambungan kepada telefon pintar, brek ABS sama spesifikasi seperti motosikal 400 cc serta pilihan pelbagai aksesori seperti tempat duduk tempat duduk yang lebih rendah.

     
     
  • Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hampir dirempuh kenderaan selepas keluar daripada kereta dipandu ibunya dan meluru melintas jalan raya di Jalan Melaka Pindah, Alor Gajah pagi kelmarin, laporan Harian Metro.

    Kejadian berlaku sekitar jam 6.51 pagi pada 20 September lalu apabila kanak-kanak itu dipercayai keluar sendiri dari sebuah kereta yang diparkir di kiri jalan dan terus meluru ke tengah jalan dalam keadaan trafik agak sibuk di kedua-dua hala menuju ke Durian Tunggal dan ke Alor Gajah. Insiden mencemaskan itu turut dirakam dashcam kereta yang hampir merempuh kanak-kanak terbabit.

    Menerusi video berkenaan, kedengaran kereta berkenaan sempat membrek secara mengejut dari merempuhnya yang ketika itu sudah berada di tengah jalan. Malah turut terdengar bunyi dentuman kuat apabila kereta berkenaan dirempuh oleh sebuah kenderaan lain dari arah belakang.

    Kelihatan juga seorang lelaki segera mendukung kanak-kanak berkenaan sebelum diserahkan kepada seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak itu yang terus membawanya masuk ke dalam kereta.

    Kanak-kanak dua tahun meluru lintas jalan selepas keluar dari kereta – ibu bapa tolong jangan cuai!

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, laporan kemalangan telah dibuat oleh seorang guru dan operator kilang yang terlibat dalam insiden tersebut.

    “Guru terbabit yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke Lendu dan setibanya di Jalan Melaka Pindah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, dia melihat seorang kanak-kanak meluru melintas jalan raya.

    “Dia kemudian telah memberhentikan kenderaan secara mengejut menyebabkan sebuah motosikal Honda CBR 250 yang datang dari arah belakang melanggar keretanya. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit yang berusia 28 tahun turut mengalami luka-luka kecil,” katanya.

    Tambahnya, setakat ini pihak polis belum mengenakan tindakan terhadap ibu kanak-kanak terlibat, namun wanita terbabit telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak.

    “Hasil maklumat diperolehi, ibu kanak-kanak tersebut telah memberhentikan seketika kenderaan di bahu jalan di seberang jalan bagi menghantar anaknya yang bersekolah di SK Melaka Pindah.
    Tanpa disedari anaknya berusia dua tahun yang dibawa bersama di dalam kereta telah keluar dari kenderaan dan melintas jalan. Di dalam kereta itu juga ada seorang lagi anaknya berusia lima tahun,” ujarnya.

    Arshad berkata, setakat ini kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Insiden sebegini memberikan pengingatan atau boleh dikatakan sebagai ‘amaran’ kepada ibu bapa atau pemandu dewasa yang membawa penumpang kanak-kanak agar tidak alpa dan wajib mementingkan aspek keselamatan penumpang anda. Ini antara sebab kerajaan mahu mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak walau pun sehingga kini pelaksanaannya masih tertangguh.

    Dan tahukah anda, setiap kereta mempunyai ciri keselamatan ‘child lock’ pada pintu bagi mengelakkan penumpang belakang khususnya anak-anak kecil membuka sendiri pintu dari dalam apabila kenderaan sedang bergerak atau berhenti. Apa pun, sila ingat! Kecuaian membawa padah!

     
     
  • JPJ eBid: SWJ dan CEV bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWJ, bakal dibuka bidaan mulai 1 Oktober dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 5 Oktober. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 6 Oktober 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CEV, bidaannya akan dibuka pada 7 Oktober. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 11 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 Oktober 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 facelift 2023

    Model generasi terkini untuk hatchback segmen-B Mazda 2 sudah pun berada sekitar sembilan tahun dalam pasaran selepas pertama kali diperkenalkan pada 2014. Walaupun sudah lama dijual, Mazda sentiasa memberikan kemaskini terhadap model tersebut dan menerima facelift terbaharu pada awal tahun ini.

    Namun menurut laporan portal automotif Jepun BestCarWeb, sumber yang boleh dipercayai memberitahu bahawa model generasi keempat Mazda 2 mungkin akan muncul pada lewat 2024 atau awal 2025 dengan kerangka SkyActive-Body yang lebih diperkuat.

