Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Mercedes-Benz telah menunjukkan sebuah kereta konsep baru semasa Monterey Car Week, dinamakan sebagai Vision EQ Silver Arrow. Ia mendapat inspirasi daripada kereta lumba W125 yang pernah memecahkan rekod lapan dekad yang lalu, dan hanya menggunakan tetapan satu tempat duduk, dengan kuasa daripada motor elektrik.

    “Lebih 80 tahun dulu, Silver Arrow telah menunjukkan bahawa Mercedes-Benz adalah peneraju dalam aspek kelajuan, hasil daripada antaranya, bentuk yang langsing. Kereta pameran ini juga membawa bahasa rekaan dan teknologi produk EQ ke tahap lebih tinggi,” kata ketua bahagian rekaan Daimler AG, Gorden Wagener.

    Badan kereta konsep sepanjang 5.3 meter ini sebenarnya dibuat daripada gentian karbon, tetapi usaha yang lebih ditunjukkan apabila ia ditutup dengan beberapa lapis cat perak alubeam, yang menghasilkan ilusi “liquid metal.” Walaupun begitu, beberapa bahagian masih tidak dicat seperti splitter, dan serinya ditambah dengan jalur lampu biru.

    Untuk rim, unit aluminium bersaiz 24 inci digunakan pada bahagian hadapan manakala di belakang adalah unit bersaiz 26 inci. Separuh daripada rim berwarna rose gold itu kemudiannya dimuatkan di bawah lengkuk tayar yang yang lebar, dan dibalut dengan tayar Pirelli.

    Bahagian luar lain yang menarik adalah diffuser belakang, serta spoiler yang boleh naik dan bertindak sebagai brek udara apabila perlu. Kemudiannya untuk bahagian kokpit, ia boleh naik ke atas dan hadapan supaya pemandu dapat masuk dan keluar dengan mudah.

    Di sekeliling bahagian kabin, terdapat bahagian berkualiti tinggi seperti aluinium yang dikilatkan serta kemasan kayu walnut dengan corak pinstripe di lantai. Tempat duduk serta roda stereng dibalut dengan kulit asli warna coklat, dan terdapat logo bintang cabang tiga yang diukir dengan lazer.

    Banyak juga kelengkapan berteknologi yang diletakkan pada kereta konsep ini termasuk skrin panoramik bersaiz besar dengan imej 3D sekeliling kenderaan dipaparkan di situ. Selain daripada itu, pemandu juga boleh melihat pelbagai informasi lain seperti pengecasan induktif atas jalan pada skrin tersebut.

    Mercedes-Benz Vision EQ Silver Arrow – kereta konsep elektrik 738 hp dengan satu tempat duduk

    Jika itu tidak cukup menarik, kereta konsep ini juga dilengkapi dengan ‘ghost mode‘ masa sebenar seperti dalam video permainan lumba kereta. Mercedes-Benz memanggil ciri ini sebagai ‘lumba virtual’, dan ia membenarkan anda untuk berlumba dengan kereta Silver Arrow bersejarah ataupun yang sekarang. Kereta ‘ghost‘ tersebut akan dipaparkan pada skrin dan anda akan disediakan dengan petunjuk bagaimana untuk menjadi pemandu yang lebih baik.

    Satu lagi skrin sesentuh disediakan pada roda stereng, dan ia membenarkan pemandu untuk memilih beberapa mod pemanduan. Mereka juga boleh melakukan tetapan bunyi, untuk membuatkan kereta ini berbunyi seperti Silver Arrow Formula 1 ataupun bunyi V8 Mercedes-AMG.

    Ini adalah disebabkan Vision EQ Silver Arrow adalah sebuah kenderaan elektrik berkuasa 738 hp (550 kW) yang boleh dikatakan agak senyap. Baterinya mempunyai kapasiti 80 kWh, dan dikatakan dapat memberi jarak penggunaan 400 km dengan sekali cas penuh.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia tayang video Hari Merdeka ke-61

    Sempena sambutan Hari Merdeka ke-61 Jumaat ini, Mitsubishi Malaysia memeriah serta meraikan semangat patriotik melalui sebuah video khusus untuk warga Malaysia tercinta. Berlatarkan lagu nyanyian Faizal Tahir berjudul ‘Malaysia’ turut menampilkan model SUV Mitsubsihi Outlander.

    Ia kisah ringkas tentang seorang kanak-kanak yang memaksa datuknya untuk menemaninya ke Dataran Malaysia – lokasi bersejarah dan sinonim sempena Hari Kemerdekaan Malaysia saban tahun, sejak 1957.

    Video ini adalah tentang saling menghormati, dan mengingatkan kita tentang pentingnya untuk memastikan setiap generasi yang ada hari ini turut sama menghayati perjalanan negara ini melepaskan dirinya daripada penjajahan, menuju kemerdekaan. Semoga kita juga tidak memandang ringan sejarah dan berusaha untuk sama-sama menelurusinya.