    Laporan itu turut menyebut bahawa Mazda 2 generasi baharu ini akan dihasilkan dengan saiz hampir sama dengan model sedia ada tetapi sedikit lebih lebar, serta bakal menggunakan falsafah rekaan Kodo baharu yang menampilkan rupa “lebih bulat dan comel”.

    Mazda 2 generasi baharu dengan sistem hibrid enjin rotary akan muncul seawal akhir tahun depan?

    Mazda 2 facelift 2023

    Pilihan unit rangkaian kuasa juga bakal diperbaharui pada model serba baharu ini. Mazda 2 dikhabarkan bakal menerima enjin petrol NA 1.5 liter empat silinder dipadankan dengan sistem hibrid ringkas.

    Manakala bagi versi diesel, enjin 1.5L turbodiesel SkyActiv-D sedia ada mungkin akan ditukar menggunakan enjin turbodiesel empat-silinder 1.8L. Malah Mazda 2 baharu ini juga bakal ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e-Skyactiv R-EV yang menggunakan enjin wankel Rotary.

    Sistem yang sama kini sudah pun dipadankan pada Mazda MX-30 R-EV 2023. Walau bagaimanapun, tugas untuk enjin rotary pada unit rangkaian kuasa ini bukanlah seperti pada kereta sport Mazda RX-7 terdahulu, sebaliknya ia berfungsi sebagai enjin penambah jarak.

    Unit rangkaian kuasa hibrid e-Skyactiv R-EV pada Mazda MX-30

    Pada MX-30 R-EV, unit rangkaian kuasa ini menampilkan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm. Namun enjin ini bukan bertugas untuk memacu roda, tetapi ia hanya befungsi untuk mengecas bateri hibrid lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj diletakkan pada bahagian bawah lantai.

    Bateri berkenaan akan membekalkan kuasa kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm, diletakkan digandar hadapan bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Menurut BestCarWeb, beberapa perincian rasmi mungkin akan didedahkan secara rasmi oleh Mazda sebelum Mazda 2 generasi baharu ini membuat kemunculan sulung kelak.

     
     
  • JPJ tidak pernah keluar kenyataan berhubung operasi khas kereta bakal dilaksanakan sepanjang Okt ini

    Memang ramai di kalangan netizen yang berlumba-lumba mahu ‘menyampaikan’ berita terkini dan sensasi, biar pun tidak tahu sejauh mana kesahihan maklumat tersebut. Terkini, ada ‘berita’ yang sedang tular di laman media sosial yang menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengadakan operasi besar-besaran untuk pemeriksaan kereta sepanjang Oktober ini.

    Walau bagaimana pun, JPJ menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa notis berhubung dengan operasi yang akan dijalankan seperti yang ditularkan itu.

    “JPJ ingin menasihati serta mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan semasa berada di jalanraya.

    “Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ berdekatan untuk maklumat yang lebih tepat. JPJ sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan jalan raya demi kesejahteraan orang awam khususnya pengguna jalan raya,” kata JPJ.

    Seperti yang sedia maklum, sepanjang bulan September ini, JPJ sedang mengadakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 di seluruh negara. Ia termasuklah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan snap check untuk mengesan mana-mana penunggang/pembonceng motosikal yang melanggar peraturan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan insurans, modifikasi motosikal tidak mengikut spesifikasi dan sebagainya.

    Menurut Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, dalam dua minggu operasi berkenaan dijalankan, sebanyak sebanyak 3,111 motosikal telah disita di seluruh negara. Di mana kesemua motosikal yang disita itu diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di atas jalan raya.

    Dalam tempoh yang sama juga, pihaknya telah mengeluarkan 64,295 notis atas pelbagai kesalahan terhadap pengendali motosikal yang diperiksa.

    “Daripada 64,295 notis, 24,459 membabitkan kes tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928) manakala bakinya bagi pelbagai kesalahan termasuk tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061), ubah suai ekstrem (2,676) dan membonceng motosikal di bawah umur, dengan 259 kes,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

     
     
  • Honda CR-V 2023 dikesan diuji lagi di Putrajaya

    Honda CR-V 2023 dikesan diuji lagi di Putrajaya

    Honda CR-V generasi ke-enam dikesan sekali lagi sedang menjalani ujian jalan raya, kali ini fotonya dirakamkan oleh staf kami sendiri. Jurugambar kami, Sherman Sim bersama rakan setugas Natasha Gill, terserempak dengan CR-V ini di Putrajaya, berhampiran dengan Putrajaya International Convention Centre (PICC), dan berjaya merakamkan beberapa foto spyshot SUV ini.

    Apa yang menariknya, tiada trade plate digunakan pada model ujian ini, mungkinkah ia sedang menantikan kelulusan vehicle type approval atau VTA daripada pihak JPJ? Agak pelik sedikit di situ.

    Ini bukan kali pertama CR-V 2023 dikesan diuji di negara ini. Awal Februari lalu, ia kelihatan diuji di Putrajaya. Kemudian pada Julai lalu pula, ia diuji di Gemencheh, Negeri Sembilan. Manakala bulan lalu pula, ada pembaca kami mengesan CR-V ini diuji di Genting Highlands pula.

    Beberapa siri ujian secara terbuka ini, biar pun masih ditutupi balutan penyamaran, nampak gayanya CR-V generasi ke-enam ini makin menghampiri detik pelancarannya untuk pasaran Malaysia. Pada Mac lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan empat model baru tahun ini di sini, dan salah satunya ialah CR-V, kemungkinan besar pada suku keempat. Bulan hadapan, kita bakal memasuki suku keempat dan adakah ia akan dilancarkan sebelum kalendar 2023 melabuhkan tirainya?

    Honda CR-V 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model sebelumnya dengan dimensi 4,694 mm panjang, 1,864 mm lebar, tinggi 1,681 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jadi berbanding model generasi kelima, versi baharu ini adalah 69 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan jarak roda 40 mm lebih jauh. Namun dari segi tinggi, ia adalah 8 mm lebih rendah yang memberikan rupa lebih sporty.

    Ruang dalamannya juga lebih besar, dengan ruang kaki di belakang mendapat tambahan 15 mm jarak. Rekaan dan binaan papan pemukanya pula meminjam ciri yang sama dengan yang ada untuk Civic, dengan konsol tengah yang menempatkan tuil gear dan pemilik mod pemanduan yang diletakkan sebelah-menyebelah.

    Untuk penawaran spesifikasi yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan, apa yang ada di Thailand boleh dijadikan rujukan ketika ini. Diperkenalkan pada Mac lalu di sana, CR-V hadir dengan dua pilihan sistem janaan iaitu unit 1.5L turbo petrol yang menghasilkan 190 hp pada 6,000 rpm dan 242 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,000 rpm, dan digandingkan dengan CVT.

    Pilihan kedua pula ialah sistem hibrid i-MMD yang sama seperti Civic e:HEV iaitu enjin 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dengan e-CVT, dengan keseluruhannya menghasilkan 207 PS dan 315 Nm tork. Di Thailand, CR-V ditawarkan dengan konfigurasi lima atau tujuh-tempat duduk. Tetapi untuk Malaysia, seperti juga sebelum ini, kita mungkin hanya akan menerima versi lima-tempat duduk sahaja.

     
     
  • Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro CKD dari Kulim kini sudah mula dihantar kepada pelanggan di Malaysia

    Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro CKD dari Kulim kini sudah mula dihantar kepada pelanggan di Malaysia

    Chery Malaysia mengumumkan bahawa unit-unit SUV Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasilitinya di Kulim, Kedah kini sudah mula dihantar kepada pelanggan pasaran tempatan. Kedua-dua SUV ini telah pun dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, dan operasi produksi CKD Chery sudah pun dimulakan pada bulan berikutnya.

    Kilang berkenaan kemudiannya menyiapkan unit pertama pada hujung Ogos, dan ia melalui proses unik kerana sudah lengkap dengan Pemeriksaan Pra-Penghantaran (PDI) sebelum unit-unit kenderaan tersebut dihantar ke pengedar seluruh Malaysia.

    Menurut Chery, ia mempunyai “pendekatan komprehensif yang merangkumi satu siri langkah proaktif yang direka untuk menjamin kualiti cemerlang setiap kenderaan sebelum ia sampai kepada pelanggan,” dan semua ini adalah kerana proses PDI tersebut.

    Chery turut menjelaskan bahawa proses PDI berkenaan akan melibatkan banyak pemeriksaan berulang pada bahagian seperti komponen mekanikal, ciri-ciri keselamatan dan juga perincian-perincian estetika.

    “Chery telah mempercepatkan kemajuan dalam pelbagai aspek di Malaysia, daripada piawaian barisan pengeluaran kepada penyeragaman proses pengedar, daripada inventori alat ganti kepada penubuhan pusat servis selepas jualan, memastikan kedua-dua kualiti produk dan kecemerlangan perkhidmatan,” kata naib presiden eksekutif Chery Malaysia, Leo Chen.