    Selamat Hari Merdeka!

     
     
  • Garis panduan bagi aktiviti konvoi berkenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Kem. Pengangkutan

    Garis panduan bagi aktiviti konvoi berkenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Kem. Pengangkutan

    Garis panduan yang lebih jelas berkaitan aktiviti konvoi berkenderaan akan diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi, ujar Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaafar.

    Menurut beliau, dengan semangat menyambut pelbagai perayaan atau program yang diadakan, garis panduan itu dilihat perlu bagi memastikan keselamatan peserta konvoi, laporan Bernama.

    “Sudah tentu kita akan usahakan garis panduan itu dan saya yakin, kementerian telah tentukan garis panduan ini namun kita akan usahakan agar ia lebih baik,” katanya. Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati peserta konvoi agar meningkatkan disiplin ketika berada dalam perjalanan terutama di lebuhraya.

    “Berkonvoi ini satu aktiviti berkumpulan yang baik dan menandakan komitmen masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan saya percaya, menjelang sambutan hari kebangsaan ini, akan lebih ramai masyarakat yang berkonvoi. Sudah tentu kita harap mereka lebih menerapkan ciri-ciri keselamatan dan disiplin dalam berkonvoi itu termasuk menghormati dan bekerjasama dengan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui dalam Program Pelepasan Konvoi Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2018 Jabatan Penerangan peringkat Wilayah Persekutuan di Terminal Bas Bersepadu (TBS) hari ini.

     
     
  • Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Bugatti ada sebuah model baru yang telah dipertontonkan kepada umum; dikenali dengan nama yang ringkas sahaja – Divo. Menurut pengeluarnya, ini merupakan kenderaan yang paling berprestasi dan dinamik pernah mereka hasilkan. Ia juga menjadi tanda ingatan untuk ulangtahun ke-110 paling bermakna, yang akan disambut tahun hadapan.

    Tetapi, kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 40 buah sahaja, dan dijual pada harga RM23.8 juta. Selain itu, ia meneruskan tradisi Bugatti dengan menamakan model terbabit daripada nama pelumba handalan dunia. Dalam kes ini, Alberto Divo, yang menyertai Bugatti pada tahun 1928 dan terus menempa nama sebagai pemenang bagi perlumbaan Targa Florio di Sicili dengan jentera Bugatti Type 35 ketika itu.

    Bugatti Divo – 1,500 hp, terhad 40 unit, RM23.8 juta

    Sedikit fakta teknikal jentera terbaru ini. Ia dilengkapi enjin 8 liter W16 dengan empat pengecas turbo (dengan dua tahap pengecas turbo Bugatti dan sejukan dalaman) yang menghasilkan sebanyak 1,500 hp pada 6,700 rpm.

    Tork pula ialah 1,600 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm, dan dipadankan dengan transmisi klac berkembar DSG tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa hanya 2.4 saat. Divo juga 35 kg lebih ringan berbanding Chiron.

    Divo juga menyaksikan Bugatti kembali kepada cara tradisi pembinaan kenderaan yang pernah dipelopori jenama itu sejak dahulu. Selain itu, Divo memiliki 90 kg lebih daya downforce jika dibandingkan dengan model Chiron. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialah 380 km/j; Divo juga mencatatkan bacaan lapan saat lebih pantas dalam ujian di litar Nardo.

    Walaupun berkongsi bentuk luaran yang mirip dengan Chiron, Divo sebenarnya mempunyai prestasi aerodinamik yang berbeza. Menurut Bugatti, Divo boleh saja diumpamakan seperti Chiron, tetapi akan lebih menyerlah di selekoh.

    Bumbungnya direka untuk menyalurkan udara ke bahagian enjin. Begitu juga dengan lengkung pada bahagian tayar yang akan membantu menyejukkan brek. Tidak lupa juga untuk dinyatakan, spoiler pada kereta ini boleh dilaras.

    Dengan kepanjangan 72-inci (23% lebih panjang berbanding pada Chiron) ia juga boleh dipusing menegak untuk menjadi penampan angin dalam situasi berhenti yang ekstrem. Macam mana, cukup padu hasil terbaru dari Bugatti ini?

     
     
  • Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Audi semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance di California telah menunjukkan kereta konsep PB18 e-tron. Nama ini didapati daripada tempat ia ditunjukkan pertama kali ini, serta DNA teknologi yang dikongsi olehnya dengan kereta lumba Audi R18 e-tron LMP1.

    Walaupun nampak seperti mempunyai persamaan dengan kereta konsep Audi Aicon, Audi menyatakan ia masih berbeza kerana Aicon lebih kepada kereta mewah automatik manakala PB18 direka lebih kepada untuk dipandu sama ada atas jalan biasa ataupun di litar.

    Disebabkan itu, tiada sistem kompleks untuk pemanduan autonomous atau kelengkapan untuk keselesaan pada kereta ini. Apa yang ada di dalamnya cuma satu tempat duduk pemandu yang disepadukan pada kerangka monocoque dalamannya tetapi masih boleh dilungsur untuk pelarasan, ditolak ke tepi untuk dipandu seperti biasa atau memuatkan tempat duduk penumpang. Stereng dan pedal pula menggunakan sistem ride-by-wire.

    Pakej PB18 mengikut susun letak tradisional kereta sports enjin di tengah, dengan kabin ditolak ke hadapan, manakala titik graviti tengah terletak di belakang tempat duduk dan di hadapan gandar belakang – memberikan kelebihan kepada dinamik pemanduan. Berat kereta ini cuma 1,550 kg hasil penggunaan aluminium, karbon dan pelbagai lagi bahan komposit lain.

    Untuk dimensi, PB18 mempunyai ukuran 4.53 meter panjang, 2.0 meter lebar dan 1.15 meter tinggi, dengan jarak roda 2.7 meter. Ini adalah dimensi sebuah kereta sport, dan apabila dilihat dari tepi, ia mempunyai bumbung yang rendah serta C-pillar yang besar. Ruang kargo pula adalah 470 liter.

    Diffuser belakang kenderaan ini mendapat inspirasi daripada sukan permotoran, dan ia boleh dilaras ke bawah untuk meningkatkan tekanan downforce. Sama juga dengan spoiler belakangnya. Untuk rim, kereta ini menggunakan unit 22 inci bersama salur udara keluar dan masuk pada lengkuk roda dan di sebaliknya terdapat cakera brek karbon 19 inci.

    Kereta konsep ini menggunakan tiga motor elektrik – satu di hadapan dan dua lagi di belakang. Ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 150 kW untuk gandar hadapan, dan 350 kW untuk gandar belakang. Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan adalah 500 kW, tetapi dengan tambahan boost, ia boleh pergi sehingga 570 kW. Jumlah tork keseluruhan pula adalah 830 Nm, membuatkan kereta ini boleh memecut 0-100 km/j di bawah dua saat.

    Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

    Bateri padu yang disejukkan dengan cecair pada kenderaan ini mempunyai kapasiti tenaga 95 kWh dan apabila dicas penuh, ia boleh membawa kenderaan sehingga jarak 500 km. Ia sudah direka untuk menerima pengecasan 800 volt dan induksi, dan boleh dicas penuh dalam masa cuma 15 minit.

    Semasa kegunaan harian, pemandu boleh menetapkan kelajuan maksimum untuk menjimatkan bateri dan mendapatkan jarak lebih jauh. Dalam keadaan biasa, semasa bergerak, PB18 akan menjana semula kuasa untuk mengecas bateri terutamanya apabila membrek. Torque Control Manager pula bekerja sama dengan ESC untuk menyampaikan kuasa kepada gandar yang memerlukan.

    Bahagian suspensi kenderaan ini juga menggunakan tetapan yang sudah biasa dilihat pada kereta lumba. Depan dan belakang menggunakan suspensi jenis independent, dan terdapat sistem push-rod pada gandar hadapan dan pull-rod di gandar belakang. Ia bekerja sekali dengan penyerap hentak adaptif magnetic ride.

     
     
  • Infiniti Prototype 10 – tunjuk kemampuan masa depan

    Infiniti Prototype 10 – tunjuk kemampuan masa depan

    Semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance, Infiniti telah mempersembahkan sebuah kenderaan konsep baru yang dinamakan sebagai Infiniti Prototype 10. Walaupun diberitahu mendapat inspirasi daripada kenderaan konsep Prototype 9 dan Q Inspiration sebelum ini, Prototype 10 dikatakan berbeza kerana melihat kepada masa hadapan dan konsep elektrik.

    Kereta konsep ini direka oleh pasukan kreatif global Infiniti, diketuai oleh pengarah eksekutif rekaan baru syarikat itu iaitu Karim Habib – ini juga adalah projek pertama yang dikendalikan oleh beliau. Menurut Habib, kereta ini menggabungkan inspirasi estetik daripada kereta lama dengan teknologi masa hadapan.

    Infiniti Prototype 10 diberitahu akan dikuasakan oleh elektrik, namun perinciannya masih belum disiarkan. Ini mengikuti wawasan Infiniti untuk menjadikan semua kenderaan baru mereka bermula tahun 2021 akan mendapat kuasa elektrik – sama ada PHEV, elektrik penuh atau hibrid.

    Seperti yang boleh dilihat, Prototype 10 ini menggunakan cuma satu tempat duduk, dan ini adalah mengambil inspirasi daripada speedster California zaman dulu, yang merupakan antara kereta paling ikonik di dunia. Selain daripada itu, ia juga memberi bayangan terhadap prestasi tinggi kereta ini serta pendekatan Infiniti yang memberikan lebih fokus kepada pemandu.