    Selain dari menumpukan perhatian terhadap perniagaannya selepas kembali semula ke pasaran Malaysia, Chery turut tidak melupakan untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam aktiviti-aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di sini. Oleh itu Chery telahpun menyertai sekumpulan golongan muda dari universiti-universiti di Malaysia membersihkan pantai awam di Pelabuhan Klang sempena sambutan hari Malaysia.

    “Kesejahteraan planet kita adalah tanggungjawab yang perlu kita kongsi bersama, dan sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap kelestarian alam sekitar, kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada kempen pembersihan pantai ini. Ia adalah peluang untuk kami menyumbang kembali kepada komuniti dan melindungi keindahan semula jadi lautan Malaysia,” kata naib presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.

     
     
  • Grab sedang bincang untuk beli operasi foodpanda Asia pada nilai RM5 bilion dari Delivery Hero

    Grab sedang bincang untuk beli operasi foodpanda Asia pada nilai RM5 bilion dari Delivery Hero

    Delivery Hero, iaitu syarikat yang memiliki jenama foodpanda dilaporkan kini sedang berbincang untuk menjual perniagaannya di rantau Asia kepada Grab. Syarikat multi-nasional dari Jerman tersebut sudah mengesahkan bahawa ia kini sedang berbincang untuk menjual operasinya di Asia dengan nilai yang masih dalam rundingan, lapor Reuters.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Delivery Hero, ia kini sedang berbincang untuk menjual jenama foodpanda di Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar dan Laos. Rundingan tersebut masih dalam peringkat awal dan masih lagi belum menampakkan sebarang hala tuju untuk memuktamadkan apa-apa perjanjian, tambahnya.

    Berita berkenaan penjualan ini mula dilaporkan oleh majalah perniagaan dari Jerman Wirtschaftswoche, menyatakan bahawa Grab (yang sebelum ini turut mengambil alih operasi Uber di ASEAN), mungkin akan membayar lebih dari satu bilion euro (RM4.98 bilion) untuk membeli operasi foodpanda di Asia.

    Walaupun perniagaan di Asia memberikan hasil terbesar Delivery Hero, pertumbuhan syarikat tersebut di sini telah menurun selepas pelbagai sekatan akibat pandemik sudah mula reda. Syarikat itu juga kini sedang fokus untuk menjana keuntungan selepas membuat pelaburan besar selama bertahun-tahun.

    Agensi berita itu juga menyatakan buat masa sekarang Grab masih belum membalas email bagi memberikan sebarang komen berkenan perkara ini.

     
     
  • Penunggang motosikal didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret PD kerana rempuh anggota JPJ

    Penunggang motosikal didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret PD kerana rempuh anggota JPJ

    Mahkamah Majistret Port Dickson telah menjatuhkan hukuman yang berupa denda sebanyak RM5,000 terhadap penunggang motosikal selepas merempuh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad lalu.

    Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayarnya, laporan Berita Harian.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, daripada menjalankan fungsi amnya dalam operasi pasukan. Kesalahan itu dilakukan pada 17 September lalu, kira-kira 11 pagi di KM 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

    Walau bagaimana pun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mampu memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam. Katanya, mahkamah perlu mengambil kira kecederaan dialami anggota JPJ terbabit.

    Sebelum ini, JPJ Negeri Sembilan mengesahkan tertuduh mempunyai dua kesalahan senarai hitam yang masih aktif. Antaranya ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada 18/07/2012 di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan sita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987.

     
     
  • Polis ganda operasi pantau kenderaan perdagangan di Ibu Negara susulan kemalangan maut di Putrajaya

    Polis ganda operasi pantau kenderaan perdagangan di Ibu Negara susulan kemalangan maut di Putrajaya

    Susulan kemalangan maut yang membabitkan 14 buah kenderaan di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, di Putrajaya semalam, polis hari ini akan mempertingkat operasi pemantauan terhadap kenderaan berat khususnya kenderaan perdagangan di ibu negara, lapor Bernama.

    “Di Kuala Lumpur memang setiap hari kita menjalankan operasi pemeriksaan terhadap kenderaan berat ini, namun mulai hari ini kita akan pertingkatkan lagi operasi khususnya terhadap kenderaan perdagangan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.