    Protoype 10 juga menunjukkan potensi boleh menggunakan platform modular jenama itu, dan menyokong era baru rekaan serta pakej. Melalui platform ini, Infiniti boleh menggunakan teknologi e-POWER serta penjana kereta elektrik dalam cara yang baru dan kreatif untuk casis pelbagai bentuk dan saiz.

     
     
  • Litar Antarabangsa Sepang bakal jadi hab sukan permotoran di rantau Asia Tenggara – Syed Saddiq

    Litar Antarabangsa Sepang bakal jadi hab sukan permotoran di rantau Asia Tenggara – Syed Saddiq

    Pengambilalihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) daripada Kementerian Kewangan yang mengendalikannya sebelum ini, adalah bagi memperkukuhkan lagi pendekatan SIC dalam usaha menjadi hab sukan permotoran terkemuka terutamanya di rantau Asia Tenggara, laporan Bernama.

    “Sebab utamanya adalah untuk kita mendekati golongan belia khususnya ‘mat motor’ dalam usaha kita mencari penyelesaian bersama selain mengiktiraf sukan permotoran sebagai sukan yang begitu penting di hati rakyat Malaysia.

    “Misi saya nak pastikan SIC dijadikan hub sukan permotoran Asean termasuk ada perlumbaan seperti drag, F2, F3, F4, MotoGP supaya akhirnya ada pembangunan komprehensif dan di bawah KBS, ini akan dijadikan fokus kami,” ujar kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Menurut Syed Saddiq, beliau akan mengadakan pertemuan bersama penggiat arena berkenaan termasuk golongan belia yang meminati permotoran dalam tempoh sebulan akan datang.

    “Menerusi pertemuan ini, saya berharap kami dapat menemui titik pertemuan dan akhirnya suara mereka diambilkira dalam usaha merangka masa depan sukan permotoran di Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam sesi pengumuman rasmi pasukan pertama MotoGP negara, Petronas Yamaha Sepang Racing yang bakal membuat penampilan pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun depan.

     
     
  • Petronas Yamaha Sepang Racing Team umumkan pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 untuk musim 2019

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team umumkan pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 untuk musim 2019

    Selepas membuat pengumuman akan membentuk pasukan dan bertanding dalam kategori premier MotoGP pada tahun 2019, pasukan Petronas Yamaha Racing Team akhirnya mendedahkan pula barisan pelumba yang akan digunakan.

    Untuk kelas MotoGP, pasukan baru ini akan menggunakan khidmat Franco Morbidelli yang sekarang adalah pelumba bagi pasukan EG 0,0 Marc VDS dalam kelas sama, dan seorang lagi adalah Fabio Quartararo, yang kini berlumba dalam kelas Moto2 untuk pasukan +Ego Speed Up Racing. Mereka masing-masing akah menunggang Yamaha YZR-M1 Spec-A dan Spec-B.

    Morbidelli bukanlah seorang yang betul-betul baru dalam dunia perlumbaan kerana beliau sudah pernah menjadi pemenang Superstock 600 Championship pada tahun 2013 dan juara Moto2 pada tahun lepas. Dalam kelas MotoGP tahun ini, beliau sentiasa menjadi perhatian kerana selalu menduduki tempat 15 teratas.

    Melihat kepada Quartararo pula, beliau pernah memenangi FIM CEV Moto3 Championship pada tahun 2013 dan 2014, dan mula bertanding dalam Kejuaraan Dunia pada usia 15 tahun. Bagi musim 2018, beliau sudah berjaya mendapat tempat di atas podium sebanyak dua kali, dan pastinya akan menjadi rookie yang menarik untuk ditonton dalam kelas MotoGP tahun hadapan.

    Selain untuk kelas MotoGP, pasukan Petronas Yamaha Racing Team turut mengumumkan pelumba yang akan digunakan untuk kelas lain dalam kejuaraan dunia itu. Bagi kelas Moto2, mereka telah memilih Khairul Idham Pawi, yang sememangnya sudah terkenal dalam dunia perlumbaan Malaysia, sekaligus memberi makna kontrak beliau dengan pasukan Idemitsu Honda Team Asia akan tamat tahun hadapan.

    Pergi kepada kelas Moto3 pula, pasukan ini masih mengekalkan Ayumu Sasaki sebagai pelumba, tetapi tempat Adam Norrodin bakal diganti oleh John McPhee yang berusia 24 tahun dan sudah mempunyai pengalaman dalam Moto3 selama enam tahun.

     
     
  • Triumph sedia uji prototaip akhir enjin Moto2 2019

    Triumph sedia uji prototaip akhir enjin Moto2 2019

    Hujung minggu ini akan menjadi waktu bersejarah bagi Triumph apabila pengeluar dari United Kingdom itu buat pertama kalinya bakal melakukan pusingan lengkap menggunakan motosikal yang dikuasakan oleh enjin Moto2 tahun depan di hadapan orang ramai, iaitu di Litar Silverstone.

    Pusingan ini akan dilakukan betul-betul sebelum perlumbaan Moto2 berlangsung, dan motosikal yang menggunakan enjin tiga silinder 765 cc prototaip terakhir itu akan ditunggang oleh bekas juara World Superbike Champion, James Toseland.

    Sebelum ini, tiga pasukan pengeluar Moto2 iaitu Kalex, KTM dan NTS telah menguji enjin Triumph tersebut di atas litar menggunakan kerangka prototaip dengan keadaan seperti waktu perlumbaan, dan ia dipadankan dengan ECU yang boleh diubah suai oleh Magneti Marelli.

    “Kami sangat senang hati dengan perkembangan sehingga sekarang dan kagum dengan tahap semangat serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan casis, penunggang, pasukan ECU Magneti Marelli, Exernpro dan Dorna waktu membangunkan motosikal Moto2 generasi seterusnya ini,” kata ketua bahagian produk Triumph, Steve Sargent.

    Tambah beliau, kelas Moto2 juga akan menjadi lebih menarik kerana terdapat saingan yang lebih sengit untuk menghasilkan pakej yang terbaik. ECU yang digunakan pula memberi pilihan yang luas untuk melaras penyalaan, penyampaian bahan api, kuasa brek enjin, pemetaan pendikit, quickshifter dan pelbagai lagi.

    Kontrak Triumph dengan Dorna untuk membekalkan enjin bagi kelas Moto2 ditandatangani untuk tiga tahun, dan ia adalah unit tiga silinder 765 cc yang asasnya diambil daripada enjin yang digunakan pada model Triumph Street Triple 2017, tetapi telah ditala khas untuk perlumbaan.

     
     
  • SYM E Bonus 110 2018 dilancar – harga dari RM3,768

    SYM E Bonus 110 2018 dilancar – harga dari RM3,768

    Model SYM E Bonus mula dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun 2010, dan kini ia telah disegarkan kembali dengan penampilan baru untuk tahun 2018. Ia sekarang ditawarkan dalam tiga varian iaitu E Bonus 110, E Bonus 110 H dan Bonus 110 SR.

    Kesemuanya masih lagi menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara 108 cc bersama transmisi empat kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa 7.1 hp pada 7,500 rpm. Enjin ini juga mempunyai empat injap dan melepasi tahap emisi Euro 3.

    Perbezaan di antara semua varian ini hanya adalah rim dan brek, di mana varian paling asas iaitu E Bonus 110 menggunakan brek dram depan dan belakang bersama rim lidi 17 inci, E Bonus 110 H menggunakan rim sport 17 inci dengan brek dram depan dan belakang, manakala Bonus 110 SR menggunakan rim sport dengan brek dram di belakang dan brek cakera di hadapan.

    Kemudiannya, Bonus 110 SR turut ditambah dengan soket USB untuk mengecas peranti. Selain daripada itu, kelengkapan semua varian SYM Bonus ini adalah sama termasuk suspensi teleskopik di hadapan dan dua penyerap di belakang.

    Berat keseluruhan Bonus 110 adalah 103 kg, dan ia menyediakan tangki bahan api empat liter. Tayar yang digunakan untuk semua Bonus 110 ini adalah bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Harga yang ditetapkan untuk E Bonus 110 adalah RM3,768 diikuti RM3,898 untuk E Bonus 110 H dan RM4,278 untuk Bonus 110 SR. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan ia datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Untuk warna, terdapat tiga pilihan iaitu biru, hitam dan merah. SYM E Bonus 110 akan berada di kedai pengedar pada bulan September manakala E Bonus 110 H dan Bonus 110SR pada bulan November.

     
     
  • Nombor plat pendaftaran khas ‘Malaysia 1’ berjaya dibida dengan nilai tertinggi RM1,111,111 – Loke

    Nombor plat pendaftaran khas ‘Malaysia 1’ berjaya dibida dengan nilai tertinggi RM1,111,111 – Loke

    Siri plat pendaftaran khas ‘Malaysia’ telah pun mula dibuka bidaannya sejak 1 Ogos lalu, menyaksikan sambutan yang begitu menggalakkan. Walau pun pada awalnya, Kementerian Pengangkutan merancang untuk membuka bidaan pada 2 hingga 16 Julai, namun tindakan menangguhkannya sebulan kehadapan bukanlah keputusan yang silap.

    Dalam tempoh dua minggu iaitu sehingga 15 Ogos lalu, kementerian terbabit menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah berjaya memperoleh hasil kutipan tender secara keseluruhan sebanyak RM13,167,971.37, iaitu kurang sebanyak RM8,832,029 daripada jangkaan awalnya iaitu RM22 juta. Walau bagaimana pun, menurut kementerian terbabit, jumlah tersebut hanya setakat 15 Ogos, kerana masih ada baki nombor yang belum dibeli.