    “Selain waktu operasi terhad iaitu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi di ibu negara, kita akan beri tumpuan juga khusus di laluan masuk macam di Putrajaya dari Puchong, Selangor. Kalau berlaku perlanggaran yang memerlukan tindakan sita, kita akan ambil, tiada kompromi,” katanya.

    Mengulas berkenaan insiden yang berlaku kira-kira 10.15 pagi semalam itu, Allaudeen berkata polis sedang menunggu laporan pemeriksaan daripada JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan sama ada aspek mekanikal treler menjadi punca kemalangan. Beliau turut tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu treler tersebut.

    Allaudeen turut mengesahkan pemandu berusia 25 tahun itu telah ditahan semalam dan akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Kemalangan tersebut telah mengorbankan dua penunggang motosikal, manakala tujuh lagi cedera selepas dirempuh sebuah treler membawa muatan pasir dari arah belakang ketika berhenti di lokasi kejadian. Kenderaan-kenderaan tersebut berhenti bagi memberi laluan kepada latih amal Polis Diraja Malaysia untuk acara berbasikal antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL).

    Menerusi beberapa rakaman dashcam dari kenderaan pengguna di lokasi kejadian yang tular di laman media sosial, kelihatan treler terbabit dipandu agak laju dan berada di lorong tengah sebelum mengubah laluan ke lorong kiri dan gagal berhenti sebelum tersasar ke lorong kanan. Kemudian ia merempuh kenderaan di bahagian hadapan dan sebelahnya serta melanggar susur jalan dan masuk ke jalan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori kecil.

    Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai pekerja Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan pekerja di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39. Secara keseluruhan kemalangan ini telah melibatkan 14 kenderaan iaitu treler terbabit, sebuah lori satu tan, tujuh kereta serta lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.

     
     
  • Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Ducati memperkenalkan sebuah model baru, yang mungkin boleh dikatakan sebagai Multistrada paling canggih dan mewah, iaitu Multistrada V4 S Grand Tour. Keistimewaannya bermula dengan warna eksklusif yang dipanggil sebagai Grand Tour, dan digunakan pada seluruh badan termasuk beg barangan tepi yang diberikan secara standard.

    Semua kelengkapan yang disediakan sebagai pilihan tambahan pada Multistrada V4 sebelum ini diberikan secara standard pada V4 S Grand Tour. Ia termasuk tongkat tengah, pemanas tangan, pemanas tempat duduk (termasuk penumpang), sistem tanpa kunci dan pelbagai lagi.

    Besi pemegang V4 S Grand Tour dikepit terus pada top yoke tanpa tapak tambahan bagi memberikan rasa yang lebih terus kepada penunggang, sementara tempat duduk penumpangnya adalah unit sama seperti yang digunakan pada Multistrada V4 Rally, yang lebih selesa.

    Ducati Multistrada V4 S Grand Tour 2024 diperkenal

    Di bahagian kokpit terdapat skrin TFT-LCD yang juga boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi. Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk mod tunggangan, Traction Control, Wheelie Control, Cornering ABS dan Vehicle Hold Control. Dengan adanya radar di hadapan dan belakang, motosikal ini juga mempunyai fungsi Adaptive Cruise Control serta Blind Spot Warning.

    Suspensi elektronik semi aktif Skyhook pada model ini datang dengan empat mod, dan ia akan melaras ketinggian secara automatik untuk keadaan tunggangan yang berbeza. Ia juga dilengkapi fungsi Minimum Preload yang akan merendahkan motosikal apabila berhenti atau bergerak perlahan, dan Easy Lift yang dapat membantu mengurangkan beban penunggang apabila mengangkat motosikal ini daripada tongkat tepi.

    Masih lagi menggunakan enjin V4 Granturismo 1,158 cc sama seperti Multistrada V4 Pikes Peak dan Multistrada V4 Rally, Multistrada V4 S Grand Tour ini mampu menghasilkan kuasa 170 hp pada 10,500 rpm dan tork 125 Nm pada 8,750 rpm.

    Pengurusan haba enjin telah dipertingkat, dengan ia mendapat pelindung haba pada lengan ayun serta bahagian tepi subframe. Ia kemudiannya dibantu lagi oleh salur udara pada fairing berhampiran bahagian kaki, manakala tempat meletak telefon juga sekarang sudah mempunyai liang udara.

    Tinggi tempat duduk standard V4 S Grand Tour boleh dilaras antara 840 mm ke 860 mm, tetapi Ducati juga ada menjual pakej tempat duduk yang lebih rendah dan lebih tinggi, dengan ketinggian antara 790 mm hingga 875 mm. Tangki bahan api berkapasiti 22 liter.