    Bagi siri plat ini, jumlah bidaan tertinggi yang diperoleh adalah bernilai RM1,111,111 iaitu bagi ‘Malaysia 1’ yang berjaya dibida oleh Aldi International Sdn Bhd. Manakala sembilan lagi pembida tertinggi bagi nombor yang dibida ialah RM618k (‘Malaysia 8’ – Project Concept Sdn Bhd), RM501,500 (‘Malaysia 99’ – 99 Speed Mart Sdn Bhd), RM422k (‘Malaysia 2’ – Aldi International Sdn Bhd), RM223k (‘Malaysia 3’ – Goh Eng Hoe), RM200k (‘Malaysia 5’ – Lim Chin Fui), RM162k (Malaysia 4 – Aldi International Sdn Bhd), RM141,999 (‘Malaysia 9’ – Wasmetro Devolpement Sdn Bhd), RM123k (‘Malaysia 7’ – Ng Chee Seng), RM120k (‘Malaysia 18’ – Good Morning Global Sdn Bhd, dengan kesemuanya bernilai RM3,622,610.

    Manakala terdapat tiga nombor yang memperoleh bidaan paling ramai iaitu ‘Malaysia 8055’ dengan seramai 49 pembida (bidaan tertinggi RM81,888), ‘Malaysia 100’ seramai 31 pembida (bidaan tertinggi RM61k) dan ‘Malaysia 1957’ seramai 29 orang (bidaan tertinggi RM15,500).

    Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan baki nombor tender akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima berdasarkan kategori, yang hanya tinggal empat nombor popular dengan harga RM500 dan 6,641 nombor semasa bernilai RM250 setiap satu. Turut dimaklumkan, terdapat empat nombor yang tidak dibuka untuk tender iaitu ‘Malaysia 4334’, ‘Malaysia 4499’, ‘Malaysia 4554’ dan ‘Malaysia 5533’.

    Pada 24 Mei lalu, Loke menyatakan tidak akan ada lagi bidaan untuk nombor plat khas yang akan dibenarkan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Katanya, “Mulai dari sekarang, semua pembelian nombor plat mesti dilakukan melalui JPJ, tanpa apa-apa pengecualian. Ini merupakan pendapatan kerajaan dan kita berhasrat untuk mengutip semuanya sendiri.”

     
     
  • Mercedes-AMG GT C C190 dilancarkan di Malaysia – 557 PS, 0-100 km/j 3.7 saat dan harga dari RM1.46 juta

    Mercedes-AMG GT C C190 dilancarkan di Malaysia – 557 PS, 0-100 km/j 3.7 saat dan harga dari RM1.46 juta

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model Mercedes-AMG GT C Coupe yang termasuk di dalam barisan “Dream Car” keluarannya, selain daripada model CLS 53/CLS 450 dan E300 Cabriolet. Model ini mengisi ruang antara AMG GT S dan AMG GT R yang dijual untuk pasaran tempatan ketika ini. Harga jualannya ialah RM1.46 juta, tidak termasuk insurans.

    Ia menggunakan enjin M178 4.0 liter biturbo V8 yang menjana kuasa sebanyak 549 hp pada 5,750 hingga 6,750 rpm. Manakala tork pula adalah sebanyak 680 Nm dari 1,900 hingga 5,500 rpm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G-DCT automatik ke roda belakang. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 317 km/j, sementara pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

    Model GT C ini meminjam beberapa ciri teknikal daripada dua model sebelumnya. Sebagai contoh ialah active rear axle steering (dari GT R) serta LSD kawalan elektronik (dari GT S). Lain-lain ciri berkaitan pemanduan yang turut disediakan ialah suspensi sport AMG Ride Control serta pakej AMG Dynamic Plus.

    Seperti juga model-model Mercedes-Benz yang lain, pemandu GT C turut diberi lima pilihan mod pemanduan – Comfort, Sport, Sport, Race dan Individual. Tidak ketinggalan ialah sistem ekzos AMG Performance.

    Tidak sukar untuk mengenali model ini hanya dari rupa bentuk yang ditawarkan. Gril depan Panamericana menjadi antara “cop mohor” kereta ini, dilengkapi juga dengan penggunaan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist.

    Rim pula menggunakan saiz 20-inci aloi dengan lima jejari dengan kaliper brek (enam piston) berwarna merah. Sementara itu, bagi pakej AMG Exterior Night, beberapa bahagian luarannya menerima kemasan krom hitam seperti pada diffuser belakang, jeriji gril, kit sisi badan serta hujung ekzos.

    Bagi ruang kabin, antara kelengkapan yang tersedia ialah stereng AMG Performance dalam material gentian mikro hitam Dinamica yang menjadi sebahagian daripada pakej AMG Dynamic Plus. Bahagian lain kebanyakkan menggunakan material kulit Nappa.

    Selebihnya, kemasan gentian karbon kesat melengkapkan lagi imej sporty pada kereta ini, dengan tali pinggang keselamatan warna merah dari koleksi Designo, pencahayaan suasana, sunroof panoramik serta tempat duduk AMG Performance dengan fungsi memori.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk kawalan suhi Thermotronic, sistem infotainmen COMAND Online dengan ciri touchpad, sistem bunyi oleh Burmester dan sistem tanpa kunci. Bagi ciri keselamatan pula, GT C ini dilengkapi juga antaranya dengan ESP tiga peringkat serta sistem PRE-SAFE.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Mercedes-Benz kini memperkenalkan barisan model-model kereta dari koleksi “Dream Car” terbarunya untuk pasaran Malaysia. Pengenalan ini terdiri daripada tiga model iaitu Mercedes-Benz CLS, E300 Cabriolet dan juga Mercedes-AMG GT C.

    Bagi model CLS serba baru ini, dua varian dibawa masuk – CLS 450 dan juga Mercedes-AMG CLS 53. Ini merupakan generasi ketiga bagi model dari segmen coupe empat-pintu ini. Lebih menarik, ini kali pertama model jenama ini yang memperkenalkan enjin generasi baru, 2.0 liter empat silinder sebaris dengan teknologi elektrifikasi.

    Varian paling tinggi, Mercedes-AMG CLS 53 dilengkapi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan ciri elektrifikasi pintar, lengkap dengan sistem elektrikal 48 V dengan kuasa yang dijana EQ Boost starter-alternator, yang ditempatkan antara enjin dan transmisi.

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Output yang dijana oleh gandingan ini ialah 435 hp pada 6,100 rpm dengan 520 Nm tork dari 1,800 hingga 5,800 rpm. Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 4.5 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j (dengan Driver Package, ia mampu mencapai 270 km/j).

    Ia digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G. Model ini juga datang dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ sebagai ciri standard. Bagi pemandu, ciri AMG Dynamic Select memberikan pilihan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

    CLS 53 juga menggunakan sistem suspensi udara AMG Ride Control dengan ciri ADS+ (Adaptive Damping System). Dari segi penggayaan, varian AMG tampil dengan rekaan gril bilah berkembar dalam warna perak, berbeza daripada gril radiator “diamond” pada versi lainnya.

    Rekaan apron baru di bahagian depan turut memberi kelainan, dengan rekaan unik pada bahagian kemasukan udara, door-sill khas AMG, spoiler belakang, apron belakang dengan diffuser rekaan baru serta rekaan hujung ekzos semuanya membezakan model ini daripada yang lain. Kemasan AMG Line di luar turut hadir dengan pakej gentian karbon; antaranya pada bahagian spoiler. Rim 20-inci AMG lima jejari digunakan.

    Ruang dalamannya juga menggunakan kemasan khusus AMG; tali pinggang keselamatan merah, kemasan gentian karbon AMG, stereng AMG Performance dibalut dengan kulit Nappa serta tempat duduk AMG Sport.

    CLS 53 ini juga dilengkapi dengan Widescreen Cockpit dengan paparan 12.3-inci, pakej Air Balance dan sunroof elektrik. Sama seperti kenderaan Mercedes-Benz lainnya, sistem tunjuk arah COMAND Online dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Burmester dan juga pengecas tanpa wayar. Mercedes-AMG 53 ini dijual pada harga RM806,638 (tidak termasuk insurans).

    Mercedes-AMG CLS 53 dan CLS 450 tiba di Malaysia – dengan teknologi EQ Boost, 48 V, harga dari RM650k

    Turut ditawarkan ketika pelancarannya ialah versi Edition 1 bagi CLS 53 4MATIC+ yang menampilkan rekaan dalaman Copper Art, yang terdiri daripada beberapa bahagian kemasan dari warna tembaga untuk memberikan suasana berbeza yang lebih eksklusif. Suasana mewah ini diperkayakan lagi dengan sistem pencahayaan kabin dari 64 warna, serta jam analog eksklusif dari IWC.

    CLS generasi baru ini juga mewarisi beberapa aspek dan teknologi keselamatan dari model S-Class – lengkap dengan Driving Asisstance Package. Ia teridiri daripada ciri seperti Active Brake Assist, Lane Keeping Assist, Attention Assist, Speed Limit Assit dan sistem PRE-SAFE.

    Dua lagi varian yang ditawarkan bagi model ini ialah CLS 450, yang menggunakan enjin berkapasiti 3.0 liter juga, tetapi dengan janaan kuasa yang lebih rendah – ia menghasilkan sebanyak 367 hp dari 5,500 hingga 6,100 rpm. Tork pula adalah sebanyak 500 Nm dari 1,600 hingga 4,000 rpm.

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.8 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. CLS 450 dijual pada harga bermula RM650,034 (tidak termasuk insurans).