     
     
  • BMW R1300 GS dalam teaser, didedah 28 September

    BMW R1300 GS dalam teaser, didedah 28 September

    BMW Motorrad sudah mula menyiarkan teaser untuk model pelbagai guna terbaru mereka iaitu R1300 GS di dalam media sosial. Model ini muncul hanya lima tahun selepas R1250 GS, dan akan menjadi penggantinya di dalam pasaran.

    Hanya satu gambar teaser disiar, menunjukkan motosikal itu meredah sungai kecil dan percikan air mengaburi bentuk sebenarnya. Apa yang boleh dilihat cuma perincian biasa seperti brek cakera berkembar serta penghadang angin yang rendah.

    Walaubagaimanapun, bayangan model baru ini menampakkan ia seakan lebih kurus, dan kita boleh menjangkakan penggunaan enjin boxer yang diberi peningkatan berbanding keadaan sekarang yang berkapasiti 1,254 cc dan mampu menghasilkan kuasa 136 hp/143 Nm.

    Semua laman media sosial BMW Motorrad menggunakan gambar yang sama, tetapi mempunyai keterangan yang berbeza. Di dalam Facebook, ia tertulis “sedia untuk menetapkan langkah dengan BMW #R1300GS serba baru?” manakala di dalam Instagram lebih ringkas dengan ayat “penantian hampir berakhir.”

    Tetapi, apa yang sama adalah tarikh ia diberitahu akan didedah secara rasmi, iaitu pada 28 September jam lima petang mengikut waktu Eropah Tengah (CEST). Ini bersamaan jam 11 malam waktu Kuala Lumpur.

     
     
  • Baki plat M_M kini boleh dibeli di JPJ, RM310

    Baki plat M_M kini boleh dibeli di JPJ, RM310

    Siri nombor pendaftaran istimewa (NPI), M_M yang dibuka bidaan pada 31 Ogos lalu selama 5 hari mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Walau pun bidaannya menerusi JPJ eBid telah pun tamat, malah pembida yang berjaya membidanya telah pun dimaklumkan, namun masih ada lagi baki nombor pendaftaran M_M ini.

    Jadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah membuka peluang untuk orang ramai mendapatkan baki nombor pendaftaran M_M ini bermula 18 September lalu. Bayaran yang dikenakan hanya RM310 sahaja termasuk fi perkhidmatan.

    Jika berminat untuk mendapatkannya, anda boleh pergi ke bahagian Perlesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya atau mana berkunjung ke mana-mana cawangan JPJ Negeri. Menurut JPJ, permohonan juga boleh dibuat melalui wakil dan terhad untuk tiga permohonan sahaja.

    Anda hanya perlu membawa salinan kad pengenalan atau pendaftaran syarikat dan isi borang JPJ eBid yang boleh dimuat turun menerusi portal rasmi JPJ.

    Sebelum ini, JPJ mengumumkan siri M_M ini telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM20,091,970. Berdasarkan rekod bidaan, M1M merupakan NPI yang menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM622,000. Diikuti dengan M5M yang menerima bidaan bernilai RM500,000 dan M8M dengan harga RM450,000. Manakala M9M pula dibida dengan harga RM402,004, dan M6M pula bernilai RM350,000.

     
     
  • Lencongan jalan di Plaza Tol Kemuning di Lebuhraya KESAS pada 22 hingga 25 Sept, 11 malam-5 pagi

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Shah Alam atau KESAS. Terdapat lencongan jalan akan dilaksanakan di laluan menghala ke lorong E18 dan E19 di Plaza Tol Kemuning (menghala ke Kuala Lumpur) pada setiap hari bermula esok, 22 September sehingga 25 September 2023.

    Ia bertujuan bagi kelancaran kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan konkrit di laluan berkenaan yang akan dilaksanakan pada jam 11 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

    “Trafik menghala ke arah lorong yang terlibat akan dilencongkan sementara sepanjang kerja-kerja baik pulih dilakukan. Walau bagaimana pun, kedua-dua lorong E18 dan E19 di Plaza Tol Kemuning (menghala ke Kuala Lumpur) masih lagi beroperasi seperti biasa.

    “Pandu berhati-hati dan ikut arahan papan tanda trafik sementara di lokasi. Sebarang kesulitan amat dikesali,” kata pengendali KESAS.