    Varian paling asas bagi model ini, CLS 350 – yang turut akan berada di pasaran Malaysia sekitar November nanti – pula hadir dengan enjin 2.0 liter yang menghasilkan 299 hp dari 5,800 hingga 6,100 rpm, manakala tork pada kadar 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.0 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. CLS 350 dijual pada harga anggaran RM530,000 (tidak termasuk insurans). Untuk maklumat lanjut berkaitan model Mercedes-AGM CLS 53 dan juga CLS 450, layari juga laman CarBase.my.

    Mercedes-AMG CLS 53

    Mercedes-Benz CLS 450

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 turut termasuk dalam salah satu dari empat model dalam koleksi Mercedes-Benz Dream Cars yang dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini. Model mewah dengan bumbung boleh buka berkenaan hadir ke pasaran tempatan hanya dalam varian tunggal – E 300 – dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM588,888.

    Oleh itu, model tersebut dijana oleh enjin petrol empat-silinder 2.0 liter turbo menghasilkan 242 hp (245 PS) dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic, dan kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang. Bentangan janakuasa ini membolehkan E 300 Cabriolet memecut dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Kereta ini turut diberikan sistem ekzos sport bagi memberikan deruman enjin yang lebih garang. Manakala untuk pengedalian, sistem Dynamic Select (dengan mod Comfort, Eco, Sport, Sport+ dan Individual) boleh merubah talaan suspensi adaptif dengan hanya menggunakan suis kawalan di dalam kabin.

    Mercedes-Benz E-Class Cabriolet A238 kini di Malaysia – hanya E300, 245 PS/370 Nm, harga bermula RM589k

    Bumbung Cabriolet ini dibina menggunakan fabrik berwarna hitam, dan pergerakan buka-tutup dikawal menggunakan bantuan kuasa. Bahagian luaran model ini turut dipadankan bersama pakej penggayaan Night dan AMG Line – terdiri dari gril ‘Diamond’ bersama pin-pin krom, bampar lebih sporty, dan juga kemasan tip ekzos krom.

    Ia turut menerima rim aloi 19-inci lima jejari berkembar, bersama lampu Multibeam LED yang memberikan fungsi lampu tinggi adaptif serta sistem lampu LED pintar Mercedes.

    Bahagian dalaman Cabriolet mewah ini pula dilengkapi dengan tempat duduk hadapan bantuan kuasa bersama fungsi memori, dengan balutan upholsteri kulit Nappa hitam dan putih, dan juga kemasan-kemasan hitam dan kayu.

    E 300 Cabriolet ini masih diberikan papan pemuka seiras dengan model E-Class lain, menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit, terdiri dari dua buah skrin bersaiz 12.3-inci. Kawalan terhadap skrin tengah dan juga masih boleh dibuat menerusi sistem infotainmen COMAND Online, menampilkan pad sentuhan pada konsol tengah.

    Sistem tersebut boleh dihubungkan kepada pelbagai peranti media termasuk Apple CarPlay dan Android Auto, manakala bunyi dihasilkan menerusi sistem bunyi dari Burmester. Kereta ini juga turut diberikan pelbagai kelengkapan lain seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik Thermotronic, paparan ‘Head-up’, pakej Air Balance, Keyless-Go, akses Hands-Free, jam analog serta pakej Cabriolet Comfort (skaf udara).

    Pamandu akan dibantu dengan pakej bantuan keselamatan seperti Bantuan Parkir Aktif, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Titik Buta serta kamera pemantau sekeliling. Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Agak lama juga isu-isu yang membelenggu pemandu teksi di negara ini tidak ada jalan penyelesaiannya. Malahan saban masa, ia dilihat makin parah, maka tindakan daripada pihak kerajaan amatlah ditagih.

    Menurut Pengerusi Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa), Zailani Isaisuludin, hasil pertemuan hampir dua jam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi isu-isu terbabit, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri berjanji akan menyelesaikan masalah yang melibatkan pemandu teksi dalam waktu terdekat. Beliau memberitahu bahawa perkara itu akan dikaji secara menyeluruh dan teliti. Kita yakin dan percaya perdana menteri seorang yang berpengalaman akan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

    Tun Mahathir berjanji selesaikan isu teksi – Perjiwa

    Dalam masa yang sama, Zailani turut menyaran Kementerian Pengangkutan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu-isu industri teksi di negara ini.

    “Kami berharap undang-undang berkaitan industri teksi akan dikaji dengan baik, termasuk untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Kami berharap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membuka ruang perbincangan untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

    Pada pertemuan itu, Zailani bersama wakil-wakil pemandu teksi dari seluruh negara turut menyerahkan satu memorandum kepada Dr Mahathir.

    Antara usul dan cadangan dalam memorandum itu termasuk mengurangkan 30% harga kenderaan dan tempoh bayaran balik yang diluluskan sebagai kenderaan perkhidmatan pengangkutan awam dan permohonan geran bulanan RM1 juta untuk Perjiwa menjalankan aktiviti dan kebajikan pemandu teksi yang sah dan layak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024